30 Oktober 2011

UNITED KETEPI IGAUAN BURUK


Gol tunggal Javier Hernandez mengembalikan semula Manchester United ke landasan kemenangan selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Everton di Goodison Park semalam.  Sir Alex Ferguson menurunkan Wayne Rooney dan Hernandez sebagai penggempur namun sekali lagi melakukan formasi pelik apabila beliau meletakkan Danny Welbeck di bahagian sayap.  United jelas menguasai babak awal perlawanan sambil memaksa benteng tuan rumah yang diketuai ketua pasukan, Phil Jagielka bekerja keras mematahkan serangan pelawat.  Kebuntuan jaringan gol akhirnya terlerai apabila Hernandez memanfaatkan umpanan silang Patrice Evra diminit ke-19 untuk menewaskan Tim Howard di gawang.  Tuan rumah cuba bangkit selepas itu untuk mencari gol penyamaan dan hampir menyamakan kedudukan melalui tendangan bebas Leighton Baines diminit ke-40, namun palang gol menjadi penghalang dan kedudukan kekal 1-0 hingga babak pertama perlawanan berakhir.  

Di babak kedua, kem United tersentak apabila Tom Cleverley yang baru kembali merasai aksi saingan liga selepas diketepikan sejak 10 September lalu terpaksa dikeluarkan kerana masalah hamstring dan digantikan dengan Nani.  Diminit ke-62, United hampir menggandakan jaringan namun percubaan Danny Welbeck yang menerima hantaran Hernandez berjaya diselamatkan Howard.  Tidak lama selepas itu, Ferguson membawa keluar Hernandez dan memasukkan Dimitar Berbatov yang yang diturunkan ketika United menang ke atas Aldershot dalam saingan Piala Liga sebagai penggempur bersama Rooney.  Tuan rumah mencipta beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan melalui Seamus Coleman, Louis Saha dan Jack Rodwell namun benteng United yang diketuai Nemanja Vidic cekal bertahan hingga babak terakhir perlawanan.  Ferguson yang turut menyaksikan perlawanan Everton dan Chelsea dalam saingan Piala Liga sudah menjangkakan dari awal pasukannya akan menempuh kesukaran di gelanggang lawan.  "Ini bukanlah perlawanan yang mudah.  Saya menyaksikan perlawanan mereka kelmarin dan mereka beraksi sebagai satu pasukan dan memberi tekanan kepada kami sepanjang perlawanan", kata Ferguson.  Sementara itu, David Moyes mengatakan keputusannya menurunkan skuad terkuat ketika berdepan Chelsea dalam saingan Piala Liga sedikit menjejaskan kekuatan pasukannya dalam perlawanan ini.  Everton kehilangan khidmat Royston Drenthe yang menerima kad merah disamping kehilangan sentuhan Phil Neville dan Tim Cahill yang mengalami kecederaan.  Kemenangan ini juga mengekalkan United di tangga kedua liga dengan 23 mata, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Manchester City.  Glory Glory Manchester United!!!

29 Oktober 2011

PREVIEW: EVERTON lwn MANCHESTER UTD



Manchester United bertandang ke Goodison Park berbekalkan misi bangkit dari igauan buruk tewas 1-6 kepada Manchester City, Ahad lalu.  Bintang tengah United, Park Ji-Sung bingkas mempertahankan kredebiliti rakan-raka sepasukannya biarpun terpaksa menelan hakikat itu adalah kekalahan terburuk United di gelanggang sendiri sejak 1926.  Berbekalkan keyakinan United mampu bangkit dari kekalahan itu, Ji-Sung yakin rakan-rakan sepasukannya akan menampilkan karekter sebenar mereka dalam perlawanan ini nanti.  Skuad bimbingan Sir Alex Ferguson perlu membuktikan bahawa mereka sudah melupakan kekecewaan itu dengan menampilkan aksi terbaik mereka, namun beraksi di Goodison Park bukanlah satu tugas yang mudah.  Buktinya musim lepas United selesa mendahului tuan rumah 3-1, namun The Toffees bangkit menyamakan kedudukan hasil gol lewat Tim Cahill dan Mikel Arteta.  Tumpuan utama Sir Alex Ferguson dalam perlawanan ini ialah bagaimana dia mahu membina semula semangat para pemainnya bangkit dari kekalahan memalukan itu.  Apa yang melegakan Ferguson ialah melihat kembalinya kapten pasukan, Nemanja Vidic yang beraksi selama 90 minit mengetuai barisan United mengenepikan cabaran Aldershot Town dalam saingan Piala Liga Rabu lalu.  Selain itu, Ferguson juga sudah boleh menagih kembali khidmat Tom Cleverley di barisan tengah selepas kehilangan khidmat bintang muda itu sejak 10 September lalu kerana kecederaan.  Cleverley diturunkan di EBB Stadium Rabu lalu dan Ferguson jelas berpuashati dengan prestasi yang dipamerkannya biarpun dia hanya bermain selama 60 minit.  Selain gusar dengan mentaliti pemainnya, Ferguson juga harus berwaspada dengan  ancaman sebenar di atas padang yang bakal dijelmakan bekas pemain United sendiri seperti Louis  Saha, Phil Neville dan Tim Howard.  Saha sudah menemui semula sentuhan jaringannya apabila menyumbang dua gol dalam dua perlawanan terakhir mereka.  Neville jika diturunkan David Moyes, pasti akan berhabisan mengekang asakan penggempur United selain Howard yang  biasanya akan mempamerkan aksi terbaiknya setiap kali berdepan United.  Rekod sepuluh  pertemuan kedua-dua pasukan sejak 2007 memihak United apabila merakamkan 6 kemenangan, 3 kali seri  dan kalah sekali.  Glory Glory Manchester United!!! 

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Nemanja Vidic, Chris Smalling, Phil Jones, Park Ji-Sung, Tom Cleverley, Michael Carrick, Nani, Wayne Rooney & Javier Hernandez

26 Oktober 2011

PIALA LIGA: UNITED MARA KE SUKU AKHIR


Manchester United bangkit dari kekalahan kepada Manchester City dalam saingan liga untuk menempah tempat kepusingan suku akhir Piala Liga (Carling Cup) selepas berjaya menundukkan kelab yang beraksi di Liga 2, Aldershot Town sebentar tadi.  Ferguson tidak menurunkan walau seorang pemain pun dari skuad yang tewas kepada City, Ahad lalu di EBB Stadium sebaliknya memilih barisan keduanya pada perlawanan ini.  Ben Amos dipilih mengisi posisi David de Gea, manakala Nemanja Vidic, Fabio da Silva, Phil Jones dan Ezekiel Fryers mengisi posisi di benteng pertahanan.  Park Ji-Sung, Tom Cleverley, Antonio Valencia dan Mame Biram Diouf di bahagian tengah manakala Michael Owen dan Dimitar Berbatov sebagai penggempur.  Meskipun sekadar menurunkan skuad kedua, United mendominasi perlawanan di hadapan kira-kira 7 ribu penyokong tuan rumah dan berjaya mendahului melalui jaringan Berbatov diminit ke-15.  Michael Owen menggandakan jaringan buat United diminit ke-41 dan Antonio Valencia menutup sisa-sisa peluang tuan rumah menerusi gol ketiga diminit ke-48.  Selepas unggul dengan tiga gol di hadapan, Ferguson membuat tiga pertukaran di separuh masa kedua apabila mengeluarkan Fryers, Cleverley dan Diouf dan memberi kesempatan buat Paul Pogba, Michael Keane dan Ravel Morrison merasai aksi perlawanan.  Perlawanan ini juga menyaksikan kemunculan semula Tom Cleverley dalam kesebelasan permulaan United selepas diketepikan sejak 10 September kerana kecederaan.  Glory Glory Manchester United!!!

25 Oktober 2011

PREVIEW PIALA LIGA: ALDERSHOT lwn MAN UTD


Recreation Ground
Selepas diaibkan Manchester City 1-6 di gelanggang sendiri, Ahad lalu, skuad kendalian Sir Alex Ferguson akan bertandang ke Recreation Ground dengan misi mengubati kekecewaan tersebut.  United akan berdepan Aldershot Town, kelab dari Liga Kejuaraan 2 di gelanggang lawan dalam perlawanan pusingan ke-4 Piala Liga (Carling Cup) awal pagi nanti.  Tiada rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan pernah dicatatkan sebelum ini dan meskipun lawan sekadar menduduki tangga ke-15 liga divisyen 4, United pastinya sedar mereka tidak boleh memandang ringan cabaran lawan.  Dalam saingan kalah mati seperti ini, kejutan kerap dilakukan oleh kelab-kelab kerdil ke atas pasukan elit, tambahan pula mereka bakal beraksi di hadapan kira-kira 7 ribu penyokong sendiri.  Kelab yang dibimbing bekas  penyerang Wimbledon, Dean Holdsworth itu pastinya mahu menambah luka United manakala Sir Alex Ferguson pula akan menjadikan perlawanan ini sebagai motivasi untuk pemain-pemainnya bangkit dari kekalahan ngeri Ahad lalu.  Rekod Aldershot dalam lima perlawanan terakhir mereka di gelanggang sendiri sedikit membimbangkan penyokong-penyokong mereka.  Mereka tewas tiga dari lima perlawanan di gelanggang sendiri, menang sekali ke atas Rochdale dan mencatat keputusan seri dengan AFC Wimbledon.  Tuan rumah akan bergantung sepenuhnya kepada ketajaman penyerang mereka Michael Rankine dan Danny Hylton untuk memburu gol.  Di pihak United pula, Ferguson akan merehatkan David de Gea dan menggunakan Anders Lindegaard di gawang sambil mengharapkan pengalaman Nemanja Vidic memimpin pemain-pemain muda dibenteng pertahanan.  Fabio da Silva, Phil Jones dan Ezekiel Fryers dijangka akan merasai aksi bersama Vidic di benteng pertahanan manakala Paul Pogba, Park Ji-Sung, Antonio Valencia dan Michael Carrick bakal menjana jentera tengah United.  Penyerang veteran, Michael Owen yang sudah mengumpul dua gol dalam kejohanan ini akan digandingkan bersama Dimitar Berbatov sebagai penggempur utama.  Glory Glory Manchester United!!!

24 Oktober 2011

MALAM JAHANAM DI OLD TRAFFORD


Apa sebenarnya yang telah berlaku ke atas skuad Red Devils malam tadi sehingga begitu mudah dijinakkan Manchester City di gelanggang keramat mereka sendiri, Old Trafford.  Sir Alex Ferguson mengakui, dia begitu kecewa dengan keputusan di akhir perlawanan yang menyaksikan United tunduk 1-6 kepada jiran mereka itu, rekod terburuk United di Theatre of Dream ketika menentang City sejak 1926.  United ketinggalan di babak pertama hasil jaringan Mario Balotelli dan terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Jonny Evans dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Mark Clattenburg.  Balotelli menggandakan jaringan buat City diminit ke-60 dan sembilan minit kemudian giliran Sergio Aguero pula meletakkan City selesa mendahului dengan tiga gol.  

Walaupun Darren Fletcher berjaya merapatkan kedudukan diminit ke-81, Edin Dzeko merakamkan hatrik untuk melengkapkan malam derita buat skuad kendalian Sir Alex Ferguson itu.  "Ini adalah hari terburuk buat kami bahkan ketika saya masih bermain, saya tidak pernah mengalami kekalahan 1-6", kata Ferguson.  Menurut Ferguson, layangan kad merah yang diterima Evans menjadi detik penentu kejatuhan mereka dalam perlawanan itu.  Meskipun kekurangan seorang pemain, Ferguson berpendapat pasukannya harus bermain secara terbuka bagi mencari gol penyamaan sambil bergantung kepada pengalaman Rio Ferdinand dan Patrice Evra di benteng dalam menyerap asakan lawan.  "Ketika kami kekurangan seorang pemain, kami masih terus menyerang dan bermain secara terbuka.  Ini sebenarnya sungguh gila dan bolasepak sememangnya gila".  Kekalahan ini juga menyaksikan rekod kemenangan 19 perlawanan berturut-turut United di Old Trafford berakhir.  United kini ketinggalan lima mata di belakang City namun bernasib baik tidak dipintas Chelsea yang berada di tangga ketiga.  Skuad kendalian Andre Villas-Boas itu tewas 0-1 kepada Queens Park Rangers dalam satu lagi perlawanan. Glory Glory Manchester United!!!

21 Oktober 2011

PREVIEW: MAN UNITED lwn MAN CITY


Perlawanan antara Manchester United dan Manchester City pada 23 Oktober ini adalah derby ke 137 antara dua kelab berjiran itu dan bolehlah diangggap sebagai perlawanan terbesar di Liga Perdana Inggeris setakat ini.  United memenangi 54 perlawanan, seri 45 dan kalah 37 dari 136 perlawanan mereka sebelum ini.  Ada sebab untuk mengatakan demikian jika mengambilkira kedudukan kedua-dua kelab Manchester itu dalam liga selepas mengharungi lapan perlawanan. Kedua-dua kelab Manchester itu menguasai carta liga selepas City unggul di tangga teratas dengan 22 mata sambil diekori rapat United dengan 20 mata di tangga kedua.  Perang psikologi sudahpun dilancarkan oleh pemain kedua-dua pasukan dan yang terbaru melalui bintang tengah City, Nigel de Jong.  Seolah-olah cuba meremehkan cabaran United atau sekadar memanaskan suasana sebelum perlawanan, de Jong menganggap pasukannya adalah pilihan utama memenangi perlawanan ini biarpun menyedari mereka akan bertandang ke Old Trafford, gelanggang yang menyaksikan United mencatat 18 kemenangan berturut-turut dalam liga setakat ini.  Statistik lima perlawanan terakhir United agak kurang memberangsangkan bermula semasa mereka diikat Stoke City pada 24 September kemudian sekali lagi terpaksa berkongsi mata dengan FC Basel dalam saingan Liga Juara-Juara di gelanggang sendiri pada 28 September.  United mempamerkan persembahan sederhana ketika menewaskan Norwich City, 2-0 di Old Trafford dan sekali lagi terpaksa berkongsi mata dengan Liverpool, tetapi mempamerkan aksi terpuji ketika di Anfield.  Selasa lalu, United meraih kemenangan pertama mereka dalam saingan Liga Juara-Juara ke atas wakil Romania, Otelul Galati.  Biarpun menguasai keseluruhan permainan, United terpaksa bergantung kepada dua penalti Wayne Rooney untuk membawa pulang tiga mata penuh.  

Situasi berbeza dialami oleh City apabila mereka mencatat empat kemenangan pada lima perlawanan terakhir mereka.  Bayern Munich menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya mencalarkan ego skuad jutawan itu apabila membenam skuad kendalian Roberto Mancini 2-0 di Allianz Arena pada saingan Liga Juara-Juara, 28 September lalu. City mencatat kemenangan 2-0 ke atas Everton, 4-0 ke atas Blackburn Rovers, 4-1 ke atas Aston Villa dan 2-1 ke atas Villareal (Liga Juara-Juara).  Rekod sepuluh pertemuan terakhir United/City sejak 2008 bagaimanapun memihak kepada skuad The Red Devils apabila United menang 7 dan tewas 3 perlawanan kepada City.  Pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan ialah ketika merebut trofi Perisai Komuniti pada 7 Ogos lalu di mana United bangkit secara dramatik untuk  memenangi perlawanan dengan keputusan 3-2 selepas ketinggalan 0-2.  Perlawanan kali ini juga bakal menyaksikan pertembungan dua penyerang prolifik kedua-dua pasukan antara Wayne Rooney dan Sergio Aguero. Rooney dan Aguero mempamerkan ketajaman masing-masing apabila mendahului senarai penjaring terbanyak setakat ini dengan lapan gol.  Sir Alex Ferguson melabelkan perlawanan ini sebagai derby terbesar sepanjang karier 25 tahunnya di Old Trafford.  Hanya kemenangan ke atas `jiran yang bising' itu akan menjadi hadiah terbaik buat Ferguson yang akan menyambut ulang tahun ke-25 sebagai  pengurus United pada 6 November ini.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Chris Smalling, Nani, Ashley Young, Anderson, Ryan Giggs, Wayne Rooney & Javier Hernandez 

UNITED KEJAR REKOD DI GELANGGANG SENDIRI


Perlawanan derby Manchester yang akan berlangsung Ahad ini bolehlah dianggap sebagai pertembungan besar Liga Perdana Inggeris selepas kedua-dua pasukan dari bandar Manchester itu menguasai tangga teratas liga.  Manchester City menduduki puncak takhta liga dengan 22 mata sambil diekori United di tangga kedua dengan 20 mata.  Penampilan skuad kendalian Roberto Mancini  musim ini mendapat pujian dari pemain sayap United, Nani.  "City merupakan pasukan hebat dan diperkuatkan oleh pemain-pemain hebat. Pastinya sukar untuk mengalahkan mereka", kata Nani.  Nani bagaimanapun mengingatkan jiran mereka itu, bahawa lawan mereka kali ini adalah Manchester United dan kelebihan bermain di gelanggang sendiri akan dipergunakan sepenuhnya untuk meraih mata maksimum.  Tottenham Hotspurs, Arsenal dan Chelsea yang merupakan pesaing utama merebut kejuaraan liga musim ini sudah merasai peritnya bila berdepan United di Old Trafford dan Nani memberi amaran bahawa City bakal menerima nasib yang sama.  "Mereka (City) harus ingat bahawa kami adalah Manchester  United dan sukar mengalahkan kami di sini (Old Trafford).  Keyakinan dalam pasukan ketika ini cukup tinggi".  United sudah memecahkan rekod kemenangan mereka di gelanggang sendiri ketika menewaskan Norwich City 1 Oktober lalu.  Kemenangan ke atas Norwich adalah kemenangan ke-18 berturut-turut mereka setakat ini di gelanggang sendiri dan United kini memburu rekod yang masih di pegang Bradford Park Avenue yang mencatat 25 kemenangan berturut-turut.  Untuk itu, United harus menewaskan Manchester City, Sunderland, Newcastle United, Wolves, Wigan Athletic dan Blackburn Rovers untuk menyamai rekod tersebut.

20 Oktober 2011

TIADA RAYUAN UNTUK KAD MERAH VIDIC


Manchester United tidak akan mengemukakan rayuan atas kad merah yang diterima kapten mereka, Nemanja Vidic ketika menentang Otelul Galati dalam perlawanan Kumpulan C Liga Juara-Juara kelmarin.  Vidic dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Felix Brych diminit ke-67, tiga minit selepas Wayne Rooney meletakkan United didepan melalui sepakan penalti.  Mengulas insiden tersebut, Ferguson mengatakan kekasaran yang dilakukan Vidic mungkin dianggap berbahaya oleh pengadil perlawanan terutamanya dalam saingan di peringkat Eropah.  Ferguson juga menegaskan, United tidak akan mengemukakan rayuan kepada UEFA agar layangan kad merah itu dikaji semula kerana beliau yakin usaha itu adalah sia-sia.  "Dia (Vidic) mengangkat kakinya dan dari pandangan pengadil itu adalah kekasaran yang serius terutamanya di peringkat Eropah.  Saya faham kenapa dia (Brych) melayangkan kad merah tetapi saya tetap beranggapan tindakan pengadil agak berlebihan", kata Ferguson.  Walaupun penampilan pasukannya di National Arena, Bucharest sederhana, Ferguson tetap puas meraih tiga mata berharga di sana selepas sekadar mencatat dua keputusan seri pada perlawanan sebelumnya.  Menurut Ferguson kebanyakkan perlawanan di gelanggang lawan pada peringkat ini agak sukar tetapi gembira melihat United menguasai tuan rumah sepanjang perlawanan.  "Saya puas dengan keputusan perlawanan ini, pemain-pemain juga telah  bekerja keras dan bersabar sepanjang perlawanan".  Glory Glory Manchester United!!!

19 Oktober 2011

2 PENALTI ROONEY, 3 MATA UNTUK UNITED


Manchester United akhirnya meraih tiga mata penuh selepas berjaya menewaskan wakil Romania Otelul Galati 2-0 di National Arena sebentar tadi.  Dua jaringan penalti dari Wayne Rooney sudah cukup buat skuad The Red Devils meraih tiga mata berharga selepas terpaksa berkongsi mata dalam dua perlawanan awal mereka sebelum ini.  Ferguson meletakkan David de Gea, Phil Jones dan Jonny Evans di bangku simpanan sebaliknya memberi peluang buat Anders Lindegaard dan Fabio da Silva tampil dalam perlawanan ini manakala kapten pasukan, Nemanja Vidic muncul buat pertama kali selepas diketepikan selama dua bulan kerana masalah kecederaan.  Michael Carrick, Anderson, Nani dan Antonio Valencia pula diberi kepercayaan menjana jentera tengah United manakala Rooney dan Javier Hernandez kekal sebagai penggempur utama.  Sekalipun menguasai sepenuhnya perlawanan, United gagal menembusi pintu gol tuan rumah yang dikawal Branko Grahovac sepanjang separuh masa pertama.  Diminit ke-64, United dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Sergiu Costin di dalam petak penalti dan Rooney mudah menyempurnakannya untuk meletakkan United di hadapan.  Gol itu juga adalah jaringan ke-25 Rooney dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah sekaligus meletakkan dirinya sebagai pemain England paling banyak menjaringkan gol dalam saingan elit kelab-kelab Eropah itu.  Rekod sebelumnya dikongsi bersama Rooney dengan seorang lagi pemain United, Paul Scholes (24 gol).  Selang dua minit kemudian, United dikejutkan dengan layangan kad merah yang diterima Nemanja Vidic dan biarpun beraksi dengan sepuluh pemain, tuan rumah tetap gagal memberi ancaman kepada Lindegaard.  Di penghujung permainan, pengadil perlawanan Felix Brych sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti buat United selepas Rooney dikasari Flaviu Antal di dalam petak penalti.  Rooney yang baru-baru ini dikenakan hukuman gantung tiga perlawanan pada Euro 2012 nanti memastikan tiga mata penuh buat United apabila sekali lagi mudah menyempurnakan sepakan tersebut.  Kemenangan ini melonjakkan United di tangga kedua Kumpulan C dengan lima mata selepas Benfica berjaya menewaskan FC Basel 2-0 di gelanggang lawan. Glory Glory Manchester United!!!

18 Oktober 2011

PREVIEW: OTELUL GALATI lwn MANCHESTER UTD


Sir Alex Ferguson membawa pasukannya ke Bucharest bagi misi memburu kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan C, Liga Juara-Juara dengan seribu tandatanya.  United yang dijadualkan berdepan juara Romania, Otelul Galati awal pagi esok tiba di Bucharest semalam, namun  Ferguson mengakui bertemu pasukan penuh misteri seperti  Galati amat meresahkannya.  "Saya tidak tahu Galati berada dimana dan saya juga tidak pasti jika mereka menukar nama seperti kebanyakkan kelab Eropah yang lain. Apa yang pasti saya tidak pernah mendengar nama pasukan itu", kata Ferguson.  Selain itu, Ferguson hanya mampu menganalisa permainan lawan menerusi rakaman video kerana tiada rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan sebelum ini.  Kunjungan United ke Romania kali ini tanpa kelibat pertahanan berpengaruh mereka,  Rio Ferdinand.  Ferguson terpaksa menyisihkan Ferdinand dari senarai pemain kerana ingin merehatkan tonggak pertahanannya itu namun kapten pasukan, Nemanja Vidic kembali dalam pasukan selepas diketepikan sejak 13 Ogos lalu kerana masalah kecederaan. "Rio bermain dengan baik ketika menentang Liverpool namun kami mengambil keputusan untuk memberikan masa rehat untuknya.  Bermain tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari amat berisiko untuknya tetapi kami akan memperolehi kembali khidmat Vidic".

Di gawang pasukan, Ferguson mungkin memilih David de Gea yang mempamerkan aksi cemerlang ketika bertemu Liverpool berbanding Anders Lindegaard. Selepas melakukan beberapa kesilapan diawal kemunculannya bersama United, de Gea kini dilihat semakin matang selepas melalui beberapa ujian getir, sesuatu yang jarang berlaku terhadap pemain muda sepertinya.  Disamping mahu mencari kemenangan pertama dalam kempen Eropah mereka, Ferguson juga perlu bijak melakukan penggiliran pemain kerana mereka juga akan berdepan ujian getir di liga domestik hujung minggu ini.  United akan bertemu jiran mereka yang juga pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City di Old Trafford Ahad ini.  Untuk itu, Ferguson mungkin akan menggunakan Patrice Evra, Nemanja Vidic, Jonny Evans dan Chris Smalling di bahagian pertahanan manakala Antonio Valencia, Park Ji-Sung, Nani dan Darren Fletcher di bahagian tengah.  Di bahagian serangan pula, kelibat Wayne Rooney dan Javier Hernandez yang hanya diturunkan selama 20 minit ketika pertemuan dengan Liverpool tempohari pasti akan digunakan sepenuhnya oleh Ferguson dalam perlawanan ini.  Selepas sekadar mengutip dua mata dalam dua perlawanan awal mereka, United tiada pilihan lain selain meletakkan misi mencapai tiga mata penuh dalam perlawanan ini.  Evra menjadi satu-satunya pemain United yang pernah beraksi di National Arena dan pengalamannya bersama pasukan Perancis menentang Romania di sini  dalam  kelayakan Euro 2012 mungkin sedikit berguna untuk perlawanan awal pagi esok.  Glory Glory Manchester United!!!

16 Oktober 2011

ALASAN FERGIE TAK TURUNKAN ROONEY



Ketiadaan Wayne Rooney dalam kesebelasan utama Manchester United di Anfield semalam pastinya meninggalkan bukan sedikit tandatanya baik dari penyokong lawan mahupun United sendiri.  Sir Alex Ferguson sekadar meletakkan Rooney di bangku simpanan United bersama Javier Hernandez, sebaliknya menggunakan kombinasi `pelik' di bahagian serangan dalam perlawanan dua seteru tradisi itu.  Ryan Giggs dan Danny Welbeck digunakan Ferguson sebagai penggempur utama hampir sepanjang perlawanan hinggalah Rooney dan Hernandez dibawa masuk pada penghujung perlawanan.  Menjawab persoalan dari ramai pihak mengapa penjaring terbanyak liga setakat ini sekadar diletakkan di bangku simpanan dalam perlawanan yang dianggap besar seperti ini, Ferguson akhirnya mengatakan mental Rooney tidak bersedia untuk perlawanan ini.  Selepas digantung tiga perlawanan oleh UEFA kerana kekasaran ketika perlawanan kelayakan Euro 2012 antara England dan Montenegro, Ferguson menganggap mental Rooney berada pada tahap terburuk.  "Mental Rooney hancur kerana hukuman gantung tiga perlawanan yang dijatuhkan oleh UEFA", kata Fergie.  "Ini merupakan minggu yang buruk buatnya dan memandangkan emosinya berada pada tahap rendah, adalah lebih baik dia diletakkan di bangku simpanan", tambah Fergie lagi. Glory Glory Manchester United!!!

15 Oktober 2011

UNITED KEKAL TANPA KALAH


Manchester United mengekalkan rekod tanpa kalah mereka setakat ini selepas berjaya mengikat seteru tradisi, Liverpool di Anfield sebentar tadi.  Kenny Dalglish mengotakan janjinya menurunkan Steven Gerrard dalam kesebelasan utama namun pendekatan berbeza dilakukan Sir Alex Ferguson dalam perlawanan ini.  Ferguson menurunkan kesebelasan utama `pelik' apabila menggunakan Phil Jones di bahagian tengah sambil meletakkan nama-nama besar seperti Wayne Rooney, Nani, Javier Hernandez, Anderson dan Antonio Valencia di bangku simpanan.  Ferguson turut menggunakan kombinasi Ryan Giggs dan Danny Welbeck sebagai penggempur utama namun pujian patut diberikan kepada David de Gea yang beraksi cemerlang menafikan beberapa percubaan bahaya lawan terutamanya dari Gerrard, Luiz Suarez dan Dirk Kuyt.  Tidak banyak aksi-aksi menarik yang dipamerkan kedua-dua pasukan dalam perlawanan ini terutamanya diseparuh masa pertama kecuali peluang yang diperolehi Suarez diminit ke-30.  Biarpun berjaya mengelirukan Jonny Evans, percubaan Suarez akhirnya berjaya diselamatkan de Gea.  Kedudukan kekal terikat tanpa jaringan sebaik tamat separuh masa pertama.


Perubahan tempo perlawanan sedikit meningkat diseparuh masa kedua dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun penguasaan bahagian tengah masih didominasi tuan rumah.  Steven Gerrard akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila berjaya merembat masuk bola hasil sepakan percuma diminit ke-67.  Selepas ketinggalan, Ferguson menguatkan bahagian depan dengan mengeluarkan Phil Jones, Ashley Young dan Park Ji-Sung sambil membawa masuk Wayne Rooney, Javier Hernandez dan Nani.  Langkah Ferguson membawa hasil apabila Hernandez berjaya menyamakan kedudukan diminit ke-81.  Penyerang yang menjadi topik bualan hangat pertengahan minggu ini apabila dia dikatakan menjadi sasaran utama Real Madrid pada jendela perpindahan Januari nanti, menanduk masuk bola hasil sepakan sudut.  Biarpun Dirk Kuyt hampir meletakkan tuan rumah sekali lagi di hadapan di penghujung permainan, United akhirnya berjaya meraih mata pertama mereka di Anfield dalam tempoh 3 tahun sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka kepada lapan perlawanan setakat ini. Glory Glory Manchester United!!!

PREVIEW: LIVERPOOL lwn MANCHESTER UNITED



Pertembungan dua musuh tradisi Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Manchester United semakin hampir namun Sir Alex Ferguson nampaknya masih belum memutuskan barisan terbaik yang akan diturunkan nanti.  Tonggak pertahanan dan juga ketua pasukan, Nemanja Vidic yang diketepikan sejak 13 September lalu kerana kecederaan lutut belum pasti dapat diturunkan malam ini.  Sentuhan Vidic di benteng pertahanan amat ditagih Ferguson memandangkan rekod buruk skuad The Red Devils di Anfield sejak 2008.  Dalam tiga pertemuan terakhir mereka di Anfield, United gagal meraih sebarang mata dan Ferguson pastinya tidak mahu statistik itu terus melebar malam ini.  Biarpun sudah diturunkan Serbia ketika aksi Kelayakan Euro 2012 Selasa lalu, Ferguson nampaknya masih berhati-hati menilai tahap kecergasan kaptennya itu. Segala-galanya perlu dipersiapkan Ferguson untuk pertembungan malam ini, dari aspek kesebelasan utama yang bakal diturunkan, taktikal permainan hinggalah senarai pemain di bilik rawatan yang perlu diteliti untuk memastikan rekod tanpa kalah United setakat ini mampu diteruskan.  Selain Vidic, United juga akan kehilangan khidmat Tom Cleverley dan Chris Smalling namun kedua-duanya mungkin kembali menyertai pasukan ketika pertemuan derby Manchester minggu hadapan.  United hanya keciciran mata ketika mereka diikat 1-1 oleh Stoke City di gelanggang lawan namun mereka perlu memperbaiki aksi jika mahu mengutip tiga mata penuh di Anfield nanti.  United agak goyah dalam tiga perlawanan terakhir di mana mereka mencatat keputusan seri ketika bertemu Stoke City dan biarpun hampir dimalukan FC Basel di Liga Juara-Juara, tetapi gol penyamaan Ashley Young menyelamatkan United dari kekalahan di gelanggang sendiri.  United sekali lagi mempamerkan aksi kurang menyakinkan biarpun mencatat kemenangan 2-0 ke atas kelab yang baru dinaikkan pangkat dari Liga Kejuaraan, Norwich City 2-0 di Old Trafford dua minggu lalu.  Situasi sebaliknya dialami Liverpool apabila mereka mencatat tiga kemenangan berturut-turut ke atas Brighton (saingan Piala Liga), Wolves dan Everton.  Semangat anak-anak buat Kenny Dalglish itu tampak berkobar-kobar bagi meneruskan rekod baik mereka ke atas United di gelanggang sendiri dan pastinya, kemenangan 3-1 ke atas United musim lalu bakal menjadi motivasi tambahan buat mereka. Dalglish juga kemungkinan besar boleh menggunakan khidmat Steven Gerrard sepenuhnya malam ini.  Gendang perang nampaknya sudah dipalu apabila Dalglish mula melancarkan perang psikologi dengan melabelkan perlawanan ini sebagai `tiada sebarang keistimewaan' sementara Rio Ferdinand pula mengatakan bahawa, dia tidak begitu kisah jika United tewas perlawanan malam ini asalkan Liverpool tidak berada di atas mereka ketika saingan liga berakhir Mei nanti. Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Phil Jones, Ashley Young, Anderson, Park Ji-Sung, Nani, Wayne Rooney & Danny Welbeck

11 Oktober 2011

GIGGS DIANUGERAHKAN GOLDEN FOOT AWARD 2011


Bintang Manchester United, Ryan Giggs  memenangi anugerah Golden Foot Award 2011 dalam satu majlis yang diadakan di Monte Carlo semalam.  Giggs muncul pemain Great Britain pertama memenangi anugerah itu selepas mengenepikan bekas rakan sepasukannya di United, David Beckham.  Turut dicalon untuk anugerah tersebut ialah Gianluigi Buffon, Didier Drogba, Samuel Eto'o, Iker Casillas, Javier Zanetti dan Carles Puyol.  Giggs menerima undian terbanyak yang dijalankan secara online itu sekaligus menyertai nama-nama besar yang pernah memenangi anugerah tersebut seperti Maradona, Zinedine Zidane dan Alfredo de Stafano.  Atas kejayaan itu, Giggs merakamkan penghargaan kepada pengurus United, Sir Alex Ferguson sambil menyifatkan dirinya beruntung berada di bawah asuhan pengurus berbangsa Scotland itu.  "Saya beruntung kerana berkesempatan bermain bersama-sama pemain-pemain hebat, bermain di bawah pengurus terbaik dan bermain untuk kelab terbaik di dunia", kata Giggs. Glory Glory Manchester United!!!

09 Oktober 2011

ROONEY TAK PATUT DITURUNKAN


Jurulatih Montenegro, Branko Brnovic berpendapat masalah peribadi yang dialami Wayne Rooney mungkin penyebab utama penyerang England dan Manchester United itu dilayangkan kad kad merah.  Rooney diperintah keluar padang oleh pengadil Jerman, Wolfgang Stark selepas dia melakukan kekasaran ke atas Miodrag Dzudovic semasa kempen Kelayakan Euro 2012 di Podgorica.  Kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan ini sekaligus layak ke pusingan akhir yang akan diadakan di Ukraine dan Poland tahun hadapan.  Brnovic ternyata hairan dengan tindakan pengurus England, Fabio Capello yang tetap menurunkan Rooney dalam kesebelasan utama biarpun sebelumnya ayah pemain itu ditahan polis kerana terlibat dengan perjudian haram.  

Menurut Brnovic, adalah sukar bagi seseorang pemain menumpukan perhatian ketika berhadapan dengan situasi seperti ini dan beliau pada mulanya menjangkakan Rooney tidak akan diturunkan.  "Masalah Rooney serius dan mungkin dia sengaja melakukannya (menerima kad merah)", kata Brnovic.  Sementara itu, laporan pengadil perlawanan mungkin sedikit sebanyak membantu Rooney dari menerima hukuman lebih berat dari UEFA.  Sikap Rooney yang langsung tidak membantah ketika diperintah keluar padang akan dimasukkan Stark dalam laporannya kepada UEFA.  "Kekasaran yang dilakukan Rooney memang wajar dilayangkan kad merah.  Anda semua melihatnya termasuk dari reaksi Rooney sendiri.  Dia menerima keputusan saya tanpa bantahan dan terus meninggalkan padang.  Saya akan memasukkan sikap Rooney itu dalam laporan perlawanan namun usaha saya cuma setakat itu.  Selepas itu terpulang kepada UEFA untuk memutuskan hukuman yang bakal dikenakan", kata Stark.

06 Oktober 2011

VIDIC BAKAL PERKUATKAN SEMULA PERTAHANAN UNITED



Ada khabar gembira untuk penyokong-penyokong Manchester United menjelang pertembungan dua musuh tradisi dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada 15 Oktober ini.  United akan bertemu Liverpool di Anfield sembilan hari dari sekarang, gelanggang di mana mereka tewas kepada seteru tradisi itu 1-3 musim lalu.  Kunjungan United ke Anfield nanti bakal disuntik moral tambahan apabila tonggak pertahanan dan juga kapten pasukan, Nemanja Vidic bakal memperkuatkan semula `back four' skuad The Red Devils.  Akhbar The Sun melaporkan bahawa Serbia sudah menyenaraikan Vidic untuk kempen Kelayakan Euro 2012 mereka menentang Itali (8 Oktober) dan Slovenia (12 Okt).  Biarpun Vidic dijangka tidak akan diturunkan ketika Serbia melayan kunjungan Itali, khidmat kapten berpengaruh itu akan digunakan ketika mereka menentang Slovenia.  Selepas tersisih akibat kecederaan ketika perlawanan pembukaan liga menentang West Bromwich Albion, 13 September lalu, khidmat Vidic amat ditagih Sir Alex Ferguson tatkala United bakal berdepan cabaran getir di Anfield nanti.  Biarpun barisan pertahanan tengah United yang ditunjangi Phil Jones, Jonny Evans dan Rio Ferdinand silih berganti digunakan Ferguson dalam beberapa perlawanan sebelum ini tampak mantap, namun daya kepimpinan, semangat juang dan pengalaman bintang Serbia itu amat diperlukan United dalam perlawanan besar seperti ini.  Semoga selepas  membantu kempen Kelayakan Euro 2012 Serbia minggu ini, Vidic akan kembali semula ke Carrington dalam kondisi 100% cergas dan bersedia memimpin barisan United menggegar Anfield pula...Glory Glory Manchester United!!! 

02 Oktober 2011

REVIEW: UNITED KEKAL DI TANGGA TERATAS


Manchester United kekal sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris setakat ini selepas berjaya menewaskan Norwich City di Old Trafford semalam.  Kemenangan ini juga menyaksikan United meneruskan rekod kemenangan ke-19 mereka dalam saingan liga di gelanggang sendiri.  United terpaksa bekerja keras sepanjang perlawanan menangani corak permainan defensif dan serang balas yang diamalkan pelawat.  Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama sebelum Anderson berjaya memecah kebuntuan melalui tandukan di minit ke-68.  Gol ini juga merupakan gol kedua pemain tengah Brazil itu musim ini selepas sebelumnya berjaya meledak gawang Tottenham Hotspurs.  Selepas ketinggalan, pelawat kembali membuka permainan dan hampir menjaringkan gol penyamaan melalui pemain tengah mereka, Anthony Pilkington akibat kesilapan Antonio Valencia.  Pilkington bagaimanapun gagal menolak bola masuk biarpun hanya berdepan dengan Anders Lindegaard.  

Tiga minit sebelum masa sebenar tamat, penyerang gantian Danny Welbeck yang menerima hantaran Park Ji-Sung mudah menolak bola masuk menewaskan John Ruddy untuk memastikan tiga mata penuh milik skuad The Red Devils.  Sementara itu Sir Alex Ferguson mengakui, pelawat memberikan masalah kepada pasukannya sepanjang perlawanan biarpun sebelumnya United diramalkan tidak menghadapi masalah menangani cabaran anak-anak buah Paul Lambert.  Menurut Ferguson, permainan defensif yang diterapkan Lambert menyebabkan United sukar menembusi kubu lawan dan memerlukan dua jaringan lewat untuk mengesahkan tiga mata penuh.  "Mereka menumpukan bahagian pertahanan mereka namun apa yang anehnya mereka juga beberapa kali berjaya mencemaskan kubu kami", kata Ferguson.  Ashley Young tidak diturunkan pada perlawanan ini kerana masalah pergelangan kaki dan ketiadaan pemain antarabangsa England itu dilihat menjejaskan gerakan-gerakan United terutamanya dari sebelah kiri.  United terikat 19 mata dengan Manchester City namun terus berada di takhta liga kerana perbezaan jaringan.  Glory Glory Manchester United!!!

01 Oktober 2011

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn NORWICH CITY


Keputusan seri yang dicatatkan Manchester United ketika menentang FC Basel tempohari sedikit mengejutkan tetapi bukanlah satu bencana buat anak-anak buah Sir Alex Ferguson.  Keputusan itu sedikit mencacatkan permulaan hebat United di awal musim, namun rekod kebal United di gelanggang sendiri sejak musim lalu perlu diakui.  Mereka hanya kehilangan 2 mata di gelanggang sendiri sepanjang kempen liga musim lalu dan mencatat rekod 100% dalam tiga perlawanan awal mereka setakat ini ketika menerima kunjungan Tottenham Hotspurs, Arsenal dan Chelsea di Old Trafford.  Atas faktor itu, pemerhati melihat pertembungan United-Norwich dalam perlawanan ketujuh Liga Perdana Inggeris malam ini bakal meletakkan The Red Devils kembali ke landasan kemenangan.  United tidak kalah dalam 24 perlawanan terakhir mereka malah apa yang lebih menggerunkan setiap pasukan pelawat ialah, fakta bahawa United turut mencatat kemenangan dalam 18 perlawanan terakhir liga mereka di gelanggang sendiri.  Lonjakan moral turut dirasai dalam pasukan ketika ini apabila diberitakan bahawa Wayne Rooney dan Javier Hernandez sudah sedia diturunkan dalam perlawanan malam nanti.  Ferguson telah mengeluarkan kenyataan bahawa kedua-dua penyerangnya itu yang tidak diturunkan ketika bertemu Basel sudah pulih sepenuhnya.  Jika mahu kembali mengutip mata penuh dalam perlawanan ini, United harus menjaringkan gol diseparuh masa pertama lagi.  Menurut Patrice Evra, jika United gagal melakukannya, pasukan seperti Norwich pasti mendapat suntikan moral untuk mempertahankan gawang mereka sekaligus sekurang-kurangnya memaksa United berkongsi mata.  Selain mengutip mata penuh dalam perlawanan ini barisan United juga harus menjadikan rekod bersih mereka dalam 18 perlawanan terakhir liga sebagai suntikan tambahan untuk terus mencatat kemenangan.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

De Gea, Fabio, Jones, Ferdinand, Evra, Nani, Fletcher, Anderson, Young, Rooney & Hernandez