27 Februari 2019

KUALITI FLETCHER DALAM DIRI McTOMINAY




Nama Darren Fletcher mungkin tidak sehebat lagenda-lagenda Manchester United yang lain seperti George Best, Bryan Robson, David Beckham, Wayne Rooney, Roy Keane, Ruud Van Nistelrooy atau Eric Cantona. Bagaimanapun satu hakikat yang nyata ialah Fletcher antara nama yang sangat dipercayai Sir Alex Ferguson untuk beliau letakkan dalam senarai kesebelasan utamanya ketika United berdepan perlawanan-perlawanan besar.

Pada usia 19 tahun, Fletcher sudah digunakan Fergie untuk menentang pemain handalan seperti Patrick Vieira ketika api perseteruan antara United dan Arsenal masih membara. Mengapa Fletcher sentiasa menjadi pilihan Fergie dalam perlawanan-perlawanan besar? Pada 2017, Fergie pernah mendedahkan tentang kecenderungan beliau terhadap Fletcher dalam siaran rasmi kelab West Bromwich Albion ketika pemain itu melakukan penampilan ke-300 di Liga Perdana.

“Di Old Trafford, Fletcher bermain dalam semua perlawanan besar untuk United. Fletcher antara pemain kegemaran saya untuk diturunkan dalam perlawanan besar. Terdapat beberapa pemain yang memiliki sikap begitu, mereka tidak gentar serta memiliki keupayaan bermain dalam perlawanan besar. Fletcher antara yang saya maksudkan. Saya juga memiliki kecenderungan menurunkan beliau menentang Patrick Vieira”, kata Fergie.

Selain Park Ji-Sung, Fletcher juga sangat dikenali kerana memiliki work rate yang tinggi di atas padang serta sedikit keras corak permainannya. Jadi tidak hairanlah mengapa beliau antara pemain United yang sangat `dibenci’ Arsene Wenger setiap kali United dan Arsenal bertembung. Bagaimanapun Fletcher akhirnya meninggalkan Old Trafford pada 2015 selepas 12 tahun beliau menyarung jersi United.

Jelmaan Fletcher

Dalam aksi menentang Liverpool tempohari, kelibat seorang anak muda di tengah padang mencuri tumpuan dan anak muda yang saya maksudkan ialah Scott McTominay. McTominay antara elemen kejutan yang ditampilkan Ole Gunnar Solskjaer dalam aksi North West Derby tempohari selepas beliau hilang khidmat Nemanja Matic di bahagian tengah.

Gandingan beliau bersama Andreas Pereira di bahagian tengah bukanlah tandingan buat trio Giorgino Wijnaldum, Fabinho dan Jordan Henderson yang lebih berpengalaman, tetapi kredit tetap perlu diberikan kepada kerja keras anak muda ini sepanjang 90 minit aksinya di tengah padang. Jadi tidak hairanlah mengapa Solskjaer melabelkan McTominay sebagai jelmaan Darren Fletcher.

Selaku individu yang pernah bermain bersama Fletcher, Solskjaer tentu sangat faham karakter permainan yang dimiliki pemain berusia 35 tahun itu. “Melihat kepada aksi McTominay mengingatkan saya kepada Darren Fletcher. Dia memiliki karakter permainan mirip dengan Fletcher. Saya juga puas dengan penampilan Andreas Pereira. Sebelum ini dia dikritik hebat tapi dia tampil impresif bersama McTominay”, kata Solskjaer

Kredit Untuk Jose

Jika ada individu yang patut diberikan penghargaan atas keberanian beliau memberikan peluang kepada bakat muda seperti McTominay tampil dalam skuad utama United, Jose Mourinho paling layak menerimanya. Mourinho bukanlah seorang pengurus yang gemar memperjudikan nasib pasukan di tangan pemain muda sepertimana Arsene Wenger, jadi kemampuan McTominay melakukan 13 penampilan bersama United dalam saingan liga musim lalu sangat mengejutkan.

Sudah tentu penampilan paling diingati dari McTominay dalam kesebelasan utama United ialah ketika mereka menundukkan Chelsea di Old Trafford dalam saingan liga 25 Februari tahun lalu. Selain percaturan taktikal yang tepat, apakah faktor tambahan yang membolehkan United menang dalam perlawanan itu? Selain sistem 3-4-3 Antonio Conte yang boleh bertukar kepada pola 3-5-2, Mourinho juga menyedari bahawa beliau perlu menghentikan Eden Hazard jika mahu merosakkan skema permainan Chelsea.

Rencana Mourinho sedikit terganggu kerana Ander Herrera yang sebelumnya sering diberikan tugas membayangi Hazard terkeluar dari senarai pemain akibat kecederaan. Tanpa Herrera, Hazard boleh tersenyum kerana beliau mendapati tugas utamanya untuk merobek benteng pertahanan United bakal menjadi lebih mudah. Bagaimanapun dalam masa yang sama, Hazard juga mungkin tidak menyedari bahawa tanpa Herrera, Mourinho masih memiliki pengganti setanding yang mampu membayangi setiap pergerakan beliau.

Menjelang sepak mula, anda akhirnya dapat saksikan nama Scott McTominay dalam susunan formasi United. Ya, tidak lain dan tidak bukan beliau bakal mengambilalih peranan Herrera atau lebih tepatnya, beliaulah yang bakal dihadapi Hazard sepanjang 90 minit permainan. Kesilapan yang dilakukannya diminit ke-31 membolehkan Hazard menyumbang assist untuk gol tunggal Chelsea, tetapi selain daripada itu McTominay lulus dengan cemerlang dalam melaksanakan tugas utama yang diberikan Mourinho, iaitu merantai pergerakan Hazard.

Di luar padang, Conte melihat dengan jelas bagaimana sukarnya Hazard melepasi kekangan yang dilakukan McTominay ke atasnya. Ketika sumbangan Hazard di atas padang semakin minimum, Conte tiada jalan lain selain menarik keluar bintang kesayangan penyokong The Blues itu ketika tempoh permainan sebenar berbaki 15 minit. Selepas tamat pertempuran di Old Trafford itu, penyokong-penyokong United lebih cenderung membincangkan tentang prestasi hebat McTominay berbanding jaringan Romelu Lukaku dan Jesse Lingard.

Pemain Underrated

Bermula dari kejayaan beliau ketika bersama Porto hinggalah ke Chelsea, Mourinho memang sangat terkenal dengan reputasi beliau yang gemar membentuk kekuatan skuadnya berteraskan pemain-pemain berpengalaman. Jadi bukan satu perkara yang mudah buat mana-mana bakat muda menembusi skuad utama Mourinho dan kemudiannya melakukan penampilan dua digit dalam saingan liga selama semusim sepertimana yang dilakukan McTominay.

Ketika rakan seangkatan beliau seperti Angel Gomez yang memiliki skill individu lebih bagus gagal mengetuk pintu hati Mourinho, McTominay pula secara perlahan-lahan membina reputasi beliau bersama skuad regular United. Apa kekuatan sebenar McTominay hingga beliau berjaya melunturkan ego seorang Mourinho hinggakan beliau diberikan peluang dan kepercayaan melakukan penampilan dalam skuad utama United?

Jawapannya adalah kesederhanaan yang ada dalam diri pemain muda ini. “Saya fikir penampilan bagus McTominay kerana penampilannya yang sederhana. Gaya potongan rambutnya biasa, tiada tatu, tidak memiliki kenderaan atau memakai jam tangan mewah. Dia seorang remaja yang sangat merendah diri dan tiba di kelab ini ketika berusia sembilan atau 10 tahun”, kata Mourinho selepas tamat aksi menentang Chelsea musim lalu.

`Next’ Fletcher?

McTominay bukanlah seorang pemain tengah yang kreatif, memiliki visi permainan yang tinggi atau bijak dalam mengawal tempo permainan sepertimana Michael Carrick. Tetapi apa yang menyebabkan Sir Alex Ferguson menyarankan kepada Mourinho agar memberikan peluang buat pemain ini tampil lebih kerap bersama skuad utama United? Atau mengapa Warren Joyce menyebut bahawa McTominay antara produk terbaik dari akademi yang pernah beliau latih?

Jika anda bukan penyokong United dan pertama kali menyaksikan aksi McTominay, pasti anda akan tertanya-tanya sebagus atau sebesar manakah potensi bakat muda ini untuk muncul sebagai pemain utama United suatu hari nanti? Beliau bukanlah seperti Paul Scholes, lagenda United di bahagian tengah yang sering melakukan perkara-perkara spectacular di atas padang, tetapi McTominay mirip kepada Fletcher kerana kesederhanaan permainannya.

Disiplin dalam taktikal, patuh arahan dan kerja keras antara elemen penting yang membantu McTominay sukses merebut tempat dalam skuad utama United berbanding rakan-rakan seangkatan beliau. McTominay mungkin tidak akan menerima sorotan dari media sehebat Paul Pogba tetapi beliau akan menjadi seperti Fletcher, pemain sederhana kepercayaan Fergie yang tiada rasa gentar untuk berdepan perlawanan besar. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

25 Februari 2019

TUMBANGNYA TIGA MIDFIELDER UNITED WARNAI AKSI NORTH WEST DERBY



“Tidak menepati jangkaan”, “Membosankan” atau apa sahaja perkataan sesuai boleh anda berikan sebagai gambaran aksi selama 90 minit pertemuan antara Manchester United dan Liverpool semalam. Sebaik berakhirnya aksi North West Derby ke-176 (dalam saingan liga) itu, United terpaksa menyerahkan posisi tangga keempat mereka kepada Arsenal selepas skuad The Gunners menewaskan Southampton (2-0) di gelanggang sendiri.

JIka anda mengharapkan arus perlawanan berlangsung sengit sambil kedua-dua musuh tradisi ini berbalas serangan atau mencipta peluang-peluang jaringan gol secara terbuka, anda sepatutnya berasa kecewa sebaik Michael Oliver meniup wisel penamat. Tiada juga insiden duel fizikal atau provokasi sesama pemain yang mewarnai perlawanan sepertimana yang berlaku ketika era Gary Neville dan Jamie Carragher atau membabitkan konfrontasi antara Patrice Evra dan Luis Suarez.

Anti Klimaks

Sepanjang perlawanan, pemain kedua-dua pasukan melakukan 32 kekasaran hingga memaksa Oliver melayangkan empat kad kuning (3 kepada Liverpool dan 1 kepada United). Bagaimanapun faktor ini tidak diiringi aksi menghiburkan di tengah padang kerana kedua-kedua pasukan lebih cenderung mengamalkan pendekatan berhati-hati dalam corak permainan mereka. Ole Gunnar Solskjaer menggunakan formasi 4-3-1-2, manakala dalam situasi bertahan pula, pola formasi United bertukar kepada 4-4-2.

Strategi ini merupakan strategi yang sama digunakan Solskjaer ketika United menyingkirkan Chelsea dari saingan Piala FA, 19 Februari lalu. Jika dilihat kepada keputusan akhir perlawanan, dan bagaimana barisan pertahanan United berjaya meneutralkan ancaman lawan terutamanya dari Mohamed Salah, Solskjaer pastinya mampu tersenyum menyaksikan rekod tanpa kalah beliau dalam saingan liga berpanjangan kepada sepuluh perlawanan meskipun aksi North West Derby kali ini dilabelkan sebagai aksi anti klimaks.

Strategi

Seperti yang dijangkakan, United menggunakan sisi sayap mereka ketika melancarkan serangan sambil sesekali melakukan serang balas pantas ke kubu pertahanan lawan. Meskipun turun tanpa kelibat Anthony Martial, manakala kondisi kecergasan Marcus Rashford pula tidak berada pada tahap terbaik, 47.2% serangan United datangnya dari sisi sayap mereka.

Menyedari potensi ancaman yang mampu dilakukan United dari sisi sayap (terutamanya di sebelah kiri), Jurgen Klopp memilih pengalaman luas yang dimiliki James Milner berbanding Trent Alexander-Arnold untuk mengisi posisi pertahanan kanan skuadnya. Strategi Klopp nampaknya berhasil apabila sepanjang perlawanan tiada satu pun hantaran-hantaran silang berjaya dilakukan United dari sebelah kiri.

Di bahagian tengah pula Klopp menggunakan Fabinho, Giorgino Wijnaldum dan Jordan Henderson untuk melakukan tekanan bagi menganggu proses build up serangan United. Selepas hilang khidmat Nemanja Matic sebelum perlawanan, situasi tambah parah buat Solskjaer apabila beliau melihat satu demi satu pemain tengahnya tumbang akibat kecederaan di babak pertama.

`Tumbangnya’ Ander Herrera, Juan Mata dan Jesse Lingard di babak pertama, manakala Marcus Rashford pula tidak berada pada tahap kecergasan terbaiknya sedikit sebanyak menjejaskan perancangan Solskjaer. Bagaimanapun United masih mampu mencipta peluang terbaik di pertengahan babak pertama, namun umpanan Romelu Lukaku yang lolos di celah-celah pertahanan Liverpool gagal disempurnakan Lingard.

North West Derby Tanpa Gol

Kira-kira 28 tahun lalu atau lebih tepatnya pada tanggal 6 Oktober 1991, United dan Liverpool bertemu dalam saingan liga yang dilangsungkan di Old Trafford. Dalam perlawanan itu, kedua-kedua pasukan buntu dalam misi mereka menembusi pintu gol lawan sepanjang 90 minit perlawanan. Keputusan seri tanpa jaringan yang dilakar di Old Trafford semalam menyaksikan episod sama berulang, sekaligus menyaksikan ini juga keputusan seri tanpa jaringan pertama aksi North West Derby dalam tempoh 28 tahun.

Solidnya Pertahanan United

Ketika United kehilangan hampir keseluruhan pemain utama di bahagian tengah selain masalah kecederaan yang dialami Macus Rashford hampir sepanjang perlawanan, tiada apa yang mampu dilakukan Solskjaer selain mengharapkan agar pasukannya mampu bertahan dengan baik.

Scott McTominay dan Andreas Pereira bukanlah pengganti setanding kepada duet Ander Herrera dan Nemanja Matic di bahagian tengah terutamanya dalam melakukan tugas build up. Di sisi berlawanan pula, Fabinho melaksanakan tugasnya dengan sangat cemerlang untuk Liverpool sekaligus menyaksikan United hilang penguasaan di bahagian tengah.

Malangnya kualiti yang dimiliki Liverpool di bahagian tengah dan pertahanan tidak diimbangi barisan hadapan mereka ketika melakukan serangan. Mohamed Salah, pemain yang sering dijadikan sandaran Jurgen Klopp dalam misi memburu gol tenggelam sepanjang 79 minit aksinya di tengah padang kerana pergerakan beliau sering dibayangi Luke Shaw.

Terkeluarnya Roberto Firmino akibat kecederaan diminit ke-31 memudahkan lagi tugas Victor Lindelof dan Chris Smalling di benteng pertahanan United. Meskipun Liverpool menguasai peratusan penguasaan bola namun mereka berdepan kesukaran menembusi pintu gol David De Gea berikutan pendekatan bermain dalam blok pertahanan rendah yang dilakukan United.

Kehadiran Divock Origi dan Xherdan Shaqiri tidak banyak membantu Klopp dalam misi beliau untuk cuba memecah benteng pertahanan United. Corak permainan United semalam memang diakui agak `pragmatis’, tetapi selepas menyaksikan Solskjaer hilang sentuhan di bahagian tengah berikutan masalah kecederaan yang dialami pemain-pemain utamanya, satu mata di Old Trafford adalah keputusan yang adil untuk dikongsi kedua-dua pasukan.

Pelajaran Penting Untuk Solskjaer

Selepas menyaksikan Ander Herrera cuma mampu bermain selama 21 minit di atas padang akibat kecederaan, Solskjaer menerima tamparan kedua empat minit selepas itu apabila giliran Juan Mata pula terpaksa dibawa keluar kerana masalah yang sama. Di bangku simpanan, Solskjaer lebih memilih Jesse Lingard yang masih belum cergas sepenuh sebagai pengganti Mata berbanding menurunkan Alexis Sanchez.

Perjudian Solskjaer mempertaruhkan kecergasan Lingard akhirnya memakan diri selepas pemain berusia 26 tahun itu cuma mampu bertahan selama 18 minit di atas padang. Hal tersebut mendapat perhatian dari Alan Pardew dalam analisis beliau ketika rehat separuh masa permainan. “Mengapa Solskjaer lebih memilih Juan Mata yang belum cergas dalam kesebelasan utama dan kemudiannya Jesse Lingard sebagai pengganti Mata di babak pertama?”, soal Pardew.

Selain Sanchez yang boleh bermain di bahagian tengah, Solskjaer juga memiliki Fred dalam senarai pemain simpanan United. Jadi keputusan beliau menurunkan Mata dan kemudiannya Lingard yang tahap kecergasan mereka masih diragui menimbulkan sedikit tanda tanya. Aksi menentang Liverpool semalam sepatutnya menjadi pelajaran berguna buat Solskjaer dalam memilih pemain yang tepat berdasarkan tahap kecergasan mereka pada satu-satu perlawanan.

Kredibiliti Sebenar Ole Bakal Diuji

Keputusan seri semalam adalah keputusan yang adil untuk kedua-dua pasukan. Kedua-dua pasukan buntu menghasilkan jaringan atas dua sebab berbeza. Ketika Liverpool mendapati Mohamed Salah buntu dalam misi beliau memecahkan solidnya pertahanan United, Solskjaer pula terpaksa akur berdepan  krisis kecederaan di bahagian tengah yang menyaksikan skuadnya hilang kreativiti di posisi tersebut.

Seri mungkin satu kelegaan buat Solskjaer, tetapi apa yang lebih menariknya ialah melihat bagaimana beliau berdepan dengan krisis di bahagian tengah berikutan kecederaan yang menimpa Matic, Lingard, Mata dan Herrera. Di Selhurst Park awal pagi Khamis ini, kredibiliti Ole selaku pengendali akan sekali lagi diuji sepenuhnya tatkala beliau perlu berdepan Crystal Palace tanpa kekuatan penuh.

Selepas Klopp, Solskjaer kini perlu berdepan pula dengan Roy Hodgson, seorang pengendali yang sangat berpengalaman dalam saingan di England. Melihat kepada kerosakkan yang dilakukan Palace keatas Leicester City di King Power Stadium, skuad pincang United nampaknya bakal berdepan tugas getir di Selhurst Park nanti. Adakah perjalanan tanpa kalah 10 perlawanan liga United di bawah Solskjaer akan berakhir di Selhurst Park? Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

23 Februari 2019

SI PEMBENCI `SCOUSERS’



Hujung minggu ini anda akan disajikan dengan satu lagi aksi Northwest Derby membabitkan pertembungan antara dua seteru abadi iaitu Manchester United dan Liverpool. Ketika Liverpool berada dalam posisi terbaik untuk menamatkan kemarau 29 tahun kejuaraan liga mereka, manakala United pula meletakkan tiket beraksi di Liga Juara-Juara musim depan sebagai misi yang wajib disempurnakan, pertembungan Northwest Derby ke-176 ini pastinya akan menjadi pertembungan yang menarik.

United tewas 1-3 pada aksi pusingan pertama liga yang dilangsungkan di Anfield 17 Disember tahun lalu hingga mengakibatkan Jose Mourinho dipecat selepas itu. Bagaimanapun aksi di Old Trafford nanti pastinya menyaksikan United sebagai kesebelasan yang berbeza. Selepas ketibaan Ole Gunnar Solskjaer, United seolah-olah mendapat semangat baru dan mereka kemudiannya mengharungi sembilan perlawanan liga tanpa kalah. Jadi sudah tentu aksi kali ini akan lebih seimbang berbanding pertemuan pertama di Anfield Disember lalu.

Mereka Yang Paling Dibenci Dalam Northwest Derby

Sejarah perseteruan antara United dan Liverpool memang tidak perlu diperdebatkan lagi. Sejak dahulu hingga kini, pertembungan membabitkan dua seteru dalam kancah saingan bolasepak di England itu sentiasa dinantikan penyokong kedua-dua pasukan di seluruh dunia. Bukan sahaja membabitkan persaingan sengit di atas padang tetapi konflik yang sering berlaku antara pemain kedua-dua pasukan juga antara penyebab mengapa Northwest Derby masih lagi dianggap sebagai `acara besar’ dalam kalendar bolasepak England.

Sejak dekad 90an hinggalah ke era millenium, pertembungan antara United dan Liverpool tidak pernah sunyi dari konflik yang dicetuskan pemain dua musuh tradisi ini di atas padang. Dipihak penyokong United, nama-nama seperti Luis Suarez, Steven Gerrard dan Jamie Carragher pastinya pernah berada dalam senarai pemain Liverpool yang paling mereka benci. Manakala bagi penyokong Liverpool pula, Wayne Rooney, Patrice Evra dan Gary Neville adalah sasaran nombor satu cemuhan mereka setiap kali United bertandang ke Anfield.

Si Pembenci Scousers

Gary Neville is a Red, is a Red, is a red...Gary Neville is a Red, He Hates Scousers”. Chant ini dicipta penyokong-penyokong United khas untuk Gary Neville sebagai interpretasi kebencian beliau terhadap Liverpool. Memang benar kerana Gary secara terang-terangan mengakui bahawa beliau adalah pembenci scouser. “Tiada keraguan untuk mengatakan bahawa saya dibesarkan untuk membenci Liverpool”, kata Gary dalam satu temubual bersama MUTV beberapa tahun lalu.

Menurut Gary lagi, beliau tidak pernah berkunjung ke Liverpool atas sebab lain selain bolasepak. “Saya juga selalu bercakap dengan Ryan Giggs (tentang kunjungan ke Liverpool). Hingga sekarang saya masih tidak faham apa yang menyebabkan dia (Giggs) selalu berkunjung ke sana”, tambah Gary lagi. Kebencian Gary terhadap Liverpool bukan sekadar kata-kata kerana sepanjang beliau menabur bakti di Old Trafford, Gary antara pemain United paling bersemangat setiap kali mereka berdepan Liverpool.

Jika pertembungan antara United dan Arsenal sering diwarnai dengan aksi tegang antara Roy Keane dan Patrick Vieira, aksi Northwest Derby pula sering diwarnai dengan siri percakaran antara Gary dan Jamie Carragher. Perang mulut dan duel fizikal antara dua pemain ini di atas padang merupakan tatapan rutin bagi penyokong kedua-dua pasukan setiap kali berlangsungnya aksi Northwest Derby. Malah Gary juga pernah didenda £5000 kerana aksi berlebihannya saat menyambut kemenangan United di Anfield pada Januari 2006.

Aksi berlebihan beliau itu akhirnya mencetuskan ketegangan membabitkan kedua-dua penyokong di Anfield, jadi tidak hairanlah mengapa sehingga kini nama Gary Neville masih berada dalam senarai pemain United paling dibenci oleh The Scousers. Adakah Gary menyesali provokasi melampau yang dilakukannya di halaman The Kopites 13 tahun lalu itu? Jawapannya tidak sekali-kali kerana menurut Gary, kebencian terhadap Liverpool adalah pencetus utama rasa ghairahnya di atas padang setiap kali United berdepan kelab Merseyside itu.

Mengenai City

Kebencian Gary terhadap Liverpool memang sudah diketahui ramai tetapi bagaimana pula dengan rival sekota United iaitu Manchester City? Dalam satu temubual bersama ESPN pada 2012, Gary mengatakan bahawa City ialah kelab paling boros dalam sejarah bolasepak Inggeris. “Saya lebih menghormati Liverpool kerana tradisi dan sejarah yang dimiliki mereka, berbanding sebuah kelab yang cuba mencipta sejarah dalam tempoh singkat dengan menabur wang”, kata Gary.

Mengenai insiden beliau dengan Peter Schmeichel di terowong pemain pada 2002 pula, Gary berkata, “Saat dia (Schmeichel) kembali bermain, dia bermain untuk Manchester City. Anda tidak boleh bermain untuk Manchester City. Saya penyokong United dan saya tidak akan bermain untuk City. Saya tidak akan bermain untuk Leeds dan saya tidak akan bermain untuk Liverpool. Selepas memenangi treble bersama United dia mengatakan ingin bersara, tetapi dia kemudiannya bermain untuk City. Perkara itu tidak boleh dimaafkan”.

Persaingan Yang Sentiasa Hidup

Kini Gary sudah bersara dari arena bolasepak dan kini tiada lagi pemain-pemain seperti Wayne Rooney, Patrice Evra, Luis Suarez, Jamie Carragher atau Steven Gerrard yang membuatkan suhu aksi Northwest Derby sentiasa menggelegak.

Bagaimanapun itu bukan bermakna bahawa Northwest Derby sudah tidak lagi menarik untuk disaksikan. Persaingan antara United dan Liverpool akan sentiasa hidup biarpun generasi pemain-pemain lama seperti Gary dan Carragher sudah lama bersara.

Rasa cemburu, maruah, tradisi, sejarah dan kegemilangan akan sentiasa dijadikan pertaruhan setiap kali dua musuh tradisi ini bertembung di atas padang. Dan sudah tentu generasi pemain baharu kedua-dua pasukan juga faham betapa pentingnya aksi Northwest Derby ini.

Kemenangan bukan sahaja mengukuhkan kedudukan United di kelompok empat teratas, tetapi kemenangan esok juga bakal merencatkan perjalanan The Reds dalam misi mereka menamatkan kemarau 29 tahun kejuaraan liga di Anfield.

Jika ditanyakan kepada Gary sama ada Liverpool atau Manchester City yang menjadi pilihan beliau untuk dinobatkan sebagai juara Liga Perdana musim ini, saya yakin Gary akan memilih The Citizens berbanding The Reds. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

21 Februari 2019

HORMATILAH SMALLING




Duet Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic di benteng pertahanan United bukan sahaja diiktiraf sebagai antara pasangan pertahanan tengah terbaik pernah disaksikan di Old Trafford, tetapi juga di Liga Perdana. Jadi bukan tugas mudah untuk Sir Alex Ferguson mempersiapkan generasi pelapis kepada pasangan itu ketika Rio dan Vida mula memasuki fasa-fasa terakhir karier mereka di Old Trafford.

Di Craven Cottage, Fergie melihat bakat seorang remaja yang pada pandangan beliau sangat berpotensi untuk dijadikan pelapis kepada Rio serta Vida, dan remaja yang saya maksudkan ketika itu ialah Chris Smalling. Memiliki ketinggian sempurna serta corak permainan keras, Smalling dinilai Fergie sangat cocok untuk membarisi benteng pertahanan United selepas berakhirnya era Rio dan Vida nanti.

Potensi Smalling sebagai pemain pertahanan masa depan England turut menarik minat Arsene Wenger dan Carlo Ancelotti, hingga memaksa Fergie bergerak lebih pantas. Pada Januari 2010, United akhirnya mengumumkan kejayaan mereka menandatangani Smalling tetapi kelonggaran diberikan kepada Fulham untuk terus menggunakan khidmat pemain itu hingga ke penghujung musim.

Penampilan Ke-300

Pada 8 Ogos 2010, Smalling melakukan penampilan pertama bersama United ketika berdepan Chelsea dalam aksi merebut Perisai Komuniti. Ironinya penampilan ke-300 beliau bersama kelab juga berlaku ketika berdepan lawan yang sama. Aksi liga yang dilangsungkan di Stamford Bridge pada 22 Oktober tahun lalu merupakan penampilan ke-300 Smalling bersama United.

Selepas kembali semula dari bilik rawatan akibat kecederaan, Smalling kemudiannya melakukan sembilan penampilan untuk United.  Bermula sebagai pemain muda yang dibawa Fergie dari Craven Cottage, Smalling kini muncul pemain ketiga paling berpengalaman dalam skuad Ole Gunnar Solskjaer selepas David De Gea (347 penampilan) dan Antonio Valencia (338 penampilan).

Kemampuan Smalling melakukan 309 penampilan (setakat ini) untuk kelab besar seperti United bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan oleh mana-mana pemain. Dan kemampuan beliau untuk terus kekal selama sembilan musim di Old Trafford juga menunjukkan betapa pentingnya peranan beliau di benteng pertahanan United dari era Fergie hinggalah ke era Ole Gunnar Solskjaer.

Bukan Pemain `Kesukaan’

Jika anda bercakap tentang pemain pertahanan kelas dunia, Smalling mungkin bukan setaraf Gerard Pique, Sergio Ramos, Vincent Kompany, Virgil Van Dijk atau Thiago Silva. Smalling juga dikenali sebagai pemain yang kerap melakukan kesilapan mudah ketika bertahan, jadi tidak hairanlah mengapa beliau tidak tergolong dalam kelompok pemain kegemaran penyokong-penyokong United. Bagaimanapun jangan lupakan gol-gol penting terutama menerusi kepalanya yang sering menjadi penyelamat United.

Sudah tentu gol kemenangan jaringan beliau ke gawang Manchester City dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford April tahun lalu akan dikenang sebagai antara gol terpenting pernah disumbangkan Smalling. Ketika kebanyakkan penyokong United berpendapat bahawa Smalling antara pemain yang patut dijual, kelab sebaliknya mengambil keputusan mengekalkan beliau di Old Trafford hingga 2022. Jika anda bukan penggemar Smalling, anda harus bersedia untuk terus menyaksikan kelibat beliau dibenteng pertahanan United selama tiga tahun lagi.

Naluri Fergie

Fergie bukan sahaja berjaya membina reputasi beliau sebagai pengurus lagenda di Old Trafford menerusi deretan trofi yang berjaya dimenanginya, tetapi beliau juga dikenali kerana kemampuannya menghidu bakat-bakat muda terbaik untuk diketengahkan. Meskipun bakatnya bukan dilahirkan dari Akademi United, namun Smalling antara pemain yang cukup bertuah kerana bakat serta potensi beliau berjaya dikesan dan digilap Fergie.

Adalah sesuatu yang sangat hebat untuk seorang pemain yang dua tahun sebelum ketibaannya di Old Trafford cuma bermain di liga separuh profesional. Di Craven Cottage pula, Smalling cuma melakukan 13 penampilan Liga Perdana bersama Fulham sebelum Fergie menandatangani beliau pada Januari 2010. Naluri Fergie ternyata tepat kerana sehingga kini Smalling masih lagi dianggap antara tonggak penting di benteng pertahanan United meskipun lagenda hidup United itu sudah bersara dari dunia kejurulatihan pada 2013.

Peninggalan Era Fergie

Dalam skuad United sekarang, Smalling antara lima pemain dari era Fergie yang masih kekal. Selain beliau, empat pembelian era Fergie yang masih tersisa ialah David De Gea, Antonio Valencia, Phil Jones dan Ashley Young.

Sudah tentu sepertimana empat rakannya itu, Smalling juga sudah merasai nikmat menjulang kejuaraan Liga Perdana, Piala FA, Piala Liga, Perisai Komuniti dan Liga Europa. Kini hanya kejuaraan Liga Juara-Juara satu-satunya trofi yang belum dimenangi Smalling sebagai pemain United.

Di era Solskjaer, beliau nampaknya lebih memilih menggandingkan Victor Lindelof bersama Phil Jones atau Eric Bailly di benteng pertahanan tengah, namun itu bukan bermakna nama pertahanan dari era Fergie ini boleh diketepikan begitu sahaja.

Aksi beliau ketika berdepan Chelsea dalam saingan Piala FA tempohari wajar diberikan pujian, malah Maurizio Sarri turut meletakkan faktor kekuatan benteng pertahanan United yang diterajui Smalling dan Lindelof sebagai antara penyebab tumpulnya barisan The Blues di Stamford Bridge.

Hormatilah Smalling

Menurut Smalling, Didier Drogba dan Bobby Zamora merupakan penyerang paling sukar dihentikan sepanjang kariernya di Liga Perdana. Ya...Drogba dan Zamora antara deretan penyerang ulung yang pernah dihadapi Smalling sepanjang beliau bergelar pemain United. Ketika Drogba dan Zamora sudah bertahun meninggalkan kancah saingan Liga Perdana, satu-satunya cabaran yang masih kekal dan terpaksa dihadapi Smalling dari dulu hingga kini ialah meraih penghormatan dari penyokong sendiri.

Jika segalanya berjalan lancar, Smalling akan bermain untuk United hingga 2022, atau lebih tepatnya mengharungi tempoh 12 tahun karier profesionalnya di Old Trafford. Sekiranya nama Smalling masih kekal dalam perancangan pengurus United untuk saingan musim hadapan, beliau juga bakal mengharungi musim kesepuluhnya di Old Trafford.  Jadi pada tahun hadapan kelab sudah boleh merancang tarikh sesuai untuk mengadakan satu perlawanan testimonial sebagai tanda penghormatan kepada beliau.

Sepanjang sembilan musim kariernya di Old Trafford, Smalling bukanlah pemain yang digemari kebanyakkan penyokong-penyokong United. Bagaimanapun siapa menyangka bahawa beliau kini cuma selangkah untuk meletakkan namanya sebaris dengan Sir Bobby Charlton, Bryan Robson, Brian McClair, Denis Irwin, Roy Keane, Paul Scholes, Gary Neville, Rio Ferdinand, Ryan Giggs, Wayne Rooney dan Michael Carrick sebagai pemain United yang layak diberikan penghargaan testimonial match.

Musim hadapan, United pastinya menjadikan benteng pertahanan mereka sebagai fokus utama untuk diperkuatkan. Jadi sudah tentu akan ada pertahanan baharu yang bakal dibawa masuk, mungkin Kalidou Koulibaly atau sesiapa sahaja. Bagaimanapun dalam masa yang sama, saya juga percaya bahawa kelibat Smalling masih relevan di Old Trafford kerana Solskjaer juga perlukan kualiti yang ada pada beliau bagi membentuk squad depth United. Untuk seorang pemain yang bakal memasuki musim kesepuluhnya di Old Trafford, apa lagi yang diperlukan Smalling selain penghormatan dari penyokong sendiri...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

18 Februari 2019

ALEXIS SANCHEZ...ANTARA GEMILANG YANG KIAN PUDAR ATAU KORBAN SUMPAHAN



Lagenda England, Alan Shearer mengatakan bahawa satu-satunya pemain Manchester United yang gagal menyinar sejak ketibaan Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford ialah Alexis Sanchez. Sanchez tiba di Old Trafford Januari tahun lalu dan dianggap pembelian sensasi yang dilakukan Jose Mourinho dalam misi beliau menjadikan barisan hadapan United lebih tajam dan digeruni.

Reputasinya di Stadium Emirates menerusi 60 gol dari 122 penampilan liga sepanjang empat musim setengah beliau menyarung jersi Arsenal dan kelincahannya bergerak dari sisi kiri atau kanan ketika membelah pertahanan lawan, menjadikan Sanchez idaman penyokong-penyokong United untuk dibawa ke Old Trafford.

Impian penyokong-penyokong yang mahu melihat Sanchez menyarung jersi United akhirnya direalisasikan Mourinho. Sesuai dengan reputasi yang dimiliki beliau, video pengenalan bagi mempromosikan kehadiran Sanchez di Old Trafford juga dianggap antara video pengenalan pemain paling menarik dan kreatif pernah disaksikan oleh peminat-peminat bolasepak.

Gagal Penuhi Jangkaan

Di bawah kendalian Mourinho dan kini Solskjaer pula, prestasi Sanchez nampaknya masih lagi dibawah `standard’ sebenar beliau. Ketika prestasi pemain seperti Marcus Rashford, Anthony Martial, Victor Lindelof, Luke Shaw, Paul Pogba dan Ander Herrera melonjak sejak kedatangan Solskjaer, nasib Sanchez pula sebaliknya.

Saat pertama kali Sanchez diperkenalkan secara rasmi sebagai anggota `The Red Devils’, penyokong-penyokong United percaya bahawa kelab sudah menandatangani pemain yang tepat meskipun dalam masa mereka terpaksa melepaskan Henrikh Mkhitaryan sebagai pertukaran. Tidak cukup dengan itu, Sanchez juga diberikan penghormatan untuk menyarung jersi ikonik nombor 7 United.

Beliau tidak perlu menunggu lama untuk menawan hati kita menerusi ledakan ke gawang Huddersfield pada penampilan pertamanya di gelanggang sendiri. Ketika berdepan Tottenham Hotspurs dalam saingan separuh akhir Piala FA, Sanchez turut menyumbang satu gol, sekaligus membantu United mara ke perlawanan akhir.

Secara keseluruhan, Sanchez meledak tiga gol sepanjang setengah musim pertamanya sebagai pemain United (dua gol dalam saingan liga dan satu gol dalam saingan Piala FA). Jumlah tiga gol yang dijaringkan Sanchez itu memang tidak memadai jika diambilkira reputasi beliau, namun untuk berlaku adil peluang juga patut diberikan kepada Sanchez atas faktor beliau perlu beradaptasi dengan suasana dan gaya permainan bersama kelab baru.

Bagaimanapun selepas lebih setahun perpindahannya ke Old Trafford, Sanchez baru meledak lima gol dari 37 perlawanan, dan itu juga bermakna beliau cuma mampu menjaringkan dua gol musim ini. Sebagai perbandingan, Sanchez hanya memerlukan 11 perlawanan untuk menjaringkan jumlah gol yang sama pada musim terakhirnya di Stadium Emirates.

Apa Masalah Sanchez?

Apa masalah sebenar yang dihadapi Sanchez? Ole Gunnar Solskjaer sendiri tidak tahu apa lagi yang perlu beliau lakukan untuk meningkatkan kembali prestasi Sanchez. Mengingatkan bahawa beliau seorang pemain yang memiliki kepantasan serta skill individu menarik, Sanchez sepatutnya mampu beradaptasi dengan baik menerusi skema permainan United yang diterapkan Solskjaer.

United di bawah kendalian Solskjaer kerap menjadikan sisi sayap sebagai teras kekuatan ketika mereka melakukan serangan. Malangnya faktor tersebut gagal digunakan Sanchez untuk meletakkan beliau selaku antara pemain penting dalam skema permainan Solskjaer. Di sisi kiri, Solskjaer lebih gemar meletakkan Anthony Martial manakala pilihan beliau di sebelah kanan pula ialah Jesse Lingard.

Kesempatan Yang Terbuang

Masih ingatkah lagi anda dengan aksi sukar menentang Leicester City di Stadium King Power 3 Februari lalu? Dalam perlawanan itu Sanchez diturunkan Solskjaer dalam kesebelasan utama United. Aksi menentang Leicester itu juga merupakan kali ketiga Sanchez diletakkan Solskjaer sebagai starter. Apa yang berlaku sepanjang perlawanan atau lebih tepatnya sepanjang 67 minit aksi Sanchez di atas padang?

Berbanding tugasnya menghadirkan ancaman kepada benteng pertahanan Leicester, Sanchez sebaliknya kerap kehilangan bola hingga menyebabkan United terdedah kepada serang balas lawan. Menyedari bahawa tidak banyak impak mampu diberikan Sanchez dalam misi menekan benteng Leicester yang diketuai Harry Maguire dan Jonny Evans, beliau akhirnya digantikan Anthony Martial di separuh masa kedua.

Kutukan Nombor 7

Nombor 7 merupakan nombor paling ikonik dalam senarai susunan nombor jersi di Old Trafford. George Best, Bryan Robson, Eric Cantona, David Beckham dan Cristiano Ronaldo akan sentiasa dikenang sebagai penyarung jersi nombor 7 United paling berjaya. Tetapi terdapat juga sederet senarai pemain yang gagal memenuhi harapan dalam misi menyambung legasi gemilang nombor 7 selepas mereka diberikan tanggungjawab menyarung jersi tersebut.

Selepas pemergian Ronaldo, tiada pemain yang mampu tampil gemilang dengan jersi nombor 7 United itu. Michael Owen, Antonio Valencia, Angel Di Maria, Memphis Depay dan kini Alexis Sanchez pula menerima nasib buruk akibat `sumpahan’ jersi nombor 7 itu. Melihat kepada situasi terkini yang dialami Sanchez, tidak banyak usaha yang mampu dilakukan beliau untuk menyelamatkan kariernya di Old Trafford. Adakah Sanchez mangsa korban terbaru sumpahan jersi nombor 7 yang dulunya dianggap keramat?

Saranan Untuk Sanchez

Ketika prestasinya menyebabkan Solskjaer kebingungan tanpa jawapan dan ketika upah lumayan yang diterimanya diperdebatkan kerana tidak setanding dengan prestasi di atas padang, Sanchez sudah mula disebut-sebut sebagai antara pemain yang bakal diarahkan pergi meninggalkan Old Trafford musim panas nanti.

Kurang minit permainan kerana kegagalan beliau bersaing dengan Marcus Rashford, Jesse Lingard dan Anthony Martial menyebabkan Sanchez mula frustasi. Amat malang apabila memikirkan pemain dengan bakat hebat seperti Sanchez, pemain yang dahulunya pernah meledak 80 gol dan mencipta 65 `assist’ untuk Arsenal gagal memenuhi jangkaan sejak ketibaannya di Old Trafford.

Apa yang boleh dilakukan Sanchez untuk menyelamatkan kariernya? Mungkin saranan dari Marc Overmars yang juga merupakan lagenda Arsenal boleh dipertimbangkan oleh beliau. Menurut Overmars, kembali ke pangkuan Arsenal adalah langkah terbaik yang boleh dilakukan Sanchez untuk melonjakkan semula prestasinya.

Mungkin ada benarnya pendapat yang dilontarkan Overmars ini, kerana selepas pemergian Sanchez, Arsenal juga berdepan kesukaran mencari pemain yang memiliki gaya permainan seperti beliau. Jika kembali semula ke Stadium Emirates, saya percaya Sanchez boleh memainkan peranan penting dalam sistem permainan Unai Emery yang bukan sahaja mementingkan penguasaan bola tetapi juga intensif ketika melakukan tekanan kepada lawan.

Darah Latin Yang Gagal

Kegagalan Sanchez menyinar sejak perpindahannya ke Old Trafford mungkin turut dibantu faktor kecederaan panjang yang dialami beliau sebelum ini. Walau bagaimanapun dalam masa yang sama kita juga perlu melihat kembali ke belakang terutamanya membabitkan sejarah kehadiran pemain-pemain dari benua Amerika Latin ke Old Trafford.

Kleberson, Diego Forlan, Juan Sebastian Veron, kembar Fabio dan Rafael da Silva, Anderson, Fred, Gabriel Heinze, Carlos Tevez, Marcos Rojo serta Angel di Maria gagal memberikan impak atau kekal lama bersama kelab. Mungkin satu-satunya pemain berdarah Amerika Latin yang sukses dalam kariernya di Old Trafford ialah Antonio Valencia.

Tenggelamnya Sanchez bukan sahaja bakal meletakkan beliau dalam `senarai pembelian yang gagal’, tetapi turut menambahkan lagi senarai pemain-pemain dari Benua Latin yang gagal menyinar di Theatre of Dreams. Adakah gemilang seorang pemain bernama Alexis Sanchez ini sudah pudar atau adakah Old Trafford memang bukan `pentas impian’ untuk mana-mana pemain dari Amerika Selatan memperagakan bakat mereka di hadapan para Stretford Enders? Glory Glory Manchester United – Azhar Johar

15 Februari 2019

15 FEBRUARI 2003: INSIDEN `BOOT TERBANG' YANG MENGAKHIRI KARIER BECKHAM DI OLD TRAFFORD




Eric Cantona akan sentiasa diingati kerana pengaruh yang dimainkan beliau sehingga Manchester United berjaya menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga mereka pada 1993. Aksi Roy Keane pula akan sentiasa tertanam kemas di benak fikiran kita menerusi semangat juang meluap-luapnya setiap kali mengetuai rakan-rakan sepasukan di atas padang.

Tetapi siapakah pemain United paling mempersonakan sepanjang pertengahan dekad 90an hingga awal era millennium? Jawapannya ialah Encik David Beckham. Berbekalkan wajah tampan, kelincahannya di atas padang, hantaran-hantaran silang mematikan serta ketepatan sepakan-sepakan percumanya, Beckham adalah fenomena baharu di Old Trafford selepas persaraan Cantona.

Bakat Beckham dicungkil dari Akademi United, diberikan peluang tampil bersama skuad utama ketika revolusi besar-besaran yang dilakukan Sir Alex Ferguson ke atas skuadnya pada musim 1995-96 dan akhirnya muncul bintang besar di Old Trafford selepas itu. Beckham tidak dianugerahi dengan skill kawalan bola memukau seperti Ronaldinho atau Diego Maradona tetapi kerja kerasnya di atas padang adalah aset utama permainan beliau.

Selaku individu yang bertanggungjawab menghidu potensi beliau dan memberikan beliau peluang beraksi bersama skuad utama, sudah tentu Fergie sosok paling dihormati Beckham. Dikaca mata Fergie pula, Beckham adalah cermin terbaik buat pemain-pemain muda untuk dijadikan contoh, memiliki stamina luar biasa manakala kerja kerasnya diatas padang sangat dikagumi Fergie.

Meskipun begitu, populariti menggunung Beckham akhirnya mempengaruhi gaya hidup beliau selaku pemain bolasepak. Percintaannya dengan anggota Spice Girls (Posh Spice) menjadikan Beckham sentiasa diburu lensa kamera manakala cerita-cerita luar padangnya sering menjadi tajuk utama akhbar. Hal ini akhirnya melemaskan Fergie, seorang pengendali yang sangat terkenal kerana meletakkan komitmen karier di tempat tertinggi.

Umpama gunung berapi yang menanti masa untuk meletus, kemarahan Fergie terhadap Beckham akhirnya meledak di bilik persalinan pada tanggal 15 Februari 2003. Ya...insiden `boot terbang’ selepas tamat aksi menentang Arsenal dalam saingan Piala FA itu kemudiannya merenggangkan hubungan Fergie dan Beckham selama bertahun-tahun.

Saat perseteruan antara United dan Arsenal begitu membara, manakala kekalahan kepada seteru utama mereka itu turut meranapkan harapan Fergie untuk cuba memenangi kesemua kejuaraan domestik musim tersebut, tanda-tanda letusan kemarahan Fergie sudah boleh dijangka sebaik Jack Winter meniup wisel penamat aksi yang dilangsungkan di Old Trafford itu.

Gol jaringan Edu dan Sylvain Wiltord sudah cukup membuatkan muka Fergie merah padam, manakala prestasi keseluruhan Beckham dalam perlawanan itu menambahkan lagi api kemarahan beliau. Sebaik tamat perlawanan, pemain-pemain sudah mempersiapkan mental mereka bagi berdepan `hair dryer treatment’ Fergie, tetapi Beckham pastinya tidak menjangkan bahawa situasi lebih buruk bakal menantinya.

Menurut Fergie, gol kedua Arsenal berpunca dari kegagalan Beckham menyekat pergerakan Wiltord. “David kerap naik keatas untuk menyerang hingga terlupa untuk turun kebawah ketika bertahan. Dia hanya berlari-lari santai dan tidak mengejar Wiltord yang berada di depannya”, imbas Fergie dalam autobiografi beliau.

Beckham bagaimanapun membalas kritikan Fergie dengan mengatakan bahawa bukan menjadi tanggungjawab beliau untuk melakukan kerja-kerja bertahan hingga menyebabkan perang mulut meletus. Kemarahan Fergie mencapai kemuncaknya, dan longgokan `boot’ pemain di atas lantai dijadikan sasaran beliau.

Longgokan `boot’ berterbangan akibat dari tendangan Fergie dan salah satunya tepat mengenai kening Beckham hingga berdarah. Berang dengan tindakan Fergie, Beckham cuba bertindakbalas tapi sempat dihalang oleh rakan-rakan sepasukan. Seperti dijangka, keesokkan harinya, imej Beckham dengan kening bertampal menghiasi dada-dada akhbar.

Fergie jelas kecewa kerana insiden `boot terbang’ itu berjaya dikesan oleh pihak media. Beliau kemudiannya bersemuka dengan pihak pengurusan kelab dan mengatakan bahawa Beckham harus meninggalkan Old Trafford penghujung musim nanti. Meskipun dirinya terpalit dengan konfrontasi bersama Fergie, Beckham menunjukkan sikap profesionalisme tinggi untuk kelab ketika kariernya di Old Trafford menuju ke penghujung jalan.

Dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Juventus, Beckham muncul inspirasi di sebalik kemenangan United keatas wakil Itali itu menerusi dua `assist’ yang disumbangkannya. Pada aksi terakhirnya bersama United pula, Beckham menjaringkan satu gol indah menerusi sepakan percuma ke gawang Everton di Goodison Park.

Aksi di Goodison Park pada 11 Mei 2003 itu merupakan aksi terakhir Beckham bersama United dan gol jaringan beliau yang menewaskan Richard Wright itu merupakan gol terakhirnya dalam jersi merah United. Pada musim panas 2003, United mengesahkan khabar-khabar angin yang bertiup kencang sebelum ini tentang masa depan Beckham selepas kelab menerima tawaran Real Madrid untuk mendapatkan khidmat bintang sensasi nombor 7 mereka itu.

Dan selepas itu juga Beckham tidak lagi kembali ke Old Trafford sebagai pemain United seperti yang diimpikan oleh penyokong-penyokong. Madrid, Milan, Los Angeles dan Paris ialah destinasi Beckham selepas itu tetapi jika ditanya kelab manakah yang sentiasa berada di hatinya, tanpa ragu beliau akan menyebut “Manchester United”. Jadi tidak hairanlah juga mengapa Beckham masih dicintai penyokong-penyokong United hingga kini...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar