18 Jun 2017

RONALDO KEMBALI KE OLD TRAFFORD?...ADAKAH INI SATU LAGI `GURAUAN’?




Musim lalu beliau mengharungi musim yang sangat sukses bersama Real Madrid selepas berjaya membantu gergasi Sepanyol itu menutup tirai saingan 2016/17 dengan memenangi La Duodecima selain kejuaraan La Liga pertama dalam tempoh lima tahun. Kejayaan menundukkan Juventus di Cardiff juga menyaksikan Real Madrid muncul kelab pertama di era Liga Juara-Juara yang berjaya memenangi trofi tersebut dua musim berturut-turut.

Setahun sebelum kejayaan memenangi La Duodecima itu, Ronaldo turut mencipta sejarah sebagai kapten pertama Portugal yang berjaya menjulang kejuaraan Eropah. Ketika kapten-kapten hebat Portugal sebelum beliau seperti Eusebio, Paulo Futre dan Luis Figo gagal melakukannya, Ronaldo pula berjaya mengetuai A Selecao mencipta kejayaan epik dengan menjulang kejuaraan Piala Eropah selepas mereka menundukkan Perancis di Stade de France.

Satu Lagi `Gurauan’ Dari Ronaldo?...

Bermain untuk kelab besar dan paling berjaya seperti Real serta memenangi pelbagai kejuaraan untuk mereka tentunya impian yang ingin dijadikan kenyataan oleh mana-mana pemain bolasepak. Ronaldo antara pemain paling bertuah kerana di Bernabeu, beliau sudah memenangi semua kejuaraan utama baik di peringkat domestik mahupun Eropah selain pengiktirafan individu selaku pemain terbaik dunia.

Bagaimanapun selepas menikmati apa yang kebanyakan pemain lain cuma boleh impikan dalam tidur mereka, Ronaldo diberitakan tidak gembira dan ingin segera angkat kaki meninggalkan Bernabeu. Semuanya berpunca dari layanan buruk pihak berwajib Sepanyol membabitkan isu cukai beliau. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Ronaldo dilaporkan `tidak gembira’ di Sepanyol kerana hal seperti ini sudah dimainkan media hampir saban musim.

Masih ingatkah lagi dengan laporan sensasi bahawa beliau ingin pulang ke Old Trafford pada 2014 selepas kecewa dengan layanan `buruk’ yang diterimanya dari pihak pengurusan Real dan juga para Madridista. Setahun selepas itu, Ronaldo sekali lagi digembar-gemburkan ingin meninggalkan kota Madrid kerana berang dengan keputusan Florentino Perez memecat Carlo Ancelotti dan menggantikan pengendali Itali itu dengan Rafa Benitez.

Di sebalik segala laporan-laporan sensasi tentang masa depan beliau yang dimainkan media sebelum ini, Ronaldo sebalik memilih untuk terus kekal bersama Real. Malah pada Jun 2016 kontrak baharu yang ditandatanganinya menyaksikan beliau kekal di Bernabeu hingga ke usia 36 tahun. Lebih daripada itu, Ronaldo juga berhasrat untuk terus kekal bersama Real selama sepuluh tahun lagi.

Mampukah Real Menahan Ronaldo Dari Pergi?...

Ronaldo dikatakan sudah nekad dengan keputusannya mahu meninggalkan Bernabeu dan mencari haluan baharu meskipun Florentino Perez secara terbuka memberikan sokongan penuh di sebalik kemelut yang melanda mega bintangnya itu. Bagaimanapun bagi Ramon Calderon, (individu yang bertanggungjawab membawa Ronaldo keluar dari Old Trafford) berpendapat sukar untuk Real mempertahankan pemain terbaik mereka itu jika memang benar Ronaldo nekad ingin pergi.

Calderon mengingatkan bahawa situasi sekarang sebenarnya hampir sama dengan apa yang beliau hadapi pada 2009. “Mampukah Real mengubah pendirian Ronaldo? Itu sangat sukar. Saya memiliki pengalaman hampir sama dengan Manchester United ketika Ronaldo mahu pergi dari sana dan saya akhirnya berhasil membawa dia ke Madrid”. Beliau turut mendedahkan bahawa Ronaldo juga sebenarnya menunda perpindahan beliau ke Real selama setahun kerana menghormati Sir Alex Ferguson yang sudah dianggap sebagai mentornya.

Jika akhirnya nanti Ronaldo menamatkan ikatan lapan tahunnya bersama Real, Calderon berpendapat kelab paling berpotensi untuk disertai pemain itu ialah Manchester United. “Dia sangat menyintai kelab itu, kotanya serta penyokong mereka. Dan kemungkinan untuk dia kembali ke sana adalah sangat besar. Dia masih memiliki tempoh tiga hingga empat tahun lagi sebagai pemain top dan sentiasa dahagakan kejuaraan, jadi saya tidak fikir dia akan bermain di China atau Timur Tengah”.

Potensi Kembali Ke Old Trafford...

Ronaldo sudah berusia 32 tahun, usia yang boleh dianggap `tua’ untuk seorang pemain bolasepak. Bagaimanapun satu hal yang perlu kita akui ialah kondisi fizikalnya serta tahap permainannya masih terjaga dengan baik. Kelajuannya seperti tidak pernah berkurangan, liuk lentoknya ketika melepasi pemain lawan masih memukau dan sentuhan penyudahnya tetap tajam seperti dulu.

Aspek inilah yang menyebabkan kenapa Ronaldo masih lagi menjadi sandaran utama Real hingga sekarang selain idaman oleh mana-mana pengurus kelab besar untuk diletakkan dalam kesebelasan utama skuad masing-masing. Andainya beliau benar-benar meninggalkan Real, tidak syak lagi bahawa Ronaldo bakal menjadi buruan paling hangat sepanjang pasaran perpindahan musim panas ini.

Saya tidak pernah menolak sebarang kemungkinan untuk Ronaldo kembali menyarung jersi United, tambahan pula Mourinho sendiri sebenarnya sedang mencari penjaring gol unggul sebagai pengganti Zlatan Ibrahimovic. Bagaimanapun hubungan silam beliau dengan Mourinho yang dikatakan sedikit buruk selain harga tidak masuk akal untuk seorang pemain yang sudahpun berusia 32 tahun mungkin menggagalkan sebarang potensi untuk Ronaldo kembali ke Old Trafford.

Realiti Atau Fantasi...

Selepas bertahun-tahun disogokkan dengan cerita tentang kembalinya Ronaldo ke pangkuan kelab, saya menganggap laporan terkini berkaitan masa depan beliau yang sedang bergolak di Sepanyol sekadar satu lagi mainan media. Ronaldo mungkin sahaja akan meninggalkan Bernabeu seperti yang dilaporkan tetapi saya tidak yakin beliau akan menuju ke Old Trafford dalam penerbangan keluarnya dari kota Madrid.

Sejak beliau meninggalkan kelab lapan tahun lalu, sejak itu jugalah bukan sedikit di antara kita yang berharap agar Ronaldo kembali semula menerajui jentera serangan United suatu hari nanti. Ronaldo antara pemain paling berbakat dan antara pemain paling mempesonakan pernah beraksi di Theatre of Dreams, jadi tidak hairanlah mengapa sebahagian besar penyokong-penyokong United masih menyintai beliau.

Laporan tentang kemungkinan Ronaldo menyertai semula United tetap satu kemungkinan yang sangat menarik buat mana-mana penyokong United. Bagaimanapun secara realistiknya saya berpendapat Paris St Germain merupakan kelab yang sangat berpotensi mendapatkan tandatangan Ronaldo sekiranya jodoh pemain terbaik dunia itu dengan Real berakhir.

Ambisi besar Nasser El-Khelaifi selepas ego kelabnya tercalar akibat kegagalan mempertahankan kejuaraan Ligue 1 yang didominasi mereka selama empat musim berturut-turut selain kesempatan terbaik untuk Ronaldo dinobatkan kembali sebagai pemain termahal dunia memungkinkan beliau untuk menyarung jersi kelab dari ibu kota Paris itu.

Segala kemungkinan boleh sahaja berlaku...mungkin beliau akan terus kekal di Bernabeu dan menamatkan kariernya di sana atau mungkin juga musim depan kita bakal menyaksikan beliau menyarung jersi pasukan lain. Setakat ini beliau masih pemain Real Madrid, jadi anggap sajalah bahawa laporan-laporan sensasi tentang tekad Ronaldo mahu meninggalkan Bernabeu sekadar satu lagi `gurauan’ dari media.

Sejujurnya saya kurang yakin Ronaldo akan kembali ke Old Trafford sebagai pemain United dan agak tidak berbaloi juga bagi kelab memecahkan satu lagi rekod dunia untuk seorang pemain yang sudahpun berusia 32 tahun. Buat masa ini saya lebih cenderung menanti sebarang kemungkinan untuk United menandatangani sama ada Andrea Belotti, Alvaro Moratta, Ivan Perisic atau Fabinho berbanding mengharapkan agar fantasi kepulangan semula Ronaldo bertukar menjadi realiti.

Ronaldo tetap Ronaldo...pesona yang masih dicintai oleh majoriti penyokong-penyokong United dari dahulu hingga sekarang, tidak kira dalam jersi pasukan manapun yang beliau sarung. Penyokong sentiasa berfantasi untuk menyambut kepulangan semula Ronaldo suatu hari nanti tetapi seandainya ada destinasi lain (selain Old Trafford) yang beliau ingin tuju jika perpindahannya dari Bernabeu menjadi kenyataan, CR7 akan sentiasa diingati sebagai antara anggota terhebat The Red Devils yang pernah kita saksikan...Glory Glory Manchester United!!! 

13 Jun 2017

APA YANG MAMPU `ICEMAN’ TAWARKAN DI BENTENG PERTAHANAN UNITED?




Ezequiel Garay, Nicholas Gaitan dan Renato Sanches antara pemain yang saya ingat pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United namun tiada satupun khabar angin tersebut menjadi kenyataan. Antara tiga nama yang saya sebut di atas, Garay tentunya paling diingati penyokong-penyokong United kerana rumours tentang perpindahan beliau ke Old Trafford hangat diperkatakan sejak era Sir Alex Ferguson lagi.

Selepas berderet-deret khabar angin tentang perpindahan bintang-bintang Benfica ke Old Trafford, Manchester United akhirnya mengesahkan bahawa mereka sudah berjaya mendapatkan khidmat Victor Lindelof, pertahanan tengah Sweden yang musim lalu berjaya membantu skuad Aguias menjulang trofi Premiera Liga buat musim kedua berturut-turut.

Nilai sebanyak £38 juta yang dibayar United untuk membawa pertahanan berusia 22 tahun ini beraksi di Theatre of Dreams meletakkan Lindelof di kedudukan ketiga sebagai pemain pertahanan termahal dunia selepas David Luiz dan John Stones. Khabar gembira ini juga menamatkan penantian selama enam bulan penyokong-penyokong United selepas Lindelof mula dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sejak Januari lalu.

Peringkat Awal Karier Lindelof...

Lindelof dilahirkan di Vasteras, Sweden pada 22 Julai 1994 dan memulakan kariernya bersama kelab tempatan IK Franke. Pada 2007 beliau menyertai akademi Vasteras IK dan tiga tahun selepas itu atau lebih tepatnya pada usia mencecah 16 tahun, Lindelof dipromosikan ke skuad utama Vasteras SK yang ketika itu bersaing di liga Divisyen 3 Sweden. Bakat serta kualiti yang beliau miliki selaku pemain pertahanan menyaksikan Lindelof diberikan kepercayaan untuk membarisi kesebelasan utama Vasteras pada usia yang dianggap masih terlalu muda.

Selama dua musim sejak beliau dipromosikan ke skuad utama, Lindelof sudah menunjukkan tanda-tanda bahawa beliaulah prospek pertahanan masa depan Sweden apabila muncul tembok kukuh di benteng Vasteras dan berjaya membantu kelab tersebut naik ke Divisyen 2. 41 penampilan untuk Vasteras cukup untuk beliau mencuri perhatian pencari bakat kelab-kelab Eropah di mana pada 2012 dengan nilai perpindahan sebanyak €60 ribu yang dibayar Benfica, Lindelof akhirnya berjaya di bawa ke Portugal.

Hampir Menyertai Middlesbrough...

Selama tiga tahun beraksi untuk Benfica B, Lindelof berjaya melakukan 96 penampilan, menjaringkan tiga gol dan mencipta empat assist. Prestasi terpuji yang beliau pamerkan menyaksikan Lindelof kemudiannya dipromosikan ke skuad utama Benfica untuk musim 2015-16. Tidak sepertimana di Vasteras, kali ini Lindelof mendapati sukar untuk beliau merebut tempat dalam kesebelasan utama Benfica apatah lagi Rui Vitoria lebih mempercayai gandingan Luisao dan Jardel Nivaldo Vieira untuk diletakkan di benteng tengah skuadnya.

Kecewa dengan situasi yang dialaminya menyaksikan beliau hampir sahaja menyertai Middlesbrough sebagai pemain pinjaman ketika jendela perpindahan musim sejuk 2015/16 dibuka. Bagaimanapun krisis kecederaan pemain di benteng pertahanan memaksa Rui Vitoria mengekalkan beliau di Estadio Da Luz. Kesempatan akhirnya datang juga apabila Lindelof diberikan penampilan penuh pertama oleh Vitoria dalam saingan Primeira Liga ketika Benfica berdepan Belenenses pada 6 Februari 2016 selepas Luisao diketepikan akibat kecederaan.

Gaya Pertahanan Tradisional...

Ada segelintir penyokong United mengatakan bahawa gaya permainan Lindelof mirip kepada Nemanja Vidic, `Si Penyembelih Balkan’ yang mengabdikan lapan tahun kariernya sebagai pengawal benteng pertahanan United. Memang ada sedikit ciri Vidic tetapi secara keseluruhannya gaya permainan Lindelof sebenarnya lebih mengingatkan saya kepada kelibat Rio Ferdinand.

Sepertimana tipikal pertahanan-pertahanan tradisional Inggeris yang terdahulu dan yang ada sekarang, Lindelof gemar menggunakan kekuatan tubuhnya ketika melakukan duel dengan mana-mana pemain lawan, kuat dalam perebutan bola tinggi, bijak dalam menutup ruang dan paling penting sepertimana Ferdinand beliau juga bijak dalam melakukan `tackle’ yang bersih.

Jika Ferdinand sangat dikenali sebagai pemain pertahanan yang `bergaya’ serta berkeyakinan tinggi ketika bola berada di kakinya di zaman kemuncak beliau, apa kurangnya juga dengan Lindelof. Keyakinan beliau ketika merancangan serangan dari bawah dan mara jauh ke atas dalam situasi menyerang serta gemar melakukan hantaran-hantaran pendek menjadi pelengkap kepada ciri permainannya.

Kualiti hantaran yang dimiliki beliau pula boleh dianggap menepati standard permainan United. Sepanjang saingan Primeira Liga musim lalu, Lindelof melakukan purata 62.2 hantaran per perlawanan dengan peratusan ketepatan mencapai 89.9%. Statistik beliau dalam melakukan kerja-kerja defensif pula menyaksikan Lindelof melakukan 119 clearance, 52 intercept dan 7 block sepanjang 32 penampilan di pentas liga bersama Benfica.

Boleh Bermain Dua Posisi...

Keputusan Mourinho menandatangani Lindelof sebenarnya menambahkan lagi bilangan pemain yang boleh beraksi lebih dari satu posisi dalam skuad United. Daley Blind, Marcos Rojo, Phil Jones, Henrikh Mkhitaryan, Juan Mata, Marcus Rashford dan Anthony Martial antara pemain yang kita tahu tidak berdepan masalah jika Mourinho mahukan mereka beraksi di luar posisi asal mereka. Lindelof pula bukan sekadar mampu bertindak sebagai centre back tetapi posisi sebagai pertahanan kanan juga sebenarnya bukanlah terlalu asing buat beliau.

Jika Rui Vitoria mahu melakukan perubahan taktikal dengan meletakkan gandingan Lisandro Lopez dan Luisao di benteng tengah, Lindelof pula merupakan pilihan beliau untuk mengisi posisi di sebelah kanan pertahanan skuadnya. Mengikut catatan yang dikeluarkan Whoscored.com, musim lalu Lindelof pernah dua kali bermain di posisi pertahanan kanan. Jangan lupakan juga fakta bahawa ketika beraksi untuk Benfica B, beliau juga sering digunakan Luis Norton de Matos untuk bertindak sebagai pemain tengah bertahan.

Apa Yang Mampu Ditawarkan Lindelof?...

Musim lalu United muncul pasukan di tangga kedua yang memiliki benteng pertahanan paling kebal di belakang Tottenham Hotspurs dalam saingan liga selepas gawang mereka dibolosi sebanyak 29 kali. Meskipun begitu Mourinho nampaknya kurang berpuashati dengan prestasi yang ditunjukkan barisan pemain pertahanannya terutamanya Chris Smalling yang sering melakukan kesilapan mudah manakala Phil Jones pula sangat akrab dengan kecederaan berulang.

Dengan adanya Lindelof yang memiliki purata 1.6 intercept dan 3.7 clearance per perlawanan, beliau tampak seperti bakal menjadi pelindung yang ideal kepada benteng pertahanan United. Sangat menarik untuk kita nantikan bagaimana Eric Bailly dan Lindelof membentuk gandingan di posisi centre back kerana kedua-dua mereka merupakan pertahanan yang versatile. Sepertimana Lindelof, Bailly juga boleh bermain lebih dari satu posisi sama ada sebagai pertahanan kanan atau kiri.

Ramai yang mengatakan bahawa kombinasi Bailly dan Lindelof mengingatkan kita kepada duet mematikan yang pernah dibentuk Sir Alex Ferguson menerusi gandingan Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic di jantung pertahanan United suatu ketika dahulu. Kedua-duanya masih muda, berkemahiran, agresif, keras, berkeyakinan tinggi serta memiliki kelajuan yang bagus. Semua ciri-ciri yang saya sebutkan tadi memang sepatutnya ada kepada seorang centre back unggul.

Jadi saya juga sudah boleh membayangkan bahawa kelebihan yang dimiliki kedua-dua pemain ini memungkin Mourinho untuk menerapkan strategi high defensive line dalam permainan United musim depan. Lindelof diberikan gelaran `Iceman’ bukan kerana beliau berasal dari Sweden, negara Scandinavia yang suhu musim sejuknya boleh mencecah sehingga -25ยบ celcius tetapi kerana ketenangannya ketika mengawal benteng pertahanan. Selepas melalui musim yang cemerlang di Estadio da Luz saya ingin melihat apa yang mampu beliau tawarkan di Theatre of Dreams pula...Glory Glory Manchester United!!!

11 Jun 2017

BERAKHIRNYA HIKAYAT `DEWA’ ZLATAN




Akhirnya segala teka-teki tentang masa depan Zlatan Ibrahimovic terjawab apabila Manchester United mengumumkan secara rasmi bahawa kontrak legenda unggul Sweden itu bersama kelab tidak akan dilanjutkan. Kecederaan lutut serius yang dialami Ibra ketika aksi menentang Anderlecht di Liga Europa April lalu menyaksikan beliau terpaksa melupakan baki saingan musim 2016/17 lebih awal.

Menyedari bahawa Ibra bukan lagi pemain yang muda manakala kecederaan ligamen yang dialaminya memungkinkan beliau hanya akan kembali beraksi di atas padang pada bulan November atau Disember nanti, United akhirnya terpaksa mengambil langkah yang mungkin tidak popular di mata penyokong menerusi keputusan untuk tidak mengekalkan Ibra.

Ibra Yang Sangat Egois...

Satu fakta yang tidak mampu disangkal oleh sesiapapun ialah betapa United merupakan kelab popular dan besar di dunia. Fakta tersebut diperkuatkan lagi dengan pengiktirafan oleh Forbes bahawa United merupakan kelab paling bernilai di dunia mengatasi dua gergasi Sepanyol, Real Madrid dan Bercelona menerusi aset kekayaan yang dimiliki bernilai USD3.69 bilion.

Satu fakta yang nyata juga bahawa tiada mana-mana pemain era moden yang memiliki tahap egoisme sedahsyat Ibra hatta pemain terbaik dunia seperti Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi sekalipun. Ronaldo mungkin antara pemain yang egois tetapi beliau tidak segila Ibra dalam memuja keberadaan dirinya sendiri. Saat menjejakkan kakinya di Old Trafford, Ibra sudah melaungkan kepada khalayak ramai bahawa beliau adalah `dewa’ yang bakal menjadi penyelamat United.

Kehadiran Ibra berjaya meniup kembali aroma keangkuhan dan keegoan dalam permainan United, faktor yang sebenarnya sudah meredup sejak Sir Alex Ferguson mengumumkan persaraannya empat tahun lalu dan semenjak Roy Keane menendang bola buat kali terakhir sebagai anggota The Red Devils. United perlukan seorang `lead by example’ baik di padang latihan mahupun di medan pertempuran sebenar dan itulah yang ditawarkan Ibra sejak ketibaannya di Old Trafford.

Semasa masih di kota Paris dalam nada bercanda beliau pernah menyarankan agar Menara Eiffel digantikan dengan patung dirinya sebagai bentuk pengiktirafan kepada sumbangan serta peranan besar yang sudah beliau mainkan untuk Paris St Germain. Di Old Trafford pula beliau pernah melabelkan dirinya sebagai dewa, Indiana Jones, Benjamin Button dan singa.

Ibra boleh mendakwa dirinya dalam bentuk apa sekalipun tetapi satu fakta yang nyata ialah betapa United sepanjang musim lalu sangat bergantung kepada ketajaman sentuhan pemusnahnya. 28 gol semusim di semua kejohanan merupakan satu catatan yang sangat mengagumkan buat seorang pemain berusia 35 tahun seperti beliau. Keegoan Ibra bukan tidak bertempat, tetapi turut dibuktikan beliau menerusi statistiknya di atas padang.

Hanya Ada Satu Zlatan...

Zlatan Muslimovic, Zlatan Ljubijankic, Zlatan Azinovic, Zlatan Krizanovic dan Zlatan Bajramovic antara pemain yang diketahui menggunakan `Zlatan’ pada nama pertama mereka. Jika ditanya kelab mana mereka ini bermain atau negara asal mereka, tentu ramai di kalangan kita gagal menjawab soalan ini dengan tepat. Tetapi bagaimana pula dengan Zlatan Ibrahimovic?

Berbanding Muslimovic, Ljubijankic, Azinovic, Krizanovic dan Bajramovic, nama Ibra sudah tidak perlu diperkenalkan lagi kerana kehebatan serta reputasi yang beliau miliki. Ibra antara segelintir pemain yang mampu menjaringkan gol mengikut cara mana yang beliau mahukan. Bukan sedikit gol-gol indah yang dijaringkan Ibra menerusi teknik `bicycle kick’, `diving header’, `backheel’ malah tendangan ala kung fu sekalipun.

Masih ingatkah lagi anda dengan jaringan yang dilakukan Ibra menerusi tendangan `overhead’ ke gawang England hingga menyebabkan Joe Hart kelihatan seperti penjaga gol hingusan? Gol yang dijaringkan beliau pada 4 November 2012 ketika Sweden berdepan England di Friends Arena itu akhirnya dinobatkan sebagai gol tercantik musim tersebut sekaligus membolehkan Ibra memenangi Anugerah Puskas pada 2013.

Legenda Sebenar...

Ibra seolah-olah seperti dilahirkan untuk menjadi seorang yang sukses. Sepanjang karier profesionalnya, beliau sudah memenangi kejuaraan bersama Ajax Amsterdam, Inter Milan, Barcelona, AC Milan, Paris St Germain dan Manchester United selain beberapa anugerah individu tanda penghargaan atas kecemerlangan beliau sebagai pemain.

Ibra datang untuk memenangi medal kejuaraan kerana itulah motivasi utamanya sebagai pemain. Jadi tidak hairanlah mengapa sepanjang tempoh 17 tahun  kariernya dalam kancah bolasepak Eropah, beliau berjaya memenangi 11 kejuaraan liga untuk lima kelab berbeza. Beliau datang dan kemudiannya pergi meninggalkan jejak seorang legenda sama ada ketika bersama Ajax, Inter, Milan, Barcelona, PSG ataupun United.

`Dewa’ Yang Gagal Menyelamatkan Kariernya Di Old Trafford...

Pada usia 35 tahun Ibra sudah mengumpul 420 jaringan dari 723 penampilan keseluruhan dalam semua kejohanan sejak beliau memulakan karier bersama Malmo FF hinggalah yang terakhir saat beliau menyarung jersi United. Meskipun catatan ini sebenarnya tidak mampu menandingi statistik jaringan Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi, namun Ibra pada usia di penghujung karier masih lagi pemain yang memiliki pesona untuk disaksikan aksinya.

Ibra boleh melabelkan dirinya dengan mana-mana karakter sama ada `dewa’, Benjamin Button, Indiana Jones atau singa tetapi akhirnya dalam masa yang sama beliau juga terpaksa mengakui bahawa `dewa’ sekalipun gagal menyelamatkan kariernya di Old Trafford bilamana kelab memutuskan untuk tidak lagi mahu mengekalkan khidmatnya.

Mungkin sedikit kekesalan bila memikirkan kita hanya dapat melihat pesona Ibra di Theatre of Dreams selama semusim. Musim depan tiada lagi kelibat beliau mengetuai jentera serangan United tetapi saya percaya kemanapun destinasi yang beliau tuju selepas ini, Ibra tetap Ibra...antara pemain paling mempesonakan dalam era bolasepak moden. Di akhirnya timbul juga sedikit persoalan mengapa pemain sehebat beliau tidak pernah memenangi anugerah Ballon d’Or? Terima kasih Ibra untuk semusim yang kekal diingati dan 28 gol yang telah anda jaringkan...Glory Glory Manchester United!!!

08 Jun 2017

BAGAIMANA HERRERA MENJADIKAN DIRINYA PEMAIN PENTING DI ERA MOURINHO




Tiga tahun lalu Ander Herrera tiba di Old Trafford pada musim pertama Louis Van Gaal bertindak sebagai pengendali Manchester United. Bersama-sama Angel Di Maria, Marcos Rojo, Daley Blind dan `rising star’ England, Luke Shaw, beliau didatangkan Val Gaal bukan sahaja untuk menambah kekuatan United tetapi juga bagi memenuhi ambisi pengendali itu untuk meletakkan kembali kelab ke kancah saingan Liga Juara-Juara.

Musim pertama Herrera bersama United boleh dianggap berjalan lancar apabila beliau melakukan 26 penampilan di Liga Perdana selain berjaya meledak enam gol. Bagaimanapun di musim kedua beliau terutamanya di penghujung era regim Van Gaal, Herrera kerap memanaskan bangku simpanan kerana pengendali itu lebih gemar meletakan sama ada Bastian Schweinsteiger atau Morgan Schneiderlin di bahagian tengah.

Peranan Besar Mourinho Di Belakang Tabir...

Herrera mengakui peranan besar yang dimainkan Jose Mourinho di sebalik peningkatan ketara prestasi beliau di atas padang sepanjang musim lalu. Jika pada musim 2015-16, Herrera cuma mampu melakukan enam penampilan penuh dari 27 aksi di Liga Perdana, hal sebaliknya pula berlaku musim lalu. Musim 2016-17 merupakan musim paling sukses untuk warga Sepanyol ini sepanjang tiga musim beliau menyarung jersi United.

Selepas mengambil alih tugas pengendali dari Van Gaal, antara langkah awal yang dilakukan Mourinho ialah mencari jalan bagaimana mahu meningkatkan prestasi Herrera agar beliau mampu menjadi nadi penting di bahagian tengah skuadnya. Di sebalik kegagalan Herrera menyerlah pada musim kedua beliau bersama kelab, Mourinho pula melihat masih ada potensi besar dalam diri pemain ini yang belum dicungkil sepenuhnya.

Apa Yang Mourinho Mahukan....

Mourinho mahu menjadikan Herrera penggerak penting jentera tengah United, jadi beliau juga perlu mencari jalan bagaimana mahu memaksimakan potensi bekas pemain Real Zaragoza dan Athletic Bilbao itu. Menyedari bahawa Herrera memiliki mobiliti tinggi dalam permainannya dan dianugerahkan stamina luar biasa, Mourinho mahukan beliau memainkan tugas berbeza ketika di atas padang.

Herrera tahu bahawa sangat sukar untuk beliau memainkan peranan sebagai pemain nombor 10 kerana di Manchester United kesuksesan bagi mana-mana pemain yang memainkan peranan tersebut diukur menerusi jumlah gol yang dihasilkan sepanjang musim. Jadi menurut Herrera, perlu untuk beliau menawarkan `sesuatu yang berbeza’ kepada Mourinho agar dirinya sentiasa menjadi pilihan dalam kesebelasan utama.

Kunci Kepada Strategi Mourinho...

Kemampuan beliau memainkan peranan dengan sangat berkesan sama ada dalam situasi bertahan mahupun menyerang menjadi faktor utama mengapa Herrera muncul pemain United paling menyerlah musim lalu. Aksi menentang Chelsea di Old Trafford pada 16 April lalu merupakan aksi paling cemerlang dipamerkan Herrera dari 31 penampilannya dalam saingan liga.

Dalam perlawanan itu Herrera bukan sahaja berjaya menjalankan tugasnya dalam merantai setiap pergerakan Eden Hazard, malah beliau juga berjaya memenangi pertempurannya dengan N’Golo Kante di bahagian tengah. Apa yang menariknya dalam perlawanan itu bukan keputusan Mourinho meletakkan Ibra di bangku simpanan atau menyerahkan `armband’ kepada Ashley Young tetapi peranan yang dimainkan Herrera sepanjang perlawanan.

Ketika bertahan, Herrera akan lebih banyak berlegar di sebelah kanan (posisi kiri serangan Chelsea di mana Hazard berada) manakala dalam situasi menyerang pula daya jelajahnya yang tinggi membolehkan beliau meletakkan dirinya di mana-mana sudut padang bagi membuka ruang atau membekalkan hantaran-hantaran untuk disudahkan oleh Marcus Rashford atau Jesse Lingard.

Atau mungkin lebih tepatnya saya boleh katakan bahawa Herrera sebenarnya memainkan tiga peranan sekaligus dalam perlawanan tersebut iaitu mengawal Hazard, bertindak sebagai playmaker dan juga box to box midfielder. Statistik selepas tamat perlawanan menunjukkan Herrera melakukan 43 hantaran tepat, lima clearance, empat intercept, empat tackle, mencipta dua peluang, menyumbang satu assist  dan menjaringkan satu gol.

Di Mana Posisi Sebenar Herrera?...

Ini sebenarnya persoalan menarik untuk dijawab kerana jika dilihat kepada peranan yang beliau mainkan di bahagian tengah United sepanjang musim lalu, saya sendiri sebenarnya tertanya-tanya di mana posisi sebenar Herrera. Ketika `mode’ United bertukar dari bertahan kepada menyerang, Herrera adakalanya seperti sedang memainkan peranan nombor 10 atau nombor 8, namun ketika situasi bertahan beliau melaksanakan peranan nombor 4 dengan sangat berkesan.

Persoalan ini sebenarnya agak sukar untuk dijawab kerana dengan mobiliti tinggi yang beliau miliki dalam ciri permainannya, Herrera boleh berada di mana-mana posisi mengikut keperluan atau arahan Mourinho. Saat kubu United di asak beliau sentiasa bersedia melakukan duel fizikal dengan mana-mana pemain lawan, manakala ketika menyerang Paul Pogba akan mendapati beliau tidak keseorangan kerana Herrera sentiasa ada membantu dalam menyusun gerakan serangan.

Tiga Dalam Satu...

Selepas kegagalan David Moyes mendapatkan khidmat Herrera pada musim panas 2013, Van Gaal yang menggantikan posisi beliau di Old Trafford akhirnya berjaya memujuk Herrera meninggalkan La Liga dan bermain di Liga Perdana. Mungkin ketika itu kita sendiri tidak menyedari bahawa sebaik sahaja Herrera diumumkan secara rasmi sebagai pemain United, Van Gaal sebenarnya sudah melakukan pelaburan bijak dengan membeli `tiga pemain’ sekaligus.

Van Gaal mungkin gagal mengesan potensi sebenar yang ada dalam diri Herrera hinggakan bakat besar yang dimiliki pemain kelahiran Bilbao ini sedikit meredup terutamanya di penghujung era pemerintahan beliau di Old Trafford. Kedatangan Mourinho akhirnya mengubah nasib Herrera, apabila beliau berjaya menjadikan pemain ini dari sekadar pilihan kedua kepada nadi penting jentera tengah skuadnya dan pemain yang tidak mampu United kehilangan khidmatnya di atas padang.

Herrera sudah menegaskan komitmennya untuk United meskipun Barcelona dan Valencia menunjukkan minat untuk membawa beliau pulang semula ke Sepanyol. Selepas melihat sumbangan serta peranan yang dimainkannya sepanjang musim lalu, tentu kita mahu melihat Herrera kekal lebih lama di Old Trafford dan memainkan peranan lebih besar dalam pemburuan lebih banyak kejuaraan selepas ini.

Pada usia 27 tahun, masih banyak yang mampu ditawarkan Herrera untuk United dan pada usia tersebut juga masih banyak ruang untuk beliau meningkat menjadi pemain yang jauh lebih bagus berbanding sekarang. Kapten masa depan United? Tentu menarik untuk melihat beliau di posisi tersebut suatu hari nanti kerana bagi pemain yang meletakkan segala-galanya di atas padang, `armband’ ketua pasukan merupakan anugerah yang selayaknya diberikan kepada beliau...Glory Glory Manchester United!!!

05 Jun 2017

GAGAL DAPATKAN GRIEZMANN...KINI TIBA MASANYA UNTUK MOURINHO MENGAKTIFKAN `PLAN B’




Drama perpindahan Antoine Griezmann ke Manchester United nampaknya berakhir lebih awal jika diambilkira kenyataan ringkas pemain itu yang di muat naik di laman sosial (Twitter) beliau kelmarin. Menerusi Tweet-nya Griezmann sudah membayangkan bahawa beliau akan kekal di kota Madrid malah akhbar Sepanyol, AS pula melaporkan bahawa bintang Perancis itu juga semakin hampir menandatangani kontrak baharu bersama Los Rojiblancos.

Selepas berdepan larangan membeli pemain yang dikenakan oleh FIFA hingga Januari 2018, penting untuk Diego Simeone mengekalkan aset terbaik yang dimilikinya dan jika benar Griezmann mahu terus kekal bersama Atletico, sudah tiba masanya untuk United mengaktifkan `plan B’ mereka. Lupakan Griezmann kerana masih ramai penyerang hebat di luar sana yang boleh dijadikan sasaran untuk menggalas tugas sebagai penggempur utama The Red Devils musim depan.

Mourinho Yang Di Luar Kebiasaan...

Sepertimana yang kita tahu sepanjang karier kejurulatihan beliau, Mourinho merupakan seorang pengendali yang gemar menggunakan penyerang bertubuh tegap, keras dan kompetitif ketika melakukan duel sebagai penggempur utama skuadnya. Sejak era beliau di FC Porto hinggalah ke Manchester United, Benni McCarthy, Didier Drogba, Samuel Eto’o, Karim Benzema, Diego Costa dan Ibra antara penyerang-penyerang tegap yang pernah bermain di bawah kendaliannya.

Jadi ketika khabar angin tentang minat United terhadap Griezmann bertiup kencang, timbul pertanyaan mengapa kali ini Mourinho cuba keluar dari kebiasaan yang sudah beliau lakukan selama bertahun-tahun sebagai pengendali. Griezmann diakui antara penggempur paling mempesonakan di Eropah tetapi dengan ketinggian cuma 1.75m dan berat 69kg, beliau boleh dikategorikan sebagai antara penyerang `kecil’ berbanding kebanyakkan penyerang lain di Liga Perdana.

Kemampuan beliau dalam menangani corak permainan keras bolasepak Inggeris bagaimanapun akan hanya terjawab jika ditakdirkan suatu hari nanti Griezmann memilih untuk memutuskan ikatannya dengan Atletico dan menyertai mana-mana kelab di Liga Perdana. Peluang untuk kita melihat Griezmann menyertai United hampir tertutup rapat, jadi selepas ini Mourinho mungkin akan kembali kepada kebiasaannya iaitu memburu seorang `striker’ tegap untuk diletakkan di barisan hadapan skuadnya.

Meneka `Plan B’ Mourinho...

Jika memang sah Griezmann menolak perpindahan ke Old Trafford dan memilih untuk terus kekal bersama Atletico, Mourinho saya kira bakal mengaktifkan `plan B’ beliau. Siapakah pilihan lain selain Griezmann? Tidak perlu memandang terlalu jauh kerana calon yang difikir layak dan sudah disebut-sebut oleh kebanyakkan penyokong-penyokong United sejak berbulan-bulan ada di hadapan mata. Beliau yang saya maksudkan ialah Romelu Lukaku.

Berbanding Griezmann, kemampuan Lukaku di Liga Perdana sudah terbukti dan antara pilihan terbaik untuk mengalas tugas sebagai penggempur United jika Mourinho mahukan khidmatnya. Musim 2015-16, Lukaku menjaringkan 18 gol dalam saingan liga, dan musim lalu angka jaringannya terus meningkat selepas beliau meledak 25 gol untuk Everton.

Di usia yang boleh dianggap masih muda (24 tahun) Lukaku sudah berjaya meletakkan dirinya dalam kelompok elit penggempur di Liga Perdana menerusi ketajaman penyudah dan statistik jaringannya. Selain sudah betah dengan saingan Liga Perdana, Lukaku juga dianggap penyerang ideal untuk Mourinho kerana memiliki kualiti serta mirip kepada corak permainan Drogba ketika zaman kemuncaknya.

Selain Lukaku...

Selain tarikan untuk menyertai skuad juara Liga Perdana kendalian Antonio Conte. tanda harga melampau (£100 juta) yang diletakkan Everton ke atas Lukaku juga sebenarnya mampu menghalang United dari mendapatkan tandatangan pemain ini. Sukar membayangkan bahawa United sanggup memecah rekod perpindahan dunia sekali lagi semata-mata mahu membawa Lukaku beraksi di Old Trafford walaupun saya mengakui kualiti beliau sebagai penggempur tidak perlu diragui.

Jika Mourinho gagal mendapatkan khidmat Lukaku, masih ada lagi opsyen lain yang difikirkan sesuai untuk beliau letakkan di barisan hadapan skuadnya menjelang bermulanya musim baharu nanti. Selain Lukaku, nama Andrea Belotti juga antara yang disebut-sebut sebagai calon penggempur United musim depan. Bagi mereka yang jarang mengikuti perkembangan Serie A, nama Belotti mungkin tidak sehebat Griezmann, Karim Benzema, Ibrahimovic atau Robert Lewandowski.

Bagaimana musim lalu Belotti mencetuskan impak menerusi ledakan 26 gol yang beliau hasilkan dari 35 penampilan di Serie A untuk Torino. Kualiti yang dimilikinya dalam menyudahkan peluang terhidang turut diimbangi Belotti menerusi kemampuan beliau dalam mencipta peluang jaringan gol. Sepanjang penampilannya di Serie A musim lalu, Belotti mencipta 48 peluang jaringan gol selain menyumbang 7 assist.

Belotti merupakan seorang `clinical forward’ yang dianugerahkan dengan teknik cukup bagus dalam menyudahkan peluang, memiliki naluri pembunuh yang tajam, tenang serta pantas, hinggakan beliau dinilai sangat cocok dengan skema permainan serang balas ala Mourinho. Bagaimanapun anda tidak harus melupakan fakta bahawa Liga Perdana sangat berbeza berbanding Serie A.

Walaupun begitu, warga Itali terdahulu seperti Paolo Di Canio, Roberto Di Matteo, Bento Carbone, Gianluca Vialli dan Gianfranco Zola sudah membuktikan kemampuan mereka beraksi di Liga Perdana, jadi saya percaya Belotti juga mampu melakukan hal yang sama jika beliau datang ke Old Trafford. Adakah `Harry Kane Itali’ ini bakal menjadi jawaban terbaik kepada ketumpulan jentera serangan United?

Pilihan Lain Yang Ada...

Musim lalu United cuma mampu membolosi gawang lawan sebanyak 54 kali sekaligus menyaksikan mereka muncul pasukan ketiga paling kurang menjaringkan gol di kalangan sepuluh pasukan teratas liga. Malah kelab seperti Everton yang berada di tangga ke tujuh dan AFC Bournemouth yang berada di tangga ke sembilan menjaringkan lebih banyak gol berbanding barisan mahal United.

Atas sebab itu saya percaya sepanjang jendela perpindahan pemain musim panas dibuka nanti, misi mendapatkan seorang penyerang baharu akan menjadi keutamaan Mourinho. Selain Griezmann, Lukaku dan Belotti, ada beberapa nama lagi yang kerap dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford seperti Harry Kane, Alvaro Morata dan Kylian Mbappe.

Kane mungkin `mustahil’ untuk ditandatangani jika diambilkira kenyataan Daniel Levy bahawa Spurs tidak akan menjual mana-mana pemain terbaik mereka kepada United. Bagaimanapun peluang untuk United mendapatkan prospek jangka panjang lain seperti Morata dan Mbappe jika kelab berminat membawa mereka beraksi di Old Trafford tetap terbuka.

Jika mahu memburu kejuaraan liga, Mourinho perlu menjadikan barisan hadapan United jauh lebih kejam berbanding sebelumnya dan untuk itu beliau perlu mendapatkan seorang penyerang yang memiliki naluri menjaringkan gol yang tinggi atau lebih tepatnya mampu menghasilkan lebih 20 gol semusim di peringkat liga. Siapa calon penyerang lain yang ada dalam `plan B’ Mourinho selepas `saga Griezmann berakhir? Jawapannya ada di tangan Ed Woodward...Glory Glory Manchester United!!!