Everton berharap mereka boleh memperkenalkan Darron Gibson sebagai pemain baru mereka sebelum perlawanan hujung minggu ini. Manchester United diberitakan telah bersetuju melepaskan seorang lagi pemain mereka menyertai skuad The Toffees itu dengan yuran perpindahan sebanyak 2 juta Pound. Selepas bersetuju dengan terma dan syarat perpindahan, Gibson dikatakan akan ditawarkan kontrak selama empat tahun dan gaji sebanyak 40 ribu Pound seminggu. Gibson, 24 tahun akan menjadi pemain keempat United yang berhijrah ke Goodison Park dalam tempoh tujuh tahun selepas Phil Neville, Louis Saha dan Tim Howard. David Moyes yang sudah sekian lama berminat mendapatkan tandatangan Gibson berharap, pemain yang dibentuk dari akademi Manchester United itu boleh menampung kekosongan yang ditinggalkan Mikel Arteta yang dipancing Arsenal musim panas lalu. Moyes juga berharap dia boleh menggunakan khidmat Gibson ketika pasukannya berkunjung ke Villa Park hujung minggu ini.
13 Januari 2012
BAYERN MUNICH BURU BERBATOV
Masa depan Dimitar Berbatov bersama Manchester United masih menjadi tandatanya meskipun bekas penyerang antarabangsa Bulgaria itu membuktikan dia masih lagi antara penyerang berbisa United ketika ini. Selepas sekian lama diletakkan di bangku simpanan, Berbatov membuktikan ketajamannya apabila merakam hatrik ketika United menewaskan Wigan Athletic 26 Disember lalu dan menyumbangkan dua gol ketika United tewas kepada Blackburn Rovers lima hari kemudian. United pernah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan melepaskan Berbatov kepada mana-mana pasukan pada jendela perpindahan musim sejuk namun itu tidak mematahkan selera beberapa pasukan yang cuba mendapatkan khidmatnya. Selepas Bayern Leverkusen yang juga merupakan bekas kelab Berbatov, kini giliran Bayern Munich pula menaruh minat tinggi untuk cuba membawa Berbatov kembali mewarnai saingan Bundesliga. Menurut Inside Futbol, Munich mahukan penyerang baru untuk menggantikan Ivica Olic yang dikatakan akan berhijrah Januari ini atau selewat-lewatnya pada musim panas nanti. Gergasi Bundesliga itu sedang memantau perkembangan hubungan Berbatov bersama United, namun mereka perlu sedar usaha mendapatkan khidmat bekas penyerang Leverkusen dan Tottenham itu bukan mudah selepas dia dijanjikan sambungan kontrak baru untuk kekal di Old Trafford sekurang-kurangnya selama dua tahun lagi. Satu-satunya perkara yang boleh menggoda Berbatov untuk meninggalkan Old Trafford ialah tawaran tempat dalam kesebelasan utama Munich berbanding apa yang dinikmatinya ketika ini bersama United. Glory Glory Manchester United!!!
12 Januari 2012
CR7 DISARAN KEMBALI SEMULA KE UNITED
Mungkinkah layanan buruk yang diterima Cristiano Ronaldo dari penyokong-penyokong Real Madrid akan menyebabkan bintang antarabangsa Portugal itu kembali semula ke Old Trafford? Selepas gagal membantu Real menewaskan Barcelona dalam pertembungan El Clasico Disember lalu, Ronaldo nampaknya terus menjadi mangsa ejekan penyokong-penyokong di Santiago Bernabeu. Terbaru, meskipun berjaya membantu Los Blancos menewaskan Granada 5-1 dalam perlawanan liga minggu lalu, penyokong-penyokong Real bertindak dengan bersiul dan mengejek Ronaldo selepas dia menjaringkan gol kelima pasukannya. Ronaldo yang kelihatan kecewa dilihat tidak merayakan jaringannya, mungkin sebagai satu isyarat bahawa dia semakin kurang selesa untuk terus berada di kota Madrid. Melihatkan hubungan yang semakin tegang antara bekas bintang Manchester United itu dan penyokong-penyokong Real, salah seorang sahabat baik Ronaldo mencadangkan agar dia kembali semula ke Old Trafford, tempat di mana penyokong-penyokong sentiasa meletakkannya di tempat yang tinggi. "Dia (Ronaldo) begitu sedih meninggalkan stadium selepas perlawanan El Clasico. Dia jelas kecewa kerana penyokong-penyokong di Bernabeu sering meletakkan kesalahan ke atas dirinya setiap kali Real tewas kepada Barcelona", kata sahabat Ronaldo itu kepada media Sepanyol, AS. Berbanding layanan yang diterima semasa dia masih bersama United, Ronaldo sering diberitahu sahabat baiknya itu bahawa sekalipun dia bukan lagi pemain The Red Devils, namanya masih dinyanyikan oleh penyokong-penyokong United setiap kali perlawanan hujung minggu di Old Trafford sedang hal yang serupa tidak berlaku di La Castellana. Glory Glory Manchester United!!!
11 Januari 2012
UNITED KERAH 6 RIBU PENYOKONG KE ANFIELD
Manchester United dijangka mengerahkan lebih 6,000 penyokong mereka ke Anfield penghujung bulan ini selepas skuad The Red Devils itu diundi bertemu musuh tradisi mereka, Liverpool pada perlawanan pusingan keempat Piala FA kelmarin. Kunjungan United ke Anfield 28 Januari nanti dijangka panas berikutan isu perkauman membabitkan Patrice Evra dan Luis Suarez hingga menyebabkan penyerang Liverpool itu dikenakan hukuman penggantungan lapan perlawanan oleh FA England. United menerima berita gembira selepas pihak penganjur dikatakan akan meletakkan penyokong-penyokong setia Red Devils di barisan bawah Anfield Road yang boleh memuatkan lebih kurang 6,400 penonton. Petugas-petugas keselamatan tambahan juga akan diletakkan di kawasan yang menempatkan para penyokong United bagi mengelakkan sebarang kemungkinan buruk berlaku. Pertembungan ini bakal menarik perhatian ramai selepas insiden membabitkan Evra dan Suarez pada saingan liga antara kedua-dua pasukan 15 Oktober lalu. Glory Glory Manchester United!!!
10 Januari 2012
SCHOLES SUNTIK SEMANGAT BUAT UNITED
Pertahanan Manchester United, Chris Smalling menganggap kepulangan semula Paul Scholes ke dalam pasukan bakal memberikan suntikan semangat kepada barisan The Red Devils dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini. Scholes hujung minggu lalu mengejutkan dunia bolasepak terutamanya di England apabila muncul di bangku simpanan United dalam saingan Piala FA. Pemain tengah veteran yang mengumumkan persaraan pada 31 Mei tahun lalu disenaraikan sebagai pemain gantian dan sempat bermain selama 30 minit ketika pertemuan pusingan ketiga Piala FA menentang Manchester City di Eastlands Ahad lalu. Ini merupakan penampilan pertama Scholes dalam perlawanan kompetitif sejak kali terakhir beraksi untuk United dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona musim lalu. "Kehadiran semula Paul (Scholes) memberikan kami semangat tambahan. Saya kecewa ketika dia mengumumkan persaraannya akhir musim lalu", kata Smalling. Bagi Smalling, Scholes masih mampu menyumbang sesuatu buat pasukan dan bekas pemain pertahanan Fulham itu mengakui dia memang berharap suatu hari nanti Scholes akan kembali dari persaraannya dan menyertai semula kelab. Kini harapan Smalling akhirnya menjadi kenyataan apabila Scholes bersetuju menyahut panggilan Sir Alex Ferguson untuk kembali menyertai United. "Suasana di bilik persalinan berbeza ketika anda memiliki pemain berkaliber seperti Paul Scholes. Perkara ini memberi semangat kepada pemain muda seperti saya", kata Smalling lagi. Sementara itu, Wayne Rooney mendedahkan pemain-pemain United tidak mengetahui Scholes telah keluar dari persaraan hinggalah kelibat veteran itu dilihat di bilik persalinan sebelum perlawanan City-United Ahad lalu. Walaupun Scholes sudah berlatih bersama pasukan sejak beberapa minggu lalu, ramai yang menganggap pemain veteran itu sekadar ingin melepaskan rindunya terhadap dunia bolasepak. "Sesungguhnya ia adalah satu kejutan apabila melihat kelibatnya di bilik persalinan. Semua orang tahu betapa hebatnya dia dan kehadirannya memberikan kami semangat", kata Rooney. Glory Glory Manchester United!!!
09 Januari 2012
KEYAKINAN KEMBALI MEMUNCAK
Kejayaan Manchester United melakar kemenangan ke atas jiran mereka yang juga juara bertahan Piala FA, Manchester City di pusingan ketiga malam tadi kembali melonjakkan semangat skuad The Red Devils. Sebelum pertemuan kedua-dua pasukan, ramai pemerhati menganggap ini bukanlah masa yang sesuai untuk Sir Alex Ferguson dan barisannya berkunjung ke Eastlands, gelanggang yang menyaksikan City begitu kebal dengan rekod tanpa kalah mereka di gelanggang sendiri musim ini. Tewas dua perlawanan berturut-turut dalam saingan liga, skuad mewah City dijangka memberikan jiran mereka itu kekalahan ketiga mereka, sesuatu yang tidak pernah berlaku ke atas United dalam tempoh 11 tahun. Bagaimanapun Wayne Rooney mengejutkan penyokong-penyokong tuan rumah apabila dia membuka tirai jaringan di minit ke-10 melalui tandukan hasil hantaran Antonio Valencia. Dua minit kemudian, City dikejutkan apabila kapten mereka, Vincent Kompany dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Chris Foy kerana kesalahan terjahan menggunakan kedua-dua kaki. Segala-galanya tanpak mudah buat United apabila Danny Welbeck menjaringkan gol kedua diminit ke-30 sebelum Rooney melebarkan penguasaan United hasil sepakan penalti sepuluh minit kemudian.
City cuba menghidupkan sisa-sisa peluang mempertahankan trofi yang mereka menangi musim lalu melalui kebangkitan di separuh masa kedua namun jaringan Sergio Aguero diminit ke-48 dan Alexandar Kolarov diminit ke-64 gagal menghalang United dari melangkah ke pusingan keempat. Rooney menganggap kemenangan di Eastlands penting dan bakal memberikan suntikan moral buat United dalam usaha mereka mengejar City selaku pendahulu liga ketika ini. "Kemenangan ini akan memberikan hasil yang positif buat seluruh pasukan kerana kami bakal berhadapan dengan mereka sekali lagi di sini. Selepas mendahului 3-0, tekanan ke atas kami berkurangan dan City kemudiannya menjaringkan dua gol. Pasukan bermain dengan baik, kami bertahan dengan sempurna dan tetap fokus melakukan serangan balas. Syukurlah kami berjaya", kata Rooney. Kemenangan United ke atas City malam tadi turut diwarnai dengan kembalinya Paul Scholes dari persaraan. Scholes yang menyambut permintaan Ferguson bulan lalu supaya dia kembali memperkuatkan barisan tengah United disenaraikan dalam skuad dan masuk menggantikan Nani diminit ke-59. Sementara itu, Ferguson menilai bahawa kad merah yang diterima Kompany adalah wajar walaupun terjahan yang dilakukan kapten City itu tidak mencederakan Nani. Menurut Ferguson, Nani mungkin mendapat kecederaan yang serius jika terjahan bahaya menggunakan kedua-dua belah kaki yang dilakukan Kompany tepat ke sasaran. "Itu adalah terjahan menggunakan dua kaki. Saya fikir dia memang wajar dilayangkan kad merah. Saya pernah menyaksikan dia melakukan terjahan seperti itu namun mungkin ketika itu pengadil tidak melihatnya. Nani mungkin menghadapi masalah besar jika terjahan itu tepat mengenainya", kata Ferguson. Sementara itu, pengurus City, Roberto Mancini akan mengemukakan rayuan berhubung kad merah yang diterima kaptennya itu. Glory Glory Manchester United!!!
08 Januari 2012
SCHOLES DAN VDS KEMBALI BERAKSI SEMULA?
Selepas Paul Scholes mengumumkan bahawa dia sedia kembali semula dari persaraan jika Sir Alex Ferguson benar-benar serius mahukan khidmatnya, kini giliran Edwin Van Der Sar pula melakukan kejutan yang sama. Scholes yang bulan lalu cuba dipujuk oleh Sir Alex Ferguson supaya kembali semula memperkuatkan bahagian tengah United, mengumumkan dia bersetuju kembali semula menyarung jersi merah keramat United. Kelibat bekas pemain tengah berpengaruh England itu nyata begitu di tagih Ferguson yang mendapati pasukannya kehilangan kreativiti di bahagian tengah selepas Tom Cleverley terpaksa berehat panjang akibat kecederaan manakala usaha mendapatkan Wesley Sneijder pula seakan-akan menemui jalan buntu. Ferguson ketika ini dilihat begitu terdesak untuk memperkuatkan bahagian tengah pasukan hingga timbul spekulasi penghijrahan Frank Lampard ke Old Trafford.
Scholes yang mengumumkan persaraan pada 31 Mei lalu selepas menolak permintaan Ferguson supaya menunda hasratnya untuk bersara kini dikatakan bersedia menyertai semula United bila-bila masa sebaik jendela perpindahan Januari dibuka. Sementara itu Van der Sar juga melakukan kejutan yang sama apabila mengumumkan dia sedia kembali semula dari persaraan sebaik tamat perlawanan persahabatan tahun baru antara bekas pemain antarabangsa Belanda dengan kelab amatur Royal HFC. Selepas mengumumkan persaraan secara rasmi pada bulan Ogos lalu, Van der Sar sebaliknya mengatakan bahawa dia bersedia untuk kembali semula ke saingan bolasepak kompetitif. "Setelah memikirkan sejenak, rancangan untuk kembali dari persaraan kembali bermain difikiran dan saya senang jika dapat bermain semula", kata Van der Sar. United ketika ini ternyata masih bergelut mencari pengganti kepada penjaga gol veteran berusia 41 tahun itu apabila David de Gea yang sebelumnya dikatakan bakal meneruskan kehebatan penjaga gol Belanda itu gagal memberikan prestasi yang diharapkan. Anders Lindegaard yang digunakan Ferguson selepas meletakkan de Gea di bangku simpanan juga dilihat masih kurang bersedia mewarisi posisi yang pernah dikawal oleh lagenda seperti Peter Schmeichel dan Van der Sar sendiri. Sememangnya kelibat dua veteran itu jelas masih dirindui dan jika kedua-duanya mengambil keputusan untuk keluar dari persaraan kepulangan mereka ke Old Trafford pastinya dinantikan dengan penuh minat. Glory Glory Manchester United!!
PREVIEW: MANCHESTER CITY lwn MANCHESTER UTD
`Balas dendam' menjadi topik paling hangat menjelang pertembungan derby Manchester di pusingan ketiga Piala FA malam nanti. Tewas 1-6 kepada City dalam saingan liga musim ini di Old Trafford serta 0-1 di peringkat separuh akhir saingan Piala FA musim lalu tentunya masih segar difikiran barisan Sir Alex Ferguson. Sekalipun diramalkan berdepan laluan sukar di Eastlands jika mengambilkira prestasi United di dalam saingan liga selepas mereka tewas dua perlawanan terakhir, rekod tidak tewas tiga perlawanan berturut-turut dalam tempoh 11 tahun mungkin bolah menghadirkan sedikit penawar. Ini juga mungkin merupakan derby paling panas buat dua pasukan dari Manchester itu selepas menyaksikan mereka menguasai saingan Liga Perdana Inggeris ketika ini. City dan United mendominasi puncak liga dengan kelab mewah bimbingan Roberto Mancini itu memiliki kelebihan tiga mata di tangga teratas berbanding United. Barisan City akan melangkah masuk ke gelanggang mereka malam nanti dengan keyakinan tinggi hasil kekuatan yang dibina melalui wang yang disalurkan tanpa batas oleh pemilik kelab, Sheikh Mansour. Di pihak United pula, mereka tentunya tidak akan hanya berdiam diri membenarkan skuad yang dilabel Ferguson sebagai `jiran yang bising' terus melaungkan bahawa mereka adalah kelab utama di kota Manchester ketika ini. Berbekalkan pengalaman berhadapan dengan pelbagai tekanan sebelum ini, mungkin ini adalah detik terbaik buat skuad The Red Devils membuktikan bahawa mereka masih wajar dihormati meskipun sedar City masih kekal dengan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri musim ini. Untuk menewaskan City, United harus segera melupakan kekecewaan di dua perlawanan terakhir mereka dan segera meningkatkan tahap permainan bagi mengelak tewas buat kali ketiga. Dengan ketiadaan Chris Smalling, Jonny Evans, Nemanja Vidic dan Fabio da Silva di barisan pertahanan, Ferguson harus memikirkan cara terbaik bagi mengelak barisan pertahanannya dari terus melakukan kesilapan. City pula bakal kehilangan Mario Balotelli yang mengalami kecederaan pergelangan kaki manakala Gareth Barry pula akan menjalani penggantungan automatik akibat layangan kad merah. Ketiadaan Kolo dan Yaya Toure yang terpaksa melapor diri untuk kem latihan pasukan kebangsaan Ivory Coast bagi menghadapi Kejohanan Piala Negara-negara Afrika juga meresahkan Mancini sambil berharap Edin Dzeko dan Samir Nasri sempat pulih dari kecederaan. Glory Glory Manchester United!!!
Barisan Kemungkinan United:
Anders Lindegaard, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Phil Jones, Rafael da Silva, Ryan Giggs, Anderson, Michael Carrick, Nani, Dimitar Berbatov & Wayne Rooney
07 Januari 2012
UNITED NAFI AKAN JUAL ROONEY
Manchester United dan Wayne Rooney mengeluarkan kenyataan bersama menafikan laporan media tentang penyerang England itu akan meninggalkan Old Trafford. Spekulasi tersebar apabila akhbar The Independent dalam edisi Sabtu mengeluarkan laporan bahawa Rooney telah diberikan keizinan untuk meninggalkan kelab. Bagaimanapun pihak pengurusan United dan Rooney sendiri pantas menafikan laporan akhbar terbabit sambil menyifatkan ianya sekadar spekulasi tidak berasas. "Laporan bahawa Manchester United setuju untuk melepaskan Rooney adalah sesuatu yang mengarut", menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh United. Rooney juga segera memberikan maklumbalas tentang isu berkenaan melalui akaun Twitter miliknya dengan mengatakan tiada sebarang masalah antara dia dengan Sir Alex Ferguson, walaupun dia tidak diturunkan ketika United tewas kepada Blackburn Rovers kerana tindakan disiplin. "Pengurus dan saya tidak mempunyai sebarang masalah. Laporan The Independent tentang masa depan saya bersama United adalah sampah. Perlu saya tegaskan, komitmen saya bersama kelab ketika ini cukup tinggi", kata Rooney. Glory Glory Manchester United!!!
06 Januari 2012
UNITED IKUTI PERKEMBANGAN CAHILL
Manchester United diberitakan sedang mengikuti dengan penuh minat perkembangan pertahanan Bolton Wanderers yang menjadi sasaran Chelsea ketika ini. Bolton sudahpun bersetuju dengan tawaran sebanyak 7 Juta Pound yang dikemukakan Chelsea untuk mendapatkan Gary Cahill namun pertahanan England itu dikatakan tidak bersetuju dengan terma-terma peribadi pada tawaran pertama. Cahill dikatakan menuntut gaji sebanyak 100,000 Pound seminggu manakala Chelsea pula hanya menawarkan 70,000 Pound seminggu. Perkembangan terkini tonggak pertahanan Bolton itu nyata menarik minat kem United untuk memperkuatkan benteng selepas mereka kehilangan Nemanja Vidic untuk keseluruhan baki saingan musim ini. Dengan Rio Ferdinand sering dilanda kecederaan, Chris Smalling dan Jonny Evans yang masih berada dalam senarai bilik rawatan, manakala Phil Jones pula sering digunakan di bahagian tengah, kelibat Cahill dilihat sebagai alternatif terbaik buat Ferguson mengatasi kelonggaran benteng pertahanannya. Walaupun sebelumnya lantang menegaskan tidak akan mengeluarkan walau 1 Pound sekalipun untuk mendapatkan pemain baru, Ferguson mungkin terpaksa menelan semula kata-katanya selepas menyaksikan barisan pemainnya dua kali diaibkan dalam saingan liga. United tewas 2-3 kepada Blackburn Rovers yang bergelut di zon penyingkiran dan Ferguson kemudiannya sekali lagi terpaksa menelan hakikat beliau memang memerlukan `nafas baru' dalam pasukan selepas tewas kepada Newcastle United (0-3). Glory Glory Manchester United!!!
GIGGS SASAR KEMENANGAN KE ATAS CITY
Lagenda Manchester United, Ryan Giggs menyeru rakan sepasukannya supaya segera bangkit menebus dua kekalahan lalu dengan menyingkirkan Manchester City dari saingan Piala FA musim ini. United dan City bakal membuat perhitungan di pusingan ketiga kejohanan kalah mati itu Ahad ini. Kekalahan United kepada Newcastle United semalam membolehkan City menjarakkan kedudukan mereka di tangga teratas Liga Perdana dengan kelebihan tiga mata. Sekalipun diaibkan dengan dua kekalahan berturut-turut, sesuatu yang memang jarang berlaku ke atas The Red Devils, Giggs bertekad untuk menyingkirkan `jiran yang bising' itu bagi memulihkan semula maruah yang sudah tercalar. Namun begitu, Giggs juga sedar kunjungan ke Stadium Etihad bukanlah satu tugas yang mudah mengambilkira rekod tanpa kalah City di gelanggang sendiri musim ini. "Statistik jaringan kami musim ini cukup bagus, semoga kami mampu menjaringkan gol seperti biasa. Tiada sesiapa pun yang suka dan inginkan kekalahan tetapi perkara ini boleh saja berlaku kepada mana-mana pasukan", kata Giggs. Giggs nyata teruja dengan suasana perlawanan setiap kali berdepan jiran mereka itu dan dengan dokongan ribuan penyokong United yang akan bertandang ke Etihad, pemain terbaik sepanjang zaman United itu yakin skuad The Red Devils akan memperolehi keputusan positif di sana. Glory Glory Manchester United!!!
05 Januari 2012
FERGUSON: USAH PANIK
Manchester United menerima kekalahan kedua berturut-turut mereka dalam saingan liga selepas tewas 0-3 kepada Newcastle United di Sports Direct Arena awal pagi tadi. Selepas tewas kepada Blackburn Rovers di gelanggang sendiri Sabtu lalu, barisan The Red Devils sekali lagi terpaksa menelan kepahitan dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Dua kekalahan berturut-turut sesuatu yang jarang sekali berlaku ke atas United dan individu yang paling kecewa tentunya Sir Alex Ferguson, apatah lagi mereka dalam usaha mengejar pendahulu ketika ini, Manchester City. Bukan setakat itu, posisi United di tangga kedua juga semakin dihampiri Tottenham Hotspurs yang ketinggalan tiga mata tetapi memiliki kelebihan satu perlawanan. Seperti yang dijangka, Ferguson menurunkan skuad terkuat yang pernah dimilikinya sejak beberapa perlawanan yang lalu namun tetap gagal menyekat tuan rumah dari meraih tiga mata penuh. Demba Ba membuka tirai jaringan diminit ke-33 hasil hantaran jauh Shola Ameobi manakala Yohan Cabaye meletakkan tuan rumah selesa di depan hasil sepakan percuma menarik diminit ke-48. Phil Jones melengkapkan hari derita United apabila menjaringkan gol sendiri diminit ke-90 sekaligus menimbulkan persoalan benarkah apa yang dikatakan Ferguson sebelum ini bahawa tiada sebarang pemain baru yang akan dibawa masuk Januari ini. Ferguson sebaliknya meminta pemain-pemainnya tidak panik atas kekalahan ini dan yakin pengalaman berdepan tekanan akan membantu United selepas ini. "Secara normal kami memang jarang menerima kekalahan secara berturut-turut tetapi yang positifnya kami menerima beberapa pemain kembali ke dalam pasukan. Ini bukan waktunya untuk panik dan kami berpengalaman untuk mengatasinya", kata Ferguson. Glory Glory Manchester United!!!
04 Januari 2012
PREVIEW: NEWCASTLE UTD lwn MANCHESTER UTD
Selepas menyaksikan pasukannya tewas mengejut kepada Blackburn Rovers hujung minggu lalu, Sir Alex Ferguson kini berharap beliau mampu menurunkan beberapa pemain utama ketika pasukannya berkunjung ke Stadium Sports Direct Arena awal pagi nanti. Ferguson yang menggunakan Michael Carrick, Phil Jones, Antonio Valencia dan Patrice Evra di benteng pertahanan terpaksa menelan kepahitan selepas menyaksikan pasukannya tewas 2-3 kepada Rovers, Sabtu lalu. Untuk itu, Ferguson yang menyambut ulang tahun ke-70 minggu lalu pastinya tidak mahu melakukan kesilapan yang sama sambil berharap Rio Ferdinand dan Chris Smalling kembali memperkuatkan benteng The Red Devils. Kelibat Ryan Giggs bakal ditagih Ferguson di bahagian tengah dan veteran United itu bakal digandingkan semula dengan Michael Carrick manakala Anderson yang kembali beraksi minggu lalu selepas lama diketepikan akibat kecederaan lutut mungkin sekali lagi diletakkan sebagai pemain gantian. Anderson yang beraksi sepanjang separuh masa kedua ketika berdepan Rovers dilihat mampu mengharungi perlawanan dengan baik biarpun sebelumnya terpaksa diketepikan selama hampir dua bulan.
"Kami berusaha keras memastikan Rio Ferdinand dan Ryan Giggs dapat diturunkan pada perlawanan Rabu ini. Kondisi Anderson juga lebih baik dan dia bermain selama 45 minit minggu lalu manakala Wayne Rooney tentu saja akan diturunkan semula", kata Ferguson. Rooney yang digugurkan Ferguson dari senarai pemain Sabtu lalu bakal mejadi taruhan di bahagian depan bersama Dimitar Berbatov yang kembali menemui sentuhan jaringannya ketika ini. Penyerang Bulgaria itu sudah menjaringkan lima gol dalam dua penampilan terakhir termasuk hatrik ketika United membenam Wigan Athletic, 26 Disember lalu. Sementara itu, Newcastle United pula merakam catatan unik apabila tidak pernah menang di gelanggang sendiri sejak penjenamaan semula stadium St James Park. Sejak secara rasmi menggunakan nama Sports Direct Arena pada 9 November lalu, skuad Alan Pardew tewas kepada Chelsea dan West Bromwich Albion serta dipaksa berkongsi mata dengan Swansea City, sedangkan rekod mereka digelanggang sendiri sebelumnya begitu ampuh. Walaupun lawan tewas 1-3 kepada Liverpool pada perlawanan terakhir mereka namun United harus waspada dengan ancaman yang bakal dihadirkan barisan tuan rumah terutamanya dari penyerang berbisa mereka, Demba Ba. Penyerang Senegal itu yang sudah menjaringkan 14 gol dalam liga setakat ini bakal muncul ancaman besar terhadap benteng pertahanan United. Rekod lima pertemuan kedua-dua pasukan sejak 2008 memihak kepada United yang menang dua dan seri tiga kali.
Barisan Kemungkinan United:
Anders Lindegaard, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Phil Jones, Antonio Valencia, Nani, Michael Carrick, Ryan Giggs, Park Ji-Sung, Wayne Rooney & Dimitar Berbatov
Langgan:
Catatan (Atom)















