30 April 2009

Selangkah Ke Rome



Manchester United berada dalam situasi terbaik untuk mara ke perlawanan akhir Liga Juara buat dua tahun berturut-turut apabila menewaskan Arsenal 1-0 awal pagi tadi di Old Trafford. Walaupun kelebihan satu gol bukanlah bekalan yang selesa buat United untuk dibawa ke Stadium Emirates 6 Mei ini namun reaksi awal Sir Alex Ferguson selepas perlawanan mencerminkan keyakinan tinggi pengendali berbangsa Scotland itu menjelang perlawanan peringkat kedua kelak. Gol John O' Shea diminit ke 17 meletakkan United di hadapan dan selepas itu dominasi jelas milik anak-anak buah Sir Alex Ferguson menenggelamkan barisan muda Arsenal sepanjang permainan. Berjaya mengelak gawang dari dibolosi merupakan bonus tambahan buat United dan pengendali dari Scotland itu berharap United mampu memanfaatkan kelebihan ini melalui peraturan gol di tempat lawan. Jelas barisan muda Arsenal yang kurang pengalaman dilihat belum bersedia untuk bersaing di peringkat tertinggi Eropah dan tenggelam sejak awal saingan. Emmanuel Adebayor yang diharap Arsene Wenger untuk merobek gawang United pula gagal memberikan ancaman serius terhadap benteng United.

Michael Carrick

Arsenal seharusnya berterima kasih atas aksi cemerlang Manuel Almunia yang menyelamatkan skuad Gunners itu dari menerima kekalahan lebih besar. Deretan peluang ciptaan Carlos Tevez, Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney di awal 20 minit permainan memberi gambaran seolah-olah United akan memperolehi bekalan selesa dalam perlawanan ini namun aksi cemerlang penjaga gol Sepanyol itu menghampakan harapan hampir 80 ribu penyokong Red Devils. United jelas mendominasi perlawanan sejak minit pertama dengan penguasaan mutlak bahagian tengah yang dikemudi gandingan Darren Fletcher dan Michael Carrick menenggelamkan kelibat Cecs Fabregas. Di babak kedua Ronaldo hampir melebarkan kelebihan United namun rembatan dari jarak 25 meter sekadar singgah di palang gol manakala jaringan Giggs dibatalkan walaupun jelas bintang veteran itu berjaya melepasi perangkap offside. Dengan kemenangan ini, United kini melebarkan rekod tanpa kalah mereka di peringkat Eropah kepada 24 perlawanan. Glory Glory Manchester United!!!

29 April 2009

Pertempuran Di Old Trafford

Sir Alex Ferguson watches his players during training

Manchester United bakal berdepan tugas getir apabila menerima kunjungan seteru tradisi Liga Perdana, Arsenal awal pagi ini dalam perlawanan pertama peringkat separuh akhir Liga Juara di Old Trafford. Arsenal berada dalam prestasi terbaik mereka apabila merakam lima kemenangan berturut-turut dalam kempen Liga Perdana dan kunjungan mereka ke Theatre Of Dream dilihat tepat pada masanya walaupun bakal kehilangan Robin Van Persie yang mengalami kecederaan. Bos United pula membayangkan akan menyerang habis-habisan bagi mencari gol sebagai bekalan apabila berkunjung ke Stadium Emirates untuk perlawanan kedua nanti.

Sementara itu, Arsene Wenger melahirkan rasa kagumnya buat bintang veteran United, Ryan Giggs yang baru dinobatkan sebagai pemain terbaik tahunan Liga Perdana Inggeris dua hari lalu. Giggs yang memulakan karier bersama United sejak 1991 masih mampu mengekalkan prestasi cemerlangnya biarpun bintang baru silih berganti mencipta nama di Old Trafford dan kreativiti pemain itu dilihat bakal dipertaruhkan oleh Ferguson dalam perlawanan ini.

United perlu memperkemaskan lagi benteng pertahanan apabila berdepan dengan skuad Arsene Wenger nanti dan hakikat ini diakui oleh bintang dari Serbia, Nemanja Vidic. bagi Vidic kerapuhan benteng United sejak akhir-akhir ini adalah disebabkan polisi penggiliran pemain yang diamalkan oleh Ferguson kerana perlawanan-perlawanan besar yang perlu dihadapi United. Cabaran terbesar United nanti adalah untuk merantai Emmanuel Adebayor dan skuad Gunners itu akan bertandang ke Old Trafford dengan rekod dua puluh perlawanan tanpa kalah dalam liga manakala United pula pastinya ingin meneruskan rentak cemerlang mereka di pentas Eropah dengan rekod 24 perlawanan tanpa kalah. Glory Glory Manchester United!!

26 April 2009

Kebangkitan Hebat United

Cristiano Ronaldo puts Manchester United in front with a diving header

Manchester United melakukan kebangkitan hebat dalam usaha mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat musim ketiga berturut-turut apabila membelasah Spurs 5-2 awal pagi tadi. Walau ketinggalan dua gol hasil jaringan Darren Bent di minit ke 29 dan Luca Modric di minit ke 32 barisan bimbingan Sir Alex Ferguson tidak menunjukkan sebarang belas kasihan terhadap kelab dari utara London itu. Langkah Sir Alex Ferguson menurunkan Carlos Tevez di separuh masa kedua nyata membuahkan hasil apabila penyerang Argentina itu memainkan peranan penting dalam gerakan-gerakan serangan United.

Diminit ke 57, Cristiano Ronaldo membuka tirai jaringan buat United apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas Michael Carrick yang mendapat lorongan cantik dari Wayne Rooney dikasari Gomes di dalam petak penalti. Sepuluh minit selepas itu Wayne Rooney menjaringkan gol penyamaan buat United. Penyerang antarabangsa England itu yang menerima lorongan Tevez mudah menolak masuk bagi menewaskan Gomes buat mengikat kedudukan 2-2. Belumpun reda gema di Old Trafford, Ronaldo sekali lagi membocori gawang Spurs apabila menyudahkan hantaran lambung Rooney untuk mudah menanduk masuk bagi gol ketiga United.

Dimitar Berbatov scores against his old club to wrap up the victory

United terus mengukuhkan cengkaman apabila diminit ke 71, Rooney yang menerima hantaran lintang dari Ronaldo menolak masuk biarpun cuba diselamatkan oleh Jonathan Woodgate namun bola telah melepasi garisan gol. Dimitar Berbatov menutup tirai jaringan United diminit ke 79 apabila menyempurnakan hantaran lintang Rooney dari sebelah kanan buat melengkapkan malam derita anak-anak buah Harry Redknapp. Bagi Patrice Evra, kunci kebangkitan United adalah apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti dan selepas itu segala-galanya tampak menyebelahi skuad Red Devils. Keseluruhan pasukan menunjukkan semangat juang yang begitu menakjubkan dan nyata kegagalan mara ke final Piala FA tidak menganggu konsentrasi barisan Sir Alex Ferguson. Kemenangan ini juga bakal menyuntik semangat buat United dalam melayan kunjungan seteru tradisi Arsenal dalam perlawanan pertama peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Khamis nanti. Glory Glory Manchester United!!

20 April 2009

Impian Lima Kejuaraan United Lebur

Nemanja Vidic tracks Leon Osman

Misi Manchester United mencipta sejarah merangkul lima kejuaraan dalam semusim lebur apabila tewas kepada Everton dalam perlawanan separuh akhir Piala FA tengah malam tadi. Everton melangkah keperlawanan akhir apabila mengenepikan United 4-2 melalui penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 selepas tambahan masa. Percaturan Sir Alex Ferguson dengan menurunkan hampir keseluruhan pemain muda mengundang padah.

Walau bagaimanapun pujian harus diberikan kepada bintang-bintang muda United apabila berjaya memberi tekanan kepada kesebelasan utama skuad Tofees itu sepanjang permainan. Sir Alex Ferguson merehatkan hampir keseluruhan tonggak utamanya kecuali Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic di benteng serta Carlos Tevez di posisi serangan. Bekas penjaga gol United, Tim Howard berjaya menyelamatkan sepakan penalti Dimitar Berbatov dan Rio Ferdinand selepas Tim Cahill menyepak tinggi buat mencemaskan seketika penyokong Everton.

19 April 2009

Man United lwn Everton

Manchester United dan Everton akan bertemu dalam perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley malam ini. Sir Alex Ferguson mahu anak-anak buahnya berhati-hati kerana Everton dalam keadaan laparkan kejayaan. Skuad Tofees kendalian David Moyes itu tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan sejak kali terakhir menewaskan United pada final Piala FA 1995. Ferguson dijangka tidak menurunkan barisan terkuatnya dalam perlawanan ini memandangkan dalam tempoh dua hari United juga perlu melayani kunjungan Portsmouth dalam kempen Liga Perdana Inggeris di Old Trafford. Masih banyak perlawanan penting buat United selepas ini dan Feruguson merasakan adalah mustahil untuk beliau menurunkan skuad terkuatnya pada setiap perlawanan.


Sementara itu bintang tengah United, Michael Carrick melihat Piala FA sesuatu yang istimewa untuk dimenangi. Walaupun mengakui Liga Juara-Juara dan Liga Perdana kejuaraan yang penting namun tradisi dan sejarah Piala FA membuatkan piala itu sesuatu yang istimewa untuk dimenangi. Carrick berpeluang menjulang piala berkenaan pada 2007 namun jaringan lewat permainan oleh Dedier Drogba menafikan hajatnya untuk menjulang piala pertandingan kalah mati tertua di dunia itu. Malam ini Carrick yang bakal diturunkan oleh Ferguson untuk memperkuatkan jentera tengah United berazam untuk membawa United ke pentas final yang bakal menemukan kembali United dan Chelsea. Chelsea telahpun layak keperlawanan akhir apabila berjaya mengenepikan Arsenal 2-1 awal pagi tadi. Glory Glory Manchester United!!!

17 April 2009

Bisa Ronaldo



Manchester United akan melayan kunjungan seteru tradisi Liga Perdana, Arsenal dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara pada 29 April ini. Sir Alex Ferguson meramalkan satu pertarungan sengit antara dua musuh tradisi ini dan perlawanan ini juga mengesahkan dominasi kelab-kelab Liga Perdana di kancah Eropah buat dua musim berturut-turut. Satu lagi kelab Inggeris yang layak ke separuh akhir ialah Chelsea yang sebelum ini mengenepikan Liverpool dengan agregat 7-5.

Sementara itu Cristiano Ronaldo yang juga merupakan pemain terbaik dunia menegaskan pasukannya sudah bersedia untuk mengulangi pencapaian musim lalu dengan mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara. Gol menakjubkan dari jarak 40 meter Ronaldo membawa United ke pentas separuh akhir buat musim kedua berturut-turut. Bagi Sir Alex Ferguson pula, beliau menyifatkan gol itu sebagai `sukar dipercayai' dan turut terpegun bersama-sama kira-kira 45,000 penonton di Estadio de Dragao.

Ronaldo yang pernah bermain untuk Sporting Lisbon sebelum ini sering diejek oleh penyokong lawan sepanjang permainan dan Sir Alex Ferguson jelas kagum dengan ketahanan mental yang dimiliki oleh bintang dari Portugal itu. Sehari sebelum perlawanan, Ferguson telah memarahi pemain sayap itu atas kecuaiannya hingga menyebabkan Porto menjaringkan gol penyamaan lewat permainan di Old Trafford minggu lalu. Prestasi cemerlang Ronaldo hadir tepat pada masanya dan ditanah air sendiri di mana ia merupakan jaringan pertama dari mana-mana kelab Inggeris di Stadium Dragao sepanjang 12 percubaan.

16 April 2009

United Ke Separuh Akhir Liga Juara

Cristiano Ronaldo gives United a dream start with a stunning long-range effort in the 6th minute

Manchester United mara ke separuh akhir Liga Juara apabila membenam cabaran Porto awal pagi tadi. Jaringan menakjubkan dari jarak 40 meter Cristiano Ronaldo sudah cukup untuk memadamkan kelebihan juara Portugal ini yang sebelum ini mengikat United 2-2 di Old Trafford minggu lalu. United hanya memerlukan 6 minit untuk mendahului lawan apabila Ronaldo yang menerima hantaran dari Anderson melakukan rembatan mengelirukan untuk menewaskan Helton di gawang Porto. United seharusnya mampu memadam terus cabaran Porto apabila diminit ke 44, Nemanja Vidic yang menyambut sepakan sudut Ryan Giggs sekadar melihat kuisannya digawang terbuka melambung tinggi.

Michael Carrick

Sir Alex Ferguson menyifatkan kekentalan barisan pertahan merupakan kunci kepada kejayaan United layak ke separuh akhir. Rio Ferdinand diturunkan buat kali pertama dalam 3 perlawanan setelah pulih dari kecederaan dan gandingan ampuhnya bersama Nemanja Vidic berjaya meminimumkan peluang lawan untuk memperolehi jaringan. Di babak kedua Porto yang dilihat semakin kesuntukan masa untuk mencari gol penyamaan terus melancarkan serangan bertali arus namun penyerangnya yang mudah menembusi kubu United minggu lalu terus buntu untuk menemui sasaran. Ini merupakan kekalahan pertama Porto di laman sendiri kepada kelab Inggeris dan pastinya kejayaan ini akan menyemarakkan semangat barisan Red Devils dalam usaha mereka memburu lima kejuaraan dalam semusim. United dijadualkan bertemu musuh tradisi, Arsenal di peringkat separuh akhir pada 28 April ini. Glory Glory Manchester United!!!

15 April 2009

Tugas Getir Menanti United Di Stadium Dragao



Tugas getir menanti barisan Sir Alex Ferguson apabila bertandang ke Stadium Dragao dalam perlawanan kedua peringkat suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi ini. United yang diikat 2-2 minggu lalu perlu seri melebihi 2 gol untuk layak ke peringkat separuh akhir menerusi peraturan gol tempat lawan untuk bertemu sama ada Arsenal atau Villareal. Misi dilihat sukar buat United memandangkan tiada pasukan EPL pernah menang di Stadium Dragao. Arsenal tewas 0-2 di venue yang sama manakala United gagal menang dalam tiga pertemuan. Apapun bintang United dari Portugal, Cristiano Ronaldo yakin pasukannya mampu menyingkirkan Porto untuk layak ke separuh akhir mengiringi satu lagi kelab dari Inggeris, Chelsea yang menyingkirkan Liverpool melalui agregat 7-5.

Super heroes: Porto's Hulk and Wayne Rooney

Jika mahu melepasi halangan Porto, United harus memperbaiki kelemahan di barisan pertahanan yang dilihat agak rapuh sejak kebelakangan ini. Sekalipun keputusan lalu tidak menyebelahi mereka tetapi bintang tengah United, Michael Carrick yakin The Red Devils mampu menjinakkan Porto berdasarkan kualiti yang ada di dalam pasukan. Carrick menegaskan United memiliki keazaman yang tinggi untuk mempertahankan kejuaraan yang mereka menangi tahun lalu di Moscow. Pastinya semangat 1999 di mana United mengenggam tiga kejuaraan sekaligus akan mengiringi mereka dalam perlawanan ini. Glory Glory Manchester United!!!

12 April 2009

United Kekal Di Persada Liga

Carlos Edwards and Carlos Tevez battle for the ball

Manchester United, Liverpool dan Chelsea meneruskan persaingan memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila mencatat kemenangan dalam perlawanan masing-masing malam tadi. United menewaskan Sunderland 2-1 di Stadium Of Light biarpun tampak bergelut sepanjang perlawanan. Alex Ferguson tidak menurunkan Cristiano Ronaldo dan Patrice Evra dalam kesebelasan permulaan manakala Rio Ferdinand masih dibelenggu kecederaan. Pemain veteran, Paul Scholes membuka tirai jaringan apabila menanduk masuk bola hantaran Wayne Rooney di minit ke 19 dan Nemanja Vidic hampir menambah gol kedua buat United apabila tandukannya hasil sepakan sudut Wayne Rooney berjaya diselamatkan pertahanan Sunderland di atas garisan gol. Kedudukan kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Federico Macheda wheels away in celebration after netting United's winner

Kenwyne Jones menjadikan kedudukan 1-1 di minit ke 55 apabila hantaran lintang Colin Edwards gagal ditepis keluar Ben Foster dan kesempatan ini digunakan oleh penyerang itu untuk menyamakan kedudukan. Sir Alex Ferguson kemudiannya membuat pertukaran dengan memasukkan sensasi terbaru Red Devils, Federico Macheda di minit ke 74 dan akhirnya pemain kelahiran Itali berusia 17 tahun itu sekali lagi menyelamatkan United apabila empat minit kemudian menjaringkan gol kemenangan United. Gol berpunca hasil percubaan Michael Carrick dari jarak 25 meter berjaya ditampan pemain muda itu untuk memperdayakan Craig Gordon di gawang. Ini merupakan kali kedua penyerang itu menghasilkan gol kemenangan United selepas kali pertama melakukan jaringan dramatik kemenangan ke atas Aston Villa minggu lalu.

Lain-Lain Keputusan:

Liverpool (4) - Blackburn Rovers (0)
Wigan Athletic (1) - Arsenal (4)
Chelsea (4) - Bolton Wanderers (3)
Stoke City (1) - Newcastle United (1)
Portsmouth (2) - West Bromwich Albion (2)
Middlesbrough (3) - Hull City (1)

11 April 2009

Peluang United Tebus Kehampaan

Rio Ferdinand

Manchester United akan bertandang ke Stadium Of Light malam ini dengan berbekalkan misi menebus kehampaan ketika seri 2-2 dengan Porto dalam perlawanan pertama peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Rabu lalu. Dengan Liverpool hanya ketinggalan satu mata, United tidak boleh melakukan sebarang kesilapan jika mahu mempertahankan kedudukan mereka di tangga teratas liga. Bagi Edwin Van Der Sar, pertahanan United yang sejak kebelakang ini sering melakukan kesilapan mudah perlu kembali fokus dalam permainan. Perlawanan malam ini juga boleh dijadikan platform buat United mengembalikan semula keyakinan sebelum mereka bertandang ke Stadium Dragao untuk pertemuan kedua peringkat suku akhir Liga Juara-Juara. United bakal menurunkan trio yang bebas dari penggantungan Wayne Rooney, Paul Scholes dan Nemanja Vidic untuk memburu mata penuh namun bakal kehilangan Rio Ferdinand, Dimitar Berbatov dan Anderson yang masih dibelenggu kecederaan. Bos United, Sir Alex Ferguson dijangka menurunkan permata baru yang menjaringkan gol kemenangan ketika pertemuan dengan Aston Villa, Federico Macheda dalam perlawanan ini.



Ketika kem United berdepan situasi tidak menentu, pesaing mereka dalam pemburuan kejuaraan liga Liverpool juga berdepan situasi yang sama apabila menerima kekalahan memalukan 1-3 di tangan Chelsea di peringkat Eropah Khamis lalu. Liverpool akan melayan kunjungan Blackburn Rovers yang masih segar dengan kejayaan mereka menjinakkan Tottenham Hotspurs minggu lalu. Liverpool yang berada di awang-awangan selepas kejayaan mereka membelasah Real Madrid, Manchester United dan Aston Villa terpaksa berpijak di bumi nyata semula apabila dimalukan oleh skuad bimbingan Guus Hiddink dalam perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara Khamis lalu. Rafa Benitez terpaksa mengakui Liverpool masih belum sesempurna mana dan perlu memikirkan strategi yang sesuai bagi melayan kunjungan anak-anak buah Sam Allardyce.

Jadual Perlawanan Liga Perdana Inggeris:

11 Apr 2009


Liverpool lwn Blackburn Rovers
Sunderland lwn Manchester United
Chelsea lwn Bolton Wanderers
Middlesbrough lwn Hull City
Portsmouth lwn West Bromwich Albion
Tottenham lwn West Ham United
Wigan Athletic lwn Arsenal
Stoke City lwn Newcastle United

12 Apr 2009

Aston Villa lwn Everton
Manchester City lwn Fulham

08 April 2009

Tugas Getir United

Michael Carrick against Porto

Manchester United berdepan tugas penuh ranjau dalam usaha layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara apabila sekadar seri 2-2 dengan Porto awal pagi tadi. United akan berkunjung ke Portugal bagi perlawanan peringkat kedua suku akhir minggu hadapan. Pada perlawanan awal pagi tadi, United dilihat memberi terlalu banyak ruang kepada wakil Portugal itu terutamanya pada 20 minit pertama dan akibatnya kesilapan benteng pertahanan memberi ruang buat Cristian Rodriguez menyumbat gol pembukaan pelawat seawal minit ke 4. United memperolehi peluang terbaik di minit ke 13 apabila Cristiano Ronaldo yang menerima hantaran lintang John O' Shea menyaksikan tandukannya berjaya diselamatkan oleh Helton.

Dua minit selepas itu United memperolehi gol penyamaan apabila Wayne Rooney memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan untuk mudah menewaskan Helton bagi mengikat kedudukan 1-1 hingga wisel separuh masa ditiupkan. Bersambung di babak kedua, United dilihat kembali menguasai perlawanan dan di minit ke 51 volley dari Park Ji Sung sekali lagi berjaya diselamatkan oleh Helton. Selang beberapa minit kemudian penjaga gawang Porto itu sekali lagi bertindak cemerlang apabila menepis keluar sepakan lambung Wayne Rooney. United terus mencipta peluang apabila kali ini tandukan Nemanja Vidic hasil sepakan sudut Ryan Giggs berjaya ditepis oleh Helton dan tindakan susulan Vidic selepas itu menyaksikan tandukannya tersasar.

United memperolehi gol kedua diminit ke 85 sumbangan Carlos Tevez apabila dia yang menerima bola hasil kuisan Rooney mudah menewaskan Helton dihadapan pintu gol. Keputusan perlawanan seakan-akan memihak kepada United namun pemain gantian Porto, Mariano Gomez yang menerima hantaran lintang dari sebelah kanan memanfaatkan kesilapan benteng United untuk mudah menewaskan Edwin Van Der Sar bagi mengikat kedudukan 2-2.

Keputusan Perlawanan Lain:

Villareal (1) - Arsenal (1)

07 April 2009

Dendam United

Cristiano Ronaldo and Sir Alex Ferguson

Awal pagi ini Manchester United akan melayan kunjungan FC Porto dalam perlawanan peringkat pertama suku akhir Liga Juara-Juara. United yang masih segar dengan kemenangan ke atas Aston Villa Ahad lalu kini mengalih tumpuan ke pentas Eropah pula apabila menjadikan pertemuan dengan juara Portugal ini sebagai misi membalas dendam. Porto yang ketika itu dibimbing oleh Jose Mourinho menyingkirkan United dalam peringkat sama pada 2004. Kemenangan ke atas Villa itu juga dilihat sebagai pembakar semangat dan tiba tepat pada waktunya buat pemain-pemain United.

Bintang United dari Portugal, Cristiano Ronaldo menghormati kelab dari negaranya itu namun menegaskan bahawa United terlalu kuat buat Porto. United dalam usaha memburu tiga lagi trofi musim ini setelah memenangi Kejuaraan Kelab Dunia dan Piala Carling akan diperkuatkan semula dengan kehadiran Nemanja Vidic, Wayne Rooney dan Paul Scholes yang tidak dapat diturunkan Ahad lalu ekoran penggantungan namun nasib Rio Ferdinand masih belum dapat dipastikan. Dimitar Berbatov dan Anderson masih dalam senarai kecederaan dan Ferguson tidak mahu terburu-buru menurunkan pemain yang cedera pagi nanti memandangkan United mempunyai bekalan pemain mencukupi untuk menangani cabaran Porto.

Ferguson menegaskan pasukannya perlu berhati-hati dengan kelibat Lisandro Lopez memandangkan pemain itu merupakan ancaman besar ke atas benteng United. Untuk rekod Porto tidak pernah menang di England dan keputusan terbaik yang dicapai mereka adalah sewaktu seri 1-1 di Old Trafford pada 2004 sekaligus menyingkirkan United melalui peraturan gol di tempat lawan. Porto juga muncul juara pada tahun itu. Glory Glory Manchester United!!!

06 April 2009

Semangat United Kembali Bergelora



Manchester United kembali ke landasan kemenangan apabila menewaskan Aston Villa 3-2 awal pagi ini. Gol kemenangan United dihasilkan pemain berusia 17 tahun kelahiran Itali , Federico Macheda dalam masa kecederaan untuk meletakkan United kembali kepuncak Liga Perdana Inggeris mengatasi saingan terdekat Liverpool dengan kelebihan satu mata. United turun tanpa trio yang digantung Wayne Rooney, Nemanja Vidic dan Paul Scholes manakala Dimitar Berbatov, Anderson, Rio Ferdinand dan Park Ji Sung mengalami kecederaan namun semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh anak-anak buah Alex Ferguson wajar diberi pujian.

United mendahului melalui sepakan percuma Cristiano Ronaldo di minit ke 14 namun kelebihan itu dipadamkan oleh John Carew apabila pemain antarabangsa Norway itu mudah menanduk masuk bola hasil hantaran lintang ketua pasukan Gareth Barry di minit ke 30. Di minit ke 58, Gabriel Agbonlahor meletakkan Villa didepan apabila menanduk masuk bola hantaran John Carew dan selepas itu United tampak akan meneruskan rentetan kekalahan mereka buat kali ketiga berturut-turut.

Federico Macheda

United menggandakan asakan ke kubu Villa bagi mencari gol penyamaan namun beberapa aksi cemerlang Brad Friedel berjaya menyelamat pintu gol mereka dari dibolosi. Ferguson melakukan tindakan berani apabila membawa masuk Macheda yang enam hari lalu merakamkan hatrik ke atas skuad simpanan Newcastle United untuk menggantikan Nani. Ternyata pemain muda itu mempamerkan aksi menakjubkan apabila sering menjadi ancaman kepada pertahanan Villa dan akhirnya di minit ke 81, Ronaldo berjaya merakamkan gol keduanya dalam perlawanan ini untuk mengikat kedudukan 2-2. Bola rembatan dari luar petak penalti pemain antarabangsa Portugal itu tepat menuju kesebelah kiri pintu gol tanpa dapat diselamatkan oleh Friedel.

Perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri sehinggalah di minit ke 92 masa kecederaan Macheda yang menerima hantaran dari Ryan Giggs, berjaya menewaskan Friedel untuk meletakkan United kembali didepan. Walaupun dalam posisi membelakangkan pintu gol dan dikawal dua pertahanan lawan, pemain muda Itali itu bijak melepaskan sepakan lencong yang sama sekali gagal diselamatkan oleh penjaga gol berpengalaman Amerika Syarikat itu. Kemenangan ini dilihat amat penting untuk United bagi menyuntik kembali semangat mereka dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan kempen Liga Juara-Juara. Pada 8 Apr nanti United akan menanti kunjungan FC Porto dalam perlawanan pertama peringkat suku akhir Liga Juara-Juara. Glory Glory Manchester United!!

05 April 2009

Hidup Mati United

Paul Scholes of Manchester United is congratulated by his team mates after scoring the opening goal

Manchester United tiada pilihan kecuali menang apabila menerima kunjungan Aston Villa di Old Trafford malam ini. Dengan Liverpool meraih tiga mata penuh menewaskan Fulham 1-0 di Craven Cottage awal pagi tadi, barisan Sir Alex Ferguson tiada pilihan lain selain menewaskan skuad bimbingan Martin O' Niell itu. Liverpool kini memintas United dengan kelebihan dua mata ditangga teratas namun Red Devils masih memiliki dua perlawanan dalam tangan. Liverpool berada dipuncak prestasi mereka dan United tidak boleh melakukan sebarang kesilapan lagi jika mahu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana buat musim ketiga berturut-turut sekaligus menyamai pencapaian Liverpool yang memenanginya sebanyak 18 kali.

Penjaga gol United, Edwin Van Der Sar menegaskan pasukannya tidak boleh terus meratapi dua kekalahan kepada Liverpool dan Fulham tetapi sebaliknya harus segera bangkit biarpun turun tanpa trio Wayne Rooney, Nemanja Vidic dan Paul Scholes yang digantung sementara Dimitar Berbatov cedera dipergelangan kaki. Satu-satunya bonus buat United adalah Villa juga sedang bergelut dengan prestasi tidak menentu mereka sejak kebelakangan ini. Mereka hanya memperolehi satu mata dalam lima perlawanan terakhir dan menejejaskan impian mereka untuk layak secara automatik ke Liga Juara-Juara musim depan. Pada keseluruhannya United hanya tewas dua perlawanan dalam masa empat bulan dan Van Der Sar menegaskan ia bukanlah prestasi buruk buat pasukan.

Keputusan Perlawanan Liga Perdana:

Fulham (0) - Liverpool (1)
Newcastle United (0) - Chelsea (2)
Arsenal (2) - Mnachester City (0)
Bolton Wanderers (4) - Middlesbrough (1)
West Bromwich Albion (0) - Stoke City (2)
West Ham (2) - Sunderland (0)
Blackburn Rovers (2) - Tottenham Hotspurs (1)
Hull City (0) - Portsmouth (0)

04 April 2009

Tugas Berat United

Carlos Tevez and Dimitar Berbatov

Alex Ferguson mengakui skuadnya berdepan tugas sukar tatkala menanti kunjungan Aston Villa Ahad ini. Ferguson menghadapi masalah penggantungan tiga tonggak utamanya, Nemanja Vidic, Wayne Rooney dan Paul Scholes manakala Rio Ferdinand bakal disisihkan akibat kecederaan pangkal peha ketika membantu kempen England dalam kelayakan Piala Dunia bertemu Ukraine Khamis lalu. Ferguson juga menghadapi masalah dibahagian serangan apabila Dimitar Berbatov mengalami kecederaan pergelangan kaki manakala Carlos Tevez perlu segera keluar dari kejutan selepas skuad Argentina dibelasah Bolivia 1-6 tempohari.

Sepertimana United, Villa juga kehilangan momentum sejak kebelakangan ini apabila hanya meraih satu mata dalam lima perlawanan. Penyerang mereka, Gabriel Agbonlahor yang belum lahir ketika kali terakhir Villa menang di Old Trafford tampak yakin situasi ini bakal berubah dengan mengambilkira prestasi semasa United. Liverpool bakal memintas United di persada liga jika menewaskan Fulham awal pagi ini namun skuad Ferguson memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Jadual Perlawanan Liga Perdana Inggeris:

Sabtu - 4 Apr 2009

Blackburn Rovers lwn Tottenham Hotspurs
Arsenal Lwn Manchester City
Newcastle United lwn Chelsea
Bolton Wanderers lwn Meddlesbrough
Hull City lwn Portsmouth
West Bromwich lwn Stoke City

Ahad - 7 Apr 2009

Fulham lwn Liverpool
West Ham lwn Sunderland
Everton lwn Wigan Athletic
Manchester United lwn Aston Villa

02 April 2009

Saya Tetap Setia Bersama United



Penyerang antarabangsa England, Wayne Rooney menegaskan beliau ingin kekal di Old Trafford selama yang boleh dan ingin menghabiskan kariernya bersama-sama Red Devils. Rooney menjadikan Ryan Giggs, Paul Scholes dan Gary Neville yang menghabiskan masa lebih sedekad menyarung jersi merah United sebagai sumber inspirasinya. Rooney yang masih mempunyai baki kontrak tiga tahun menegaskan bahawa beliau gembira di Old Trafford dan tiada sebab untuknya meninggalkan pasukan itu. Sejak berpindah dari Everton pada tahun 2004, Rooney menjadi idola penyokong-penyokong United dan menjangkakan akan kekal bersama-sama United untuk tempoh yang panjang. "Saya berharap saya masih bersama United ketika usia saya sama seperti Ryan, Paul dan Gary ketika ini" katanya.

Sementara itu Gary Neville disahkan cergas dan bersedia untuk diturunkan ketika United menerima kunjungan Aston Villa Ahad ini. Pertahanan kanan United itu dilihat hilang sentuhan ketika membantu skuad simpanan United menewaskan Newcastle Isnin lalu setelah sekian lama tidak beraksi akibat kecederaan lutut. Neville berharap dapat diturunkan Ahad ini bagi membantu United kembali ke landasan kemenangan dalam usaha mengekalkan kejuaraan Liga Perdana buat musim ketiga berturut-turut.