27 November 2016

MICHAEL CARRICK...WATAK PENTING TETAPI KEHADIRANNYA SERING TIDAK DISEDARI

Lagenda Arsenal, Thierry Henry pernah menyebut bahawa “Anda tidak akan pernah menyedari peranan besar yang dimainkan Michael Carrick hinggalah selepas ketiadaannya”, manakala Carlos Queiroz pula menganggap United tanpa kelibat Carrick di atas padang umpama mendaki gunung Everest tanpa bekalan oksigen. Begitulah pentingnya peranan yang dimainkan veteran United itu dalam pasukan sejak beliau ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Tottenham Hotspurs lebih sepuluh tahun lalu.

Carrick kini sudah berusia 35 tahun tetapi sumbangan dan peranan yang dimainkan beliau untuk United masih lagi diakui dan diiktiraf. Mourinho mengakui akan hakikat itu kerana peranan Carrick sebenarnya turut mempengaruhi permainan Pogba. Ketenangan Carrick mengawal permainan sebagai pemain tengah bertahan membolehkan Paul Pogba lebih bebas bergerak ke hadapan ketika menyerang. Beberapa hari lalu Jose Mourinho mengeluarkan kenyataan bahawa beliau mahukan agar Carrick kekal semusim lagi di Old Trafford.

Menentang Arsenal merupakan penampilan ketiga Carrick dalam saingan liga dan yang ketujuh dalam semua kejohanan setakat ini. Antonio Valencia dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan United/Arsenal tetapi sumbangan Carrick mengemudi jentera tengah tetap memukau. Agak menarik menyaksikan bagaimana Carrick `meneutralkan’ pergerakan Mesut Ozil sepanjang perlawanan di Old Trafford Sabtu lalu hingga memaksa playmaker Arsenal itu bergerak lebih jauh ke tepi.

Carrick bukan sekadar pemain tengah bertahan tetapi lebih dari itu beliau dianggap sebagai pemain yang bertanggungjawab mengawal tempo permainan United. Ketenangan ketika menguasai bola, bijak membaca permainan, tahu ke mana arah bola yang sepatutnya beliau hantar, bijak mengekalkan posisi bagi melindungi rakan di benteng pertahanan dan berada di posisi tepat ketika memintas hantaran lawan merupakan aset berharga kepada permainan Carrick.

Apa yang beliau lakukan ketika berdepan West Ham dalam perlawanan ulangan Piala FA di Boleyn Ground musim lalu adalah contoh terbaik dan paling hampir mengapa saya cukup mengagumi Carrick. Sepuluh minit pertama aksi menentang West Ham itu, Carrick berjaya memintas dua gerakan lawan yang berpotensi menghasilkan gol. Mungkin tidak ramai menyedari hal tersebut tetapi dua detik penting yang berlaku di awal permainan sebenarnya berjaya mengubah keputusan keseluruhan perlawanan.

Boleyn Ground menjadi satu lagi bukti bahawa Carrick sering sahaja melakukan kerja-kerja `sederhana’ seperti itu kerana beliau memang seorang pemain yang cukup bijak membaca gerakan lawan. Dan kerana `kerja-kerja sederhana’ yang sering dilakukannya itu jugalah United akhirnya berjaya menewaskan West Ham (2-1) untuk layak ke separuh akhir dan seterusnya menjulang Piala FA di pentas final buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun.

Awal dekad 2000, saat Gilberto Silva memainkan peranan penting untuk Arsenal dan Claude Makelele untuk Chelsea, United pula masih tercari-cari pengganti Roy Keane yang kian berada di penghujung karier. Anehnya ketika Silva dan Makelele sudah membuktikan betapa pentingnya peranan seorang pemain tengah bertahan, Sir Alex pula melakukan eksperimen dengan meletakkan Alan Smith (seorang penyerang) di posisi yang ditinggalkan Roy Keane.

Ketiadaan pemain berpengaruh seperti Keano jelas dirasai dan Smith bukanlah pengganti sepadan kepada Captain Marvel itu di bahagian tengah. Pada pertengahan musim 2005-06, Sir Alex melakukan kejutan dengan menandatangani Patrice Evra dan Nemanja Vidic berbanding mencari pemain baharu sebagai pengganti Keano. Ya memang benar, menerusi kekuatan di benteng pertahanan, United menamatkan saingan liga di tangga kedua tetapi itu juga bermakna mereka sudah tiga musim ketandusan gelaran liga.

Menyaksikan Chelsea mendominasi saingan selama dua musim berturut-turut, penyokong-penyokong pula mula tertanya-tanya apakah langkah yang bakal dilakukan Sir Alex untuk meletakkan kelab kembali di tempat teratas. Akhirnya pada musim panas 2006, Sir Alex mendapatkan seorang pemain tengah bertahan bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Keano dan pemain yang saya maksudkan ialah Michael Carrick. Carrick juga satu-satunya pemain baharu yang ditandatangani Sir Alex pada musim panas 2006.

Kedatangan Carrick rupa-rupanya tidak mampu meredakan kegelisahan penyokong-penyokong kerana mereka sebenarnya mengharapkan agar Sir Alex membawa masuk pemain yang memiliki reputasi setaraf Keano. Kegelisahan penyokong-penyokong United ketika itu mudah difahami kerana Carrick dan Keano begitu kontra, baik dari segi personaliti mahupun corak permainan di atas padang.

Carrick tidak memiliki permainan keras dengan emosi meledak-ledak seperti Keano malah fizikalnya juga bukanlah tandingan kepada Silva atau Makelele yang lebih berotot. Jadi apa yang menyebabkan Sir Alex menawarkan £18 juta kepada Spurs untuk mendapatkan tandatangan Carrick ketika itu? Jawapannya ialah apa yang mampu ditawarkan Carrick di atas padang berbeza berbanding Keano, Silva dan Makelele.

Seperti Makelele, Carrick juga gemar bergerak secara terus ke hadapan tetapi jangkauan umpanan-umpanan yang dilakukannya lebih luas dan tepat berbanding bekas pemain Chelsea itu. Kerana kemampuan membaca gerak bola yang bagus, gaya bertahan Carrick juga berbeza berbanding Keano, Silva dan Makelele. Carrick lebih gemar memintas hantaran lawan (intercept) berbanding melakukan terjahan-terjahan keras dalam usaha merebut kembali bola dari penguasaan lawan.

Pendekatan permainan Carrick menyaksikan beliau mencatatkan purata jumlah hantaran, ketepatan hantaran dan intercept yang lebih tinggi berbanding mana-mana pemain tengah Inggeris hampir setiap musim. Musim pertamanya di Old Trafford, Carrick berjaya membantu United kembali menjulang trofi Liga Perdana  (2006-07) sekaligus menghapus keraguan di kalangan penyokong-penyokong tentang kemampuan beliau mengisi kekosongan posisi yang ditinggalkan Keano.

Ketika Arsenal dan Chelsea masih bergelut mencari pengganti Silva dan Makelele, United yang diperkuatkan Carrick serta Paul Scholes di bahagian tengah berjaya menjulang kejuaraan liga musim berikutnya (2007-08 dan 2008-09) selain trofi Liga Juara-Juara edisi 2008. Sejak itu, Sir Alex mengiktiraf sumbangan dan peranan yang dimainkan Carrick untuk United dengan melabelkan beliau sebagai pemain tengah terbaik di England.

Musim lalu United menang 14 perlawanan mereka ketika Carrick bermain tetapi malangnya hal yang sama tidak berlaku musim ini kerana beliau lebih banyak direhatkan kerana faktor kecederaan. Faktor usia mungkin mempengaruhi kecergasan Carrick tetapi usia juga tidak pernah memudarkan visi permainan beliau. Menyedari kemampuan dan pentingnya peranan Carrick, Mourinho menurunkan beliau selama 90 minit dalam tiga perlawanan terakhir United.

Kejayaan Itali menjulang trofi Piala Dunia 2006 bukan hanya dibantu faktor ampuhnya pertahanan mereka, tetapi kerana adanya deep-lying playmaker seperti Andrea Pirlo yang berperanan sebagai regista. Dalam skuad Itali pimpinan Marcelo Lippi ketika itu, Pirlo boleh diumpamakan seperti seorang `komposer’ di hadapan garisan pertahanan Itali. Xabi Alonso dan Sergio Busquets pula memainkan peranan penting di sebalik kejayaan Sepanyol menjulang tiga kejuaraan besar (Euro 2008, Piala Dunia 2010 dan Euro 2012).

Alonso dan Busquets diiktiraf antara pemain tengah bertahan terbaik dalam era bolasepak moden dan sudah memenangi hampir semua trofi kejuaraan utama dalam karier mereka. Jika Itali memiliki Pirlo, Sepanyol ada Alonso serta Busquets, Jerman pula beruntung kerana memiliki Bastian Schweinsteiger yang berada di kemuncak prestasi ketika membantu Die Mannschaft menjulang trofi Piala Dunia 2014.

Jika bukan kerana `ikhsan’ FIFA yang memberikan anugerah pemain terbaik kejohanan (Piala Dunia 2014) kepada Lionel Messi, Basti saya kira adalah calon paling layak memenanginya. Messi mungkin pemain paling sempurna tetapi prestasi cemerlang Basti sepanjang kejohanan Piala Dunia 2014 sepatutnya melayakkan beliau dianugerahkan sebagai pemain terbaik kejohanan empat tahun sekali itu.

Bagaimanapun nasib Carrick tidak sebaik Pirlo, Alonso, Busquets mahupun Basti. Carrick cemerlang di peringkat kelab menerusi peranan dan sumbangan yang dimainkan beliau bersama United tetapi sering `dilupakan’ dalam skuad Three Lions. Ketika Pirlo, Alonso, Busquets dan Basti menjadi watak penting kepada skuad kebangsaan masing-masing dalam kejohanan-kejohanan besar, Carrick pula menghabiskan musim panasnya dengan bercuti saat Piala Dunia atau Euro rancak berlangsung.

Saya masih mengingati bagaimana meriahnya media-media Inggeris memberikan puji-pujian atas kejayaan England layak ke Piala Dunia 2014 selepas mereka menewaskan Poland (2-0) dalam perlawanan terakhir pusingan kelayakan di Wembley. Kebanyakan pujian-pujian tersebut juga terarah kepada Carrick sambil mereka meletakkan beliau sebagai calon terbaik mengemudi bahagian tengah Three Lions di Brazil nanti.

Bagaimanapun nasib Carrick seperti sudah boleh diramal dan akhirnya nama beliau tercicir dari penerbangan ke Brazil. Saya tidak terkejut dengan keputusan Roy Hodgson mengugurkan nama Carrick kerana memang lumrah bagi kebanyakan pengurus berbangsa Inggeris yang lebih gemar menggunakan pemain dengan emosi meluar-luap, sanggup berlari dari pintu gol sendiri ke pintu gol lawan dan melakukan terjahan tanpa kompromi sebagai pilihan mereka.

Carrick bukan jenis pemain seperti itu kerana cara beliau bermain lebih teknikal dan taktikal. Beliau tidak memerlukan kelajuan atau menunjukkan emosi yang meluap-luap di atas padang seperti kebanyakkan pemain Inggeris lain tetapi cukup dengan keupayaannya membaca gerak lawan, hantaran-hantaran tepat ke kawasan lawan dan visi permainan yang mengagumkan. Jadi ada sebab mengapa Andrew Murray dari Four Four Two meletakkan beliau sebagai pemain yang memiliki kemampuan teknikal paling bagus berbanding mana-mana pemain Inggeris.

Sepertimana kata Xabi Alonso, bolasepak Inggeris memang sukar difahami kerana mereka sering meminggirkan pemain berkemahiran seperti Carrick, pemain yang mampu membuatkan pasukan dan rakan-rakannya bermain dengan baik. Benarlah kata Alonso kerana ketika Carrick sedang menghabiskan tempoh cuti musim panasnya di pantai Barbados, skuad England pula terpaksa pulang awal apabila mereka sekadar berada di tangga tercorot Kumpulan D di Brazil.

Walaupun pada 2014 Daily Mail pernah melabelkan Carrick sebagai `Andrea Pirlo England’ tetapi saya tidak mahu berlebihan dalam mengiktiraf sumbangan beliau. Mungkin Carrick sebagus Pirlo, mungkin juga tidak tetapi apa yang saya tahu, beliau merupakan salah seorang pemain tengah terbaik United pernah saya saksikan. Ketepikan dahulu tentang spekulasi masa depan Carrick kerana buat masa ini saya hanya mahu menikmati aksi `wira tidak didendang’ ini sementara beliau masih menyarung jersi United...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

20 November 2016

ANGGAP SAJALAH TUAH MASIH TIDAK MENYEBELAHI KITA

Sejak dilantik menggantikan tempat Louis Van Gaal sebagai pengurus Manchester United, Jose Mourinho sudah mengharungi 22 perlawanan (termasuk perlawanan pra musim) setakat ini. Dari jumlah tersebut, beliau berjaya membawa United menang sebanyak 11 perlawanan, tewas lima kali dan seri empat kali. Dalam saingan liga pula, United sekadar berada di tangga keenam selepas mengharungi 12 perlawanan, ketinggalan lapan mata di belakang Liverpool selaku pendahulu.

Paling perit dan luka yang pastinya masih berdarah ialah kekalahan besar 0-4 kepada Chelsea di Stamford Bridge 23 Oktober lalu. Kekalahan besar ini tentunya mencetuskan tandatanya sejauh mana kemampuan United di bawah kendalian Mourinho mencabar kejuaraan liga musim ini. Ditangani oleh seorang pengurus lagenda dan berprofil tinggi seperti Mourinho, dengan deretan bakat-bakat bolasepak hebat dalam kesebelasan utama, apa lagi yang kurang hinggakan United terpaksa bergelut sebegini rupa di awal musim?

Mourinho saya yakin tidak menjangka keadaan akan menjadi begitu sukar buatnya di awal musim dan tiga kekalahan serta empat keputusan seri dalam saingan liga bukanlah permulaan yang bagus. Setakat ini saya masih beranggapan bahawa United di bawah kendalian Mourinho sebenarnya kurang bernasib baik atau lebih tepatnya tuah tidak menyebelahi mereka dalam beberapa perlawanan hingga tercicir beberapa mata penting.

United boleh menjaringkan tiga atau empat gol ketika menentang Stoke City tetapi mereka akhirnya sekadar menamatkan perlawanan di gelanggang sendiri dengan hanya satu mata. Begitu juga halnya ketika berdepan Burnley. United menguasai perlawanan secara total (menentang Burnley) tetapi tetap hampa apabila sekadar mengutip satu mata. Tuah sekali lagi tidak memihak United semalam apabila jaringan lewat permainan Oliver Giroud menafikan peluang buat The Red Devils memungut mata penuh di gelanggang sendiri.

Tiada apa yang kurangnya kepada persembahan United semalam selain faktor tuah yang tidak menyebelahi anak-anak buah Mourinho. Mereka menguasai statistik di atas padang, melakukan beberapa percubaan yang berpotensi menghasilkan gol, sentiasa memberikan tekanan kepada lawan tetapi akhirnya tetap gagal meraih mata penuh. Selepas ini tugas berat menanti Mourinho bagi memastikan United tidak terus ketinggalan dari kelompok pasukan yang berada di tangga teratas liga.

Semalam riak wajah Mourinho jelas tidak seceria berbanding ketika beliau mengendalikan United buat pertama kali ketika berdepan Wigan Athletic dalam perlawanan pra musim Julai lalu. Pada perlawanan `salam perkenalannya’ itu, Mourinho menggunakan formasi 4-2-3-1 yang menitikberatkan penguasaan bola dengan memberikan peranan selaku pemain nombor 10 kepada Henrikh Mkhitaryan.

Corak permainan United ketika berdepan Wigan lebih mirip kepada apa yang pernah diterapkan Louis Van Gaal tetapi penguasaan bola mereka lebih direct dan dalam tempo yang tinggi. Pemain-pemain muda United warisan Van Gaal pula bermain dengan baik dalam perlawanan tersebut sekaligus menghadirkan harapan kepada Mourinho bahawa musim pertamanya di Old Trafford akan berjalan dengan lancar.

Tapi itu cerita empat bulan lalu kerana Mourinho kini saya yakin mula menyedari betapa sukarnya menguruskan kelab bernama Manchester United. Masalah sebenar Mourinho bukan sekadar taktikal, tuah dan ketatnya persaingan di Liga Perdana tetapi bagaimana caranya beliau mahu menghakis bayang-bayang Sir Alex Ferguson dari `tubuh’ Manchester United. Hal inilah yang gagal dilakukan David Moyes dan Van Gaal hingga mengakibatkan mereka terpaksa disingkirkan.

Selepas penyingkiran Van Gaal, United memberikan kontrak lumayan selama tiga tahun kepada Mourinho apatah lagi ketika itu beliau masih menganggur selepas dipecat sebagai pengurus Chelsea. Dibekalkan dengan dana yang cukup besar, Mourinho tanpa berlengah menandatangani Eric Bailly, Henrikh Mkhitaryan, Zlatan Ibrahimovic dan Paul Pogba sambil merombak susunan staf kejurulatihan kelab.

Van Gaal dan Mourinho keluar dari kebiasaan Sir Alex apabila mereka membelanjakan wang yang begitu banyak untuk membeli pemain-pemain baharu. Semasa era Sir Alex sebagai pengurus, adalah satu keajaiban jika beliau membelanjakan £70 hingga £90 juta hanya untuk seorang pemain tetapi itulah yang dilakukan Van Gaal serta Mourinho. Van Gaal membelanjakan lebih £60 juta untuk sosok bernama Angel Di Maria manakala Mourinho pula memecahkan rekod dunia bila beliau membawa pulang Paul Pogba ke Old Trafford.

Jika dilihat rekod silam Van Gaal dan Mourinho, mereka memang dianggap orang yang tepat bagi menggalas tugas besar selaku penerus legasi gemilang yang pernah ditinggalkan Sir Alex. Baik Van Gaal mahupun Mourinho, mereka memiliki jejak kejayaan yang mengagumkan serta punya falsafah bolasepak sendiri yang menjadikan mereka sebagai antara pengurus paling berjaya.

Ricardo Carvalho yang juga merupakan bekas anak didik Mourinho percaya, beliau mampu mengembalikan semula kegemilangan United malah lebih dari itu Carvalho meletakkan bekas mentornya itu sebagai `Sir Alex Ferguson Baru’. Benarkah begitu? Jika dilihat rekod kejayaan Mourinho sebagai pengurus, saya tanpa ragu akan mengatakan bahawa beliaulah orang yang tepat bagi mengembalikan semula kegemilangan yang hilang selama tiga musim sejak persaraan Sir Alex.

Menyaksikan cara United bermain di bawah kendalian Mourinho setakat ini, saya akui ada perubahan besar berbanding skuad United di bawah kendalian Van Gaal. Cuma seperti yang saya sebutkan tadi, hanya tuah yang masih tidak menyebelahi United meskipun mereka bermain dengan baik. Semalam (menentang Arsenal) perkara yang sama berlaku lagi apabila United dinafikan dari memungut tiga mata penuh meskipun mereka bermain baik sepanjang perlawanan.

Bayangkan di mana kedudukan United dalam carta liga sekiranya mereka berjaya mengutip tiga mata penuh ketika berdepan Stoke, Burnley dan Arsenal? Akhirnya kita terpaksa mengakui dalam bolasepak selain prestasi baik di atas padang, faktor tuah adakalanya turut memainkan peranan besar dalam menentukan nasib sesebuah pasukan. Itulah yang terpaksa Mourinho dan anak-anak buahnya hadapi sekarang sambil berharap tuah akan segera mendampingi mereka semula dalam perlawanan-perlawanan selepas ini.

Masih terlalu awal untuk Mourinho dihakimi dan masih terlalu awal juga untuk menafikan peluang United kembali mencabar kejuaraan liga yang kali terakhir mereka menangi pada 2013. Walaupun sedikit kecewa dengan satu lagi keputusan seri semalam namun saya kekal optimis bahawa United akan bangkit dan kembali mencapai kemenangan. Sambil itu berharaplah agar tuah tidak akan lagi menjauhi Mourinho dan anak-anak buahnya selepas ini...Glory Glory Manchester United!!! - AJ