31 Julai 2013

MASIH MENANTI KHABAR GEMBIRA DARI OLD TRAFFORD


Sepak mula Liga Perdana akan dimulakan dalam tempoh 17 hari lagi,  kelab pula baru sahaja menamatkan rangka lawatan jelajah pra musim mereka di Asia dan Australia manakala kita pula masih lagi menunggu 'nafas' baru mana yang akan di bawa masuk untuk menguatkan pasukan. Ketika tajuk-tajuk utama akhbar didominasi pesaing-pesaing lain yang berjaya menandatangani pemain-pemain sasaran mereka, Guillermo Varela pula masih lagi kekal sebagai pemain tunggal ditandatangani Manchester United setakat ini. Bos baru Manchester City, Manuel Pellegrini antara pengurus paling aktif dalam pasaran perpindahan pemain apabila beliau dengan bangganya memperkenalkan Stevan Jovetic, Alvaro Negredo, Jesus Navas dan Fernandinho sebagai 'tentera' barunya. Keempat-empat 'tentera' baru Pellegrini merupakan bekas tonggak utama kepada beberapa kelab utama Eropah (Shakhtar Donetsk, Sevilla dan Fiorentina) dan kehadiran mereka di Stadium Etihad sudah tentu mengukuhkan lagi barisan The Citizens musim depan. Andres Villas-Boas menandatangani pemenang Piala Konfederasi dan Copa Libertadores, Paulinho manakala Jose Mourinho pula sudah memiliki Andre Schuerrle dan bintang muda Belanda, Marco Van Ginkel dalam senarainya. La Liga, Ligue 1 dan Serie A sudah menyaksikan beberapa perpindahan besar berlaku, tetapi peminat-peminat Liga Perdana masih lagi ternanti-nanti kedatangan nama besar yang bakal menggemparkan bolasepak England. Paris St Germain mendaratkan Edinson Cavani, AS Monaco memiliki Radamel Falcao, penggempur yang dianggap antara paling berbisa di dunia ketika ini, Napoli memintas hasrat Arsene Wenger selepas mereka menandatangani Gonzalo Higuain dari Real Madrid manakala bahang di Nou Camp masih belum reda dengan perpindahan Neymar dari Santos. Kita kembali semula kepada isu berkaitan aktiviti kelab dalam pasaran perpindahan musim panas ini. Moyes mengatakan bahawa wang bukan lagi masalah buat dirinya dalam mendapatkan pemain baru, dan dengan dana yang banyak untuk dibelanjakan, beliau nampaknya masih lagi mampu bertenang ketika pesaing-pesaing domestik lain sibuk dengan urusan jual beli pemain. Adakah kita juga mampu setenang Moyes terutamanya apabila memikirkan ada usaha secara serius dari Chelsea untuk membawa keluar Wayne Rooney dari Old Trafford? Selepas 'kegagalan' mendapatkan Thiago Alcantara, kini kita ternanti-nanti bagaimanakah kesudahannya pemburuan kelab ke atas Cecs Fabregas pula. Spekulasi pemburuan Fabregas masih lagi berterusan walaupun pengendali baru Barca, Gerardo Martino menegaskan bahawa pemain itu tidak akan dijual. Selepas dua tawaran awal ditolak kem Barca, adakah kelab patut menamatkan sahaja buruan mereka terhadap Fabregas dan fokus mencari alternatif lain pula? Kenyataan terbaru yang dikeluarkan Fabregas bahawa dia mahu kekal di Nou Camp sambil cuba merebut tempat dalam kesebelasan utama Barca musim depan saya anggap sebagai petanda awal bahawa kita sepatutnya melupakan sahaja kelibat pemain itu dan cuba mencari alternatif lain.

Secara peribadi, saya memang berharap agar Fabregas menyertai United kerana pemain itu masih lagi antara playmaker terbaik di dunia selain pengalaman yang pernah dimilikinya dalam saingan bolasepak Inggeris. Paling penting Fabregas pernah bergandingan bersama Van Persie ketika di Arsenal dan tentunya amat menarik untuk menyaksikan kedua-dua pemain ini bergabung kembali dalam satu pasukan. Pengalaman bermain bersama untuk tempoh yang panjang ketika di Arsenal sudah pasti menyebabkan mereka berdua faham dengan gaya permainan dan kehendak masing-masing ketika di atas padang. Opsyen lain sudah tentu Luka Modric tetapi saya lebih gemar menyaksikan cara Fabregas mengendalikan bahagian tengah berbanding pemain Croatia itu. Posisi tengah memang memerlukan tambahan tenaga baru terutamanya selepas melihat hanya Michael Carrick tampil konsisten sepanjang musim lalu. Persaraan Paul Scholes pula menyebabkan kita semakin jauh ketinggalan (di posisi tengah) berbanding Chelsea dan Manchester City, kebenaran yang memang cukup pahit untuk kita telan. Fabregas sebenarnya masih lagi antara pemain utama di Nou Camp tetapi agak malang baginya kerana dalam masa yang sama Blaugrana juga memiliki nama-nama besar seperti Xavi Hernandez, Andres Iniesta, Javier Mascherano dan Sergio Busquets hingga menyebabkan bahagian tengah mereka agak 'sesak'. Sekadar mengimbas kembali sumbangan Fabregas dalam dua musim terakhirnya bersama Arsenal, di mana dia menjaringkan 18 gol dan mencipta 24 assist dari 52 perlawanan. Di Nou Camp, Fabregas mungkin sekadar pilihan ketiga atau keempat untuk mengisi posisi tengah tetapi saya masih percaya pemain berusia 26 tahun itu adalah calon terbaik untuk menampung ruang kosong yang ditinggalkan lagenda kita, Paul Scholes. Lihatlah apa yang sudah dan sedang dilakukan pesaing-pesaing United setakat ini. Manchester City sudahpun berbelanja besar dan saya masih percaya bahawa mereka tidak akan berhenti dengan empat pemain sahaja (Navas, Negredo, Jovetic dan Fernandinho) di mana Pellegrini khabarnya sedang mengintai seorang atau dua lagi pemain baru untuk dibawa masuk. Chelsea masih berusaha keras memburu Rooney selepas mereka berjaya menandatangani Schuerrle dan Van Ginkel. Arsene Wenger seperti musim-musim sebelumnya masih berhati-hati ketika berbelanja tetapi Arsenal diberitakan sedang meningkatkan usaha mereka untuk menandatangani Luis Suarez. Tottenham Hotspurs dan Liverpool kelihatan 'perlahan' tetapi kedua-dua kelab ini dikhabarkan amat memerlukan penyerang baru yang mungkin menyebabkan mereka juga berbelanja besar. Selepas melihat aktiviti-aktiviti pesaing lain dalam pasaran perpindahan pemain, saya sedikit risau dengan apa yang sudah dilakukan kelab setakat ini. Bagaimanapun saya tetap yakin ada berita baik bakal menanti kita dalam tempoh beberapa hari atau minggu akan datang. Jika Moyes tidak berjaya menandatangani Fabregas sekalipun, saya yakin beliau memiliki calon lain yang difikirkan sesuai dengan taktikal dan formasi yang bakal digunakannya nanti. Modric ataupun Marouane Fellaini juga pilihan yang bagus, tetapi membawa pulang Fabregas ke Liga Perdana semula saya anggap satu kejayaan besar dan bonus tambahan kepada kita. Pilihan anda bagaimana? Glory Manchester United!!! – A.J

26 Julai 2013

JIKA ITU KEMAHUANNYA, BIARKAN SAJA ROONEY PERGI


Pada bulan Oktober 2010, Wayne Rooney secara terbuka mengatakan bahawa dia mahu keluar dari Old Trafford jika kelab gagal menandatangani pemain ternama tetapi di penghujung musim, United berjaya menjulang trofi liga. Musim lalu, Sir Alex Ferguson sekali lagi mendedahkan bahawa Rooney mahukan supaya dirinya diletakkan dalam pasaran perpindahan, kali ini atas sebab yang berbeza pula. Ironinya Sir Alex sekali lagi berjaya membawa United menjulang kejuaraan liga di penghujung musim sebelum beliau bersara. Kehadiran Robin Van Persie dari Arsenal musim panas lalu mengubah kedudukan Rooney dalam pasukan baik ketika di atas padang mahupun di mata peminat-peminat United. Selepas lapan musim menjadi pilihan utama Sir Alex di barisan hadapan, Rooney tiba-tiba mendapati peranannya berubah kepada watak pembantu sebaik Van Persie menendang bola buat pertama kalinya dengan jersi merah The Red Devils. Sukar untuk meneka apa sebenarnya yang Rooney mahukan. Adakah Rooney memang betul-betul kecewa kerana tempatnya sebagai penyerang utama diambil alih Van Persie atau dia mahu menikmati cabaran baru di gelanggang dan di bawah pengurusan yang lain pula? Sebaik saja menandatangani lanjutan kontrak baru pada 2010, kita dihiburkan dengan kata-kata dari Rooney sendiri bahawa dia mahu kekal lama dan menamatkan kariernya di sini (Old Trafford), selain meletakkan sasaran memadamkan rekod 606 gol milik Sir Bobby Charlton. Jadi apa yang sudah berlaku sekarang? Memang tidak boleh dinafikan bahawa selama berada di Old Trafford, Rooney berkembang dan muncul tonggak utama kelab hingga diiktiraf antara pemain terbaik di dunia. Jadi pada pendapat saya tidak salah kiranya Rooney kecewa selepas mendapati dirinya sekadar memegang watak pembantu sejak kehadiran Van Persie Ogos lalu. Permintaan Rooney supaya dia dijual sebenarnya lebih berpunca dari rasa kurang puas hati, cuma atas sebab yang berbeza berbanding tahun 2010. Meskipun sering diletakkan di bangku simpanan musim lalu, saya tidak pernah menganggap prestasi Rooney sudah menurun tetapi lebih kepada percaturan taktikal yang dilakukan Sir Alex selepas beliau memiliki Van Persie di bahagian hadapan. Percayalah Rooney sebenarnya masih lagi antara pemain terbaik dunia, jika tidak masakan pengurus hebat seperti Jose Mourinho begitu serius mahu membawa pemain itu ke Stamford Bridge. Mourinho sedar memiliki pemain seperti Rooney akan memudahkan lagi tugasnya membentuk Chelsea menjadi sebuah pasukan yang lebih digeruni musim depan bukan saja di peringkat domestik malah juga di Eropah. Pada tahun 2010, ketika meletusnya spekulasi saga perpindahan Rooney, Sir Alex bertindak bijak dengan tidak membiarkan aset terbaik yang dimilikinya terlepas begitu sahaja. Beliau berjaya menangani rasa kurang puas hati Rooney dengan baik dan akhirnya dalam tempoh seminggu Rooney dianugerahkan dengan gaji yang lebih baik serta ikatan kontrak selama lima tahun. Agak menghairankan juga apabila memikirkan pemain berkaliber seperti Rooney yang mana matlamat utama pemain sepertinya ialah memenangi trofi demi trofi tetapi masih meragui potensi kelab seperti United untuk berjaya. Ataupun sebenarnya inilah cara pemain zaman sekarang 'memancing' pihak pengurusan kelab agar menawarkan kepada mereka kontrak lebih lumayan.

Selepas tiga tahun kini situasi sama berulang kembali dan perbahasan mula timbul sama ada Rooney ingin meninggalkan Old Trafford kerana rasa kurang puas hati atau kemelut ini timbul disebabkan 'permainan belakang tabir' ejennya yang ingin mengaut lebih banyak wang. Pada pandangan saya Rooney sebenarnya memang tidak lagi komited bersama kelab, jika tidak masakan kemelut ini dibiarkannya terus berlarutan sekian lama. Rooney adalah ikon dan masih lagi tonggak utama United, jadi adalah tidak logik kelab mahu menjual pemain yang masih mampu memberikan sumbangan berkesan ketika di atas padang. Untuk itu saya berharap tiada peminat-peminat United yang menyalahkan David Moyes jika akhirnya beliau terpaksa menjual Rooney nanti. Simon Edmond dalam kolumnya di The Telegraph menganggap kebanyakkan ejen sebagai petualang dengan mengaut keuntungan di belakang tabir. Ejen Rooney, Paul Stretford dikaitkan sebagai dalang utama ketika berlakunya kemelut pada 2010 dan menurut Edmond, tidak mustahil individu itu sekali lagi memainkan peranan utama dalam kemelut terbaru ini. Berbeza dengan situasi pada 2010, di mana Sir Alex ketika itu perlu mengekalkan Rooney dalam pasukan berikutan kemunculan Manchester City sebagai pesaing dan kuasa baru bolasepak England, kini segalanya sudah berubah dan situasi tampak tidak lagi memihak kepada Rooney. Kehadiran Van Persie musim lalu memberikan lebih opsyen kepada pengurus dan kita tidak lagi terlalu bergantung kepada Rooney dalam memburu gol. Jadi kita bolehlah beranggapan bahawa prospek kehilangan Rooney bukan lagi sesuatu yang terlalu buruk buat kelab. Jika Rooney atau ejennya mahukan tawaran lebih lumayan, pihak pengurusan tidak perlu tunduk kepada permintaan dan 'permainan' mereka, kerana percayalah situasi sama boleh berulang beberapa tahun lagi jika kelab terus akur kepada tekanan pemain. Jika tiga tahun lalu Rooney mendapati kelab terpaksa 'tunduk' dengan kemahuannya memandangkan dia adalah aset penting dalam pasukan, kini situasi sudah tidak lagi menyebelahinya. Tambahan pula selepas Moyes secara terbuka meletakkan status Van Persie sebagai penyerang utama musim depan hingga meningkatkan lagi rasa tidak puas hati Rooney. Selepas dua kali melakukannya (meminta supaya dijual), mungkin sudah tiada lagi tempat buat Rooney di hati peminat dan jika Moyes berjaya mengekalkan Rooney sekalipun, saya tertanya-tanya bagaimanakah layanan para Stretford Enders nanti terhadapnya. Saya juga tertanya-tanya apakah memang benar Rooney dihantar pulang dari menyertai jelajah pra musim disebabkan dia mengalami kecederaan ataupun sebaliknya kerana perkara ini pada pandangan saya bukanlah berlaku secara kebetulan. Walaupun Moyes cuba menyakinkan kita bahawa Rooney akan terus kekal bersama kelab musim depan, saya tetap meraguinya biarpun dalam masa yang sama  tidak mahu melihat kelab kehilangan seorang lagi pemain berwibawa seperti Rooney. Belumpun sepak mula saingan kompetitif dilangsungkan, Rooney sudah memberikan masalah kepada Moyes dan pihak pengurusan kelab. Jadi saya fikir Moyes sudah pasti tidak akan membiarkan musim pertamanya di Old Trafford diganggu dengan gelagat salah seorang pemainnya sendiri. Keputusan terbaik ialah dengan membiarkan pemain yang sudah tidak lagi komited untuk bersama kelab pergi kerana mengekalkan pemain seperti itu bukanlah satu tindakan yang berbaloi. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

24 Julai 2013

DILEMA BENTENG PERTAHANAN...GARAY JALAN PENYELESAIANNYA?


Meskipun berjaya menjuarai liga buat kali ke-20 musim lalu, Manchester United melepaskan 43 gol ke dalam gawang mereka, kurang dua gol berbanding kelab di tangga ke-13, Stoke City (45 gol). Krisis kecederaan yang melanda Nemanja Vidic, Chris Smalling, Phil Jones dan Jonny Evans di awal musim menjadi penyumbang utama kepada 'prestasi buruk' back four United musim lalu. Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic masih pilihan utama Sir Alex di posisi pertahanan tengah (jika kedua-duanya cergas) dan saya yakin, kelibat kedua-dua veteran itu tetap akan membarisi bahagian belakang United musim depan. Pada usia 34 tahun, Rio masih lagi antara pertahanan tengah terbaik di England tetapi untuk memaksa dia bemain setiap minggu adalah sesuatu yang agak keterlaluan. Vida pula bakal mencecah usia 32 tahun Oktober ini, dan sepertimana Rio dia juga masih lagi igauan buat mana-mana penyerang lawan. Bagaimanapun, beberapa siri kecederaan panjang yang dialami Vida sejak Disember 2011 hingga pertengahan musim lalu sedikit membimbangkan kita. Walaupun kita masih memiliki tiga lagi pemain pertahanan (Evans, Jones dan Smalling) yang mampu beraksi sebagai bek tengah, hanya Evans pada pandangan dan saya yakini boleh diletakkan dalam line up untuk perlawanan-perlawanan besar. Smalling dan Jones pula perlukan sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun lagi untuk mengutip pengalaman sebelum benar-benar bersedia mengambil alih posisi yang sekarang ini dihuni Rio dan Vida. Benteng pertahanan antara posisi yang memeningkan kepala Sir Alex musim lalu dan kini David Moyes pula bakal mewarisinya. Bagaimanapun 'penyakit' di bahagian pertahanan mungkin boleh diubati sekiranya perpindahan Ezequiel Garay dari Benfica menjadi kenyataan. Sebenarnya gosip perpindahan Garay ke Old Trafford sudah bermula sejak Januari 2012 lagi tetapi hingga kini masih belum menjadi kenyataan. Pemain antarabangsa Argentina itu pada pandangan saya adalah calon yang tepat untuk digandingkan bersama Vida atau Rio, selain prospek menjadi key player dalam kesebelasan utama musim depan. Hampir sebulan lalu, espn.co.uk dalam laporannya menyebut bahawa United sudah menawarkan £ 17 juta bagi mendapatkan tandatangan Garay manakala Moyes pula dalam laman yang sama sudah memberikan gambaran awal pemain yang bakal ditandatanganinya. Adakah Garay pilihan tepat memperkuatkan posisi pertahanan tengah United musim depan? Selepas sering saja keluar masuk dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan Argentina, Garay mula membuktikan bahawa dia kini adalah pilihan utama bersama Federico Fernandez sebagai tonggak pertahanan tengah di bawah kendalian Alejandro Sabella. Jika tiada sebarang 'kecelakaan' atau penurunan prestasi secara mendadak menimpa kedua-dua pemain ini, Garay dan Fernandez pasti menjadi sandaran utama benteng Albiceleste pada pusingan akhir Piala Dunia 2014 nanti. Bakat produk keluaran Newell Old Boys ini pantas menarik perhatian kelab Eropah dan akhirnya mengikat kontrak bersama kelab Sepanyol, Racing Santander pada Disember 2005.

Musim berikutnya (2006/07), Garay menunjukkan bahawa kualitinya tidak terbatas ketika bertahan sahaja tetapi turut berkemampuan meledak gawang lawan. Dari 31 penampilan musim tersebut, Garay menjaringkan sembilan gol, sekaligus meletakkan namanya sebagai penjaring kedua terbanyak Eropah (di posisinya), di belakang Marco Materazzi yang menjaringkan sepuluh gol. Sepanjang hampir tiga musim di Cantabria, Garay adalah antara pertahanan tengah terbaik di La Liga dan sandaran utama Los Racinguistas. Garay dilabel sebagai pemain pertahanan elegan kerana kebolehannya 'menyimpan' bola selain mampu melakukan lorongan-lorongan kepada midfielder pasukan dari bawah. Meskipun posisi dan kemahirannya ialah sebagai pertahanan tengah, Racing semasa di bawah kendalian Miguel Angel Portugal dan Marcelino Garcia Toral, memberikan kebebasan sepenuhnya kepada Garay untuk naik ke atas ketika pasukan melancarkan serangan. Seperti yang saya sebutkan tadi, Garay bukan sahaja dianugerahkan bakat sebagai pemain pertahanan tetapi juga punya kualiti menyerang. Jadi tidak hairanlah mengapa dia mampu menjaringkan sembilan gol pada musim keduanya bersama Racing. Kebolehannya melancarkan gerakan dari belakang menerusi hantaran-hantaran tepat ke bahagian hadapan cukup berguna terutamanya untuk kelab yang bermain seperti United. Dengan ketinggian 1.9 meter, Garay dianugerahkan fizikal lengkap bagi seorang pemain pertahanan, kuat ketika perebutan bola di udara dan watak penting pasukan dalam menangani ancaman set pieces lawan. Penghijrahannya ke Real Madrid adalah satu kesilapan tetapi mujurlah Garay cepat bertindak keluar dari Santiago Bernabeu dan menyertai Benfica. Bersama Benfica, Garay menemui semula sentuhan yang pernah meletakkan namanya antara pemain pertahanan tengah berbakat di Eropah, kembali konsisten dan paling penting menjadi pilihan utama di benteng tengah skuad kebangsaan. Pada usia 26 tahun, Garay sedang memasuki gerbang puncak kariernya dan secara perlahan-lahan mula menunjukkan bahawa dia antara pertahanan tengah terbaik dunia ketika ini. Dengan situasi Rio yang kian dihambat usia, Vida pula sudah mula dihantui beberapa siri kecederaan panjang, Garay boleh meletakkan dirinya sebagai pemain pilihan Moyes di benteng pertahanan United musim depan (itupun jika penghijrahannya menjadi kenyataan). Garay memiliki gaya permainan tersendiri dan karakter untuk membantunya muncul pertahanan utama United selepas era Rio dan Vida berakhir nanti. Peluang berlatih dan bermain bersama pertahanan hebat seperti Rio dan Vida boleh membantu Garay menuju ke arah itu dan menjadi pemain pertahanan yang lebih lengkap. Saya berharap jika Rio bersara satu hari nanti, ada pemain hebat sehebatnya boleh mengisi tempat lagenda itu, pemain yang saya maksudkan sudah tentu Ezequiel Garay. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

22 Julai 2013

SANGGUPKAH UNITED 'PECAH TABUNG' DEMI BALE?


Setiap kali jendela perpindahan pemain musim panas dibuka, United selaku kelab besar sudah pasti tidak dapat mengelak dari menjadi sasaran spekulasi-spekulasi perpindahan yang dimainkan media saban tahun. Bermula pada bulan Januari hingga sekarang sudah berderet nama-nama pemain yang dikaitkan berada dalam radar United antaranya ialah James Rodriguez, Victor Wanyama, Christian Eriksen, Robert Lewandowski, Kevin Strootman, Frank Lampard (saya hanya mampu ketawa bila membaca spekulasi Lampard), Cristiano Ronaldo, Mario Goetze, Angel de Maria, Cecs Fabregas, Thiago Alcantara dan terbaru pula ialah Gareth Bale. Selepas 'kegagalan' mendapatkan Alcantara, kini kita disajikan pula dengan spekulasi bahawa United berminat melabur besar bagi membawa keluar Gareth Bale dari White Hart Lane. Berita sensasi ini memang mengujakan kerana saya cukup meminati gaya permainan Bale dan berharap spekulasi perpindahan saga ini akan menjadi kenyataan. Mari kita ketepikan dulu spekulasi dan lihat laporan Oliver Holt dari Mirror Football yang mengatakan bahawa United sedia berbelanja hingga 60 juta Pound bagi mendapatkan khidmat Bale. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa ini adalah satu fenomena luar biasa bukan saja di Old Trafford malah England sendiri kerana belum pernah ada kelab dari Liga Perdana yang sanggup mengeluarkan lebih dari 60 juta Pound hanya untuk mendapatkan khidmat seorang pemain. Jika United berjaya memaksa Spurs menjual Bale, ini adalah satu permulaan yang bagus buat pemerintahan Moyes selaku pengurus baru di Old Trafford. Menurut Holt, Bale menjadi penyebab utama mengapa Ed Woodward (Naib Pengerusi Eksekutif)  'dipaksa' meninggalkan skuad yang dalam rangka lawatan ke Australia dan Asia sempena jelajah pra musim 2013, khusus bagi menangani perpindahan bintang Wales itu. Selepas memenangi kejuaraan liga musim lalu, Moyes selaku pengganti Sir Alex Ferguson terpaksa berdepan beberapa isu besar yang terpaksa diselesaikannya dengan berhati-hati. Isu pertama yang terpaksa dihadapi Moyes membabitkan kemelut masa depan Wayne Rooney selepas pemain itu menuntut supaya dia dijual.  Rooney tidak boleh kita nafikan antara pemain ikon di Old Trafford dan penjualannya (jika itu berlaku) pasti meninggalkan kesan kurang baik dari sudut pandangan umum. Selain itu kegagalan mendapatkan pemain-pemain ternama sehingga kini selepas pesaing-pesaing domestik lain seperti Manchester City dan Chelsea ghairah 'mendaratkan' beberapa bintang baru mereka menimbulkan sedikit keresahan. Saya tidak meragui kemampuan kesebelasan terbaik yang dimiliki Moyes ketika ini kerana sebagai juara bertahan kita mampu bersaing dan punya pemain terbaik. 

Bagaimanapun kekuatan keseluruhan skuad dalam mengharungi musim yang panjang amat diperlukan dan kita jelas jauh ketinggalan dalam aspek ini jika dibandingkan dengan City mahupun Chelsea. Jika digabungkan faktor kegagalan mendapatkan pemain baru (setakat ini) dan kemungkinan Rooney meninggalkan Old Trafford, itu bukanlah sesuatu yang bagus di mata peminat-peminat bagi permulaan kerjaya Moyes bersama United. Walau bagaimanapun saya percaya persepsi negatif kebanyakan peminat akan berubah 360 darjah jika kelab berjaya mendapatkan Bale dan sudah tentu juga mereka (peminat) tidak akan ambil kisah jika kelab bertindak melepaskan Rooney. Sudah tentu Bale akan menjadi pertaruhan besar di tengah padang musim depan, apatah lagi selepas melihat pemain itu bukan saja berjaya menjaringkan 21 gol musim lalu tetapi juga kemampuannya membuka peluang buat rakan-rakan sepasukan di Spurs. Kebolehan Bale menjaringkan gol menerusi percubaan jarak jauh menambahkan lagi nilai pemain itu kepada mana-mana pasukan yang disertainya. Secara keseluruhannya prestasi Bale musim lalu adalah antara yang terbaik di England dan juga Eropah jika diukur menerusi statistik yang dikeluarkan oleh WhoScored.com. Bale mencatatkan purata rating 7.89 dalam setiap perlawanan yang juga merupakan catatan tertinggi berbanding pemain-pemain lain dari lima liga utama Eropah. Menambah pemain dengan kebolehan seperti Bale dalam pasukan sudah tentu menjadikan United lebih digeruni sekaligus meletakkan barisan kendalian Moyes sebagai pilihan utama baik di pentas domestik mahupun Eropah. Wang bukanlah masalah utama United jika diambilkira kenyataan Moyes yang mengatakan bahawa pihak pengurusan membekalkan dana besar kepadanya untuk dibelanjakan musim panas ini. Membelanjakan banyak wang untuk pemain seperti Bale adalah sesuatu yang berbaloi berdasarkan sumbangan besarnya di atas padang, dan jika Moyes mahukan pemain dengan kualiti hebat seperti Bale berada dalam skuadnya, keluarga Glazer perlulah berkorban memecahkan 'tabung simpanan' mereka demi memperkuatkan pasukan. Andres Villas-Boas mengatakan Bale tidak akan dijual kepada mana-mana pasukan pada sebarang harga, tetapi saya yakin Daniel Levy (Pengerusi Spurs) pasti tergiur jika cek berjumlah 60 juta Pound diletakkan di atas mejanya. Walaupun laporan Holt ini begitu mengujakan, saya tetap berharap agar peminat-peminat United tidak terlalu teruja dengan mainan spekulasi media. Lebih baik tunggu sahaja pengumuman rasmi dari manutd.com. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

19 Julai 2013

PERTUKARAN ROONEY-MATA, SATU KEPUTUSAN TEPAT?


Chelsea dan Arsenal dilaporkan menunjukkan minat mendalam terhadap penyerang Manchester United, Wayne Rooney selepas masa depan penyerang berusia 27 tahun itu sekali lagi menjadi berita sensasi media. Kemelut masa depan Rooney nampaknya semakin kusut selepas pihak pengurusan enggan menawarkan kontrak baru selagi pemain itu tidak menunjukkan komitmen untuk kekal di Old Trafford. Kenyataan David Moyes yang menyebut bahawa Robin Van Persie akan terus memikul tugas selaku penyerang utama United musim depan nyata menimbulkan kemarahan Rooney. Menurut laporan Ian Herbert dari The Independent, kemelut terbaru yang melanda Rooney dengan pihak pengurusan menyebabkan peluang untuk menyaksikannya kekal bersama United semakin tipis dengan Rooney sendiri dilihat cuba mencari jalan keluar (dari Old Trafford). Chelsea di bawah kendalian Jose Mourinho paling serius mengintai peluang malah The Sun dalam laporannya mengatakan bahawa kelab berpangkalan di Stamford Bridge itu sudahpun memajukan tawaran mereka kepada United. Meskipun segalanya masih samar, tetapi spekulasi awal yang bertiup kencang mengatakan kubu The Blues menawarkan Juan Mata ataupun David Luiz sebagai pertukaran berserta wang tunai berjumlah 10 juta Pound bagi merealisasikan impian mereka membawa Rooney keluar dari Old Trafford. Jika kerana wang, United sebenarnya tidak terlalu terdesak untuk menjual Rooney kerana David Moyes seperti yang dilaporkan baru-baru ini mengatakan bahawa beliau sudah diberikan peruntukkan besar untuk membeli mana-mana pemain yang diinginkannya. Apa yang diperlukan Moyes sekarang ialah mencari pemain berbakat untuk membantunya meneruskan kecemerlangan yang dilakar Sir Alex Ferguson selain mempertahankan kejuaraan liga dan mara lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara. Memancing pemain berbakat untuk datang ke Old Trafford nampaknya menjadi masalah musim panas ini, selepas Thiago Alcantara memilih Allianz Arena walaupun pada awalnya dikaitkan begitu hampir dengan perpindahan ke Manchester, Kevin Strootman sah menjadi milik AS Roma, James Rodriguez ke AS Monaco dan Cecs Fabregas pula mengatakan mahu terus kekal di Nou Camp.

Memiliki banyak wang untuk dibelanjakan tidak membawa apa-apa makna jika Moyes gagal mendapatkan pemain-pemain baru berbakat untuk memperkuatkan pasukan. Jika benar Chelsea meletakkan pemain berkebolehan seperti Mata sebagai pertukaran (untuk Rooney), pada pendapat saya itu adalah satu tawaran yang cukup menarik dan perlu dipertimbangkan. Kita perlu mengakui bahawa pemain tengah Sepanyol itu antara pemain paling produktif dalam saingan liga musim lalu selepas menyumbangkan 12 gol dan 12 assist. Mata sangat kreatif ketika menyusun gerakan dan mampu membuka ruang buat rakan sepasukan ketika menyerang. Jika dia diletakkan di belakang Robin Van Persie, anda bayangkan apa yang mampu mereka berdua sumbangkan di barisan hadapan United musim depan. Di bahagian lain, David Luiz juga merupakan satu tawaran yang agak menarik dari Chelsea, tetapi saya lebih gemar jika Moyes membawa masuk Ezequiel Garay dari Benfica. Menurut Charles Perrin dari Daily Express, kesepakatan bagi mendapatkan Garay semakin hampir dicapai tetapi saya tidak mahu terlalu berharap selagi perpindahan ini tidak diumumkan secara rasmi. Kembali kepada isu Rooney dan Mata, meskipun Mourinho sebelum ini dilaporkan pernah mengatakan bahawa pemain-pemain seperti Fernando Torres dan Mata tidak akan meninggalkan pasukan tetapi kelibat Rooney nampaknya begitu 'menggiurkan' warga Portugal itu. Menurut laporan ESPN, prospek mendapatkan Rooney menyebabkan Mourinho sanggup berpisah dengan beberapa pemain tonggaknya dan jika Moyes sendiri rela melepaskan bekas anak didiknya itu kepada salah satu pesaing domestik mereka, Mata kemungkinan besar menuju pintu keluar. Kehadiran Mata pastinya akan meningkatkan lagi keupayaan United (terutamanya di bahagian tengah), jika Rooney akhirnya terpaksa dijual. Bagaimanapun saya tetap berpendapat, bukanlah sesuatu yang bagus untuk melepaskan pemain  seperti Rooney, tetapi jika Moyes terpaksa melakukannya beliau perlu mendapatkan pulangan setimpal hasil penjualan Rooney. Keputusan paling bijak buat United ialah 'mencuri' pemain terbaik Chelsea sebagai pengganti jika memang benar ada usaha untuk mencapai kesepakatan pertukaran Rooney-Mata. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

16 Julai 2013

5 'PASS MASTERS' HEBAT DI ERA SIR ALEX FERGUSON


Dalam tempoh sepuluh tahun terakhir kita dihiburkan dengan penampilan generasi pemain tengah yang memiliki hantaran-hantaran berbisa seperti Xavi Hernandez, Andres Iniesta, Andrea Pirlo dan Paul Scholes. Mereka memukau jutaan penonton dengan teknik permainan, umpanan-umpanan pendek berbisa, visi permainan, pergerakan mengelirukan dan jaringan-jaringan menarik yang dihasilkan mereka hingga digelar pass master dalam era bolasepak moden. Di Manchester United, kita pernah dan masih memiliki beberapa pass masters hebat terutamanya semasa di bawah era Sir Alex Ferguson sebagai pengurus. Siapakah mereka? Mari kita lihat…

CRISTIANO RONALDO

Antara tahun 2003 hingga 2009, Ronaldo memukau penyokong-penyokong United menerusi gaya permainan yang cukup menghiburkan. Dianugerahkan dengan sepasang kaki yang pantas, kemampuan menggelecek yang mempesonakan, hantaran-hantaran lintang berbisa dan kemampuan menjaringkan gol menerusi situasi bola mati, jadi tidak hairanlan mengapa Ronaldo diangkat sebagai idola baru selepas penghijrahan David Beckham ke Real Madrid. Sebelum ditandatangani dari Sporting Lisbon pada 2003, tidak banyak yang diketahui tentang Ronaldo meskipun dia dianggap sebagai permata baru bolasepak Portugal. Musim sebelumnya (2002/03), Ronaldo berjaya menempatkan dirinya dalam skuad senior Sporting dan berjaya menjaringkan tiga gol dari 25 penampilan. Ada versi mengatakan bahawa keputusan Sir Alex menandatangani Ronaldo adalah disebabkan desakan pemain-pemain seniornya selepas mereka terpesona dengan skill milik pemain itu dalam satu perlawanan persahabatan antara Sporting dan United. Bagaimanapun Sir Alex sendiri mendedahkan bahawa beliau memang sudah lama memantau potensi Ronaldo dan hanya menunggu masa sesuai membawa pemain itu ke Old Trafford. Keputusan mendapatkan Ronaldo dengan harga 12.4 juta Pound nyata berbaloi dan kehadirannya membuatkan penyokong-penyokong United segera melupakan pemergian Beckham. Bukan sahaja mampu melakukan hantaran-hantaran lintang dengan berkesan (walaupun tidak sebagus Beckham), tetapi Ronaldo juga sering digunakan untuk menyempurnakan peluang ketika situasi bola mati. Sepanjang berada di Old Trafford, Ronaldo menghasilkan 43 assist selain menjaringkan 118 gol dari 292 penampilan. Diiktiraf antara pemain terbaik United dalam era bolasepak moden, Ronaldo bukan sahaja memainkan peranannya dengan berkesan dalam membantu rakan-rakan di bahagian serangan, tetapi dia juga cukup berbisa dalam menghasilkan jaringan. Kemuncaknya, Ronaldo berjaya membantu United menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2008.

MICHAEL CARRICK

Pemain paling konsisten, tetapi sering diremehkan kemampuannya, itulah cara Michael Carrick mengharungi sebahagian besar kariernya. Carrick yang dicalonkan untuk anugerah PFA (Player of the Year Award) musim lalu, lebih dikenali sebagai seorang pemain yang pendiam sama ada di dalam mahupun di luar padang tetapi cukup efisien mengemudi jentera tengah United. Penyokong-penyokong United sendiri sebenarnya lebih gemar bercakap tentang Tom Cleverley, Javier Hernandez atau Danny Welbeck daripada membicarakan sumbangan Carrick kepada pasukan. Tetapi itu semua tidak pernah menghalang Carrick dari memberikan aksi terbaiknya setiap kali diturunkan sehingga diberikan gelaran 'Rolls Royce' oleh lagenda United, Paul Scholes. Musim lalu Carrick tampil sebanyak 34 perlawanan liga, menjaringkan 1 gol dan menghasilkan 4 assist. Statistik sepanjang saingan liga musim lalu menunjukkan, Carrick menghasilkan 2774 hantaran dengan peratus ketepatan hantarannya ialah 88.1% (2443 hantaran). Carrick bukan saja digunakan untuk menyusun permainan tetapi kelibatnya juga cukup penting dalam melindungi empat pemain pertahanan di belakangnya. Jadi sesuai dengan fungsinya sebagai pemain tengah bertahan, Carrick juga dianugerahkan dengan kualiti yang bagus ketika melakukan terjahan bagi menganggu kelancaran permainan lawan. Sejak Paul Scholes mengumumkan persaraan pertamanya (musim panas 2011), Carrick terpaksa memikul tanggungjawab lebih besar di bahagian tengah dan penampilan hebatnya sepanjang musim lalu antara faktor United berjaya menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20. Jadi tidak hairanlah jika anda mendengar laungan “Sukar untuk mempercayai itu bukanlah Scholes” dari penyokong-penyokong United di Old Trafford sebagai penghargaan buat Carrick.

DAVID BECKHAM

David Beckham dianggap sebagai pemain United paling glamour selepas mendiang George Best. Beckham bukan hanya sekadar pemain glamour kerana ketampanan wajahnya dan berkahwin dengan bintang pop terkenal, tetapi dia juga sudah membuktikan betapa hebatnya dia ketika di atas padang. Beckham adalah antara pemain terbaik pernah dihasilkan Akademi Bolasepak Manchester United dan mencapai kemuncak kariernya di Old Trafford selepas berjaya membantu The Red Devils menang kejuaraan treble pada 1999. United cukup sukses mengharungi kempen 1998/99 di mana Beckham menjaringkan beberapa gol penting sepanjang musim. Paling diingati tentunya gol jaringan penyamaan hasil sepakan melencongnya pada perlawanan terakhir liga menentang Tottenham Hotspurs dan ketika menentang Arsenal pada perlawanan ulangan separuh akhir Piala FA musim tersebut. Selepas berjaya membantu United menang dua kejuaraan domestik, Beckham sekali lagi menunjukkan kepada dunia bisa sepakan kaki kanannya di perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich. Selepas ketinggalan menerusi jaringan Mario Bassler hampir sepanjang permainan, Teddy Sheringham dan Old Gunnar Solskjaer menggunakan sepenuhnya peluang menerusi dua sepakan sudut Beckham di penghujung perlawanan sekaligus memadam kelebihan milik lawan. Beckham adalah ancaman kepada mana-mana lawan United sepanjang 10 tahun kariernya di Old Trafford terutama menerusi hantaran-hantaran lintangnya dari sebelah kanan. Beckham tidak dianugerahkan dengan skill menggelecek hebat seperti pemain-pemain dari Brazil, tetapi ketepatan hantaran selain kebolehannya menjaringkan gol menerusi sepakan percuma menjadikan Beckham antara pemain terbaik pernah dilahirkan bolasepak Inggeris.

RYAN GIGGS

Dalam tempoh 23 tahun terakhir, Ryan Giggs dianggap pemain tengah United paling menyerlah, baik ketika dia bergerak di sebelah sayap mahupun ketika dia diletakkan di bahagian tengah. Semasa zaman mudanya, kepantasan larian dan kemahiran Giggs mengawal bola sering digunakan Sir Alex untuk memporak perandakan pertahanan lawan menerusi gerakan-gerakan dari sebelah kiri. Kini selepas menghampiri penghujung karier, Giggs bertukar peranan dan sering diletakkan sebagai pemain tengah, sesuai dengan usia dan kepantasannya yang sedikit perlahan. Bagaimanapun peranan baru yang dimainkan Giggs tidak pernah membataskan kehebatannya malah selain Michael Carrick, Giggs dianggap antara maestro bahagian tengah United musim lalu. Selepas tampil sebanyak 660 perlawanan liga, Giggs memegang rekod assist terbanyak dalam sejarah Liga Perdana (282 assist) selain pemain tunggal yang berjaya menjaringkan gol selama 23 musim berturut-turut. Rekodnya sudah pasti sukar dipecahkan oleh mana-mana pemain selepas ini dan mungkin kekal untuk selama-lamanya. Tidak syak lagi bahawa Giggs pemain paling berjaya di era Liga Perdana dengan 13 kejuaraan liga yang berjaya diraihnya. Jadi tidak hairanlah jika ada pihak mengatakan bahawa kejayaan gemilang United selama lebih dua dekad adalah disebabkan Sir Alex memiliki pemain hebat seperti Giggs dalam pasukannya.

PAUL SCHOLES

Andrea Pirlo, Andres Iniesta, Bastian Schweinsteiger, Frank Lampard dan Steven Gerrard dianggap sebagai pemain tengah terbaik dalam tempoh 20 tahun terakhir, tetapi tiada seorang pun dari mereka mampu mengatasi Paul Scholes. Demikianlah kata-kata yang pernah dilemparkan lagenda Barcelona, Xavi Hernandez. Menurut Xavi lagi, Scholes adalah pemain tengah terbaik pernah disaksikannya dalam tempoh 20 tahun terakhir dan tidak sukar untuk kita bersetuju dengan pendapat playmaker Barcelona itu berdasarkan apa yang sudah disumbangkan Scholes, baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa. Ada yang menganggap Scholes pemain tengah paling berbakat pernah dilahirkan England kerana kebolehan teknikalnya di atas padang. Sebaik saja mengumumkan bahawa musim lalu adalah musim terakhirnya, statistik menunjukkan bahawa Scholes mengumpul 138 assist sepanjang kariernya di Old Trafford. Scholes adalah contoh assister hebat kerana kebolehannya membuka permainan menerusi hantaran-hantaran ke arah sayap kiri, kanan ataupun secara terus kepada penyerang untuk disudahkan. Scholes tidak menjaringkan banyak gol berbanding Giggs kerana dia lebih gemar menempatkan dirinya sedikit ke belakang daripada berada jauh di depan ketika melancarkan serangan. Kelebihan ketara Scholes bukan sekadar kebolehannya melakukan hantaran-hantaran berkualiti kepada barisan hadapan tetapi juga kemampuannya menjaringkan gol menerusi percubaan-percubaan jarak jauh.

Kini dua (Beckham dan Scholes) daripada mereka sudah bersara, Giggs menghampiri penghujung kariernya, pada usia 32 tahun Carrick mungkin boleh beraksi tiga atau empat tahun lagi manakala Ronaldo pula masih bersama Real Madrid. Siapakah di kalangan pemain muda United atau pemain sedia ada yang akan digilap untuk meneruskan kesinambungan tugas pass masters di atas? Atau David Moyes selaku pengendali baru United ada rancangan lain dengan membawa masuk pemain ternama untuk mengisi posisi di bahagian tengah/sayap sekaligus bertindak sebagai pembekal hantaran-hantaran berkualiti buat barisan hadapan. Siapa yang anda fikir sesuai? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

14 Julai 2013

ADA PETANDA POSITIF DI SEBALIK KEKALAHAN SEMALAM


Keputusan perlawanan jelajah pra musim tidak sepatutnya dijadikan ukuran dalam menilai kemampuan sebenar pasukan dalam mengharungi musim bolasepak kompetitif. Sepak mula Liga Perdana akan hanya berlangsung lebih sebulan lagi dan sepanjang tempoh tersebut bolehlah digunakan David Moyes untuk memperkuat dan melihat apa yang kurang dalam skuadnya. Memang agak malang buat Moyes kerana tewas pada perlawanan pertamanya sebagai pengurus Manchester United, tetapi seperti yang saya katakan tadi ini hanyalah sekadar perlawanan persahabatan pra musim dan United masih belum terlepas apa-apa gelaran. Ujian pertama buat Moyes akan hadir pada 11 Ogos nanti, di mana skuad United di bawah kendaliannya bakal berdepan juara Piala FA, Wigan Athletic bagi merebut trofi Perisai Komuniti. Lupakan dulu perlawanan menentang Wigan dan mari kita lihat apa yang berlaku sepanjang perlawanan menentang Singha All Stars semalam. Kekalahan 0-1 kepada Singha All Stars tetap satu kerugian dan sedikit memalukan tetapi terdapat beberapa pengajaran yang boleh diperolehi sepanjang perlawanan. Ribuan penonton di Stadium Rajamangala dapat menyaksikan kelibat bintang muda United, Adnan Januzaj mempamerkan bakatnya. Ini adalah penampilan pertama Januzaj bersama skuad utama dan pada usia 18 tahun, pemain remaja Belgium itu dikatakan punya potensi besar untuk muncul pemain kelas dunia dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi. Bagaimanapun perlawanan semalam mendedahkan kelemahan ketara Januzaj, iaitu kurangnya pengalaman, tetapi persembahannya semalam sepatutnya membuka mata Moyes bahawa pemain muda itu perlu diberikan peluang tampil dengan lebih kerap bersama skuad utama. Aksinya memperdayakan pemain lawan menerusi kepantasan sepasang kaki miliknya nyata mempesonakan tetapi dia perlu memperbaiki ketajamannya dalam menyempurnakan peluang. Jika bukan disebabkan kurangnya pengalaman, Januzaj sudah pasti mencipta nama sebagai penjaring gol pertama United di bawah era Moyes. Selain Anderson, dua lagi pemain yang agak mengecewakan di atas padang semalam ialah Danny Welbeck dan Tom Cleverley. Dua pemain antarabangsa England itu dilihat agak berkarat, mungkin disebabkan tempoh rehat yang agak panjang.

Masih banyak kerja yang perlu dilakukan Welbeck terutama dalam meningkatkan lagi naluri pembunuhnya ketika berada dalam kawasan penalti lawan. Kegopohan dalam menyempurnakan peluang terhidang masih lagi menjadi musuh utama Welbeck dan dia perlu segera bangkit dari 'mimpinya' jika mahu bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama musim depan. Sementara itu Cleverley pula dilihat seperti hilang arah ketika mengemudi bahagian tengah dan sering hilang kawalan bola kepada pemain lawan. Ringkasnya, Cleverley hilang pengaruh sepanjang permainannya. Kedua-dua pemain ini (Welbeck dan Cleverley) sudah tentu akan terus diberikan kesempatan menajamkan aksi mereka tetapi mereka juga perlu melakukan jauh lebih baik dari apa yang mereka lakukan semalam. Petanda paling positif tentunya hadir dari aksi yang dipamerkan Wilfried Zaha. Dimasukkan di babak kedua, Zaha tidak menunggu lama untuk memberikan impak pertamanya. Larian-larian pantas dan mengelirukannya dari sebelah kanan kerap memerangkap benteng pertahanan lawan, tetapi seperti juga Januzaj, pengalaman menjadi musuh utama Zaha. Sepanjang perlawanan, Zaha bolehlah dikatakan memiliki peluang paling besar menjaringkan gol berbanding rakan-rakan sepasukan yang lebih berpengalaman. Tidak hairanlah selepas perlawanan, Moyes memuji penampilan pertama Zaha. “Wilfried melakukan tugasnya dengan baik. Dia memberikan sesuatu yang berbeza kepada kami sebaik dimasukkan. Kami membawanya ke sini untuk memberikannya kesempatan. Ini adalah kali pertama saya bekerja dengannya dan dapat melihatnya dengan lebih dekat”, kata Moyes. Jika diambilkira persembahan yang dipamerkan Zaha semalam, peluangnya disenaraikan dalam skuad utama musim depan cukup cerah selain memberikan Moyes lebih banyak pilihan di sebelah kanan. Seorang lain bintang muda yang menyerlah semalam ialah Ben Amos, penjaga gol yang diturunkan Moyes bagi mengambilalih tempat David de Gea (yang akan bersama-sama pasukan pada perlawanan jelajah di Australia). Di babak pertama Amos melakukan tindakan menyelamat hebat apabila menafikan voli jarak dekat pemain tuan rumah tetapi akhirnya tewas menerusi jaringan Teerathep Winothai. Amos tidak mungkin boleh menggugat posisi penjaga gol nombor satu dari De Gea tetapi kedudukan ketiga di belakang Anders Lindegaard adalah sesuatu yang realistik buat dirinya ketika ini.  Bawa bertenang dan teruskan sokongan anda kepada Manchester United. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

13 Julai 2013

PREVIEW: SINGHA ALL STARS v MANCHESTER UTD



Manchester United akan bermain perlawanan pertama mereka hari ini menentang pilihan Singha All Stars di bawah kendalian David Moyes selepas tamatnya era 27 tahun Sir Alex Ferguson di Old Trafford. Agak pelik selepas sekian lama menyaksikan United bermain di bawah pengawasan Sir Alex,  kini tugas itu dipikul pula oleh individu lain. Apapun terima kasih kepada Sir Alex atas kerja-kerja cemerlang beliau selama 27 tahun dan mari kita pandang ke hadapan dan berikan sokongan kepada Moyes selaku pengganti beliau. Moyes secara rasmi menjalankan tugasnya sebagai pengurus United selama dua minggu dan setakat tempoh tersebut, beliau dilihat berjaya menjalan tugasnya dengan lancar. Beliau nampaknya seperti berjaya menangani kemelut masa depan Rooney dengan baik apabila mengumumkan pemain itu akan kekal di Old Trafford dan tidak akan dijual kepada mana-mana pasukan. Selesai dengan hal Rooney, kini Moyes bakal berdepan cabaran pertamanya di atas padang pula apabila Singha All Stars menjadi pasukan pertama diberi penghormatan menentang United di bawah kendalian Moyes. Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand itu bukan sekadar perlawanan jelajah pra musim United, tetapi juga bersempena ulang tahun ke 80 penubuhan Singha. Pilihan Singha All Stars juga dijadual bakal bertemu skuad Chelsea bimbingan Jose Mourinho minggu depan. Anak-anak buah Moyes tiba di Bangkok Rabu lalu dan sempat menjalani dua sesi latihan sebelum perlawanan ini. Bagaimanapun perlawanan ini sedikit hilang serinya apabila Wayne Rooney terpaksa dihantar pulang ke Manchester kerana mengalami masalah hamstring. Agak malang juga bagi penyokong-penyokong United di Thailand kerana mereka tidak akan dapat menyaksikan kelibat David de Gea, Javier Hernandez, Robin Van Persie, Shinji Kagawa dan Rooney kali ini tetapi Wilfired Zaha akan melakukan penampilan sulungnya di Bangkok. Berdepan skuad pilihan Singha All Stars, Danny Welbeck dijangka bertindak sebagai penyerang tunggal kerana ketiadaan Rooney manakala Van Persie pula akan hanya menyertai rakan-rakan sepasukan yang lain di Australia nanti (ketika menentang A League All Stars). Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Skuad Manchester United:

Penjaga Gol: Anders Lindegaard & Ben Amos

Pertahanan: Rafael da Silva, Phil Jones, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Patrice Evra, Alexander Buttner, Fabio da Silva, Michael Keane

Tengah: Michael Carrick, Anderson, Tom Cleverley, Ryan Giggs, Wilfried Zaha, Jesse Lingard, Adnan Januzaj

Penyerang: Danny Welbeck

Skuad Singha All Stars:

Penjaga Gol: Thitiphan Puangjan, Narit Taweekul, Thanongsak Phanpipat, Todsaporn Sri-reung, Nataporn Phanrit

Pertahanan: Kim Yoo Jin, Ri Kwang Chon, Arthit Daosawang, Piyachart Thamaphan, Jose Mena, Praweenawat Boonyong, Chaiwat Nak-iem, Apiwat Ngualumhin

Tengah: Datsakorn Thonglao, Dagno Siaka, Mario Gjurovski, Phichitphong Cheuichiu, Apipoo Sunthornpanavej, Jetsada Puanakunmee, Teerasak Po-on

Penyerang: Teerasil Dangda, Chartree Chimtalay, Teerathep Winothai, Sompong Soleb

12 Julai 2013

USAH PANIK JIKA GAGAL DAPATKAN ALCANTARA


Manchester United memenangi lima kejuaraan Liga Perdana dalam tempoh tujuh tahun terakhir selain menamatkan saingan liga di kedudukan tiga teratas selama 22 musim berturut-turut. Bagaimanapun pencapaian itu tidak bermakna pengendali baru United, David Moyes boleh bersenang lenang kerana banyak kerja yang harus dilakukannya. The Red Devils menikmati tempoh gemilang mereka di bawah kendalian Sir Alex Ferguson dan muncul antara kelab elit Eropah tetapi pencapaian di saingan Liga Juara-Juara agak mengecewakan.  Dalam tempoh tujuh tahun terakhir juga, United berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali tetapi tewas dua daripadanya. Selepas sepuluh hari jendela perpindahan pemain dibuka, Guillermo Varela masih lagi pemain tunggal yang berjaya ditandatangani Moyes. Dalam tempoh tersebut juga kita melihat beberapa prospek pemain bintang yang pada mulanya dikatakan begitu hampir menyertai United kian menjauh dari jangkauan. Moyes bagaimanapun tidak mahu peminat terlalu panik dengan situasi tersebut. Ketika diwawancara talkSPORT, Moyes mengatakan; “Jangan remehkan kami apabila anda melihat kurangnya aktiviti kami dalam pasaran perpindahan. Kami sebenarnya sedang bekerja keras di belakang tabir untuk meningkatkan skuad”. Seminggu yang lalu kita dibuai dan dihiburkan dengan spekulasi kononnya Moyes akan mengumumkan pembelian Thiago Alcantara secara rasmi pada hari pertamanya sebagai pengurus United. Tapi apa yang berlaku sekarang seolah-olah kelibat Alcantara kian menjauh selepas pengumuman pihak pengurusan Barca bahawa pemain muda itu akan menyertai pasukan dalam jelajah pra musim mereka. Jurucakap Barca, Toni Freixa baru-baru ini mengatakan; “Kami memiliki pemain kami dan Thiago adalah salah satunya. Dia akan menyertai kami dalam jelajah pra musim seperti yang sudah dijadualkan”. Apakah kata-kata Freixa itu petanda United bakal berdepan satu lagi kegagalan dalam mendapatkan pemain yang mereka inginkan? Spekulasi terbaru pula mengatakan bahawa Alcantara mahu bergabung dengan bekas mentornya, Pep Guardiola di Allianz Arena. Jika gagal mendapatkan Alcantara, ini bukanlah kali pertama United berdepan situasi seperti ini kerana mereka sudahpun berdepan beberapa siri kegagalan dalam mendapatkan pemain yang dihajati sebelum ini. Jika anda masih ingat pada musim panas 2004, spekulasi cukup hangat mengaitkan bintang Brazil, Ronaldinho dengan perpindahan ke Manchester. Ada pihak ketika itu mengatakan bahawa Ronaldinho hanya selangkah saja menjejakkan kakinya di Old Trafford, tetapi apa kesudahannya? Ronaldinho sebaliknya memilih Nou Camp sebagai pangkalan barunya selepas berhijrah dari Paris St Germain.

Selepas spekulasi saga Ronaldinho tidak menjadi kenyataan, pada 2011 peminat-peminat United digemparkan pula dengan munculnya laporan bahawa United semakin hampir mencapai kesepakatan dengan perancang Inter Milan, Wesley Sneijder. Selepas bermain tarik tali, Sneijder akhirnya memilih kekal di Milan sebelum berpindah ke kelab Turki, Galatasaray Januari lalu. Ronaldinho dan Sneijder adalah dua contoh terbaik kegagalan United mendapatkan bintang ternama meskipun dikatakan begitu hampir menandatangani mereka. Nama-nama seperti Lucas Moura, Eden Hazard dan Alcantara (jika benar dia memilih Bayern) sekadar pelengkap kekecewaan peminat-peminat United melihat bintang handalan yang disasarkan ini terlepas dari genggaman. Agak mengecewakan apabila memikirkan bahawa pemain berbakat seperti Alcantara yang sudah dibentuk untuk menjadi pemain kelas dunia pada usia 22 tahun terlepas ketangan pasukan lain selepas kita dikatakan begitu hampir memilikinya. Kehadiran Alcantara dilihat ramai pihak mampu memberikan kekuatan tambahan kepada bahagian tengah United, terutamanya selepas kita kehilangan Paul Scholes (bersara), masalah kesihatan yang melanda Darren Fletcher dan prestasi turun naik yang dipamerkan Anderson. Bukan sahaja Alcantara, kerana United turut bakal terlepas seorang lagi pemain yang disasarkan mereka kepada Bayern Munich, siapa lagi kalau bukan Robert Lewandowski. Menurut pengurus Dortmund, Jurgen Klopp, meskipun Lewandowski tidak akan meninggalkan Signal Iduna Park musim panas ini tetapi penyerang antarabangsa Poland itu sudah diatur untuk bergabung dengan pesaing Bundesliga mereka (Bayern Munich) musim mendatang. Dalam laporan media Jerman Welt am Sonntag, Klopp mengatakan; “Saya fikir ini adalah kebenaran bahawa  Robert akan bermain untuk Bayern musim  mendatang (2014/15)”. Sama ada Lewandowski akan menyertai Bayern Munich atau tidak, apa yang hampir pasti ialah pemain itu tidak akan menyertai United musim panas ini seperti yang dilaporkan media sejak April lalu. Situasi Lewandowski sebenarnya berbeza dengan Alcantara kerana penyerang itu bukanlah sasaran realistik berbanding bintang muda Sepanyol itu kerana United sudahpun memiliki Robin Van Persie, Wayne Rooney, Javier Hernandez dan Danny Welbeck sebagai strike force mereka. Dengan barisan penyerang yang dimiliki United ketika ini, keperluan untuk mendapatkan penyerang Poland itu tidaklah seberapa tinggi berbanding Alcantara yang memang diperlukan untuk menambah sengat di bahagian tengah. Walaupun United dilihat agak kurang aktif dalam pasaran perpindahan pemain ketika ini, kita tidak perlu panik kerana masih banyak waktu untuk melihat Moyes menyambar pemain-pemain berbakat sebelum jendela perpindahan ditutup. Jika diambilkira kata-kata Moyes bahawa pihak pengurusan sedang bergiat aktif di belakang tabir bagi mendapatkan pemain-pemain yang disasarkan, kita mungkin menerima khabar gembira sebelum sepak mula liga berlangsung Ogos nanti. Glory Glory Manchester United!!! – A.J 

10 Julai 2013

MASA UNTUK MENCURI PERHATIAN MOYES


Persiapan pramusim Manchester United akan bermula hujung minggu ini di Bangkok apabila mereka dijadualkan berdepan pilihan Singha All Star XI. Selain Thailand, program pramusim kali ini akan membawa The Red Devils terbang ke Australia, Jepun dan Hong Kong sebagai persediaan menghadapi musim baru nanti. Perhatian peminat-peminat United dan pemerhati sudah pasti akan tertumpu kepada David Moyes, individu bertuah yang dipilih bagi menggantikan tempat Sir Alex Ferguson. Peminat dan pemerhati memberikan tumpuan kepada Moyes tetapi di dalam pasukan sendiri ada beberapa pemain yang sebenarnya perlu berusaha menarik perhatian Moyes. Dalam tempoh beberapa minggu ini, mereka perlu menggunakan sepenuhnya kesempatan perlawanan-perlawanan pramusim untuk membuktikan keupayaan kepada bos baru mereka. Beberapa pemain seperti Nani, Chris Smalling dan Ashley Young pula agak tidak bernasib baik dan diberitakan terpaksa melupakan aksi pramusim kerana masalah kecederaan. Pemain pertama yang perlu berusaha mencuri perhatian Moyes pastinya Wayne Rooney. Selepas pendedahan Sir Alex Ferguson (Mei lalu) bahawa Rooney mahu dirinya diletakkan dalam pasaran perpindahan musim panas ini, pemain berusia 27 tahun itu dikecam hebat penyokong-penyokong United. Bagaimanapun, Jumaat lalu Moyes selaku pengendali baru United meredakan sedikit spekulasi tentang masa depan Rooney apabila mengumumkan pemain itu tidak akan dijual. Rooney sepatutnya menggunakan kesempatan perlawanan-perlawanan pramusim United untuk membuktikan kesetiaannya kepada kelab dan meraih kembali sokongan para peminat. Selepas Rooney, pemain kedua yang sepatutnya menggunakan kesempatan perlawanan pramusim ialah Antonio Valencia. Selepas mempamerkan prestasi terpuji musim sebelumnya (2011/12) hingga dipilih pemain terbaik kelab, Valencia tiba-tiba muncul antara pemain paling mengecewakan musim lalu berikutan prestasi turun naiknya. Masalah kecederaan mungkin menjadi penyebab utama mengapa Valencia gagal memenuhi harapan tinggi yang diletakkan ke atasnya musim lalu. Musim depan pemain sayap berusia 27 tahun itu perlu meningkatkan lagi kreativitinya di sebelah kanan, menghasilkan banyak hantaran-hantaran lintang berkualiti dan menjaringkan lebih banyak gol berbanding hanya satu yang dihasilkannya musim lalu. Di bawah bimbingan Moyes, Valencia berpotensi untuk berkembang sekaligus mengembalikan semula sentuhan pemusnahnya. Jika ada mana-mana pemain yang paling kecewa, pastinya pemain itu ialah Chris Smalling. Ketika dia sepatutnya menggantikan tempat Jonny Evans dan Nemanja Vidic yang dibelenggu kecederaan, Smallling turut ditimpa nasib yang sama, malah bekas pertahanan Fulham itu tidak menyertai pasukan sejak awal musim lagi berikutan kecederaan yang dialaminya ketika perlawanan pramusim tahun lalu. Menjelang tahun baru, Smalling mendapati peranannya jauh berkurangan berbanding musim sebelumnya, terutama apabila Vidic kembali dalam pasukan selepas pulih dari kecederaan.

Persaingan di bahagian belakang (terutamanaya di posisi pertahanan tengah) agak sengit dengan Vidic dan Rio Ferdinand masih mendominasi posisi tersebut musim lalu. Selain Vidic dan Rio, United juga memiliki Evans, Smalling dan Jones yang mengintai peluang merebut tempat dalam kesebelasan utama. Persaingan dijangka lebih sengit musim depan selepas United dikaitkan dengan perpindahan pertahanan tengah Benfica, Ezequiel Garay. Jadi Evans, Jones dan Smalling perlu meningkatkan kemampuan mereka untuk terus bersaing merebut tempat dalam skuad utama jika perpindahan Garay menjadi kenyataan. Jones bagaimanapun dilihat lebih bernasib baik berbanding Evans dan Smalling kerana dia merupakan pemain yang lebih versatile (kerana selain mampu beraksi sebagai bek tengah, dia juga boleh diletakkan di bahagian tengah, bek kanan dan kiri). Perlawanan pramusim akan memberikan kesempatan buat Moyes menilai pilihannya di bahagian belakang. Melihat di bahagian hadapan pula, jika Rooney memilih meninggalkan Old Trafford, tanggungjawab lebih besar terpaksa dipikul Danny Welbeck dan dia perlu segera meningkatkan produktivitinya di depan pintu gol. Dengan Javier Hernandez dan Robin Van Persie turut bersaing merebut tempat di bahagian hadapan, Welbeck perlu mempertajamkan kebolehan menjaringkan golnya. Pemain antarabangsa England itu hanya menjaringkan dua gol dalam semua kejohanan musim lalu, jauh berbanding 12 gol yang dihasilkannya pada musim 2011/12. Saya boleh katakan bahawa Welbeck nampak seperti gugup ketika berada dalam petak penalti lawan dan kurang ketenangan ketika mempunyai peluang terbaik. Dia sebenarnya perlu lebih banyak belajar dan mengaut sebanyak mungkin tips dari Van Persie tentang bagaimana caranya mahu menjadi seorang finisher hebat. Pemain terakhir yang perlu diberikan perhatian dan sepatutnya bersungguh-sunggu mencuri perhatian Moyes ialah Wilfried Zaha. Kelmarin Evening Standard melaporkan bahawa Crystal Palace, Fulham dan West Ham sedang berbaris bagi mendapatkan khidmat Zaha secara pinjaman. Jika Moyes membenarkan pemain muda berbakat itu menyertai mana-mana pasukan sebagai pemain pinjaman, saya boleh katakan bahawa itu satu keputusan yang pelik. Dengan segala bakat dan potensi milik Zaha hingga mendorong Sir Alex mendapatkan pemain itu dari Crystal Palace, Moyes sepatutnya memberikan peluang buat Zaha beraksi bersama United dalam mana-mana perlawanan kompetitif terlebih dahulu. Jika beliau merasakan Zaha tidak mampu bersaing dengan senior-seniornya dalam skuad utama, barulah Moyes boleh menimbang kemungkinan mencari mana-mana pasukan yang mampu memberikan tempat buat Zaha bermain setiap minggu. Zaha pemain berbakat besar dan prospek masa depan bolasepak England, jadi dia boleh menggunakan kesempatan perlawanan-perlawanan pramusim bagi membuktikan sesuatu kepada Moyes. Sebagai permulaan kariernya di Old Trafford, perlawanan-perlawanan musim panas menentang lawan yang tahapnya lebih rendah boleh digunakan Zaha untuk membuktikan mengapa dia layak menyarung jersi merah The Red Devils. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

08 Julai 2013

APAKAH FORMASI YANG BAKAL DIGUNAKAN MOYES MUSIM DEPAN?


Penampilan pertama David Moyes (sebagai pengurus Manchester United) dalam saingan liga akan hanya dapat kita saksikan pada 17 Ogos ini. Menanti detik sepak mula pada 17 Ogos nanti, pasti ketika ini ramai yang mula tertanya-tanya apakah Moyes akan mengubah keseluruhan taktikal dan membawa gaya baru kepada permainan United atau sebaliknya. Sebelum itu kita mungkin boleh mendapat sedikit gambaran ketika Moyes membawa barisan The Red Devils terbang ke benua Asia dan Australia untuk menghadapi perlawanan-perlawanan pra musim mereka. Gambaran lebih jelas mungkin kita perolehi semasa Moyes membawa barisan pemainnya di Wembley, (seminggu sebelum sepakmula musim baru liga) bagi merebut trofi Perisai Komuniti berdepan juara Piala FA, Wigan Athletic. Pada pandangan saya, Moyes tidak mungkin melakukan rombakan yang terlalu drastik terhadap corak permainan United yang memang sudah sebati di bawah kendalian Sir Alex Ferguson. Bagaimanapun Moyes sudah pasti ingin lari dari bayang-bayang pencapaian gemilang Sir Alex dan memulakan eranya sendiri. Jadi beberapa rombakan kecil sudah tentu akan dilakukan Moyes terutamanya bagi menyesuaikan taktikal permainan dengan pemain-pemain baru yang bakal dibawa masuk nanti. Apakah formasi yang akan digunakan Moyes musim depan? Saya jangkakan formasi yang akan digunakan untuk The Red Devils adalah 4-4-1-1. Mengapa 4-4-1-1? Kerana saya berpendapat Moyes akan terus menggunakan kekuatan United di bahagian sayap dalam formasinya kerana ketika ini kita sudahpun memiliki Antonio Valencia, Nani, Wilfried Zaha dan Ashley Young selain menggunakan penyerang kedua (backup striker) dalam barisan kesebelasan utamanya. Peranan sebagai penyerang kedua pada pendapat saya paling ideal sepatutnya diberikan kepada Shinji Kagawa (kerana masa depan Wayne Rooney masih samar-samar biarpun Moyes baru-baru ini mengumumkan penyerang itu tidak akan dijual). Jika spekulasi perpindahan Thiago Alcantara menjadi kenyataan, peranan Kagawa kemungkinan besar bakal berubah berbanding musim lalu di mana Moyes dijangka meletakkan perancang tengah Jepun itu di posisi kegemarannya iaitu di belakang penyerang utama. Semasa di Goodison Park, Moyes menggunakan kekuatan fizikal milik Tim Cahill dan Marouane Fellaini sebagai teras utama skuadnya tetapi di Old Trafford pendekatannya mungkin berubah (kecualilah beliau menandatangani Fellaini). Semasa di bawah kendalian Sir Alex, Rafael dan Patrice Evra diberikan banyak kesempatan untuk naik jauh ke kawasan lawan ketika menyerang dan situasi ini dijangka tidak banyak berubah di bawah kendalian Moyes.

Musim lalu, United dilihat hilang cengkaman di bahagian sayap berikutan prestasi turun naik Antonio Valencia serta masalah kecederaan yang dialami Nani dan Ashley Young. Salah satu keutamaan yang perlu diberikan Moyes ialah meletakkan kembali Valencia, Nani dan Young ke prestasi terbaik mereka. Formasi 4-4-2 memang diakui memberikan banyak kejayaan kepada United terutamanya apabila mengimbas kembali pencapaian gemilang skuad treble 1999. Dengan bakat serbaguna milik Kagawa dan Michael Carrick dalam pasukan, Moyes sepatutnya tidak lagi menggunakan formasi tradisional ini kerana ia akan hanya menganggu kreativiti Kagawa (terutamanya) dalam mengatur gerakan. Bahagian tengah adalah posisi yang perlu diberikan perhatian serius oleh Moyes. Jika beliau mahukan tenaga baru untuk memberikan lebih perlindungan kepada benteng pertahanannya, Moyes boleh melihat kepada potensi Kevin Strootman untuk bergandingan dengan Michael Carrick. 2013 adalah detik terbaik buat Moyes memulakan era dan dimensi baru di Old Trafford, jadi tidak hairanlah mengapa United dikatakan begitu serius memburu Thiago Alcantara seperti yang dilaporkan oleh Goal.com. Pemain kreatif berusia 22 tahun itu boleh memberikan Moyes lebih banyak pilihan ketika menyerang sekaligus memberikan ruang kepada Carrick menjalankan tugasnya sebagai pemain tengah bertahan dengan lebih berkesan. Jika Moyes menggunakan formasi 4-4-2, sukar untuk melihat Alcantara serta Kagawa bermain dalam line up yang sama berikutan pertindihan fungsi yang dimainkan oleh kedua-dua mereka. Musim 2007/08, Sir Alex menggunakan formasi 4-3-3 kerana beliau memiliki Carlos Tevez, Rooney dan Cristiano Ronaldo dalam pasukan. Sir Alex bijak memanfaatkan kelebihan besar yang dimilikinya apabila beliau menggunakan sepenuhnya bakat menyerang ketiga-tiga pemain ini hingga membolehkan United meraih kejuaraan Eropah buat kali ketiga. Moyes boleh menggunakan formasi ini (4-3-3) dalam taktikal permainannya jika beliau berjaya membawa Ronaldo kembali semula ke Old Trafford atau berjaya membawa keluar Gareth Bale dari White Hart Lane (siapa tahu?). Jika impian melihat Ronaldo atau Bale menyarung jersi United tinggal sekadar impian, kita sebenarnya masih memiliki pilihan lain dalam pasukan dengan adanya Wilfried Zaha dan Nani. Mungkin juga Moyes boleh melakukan sedikit eksperimen dengan meletakkan Zaha atau Nani dalam formasi 4-3-3 jika beliau bosan menggunakan formasi yang sama dalam setiap perlawanan ketika mengharungi musim yang panjang. Glory Glory Manchester United!!! – A.J