Keputusan
seri di Goodison Park Isnin lalu merupakan keputusan seri keenam yang
dicatatkan Manchester United dari 14 perlawanan awal mereka musim ini.
Menyaksikan lawan menjaringkan gol di penghujung perlawanan memang menyakitkan,
sama menyakitkan juga bila menyaksikan United sekadar berada di tangga keenam
liga dan semakin jauh ditinggalkan Chelsea selaku pendahulu.
Sebelum ini
United mencatatkan keputusan seri empat kali berturut-turut ketika mereka
bermain di Old Trafford (menentang Stoke City, Burnley, Arsenal dan West Ham) serta
dua keputusan seri di gelanggang lawan (menentang Liverpool dan Everton).
Selepas berakhirnya aksi menentang Arsenal 19 November lalu, Mourinho
mengatakan bahawa United adalah pasukan paling tidak beruntung di Liga Perdana.
Ya, memang
ada benarnya apa yang dikatakan Mourinho kerana ketika menentang Stoke City,
Burnley, Arsenal dan West Ham, United mendominasi perlawanan menerusi peluang
dan jumlah percubaan yang mereka lepaskan ke arah pintu gol lawan. Ketika
menentang Arsenal, United melakukan lima percubaan tepat dari 12 yang mereka
lepaskan namun hanya satu menghasilkan gol.
Sementara
Arsenal pula menjaringkan gol penyamaan menerusi satu-satunya shot on target mereka dan itupun berlaku
diminit ke-89. Berkongsi mata dengan lawan selepas anda menguasai perlawanan
memang mengecewakan dan empat keputusan seri (digelanggang sendiri) bermakna
United cuma mampu mengutip empat mata dari 12 yang ditawarkan.
Mourinho kini
hanya mampu mengeluh bila mengenangkan situasi yang dialami United ketika ini. Entahlah
sama ada United memang tidak beruntung atau Mourinho sudah hilang sentuhan
magisnya seperti yang disebut Samuel Eto’o baru-baru ini, tetapi perubahan
perlu dilakukan beliau bagi mengelak United terus jauh ketinggalan di belakang
musuh-musuh domestik mereka.
Sepertimana
kehidupan, bolasepak juga begitu, sentiasa berubah, bertranformasi dan
berevolusi. Jika tidak berani melakukan perubahan dan ikut bertranformasi, anda
akan ketinggalan di belakang. Dalam hal ini saya tertarik dengan pendapat bekas
pemain Liverpool dan Tottenham Hotspurs, Jamie Redknapp. Apa yang dikatakan
Redknapp?
Beberapa
minggu lalu, Redknapp mengatakan bahawa strategi Mourinho sebenarnya mudah
dibaca lawan dan mencadangkan agar beliau melakukan perubahan dalam formasi,
strategi dan taktikal permainan United. Ya, memang ada kebenarannya apa yang
dikatakan Redknapp kerana seperti yang saya sebutkan dalam posting sebelum ini, Mourinho perlu mencontohi apa yang dilakukan
Antonio Conte bersama Chelsea.
Tidak perlu diperdebatkan
tentang pencapaian silam Mourinho kerana beliau memang antara pengendali paling
berjaya dalam era bolasepak moden. Bagaimanapun beliau tetap manusia biasa.
Untuk sentiasa sukses, Mourinho juga perlu berubah dan melakukan perubahan
seperti orang lain. Jadi apa yang perlu dilakukan Mourinho jika beliau mahu
melihat United kembali mencabar dan tidak terus keciciran mata?
Memperbaiki Cara Bertahan
Sebelum tiba
di Old Trafford, Mourinho memang cukup terkenal dengan taktik bertahannya. Apa
sahaja yang berlaku di atas padang, apapun caranya, Mourinho hanya mahukan
kemenangan. Persetan dengan corak permainan menghiburkan kerana apa yang
penting bagi Mourinho ialah pasukannya keluar sebagai pemenang.
Bagaimanapun
itu tidak berlaku sekarang kerana United sudah dibolosi sebanyak 16 kali (sebelum
perlawanan menentang Spurs) meskipun dalam setiap perlawanan pintu gol mereka
hanya menerima purata 9.33 percubaan dari pihak lawan.
Ketika United
bertahan, strategi Mourinho ialah menggunakan zonal marking berbanding man
to man marking yang diamalkan pengendali sebelumnya iaitu Louis Van Gaal.
Dalam situasi defensif, formasi 4-2-3-1 yang sering digunakan Mourinho akan
berubah kepada 6-3-1 yang mana dua pemain sayap United akan turut turun ke
bawah.
Ketika inilah
(saat dua winger turun membantu
pertahanan) pemain-pemain berbahaya lawan seperti Eden Hazard, Phillipe
Coutinho dan Kevin De Bruyne memanfaatkan masa dan ruang yang ada di sebelah
kiri dan kanan. Lihat sajalah apa yang berjaya dilakukan tiga pemain ini
(Hazard, Coutinho dan De Bruyne) ketika United berdepan Chelsea, Liverpool dan
City sebelum ini.
Berbanding
Mourinho, lawan-lawan beliau seperti Antonio Conte, Pep Guardiola, Jurgen Klopp
dan Mauricio Pochettino memilih kaedah pressing
secara berstruktur ketika bertahan. Dengan kaedah bertahan seperti ini, mereka sering
sahaja berjaya memanfaatkan kealpaan lawan yang sedang menyerang menerusi
taktik serang balas pantas.
Strategi counterpressing yang digunakan Spurs
contohnya meningkatkan peluang mereka mendapatkan kembali penguasaan bola jauh
di kawasan lawan (tekanan agresif di blok tinggi). Strategi ini bertujuan
mencegah lawan dari membangunkan serangan dari bawah sekaligus menyebabkan mereka
(lawan) hilang tempo ketika menyerang.
Meningkatkan Ketajaman Bahagian Hadapan
Musim ini
United sekali lagi berbelanja besar selepas kelab berjaya menandatangani Zlatan
Ibrahimovic, Paul Pogba, Eric Bailly dan Henrikh Mkhitaryan. Kehadiran
pemain-pemain seperti Ibra, Pogba dan Miki pada mulanya diharap mampu memberikan
lebih kreativiti dan ketajaman ketika menyerang.
Setakat 14
perlawanan, pemain-pemain United sudah melepaskan 225 percubaan ke arah pintu
gol lawan tetapi dari jumlah tersebut hanya 19 gol berjaya dijaringkan. Ibra
pula muncul pemain paling banyak melakukan percubaan ke arah pintu gol lawan di
Liga Perdana menerusi 64 `tembakan’ yang dilepaskannya.
Adakah
statistik ini menunjukkan bahawa barisan hadapan United kurang tajam dan jika
benar apa yang menyebabkan mereka kurang menjaringkan gol? Jika anda perhatikan
dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini, lawan meletakkan pertahanan mereka di deep area ketika berdepan United, taktik
sama yang digunakan Manchester City, Liverpool dan Arsenal.
Strategi
bertahan yang digunakan lawan menyebabkan Ibra terpaksa kerap turun ke bawah
bagi mendapatkan bola untuk membantu membangunkan serangan. Kekerapan Ibra untuk
turun juga menyebabkan tekanan di benteng pertahanan lawan berkurangan walaupun
United menguasai bahagian tengah.
Ibra
sebenarnya lebih sesuai jika dibiarkan berada jauh di kawasan lawan bagi
menyudahkan hantaran-hantaran sambil dibantu juga pergerakan-pergerakan dari
pemain tengah mahupun dari kedua-dua bahagian sayap. Jadi untuk itu, Mourinho
boleh memaksimakan pemain yang memiliki teknik bagus dan fizikal yang kuat
seperti Pogba atau kreativiti Miki yang semakin menyerlah sejak akhir-akhir
ini.
Selepas
mengharungi 14 perlawanan, Mourinho nampaknya terlalu bergantung kepada Ibra
selaku penggempur. Saya faham situasi ini kerana Ibra tiba di Old Trafford
berbekalkan reputasi penyerang yang menjaringkan 50 gol dari 51 penampilan di
Perancis. Di peringkat liga, selain David De Gea, Ibra antara pemain yang kerap
diturunkan Mourinho selama 90 minit.
Kualiti Ibra
sebagai penggempur memang tidak perlu diragukan tetapi Liga Perdana tentunya
berbeza berbanding Ligue 1. Mourinho nampaknya masih lagi percaya pada
keberkesanan formasi 4-2-3-1 dengan Ibra sering bertindak berseorangan sebagai
penggempur.
Ketika Ibra
kemarau gol dalam tujuh perlawanan sebelum ini, Mourinho pula masih lagi kekal
dengan formasi dan taktik yang sama. Meletakkan dua penyerang dalam petak penalti
lawan perlu dicuba Mourinho bagi menambah peratusan peluang menjaringkan gol dan
untuk itu apa yang dilakukan Laurent Blanc di PSG musim lalu boleh dijadikan
panduan.
Di PSG, Ibra
memang diletakkan sebagai penggempur utama Blanc tetapi dalam masa yang sama
beliau juga meletakkan dua penyerang dalam petak penalti lawan untuk menambah
produktiviti skuadnya dalam menghasilkan gol. Adanya Ibra tidak mengurangkan
ketajaman Edinson Cavani dalam merobek gawang lawan di mana musim lalu
penyerang Uruguay itu menjaringkan 25 gol dari 52 penampilan.
Kesimpulannya
Perubahan-perubahan
yang disebutkan di atas tidak menjamin United akan menjaringkan banyak gol
selepas ini atau mereka akan menang dengan margin gol yang besar. Jika PSG
terlalu jauh, lihat pula apa yang dilakukan Southampton, Leicester City dan
West Bromwich saat barisan penyerang mereka merobek gawang Burnley.
Oktober lalu,
Tom Heaton (penjaga gol Burnley) tampak begitu kebal ketika beliau menafikan
deretan peluang yang dicipta barisan hadapan United, namun lain pula ceritanya saat
The Clarets berdepan Southampton,
Leicester City dan West Bromwich.
United
dengan barisan penggempur ternama gagal menembusi pintu gol Burnley tetapi Southampton,
Leicester dan West Brom pula yang menggunakan kaedah dua penyerang berjaya menewaskan
Heaton sebanyak tiga dan empat kali.
Kejayaan
tiga pasukan ini menewaskan Burnley dengan jaringan besar bukan dibantu faktor
nasib kerana Heaton juga sebenarnya bermain dengan cukup cemerlang sama seperti
yang beliau pamerkan ketika berdepan United.
Jika masih
enggan menggunakan dua penyerang, Mourinho tetap boleh memilih cara lain bagi
memastikan barisan hadapannya lebih produktif. Dengan strategi yang tepat,
penjaga gol terhandal dunia sekalipun mampu dibolosi.
Fakta bahawa
pintu gol United sudah dibolosi 16 kali dari 14 perlawanan liga manakala
barisan hadapan pula hanya mampu menjaringkan 19 gol sukar diterima jika
diambilkira skuad yang Mourinho miliki dan wang yang sudah beliau belanjakan
sepanjang musim panas lalu.
Saya bukan
pakar taktikal cuma sekadar berkongsi pendapat sebagai penyokong United dan apa
yang saya tulis dalam posting kali
ini semuanya dikutip melalui pelbagai sumber pembacaan. Mourinho sudah membawa
perubahan besar kepada gaya permainan United tetapi bagi saya itu belum cukup
untuk menjadikan The Red Devils
kembali ditakuti.
Apa yang perlu
dilakukan Mourinho bagi mengubah nasib United selepas ini? Jawapannya ialah
beliau perlu berani melakukan perubahan. Mourinho dibawa ke Old Trafford kerana
beliau dilihat mampu mengubah semula nasib United dan hingga kini pun saya masih
kekal optimis beliau mampu melakukannya.
Mungkin
trofi Liga Perdana agak jauh dari jangkauan tetapi Mourinho masih ada pentas
yang masih tersedia untuk beliau membuktikan kredibiliti dirinya. Memenangi
Liga Europa, Piala FA atau Piala Liga dan membawa United beraksi semula di
pentas Liga Juara-Juara musim depan adalah cara terbaik untuk Mourinho
membuktikan bahawa beliau masih lagi “The
Special One” bukan “The Ordinary One”...Glory
Glory Manchester United!!! - AJ