28 November 2010

UNITED BERPESTA GOL


Dimitar Berbatov scores the third goal for Manchester United

Manchester United merampas kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris dari Chelsea untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam selepas membelasah Blackburn Rovers 7-1 di Old Trafford. Dimitar Berbatov muncul wira skuad The Red Devils selepas berjaya menjaringkan lima gol manakala Park Ji-Sung dan Nani masing-masing menyumbangkan satu gol. Pencapaian Berbatov ini juga menjadikan dia pemain keempat dalam sejarah Liga Perdana Inggeris yang berjaya menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan selepas Andy Cole melakukannya pada tahun 1995, Alan Shearer (1999) dan Jermain Defoe (2009). Pesta gol United bermula diminit ke-2 apabila Berbatov yang menerima hantaran Nani mudah menewaskan penjaga gol pelawat, Paul Robinson. Park Ji-Sung yang saling bertukar hantaran dengan Wayne Rooney meletakkan United selesa dihadapan apabila mudah menewaskan Robinson diminit ke-23. Selang empat minit kemudian Berbatov sekali lagi menemui sentuhan gol apabila mudah menghukum kesilapan Pascal Chimbonda yang melakukan hantaran ke belakang untuk gol kedua peribadinya.

Bersambung di babak kedua permainan, Berbatov merakamkan hatriknya apabila menyudahkan hantaran Nani diminit ke-47 dan seminit selepas itu, giliran Nani pula meletakkan dirinya dalam senarai penjaring gol apabila rembatannya dari sebelah kanan gagal diselamatkan Robinson. Anak-anak buah Sam Allardyce terus dirundung malang dan Berbatov kembali mengganas apabila berjaya menjaringkan gol keenam United diminit ke-62. Gol keempat peribadinya dalam perlawanan ini hadir selepas dia menyempurnakan gerakan dari Ji-Sung dan Rafael da Silva. Berbatov memastikan dirinya sebaris dengan Andy Cole, Alan Shearer dan Jermain Defoe apabila berjaya merakamkan gol kelimanya dalam perlawanan ini selepas memanfaatkan bola tampanan Ryan Nelsen untuk memaksa Robinson mengutip bola dari dalam gawangnya buat kali ketujuh diminit ke-70. Pelawat bagaimanapun memperolehi gol saguhati mereka melalui tandukan Christopher Samba, enam minit sebelum tamat permainan. Kemenangan ini meletakkan United mendahului kedudukan liga dengan kelebihan tiga mata ke atas Chelsea yang akan turun menentang Newcastle United di St James Park esok.

27 November 2010

PENTAS TERBAIK ROONEY TAWAN SEMULA HATI PEMINAT


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

MANCHESTER UNITED lwn BLACKBURN ROVERS
(Old Trafford, 27 November 2010 jam 11.00 malam)


Pertembungan dengan Blackburn Rovers dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford malam ini bakal menjadi pentas kepada Wayne Rooney menawan semula hati penyokong-penyokong United. Bagi penyokong-penyokong pula, mereka tentunya berharap Rooney menemui semula sentuhan golnya dalam perlawanan ini selepas menyaksikan penggempur utama United itu menyempurnakan sepakan penalti ketika bertemu Glasgow Rangers, Khamis lalu. Rooney yang beberapa minggu lalu mencetuskan keadaan tidak menentu mengenai masa depannya di Old Trafford segera memohon maaf kepada penyokong-penyokong United. "Saya telah meminta maaf kepada penyokong-penyokong United, namun masih ada yang berfikir bahawa saya masih belum melakukannya. Jika itu masalahnya, saya akan meminta maaf sekali lagi atas apa yang berlaku sebelum ini", ujar Rooney. United akhirnya berjaya mengekalkan Rooney di Old Trafford untuk tempoh lima tahun lagi sehingga 2015.

Selain dari mahu melihat semula kemampuan Rooney bersama United, Sir Alex Ferguson pastinya berharap para pemainnya menggunakan kesempatan ini untuk meraih tiga mata penuh, sekaligus merampas takhta liga dari pendahulu ketika ini Chelsea. United dan Chelsea berkongsi 28 mata namun hanya dibezakan jumlah jaringan. Minggu ini dilihat kesempatan terbaik buat United memintas Chelsea, apabila skuad The Blues itu yang akan menentang Newcastle United bakal berdepan tugas sukar di St James Park. Walau bagaimanapun United perlu berwaspada dan tidak harus memandang mudah cabaran Rovers yang berjaya menewaskan Aston Villa minggu lalu. Skuad Red Devils juga bakal kehilangan sentuhan Darren Fletcher di bahagian tengah selepas pemain kelahiran Scotland itu cedera di pergelangan kaki, manakala Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand yang tidak diturunkan ketika berdepan Rangers bakal memperkuatkan semula pasukan.

25 November 2010

UNITED LAYAK KE PUSINGAN KALAH MATI



Gol tunggal Wayne Rooney berjaya memastikan Manchester United layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah selepas mereka menewaskan Glasgow Rangers di Ibrox, awal pagi tadi. Meskipun tidak menurunkan beberapa tonggak utama seperti Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Darren Fletcher dan Patrice Evra, United tampil agresif sejak permulaan permainan dengan mempertaruhkan gandingan Rooney dan Dimitar Berbatov di barisan hadapan. Tuan rumah hanya memperolehi kesempatan terbaik mereka diminit ke-16 tetapi percubaan Kenny Miller tidak menepati sasaran. Gandingan Nani dan Ryan Giggs di bahagian sayap kerap mencemaskan benteng Rangers yang diterajui kapten mereka David Weir namun Rooney dan Berbatov kerap mensia-siakan hantaran-hantaran yang ditujukan kepada mereka. Peluang terbaik United hadir diminit ke-40 namun tandukan Rooney yang menerima hantaran lintang Fabio da Silva sekadar singgah di palang gol. Kedudukan kekal terikat 0-0 sehingga tamat babak pertama permainan.

Memasuki babak kedua, United terus melancarkan serangan ke kubu Rangers namun tetap gagal menemui sasaran. Gol yang dicari akhirnya tiba selepas Fabio dikasari Steven Naismith di dalam kawasan penalti. Pengadil perlawanan, Massimo Bussaca pantas menghadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Rooney diminit ke-87. Sementara itu, Rooney jelas begitu gembira selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti itu sekaligus menghadiahkan tiga mata penuh buat United. "Saya tahu apa yang harus saya lakukan dan di mana saya patut melakukannya. Saya bertuah kerana penjaga gol gagal menyelamatkan tendangan penalti itu", ujar Rooney. "Saya lega kerana berjaya menjaringkan gol dan semoga selepas ini saya mampu melakukannya lagi", tambah Rooney. Dengan kemenangan itu, United berjaya mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas Kumpulan C dan hanya memerlukan keputusan seri ketika menanti kunjungan Valencia di Old Trafford, 8 Disember ini untuk keluar sebagai juara kumpulan.

24 November 2010

FLETCHER: SATU MATA SUDAH MEMADAI


LIGA JUARA-JUARA EROPAH 2010/11

GLASGOW RANGERS lwn MANCHESTER UNITED
(Ibrox Stadium, 26 November 2010 jam 04.40 pagi)

http://cdn.talentspotter.fourfourtwo.com/contentimages/player/Darren%20Fletcher.jpg

Manchester United yang akan bertandang ke Ibrox bagi pertemuan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah dengan misi memburu satu mata bagi membolehkan mereka mengesahkan kedudukan ke pusingan kalah mati. United ketika ini menerajui Kumpulan C dengan mengumpul sepuluh mata selepas berlangsung empat perlawanan. Tonggak tengah United, Darren Fletcher mengakui bahawa dia tidak sabar beraksi di Ibrox namun pemain antarabangsa Scotland itu tetap waspada dengan ancaman yang bakal dihadirkan Rangers. "Saya tidak sabar menghadapi perlawanan ini. Rangers adalah pasukan yang besar dan mempunyai penyokong fanatik di Scotland", ujar Fletcher. "Ini akan menjadi malam yang istimewa. Saya mempunyai pengalaman ketika kami bermain di sini beberapa tahun lalu dan ini akan menjadi perlawanan yang menarik", tambah Fletcher lagi.

Fletcher tetap menghormati pasukan bergelar The Gers itu selepas mereka berjaya mengikat United dalam perlawanan pusingan pertama di Old Trafford, September lalu. Rangers yang dibelasah 0-3 oleh Valencia dua minggu lalu perlu menang perlawanan ini jika mahu menghidupkan peluang mereka ke pusingan kalah mati nanti. Jika berjaya mendapatkan satu mata di Ibrox, United akan mengesahkan tempat mereka di pusingan seterusnya dan kembali menumpukan tugas mereka dalam saingan liga domestik. Wayne Rooney yang diletakkan sebagai pemain gantian ketika United menewaskan Wigan hujung minggu lalu dijangka kembali memikul tugas sebagai penggempur utama United. Ferguson turut dijangka merehatkan beberapa tonggak utamanya dalam perlawanan ini dan memberi peluang buat Darron Gibson, Federico Macheda, Chris Smalling, Javier Hernandez & Jonny Evans tampil membuktikan keupayaan.

14 November 2010

FERGUSON AKUI UNITED BERNASIB BAIK


Aston Villa defender Richard Dunne moves in on Javier Hernandez of Manchester United

Sir Alex Ferguson mengakui pasukannya bernasib baik berjaya mengikat Aston Villa selepas menyaksikan mereka ketinggalan dua gol dengan permainan berbaki 14 minit untuk ditamatkan. United ketinggalan dua melalui hasil jaringan penalti Ashley Young diminit ke-72 dan selang empat minit kemudian giliran Marc Albrighton pula menembusi gawang United untuk memberi kelebihan selesa buat pasukan tuan rumah. Tuan rumah yang seakan-akan bakal meraih mata penuh sekaligus menamatkan rekod tanpa kalah pelawat musim ini dikejutkan dengan kebangkitan lewat United. Federico Macheda menghidupkan peluang United apabila rembatan kencangnya diminit ke-81 gagal diselamatkan Brad Friedl manakala Nemanja Vidic pula menyamakan kedudukan selang empat minit kemudian hasil tandukan jarak dekat. Ini adalah keputusan seri yang ketujuh dicatatkan oleh United dari 12 perlawanan mereka musim ini.

"Kami boleh dibolosi enam gol di babak kedua. Mereka sering melakukan percubaan dengan Albrighton memiliki dua peluang keemasan. Secara jujurnya, kami memang bernasib baik", ujar Ferguson sambil memuji penampilan anak-anak buah Gerard Houllier. "Kami menunggu terlalu lama untuk menunjukkan tahap permainan sebenar kami, sehinggalah kami ketinggalan dua gol. Macheda dan Obertan mengubah arus perlawanan selepas mereka dimasukkan", tambah Ferguson lagi. Sementara itu Houllier memuji semangat juang yang ditunjukkan oleh barisan Red Devils selepas menyaksikan mereka dinafikan dari meraih tiga mata di gelanggang sendiri. Houllier yang sudah berkira-kira akan memungut tiga mata penuh terpaksa akur dengan kebangkitan lewat United. "United?, Mereka memiliki semangat tidak kenal menyerah. Mereka memang kelab yang berkualiti sehingga masih belum tewas setakat ini. Mereka bangkit dan menyamakan kedudukan di saat kami semakin keletihan dan hilang tumpuan", ujar Houllier.

13 November 2010

CARRICK YAKIN UNITED MAMPU RAIH MATA PENUH

LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11
ASTON VILLA lwn MANCHESTER UNITED
(Villa Park, 13 November 2010 jam 08.40 malam)



Krisis kecederaan yang menimpa sebilangan besar pemain tonggak Manchester United tidak sedikitpun menggusarkan Michael Carrick menjelang kunjungan skuad The Red Devils ke Villa Park malam ini. Walaupun dijangka bakal menghadapi halangan sukar dari Aston Villa, Carrick yakin United bakal mempertahankan rekod tanpa kalah mereka setakat ini. "Kami semakin bermotivasi untuk meraih kemenangan. Keyakinan diri setiap pemain juga meningkat selepas perlawanan kami dengan Manchester City kelmarin. Kami tahu betapa bagusnya permainan kami. Kami juga mempunyai barisan pertahanan yang unggul", ujar Carrick. Walaupun masih belum tewas setakat ini, United masih mengekori Chelsea yang berkelebihan empat mata di tangga teratas selepas mencatat 6 keputusan seri. Khamis lalu, United sekali lagi diikat dengan keputusan seri oleh jiran mereka yang berbelanja besar, Manchester City.

United bakal kehilangan khidmat Paul Scholes akibat penggantungan kerana sudah mengumpul lima kad kuning. Nasib Rafael da Silva dan Patrice Evra masih belum diketahui selepas masing-masing dikeluarkan di separuh masa kedua semasa pertemuan dengan City akibat masalah kecederaan pangkal paha dan pergelangan kaki. Kecederaan kedua-duanya menyaksikan senarai kecederaan pemain yang menerima rawatan semakin panjang selepas Ryan Giggs, Owen Hargreaves, Michael Owen dan Wayne Rooney belum pulih sepenuhnya. Walau bagaimanapun Sir Alex Ferguson masih menaruh harapan kecederaan Patrice Evra tidak seteruk yang disangka dan mampu diturunkan malam ini. United mesti mengelak dari terus mencatat keputusan seri jika mahu memberi tekanan kepada Chelsea yang selesa mendahului carta liga selain memastikan Arsenal yang berada di tangga ketiga tidak memintas mereka.

11 November 2010

FERGUSON AKUI CITY SUKAR DIKALAHKAN


Manchester City's Carlos Tevez (R) shoots at goal past Manchester United's Rio Ferdinand (2nd L) during their English Premier League soccer match at the City of Manchester Stadium in Manchester, northern England November 10, 2010.

Sir Alex Ferguson mengakui pasukannya menghadapi kesulitan menewaskan jiran mereka Manchester City dalam pertemuan dua jira setempat itu pagi tadi. United dan City terikat tanpa jaringan dalam perlawanan yang dilangsungkan di gelanggang City, City of Manchester Stadium. Walaupun pada awalnya ramai yang meramalkan perlawanan ini akan berlangsung tegang namun hakikatnya baik United atau City gagal menunjukkan ketajaman penggempur masing-masing di depan gawang. Menurut Ferguson, City memang sukar dikalahkan di gelanggang mereka malah Chelsea yang kini mendahului carta liga pernah tersungkur di Eastlands. "City memang sukar dikalahkan di gelanggang mereka. Ramai yang meramalkan perlawanan ini akan berlangsung dengan tegang namun saya puas hati dengan persembahan kami. Kami menguasai permainan dan menampilkan permainan yang bagus", kata Ferguson.

Sementara itu, Edwin Van der Sar menilai bahawa jiran mereka itu bermain dengan corak permainan negatif dan sekadar berminat mencatat keputusan seri. "Mereka bermain untuk mendapatkan satu mata, bukan memenangi perlawanan ini", ujar Van der Sar. Bekas penjaga gol antarabangsa Belanda itu hairan bagaimana City yang diperkuatkan sebilangan besar pemain bertaraf dunia memilih untuk bermain secara bertahan. Menurut Van der Sar dia tidak langsung merasa terancam sepanjang perlawanan ini kecuali sepakan percuma dari Carlos Tevez. "Jika perlawanan dilanjutkan beberapa belas minit lagi, kami akan mengalahkan City" tambah Van der Sar. Keputusan seri yang dicatatkan United membuka ruang buat Chelsea melebarkan kedudukan mereka di tangga teratas dengan kelebihan empat mata selepas berjaya menewaskan Fulham 1-0 di Stamford Bridge.

09 November 2010

SCHOLES: MENGALAHKAN UNITED BUKAN TUGAS MUDAH


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

MANCHESTER CITY lwn MANCHESTER UNITED
(City Of Manchester Stadium, 11 November 2010 jam 04.00 pagi

Manchester United's Paul Scholes celebrates his goal against Fulham during their English Premier League soccer match at Craven Cottage, London, Sunday, Aug. 22, 2010. 20 7864 9121 or EMAIL infofootball-dataco.com FOR DETAILS.
Manchester City berpeluang mengugat penguasaan jiran mereka Manchester United di tangga kedua Liga Perdana Inggeris tetapi dengan syarat skuad The Citizens itu harus mengakhiri episod kekalahan kepada United. United menguasai pertemuan antara jiran setempat itu musim lalu apabila memenangi kedua-dua pertemuan mereka disamping menyingkirkan City di peringkat separuh akhir Piala Carling. City memperolehi suntikan semangat selepas berjaya menundukkan West Bromwich Albion hujung minggu lalu di samping kembalinya Carlos Tevez ke dalam pasukan. Walau bagaimanapun lagenda United, Paul Scholes menegaskan usaha City itu bukanlah satu tugas yang mudah kerana barisan bintang City bakal berdepan ujian sebenar mereka musim ini. "Kami ingin sentiasa berada di atas City, bahkan pemain-pemain muda yang baru menyertai pasukan juga mahukan perkara yang sama. Saya sentiasa ingin melihat kabinet piala City terus kosong", ujar Scholes.

Sementara itu bagi bintang pertahanan United, Patrice Evra pula menganggap kemenangan ke atas City bukanlah sasaran utama United kerana pasukannya mempunyai misi yang lebih besar iaitu merampas semula trofi Liga Perdana daripada Chelsea. Bagi Evra, tugas utama United musim ini ialah memenangi kejuaraan yang lebih besar berbanding kemenangan ke atas jiran mereka itu. "Jika kami menang perlawanan ini ia adalah keputusan yang bagus untuk United, kemenangan yang biasa dan tiada yang istimewanya", ujar Evra. Evra juga menegaskan dia tidak gentar dengan suasana yang bakal dihadapinya nanti di Eastlands. "Mereka selalu mengatakan mereka akan mengalahkan kami, tetapi hakikatnya tidak berlaku sedemikian. Kami tidak ambil peduli dengan apa yang mereka katakan", tambah Evra lagi. Musim lalu, United menang 1-0 di Eastlands hasil jaringan minit akhir Paul Scholes.

07 November 2010

JI SUNG MUNCUL WIRA UNITED


Park brace rescues United as Hargreaves is injured again
Park Ji Sung muncul wira Manchester United apabila dua gol jaringannya berjaya memastikan skuad The Red Devils meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri. Pertembungan United dan Wolverhampton Wanderers ini adalah yang kedua dalam tempoh sepuluh hari di Old Trafford selepas United berjaya menyingkirkan anak-anak buah Mick McCarthy 3-2 dalam kempen Piala Liga 27 Oktober lalu. Perlawanan ini juga menyaksikan Owen Hargreaves tampil buat pertama kali dalam tempoh hampir dua tahun akibat kecederaan namun kelibat bekas pemain Bayern Munich itu hanya bertahan selama enam minit akibat masalah hamstring. Hargreaves kemudiannya digantikan pemain muda Portugal Bebe. Wolves yang mengejutkan Manchester City minggu lalu berjaya memberikan masalah kepada barisan United dan mereka hampir mendahului namun rembatan Kevin Doyle yang ditampan Nemanja Vidic sedikit tersasar ke sebelah kanan pintu gol. Di penghujung separuh masa pertama, Ji Sung akhirnya berjaya meletakkan United di depan selepas berjaya menyempurnakan lorongan cantik Darren Fletcher untuk menewaskan Marcus Hahnemann.

Di separuh masa kedua, Sir Alex Ferguson mengubah formasi permainan dari 4-4-2 kepada 4-5-1 untuk memastikan United menguasai bahagian tengah. Perubahan itu ternyata memberikan United kelebihan apabila mereka mula menguasai permainan. Walau bagaimanapun United gagal menambah jaringan dan kesempatan itu diambil lawan untuk menyamakan kedudukan melalui pemain gantian Sylvan Ebanks Blake di minit ke-67. Menyedari pasukannya memerlukan jaringan, Ferguson memasukkan Paul Scholes dan Federico Macheda dengan menarik keluar John O'Shea dan Bebe bagi menambah variasi serangan United. Kehadiran Scholes ternyata membawa perubahan kepada United apabila mereka mula melakukan serangan bertali arus ke kawasan lawan untuk mencari gol kemenangan. Diminit ke-82, Javier Hernandez dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan Phil Dowd kerana sengaja merebahkan badan di kawasan petak penalti lawan. Ketika Mick McCarthy sudah berkira-kira akan membawa pulang satu mata dari Old Trafford, Ji Sung akhirnya menjaringkan gol kemenangan ketika masa kecederaan berbaki satu minit untuk ditamatkan sekaligus memberikan tiga mata penuh buat United.

06 November 2010

UNITED TANPA NANI DAN FLETCHER


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

MANCHESTER UNITED lwn WOLVERHAMPTON
(Old Trafford, 6 November 2010 jam 10.00 malam)

Manchester United's Darren Fletcher celebrates after he scored a goal against Bursaspor during their Group C Champions League soccer match at Ataturk Stadium in Bursa, Turkey, Tuesday, Nov. 2, 2010.
Wolverhampton Wanderers menghadapi misi berat untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata apabila mereka berkunjung ke Old Trafford malam ini. Skuad bimbingan Mick McCarthy itu yang disingkir United dari saingan Piala Liga 27 Oktober lalu dilihat bakal menempuh kesukaran selepas melihat barisan muda United mempamerkan aksi kemas ketika mereka menang ke atas Bursaspor dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah kelmarin. United yang bakal kehilangan Nani dan Darren Fletcher selepas kedua-duanya mengalami kecederaan di Turki pastinya tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan pengganti kedua-dua tonggak tengah itu. Ferguson juga dijangka menurunkan semula Rio Ferdinand di benteng selepas merehatkan kapten England itu ketika kunjungan mereka ke Turki.

Park Ji Sung mungkin digunakan Ferguson untuk menggantikan Nani di bahagian sayap manakala pemain berpengalaman John O'Shea akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Fletcher. Skuad Alex Ferguson kini pastinya berada dalam situasi terbaik untuk memburu kemenangan ketiga berturut-turut mereka dalam liga selepas menundukkan Stoke City dan Tottenham Hotspurs ditambah kejayaan memberangsangkan mereka dalam kempen Liga Juara-Juara Rabu lalu. Selain dari faktor prestasi terkini United, Wolves dijangka menghadapi kesukaran menembusi benteng The Red Devils jika mengambil kira statistik perlawanan mereka musim lalu di mana mereka gagal menjaringkan sebarang gol dalam dua pertemuan mereka dengan United.

03 November 2010

FERGUSON GEMBIRA SKUADNYA RAIH TIGA MATA


Manchester United's players celebrate a goal against Bursaspor during their Champions League soccer match at Ataturk stadium in Bursa, western Turkey, November 2, 2010.
Sir Alex Ferguson melahirkan kegembiraan atas kejayaan pasukannya meraih tiga mata penuh ke atas juara Turki, Bursaspor awal pagi tadi. Meskipun terikat 0-0 di separuh masa pertama, skuad The Red Devils meledak tiga gol di babak kedua untuk meletakkan United sebagai peneraju Kumpulan C. Sebelum perlawanan, United dijangka berhadapan tugas sukar selepas Bursaspor berjaya memberikan tentangan sengit ketika mereka tewas 0-1 di Old Trafford, 22 Oktober lalu. United hanya memerlukan tiga minit sebaik babak kedua bersambung melalui gol Darren Fletcher. Gol itu ternyata menyentap semangat tuan rumah yang gagal meraih kemenangan setakat ini dan menduduki tangga terbawah Kumpulan C. Gabriel Obertan terus mengukuhkan cengkaman United selepas menjaringkan gol kedua diminit ke-73 dan empat minit kemudian Ali Tandogan menjaringkan gol sendiri untuk meletakkan United selesa di hadapan.

"Kami telah berhasil mendapatkan gol awal di babak kedua. Gol itu ternyata merubah suasana perlawanan", kata Ferguson. "Dari situasi tersebut kami akhirnya berjaya mengawal permainan walaupun lawan memiliki beberapa peluang baik. Gol kedua pula telah menambahkan lagi kesukaran buat mereka", tambah Ferguson lagi. Walaupun mencatat kemenangan, United terpaksa membayar harga mahal berikutan kecederaan yang dialami Nani di separuh masa pertama. Nani yang dianggap sebagai pemain terbaik United ketika ini mengalami kecederaan pangkal paha dan masih belum dapat dipastikan setakat mana seriusnya kecederaan pemain antarabangsa Portugal itu. "Sukar untuk memastikan berapa lama kami bakal kehilangan Nani. Kami hanya akan memeriksa kecederaannya esok", kata Ferguson. Selain Nani, Darren Fletcher turut mengalami kecederaan dalam perlawanan itu dan Ferguson mengesahkan bahawa Fletcher mengalami masalah di pergelangan kaki.

02 November 2010

CARRICK: BURSASPOR BUKAN LAWAN MUDAH


LIGA JUARA-JUARA EROPAH 2010/11

BURSASPOR lwn MANCHESTER UNITED
(Bursa Ataturk Stadium, 3 November 2010 jam 03.40 pagi)

http://www.betshoot.com/wp-content/uploads/Michael-Carrick.jpg
Tonggak tengah Manchester United, Michael Carrick mengakui bahawa Bursaspor bukanlah lawan yang mudah sepertimana yang telah mereka buktikan ketika bertandang ke Old Trafford bulan lalu. United sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas juara Turki itu di Old Trafford hasil jaringan Nani pada 21 Oktober lalu. Awal pagi nanti, United akan berdepan dengan Busaspor di Stadium Bursa Ataturk, Turki dalam perlawanan peringkat Kumpulan C, Liga Juara-Juara Eropah. Menurut Carrick selain terpaksa bertandang ke gelanggang lawan, suasana bolasepak di Turki juga jauh berbeza dengan Eropah, dan ini pastinya menyukarkan lagi tugas United mencari tiga mata penuh di sana. "Ramai yang mengatakan bahawa rekod kami di gelanggang lawan sangat baik tetapi semua perlawanan Liga Juara-Juara memang sukar", kata Carrick. United ketika ini memimpin carta Kumpulan C selepas meraih tujuh mata, dua mata di hadapan Glasgow Rangers di tangga kedua, manakala Bursaspor pula masih gagal meraih sebarang mata dan berada di tangga terbawah kumpulan.