26 Jun 2016

MENGAPA UNITED MAHUKAN MIKI?

Kehadiran Jose Mourinho bermakna Manchester United juga bakal mengalami pembaharuan dalam barisan pemain mereka bagi menghadapi saingan kompetitif musim depan. Selepas berjaya mendaratkan Eric Bailly dari Villareal yang bakal memantapkan benteng pertahanan skuadnya, Mourinho kini mengalihkan pula perhatiannya kepada sosok seorang playmaker yang boleh memberikan lebih variasi kepada gaya permainan skuadnya. Untuk itu pemburuan seterusnya terarah pula ke Signal Iduna Park dan pemain yang dikatakan berada dalam radar buruan United siapa lagi jika bukan playmaker Borussia DortmundHenrikh Mkhitaryan.

Mino Raiola yang juga merupakan agen pemain ini khabarnya lebih memilih United berbanding `menghantar’ kliennya itu ke Stadium Emirates dan jika ini benar, kita bakal mendengar khabar gembira dalan tempoh terdekat. Memandangkan kontrak Miki (panggilan akrab beliau) hanya berbaki setahun dan beliau sudah pun menolak tawaran kontrak baharu, tiada apa yang mampu dilakukan Dortmund selain menjual pemain antarabangsa Armenia ini jika tidak mahu kehilangan khidmatnya secara percuma.

Melihat kepada situasi terkini, United nampaknya berada selangkah di hadapan Arsenal, musuh domestik yang turut berminat memburu tandatangan kapten Armenia ini. Wenger mahukan Miki bagi menggantikan kekosongan dtinggalkan Tomas Rosicky yang khabarnya tidak akan dikekalkan di Stadium Emirates. Jika segalanya berjalan lancar dan Miki akhirnya rasmi bergelar pemain United, pasti anda tertanya-tanya apa yang menyebabkan Mourinho mahukan pemain ini terbabit dalam revolusi yang bakal beliau lakukan di Old Trafford musim hadapan?

Di bawah kendalian Thomas Tuchel, Miki muncul pemain yang lebih bagus berbanding ketika Dortmund di bawah arahan Jurgen Klopp. Ternyata skill individu, kepantasan, ketepatan umpanan dan kebolehan melakukan percubaan jarak jauh yang menjadi kelebihan beliau tidak sesuai dengan falsafah permainan gegenpressing yang dianuti Klopp. Meskipun musim lalu gagal memenangi sebarang trofi bersama Dortmund, Miki antara nama wajib yang ada dalam kesebelasan Tuchel apabila beliau tampil sebanyak 51 perlawanan (dalam semua kejohanan), menjaringkan 23 gol dan mencipta 30 assist.

Melihat kepada statistik jaringannya, jelaslah bahawa peranan Miki bukan sekadar seorang playmaker yang bertindak mengatur permainan dan membuka ruang buat rakan-rakan tetapi beliau juga boleh menjadi opsyen tambahan dalam menghasilkan gol. Jika berjaya ditandatangani, kehadiran beliau saya harapkan mampu menyelesaikan masalah kebuntuan gol yang dihadapi United selain membantu meringankan beban Wayne Rooney yang menghabiskan sebahagian besar musim lalu dengan beraksi di bahagian tengah.

Memiliki kelajuan, kemahiran teknikal yang sangat bagus, killer instinct yang tajam di hadapan gawang lawan serta boleh berperanan lebih dari satu posisi menjadikan Miki antara nama panas dalam pasaran perpindahan pemain kali ini. Dalam skuad Dortmund musim lalu, selain boleh bertindak sebagai playmaker, Miki juga sebenarnya boleh diletakkan sebagai pemain sayap dan bermain di belakang penyerang jika berlaku sebarang perubahan taktikal dalam permainan.

Mungkin inilah faktor penting yang mendorong mengapa United atau lebih tepatnya Mourinho mahu meletakkan nama Miki dalam skuadnya musim hadapan. Bukan hanya kerana memiliki visi permainan yang bagus dan semua kelebihan yang saya sebutkan di atas, tetapi seorang utility player seperti Miki memang cukup digemari Mourinho. Anda sudah tentu dapat meneka bagaimana gaya permainan United di bawah arahan Mourinho dan sudah tentu kelajuan serta visi permainan Miki bakal menjadikan beliau watak utama jika United mahu bermain dengan corak serang balas pantas.

Jika perpindahan Miki ke Old Trafford berjaya direalisasikan, pastinya akan ada pemain yang terpaksa pergi bagi memberikan laluan kepada beliau kerana itu lumrah dalam bolasepak. Siapakah mereka yang bakal terkeluar dari perancangan Mourinho selepas ketibaan Miki, itu masih belum dapat dipastikan kerana saya lebih berminat melihat `plan B’ dari The Special One jika beliau gagal menandatangani pemain Dortmund itu. Setakat ini pilihan yang digembar-gemburkan jika Miki gagal ditandatangani ialah kemungkinan United beralih kepada winger VfL Woflsburg, Julian Draxler.

Draxler memang tidak memiliki visi permainan seperti Miki, tetapi kemampuan bintang muda Jerman ini menyusup masuk ke jantung pertahanan lawan dari sebelah tepi menarik minat Mourinho. Bersama Wolfsburg, Draxler bemain sebagai sayap kiri yang memerlukan beliau banyak melakukan hantaran, gelecekan dan melepaskan percubaan ke arah pintu gol lawan. Untuk rekod, statistik peratusan ketepatan hantaran beliau mencapai 83%, 61% ketepatan percubaan ke arah pintu gol lawan, menyumbang lima assist, menjaringkan enam gol, mencipta 36 peluang jaringan gol manakala peratusan kejayaan beliau melakukan gelecekan mencapai 71.25% dari 23 aksi Bundesliga.

Bagaimanapun segalanya masih samar meskipun United dikatakan kelab paling hampir yang bakal disertai Miki jika beliau meninggalkan Dortmund. Persoalan paling besar sekarang bukannya berapa jumlah wang yang terpaksa dibayar United jika mereka mahukan Miki, tetapi adakah Dortmund sedia melepaskan seorang lagi pemain terbaik mereka selepas Mats Hummels dan Ilkay Gundogan meninggalkan Signal Iduna Park? Jika nantinya Dortmund terpaksa melepaskan seorang lagi pemain terbaik mereka, biarlah kali ini Old Trafford pula menjadi destinasi yang dituju pemain itu. Dan jika Miki mahu mengucapkan selamat tinggal kepada Signal Iduna Park biarlah Old Trafford pula mengucapkan “Selamat Datang” kepada beliau….Glory Glory Manchester United!!! - AJ

19 Jun 2016

SELAIN IBRA, PENYERANG MANA YANG PATUT DIBURU MANCHESTER UNITED

Penyokong-penyokong United nampaknya terpaksa menunggu hingga berakhirnya kejohanan Euro 2016 sebelum mengetahui destinasi sebenar yang bakal dituju Zlatan Ibrahimovic musim hadapan. Minggu lalu, Ibrahimovic (selepas ini saya sebut sebagai Ibra) sudah memberitahu media bahawa sebarang keputusan berkaitan masa depannya akan hanya diketahui umum sebaik tamatnya kejohanan Euro 2016 atau setidak-tidaknya hingga kempen Sweden di Perancis berakhir.

Meskipun sudah berusia 34 tahun, Ibra masih dianggap antara penyerang kelas atas. Jadi tidak hairanlah sebarang berita tentang spekulasi masa depan beliau menjadi tumpuan ramai dan dinanti dengan penuh minat. The Red Devils antara kelab yang begitu kerap dikaitkan dengan Ibra selepas ikatannya dengan Paris Saint Germain tamat, tambahan pula beliau sendiri tidak menolak kemungkinan untuk beraksi di Liga Perdana musim hadapan.

United bukan satu-satunya kelab besar yang mahu mendapatkan khidmat Ibra kerana kini Bayern Munich turut diberitakan mengintai peluang mendapatkan tandatangan beliau sebagai pengganti Robert Lewandowski (sekiranya penyerang Poland ini mahu meninggalkan Allianz Arena). Jika benar Bayern Munich mahu `kacau daun’, peratusan untuk menyaksikan Ibra menyarung jersi United musim depan bakal kian menurun.

Saya bukanlah peminat tegar Ibra, tetapi saya percaya pemain yang punya kualiti seperti beliau masih layak bermain untuk kelab besar seperti United meskipun beliau bukanlah pilihan jangka panjang atas faktor usianya. Bagaimanapun sekiranya United gagal mendapatkan Ibra, masih ada pilihan lain yang boleh dipertimbangkan untuk mengepalai jentera serangan kelab musim hadapan. Jadi siapakah mereka?

GONZALO HIGUAIN

Pilihan pertama saya sudah tentu terarah kepada penyerang yang beraksi di Serie A iaitu Gonzalo HIguain. Tiga musim bermain untuk Napoli, El Pipita sukses meledak 71 gol untuk kelab berpangkalan di Naples itu atau purata 23 gol setiap musim. Berbanding Ibra, Higuain enam tahun lebih muda dan tidak kurang hebatnya ketika melakukan penyudah di hadapan gawang lawan. Bukan saya mahu meremehkan kualiti milik Napoli, tetapi penyerang sebagus Higuain sepatutnya bermain di kelab yang lebih besar dan kembali memenangi trofi utama sepertimana yang belau pernah nikmati ketika bersama Real Madrid dulu.

Di Serie A, Higuain saya yakin tidak akan mampu memenangi medal kejuaraan liga kerana dominasi berterusan Juventus yang entah bila akan ada penamatnya. Jalan terbaik jika beliau mahu kembali berada di atas podium sebagai seorang juara, Higuain perlu meninggalkan kota Naples dan menyertai kelab yang mampu menawarkan beliau prospek menjulang trofi utama. Memiliki susuk fizikal dan ketinggian yang bagus (1.84m), Higuain saya yakin tidak berdepan masalah untuk bermain di Liga Perdana tambahan pula beliau memang jenis penyerang yang tidak gentar beradu kekuatan fizikal ketika berdepan pertahanan lawan.

KARIM BENZEMA

Kedengarannya agak mustahil bagi United mendapatkan Benzema kerana sudah tentu Real Madrid tidak akan mudah melepaskan penyerang yang saban musim menghasilkan lebih 20 gol untuk mereka. Benzema dan United ibarat cinta yang masih tidak kesampaian kerana penyerang inilah yang begitu diinginkan Sir Alex Ferguson sejak beliau masih bermain untuk Olympique Lyonnais lagi. Melihat kepada kisah silam Benzema yang beberapa kali menolak lamaran Sir Alex, kemungkinan untuk menyaksikan beliau menyarung jersi kelab memang sukar.

Bagaimanapun kehadiran Jose Mourinho selaku pengendali di Old Trafford musim hadapan mampu mengubah persepsi Benzema terhadap United. Mourinho pernah bekerjasama dengan Benzema ketika beliau mengendalikan Real selama dua musim (2010-2013), dan faktor ini boleh dijadikan senjata buat United memikat pemain berdarah Algeria ini. Benzema merupakan seorang modern striker yang bukan sahaja tajam dalam menyudahkan peluang tetapi juga rajin mendapatkan bola dari bawah dan kemudiannya mengatur serangan. Pada usia 28 tahun, Benzema memang dalam on fire dan inilah penyerang yang sepatutnya diburu United.

ROBERT LEWANDOWSKI

Kenyataan Lewandowski bahawa beliau sedia bermain di Liga Perdana musim hadapan bakal menghangatkan lagi pasaran perpindahan pemain musim panas ini. Jika Ed Woodward mahu dirinya dipuja dan diangkat sebagai wira oleh penyokong-penyokong United, inilah masa yang tepat untuk beliau lakukan. Tandatangani Lewandowski, nescaya imej buruk Woodward di mata penyokong-penyokong selama ini akan segera terpadam. Tidak keterlaluan jika saya katakan Lewandowski merupakan type penyerang yang diinginkan oleh mana-mana pengurus/jurulatih bolasepak di dunia.

Bagusnya Lewandowski bukan hanya kerana kemampuan beliau menjaringkan gol tetapi beliau juga seorang dribbler yang baik dan mahir `menyimpan bola’. Di Signal Iduna Park dan kemudiannya di Allianz Arena, Lewandowski sudah membuktikan bahawa beliau memang seorang penyerang yang serba lengkap. Boleh bertindak sebagai target man, memiliki naluri penyudah yang tajam, kuat dalam perebutan bola tinggi dan mampu menterjemahkan peluang kecil kepada jaringan gol merupakan sebab utama mengapa beliau wajib diburu United.

EDINSON CAVANI

Musim depan Paris Saint Germain sudahpun kehilangan sentuhan Ibra di barisan hadapan, dan saya yakin mereka juga tidak bersedia untuk kehilangan seorang lagi penyerang berbisa mereka. Bagaimanapun dengan sokongan kewangan yang kukuh, PSG boleh mendapatkan penyerang kelas dunia bagi menggantikan tempat Ibra dan jika itu berlaku, peluang United mendapatkan Cavani cukup cerah. Cavani wajib berada dalam radar buruan United kerana kemampuan El Matador menjaringkan gol dari pelbagai sudut, bijak meletakkan dirinya di kedudukan yang tepat dan cekap menghidu peluang terhidang.

SIAPAKAH PILIHAN MOURINHO?

Melihat kepada trend Mourinho sejak beliau menguruskan Chelsea, kemudiannya Inter Milan, Real Madrid dan kembali semula ke Stamford Bridge, anda mungkin sudah mendapat bayangan type penyerang mana yang beliau gemari. Mourinho pada pandangan saya gemar menggunakan penyerang yang tegap dan kuat untuk mengepalai jentera serangan pasukannya. Didier Drogba, Diego Milito, Goran Pandev, Karim Benzema, Gonzalo Higuain dan Diego Costa antara penyerang yang pernah bermain di bawah kendalian Mourinho.

Higuain dan Benzema pernah ada pengalaman beraksi di bawah kendalian Mourinho, jadi `sejarah silam’ mungkin boleh mendorong mereka untuk kembali bekerjasama dengan The Special One. Sukar untuk United memancing keluar Benzema dari Santiago Bernabeu tetapi kemungkinan untuk mereka mendapatkan Higuain lebih realistik. Kedua-dua mereka saban musim menjaring lebih 20 gol untuk kelab masing-masing, jadi amat menarik untuk melihat sebarang kemungkinan jika United berjaya menandatangani mereka.

Di Bundesliga pula kenyataan yang dikeluarkan Lewandowski bahawa beliau sedia berhijrah ke Liga Perdana sepatutnya meletakkan Ed Woodward dalam mode paling bersedia bagi membawa penyerang prolifik ini ke Old Trafford. Higuain, Benzema dan Lewandowski pada pandangan saya jenis penyerang yang disukai Mourinho tetapi jangan sesekali perkecilkan kemampuan seorang clinical striker yang mampu menyudahkan peluang dalam pelbagai situasi seperti Cavani,

Meskipun terkenal sebagai pengurus yang mementingkan kekuatan ketika bertahan, Mourinho tidak akan pernah sesekali membiarkan jentera serangan pasukannya tumpul. Beliau pernah meletakkan FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid pasukan yang paling banyak menjaringkan gol dalam semusim di liga masing-masing. Jadi pastinya amat menarik untuk melihat penyerang mana yang bakal beliau bawa masuk bagi menambah sengat jentera serangan United. Adakah penggempur itu Zlatan Ibrahimovic? Tidak semestinya….Glory Glory Manchester United!!! - AJ 

09 Jun 2016

3 PERTAHANAN YANG DIJANGKA MENINGGALKAN UNITED SELEPAS KEDATANGAN BAILLY

Manchester United rasmi mendapatkan tandatangan bekas centre back Villareal, Eric Bailly dengan nilai perpindahan £30 juta, sekaligus muncul pemain baru pertama yang ditandatangani di bawah era regim Jose Mourinho. Ketika tumpuan kebanyakkan penyokong-penyokog United lebih terarah kepada kemungkinan perpindahan Zlatan Ibrahimovic dari Parc des Princes ke Old Trafford, khabar tentang minat United terhadap pertahanan berasal dari Ivory Coast ini turut sama bertiup kencang.

Akhirnya ketika Ibrahimovic masih lagi bermain teka-teki tentang masa depan beliau, United pantas menandatangani Bailly walaupun khabarnya kelibat pemain berusia 22 tahun ini turut diintai Pep Guardiola. Menerusi akaun Twitter rasmi kelab, Bailly diikat dengan kontrak 4 tahun. Walaupun hanya sekali dua pernah menyaksikan aksi Bailly bersama Villareal di kaca TV, kejayaan United menandatangani beliau tetap menggembirakan saya.

Selepas berakhirnya era Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic di jantung pertahanan United, saya memang merindui aksi seorang pertahanan tengah dengan fizikal tegap, kental, ada kepantasan serta memiliki corak permainan keras. Selama dua musim di bawah kendalian Louis Van Gaal, satu-satunya pemain pertahanan tengah tulen yang beraksi konsisten hampir setiap minggu ialah Chris Smalling. Sementara Phil Jones dan Marcos Rojo yang sesekali di letakkan sebagai pasangan Smalling sering berdepan masalah kecederaan dan konsistensi.

Mujurlah Van Gaal memiliki opsyen lain dengan adanya pemain serba boleh seperti Daley Blind yang menghabiskan sebahagian besar kariernya di Old Trafford di posisi pertahanan tengah. Dengan nilai £30 juta yang dibelanjakan Mourinho untuk mendapatkan Bailly, sudah pasti beliau mahukan pemain ini menjadi rakan gandingan kepada Smalling. Dan sudah tentu kedatangan Bailly juga merupakan satu isyarat berakhirnya karier beberapa pemain pertahanan yang dijangka bakal meninggalkan Old Trafford musim panas ini. Siapakah mereka?


DALEY BLIND

Nama teratas yang saya jangkakan bakal meninggalkan Old Trafford selepas kedatangan Bailly ialah Daley Blind. Meskipun gandingan beliau bersama Smalling menyaksikan gawang United cuma dibolosi 35 gol dari 38 aksi liga, khabar angin tentang kemungkinan Blind meninggalkan kelab semakin bertiup kencang. Ditukar posisinya dari pemain tengah bertahan kepada pertahanan tengah, Blind melaksanakan tugasnya dengan cukup bagus menerusi kemampuan membaca permainan lawan dan ketika melakukan tackle.

Purata 2.8 tackle yang dilakukan Blind dalam setiap perlawanan merupakan catatan terbaik berbanding mana-mana pemain pertahanan United musim lalu (2015-16). Memiliki ketinggian 1.8m dan fizikal yang kurang tegap adalah kelemahan ketara Blind selaku pertahanan tengah. Jadi beliau bukanlah seorang pertahanan tengah boleh diharapkan dalam situasi perebutan bola di udara. Kegagalan beliau menangani penyerang-penyerang tegap di Liga Perdana dalam situasi bola tinggi sering disebut sebagai kelemahan paling ketara di barisan belakang United.

PHIL JONES

Meskipun pada awalnya dianggap pemain muda paling berpotensi ketika era Sir Alex Ferguson, karier Jones kian meredup gara-gara kecederaan berulang yang beliau alami hampir setiap musim. Musim lalu Jones sekali lagi banyak menghabiskan masanya di bilik rawatan berbanding aksi di tengah padang. Dan disebabkan masalah kecederaanlah Jones saya jangka bakal diletakkan Mourinho dalam senarai pemain yang akan dijual musim panas ini. Agak malang apabila memikirkan kecederaan akhirnya membunuh potensi pemain yang pada mulanya digembar-gemburkan sebagai kapten masa depan skuad kebangsaan England ini.

MARCOS ROJO

Kehadiran beliau di Old Trafford pada musim panas 2014 disambut dengan gembira oleh penyokong-penyokong United tambahan pula `Rojo’ dalam bahasa Sepanyol bermaksud merah. Prestasi bagus yang beliau pamerkan bersama skuad kebangsaan Argentina di pusingan akhir Piala Dunia 2014 menarik minat Van Gaal untuk mendapatkan tandatangan pemain ini. Sepertimana Jones, Rojo sering berdepan masalah kecederaan manakala kemampuan beliau menyesuaikan diri dengan saingan Liga Perdana juga sering diperdebatkan penyokong-penyokong.

Komentar beliau secara terbuka tentang keinginan untuk pulang semula ke Estudiantes yang juga merupakan kelab zaman remajanya menguatkan lagi desas-desus bahawa Rojo bakal meninggalkan Old Trafford. Sering melakukan kesilapan-kesilapan mudah dan dengan Mourinho pula yang cukup mementingkan kekuatan di barisan belakang, penyokong-penyokong yang sebelumnya mahukan beliau pergi sudah boleh memasang angan-angan menyaksikan Rojo menyarung jersi pasukan lain musim hadapan.

FASA AKHIR

Melihat kepada situasi yang dialami Blind, Jones dan Rojo, kedatangan Mourinho dan pembelian Bailly yang dilakukan pengendali itu bolehlah dianggap sebagai fasa akhir karier tiga pemain ini (Blind, Jones dan Rojo) di Old Trafford. Bolos 35 gol sepanjang aksi liga musim lalu memang satu statistik yang cukup mengagumkan terutamanya bila memikirkan bahawa Blind sendiri bukanlah seorang centre back semulajadi selain krisis kecederaan yang menimpa barisan belakang United.

Bailly merupakan type pertahanan tengah yang menepati selera Mourinho. Walaupun masih muda, Bailly sudah memiliki pengalaman antarabangsa bersama skuad kebangsaan menerusi 15 caps dan tunjang Villarreal sebelum ini dibenteng pertahanan. Ada fizikal yang sesuai sebagai seorang centre back, memiliki kekuatan ketika mencabar penyerang lawan dalam situasi 1 lawan 1, pantas serta berkemahiran membangunkan serangan dari bawah menerusi kemampuan melakukan dribble. Cuma kadangkala pemain muda seperti beliau agak gopoh dan kerap melakukan kesilapan mudah.

Menonton aksi Bailly di Youtube mengingatkan saya kembali kepada sosok Rio Ferdinand ketika zaman kemuncaknya. Rio seorang pertahanan tengah penuh bergaya, kuat, keras permainannya, berkemahiran dan cukup berkeyakinan ketika bola berada dikakinya. Rio bukan sekadar igauan ngeri kepada penyerang lawan menerusi terjahan-terjahan keras dan tepatnya tetapi kemampuan beliau `bermain-main’ dengan penyerang lawan di kawasan sendiri menunjukkan betapa tingginya tahap keyakinan yang dimiliki lagenda ini.

Adakah Bailly centre back yang saya tunggu selama ini selepas berakhirnya era Rio di Old Trafford? Untuk soalan itu, saya terpaksa menunggu hingga bermula musim kompetitif 2016-17 nanti. Tapi apa yang pastinya Mourinho mendapatkan beliau kerana berasakan Bailly cocok dengan sistem permainan yang ingin dibangunkannya untuk United. Dan sudah pasti kedatangan Bailly juga bakal mengakibatkan beberapa pemain di barisan belakang terpaksa memberikan laluan kepada beliau. Bergantung sama ada mereka menyertai kelab lain atau memerhati dari tepi padang selaku pemain simpanan…Glory Glory Manchester United!!! - AJ