31 Oktober 2013

NANI DIJADIKAN SASARAN ATAU KESABARAN SUDAH SAMPAI KE KEMUNCAKNYA


Hujung minggu lalu, kita sekali lagi terpaksa melalui detik cemas terlebih dahulu sebelum mampu tersenyum melihat Manchester United meraih kemenangan keempat mereka dalam saingan liga musim ini. The Red Devils terpaksa bergelut menangani cabaran Stoke City di Old Trafford yang menyaksikan skuad pelawat kendalian Mark Hughes mendahului mereka dua kali sebelum kelebihan The Potters dipadamkan Robin Van Persie dan Wayne Rooney. Mujurlah ketajaman naluri pembunuh Javier Hernandez di penghujung perlawanan menjadi penyelamat  dan menghadiahkan tiga mata berharga sekaligus memastikan United tidak terus jauh tercicir di belakang pencabar-pencabar mereka yang lain. Ini merupakan kali pertama barisan kendalian David Moyes menjaringkan lebih dari dua gol sejak kemenangan menyakinkan 4-1 yang dicatatkan mereka ke atas Swansea City pada perlawanan pertama liga 18 Ogos lalu. Walaupun pada mulanya sedikit cemas sambil membayangkan bahawa aib yang diberikan West Bromwich Albion (28 September) lalu bakal berulang kembali, saya akhirnya gembira melihat barisan liat Stoke City berjaya di atasi manakala pemain-pemain pula membuktikan bahawa naluri mereka untuk bangkit melawan masih tajam biarpun Sir Alex Ferguson tidak lagi mengendalikan kelab. Semalam, kita sekali lagi tersenyum walaupun terpaksa berjaga di awal pagi, apabila United berjaya merebut slot ke peringkat suku akhir Piala Liga (Capital One Cup) selepas membelasah Norwich City 4-0 di Old Trafford. Walau bagaimanapun kali ini saya bukanlah mahu bercakap tentang dua perlawanan terakhir United itu (menentang Stoke City dan Norwich City), tetapi lebih ingin menumpukan kepada suasana di luar padang yang dicetuskan penyokong-penyokong sendiri. Sebelum sepak mula saingan kompetitif musim ini dilangsungkan lagi, penyokong-penyokong sudah dikecewakan dengan prestasi pihak pengurusan dalam pasaran perpindahan pemain musim panas. Selepas itu kita terpaksa mengakui bahawa prestasi kelab di awal musim agak mengecewakan walaupun pemain-pemain mempamerkan prestasi 'mengejutkan' di Stadium Liberty. Tiada masalah untuk saya menelan hakikat kekalahan 0-1 kepada Liverpool di Anfield, tetapi prestasi hambar di Stadium Etihad yang menyaksikan United tewas besar 1-4 kepada Manchester City mengundang persoalan mampukah Moyes membawa kelab menduduki empat tempat teratas di penghujung musim sepertimana sasaran saya sebelum ini.

Kekalahan kepada West Bromwich dan kemudiannya sekadar berkongsi mata ketika berdepan Southampton di Old Trafford menyebabkan saya mula terfikir untuk meletakkan sasaran lebih rendah yang perlu dicapai United penghujung musim nanti. Mungkinkah tempat kelima atau keenam paling realistik? Sabtu lalu, kita dikejutkan dengan reaksi penyokong-penyokong United ke atas Nani sebaik sahaja pemain sayap itu dikeluarkan diminit ke-58. Apakah tindakan penyokong-penyokong mengejek pemain sendiri (Nani) menandakan bahawa tahap kesabaran mereka terhadap prestasi yang ditunjukkan anak-anak buah Moyes sudah mencapai kemuncaknya? Bagaimanapun ada versi mengatakan bahawa Nani diejek penyokong-penyokong kerana tindakan pemain itu sendiri yang seolah-olah melengahkan masa (dengan hanya berjalan) menuju ketepi padang bagi digantikan dengan Adnan Januzaj, apatah lagi ketika itu United sedang ketinggalan 1-2 kepada lawan. Apapun sebenarnya yang berlaku di Old Trafford Sabtu lalu, situasi di mana penyokong-penyokong United (bukan majoriti) mengejek pemain mereka sendiri (kecuali kes Rooney) jarang berlaku namun mereka mungkin ada sebab untuk melakukannya. Selepas beraksi buruk, tindakan Nani yang melengahkan-lengahkan masa menuju keluar padang ketika pasukan sedang ketinggalan pada saya bukanlah tindakan yang bijak dan wajar, jadi tidak hairanlah mengapa dia dijadikan sasaran kemarahan penyokong-penyokong. Bagaimanapun ini bukanlah bermakna saya menyokong tindakan yang dilakukan ke atas Nani, kerana dalam keadaan apa sekalipun selagi pemain itu menyarung jersi merah United penyokong/peminat sepatutnya teguh berada di belakang mereka. Tidak salah mengkritik prestasi hambar yang dipamerkan seseorang pemain, tetapi bukanlah hingga ke tahap mengejek mereka kerana percayalah tindakan seperti itu memberikan kesan psikologi yang besar ke atas pemain. Sir Alex beberapa hari lalu ada menyebut bahawa penyokong-penyokong muda United tidak pernah menyaksikan betapa getirnya skuad United era 80an bersaing dengan Liverpool yang juga merupakan kuasa dominan bolasepak England ketika itu. Menyaksikan United berada di kedudukan kelapan liga seperti sekarang adalah sesuatu yang asing buat penyokong-penyokong muda United, jadi tidak hairanlah mengapa kesabaran mereka tidak setebal senior-senior dari era 70an dan 80an.

Selepas melihat sumbangan 'tidak seberapa' Nani (maaf jika perkataan ini sedikit keras) sejak tiba di Old Trafford pada 2007, pemain ini sudah tentu menjadi sasaran mudah buat penyokong-penyokong melepaskan kemarahan mereka. Nani sudahpun berusia 26 tahun, tempoh di mana kebanyakkan pemain bolasepak mula mencapai kemuncak potensi mereka, tetapi apa yang dipamerkannya ketika berdepan Stoke City langsung tidak menggambarkan bahawa dia baru sahaja menandatangani lanjutan kontrak selama lima tahun bersama kelab. Prestasi terkini yang dipamerkan Adnan Januzaj saya anggap satu berita buruk buat Nani, dan jika dia tidak segera berusaha menajamkan sentuhannya, tidak mustahil bekas pemain Sporting Lisbon itu akan kehilangan tempatnya dalam kesebelasan utama kepada bintang muda sedang meningkat naik itu. Di sebalik prestasi kurang konsisten yang dipamerkan The Red Devils setakat ini, Nani adalah antara tiga pemain yang pada pandangan saya agak mengecewakan selain Ashley Young dan Anderson. Apakah yang berlaku di Old Trafford Sabtu lalu membayangkan bahawa tahap kesabaran penyokong-penyokong terhadap prestasi yang dipamerkan anak-anak buah Moyes sudah sampai ke kemuncaknya, atau kemarahan segelintir penyokong-penyokong itu hanya ditujukan kepada Nani? Walaupun saya pernah menyebut sebelum ini bahawa tahap kesabaran penyokong-penyokong dalam era bolasepak moden kian menipis, saya berharap insiden yang berlaku hujung minggu lalu bukanlah gambaran kekecewaan penyokong-penyokong terhadap prestasi keseluruhan kelab (setakat ini). Saya juga berharap, keyakinan diri Nani tidak terjejas selepas insiden Sabtu lalu dan segera membuktikan kepada penyokong-penyokong bahawa tindakan kelab mengekalkannya di Old Trafford selama lima tahun lagi adalah satu keputusan yang tepat. Seorang pemain yang hilang keyakinan diri tidak berguna di mata pengurus/jurulatih mereka, manakala pasukan yang tidak mendapat sokongan penyokong-penyokong sendiri mana mungkin mampu menghasilkan keputusan positif di atas padang. Perlawanan menentang Stoke City membuktikan bahawa semangat 'Never Give Up or Say Die' masih sebati dalam diri pemain United, manakala aksi menentang Norwich City awal pagi semalam membuktikan bahawa nafsu dalam memburu gol tidak pernah luntur dari barisan The Red Devils. Semoga momentum sama dapat diteruskan di Craven Cottage hujung minggu ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J 

28 Oktober 2013

KENALI LAGENDA: MARK 'SPARKY' HUGHES


Leslie Mark Hughes dilahirkan di Ruabon, Wrexham, Wales pada 1 November 1963. Beliau menyertai Manchester United pada musim panas 1980 selepas bakatnya berjaya dikesan pencari bakat United, Hugh Roberts. Tiga tahun di Old Trafford, Hughes akhirnya diberikan peluang bermain bersama skuad utama buat pertama kali ketika berdepan Oxford United (seri 1-1) dalam kempen Piala Liga musim 1983/84. Sepertimana kebanyakkan lagenda United yang lain, nama Hughes tiba-tiba popular dan menjadi favourite di mata penyokong-penyokong selepas beliau menjaringkan gol pada penampilan pertamanya. Hughes yang ketika itu baru berusia 20 tahun berdepan laluan sukar untuk menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama United kerana Ron Atkinson (pengurus kelab ketika itu) sudahpun memiliki Frank Stapleton dan bintang muda berusia 18 tahun, Norman Whiteside di barisan hadapan. Kecederaan yang dialami pemain tengah, Remi Moses rupa-rupanya rahmat buat Hughes apabila Atkinson terpaksa mengubah formasi dan taktikal pasukan dengan meletakkan Whiteside di bahagian tengah bersama-sama Ray Wilkins sekaligus meninggalkan ruang kosong di bahagian hadapan untuk diisi Hughes bagi membentuk kombinasi bersama Stapleton. Penghijrahan Wilkins ke AC Milan pada musim panas 1984 mengukuhkan lagi tempat Hughes bersama skuad utama United apabila Whiteside terus dikekalkan di bahagian tengah manakala tanggungjawab selaku penggempur utama kini diberikan Atkinson kepada beliau. Kepercayaan yang diberikan Atkinson dibalas Hughes apabila beliau menjaringkan 25 gol dari 55 perlawanan (dalam semua kejohanan) untuk United pada musim 1984/85 selain berjaya membantu kelab menjulang kejuaraan Piala FA selepas menewaskan Everton di pentas final. Musim berikutnya (1985/86), Hughes terus beraksi cemerlang selaku penyerang apabila menyumbangkan 17 gol dalam saingan liga selain berjaya membantu United menduduki tangga keempat liga di akhir musim. 17 gol yang dijaringkan Hughes pada musim tersebut juga merupakan jaringan tertinggi (liga) dicatatkan Hughes sepanjang kariernya di England.

Prestasi cemerlang Hughes bersama United sepanjang tiga musim menarik minat gergasi Sepanyol, Barcelona dan tawaran kelab Catalan itu pada musim panas 1986 tidak mampu ditolak beliau. Dengan nilai £2 juta, Sparky (gelaran Hughes) berpindah ke Nou Camp di mana Terry Venables (pengurus Barca ketika itu) berharap Hughes mampu membentuk gandingan mantap bersama Gary Lineker (yang dibeli dari Everton) di barisan hadapan pasukannya. Berhijrah ke Nou Camp rupa-rupanya satu kesilapan paling besar dilakukan Hughes dalam kariernya apabila beliau gagal memikul tanggungjawab berat yang diletakkan Venables ke atas dirinya. 4 gol dari 28 perlawanan liga bukanlah sumbangan yang berbaloi buat seorang penyerang bernilai £2 juta (satu pelaburan yang besar ketika itu) hingga menyebabkan jodohnya bersama Barca bertahan semusim sahaja sebelum beliau dipinjamkan ke kelab Jerman, Bayern Munich musim berikutnya (1987/88). Pada 11 November 1987, Hughes mencatatkan sejarah unik sebagai pemain bolasepak apabila bermain dua perlawanan dalam tempoh sehari. Selepas selesai membantu skuad kebangsaan Wales dalam perlawanan kelayakan Euro 88 menentang Czechoslovakia di Prague, Hughes kemudiannya melintasi sempadan Jerman untuk masuk sebagai pemain gantian Bayern di separuh masa kedua ketika menentang Borussia Monchengladbach. Hughes antara sebilangan pemain yang berhijrah dari liga Inggeris untuk beraksi bersama kelab-kelab Eropah lain bukan hanya disebabkan tawaran lumayan, tetapi juga kerana peluang beraksi di Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara) selepas kelab-kelab Inggeris digantung akibat tragedi Heysel pada 1985. Selepas dua tahun meninggalkan Old Trafford, Hughes akhirnya kembali menyertai United pada Mei 1988 di mana ketika itu kelab sudahpun dikendalikan oleh Alex Ferguson. Dengan nilai perpindahan £1.8 juta, Hughes muncul pemain termahal dalam sejarah kelab ketika itu dan beliau tidak menunggu lama untuk membuktikan bahawa pembeliannya adalah berbaloi selepas menyumbang 14 gol dari 38 perlawanan liga sepanjang musim 1988/89.

Old Trafford ternyata 'rumah' terbaik buat Sparky apabila dalam tempoh tujuh musim selepas beliau 'rujuk' semula bersama United, penyerang Wales itu muncul tonggak utama kelab apabila secara konsisten menjaringkan 116 gol dari 352 perlawanan. Hughes dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan musim 1988/89 meskipun United sekadar menamatkan saingan liga di tangga ke-11. Setahun selepas itu, Hughes membuktikan betapa bernilainya beliau buat United apabila menjaringkan gol penyamaan di penghujung perlawanan untuk mengikat Crystal Palace pada perlawanan akhir Piala FA, sebelum jaringan Lee Martin pada perlawanan ulangan memberikan kejuaraan pertama buat Alex Ferguson selaku pengendali dan yang pertama juga buat kelab dalam tempoh lima tahun (selepas kejayaan menjulang trofi yang sama pada 1985). Musim 1989/90 juga menyaksikan Hughes muncul penjaring terbanyak kelab dengan 15 gol dalam semua kejohanan. Pada musim berikutnya, Hughes sekali lagi 'dijodohkan' bersama Barca selepas berjaya membantu United mara ke perlawanan akhir Piala Cup Winners Cup edisi 1990/91 yang dilangsungkan di Fejenoord Stadion, Rotterdam. Seolah-olah mahu melepaskan geram kepada kelab yang pernah menyingkirkannya, Hughes menjaringkan dua gol di pentas akhir untuk memberikan kejuaraan kedua kepada kelab dalam tempoh dua musim, dan yang pertama di pentas Eropah selepas kejayaan barisan Busby Babes menang Piala Eropah pada 1968. Musim 1990/91 juga menyaksikan Hughes muncul penjaring terbanyak kelab buat dua musim berturut-turut menerusi 21 gol yang dihasilkannya dalam semua kejohanan. Rekod cemerlang Hughes sepanjang musim tersebut sedikit tercalar apabila beliau gagal membantu United menjulang Piala Liga selepas dikejutkan Sheffield Wednesday (0-1) di perlawanan akhir yang dibimbing bekas pengurus United sendiri, Ron Atkinson. Kekecewaan Hughes di pentas final Piala Liga sedikit terubat apabila beliau sekali lagi dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan bagi musim 1990/91. Walaupun beliau hampir berjaya membantu United menjulang trofi liga pada musim 1991/92, Hughes dihampakan menerusi persembahan cemerlang Eric Cantona bersama Leeds United. Bagaimanapun Sparky masih mampu tersenyum kerana berjaya menjulang Piala Liga selepas United berjaya menundukkan Nottingham Forest menerusi gol tunggal Brian McClair.

Musim berikutnya (1992/93) kemarau kejuaraan liga selama 26 tahun akhirnya terlerai apabila barisan The Red Devils kendalian Alex Ferguson berjaya menjulang trofi liga walaupun diberikan tentangan sengit oleh Aston Villa. Ini juga merupakan medal kejuaraan liga pertama Hughes dalam kariernya, tetapi musim (1993/94) mungkin antara tempoh paling cemerlang dalam karier beliau apabila Hughes berjaya membantu United mengekalkan trofi liga selain bonus tambahan apabila berjaya menjulang Piala FA. Meskipun gagal membantu United di perlawanan akhir Piala Liga selepas tewas 1-3 kepada Aston Villa (Hughes menjaringkan gol tunggal), beliau menebus kekecewaan itu dengan menyumbang satu gol di sebalik kemenangan bergaya 4-0 United ke atas Chelsea di pentas final Piala FA edisi 1993/94. Gol yang dijaringkan Hughes itu turut menyaksikan beliau muncul pemain kedua selepas Norman Whiteside (1983) yang berjaya menjaringkan gol dalam dua perlawanan akhir piala domestik (Piala FA dan Piala Liga) pada musim yang sama. Hughes hampir berjaya mengulangi pencapaian menang kejuaraan double pada musim 1994/95, tetapi keputusan seri (1-1) ketika berdepan West Ham United pada perlawanan terakhir liga di Upton Park menyebabkan kelab terpaksa menyerahkan mahkota kejuaraan liga kepada Blackburn Rovers yang memiliki kelebihan hanya satu mata. Musim duka buat United lengkap apabila mereka ditewaskan Everton pada perlawanan akhir Piala FA, hingga menyebabkan Alex Ferguson melakukan rombakan besar-besaran terhadap pasukannya bagi menghadapi musim baru (1995/96). Hughes menjadi antara korban rombakan besar-besaran yang dilakukan Alex Ferguson dan aksi di pentas final Piala FA edisi 1994/95 merupakan kali terakhir Sparky menyarung jersi United. Selepas berakhirnya karier Hughes di Old Trafford, beliau menyertai Chelsea (tiga musim), Southampton (dua musim), Everton (dua musim) dan akhirnya menamatkan karier beliau sebagai pemain di Ewood Park bersama Blackburn Rovers. Perlawanan menentang Leicester City pada 9 April 2002 (Rovers tewas 1-2) merupakan perlawanan terakhir Hughes dalam kariernya di mana ketika itu beliau muncul pemain kedua tertua yang berjaya menjaringkan gol di Liga Perdana selepas Stuart Pearce. Selepas bersara sebagai pemain, Hughes meneruskan kariernya dalam dunia bolasepak dengan menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan di mana beliau pernah dilantik sebagai pengurus skuad kebangsaan Wales, Blackburn Rovers, Manchester City, Fulham, Queens Park Rangers dan kini Stoke City. 

26 Oktober 2013

SIR ALEX...YANG MASIH BERBISA


Walaupun sudah bersara sebagai pengurus Manchester United, nama Sir Alex Ferguson nampaknya masih lagi hangat diperkatakan kawan dan lawan terutamanya sepanjang minggu ini selepas pelancaran buku autobiografinya. Saya belum lagi membaca autobiografi Sir Alex itu (saya tidak pasti sama ada sudah dipasarkan di Malaysia atau tidak), tetapi walaupun tajuknya cukup ringkas (My Autobiography), isinya kandungannya berjaya menyentuh emosi pihak-pihak yang 'diusik' beliau dalam buku tersebut. Kenyataan balas oleh beberapa individu dari kalangan bekas pemain-pemainnya serta pengurus lawan sudahpun kedengaran, dan saya pasti isu ini akan terus diperdebatkan untuk beberapa hari atau minggu mendatang. Jika bekas pemain United seperti Roy Keane dan Mark Bosnich lantang menyerang balas pandangan Sir Alex tentang mereka dalam autobiografinya, lain pula halnya dengan Michael Owen. “Saya fikir mana-mana pemain atau pengurus berhak menulis pengalaman dan pandangan mereka dalam autobiografi masing-masing. Tidak terhitung apa yang sudah dilalui dan dilakukan Sir Alex sepanjang kariernya. Selepas mendengar kritikan-kritikan itu, agak ironi kerana pencinta bolasepak memang ingin beliau melakukannya (menulis autobiografi). Mereka ingin mengetahui apa yang berlaku dan dilakukan beliau sepanjang kariernya. Semua orang ingin mendengar pandangannya dan mahu beliau berkongsi pengalamannya. Apa yang ditulis berdasarkan pengalamannya dan itu adalah hak istimewa beliau”, kata Owen. Seperti yang saya sebutkan di atas, saya belum membaca autobiografi Sir Alex, cuma apa yang saya ingin kongsikan bersama anda (penyokong-penyokong United) di sini adalah hasil laporan-laporan yang saya kutip dari berbagai sumber media yang mengulas tentang kandungan autobiografi tersebut. Sepertimana kebiasaan bagi sebuah autobiografi, buku ini juga menceritakan perjalanan dan pengalaman hidup Sir Alex (terutamanya sebagai pengurus). Persaraan nampaknya tidak pernah menjejaskan sedikitpun ketajaman Sir Alex ketika berbicara, dan itulah yang dilakukan beliau dalam autobiografinya hinggakan kata-kata dan pandangannya (biarpun hanya di dalam buku) berjaya mengusik emosi sesetengah pihak yang disebut beliau. Fokus utama saya dalam artikel ini ialah mengetengahkan beberapa tajuk menarik yang terdapat dalam buku autobiografi lagenda itu untuk dikongsi bersama dan pandangan serta pengalaman peribadi Sir Alex sendiri sepanjang 26 tahun beliau menguruskan United:

TENTANG WAYNE ROONEY

Wayne Rooney khabarnya mendapat layanan 'istimewa' dari Sir Alex apabila pengalaman dan kisah beliau bersama pemain ini diceritakan dalam satu bab penuh. Dalam buku ini, Sir Alex kekal konsisten dengan kenyataan yang beliau sebutkan penghujung musim lalu bahawa Rooney memang meminta supaya dia dijual ke kelab lain, sehari selepas United memastikan kejuaraan liga menjadi milik mereka. Menurut Sir Alex, Rooney tidak mahu bermain di bahagian tengah dan inginkan semula posisinya sebagai penyerang utama. Keinginan mahu berhijrah disampaikan sendiri Rooney kepada beliau manakala agen pemain itu, Paul Stretford pula memaklumkan hajat kliennya (yang mahu berhijrah) kepada David Gill. “Wayne datang ke pejabat saya, sehari selepas kami mengesahkan kejuaraan liga dan minta supaya dijual. Dia kurang gembira kerana tidak diturunkan dalam beberapa perlawanan. Agennya, Paul Stretford pula menghubungi David Gill untuk menyampaikan perkara yang sama”, kata Sir Alex. Imbas kembali pada 2010, Rooney buat pertama kalinya meminta supaya dia dijual tetapi respon segera Sir Alex ketika itu yang mengingatkan pemain itu supaya menunjukkan rasa hormat kepada kelab menyebabkan Rooney mengambil pusingan 'U' dalam tempoh 24 jam dan kekal di Old Trafford hingga sekarang. Setakat ini belum ada apa-apa komen balas dari Rooney berhubung apa yang disebut Sir Alex dalam autobiografinya.

TENTANG STEVEN GERRARD

Bukan setakat bekas pemain sendiri yang dijadikan fokus Sir Alex, tetapi pemain lawan juga turut menjadi sasarannya. Agak mengejutkan dan siapa boleh menyangka bahawa Steven Gerrard menurut Sir Alex bukanlah pemain kelas dunia sedangkan kapten Liverpool itu adalah tonggak kelab dan juga skuad kebangsaan England. Kayu ukur yang digunakan Sir Alex bagi mengukuhkan hujahnya (bahawa Gerrard bukanlah pemain kelas dunia) ialah aksi kapten Liverpool itu setiap kali berdepan pemain tengah handalan United seperti Roy Keane dan Paul Scholes. Tidak terhenti setakat itu, Sir Alex turut menyebut bahawa Gerrard lebih bertuah dan sukses bersama skuad kebangsaan England berbanding Michael Carrick hanya di sebab penampilan diri. Menurut Sir Alex, sikap pendiam Carrick menyebabkan Gerrard diberikan publisiti lebih luas oleh media dan menjadi pilihan pengurus-pengurus England untuk mengisi posisi bahagian tengah bersama Frank Lampard. Walaupun beliau 'menghentam' Gerrard, Sir Alex turut mengakui bahawa United pernah cuba mendapatkan khidmat kapten Liverpool itu sebelum ini. “Kami menunjukkan minat kepada Gerrard dalam pasaran perpindahan pemain, sama seperti Chelsea. Perkara ini berlaku kerana kami mendengar bahawa dia ingin berpindah dari Anfield. Bagaimanapun ada pengaruh yang dimainkan pihak di luar kelab hingga menyebabkan perbincangan (bagi mendapatkan Gerrard) menemui jalan buntu”. Apa yang dikatakan Sir Alex tentang Gerrard dalam buku ini sudah tentu mengundang respon segera dari pengurus Liverpool, Brendan Rodgers dan penyokong-penyokong The Reds yang anda sendiri tentu sudah baca di internet dan media cetak bukan?

TENTANG DAVID BECKHAM

Sir Alex menganggap David Beckham memilih mahu menjadi terkenal berbanding mencapai puncak potensinya sebagai pemain bolasepak. Sepertimana yang anda tahu, Sir Alex merupakan seorang pengurus yang tegas dan tidak akan membiarkan mana-mana pemain di bawah kendaliannya mengatasi dirinya dan itulah sebab utama mengapa Beckham di jual ke Real Madrid. Tindakan Beckham berhijrah ke Amerika Syarikat untuk bermain bersama kelab MLS, LA Galaxy pada 2007 juga dikritik Sir Alex. “Misi Beckham ke Amerika adalah ingin dikenali di luar dunia bolasepak”. Jika bercakap tentang Sir Alex dan Beckham, tidak lengkap sekiranya anda tidak menyebut insiden 'tendangan but' di bilik persalinan hingga menyebabkan kening Beckham berdarah. Sebagai individu yang terbabit secara langsung dalam insiden itu, Sir Alex sudah tentu tidak mahu membiarkan kita yang berada di luar terus tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku ketika itu (walaupun sebelum ini kita didedahkan dengan beberapa versi berita yang diterbitkan media). Menurut Sir Alex, punca utama kemarahannya ke atas Beckham ialah apabila pemain itu gagal mengawal Sylvain Wiltord hingga membolehkan Arsenal menjaringkan gol kedua pada perlawanan Piala FA (Februari 2003). Beckham menolak dari dipersalahkan lantas menyebabkan Sir Alex berang dan menendang but yang terus melayang ke muka Beckham. “Tentu sahaja dia (Beckham) berdiri dan ingin menyerang saya, tetapi pemain-pemain lain berjaya menahannya. Saya kemudian berkata kepadanya, “Duduk!, kamu sudah mengecewakan pasukan”. David fikir adakah dia lebih besar dari Alex Ferguson?”. Sehari selepas itu, insiden tersebut dilaporkan secara meluas oleh media dan selepas berbincang dengan pihak pengurusan kelab, Sir Alex berpendapat sudah tiba masanya untuk Beckham meninggalkan Old Trafford. Selain dari insiden di bilik persalinan itu, Sir Alex berpendapat bekas anak didiknya itu gagal mengendalikan publisiti meluas diberikan media sejak berkahwin dengan bintang pop terkenal, Victoria hingga menjejaskan tumpuan terhadap karier bolasepaknya. “Semua perhatian itu mempengaruhi hidupnya dan seseorang pemain tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku ke atas mereka”, sambung Sir Alex lagi.

TENTANG ROY KEANE

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa perseteruan paling hebat antara Sir Alex dengan pemainnya sudah tentu membabitkan beliau dengan Roy Keane. Menurut Sir Alex, perubahan karakter Keane menyebabkan dominasinya di bahagian tengah semakin menurun. Selepas dikritik pengurus sendiri, Keane kemudiannya bingkas mempersoalkan kredibeliti Sir Alex pula sebagai pengurus dan akibatnya captain marvel itu disingkir dengan penuh kontroversi pada 2005. “Dia (Keane) harus pergi, 100 peratus bahawa dia harus pergi”, begitulah pendapat Carlos Quieroz selaku pembantu Sir Alex ketika itu. Selain perubahan karakter yang menjejaskan prestasinya, tindakan Keane 'menyerang' rakan-rakan sepasukan dalam satu wawancara bersama MUTV mempercepatkan lagi proses penyingkiran pemain tengah berpengaruh itu dari kelab. “Dia membunuh semua orang. Darren Fletcher, Alan Smith dan Van der Sar semua menerimanya. Roy menjatuhkan mereka semua. Bahagian paling kuat pada tubuh Roy ialah lidahnya. Dia mampu melunturkan keyakinan mana-mana individu yang memiliki keyakinan diri tinggi dengan pantas menerusi kata-katanya”. Menurut Sir Alex lagi, bilik persalinan menjadi lebih santai selepas Keane pergi. Di sebalik semua itu, paling mengejutkan ialah pendedahan beliau tentang kaptennya itu yang dilaporkan fisioterapi kelab bahawa mood buruk Keane turut mempengaruhi pemain-pemain lain. Meskipun berlaku konfrontasi antara beliau dengan kaptennya itu, satu perlawanan testimonial telah diaturkan pada 2006 bagi menghargai jasa dan sumbangan Keane selama 12 tahun di Old Trafford.

TENTANG RAFA BENITEZ

Selain Gerrard, Rafa Benitez adalah antara individu yang ada kaitan dengan Liverpool di sentuh Sir Alex dalam autobiografinya. Kesilapan paling besar yang dilakukan Rafa Benitez pada pandangan Sir Alex ialah apabila menjadikan perseteruan antara mereka di atas padang kepada permusuhan peribadi. “Sekali anda membuatkannya (perseteruan) menjadi peribadi,  anda tidak boleh berpatah balik. Saya memiliki rekod cemerlang di belakang saya tetapi Rafa masih mengejar trofi dan dalam masa yang sama berusaha menangani saya. Itu bukan satu tindakan yang bijak. Saya katakan kepadanya bahawa dia tidak sepatutnya menjadikan perseteruan kami di atas padang kepada permusuhan peribadi. Rafa mengeluh tidak memiliki banyak wang untuk dibelanjakan tetapi sejak hari dia tiba, dia membelanjakan lebih banyak wang berbanding saya. Kualiti pemain yang dia beli sebenarnya membuatkan dia kecewa”, kata Sir Alex. Menurut penilaian Sir Alex, Benitez sepatutnya mencontohi apa yang dilakukan Jose Mourinho bersama Chelsea dalam menangani pemain-pemainnya. “Ketika Rafa dan Jose berdiri di tepi padang, anda sudah dapat menilai siapa yang bakal muncul sebagai pemenang”. Liverpool di bawah kendalian Benitez menurut Sir Alex begitu menjemukan dan tiada elemen kejutan. Hanya tindakan Roman Abramovich menamakan warga Sepanyol itu selaku pengganti Roberto Di Matteo satu-satunya elemen kejutan yang mampu diberikan Benitez. Kejayaan Di Matteo mengemudi Chelsea menang kejuaraan Piala FA dan Liga Juara-Juara dalam tempoh enam bulan di Stamford Bridge menurut Sir Alex sudah cukup untuk menyamai pencapaian Benitez ketika bersama Valencia (juara liga) dan Liverpool (Piala FA dan Liga Juara-Juara).

TENTANG CRISTIANO RONALDO

Sebelum ini ramai pihak mengatakan bahawa Cristiano Ronaldo merupakan anak emas kepada Sir Alex. Selepas membaca pendapat dan kata-kata lagenda itu tentang bintang yang kini beraksi bersama Real Madrid, saya akhirnya bersetuju dengan label 'anak emas Sir Alex' yang diletakkan ke atas pemain itu. Sir Alex meletakkan Ronaldo sebagai pemain paling berbakat pernah dimilikinya mengatasi bintang-bintang asuhannya sendiri (dari akademi) yang sudah bersara dan bakal bersara bersama kelab seperti Ryan Giggs dan Paul Scholes. Pada 2006, United hampir kehilangan khidmat Ronaldo selepas insiden layangan kad merah yang diterima Rooney pada Piala Dunia di Jerman. Pada 2006, Ronaldo dijadikan musuh nombor satu peminat-peminat bolasepak England kerana dikatakan menjadi dalang utama hingga Rooney disingkir pada perlawanan membabitkan Portugal dan England di Piala Dunia. Imej Ronaldo memandang ke arah bangku simpanan Portugal sambil mengenyit mata selepas Rooney dilayangkan kad merah tersebar secara meluas, sekaligus menambahkan lagi kebencian penyokong-penyokong The Three Lions kepada bekas bintang United itu. Ronaldo hampir sahaja tidak mahu pulang ke England tetapi ironinya, Rooney berjaya memujuk rakan sepasukannya itu terus bertahan di Old Trafford. “Kamu menunjukkan bahawa kamu adalah seorang yang berani jika kembali semula ke Old Trafford”, kata Sir Alex kepada Ronaldo ketika itu.

TENTANG KENNY DALGLISH

Liverpool sekali lagi dijadikan fokus Sir Alex dalam autobiografinya. Kali ini Kenny Dalglish dijadikan sasaran kritikan beliau terutama berkaitan pembelian yang dilakukan lagenda Anfield itu terhadap pemain-pemain seperti Jordan Henderson, Stewart Downing dan Andy Carroll. Tindakan Dalglish yang secara terang-terangan membela Luis Suarez selepas penyerang Uruguay itu berdepan tuduhan isu perkauman membabitkan dirinya dengan Patrice Evra (musim 2011/12) turut tidak terlepas dari sasaran mata pena beliau. “Seandainya Suarez itu hanya pemain simpanan, apakah Kenny akan membelanya hingga begitu jauh? Saya rasa hal itu (pemain-pemain Liverpool memakai baju khas tanda sokongan mereka kepada Suarez) adalah perkara paling melucukan pernah dilakukan kelab besar seperti Liverpool”, kritik Sir Alex.

TENTANG JAWATAN PENGURUS ENGLAND

Sir Alex mengakui bahawa pihak FA England dua kali berusaha memujuknya supaya mengendalikan skuad The Three Lions tetapi beliau hanya memerlukan 10 saat sahaja untuk membuat keputusan dan menolak tawaran tersebut. Sebagai warga Scotland, mana mungkin Sir Alex sanggup menerima tawaran tersebut, malah secara terang-terangan beliau mengakui bahawa jika menguruskan skuad England, beliau akan membuat The Three Lions sengsara. “Saya diberikan dua peluang untuk menenggelamkan England jika saya menjadi pengurus mereka. Tak mungkin saya akan menerima tawaran itu. Adam Crozier adalah orang pertama yang datang. Kami bertemu di Old Trafford dan dia menawarkan saya jawatan itu (pengurus England). Saya tidak memerlukan waktu yang lama untuk menolaknya, hanya 10 saat sahaja. Hingga sejuta tahun pun saya tidak mungkin mengendalikan England. Bayangkan bagaimana jika saya pulang ke Scotland nanti?”, dedah Sir Alex.

TENTANG RIO FERDINAND

Sir Alex adalah individu yang berada di barisan paling hadapan ketika Rio Ferdinand berdepan tuduhan mengelak dari ujian doping. Biarpun Rio didapati bersalah dan dikenakan hukuman penggantungan selama 8 bulan, Sir Alex yakin tonggak pertahanan itu pemain yang bersih dan tidak pernah mengambil ubat-ubatan terlarang sepanjang kariernya. “Rio melakukan kesalahan tetapi penguji juga melakukan perkara yang sama. Mereka tidak mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelakkan krisis seperti ini dari berlaku. Rio tidak mengambil sebarang ubat terlarang dan jika dia melakukannya kami pasti mengetahuinya. Dia tidak pernah lewat ketika menghadiri sesi latihan. Bagi mereka mengambil ubat-ubatan terlarang, kehidupan mereka tidak teratur dan mereka juga tidak konsisten. Rio tidak menjadi pengguna (ubat-ubatan) atas tanggungjawabnya sebagai ahli sukan terlalu besar”, kata Sir Alex tentang insiden yang berlaku 10 tahun lalu. Meskipun membela Rio, namun Sir Alex secara lantang menyuarakan rasa kesalnya bila bercakap tentang kehidupan pemain itu di luar padang. Tindakan Rio terbang ke Amerika Syarikat bagi menemuramah bintang rap terkenal Puff Diddy menyebabkan Sir Alex agak terkilan. “Apakah dia (Puff Diddy) boleh menjadikan kamu pertahanan yang lebih bagus Rio?”.

TENTANG OWEN HARGREAVES

Secara terbuka Sir Alex terpaksa mengakui bahawa Owen Hargreaves adalah pembelian terburuk pernah dilakukannya. Dibeli dengan harga £25 juta dari Bayern Munich pada 2007, aksi Hargreaves bersama United kemudiannya boleh dihitung dengan jari berikutan masalah kecederaan lutut yang serius. Lebih menyakitkan selepas meninggalkan Old Trafford, pemain itu secara lantang mengatakan bahawa dirinya dijadikan ujian pasukan perubatan United dalam usaha mereka menyembuhkan kecederaan lutut yang dialaminya. Pihak pengurusan United hampir sahaja mahu mendakwa pemain itu namun membatalkan hasrat mereka. “Ketika membelinya, saya langsung tidak mengetahui ada sesuatu dalam dirinya yang saya tidak suka. Ternyata dia berubah menjadi bencana kepada kami”. Menurut Sir Alex lagi, Hargreaves bukanlah pemain yang gemar bekerja keras kerana dalam sesi latihan atau sesi terapi, pemain itu lebih gemar melakukan tugas yang paling ringan dan mudah.

TENTANG MARK BOSNICH

Selepas Hargreaves, Mark Bosnich turut menjadi sasaran Sir Alex apabila bercakap tentang pembelian terburuknya. Masalah utama Bosnich menurut Sir Alex ialah tabiat pemakanannya yang tidak seimbang sebagai seorang ahli sukan. Ringkasnya, Bosnich pada pandangan Sir Alex bukanlah seorang ahli sukan professional. “Sebelum perlawanan kami menentang Wimbledon, Bosnich makan semuanya, sup, steak dan dia makan semua yang ada di menu. Saya beritahu kepadanya bahawa kami sedang berusaha mengurangkan berat badannya dan dia tidak sepatutnya makan terlalu banyak”. Selera makan Bosnich tidak terhenti setakat itu kerana selepas kembali ke Old Trafford, beliau melihat pemain yang pernah beraksi bersama Aston Villa itu sedang memesan makanan Cina menerusi telefon bimbitnya. “Adakah selera makannya tidak pernah berhenti? Saya benar-benar tidak mampu menanganinya”.

TENTANG MANCHESTER CITY

Keputusan jutawan UAE, Sheikh Mansour membeli Manchester City dari tangan Thaksin Shinawatra menyebabkan senarai seteru yang terpaksa di hadapai Sir Alex kian panjang hingga menyebabkan beliau menyebut kelab tetangga itu sebagai 'Jiran Yang Bising'. Kehilangan mahkota kejuaraan Liga Perdana pada perlawanan terakhir liga musim 2011/12 digambarkan Sir Alex sebagai antara detik paling buruk dalam hidupnya. Gol kemenangan jaringan Kun Aguero diminit-minit terakhir perlawanan menentang QPR memberikan kejuaraan pertama kelab Eastlands itu dalam tempoh 44 tahun sekaligus menamatkan impian United mahu menjulang kejuaraan liga ke-20 mereka. Tindakan Roberto Mancini yang masih berlembut terhadap Carlos Tevez biarpun penyerang antarabangsa Argentina itu enggan bermain sebagai pemain gantian ketika berdepan Bayern Munich dikritik keras Sir Alex. “Dalam hal prestij sebagai pengurus, saya rasa Mancini mengecewakan dirinya sendiri”.

TENTANG ROBIN VAN PERSIE

Robin Van Persie bertemu Arsene Wenger dan mengatakan hasratnya mahu meninggalkan kelab dan menyertai kami. Menurut Sir Alex, United memajukan tawaran sebanyak £20 juta menerusi David Gill kepada Ivan Gazidis untuk mendapatkan penyerang antarabangsa Belanda itu musim panas tahun lalu. “Saya mengatakan kepada Arsene bahawa kami tidak akan membayar melebihi £25 juta untuk Van Persie. Arsene seolah-olah kurang percaya bahawa kelab seperti Manchester United tidak akan membayar lebih dari £25 juta untuk pemain kelas dunia seperti itu”.

TENTANG PEMBELIAN MESUT OZIL

Sepertimana yang ada sedia maklum, kemelut berhubung masa depan Wayne Rooney yang berlaku pada 2010 adalah disebabkan rasa kurang puashati pemain itu yang berpendapat pihak pegurusan tidak serius mendapatkan pemain kelas dunia untuk menguatkan pasukan. “Saya katakan kepadanya (Rooney) bahawa tuduhan yang dilemparkan bahawa kami tidak serius (menguatkan pasukan) adalah sekadar cakap kosong. Wayne mengatakan bahawa kami sepatutnya memburu Mesut Ozil yang ketika itu menyertai Real Madrid dari Werder Bremen. Jawaban saya adalah siapa yang kami buru bukan urusannya. Tugasnya adalah bermain dan beraksi di tengah padang. Tugas saya pula ialah memilih pemain dan pasukan yang tepat dan setakat ini saya berhasil melakukannya”.

KESIMPULANNYA

Sir Alex Ferguson jelas seorang yang istimewa dalam dunia bolasepak. Apa sahaja yang diperkatakannya, tidak kira sama ada ketika masih mengendalikan kelab atau selepas bersara pasti mengundang perhatian ramai. Selama 26 tahun mengabdikan dirinya di Old Trafford, sudah tentu bukan sedikit pengalaman milik lagenda itu yang ingin beliau kongsi bersama. Berderet pemain-pemain bertaraf bintang pernah digilap serta bermain di bawah kendaliannya, satu persatu lawan yang terpaksa dihadapinya, segudang kontroversi-kontroversi yang pernah menyelubungi kariernya, kejuaraan-kejuaraan yang pernah dihadiahkannya hingga memenuhi almari trofi di Theatre of Dreams dan suka duka yang pernah dilaluinya sebagai pengurus paling berjaya dalam sejarah kelab menyebabkan persaraannya masih diratapi dan akan terus diratapi penyokong-penyokong United entah buat tempoh berapa lama lagi. Selepas apa yang disumbangkannya kepada kelab selama tempoh 26 tahun duduk dikerusi pengurus United, nama Sir Alexander Chapman Ferguson memang selayaknya diukir dengan tinta emas di Old Trafford. Autobiografi ini saya anggap satu lagi tanda perpisahan paling berharga dari Sir Alex buat penyokong-penyokong Manchester United. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

23 Oktober 2013

KECEWA...TETAPI TIDAK MUNGKIN BERPALING


Sebelas mata dari lapan perlawanan setakat ini menyaksikan Manchester United berada di kedudukan kelapan carta liga, satu catatan terburuk dan permulaan paling perlahan yang dilakukan kelab dalam tempoh 24 tahun. Saya tidak perlu berbohong untuk mengatakan bahawa selepas menyaksikan situasi yang dialami kelab ketika ini membuatkan saya (sudah tentu anda juga) mula merindui kelibat seorang individu yang sudah banyak menghadiahkan trofi demi trofi selama 26 tahun kerjayanya di Old Trafford. Individu yang saya maksudkan sudah tentu lagenda hidup United iaitu Sir Alex Ferguson. Saya bukan mahu meratapi kehilangan Sir Alex, tetapi persaraan lagenda itu meninggalkan ruang kosong yang cukup besar buat kelab, dan saya juga bukanlah anti David Moyes kerana suka atau tidak kita perlu mengakui bahawa ada beberapa kesilapan yang dilakukan pengganti Sir Alex itu di peringkat awal kariernya di Old Trafford sama ada dalam hal memilih pemain ataupun percaturan taktikalnya di atas padang. Ketika pencabar-pencabar lain seperti Andres Villas-Boas, Jose Mourinho, Brendan Rodgers dan Manuel Pellegrini ghairah menguatkan pasukan mereka dengan menandatangani beberapa nama baru, manakala Arsene Wenger pula hanya memerlukan seorang pemain (Mesut Ozil) untuk melonjakkan prestasi pasukannya, Moyes pula sebaliknya lebih selesa mewarisi skuad juara dari Sir Alex walaupun berjaya menandatangani Marouane Fellaini pada saat akhir sebelum jendela perpindahan pemain musim panas ditutup. Fellaini saya akui pemain yang bagus tetapi masih belum memberikan prestasi terbaik untuk kelab barunya, sekaligus menyebabkan penyokong-penyokong yang dulunya ghairah berbicara tentang kehadirannya mula mempersoalkan pembelian warga Belgium ini. Persembahan keseluruhan benteng pertahanan juga saya anggap menyumbang kepada prestasi tidak konsisten United ketika ini. Dengan usia yang sudah melepasi angka 30an, Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand tidak lagi sepantas dahulu dan sering terperangkap dengan kepantasan penyerang lawan. 22 September lalu, Kun Aguero sudah membuktikan bahawa gandingan Vida dan Rio tidak sekebal tiga atau empat tahun lalu.

Jika anda berharap Moyes mampu menghadirkan 'keajaiban' untuk mengekalkan trofi Liga Perdana di Old Trafford, anda sepatutnya turut berharap beliau ada idea bagaimana mahu menguatkan bahagian belakang pasukannya dengan segera. Sejarah kelab yang panjang sudah membuktikan bahawa jika mereka mahu menjulang trofi liga, kekuatan pasukan perlu bermula dari barisan pertahanan yang solid. Jika Moyes gagal mengatasi masalah ini (kerapuhan benteng pertahanan), tidak salah sekiranya penyokong-penyokong sendiri meragui kemampuan skuad kendaliannya membawa trofi liga ke Old Trafford buat kali ke-21. Selain keperluan di bahagian tengah, saya anggap pihak pengurusan juga gagal menggunakan kesempatan semasa jendela perpindahan musim panas di buka untuk mendapatkan pemain baru (kelas dunia) di bahagian belakang. Siapa yang harus bertanggungawab atas prestasi lesu United ketika ini? Pengurus, pemain, staf kejurulatihan atau pihak pengurusan sendiri? Saya serahkan kepada anda untuk mencari jawapannya sendiri. Sebagai kelab paling berjaya di England, antara terbesar di dunia, popular dan punya ramai pengikut di seluruh dunia, apa yang berlaku ke atas United ketika ini sudah tentu menarik minat bukan sedikit dari kalangan media, penyokong dan pihak lawan untuk mengulas, membuat andaian dan sudah tentu melemparkan kata-kata sinis bahawa era gemilang United selaku kuasa dominan di England berakhir sebaik Sir Alex mengumumkan persaraannya Mei lalu. Kita (penyokong-penyokong United) dihidangkan dengan satu lagi episod kekecewaan terbaru hujung minggu lalu apabila kelab gagal meraih mata penuh ketika berdepan Southampton di Old Trafford, sekaligus memusnahkan harapan untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga. Pemain-pemain jelas kecewa dengan apa yang berlaku ketika ini terutamanya selepas melihat pesaing-pesaing lain seperti Arsenal, Chelsea, Liverpool, Manchester City dan Tottenham Hotspurs terus konsisten mengekalkan kelebihan mata milik mereka untuk menghuni kedudukan lima tempat teratas liga.

Michael Carrick dan Phil Jones sudah meluahkan kekecewaan mereka selepas tamat perlawanan menentang Southampton, tetapi saya berharap keputusan seri yang diraih hujung minggu lalu tidak meruntuhkan semangat pemain-pemain memandangkan saingan liga masih lagi di peringkat awal. Melihat kepada situasi sekarang saya pasti ramai di antara kita mula meragui kemampuan kelab untuk mempertahankan kejuaraan liga yang mereka menangi musim lalu. Jika musim-musim sebelumnya, menang dua atau tiga perlawanan liga secara berturut-turut bukanlah satu masalah besar buat barisan The Red Devils, tetapi kini wajah pemain-pemain yang sama di bawah kendalian David Moyes sukar melakukannya. Apakah faktor ketiadaan Sir Alex di tepi padang dan bilik persalinan buat pertama kalinya selepas 26 tahun memberikan kesan yang begitu besar kepada persembahan United setakat ini? Selain prestasi tidak konsisten yang dipamerkan United, ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Arsenal ketika saingan liga baru memasuki minggu kelapan adalah jurang yang agak besar. Adakah faktor ini sudah cukup untuk membolehkan agen-agen pertaruhan atau anda sendiri mengugurkan nama United dari senarai calon juara liga musim ini? Jika anda berfikiran begitu, atau ada pihak yang mula memperlekehkan kemampuan kelab bersaing musim ini, mereka sepatutnya merenung kembali kata-kata Arsene Wenger kelmarin. “Anda tidak boleh melakukannya (mengetepikan peluang United). Mereka memiliki pemain dengan nama besar, berpengalaman dan mereka juga adalah kelab yang besar. Jarak lapan mata boleh dipintas dalam tiga perlawanan sahaja dan itu adalah jurang yang kecil. United tidak boleh diketepikan dari senarai calon juara musim ini. Masih terlalu awal untuk membicarakan hal ini”, kata si Profesor. Apa yang dikatakan Wenger itu ada benarnya kerana masih ada baki 30 perlawanan liga yang perlu diharungi setiap pasukan musim ini selain pasukan di kelompok teratas pula masih perlu bertemu sesama sendiri.

Dalam tempoh sekarang hingga Mei nanti, banyak perkara dan kejutan boleh berlaku kerana Liga Perdana Inggeris sudah sinonim dengan perkara-perkara seperti ini. Selaku individu yang sudah merasai betapa getirnya bersaing dengan United dalam kancah domestik sejak sekian lama, Wenger adalah individu paling tepat menilai kemampuan sebenar seterunya itu dan beliau pasti sedar bahaya yang mampu dihadirkan barisan The Red Devils biarpun kelab tidak lagi dikendalikan Sir Alex. Jadi saya tidak terkejut jika beliau mengeluarkan komen seperti itu dan perlu juga diingat bahawa anak-anak buah Wenger akan berkunjung ke Old Trafford pada 11 November nanti, satu perlawanan yang sudah tentu dijangka sengit dan bakal menguji sejauh mana kemampuan sebenar mereka (Arsenal) musim ini. Menjelang 11 November nanti, ada dua perlawanan yang perlu diharungi United (berdepan Stoke City dan Fulham), dan untuk itu saya berharap anak-anak buah Moyes mampu meraih mata maksimum dalam kedua-dua perlawanan tersebut sebelum menanti kunjungan Arsenal. Saya fikir dua aksi menentang Stoke City dan Fulham adalah medan terbaik buat barisan The Red Devils mempersiapkan diri mereka sebelum berdepan perlawanan besar menentang pendahulu liga itu. Sebarang keputusan 'kurang bagus' dalam dua perlawanan ini bukanlah cara terbaik untuk United menyambut kedatangan barisan kendalian Wenger yang jelas berada pada tahap terbaik (dari segi prestasi dan keyakinan) mereka ketika ini. Jika ada keputusan positif yang berjaya diraih United dalam aksi menentang Stoke dan Fulham, saya yakin tidak mustahil untuk mereka menewaskan Arsenal dalam tempoh 18 hari dari sekarang. Sudah tentu persembahan dipamerkan Borussia Dortmund awal pagi tadi yang berjaya menamatkan rekod tanpa kalah The Gunners  dalam 12 perlawanan terakhir akan menjadi rujukan terbaik buat Moyes tentang bagaimana caranya mahu menjinakkan anak-anak buah Wenger nanti. Sebelum memikirkan pertemuan menentang Stoke City, Fulham dan Arsenal, jangan lupa bahawa awal pagi nanti ada misi penting perlu dilaksanakan Moyes dan skuad kendaliannya dalam saingan Eropah.

Kunjungan wakil Sepanyol, Real Sociedad di Old Trafford perlu digunakan sepenuhnya oleh pemain-pemain untuk melupakan kekecewaan pada aksi liga Sabtu lalu dan membuktikan bahawa Manchester United masih perlu dihormati. Saya pernah menyebut dalam artikel sebelum ini bahawa apa yang terjadi ke atas kelab adalah lumrah biasa setiap kali berlakunya peralihan kuasa di kerusi pengurus. Hanya ada beberapa individu yang bernasib baik berjaya menjulang trofi kejuaraan liga pada musim pertama mereka di kelab baru dan antaranya ialah Jose Mourinho. Kita akui bahawa kelab terpaksa bergelut selepas Sir Alex menamatkan era 26 tahunnya di Old Trafford. Sebenarnya sejak beliau mengumumkan persaraannya Mei lalu, kita sepatutnya sudah mula belajar dan membiasakan diri 'hidup' tanpa lagenda itu dan bukannya terus dibuai dengan keyakinan bahawa kemenangan dan kejuaraan akan terus singgah di Old Trafford. Atas sebab itu jugalah sebelum sepak mula liga dilakukan saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi musim ini. Cukuplah sekadar berharap agar Moyes mampu membawa kelab di kelompok empat teratas sebaik musim berakhir nanti. Misi paling utama yang perlu dilaksanakan musim ini ialah mendapatkan slot ke saingan Liga Juara-Juara (musim hadapan) dan selepas itu barulah kita mula memasang angan-angan untuk melihat kelab menjulang trofi liga buat kali ke-21 pada musim 2014/15 nanti. Musim panas tahun hadapan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendapatkan pemain-pemain baru berkualiti bagi menghadapi musim 2014/15 dan saya berharap kesilapan yang berlaku sepanjang jendela perpindahan pemain musim panas lalu tidak berlaku lagi. Saya akui sebagai penyokong, saya kecewa dengan keputusan-keputusan perlawanan yang dicapai kelab sejak kebelakangan ini, tetapi saya juga sering mengingatkan diri saya bahawa Manchester United punya tradisi dan sejarah untuk bangkit semula dari kekecewaan. Jika mahu bergembira melihat pasukan yang disokong sentiasa menang dan menjaringkan banyak gol setiap minggu, sudah tentu saya beralih kepada Barcelona atau Bayern Munich kerana kedua-dua kelab ini mampu membuatkan penyokong-penyokong mereka tersenyum hampir setiap minggu. Bagaimanapun apa yang boleh saya lakukan, kerana jenama MANCHESTER UNITED sudah sebati dalam diri, jadi selamanyalah saya kekal sebagai penyokong United tidak kira ketika mereka di atas atau ketika di bawah. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

14 Oktober 2013

JANUZAJ...YANG MENJADI REBUTAN


Adnan Januzaj, nama yang kerap meniti di bibir dan paling disebut-sebut oleh penyokong-penyokong Manchester United sejak kebelakangan ini.  Tidak keterlaluan jika saya katakan prestasi cemerlang yang ditunjukkan ramaja berusia 18 tahun itu setakat ini menyebabkan penyokong-penyokong United mampu melupakan sejenak persembahan tidak menentu dipamerkan barisan The Red Devils bimbingan David Moyes di awal musim yang menyebabkan mereka kini terperosok di tangga kesembilan liga. Kelibatnya di atas padang selama 77 minit ketika berdepan Sunderland 6 Oktober lalu dan dua gol yang dihasilkannya di Stadium of Light menyebabkan segenap tumpuan kini terarah kepada pemain berdarah Balkan itu. Bakat Januzaj sudah mula membuka mata banyak kelab-kelab besar Eropah dengan Barcelona dan Manchester City diberitakan paling serius menyimpan hajat membawa bintang muda itu keluar dari Old Trafford. Kontrak Januzaj akan berakhir Jun 2014 dan setakat ini kedua-dua pihak (United dan Januzaj) masih belum mencapai kata putus berhubung masa depan pemain itu bersama kelab. Situasi ini menyebabkan timbulnya sedikit rasa panik di kalangan penyokong-penyokong United yang mula mempersoalkan kemampuan kelab mengekalkan wonderkid itu ketika pesaing domestik dan Eropah mereka seperti City dan Barca sedia melabur besar bagi memancing khidmat Januzaj. Selepas melihat segala potensi dan kualiti yang dipamerkannya, saya yakin kelab akan bersetuju memenuhi tuntutan kenaikan gaji yang dimahukan pemain itu dan mengikat Januzaj dengan kontrak jangka panjang. Sukar membayangkan jika bakat sebagus Januzaj terlepas ke tangan pasukan lain dan satu-satunya perkataan paling tepat untuk menggambarkan situasi itu ialah MALAPETAKA. Januzaj bukan sahaja menjadi rebutan di peringkat kelab malah di peringkat antarabangsa pula enam negara (Belgium, England, Turki, Albania, Serbia dan Kosovo) mula memasang angan-angan bahawa suatu hari nanti pemuda itu akan menyarung jersi pasukan kebangsaan mereka. Situasi Januzaj yang setakat ini masih belum menyarung jersi mana-mana negara (di peringkat umur mahupun senior) sudah tentu menjadi faktor utama mengapa kelibatnya menjadi rebutan selain bakat besar yang dimilikinya.

Negara asal kedua-dua ibu bapanya (Albania) paling serius mahu mendapatkan Januzaj hinggakan badan penyiaran di sana menerbitkan satu rancangan khas televisyen untuk memikat pemain itu agar memilih mereka. Marc Wilmots (jurulatih Belgium) pula amat berharap agar Januzaj mewakili negara kelahirannya, manakala England juga nampaknya tidak mahu ketinggalan bersaing memancing pemain itu apabila David Moyes mengesahkan bahawa pihak FA ada bertanya tentang status Januzaj. Bos Three Lions, Roy Hodgson nampaknya seperti tidak sabar-sabar memulakan usaha naturalisasi tetapi saya jangkakan pihak pengurusan United akan bersikap neutral dalam hal ini dengan membiarkan Januzaj membuat pilihannya sendiri. Bagaimanapun sehingga sekarang wonderkid yang menjadi rebutan itu masih membisu tentang jersi pasukan kebangsaan negara mana yang bakal disarungnya nanti. Imbas sedikit latar belakang pemain muda itu, Januzaj dilahirkan dan membesar di Belgium selepas kedua-dua ibu bapanya berhijrah dari Albania. Memulakan karier awal bolasepaknya di peringkat kanak-kanak bersama FC Brussels, tetapi gergasi Belgium, Anderlecht berjaya menghidu bakat miliknya ketika Januzaj berusia 10 tahun. Bakat besar milik pemain muda itu kemudiannya dikesan dan dipantau pencari bakat United dan hanya beberapa hari selepas meraikan sambutan ulang tahunnya yang ke-16, Januzaj berpindah ke Old Trafford dengan nilai perpindahan sebanyak £297 ribu. Selepas penghijrahan Cristiano Ronaldo ke Real Madrid pada 2009, kelab berharap dapat menemui pemain yang layak mewarisi jersi lagenda nombor 7 mereka, dan sejauh ini saya berpendapat pemain itu (Januzaj) berada di landasan yang betul dalam memenuhi harapan yang diletakkan ke atasnya. Januzaj berbintang Aquarius (lahir pada 5 Februari 1995), dan jika dilihat sekilas pandang tiada apa yang istimewanya tentang tarikh lahir dan zodiak milik pemain itu. Bagaimanapun untuk maklumat anda, Cristiano Ronaldo, Neymar, Carlos Tevez, Gheroghe Hagi, Cesare Maldini, Sven Goran Eriksson dan Giovanni Van Bronckhorst sebenarnya berkongsi tarikh lahir dan zodiak yang sama dengan Januzaj. Adakah ini satu petanda bahawa Januzaj juga akan muncul nama besar dalam arena bolasepak dunia suatu hari nanti?

Seperti yang kita ketahui, Sir Alex Ferguson adalah individu yang bertanggungjawab membawa Januzaj ke England dan sebelum beliau mengumumkan persaraannya musim lalu, lagenda itu ada menyebut bahawa pemain itu akan muncul bintang besar di masa hadapan. Menurut Sir Alex, ada seorang pemain muda United yang memiliki kemampuan jauh melebihi rakan-rakan seangkatannya, dan pemain muda yang beliau maksudkan ketika itu adalah Januzaj. Sebelum Sir Alex menyebut nama Januzaj di hadapan media, saya pasti ramai di antara kita yang kurang memberikan tumpuan kepadanya (kecuali penyokong tegar United). “Adnan adalah pemain yang sangat lengkap. Dia memiliki kesimbangan, teknik dan corak permainan yang bagus. Ramai pemain muda yang mula meninjau tempat mereka dalam skuad utama United dan Adnan adalah salah satunya. Dia memiliki prospek yang sangat bagus”, kata Sir Alex, Mei lalu. 6 Oktober lalu di Stadium of Light, Januzaj menjaringkan dua gol pada penampilan pertamanya sebagai starter, di mana dalam sejarah kelab hanya ada seorang pemain selain Januzaj yang mampu melakukannya. Pemain yang saya maksudkan siapa lagi kalau bukan Ruud Van Nistelrooy. The Flying Dutchman melakukannya ketika United menewaskan Fulham pada musim 2001/02 dan selepas itu beliau tidak berhenti dari menjaringkan gol buat United sehinggalah beliau berhijrah ke Real Madrid pada musim panas 2006. Mampukah selepas ini Januzaj mengulangi apa yang pernah dilakukan Nistelrooy selama lima musim beliau menabur bakti di Old Trafford? Seperti yang saya sebutkan tadi, kontrak Januzaj akan tamat pada Jun 2014 namun sehingga kini masih tiada perkembangan terbaru tentang masa depan pemain itu di Old Trafford. Prestasi terkini yang dipamerkan Januzaj menyakinkan saya bahawa kelab akan sedaya upaya cuba mengekalkan aset masa depan mereka itu dan menolak mentah-mentah sebarang tawaran yang diterima mereka dari kelab lain untuk mendapatkan Januzaj. David Moyes yakin, kelab mampu memenuhi sebarang tuntutan yang dibuat pemain muda terbaik milik mereka itu dalam usaha mengekalkannya di Old Trafford. Keyakinan yang ditunjukkan Moyes ini ada asasnya berdasarkan reputasi beliau dalam menggilap dan mengembangkan bakat-bakat muda ketika bersama Everton dulu.

Walau bagaimanapun, kata-kata Moyes itu sudah tentu belum cukup untuk meredakan kebimbangan penyokong-penyokong yang seboleh mungkin cuba mengelak dari membayangkan sebarang kemungkinan Januzaj disambar pasukan lain. Khabarnya, demi mengekalkan Januzaj, pihak pengurusan sudahpun bersetuju untuk menawarkan pemain itu dengan gaji £60 ribu seminggu, dan jika benar apa yang dikhabarkan media saya berharap Januzaj akan memilih untuk terus kekal bersama kelab dan menandatangani lanjutan kontrak baru. Semoga kedua-dua pihak (kelab dan Januzaj) tidak perlu menunggu sehingga penghujung tahun ini untuk memeterai perjanjian baru memandangkan kegilaan pasaran perpindahan pemain (bulan Januari nanti) yang sering diwarnai dengan taktik-taktik kotor lawan dalam usaha mereka mendapatkan pemain berkualiti seperti Januzaj. Amat jarang untuk kita saksikan situasi yang berlaku ke atas Januzaj ini berlaku kepada pemain lain di mana kelibatnya bukan sahaja diburu banyak kelab ternama tetapi juga oleh enam negara. Setakat ini Moyes lebih banyak menggunakan Januzaj sebagai pemain sayap (sama ada kiri atau kanan), tetapi bintang muda itu juga sebenarnya boleh bermain di bahagian tengah dan juga sebagai penyerang. “Saya gemar bermain sebagai pemain tengah, tetapi saya juga boleh bermain di belakang penyerang. Musim lalu saya bermain sebagai penyerang ketika bersama skuad simpanan. Saya yakin boleh membantu pasukan dan melakukan sesuatu jika diletakkan di posisi itu (penyerang)”, kata Januzaj dalam satu temubual Julai lalu. Jika diambilkira kata-kata Januzaj tadi, adakah posisi di bahagian sayap paling sesuai buatnya, atau Moyes akan mempelbagaikan peranan pemain itu di atas padang suatu hari nanti. Jadi di manakah posisi paling sesuai buat pemain yang sedang menjadi rebutan ini? Sepertimana anda, saya juga menjadikan nama Adnan Januzaj sebagai topik paling hangat yang dibualkan bersama rakan-rakan penyokong United yang lain dan sebagaimana anda, saya juga ternanti-nanti impak seterusnya yang bakal dilakukan anak muda itu selepas ini. Sepuluh tahun lalu, saya pernah merasai fenomena sama ketika detik-detik awal karier Cristiano Ronaldo di Old Trafford dan selepas sepuluh tahun, giliran Adnan Januzaj pula menghadirkan rasa yang sama kepada saya. Selain keterujaan itu, saya menganggap Januzaj adalah hadiah perpisahan terbaik yang ditinggalkan Sir Alex kepada kita. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

04 Oktober 2013

JALAN KELUAR, PILIHAN TERBAIK UNTUK KAGAWA?


Apa lagi yang saya boleh katakan tentang Shinji Kagawa selain dia tidak mempunyai masa depan lagi di Old Trafford. Pada saingan Liga Juara-Juara di Donbass Arena, Kagawa sekali lagi terpaksa memerhatikan aksi rakan-rakan sepasukan dari tepi padang tanpa seminit pun diberikan peluang bermain. Mungkin ramai yang kurang percaya dengan situasi dihadapi Kagawa mutakhir ini, apatah lagi ketika dia hadir di Old Trafford musim panas tahun lalu dengan reputasi besar sebagai pemenang trofi Bundesliga dua musim berturut-turut. Beberapa hari lalu, Moyes mengatakan bahawa Kagawa masih berada dalam perancangannya tetapi selepas melihat tindakan beliau yang terus menafikan peluang bintang antarabangsa Jepun itu bermain, saya bolehlah menganggap bahawa kata-kata Moyes itu hanya sekadar mahu meredakan sebentar kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya. Keputusan Sir Alex Ferguson menandatangani Kagawa diterima dengan lapang dada ramai pihak termasuk pengkritik-pengkritiknya berikutan sumbangan besar yang sudah diberikan pemain tengah itu selama dua musim di Signal Iduna Park. Berbanding keputusan Sir Alex mendapatkan Park Ji Sung dari PSV Eindhoven pada 2005 yang dilihat secara sinis oleh ramai pihak sebagai strategi kelab untuk meluaskan pengaruh mereka di Asia, Kagawa pula dianggap memang layak berada dalam skuad The Red Devils berikutan kualiti dan potensi yang sudah ditunjukkannya sepanjang menyarung jersi kuning Die Borussen. Sir Alex tahu benar apa yang mampu disumbangkan perancang tengah itu untuk United bukan hanya bersandarkan kepada statistiknya di Bundesliga, tetapi lebih dari itu beliau melihat Kagawa adalah pengganti jangka panjang kepada Paul Scholes di bahagian tengah. Musim lalu Kagawa lebih banyak diletakkan Sir Alex di sebelah kiri berbanding posisi idealnya iaitu di belakang penyerang, mungkin juga disebabkan adanya Scholes ketika itu.

Sebagai peminat yang memerhati dari luar, kita tidak tahu mengapa Sir Alex mengubah posisi Kagawa ke sebelah kiri, tetapi sekurang-kurangnya ketika di bawah kendalian beliau, Kagawa masih boleh bermain 20 perlawanan liga dan menjaringkan enam gol. Jika tidak kerana kecederaan yang dialaminya musim lalu, saya percaya Kagawa boleh memberikan sumbangan lebih dari itu. Pengumuman persaraan Sir Alex Mei lalu rupa-rupanya menjadi petanda awal bahawa karier Kagawa bersama kelab juga bakal berdepan detik-detik kelam. Saya agak hairan apabila mendengar rungutan Moyes bahawa United kekurangan kreativiti di bahagian tengah selepas anak-anak buahnya tewas 0-1 kepada Liverpool di Anfield September lalu, tetapi dalam masa yang sama beliau mengabaikan aset berharga yang beliau miliki. Dalam perlawanan menentang West Bromwich Sabtu lalu Kagawa akhirnya diberikan penampilan pertamanya dalam aksi liga, tetapi sepertimana musim sebelumnya, dia sekali lagi diletakkan di sebelah kiri. Agak mengejutkan melihat Anderson yang memang sudah lama kita ketahui gagal memberikan sumbangan berkesan di bahagian tengah masih lagi diberikan kepercayaan oleh Moyes mengisi posisi tersebut bersama-sama Michael Carrick. Akhirnya anda lihatlah sendiri selepas 62 minit dengan aksi tanpa arah tuju, Moyes menarik keluar bekas pemain FC Porto itu dan menggantikannya dengan Marouane Fellaini. Saya bukanlah anti Anderson tetapi melihat kepada sumbangan yang diberikannya selama hampir tujuh musim di Old Trafford, saya kira sudah tibalah masanya untuk pihak pengurusan terutama Moyes meletakkan nama pemain itu dalam senarai pemain yang akan dijual Januari ini atau selewat-lewatnya musim panas tahun hadapan.

Melihat apa yang berlaku kepada Kagawa ketika ini, tidak hairanlah jika individu yang pernah menggilap bakatnya, (siapa lagi kalau bukan Jurgen Klopp) begitu kecewa dengan perkembangan terkini pemain itu di Old Trafford. Kagawa adalah idola di Signal Iduna Park selama dua musim dia di sana, jadi tidak hairanlah jika penyokong-penyokong Borussia Dortmund melancarkan kempen 'Free Shinji' di laman sosial manakala Klopp pula diberitakan akan cuba menarik semula bekas anak didiknya itu kembali ke Westfalenstadion Januari nanti. Simpati dan terkilan bercampur aduk ketika ini. Simpati melihat nasib pemain berbakat seperti Kagawa tidak mendapat peluang beraksi secukupnya dan terkilan kerana kualiti yang ada pada pemain sepertinya tidak digunakan ketika pasukan benar-benar memerlukannya. Sebelum kempen musim ini bermula, saya fikir Kagawa akan muncul antara sandaran utama kelab berdasarkan prestasi cemerlang yang dipamerkannya ketika kempen Piala Konfederasi Jun lalu. Persembahan yang dipamerkannya ketika berdepan gergasi bolasepak dunia, Itali pada perlawanan kedua Kumpulan A mendapat perhatian dan pujian pemerhati-pemerhati bolasepak, malah lagenda hidup skuad Azzurri Andrea Pirlo mengatakan bahawa Kagawa antara pemain tengah terbaik dunia yang pernah ditentangnya. Berdasarkan prestasi terkini United, Moyes tidak punya banyak waktu untuk terus bereksperimen sehingga beliau benar-benar menemui kesebelasan utama terbaiknya. Jika Anderson yang sudah hampir tujuh tahun menyarung jersi kelab tetapi gagal memberikan sumbangan bermakna sehingga ke hari ini masih diberikan peluang oleh Moyes, mengapa perkara yang sama tidak beliau berikan kepada Kagawa?

Sebelum ini Moyes memberikan alasan bahawa keputusannya tidak menurunkan Kagawa disebabkan pemain itu masih belum cukup cergas, tidak mampu bermain selama 90 minit dan terbaru pengendali itu mengeluarkan kenyataan pula bahawa beliau tidak tahu bagaimana mahu memaksimakan potensi milik pemain itu. Tindakan 'keliru' Moyes dapat dilihat pada perlawanan menentang West Bromwich Sabtu lalu apabila beliau menurunkan Kagawa buat pertama kali dalam saingan liga di posisi sebelah (sayap) kiri. Seperti yang anda tahu, Kagawa hanya bermain selama 45 minit sebelum Adnan Januzaj menggantikan tempatnya. Saya tidak nafikan bahawa Januzaj bermain dengan baik dalam perlawanan itu tetapi komen Moyes selepas melihat anak-anak buahnya tersungkur di gelanggang sendiri sebenarnya agak menarik untuk dibahaskan. “Posisi terbaiknya ialah sebagai playmaker, tetapi ketika bersama skuad kebangsaan Jepun dia biasa bermain di sebelah kiri. Jadi posisi itu sebenarnya bukanlah asing untuknya”, kata Moyes. Ketika ini posisi yang dikatakan 'terbaik' buat Kagawa sudah diisi Wayne Rooney (yang memegang peranan di belakang penyerang utama), manakala di sebelah kiri pula Moyes sebelum ini lebih percayakan Ashley Young, pemain yang teruk dikritik penyokong-penyokong United sendiri berikutan prestasi buruknya selain gemar menjatuhkan badan (diving). Di bahagian lebih tengah pula (centre midfielder), Moyes cenderung memilih pemain yang mempunyai kekuatan fizikal seperti Marouane Fellaini berbanding pemain yang ada visi permainan seperti Kagawa. Jadi atas sebab itulah jika anda lihat dalam beberapa perlawanan musim ini termasuk ketika dimalukan City 1-4 dua minggu lalu, bahagian hadapan kelihatan agak buntu dan kurang kreativiti ketika menyusun gerakan. Musim 2012/13 adalah musim terakhir Paul Scholes manakala Darren Fletcher pula entah bila akan sembuh dari masalah kesihatannya, jadi sepanjang tempoh pra musim Moyes sudah tentu tahu betapa pentingnya bahagian tengah United perlu diperkuatkan.

Jika diamati kenyataan Moyes sebelum ini ketika ditanya mengapakah kelab tidak cuba mendapatkan Mesut Ozil, beliau memberikan alasan bahawa kelab sudah memiliki Kagawa dan beliau tidak memerlukan dua pemain yang memiliki gaya permainan sama ada dalam pasukannya. Ozil akhirnya berjaya di Stadium Emirates, membawa perubahan begitu besar kepada gaya permainan Arsenal di mana hasilnya skuad The Gunners kini gah di kedudukan teratas liga, 8 mata di hadapan United yang berada di tangga ke-12. Jika Ozil sudah mencetuskan impak yang begitu besar bersama Arsenal, kita sebagai penyokong United pula ternanti-nanti bilakah agaknya Moyes akan mula meletakkan Kagawa, pemain yang beliau sendiri labelkan memiliki gaya permainan sama seperti bintang Jerman itu di posisi yang sepatutnya. Adakah Moyes tidak menyedari bahawa bakat yang beliau perlukan untuk menambah sengat di bahagian tengah berada di bangku simpanannya? Adakah kata-kata yang dilontarkan Moyes di hadapan wartawan tidak lebih sekadar mahu menutup kegagalan dan kesilapan kelab membiarkan Ozil dengan mudahnya terlepas ke tangan Arsene Wenger? Adakah persaraan Sir Alex menandakan berakhirnya juga karier singkat Kagawa di Old Trafford? Mampukah kempen 'Free Shinji' yang dilancarkan penyokong-penyokong Dortmund melembutkan hati pihak pengurusan kelab agar melepaskan kembali pemain itu ke Signal Iduna Park? Setakat ini semua persoalan di atas masih terlalu samar untuk kita mencari jawapannya, jadi biarkan sahaja masa menentukan apakah kesudahan nasib Kagawa di Old Trafford nanti. Seperti yang saya katakan tadi, saya simpati dengan nasib yang menimpa Kagawa dan terkilan kerana bakatnya disia-siakan begitu sahaja. Jika Kagawa tiada dalam perancangan Moyes, lepaskan sahaja pemain itu kembali ke tangan Jurgen Klopp kerana sebagai peminat bolasepak, saya ingin melihat skill 'indah' milik Kagawa diperagakan di tengah padang bukannya di bangku simpanan. Mungkin di Signal Iduna Park, bakat seperti Kagawa lebih dihargai berbanding di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

02 Oktober 2013

PREVIEW: SHAKHTAR DONETSK v MAN UTD



Jika diambilkira prestasi semasa Manchester United, tugas berat bakal menanti anak-anak buah David Moyes yang akan berdepan Shakhtar Donetsk di Donbass Arena awal pagi esok. Situasi terkini memang jelas tidak memihak kepada United dan kekalahan kepada West Bromwich di gelanggang sendiri sudah tentu sedikit sebanyak menganggu mental pemain-pemain ketika ini. Terpaksa berdepan Donetsk di gelanggang lawan selepas tewas dua perlawanan liga berturut-turut pada pandangan saya bukanlah waktu yang tepat untuk anak-anak buah Moyes, apatah lagi selepas menyaksikan prestasi lawan ketika membenam Real Sociedad 2-0 di San Sebastian 18 September lalu. Selain bergelut dengan prestasi semasa anak-anak buahnya, Moyes juga perlu melihat kepada rekod Donetsk ketika berdepan kelab-kelab Inggeris di gelanggang sendiri. Mereka menewaskan Arsenal dua kali di pentas Eropah (pada musim 2000/01 dan 2010/11), manakala Chelsea pula muncul kelab Inggeris terbaru menjadi mangsa mereka musim lalu. Jika Donetsk gah dengan rekod baik mereka ketika berdepan kelab-kelab Inggeris, United pula ada kenangan manis pada kunjungan terakhir mereka di bumi Ukraine enam tahun lalu. United pernah menewaskan Dynamo Kiev 4-2 pada saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara edisi 2007/08 menerusi gol Rio Ferdinand, Wayne Rooney dan Cristiano Ronaldo (dua gol). Moyes memerlukan skuad terkuatnya dalam berdepan misi sukar di bumi Ukraine, jadi kehadiran semula Nemanja Vidic dan Patrice Evra yang tidak beraksi di Old Trafford Sabtu lalu saya anggap satu berita gembira buat pasukan. Cuma timbul pertanyaan siapakah yang bakal mendampingi Vidic sama ada Chris Smalling atau Jonny Evans kerana saya pasti Rio Ferdinand akan direhatkan dalam perlawanan ini berikutan prestasi semasanya yang dikritik hebat. Di bahagian hadapan Rooney akan terus memikul tanggungjawab sebagai penyerang sambil berharap Robin Van Persie cergas sepenuhnya, manakala Nani pula kembali dari penggantungan akibat layangan kad merah yang diterimanya musim lalu.

Dua gol yang dihasilkan Rooney ketika berdepan Bayer Leverkusen menjadikan dia penjaring terbanyak Inggeris dalam saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu dengan 29 gol, jadi sentuhan pemusnahnya akan sekali lagi ditagih. Selain muncul warga Inggeris paling banyak menjaringkan gol di pentas Liga Juara-Juara, saya juga ingin melihat apakah Rooney mampu menjaringkan gol 11 perlawanan berturut-turut dalam saingan ini. Jika mahu membawa pulang sesuatu dari perlawanan ini, Moyes perlu bijak memilih pemain dan bermain dengan strategi kerana Donetsk bagi saya bukanlah calang-calang pasukan. Mircea Lucescu memiliki 10 warga Brazil dalam skuadnya dengan Bernard menjadi anggota terbaru selepas diikat dari Atletico Mineiro dengan nilai €21 juta. Walaupun hanya beraksi sekali bersama kelab barunya, pemain berusia 20 tahun itu ketika bersama Mineiro berjaya menjaringkan 22 gol dari 100 penampilan selain memiliki 5 caps bersama skuad kebangsaan Brazil. Selain Bernard, Lucescu juga memiliki Douglas Costa, Luiz Adriano, Fred dan Alex Teixera yang menjaringkan dua gol ketika mereka menumpaskan Sociedad. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kombinasi tenaga dari negara Samba ini adalah teras utama kekuatan Donetsk, jadi jika tidak mahu berputih mata sekali lagi, barisan The Red Devils perlu berwaspada dengan ancaman dari warga-warga Brazil yang ada dalam skuad lawan. Jika United bergelut dengan prestasi mereka di liga domestik, Donetsk juga apa kurangnya apabila hanya meraih satu kemenangan dari lima perlawanan terakhir mereka di Liga Perdana Ukraine. Prestasi Donetsk dalam saingan liga domestik mungkin sedikit melegakan kita tetapi jangan lupa bahawa aksi di peringkat Eropah sudah tentu berbeza. Perlawanan di Donbass Arena bukan sahaja penting untuk anak-anak buah Moyes memulihkan semula maruah yang tercalar tetapi takhta pendahulu kumpulan juga bakal menjadi taruhan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Barisan Kemungkinan Donetsk: Andriy Pyatov, Darijo Srna, Olexander Kucher, Vyacheslav Shevchuk, Yaroslav Rakytskyy, Alez Teixeira, Douglas Costa, Fernando, Tomas Hubschmann, Luiz Adriano & Taison

Barisan Kemungkinan United: David de Gea, Rafael da Silva, Jonny Evans, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Antonio Valencia, Michael Carrick, Marouane Fellaini, Nani, Wayne Rooney & Robin Van Persie