31 Januari 2013

UNITED...SEPANJANG 24 JAM YANG LALU


DE GEA MENYELAMATKAN TIGA MATA UNITED

Sumbangan Wayne Rooney dengan dua gol jaringannya memang diakui membolehkan United meraih tiga mata berharga ketika melayani kunjungan Southampton awal pagi tadi tetapi kapten pasukan, Nemanja Vidic turut meletakkan David de Gea sebagai watak penting di sebalik kejayaan The Red Devils dalam perlawanan ini. Jay Rodriguez berjaya membocori gawang United seawal minit ketiga namun gol itu bukanlah hasil dari kesilapan De Gea tetapi berpunca dari hantaran ke belakang lemah Michael Carrick. De Gea tidak banyak diuji pada separuh masa pertama tetapi begitu sibuk ketika pelawat meningkatkan tekanan di babak kedua. Salah satu aksi De Gea yang paling diingati dalam perlawanan ini ialah tindakan cemerlangnya menafikan peluang Rickie Lambert untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma. Dari reaksinya, Lambert jelas begitu kecewa selepas melihat bola sepakannya berjaya ditepis De Gea, dan hal itu turut diakui pengurus The Saints, Mauricio Pochettino. Menurut Pochettino, pada kebiasaannya sepakan percuma seperti itu pastinya boleh menghasilkan gol, tetapi De Gea jelas berada pada prestasi terbaik untuk menafikan lawan dari sekurang-kurangnya berkongsi mata. Bagi Vidic pula, itu adalah tindakan menyelamat yang luar biasa ditunjukkan penjaga gol berusia 22 tahun itu. “Itu adalah penyelamatan luar biasa dari David. Sebenarnya saya melihat bola akan menerjah jaring tetapi David bertindak dengan cukup cemerlang. Dia menunjukkan bahawa dia memiliki bakat hebat. Dia penjaga gol yang bagus dan semakin kerap dia bermain, dia akan bertambah bagus”, kata Vidic kepada MUTV.

LIMA PEMAIN UNITED DISENARAIKAN DALAM SKUAD KEBANGSAAN

Tom Cleverley, Wayne Rooney, Danny Welbeck, Michael Carrick dan Chris Smalling disenaraikan Roy Hodgson untuk bermain dalam aksi persahabatan menentang Brazil minggu hadapan. Ini merupakan kali pertama Smalling disenaraikan dalam tempoh setahun selepas mengalami kecederaan tetapi prestasi cemerlang yang dipamerkannya sejak kebelakangan ini berjaya menarik perhatian Hodgson. Michael Carrick turut disenaraikan selepas digugurkan dari skuad ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Poland dan Montenegro, September lalu. Berikut adalah senarai penuh skuad kebangsaan England yang akan berdepan Brazil:

PENJAGA GOL: Jack Butland & Joe Hart PERTAHANAN: Leighton Baines, Gary Cahill, Ashley Cole, Phil Jagielka, Glen Johnson, Joleon Lescott, CHRIS SMALLING & Kyle Walker TENGAH: MICHAEL CARRICK, TOM CLEVERLEY, Steven Gerrard, Frank Lampard, Aaron Lennon, James Milner, Leon Osman, Alex Oxlade Chamberlain, Theo Walcott & Jack Wilshere PENYERANG: Jermain Defoe, WAYNE ROONEY, Daniel Sturridge & DANNY WELBECK

KAMI DI POSISI TERBAIK

Nemanja Vidic mengakui Manchester United berada pada posisi terbaik dalam perlumbaan mengejar kejuaraan liga musim ini namun mengingatkan rakan-rakan sepasukan bahawa `tugas mereka masih belum selesai’. United berjaya memanfaatkan sepenuhnya keputusan seri yang diraih pencabar terdekat Manchester City ketika berdepan Queens Park Rangers untuk menjarakkan kedudukan kepada tujuh mata di takhta liga dengan mengalahkan Southampton awal pagi tadi. Ketika perjalanan liga menuju satu pertiga musim, kelebihan tujuh mata di tangga teratas adalah situasi yang cukup bagus buat pasukan dalam misi menjulang kejuaraan ke-20. Bagaimanapun Vidic tetap berwaspada berdasarkan pengalaman pahit musim lalu ketika United terlepas kejuaraan liga biarpun pada satu ketika begitu selesa memiliki kelebihan lapan mata di tangga teratas dengan baki lapan perlawanan untuk ditamatkan. “Kedudukan kami ketika ini cukup baik. Sangat penting untuk memenangi perlawanan terutama pada tahap sekarang. Ketika ini semua perlawanan adalah penting dan kami perlu fokus pada perlawanan berikutnya. Tugas kami belum selesai dan perjalanan masih panjang tetapi kami berada pada posisi terbaik”, kata Vidic. Vidic mengakui United tidak bermain dengan baik awal pagi tadi tetapi kemenangan adalah lebih penting jika mahu memenangi kejuaraan.

JONES TERSENARAI DALAM SKUAD U-21

Selepas diketepikan untuk sebahagian besar aksi musim ini, Phil Jones akhirnya kembali disenaraikan dalam skuad kebangsaan England. Meskipun kesempatan yang diperolehi Jones kali ini bukanlah bersama skuad senior tetapi sebaliknya untuk skuad U-21 England, ini merupakan permulaan baik buat pemain berusia 20 tahun itu memulakan langkah menarik semula perhatian Roy Hodgson. Jones disenaraikan dalam skuad kendalian Stuart Pearce yang akan berdepan skuad U-21 Sweden di Walsall minggu hadapan. Pemain yang baru ditandatangani, Wilfried Zaha yang memperolehi caps  pertama untuk skuad senior ketika berdepan Sweden November lalu turut disenaraikan Pearce bersama kuartet Liverpool, Andre Wisdom, Raheem Sterling, Jonjo Shelvy dan Jack Robinson. Dengan perebutan tempat ke pusingan akhir Kejohanan Eropah Bawah 21 Tahun di Israel musim panas ini serta pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 untuk skuad senior, peluang tampil bersama skuad U-21 bakal menjadi batu loncatan buat Jones dan Zaha mengintai peluang disenaraikan semula bersama skuad senior Three Lions. Seorang lagi pemain muda United yang turut tersenarai dalam skuad Pearce ialah penjaga gol, Ben Amos. – A.J

GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!

REAKSI BOS SELEPAS PERLAWANAN


Walaupun berjaya melebarkan kedudukan pendahulu liga kepada tujuh mata, Sir Alex Ferguson menganggap United bernasib baik kerana berjaya menewaskan Southampton awal pagi tadi. Meskipun menguasai sepenuhnya permainan di babak pertama, United membiarkan pelawat mengawal tempo permainan di babak kedua. Jika tidak kerana kekentalan benteng pertahanan menahan asakan dan kecemerlangan De Gea menyelamatkan sepakan percuma Rickie Lambert, United tentu bakal berputih mata di halaman sendiri. “Dari pengalaman saya, dalam mengharungi sesuatu kejuaraan ada kalanya anda akan berkata bahawa kami hanya bernasib baik dan itulah yang berlaku malam ini. Saya fikir Southampton memberikan penampilan terbaik mereka musim ini di babak kedua. Mereka memberikan tekanan kepada kami hingga menyebabkan kami tidak selesa ketika memegang bola”, kata Sir Alex. Sir Alex turut mendedahkan pemain tengahnya, Michael Carrick sudah memohon maaf atas kesilapannya ketika melakukan hantaran ke belakang hingga membolehkan Jay Rodriguez menjaringkan gol pertama perlawanan. Penyokong-penyokong United cemas seketika apabila Rodriguez berjaya menyambar bola hantaran lemah dari Carrick dan kemudiannya mudah menewaskan De Gea, namun dua gol Wayne Rooney selepas itu akhirnya memberikan tiga mata berharga buat United. “Hantaran ke belakang Carrick sedikit lemah dan selepas itu dia mengangkat tangannya sebagai tanda mengakui kesilapannya. Saya senang melihat sikap seperti itu. Ketika di bilik persalinan Michael berkata `Maaf bos, maaf kawan-kawan’. Saat itu sungguh hebat”, kata Sir Alex lagi. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

REVIEW: GILIRAN ROONEY CURI TUMPUAN


Manchester United kembali mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas liga selepas mencatat kemenangan ke atas Southampton pada perlawanan ke-24 liga di Old Trafford awal pagi tadi. United dikejutkan menerusi gol awal pelawat hasil jaringan Jay Rodriguez diminit ke-3 yang mengambil kesempatan dari kesilapan hantaran ke belakang Michael Carrick untuk menewaskan David de Gea. Walau bagaimanapun dua gol dari Wayne Rooney diminit ke-9 dan 27 memastikan United meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri sekaligus kembali mengukuhkan cengkaman di takhta liga. Meskipun tidak pernah menang di Old Trafford hampir 25 tahun, Southampton sebaliknya tampil lebih menyakinkan terutamanya sepanjang babak kedua perlawanan. Memang diakui United pasukan yang lebih unggul di babak pertama apabila menguasai sebahagian besar perlawanan tetapi anehnya persembahan The Red Devils agak lesu di babak kedua hingga membenarkan pelawat menguasai perlawanan dan melancarkan asakan-asakan berbahaya ke kubu mereka. Langkah Mauricio Pochettino memasukkan kapten pasukan, Adam Lallana di babak kedua berjaya mengubah tempo permainan The Saints. Lallana yang tidak bermain hampir dua bulan kerana kecederaan ligamen lutut memainkan peranan penting dalam melakukan gerakan-gerakan pelawat.

Rickie Lambert hampir menyamakan kedudukan di pertengahan babak kedua, namun sepakan percumanya yang hampir menerjah gawang bejaya di tepis De Gea. Menyedari pelawat semakin meningkatkan tekanan, Sir Alex Ferguson melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Chris Smalling (minit ke-63) dan memasukkan pertahanan berpengalaman, Rio Ferdinand bagi memantapkan benteng pertahanan. Impian Robin Van Persie untuk menyamai rekod Cristiano Ronaldo yang berjaya menjaringkan gol dalam enam perlawanan berturut-turut dinafikan Artur Boruc apabila penjaga gol Poland itu bertindak hebat menepis bola tandukan Van Persie di atas garisan gol di minit ke-73. Selepas itu Van Persie sekali lagi hampa apabila jaringannya dibatalkan selepas dia dikesan penjaga garisan sudah berada di posisi offside. Selepas berdepan tekanan hebat terutamanya di penghujung permainan, United akhirnya berjaya mengekalkan kedudukan dan meraih tiga mata berharga dari perlawanan ini untuk kembali menjarakkan kedudukan di tangga teratas kepada tujuh mata. Dua gol jaringan Rooney ke gawang Southampton dalam perlawanan ini menyaksikan penyerang England itu berjaya menjaringkan sembilan gol dari sembilan pertemuannya menentang The Saints. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan United-Southampton:

Penguasaan Bola: 44% - 56%
Percubaan Tepat: 5 – 4
Percubaan Tersasar: 11 – 18
Sepakan Sudut: 4 – 8
Offside: 3 – 1
Kekasaran: 10 – 11
Kad Kuning: 2 – 1
Kad Merah: 0 – 0 

30 Januari 2013

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn SOUTHAMPTON



Robin Van Persie akan kembali mengisi tempatnya dalam kesebelasan utama pada pertemuan menentang Southampton awal pagi esok selepas direhatkan dari perlawanan pusingan keempat saingan Piala FA, Ahad lalu. Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand turut akan kembali semula selepas direhatkan tetapi pemain sayap Ashley Young dan Jonny Evans akan terus diketepikan kerana masih belum pulih dari masalah lutut dan hamstring. Bagi Southampton pula kunjungan mereka ke Old Trafford diiringi dengan berita gembira apabila kapten pasukan Adam Lallana disahkan akan kembali memperkuatkan skuad selepas tidak bermain hampir dua bulan kerana kecederaan ligamen lutut. Jose Fonte dan Guly Do Prado yang belum pulih dari kecederaan lutut akan diketepikan tetapi pemain yang baru ditandatangani, Vegard Forren bakal melakukan penampilan pertama. Mauricio Pochettino yang mengambil alih tugas dari Nigel Adkins yakin pasukannya mampu melakukan kejutan di Old Trafford selepas menyaksikan anak-anak buahnya berjaya mengikat Everton di gelanggang sendiri 22 Januari lalu.

Pochettino boleh dianggap lulus ujian pertamanya selaku pengendali The Saints namun berdepan United di Old Trafford bakal menghadirkan ujian sebenar buat warga Argentina itu. The  Saints hanya menang sekali dari 39 kunjungan mereka ke Old Trafford sejak 1969 dengan kali terakhir mereka berjaya meraih tiga mata penuh di Theatre of Dream ialah pada 16 Januari 1988. Meskipun sedar tugas berat menanti anak-anak buahnya di Old Trafford, Pochettino yakin mereka akan meraih sesuatu ketika berdepan pendahulu liga itu, apatah lagi selepas menyaksikan barisannya tidak kalah dalam enam perlawanan terakhir mereka. Keupayaan mereka mengikat Chelsea di Stamford Bridge pastinya menjadi amaran awal buat United agar tidak memandang rendah keupayaan lawan yang mereka tewaskan 3-2 pada 2 September lalu. United pula masih segar dengan kejayaan mudah menyingkirkan Fulham pada saingan Piala FA di samping kekal tanpa kalah dalam 11 aksi terakhir mereka. Rekod United ketika beraksi di gelanggang sendiri musim ini juga cemerlang apabila menang sepuluh dari sebelas perlawanan dengan Tottenham Hotspurs muncul pasukan tunggal yang berjaya meraih tiga mata penuh di Old Trafford setakat ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- United menang tujuh perlawanan terakhir mereka menentang Southampton dalam semua kejohanan. Satu-satunya kemenangan yang berjaya dicatat The Saints ke atas United ialah pada Ogos 2003 menerusi jaringan tunggal James Beattie.

- Southampton belum pernah menang dari 17 kunjungan terakhir mereka di Old Trafford. Kali terakhir mereka menewaskan United di Old Trafford ialah kira-kira 25 tahun lalu (Januari 1988). Keputusan terbaik yang diraih mereka selepas itu ialah ketika mengikat United dengan keputusan 3-3 pada September 1999.

- United tidak pernah tewas dalam 32 perlawanan di gelanggang sendiri ketika menentang kelab yang baru dinaikkan ke saingan Liga Perdana, sejak kali terakhir mereka tewas 1-2 kepada Bolton Wanderers pada Oktober 2001.

- Robin Van Persie berpeluang menyamai pencapaian Cristiano Ronaldo yang berjaya menjaringkan gol dalam enam perlawanan liga berturut-turut yang dilakukannya pada 2008. Setakat ini Van Persie sudah menjaringkan gol dalam lima perlawanan terakhirnya.

- Musim ini Southampton tewas kedua-dua perlawanan mereka menentang dua kelab Manchester (United dan City) dengan keputusan 3-2 biarpun pada satu ketika berjaya mendahului lawan 2-1.

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Rafael da Silva, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Michael Carrick, Tom Cleverley, Nani, Shinji Kagawa, Wayne Rooney & Robin Van Persie

Barisan Kemungkinan Southampton:

Artur Boruc, Jos Hooiveld, Maya Yoshida, Nathaniel Clyne, Luke Shaw, Steven Davis, Adam Lallana, Morgan Schneiderlin, James Ward-Prowse, Gaston Ramirez & Rickie Lambert

28 Januari 2013

UNITED...SEPANJANG 24 JAM YANG LALU


PILIH UNITED BERBANDING CITY

Penjaga gol Stoke City, Asmir Begovic telah menjelaskan bahawa dia lebih rela berpindah ke Manchester United musim panas ini daripada menyertai juara Liga Perdana, Manchester City. Penjaga gol antarabangsa Bosnia itu yang diberitakan menjadi sasaran Sir Alex Ferguson menegaskan bahawa dia mahu bermain dalam kesebelasan utama daripada berada di bangku simpanan dan menjadi pelapis kepada Joe Hart. Bekas pemain Portsmouth itu menyertai Stoke pada 2010 dan sejak itu memainkan peranan penting mengawal gawang The Potters hingga menyaksikan kelab itu berjaya mengekalkan kedudukan mereka di kelompok sepuluh terbaik dalam tempoh dua tahun terakhir. Sementara itu City turut dilaporkan menjadikan Begovic sasaran musim panas tetapi pemain itu pastinya sedar dia bakal menghabiskan kebanyakan masa di bangku simpanan sebagai pilihan kedua di belakang Hart. Dengan tandaharga sebanyak £15 juta yang diletakkan ke atas Begovic, Stoke akan memperolehi keuntungan berlipat ganda kerana kelab itu hanya membayar £3 juta ketika membawa pemain itu ke Stadium Britannia tiga tahun lalu. Selepas spekulasi semakin hangat mengatakan bahawa De Gea akan kembali semula ke Sepanyol menyertai sama ada Barcelona atau Real Madrid, Begovic dijangka mengambil alih posisi sebagai penjaga gol nombor satu United musim panas ini.

CARRICK BAKAL DITAWARKAN KONTRAK BAHARU

Sir Alex Ferguson diberitakan akan menawarkan kepada pemain tengah, Michael Carrick lanjutan kontrak baharu. Bekas pemain West Ham dan Tottenham Hotspurs itu memainkan peranan penting di sebalik prestasi cemerlang United setakat ini bakal ditawarkan lanjutan kontrak hingga musim panas 2015. Kontrak Carrick akan berakhir pada 2014 dan ketika ini dia menerima £80 ribu seminggu tetapi pihak pengurusan United tidak akan menambah pakej gaji pada kontrak baru yang akan ditawarkan nanti. Sir Alex memuji penampilan Carrick dan menyifatkan musim ini adalah penampilan terbaik pemain tengah itu. “Persembahannya musim ini cukup luar biasa. Dia melaksanakan tugasnya dengan cemerlang dan ini merupakan musim terbaiknya di kelab”, kata Sir Alex. Meskipun diketepikan dari skuad kebangsaan pada pusingan akhir Euro 2012, penampilan cemerlang Carrick bersama United musim ini menarik minat Roy Hodgson untuk menyenaraikannya kembali dalam skuad The Three Lions.

JONES LEBIH BAGUS BERBANDING TERRY

Sir Alex Ferguson menyifatkan kemampuan Phil Jones lebih bagus berbanding John Terry ketika zaman mudanya. Sir Alex nampaknya berpuashati dengan penampilan pemain berusia 21 tahun itu setakat ini walaupun kerap dibelenggu kecederaan. “Phil mempunyai kemampuan yang lebih baik berbanding Terry. Terry memiliki pengalaman dan merupakan tonggak pertahanan tengah yang fantastis buat Chelsea. Namun ketika zamannya sebagai pemain muda, Terry pasti akan menjadi orang pertama yang mengakui bahawa dia tidak memiliki kepantasan seperti Phil”, kata Sir Alex. Pemain yang ditandatangani Sir Alex dari Blackburn Rovers pada 2011 itu turut diakui sebagai pemain serba boleh. Selain berkebolehan diletakkan sebagai pemain pertahanan tengah, Jones juga boleh beraksi dengan baik sebagai bek kanan dan juga pemain tengah bertahan. “Phil adalah pemain serba boleh dan dia boleh bermain di mana-mana posisi. Dia pantas, memiliki sepasang kaki yang kuat serta berkebolehan membaca permainan dengan baik”, tambah Sir Alex lagi.

ROONEY AKAN AMBIL PENALTI LAGI

Walau tugasnya sebagai pengambil sepakan penalti ketika perlawanan menentang Fulham di pusingan keempat Piala FA awal pagi tadi diambil alih oleh Ryan Giggs, Sir Alex Ferguson berjanji akan menyerahkan kembali peranan itu kepada Wayne Rooney di masa akan datang. Rooney gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika United menyingkirkan West Ham pada perlawanan ulangan pusingan ketiga Piala FA di Old Trafford 17 Januari lalu. Kegagalan tersebut menyebabkan Sir Alex `membekukan’ buat sementara waktu peranan Rooney sebagai pengambil sepakan penalti. Giggs yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut awal pagi tadi selepas bola terkena tangan Aaron Hughes mudah menewaskan Mark Schwarzer untuk membuka tirai jaringan buat United. “Wayne gagal menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan-perlawanan sebelumnya jadi saya mengenepikan dia buat sementara waktu. Wayne akan kembali mengambilnya (sepakan penalti) selepas ini. Satu perkara tentang Wayne ialah dia tidak ragu-ragu walaupun gagal menyempurnakan sepakan tersebut. Dia memiliki keyakinan diri yang tinggi”, kata Sir Alex. - A.J

GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!

27 Januari 2013

REVIEW PIALA FA: UNITED MUDAH LEPASI HALANGAN FULHAM


Manchester United mudah melepasi halangan Fuham untuk menlangkah ke pusingan kelima Piala FA selepas menewaskan kelab ibukota London itu 4-1 awal pagi tadi. Gol-gol sumbangan Ryan Giggs, Wayne Rooney dan Javier Hernandez meletakkan United dalam kedudukan selesa mengatasi skuad kendalian Martin Jol itu manakala pelawat memperolehi gol tunggal menerusi Aaron Hughes. Tanda-tanda keruntuhan skuad The Cottagers mula terlihat seawal minit pertama apabila kesilapan Steve Sidwell hampir dihukum Rooney namun percubaannya sedikit tersasar. United hamya memerlukan 95 saat untuk berada di depan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas bola sepakan penjuru Rooney terkena tangan Hughes. Giggs yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah untuk mengatasi Schwarzer dan berjaya meletakkan United unggul mendahului 1-0. Gol pembukaan itu tidak mengendurkan asakan United yang mencipta beberapa peluang terbaik terutamanya menerusi Rooney dan Nani namun tiada tambahan jaringan mampu dihasilkan sebaik wisel penamat separuh masa pertama ditiupkan. Secara keseluruhannya sepanjang babak pertama United mendominasi sepenuhnya perlawanan manakala barisan penggempur pelawat yang diketuai bekas bintang United, Dimitar Berbatov gagal memaksa David de Gea bekerja keras.

United hanya memerlukan tempoh lima minit sebaik babak kedua perlawanan dimulakan apabila Rooney menggandakan kelebihan barisan tuan rumah menerusi rembatan deras yang gagal diselamatkan Schwarzer. Dua minit selepas itu giliran Hernandez pula  meletakkan namanya dalam senarai penjaring gol apabila mudah menolak masuk dari jarak dekat untuk meletakkan United selesa mendahului 3-0 di depan. Hernandez terus membuktikan ketajamannya apabila sekali meledak gawang lawan 13 minit kemudian apabila rembatannya yang terkena Hughes memperdayakan Schrawzer untuk gol keempat United. Hughes yang menjadi punca kepada gol pertama dan keempat United bagaimanapun menebus kesilapannya apabila menjaringkan gol saguhati pelawat diminit ke-77. Jaringan pelawat itu menamatkan pesta gol di Old Trafford yang memberikan United tiket ke pusingan kelima sekaligus meletakkan The Red Devils kian hampir merealisasikan misi mereka menjulang Piala FA musim ini. Berbatov yang pada mulanya dijangka memberikan masalah kepada bekas rakan-rakan sepasukannya terutama di benteng pertahanan gagal menghadirkan ancaman yang benar-benar serius. Bekas penggempur yang pernah berbakti selama empat tahun di Old Trafford itu dilihat bergelut melepasi kekangan Chris Smalling dan Phil Jones sepanjang perlawanan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Kesebelasan Permulaan United:

David de Gea, Rafael da Silva, Chris Smalling, Phil Jones, Patrice Evra, Michael Carrick, Anderson, Nani, Ryan Giggs, Wayne Rooney & Javier Hernandez

Kesebelasan Permulaan Fulham:

Mark Schwarzer, John Arne Riise, Brede Hangeland, Chris Baird, Aaron Hughes, Sacha Riether, Steve Sidwell, Damien Duff, Alexander Kacaniklic, Dimitar Berbatov & Bryan Ruiz

26 Januari 2013

PREVIEW PIALA FA: MANCHESTER UTD lwn FULHAM



Setelah berjaya melepasi halangan West Ham di pusingan ketiga, Manchester United akan berdepan skuad bimbingan Martin Jol pula dalam misi mereka memenangi trofi Piala FA buat pertama kali dalam tempoh lapan tahun. Kali terakhir United menang kejuaraan Piala FA ialah pada 2004 dan keseluruhannya The Red Devils sudah menjulang trofi ini sebanyak 11 kali. Sepertimana United, Fulham juga terpaksa bermain perlawanan ulangan sebelum berjaya menyingkir kelab dari Liga Kejuaraan, Blackpool di Bloomfield Road yang menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan hingga ke masa tambahan. Tumpuan pada perlawanan ini tentunya terarah kepada Dimitar Berbatov yang kembali semula ke Old Trafford buat pertama kali sejak menyertai The Cottagers Ogos lalu. Sebaik saja meninggalkan United, Berba mengkritik cara dia diperlakukan Sir Alex Ferguson terutamanya ketika saat-saat akhir dia di kelab dan mengatakan bahawa dia hilang rasa hormat terhadap pengendali itu atas apa yang berlaku kepadanya. Berba pastinya mahu menggunakan sepenuhnya kesempatan berdepan bekas kelabnya itu awal pagi esok untuk membuktikan sesuatu, dan Sir Alex tentunya sedar ancaman yang bakal diberikan oleh bekas penyerangnya itu. Jol dijangka menggandingkan Berba dan Brian Ruiz di barisan hadapan tetapi beliau akan kehilangan khidmat Mahamadou Diarra di bahagian tengah yang ketika ini bersama Mali dalam kejohanan Piala Negara-Negara Afrika. Tidak seperti Sir Alex yang bakal menurunkan skuad berbeza dalam usaha mengekalkan kecergasan pemain-pemain utamanya bagi menghadapi aksi liga, Jol pula mendapati beliau tidak mempunyai pilihan selain menggunakan pemain-pemain yang sama dalam perlawanan ini. Barisan pemain yang bakal diturunkan Jol dijangka tidak banyak berubah berbanding skuad yang tewas 0-2 kepada Manchester City dalam aksi liga hujung minggu lalu. United pula masih terlepas khidmat Jonny Evans yang masih belum pulih dari kecederaan lutut manakala Darren Fletcher pula diketepikan hingga penghujung musim akibat masalah usus. Sementara itu Sir Alex mengesahkan bahawa khidmat Ashley Young belum pasti dapat digunakan dalam perlawanan ini kerana pemain antarabangsa England itu masih belum 100% cergas sepenuhnya. Wayne Rooney yang tidak diturunkan pada aksi liga menentang Tottenham Hotspurs bakal diletakkan semula di barisan hadapan bersama-sama Javier Hernandez. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan United – Fulham:

- Manchester United menewaskan Fulham buat kali ke-46 dari 78 pertemuan kompetitif mereka selepas menundukkan skuad kendalian Martin Jol itu 3-2 di Old Trafford Ogos lalu. Ini juga merupakan kemenangan keempat berturut-turut United ke atas Fulham sejak 2010. Kali terakhir Fulham menewaskan United ialah pada bulan Disember 2009 di mana mereka menang 3-0 pada pertemuan yang diadakan di Craven Cottage.

- Ini adalah kali kesembilan kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Piala FA di mana United menang tujuh daripadanya termasuk pertemuan di peringkat separuh akhir edisi 1958, peringkat suku akhir edisi 2004 dan 2009.

Barisan Kemungkinan United:

Anders Lindegaard, Rafael da Silva, Chris Smalling, Phil Jones, Alexander Buttner, Antonio Valencia, Anderson, Tom Cleverley, Ryan Giggs, Wayne Rooney & Javier Hernandez.

Barisan Kemungkinan Fulham:

Mark Schwarzer, Sascha Riether, Aaron Hughes, Brede Hangeland, Kieran Richardson, Damien Duff, Steve Sidwell, Giorgs Karagounis, Alexander Kacaniklic, Bryan Ruiz & Dimitar Berbatov

UNITED...SEPANJANG 24 JAM YANG LALU


LAGENDA PUJI BARISAN PENGGEMPUR UNITED

Lagenda Manchester United, Andy Cole memuji penampilan barisan penggempurThe Red Devils musim ini. Melihat kepada prestasi yang ditunjukkan Robin Van Persie, Wayne Rooney, Javier Hernandez dan Danny Welbeck mengingatkan Cole pada kuartet penyerang United yang pernah dibarisinya paa tahun 1999. Gandingan Cole, Dwight Yorke, Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer berjaya membantu United menang kejuaraan treble pada 1999, pencapaian yang masih gagal di saingi mana-mana kelab di England hingga ke saat ini. “Robin melakukan tugasnya dengan cemerlang manakala Wayne, Chicha dan Welbeck seolah-olah tiga pemain yang pernah bermain bersama-sama saya. Tentu saja anda hanya akan dapat menilai pencapaian mereka sebaik musim berakhir tetapi skuad United yang ada sekarang sangat istimewa. Pemain United dari skuad 1999 juga sangat istimewa”, kata Cole kepada Tribalfootball. Melihat kepada barisan yang dimiliki Sir Alex Ferguson ketika ini, ramai penyokong-penyokong United berharap mereka mampu mengulangi pencapaian gemilang skuad 1999 yang berjaya meraih kejuaraan treble hampir 14 tahun yang lalu.

PENGKRITIK DE GEA BODOH

Sir Alex Ferguson melabelkan pengkritik penjaga golnya, David de Gea sebagai bodoh. De Gea memang diakui menerima banyak kritikan berikutan aksi kurang konsisten sejak menyertai United dari Atletico Madrid pada 2011. De Gea sekali lagi menjadi tumpuan apabila ramai pihak mengatakan dia sepatutnya dipersalahkan atas gol penyamaan Clint Dempsey pada pertemuan menentang Tottenham Hotspurs hujung minggu lalu. Mengulas tentang hal itu, Sir Alex mengatakan, “Saya tidak punya apa-apa untuk diperkatakan tentang De Gea. Anda (wartawan) sebenarnya terlalu banyak mendengar pendapat orang-orang bodoh dalam bolasepak”. Salah seorang yang lantang mengkritik De Gea ialah bekas bek Manchester United, Gary Neville yang kini menjadi pengulas dan penolong Roy Hodgson dalam skuad kebangsaan. Bekas kapten United itu mengatakan The Red Devils terpaksa membayar harga yang mahal selepas De Gea gagal menepis bola dengan sempurna hingga membolehkan Aaron Lennon melakukan hantaran untuk disudahkan oleh Dempsey. Walau bagaimanapun untuk berlaku adil, sebelum kesilapan minit akhir itu dilakukan, De Gea bertindak cemerlang menyelamatkan sekurang-kurangnya tujuh percubaan bahaya Spurs terutamanya menerusi Gareth Bale, Dempsey dan Lennon.

KIKO MACHEDA SERTAI STUTTGART

Bukan Sepanyol, tetapi sebaliknya Federico Macheda menyertai kelab Bundesliga Vfb Stuttgart sebagai pemain pinjaman. Meskipun pada awalnya dikatakan hampir pasti menyertai Elche, kelab yang beraksi dalam saingan Segunda Liga (liga divisyen dua Sepanyol), Macheda akhirnya memilih Jerman sebagai destinasi untuk menyelamatkan kariernya bersama United. Sejak menjaringkan gol kemenangan ke atas Aston Villa pada usia 17 tahun, di mana gol tersebut turut membantu United meraih kejuaraan Liga Perdana pada 2009, Macheda gagal menyinar dan menghabiskan tempoh selama dua tahun dengan menyertai Sampdoria dan QPR sebagai pemain pinjaman. Tidak seperti Tom Cleverley, Jonny Evans dan Danny Welbeck yang pulang semula ke Old Trafford sebagai pemain yang lebih bagus selepas menamatkan tempoh pinjaman bersama kelab lain, Macheda sebaliknya masih gagal meningkatkan prestasinya. Kini Stuttgart diharapkan mampu membawa sinar buat karier Macheda yang pada satu ketika pernah dilabel sebagai bintang dalam pembikinan. Bercakap selepas menyertai kelab barunya, Macheda berkata, “Saya mengikuti perkembangan Bundesliga dan tentu saja saya tahu tentang Stuttgart. Saya gembira bermain untuk mereka dan akan cuba menyesuaikan diri secepat mungkin dengan rakan-rakan sepasukan”.

KEJUTAN ZAHA UNTUK UNITED

Pengendali Bolton Wanderers, Dougie Freedman yakin Wilfired Zaha akan memberikan banyak kejutan buat Manchester United. Bekas pengendali Crystal Palace itu yakin, Zaha akan cepat berkembang di Old Trafford dan bakal memberikan impak kepada The Red Devils. “Saya mengenalinya sejak dia berusia 12 tahun. Dia menggunakan sepenuhnya bakat yang ada pada dirinya ketika bersama Palace dan akan melakukan perkara yang sama untuk Manchester United. Saya yakin anak muda ini akan mengejutkan ramai pihak. Dia bekerja keras, berdedikasi dan akan menunjukkan kepada United bahawa dia adalah salah seorang pemain yang hebat. Wilfired adalah seorang anak muda yang fantastis”, kata Freedman. Sementara itu Zaha gembira spekulasi tentang masa depannya bersama Crystal Palace berjaya diselesaikan apabila bintang muda itu hampir pasti menyertai Manchester United selewat-lewatnya hujung minggu ini. “Saya gembira dapat menyertai Manchester United dan menamatkan sebarang spekulasi tentang masa depan saya bersama Crystal Palace. Saya ingin berterima kasih kepada pemilik kelab dan mahu menghabiskan tempoh lima bulan dengan membantu mereka berasi semula di Liga Perdana musim depan”, kata Zaha.

ZOUMA JADI SASARAN TERBARU

Selepas berjaya mendapatkan khidmat bintang muda England, Wilfired Zaha, Manchester United kini dikatakan mengalihkan perhatian mereka kepada pertahanan muda Saint Etienne, Kurt Zouma pula. Menurut laporan media di England, Sir Alex Ferguson mensasarkan Zouma sebagai pengganti jangka panjang kepada Nemanja Vidic. Bintang muda berusia 18 tahun itu dilabelkan sebagai `Marcel Desailly Baru’ dan diiktiraf sebagai pemain pertahanan muda terbaik di Perancis ketika ini. Zouma baru-baru ini sudahpun ditawarkan lanjutan kontrak oleh St Etienne dalam usaha kelab itu mengekalkan bintang mudanya. Jika United benar-benar mahu mendapatkan khidmatnya, mereka dikatakan perlu membayar sekurang-kurangnya hingga  £ 8 juta kepada kelab Ligue 1 itu. United bagaimanapun bukan kelab tunggal yang memburu khidmat Zouma kerana Arsene Wenger turut berminat membawa pemain itu beraksi di England. Dengan Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic yang semakin berusia, Sir Alex melihat Zouma sebagai prospek masa depan pertahanan tengah pasukannya. – A.J


25 Januari 2013

UNITED...SEPANJANG 24 JAM YANG LALU


UNITED DAN PALACE CAPAI KATA SEPAKAT

Manchester United dan Crystal Palace akhirnya mencapai persetujuan berkaitan perpindahan Wilfried Zaha ke Old Trafford. Tawaran sebanyak £15 juta yang dibuat United berjaya memujuk pihak pengurusan Palace untuk melepaskan pemain berusia 20 tahun itu. Menurut laporan Daily Mail, Zaha akan menandatangani kontrak selama 5 tahun setengah dan bakal menerima gaji sebanyak £35 ribu seminggu. Jika segalanya berjalan lancar, dalam tempoh 48 jam, Zaha akan menandatangani kontrak secara rasmi selepas menjalani ujian perubatan di Bridgewater Hospital. Selain United, dua lagi kelab dari London, Tottenham Hotspurs dan Arsenal turut pernah dilaporkan media terbabit dalam persaingan mendapatkan khidmat pemain muda itu. Walaupun kelmarin Arsene Wenger menafikan kelabnya pernah terbabit dalam usaha memancing Zaha, tetapi ada laporan menyebut bahawa bintang muda England itu menolak tawaran yang dibuat Arsenal dan Spurs semata-mata kerana mahu menyertai United. Walau bagaimanapun penyokong-penyokong United tidak akan dapat menyaksikan kelibat Zaha dalam skuad The Red Devils dalam tempoh terdekat kerana bintang muda itu akan menghabiskan baki saingan musim ini bersama Palace sebagai sebahagian syarat perpindahannya.

SAYA MASIH NOMBOR SATU

David de Gea menegaskan bahawa dirinya masih penjaga gol nombor satu di Old Trafford selepas United dikaitkan dengan beberapa nama untuk menggantikan tempatnya sejak kebelakangan ini. Laporan-laporan media di England menyebut bahawa United sedia mendengar tawaran dari mana-mana kelab untuk penjaga gol mereka itu dengan Real Madrid dan Barcelona menunjukkan minat yang besar membawa De Gea kembali semula ke Sepanyol. Bekas penjaga gol Atletico Madrid itu sering dikritik kerana melakukan kesilapan-kesilapan kecil dan terbaru bekas lagenda United, Gary Neville mengatakan De Gea patut dipersalahkan atas gol penyamaan Clint Dempsey ketika menentang Tottenham Hotspurs hujung minggu lalu. “Sejak kali pertama menjejakkan kaki ke kelab ini, saya selalu merasakan bahawa saya adalah penjaga gol nombor satu. Saya senang dengan polisi penggiliran yang diamalkan Sir Alex Ferguson. Pengurus melakukan penggiliran pada saat yang tepat dan itu bagus untuk pasukan tetapi saya dipilih dalam beberapa perlawanan penting dan itu adalah hal yang positif”, kata De Gea.

KAGAWA KURANG PUASHATI PERMULAAN KARIERNYA DI OLD TRAFFORD

Shinji Kagawa mengakui bahawa dia kurang berpuashati dengan permulaan kariernya bersama Manchester United. Kagawa yang di bawa masuk dari Borussia Dortmund dengan nilai £17 juta musim panas lalu menganggap penampilan musim pertamanya di Old Trafford diganggu kecederaan lutut. Kagawa diketepikan sejak Oktober lalu dan hanya kembali dua bulan selepas itu di mana dia berjaya menjaringkan dua gol dari 12 penampilan setakat ini. “Saya kurang berpuashati dengan apa yang sudah saya sumbangkan untuk kelab setakat ini. Ini kelab yang besar dan saya perlu mengatasi tekanan agar tidak menganggu permainan saya”, kata Kagawa kepada The Sport Review. Kagawa juga mengakui dia beruntung kerana berpeluang bermain dan berlatih bersama-sama pemain kelas dunia di Old Trafford dan itu merupakan satu motivasi yang baik untuk dirinya. Selepas tidak bermain selama dua bulan, Kagawa kembali diturunkan dalam aksi liga ketika United menewaskan West Bromwich 2-0, 29 Disember lalu dan terbaru bermain selama 62 minit ketika United mencatat keputusan seri di White Hart Lane hujung minggu lalu.

KAMI RINDUKAN RVP

Pertahanan antarabangsa Perancis, Bacary Sagna mengatakan bahawa para pemain Arsenal sangat merindukan sentuhan magis Robin Van Persie di Emirates. Perpindahan Van Persie ke Old Trafford Ogos lalu memang dikesali banyak pihak di Arsenal termasuk dirinya sendiri dan Sagna mengakui dia begitu kecewa melihat bekas kaptennya itu menyertai United. “Kami di Arsenal sangat merindui Van Persie. Beliau memberikan segala yang dimilikinya untuk Arsenal musim lalu dan sekarang dia melakukan hal yang sama untuk United”, kata Sagna tentang bekas rakan sepasukannya itu. Melihat prestasi cemerlang yang dipamerkan Van Persie di Old Trafford, Sagna mengatakan United sangat beruntung memiliki penyerang antarabangsa Belanda itu. “Manchester United sangat beruntung kerana memilikinya. RVP adalah pemain yang cukup hebat kerana kemampuannya mengubah perjalanan perlawanan”, tambah Sagna lagi kepada Atlantiquefootball.

CASILLAS TERLEPAS AKSI MENENTANG UNITED

Real Madrid menerima khabar duka selepas penjaga gol utama yang juga ketua pasukan mereka, Iker Casillas akan diketepikan selama enam minggu akibat kecederaan tangan ketika menentang Valencia. Pada perlawanan pusingan kedua peringkat suku akhir Copa del Rey di Stadium Mestalla, semalam, Casillas terpaksa dibawa keluar selepas tangannya tertendang rakan sepasukannya Alvaro Arbeloa. Jurucakap Madrid mengesahkan selepas pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas tangan Casillas di pusat perubatan La Moraleja Sanitas, mereka mendapati terdapat retakan pada tangan kiri pemain itu. Menurut pakar perubatan, kecederaan yang dialami Casillas memerlukan tempoh sekurang-kurangnya enam minggu untuk pulih sepenuhnya dan itu bermakna dia akan terlepas perlawanan pertama pusingan 16 pasukan Liga Juara-Juara menentang Manchester United di Santiago Bernabeu 13 Februari ini. Casillas juga belum dapat dipastikan akan memperkuatkan skuad Los Merengues pada pertembungan el classico menentang Barcelona pada 2 Mac dan perlawanan kedua menentang United di Old Trafford tiga hari kemudian. – A.J

GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!


24 Januari 2013

WELBECK ATAU CHICHARITO?


Pilihan samada Danny Welbeck atau Javier Hernandez yang layak diletakkan Sir Alex sebagai penyerang ketiga di belakang Robin Van Persie dan Wayne Rooney sering menjadi perhatian penyokong-penyokong United dan pemerhati bolasepak. Jika diambil kira ketajaman ketika di depan gawang, Hernandez dilihat lebih unggul berbanding Welbeck namun penyerang antarabangsa England itu berjaya menarik perhatian Sir Alex untuk menurunkannya dalam dua perlawanan terakhir liga menentang Liverpool dan Tottenham Hotspurs. Kerja keras Welbeck diiktiraf Sir Alex apabila beliau memuji penampilan pemain itu selepas perlawanan menentang Liverpool di mana dia juga dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan. Welbeck bagaimanapun hanya menjaringkan satu gol dari 17 perlawanan manakala Hernandez pula jauh di hadapan apabila sudah mencetak lapan gol dari 13 perlawanan. Ketika pertemuan menentang Liverpool, Hernandez hanya diletakkan di bangku simpanan tanpa berpeluang merasai hangatnya pertembungan dua musuh tradisi itu tetapi ketajamannya ketika di dalam petak penalti tidak perlu diragukan. Hernandez sudah menjaringkan beberapa gol penting untuk United musim ini dan paling diingati tentunya gol kemenangan penghujung permainan jaringannya ketika menewaskan Newcastle United 4-3, 26 Disember lalu. Ketika berdepan Liverpool, Welbeck bermain selama 90 minit dan memiliki beberapa peluang terbaik untuk menembusi gawang Pepe Reina terutamanya di babak pertama tetapi gagal menemui sasaran. Hernandez pula sudah terlepas beberapa perlawanan besar musim ini terutamanya ketika berdepan Arsenal, Manchester City, Liverpool dan terbaru Tottenham Hotspurs.

Hujung minggu lalu, United sekadar mencatat keputusan seri di White Hart Lane di mana ramai yang berpendapat pada perlawanan itu United sebenarnya memerlukan seorang penjaring gol produktif seperti Hernandez dalam menyempurnakan beberapa peluang. Mungkin ketika di White Hart Lane, Sir Alex melihat pasukannya memerlukan pemain seperti Welbeck yang memiliki kepantasan ketika menyerang dan mampu membantu benteng pertahanan ketika bertahan. Dengan perhatian lebih tertumpu tentang pemain mana yang mampu menghentikan Gareth Bale, Welbeck mungkin dilihat Sir Alex pemain yang sesuai melakukan tugas tersebut. Welbeck mungkin tidak mempunyai banyak statistik untuk ditunjukkannya kepada penyokong-penyokong dan pengkritik, tetapi corak permainannya kadang kala menyebabkan pertahanan kental seperti Martin Skrtel berdepan masalah sekaligus membuka ruang buat Van Persie ataupun Rooney menjaringkan gol. Ketika pertemuan menentang Liverpool sebelas hari lalu, Welbeck memang diakui memberikan banyak masalah buat pertahanan The Reds sepanjang 90 minit perlawanan. Sir Alex dalam beberapa tahun terakhir sering menggunakan pemain yang mampu memberikan masalah kepada benteng lawan ketika mereka melakukan serang balas. Setakat ini United memang diakui tidak berdepan masalah dalam menghasilkan gol selepas Van Persie muncul penyumbang utama, dan atas sebab itu Sir Alex akan terus meletakkan Welbeck dalam perancangan taktikalnya dengan mengorbankan Hernandez buat sementara waktu. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

23 Januari 2013

UNITED...SEPANJANG 24 JAM YANG LALU


GARAY PENGGANTI FERDINAND?

Akhbar harian Sepanyol, Marca dalam laporannya mengatakan bahawa Manchester United sedang mendekati pertahanan Benfica, Ezequiel Garay. Prestasi yang dipamerkan Garay bersama Benfica nyata menarik minat Sir Alex Ferguson untuk mendapatkan khidmatnya dan bos United itu yakin pertahanan antarabangsa Argentina itu mampu menggantikan tempat Rio Ferdinand. Ferdinand yang kontraknya akan berakhir musim panas ini diyakini ramai pihak akan meninggalkan Old Trafford dengan kemungkinan kembali semula ke West Ham iaitu kelab yang pernah disertai ketika zaman remajanya, Sir Alex berharap dapat menandatangani Garay ketika jendela perpindahan musim panas dibuka dan sedia membuat tawaran sekitar €15 juta untuk membawa pertahanan itu ke Old Trafford. Garay, 26 berjaya menyemarakan semula kariernya di Estadio da Luz selepas melalui tempoh mengecewakan ketika bersama-sama Real Madrid dan membuktikan dirinya sebagai salah seorang pertahanan tengah terbaik di Eropah ketika ini. Memiliki pengalaman luas dan dilihat mampu beraksi di peringkat tertinggi untuk tempoh sekurang-kurangnya lima atau enam tahun lagi, Garay bakal menjadi pembelian terbaik United musim panas nanti.

CLEVERLEY MAHU JULANG PIALA FA

Pemain tengah Manchester United, Tom Cleverley berharap dia dapat menjulang Piala FA musim ini. Walau bagaimanapun, Cleverley dan United perlu melepasi cabaran Fulham di pusingan keempat, Ahad ini sebelum memasang impian mara lebih jauh. Sejak 2004, United sudah menjulang empat kejuaraan Liga Perdana tetapi ketandusan trofi kejohanan kalah mati tertua di dunia itu yang kali terakhir mereka menangi lapan tahun lalu. Pendekatan Sir Alex Ferguson ketika menghadapi saingan Piala FA musim ini juga berbeza jika dibandingkan dengan musim-musim sebelumnya. Sir Alex baru-baru ini bercakap tentang bagaimana beliau mahu melihat pemain-pemainnya mara ke Wembley dan menjulang trofi itu (Piala FA) di sana. Bercakap di laman sesawang rasmi United, Cleverley berkata, “Pastinya saya mahu memenangi trofi itu musim ini. Terdapat beberapa pemain dalam skuad yang masih belum memenangi apa-apa kejuaraan lagi termasuk diri saya sendiri. Jadi mana-mana kejohanan yang melibatkan kami, saya mahu memenanginya”.

 BELAJAR DARI UNITED

Kapten Liverpool, Steven Gerrard mengakui dia gembira dengan prestasi terkini yang dipamerkan pasukannya namun menegaskan mereka masih perlu belajar sesuatu dari Manchester United. Gerrard terpaksa menelan kepahitan apabila tewas sebanyak dua kali kepada United dalam saingan liga musim ini. September lalu, United menewaskan The Reds 2-1 di Anfield dan mengulangi keputusan yang sama pada perlawanan kedua di Old Trafford. “Saya gembira dengan falsafah permainan pengurus baru (Brendan Rodgers). Saya juga gembira dengan gaya permainan yang diterapkannya. Perlu diakui jarak antara kami dan Manchester United sangat besar tetapi saya yakin pada hari terbaik kami, kami mampu mengalahkan mana-mana pasukan. Yang perlu kami titik beratkan ialah konsistensi dan kami perlu belajar dari Manchester United tentang hal itu. Adakalanya mereka tidak bermain baik tetapi masih mampu mencari cara untuk memenangi perlawanan. Berbeza dengan kami, ketika kami bermain buruk, kami tidak menang jadi kami harus mencari cara memenangi perlawanan ketika kami tidak berada pada prestasi terbaik”, kata Gerrard.

UNITED DAN ARSENAL KEJAR JULIO CESAR?

Berita menarik dalam pasaran perpindahan pemain tiba-tiba muncul petang ini apabila Manchester United dan Arsenal diberitakan memburu khidmat penjaga gol Queens Park Rangers, Julio Cesar. Cesar bagaimanapun tidak akan menyertai mana-mana pasukan ketika pasaran perpindahan pemain akan ditutup dalam tempoh kira-kira sembilan hari lagi. United dan Arsenal sebaliknya diberitakan mahu mendapatkan khidmat penjaga gol Brazil itu musim panas nanti. Cesar dilihat United dan Arsenal sebagai penjaga gol penuh pengalaman untuk bermain di peringkat tertinggi dan layak menyertai mana-mana kelab utama Eropah. Seperti yang diketahui, Cesar merupakan antara penjaga gol terbaik yang pernah beraksi di Serie A ketika dia menyarung jersi Inter Milan dan berjaya membantu kelab itu menjulang kejuaraan liga sebanyak lima kali selain menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2010. Atas sebab itulah yang mendorong Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger menimbang kemungkinan memberikan tanggungjawab kepada pemain itu mengawal gawang pasukan masing-masing musim hadapan. Cesar meninggalkan Giuseppe Meazza selepas Inter tidak mampu menanggung beban gaji penjaga gol itu dan dia kemudiannya secara mengejut telah memilih berhijrah ke Loftus Road berbanding menyertai mana-mana kelab besar yang lain. Kini masalah yang menimpa Inter dirasai pula QPR selepas pihak pengurusan kelab itu mendapati mereka terpaksa menyingkirkan samada Cesar atau Robert Green bagi mengurangkan beban kos kewangan yang tinggi. – A.J

GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!

UNITED...SEPANJANG 24 JAM YANG LALU


UNITED MAHU SELESAIKAN PERPINDAHAN ZAHA DALAM TEMPOH 24 JAM

Manchester United akan mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan Crystal Palace berhubung perpindahan pemain sayap mereka, Wilfried Zaha ke Old Trafford. Ketika pemain-pemainnya berada di Qatar untuk kem latihan singkat, Sir Alex pula diberitakan melibatkan diri dalam penawaran untuk mendapatkan pemain muda itu. United dikatakan akan membayar sehingga £ 12 juta dan sedia memenuhi syarat yang ditetapkan pihak pengurusan Palace untuk terus membenarkan Zaha beraksi bersama pasukan itu dalam saingan Liga Kejuaraan hingga penghujung musim ini. Zaha muncul pemain muda paling diburu Sir Alex sebaik pasaran perpindahan pemain musim sejuk dibuka, sudah menjaringkan 15 gol dari 124 penampilan untuk Eagles sejak melakukan debut menentang Cardiff City pada Mac 2010. Dia yang dinamakan sebagai Pemain Muda Terbaik Liga Kejuaraan musim lalu turut menarik minat dua kelab dari London iaitu Arsenal dan Tottenham Hotspurs.

KIKO MACHEDA MAHU BERAKSI DI SEPANYOL

Penyerang Manchester United, Federico Macheda tampak sudah pasti akan meninggalkan Old Trafford pada baki saingan musim ini untuk menyertai kelab yang bermain di Segunda Division (liga bahagian dua Sepanyol), Elche. Presiden kelab, Jose Sepulchre mengatakan bahawa kelabnya dan United pada dasarnya sudah bersetuju untuk membenarkan pemain itu menyertai Elche secara pinjaman. Macheda yang turut dikaitkan akan menyertai kelab Bundesliga, Stuttgart tampak lebih berminat menuju ke Sepanyol selepas berdepan laluan sukar menempatkan dirinya dalam skuad utama United. Ketika ini Macheda berada di ranking kelima dalam senarai penyerang-penyerang United di belakang Robin Van Persie, Wayne Rooney, Javier Hernandez dan Danny Welbeck. Sir Alex Ferguson nampaknya masih percaya terdapat potensi besar dalam diri Macheda apabila beliau memilih untuk meminjamkan pemain itu berbanding menjualnya ke pasukan lain. Selepas mencipta impak ketika menjaringkan gol kemenangan ke atas Aston Villa pada tahun 2009, Macheda kemudiannya gagal mengekalkan prestasi terbaiknya hingga menyebabkan dia menghabiskan tempoh lebih dua tahun sebagai pemain pinjaman di Sampdoria dan Queens Park Rangers. Walaupun perjanjian masih belum dimuktamadkan, Elche muncul kelab di kedudukan teratas untuk menandatangani penyerang itu.

UNITED BERMINAT DAPATKAN VALDES

Manchester United diberitakan sedang mempertimbangkan langkah untuk mendapatkan penjaga gol Barcelona, Victor Valdes musim panas ini. Laporan dari Times menyebut bahawa Sir Alex Ferguson meletakkan Valdes sebagai sasarannya selepas pemain itu mengumumkan tidak akan menandatangani kontrak baru bersama Barca. Valdes yang memikul tugas sebagai penjaga gol nombor satu Barca sejak 2003 hampir pasti meninggalkan Nou Camp dengan kelab Catalan itu meletakkan tandaharga sekitar £ 15 juta kepada mana-mana kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya. Spekulasi tentang minat Sir Alex terhadap Valdes berkait rapat dengan rakan Sepanyolnya di Old Trafford, David de Gea. De Gea sejak beberapa minggu lalu sering dikaitkan dengan minat dari dua gergasi Sepanyol iaitu Real Madrid dan Barca sendiri. Barca melihat De Gea sebagai pengganti paling sesuai buat Valdes manakala Madrid pula meletakkan penjaga gol muda itu sebagai pengganti jangka panjang buat Iker Casillas.

MARTINEZ: HENRIQUEZ BAKAL MAINKAN PERANAN PENTING UNTUK KAMI

Pengurus Wigan Athletic, Roberto Martinez percaya pemain muda Manchester United Angelo Henriquez yang menyertai pasukannya sebagai pemain pinjaman memiliki semua ciri penting sebagai penjaring gol tulen. Henriquez  mengikut jejak langkah Tom Cleverley yang pernah bergabung dengan The Latics sebagai pemain pinjaman sebelum pulang semula ke Old Trafford. Bekas pemain Universidad de Chile itu menjaringkan gol pada penampilan pertamanya untuk Wigan sebelum tewas 2-3 kepada Sunderland hujung minggu lalu. “Angelo memiliki ciri-ciri sebagai penjaring gol tulen. Gerakan yang dilakukannya sangat fantastik dan dia memiliki bakat serta berada di tempat yang tepat untuk mengembangkan kariernya. Gol pada penampilan pertamanya di Liga Perdana sangat penting untuk meningkatkan tahap keyakinan dirinya”, kata Martinez. Dengan ketiadaan Arouna Kone yang terlibat dengan aksi di kejohanan Piala Negara-Negara Afrika, kehadiran Henriquez diharapkan dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyerang antarabangsa Ivory Coast itu selain membantu Wigan keluar dari zon penyingkiran. “Dia merupakan seorang pemain muda tetapi corak permainannya cukup matang. Saya yakin dia akan menjadi pemain penting buat kami mulai sekarang hingga akhir musim nanti”, tambah Martinez lagi. - A.J

GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!