30 Julai 2010

HERNANDEZ TIDAK AKAN DIPINJAMKAN KE PASUKAN LAIN

http://static.guim.co.uk/sys-images/Football/Clubs/Club_Home/2010/7/29/1280384923736/Javier-Hernandez-006.jpg
Prestasi memberangsangkan Javier `Chicharito' Hernandez dalam penampilan pertamanya bersama Manchester United ketika menentang pilihan MLS All Star memikat perhatian Sir Alex Ferguson. Dalam perlawanan itu, Hernandez menjaringkan gol pertamanya buat United ketika diberikan peluang tampil untuk kali pertama dalam perlawanan jelajah Manchester United di benua Amerika. Melihat kelibat Hernandez, Fergie pantas menegaskan bahawa bintang mudanya itu tidak akan dipinjamkan kepada mana-mana pasukan musim ini. Ketika ini United sudah mempunyai tujuh penggempur dalam pasukan selain Hernandez, United turut mempunyai Federico Macheda, Dimitar Berbatov, Michael Owen, Danny Welbeck, Mame Biram Diouf dan Wayne Rooney.

"Memang banyak tawaran yang kami terima dari pasukan lain untuk meminjam Hernandez dan Macheda, tetapi saya ingin mengekalkan kedua-duanya dalam pasukan", kata Ferguson. Hernandez dan Macheda masing-masing menjaringkan gol ketika United menewaskan pilihan MLS All Star 5-2 di Houtson kelmarin. Fergie yakin dengan bakat yang dimiliki oleh kedua-dua bintang mudanya itu. "Apabila anda bermain untuk pasukan seperti United, anda tidak boleh mengharapkan kepada bakat saja. Anda memerlukan sesuatu yang lain dan mereka berdua memilikinya", tambah Fergie lagi.

26 Julai 2010

FERDINAND GEMBIRA VIDIC KEKAL DI OLD TRAFFORD

http://es.fifa.com/mm/photo/worldfootball/nationalteams/01/08/93/26/1089326_full-prt.jpg
Rio Ferdinand

Berita tentang kesediaan Nemanja Vidic menyambung kontraknya bersama Manchester United nyata disambut gembira Rio Ferdinand selaku gandingan Vidic di benteng tengah United. Berita gembira itu telah disahkan sendiri oleh Ketua Eksekutif United, David Gill. Vidic yang menarik minat jurulatih baru Real Madrid, Jose Mourinho, telahpun bersetuju menyambung kontraknya yang masih berbaki dua tahun dan akan kekal di Old Trafford sehingga 2014. Bintang antarabangsa Serbia itu akan menerima kenaikan gaji sebanyak 90 ribu Pound seminggu. "Saya gembira Vida akhirnya kekal di Old Trafford dan ia berita yang cukup baik untuk pasukan. Berita ini merupakan pembakar semangat di musim baru", kata Ferdinand

Sir Alex Ferguson turut gembira dengan keputusan Vidic untuk menolak tawaran Real Madrid dan memilih kekal di Old Trafford. "Dalam era bolasepak moden tidak mudah untuk memperbaharui kontrak pemain ketika mereka berada dalam prestasi terbaik. Sejak musim lalu, spekulasi tentang Nemanja terus hangat diperkatakan. Adakalanya dari pihak media dan adakalanya dari sumber lain", kata Ferguson. "Kami tidak pernah merasa dia akan meninggalkan kami. Adalah sesuatu yang wajar apabila pemain mahukan tawaran kontrak yang lebih baik selepas mereka melakukan tugas yang baik untuk pasukan. Akhirnya kami menawarkan kepadanya tawaran kontrak selama empat tahun. Dia pemain yang hebat dan memiliki sikap yang bagus untuk memenangi sesuatu perlawanan. Ini membuatkan kami bertambah kuat", tambah Ferguson lagi.

23 Julai 2010

UNITED SIAP IKAT VIDIC

http://www2.vietbao.vn/images/vn901/the-thao/11105316-4.jpg
Manchester United diberitakan telah bersedia untuk menawarkan kontrak baru kepada tonggak pertahanannya, Nemanja Vidic. Sebelum ini bintang Serbia itu dikatakan kurang berpuas hati dengan gaji yang diterimanya dan bersedia mengikut jejak Cristiano Ronaldo dengan berhijrah ke Real Madrid. Menyedari hakikat bakal kehilangan salah seorang pemain terbaik mereka, pihak pengurusan United mengambil langkah segera dengan menawarkan tambahan kontrak selama dua tahun kepada Vidic dengan kenaikan gaji 1 juta Pound setahun. Vidic ketika ini menerima gaji 70 ribu Pound seminggu, jauh dari apa yang diterima oleh gandingannya di benteng pertahanan, Rio Ferdinand yang dibayar 120 ribu Pound seminggu. Vidic bagaimanapun masih belum membuat keputusan samada mahu terus kekal di Old Trafford atau mencari angin baru di Santiago Bernabeu namun pihak pengurusan United telah berusaha memujuk agar tonggak pertahanan itu terus kekal bersama pasukan.

19 Julai 2010

PIQUE: ROONEY AKAN BAWA UNITED JUARAI LIGA PERDANA INGGERIS

http://www.pericosonline.com/arxiu/images/fotos/gerardpique-2.jpg
Pertahanan antarabangsa Sepanyol, Gerard Pique melahirkan keyakinan bahawa Wayne Rooney akan memperbaiki prestasi buruknya di Piala Dunia 2010 dengan menerajui Manchester United merampas kembali kejuaraan Liga Perdana Inggeris dari tangan Chelsea. Pique yang pernah bermain bersama Rooney di Old Trafford sebelum berhijrah ke Barcelona pada tahun 2008 mengakui kerap melihat reaksi positif Rooney selepas mengalami kekalahan. "Penampilan buruk England dan prestasi mengecewakan di Afrika Selatan pastinya sangat menyakitkan Wayne. Tapi saya amat yakin kerugian England sebaliknya adalah keuntungan buat United", kata Pique kepada Daily Star.

"Saya tidak pernah melihat pemain yang begitu kecewa selepas mengalami kekalahan selain Wayne. Anda patut melihat reaksi Wayne di bilik persalinan selepas pasukan mengalami kekalahan. Ketika itu anda pastinya tidak mahu bercakap dengannya, dia seperti ingin meletup", tambah Pique lagi. Menurut Pique, selepas itu Rooney akan belatih dengan lebih keras pada sesi latihan awal minggu dan dia yakin itulah yang akan terjadi apabila Rooney kembali bersama United. "Hiburan tidak cukup untuk mengubati kekecewaannya dan apa yang perlu anda ingat ialah hanya kejuaraan sahaja yang mampu menebus semua rasa kecewa yang dialaminya".

17 Julai 2010

COLE: UNITED TIDAK PERLUKAN MARIO BALOTELLI


Mario Balotelli

Bekas penyerang Manchester United, Andy Cole berpendapat skuad The Red Devils tidak memerlukan penyerang Inter Milan, Mario Balotelli. Menurut Cole, United telah memiliki barisan penggempur yang mantap untuk merampas kembali trofi Liga Perdana dari tangan Chelsea. Kegagalan United mempertahankan kejuaraan Liga Perdana musim lalu menyaksikan Ferguson didesak oleh penyokong agar membawa masuk seorang penyerang baru bagi digandingkan dengan Wayne Rooney. Menurut Cole lagi, pembelian penyerang muda Mexico, Javier Hernandez sudah memadai apatah lagi United ketika ini sudahpun memiliki dua penyerang muda, Federico Macheda dan Danny Welbeck yang semakin matang.

"Hernandez bermain dengan baik dalam pusingan akhir Piala Dunia 2010 bersama Mexico. Dia memiliki naluri tajam dalam menghasilkan gol. Dua pemain muda, Macheda dan Welbeck yang gagal menyinar musim lalu akan menjadikan mereka lebih bernafsu musim ini", ujar Cole. Selain dari itu, United juga memiliki penyerang veteran, Michael Owen yang dilihat masih tajam di hadapan pintu gol. Musim lalu Owen yang hanya bermain sebanyak sebelas kali tapi masih mampu menjaringkan sembilan gol. "Bila Michael 100% cergas dan memperolehi banyak peluang untuk bermain, dia akan muncul semula sebagai pemain yang biasa menjaringkan 20 gol dalam semusim", tambah Cole lagi.

07 Julai 2010

FERGIE INGIN SNEIJDER KE OLD TRAFFORD

http://www.petersmulders.nl/500px/Sep2009/Wesley%20Sneijder%20120809055.JPG
Prestasi menarik yang ditunjukkan tonggak Belanda, Wesley Sneijder menarik minat Sir Alex Ferguson untuk membawanya ke Old Trafford musim depan. Menurut The Sun, Ferguson memang mahukan seorang pemain tengah menyerang bagi menggantikan Paul Scholes yang diambang persaraan dan Sneijder dilihat pilihan tepat mengisi posisi Scholes. Ferguson yang sebelumnya menolak untuk melakukan pembelian besar-besaran melihat Sneijder adalah pemain yang sesuai untuk diletakkan di belakang Wayne Rooney. Walau bagaimanapun hasrat Ferguson mendapatkan Sneijder sedikit sukar kerana Inter Milan telah meletakkan tanda harga sebanyak 35 juta Pound ke atas pemain antarabangsa Belanda itu. Nasib Sneijder juga bergantung kepada jurulatih baru Inter, Rafael Benitez kerana jika bekas pengurus Liverpool itu meletakkan Sneijder dalam perancangannya musim depan maka hasrat Ferguson akan bertambah sukar.