25 Julai 2014

MUSIM BAHARU...HARAPAN BAHARU

Menang terutamanya dengan jaringan 7-0 tetap satu keputusan yang bagus walaupun ini hanyalah perlawanan pemanas badan sebelum bermula musim kompetitif yang panjang. Musim 2013-14 adalah musim yang suram buat kelab apabila sekadar menduduki tangga ketujuh liga dan paling perit kedudukan tersebut menyebabkan The Red Devils terlepas aksi di pentas Eropah baik di Liga Juara-Juara mahupun Liga Europa. Jika musim lalu kita teruja menanti perlawanan-perlawanan pra musim kelab kerana ingin menyaksikan bagaimanakah corak permainan United di bawah kendalian David Moyes selepas tamatnya era 27 tahun Sir Alex Ferguson, begitulah juga halnya dengan musim panas kali ini. Selepas kegagalan Moyes musim lalu.  kelab kini dibimbing pula oleh Louis Van Gaal dan keterujaan sama (mahu melihat bagaimanakah corak permainan United di bawah pengurus baharu) berulang kembali. Kita semua gembira melihat persembahan yang dipamerkan anak-anak buat Van Gaal ketika berdepan LA Galaxy dan sambil itu berharaplah agar kemenangan 7-0 ini merupakan satu isyarat bahawa United akan kembali muncul pencabar yang digeruni musim ini (2014-15). Selain dari kejayaan membolosi gawang skuad bimbingan Bruce Arena itu sebanyak tujuh kali, saya juga tertarik dengan formasi yang digunakan Van Gaal semalam.

Van Gaal menggunakan formasi 3-5-2 dengan meletakkan Luis Antonio Valencia dan Luke Shaw sebagai wing back yang menyokong serangan United dari sebelah kiri dan kanan manakala Jonny Evans, Chris Smalling dan Phil Jones pula membentuk tiga pemain pertahanan tengah. Kita sudah tentu tidak terkejut dengan formasi yang digunakan Van Gaal kerana di Piala Dunia 2014, formasi serupa digunakan beliau ke atas skuad kebangsaan Belanda menerusi kombinasi Ron Vlaar, Bruno Martins Indi dan Stefan De Vrij di benteng pertahanan. Formasi ini sebenarnya hanya baru dua kali dipraktikkan pemain-pemain United dalam sesi latihan, jadi tidak hairanlah mengapa Van Gaal gembira dengan keputusan yang dicapai pemain-pemainnya semalam. Apapun masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa formasi 3-5-2 ini sesuai dengan permainan United  tambahan pula Van Gaal sendiri melakukan perubahan besar di separuh masa kedua dengan melakukan banyak pertukaran pemain. Berjaya membolosi gawang lawan sebanyak tujuh kali sudah tentu sesuatu yang bagus tetapi paling menarik selain dari tujuh gol yang dihasilkan jentera serangan United ialah persembahan Ander Herrera di bahagian tengah. Meskipun tidak menjaringkan sebarang gol, bekas pemain Athletic Bilbao itu menyumbang tiga assist pada aksi pertamanya bersama kelab.

Dalam perlawanan semalam, Herrera bermain didua posisi berbeza. Di separuh masa pertama, beliau bersama-sama Darren Fletcher membentuk gandingan dua pemain di bahagian tengah, manakala di separuh masa kedua pula beliau mengambil alih posisi Juan Mata dengan memainkan peranan selaku pemain nombor 10. Walaupun ini bukanlah perlawanan kompetitif tetapi saya cukup tertarik dengan kebolehan Herrera melakukan hantaran-hantaran jauh tepat yang ditujukan kepada pemain sayap, through pass menarik yang dibekalkannya untuk untuk Wayne Rooney, Danny Welbeck, Nani dan Ashley Young serta sentuhan-sentuhan satu dua mudah yang dilakukannya menyaksikan bola dari bahagian tengah begitu lancar 'mengalir' ke bahagian hadapan. Paling menarik apabila menyaksikan percubaan jarak jauh tepat yang dilakukannya di awal permainan, sesuatu yang sudah begitu lama tidak kita lihat dilakukan pemain-pemain tengah United sejak persaraan Paul Scholes. Jadi tidak hairanlah selepas perlawanan penyokong-penyokong memilih beliau sebagai pemain terbaik perlawanan semalam dalam undian yang dibuat di Twitter kelab. Persembahan beberapa pemain senior yang lain seperti Antonio Valencia dan Ashley Young juga wajar diberikan pujian tetapi LA Galaxy bukanlah lawan tepat untuk mengukur sejauh mana Young mampu bangkit dari prestasi hambar yang dipamerkannya musim lalu.

Di bahagian belakang pula, Evans, Smalling dan Jones nampaknya tidak banyak diuji oleh barisan hadapan Galaxy, jadi sukar untuk menilai kemampuan sebenar mereka dan keberkesanan strategi tiga pemain pertahanan yang digunakan Van Gaal. Saya akui bahawa Evans, Smalling dan Jones adalah pemain pertahanan tengah yang bagus tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa selepas pemergian Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic, kelab sebenarnya hampir kehabisan 'stok' pemain centre back tulen. Di separuh masa kedua, Van Gaal melakukan eksperimen dengan mengubah posisi Fletcher dari bahagian tengah ke benteng pertahanan bergandingan dengan dua pemain muda iaitu Tyler Blackett dan Michael Keane. Bagaimanapun selepas perlawanan Van Gaal mengakui bahawa Fletcher tidak sesuai diletakkan di posisi tersebut (pertahanan tengah) manakala sukar untuk menilai kemampuan sebenar Blackett dan Keane dalam perlawanan bukan kompetitif seperti ini. Untuk itu, kita semua percaya dan berharap bahawa Van Gaal akan berjaya membawa masuk satu atau dua lagi pemain pertahanan yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Vidic dan Ferdinand. Saya berharap apa yang dikatakan Ed Woodward bahawa kelab akan melakukan 'pembelian besar' musim panas ini bukan sekadar cakap-cakap kosong dan pembelian 'besar' yang beliau maksudkan ialah seorang pemain pertahanan tengah.

Di bahagian hadapan pula, gandingan Wayne Rooney dan Danny Welbeck lulus ujian pertama mereka manakala Juan Mata yang berada di belakang dua penyerang ini memain peranan selaku pemain nombor 10 dengan cemerlang. Walaupun Welbeck bermain dengan baik dalam perlawanan semalam, kembalinya Robin Van Persie nanti bakal menyebabkan pemain ini kembali semula sebagai pilihan kedua. Jika Van Gaal mahukan meletakkan Rooney, Van Persie dan Welbeck dalam barisan yang sama, beliau mungkin akan beralih kepada formasi 3-4-3, dan perlawanan-perlawanan pra musim seperti ini adalah medan terbaik untuk beliau menguji sistem permainan mana yang sesuai dengan kebolehan pemain-pemain yang dimilikinya. Selain dari perlawanan pemanas badan sebelum bermulanya musim kompetitif, perlawanan-perlawanan pra musim juga adalah pentas untuk kita melihat kebolehan pemain-pemain muda. Mana-mana kelab pun akan melakukan perkara yang sama seperti apa yang dilakukan United semalam dengan memberikan peluang buat pemain-pemain muda mereka beraksi bersama skuad utama di perlawanan-perlawanan pemanas badan. Semalam kita sudah menyaksikan beberapa pemain dari skuad remaja diberikan peluang bermain bersama-sama rakan senior mereka dan antara yang bertuah kerana diberikan kesempatan tersebut ialah Tyler Blackett, Michael Keane dan Reece James.

Jika Blackett dan Keane berjaya mengekalkan benteng pertahanan daripada dibolosi selepas mereka diberikan peluang beraksi di separuh masa kedua, James pula antara pemain United yang mencuri tumpuan apabila berjaya meledak dua gol dalam perlawanan semalam. Itu bukan sekadar dua gol yang dijaringkan oleh seorang pemain muda tetapi lebih daripada itu dan yang menariknya ialah apabila melihat ketenangan beliau ketika menjaringkan gol-gol tersebut. Mana-mana pemain muda pastinya memasang impian mahu menjaringkan gol untuk skuad senior, dan James sudahpun berjaya memenuhi impiannya semalam. Dua gol yang dihasilkan James juga sebenarnya memberikan kita harapan bahawa selepas kemunculan sensasi Adnan Januzaj musim lalu, kita mungkin menyaksikan seorang lagi pemain muda United mencetuskan impak musim ini. Kita semua tahu bahawa Sir Alex Ferguson sepanjang era 27 tahunnya mengendalikan kelab berjaya mengetengahkan bakat-bakat muda dari akademi hingga menjadi bintang dalam skuad senior. Dari era Ryan Giggs hinggalah ke era Danny Welbeck, akademi kelab tidak pernah ketandusan bakat-bakat muda terbaik untuk dibekalkan kepada skuad utama United. Siapa tahu selepas ini giliran anak muda bernama Reece James, Tyler Blackett atau Michael Keane pula mencipta nama bersama skuad senior. Jika itu berlaku, kita tidak perlu merasa hairan kerana anak-anak muda ini sebenarnya sudah berada di bawah jagaan orang yang tepat. Beliau yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Van Gaal. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

24 Julai 2014

BERAKHIRNYA SEBUAH ERA...BERMULALAH REVOLUSI BAHARU

“Janggal”…hanya itulah sahaja perkataan yang mampu saya luahkan selepas melihat Rio Ferdinand menandatangnai kontrak secara rasmi bersama Queens Park Rangers, manakala Patrice Evra pula bakal menyarung jersi Juventus musim hadapan. Ferdinand sudah berada di Old Trafford lebih sedekad selepas menyertai United dari Leeds (United) pada 2002, manakala Evra pula hadir pada musim sejuk 2006 bersama-sama Nemanja Vidic. Ferdinand adalah pemain United yang menjadi idola saya dan atas sebab itulah mengapa saya merasa janggal ketika melihat foto-foto beliau menjalani latihan pra musim bersama-sama rakan baharunya di QPR. Selepas menghabiskan tempoh 12 tahun yang penuh gemilang di Old Trafford, pihak pengurusan kelab menerusi Ed Woodward pada Mei lalu memaklumkan bahawa kontrak Ferdinand tidak akan disambung dan beliau bebas memilih kelab baharunya musim hadapan. Selama 12 tahun, Ferdinand sudah bermain lebih 450 perlawanan untuk United di mana kestabilan dan konsistensinya di benteng pertahanan antara penyumbang kepada kejayaan United di bawah kendalian Sir Alex Ferguson memenangi enam kejuaraan liga serta beberapa lagi trofi utama dari 2002 hingga 2013. Secara peribadi, Ferdinand sudah membantu kelab memenangi 15 trofi kejuaraan sepanjang tempoh 12 tahun beliau menyarung jersi The Red Devils. Resam dunia, yang baharu akan pudar jua akhirnya dan begitulah juga dengan apa yang dialami Ferdinand.

Selepas bertahun-tahun memainkan peranan penting selaku jantung pertahanan United dan diiktiraf sebagai antara pemain pertahanan tengah terbaik di dunia, peningkatan usia menyebabkan kudrat Ferdinand kian terbatas manakala kecederaan pula sudah mula menjadi 'rakan akrabnya'. Kombinasi faktor usia dan kecederaan menyebabkan sumbangan Ferdinand di benteng pertahanan kian terhad, pergerakkannya juga semakin perlahan tetapi pengalamannya masih dan cukup berguna ketika United berdepan perlawanan besar dan penting. Musim lalu, David Moyes menurunkan Ferdinand ketika United berdepan empat kelab yang menghuni tangga teratas liga (Chelsea, Liverpool, Arsenal dan Manchester City) selain beliau turut bermain selama 90 minit ketika United berdepan Bayern Munich pada perlawanan pertama peringkat suku akhir Liga Juara-Juara di Old Trafford. Jika mahu diambilkira faktor sentimental, sudah tentu saya mahukan Ferdinand terus kekal di Old Trafford dan kemudiannya bersara sebagai pemain United sepertimana yang dilakukan Jamie Carragher di Liverpool. Walau bagaimanapun, pada usia mencecah 35 tahun, Ferdinand mahu lagi bermain dan yakin beliau masih mampu bersaing di peringkat tertinggi. United sudah tidak mahukan lagi khidmatnya jadi jalan terbaik ialah memilih kelab lain yang mampu memberikan peluang buat beliau terus beraksi di Liga Perdana setiap minggu. Ferdinand dalam komennya di Sky Sports sebaik sahaja secara rasmi menjadi milik QPR mengatakan bahawa beliau sudah mempertimbangkan segala kemungkinan (meninggalkan United) sejak pertengah musim lalu dan selepas melalui tempoh 12 tahun yang gemilang, akhirnya tibalah saatnya untuk beliau meninggalkan Old Trafford.

Penghijrahan Ferdinand memang sudah dijangkakan terutamanya selepas Nemanja Vidic memutuskan menyertai Inter Milan Januari lalu, cuma saya agak terkejut kerana beliau memilih QPR berbanding pulang semula ke West Ham United (kelab yang pernah mencungkil bakatnya ketika remaja). Bagi Evra pula, hari-hari terakhir kariernya di Old Trafford sudah boleh dihidu sejak musim lalu lagi apabila Leighton Baines dan Luke Shaw sering disebut-sebut sebagai pemain yang bakal menggantikan tempatnya. Kejayaan kelab menandatangani Shaw dari Southampton menguatkan lagi andaian bahawa Evra akan segera meninggalkan kelab musim panas ini. Akhirnya segala desas-desus yang bertiup kencang selama ini menjadi kenyataan dan Evra sudah pun memilih Juventus sebagai kelab keenam yang bakal diwakilinya sepanjang karier profesional beliau. Sejak berakhirnya tempoh 12 tahun yang penuh cemerlang Denis Irwin di Old Trafford, saya beruntung kerana berjaya menyaksikan seorang lagi bek kiri yang memiliki skill teknikal tinggi bermain untuk kelab dan sudah tentu pemain yang saya maksudkan ialah Evra. Tidak seperti Irwin yang mampu menyempurnakan peluang dalam situasi bola mati (sepakan percuma) menerusi kaki kiri dan kanannya, Evra pula dianugerahkan dengan kepantasan dan skill menggelecek yang bagus. Jika mahu bercakap tentang peranan seorang fullback dalam era bolasepak moden, Evra adalah salah satu contoh terbaik. Evra dengan pantas boleh bertukar peranan dari fullback kepada wing back yang memerlukan beliau sentiasa bergerak turun dan naik sekiranya Sir Alex Ferguson menukar sistem permainan United dari 4-4-2 kepada 3-5-2 atau 5-3-2.

Lapan tahun lalu United membayar £6 juta kepada AS Monaco bagi mendapatkan khidmat Evra, dan selepas menyaksikan peranan serta sumbangan yang dimainkannya untuk kelab sepanjang tempoh tersebut, nilai sebanyak itu sudah tentulah satu daripada pembelian terbaik pernah dilakukan Sir Alex. Berbekalkan kepantasan serta kawalan bola yang menarik, Evra antara pemain United yang cukup menghiburkan untuk ditonton aksinya ketika di atas padang manakala karakternya pula membuatkan kita pada bila-bila masa tidak mungkin mampu melupakan kelibatnya. Tanggal 11 Februari 2012 antara momen yang tidak mungkin kita mampu lupakan jika bercakap tentang Evra. Siapa boleh melupakan reaksi balasnya terhadap Luis Suarez sebaik sahaja berakhirnya perlawanan menentang Liverpool yang berkesudahan United menang 2-1 di Old Trafford. Selepas menyaksikan keengganan Suarez berjabat tangan dengan beliau sebelum perlawanan itu dilangsungkan, saya faham mengapa Evra melakukan tindakan kurang profesional seperti itu hingga mengakibatkan beliau sendiri dicop sebagai musuh nombor satu oleh penyokong-penyokong Liverpool. Okey lupakan sahaja sejarah perseteruan Evra dan Suarez dan anggap sahaja semuanya sudah kembali normal kerana musim lalu Evra memberikan undiannya kepada bekas pemain Liverpool itu untuk dipilih sebagai pemain terbaik tahunan Liga Perdana. Selepas pemergian (Denis) Irwin, Sir Alex mencuba beberapa pemain di posisi bek kiri sebagai pengganti pemain Republik Ireland itu namun Phil Neville, Wes Brown, Mikael Silvestre dan Gabriel Heinze kesemuanya gagal menepati standard yang dimahukan beliau hinggalah ketibaan Evra pada Januari 2006.

Penampilan pertama Evra bersama kelab bagaimanapun bukanlah debut yang sempurna buat beliau apabila United tewas 1-3 kepada Manchester City di gelanggang lawan pada saingan liga. Selain dari itu, Evra juga semasa peringkat awal kariernya bersama United bergelut untuk cuba menyesuaikan diri dengan corak permainan di Liga Perdana tetapi kemudiannya sedikit demi sedikit mula mendapat rentak dan akhirnya muncul antara pemain yang wajib ada dalam kesebelasan utama Sir Alex. Selepas berjaya mengatasi rasa 'gementarnya', Evra tidak lagi menoleh kebelakang apabila namanya kemudian tersenarai dalam PFA Premier League Team of The Year selama tiga musim (2006-07, 2008-09 dan 2009-10), FIFA FIFPro World XI 2009 dan UEFA Team of The Year 2009. Gol terakhir Evra untuk United dijaringkan beliau pada perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di Allianz Arena namun itu tidak cukup untuk membantu kelab mara ke separuh akhir selepas kelebihan awal itu dipadamkan lawan menerusi gol pantas Mario Mandzukic, disusuli jaringan dari Thomas Muller dan Arjen Robben. Ketika zaman kemuncaknya, Evra bermain kesemua perlawanan liga pada musim 2009-10 dan dalam tempoh empat musim terakhir pula Evra hanya terlepas 13 perlawanan (liga) buat United, sekaligus menggambarkan betapa pentingnya peranan yang dimainkan beliau untuk kelab. Akhirnya sepertimana pemergian Vidic dan Ferdinand menandakan tamatnya dominasi mereka di benteng tengah United, begitulah juga halnya dengan Evra. Selepas bertahun-tahun menguasai posisi bek kira tanpa dicabar, Evra memutuskan sudah tibalah masanya untuk beliau mencari angin baharu. Mungkin menyedari bahawa beliau tidak lagi mampu memenuhi tuntutan tempo permainan Liga Perdana yang serba pantas, Evra memilih untuk berhijrah ke Juventus dan bermain di Serie A yang lebih perlahan (tempo permainannya).

QPR dan Juventus pada pandangan saya bertuah kerana berjaya mendapatkan pemain pertahanan berpengalaman seperti Ferdinand dan Evra. Meskipun mereka tidak lagi sepantas lima atau enam tahun dahulu, saya yakin Ferdinand dan Evra mampu memberikan sumbangan berkesan di benteng pertahanan The Hoops dan Bianconeri. Walaupun saya yakin kedua-duanya masih mampu beraksi untuk United (jika mereka kekal), saya juga berpandangan bahawa sudah tiba masanya untuk benteng pertahanan dibangunkan semula terutamanya selepas Nemanja Vidic mengambil keputusan menyertai Inter Milan. Jika Vidic mengambil keputusan kekal sekalipun, revolusi di benteng pertahanan tetap akan berlaku memandangkan,usia tiga pemain ini (Vidic, Ferdinand dan Evra) sudahpun melepasi angka 30. Selama bertahun-tahun menyaksikan mereka bertiga (Vidic, Ferdinand dan Evra) membentuk kombinasi ampuh di benteng pertahanan, suka atau tidak kini tibalah masanya untuk kelab menamatkan kebergantungan mereka kepada tiga lagenda tersebut. Vidic menjadi yang pertama (meninggalkan kelab), disusuli Ferdinand dan kemudiannya Evra, jadi tugas berat kini bakal dipikul Van Gaal untuk membina semula generasi baharu pertahanan United. Bukan tugas mudah juga buat Van Gaal mencari pengganti kepada tiga lagenda ini selepas melihat segala sumbangan dan peranan yang dimainkan mereka selama bertahun-tahun berkhidmat untuk kelab. Apa yang sudah disumbangkan Vidic, Ferdinand dan Evra selama ini sudah tentu melayakkan nama mereka ditulis dalam dewan kemasyhuran kelab dan pemain hebat seperti mereka memang selayaknya berada di sana serta diingati selama-lamanya. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

19 Julai 2014

MENANTI YANG DATANG DAN MELIHAT SIAPA YANG BAKAL PERGI

Selepas diumumkan secara rasmi sebagai pengurus Manchester United yang baharu Mei lalu, Louis Van Gaal akhirnya tiba di Old Trafford Khamis lalu dan memulakan hari pertamanya dengan melawat padang latihan kelab di Carrington. Ketika kebanyakkan pemain-pemain sedang menghabiskan cuti musim panas mereka dan akan hanya kembali ke kem latihan dalam tempoh beberapa hari lagi, tidak banyak yang mampu dilakukan Van Gaal pada hari pertamanya di kelab. Setiap kali tibanya musim baharu, topik yang paling hangat dibincangkan oleh peminat-peminat bolasepak ialah pemain mana yang bakal ditandatangani dan pemain mana yang bakal dilepaskan oleh kelab. Kehadiran Van Gaal kelmarin menyebabkan perdebatan tentang siapa selepas Ander Herrera dan Luke Shaw yang bakal beliau tandatangani semakin hangat diperkatakan dan sudah tentu sejak akhir-akhir ini nama Arturo Vidal, Mats Hummels, Angel Di Maria dan Thomas Vermaelen tidak lekang dari sebutan penyokong-penyokong United. Hingga setakat ini masih samar pemain baharu mana yang bakal ditandatangani kelab selepas kejayaan mendapatkan Herrera dan Shaw. Kehadiran Herrera dan Shaw serta beberapa lagi nama baharu yang saya yakin bakal ditandatangani nanti akan menyaksikan kelab memiliki limpahan pemain sekaligus menyebabkan kelab juga dibebani dengan kos gaji yang tinggi.

Menjual pemain yang dirasakan sudah tidak lagi mampu memberikan sumbangan berkesan kepada kelab dan yang tiada dalam perancangan Van Gaal bagi menghadapi saingan musim hadapan adalah jalan penyelesaian terbaik. Nemanja Vidic, Rio Ferdinand serta Alexander Buttner sudahpun meninggalkan kelab dan saya yakin senarai penghijrahan ini tidak akan berhenti setakat tiga pemain ini sahaja. Sudah tentu ada beberapa lagi pemain yang akan mengucapkan selamat tinggal dan mereka yang sering disebut-sebut bakal menuju pintu keluar selepas pemergian Vidic, Ferdinand dan Buttner ialah Anderson, Nani, Marouane Fellaini, Bebe, Tom Cleverley, Ashley Young serta Javier Hernandez. Walau apa alasan sekalipun, ada antara pemain ini perlu meninggalkan kelab bagi menyelamatkan karier mereka berikutan peluang tampil bermain setiap minggu semakin terhad dan ada juga antara mereka sudah tidak lagi mampu memberikan sumbangan berkesan di atas padang ketika diberikan peluang bermain. Dari senarai yang disebutkan tadi, saya sedikit kagum dengan kemampuan Anderson kekal bersama kelab walaupun saban tahun pemain berasal dari Brazil ini sering kali dispekulasikan bakal meninggalkan Old Trafford. Tidak keterlaluan jika saya katakan hanya keajaiban sahaja mampu mengekalkan Anderson di Old Trafford musim hadapan selepas menyaksikan tidak banyak sumbangan yang mampu beliau berikan kepada kelab sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Selain daripada kerap dibelenggu kecederaan, Anderson juga terpaksa bergelut dengan prestasi sendiri, tidak konsisten dan masih tercari-cari kreativitinya sebagai seorang midfielder yang semakin hilang. Selepas diangkat sebagai pemain terbaik pada kejohanan Piala Dunia Bawah 17 Tahun edisi 2005, agak mengejutkan melihat prestasi Anderson pada hari ini dan jalan terbaik buat beliau ialah meninggalkan Old Trafford dan mencari angin baharu. Menyertai semula Porto atau setidak-tidaknya pulang sahaja ke Gremio mungkin boleh menyelamatkan karier Anderson berbanding jika beliau terus kekal bersama United. Pengguguran namanya dari skuad yang bakal beraksi diperlawanan-perlawanan pra musim menguatkan lagi andaian bahawa Anderson akan diletakkan dalam senarai pemain yang bakal dijual musim panas ini. Tidak seperti Anderson, Nani pula sebenarnya memiliki beberapa musim yang produktif bersama United sejak beliau ditandatangani dari Sporting Lisbon pada 2007. Nani pada awalnya diharap mampu membentuk gandingan menggerunkan bersama Cristiano Ronaldo di kedua-dua bahagian sayap United berdasarkan kepada bakat serta kemahiran yang dimiliki pemain ini. Bukan itu sahaja, selepas Ronaldo menyertai Real Madrid pada 2009, ramai penyokong-peyokong United mengharapkan agar Nani mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan rakan senegaranya itu.

Tempoh terbaik Nani bersama kelab berlaku pada musim 2010-11 apabila beliau melakukan 33 penampilan liga dan menjaringkan sembilan gol sepanjang musim tersebut. Penampilan cemerlang Nani berbayar apabila di akhir musim, United berjaya memenangi kejuaraan liga buat kali ke-19. Musim berikutnya (2011-12), Nani berjaya mengekalkan rentak konsisten walaupun kelab terpaksa menyerahkan mahkota kejuaraan liga mereka kepada Manchester City pada perlawanan terakhir liga. Prestasi Nani terutamanya pada penggal kedua (musim 2011-12) juga cukup menarik hingga membolehkan beliau tersenarai sebagai antara pemain terbaik United musim tersebut. Walau bagaimanapun, dua musim terakhir menyaksikan karier Nani merudum disebabkan beberapa siri kecederaan yang membelenggunya. Kecederaan jugalah yang menyebabkan sumbangan Nani sepanjang dua musim terakhir semakin terbatas hingga memaksa beliau bergelut dengan masalah kurang konsisten dan menjadi penyebab mengapa kelibatnya di atas padang kadangkala seolah-olah 'tidak kelihatan'. Dengan minat yang ditunjukkan Juventus terhadap Nani sejak beberapa tahun terakhir, Van Gaal boleh 'menyelamatkan' karier Nani jika beliau bersetuju melepaskan pemain antarabangsa Portugal ini beraksi di Serie A selain membantu kelab mengurangkan beban kewangan menanggung kos gaji pemain.

Prestasi Nani sepanjang Piala Dunia yang lalu juga saya kira tidak banyak membantu beliau menambat perhatian Van Gaal bagi menyelamatkan kariernya di Old Trafford. Jika peluang Nani dan Anderson untuk terus kekal bersama kelab semakin tipis, bagaimana pula dengan nasib Marouane Fellaini? 'Pembelian besar' yang dilakukan David Moyes pada Ogos tahun lalu ini nampaknya tidak berjaya menepati jangkaan awal yang diletakkan ramai pihak pada musim pertamanya di Old Trafford. Masa depan Fellaini bersama kelab juga semakin diragukan selepas pemecatan Moyes dan jika diambilkira dari laporan-laporan media sejak kebelakangan ini, peluang Fellaini untuk melanjutkan kariernya di Old Trafford dan bermain di bawah arahan Van Gaal agak tipis. Walau bagaimanapun jika dibandingkan situasi Anderson dan Nani, saya masih berharap agar Fellaini terus diberikan peluang menyarung jersi kelab, kecualilah jika Van Gaal sudah memiliki pengganti pemain ini dan berpendapat Fellaini tidak sesuai dengan rentak dan taktikal permainan yang ingin beliau gunakan nanti. Jika diambilkira kepada sumbangan Fellaini musim lalu, harga sebanyak £27 juta yang dibelanjakan kelab ke atasnya agak mahal dan tidak berbaloi. Walau bagaimanapun jangan lupakan juga bahawa sepanjang musim lalu Moyes lebih banyak menggunakan Fellaini sebagai pemain tengah bertahan berbanding peranan biasa yang dimainkan beliau sebagai pemain tengah dan pemain tengah menyerang ketika bersama Everton.

Berbanding dengan Anderson dan Nani, saya masih menyimpan harapan untuk melihat 'wajah sebenar' Fellaini yang tenggelam musim lalu biarpun beliau adalah antara watak besar di Goodison Park sejak berpindah dari Standard Liege pada 2008. Dari 141 perlawanan liga yang dimainkan Fellaini ketika bersama The Toffees, beliau menjaringkan 25 gol dan mencipta 20 assist, statistik yang perlu dipertimbangkan juga oleh Van Gaal sebelum beliau mengambil apa-apa keputusan berhubung nasib pemain ini bersama kelab. Andai ada anugerah untuk mengiktiraf dan diberikan kepada pemain United paling gagal sepanjang musim lalu, Ashley Young adalah individu paling tepat untuk menerimanya. Agak malang buat bekas pemain Aston Villa ini, selepas melalui tempoh yang agak sukses pada musim pertamanya di Old Trafford (musim 2011-12) dan berjaya memenangi kejuaraan liga pada musim keduanya bersama kelab, prestasi Young jatuh menjunam musim lalu. Beliau muncul pemain United yang paling teruk dikritik penyokong-penyokong sendiri selain Tom Cleverley dan menjadi bahan ejekkan di laman-laman sosial. Biarpun prestasinya di atas padang sering dipertikaikan penyokong-penyokong, Young masih mampu tampil sebanyak 20 perlawanan liga musim lalu dan dalam hal ini, beliau sepatutnya berterima kasih kepada Moyes atas peluang dan kepercayaan yang diberikan pengendali itu terhadapnya.

Jika Young bernasib baik dan Van Gaal mahukannya terus kekal bersama kelab, beliau perlu bekerja keras meningkatkan semula prestasi sebenarnya atau jika tidak, pemain antarabangsa England ini akan mendapati sebahagian besar musim hadapan akan dihabiskannya di bangku simpanan. Berbekalkan prestasi yang dipamerkan Young sepanjang musim lalu, harapan beliau untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama United musim hadapan sukar tambahan pula dengan kecenderungan Van Gaal yang gemar mengetengahkan pemain-pemain muda dalam skuadnya. Ketika ini kelab memiliki dua pemain muda di bahagian sayap (Adnan Januzaj dan Wilfried Zaha) yang boleh bermain di sebelah kiri dan kanan, manakala Antonio Valencia pula menambahkan lagi persaingan sengit di posisi sayap kanan. Januzaj sudah membuktikan kemampuannya musim lalu manakala Zaha pula dipinjamkan ke Cardiff City selepas gagal mendapatkan tempatnya dalam skuad utama United di bawah kendalian Moyes. Zaha adalah pembelian yang dilakukan Sir Alex Ferguson pada musim terakhirnya sebelum bersara dan dianggap prospek masa depan bolasepak England. Bagaimanapun nasib Zaha tidak sebagus Januzaj dan di Cardiff City beliau hanya bermain sebanyak 14 perlawanan.

Agak malang, selepas melihat segala potensi yang ada pada dirinya ketika bersama Crystal Palace, Zaha gagal merebut tempat dalam skuad kendalian Moyes hingga memaksa beliau menghabiskan separuh musim sebagai pemain pinjaman. Jika diberikan pilihan saya berharap Zaha kekal bersama United memandangkan faktor umur yang masih menyebelahi bekas pemain Crystal Palace itu selain boleh menjadi alternatif di bahagian sayap sekiranya Van Gaal melepaskan Nani dan Young. Berbanding dengan semua pemain yang saya sebutkan di atas, Javier Hernandez pula sebenarnya berada dalam situasi yang jauh berbeza. Beliau perlu meninggalkan Old Trafford bukan disebabkan prestasi buruknya tetapi kualiti yang ada pada dirinya terlalu bagus untuk sekadar memanaskan bangku simpanan. Setakat ini kita tidak pasti apakah Hernandez ada dalam perancangan Van Gaal tetapi jika beliau masih kekal menyarung jersi United, nasibnya akan sama seperti musim-musim sebelumnya iaitu hanya berperanan sebagai pengganti kepada Wayne Rooney, Robin Van Persie dan Danny Welbeck. Saya tidak nafikan ketajaman naluri pembunuh Hernandez ketika berada dalam petak penalti lawan bukan sahaja lebih bagus berbanding Welbeck malah beliau juga lebih bagus berbanding beberapa penyerang utama yang beraksi untuk kelab-kelab di Liga Perdana.

Dari 24 penampilan liga musim lalu, Hernandez hanya disenaraikan dalam kesebelasan permulaan sebanyak 6 kali tetapi beliau masih mampu meledak 4 gol untuk United. Hernandez adalah jenis penyerang tradisional yang hanya boleh bermain disatu posisi ketika di atas padang dan itulah kelemahan utamanya. Semasa peringkat awal kehadiran Hernandez di Old Trafford, ramai penyokong-penyokong United membandingkan beliau dengan lagenda sebelumnya iaitu Ole Gunnar Solskjaer. Mereka (penyokong-penyokong) berharap agar Hernandez kekal lama bersama kelab sekaligus mengikut jejak bekas bintang antarabangsa Norway itu.  Bagaimanapun saya tidak yakin Hernandez mampu terus bersabar dengan memainkan peranan selaku supersub hingga menjejaskan peluangnya bersama skuad kebangsaan Mexico. Di Piala Dunia 2014, kegagalan beraksi setiap minggu untuk kelab sudah mula menampakkan kesan kepada karier Hernandez bersama skuad El Tricolor apabila beliau sekadar diletakkan oleh Miguel Herrera selaku pengganti kepada Oribe Peralta. Bagi menyelamatkan kariernya, Hernandez boleh dijual atau meminta supaya dijual agar beliau dapat menikmati aksi perlawanan setiap minggu di tempat lain. Beliau antara pemain United yang cukup disenangi dan saya yakin penyokong-penyokong akan mendoakan kejayaan beliau walaupun tidak lagi menyarung jersi merah The Red Devils.

Sehingga setakat ini United masih kekal dengan Herrera dan Shaw sebagai pemain baharu yang dibawa masuk dan sudah semestinya kita menantikan siapakah pemain seterusnya yang akan ditandatangani kelab bagi menghadapi cabaran musim hadapan. Ketika kita menanti apakah perpindahan Arturo Vidal, Mats Hummels, Thomas Vermaelen dan beberapa lagi pemain yang digembar-gemburkan berada dalam radar buruan kelab mampu direalisasikan, Van Gaal pula cuba menenangkan penyokong-penyokong dengan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak mahu terburu-buru berbelanja musim panas ini. Van Gaal pengendali berpengalaman jadi sudah tentu beliau tahu pemain mana yang dimahukannya serta sesuai dengan plan permainan yang bakal beliau gunakan nanti. Selaku pengendali berpengalaman dan sudahpun memenangi berbagai trofi kejuaraan sebelum ini, kehadiran beliau di sini sudah tentulah berbekalkan misi untuk memenangi sesuatu. Beliau sudah pun membuktikannya ketika bersama Ajax Amsterdam, Barcelona, AZ Alkmaar serta Bayern Munich dan kini sama-samalah kita berharap agar sentuhan ajaibnya berterusan di Old Trafford pula. Pemain mana yang bakal datang dan pemain mana yang bakal pergi bukanlah perkara yang terlalu penting kerana saya hanya ingin melihat di manakah kedudukan United sebaik musim 2014-15 berakhir. Adakah musim ini lebih baik berbanding musim lalu? Glory Glory Manchester United!!! – A.J