30 Ogos 2013

UNDIAN LIGA JUARA-JUARA: JANGAN REMEHKAN PENCABAR KITA



Undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini telah dilangsungkan semalam di mana empat kelab England sudahpun mengetahui dalam kumpulan mana mereka bakal bersaing. Sebaik sahaja undian selesai di jalankan, Arsene Wenger mendapati beliau bakal memikul tugas berat dalam misi membawa pasukannya ke pusingan kalah mati nanti apabila Arsenal diletakkan sekumpulan dengan Olympique Marseille, naib juara tahun lalu Borussia Dortmund dan SS Napoli yang dikendalikan Rafa Benitez. Timbul persoalan apakah Arsenal mampu melepasi halangan peringkat kumpulan kali ini di mana Dortmund dan Napoli saya anggap sebagai pasukan pilihan Kumpulan F. Manchester United pula diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama Bayern Leverkusen, Shaktar Donetsk dan Real Sociedad. Jika dinilai dari segi kekuatan tiga kelab ini berbanding United, saya tidak nampak sebarang masalah untuk kelab mara ke pusingan seterusnya. Bagaimanapun kegagalan di pentas Eropah musim 2011/12 patut dijadikan pengajaran dan kita tidak sepatutnya memandang rendah pada cabaran yang bakal diberikan Leverkusen, Donetsk dan Sociedad. Dua tahun lalu kita diaibkan kerana muncul juara Liga Perdana pertama dalam tempoh sedekad gagal melepasi saingan peringkat kumpulan. Walaupun pada awalnya kita dijangka mudah melepasi halangan Benfica, Basel dan Otelul Galati di peringkat kumpulan, anak-anak buah Sir Alex Ferguson akhirnya sekadar menduduki tangga ketiga, sekaligus membenarkan Benfica dan Basel mara kepusingan seterusnya. Sebagai peminat, saya dan anda juga tentu berharap agar memori pahit itu tidak berulang kembali. Kelab Ukraine, Donetsk saya anggap sebagai pencabar utama jika diambilkira prestasi mereka dipentas Eropah musim lalu. Mereka menduduki tangga kedua peringkat kumpulan musim lalu sekaligus berjaya menyingkirkan Chelsea untuk mengiringi Juventus ke pusingan seterusnya. Dalam Kumpulan E pula, Chelsea mungkin antara kelab England yang mendapat laluan paling mudah selepas mereka diundi bersama-sama Schalke 04, FC Basel dan bekas juara Eropah 1986, Steaua Bucharest. Dari tiga pencabar ini, mungkin kelab Bundesliga, Schalke 04 yang bakal memberikan masalah kepada anak-anak buah Mourinho. Bagaimanapun kemampuan Basel untuk melakukan kejutan tidak harus diketepikan memandangkan mereka pernah menyingkirkan United di peringkat kumpulan pada musim 2011/12.

Berbanding United dan Chelsea, Manchester City diundi dalam kumpulan yang agak 'ketat' kerana diletakkan bersama-sama juara bertahan, Bayern Munich, CSKA Moscow dan Viktoria Plzen. Bukan mahu memperkecilkan kemampuan Plzen tetapi saya anggap mereka boleh melupakan sebarang peluang layak ke pusingan seterusnya sebaik sahaja undian selesai dilakukan semalam. Amat menarik untuk melihat saingan tiga penjuru antara Munich, City dan CSKA dalam kumpulan ini dan saya pasti selepas berbelanja besar, Manuel Pallegrini tentunya tidak mahu aib yang menimpa Roberto Mancini musim lalu berulang kembali. Selepas menang kejuaraan treble musim lalu, Munich sudah pasti diletakkan sebagai pilihan utama menjuarai kumpulan ini dan saya tidak sabar untuk menyaksikan apakah Pep Guardiola mampu mengulangi pencapaian gemilangnya ketika bersama Barcelona sebelum ini. Selain Kumpulan F yang diisi Arsenal, Napoli, Dortmund dan Marseille, Kumpulan H juga dijangka bakal menyaksikan persaingan sengit selepas Barcelona, AC Milan, Ajax Amsterdam dan Glasgow Celtic diletakkan bersama. Neil Lennon sekali lagi mendapati pasukannya diletakkan sekumpulan bersama Barcelona yang pernah ditewaskan mereka menerusi kemenangan bersejarah 2-1 di Celtic Park musim lalu. Pertembungan Real Madrid, Juventus, Galatasaray dan FC Copenhagen dalam Kumpulan B juga tidak kurang menariknya. Selepas melihat tiga gergasi (Madrid, Juve dan Galatasaray) diletakkan dalam kumpulan ini, Stale Solbakken mungkin melihat saingan Liga Europa adalah sasaran realistik buat anak-anak buahnya berbanding impian layak ke pusingan kalah mati. Madrid adalah pilihan utama manakala Galatasaray yang diperkuatkan Didier Drogba dan Wesley Sneijder bakal memberikan saingan sengit kepada Juve untuk satu lagi slot. Secara keseluruhannya, saya agak lega melihat keputusan undian semalam. Masih terlalu jauh untuk kita memikirkan kelab manakah lawan yang bakal kita temui di peringkat kalah mati nanti kerana Donetsk, Sociedad dan Leverkusen adalah pencabar yang perlu dihadapi terlebih dahulu. Jika tidak mahu aib musim 2011/12 berulang, kita tidak sepatutnya memandang mudah kemampuan tiga kelab ini yang menjadi lawan kita dalam Kumpulan A. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

29 Ogos 2013

PEWARIS LEGASI ROBBO…ANTARA YANG CEMERLANG DAN KECUNDANG


Bryan Robson
Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Bryan Robson (Robbo) adalah penyarung jersi nombor 7 paling terkenal, meskipun  generasi baru peminat-peminat Manchester United lebih menyanjungi David Beckham dan Cristiano Ronaldo sebagai idola mereka. Peminat-peminat ketika itu memberikan gelaran Captain Marvel kepada Robbo bukan hanya disebabkan lilitan ketua pasukan yang dipakainya, tetapi juga kerana pengaruh besar yang dimainkannya di bahagian tengah United sepanjang 13 musim berkhidmat di Old Trafford. Robbo masih memegang rekod pemain paling lama memakai lilitan ketua pasukan (1982-1994) dalam sejarah kelab, menjadi pemimpin dan inspirasi di atas padang baik ketika menyarung jersi kelab mahupun kebangsaan. Jangan lupakan juga bahawa Robbo muncul ketua pasukan pertama menjulang trofi liga dalam tempoh 26 tahun sejak kali terakhir Denis Law melakukannya pada musim 1966-67. Selepas bermain sebanyak 345 perlawanan liga dan menjaringkan 74 gol, Robbo meninggalkan Old Trafford dan menyertai Middlesbrough pada musim panas 1994. Sejak berakhirnya era Robbo, Sir Alex Ferguson merekrut beberapa pemain bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan lagenda itu. Satu-satunya maestro di bahagian tengah yang paling terkenal selepas berakhirnya era Robbo ialah Roy Keane. Keane saya anggap berjaya menyamai semua pencapaian yang pernah diraih mentornya itu selepas menyertai United dari Nottingham Forest pada 1993. Jika Robbo memegang rekod kelab selaku pemain paling lama menyandang tugas sebagai ketua pasukan, Keane pula memegang rekod selaku ketua pasukan paling banyak memenangi kejuaraan. Walaupun memiliki ketinggian hanya 1.78m, Keane ibarat raksasa di tengah padang melalui gaya permainan kerasnya serta semangat inginkan kemenangan yang sentiasa meluap-luap setiap kali dia mengetuai barisan The Red Devils.

Roy Keane
Ungkapan “Kemenangan adalah segala-galanya” sudah begitu sinonim dengan Keane sepanjang 12 tahun beliau di Old Trafford. Ungkapan itu sebenarnya memang bertepatan dengan Keane kerana selama 12 tahun menyarung jersi kelab, beliau sudah memenangi segala-galanya untuk United. Beliau mungkin terlepas aksi final Liga Juara-Juara 1999 menentang Bayern Munich akibat penggantungan, tetapi tanpa sumbangannya terutama ketika menyingkirkan Juventus yang ketika itu diperkuatkan Zinedine Zidane di peringkat separuh akhir, barisan Treble 99 tidak mungkin berada di Nou Camp dan menjulang trofi Eropah itu buat kali ke-2. Keane mungkin bukan pemain tengah paling berbakat di dunia ketika eranya tetapi konsistensi yang dipamerkannya cukup menakjubkan. Ada pendapat mengatakan bahawa sikap panas baran Keane ketika di dalam padang sebenarnya didorong oleh nalurinya yang terlalu obses terhadap kemenangan. Keane tidak memerlukan skill menggelecek hebat ketika mengemudi bahagian tengah United, tetapi sikap inginkan kemenangan yang sentiasa diletakannya ditempat tertinggi adalah senjata utamanya, sekaligus menjadikan beliau sebagai pemimpin yang cukup dikagumi kawan dan lawan. Mungkin beliau menimbulkan kemarahan segelintir peminat menerusi komen-komen pedasnya terhadap rakan-rakan sepasukan dan kelab ketika penghujung kariernya di Old Trafford, tetapi sumbangan besarnya terhadap sejarah dan kejayaan kelab tidak harus kita lupakan. Selepas Keane meninggalkan pasukan, Sir Alex mengetengahkan pula Darren Fletcher sebagai pengganti.

Darren Fletcher
Kemunculan awal Fletcher pernah dibahaskan pemerhati-pemerhati bolasepak ketika itu menerusi komen-komen sinis mereka (saya pernah menulis artikel berkenaan Fletcher sebelum ini). Mereka berpendapat Fletcher tidak cukup berbakat untuk melayakkan dia disenaraikan dalam skuad senior, apatah lagi membarisi kesebelasan utama pasukan. Segala teori konspirasi itu dipadamkan Fletcher apabila dia secara perlahan-lahan mula menyerlahkan kualitinya di bahagian tengah terutama selepas Keane berhijrah ke Glasgow Celtics pada 2005. Akhirnya Fletcher menutup mulut pengkritik-pengkritiknya dan membuktikan bahawa tempatnya dalam skuad utama diperolehi secara merit dan bukannya menerusi pintu belakang. Walaupun gaya permainannya tidak sekeras Keane dan sikapnya pula jauh lebih tenang berbanding lagenda dari Republik Ireland itu, Fletcher muncul antara pemain United paling tidak digemari pengurus Arsenal, Arsene Wenger selain Paul Scholes. Ini berikutan kemampuan Fletcher melakukan terjahan-terjahan kemas yang sering menganggu kelancaran playmaker lawan ketika mereka menyusun gerakan selain kemampuannya membuka permainan ketika menyerang. Aksi terakhir Fletcher ialah ketika berdepan Queens Park Rangers di Old Trafford pada 24 November lalu di mana dia menjaringkan satu gol sebelum kelab mengumumkan pemain tengah itu menjalani satu lagi pembedahan pada 17 Januari. Kini timbul kebimbangan adakah penyakit ulser yang dihidapi Fletcher bakal menamatkan karier bolasepaknya, namun saya tetap berharap agar kapten Scotland itu segera sembuh dan kembali beraksi di atas padang.

Eric Djemba Djemba
 Selain Keane dan Fletcher, ada beberapa lagi pemain yang cuba digilap Sir Alex bagi meneruskan legasi Robbo seperti Paul Ince, Nicky Butt, Eric Djemba Djemba, Liam Miller dan Owen Hargreaves tetapi semuanya gagal menepati potensi yang diharapkan. Djemba Djemba umpamanya sering keluar masuk dalam skuad utama sepanjang 18 bulan di Old Trafford meskipun pada mulanya dilabel sebagai pelapis kepada Keane. Keane adalah pengganti sempurna kepada Robbo tetapi Djemba Djemba jelas tidak cukup bagus untuk mengambilalih posisi Keane. Liam Miller ditandatangani Sir Alex dari Glasgow Celtics pada 2004 selepas kelab berdepan masalah kekurangan pemain tengah. Sepertimana Keane, Miller juga berasal dari Cork, Ireland tetapi untuk melabelkannya sebagai 'Bryan Robson Baharu' atau setidak-tidaknya mewarisi posisi Keane adalah sesuatu yang agak keterlaluan. Miller berjuang merebut tempat dalam skuad utama tetapi hanya mampu melakukan 22 penampilan untuk kelab dalam semua kejohanan sebelum meninggalkan Old Trafford pada 2006. Saya cukup gembira ketika mendengar perkhabaran bahawa kelab berjaya menandatangani Owen Hargreaves dari Bayern Munich pada 2007. Hargreaves mengharungi musim pertamanya di Old Trafford dengan sempurna apabila berjaya menjulang trofi liga dan kemudiannya membantu kelab menewaskan Chelsea pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Moscow. Bagaimanapun segala potensi itu akhirnya musnah apabila Hargreaves dibelenggu masalah kecederaan lutut berpanjangan dan hanya bermain sebanyak 27 perlawanan dalam tempoh 20 bulan.


Paul Ince
Jika bukan kerana masalah lutut yang kronik, saya percaya Hargreaves mampu memberikan sumbangan lebih besar kepada kelab. Agak menyedihkan apabila melihat pemain berbakat sepertinya terpaksa bersara pada usia 30 tahun sedangkan rakan-rakan seangkatannya masih mampu beraksi pada tahap tertinggi. Selain Keane, Paul Ince saya anggap antara pemain paling bertuah kerana sempat beraksi bersama Robbo. Ince mencatat sejarah sebagai pemain kulit hitam pertama pernah dilantik sebagai kapten England, ditandatangani Sir Alex dari West Ham pada 1989. Ince pemain tengah agresif dan gandingannya bersama Robbo berjaya membawa kelab menjulang trofi liga buat pertama kali dalam tempoh 26 tahun pada 1993. Bagaimanapun perbalahannya dengan Sir Alex menyebabkan karier Ince di Old Trafford berakhir dan dia ditunjukkan pintu keluar pada musim panas 1995. Selepas berang dengan penampilan Ince sehingga menyebabkan kelab terlepas trofi liga kepada Blackburn Rovers di penghujung musim 1994/95, Sir Alex bertindak melepaskan pemain itu bersama-sama Andre Kanchelskis dan Mark Hughes. Musim 1995/96, Sir Alex melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuadnya dengan memberikan peluang kepada pemain-pemain muda tampil dalam skuad utama. David Beckham, Paul Scholes, Ryan Giggs, adik beradik Neville dan Nicky Butt atau sering juga disebut peminat sebagai anggota Class of 92 mengambilalih posisi pemain-pemain senior yang dilepaskan Sir Alex ke kelab lain. Di awal kemunculannya, Butt dikatakan memiliki gaya permainan mirip Robbo dan melakukan tugasnya dengan baik di bahagian tengah pada musim pertamanya bersama skuad utama.

Nicky Butt
Bagaimanapun kembalinya Roy Keane ke dalam skuad selepas pulih dari kecederaan ditambah pula dengan persaingan hebat yang diberikan rakan seangkatannya, Scholes menyebabkan penampilan Butt semakin terbatas. Walaupun begitu, Butt sempat merasai aksi perlawanan besar apabila diberi peluang membarisi kesebelasan utama di perlawanan akhir Liga Juara-Juara edisi 1999 bagi menggantikan tempat Keane yang digantung. Saya agak kagum dengan kesabaran Butt bertahan selama 12 tahun di Old Trafford walaupun mendapati dirinya bukanlah pilihan utama Sir Alex di bahagian tengah. Selepas tampil 269 perlawanan liga dan menjaringkan 21 gol untuk United, Butt akhirnya menyertai Newcastle United pada musim panas 2004. Dari senarai nama-nama yang ada di atas, jelaslah bahawa hanya Keane satu-satunya pemain yang mampu menandingi apa yang sudah diberikan Robbo selama 13 tahun khidmatnya di Old Trafford. Fletcher pula sudah membuktikan bahawa dia memang layak menggantikan tempat Keane selepas lagenda dari Ireland itu meninggalkan kelab, tetapi agak malang masalah kesihatan mungkin menamatkan karier bolasepaknya lebih awal. Ince pula bagi saya antara pemain tengah England berbakat (jika tidak masakan dia dilantik sebagai kapten England) di eranya, tetapi konfrontasi dengan pengurus menyebabkan dia hanya mampu bertahan selama 6 tahun. Djemba Djemba, Butt, Miller dan Hargreaves pula gagal menepati ramalan disebabkan faktor prestasi, gagal beradaptasi dengan baik bersama pasukan dan juga masalah kecederaan kronik. Robbo adalah ikon, pemimpin sejati, lagenda dan juga seorang pemenang. Biarpun Robbo sudah lama bersara, bagi peminat-peminat United era 80an, kelibatnya ketika di atas padang tetap dirindui. Entah bila pemimpin sejati seperti Robbo akan 'dilahirkan' semula atau setidak-tidaknya kita dapat melihat pemain dengan gaya permainan seperti Keane muncul kembali. Keane layak dibandingkan dengan Robbo manakala yang lainnya gagal menepati ramalan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

27 Ogos 2013

LUPAKAN SAJA ROONEY WAHAI MOURINHO



Wayne Rooney mungkin terganggu dengan spekulasi berterusan berkaitan masa depannya bersama kelab, tetapi sebagai profesional tulen, dia nampaknya tidak menghiraukan langsung kelibat individu yang begitu berminat membawanya keluar dari Old Trafford, siapa lagi kalau bukan Jose Mourinho. Sepanjang perlawanan menentang Chelsea awal pagi tadi, Rooney membuktikan kepada semua mengapa namanya patut berada dalam senarai kesebelasan utama selepas dia memberikan kesan besar kepada pasukan sepanjang 90 minit permainan. Persembahan keseluruhan Rooney tidak menunjukkan langsung petanda bahawa dia ingin meninggalkan Old Trafford dan berpindah ke kelab lain. Selepas menyaksikan Rooney menjadi nadi kepada permainan United, Mourinho nampaknya sudah mula percaya bahawa peluang untuk beliau membawa penyerang itu ke Stamford Bridge semakin pudar. Rooney diturunkan sebagai starter buat pertama kali di era David Moyes, dan meskipun perlawanan berakhir tanpa jaringan, Rooney diberikan sambutan hebat oleh peminat-peminat di Old Trafford sepanjang permainan. Amat jelas, reaksi peminat menunjukkan bahawa mereka memang mahukan agar Rooney terus bertahan di sebalik spekulasi dia 'meminta keluar' yang ditiupkan media sejak Mei lalu.

Sambutan hangat peminat dibalas Rooney dengan aksi bersemangat di atas padang, dan situasi itu sepatutnya membuatkan Mourinho segera melupakan hasratnya mahu melihat pemain itu menyarung jersi biru sebelum jendela perpindahan pemain ditutup. “Mereka (peminat) menyokongnya, jadi saya rasa ini adalah kelab yang sangat istimewa dan mempunyai penyokong yang istimewa. Jika dia mahu kekal, kami akan menjadi pihak pertama yang menghormati pendiriannya dan mengatakan bahawa pemburuan ini sudah berakhir”, komen Mourinho selepas tamat perlawanan. Perlawanan awal pagi tadi sebenarnya medan terbaik buat Mourinho menilai situasi Rooney bersama United dan selepas menyaksikan reaksi penyerang England itu sepanjang perlawanan, saya percaya Mourinho sepatutnya sudah mula memikirkan alternatif lain sebagai pengganti. Kerja kerasnya sepanjang permainan, kreatif ketika menyusun serangan dan dedikasi yang dipamerkannya ketika bertahan menjadi isyarat jelas kepada peminat-peminat termasuk saya bahawa Rooney akan terus kekal di Old Trafford. Mourinho memberikan tempoh 48 jam kepada Rooney agar segera membuat keputusan tetapi saya percaya dia akan berkata TIDAK kepada Chelsea dan memilih kekal menyarung jersi merah The Red Devils. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

REVIEW: ADAKAH KEPUTUSAN SERI ADIL BUAT KITA?


Rekod tanpa kalah Jose Mourinho ketika berdepan David Moyes nampaknya terus berpanjangan kepada sembilan perlawanan selepas Chelsea berjaya mengikat Manchester United pada pertemuan liga di Old Trafford awal pagi tadi. Keputusan seri tanpa jaringan mungkin dilihat adil bagi sesetengah pihak tetapi keputusan pengadil perlawanan, Martin Atkinson menafikan sepakan penalti selepas bola percubaan Tom Cleverley terkena tangan Frank Lampard boleh dibahaskan. Ulang tayang menunjukkan Atkinson berada pada kedudukan tepat dan melihat dengan jelas insiden diminit ke-66 itu, tetapi akhirnya kita terpaksa mengakui bahawa pengadil perlawanan adalah individu paling berkuasa di atas padang. Seperti yang diramalkan sebelum ini, Moyes akhirnya meletakkan Wayne Rooney dalam kesebelasan utamanya bersama-sama Robin Van Persie di bahagian hadapan manakala penjaring dua gol di Stadium Liberty, Danny Welbeck pula diletakkan di sebelah kiri dalam formasi 4-2-3-1. Meskipun diganggu dengan spekulasi berterusan tentang masa depannya bersama kelab, Rooney memberikan kesan besar kepada jentera serangan United, kreatif menyusun gerakan selain dedikasi yang ditunjukkannya ketika bertahan. Pujian juga wajar diberikan kepada dua midfielder kita, Michael Carrick dan Tom Cleverley yang berjaya mendominasi bahagian tengah hingga menenggelamkan penampilan Frank Lampard dan Ramires sepanjang 90 minit permainan. Carrick sepertimana musim lalu terus menjadi sandaran utama di bahagian tengah dan dia sekali lagi membuktikan kualitinya dalam perlawanan ini. Carrick menyentuh bola sebanyak 79 kali, dan daripadanya dia berjaya menyempurnakan 87% hantaran sepanjang perlawanan walaupun sering dicabar oleh Eden Hazard dan Oscar. Jika diberikan pilihan, saya memilih Oscar sebagai pemain terbaik pelawat kerana beberapa kali berjaya menguji David de Gea menerusi gerakan dan percubaan-percubaan yang dihasilkannya terutama di babak pertama perlawanan.

Keupayaan lawan memaksa United berkongsi mata juga pada pandangan saya disumbangkan menerusi persembahan cemerlang pertahanan veteran dan juga kapten mereka, John Terry. Biarpun menerima kritikan hebat musim lalu, Terry memainkan peranannya dengan berkesan selaku tonggak benteng pertahanan menerusi kebolehannya membaca permainan selain memenangi 60% perebutan bola di udara. Walaupun Mourinho selepas tamat perlawanan mengatakan bahawa keputusan ini adil buat kedua-dua pasukan, Moyes sebenarnya mampu mencatat kemenangan peribadi pertamanya ke atas pengendali Chelsea itu. Kita memperolehi peluang terbaik untuk menjaringkan gol di minit ke-56 menerusi Danny Welbeck tetapi rembatannya selepas menerima hantaran Rooney melewati palang gol. Sepuluh minit selepas itu pelawat sekali lagi terselamat, kali ini menerusi keputusan Atkinson yang meneruskan perlawanan biarpun pada pandangan saya dia melihat dengan jelas bagaimana rembatan Cleverley terkena tangan Lampard. Saya akui Atkinson berjaya menjalankan tugasnya dengan baik sepanjang 90 minit perlawanan, tetapi keputusan enggan memberikan sepakan penalti selepas insiden minit ke-66 itu berlaku dihadapan matanya menafikan peluang kita meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri. Peluang terakhir mencatatkan kemenangan hadir di penghujung perlawanan, namun bola rembatan Van Persie berjaya ditampan John Obi-Mikel. Akhirnya keputusan seri tanpa jaringan terpaksa kita terima dengan hati terbuka selepas menyaksikan anak-anak buah Moyes menguasai lawan mereka sepanjang permainan. Suka atau tidak kita terpaksa mengakui bahawa, keputusan ini menguntungkan Chelsea kerana mereka berjaya mengharungi tiga perlawanan awal tanpa kalah selain kekal di kedudukan teratas liga. Keputusan akhir perlawanan memang menguntungkan mereka, tetapi beberapa keputusan pengadil sepanjang perlawanan sebenarnya merugikan kita. Satu-satunya faktor yang mungkin boleh membuatkan kita tersenyum ialah betapa rekod tanpa kalah kelab pada perlawanan pertama liga di gelanggang sendiri kekal bertahan sejak kali terakhir tewas kepada Everton 21 tahun lalu. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan United-Chelsea:

Sepakan Sudut: 4 – 1
Percubaan Tepat: 3 – 4
Percubaan Tersasar: 9 – 4
Kekasaran: 9 – 10
Offside: 3 – 1
Kad Kuning: 0 – 2
Kad Merah: -
Gol: 0 – 0
Penguasaan Bola: 55% – 45%

25 Ogos 2013

10 FAKTA PERTEMUAN UNITED-CHELSEA




1. Pertemuan pertama membabitkan kedua-dua pasukan berlaku pada Hari Natal 1905 di mana berkesudahan dengan seri 0-0. Di akhir musim United berada di tangga kedua Divisyen 2 sekaligus layak ke Divisyen 1 musim berikutnya.

2. United mendominasi era Liga Perdana sejak diperkenalkan pada 1992 dengan memenangi kejuaraan liga sebanyak 13 kali tetapi, Chelsea adalah saingan paling sukar ditewaskan The Red Devils. Peratus kemenangan United ketika berdepan Chelsea dalam saingan liga hanyalah 31% sekaligus peratusan paling rendah berbanding lawan-lawan mereka yang lain.

3. Masih tiada mana-mana pemain dari kedua-dua pasukan yang berjaya menjaringkan hatrik dalam sejarah pertemuan (Liga Perdana) mereka. Hanya Paul Scholes, David Beckham, Ryan Giggs, Wayne Rooney, Andy Cole, Eric Cantona, Gianluca Vialli, Tore Andre Flo, Gustavo Poyet dan Michael Ballack hampir melakukannya apabila masing-masing menjaringkan 2 gol. Adakah pertemuan awal pagi Selasa nanti menyaksikan ada pemain menjaringkan hatrik buat pertama kali dalam sejarah pertemuan (Liga Perdana) United-Chelsea?

4. Kedua-dua kelab bertemu sebanyak 5 kali musim lalu dalam semua kejohanan domestik. United menang sekali dan seri sekali manakala 3 pertemuan lagi memihak kepada Chelsea.

5. Chelsea memiliki peluang untuk muncul kelab pertama dalam sejarah Liga Perdana yang berjaya menewaskan United dalam tahun yang sama selepas mereka menang di Old Trafford (1-0), 5 Mei lalu.

6. David Moyes sudah berdepan Jose Mourinho sebanyak 8 kali dalam semua kejohanan tetapi gagal menewaskan Special One walau sekalipun. Chelsea ketika di bawah kendalian Mourinho menang sebanyak 5 kali ketika berdepan Everton (di bawah kendalian Moyes) dalam saingan liga. Tiga lagi pertemuan berakhir dengan keputusan seri. Walau bagaimanapun Moyes berjaya mengemudi Everton menewaskan Chelsea sebanyak 3 kali dalam tempoh 4 musim terakhir.

7. Kemenangan terbesar United ke atas Chelsea berlaku pada Boxing Day tahun 1960. United yang ketika itu di bawah kendalian Sir Matt Busby menang 6-0 di Old Trafford. Kemenangan terbesar Chelsea ke atas United pula berlaku pada 3 Oktober 1999 di mana mereka menang 5-0 di Stamford Bridge selepas Nicky Butt di buang padang.

8. Sebanyak 5 kad merah sudah dilayangkan dalam 12 pertemuan terakhir kedua-dua pasukan. Ramires, Branislav Ivanovic dan Fernando Torres untuk Chelsea manakala Nemanja Vidic dan Rafael da Silva pula mengumpul kad merah untuk United.

9. Dengan segala kemungkinan pertukaran Wayne Rooney dan Juan Mata masih lagi terbuka sebelum jendela perpindahan pemain ditutup, berikut adalah lima pemain yang pernah bermain untuk kedua-dua kelab. Bekas pengurus Arsenal, George Graham pernah bermain untuk Chelsea pada tahun 1962-1964 sebelum menyertai United pada 1972-1974 selepas berpindah dari Arsenal. Bekas pemain United, Mickey Thomas pula menyertai Chelsea pada tahun 1984 dan berjaya membantu kelab naik ke Divisyen 1. Ray Wlikins berpindah ke Old Trafford dari Stamford Bridge pada 1979 dan kemudiannya muncul pemain yang pernah dilantik sebagai kapten untuk kedua-dua kelab. Juan Sebastian Veron dijual United ke Chelsea dengan harga £13 juta pada 2003 manakala Mark Hughes pula meninggalkan Old Trafford untuk berpindah ke Stamford Bridge pada 1995.

10. Robin Van Persie menjaringkan 6 gol di Stamford Bridge sekaligus menjadikannya pemain paling banyak membolosi gawang The Blues di gelanggang mereka.

24 Ogos 2013

KITA TIDAK PERLUKAN ETO'O


Dua atau tiga hari lalu, kita dikejutkan dengan perkhabaran bahawa Manchester United sedia menyaingi tawaran Chelsea bagi mendapatkan bintang yang 'tidak dimahukan lagi' oleh kelab Russia, Anzhi Makachkala iaitu Samuel Eto'o. Kita tidak pasti apakah memang benar Eto'o berada dalam radar United ataupun ini mungkin satu lagi berita mengarut yang diterbitkan media-media di sana untuk menaikkan rating mereka. ESPN melaporkan bahawa boss Chelsea, Jose Mourinho mahu bekerjasama semula dengan penyerang Cameroon itu selepas mereka pernah bergabung ketika bersama-sama Inter Milan pada musim 2009/10. Agen Eto'o, Claudio Vigorelli pula dilaporkan berkata bahawa ada tiga kelab besar Eropah berminat mendapatkan khidmat kliennya dengan Chelsea dan United adalah dua daripadanya. Saya akui, masa depan Wayne Rooney masih menjadi perdebatan terutama selepas Mourinho sendiri nampaknya masih belum menyerah kalah dalam usaha 'memujuk' United agar melepaskan penyerang antarabangsa England itu. Andainya pihak pengurusan melihat Eto'o sebagai pengganti (jika mereka sedia melepaskan Rooney), saya fikir itu bukanlah satu tindakan yang bijak dan wajar. Saya akui Eto'o adalah pemain kelas dunia serta penyerang berpengalaman, tetapi pada usia 32 tahun, tidak banyak yang dia mampu tawarkan kepada kelab dan juga peminat. Adalah lebih bagus sekiranya David Moyes membangunkan bakat dan potensi pemain-pemain muda untuk di ketengahkan dalam skuadnya berbanding membawa Eto'o ke Old Trafford. Saya sebenarnya amat berharap agar peluang lebih banyak diberikan kepada Javier Hernandez untuk bermain musim ini berbanding keterujaan menyaksikan nama Eto'o berada dalam line up pasukan. Hernandez sudahpun menunjukkan komitmen padunya bersama kelab selepas dia diberitakan menolak peluang beraksi dalam kesebelasan utama Valencia CF dengan memilih untuk terus kekal di Old Trafford. Sejak menyertai United dari Chivas Guadalajara pada 2010, Hernandez antara favourite peminat dan memainkan peranan penting untuk kelab menerusi statistik jaringan yang dihasilkannya. Biarpun sering bermula dari bangku simpanan, Hernandez masih mampu menjaringkan 50 gol dari 117 penampilan. Jadi tidak hairanlah mengapa dia sering dibandingkan dengan lagenda United sendiri, Ole Gunnar Solskjaer kerana daya usaha dan ketajaman naluri pembunuhnya di hadapan gawang lawan sebagai supersub. Menolak tawaran menarik dari Valencia saya anggap satu perjudian berani yang dilakukan Hernandez untuk kariernya. Mana-mana pemain bolasepak sudah tentu mengharapkan agar mereka dapat bermain setiap minggu, dan dengan kualiti yang ada padanya, saya percaya Hernandez tiada masalah untuk menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama Valencia selain muncul antara bintang utama di Stadium Mestalla jika dia menerima tawaran tersebut. Jadi keputusan menolak tawaran menarik Valencia dan memilih untuk kekal bersama kelab mungkin antara langkah paling besar dan penting pernah diambil Hernandez dalam hidupnya.

Hernandez sebenarnya tahu bahawa United adalah cabaran baginya dan dia juga tahu bahawa untuk menjadi pemain yang lebih bagus, dia perlu berada dalam kelab yang besar, berlatih, bermain dan cuba bersaing merebut tempat bersama-sama pemain kelas dunia di sekelilingnya. Ringkasnya, kelab seperti United menawarkan suasana kompetitif buat dirinya sama ada ketika di atas padang ataupun ketika di bilik persalinan. Apa yang lebih penting, Hernandez tahu dia sebenarnya sudah berada di tempat yang betul. Kini segala-galanya terpulang kepada diri Hernandez sendiri untuk bekerja lebih keras bagi menawan perhatian Moyes dan memperbaiki lagi teknik permainannya untuk membolehkannya disenaraikan dengan lebih kerap dalam kesebelasan utama pasukan. Selain Hernandez, kita juga memiliki Angelo Henriquez, seorang lagi bakat muda yang menunggu peluang disenaraikan dalam skuad utama. Henriquez menyertai Wigan Athletic sebagai pemain pinjaman musim lalu, menjaringkan satu gol dari empat penampilan liga selain berjaya memenangi trofi major (Piala FA) pada musim pertamanya di England bersama The Latics. Henriquez membuktikan potensi dirinya dan mengapa Sir Alex bertindak menandatanganinya dari kelab Chile, Universidad de Chile musim panas tahun lalu apabila menjaringkan gol pertama pada penampilan pertama untuk Wigan sebelum tewas 2-3 kepada Sunderland dalam saingan liga Januari lalu. Selain faktor Hernandez dan Henriquez, saya merasakan langkah pihak pengurusan memburu Eto'o (jika benar) akan hanya menganggu fokus lebih besar iaitu memantapkan bahagian tengah. Saya tertarik dengan laporan Charles Perrin dari Daily Express yang mengatakan bahawa Moyes perlu menguatkan posisi tengah sebelum jendela perpindahan pemain musim panas ditutup berbanding cuba mencari seorang lagi penyerang tambahan. Setidak-tidaknya berita bahawa kelab meletakkan Mesut Ozil, Luka Modric dan Marouane Fellaini dalam radar mereka sedikit melegakan biarpun berita itu saya anggap satu lagi rumours untuk melariskan jualan akhbar ketika pasaran perpindahan menuju detik penghujungnya. Lupakan saja kegagalan mendapatkan Cecs Fabregas atau Thiago Alcantara kerana dalam tempoh yang semakin suntuk, keputusan kelab untuk terus memberikan tekanan kepada Everton supaya segera melepaskan Fellaini saya fikir lebih bijak berbanding usaha mereka menyaingi Chelsea untuk Eto'o. Ketegasan Moyes yang mengatakan Rooney tidak akan dijual memberikan kelegaan sekaligus menjadi petanda bahawa berita tentang minat kelab terhadap Eto'o yang dimainkan media tidak lebih dari sekadar gosip murahan. Eto'o menerima gaji £300 ribu seminggu ketika bersama Anzhi, jadi sudah pasti dia juga mahukan gaji yang besar jika menyertai mana-mana kelab selepas ini. Untuk apa kelab mendapatkan khidmat seorang pemain yang sudah berusia 32 tahun, dan mungkin selepas itu terpaksa pula membayar lebih £100 atau £200 ribu seminggu sedangkan kita memiliki aset berpotensi yang patut diketengahkan? Akhir sekali, pada pandangan saya, kita sebenarnya memang tidak perlukan nama Samuel Eto'o dalam pasukan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

22 Ogos 2013

MENGHARAPKAN SUMBANGAN LEBIH BESAR DARI WELBECK


Menjaringkan hanya satu gol dari 27 penampilan liga merupakan satu statistik yang cukup mengecewakan buat seorang penyerang. Bagaimanapun kekecewaan musim lalu seolah-olah mahu segera dilupakan Danny Welbeck apabila dia menjaringkan dua gol pada aksi pertama liga menentang Swansea City di Stadium Liberty hujung minggu lalu. Welbeck bekerja keras sepanjang perlawanan dan usahanya berbayar dengan dua gol yang dihasilkannya sekaligus membuktikan kepada pengkritiknya bahawa dia masih lagi pemain berharga buat kelab. Prestasi Welbeck pada aksi pertama liga musim ini membuatkan kita terlupa bahawa David Moyes masih bergantung kepada keseluruhan tenaga musim lalu sedangkan beberapa pesaing lain sudahpun memiliki nama baru dalam kesebelasan utama mereka. Aksi Welbeck di Stadium Liberty memang cukup memberangsangkan sekaligus menyebabkan pengkritik-pengkritiknya terdiam sejenak. Cabaran Patrice Evra sebelum perlawanan yang mahukan agar Welbeck menjaringkan gol buat kelab sepertimana yang dilakukannya ketika menyarung jersi England akhirnya dijawab oleh pemain berusia 22 tahun itu. Dua gol Welbeck hujung minggu lalu menyaksikan dia menggandakan jaringannya berbanding hanya satu yang disumbangkannya sepanjang musim lalu. Selain Robin Van Persie, Welbeck menjadi tumpuan utama pemerhati dan peminat-peminat United selepas berakhirnya aksi menentang The Swans. Sebaik saja pulang semula ke Old Trafford selepas menamatkan tempoh semusim di Stadium of Light sebagai pemain pinjaman, Welbeck membuktikan potensinya sebagai penyerang masa hadapan United apabila menjaringkan sembilan gol dari 30 penampilan liga pada musim 2011/12. Bagaimanapun prestasi Welbeck menjunam (jika diukur pada jumlah gol yang dihasilkannya) musim lalu, tetapi beruntung kerana masih diberi kesempatan oleh Sir Alex Ferguson tampil lebih banyak perlawanan berbanding Javier Hernandez yang menjaringkan 10 gol. Dua gol pada aksi pertama liga sudah tentu satu permulaan fantastis buat Welbeck, tetapi apa yang lebih penting ialah persembahannya sepanjang 90 minit ketika menentang skuad kendalian Michael Laudrup bakal menyuntik semula keyakinan penyerang muda ini ketika di depan gawang lawan. Saya percaya Welbeck sebenarnya memilih waktu yang tepat untuk melonjakkan semula namanya ketika persaingan merebut slot di bahagian hadapan begitu sengit. Tidak perlu saya sebutkan lagi bahawa tugas seorang penyerang ialah menjaringkan gol, jadi saya berharap selepas ini Welbeck akan terus menjaringkan gol secara konsisten sepertimana yang dilakukannya pada perlawanan-perlawanan pra musim dan aksi pertama liga hujung minggu lalu. Semoga selepas ini kita tidak terlalu bergantung kepada ketajaman Van Persie sepertimana musim lalu, sambil berharap pemain seperti Welbeck, Wayne Rooney dan Hernandez mampu meringankan beban yang dipikul penjaring terbanyak dua musim berturut-turut itu. Sepertimana yang saya sebutkan di atas, Welbeck hanya menjaringkan satu gol musim lalu yang juga merupakan gol keduanya dari 40 penampilan terakhir liga. Statistik ini sebenarnya saya anggap tidak langsung mencerminkan sumbangan seorang penyerang dari skuad utama yang menyarung jersi Manchester United.

Bagaimanapun untuk menghukum Welbeck berdasarkan jumlah gol yang dijaringkannya sepanjang musim lalu bukanlah sesuatu yang adil. Dalam formasi 4-2-3-1 yang sering digunakan Sir Alex musim lalu, Welbeck biasanya digunakan untuk bergerak jauh di sebelah kanan. Antara aksinya yang paling diingati musim lalu ialah ketika berdepan Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara di mana dia menjaringkan gol di Santiago Bernabeu dan kemudiannya meneruskan prestasi cemerlang pada perlawanan kedua di Old Trafford. Meskipun United disingkir Madrid, percaturan Sir Alex meletakkan Welbeck di sebelah kanan dalam (formasi 4-2-3-1) memberikan masalah kepada Fabio Coentrao sepanjang perlawanan. Aksinya ketika menentang Liverpool di Old Trafford pada 13 Januari lalu juga mengundang pujian daripada peminat dan pengkritiknya. Ketika ramai pihak menjangkakan Rooney atau Hernandez bakal digunakan Sir Alex dalam perlawanan itu, beliau sebaliknya melakukan kejutan dengan memilih Welbeck dan meletakkannya di sebelah kanan. Meskipun tidak menjaringkan sebarang gol, Welbeck memberikan tekanan hebat kepada benteng pertahanan lawan dengan memaksa mereka bekerja keras sepanjang perlawanan. Prestasi Welbeck pada aksi pertama musim ini memberikan petanda yang cukup bagus buat kelab. Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kepada Welbeck agar mampu menyaingi Van Persie untuk anugerah kasut emas, cuma prestasi baik yang ditunjukkannya di awal musim bakal menghadirkan persaingan sihat di barisan hadapan pasukan, atau setidak-tidaknya memaksa Hernandez dan Rooney bekerja lebih keras. Faktor mengapa Welbeck begitu cemerlang ketika berdepan Swansea City tempohari ialah kerana kemampuannya menjalankan tugas dengan berkesan sebagai 'penyambung' antara bahagian tengah dan Van Persie di hadapan. Peranan ini sebenarnya sering dimainkan Rooney musim lalu dan peranan ini jugalah yang menyebabkan penyerang England itu tidak 'gembira' berada di Old Trafford. Ketika Rooney tidak gembira memainkan peranan watak pembantu kepada Van Persie, Welbeck pula dilihat begitu selesa sepanjang 90 minit permainan di Stadium Liberty. Selain berjaya membuka peluang buat Van Persie bergerak bebas dalam kawasan lawan, apa yang lebih penting ialah kemampuan Welbeck menghasilkan jaringan untuk dirinya. Kesilapan yang dilakukannya di penghujung permainan hingga membenarkan Wilfried Bony menjaringkan gol tunggal tuan rumah segera dipadamkannya menerusi gol menarik di masa kecederaan. Mungkin kesilapan mudah seperti ini yang dilakukan pemain muda sepertinya menyebabkan mana-mana pengurus beralih kepada pemain lebih berpengalaman, tetapi saya lebih gemar melihat pada sudut positif. Kesilapan-kesilapan kecil seperti inilah sebenarnya yang bakal mematangkan lagi permainan Welbeck. Saya tertarik melihat reaksi balas Welbeck yang segera bangkit selepas melakukan kesilapan di mana dia begitu tenang melambungkan bola melepasi jangkauan Michel Vrom untuk gol kedua peribadinya dan gol keempat United. Gol itu  menyebabkan saya terlupa bahawa inilah pemain yang kelihatan agak gugup dan sering melepaskan peluang terbaik ketika di hadapan gawang lawan musim lalu. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

19 Ogos 2013

MUSIM PERTAMA MOYES DI OLD TRAFFORD: TANGGA KETIGA ATAU KEEMPAT SASARAN REALISTIK?


Selepas 27 tahun, musim ini adalah kali pertama United memulakan saingan liga tanpa sentuhan, percaturan taktikal dan arahan Sir Alex Ferguson sama ada dari tepi padang ataupun ketika di bilik persalinan. Jadi, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika ada di kalangan peminat-peminat United sendiri dan penganalisis bolasepak mula sangsi dengan keupayaan sebenar kelab berdepan cabaran dari pesaing-pesaing mereka musim ini. Keputusan perlawanan-perlawanan pra musim mungkin tidak menggembirakan kita, tapi kita tidak sepatutnya menjadikan itu sebagai kayu ukur keupayaan kelab dalam menghadapi saingan musim baru. Menguruskan kelab besar seperti Manchester United bukanlah satu perkara yang mudah dan David Moyes sudah tentu menyedari tentang perkara itu. Moyes diberikan kontrak selama enam tahun dan selaras dengan tradisi kelab, kedudukan selain dari empat teratas bolehlah kita anggap sebagai satu kegagalan buat beliau. Memandangkan ini adalah musim pertama Moyes di Old Trafford, tidak adil sekiranya kita meletakkan sasaran terlalu tinggi kepada beliau, malah saya berpendapat tangga ketiga atau keempat adalah sasaran yang lebih realistik berbanding memasang impian mahu melihat kelab menjulang kejuaraan liga buat kali ke-21. Bagaimanapun ini bukanlah bermakna saya tidak yakin dengan kemampuan Moyes mengendalikan pasukan selepas era Sir Alex berakhir kerana sebagai peminat, menyaksikan kelab menjulang trofi liga di penghujung musim adalah satu kepuasan yang sukar digambarkan. Sepak mula liga sudahpun dimulakan kelmarin, tetapi sehingga kini kita masih lagi ternanti-nanti siapakah pemain baru yang bakal ditandatangani Moyes untuk menguatkan pasukan. Keputusan kelab yang dilihat cuba mengekalkan Wayne Rooney saya anggap sebagai usaha mengekalkan kekuatan pasukan selain amaran kepada pencabar-pencabar lain bahawa United masih lagi pasukan yang perlu dihormati biarpun kini tanpa sentuhan Sir Alex. Selepas berakhirnya perlawanan pertama menentang Swansea City awal pagi semalam, Moyes nampaknya begitu selesa menyandarkan harapan seratus peratus kepada barisan yang pernah dibina oleh Sir Alex.

Perlawanan semalam menyaksikan Moyes melakukan penampilan pertama bersama United dalam saingan liga dengan penuh berhati-hati. Ketika berdepan Wigan Athletics di Wembley minggu lalu, beliau menggunakan Wilfired Zaha selama 60 minit, tetapi Antonio Valencia kembali menjadi pilihan utama di sebelah kanan pada aksi pertama liga musim ini kerana kelebihan pengalaman yang dimiliki pemain itu. Bermain di gelanggang lawan dan berdepan pula antara kelab yang dijangka bakal menyerlah musim ini, Moyes memang memerlukan seorang pemain berpengalaman yang mampu menawarkan kepadanya disiplin taktikal tinggi berbanding semangat muda milik Zaha. Meskipun Valencia kurang menyerlah berikutan prestasi turun naik yang dipamerkannya musim lalu, keputusan Moyes menurunkan sayap Ecuador itu di Stadium Liberty saya anggap sebagai satu langkah yang cukup berani dan tepat. Paling menarik ialah percaturan Moyes yang meletakkan Danny Welbeck di belakang Robin Van Persie, sekaligus memperlihatkan persamaan formasi (4-4-1-1) yang sering digunakannya ketika membimbing Everton. Sepanjang perlawanan di Stadium Liberty, Welbeck berjaya memainkan peranannya dengan berkesan di mana dia secara berterusan berjaya memberi tekanan kepada Jose Alberto Canas dan Leon Britton di bahagian tengah, sekaligus memudahkan Van Persie bergerak bebas jauh di hadapan. Selepas berakhirnya perlawanan pembukaan menentang The Swans, kita bolehlah merumuskan bahawa Moyes lulus dengan cemerlang pada penampilan pertamanya dalam saingan liga selaku pengendali United. Walau bagaimanapun perjalanan liga masih panjang dan perlawanan di Stadium Liberty itu hanyalah aksi pertama United dalam saingan kompetitif musim ini. Barisan The Red Devils di bawah kendalian Moyes memang diakui beraksi cemerlang semalam, tetapi ujian lebih getir bakal menanti pengendali itu dan anak-anak buahnya dalam tempoh sebulan.

Berdepan tiga pencabar kejuaraan selepas ini iaitu menentang Chelsea di Old Trafford pada (27 Ogos), Liverpool di Anfield (1 September) dan Manchester City di Stadium Etihad (22 September), bakal menguji sejauh mana kekuatan dan kemampuan sebenar kelab yang setakat ini masih bergantung kepada kudrat pemain-pemain musim lalu. Kredibiliti Moyes sebagai pengendali bukan sahaja diukur menerusi kepintaran percaturan taktikalnya di atas padang tetapi juga kemampuannya mengendalikan sebarang isu di luar padang. Reaksi dan bahasa tubuh Wayne Rooney ketika di atas padang semalam bakal mencetuskan perdebatan berterusan tentang masa depannya bersama kelab. Jika pihak pengurusan sanggup melepaskan pemain yang seolah-olah tidak lagi gembira bersama kelab, Moyes selaku pengendali terpaksa berdepan pilihan terhad di barisan hadapan dalam menghadapi musim yang panjang. Sebarang 'malapetaka' yang menimpa Van Persie bakal menyaksikan Moyes hanya memiliki Javier Hernandez dan Welbeck selaku watak penggempur di mana kedua-duanya mengumpul keseluruhan 13 gol musim lalu, hanya separuh dari jaringan yang dihasilkan Van Persie (26 gol). Di bahagian tengah pula kita masih menyaksikan Anderson berada dalam senarai walaupun dia mengharungi tempoh enam musim di Old Trafford dengan prestasi sederhana. Shinji Kagawa masih belum teruji sepenuhnya berikutan beberapa siri kecederaan yang dialaminya musim lalu, manakala Tom Cleverley pula masih bergelut dalam usaha mengembalikan semula prestasi terbaiknya selepas pulih dari kecederaan hujung tahun lalu. Satu-satunya harapan saya jika Moyes tidak berjaya menandatangani sebarang nama baru musim panas ini ialah dengan mengharapkan agar beliau berjaya menggilap sepenuhnya potensi milik Anderson, Cleverley dan Kagawa bagi menampung kekurangan di bahagian tengah. Prestasi Antonio Valencia sepanjang perlawanan semalam, memberikan petanda cukup baik kerana selain kelibatnya, kita juga masih memiliki Zaha, Nani dan Ashley Young sebagai opsyen untuk mengisi posisi di sebelah kanan dan kiri.

Akhir sekali mari kita lihat pula kekuatan di bahagian belakang dengan Guillermo Varela kekal pemain tunggal di tandatangani Moyes setakat ini. Rafael da Silva dijangka menguasai posisi bek kanan untuk jangkamasa panjang di mana aksinya ketika mengekang pergerakan Cristiano Ronaldo di Santiago Bernabeu dan Old Trafford dalam saingan Liga Juara-Juara musim lalu menjadi bukti bahawa posisi yang pernah dihuni Gary Neville itu akan menjadi milik mutlaknya. Pada usia 32 tahun, Evra masih kekal dominan di sebelah kiri tetapi kita sudahpun memiliki pelapis yang bakal menggantikan tempatnya jika pemain antarabangsa Perancis itu bersara atau meninggalkan kelab satu hari nanti. Selain Alexander Buttner yang ditandatangani Sir Alex musim lalu, kita juga memiliki Fabio da Silva yang menghabiskan tempoh semusim sebagai pemain pinjaman di Loftus Road, sementara Chris Smalling pula boleh diletakkan sebagai bek kiri jika keadaan memerlukan. Kecergasan mungkin menjadi musuh utama buat dua tonggak pertahanan tengah, terutamanya selepas melihat Nemanja Vidic baru pulih dari kecederaan lutut yang panjang manakala sukar buat Rio Ferdinand beraksi setiap minggu pada usia menjangkau 35 tahun. Jonny Evans sudah membuktikan bahawa dirinya cukup layak untuk bermain bersama Vidic atau Rio, tetapi saya kurang pasti apakah Moyes sudah bersedia meletakkan Phil Jones atau Smalling sebagai bek tengah dalam perlawanan-perlawanan besar musim ini? Secara keseluruhannya, kemenangan besar di Stadium Liberty awal pagi semalam seolah-olah memberikan gambaran awal bahawa kelab sudah bersedia mengharungi separuh perjalanan musim ini tanpa pemain baru (kecuali Varela). Sekali lagi saya katakan bahawa saya tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi buat kelab pada musim pertama Moyes di Old Trafford. Tempat ketiga atau keempat adalah sasaran realistik tetapi jika Moyes berjaya membawa kelab menjulang kejuaraan liga buat kali ke-21 di akhir musim, fahamlah saya mengapa Sir Alex menamakan beliau sebagai penggantinya berbanding deretan nama-nama besar lain. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

06 Ogos 2013

KREDIBILITI MOYES SUDAH MULA DIUJI?


Menggantikan tempat pengurus berjaya seperti Sir Alex Ferguson bukanlah satu tugas yang mudah. Selepas beliau mengumumkan persaraannya Mei lalu, sesiapa pun yang bakal menggantikan tempatnya di Old Trafford pasti tidak dapat lari dari bayang-bayang kejayaan yang dicipta lagenda itu selama lebih dua dekad. Selepas mengucapkan perkataan “Misi saya ialah mahu menamatkan dominasi Liverpool”, kira-kira 27 tahun lalu, Sir Alex akhirnya menamatkan kariernya sebagai pengurus paling berjaya di England Mei lalu, di mana beliau secara keseluruhannya menghadiahkan 38 kejuaraan utama ke dalam almari trofi di Old Trafford. Selepas lebih dua dekad beliau menjadikan United kelab paling dicemburui, mesin kemenangan dan barisan yang perlu ditewaskan oleh mana-mana pasukan, Sir Alex akhirnya mengambil keputusan berundur secara dramatik tapi penuh bergaya dengan menghadiahkan trofi liga ke-20 kepada kelab. Kini tampuk 'pemerintahan' beralih tangan dan David Moyes sepatutnya merasa bertuah kerana dipilih menggantikan tempat lagenda itu berbanding beberapa lagi nama besar yang pada awalnya kita ramalkan akan memimpin skuad The Red Devils. United adalah juara bertahan Liga Perdana sekaligus meletakkan mereka sebagai kelab nombor satu di England. Walau bagaimanapun status nombor satu itu tidak meletakkan Moyes dalam kedudukan yang mudah musim panas ini selepas kelab dilihat masih 'bergelut' dalam usaha mendapatkan pemain baru. Sepak mula liga hanya berbaki 12 hari saja lagi, manakala jendela perpindahan pemain musim panas bakal ditutup tidak sampai sebulan. Dengan kurang beberapa minggu sahaja lagi yang tinggal sebelum saingan kompetitif bermula dan jendela perpindahan pemain ditutup, Moyes perlu menyelesaikan beberapa isu utama sebelum beliau berdepan cabaran musim baru. Mengendalikan kelab besar seperti Manchester United, tentulah cabarannya juga besar. Berbanding ketika di Goodison Park, setiap apa yang dilakukan Moyes kali ini menjadi perhatian ramai pihak termasuk kawan dan lawan. Saya melihat isu masa depan Wayne Rooney masih lagi menjadi duri dalam daging kepada pasukan dan perlu diselesaikan dengan segera. Rooney adalah nama besar di Old Trafford dan sebarang spekulasi membabitkan masa depannya bersama kelab atau hubungannya dengan pengurus boleh mengundang perhatian yang bukan sedikit dari peminat mahupun pihak luar terutamanya media. Hubungan Moyes dan Rooney sebenarnya tidak menunjukkan petanda akan pulih selepas pengendali itu secara terbuka meletakkan kedudukan Rooney di belakang Robin Van Persie selaku penyerang utama United musim depan. Kelab sudahpun menolak tawaran kedua Chelsea bagi mendapatkan Rooney dan perkara itu saya yakin tidak akan terhenti begitu sahaja. Bagaimana agaknya jika Chelsea meningkatkan lagi bidaan mereka, manakala Rooney pula sekali lagi menggesa kelab supaya menjualnya? Saya berharap sebelum saingan liga dimulakan nanti, isu masa depan penyerang itu dapat diselesaikan, tidak kiralah sama ada kelab memutuskan untuk menjualnya atau Rooney sendiri mahu terus kekal di Old Trafford. Entah apa sebabnya, musim panas kali ini kita lihat kelab sedikit 'bergelut' dalam usaha mereka mendapatkan pemain baru.

Semalam, Fox Sports dalam laporannya mengatakan bahawa Andoni Zubizarreta (Pengarah Bolasepak Barcelona), mengumumkan bahawa United sudahpun menghentikan usaha mereka memburu Cecs Fabregas, sekaligus melengkapkan satu lagi siri kegagalan kelab dalam pasaran perpindahan pemain kali ini. Bahagian tengah sering disebut-sebut sebagai titik paling lemah, terutamanya selepas melihat hanya Michael Carrick satu-satunya midfielder paling konsisten sepanjang musim lalu. Jadi keperluan untuk mendapatkan pemain baru bagi menguatkan posisi tersebut sepatutnya diletakkan di tempat paling atas. Selepas kegagalan mendapatkan Thiago Alcantara dan Fabregas, pemain tengah manakah yang akan menjadi buruan terbaru kelab ataupun Moyes pasrah dan berpaling kepada aset sedia ada yang dimilikinya dalam pasukan. Selepas isu Rooney dan kekurangan kualiti di bahagian tengah, Moyes terpaksa berdepan dengan satu lagi masalah iaitu konsistensi di bahagian sayap. Musim lalu Antonio Valencia tidak dapat mengekalkan prestasi yang pernah menyebabkan peminat memilihnya sebagai pemain terbaik kelab (pada musim 2011/12). Ashley Young hadir dua tahun lalu dengan harapan tinggi tetapi lebih banyak menghabiskan masa di bilik rawatan berbanding aksi di atas padang, manakala Nani muncul pemain sayap paling mengecewakan saya musim lalu. Kesilapan mudah yang dilakukannya ketika berdepan Chelsea di pusingan keempat Piala Liga (Capital One Cup) hingga membolehkan lawan menyamakan kedudukan di penghujung permainan adalah kemuncak kekecewaan saya terhadap pemain itu. Saya akui jika pada prestasi terbaiknya, Nani adalah pemain sayap yang cukup berbahaya tetapi jika anda mengharapkan dia mampu bermain baik setiap minggu, anda sepatutnya padamkan sahaja harapan itu. Konsistensi adalah musuh utama Nani sejak dia menyertai United dari Sporting Lisbon enam tahun lalu. Selepas melihat prestasi turun naik pemain senior di kedua-dua sayap, adakah kita patut mengalihkan tumpuan kepada pemain muda seperti Wilfired Zaha dan Jesse Lingard? Moyes sudahpun mula memberikan pendedahan kepada kedua-dua pemain muda itu melalui perlawanan-perlawanan jelajah pra musim, tetapi untuk kita mengharapkan kedua-duanya mencetuskan impak pada musim pertama mereka di Liga Perdana adalah keterlaluan. Zaha antara nadi Crystal Palace musim lalu tetapi aksi Liga Kejuaraan jauh berbeza berbanding Liga Perdana, manakala Lingard pula tiada pengalaman bermain bersama skuad utama United sebelum ini. Cristiano Ronaldo khabarnya (jika benar laporan Marca) sudahpun bersetuju untuk terus kekal di Santiago Bernabeu hingga 2018 manakala sebarang kemungkinan untuk kita 'merampas' Gareth Bale dari buruan Real Madrid cumalah khayalan. Jadi apakah tindakan yang bakal dilakukan Moyes selepas ini terutamanya dalam menyelesaikan isu Rooney, kekurangan kualiti di bahagian tengah dan masalah konsistensi pemain-pemain sayapnya sebelum berdepan musim baru? Kredibiliti Moyes sebenarnya sudah mula diuji sebelum sepak mula liga berlangsung, dan saya yakin ada sebab mengapa Sir Alex menamakan beliau sebagai penggantinya berbanding nama-nama besar lain. Moyes sudah membuktikan kemampuannya selama sebelas tahun di Goodison Park dan kini masanya untuk beliau membuktikan pula kemampuannya berdepan cabaran lebih besar di Old Trafford. Selamat berjaya David Moyes. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

04 Ogos 2013

SIAPAKAH SASARAN SEBENAR MOYES?


Bekas presiden Real Madrid, Ramon Calderon sudah lama menyepi, tetapi namanya tiba-tiba menjadi bualan selepas beliau mengesahkan kepada talkSports bahawa terdapat rundingan antara Manchester United dan Real Madrid untuk membawa Cristiano Ronaldo kembali ke Old Trafford. Kali terakhir Calderon menjadi bualan hangat peminat-peminat bolasepak ialah kira-kira empat tahun lalu, selepas beliau didapati bersalah kerana terbabit dengan skandal kewangan dan akhirnya dipaksa meletak jawatan pada 16 Januari 2009. Calderon terkenal kerana kejayaannya membawa masuk Ruud Van Nistelrooy, Fabio Cannavaro, Emerson, Jose Antonio Reyes dan Arjen Robben ke Santiago Bernabeu sepanjang tempoh lebih dua tahun memegang jawatan presiden. Bagaimanapun saya bukanlah mahu bercakap mengenai masa silam Calderon tetapi lebih tertarik dengan kenyataan terbarunya kepada media tentang spekulasi masa depan Ronaldo. Ketika ditemubual talkSports kelmarin, Calderon berkata,  “Manchester United berminat membawa Ronaldo kembali ke Old Trafford dan saya tahu  berlakunya perbincangan antara kedua-dua pihak (United dan Real). Saya tidak tahu keputusan rundingan tersebut tetapi saya boleh mengesahkan bahawa kedua-dua pihak sudah bertemu. Mudah-mudahan dalam sedikit masa atau minggu mendatang kita mengetahui keputusannya. Ronaldo tidak gembira dengan pihak pengurusan terutamanya presiden kelab dan dia mahu keluar. Jadi saya faham kenapa dia meminta €20 juta setiap musim kerana dia tahu dalam keadaan sekarang kelab sukar memenuhi permintaannya.” Kenyataan Calderon ini bagi saya agak menarik dan pasti menghangatkan lagi bahang pasaran perpindahan pemain terutamanya selepas kelab dikaitkan dengan beberapa nama besar sebelum ini. Jika diambilkira kenyataan Moyes sebelum ini bahawa beliau diberikan peruntukan 'tidak terhad' untuk membeli pemain baru, saya mulai sangsi mengapa kelab boleh melepaskan pemain-pemain yang dikatakan menjadi sasaran mereka (Alcantara contoh terbaik) ke tangan pasukan lain dengan begitu mudah.  Atas sebab itulah, saya pasti anda juga mungkin terfikir bahawa semua spekulasi yang mengaitkan kelab dengan nama-nama besar sebelum ini hanyalah strategi atau helah untuk mengaburi mata pihak media tentang siapa sebenarnya bintang yang kita buru. Gareth Bale antara pemain yang pernah dikaitkan bakal menyertai United, tetapi perkembangan terbaru menunjukkan bahawa bintang Wales itu semakin hampir menuju ke Santiago Bernabeu membabitkan tawaran melebihi £90 juta.

Jika benar apa yang dikatakan Calderon kepada talkSports (bahawa ada perbincangan antara United dan Real untuk mendapatkan Ronaldo), saya berpendapat wang lebih £90 juta yang diletakkan Real ke atas Bale lebih kepada usaha mereka mencari pengganti kapten Portugal itu berbanding menggandingkan mereka berdua dalam satu pasukan. Adakah selama ini Kevin Strootman, James Rodriguez, Marco Van Ginkel, Gareth Bale, Thiago Alcantara dan Cecs Fabregas digunakan pihak pengurusan untuk mengalih perhatian media di sebalik usaha mereka membawa Ronaldo pulang semula ke Old Trafford? Jika benar tekaan saya, apa yang dilakukan pihak pengurusan kelab sebenarnya adalah satu langkah yang bijak. Ketika peminat-peminat dan media sibuk membahaskan spekulasi perpindahan Alcantara, Fabregas ataupun Bale ke Old Trafford, David Moyes sebenarnya secara senyap boleh menumpukan usahanya kepada sasaran sebenar. Jadi mungkinkah itu sebenarnya yang dimaksudkan Moyes sebelum ini bahawa beliau sedang 'berkerja keras di belakang tabir' dalam usaha mendapatkan pemain baru? Berbanding spekulasi Strootman, Rodriguez, Van Ginkel, Bale dan Alcantara sebelum ini, hanya Fabregas boleh disahkan sebagai satu-satunya pemain yang diminati Moyes berdasarkan laporan bahawa kelab bakal memajukan tawaran buat kali ketiga ke atas bekas playmaker Arsenal itu. Selain Fabregas, spekulasi perpindahan Ronaldo ke Old Trafford juga saya anggap realistik jika diambil kira situasi pemain itu sendiri di Bernabeu. Hingga setakat ini, Ronaldo masih enggan menandatangani kontrak baru sekaligus membuka peluang buat kelab mendapatkan semula khidmatnya. Apa yang saya sebut di atas hanyalah berdasarkan kepada situasi semasa. Berjaya atau tidak kelab mendapatkan khidmat Fabregas atau Ronaldo lebih bergantung kepada jumlah wang yang ditawarkan, persetujuan kelab asal untuk melepaskan mereka dan akhir sekali keputusan terletak di tangan pemain sendiri sama ada mahu kekal atau berpindah. Setakat ini segalanya masih samar, mungkinkah kita akan menerima khabar gembira dalam masa terdekat atau mungkin juga khabar gembira itu hadir pada saat akhir sebelum jendela perpindahan pemain musim panas ditutup. Kejayaan mendapatkan khidmat Ronaldo dan Fabregas merupakan hadiah terbaik kepada peminat-peminat menjelang sepak mula Liga Perdana. Mampukah kelab mendapatkan kedua-dua pemain itu  musim panas ini? Jawapannya…saya tidak pernah menolak sebarang kemungkinan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

02 Ogos 2013

MENANTI KEMUNCULAN SEMULA FLETCH


Tidak keterlaluan rasanya jika saya katakan bahawa nama Darren Fletcher (Fletch) mungkin kurang popular dan jarang disebut peminat-peminat Manchester United. Perkembangan Fletch kurang diikuti malah ketiadaannya selama ini kerana mengalami masalah usus tidak langsung 'ditangisi' kebanyakkan peminat berbanding jika kita kehilangan Nemanja Vidic ataupun Wayne Rooney. Tetapi tahukah anda bahawa Fletch antara tonggak utama di bahagian tengah, terutamanya selepas penghijrahan Roy Keane ke Glasgow Celtic pada 2005. Pada peringkat awal kariernya bersama skuad utama, ramai yang mempertikaikan kebolehannya malah ada yang melabel Fletch sebagai anak emas Sir Alex Ferguson. Saya sendiri pada mulanya agak hairan bagaimana nama Fletch tiba-tiba muncul dalam skuad senior dan kerap diberikan peluang tampil dalam kesebelasan utama, sedangkan ketika itu kita memiliki bakat-bakat lain seperti Eric Djemba-Djemba, Quinton Fortune, Kleberson, Liam Miller dan David Jones di posisi tersebut. Bagaimanapun Fletch berjaya menutup mulut para pengkritiknya apabila dia secara perlahan-lahan mula memperlihatkan kemampuannya mengemudi bahagian tengah terutamanya selepas Keane meninggalkan pasukan. Fletch membuktikan kepada semua bahawa tempatnya dalam skuad utama diperolehi secara merit dan bukan melalui 'pintu belakang'. Reputasi Fletch mula melonjak sekaligus mengesahkan bahawa label sebagai pengganti jangka panjang Keane yang diberikan kepadanya bukanlah satu bahan jenaka. Pada tahun 2009, Fletch dilayangkan kad merah ketika berdepan Arsenal di peringkat separuh akhir (kedua) Liga Juara-Juara hingga mengakibatkannya terlepas aksi final menentang Barcelona. Sebaik sahaja United tewas 0-2 kepada Barca di Stadium Olimpik Rome, ada pendapat dari kalangan penganalisis bolasepak yang mengatakan bahawa United pasti pasukan berbeza jika Sir Alex mampu menurunkan Fletch ketika itu. Sama ada pendapat itu menang benar atau sebaliknya masih terbuka untuk dibahaskan, tetapi saya cukup tertarik dengan komen Jose Mourinho dalam preview perlawanan akhir di Daily Mail. Mourinho ketika itu secara bersahaja mengatakan bahawa Andres Iniesta dan Xavi Hernandez pastinya pemain paling gembira berikutan ketiadaan Fletch di bahagian tengah United. Musim berikutnya (2009/10), Fletch terus mengukuhkan cengkaman di posisinya hingga diberikan kepercayaan memakai lilitan kapten buat pertama kalinya, selain disenaraikan untuk anugerah Pemain Terbaik Tahunan (PFA). Saya cukup gemar melihat cara Fletch menganggu kelancaran permainan lawan menerusi hadangan dan terjahan kemas yang dilakukannya, selain kemampuan membuka permainan ketika pasukan dalam mode menyerang.

Bagaimanapun sejak November 2011, akibat dari masalah kesihatan yang berpanjangan, kita semakin jarang menyaksikan kelibat Fletch di tengah padang. Ulser menjadi penyebab mengapa kapten skuad kebangsaan Scotland itu kerap keluar masuk ke dalam bilik rawatan sepanjang tempoh dua tahun terakhir. Sedar atau tidak, dalam tempoh itu juga kita sebenarnya kehilangan sentuhan seorang pemain tengah yang saya anggap antara nadi utama pasukan, terutamanya jika mengambilkira peranan dan sumbangan yang diberikannya sepanjang musim 2005/06 hingga 2010/11. Seperti yang saya sebutkan tadi, Fletch merupakan nadi pasukan dan Sir Alex faham benar tentang perkara itu. Jadi bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila beliau masih berharap agar pemain itu segera sembuh dan kembali bermain semasa menyampaikan ucapan perpisahan pada perlawanan terakhir beliau di Old Trafford, 12 Mei lalu. Fletch merasai aksi kompetitif pertamanya sejak November 2011 apabila masuk menggantikan Paul Scholes ketika berdepan Galatasaray dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Old Trafford, 20 September lalu. Dua bulan kemudian dia menjaringkan gol menerusi tandukan ketika berdepan Queens Park Rangers dalam saingan liga, sebelum kelab mengumumkan pemain tengah itu terpaksa menjalani satu lagi pembedahan pada 17 Januari. Selepas menjalani pembedahan buat kali kedua, ramai pihak percaya peluang Fletch untuk kembali bermain terlalu tipis, tetapi pihak pengurusan kelab berpendapat sebaliknya. Masalah kesihatan dan rehat yang panjang tidak pernah memudarkan semangat Fletch dan sikap agresifnya ketika di atas padang. Atas sebab itu jugalah ada pihak menggambarkan bahawa Fletch ibarat pemain baru yang ditandatangani Sir Alex selepas dia kembali bermain semula musim lalu. Walau bagaimanapun kelibat Fletch hanya dapat kita saksikan dalam sembilan perlawanan sebelum dia memutuskan menjalani pembedahan buat kali kedua. Fletch dikecualikan daripada program jelajah pra musim kelab dengan harapan dia cukup bersedia untuk menghadapi permulaan saingan musim ini. Selepas melihat tiada nama-nama baru yang berjaya di bawa masuk untuk menguatkan jentera tengah setakat ini, saya secara tiba-tiba teringat dan merindui kelibat Fletch. Dengan segala pengalaman serta kualiti yang dimilikinya, saya benar-benar berharap agar Fletch dapat memainkan semula peranannya di bahagian tengah. Jika Sir Alex semasa di penghujung kariernya pun masih berharap Fletch kembali sihat dan mampu bermain, saya juga begitu. Fletch mungkin terlepas beberapa perlawanan di awal musim, tetapi saya percaya kita akan dapat menyaksikan kelibatnya dengan lebih kerap di atas padang musim ini berbanding dua musim terakhir. Glory Glory Manchester United!!! – A.J