16 Disember 2017

ADAKAH JANUARI BAKAL MENJADI BULAN YANG SIBUK BUAT MOURINHO?




Kekalahan kepada Manchester City Isnin lalu (11 Disember) bukan sahaja menyaksikan United ketinggalan 11 mata di belakang jiran sekota mereka tetapi turut memberikan isyarat jelas kepada Jose Mourinho bahawa ada beberapa posisi yang perlu beliau perkuatkan sebaik jendela perpindahan pemain pertengahan musim dibuka Januari ini. Saya yakin kekalahan menyakitkan kepada City juga bakal menyaksikan penglibatan secara aktif United dalam mendapatkan pemain-pemain sasaran mereka sepanjang Januari ini.

Dengan saingan pusingan kalah mati Liga Juara-Juara akan berlangsung pada Februari ini serta perlumbaan mengejar kejuaraan liga yang pada pandangan saya masih lagi terbuka walaupun City mencipta jurang yang cukup luas, saya fikir Mourinho tidak akan berdiam diri dalam usaha mendapatkan beberapa pemain baharu bagi memperkasakan skuadnya. Untuk itu Mourinho diramalkan meletakkan posisi bek kiri, attacking midfielder dan central midfielder sebagai fokus utama untuk beliau perkuatkan.

Bek Kiri...

Dalam tempoh dua hingga tiga musim terakhir, Ashley Young, Matteo Darmian, Daley Blind, Marcos Rojo dan Luke Shaw antara nama yang pernah dan sering digunakan untuk mengisi posisi sebagai pertahanan kiri. Namun tiada satu pun di antara mereka mampu menguasai posisi tersebut secara dominan sebagaimana Antonio Valencia yang berada di posisi berlawanan.

Sepanjang tempoh tersebut juga, Louis Van Gaal dan kini Mourinho belum menemukan pemain yang layak untuk diletakkan di posisi pertahanan kiri secara tetap. Dari nama-nama yang disebutkan di atas, hanya Shaw sahaja boleh dianggap sebagai pertahanan kiri tulen, namun masa depan beliau sering diperdebatkan kerana kurangnya minit bermain sejak ketibaan Mourinho.

Rojo juga boleh memainkan peranan sebagai pertahanan kiri di mana posisi tersebut bukanlah asing buat beliau ketika menyarung jersi skuad kebangsaan. Bagaimanapun di Old Trafford, Rojo kini lebih selesa dan dikenali kerana aksi ampuhnya di posisi pertahanan tengah ketika dipasangkan sama ada bersama Chris Smalling, Eric Bailly, Phil Jones atau Victor Lindelof.

Bagi Blind dan Darmian pula, mereka antara pemain yang kini sedang menghitung hari-hari terakhir bersama kelab. Blind merupakan pemain serba boleh kerana kemampuan beliau beraksi sebagai pertahanan kiri, tengah dan juga pemain tengah bertahan namun sering berdepan isu stamina selain kekuatan fizikalnya turut diragui, begitu juga Darmian yang berdepan isu sama.

Untuk segala masalah di atas, Mourinho melihat kelibat Danny Rose sebagai kunci yang membuka kepada jalan penyelesaian. Jika Rose dijadikan sasaran, United juga diberitakan sanggup melepaskan Shaw kepada Spurs sebagai pertukaran. Keinginan tinggi Rose untuk menjulang trofi kejuaraan tampak sukar disekat Spurs dan Old Trafford merupakan antara destinasi terbaik untuk beliau tuju bagi menenuhi impiannya.

Attacking Midfielder...

Ketika Henrikh Mkhitryan mahu bersemuka dengan Mourinho bagi membincangkan masa depan beliau bersama kelab, apakah akan ada sebarang kemungkinan untuk kita menyaksikan seorang perancang baharu di bawa masuk Januari ini? Saya tidak pernah meragui kualiti yang dimiliki Mikhi tapi kita juga perlu mengakui bahawa bintang Armenia ini nampaknya masih belum mampu menyesuaikan dirinya dengan gaya bolasepak Inggeris sejak tiba di Old Trafford Julai tahun lalu.

Di awal musim, Mikhi muncul antara pemain United paling menyerlah ketika beliau diberikan peranan sebagai playmaker oleh Mourinho menerusi bantuan-bantuan gol serta peluang-peluang jaringan yang diciptanya. Dari seorang pemain yang memiliki kreativiti tinggi serta visi permainan menarik, prestasi Mikhi kemudiannya turun secara mendadak. Ketiadaan Pogba yang terpaksa berehat panjang kerana masalah hamstring antara faktor yang menyumbang kepada bungkamnya prestasi Mikhi.

Kurangnya sokongan dari bahagian tengah (terutamanya sepanjang ketiadaan Pogba) menyebabkan kreativiti dan visi permainan Mikhi terbantut. Ketika lawan berjaya mematikan setiap pergerakan Mikhi, bekalan hantaran-hantaran berkualiti untuk Romelu Lukaku juga semakin berkurangan lantas menjejaskan produktiviti warga Belgium itu selaku pembekal gol buat United. Untuk rekod, kali terakhir Mikhi mencipta bantuan gol ialah pada 26 Ogos lalu ketika berdepan Leicester City di Old Trafford. 

Jika Mourinho mahu mengekalkan Mikhi, meletakkan pemain ini kembali ke posisinya sebagai penyerang sayap adalah opsyen terbaik. Jika itu berlaku siapa yang bakal dibawa masuk untuk bertindak selaku pemain tengah menyerang? Mesut Ozil ialah calon paling hangat dan menjadi buah mulut penyokong-penyokong United sejak kebelakangan ini. Malah pada Oktober lalu Mourinho sendiri tampak yakin mampu menjalinkan semula kerjasamanya dengan playmaker Jerman itu.

Melepaskan Ozil ketika jendela perpindahan musim sejuk dibuka adalah langkah terbaik yang boleh dilakukan Arsenal berbanding hilang khidmat pemain ini secara percuma musim panas nanti. Faktor Mourinho menyaksikan United antara kelab yang memiliki potensi paling besar dalam mendapatkan tandatangan Ozil memandangkan sejarah kerjasama yang pernah terjalin antara mereka ketika di Santiago Bernabeu dari 2010 hingga 2013.

Central Midfielder...

Masih wajar diberikan perhatian meskipun posisi ini bukan keutamaan paling atas untuk Mourinho perbaiki memandangkan beliau sudah memiliki pemain sekaliber Paul Pogba. Mourinho berjaya menemui gandingan ideal buat Pogba menerusi kehadiran Nemanja Matic tetapi United jelas bergelut di bahagian tengah ketika bekas pemain termahal dunia itu tersisih akibat kecederaan.

Meskipun Mourinho memiliki nama-nama lain seperti Ander Herrera, Marouane Fellaini serta potensi besar yang dimiliki Scott McTominay sebagai pengganti, kreativiti serta visi permainan Pogba ketika merancang gerakan sukar ditebus. Hal ini bukan andaian kerana kesemua kekalahan yang dialami United dalam saingan liga setakat ini berlaku ketika Pogba tidak bermain.

United sebenarnya tidak perlu menandatangani pemain baharu di posisi ini kerana mereka memiliki pilihan untuk memanggil Andreas Pereira pulang dari Stadium Mestalla. Pemain muda yang memiliki potensi besar ini sangat dikenali kerana kemampuan beliau melakukan hantaran-hantaran jauh yang tepat, bijak menyusun gerakan manakala kelajuan yang dimilikinya membolehkan United mengubah transisi bertahan kepada menyerang dengan pantas.

Kemungkinan Yang Bakal Berlaku...

Saya yakin terdapat potensi yang sangat besar untuk kita melihat United `terjun’ dalam pasaran perpindahan pemain Januari ini. Kekalahan kepada City merupakan isyarat paling jelas kepada Mourinho bahawa beliau perlu memperkasakan beberapa posisi dalam skuadnya jika mahu melihat United kekal dalam misi menghambat pendahulu carta liga itu pada baki aksi saingan musim ini.

Mesut Ozil dan Danny Rose antara nama yang sering disebut-sebut punya potensi besar untuk di bawa ke Old Trafford Januari ini, namun dalam masa sama sebarang kemungkinan lain juga boleh berlaku. Joao Mario antara pemain yang dikatakan mampu memberi dimensi baharu di bahagian tengah United hingga Mourinho diberitakan sanggup meletakkan Mikhi sebagai pertukaran dalam misinya membawa pemain ini keluar dari San Siro.

Ozil, Rose dan Joao Mario antara pemain yang disasarkan Mourinho tetapi tidak mungkin untuk United membawa masuk tiga pemain baharu di pertengahan musim. Ketika kedudukan City masih berpotensi untuk dikejar, pusingan kalah mati Liga Juara-Juara yang bakal menanti serta trofi domestik (Piala FA dan Piala Liga) yang boleh dimenangi, tiada apa yang lebih menggembirakan Mourinho selain berjaya mendapatkan salah seorang pemain sasarannya Januari ini...Glory Glory Manchester United!!! 

11 Disember 2017

CITY YANG SEMAKIN MENJAUH....WAJARKAH UNITED KIBARKAN BENDERA PUTIH?




Perlawanan yang menarik tapi berakhir dengan kekecewaan. Itu mungkin rumusan paling tepat bagi menggambarkan apa yang berlaku sepanjang 90 minit aksi Manchester Derby di Old Trafford awal pagi tadi (11 Disember). Selepas mengharungi 40 perlawanan di gelanggang sendiri tanpa kalah, rekod kebal United di Old Trafford akhirnya ditamatkan City selepas barisan Pep Guardiola mengulangi pencapaian sama yang dilakukan mereka musim lalu menerusi kemenangan 2-1 yang dilakar mereka.

Seperti diramalkan sebelum perlawanan, United membiarkan bola dikuasai City sambil sesekali cuba mencari ruang untuk melakukan serang balas pantas. Menerusi pendekatan tersebut, United cuma mampu melepaskan percubaan pertama mereka ke arah gawang City menerusi Chris Smalling di minit ke-44, seminit selepas David Silva meletakkan pelawat di depan. Tiga minit selepas percubaan Smalling, kesilapan yang dilakukan Fabian Delph akhirnya memberikan ruang buat Marcus Rashford menyamakan kedudukan.

Tanpa Pogba United Kalah...

Tiga kekalahan yang dialami United musim ini (di tangan Huddersfield Town, Chelsea dan City) berlaku semasa ketiadaan Paul Pogba. Tanpa Pogba, United hilang kreativiti di bahagian tengah dalam melakukan gerakan kerana Nemanja Matic dan Ander Herrera lebih cenderung melepaskan umpanan-umpanan terus ke bahagian hadapan atau ke sisi kedua-dua sayap.

Pogba akan terlepas dua lagi perlawanan selepas ini, jadi penting bagi Jose Mourinho mencari jalan untuk memastikan United boleh `hidup’ tanpa Pogba ketika mereka berdepan Bournemouth dan West Bormwich Albion nanti. Kehilangan sentuhan Pogba sangat dirasai sepanjang aksi menentang City meskipun selaku pengganti Herrera sudah melaksanakan tanggungjawab beliau dengan sebaik mungkin.

United Lebih Bagus Ketika Mereka Ketinggalan...

Sepanjang babak pertama, City menguasai 72% penguasaan bola berbanding United (28%). Statistik ini sudah cukup menggambarkan betapa barisan Guardiola tampil lebih dominan meskipun mereka bermain di gelanggang lawan. United akhirnya bermain dengan baik dan mula tampil menyerang sebaik David Silva menjaringkan gol pembukaan pelawat di minit ke-43.

Selepas membiarkan City menguasai permainan selama 43 minit, United akhirnya mula memberikan tekanan kepada lawan sepanjang tempoh empat minit baki babak pertama (termasuk dua minit tambahan masa) dan hasilnya mereka berjaya menjaringkan gol penyamaan.

Di awal babak kedua, skrip hampir sama berulang sekali lagi. City masih menguasai permainan dan memegang penguasaan bola hingga menyaksikan United hanya mampu melepaskan percubaan pertama mereka 14 minit selepas babak kedua di sambung. Itu pun selepas City kembali di depan menerusi gol jaringan Nicolas Otamendi.

Selepas ketinggalan buat kali kedua, tiada apa yang mampu dilakukan United kecuali terus memberikan tekanan kepada lawan. Hasilnya mereka melepaskan lima percubaan ke arah gawang lawan. Peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan hadir di penghujung permainan namun percubaan jarak dekat Romelu Lukaku diselamatkan Ederson.

Lukaku Gagal Menyerlah Dalam Perlawanan Besar...

Dalam formasi 4-2-3-1, seperti biasa Lukaku memainkan peranan sebagai target man sambil disokong trio Marcus Rashford, Jesse Lingard dan Anthony Martial di belakangnya. Sepanjang perlawanan Lukaku antara pemain United yang saya lihat bekerja cukup keras di atas padang. Bagaimanapun pendekatan permainan yang digunakan United menyaksikan beliau gagal memberikan impak sekaligus dilihat agak tenggelam sepanjang permainan.

Sepanjang babak pertama, Lukaku cuma menyentuh bola sebanyak lima kali manakala sepanjang tempoh 90 minit permainan pula beliau cuma mampu melepaskan dua percubaan. Fungsi utama Lukaku dalam perlawanan ini sebenarnya lebih kepada penyambung gerakan-gerakan serang balas United terutamanya menerusi duel di udara. Taktik ini tidak berjalan lancar dan tambah malang kesilapan yang dilakukan beliau mengakibatkan gol kedua City terhasil.

Penampilan Lukaku sepanjang 90 minit perlawanan mengesahkan lagi reputasi beliau sebagai `kaki buli pasukan kerdil’. Meskipun beliau sebenarnya memiliki catatan yang baik ketika berdepan City sebelum ini, Lukaku jelas gagal menyerlah dalam aksi Manchester Derby pertamanya. Gagal menjaringkan sebarang gol serta satu bantuan gol, itulah catatan beliau ketika berdepan lima kelab besar Liga Perdana yang lain (Liverpool, Chelsea, Tottenham Hotspurs, Arsenal dan City).

Guardiola Yang Lebih Unggul...

Kekalahan terbaru yang dialami United kepada City bukan sahaja menghentikan perjalanan 40 perlawanan tanpa kalah mereka di gelanggang sendiri tetapi turut memanjangkan rekod buruk Mourinho ketika berdepan Guardiola. Lebih setahun lalu, City muncul pasukan terakhir yang berjaya menewaskan United di Old Trafford dan kini mereka juga muncul pasukan pertama yang berjaya menamatkan rentetan 40 aksi tanpa kalah barisan Mourinho di gelanggang sendiri.

Bagi Mourinho dan Guardiola, aksi awal pagi tadi merupakan pertembungan ke-20 membabitkan mereka selaku pengendali. Dari jumlah tersebut, Mourinho hanya mampu menewaskan skuad bimbingan Guardiola sebanyak empat kali, seri tujuh dan tewas sembilan kali. Kemenangan City di Old Trafford awal pagi tadi juga menyaksikan Guardiola muncul individu paling banyak menewaskan Mourinho di atas padang berbanding mana-mana pengendali.

Bendera Putih...

Penting buat United untuk memenangi Manchester Derby kali ini kerana sebarang keputusan akan menyaksikan City selesa di hadapan selaku pendahulu. Kini hasil kemenangan yang diraih The Cityzens menyaksikan mereka berjaya melebarkan jurang kepada 11 mata di tangga teratas liga. Menyaksikan kepada penampilan konsisten barisan Guardiola setakat ini, sukar buat mana-mana pencabar yang lain untuk mengejar atau sekurang-kurangnya memberikan tekanan kepada mereka.

Antonio Conte awal-awal lagi sudah mengibarkan bendera putih selepas kekalahan yang dialami skuadnya kepada West Ham, jadi wajarkah Mourinho melakukan hal yang sama selepas menyaksikan United kini ketinggalan 11 mata di belakang City? Sejujurnya masih terlalu awal untuk meletakkan City selaku juara baharu Liga Perdana kerana masih ada 22 perlawanan liga yang perlu diharungi kesemua pasukan.

Segala kemungkinan boleh berlaku dalam tempoh lima bulan sebelum saingan liga berakhir, jadi berharaplah agar City tidak terus konsisten seperti sekarang. Jika Guardiola berjaya mengekalkan City selaku pasukan yang sukar dikalahkan, tugas buat mana-mana pencabar lain mengejar mereka menjadi tugas yang hampir mustahil dilaksanakan. Mourinho yang sangat terkenal dengan `aroma’ optimisme dalam diri beliau juga mengakui akan hakikat itu.

Jika Mourinho mendapati City tidak lagi mampu dikejar, misi untuk mengekalkan kedudukan United ditangga kedua bakal menjadi misi yang wajib disempurnakan beliau. Selain dari itu masih ada tiga lagi kejuaraan (Liga Juara-Juara, Piala Liga dan Piala FA) yang boleh dijadikan sasaran, jadi nasihat saya kepada anda, bawa bertenang dan nikmati sahaja baki saingan musim ini.

Mungkin buat masa ini City kelihatan seperti barisan yang hampir sempurna dan mustahil untuk dikejar, tetapi saya masih percaya bahawa keajaiban boleh berlaku pada bila-bila masa. Jika keajaiban yang kita harapkan tidak berlaku, pasrah saja bahawa musim ini bukan musimnya untuk United kembali menjulang kejuaraan liga selepas kemarau selama empat tahun. Jika Conte sudah mengibar bendera putih, saya berharap Mourinho pula tidak begitu...Glory Glory Manchester United!!!

09 Disember 2017

IBU SEGALA PERLAWANAN ATAU SATU LAGI AKSI BLOCKBUSTER YANG MEMBOSANKAN




Penguasaan dua kelab Manchester dalam saingan liga musim ini bakal menyaksikan aksi Manchester Derby yang dilangsungkan di Old Trafford Isnin ini perlawanan terbesar dan menarik dalam sejarah perseteruan membabitkan Manchester United dan Manchester City. Pertembungan ke-152 dalam sejarah kedua-dua kelab itu juga menjadi pentas terbaik buat United kembali mengejar dan mencantas kelebihan lapan mata yang dimiliki skuad The Citizens itu selaku pendahulu carta liga.

Kunjungan City ke Old Trafford kali ini berbekal keyakinan cukup tinggi selaku calon utama menjulang kejuaraan liga selepas mereka mengharungi 15 perlawanan liga tanpa kalah. Hanya Everton muncul satu-satunya pasukan yang berjaya memaksa The Citizens berkongsi mata selepas terikat 1-1 pada aksi yang dilangsungkan di Stadium Etihad 21 Ogos lalu. Bagi United pula, empat kemenangan dari empat aksi terakhir (liga) mereka satu isyarat yang kuat bahawa City bakal berdepan `gelora besar’ sepanjang tempoh 90 minit di Old Trafford nanti.

Aksi Barisan Mahal...

United dan City sudah menghabis ratusan juta Pound dalam usaha mereka memperkuatkan barisan masing-masing terutamanya dalam tempoh dua musim terakhir. Manchester Derby kali ini juga dikatakan perlawanan termahal dalam sejarah bolasepak jika diambilkira nilai keseluruhan kesebelasan pemain yang dimiliki kedua-dua kelab. Dianggarkan kesebelasan kedua-dua pasukan yang bakal beraksi nanti bernilai £650 juta.

Rekod Aguero...

Kevin De Bruyne, David Silva dan Gabriel Jesus antara pemain City yang pastinya menjadi sorotan dalam perlawanan ini namun saya meletakkan Sergio Aguero sebagai pemain yang perlu diberikan `perhatian istimewa’ oleh benteng pertahanan United. Sejak ditandatangani City pada 2011, Aguero sudah meledak empat gol dari tiga penampilannya di Old Trafford.

Empat gol yang diledak Aguero di Old Trafford berlaku dalam pertemuan liga pada musim 2011/12 (menang 6-1), musim 2012/13 (menang 2-1) dan musim 2014/15 (kalah 2-4). Bagaimanapun Aguero tidak diturunkan dalam dua kunjungan terakhir City di Old Trafford (dalam saingan liga) kerana masalah kecederaan dan penggantungan.

Trend Positif Lukaku...

Jika Aguero memiliki rekod jaringan yang baik ketika berdepan United di Old Trafford, kita juga sebenarnya boleh mengharapkan `trend’ sama ditampilkan Romelu Lukaku. Satu gol yang dijaringkan Lukaku ketika Everton membelasah City (4-0) dalam aksi yang dilangsungkan di Goodison Park musim lalu sebenarnya melanjutkan `trend’ positif beliau setiap kali berdepan skuad The Citizens.

Secara keseluruhan, Lukaku sudah menjaringkan tujuh gol dan mencipta lima bantuan gol dari 12 aksi menentang City. Musim lalu dalam dua aksi menentang Everton (di Etihad dan di Goodison Park), Guardiola menurunkan John Stones dalam usaha City menghentikan Lukaku namun tetap tidak berhasil menyekat beliau dari membocori pintu gol mereka.

Untuk derby kali ini sangat menarik untuk kita lihat siapa pemain yang bakal ditugaskan Guardiola bagi merantai pergerakan Lukaku. Nicolas Otamendi dan Vincent Kompany antara pilihan yang dimiliki Guardiola. Dua pemain ini merupakan pemain pertahanan berpengalaman tetapi mereka juga dikatakan memiliki kelemahan dalam situasi perebutan bola di udara yang boleh dimanfaatkan Lukaku.

Siapa Pengganti Pogba?...

United akan mengharungi tiga perlawanan tanpa kelibat Pogba bermula dengan aksi `Manchester Derby’ kerana layangan kad merah yang diterimanya ketika berdepan Arsenal Ahad lalu. Satu tugas sukar buat Mourinho dalam memilih siapa pemain paling layak dan sesuai bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pogba di bahagian tengah United.

Dalam stok simpanannya, Mourinho memiliki Marouane Fellaini dan Ander Herrera, dua calon yang saya anggap paling tepat untuk digandingkan bersama Nemanja Matic nanti. Memandangkan Fellaini tidak beraksi dalam dua perlawanan (liga) terakhir United selain tahap kecergasannya masih diragui, saya fikir Herrera adalah calon paling berpotensi untuk diletakkan bersama Matic di bahagian tengah.

City Bukanlah Terlalu Sempurna...

Saya akui musim ini City muncul pasukan paling menarik untuk disaksikan aksi mereka di atas padang. Menerusi sentuhan Guardiola, City mempamerkan corak hantaran-hantaran pendek yang menarik persis Barcelona ketika mereka dibawah kendalian beliau. 13 kemenangan berturut-turut tampak seperti mereka pasukan yang sempurna tetapi tanda-tanda `keretakkan’ sudah mula terlihat dalam tiga penampilan (liga) terakhir mereka.

Meskipun tewas, Huddersfield Town, Southampton dan West Ham yang menjadi tiga lawan terakhir City berjaya mendedahkan kelemahan sebenar barisan Guardiola. Apa sebenarnya yang berlaku dalam tiga perlawanan tersebut? Tiga kelab yang berada di kelompok pertengahan dan bawahan liga itu sebenarnya berjaya menunjukkan kepada lawan-lawan City selepas ini cara terbaik bagaimana gawang Ederson boleh dibolosi.

Ketika berdepan Huddersfield, Southampton dan West Ham, gawang City dibolosi tiga kali di mana dua dari tiga gol yang dilepaskan Ederson berpunca dari sepakan sudut. Ketika berdepan Southampton, gol yang dijaringkan Oriol Romeu merupakan gol padang, tetapi sepanjang perlawanan terdapat dua peluang keemasan yang dilepaskan Wesley Hoedt dan Virgil Van Dijk dicipta dari situasi sepakan sudut.

Kelemahan City Yang Boleh Dimafaatkan United...

Tiga gol yang membolosi gawang City dari tiga aksi liga terakhir mereka termasuk peluang yang dilepaskan Hoedt berpunca dari gerakan dan hantaran dari sisi kiri. Mungkinkah David Wagner, Mauricio Pellegrino dan David Moyes berjaya mengesan sisi kiri City sebagai titik lemah yang boleh dimanfaatkan mereka? Jika andaian ini benar, Mourinho juga mungkin boleh meniru pendekatan yang digunakan Wagner, Pellegrino dan Moyes dalam aksi Manchester Derby nanti.

Mungkin juga menyedari bahawa kelemahan City dalam menangani hantaran-hantaran silang, Guardiola mengarahkan pemain-pemainnya untuk cuba meminimakan lawan dari melakukan hantaran-hantaran tersebut terus ke dalam petak penalti mereka. Menurut statistik yang dikeluarkan WhoScored, City hanya membenarkan lawan melakukan purata sembilan hantaran silang ke kubu mereka dalam setiap perlawanan.

Apa yang menariknya United pula merupakan kesebelasan yang mengutamakan gerakan-gerakan dari sisi tepi ketika melancarkan serangan. Dari statistik yang dikeluarkan WhoScored juga, United melepaskan purata 22 hantaran silang per perlawanan sekaligus muncul pasukan ketiga di belakang Spurs (24) dan West Ham (22). Ketika beraksi di gelanggang sendiri pula, purata hantaran-hantaran silang yang dilakukan United meningkat kepada 28 kali per perlawanan.

Statistik tersebut tidak terhenti setakat ini sahaja kerana United juga muncul antara pasukan yang cukup mahir dalam memanfaatkan peluang dari sepakan sudut. Empat gol yang dijaringkan United dari sepakan sudut meletakkan mereka di tangga ketiga di belakang Stoke City dan Leicester City sebagai barisan yang pakar dalam menyempurnakan peluang dari situasi tersebut.

Bagaimana pula kejayaan United dalam memanfaatkan peluang ketika mereka dihadiahkan sepakan percuma? Setakat ini United berjaya menjaringkan empat gol dari situasi sepakan percuma di mana tiga daripadanya adalah menerusi tandukan. Lapan gol yang dijaringkan United menerusi sepakan sudut dan percuma menyaksikan mereka muncul pasukan paling banyak menjaringkan gol dari situasi bola mati setakat ini.

Apa Yang Bakal Berlaku Nanti...

Ketajaman jentera serangan City memang menggerunkan selepas mereka meledak 46 gol dari 15 perlawanan atau purata tiga gol per perlawanan. Di bahagian belakang pula, 10 gol yang dilepaskan benteng pertahanan mereka menyaksikan City muncul pasukan kedua paling kurang dibolosi selepas United. Sepertimana musim lalu, City di bawah kendalian Guardiola mementingkan penguasaan bola dalam permainan mereka tetapi musim ini mereka tampak lebih menggila.

Purata 66.4% penguasaan bola dalam setiap perlawanan menerusi umpanan-umpanan pendek memang menjadi kekuatan kepada permainan City di mana hasilnya 36 dari 46 gol yang mereka jaringkan berlaku dalam situasi permainan terbuka. Lebih tepatnya The Citizens tidak bergantung kepada hantaran-hantaran silang atau jauh untuk menjaringkan gol tetapi sebaliknya setiap peluang dimanfaatkan menerusi umpanan-umpanan pendek di depan petak penalti lawan.

Melihat kepada pendekatan dan falsafah bolasepak Mourinho, saya yakin United akan membiarkan City menguasai bola dalam aksi derby nanti. Sekali lagi disiplin ketika bertahan sambil melakukan serang balas pantas ketika berpeluang bakal menjadi tunjang kepada permainan United. Statistik memang menceritakan kebenaran kerana dari enam kelab tangga teratas liga, United muncul pasukan yang memiliki peratus penguasaan bola paling rendah (52% per perlawanan).

Melihat kepada pendekatan kedua-dua pengendali, saya berharap agar anda tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk menyaksikan pertarungan Manchester Derby kali ini sebagai pertarungan yang epik. City menerusi pendekatan permainan possession football yang diterapkan Guardiola adalah lawan paling sempurna bagi menguji sejauh mana kebalnya United dalam mempertahankan rekod 40 perlawanan tanpa kalah mereka di Old Trafford.

Huddersfield, Southampton dan West Ham berjaya mendedahkan kelemahan City, kini terpulang kepada United untuk membuktikan bahawa barisan Guardiola bukanlah terlalu sempurna untuk berdepan kekalahan pertama mereka. Jika mahu menang, Mourinho perlu memastikan bukan sahaja benteng pertahanannya kental menyerap asakan tetapi beliau juga perlu berani mengarahkan pemainnya untuk keluar menyerang...Glory Glory Manchester United!!!

07 Disember 2017

“SESIAPA PUN TIDAK GEMBIRA BERTEMU UNITED”




Manchester United akhirnya mara ke pusingan kalah mati (16 pasukan) Liga Juara-Juara selepas jaringan Romelu Lukaku dan Marcus Rashford menyaksikan mereka memadam kelebihan awal CSKA Moscow untuk menang (2-1) di Old Trafford awal pagi semalam (6 Disember). Kemenangan ini juga menyaksikan United mengesahkan kedudukan mereka sebagai juara Kumpulan A selepas memungut 15 mata manakala wakil Switzerland (FC Basel) di posisi kedua.

Kemenangan yang diraih ke atas CSKA Moscow itu juga menyaksikan United berjaya melebarkan catatan rekod tanpa kalah mereka ketika beraksi di Old Trafford. Sejak kekalahan kepada Manchester City dalam saingan liga 10 September 2016 yang lalu, United sudah mengharungi 40 perlawanan (dalam semua kejohanan) di Old Trafford tanpa sebarang kekalahan.

Jumlah ini juga sebenarnya melangkaui catatan 37 perlawanan tanpa kalah di gelanggang sendiri yang pernah dilakar barisan Sir Alex Ferguson pada 2011. Bagaimanapun 40 perlawanan tanpa kalah di Old Trafford bukanlah catatan peribadi terbaik Jose Mourinho kerana semasa di Stamford Bridge, beliau berjaya membawa Chelsea mengharungi 60 perlawanan tanpa kalah ketika mereka beraksi di gelanggang sendiri.

United Dengan Sistem Tiga Pertahanan...

Meletakkan tiga pemain pertahanan bukanlah pendekatan yang asing untuk United kerana di era Louis Van Gaal, beliau sering menggunakan formasi 3-5-2 sebagai pilihan utama. Dalam tiga perlawanan terakhir, Mourinho memilih untuk meletakkan tiga pemain pertahanan menerusi formasi 3-4-3 atau 3-4-1-2 pilihan beliau. Menerusi pendekatan menggunakan sistem tiga pemain pertahanan, United menang tiga perlawanan terakhir mereka (menewaskan Watford, Arsenal dan CSKA Moscow).

Pendekatan menggunakan tiga pemain pertahanan sebenarnya bukanlah asing juga buat Mourinho kerana ketika masih di Bernabeu, skema tiga pemain pertahanan sering digunakan beliau terutamanya ketika berdepan lawan yang meletakkan dua pemain di barisan hadapan. Taktik ini berhasil dan sesuai dengan falsafah bolasepak Mourinho yang mengutamakan serang balas pantas kerana ia sangat efisien dalam menghasilkan gol dan solid ketika bertahan.

Tiga Aksi Tanpa Pogba dan Kembalinya Shaw...

Berdepan CSKA Moscow merupakan aksi terakhir Paul Pogba untuk United sebelum beliau mula menjalani penggantungan tiga perlawanan akibat layangan kad merah yang diterimanya ketika berdepan Arsenal Ahad lalu. Sudah tentu ketiadaan Pogba sebagai penggerak jentera tengah akan dirindui saat United menerima kunjungan Manchester City hujung minggu ini.

United akan merindui visi permainan tinggi Pogba yang setakat ini sudah menyumbang enam bantuan gol hanya menerusi 12 penampilan (dalam semua kejohanan). Catatan ini juga menyamai pencapaian yang dilakukan beliau sepanjang musim lalu dari keseluruhan 51 penampilan untuk United. Selain Pogba, Luke Shaw juga antara pemain yang menonjol di sebalik kemenangan United ke atas CSKA Moscow.

Selepas berehat panjang, Shaw seolah-olah mahu membuktikan kemampuan sebenarnya kepada Mourinho menerusi prestasi cemerlang yang ditampilkan bek kiri itu. Mengikut statistik sepanjang babak pertama, Shaw muncul pemain United paling banyak menyentuh bola di kawasan lawan (4 kali), dan jumlah ini dua kali ganda mengatasi catatan yang dilakukan Romelu Lukaku.

Mengulas tentang prestasi Shaw, Mourinho berkata: “Kerja-kerja yang dilakukan Shaw dalam situasi offensif sangat-sangat bagus. Dia menunggu waktu yang begitu lama untuk kembali bermain. Tidak mudah untuk memberikan peluang kepada pemain yang tidak bermain selama berbulan-bulan. Sejujurnya saya berpuashati dengan prestasi Shaw”.

Meneka Lawan United Di Pusingan Kalah Mati...

Antara kriteria utama undian yang bakal dilangsungkan Isnin ini (11 Disember) mensyaratkan tiada sebarang pertembungan sesama kelab senegara di pusingan kalah mati nanti. Ini bermakna kita sudah boleh mengeluarkan Liverpool, Manchester City, Spurs dan Chelsea dari senarai selain FC Basel (yang berada sekumpulan dengan United dalam saingan peringkat kumpulan).

Selaku juara Kumpulan A, United juga berjaya mengelak dari diundi bertemu dengan juara kumpulan yang lain (Paris St Germain, Roma, Barcelona dan Besiktas). Jadi kelab mana yang bakal berdepan United di pusingan kalah mati nanti? Jawapannya ialah sama ada Real Madrid, FC Porto, Shakhtar Donetsk, Sevilla, Juventus atau Bayern Munich (selaku runner up di peringkat kumpulan).

Jika boleh memilih sudah pasti kita mahu menyaksikan United berdepan Shakhtar Donetsk atau Sevilla terlebih dahulu, namun kemungkinan untuk United diundi berdepan gergasi Eropah seperti Real Madrid, Juventus atau Bayern Munich juga sangat besar. Dalam situasi sekarang, tiada apa yang mampu dilakukan Mourinho selain menanti hasil keputusan undian sebelum mengetahui siapa lawan sebenar barisan kendaliannya nanti.

Siapapun Tidak Gembira Bertemu United...

Ketika takdir United bakal ditentukan Isnin ini, Mourinho tampak seperti `tidak kisah’ dengan lawan mana yang bakal dihadapi barisan pemainnya di pusingan kalah mati (16 pasukan) nanti. Selepas kembali semula ke saingan tertinggi kelab-kelab Eropah dan mara ke pusingan kalah mati selaku juara kumpulan, United perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan untuk kembali bertempur dengan barisan elit Eropah yang lain.

Sepertimana Mourinho, saya yakin Zinedine Zidane, Jupp Heynckes dan Massimiliano Allegri juga waspada dengan sebarang kemungkinan barisan kendalian mereka diundi berdepan United. Saya sangat tertarik dengan kata-kata Mourinho dalam satu sidang media bahawa sesiapa pun tidak akan gembira jika mereka terpaksa bertemu United.

Ya....selaku antara kelab elit Eropah, United juga wajar dihormati serta ditakuti. Untuk itu barisan The Red Devils juga sewajarnya bersedia berdepan sebarang kemungkinan untuk dipertemukan dengan Real Madrid, Bayern Munich atau Juventus. Percayalah bahawa Zidane, Heynckes atau Allegri pasti tidak akan gembira sekiranya takdir menentukan bahawa barisan kendalian mereka terpaksa bertemu United...Glory Glory Manchester United!!!

05 Disember 2017

SUPER DAVE: ANTARA SANG PENYELAMAT ATAU YANG TERBAIK DI DUNIA




Kemenangan yang diraih Manchester United ke atas Arsenal di gelanggang lawan awal pagi Ahad lalu bukan sahaja dibantu ketepatan strategi yang digunakan Jose Mourinho tetapi juga kerana ketangkasan David De Gea melalui penyelamatan-penyelamatan hebat yang dilakukannya sepanjang tempoh 90 minit perlawanan. Saya akui keputusan Mourinho meletakkan dua pemain (Romelu Lukaku dan Anthony Martial) di barisan hadapan menyebabkan barisan pertahanan Arsenal bergelut hingga menghasilkan dua gol pantas di awal babak pertama.

Jesse Lingard menjaringkan dua gol di Stadium Emirates untuk memberikan United tiga mata berharga tetapi wira sebenar dan pengiktirafan selaku pemain terbaik perlawanan sudah tentu milik De Gea. Sebaik ketinggalan dua gol, Arsenal mula bermain secara `ultra offensive’ dalam usaha mereka untuk sekurang-kurangnya mendapatkan satu gol sebelum berakhirnya babak pertama. Tekanan kepada benteng pertahanan United semakin bertambah sebaik Alexandre Lacazette merapatkan kedudukan hanya empat minit sebaik babak kedua disambung.

Arsene Wenger mengakui kesilapan mudah yang dilakukan benteng pertahanannya menjadi penyebab utama kegagalan mereka menyekat United dari meraih tiga mata penuh di Stadium Emirates. Namun satu-satunya hal yang tidak dinafikan Wenger selepas kegagalan Arsenal mempertahankan rekod tujuh kemenangan berturut-turut di gelanggang sendiri dalam saingan liga musim ini ialah ketangkasan De Gea di hadapan gawang United. Sepanjang perlawanan De Gea melakukan 14 penyelamatan dan sudah tentu aksi paling hebat dari lelaki Sepanyol ini ialah ketika melakukan `double saves’ diminit ke-55.

3 Tahun Lalu...

Aksi gemilang yang ditampilkan De Gea awal pagi Ahad lalu bukanlah yang pertama dipamerkan beliau ketika ditugaskan mengawal gawang United. 14 penyelamatan yang dilakukan beliau sepanjang 90 minit menunjukkan kelas sebenar De Gea selaku penjaga gol terbaik dunia dewasa ini. Sejak ketibaan beliau di Old Trafford pada 2011, De Gea merupakan sosok penting di hadapan pintu gol bahkan beberapa penyelamatan yang dilakukannya memberikan mata atau sekurang-kurangnya mengelakkan United dari mengalami kekalahan.

Pada 2014, tiga penyelamatan hebat yang dilakukan De Gea ketika berdepan Everton di Old Trafford memberikan United tiga mata penuh. Aksi hebat beliau pada tanggal 5 Oktober 2014 itu bermula dengan kejayaan menafikan sepakan penalti Leighton Baines. Kejayaan itu juga menyaksikan rekod bersih Baines selaku pakar sepakan penalti di Liga Perdana berakhir. Seterusnya giliran Leon Osman pula menyaksikan percubaan jarak dekatnya dinafikan De Gea. Namun aksi paling gemilang sebenarnya berlaku di penghujung permainan.

Refleks pantasnya ketika menyelamatkan percubaan Bryan Oveido dengan menggunakan kaedah `opposite hand’ saya letakkan sebagai antara momen terhebat pernah ditampilkan De Gea di hadapan gawang United. Di luar padang pula, riak wajah Roberto Martinez seakan terpukau menyaksikan keajaiban yang dilakukan De Gea walaupun pada mulanya beliau tampak seperti sudah bersedia untuk meraikan `jaringan penyamaan’ tersebut. United akhirnya menang perlawanan itu menerusi gol jaringan Angel Di Maria dan Radamel Falcao manakala Steven Naismith muncul penjaring tunggal Everton.

Arsenal Yang Bungkam...

Kembali kepada aksi yang berlangsung di Stadium Emirates awal pagi Ahad lalu, kita terpaksa mengakui bahawa Arsenal pasukan yang lebih dominan berdasarkan statistik sepanjang 90 minit permainan (kecuali jaringan gol). Bagaimanapun akhirnya kita juga terpaksa mengakui bahawa dalam bolasepak pemenang perlawanan ditentukan oleh pasukan mana yang lebih banyak menjaringkan gol.

Menguasai permainan, hantaran, percubaan atau mencipta lebih banyak peluang tidak menjamin untuk anda keluar sebagai pemenang dan itulah yang berlaku kepada barisan Wenger tempohari. Sepanjang perlawanan Arsenal menguasai 75% penguasaan bola selain melakukan 33 percubaan ke arah gawang United. Jadi mengapa mereka cuma mampu menjaringkan satu gol sahaja?

Jawapannya ialah United memiliki David De Gea. Mengulas kegagalan barisan penyerangnya menembusi gawang United, Wenger berkata: “Ini merupakan satu misteri kerana kami tidak mampu menjaringkan banyak gol. Tapi De Gea ialah pemain terbaik dan itu sangat jelas”. Sejak statistik perlawanan mula direkodkan di Liga Perdana, tiada mana-mana penjaga gol yang melakukan 14 penyelamatan dalam satu perlawanan selain De Gea.

Pertahanan United Diselamatkan De Gea...

Bukan rahsia bahawa sejak dari awal lagi Mourinho memang merancang untuk menerapkan strategi serang balas pantas di Stadium Emirates dan bukan rahsia juga bahawa Arsenal sering berdepan masalah dalam menangani corak permainan seperti itu. “Rancangannya ialah ketika mereka menguasai bola kami semua akan bertahan. Ketika mereka hilang bola, kami akan cuba melakukan serang balas pantas untuk mendapatkan gol dan itulah yang kami lakukan”, kata Mourinho.

Di sebalik kejayaan di Stadium Emirates itu, kita juga terpaksa mengakui bahawa benteng pertahanan United sebenarnya tidak bermain dengan begitu baik. 14 penyelamatan yang dilakukan De Gea dari 33 percubaan yang dilakukan Arsenal jelas menunjukkan bahawa sistem pertahanan United tidak bekerja dengan lancar. Bagaimanapun akhirnya ketangkasan De Gea serta aksi-aksi heroiknya sepanjang perlawanan menutup segala kekurangan rakan-rakan di bahagian belakang dan memberikan United tiga mata berharga.

Penghargaan Dari Mourinho...

Arsenal menampilkan permainan menyerang yang menarik tetapi cara barisan United menangani corak `ultra offensive’ lawan juga wajar diberikan pujian. Ketika ditanya tentang penampilan De Gea, Mourinho berkata: “Saya mengatakan kepadanya selepas perlawanan bahawa apa yang saya lihat pada malam ini ialah seorang penjaga gol terbaik dunia. Mereka memiliki peluang tetapi kami terus berjuang dan memiliki penjaga gol yang hebat”.

Tugas Berat United...

Dalam tempoh beberapa tahun terakhir, De Gea membuktikan bahawa beliau antara pemain terpenting dalam kesebelasan United. Tindak balas refleks yang tinggi dan penyelamatan-penyelamatan indah yang dilakukannya mengesahkan lagi reputasi beliau sebagai antara penjaga gol terbaik pernah disaksikan mengawal gawang United.

Selepas persaraan Edwin Van der Sar, De Gea direkut Sir Alex Ferguson sebagai pengganti legenda Belanda itu untuk mengawal gawang United. Meskipun sedikit bergelut pada peringkat awal kariernya di England, De Gea akhirnya membuktikan bahawa beliau merupakan pilihan tepat selaku pengganti jangka panjang Van der Sar.

Melihat kepada satu lagi prestasi gemilang yang dipamerkan De Gea, saya yakin Real Madrid tidak akan mudah memadam hasrat mereka untuk membawa beliau kembali beraksi di La Liga. Selepas bertahun-tahun dikaitkan dengan perpindahan ke Bernabeu, satu tugas berat terpaksa dipikul pihak pengurusan United dalam usaha mengekalkan antara pemain terbaik mereka itu di Old Trafford.

Ketika anak-anak kecil lebih mudah menyebut nama Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Neymar, Paul Pogba atau Zlatan Ibrahimovic sebagai idola mereka, De Gea pula berjaya mengubah persepsi ramai pihak tentang tugas seorang penjaga gol menerusi ketangkasan dan penyelamatan-penyelamatan gemilang yang dilakukannya. Untuk musim hadapan berharaplah agar `Super Dave’ terus kekal dan menjadi penyelamat di pintu gol United. Adakah beliau kini penjaga gol terbaik dunia? Terserah kepada anda untuk melakukan penilaian. Glory Glory Manchester United!!!

21 November 2017

POGBA...YANG DALAM KELAS TERSENDIRI




Selepas tujuh minggu diketepikan kerana masalah `hamstring’, Paul Pogba akhirnya kembali menyertai rakan-rakan sepasukan beraksi di atas padang. Aksi menentang Newcastle United merupakan penampilan pertama Pogba dalam saingan liga sejak 9 September dan sudah tentu sepanjang tempoh tersebut, ketiadaan bekas pemain termahal dunia itu di bahagian tengah sangat dirasai.

Pogba bukan sekadar pengumpan, bukan juga sekadar penjaring gol tetapi perlu diakui bahawa beliau merupakan nadi kepada kelancaran gerakan-gerakan serangan United. Sepanjang ketiadaan beliau, Jose Mourinho memberikan penampilan kepada Ander Herrera untuk membentuk kombinasi bersama Nemanja Matic dan Henrikh Mkhitaryan dalam menggerakan jentera tengah pasukannya.

Kita perlu mengakui bahawa Herrera sudah melakukan tugasnya dengan sebaik mungkin namun kreativiti yang hilang sepanjang ketiadaan Pogba sukar digantikan. Ketiadaan Pogba bukan sahaja menjejaskan prestasi keseluruhan pasukan malah mencetuskan rantaian kemerosotan beberapa pemain tonggak seperti Henrikh Mkhitaryan dan Romelu Lukaku.

Biar Statistik Berbicara...

Empat aksi pertama liga musim ini ketika Pogba membarisi kesebelasan United, mereka mencatatkan purata 13.75 kali kehilangan bola dalam setiap perlawanan. Tanpa Pogba dalam tujuh perlawanan selepas itu, catatan tersebut menurun kepada 9.85 kali. Adakah itu bermakna United sebenarnya pasukan yang lebih bagus tanpa kehadiran Pogba?

Jawapannya sudah tentu tidak. Dengan adanya Pogba, United pasukan yang berbeza kerana mereka lebih berani mengambil risiko ketika menyerang, lebih banyak melakukan hantaran-hantaran, lebih banyak melakukan sentuhan di dalam petak penalti lawan malah ketepatan hantaran yang dilakukan mereka di zon `final third’ lawan juga lebih baik.

Mengikut statistik, United mencipta 59 peluang jaringan gol sepanjang empat aksi awal liga mereka ketika Pogba bermain. Dari jumlah tersebut mereka mencipta 49 `key passes’ dan 10 `assist’. Bagaimana pula jumlah peluang jaringan gol yang dicipta United sepanjang ketiadaan Pogba? Sepanjang tujuh perlawanan tanpa kehadiran Pogba, statistik tersebut menurun secara drastik.

Dari tujuh perlawanan yang diharungi United selepas Pogba menjalani rawatan, mereka cuma mencipta 39 peluang jaringan gol dan dari jumlah tersebut 28 merupakan `key passes’. Dari segi jumah percubaan yang dilakukan pula, United melepaskan 212 percubaan ke arah pintu gol lawan, manakala tanpa Pogba mereka melepaskan 202 percubaan (dari empat perlawanan).

Mourinho `Menangis’ Tanpa Pogba...

“Pemain berdepan risiko kecederaan dan penggantungan perlawanan. Kami tidak akan menangisi kehilangan pemain yang cedera. Jadi jika Pogba tidak dapat bermain kami masih memiliki Herrera, Carrick dan Fellaini”. Itu antara kata-kata Mourinho selepas Pogba disahkan tidak akan turun beraksi selama enam minggu kerana masalah hamstring September lalu.

Sepertimana kata Mourinho, United masih memiliki pemain yang boleh mengisi kekosongan ditinggalkan Pogba dalam stok simpanan mereka. Bagaimanapun akhirnya Mourinho juga terpaksa mengakui bahawa tiada seorang pun di antara mereka yang mampu menjadi nadi kepada `fluidity’ gerakan-gerakan serangan United sepertimana Pogba.

Tanpa Pogba, Mourinho menyaksikan United cuma mampu mengumpul 13 mata dari tujuh perlawanan liga atau purata 1.86 mata per perlawanan berbanding sebelumnya (2.5 mata per perlawanan ketika Pogba bermain). Lebih malang persembahan United ketika mereka mencatat keputusan seri di Anfield dan kekalahan kepada Huddrsfield Town mengundang kritikan keras. 

Lukaku Kemarau, Mikhi Menurun...

Antara pemain United yang paling terkesan dengan ketiadaan Pogba ialah Romelu Lukaku dan Henrikh Mkhitaryan. Lukaku menjaringkan empat gol dari empat penampilan awal liga bersama United, namun penyerang antarabangsa Belgium itu cuma mampu menjaringkan tiga gol sepanjang tujuh perlawanan ketika Pogba tersisih akibat kecederaan.

Kurangnya peluang-peluang yang tercipta serta hantaran-hantaran yang diterimanya dari rakan-rakan di bahagian tengah menyaksikan Lukaku kemarau gol dalam empat perlawanan liga berturut-turut (ketika berdepan Liverpool, Huddersfield, Spurs dan Chelsea). Kemarau gol Lukaku sebenarnya turut dipengaruhi oleh penurunan prestasi Mikhi selaku `playmaker’ yang membekalkan umpanan-umpanan kepada beliau.

Lima `assist’ dari tiga perlawanan awal liga serta gerakan-gerakan menarik yang dilakukannya ketika melancarkan serangan menyaksikan Mikhi muncul antara pemain United paling menyerlah. Bermain di samping Pogba, Mikhi lebih banyak terlibat dalam permainan di mana statistik menunjukkan beliau melakukan sentuhan bola setiap 1.2 minit, menerima umpanan setiap 1.7 minit dan mampu mencipta peluang jaringan gol setiap 22 minit.

Bagaimana pula prestasi Mikhi sepanjang ketiadaan Pogba? Tanpa Pogba, Mikhi mendapati beban tugasnya semakin bertambah kerana berbanding sebelumnya, beliau kini perlu kerap turun kebawah bagi mendapatkan bola. Jadi tidak hairanlah mengapa selepas ketiadaan Pogba, Mikhi cuma menerima purata satu umpanan setiap 2.1 minit dan melakukan sentuhan bola setiap 1.4 minit.

Akhirnya faktor ini turut mempengaruhi kemampuan beliau dalam mencipta peluang kerana sepanjang ketiadaan Pogba, Mikhi kini cuma mampu mencipta satu peluang jaringan gol setiap 58 minit. Ketika kita mendapati Mikhi gagal berfungsi sebagaimana biasa sejak ketiadaan Pogba, Lukaku yang berperanan selaku penggempur pula sering berada dalam keadaan `isolated’ kerana kurang dibekalkan dengan hantaran-hantaran berkualiti.

Pentingnya Pogba Dalam Skema Permainan United...

Dari empat perlawanan awal liga musim ini, Pogba muncul pemain United paling banyak melakukan percubaan ke arah pintu gol lawan dengan purata 4.3 percubaan per perlawanan. Satu-satunya pemain di Liga Perdana yang melakukan percubaan lebih banyak berbanding Pogba ialah Harry Kane (5.9 percubaan per perlawanan). Selain dari itu Pogba juga muncul pemain United paling kerap melakukan `dribble’  dalam setiap perlawanan (purata 4 `dribble’), mengatasi Marcus Rashford yang melakukan 3.9 `dribble’ per perlawanan.

Apa yang lebih penting ialah nisbah keberhasilan `dribble’ yang dilakukan Pogba mencapai 3.3 per perlawanan berbanding Rashford (1.7 per perlawanan). Menerusi pendekatan serang balas pantas yang menjadi nadi kepada permainan United, peranan Pogba dilihat sangat penting menerusi kemampuan beliau dalam melakukan `dribble’ bagi memecah pertahanan lawan, manakala umpanan-umpanan tepat jarak jauhnya boleh mengubah dengan pantas transisi dari bertahan kepada menyerang.

Selamat Kembali Pogboom...

Tujuh minggu tersisih di bilik rawatan, Pogba akhirnya melakukan kemunculan semula dalam kesebelasan utama United ketika berdepan Newcastle United awal pagi Ahad lalu. Kali ini United tampil berbeza dengan adanya Pogba di bahagian tengah kerana pergerakan bola dari bawah ke hadapan kembali mengalir dengan lancar. Permainan United kembali `hidup’ namun satu hal yang sangat menarik juga ialah melihat bagaimana mereka bangkit selepas ketinggalan.

Selain berjaya menjaringkan satu gol dan menyumbangkan assist yang membolehkan jaringan penyamaan terhasil menerusi Anthony Martial, kehadiran semula Pogba juga menyaksikan kemarau gol empat perlawanan berturut-turut Lukaku berakhir. Pentingnya pengaruh Pogba dalam menggerakkan jentera tengah United turut diakui Mourinho selepas tamat aksi menentang `The Magpies’ apabila beliau melabel pemain tengah itu berada dalam `kelas berbeza’.

Musim lalu beliau dilabel sebagai `tidak menepati nilai sebenar’ oleh para pengkritiknya tetapi kini Pogba membuktikan betapa besarnya pengaruh beliau dalam menghidupkan permainan United. Tujuh perlawanan (liga) tanpa Pogba, bukti betapa United sangat memerlukan pemain ini dalam menghidupkan jentera tengah mereka. Tujuh perlawanan tanpa Pogba juga sebenarnya sangat meresahkan meskipun lebih sebulan lalu Mourinho mengatakan bahawa beliau tidak akan menangisi kehilangan Pogba. “Selamat kembali beraksi Pogboom”...Glory Glory Manchester United!!!