30 Mac 2016

PEMAIN YANG DIJANGKA MENINGGALKAN OLD TRAFFORD MUSIM PANAS INI

99.9% saya yakin bahawa ada pengendali baharu yang bakal tiba di Old Trafford musim panas ini bagi menggantikan tempat Louis Van Gaal. Siapa individu tersebut saya tidak pasti kerana ia masih menjadi teka-teki yang sukar dijawab. Rumour tentang siapa pengurus baharu United umpama bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa. Ramai penyokong yang sudah hilang sabar dan berharap Van Gaal segera mengosongkan pejabatnya di Old Trafford penghujung musim ini. Mungkin sahaja Jose Mourinho dilantik menggantikan beliau sepertimana yang digembar-gemburkan atau mungkin ada nama lain yang difikirkan pihak pengurusan lebih layak untuk duduk di kerusi panas selaku pengurus United.  

Jika benar tanggapan media bahawa Mourinho bakal melatih United musim hadapan, pastinya Ed Woodward akan sekali lagi sibuk memburu pemain yang disasarkan The Special One sepanjang jendela perpindahan pemain musim panas nanti. Pengurus baharu bukan sahaja mahukan pemain baharu yang difikirkan sesuai dengan taktikal permainan atau falsafah bolasepak anutan mereka, tetapi kedatangan pengurus baharu juga bakal menyaksikan beberapa pemain sedia ada terpaksa meninggalkan pasukan dan mencari kelab baharu.

Mungkin disebabkan faktor sering dibelenggu kecederaan, tidak lagi efektif, tiada dalam perancangan atau tidak lagi mampu memberikan sumbangan berkesan kepada kelab, pemain-pemain `yang tidak lagi diperlukan’ ini akhirnya terpaksa angkat kaki. Pemain datang dan pergi adalah lumrah dalam dunia bolasepak, dan suka atau tidak saban musim anda terpaksa menyaksikan pemain kegemaran anda meninggalkan kelab dan menyertai pasukan lain disebabkan faktor yang saya sebutkan tadi. Siapakah pemain yang bakal menjadi korban perancangan pengurus baharu United nanti?

Berdasarkan khabar-khabar angin yang bertiup kencang, saya senaraikan enam pemain yang digembar-gemburkan bakal meninggalkan Old Trafford musim panas nanti. Siapakah mereka?

MARCOS ROJO


Sejak ditandatangani Van Gaal musim lalu, Rojo tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa beliau mampu menguasai posisi bek kiri untuk jangkamasa yang panjang. Pada usia yang sudah mencecah 26 tahun, Rojo sepatutnya mampu memainkan peranan penting dalam kesebelasan utama United tetapi itu tidak berlaku selepas hampir dua musim beliau berada di Old Trafford. Beliau kerap melakukan kesilapan-kesilapan mudah di benteng pertahanan dan jika benar Mourinho dilantik menggantikan tempat Van Gaal nanti, Rojo bakal berdepan masalah.

Sebagai seorang pengurus yang begitu mementingkan kekuatan di benteng pertahanan, nama Rojo saya jangka bakal terkeluar dari perancangan Mourinho musim hadapan. Dengan perkhabaran terbaru bahawa beliau ingin kembali semula ke kampung halamannya bagi menyertai Estudiantes yang juga merupakan `cinta pertamanya’, Rojo adalah nama paling atas yang saya jangka bakal meninggalkan Old Trafford sebaik musim ini berakhir.

ANTONIO VALENCIA



Ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Wigan Athletic pada musim panas 2009, Antonio Valencia pada mulanya diharapkan mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo dek kerana kepantasan yang beliau miliki. Kehilangan Ronaldo memang dirasai, tetapi kehadiran Valencia menerusi kepantasan larian-lariannya dari sebelah tepi memberikan harapan bahawa beliau mampu menghadirkan mimpi ngeri buat bek kiri lawan dalam jangkamasa yang panjang.

Dari musim 2009-10 hingga 2012-13, Valencia memang sandaran utama United di posisi sayap kanan tetapi segalanya tampak tidak lagi menyebelahi beliau selepas itu. Musim 2014-15, Valencia menamatkan musim tersebut tanpa menjaringkan sebarang gol meskipun beliau beraksi 32 perlawanan liga untuk United. Masalah kecederaan yang berpanjangan menjejas prestasi Valencia dimana setakat ini beliau hanya beraksi enam perlawanan liga untuk United. Hampir pasti musim panas nanti akan ada nama lain yang bakal dibawa masuk untuk menggantikan tempat beliau.

PHIL JONES


Jones antara pemain kegemaran saya walaupun sejak kebelakangan ini beliau sering dijadikan sasaran kutukan peminat-peminat United. Saya kagum melihat attitude beliau di atas padang serta corak permainan kerasnya. Dan kerana corak permainan beliau yang keras jugalah penyebab utama mengapa Jones sering dilanda kecederaan. Ketika ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Blackburn Rovers pada 2011, Jones dianggap prospek masa depan United dan skuad kebangsaan England.

Pada usia 24 tahun, Jones masih memiliki tempoh yang panjang sebagai pemain dan dengan bakat yang beliau miliki agak malang sekiranya Jones terpaksa bersara di usia muda kerana kecederaan yang sering berulang. Meskipun baru menandatangani kontrak baru musim panas tahun lalu, agak sukar untuk membayangkan kita dapat menyaksikan lagi kelibatnya sebagai pemain United musim hadapan. Musim ini Jones hanya bermain sebanyak 12 perlawanan liga gara-gara kecederaan dan jika beliau mahu mengatasi masalah itu, Jones perlu mengubah corak permainannya.

ADNAN JANUZAJ


Wonderkid ini digembar-gemburkan bakal menjadi bintang besar di Old Trafford suatu hari nanti, tetapi prestasi semasa bersama skuad senior nampaknya tidak langsung menunjukkan tanda-tanda bahawa ramalan ini bakal menjadi kenyataan. Menyinar sebentar ketika era David Moyes selaku pengurus, Januzaj kemudiannya tercari-cari sentuhan sebenar yang pernah menyebabkan ramai pihak melabelkan beliau sebagai `Next George Best’. Musim ini Van Gaal menghantar beliau ke Signal Iduna Park untuk menimba pengalaman selepas gagal merebut tempat dalam skuad utama United tetapi langkah itu juga nampaknya tidak berhasil.

Bersama Borussia Dortmund, Januzaj hanya berjaya tampil sebanyak tiga kali sebagai starter hingga memaksa Van Gaal memanggil beliau kembali ke Old Trafford Januari lalu. Agak malang menyaksikan Januzaj gagal menggunakan sepenuhnya peluang bermain dibawah kendalian Thomas Tuchel, pengendali yang berjaya menjadikan Emerick Aubameyang penggempur digeruni di Bundesliga dan menyebabkan pemergian Jurgen Klopp tidak ditangisi penyokong-penyokong Die Borussen. Jika Januzaj dilepaskan pergi, saya berharap kesilapan sama ketika membiarkan Paul Pogba menyertai Juventus tidak berulang.

MAROUANE FELLAINI


 Ketika David Moyes menandatangani Fella dari Everton pada 2014, ramai penyokong United yang bersorak gembira menyambut kehadiran beliau. Bagaimanapun situasi sekarang sudah berputar 360° buat Fella di mana beliau kini bukan lagi wira tetapi sebaliknya nama yang tidak ingin disaksikan penyokong-penyokong dalam lineup United. Ketika beliau berada di Goodison Park, Fella merupakan pemain yang paling berbahaya dan perlu diawasi setiap kali United berdepan Everton. Bukan mudah menangani pemain yang memiliki fizikal seperti Fella, hinggakan pertahanan kelas dunia seperti Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand pun terpaksa bergelut setiap kali berdepan beliau.

Apa yang menyebabkan Fella sudah tidak lagi ditakuti pertahanan lawan sejak beliau menyertai United? Jawapan paling tepat kepada soalan ini mungkin datangnya dari bekas pemain United sendiri iaitu David May. Menurut May, Fella sebenarnya diletakkan di luar posisinya hingga menjejaskan sumbangan beliau kepada pasukan. Ketika bersama Everton, Fella lebih banyak digunakan bagi membantu serangan berbanding sekarang di mana posisi beliau agak jauh ke belakang. Mungkin ada benarnya pendapat May, tetapi apa yang pasti dengan prestasi dan sumbangan beliau setakat ini, Fella antara yang saya yakin bakal meninggalkan Old Trafford musim panas nanti.

WAYNE ROONEY


Jika mahu menikmati cabaran baharu dan buat duit sebelum bersara, inilah masanya untuk Wazza mengucapkan selamat tinggal kepada para Stretford Enders selepas 12 tahun menyarung jersi United. Sebelum ini pun, ada berita yang menyebut bahawa kelab-kelab kaya dari Liga Super China sedia menjadikan Wazza pemain yang menerima gaji paling mahal di dunia asalkan beliau sanggup beraksi di negara Tembok Besar itu. Melihat kepada prestasi, sumbangan dan statistik jaringannya yang semakin menurun, sukar untuk melihat Wazza terus kekal di Old Trafford musim hadapan walaupun beliau masih lagi dianggap tonggak kelab.

Kehadiran bintang penyerang muda seperti Marcus Rashford serta Anthony Martial juga seolah-olah petanda bahawa masa keemasan Wazza bersama United kian berada di penghujung. Pada usia yang bakal mencecah 31 tahun Oktober nanti, Wazza bukan lagi penyerang yang sama seperti lima atau enam tahun yang lalu. Dan ketika usia semakin menghambat kariernya, kita terpaksa mengakui bahawa United perlukan nafas baharu yang lebih segar untuk menerajui jentera serangan mereka. Wazza jenis pemain yang tidak gembira memegang watak pembantu atau sekadar memanaskan bangku simpanan, jadi jalan terbaik buat beliau ialah mencari kelab baharu yang mampu menawarkan tempat buatnya selaku watak utama.

GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!! - AJ

23 Mac 2016

KENALI LAGENDA: STEVE BRUCE

Steve Bruce mungkin nama tidak terkenal seperti David Beckham ataupun Cristiano Ronaldo tetapi jangan lupakan bahawa beliau merupakan salah seorang pemain dari generasi kebangkitan semula Manchester United di era 90’an. Dilahirkan pada 31 Disember 1960, Bruce yang kini bertugas selaku pengendali Hull City memulakan karier bolasepaknya bersama Gillingham sebelum menyertai Norwich City pada musim panas 1984. Jika bercakap tentang Bruce, ramai yang mengingati beliau sebagai kapten United pertama yang berjaya menjulang kejuaraan liga buat kali pertama dalam tempoh 26 tahun pada musim 1992-93.

Bagaimanapun mungkin juga ramai yang tidak sedar bahawa Bruce hampir sahaja berhenti bermain bolasepak selepas tidak menerima mana-mana tawaran hinggalah Gllingham datang dengan tawaran kontrak di mana beliau kemudiannya menghabiskan tempoh selama lima tahun di Priestfield dan bermain lebih 200 perlawanan. Walaupun pada usia remaja Bruce bergelut mencari kelab yang mampu memberikan peluang buat beliau memperagakan bakatnya, tawaran Manchester United pada musim panas 1987 memang tidak dijangka dan tidak mampu untuk ditolak.

Walaupun ketika itu The Red Devils sentiasa dibayangi dominasi Liverpool, Arsenal, Everton dan Tottenham Hotspurs di pentas domestik, peluang menyertai kelab yang memiliki tradisi dan sejarah gemilang seperti Manchester United memang tidak harus dilepaskan. Debut Bruce untuk United berlaku pada 19 Disember 1987 ketika menentang Portsmouth di mana skuad Sir Alex Ferguson menang 2-1 dalam perlawanan itu. Bruce mengharungi musim 1987-88 dengan beraksi sebanyak 21 perlawanan dan berjaya membantu kelab menduduki tangga kedua liga yang juga merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh lapan tahun.

Di Old Trafford, Bruce muncul antara tonggak penting buat barisan Sir Alex Ferguson dan bersama Gary Pallister beliau membentuk antara gandingan bek tengah terbaik pernah disaksikan dalam sejarah kelab. Bermula dengan kejayaan menjulang Piala FA pada 1990, Bruce kemudiannya berjaya mengumpul 12 medal kejuaraan bersama United sepanjang sembilan tahun beliau menyarung jersi United. Meskipun cemerlang di peringkat kelab, anehnya Bruce tidak pernah dipanggil menyarung jersi kebangsaan England dan pencapaian tertinggi beliau di pentas antarabangsa sekadar 1 caps untuk skuad England B.

Musim 1991-92, Bruce terpaksa berehat selama beberapa bulan kerana menjalani pembedahan hernia hingga menjejaskan pemburuan kejuaraan liga United. Di akhir musim, United tewas dalam perlumbaan merebut kejuaraan kepada Leeds United yang ketika itu diperkuatkan Eric Cantona menerusi perbezaan hanya empat mata. Musim 1992-93, kemaraan United nyata sukar dibendung dan dengan kehadiran Eric Cantona, The Red Devils kendalian Sir Alex Ferguson akhirnya berjaya menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga mereka. Musim tersebut juga menyaksikan Bruce dilantik sebagai ketua pasukan selepas Bryan Robson berehat hampir separuh musim akibat kecederaan.

Dua gol yang dijaringkan Bruce menerusi tandukan ketika pertemuan menentang Sheffield Wednesday pada 10 April 1993 akan sentiasa dikenang penyokong-penyokong United sampai bila-bila. Kerana gol itulah United berjaya mengesahkan kejuaraan liga mereka sekaligus mengetepikan cabaran Aston Vila di tangga kedua. Bruce kemudiannya melakar sejarah baru buat dirinya apabila berjaya menjulang kejuaraan double pada musim 1993-94. Kejayaan menjulang kejuaraan liga dan Piala FA itu menyaksikan beliau muncul warga Inggeris pertama selepas Sir Bobby Charlton yang berjaya menjulang kejuaraan double sebagai kapten pasukan.

Reputasi Bruce bersama United menarik minat Jack Charlton selaku pengurus skuad Republik Ireland ketika itu untuk menawarkan beliau tempat dalam skuadnya. Bruce bagaimanapun terpaksa menolak dari mewakili negara kelahiran ibunya itu disebabkan peraturan kuota pemain asing di Liga Perdana (sebelum wujudnya Peraturan Bosman) yang boleh memberikan masakah kepada United dalam liga domestic dan hal ini didedahkan beliau dalam autobiografinya. Bruce terlepas aksi final Piala FA 1996 menentang Liverpool akibat kecederaan yang menyaksikan Eric Cantona mengetuai The Red Devils menjulang kejuaraan tersebut menerusi jaringan dramatik dimasa tambahan.

Pada usia 35 tahun, karier Bruce di Old Trafford berakhir apabila beliau memilih untuk menyertai Birmingham City pada musim panas 1996 meskipun masih memiliki baki setahun kontrak bersama United. Sepanjang kariernya sebagai pemain, Bruce memang cukup dikenali sebagai seorang pemain pertahanan yang keras tetapi tenang. Kemampuan menyerap tekanan dan memberikan motivasi kepada rakan-rakan sepasukan di atas padang menyebabkan Sir Alex tanpa ragu menyerahkan armband ketua pasukan kepada beliau selepas Bryan Robson meninggalkan kelab.

Sebagai pemain pertahanan tengah, kemampuan Bruce dalam menjaringkan gol juga cukup mengagumkan. Dari 309 aksi liganya untuk United, Bruce berjaya menjaringkan 36 gol, angka yang cukup banyak buat seorang pemain pertahanan seperti beliau. Dan sudah tentu seperti yang saya katakan tadi, dua gol beliau menerusi tandukan ke gawang Sheffield Wednesday pada 10 April 1993 pastinya antara momen yang tidak akan pernah saya lupakan jika bercakap tentang individu bernama Stephen Roger Bruce ini. Bermula pada 1987 dan berakhir pada 1996, tanpa ragu Bruce bukan sahaja antara bek tengah terbaik pernah saya saksikan menyarung jersi United, tetapi juga pemimpin sejati menerusi keterampilannya di atas padang.

21 Mac 2016

MAAF THE CITIZEN, KALI INI MANCHESTER BERWARNA MERAH

Akhirnya ada juga sesuatu yang boleh membuatkan saya tersenyum dan cerita untuk ditulis dalam menghadapi minggu baharu. Ya, apa lagi yang boleh membuatkan kita (penyokong-penyokong Manchester United) tersenyum melainkan selepas menyaksikan anak-anak buah Louis Van Gaal menewaskan `jiran kita yang bising’ itu 1-0 pada aksi liga di gelanggang lawan awal pagi tadi. Selepas bungkam disingkir Liverpool dalam saingan Liga Europa minggu lalu, kemenangan keatas City ini sekurang-kurangnya kembali menghidupkan sisa harapan untuk menyaksikan United berjuang di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan.

Terima kasih juga kepada anak muda bernama Marcus Rashford, penjaring tunggal dalam perlawanan ini yang membolehkan United merapatkan kedudukan di kelompok empat teratas. Meskipun menduduki tangga keenam liga, kemenangan ini membolehkan United mengumpul 50 mata dan kini hanya ketinggalan satu mata berbanding City yang berada di tangga keempat liga. Sebelum perlawanan, Louis Van Gaal mengatakan perlawanan ini bakal menentukan survival skuadnya dalam misi merebut salah satu slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan dan mujurlah tiga mata berjaya di bawa pulang dari gelanggang lawan.

Sebelum perlawanan juga Van Gaal mengakui bahawa beliau sibuk menganalisis prestasi Eliaquim Mangala dan Martin Demichelis, dua pemain yang digunakan Manuel Pellegrini bagi membarisi benteng tengah City awal pagi tadi. Nyata kerja rumah yang dilakukan Van Gaal akhirnya membuahkan hasil apabila strategi beliau yang mahukan barisan hadapannya memberikan tekanan kepada Mangala dan Demichelis membolehkan Rashford menembusi gawang lawan diminit ke-16. Saya akui Demichelis merupakan pemain yang cukup berpengalaman dan pernah muncul antara bek tengah terbaik di dunia, namun pada usia 35 tahun beliau terlalu perlahan untuk menangani pemain muda seperti Rashford.

Tanpa kelibat kapten berpengaruh mereka, Vincent Kompany dan rakan gandingannya Nicolas Otamendi, Pellegrini memang berhadapan masalah di barisan belakang skuadnya dan kelemahan itulah yang berjaya dimanfaatkan United di babak pertama. City yang dihadapi United awal pagi tadi tidak setanding dengan skuad kendalian Roberto Mancini yang pernah menjulang kejuaraan liga pada musim 2011/12. City hilang kreativiti di bahagian tengah namun diimbangi dengan kemampuan pemain-pemain mereka dalam melakukan tekanan ketika bola berada di kaki lawan.

Kelibat Yaya Toure yang juga merupakan simbol kekuatan City di bahagian tengah selama ini seperti berseorangan, malah beliau lebih banyak turun membantu bahagian belakang berbanding mengatur serangan sepertimana kebiasaannya. Hal ini memberikan kelebihan besar buat barisan tengah United dalam memainkan falsafah possession football anutan Van Gaal, ditambah pula dengan kurangnya tekanan yang diberikan Sergio Aguero, Jesus Navas dan David Silva terutama di babak pertama. Buruknya prestasi pemain tengah dan belakang City menyebabkan barisan hadapan United tampak seperti cukup berbahaya di awal 45 minit perlawanan.

Bagaimanapun mungin disebabkan faktor kepenatan kerana tiga hari sebelumnya terpaksa berdepan Liverpool di pentas Liga Europa, United kembali kepada `penyakit lama’ mereka di babak kedua. Mudah hilang bola, melakukan hantaran sesama sendiri tanpa ada keinginan untuk melakukan serangan dan umpanan-umpanan kepada barisan serangan yang sering tersasar menyaksikan City kembali menguasai permainan. Mujurlah kecekalan dan kerjasama ketika bertahan membolehkan United mengekalkan kelebihan satu gol milik mereka sekaligus membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Etihad.

Saya memang gembira menyaksikan kejayaan getir United menewaskan City di gelanggang lawan tetapi saya juga perlu sedar tiada apa yang istimewanya dalam permainan United kecuali fakta bahawa Rashford muncul penjaring termuda dalam sejarah Manchester Derby. Di babak pertama terutamanya, Rasford, Anthony Martial dan Jesse Lingard tampak cukup berbahaya tetapi harus juga diingat bahawa City turun tanpa kelibat Kompany dan Otamendi, dua pemain yang memberikan pengaruh besar di barisan belakang skuad Pellegrini. Gandingan Daley Blind dan Chris Smalling pula sering menghadirkan rasa cemas kepada kita hingga menyebabkan jantung sentiasa berdegup kencang setiap kali bola berada di kaki Aguero.

`Ketidak istimewaan’ United dalam perlawanan awal pagi tadi boleh dilihat dalam cara mereka membangunkan serangan. `Penyakit’ United di era Van Gaal jelas terlihat pada corak permainan bertukar-tukar hantaran sesama sendiri yang terlalu lama hingga membolehkan pemain-pemain City memiliki masa yang jauh lebih cukup untuk turun ke kawasan sendiri dan menyusun pertahanan mereka. United menang perlawanan ini kerana berjaya menjaringkan gol awal, manakala lawan pula kemudiannya bergelut mencari gol penyamaan. Keberuntungan United boleh anda lihat menerusi statistik perlawanan di mana anak-anak buah Van Gaal hanya melepaskan lima percubaan berbanding 26 oleh City.

Dari 26 percubaan yang dilepaskan City ke arah David De Gea, hanya tiga menepati sasaran berbanding United yang mencatatkan empat on target dari lima percubaan mereka. Jadi selepas melihat statistik di atas, memang wajarlah anda merasakan tempoh enam minit masa tambahan begitu panjang dan kemudiannya bertukar lega sebaik Michael Oliver meniupkan wisel penamat. Manchester Derby kali ini memang tidak sepanas aksi pada Januari 2012 atau ketika United menelan kekalahan besar 1-6 kepada jiran mereka itu pada Oktober 2011. Tetapi suatu yang boleh anda pelajari dari perlawanan ini ialah bagaimana sekelompok anak muda mengajar lawan veteran mereka erti kepantasan. Maaf City, kali ini kota Manchester berwarna merah….Glory Glory Manchester United!!! – AJ