27 Julai 2019

DEBUT NICK CULKIN DAN REKOD BELIAU YANG BELUM LAGI DIPECAHKAN



Beberapa hari lalu ketika sedang berehat di rumah sambil menonton televisyen, saya berkesempatan menyaksikan perlawanan klasik antara Manchester United dan Arsenal yang disiarkan di saluran 831 Astro dalam segmen Premier League Flashback. Meskipun sempat ketinggalan menerusi gol jaringan Frederick Ljungberg, United akhirnya pulang dari Highbury dengan tiga mata penuh selepas Roy Keane meledak dua gol di babak kedua.

Ketika perseteruan antara United dan Arsenal sedang memanas, aksi yang dilangsungkan pada 22 Ogos 1999 itu turut diwarnai dengan beberapa aksi tegang, kekasaran demi kekasaran dan pastinya tidak lengkap tanpa percakaran antara Roy Keane dan Patrick Vieira. Bagaimanapun, momen paling menarik berlaku di penghujung perlawanan tatkala kekasaran yang dilakukan Martin Keown ke atas Raymond Van der Gouw memaksa penjaga gol United itu diusung keluar padang.

Hilang khidmat penjaga gol utama ketika Arsenal sedang mengasak hebat dalam usaha mereka mendapatkan gol penyamaan pastinya sangat mencemaskan. Di bangku simpanan skuadnya pula, Sir Alex Ferguson tidak memiliki pilihan lain kecuali menurunkan Nick Culkin sebagai pengganti pada baki masa perlawanan yang masih ada. Melihat kelibat Culkin di kaca televisyen, saya tertanya-tanya siapakah sebenarnya beliau kerana secara peribadi saya memang tidak pernah mendengar nama pemain ini.

Penampilan Pertama Dan Terakhir

Culkin berpindah ke Old Trafford pada September 1995 dari York City dengan nilai perpindahan sebanyak £100 ribu.  Pada usia 17 tahun ketika itu, pastinya Culkin akan bermula dari sistem pembangunan remaja United terlebih dahulu sebelum beliau layak menyertai skuad senior. Selepas dua musim berada di akademi, Culkin akhirnya diberikan peluang tampil bersama skuad utama ketika United melakukan persiapan pra musim (1997/98) di Scandinavia.

Selepas menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun pada Mei 1999, detik yang ditunggu-tunggu Culkin untuk melakukan penampilan pertama dalam saingan kompetitif bersama skuad senior akhirnya hadir tiga bulan selepas itu. Kecederaan yang dialami Van der Gouw pada aksi menentang Arsenal di Highbury itu akhirnya membuka peluang buat Culkin memperagakan bakatnya sebagai prospek penjaga gawang masa depan United.

Pada usia 21 tahun ketika itu, Culkin diarahkan Fergie untuk segera masuk ke padang menggantikan Van der Gouw walaupun beliau tidak sempat melakukan warming up. Culkin berlari menuju ke arah pintu gol, kemudiannya mengambil tendangan percuma dan hanya beberapa saat selepas itu Graham Poll meniup wisel penamat menandakan bahawa perlawanan tersebut sudah pun berakhir.

Menghitung dari saat Culkin masuk ke padang hinggalah ke detik Poll meniup wisel penamat perlawanan, beliau sebenarnya cuma bermain selama 30 saat pada penampilan pertamanya dalam saingan Liga Perdana untuk United. Dan siapa menyangka kerana aksi di Highbury itu jugalah buat kali pertama dan terakhir penyokong-penyokong United dapat melihat kelibat beliau, kerana selepas itu Culkin tidak lagi tersenarai dalam skuad utama.

Kehadiran Massimo Taibi selepas itu sebenarnya turut menutup terus peluang Culkin untuk tampil dalam kesebelasan United kerana beliau hanyalah pilihan keempat di belakang Van der Gouw, Mark Bosnich dan Taibi. Sejak melakukan debut `ikonik’ tersebut, Culkin bukan sahaja tidak lagi pernah bermain untuk United tetapi itu juga merupakan penampilan pertama dan terakhirnya di Liga Perdana, sekaligus muncul pemain yang melakukan penampilan paling singkat di kasta tertinggi liga Inggeris itu.

Catatan Clean Sheet

Meskipun debut singkat beliau bersama United menjadi bahan jenaka ramai pihak namun Culkin tetap berbangga dan melihat hal tersebut dari sudut positif. Menurut Culkin, meskipun penampilan yang dilakukannya tidak sampai seminit namun beliau merasakan suasana di Highbury ketika itu umpama final Liga Juara-Juara. Paling penting menurut Culkin, beliau berjaya melakukan catatan clean sheet dan melaksanakan arahan yang diberikan dengan baik.

“Ketika Rai (Van der Gouw) cedera, saya melihat Rob Swire (fisioterapi pasukan) memberikan isyarat agar saya segera menanggalkan vest. Manakala pengurus pula berkata, “Nick, kamu akan bermain”. Saya agak terkejut dan terfikir, wah!!! Nick Culkin bermain menentang Arsenal?”, imbas Culkin tentang momen tersebut. Menurut Culkin lagi, sebelum masuk ke padang, Steve McClaren (pembantu Fergie) juga mengarahkan beliau agar melakukan tendangan terus ke arah Sylvinho.

“Tiada sesi memanaskan badan tetapi Steve McClaren sempat memberikan arahan agar saya menendang bola terus ke arah kepala Sylvinho. Ok, saya tiada masalah untuk melakukannya. Ketika mahu melakukan tendangan, Henning Berg datang dan menawarkan diri untuk melakukan tendangan bebas tersebut kerana dia merasakan bahawa saya belum bersedia disebabkan tidak sempat melakukan warming up.”

“Saya menolak tawaran Berg kerana tendangan bebas itu merupakan satu peluang yang saya tidak mahu lepaskan. Di belakang, saya mendengar cacian dari penyokong Arsenal serta lemparan syiling yang ditujukan kepada saya, namun hal itu tidak menganggu tumpuan saya untuk melakukan tendangan bebas itu. Saya melakukannya dengan menendang tepat di atas kepala Sylvinho seperti yang Steve arahkan. Selepas itu perlawanan pun berakhir”.

“Saya merasakan seperti memenangi Piala Dunia. Kami baru sahaja mengalahkan Arsenal, dan saya juga melakukan clean sheet. Meskipun Arsenal berjaya menjaringkan satu gol tetapi ketika saya masuk menggantikan Rai, saya tidak dibolosi. Saya menerima bonus berjumlah £1,100 kerana clean sheet tersebut dan kemenangan yang berjaya diraih. Saya masih ingat yang Sir Bobby Charlton tertawa dengan rekod saya ini”, kata Culkin.

Harapan Tak Kesampaian

Mana-mana pemain pastinya memasang impian bermain untuk kelab besar serta beraksi di peringkat tertinggi dalam karier mereka, dan Culkin juga tidak terkecuali. Selepas aksi menentang Arsenal, beliau berharap agar diberikan kesempatan untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama United, tetapi Van der Gouw pulih dalam masa yang singkat dan kembali beraksi hanya seminggu selepas insiden di Highbury.

Culkin menghabiskan sisa kariernya di Old Trafford selepas itu dengan bermain untuk Hull City, Bristol Rovers dan Livingston sebagai pemain pinjaman. Pada 2002, beliau kemudiannya menyertai Queens Park Rangers secara tetap dan kekal di Loftus Road selama tiga musim sebelum mengumumkan persaraan kerana masalah kecederaan lutut yang serius.

Lima tahun selepas itu (2010), Culkin keluar dari persaraan dan kali ini beliau memilih bermain di liga bawahan dengan menyertai Radcliffe Borough, kelab yang beraksi di Northern Premier League (liga yang berada di tangga ketujuh dalam hierarki bolasepak Inggeris). Dua musim bersama Radcliffe Borough, Culkin berpindah ke Prescot Cables pula, manakala FC United of Manchester merupakan kelab terakhir yang diwakilinya.

Tiga medal naib juara (dua Charity Shield dan satu UEFA Super Cup) yang berjaya diraih beliau ketika tersenarai sebagai pemain simpanan United pula merupakan pencapaian tertinggi Culkin sepanjang karier profesionalnya. Meskipun rekodnya sering dijadikan bahan jenaka, Culkin pula sebaliknya berbangga kerana pernah menyarung jersi United dan beraksi di pentas Liga Perdana biarpun untuk tempoh selama 30 saat.

Rasa Bangga

Mungkin bagi sesetengah pihak, rekod penampilan singkat itu sebagai memalukan tetapi tidak bagi Culkin. “Saya memiliki dua catatan yang tidak mampu diatasi, iaitu karier yang singkat untuk United dan Liga Perdana. Bagaimanapun saya sedikit emosi kerana saya berbangga dengan pencapaian tersebut. Mereka boleh tertawa tetapi ada berjuta penyokong United yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat bermain untuk kelab ini. Memang saya bermain untuk beberapa saat, tetapi saya mengharungi perjalanan yang sukar untuk sampai ke sana”, tambah Culkin lagi.

30 saat adalah tempoh yang sangat singkat tetapi sudah cukup membuatkan beliau rasa bahagia dan bangga dengan pencapaian yang dilakukannya. Rekod penampilan singkat itu mungkin sesuatu yang memalukan bagi sesetengah pihak, tetapi tempoh 30 saat itu bagi Culkin membuatkan beliau merasakan seolah-olah sudah memenangi kejuaraan besar untuk United. Rekod jaringan atau penampilan terbanyak pasti menjadi buruan mana-mana pemain untuk dipecahkan tetapi saya pasti tiada siapa yang mahu memadam rekod penampilan paling singkat milik Culkin ini.

Pada era 90an, ketika akses untuk menonton siaran secara langsung perlawanan-perlawanan Liga Perdana tidak seluas sekarang, anda mungkin tidak menyedari bahawa United sebenarnya pernah memiliki penjaga gol bernama Nick Culkin, biarpun beliau hanya berpeluang mengawal gawang The Red Devils selama 30 saat. Rekod penampilan singkat yang dicipta Culkin itu sudahpun bertahan selama 20 tahun, dan ada kemungkinan juga ia akan terus bertahan serta tidak mampu dipecahkan oleh mana-mana pemain United selepas ini. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

24 Julai 2019

MENGHARAPKAN KEAJAIBAN DARI SEPASANG KAKI MASON GREENWOOD



Pada mulanya nama Mason Greenwood antara yang disenaraikan untuk dipinjamkan ke kelab lain bagi menimba pengalaman dan memastikan beliau memperolehi minit permainan yang lebih banyak. Bagaimanapun selepas menyaksikan penampilan beliau dalam aksi pra musim United, Ole Gunnar Solskjaer akhirnya berubah fikiran dan kini memiliki rancangan lain untuk pemain berusia 17 tahun itu. Malah tanpa berselindung Solskjaer mengatakan bahawa Mason berpeluang diturunkan dalam aksi pertama liga menentang Chelsea nanti.

Dalam kempen pra musim di Australia, Mason menjaringkan gol pertama ketika skuad kendalian Solskjaer berdepan Leeds United (United menang 4-0) manakala di Singapura pula, beliau menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika United menewaskan Inter Milan dalam aksi International Club Championships. Meskipun ini cumalah aksi pra musim, namun dua gol yang dijaringkan Mason menjadikan beliau pemain United paling mencuri tumpuan dalam kempen pra musim kali ini.

Sensasi Masa Depan?

Gol yang dihasilkannya ketika berdepan Leeds tempohari sangat menarik perhatian. Cara Mason menyudahkan hantaran dari Aaron Wan-Bissaka itu mungkin agak mudah tetapi apa yang patut anda perhatikan ialah naluri pembunuh beliau ketika berada dalam petak penalti lawan dan bagaimana Mason meletakkan dirinya dalam kedudukan yang tepat sebelum hantaran tersebut berjaya disudahkan ke gawang lawan.

Bagi seorang penyerang yang sudah bertahun-tahun bermain di tahap tertinggi, gerakan dan jaringan seperti itu pastinya sangat lazim anda saksikan, tetapi bukan untuk seorang remaja yang baru berusia 17 tahun. Mason berjaya membaca skema gerakan yang sedang dibangunkan rakan-rakan sepasukannya, kemudian memilih posisi yang tepat di antara pertahanan lawan dan akhirnya mudah menolak bola masuk menewaskan Kiko Casilla.

Diusia yang masih `hijau’ kepintaran seorang striker sudah terlihat dalam diri Mason dan hal tersebut turut diakui Solskjaer. “Kami sangat gembira dengan golnya. Sangat penting untuk seorang penyerang menjaringkan gol. Kami tahu dia mampu melakukannya, tetapi apa yang lebih penting gol itu bakal meringankan tekanan yang dipikulnya. Pergerakan dan kepintarannya akan menjadikan dia pemain yang bagus”, kata Solskjaer selepas aksi menentang Leeds.

Naluri Solskjaer

Selaku individu yang pernah membarisi jentera serangan dan sukses menjaringkan 91 gol untuk United ketika eranya sebagai pemain, Solskjaer sudah tentu memiliki deria rasa yang cukup kuat terhadap bakat muda seperti Mason. Jadi tidak hairanlah mengapa hanya tiga bulan selepas ketibaan Solskjaer di Old Trafford, beliau memberikan penampilan pertama buat Mason bersama skuad senior. Detik tersebut hadir ketika United berdepan Paris St Germain dalam aksi kedua pusingan kalah mati Liga Juara-Juara yang dilangsungkan di Parc des Princes, 7 Mac lalu.

Pada usia 17 tahun dan 156 hari, penampilan selama tiga minit Mason di Parc des Princes menyaksikan beliau muncul pemain kedua paling muda dalam sejarah kelab (selepas Norman Whiteside) yang melakukan debut dalam saingan di peringkat Eropah. Manakala di era Liga Juara-Juara pula, Mason muncul pemain termuda United yang melakukan penampilan dalam saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu. Tiga hari selepas aksi menentang PSG, Mason diberikan peluang melakukan debut-nya dalam saingan Liga Perdana pula, kali ini ketika United berdepan Arsenal di Stadium Emirates.

Terbaik Dalam Kelasnya

Goal International melabelkan Mason sebagai pemain muda terbaik yang dimiliki United, malah mereka juga meletakkan beliau di tangga ke-16 dalam senarai pemain muda terbaik dunia. Apa yang menyebabkan Mason diberikan pengiktirafan sebegitu rupa? Mason adalah penjaring gol `tulen’, sekurang-kurangnya itulah yang sudah beliau perlihatkan sekarang. Gol yang dihasilkan beliau ketika berdepan Leeds dan Inter adalah contoh terbaik bagaimana seorang penyerang hebat menterjemahkan peluang kepada jaringan gol menerusi satu sentuhan mudah.

Adalah agak keterlaluan jika mahu membandingkan Mason dengan penyerang-penyerang handalan dunia ketika ini kerana perjalanan beliau masih terlalu jauh. Bagaimanapun United beruntung kerana akademi mereka masih tidak ketandusan dalam menghasilkan produk-produk berkualiti, dan Mason adalah di antaranya. Versatility dalam permainannya menjadi bonus tambahan buat Mason dan hal tersebut turut diakui Solskjaer. “Dia boleh bermain di empat posisi di barisan serangan. Dia selalu berada di depan untuk menjaringkan gol atau mencipta peluang”, kata Solskjaer.

Versatility Mason sebagai pemain sebenarnya sudah diasah sejak beliau berada di dalam akademi lagi. Di akademi, posisi sebagai pemain tengah menyerang bukanlah asing buat beliau di tambah pula dengan kemampuan Mason menggunakan kedua-dua belah kakinya dengan baik. Kemampuan Mason memaksimumkan potensi kedua-dua belah kakinya turut diakui bekas pemain United, Clayton Blackmore. “Menyaksikan dia mengambil sepakan percuma dan penalti menggunakan kaki kiri adalah perkara biasa meskipun dia bukanlah pemain kidal”, kata Blackmore.

Tepat Pada Masanya

Ketika masa depan Romelu Lukaku masih menjadi tanda tanya, dan ketika tiada tanda-tanda bahawa United bakal menandatangani penyerang baharu jika Lukaku dibenarkan menyertai Inter Milan, kehadiran Mason menerusi prestasi terpuji yang dipamerkan beliau di Australia dan Singapura datang tepat pada waktunya. Mason tidak akan mengepalai jentera serangan United musim depan hanya disebabkan prestasi terpuji yang dipamerkan beliau dalam kempen pra musim kali ini, tetapi kehadiran pemain kelahiran Yorkshire ini bakal memberikan opsyen tambahan kepada Solskjaer di barisan hadapan skuadnya.

Menyaksikan statistik jaringan beliau untuk skuad remaja United musim lalu (30 gol dari 29 penampilan), taraf Mason nampaknya sudah jauh melangkaui rakan-rakan seangkatannya. Dan selepas menyaksikan prestasi beliau dalam kempen pra musim kali ini, ramai pihak berpendapat bahawa musim depan adalah detik yang tepat untuk pemain muda ini menikmati penampilan lebih banyak dalam saingan Liga Perdana. Bagaimanapun dalam masa yang sama kita perlu bersikap realistik dan adil terhadap beliau kerana saingan Liga Perdana tentunya sangat jauh berbeza berbanding aksi di peringkat remaja.

Keberadaan Mason nampaknya membuatkan Solskjaer kekal tenang meskipun beliau berdepan kemungkinan kehilangan khidmat Lukaku bagi menghadapi cabaran musim depan. Pendekatan Solskjaer terhadap bakat-bakat muda juga bakal membolehkan anda menyaksikan pemain-pemain seperti Mason, Tahith Chong dan Axel Tuanzebe menikmati minit permainan lebih banyak di Liga Perdana. Tiga minit aksi di Parc des Princes cumalah langkah permulaan Mason, dan untuk musim depan, bersedialah menyambut kehadiran `penggempur masa depan’ United ini kerana anda mungkin dapat menyaksikan lebih banyak keajaiban yang hadir menerusi kedua-dua belah kakinya. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

20 Julai 2019

KETIKA SOLSKJAER MENGINGINKAN BRYAN ROBSON



Menamatkan saingan liga di posisi keenam, gagal memenangi sebarang trofi dan terlepas aksi Liga Juara-Juara musim depan boleh dianggap sebagai kegagalan secara `total’ barisan Manchester United kendalian Ole Gunnar Solskjaer musim lalu. Bagaimanapun dalam masa yang sama adalah tidak adil untuk meletakkan kegagalan tersebut di bahu Solskjaer memandangkan beliau hanya mengambilalih pasukan ketika saingan liga sudah hampir memasuki fasa kedua.

Musim hadapan bakal menjadi musim yang sangat penting buat Solskjaer dalam menentukan hala tuju skuad kendaliannya. Segala usaha dan kerja keras beliau akan mula dinilai sebaik United memulakan aksi pertama mereka menentang Chelsea dalam saingan liga. Bagi memperkuatkan pasukan, Solskjaer sudah membawa masuk dua muka baharu setakat ini (Daniel James dan Aaron Wan-Bissaka), selain kemungkinan akan ada dua atau tiga lagi pembelian yang bakal menyusul.

Harry Maguire, Sean Longstaff dan Bruno Fernandes antara nama yang sering disebut-sebut berada dalam radar buruan Solskjaer tetapi hingga kini penyokong-penyokong United masih menanti apakah kesudahan rumours yang membabitkan masa depan tiga pemain ini. Ketika kita masih menanti siapakah nama terbaharu yang bakal ditandatangani kelab, nun jauh di `benua kecil’ Australia, secara tiba-tiba nama Bryan Robson terpacul dari mulut Solskjaer.

Tidak mungkin Robson (atau lebih dikenali dengan Robbo) akan melakukan comeback sebagai pemain memandangkan usia beliau kini sudahpun mencecah 62 tahun. Jadi mengapa nama Robbo tiba-tiba muncul dalam ingatan Solskjaer? Di awal era 80an hingga awal era 90an, terdapat seorang pemain yang sangat berpengaruh dalam skuad United dan beliau yang saya maksudkan ialah Robbo. Dan atas sebab itulah mengapa Solskjaer merasakan bahawa beliau perlukan seorang pemain seperti Robbo dalam skuadnya.

Dia Yang Mengubah Persepsi Fergie

Solskjaer menyertai United pada tahun 1996, iaitu dua tahun selepas Robbo meninggalkan Old Trafford. Beliau tidak sempat bermain dalam satu pasukan bersama Robbo, tetapi Solskjaer tahu betapa pentingnya sumbangan dan peranan yang dimainkan legenda itu untuk United. Pemain yang memakai armband ketua pasukan paling lama dalam sejarah United itu adalah sosok paling menonjol ketika kelab berdepan zaman suram hinggalah kejayaan mereka menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga pada 1993.

Ketika di St Mirren, Aberdeen dan skuad kebangsaan Scotland, Sir Alex Ferguson percaya bahawa tiada mana-mana pemain boleh dilabel sebagai `one man team’ dan menganggap idea tersebut sebagai mengarut. Bagaimanapun persepsi Fergie akhirnya berubah selepas ketibaan beliau di Old Trafford selaku pengganti posisi Ron Atkinson. Ya...dalam skuad United ketika itu beliau menemui Robbo, salah seorang anggota Magnificent 7 yang akhirnya berjaya mengubah persepsi Fergie terhadap istilah `one man team’.

Robbo yang mengawal bahagian tengah United selama 13 tahun itu melakukan 461 penampilan dan berjaya menjaringkan 99 gol. Dalam koleksi medal kejuaraan yang berjaya beliau menangi pula, Robbo sukses menjulang dua kejuaraan liga, tiga kejuaraan Piala FA, dua kejuaraan Charity Shield, satu kejuaraan Cup Winners Cup dan satu kejuaraan European Super Cup. Bersama skuad The Three Lions pula, Robbo berjaya mengumpul 90 caps dan menjaringkan 26 gol.

“Tidak boleh disangkal lagi bahawa Robson berperanan lebih dari pemain lain di atas padang. Semasa saya tiba (di Old Trafford), ada perasaan di mana kemenangan atau kekalahan pasukan benar-benar bergantung sama ada dia bermain atau tidak”, tulis Fergie dalam autobiografinya, Managing My Life. Sukar sebenarnya memaksa seorang individu se`ego’ Fergie menerima realiti tersebut, tetapi untuk seorang pemain dan pemimpin yang fenomenal seperti Robbo, beliau terpaksa memberikan pengecualian.

Captain Marvel Sebenar

Bukan Eric Cantona, bukan Roy Keane, bukan Gary Neville dan bukan juga Wayne Rooney tetapicaptain marvel sebenar untuk United ialah Bryan Robson. Dan label sebagai captain marvel ini sebenarnya sangat identitik bila anda bercakap tentang Robbo. Robbo bukan hanya hebat sebagai kapten pasukan kerana gaya kepimpinannya, tetapi beliau juga terkenal sebagai pemain tengah yang hebat kerana kemampuannya di atas padang.

Memiliki stamina tidak terbatas hingga membolehkan beliau menjelajah ke segenap penjuru padang, digeruni lawan kerana terjahan-terjahan keras tetapi bijak yang dilakukannya, kemampuan melakukan hantaran-hantaran tepat menerusi kedua-dua belah kakinya, kuat dalam perebutan bola tinggi serta dianugerahkan dengan naluri pembunuh ketika berada dalam petak penalti lawan melengkapkan lagi ciri permainan Robbo sebagai midfielder handalan.

“Dia mampu mengawal permainan dengan baik, memiliki terjahan yang bagus, tenaga yang luar biasa serta umpanan-umpanan yang berkualiti. Kombinasi antara stamina dan kemampuan membaca permainan menjadikan dia mampu melakukan pergerakan-pergerakan merbahaya dari bahagian tengah padang ke petak penalti lawan serta menjaringkan gol-gol penting. Kekuatan mentalnya juga sangat bagus”, tambah Fergie lagi.

Penampilan Di Pentas Eropah

Ketika United berdepan tempoh suram sejak persaraan Sir Matt Busby, mereka masih mampu mara hingga ke peringkat separuh akhir kejohanan Eropah. Pada musim 1983/84, United menyingkirkan wakil Bulgaria, Spartak Varna di pusingan kedua saingan European Cup Winners Cup untuk mara ke peringkat suku akhir. Di peringkat suku akhir, lawan yang menanti mereka ialah Barcelona, kesebelasan yang dibarisi pemain-pemain unggul seperti Diego Maradona dan Bernd Schuster.

Aksi pertama yang dilangsungkan di Nou Camp pada 7 Mac 1984 itu menyaksikan United tewas 0-2 menerusi gol Graeme Hogg (jaringan sendiri) dan Juan Carlos Rojo. Jadi satu tugas yang sangat sukar untuk Robbo memimpin rakan-rakan sepasukan dalam usaha mereka melakukan kebangkitan pada aksi kedua di Old Trafford. Atmosphere di Old Trafford pada malam 21 Mac 1984 bukan sahaja sangat luar biasa tetapi aksi kedua menentang Barca itu juga memberikan momen yang sangat indah buat Robbo.

Di Old Trafford, United membuktikan tiada apa yang mustahil hatta berdepan lawan sehebat Barca sekalipun. Mereka melakukan kebangkitan hebat untuk menang 3-0 dalam perlawanan tersebut, manakala Robbo pula menjaringkan dua gol dalam aksi yang penuh dramatik itu. Bagaimanapun langkah United terhenti di peringkat separuh akhir selepas mereka disingkir Juventus yang ketika itu diperkuatkan Michel Platini, Claudio Gentile, Zbigniew Boniek dan Paolo Rossi menerusi keputusan aggregat 2-3.

Kejuaraan Piala FA Kedua

Jika pada musim sebelumnya perjalanan United di pentas Eropah (European Cup Winners Cup) terhenti di peringkat separuh akhir, lain pula ceritanya dalam saingan domestik. Pada musim 1984/85, United mara ke pentas final saingan Piala FA selepas mereka menyingkirkan Liverpool di peringkat separuh akhir. Meskipun terikat 2-2 pada aksi yang dilangsungkan di Goodison Park, United berjaya menewaskan Liverpool (2-1) pada aksi ulangan di Maine Road.

Robbo menjaringkan gol penyamaan selepas gawang mereka dibolosi menerusi jaringan sendiri Paul McGarth manakala Mark Hughes pula mengesahkan kemaraan United ke pentas final menerusi jaringan kemenangan yang dihasilkannya di minit ke-58. Liverpool yang dibarisi Bruce Grobbelaar, Kenny Dalglish, Alan Hansen, Steve Nicol dan Roonie Whelan merupakan kesebelasan pilihan ketika itu, tetapi Everton yang menanti United di final juga bukanlah calang-calang pasukan.

The Toffees kendalian Howard Kendall adalah barisan lebih lengkap dan seimbang di semua bahagian menerusi kehadiran Neville Southall, Pat Van den Hauwe, Kevin Ratcliffe, Gary Stevens, Peter Reid, Graeme Sharp, Andy Gray dan Kevin Sheedy. Jadi tidak hairanlah mengapa mereka mampu menjulang kejuaraan liga pada musim tersebut (1984/85) menerusi kelebihan 12 mata mengatasi Liverpool di posisi kedua.

Status Everton selaku juara liga bagaimanapun tidak banyak membantu mereka apabila jaringan Norman Whiteside diminit ke-110 masa tambahan membolehkan Robbo menjulang kejuaraan Piala FA keduanya bersama United. Kejayaan Robbo menjulang kejuaraan Piala FA kali ini saya anggap lebih istimewa berbanding edisi 1982/83 kerana mereka berjaya menewaskan dua kesebelasan terbaik di England ketika itu (Everton dan Liverpool) di peringkat separuh akhir dan final.

Pengakhiran Era Captain Marvel

Kejayaan menjulang trofi European Cup Winners Cup pada 1991 menebus kekecewaan Robbo selepas disingkir Juventus di peringkat separuh akhir kejohanan sama tujuh tahun sebelumnya. Terima kasih atas dua jaringan sumbangan Mark Hughes ke gawang Barcelona yang akhirnya meletakkan United kembali ke dalam peta bolasepak Eropah. Setahun sebelum itu, Robbo juga berjaya menjulang Piala FA buat kali ketiga sebagai kapten United selepas mereka menewaskan Crystal Palace (1-0) dalam aksi ulangan di Wembley.

Bagaimanapun detik paling bermakna dalam karier Robbo di Old Trafford hadir saat beliau menjulang trofi Liga Perdana pada musim 1992/93. Kejayaan itu bukan sahaja menyaksikan United muncul juara pertama di era Liga Perdana tetapi kejayaan itu juga membolehkan Robbo memahat namanya sebagai kapten United pertama yang berjaya menjulang trofi liga dalam tempoh 26 tahun selepas kali terakhir Noel Cantwell melakukannya pada 1967.

Kejayaan United mempertahankan kejuaraan liga mereka musim berikutnya (1993/94) turut menandakan berakhirnya era Robbo di Old Trafford. Tatkala United sudah memiliki pengganti beliau di bahagian tengah menerusi pelaburan yang dilakukan ke atas Roy Keane, Robbo memilih menyertai Middlesbrough pada usia beliau mencecah 37 tahun dan kekal di Riverside selama tiga musim sebelum bersara sepenuhnya sebagai pemain.  

Dambaan Solskjaer

Robbo memiliki pakej serba lengkap untuk dinobatkan sebagai antara box to box midfielder terbaik eranya. Ramai mengatakan bahawa Eric Cantona memainkan peranan penting di sebalik kejayaan United menjulang kejuaraan liga buat pertama kali dalam tempoh 26 tahun. Bagaimanapun mereka mungkin terlupa bahawa selama bertahun-tahun Fergie sudah membina skuadnya berteraskan kepada kekuatan Robbo di bahagian tengah.

Cantona adalah `puzzle’ terakhir yang diperlukan Fergie untuk melengkapkan skuadnya manakala lama sebelum itu, Robbo pula sudah memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan United di bawah kepimpinan Fergie. Ketika Solskjaer dalam misi membentuk kekuatan United berteraskan bakat-bakat muda, beliau sebenarnya turut mendambakan sosok seorang pemimpin di atas padang dalam kesebelasannya. Maka atas sebab itulah mengapa secara tiba-tiba nama Bryan Robson muncul dalam fikiran beliau.

Tiga medal kejuaraan Piala FA yang dimenanginya, dua kali menjulang trofi Charity Shield (sekarang Perisai Komuniti) dan satu kejuaraan European Cup Winners Cup ketika United berada dalam tempoh suram sejak berakhirnya era Sir Matt Busby adalah satu pencapaian hebat untuk seorang kapten. Jika anda masih tercari-cari definisi sebenar kepada frasa captain marvel, lihat dalam diri Bryan Robson, kerana di sana anda akan menemui jawapannya. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

12 Julai 2019

SISI MERAH DAN PUTIH DALAM DIRI ALAN SMITH



Beliau tidaklah sehebat Ryan Giggs, tidak juga sepopular David Beckham malah bukan juga pemain yang memiliki kepintaran permainan seperti Paul Scholes. Jadi tidak hairanlah mungkin ada di antara anda yang tertanya-tanya siapakah individu yang bernama Alan Smith ini. Jika anda melakukan pencarian di Google, akan timbul dua nama dalam keputusan carian, seorang dilahirkan pada 1962 dan seorang lagi lahir pada 1980.

Mereka memang individu yang berlainan, tetapi memiliki nama serta profesion yang sama iaitu sebagai pemain bolasepak profesional. Alan Martin Smith yang lahir pada 1962 itu merupakan lagenda Arsenal, menyertai skuad The Gunners dari 1987 hingga 1995. Manakala Alan Smith yang lahir pada tahun 1980 itu pula memulakan kariernya bersama Leeds United, sebelum berpindah ke Old Trafford pada 2004, sembilan tahun selepas Alan Martin Smith bersara di Highbury.

Secebis Dari Kisah Roses Derby

Semua orang tahu tentang perseteruan panjang membabitkan United dan Liverpool hingga menyebabkan aksi North West Derby sentiasa ditunggu-tunggu saban tahun. Begitu juga Manchester Derby yang mengakibatkan seluruh kota Manchester `tegang’ selama 90 minit setiap kali barisan The Red Devils dan The Citizens bertembung di atas padang. Benarkah North West Derby aksi paling panas yang perlu dihadapi United berikutan perseteruan panjang membabitkan mereka dengan Liverpool?

Atau adakah Manchester Derby aksi paling tegang di tanah Inggeris demi membuktikan kelab mana penguasa sebenar kota Manchester? Dari sekian banyak pertembungan yang membabitkan United dengan pesaing-pesaing domestik mereka, aksi menentang Leeds United adalah yang paling panas dan tegang pernah berlaku dalam sejarah bolasepak Inggeris.  Ya...suatu ketika dahulu, pertembungan Roses Derby atau juga dikenali sebagai Rivalry of Rose pernah mencetuskan suasana huru hara di tanah Inggeris, kesan dari permusuhan silam membabitkan wilayah Lancashire dan Yorkshire.

Bermula dari persaingan budaya dan kemudiannya merebak kepada perang saudara merebut takhta yang berlaku di abad ke-15 itu akhirnya berlanjutan hingga ke padang bolasepak. Api permusuhan yang membabitkan United dan Leeds mula kendur sebaik berakhirnya era Sir Matt Busby di Old Trafford. Manakala di Elland Road pula, Don Revie yang juga merupakan pengurus Leeds paling berjaya memilih cabaran baharu selaku pengendali skuad kebangsaan England.

Jika persaingan antara United dan Leeds di atas padang dilihat semakin kendur, hal yang sama nampaknya tidak berlaku di luar padang  terutamanya membabitkan penyokong kedua-dua pasukan. Ketika semangat hooliganisme dalam bolasepak begitu memuncak di era 70an, kes pertempuran penyokong membabitkan Red Army (United) dan Service Crew (Leeds) turut mencatatkan jumlah tertinggi berbanding mana-mana perlawanan derby dan menjadi kisah paling terkenal di bumi Inggeris.

Perpindahan Pemain

Alan Smith bukanlah satu-satunya pemain yang pernah menyarung jersi United dan Leeds. 26 tahun sebelum Smith menyertai United, Gordon McQueen pernah memanaskan api perseteruan penyokong dua kelab terbabit menerusi kenyataan yang dikeluarkannya sebaik sahaja perpindahan bernilai £495 ribunya dari Elland Road ke Old Trafford dimeterai. Menurut McQueen, sebanyak 99% pemain pasti ingin bermain untuk Manchester United manakala 1% lagi adalah pembohong. Kenyataan itu dibuat hanya seminggu selepas McQueen menyatakan keinginannya untuk menamatkan karier bersama Leeds ketika diwawancara Shoot Magazine.

Kenyataan warga Scotland itu sekadar menambah luka buat penyokong Leeds, kerana dalam masa yang sama mereka juga terpaksa melihat seorang lagi tonggak pasukan (Joe Jordan) mengiringi McQueen ke Old Trafford. 14 tahun kemudian, perpindahan pemain dari Elland Road ke Old Trafford berlaku lagi dan kali ini lebih sensasi kerana ia membabitkan seorang pemain yang sebelumnya berjaya membantu skuad The Whites menjulang kejuaraan liga. Beliau yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Eric Cantona. Kejayaan Cantona membantu United menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga menyebabkan beliau diletakkan sebagai musuh nombor 1 oleh penyokong-penyokong Leeds.

Pada 2002, perpindahan Rio Ferdinand dari Elland Road ke Old Trafford pula memecah rekod perpindahan British dan meletakkan beliau selaku pemain pertahanan termahal dunia. Dua tahun selepas itu, penyokong Leeds menyaksikan seorang lagi pemain mereka menyertai United dan kali ini giliran Alan Smith pula. Bermain untuk dua pasukan yang memiliki sejarah perseteruan silam memanglah sesuatu yang unik dan Smith juga tidak terkecuali. Smith lahir di Rothwell dalam wilayah Yorkshire, bandar yang sangat identitik dengan budaya bolasepak Leeds United. Jadi tidak hairanlah mengapa Smith menjadi sasaran kebencian penyokong Leeds setiap kali beliau kembali beraksi di Elland Road dengan jersi merah United.

Smith Di Liga Juara-Juara

Melihat kepada situasi yang dialami Leeds ketika ini, siapa sangka bahawa mereka pernah mara hingga ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara musim 2000/01, dan Smith antara anggota dalam skuad tersebut. Kejayaan mereka mara sebegitu jauh dalam saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika anda lihat barisan yang dimiliki David O’Leary ketika itu. Generasi Leeds ketika itu dibarisi campuran pemain-pemain hebat dan prospek masa depan seperti Mark Viduka, Jonathan Woodgate, Jason Wilcox, David Batty, Rio Ferdinand, Lucas Radebe, Harry Kewell, Paul Robinson, Lee Bowyer, Stephen McPhail dan Smith sendiri.

“Aksi separuh akhir Liga Juara-Juara adalah cabaran yang sangat luar biasa dan pengalaman yang cukup hebat untuk pemain-pemain muda berusia 19 dan 20 tahun seperti saya. Saya menjaringkan gol pertama ketika berdepan 1860 Munich dalam perlawanan playoff pertama dan gol kemenangan di perlawaan kedua di Stadium Olimpik Munich. Di peringkat kumpulan (pusingan kedua) kami diundi bersama Anderlecht, Lazio dan Real Madrid. Kami mara ke pusingan kalah mati ketika saingan masih berbaki satu perlawanan. Saya diarahkan untuk melakukan kerja-kerja mudah manakala Mark Viduka pula banyak membantu saya melaksanakan tugas di atas padang”, kata Smith dalam wawancaranya bersama Four Four Two.

Dikagumi Fergie

Mana-mana pemain tidak akan mampu menolak jika tawaran datang dari Sir Alex Ferguson dan Smith tidak terkecuali. “Bagaimana saya mampu menolak jika seorang pengurus sehebat Fergie datang membuat tawaran”, kata Smith. Bagaimanapun urusan perpindahan Smith ke Old Trafford tidak berjalan lancar atas faktor sejarah perseteruan membabitkan United dan Leeds. Ditambah pula kenyataan yang dibuat Smith sebelumnya bahawa beliau tidak akan pernah mahu bermain untuk United.

Mengulas akan hal tersebut Smith berkata, “Ketika itu saya masih muda serta naif dan tidak pernah terfikir pun bahawa Manchester United mahukan saya. Saya juga tidak pernah membayangkan bahawa Leeds akan tersingkir dari Liga Perdana. Mereka (Leeds) mahu menjual saya kepada pembida tertinggi. Ada individu di sana yang saya tidak sukai dan Leeds yang saya tinggalkan bukanlah Leeds yang pernah saya kenali. Perkara terakhir yang ada dalam fikiran saya sebelum pergi ialah berharap agar Leeds muflis”.

Naluri Fergie

Tatkala ramai pihak melihat potensi Smith sebagai penyerang masa depan England, Fergie pula menilai beliau dalam sisi yang berlawanan. Dalam diri Smith, Fergie berjaya mengesan potensi beliau untuk berperanan sebagai pemain tengah. Agak aneh bukan bila memikirkan bahawa Smith sejatinya bukanlah pemain tengah tulen tetapi sebaliknya beliau memang dilahirkan sebagai seorang penyerang. Bagaimanapun di mata Fergie, corak permainan keras yang dimiliki Smith sangat sesuai untuk beliau bergerak di sektor tengah.

Di peringkat awal, segalanya tampak berjalan lancar buat Smith. Beliau menjaringkan satu gol ketika membantu United menewaskan Arsenal dalam aksi merebut Perisai Komuniti. Penampilan pertamanya di Liga Perdana untuk United juga bermula dengan langkah kanan menerusi sepakan voli indah yang menerjah ke gawang Norwich City. Musim pertama Smith di Old Trafford boleh dianggap musim yang sukses untuk beliau menerusi 31 penampilan yang dilakukannya dalam saingan liga selain berjaya menjaringkan enam gol.

Kecederaan Parah

Pada 18 Februari 2006, United berdepan Liverpool dalam saingan Piala FA yang dilangsungkan di Anfield. Siapa sangka perlawanan ini bukan sahaja meninggalkan detik hitam buat Smith tetapi juga mengubah keseluruhan jalan cerita karier beliau di Old Trafford. Percubaan beliau menghalang sepakan percuma John Arne-Riise diminit ke-61 mengakibatkan tulang tibianya patah selain kecederaan serius di pergelangan kaki (dislocated ankle).  Menurut Fergie, `ini antara kejadian paling buruk yang pernah beliau lihat dalam kariernya’.

Insiden tersebut merubah sama sekali karakter permainan beliau dan Smith bukan lagi pemain yang sama. Hilang sudah watak seorang pemain yang dahulunya sangat terkenal dengan terjahan-terjahan kerasnya, selain tiada langsung rasa gentar ketika melakukan duel 50/50 hatta ketika berhadapan dengan pemain sekeras Patrick Vieira sekalipun. Smith memerlukan tempoh lapan bulan untuk kembali bermain dan kemunculan pertamanya bersama skuad utama ialah ketika berdepan Benfica dalam aksi Liga Juara-Juara pada bulan September 2006.

Transformasi

Kecederaan parah yang dialami Smith memang mengubah kariernya selepas itu tetapi perubahan sebenar sudah berlaku lama sebelum itu tatkala beliau diarahkan Fergie untuk bermain di bahagian tengah. Menurut Smith, peralihan posisinya ke bahagian tengah bukanlah untuk menggantikan tempat Roy Keane tetapi hal tersebut memang sudah dirancang Fergie. “Ramai yang mengatakan bahawa perpindahan saya ke Old Trafford bagi menggantikan tempat Roy Keane. Itu sebenarnya mengarut kerana dalam skema tiga pemain tengah, saya digandingan bersama Keano dan Paul Scholes”, kata Smith.

Karakter permainan Smith memang tiada persamaan dengan Keano terutamanya ketika melakukan kerja-kerja bertahan kerana beliau bukanlah pemain yang efektif dalam hal tersebut. Malah Keano juga pernah mengkritik corak permainan Smith yang `explosive’ sebagai sangat membahayakan. Meskipun Smith gagal bertransformasi dari seorang penyerang kepada pemain tengah di Old Trafford, pengalaman selama tiga musim menyarung jersi United banyak membantu beliau berperanan sebagai seorang midfielder ketika bermain untuk Newcastle United, MK Dons dan Notts County.

“Berpindah ke posisi tengah banyak membantu karier saya terutamanya selepas kecederaan itu yang menyebabkan 10 hingga 15 peratus kemampuan saya hilang. Saya perlu mencari semula diri saya sebagai pemain dan belajar untuk melaksanakan tugas di posisi baharu. Di Newcastle saya mula mempelajari tugas seorang pemain tengah bertahan”, tambah Smith lagi. Pada Ogos 2007, Smith menyertai Newcastle dan kekal di St James Park selama lima musim. Manakala Notts County pula merupakan kelab terakhir Smith sebelum beliau mengumumkan persaraan pada Julai 2018.

Smith Yang Unik

Sebagai anak jati Yorkshire yang bakat bolasepaknya digilap Leeds United, perpindahan Smith dari Elland Road ke Old Trafford boleh dianggap sesuatu yang cukup unik. Tatkala perseteruan lampau yang mencetuskan perang saudara antara wilayah Lancashire dan Yorkshire terbawa-bawa hingga ke padang bolasepak, Smith pula berjaya mengibarkan cabaran untuk dua kelab yang dahulunya saling bermusuhan itu. Ketika ditanya tentang statusnya sama ada merah (United) atau putih (Leeds), Smith pantas menjawab bahawa beliau boleh menjadi bahagian merah dan putih kerana dedikasi tinggi terhadap kariernya.

Smith boleh sahaja berada di sisi merah (United) atau putih (Leeds), namun di sisi mana sekalipun beliau berada, Smith akan sentiasa diingati menerusi dedikasi tinggi yang beliau tunjukkan dalam permainannya. Sangat mengagumkan bila melihat bagaimana seorang pemain yang pernah berdepan kecederaan teruk mampu bangkit untuk meneruskan kariernya selama 12 tahun lagi. Selaku pemain tengah, Smith tidaklah sehebat Roy Keane atau sepintar Paul Scholes. Tetapi nama beliau akan tetap tertulis dalam tinta emas sebagai salah seorang anggota The Red Devils yang berjaya memenangi medal kejuaraan Liga Perdana pada musim 2006/07. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

01 Julai 2019

KONTRAK TIGA TAHUN...APAKAH PLAN SEBENAR SOLSKJAER TERHADAP `SUPER JUAN'?



Marouane Fellaini dan Juan Mata merupakan dua pemain tengah yang ditandatangani United ketika era David Moyes sebagai pengurus. Fellaini menyertai United pada musim panas manakala Mata pula tiba di Old Trafford pada pertengahan musim. Perpindahan Mata ketika itu memang menggemparkan apatah lagi ia berlaku di pertengahan musim dan membabitkan seorang key player dari kelab rival seperti Chelsea. Di Stamford Bridge, Mata antara watak penting di sebalik kejayaan Chelsea menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2012 dan Liga Europa setahun kemudian.

Bagaimanapun kepulangan semula Jose Mourinho ke Stamford Bridge pada 2013 menyaksikan posisi Mata dalam kesebelasan utama The Blues  mula goyah. Di bawah regim Mourinho, tiada lagi jaminan buat Mata beraksi dalam kesebelasan utama hinggalah akhirnya beliau memutuskan berpindah ke Old Trafford pada Januari 2014. Berbeza dengan Fellaini yang mempertaruhkan kekuatan fizikal dalam corak permainannya, Mata pula adalah tipikal kepada mana-mana pemain tengah yang berasal dari Sepanyol menerusi kebolehan teknikal dan visi permainan yang dimilikinya.

Umpanan-umpanan tepat yang dilakukannya selain peluang-peluang gol yang dicipta menjadikan Mata antara pemain kesayangan penyokong United. Bukan sahaja kerana kemampuan beliau di atas padang, Mata juga disenangi kerana sikapnya yang tidak pernah mencetuskan masalah di luar padang. Malahan Mourinho yang pernah membuatkan Mata meninggalkan Stamford Bridge juga tidak pernah mengeluh dengan prestasi serta attitude yang ditunjukkan bekas pemain Valencia ini sepanjang hampir tiga musim The Special One mengendalikan kelab.

Mengapa Solskjaer Perlukan Mata

Selepas mengharungi proses rundingan yang panjang, United akhirnya berjaya mengekalkan pemain tengah berusia 31 tahun ini di Old Trafford untuk tempoh tiga tahun lagi. Musim lalu bukanlah musim yang cemerlang buat Mata, apatah lagi beliau hanya mampu melakukan 22 penampilan untuk United dalam saingan liga. Jadi apakah alasan United terutamanya Ole Gunnar Solskjaer mengekalkan Mata yang hanya mampu menjaringkan enam gol sepanjang dua musim terakhirnya di Old Trafford?

Pengalaman luas yang dimiliki Mata menjadi penyebab utama mengapa Solskjaer mahu terus mengekalkan pemain ini dalam skuadnya. “Juan Mata merupakan salah seorang pemain paling bijak yang pernah bekerja dengan saya. Dia adalah contoh yang bagus untuk pemain muda kami. Dia tahu betapa pentingnya menjadi pemain Manchester United. Kami memiliki beberapa pemain muda yang fantastis, jadi pengalaman luas Mata akan membantu mencapai potensi mereka”, kata Solskjaer dalam satu wawancara dengan BBC.

Mata antara pemain senior penuh pengalaman yang dimiliki Solskjaer. Di Old Trafford, Mata pernah berkhidmat untuk empat pengurus berbeza (David Moyes, Louis Van Gaal, Jose Mourinho dan kini Solskjaer). Bagaimanapun selepas hampir enam musim beliau menyertai United, Mata masih belum menemui prestasi terbaiknya yang pernah menyaksikan beliau muncul antara penggerak penting jentera tengah Chelsea. Musim 2012/13 masih kekal sebagai tempoh paling cemerlang Mata sepanjang sembilan musim beliau berada di England.

Mengapa Tiga Tahun?

Usia Mata sudah pun mencecah 31 tahun, jadi timbul persoalan apakah rasionalnya kelab memberikan beliau kontrak selama tiga tahun ditambah pula dengan prestasi beliau yang semakin menurun. Mata bukan lagi pemain yang sama ketika beliau dinobatkan sebanyak dua kali sebagai pemain terbaik Chelsea. Sebagai seorang pemain yang berperanan selaku `pemain nombor 10’, kreativiti beliau sangat diperlukan dalam membuka ruang atau mencipta peluang gol kepada rakan di barisan serangan.

Itulah karakter sebenar Mata yang menyaksikan beliau berjaya membantu Chelsea menjulang trofi Liga Juara-Juara dan Liga Europa pada 2012 dan 2013. Bagaimanapun sejak tiba di Old Trafford, Mata hilang kreativitinya sebagai seorang playmaker.  Musim 2015-16 merupakan musim terbaik Mata di Old Trafford apabila beliau bermain dalam semua aksi liga selain menjaringkan enam gol dan melakukan lima bantuan gol. Musim lalu pula, beliau cuma bermain 22 perlawanan liga, menjaringkan tiga gol dan melakukan dua bantuan gol.

Berikut pula adalah ratio key passes yang dilakukan Mata dalam setiap perlawanan sepanjang tempoh enam musim terakhir:

2013/14                    2.3
2014/15                    1.5
2015/16                    1.4
2016/17                    1.8
2017/18                    1.8
2018/19                    1.4

Hakikat Yang Perlu Diterima Mata

Setinggi manapun pujian yang dihamburkan Solskjaer kepada Mata sebaik pemain itu sah melanjutkan kontraknya di Old Trafford, Mata perlu menerima hakikat selepas ini bahawa beliau bukanlah calon automatik dalam kesebelasan utama The Red Devils. Musim lalu Mata tampil selama 90 minit dalam empat aksi liga manakala bakinya beliau digantikan pada pertengahan perlawanan atau bermula dari bangku simpanan.

Skema permainan United yang diterapkan Jose Mourinho mahupun Solskjaer menyaksikan peranan Mata dalam kesebelasan utama secara perlahan-lahan mula terpinggir. Sepertimana Mourinho, Solskjaer juga mahukan setiap pemainnya mampu menggalas tanggungjawab ketika menyerang dan bertahan dengan baik. Mata sangat lemah dalam melakukan kerja-kerja bertahan, dan atas sebab itulah mengapa Solskjaer lebih gemar memilih trio Herrera-Matic-Pogba di bahagian tengah.

Secara tepatnya, Mata akan kembali ke prestasi terbaiknya jika beliau diberikan tanggungjawab untuk hanya fokus melakukan tugas serangan menerusi peranan yang dimainkannya selaku pemain tengah menyerang sepertimana ketika era Louis Van Gaal sebagai pengurus. Dua musim bermain di bawah kendalian Van Gaal, Mata berjaya meledak 10 gol setiap musim (dalam semua kejohanan) sebelum angka tersebut menurun dalam tiga musim terakhir.

Apakah Plan Sebenar Solskjaer?

45 gol dan 37 bantuan gol yang disumbangkan Mata sepanjang enam musim menyarung jersi United tetap satu catatan yang bagus untuk seorang pemain yang sering tersisih dari kesebelasan utama. 75 penampilan liga dalam tempoh tiga musim terakhir juga menunjukkan bahawa sama ada Mourinho ataupun Solskjaer masih lagi mahukan Mata memainkan peranan dalam pasukan. Adakalanya juga Mourinho ataupun Solskjaer sering memainkan Mata sebagai penyerang sayap di sisi kanan dan juga berperanan sebagai inverted winger.

Tugas sebagai penyerang sayap dan inverted winger sebenarnya bukanlah terlalu asing buat Mata kerana ketika di Stamford Bridge beliau sering diberikan tanggungjawab untuk menggalas peranan tersebut. “Saya suka pemain yang datang dari sisi sayap untuk melakukan penetration, umpanan dan melakukan percubaan. Juan merupakan satu-satunya pemain kami yang mampu melakukan perkara tersebut di sisi kanan”, kata Mourinho ketika beliau kembali mengendalikan Chelsea pada 2013.

Jika dilihat kepada situasi Mata sepanjang tempoh tiga musim terakhir, serta umur beliau yang sudah melepasi angka 30, keputusan kelab melanjutkan kontrak warga Sepanyol ini selama tiga tahun lagi memang agak mengejutkan. Ketika kelab berdepan kemungkinan bakal kehilangan khidmat Paul Pogba, adakah keputusan mengekalkan Mata di Old Trafford selama tiga tahun lagi menandakan bahawa Solskjaer sudah memiliki rancangan untuk meletakkan beliau kembali berperanan sebagai pemain “nombor 10”? Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar