30 Jun 2011

YANG DITUNGGU DAH TIBA


David de Gea and Sir Alex Ferguson
Penjaga gol U-21 Sepanyol dan juga bekas penjaga gol Athletico Madrid akhirnya secara rasmi diumumkan sebagai pemain Manchester United. David de Gea bakal menggantikan tempat Edwin Van der Sar yang mengumumkan persaraannya musim lalu sebagai penjaga gol utama United. Walaupun tidak diumumkan nilai perpindahan sebenar de Gea, ramai pemerhati boalsepak mengatakan bahawa United terpaksa membelanjakan sekitar 16 juta Pound untuk membawa de Gea keluar dari Vincente Calderon ke Old Trafford. Sir Alex Ferguson nampaknya tidak mahu situasi di mana United berhadapan masalah besar mencari pengganti Peter Schmeichel berulang kembali apabila segera mendapatkan tandatangan de Gea. Dengan kontrak selama 5 tahun yang telah ditandatanganinya, de Gea akan kekal di Old Trafford sekurang-kurangnya hingga tahun 2016. SELAMAT DATANG KE OLD TRAFFORD DAVID DE GEA!!!

29 Jun 2011

TIGA NAFAS BARU


Spain's David de Gea watches play during their European Under-21 Championship soccer match against England in Herning, June 12, 2011.
Selepas Phil Jones dan Ashley Young, kini giliran penjaga gol muda terbaik Eropah menyertai United untuk saingan musim depan. David de Gea yang baru tamat tugasan bersama skuad U-21 Sepanyol di Kejohanan Eropah Bawah 21 Tahun (Sepanyol muncul sebagai juara kejohanan ini) menjalani pemeriksaan perubatan di Old Trafford semalam. Walau pun masih belum diumumkan secara rasmi sebagai pemain United, ketiga-tiga pemain ini sebenarnya boleh dikatakan sudah 99% bakal menjadikan Old Trafford sebagai destinasi mereka musim depan. Selepas persaraan Edwin Van der Sar, Gary Neville dan Paul Scholes, di samping kegagalan United di final Liga Juara-Juara Mei lalu, Sir Alex Ferguson nampaknya begitu bernafsu merevolusikan skuadnya dengan membawa masuk pemain berusia di bawah 25 tahun. Kedatangan Ashley Young dari Villa Park pastinya menjadikan saingan merebut tempat di posisi sayap semakin sengit. United ketika ini sudah memiliki Antonio Valencia dan Nani di sebelah kanan manakala bintang veteran, Ryan Giggs, Park Ji-Sung dan Gabriel Obertan di sebelah kiri. Gandingan Chris Smalling dan Phil Jones adalah pelaburan masa depan Ferguson di posisi pertahanan tengah bagi menggantikan Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic. Harus diingat Ferguson ketika ini turut memiliki dua bek muda di sebelah kiri dan kanan (Rafael dan Fabio da Silva). Ketibaan De Gea di Old Trafford semalam bagi menjalani pemeriksaan perubatan bakal menamatkan teka-teki siapa bakal menggantikan Van der Sar yang bersara sebaik berakhirnya final Liga Juara-Juara musim lalu. Biarpun baru berusia 20 tahun, De Gea dianggap bakal penjaga gol masa depan skuad kebangsaan Sepanyol menggantikan Iker Casillas. Selepas ini penyokong-penyokong United pastinya tertunggu-tunggu siapa pemain baru yang bakal dibawa Ferguson bagi menggantikan tempat Paul Scholes. Selepas persaraan Scholes, United memang memerlukan seorang perancang tengah berwibawa sebagai jeneral di tengah padang. Mungkinkah Wesley Sneijder, Alexis Sanchez, Samir Nasri, Luca Modric atau perancang muda Barca, Thiago Alcantara?