19 November 2015

MENGAPA BECKHAM MASIH DISANJUNG PENYOKONG-PENYOKONG UNITED?

Menarik dan penuh emosi, hanya itulah yang mampu saya katakan selepas menyaksikan perlawanan amal membabitkan lagenda Great Britain dan Pilihan Dunia Sabtu lalu. Bagi anda terutamanya penyokong-penyokong Manchester United, penampilan semula David Beckham, Ryan Giggs, Paul Scholes, Nicky Butt, Phil Neville, Dwight Yorke, Ole Gunnar Solskjaer, Mikael Silvestre, Park Ji-Sung dan Edwin Van der Sar di atas padang sudah tentu menggamit memori silam ketika pemain-pemain ini berada di puncak kerjaya mereka sebagai anggota The Red Devils.

Antara nama-nama yang saya sebutkan di atas, David Beckham mungkin tidak bertuah seperti Paul Scholes, Ole Solskjaer atau Ryan Giggs yang menamatkan karier proesional mereka di Old Trafford, tetapi itu tidak pernah menghalang penyokong-penyokong United dari terus memuja `budak emas’ ini dari dulu hingga sekarang. Beckham nama yang tak akan pernah dilupakan penyokong-penyokong United bukan hanya kerana beliau sudah diangkat sebagai lagenda kelab tetapi juga kerana beliau pernah meninggalkan momen yang bukan sedikit untuk diingati sepanjang sebelas musim Becks menyarung jersi merah The Red Devils.

Agak malang, pemain sehebat Beckham meninggalkan United dalam keadaan yang `tragis’ ketika namanya sedang berada dikemuncak dan dianggap antara penyarung jersi nombor 7 terbaik pernah disaksikan di Old Trafford. Pemain yang dilahirkan dari Akademi United ini berkembang dari seorang anak muda serba sederhana kepada pemain kelas dunia yang cukup mengagumkan hingga pernah dilabel sebagai `Tom Cruise’ dalam dunia bolasepak ketika zaman kemuncaknya. Terima kasih juga kepada Sir Alex Ferguson kerana berjaya melahirkan generasi pemain hebat seperti Beckham, Scholes, adik beradik Neville, Giggs dan Butt, kerana tanpa usaha dan kepercayaan yang beliau berikan kepada generai emas ini, kita tidak mungin mengenali apa itu Class of 92.

Melihat kepada sambutan yang diberikan kepada Beckham pada aksi amal yang dilangsungkan di Old Trafford Sabtu lalu, jelaslah beliau masih lagi dianggap sebagai `buah hati’ oleh penyokong-penyokong United meskipun sudah dua tahun Beckham mengucapkan selamat tinggal kepada karier profesionalnya. Mengapa Beckham begitu dicintai penyokong-penyokong United walaupun beliau pernah meninggalkan Old Trafford secara kontroversi 12 tahun lalu? Berikut saya senaraikan enam sebab mengapa Beckham begitu disanjung penyokong-penyokong United, bukan sahaja ketika beliau masih bergelar pemain tetapi juga selepas bersara.

Cinta dan Kebangaannya Hanya Untuk United

Setiap kali ditanya kelab manakah yang sentiasa ada di hatinya, tanpa ragu Beckham akan menjawab “Manchester United”. Hal inilah yang menyebabkan mengapa penyokong-penyokong United begitu menghormati dan menghargai Beckham walaupun beliau pernah menyarung jersi Real Madrid, AC Milan, LA Galaxy dan terakhir Paris St Germain sejak `dipaksa’ meninggalkan kelab pada 2003. Sabtu lalu, anda sendiri dapat saksikan betapa Beckham begitu dihargai penyokong-penyokong United menerusi sambutan luarbiasa atas kepulangan semula lagenda ini di Theatre of Dreams. Saya yakin sepuluh tahun selepas ini pun, sambutan serupa tetap akan diberikan penyokong-penyokong United terhadap beliau sekiranya Beckham turun lagi dalam aksi amal seperti ini.

Antara Pemain Terbaik Pernah Menyarung Jersi Nombor 7 United

Selepas berakhirnya era Eric Cantona, United bukan sahaja kehilangan sosok seorang pemimpin di atas padang tetapi kekosongan jersi nombor 7 yang ditinggalkan King Eric juga sukar dicari penggantinya. Ketika ramai penyokong-penyokong United ketika itu berteka-teki siapa pemain seterusnya yang bakal menggantikan Cantona sebagai penyarung jersi nombor 7 yang cukup ikonik itu, Beckham akhirnya tampil menawarkan diri.

Walaupun sedar bukan sedikit beban dan tekanan yang perlu beliau pikul sebagai penyambung legasi jersi nombor 7 yang cukup terkenal itu, Becks akhirnya membuktikan bahawa beliau adalah pilihan yang tepat. Walaupun tidak dianugerahkan dengan skill individu sehebat Ronaldinho, Becks menguasai posisi sayap kanan United untuk satu tempoh yang cukup panjang menerusi bisa hantaran silang kaki kanannya. Jadi tidak hairanlah mengapa Becks disenaraikan dalam kelompok lima pemain terbaik yang pernah menggunakan jersi nombor 7 United.

Ketika zaman kemuncaknya di Old Trafford, ketepatan hantaran-hantaran silang Becks dari sebelah kanan memudahkan tugas Dwight Yorke, Andy Cole, Ole Gunnar Solskjaer atau Ruud Van Nistelrooy dalam menyudahkan peluang di hadapan gawang lawan. Saya tidak pernah menafikan ketajaman penyudah milik Yorke, Cole, Solskjaer atau Nistelrooy, tetapi tanpa hantaran-hantaran silang berbisa yang dibekalkan Becks terus ke dalam petak penalti lawan, mampukan mereka menjaringkan lebih 20 gol dalam semusim?

Punya Karakter Tersendiri Dalam Permainan

Setiap pemain punya karakter tersendiri menerusi bakat yang mereka miliki ketika di atas padang. Jika Eric Cantona terkenal dengan skill dan kepintarannya, Roy Keane dengan semangat meluap-luapnya, Ryan Giggs dengan kepantasan dan kemahiran individu yang memukau, Ruud Van Nistelrooy menerusi naluri pembunuh ketika berada di hadapan gawang lawan, Beckham pula sudah tentu kita kenali kerana ketepatan hantaran kaki kanannya.

Becks merupakan seorang winger konvensional dengan peranan utamanya ialah melepaskan hantaran-hantaran silang di hadapan pintu gol lawan. Meskipun beliau bukanlah seorang pemain yang memiliki skill individu memukau seperti Giggs, peranan Becks cukup efektif dalam skema permainan United ketika itu menerusi ketepatan hantaran-hantarannya dari sebelah kanan. Jangan lupakan juga kebolehan Becks menyempurnakan peluang menerusi situasi bola mati kerana sepanjang kariernya sebagai pemain, bukan sedikit gol yang pernah dihasilkan beliau menerusi sepakan percuma.

Jika anda penyokong skuad kebangsaan England, anda sudah tentu tidak akan pernah melupakan bisa sepakan percuma Becks ke gawang Greece pada 6 Oktober 2001 yang membawa England ke pusingan akhir Piala Dunia 2002. Jika itu tidak cukup, bagaimana pula sepakan lambung Becks dari tengah padang yang menewaskan Neil Sullivan ketika United berdepan Wimbledon pada Ogos 1996. Gol itu turut diiktiraf sebagai antara gol terbaik sepanjang masa dalam sejarah Liga Perdana. Saya akui Cristiano Ronaldo turut memiliki kemampuan menjaringkan gol menerusi sepakan percuma, tetapi jika bercakap tentang “terbaik antara yang terbaik”, tanpa ragu saya akan memilih Becks.

Selebriti Bolasepak

Saya yakin tarikh 2 April 1995 tidak akan pernah dilupakan Beckham kerana pada tarikh itulah beliau melakukan penampilan pertamanya untuk United dalam saingan Liga Perdana. Walaupun perlawanan menentang Leeds United itu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, penampilan pertama Becks benar-benar mencuri perhatian penyokong-penyokong United. Berbekalkan wajah yang kacak umpama ahli sebuah bandboy, Becks tidak bermasalah menggamit perhatian khalayak terutamanya dari kalangan peminat wanita. Seiring dengan perubahan waktu, Becks juga begitu.

Beliau adalah revolusioner dalam dunia bolasepak menerusi penampilannya di atas dan juga di luar padang. Gaya hidupnya bak selebriti Hollywood, kelibatnya sering diburu lensa kamera, potongan rambutnya menjadi trend ikutan muda mudi dan wajahnya yang terpampang di billboard seluruh dunia sebagai duta kepada pelbagai jenama menjadikan Becks lelaki paling popular di planet bumi. Bagi generasi penyokong United ketika itu, apa yang boleh anda kongsi bersama ialah kebanggaan melihat seorang lelaki paling dicemburui di dunia dan ikon bolasepak menyarung jersi merah The Red Devils. HIngga saat ini, jersi Beckham antara yang paling laris dijual biarpun beliau sudah bersara sebagai pemain.

Simbol Kepada Class of 92

Bersama-sama Ryan Giggs, Paul Scholes, Gary Neville, Phil Neville dan Nicky Butt, Beckham adalah lambang bagaimana suksesnya United melahirkan pemain-pemain muda dari akademi mereka. Sehingga saat ini pun generasi Class of 92 ini masih menjadi cerita hangat dalam topik perbincangan oleh penyokong-penyokong United ketika mereka bersembang sama ada di laman sosial mahupun di kedai kopi. Generasi pemain yang banyak menuai kejuaraan ketika era Sir Alex Ferguson muncul lelaki paling berkuasa di Old Trafford ini akan kekal sebagai kisah lagenda bagaimana seorang pengurus dengan beraninya menggugurkan sebagai besar tonggak berpengalaman dalam pasukannya untuk digantikan dengan singa-singa muda yang lebih laparkan kejuaraan.

Memori Indah Bersama Manchester United

Dari semua deretan trofi kejuaraan yang pernah dimenangi Beckham bersama United, sudah tentu majoriti penyokong-penyokong United tidak akan pernah melupakan kejuaraan Treble 99 terutamanya kemenangan dramatik ke atas Bayern Munich di pentas final Liga Juara-Juara. Meskipun sudah lebih 16 tahun memori indah di Nou Camp itu berlalu, saya masih terbayang bagaimana gigihnya semangat juang Becks bersama kesebelasan United yang lain hingga ke detik terakhir dalam usaha mereka memadam defisit awal milik lawan ciptaan Mario Basler.

Ketika riak wajah Lothar Matthaus dari bangku simpanan kelihatan begitu yakin bahawa pasukannya bakal membawa pulang trofi Liga Juara Juara ke Munich, United tiba-tiba bangkit memadam impian gergasi Bundesliga itu menerusi dua gol pantas di penghujung permainan. Terima kasih atas jaringan dari Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer dalam perlawanan itu tetapi jangan lupakan individu yang memainkan peranan hingga terhasilnya dua gol tersebut.

Beliau yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Beckham. Ketepatan sepakan kaki kanannya dimanfaatkan barisan hadapan pada detik yang cukup genting dan penting hingga membolehkan United menjulang trofi Liga Juara Juara buat kali kedua. Jika tidak melalui sepakan percuma, bisa kaki kanan Becks tetap berbahaya ketika beliau mengambil sepakan sudut dan itulah yang dimanfaatkan  Sheringham serta Solskjaer pada 26 Mei, lebih 16 tahun yang lalu.

Menyaksikan segala sumbangan yang telah beliau berikan selama sebelas musim bergelar pemain Manchester United, koleksi medal kejuaraan yang telah beliau menangi, momen-momen indah, suka dan duka yang beliau tinggalkan serta cintanya terhadap kelab yang tidak pernah padam, fahamlah saya mengapa Becks begitu disanjung dan disayangi penyokong-penyokong United dari dulu hingga sekarang.

Satu-satunya kekesalan saya bila bercakap tentang Beckham ialah apabila menyaksikan beliau menamatkan karier profesionalnya di Parc de Princes, bukan ditempat sepatutnya iaitu Old Trafford. Sayangnya selepas beliau meninggalkan kelab pada 2003, Beckham tidak pernah kembali semula sebagai pemain Manchester United hinggalah pada perlawanan kompetitif terakhirnya. Jika tidak sudah pasti perjalanan penuh epik David Beckham dalam dunia bolasepak lebih indah dan sempurna bukan?...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

15 November 2015

LINGARD ATAU MEMPHIS?

Jesse Lingard dua kali berturut-turut dipilih oleh penyokong-penyokong Manchester United sebagai Man of the Match menerusi undian yang dilakukan di Twitter.  Walaupun pemilihan ini bukan dilakukan oleh `pakar’, saya tetap berpendapat Lingard memang berhak menerima pengiktirafan ini berdasarkan sumbangan yang beliau berikan ketika berdepan CSKA Moscow dan West Bromwich Albion minggu lalu. Ketika menentang West Brom, Lingard membuka laluan buat United meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri menerusi gol menarik yang dihasilkannya di minit ke-52 selepas barisan The Red Devils kelihatan bergelut memecah benteng pertahanan lawan sepanjang separuh masa pertama.

Gol ke gawang Glyn Myhill itu memang istimewa buat Lingard kerana itu merupakan gol pertamanya untuk skuad senior United di pentas Liga Perdana. Seperti yang anda tahu, Lingard merupakan lulusan akademi United, jadi beliau juga bukanlah `orang baru’ di kelab kerana bakat pemain berusia 23 tahun ini sudah diasah ketika zaman kanak-kanaknya lagi. Walaupun sudah empat tahun sejak beliau menandatangani kontrak profesionalnya bersama United pada 2011, karier Lingard sebenarnya tidak berjalan lancar berikutan persaingan di posisi sayap yang begitu ketat. Sepertimana pemain-pemain remaja United yang lain, Lingard juga terpaksa menghabiskan beberapa tahun menyertai kelab-kelab liga bawahan sebagai pemain pinjaman bagi menimba pengalaman.

Di bawah kendalian Sir Alex, Lingard memang antara pemain muda yang disebut-sebut sebagai prospek masa depan kelab namun beliau tetap gagal melakukan debut bersama skuad senior United di peringkat liga. Paling hampir ialah pada 2011 apabila beliau dua kali disenaraikan Sir Alex dalam skuad senior untuk perlawanan liga namun kedua-duanya berakhir dengan Lingard sekadar memanaskan bangku simpanan selama 90 minit. Pada jelajah pra musim United di Asia dua tahun lalu, Lingard sempat mencuri tumpuan selepas beliau muncul penjaring terbanyak kempen pra musim United menerusi empat gol yang beliau hasilkan.

Prestasi bagus Lingard sepanjang Asia Tour 2013 tetap gagal menarik perhatian David Moyes untuk menyenaraikan beliau dalam skuad senior United bagi menghadapi kempen musim 2013-14. Lingard menghabiskan musim 2013-14 sebagai pemain pinjaman bersama Birmingham City di mana beliau berjaya melakukan 15 penampilan dan menjaringkan 3 gol untuk Blues. Jika sepanjang empat tahun terakhir, Lingard lebih banyak menikmati status sebagai pemain pinjaman, kehadiran Louis Van Gaal nampaknya mengubah warna karier pemain ini di Old Trafford. Akhirnya Lingard menikmati debut Liga Perdananya bersama United apabila Van Gaal menyenaraikan beliau dalam kesebelasan utama ketika berdepan Swansea City pada 16 Ogos 2014.

Bagaimana ini bukanlah debut kompetitif yang beliau harapkan apabila Lingard hanya mampu bertahan selama 24 minit di atas padang sebelum kecederaan memaksa beliau ditarik keluar. Kecederaan itu agak serius hinggakan Lingard terpaksa berehat selama empat bulan bagi merawat kecederaannya dan selepas pulih, beliau sekali lagi diletakkan sebagai pemain pinjaman. Kali ini kelab yang beliau sertai ialah Derby County hingga penghujung musim. Selepas puas berpindah dari satu kelab ke satu kelab dengan status sebagai pemain pinjaman, Lingard akhirnya menikmati musim yang memang beliau nantikan sejak sekian lama iaitu bermain dalam saingan liga dengan jersi United dan beliau nampaknya menikmati detik-detik tersebut.

Musim ini Lingard tidak ke mana-mana, tidak seperti musim-musim sebelumnya dan tambah menarik namanya tiba-tiba meledak menerusi persembahan bagus yang beliau pamerkan di atas padang ketika nama yang lebih gah seperti Memphis Depay kian tenggelam. Jika mahu dibandingkan bagaimana gahnya nama Memphis dan Lingard umpama langit dengan bumi. Ketika Lingard masih bergelut memperagakan bakatnya sebagai pemain pinjaman untuk kelab-kelab divisyen bawahan, Memphis pula muncul penjaring terbanyak Eredivisie dan sudah merasai nikmat beraksi di pentas Piala Dunia selain dilabel antara bakat paling menonjol di Eropah.

Berpindah ke Old Trafford dan kemudiannya diberikan pula peluang menyarung jersi ikon United (nombor 7) melonjakkan lagi reputasi Memphis sebagai bintang dalam pembikinan. Bagaimanapun impian dan harapan kadangkala tidak mampu menjelma menjadi kenyataan dan hakikatnya hingga setakat ini, ramai yang menganggap pembelian Memphis mungkin satu lagi `pembaziran’ yang dilakukan oleh Van Gaal. Jujur saya katakan, saya tidak mahu melihat Memphis menjadi `Next Angel Di Maria’ kerana bagi saya beliau memang antara pemain muda paling berbakat di Eropah ketika ini dan United bertuah kerana memilikinya.

Bagaimanapun seperti yang saya pernah sebutkan pada artikel sebelum ini, Memphis perlu berubah, perlu pantas menyesuaikan dirinya dengan falsafah permainan kelab baharunya dan paling penting beliau kini bukan lagi berada di Eredivisie tetapi di Liga Perdana, liga yang dianggap paling sukar di dunia. Melihat betapa pantasnya Lingard mencuri tumpuan, masa untuk Memphis kini kian suntuk jika beliau mahu kembali menambat perhatian Van Gal. Pada tujuh perlawanan terakhir, Lingard kerap diturunkan Van Gaal walaupun beliau tidak bermain penuh 90 minit berbanding Memphis.

Terus terang saya katakan, saya agak terkejut melihat susunan pemain ketika United melayan kunjungan CSKA Moscow 22 Oktober lalu. Mengejutkan kerana Van Gaal menyenaraikan Lingard dalam kesebelasan utamanya ketika United sendiri berdepan perlawanan yang perlu mereka menangi di pentas Eropah. Meskipun ini perlawanan penting buat United, Lingard membayar kepercayaan yang diberikan itu menerusi persembahan terpujinya di atas padang. Bertindak selaku sayap kanan, Lingard berjaya melakukan empat dribble manakala peratus kejayaan hantarannya pula mencapai 82.3%. Lebih menarik assist yang dilakukannya membolehkan Wayne Rooney menjaringkan gol kemenangan United.

Bagaimanapun selaku pemain yang masih cetek pengalaman, tetap ada aspek yang perlu diperbaiki Lingard sebelum beliau boleh muncul pemain yang jauh lebih bagus di masa hadapan. Sepanjang aksi menentang CSKA, kelemahan paling ketara Lingard ialah beliau mudah kehilangan bola serta kawalan bola yang kurang cermat setiap kali beliau menerima hantaran rakan. Saya berharap gol yang beliau jaringkan ke gawang West Bromwich Albion hujung minggu lalu bakal menyuntik keyakinan dalam diri pemain muda ini bahawa beliau mampu meletakkan dirinya sebagai pemain regular dalam skuad Van Gaal. Jika sebelum ini, Lingard saya lihat agak terburu-buru ketika bola berada di kakinya, gol sulungnya dalam saingan liga itu saya harap bakal menjadikan beliau pemain yang lebih tenang.

Setakat ini segalanya tampak berjalan lancar buat Lingard. Bergelutnya Memphis pada musim pertamanya di Old Trafford rupa-rupanya rahmat tersembunyi buat beliau. Walaupun banyak lagi aspek permainan yang perlu Lingard perbaiki, beliau sudah mula menunjukkan tanda-tanda bahawa dirinya boleh diletakkan harapan selaku penggerak di sebelah sayap. Sejak kali terakhir Memphis diturunkan ketika United tewas 0-3 kepada Arsenal, Van Gaal pernah meletakkan Ashley Young dan Anthony Martial selaku pemain sayap kiri, namun eksperimen beliau nampaknya gagal membuahkan hasil. Berdasarkan perkembangan terkini, saya berpendapat hanya ada dua nama paling realistik untuk dipilih Van Gaal bagi memikul peranan selaku sayap kiri, iaitu Lingard dan Memphis.

Saya lebih gemar melihat Martial digunakan Van Gaal selaku penyerang tengah berbanding peranan selaku sayap kiri, manakala Young pula nampaknya terpaksa mengakui bahawa beliau lebih sesuai bertindak selaku supersub. Kini terpulang kepada Lingard dan Memphis untuk membuktikan siapa sebenarnya paling layak untuk mengisi posisi selaku sayap kiri United. Buat masa sekarang, Lingard sedang berada di hadapan tetapi jika Memphis kembali menemui sentuhan yang pernah menjulang namanya selaku penjaring terbanyak Eredivisie, Van Gaal sebenarnya memiliki sepasang sayap kiri yang penuh potensi dalam diri dua anak muda ini.


Jika tiga tahun lalu, Sir Alex Ferguson pernah meramalkan bahawa Lingard akan mula bersinar pada usia 22 tahun, kini ramalan lagenda hidup United itu sedikit demi sedikit sudah mula menjadi kenyataan. Jika sepanjang empat musim terakhir, karier Lingard tidak seindah sepertimana yang beliau impikan, kini secara perlahan-lahan beliau sudah boleh mengintai tempatnya dalam kesebelasan utama United. Gol fantastiknya ke gawang West Bromwich menunjukkan kualiti sebenar yang ada dalam diri Lingard, kualiti yang sudah disedari Sir Alex sejak tiga tahun lalu. Kini bola sudah berada di kakinya, jadi terpulang kepada Lingard untuk membuktikan bahawa beliau memang layak membarisi kesebelasan utama United atau mahu memilih menjadi seperti Memphis yang gah di depan lensa media tetapi longlai di atas padang….Glory Glory Manchester United!!! - AJ

05 November 2015

JENTERA SERANGAN YANG TUMPUL ATAU THE RED DEVILS KETANDUSAN IDEA?

Tahukan anda, sejak Anthony Martial berjaya menembusi gawang CSKA Moscow dalam aksi Liga Juara Juara 22 Oktober lalu, United mengharungi 325 minit tanpa menjaringkan sebarang gol. Dua hari selepas disingkir Middlesbrough dari saingan Piala Liga menerusi penentuan sepakan penalti, barisan serangan United yang diketuai Wayne Rooney sekali lagi tercari-cari cara terbaik bagaimana mahu menembusi gawang lawan pada aksi menentang Crystal Palace di Selhurst Park Sabtu lalu.

Berbanding aksi menentang Middlesbrough, barisan serangan United tidak mencipta banyak peluang ketika berdepan Palace sekaligus menimbulkan pertanyaan adakah skuad Louis Van Gaal ini sudah hilang kreativiti dalam usaha mereka menembusi pintu gol lawan? Di Selhurst Park, United mencatatkan 53.2% penguasaan bola menerusi 376 hantaran yang dilakukan sesama pemain tetapi dari jumlah itu hanya 45% merupakan hantaran ke hadapan manakala bakinya bola di tolak sama ada ke belakang ataupun ke arah kiri dan kanan.

Melihat statistik ini, maka tidak hairanlah jika United hanya mencipta tiga peluang sepanjang 90 minit permainan dan satu daripadanya merupakan percubaan tepat ke gawang lawan yang dikawal Wayne Hennessey. Bukan itu sahaja, sepanjang aksi menentang Palace juga menyaksikan anak-anak buah Van Gaal hanya mampu melakukan 12 dribble dimana hanya 4 daripadanya berjaya berbanding lawan yang melakukan 29 dribble dengan Wilfried Zaha muncul watak penting dalam menghuru-harakan pertahanan United.

Jika sebelum perlawanan menentang Palace anda menaruh harapan besar agar United mampu membawa pulang tiga mata penuh selepas kecewa disingkir Middlesbrough dari pentas Piala Liga, saya yakin apa yang dipamerkan The Red Devils di Selhurst Park pasti sangat mengecewakan anda. Melihat begitu kurangnya peluang-peluang jaringan yang mampu dicipta, apa lagi yang mampu anda harapkan selain berdoa agar United tidak pulang dengan tangan kosong. Jujurnya saya sedikit lega menyaksikan United tidak tewas tetapi itu juga bukanlah satu keputusan adil buat Palace yang pada pandangan saya bermain jauh lebih baik berbanding United.

Awal pagi kelmarin, kali ini di pentas Liga Juara-Juara pula, United sekali lagi memperlihatkan betapa tandusnya idea mereka dalam usaha mendapatkan gol. Meskipun menguasai 69% penguasaan bola, anak-anak buah Van Gaal hanya mampu menjaringkan satu gol menerusi tandukan Wayne Rooney ketika masa sebenar permainan berbaki sepuluh minit untuk ditamatkan. Sepertimana corak permainan United sebelum ini, pergerakan bola banyak dimulakan dari dua centre back, ciri yang memang bertepatan dengan falsafah permainan Van Gaal iaitu membangunkan serangan dari belakang.

Atas sebab itu, maka tidak hairanlah jika anda melihat mengapa kali ini United muncul pasukan yang berada di kedudukan teratas dalam aspek penguasaan bola berbanding mana-mana kelab di Liga Perdana. Mengikut statistik, purata penguasaan bola yang dimiliki United bagi setiap perlawanan di Liga Perdana mencapai hingga 56.7%. Sementara itu kesuksesan United dalam melakukan hantaran pula mencapai 85%, jumlah peratusan ketiga tertinggi di Liga Perdana.

Segala statistik di atas sepatutnya diimbangi dengan gol demi gol ke gawang lawan tetapi itu tidak berlaku kepada United setakat ini. Mereka bergelut di kawasan lawan, melakukan hantaran sesama sendiri dan akhirnya seperti biasa anda akan melihat bola kembali ditolak ke belakang sebelum serangan baru disusun semula. Apa yang menyebabkan United gagal menjaringkan banyak gol walaupun mereka muncul pasukan yang sering menguasai bola secara mutlak?

Jawapan kepada persoalan ini sebenarnya cukup mudah kerana ianya ada dalam diri Wayne Rooney. Tidak seperti tiga atau empat tahun terakhir, prestasi Rooney kini langsung tidak menggambarkan bahawa beliaulah pemegang rekod penjaring terbanyak skuad kebangsaan England dan prospek yang bakal memadamkan rekod jaringan sepanjang masa milik Sir Bobby Charlton di Old Trafford. Rooney yang dahulunya pernah dianggap sebagai `mesin’ kepada skuad United kini gagal memberikan impak kehadirannya di barisan hadapan.

Selaku penyerang utama, ketumpulan Rooney sebenarnya memberikan kesan yang bukan sedikit kepada jentera serangan United. Tiga musim terakhir, Rooney lebih banyak bertindak selaku feeder kepada Robin Van Persie tetapi musim ini beliau kembali menikmati peranannya selaku penggempur utama. Melihat kepada ketumpulan jentera serangan United, saya agak hairan mengapa Van Gaal masih terus menyandarkan harapan kepada Rooney untuk bertindak selaku penyerang tengah sedangkan beliau memiliki pilihan lain.

Selain Rooney siapa lagi yang mampu bertindak sebagai penyerang utama? Saya yakin anda sudah memiliki jawapan tersebut kerana pilihan yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Anthony Martial. Pemergian Van Persie, Javier Hernandez, Radamel Falcao serta Adnan Januzaj (dipinjamkan ke Borussia Dortmund) menyebabkan pilihan Van Gaal di barisan hadapan semakin terhad. Mujurlah disaat akhir sebelum jendela perpindahan pemain musim panas ditutup, Van Gaal sempat mendapatkan tandatangan Martial dari AS Monaco.

Kehadiran Martial sedikit sebanyak memberikan variasi kepada gaya serangan United tanpa perlu terlalu bergantung kepada kudrat Rooney. Pemain yang dilabelkan sebagai `Next Thierry Henry’ ini memang memiliki potensi yang besar menerusi bakat dan kebolehan teknikal yang dimilikinya. Dalam lima perlawanan terakhir United, Martial diletakkan Van Gaal di sebelah kiri bagi mengisi tempat Memphis Depay yang setakat ini gagal memberikan impak seperti diharapkan.

Peranan selaku sayap kiri nampaknya seperti menghadkan pergerakan Martial dalam memburu gol dan aksi menentang CSKA Moscow kelmarin adalah contoh terbaik. Sepertimana ketika aksi menentang Palace, Martial sekali lagi berdepan kesukaran mendapatkan posisi sesuai bagi melakukan percubaan ke arah gawang lawan. Martial sendiri mengakui bahawa prestasinya ketika berdepan CSKA di bawah tahap sebenar. Memang sukar buat pemain muda seperti Martial berdepan pasukan yang mengamalkan permainan tersusun seperti CSKA dan itulah yang terpaksa beliau hadapi kelmarin.

Setiap kali beliau berjaya melepasi kekangan Alan Dzagoev, Mario Fernandes pula menanti di belakang yang sedia menghalang pergerakannya. Itu jugalah yang berlaku di Selhurst Park ketika Yohan Cabaye dan Martin Kelly silih berganti mengawal pergerakan Martial hingga menyaksikan beliau hanya mampu melakukan sembilan hantaran dan satu percubaan. Martial pada pandangan saya perlu diberikan kebebasan dalam permainannya dan posisi sesuai untuk beliau menikmati kebebasan itu ialah selaku penyerang tengah.

Beberapa hari lalu, ketika ditanya posisi manakah paling sesuai buat Martial, Van Gaal tidak punya jawapan konkrit. “Kami tidak tahu kerana di Monaco dia sering bermain sebagai sayap kiri. Sebagai pengurus saya harus melihat apa yang terbaik bagi keseimbangan pasukan. Ini bukan mudah kerana saya harus memutuskan setiap minggu (di mana posisi sesuai untuk Martial) dan juga bergantung lawan yang bakal kami hadapi”, kata Van Gaal. Saya berharap selepas menyaksikan pasukannya bergelut dalam usaha mereka menembusi pintu gol lawan, Van Gaal sudah menemui ilham di mana posisi paling sesuai buat Martial.

Atau mungkin juga secara jujurnya, ini mungkin saatnya Van Gaal berani bertindak dengan mengubah posisi Rooney selaku penyerang utama kepada `feeder’ sepertimana ketika kapten United itu digandingkan bersama Van Persie. Atau mungkin lebih drastik, Rooney direhatkan buat sementara waktu di bangku simpanan meskipun ini bukanlah satu keputusan popular dan perlukan keberanian dari Van Gaal. Bagaimanapun saya tidak yakin langkah kedua (merehatkan Rooney) bakal dilakukan Van Gaal, jadi pilihan terbaik ialah cuba meletakkan Martial selaku penyerang tengah, manakala Rooney pula bertindak sebagai `feeder’.

Walaupun Rooney berjaya menamatkan kemarau golnya selama 955 minit di pentas Liga Juara-Juara (tidak termasuk perlawanan playoff) itu bukan petanda bahawa masalah ketumpulan jentera serangan United juga bakal berakhir. Meskipun berjaya menjaringkan gol kelmarin, persembahan keseluruhan Rooney juga sebenarnya masih lagi jauh dari tahap terpuji. Bagaimanapun kredit tetap perlu diberikan kepada kapten United itu atas segala usaha kerasnya sepanjang 90 minit permainan hingga terhasilnya gol penting ke gawang CSKA itu.

Jika segala usaha sama ada mengubah posisi Martial dan Rooney tetap tidak berhasil menjadikan jentera serangan United lebih tajam, saya yakin Ed Woodward bakal turun ke gelanggang ketika jendela perpindahan pertengahan musim dibuka Januari nanti. Jika Van Gaal perlukan penyerang baharu, siapa striker yang cocok dengan falsafah permainan beliau? Sebelum tibanya Januari, nampaknya banyak `kerja rumah’ yang perlu dilakukan Van Gaal terutamanya bagi menjawab segala kritikan yang mengatakan bahawa skuad kendalian beliau bermain seperti robot.

Apa yang berlaku ke atas United sekarang bukan sekadar tentang soal falsafah bolasepak pegangan Van Gaal tetapi lebih penting bagaimana barisan kendalian beliau mahu muncul pemenang dalam perlawanan-perlawanan mereka selepas ini. Berbagai reaksi penyokong-penyokong United yang saya baca di media sosial, ada kelompok yang berpuashati dan ada juga yang tidak dengan gaya permainan United ketika ini. Jika anda tanyakan kepada saya, jawapan saya adalah `TIDAK’. Jika anda tanya kenapa? Jawapan saya ialah pasukan yang bagus bukan sekadar dominan dalam penguasaan bola tetapi juga tahu cara bagaimana mahu menjaringkan gol…Glory Glory Manchester United!!! - AJ