26 Ogos 2019

KETIKA NASIB `BERKATA' SEBALIKNYA



Barisan The Red Devils turun dengan keyakinan tinggi bahawa tiga mata penuh mampu digapai, apatah lagi sejak Mei 2017 hingga November 2018, Crystal Palace tidak pernah berjaya membolosi pintu gol United dalam tiga kunjungan mereka ke Old Trafford. Ditambah pula dengan fakta bahawa skuad kendalian Roy Hodgson itu juga tidak pernah menewaskan United sepanjang sejarah penyertaan mereka di Liga Perdana.

Sepanjang 90 minit, United mendominasi perlawanan menerusi 72% penguasaan bola yang mereka lakukan, melepaskan 22 percubaan serta mencipta banyak peluang terutamanya di babak kedua. Namun di akhir perlawanan keputusan di scoreboard `bercerita’ sebaliknya. Ya...buat pertama kali sepanjang sejarah Liga Perdana, Palace berjaya menewaskan United dan lebih manis mereka melakukannya di Old Trafford.

Pada mulanya saya tidak fikir bahawa Palace mampu mencipta kejutan, apatah lagi selepas melihat dua aksi awal mereka musim ini. Palace datang ke Old Trafford dalam kondisi kurang ideal terutamanya bila bercakap tentang prestasi barisan hadapan mereka. Mereka gagal menjaringkan sebarang gol pada dua aksi awal liga, jadi satu tugas yang sangat berat untuk Roy Hodgson memikirkan cara bagaimana mahu mengatasi ketumpulan jentera serangan pasukannya.

Sukar Untuk Diterima

Kekalahan ini memang sangat sukar untuk diterima apatah lagi selepas melihat dominasi United sepanjang perlawanan. Mengulas tentang hal tersebut, Solskjaer berkata, “Tentu saja saya kecewa. Babak pertama kami tampil dengan sangat buruk. Setengah jam pertama anda mengawal perlawanan, dan kemudian merasakan segalanya akan menjadi mudah. Kami tidak memiliki koordinasi yang baik, manakala mereka pula menjaringkan gol dari peluang pertama. Jaringan yang berpunca dari sepakan jauh penjaga gol itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia menunjukkan kelemahan pertahanan kami. Di babak kedua kami bermain dengan baik. Kami memberikan tekanan, memaksa mereka untuk bertahan, mencipta peluang dan menjaringkan gol. Sayangnya pada hari ini kami tidak memiliki sentuhan ajaib”.

Tidak Efektif Di Semua Posisi

Hanya dua pemain United yang tampil bagus sepanjang aksi 90 minit, dan mereka yang saya maksudkan ialah Daniel James serta Aaron Wan-Bissaka. James menjaringkan gol keduanya musim ini selepas kali pertama melakukannya ketika berdepan Chelsea pada aksi pembukaan liga. Manakala Wan-Bissaka pula banyak membantu ketika United melancarkan gerakan dari sisi kanan.

Di benteng pertahanan pula, kegagalan Victor Lindelof memenangi perebutan bola tinggi dengan Jeffrey Schlupp akhirnya membuka ruang buat Jordan Ayew menjaringkan gol pembukaan pelawat. Penampilan Luke Shaw di sisi kiri pertahanan juga kurang menonjol manakala kecenderungan Harry Maguire keluar dari posisinya sering membuka ruang buat Palace melancarkan serangan.

Paling membimbangkan apabila melihat bagaimana David De Gea boleh dibolosi dua kali dalam perlawanan ini sekaligus menyaksikan pintu gol United berjaya ditembusi lawan sebanyak tiga kali meskipun aksi liga baru berlangsung tiga perlawanan. Di bahagian tengah pula, sepertimana biasa prestasi Jesse Lingard sekali lagi dijadikan sorotan oleh para pengritiknya.

Selaku pemain yang bergerak di belakang penyerang tengah, Lingard gagal memainkan peranan penting apatah lagi memberikan kreativiti tambahan kepada gerakan-gerakan serangan United sepanjang tempoh 56 minit aksinya di atas padang. Apa pula yang berlaku di barisan serangan selain begitu banyak peluang yang dicipta gagal diterjemahkan kepada gol.

Dari 22 percubaan yang dilepaskan, hanya tiga tepat kesasaran. Momen paling mengecewakan tentunya apabila kita terpaksa melihat satu lagi kegagalan dalam menyempurnakan sepakan penalti dan kali ini giliran Marcus Rashford pula selepas Paul Pogba melakukannya di Molineux minggu lalu. Jika penalti tersebut berjaya disempurnakan, jalan cerita di penghujung perlawanan mungkin akan berbeza.

Kurang Bernasib Baik

Kegagalan United mempertahankan rekod tanpa kalah mereka ketika berdepan Crystal Palace dalam sejarah pertemuan antara dua pasukan itu di Liga Perdana sebenarnya turut dibantu faktor nasib. Memang diakui elemen nasib atau tuah kadangkala memainkan peranan penting dalam satu-satu perlawanan. Malangnya elemen nasib nampaknya lebih cenderung memilih Palace dan bukannya United dalam perlawanan itu.

Selain kegagalan Rashford menyempurnakan sepakan penalti, terdapat juga beberapa kekasaran dilakukan pertahanan Palace (terhadap Martial dan Rashford) yang sepatutnya berakhir dengan sepakan penalti. Bagaimanapun akhirnya kita sekali lagi terpaksa mengakui bahawa keputusan pengadil kadangkala menjadi subjektif meskipun mereka kini dibantu dengan teknologi Video Assistant Referees (VAR).

Dua perlawanan terakhir memang mengecewakan kerana di Molineux, United gagal mengutip tiga mata penuh disebabkan kegagalan Pogba menyempurnakan sepakan penalti. Begitu juga yang berlaku di Old Trafford tempohari. United memiliki segala elemen untuk menang sama ada di Molineux atau Old Trafford menerusi statistik yang dicatatkan mereka di atas padang tetapi nasib bagaimanapun `berkata’ sebaliknya.

Bolasepak memang adakalanya sangat kejam, kerana ketika anda mendominasi permainan, anda sebaliknya gagal mendapatkan keputusan yang sepatutnya anda layak perolehi. Apa yang perlu dilakukan United selepas ini ialah pergi ke St Mary, bermain dengan sebaik mungkin, menjaringkan gol dan pulang dari sana dengan tiga mata penuh. Glory  Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

15 Ogos 2019

PERJUDIAN BESAR YANG DILAKUKAN UNITED KETIKA MEREKA MEMUTUSKAN UNTUK TIDAK MENANDATANGANI PEMAIN TENGAH BAHARU



Kemenangan besar (4-0) yang dilakar Manchester United ke atas Chelsea pada perlawanan pertama liga memang sesuatu yang sangat menggembirakan. Bagaimanapun kemenangan ini tidak perlu dirayakan secara berlebihan kerana ia cumalah perlawanan pertama liga dari 38 aksi yang perlu diharungi United. Lagipun dalam tempoh empat musim terakhir, kemenangan pada aksi pertama liga seolah-olah sudah menjadi `rutin’ bagi kesebelasan The Red Devils. Sejak musim 2015/16 hingga 2018/19, United tidak pernah tercicir sebarang mata ketika beraksi pada perlawanan pertama liga mereka dan trend ini diteruskan barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer saat mereka membenam Chelsea, Ahad lalu.

Kemenangan pertama memang sangat penting apatah lagi ia diraih ke atas sebuah pasukan besar seperti Chelsea. Bagaimanapun perkara paling besar dan penting yang kita ingin lihat ialah agar barisan Solskjaer ini lebih konsisten dalam mengharungi musim kompetitif yang panjang. Musim lalu United menewaskan Leicester City (2-1) pada perlawanan pembukaan mereka di Old Trafford, tetapi lihatlah apa yang berlaku selepas itu. Sejak kejayaan menewaskan Leicester City itu, United kemudiannya cuma menang enam kali dari 17 aksi mereka di pusingan pertama liga. Prestasi buruk yang dipamerkan United itu akhirnya menyaksikan Jose Mourinho diarah untuk mengosongkan pejabatnya di Carrington.

Aksi Longgar

United berjaya membolosi gawang Chelsea diminit ke-20 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Marcus Rashford. Bagaimanapun secara keseluruhannya persembahan mereka sepanjang babak pertama tidaklah terlalu istimewa. Selain sepakan penalti tersebut, satu-satunya percubaan tepat yang dilakukan United sepanjang babak pertama ialah menerusi Anthony Martial. Berbanding United, barisan kendalian Frank Lampard pula melepaskan tiga percubaan on target selain dua peluang terbaik yang dicipta mereka menerusi percubaan Tammy Abraham dan Emerson Palmieri.

Suka atau tidak, anda terpaksa mengakui bahawa kemenangan besar yang dilakar United itu sebenarnya turut dibantu faktor tuah dan hal tersebut turut diakui Harry Maguire yang dinamakan selaku pemain terbaik perlawanan. Menurut Maguire, rakan-rakan sepasukannya memberikan terlalu banyak ruang kepada pemain-pemain Chelsea untuk bergerak selain sedikit gopoh di babak pertama. Banyak hantaran-hantaran berbahaya yang dilakukan sesama sendiri di kawasan sendiri hingga membuka peluang untuk lawan melakukan serang balas pantas.

Kelemahan Di Sektor Tengah

United mengeluarkan dana sebanyak £120 juta dalam usaha mereka mengukuhkan benteng pertahanan yang dilihat posisi paling poros musim lalu. Hasilnya kehadiran dua rekrut terbaharu United ini (Harry Maguire dan Aaron Wan-Bissaka) memberikan lebih stabiliti di barisan belakang. Bagaimanapun lain pula ceritanya apabila anda melihat kepada komposisi di bahagian tengah. Meskipun digembar-gemburkan bahawa kelab berminat mendapatkan khidmat Bruno Fernandes atau Sergej Milinkovic-Savic, kita akhirnya terpaksa akur bahawa Solskjaer akan menggunakan set pemain sedia ada di barisan tengahnya, setidak-tidaknya sehingga bursa perpindahan pemain musim sejuk dibuka.

Meskipun berhasil menyumbang dua bantuan gol (assist), prestasi Paul Pogba selaku penggerak jentera tengah United memang wajar diberikan sorotan. Mengikut data yang dikeluarkan WhoScored, Pogba muncul pemain paling banyak kehilangan bola (11 kali), di mana tujuh daripadanya berlaku di babak pertama. Catatan ini juga menyaksikan Pogba muncul pemain paling banyak kehilangan bola berbanding mana-mana pemain yang beraksi di atas padang. Sepanjang babak pertama, Pogba memang diakui kurang efektif apabila beliau hanya mampu melakukan satu key passes.

Di sisi lain, Andreas Perreira dan Jesse Lingard juga agak bergelut di babak pertama terutamanya dalam melaksanakan tugas mereka sebagai pembekal hantaran-hantaran kepada barisan hadapan. Perreira yang pada awalnya ditugaskan membayangi pergerakan Jorginho akhirnya dilihat `lebih bebas’ selepas beralih ke bahagian sayap. Hasilnya assist yang dilakukan beliau dari sisi kanan menyaksikan Anthony Martial menjaringkan gol kedua United di babak kedua. Kombinasi bahagian tengah United mula menguasai sektor tersebut sebaik Chelsea mengendurkan tekanan dan hasilnya dua lagi gol terhasil menerusi jaringan Marcus Rashford dan Daniel James.

Bukan saya mahu menidakkan kemenangan besar yang dilakar United itu, kerana kemenangan tetap kemenangan dan sebagai penyokong ianya memang wajar diraikan. Bagaimanapun barisan tengah Chelsea bukanlah ukuran sebenar kepada kemampuan para midfielder United. Selepas ditinggalkan secara mengejut oleh Maurizio Sarri, Chelsea umpama skuad yang hilang arah. Di barisan hadapan pula mereka hilang ketajaman selepas pemergian Eden Hazard ke Real Madrid, manakala Ross Barkley, Jorginho, Matteo Kovacic dan Mason Mount perlu diberikan sedikit masa untuk beradaptasi dengan sistem permainan yang cuba diterapkan Frank Lampard. 

Saya ingin melihat kemampuan sebenar barisan midfielder United saat mereka berdepan pasukan yang mengamalkan pendekatan high pressing dalam permainan mereka seperti Liverpool atau Manchester City. United akan berdepan Liverpool dalam tempoh dua bulan dari sekarang (19 Oktober) manakala Manchester Derby pula akan berlangsung pada 7 Disember. Jadi Pogba, McTominay, Perreira, Nemanja Matic atau Fred masih punya waktu yang jauh lebih cukup untuk membuktikan kepada kita bahawa keputusan kelab tidak menandatangani sebarang midfielder baharu bukanlah satu keputusan yang perlu disesalkan.

Risiko Yang Diambil Solskjaer

Meskipun tampil dengan prestasi terpuji dan inspirasi kepada kemenangan besar United ke atas Chelsea, masa depan Pogba sebenarnya masih menjadi tandatanya. United sebenarnya masih berdepan risiko kehilangan khidmat tonggak di bahagian tengah mereka itu kerana jendela perpindahan liga-liga utama Eropah yang lain akan hanya ditutup pada 2 September nanti. Selepas aksi menentang Chelsea itu, Pogba juga masih mencongak masa depannya di Old Trafford dan beliau juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku perpindahan saat akhir.

Selepas 2 September ini, apakah yang akan berlaku sekiranya Pogba memilih haluan baharu? Adakah United memiliki pengganti setaraf/sesuai untuk menggerakkan jentera tengah mereka jika Poga pergi? Ketika benteng pertahanan dilihat lebih stabil berikutan pembelian yang dilakukan ke atas Harry Maguire dan Aaron Wan-Bissaka, sektor tengah pula kini menjadi sorotan utama penyokong-penyokong United. Spurs membawa masuk Tanguy Ndombele dan Giovani Lo Celso, Manchester City pula menandatangani Rodri manakala Arsenal pula diperkuatkan dengan kehadiran Dani Ceballos.

Di kem United pula apa yang dilakukan mereka untuk memperkuatkan sektor tengah ketika jendela perpindahan bolasepak Inggeris masih dibuka? Perkara pertama yang mereka lakukan ialah membiarkan Ander Herrera dan Marouane Fellaini pergi tanpa mencari pengganti. Ketika kempen pra musim, Solskjaer menjanjikan lebih 20 penampilan untuk Andreas Perreira dan Scott McTominay musim ini. Malah Perreira juga diplotkan bakal menggantikan posisi Ander Herrera. Jadi berharaplah agar dua pemain muda ini akan lebih konsisten manakala Pogba pula kekal di Old Trafford sekurang-kurangnya semusim lagi.

Apa Sebenarnya Yang Berlaku?

Beberapa hari selepas aksi pra musim menentang AC Milan, BBC mendedahkan bahawa Bruno Fernandes sebenarnya bukanlah sasaran yang dimahukan Solskjaer. Berita itu tentunya menyentap jantung penyokong-penyokong United, kerana selama berminggu-minggu mereka bercakap di media sosial tentang perpindahan Fernandes ke Old Trafford yang hanya menanti masa untuk direalisasikan.

Keputusan kelab untuk tidak menandatangani Fernandes memang mengecewakan penyokong-penyokong United terutamanya selepas mereka melihat statistik pemain itu bersama Sporting CP di Primeira Liga musim lalu. Menerusi 20 gol dan 13 assist, selain penglibatan beliau hingga terciptanya 33 gol dari dari 72 yang dihasilkan Sporting musim lalu, Fernandes merupakan type pemain tengah menyerang yang cukup lengkap di mata penyokong-penyokong United.

Selepas Fernandes, tumpuan penyokong-penyokong United terarah pula kepada Christian Eriksen. Berbanding Fernandes, Eriksen memang sudah teruji kemampuannya di Liga Perdana. Sepertimana Pogba, Eriksen juga secara terbuka menyatakan hasratnya untuk mencari cabaran baharu. Ditambah pula dengan tempoh kontrak pemain antarabangsa Denmark itu yang cuma berbaki semusim bersama Spurs, Eriksen adalah sasaran yang lebih realistik.

Meskipun begitu,  berurusan dengan Daniel Levy bukanlah satu tugas yang mudah. Levy memang memerlukan dana segera, terutamanya Spurs sendiri ketika itu dikaitkan dengan perpindahan Phillipe Coutinho dan Paulo Dybala ke Tottenham Hotspurs Stadium. Namun jika berurusan dengan United, Levy akan berubah menjadi individu yang sangat sukar untuk berkompromi. Lihat sahaja sejarah silam perpindahan yang membabitkan Michael Carrick dan Dimitar Berbatov.

Sir Alex Ferguson merupakan individu yang sangat faham betapa peritnya berurusan dengan Levy. Mengimbas akan hal tersebut, Fergie berkata, “Melakukan rundingan dengan Levy merupakan satu tugas yang menyakitkan. Lebih sakit berbanding ketika saya menjalani pembedahan pinggang. Ketika saya fikir bahawa rundingan sudah berjaya, David Gill menelefon saya dan mengatakan bahawa mereka mahukan lebih banyak wang”.

Bertitik tolak dari faktor tersebutlah mengapa perpindahan Eriksen ke Old Trafford sukar direalisasikan, tambahan pula tempoh masa sebelum jendela perpindahan bolasepak Inggeris ditutup semakin suntuk. Adalah satu keajaiban besar jika United dan Spurs boleh menyelesaikan rundingan dalam tempoh 24 jam. Jadi tidak hairanlah mengapa ramai pihak sangsi bahawa United akan berjaya mendaratkan Eriksen di Carrington musim panas ini.

Penutup

Jika dilihat kepada situasi terkini, Solskjaer sebenarnya mengambil risiko besar dengan tidak menandatangani pemain tengah baharu ketika beliau berpeluang melakukannya. Jika benar bahawa Bruno Fernandes bukanlah playmaker yang ingin diburu Solskjaer, kesempatan yang dilepaskan ketika kelab berpeluang mendapatkan tandatangan Christian Eriksen pula saya anggap satu kerugian yang besar.

Tiada masalah sekiranya Daniel Levy meletakkan tandaharga £60 atau £70 juta ke atas Eriksen, kerana kemampuan warga Denmark itu  selaku antara playmaker `first class’ di England sudah terbukti selama enam musim beliau menyarung jersi Spurs. Secara purata Eriksen menjaringkan 8 gol dan mencipta 12 bantuan gol setiap musim, jadi saya yakin beliau juga mampu memberikan impak sama sepertimana yang dilakukan Kevin De Bryune di Manchester City.

Kebimbangan paling besar ketika ini ialah apa yang bakal berlaku jika kelab gagal memujuk Pogba untuk kekal di Old Trafford. Saya akui Pogba pemain yang agak kontrovesial, manakala prestasi umpama `roller coaster’ beliau sering dijadikan sasaran cemuhan penyokong. Bagaimanapun dalam masa yang sama, anda juga perlu mengakui bahawa tanpa Pogba, bahagian tengah United akan berdepan masalah besar...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

12 Ogos 2019

REVIEW: LANGKAH PERTAMA YANG HAMPIR SEMPURNA



Kemenangan yang cukup penting pada langkah pertama musim ini, apatah lagi kemenangan ini dicapai ke atas sebuah pasukan yang berada di kedudukan top four musim lalu. Dua gol sumbangan Marcus Rashford, manakala Anthony Martial dan Daniel James masing-masing menyumbangkan satu gol sudah cukup menceriakan `malam pertama’ aksi liga United musim ini. Kemenangan 4-0 ini juga merupakan kemenangan terbesar United ke atas Chelsea dalam tempoh 54 tahun sejak barisan Sir Matt Busby melakukannya pada Mac 1965 (juga menerusi kemenangan 4-0).

Selain tiga mata penting di awal musim, kemenangan besar yang dilakar barisan Ole Gunnar Solskjaer ke atas Chelsea itu juga sangat menarik kerana ini merupakan kali pertama dalam tempoh enam bulan mereka menamatkan aksi liga dengan catatan clean sheet . Kali terakhir gawang United gagal dibolosi lawan ialah ketika mereka berdepan Liverpool di Old Trafford pada 24 Februari lalu di mana aksi North West Derby itu berakhir dengan keputusan seri 0-0. Selepas itu, prestasi buruk yang dipamerkan benteng pertahanan menyaksikan pintu gol United bolos sebanyak 19 kali dari 11 perlawanan.

Faktor Maguire Dan Wan-Bissaka

Selepas menyaksikan prestasi buruk yang dipamerkan benteng pertahanannya musim lalu, Solskjaer melakukan `pembelian besar’ musim ini dengan menandatangani Harry Maguire dari Leicester City, manakala di sisi kanan pertahanannya beliau membawa masuk Aaron Wan-Bissaka dari Crystal Palace. Meskipun ini merupakan aksi kompetitif pertama Maguire bersama United, pemain pertahanan termahal dunia yang dilabel Aurelio De Laurentiis (Presiden Napoli) cuma berharga £25 juta itu membuktikan bahawa beliau adalah sosok pertahanan tengah yang dicari-cari Solskjaer selama ini.

Menurut statistik perlawanan yang dikeluarkan oleh Opta, Maguire melakukan tujuh clearance, dua block, empat intercept selain empat kali memenangi perebutan bola tinggi sepanjang 90 minit aksinya di atas padang. Di sektor kanan pertahanan United pula, kelibat Aaron Wan-Bissaka juga tidak kurang pentingnya kerana sepanjang perlawanan, bekas bek Crystal Palace itu melakukan empat tackle, lima clearance dan tiga intercept. Sudah tentu penampilan cemerlang Maguire dan Wan-Bissaka di benteng pertahanan antara hal positif yang dapat anda saksikan sepanjang aksi 90 minit semalam.

Faktor Tuah

Kekalahan besar 0-4 yang dialami Chelsea sebenarnya tidak langsung menggambarkan prestasi keseluruhan mereka di atas padang. United memang bermain dengan sangat baik dalam tempoh 20 minit pertama, tetapi selepas Rashford menjaringkan gol pendahuluan menerusi sepakan penalti, skuad The Blues mula mengambilalih penguasaan di atas padang. Mereka memberikan tekanan demi tekanan, melepaskan banyak percubaan serta mencipta lebih banyak peluang jaringan gol.

Sepanjang perlawanan, Chelsea melepaskan 18 percubaan ke arah gawang United di mana tujuh daripadanya merupakan on target. Malah di awal perlawanan Tammy Abraham hampir sahaja menewaskan David De Gea, namun percubaan pemain berusia 21 tahun itu sekadar singgah di tiang gol. Di minit ke-40, giliran Emerson Palmieri pula menghadirkan ancaman, namun kali ini percubaan bek kiri Chelsea itu singgah pula ke palang gol.

Jika percubaan Abraham diawal permainan dan Emerson (minit ke-40) menemui sasaran, saya yakin perjalanan perlawanan pastinya sedikit berbeza. Ketika Chelsea tampil agak agresif terutamanya selepas mereka ketinggalan menerusi jaringan penalti Rashford, United pula berdepan kesukaran dalam membina gerakan-gerakan mereka. Secara keseluruhan sepanjang babak pertama, United hilang penguasaan bola sebanyak sembilan kali dengan Paul Pogba muncul penyumbang terbanyak (4 kali).

Musnahnya Pertahanan Chelsea

Penampilan agresif Chelsea diteruskan mereka di babak kedua tetapi dua gol pantas dalam tempoh 96 saat menerusi Anthony Martial (minit ke-65) dan Marcus Rashford (minit ke-67) akhirnya memusnahkan sebarang impian The Blues untuk sekurang-kurangnya cuba pulang ke Stamford Bridge dengan satu mata. Melihat kepada percubaan-percubaan yang dilepaskan Chelsea, kekalahan besar ini tentunya bukanlah keputusan yang adil pada debut Lampard selaku pengendali The Blues di Liga Perdana.

Apa yang menyebabkan Chelsea tewas dengan jumlah jaringan yang besar sedangkan United cuma melepasan 11 percubaan di mana lima daripadanya adalah on target? Sepertimana yang anda saksikan, tiga gol United dihasilkan di babak kedua. Dan apa yang menariknya ialah melihat bagaimana proses gol tersebut dihasilkan. Tiada perubahan strategi yang terlalu signifikan dilakukan Solskjaer di babak kedua tetapi United sebenarnya sangat efektif dalam memanfaatkan peluang terhidang menerusi kelajuan yang dimiliki barisan hadapan mereka.

Ketika Chelsea lebih banyak menumpukan asakan mereka di sisi kiri pertahanan United yang dihuni Luke Shaw, benteng mereka pula berdepan kesukaran dalam menangani kepantasan trio hadapan United yang dibarisi Marcus Rashford, Anthony Martial dan Jesse Lingard. Menerusi kelebihan kelajuan yang dimiliki trio ini jugalah United berhasil menjaringkan tiga gol di babak kedua. Selepas jaringan ketiga United terhasil, Lampard memasukkan N’golo Kante bagi memastikan barisan belakangnya lebih solid.

Kehadiran Kante yang menggantikan posisi Jorginho juga menandakan bahawa intensiti Chelsea dalam melakukan tekanan juga semakin menurun. Situasi tersebut kemudiannya dimanfaatkan United untuk menghasilkan gol keempat mereka menerusi jaringan Daniel James diminit ke-81. Menurut Lampard, Chelsea bermain dengan baik dalam tempoh sejam tetapi beberapa defensive error yang dilakukan pemain-pemainnya menyaksikan mereka terpaksa membayar harga yang mahal apabila gawang Kepa Arrizabalaga dibolosi sebanyak empat kali.

Man of The Match

Selain efektif dalam menyempurnakan peluang, kemenangan besar yang dilakarkan United semalam turut dibantu kestabilan barisan belakang mereka yang diterajui Victor Lindelof dan Harry Maguire. Sepertimana yang saya sebutkan pada perenggan di atas, faktor kehadiran Maguire benar-benar memberikan impak kepada benteng pertahanan United. Maguire membuktikan mengapa beliau layak menyarung jersi United menerusi penampilan dan statistik yang dicatatkannya sepanjang 90 minit aksi beliau di atas padang.

Mengulas tentang penampilan pertama pemain pertahanan termahal dunia itu, Solskjaer berkata, “Apa yang dilakukan Harry sepanjang perlawanan adalah penyebab mengapa kami merekutnya. Keberadaannya di petak penalti, ketenangan serta kesabaran ketika merebut bola merupakan aset kepada permainannya. Penting untuk kami memiliki seorang pemain yang mempunyai karakter kuat di barisan belakang”. Mobiliti Maguire di barisan belakang juga banyak membantu United menangani ancaman yang datang, terutamanya dari Tammy Abraham dan Pedro Rodriguez.

Risiko Yang Berbaloi

Salah satu kunci kebangkitan United di babak kedua ialah Paul Pogba. Sejak kehadiran Solakjaer di Old Trafford, Pogba lebih bebas bergerak di atas padang dengan memainkan peranannya selaku penggerak jentera tengah. Meskipun digembar-gemburkan ingin mencari cabaran baharu, Solskjaer melakukan perjudian besar dengan cuba mempertahankan Pogba di Old Trafford.

Semalam Pogba tidak menjaringkan sebarang gol, tetapi dua bantuan gol yang dilakukannya menyaksikan United menang besar pada penampilan pertama mereka musim ini. 58% penguasaan bola yang dilakukan United di babak kedua menunjukkan bahawa pemain kini lebih faham bagaimana sepatutnya mereka bermain sesuai dengan keinginan Solskjaer.

Gerakan-gerakan serangan United terutamanya di babak kedua lebih tersusun, jadi bergembiralah kerana Pogba mampu memanfaatkan situasi ini menerusi tiga key passes dan dua assist yang dilakukannya. Meskipun kerap hilang bola terutamanya di babak pertama, peranan Pogba selaku mastermind di bahagian tengah United tetap tidak boleh dinafikan.

Selepas berdepan isu tarik tali tentang masa depannya di Old Trafford dan pernah secara terbuka menyuarakan hasratnya untuk mencari cabaran baharu, mengekalkan Pogba di Old Trafford tetap satu risiko besar yang terpaksa diambil Solskjaer. Semalam Pogba menunjukkan kepada kita betapa pentingnya kelibat beliau di bahagian tengah United, dan semoga akan ada lebih banyak lagi aksi-aksi terpuji yang dipamerkan beliau selepas ini. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

10 Ogos 2019

PREVIEW: BUKAN SEKADAR SOLSKJAER vs LAMPARD



Langkah pertama dan berdepan lawan pertama yang sukar. Itulah rumusan paling tepat untuk menggambarkan pertembungan antara Manchester United dan Chelsea dalam saingan Liga Perdana di Old Trafford nanti. Terpulang kepada anda untuk melabel aksi ini sebagai `big match’ atau tidak memandangkan status United selaku pasukan yang menamatkan saingan liga musim lalu di tangga keenam. Bagaimanapun pertembungan antara United dan Chelsea kali ini tetap ada tarikan tersendiri terutamanya jika anda melihat kepada perubahan dalam tampuk kepimpinan di Old Trafford dan juga di Stamford Bridge.

Ole Gunnar Solskjaer akan menikmati musim penuhnya selaku pengendali United selepas beliau menggantikan posisi Jose Mourinho pada Disember tahun lalu, manakala Frank Lampard pula dinamakan selaku pengendali Chelsea bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Maurizio Sarri. Sangat menarik apabila melihat dua kelab besar Liga Pedana ini kini dikendalikan oleh legenda masing-masing dan sangat menarik juga untuk kita nantikan apakah sistem serta taktikal yang bakal dibangunkan oleh Solskjaer dan Lampard bagi memastikan skuad kendalian mereka mampu memberikan cabaran serius dalam saingan liga musim ini.

Persediaan Pra Musim

Ketika Chelsea berdepan hukuman penggantungan selama semusim daripada melakukan pembelian pemain, United pula memperkuatkan skuad mereka menerusi kehadiran tiga muka baharu (Daniel James, Aaron Wan-Bissaka dan Harry Maguire) di Old Trafford. Lampard menegaskan bahawa beliau tidak memerlukan pemain baharu, tetapi larangan yang dikenakan FIFA itu pastinya memberikan kesan yang bukan sedikit kepada persiapan Chelsea apatah lagi selepas mereka hilang sentuhan Eden Hazard yang berhijrah ke Real Madrid.

Di kem United pula, meskipun kelab berjaya menandatangani tiga pemain baharu musim ini, hal tersebut nampaknya tidak mampu memuaskan hati majoriti penyokong-penyokong mereka. Ada sebab mengapa penyokong-penyokong United begitu kecewa dengan maneuver kelab dalam pasaran perpindahan musim panas kali ini, terutamanya selepas mereka dihidangkan dengan khabar angin demi khabar angin yang mengaitkan tentang perpindahan Bruno Fernandes, Paulo Dybala, Mario Mandzukic dan Vanja Milinkovic-Savic ke Old Trafford.

Skema Taktikal

Chelsea tanpa sebarang pemain baharu, manakala United pula membelanjakan £140 juta menerusi tiga pemain baharu yang mereka tandatangani sebelum jendela perpindahan musim panas bolasepak Inggeris ditutup secara rasminya pada hari Jumaat lalu. Jadi sangat menarik untuk melihat bagaimana kemampuan Lampard memaksimakan potensi aset sedia ada yang dimiliki beliau, manakala tugas besar bakal dipikul Solskjaer dalam memenuhi harapan tinggi penyokong yang mahu melihat barisan The Red Devils mampu memberikan cabaran lebih serius dalam kempen kompetitif mereka musim ini.

Di bawah regim Lampard, Chelsea dijangka bakal memainkan corak permainan berbeza berbanding ketika era semusim Sarri di Stamford Bridge. The Blues ketika era Sarri secara relatifnya lebih cenderung bermain dengan corak hantaran-hantaran pendek manakala Lampard pula lebih gemar menerapkan permainan secara terus (direct football) menerusi hantaran-hantaran jauh. Menerusi data yang dikeluarkan oleh WhoScored.com, Derby County ketika dikendalikan Lampard melakukan purata 72 hantaran jauh dalam setiap perlawanan di Liga Kejuaraan musim lalu. Angka ini merupakan yang kedua tertinggi berbanding lima lagi pasukan yang berada di kelompok enam teratas.

Kecenderungan Lampard dalam skema direct football ini juga menyaksikan Derby County berjaya menghasilkan lima gol menerusi gerakan counter attack, dan jumlah ini juga menyaksikan mereka muncul kelab paling banyak menjaringkan gol menerusi gerakan tersebut di Liga Kejuaraan. Formasi yang sering diaplikasikan Lampard ketika bersama Derby County pula ialah 4-2-3-1, di mana penyerang tunggal biasanya berperanan sebagai reflector terutamanya dalam duel bola tinggi. Di Stamford Bridge, Lampard memiliki pilihan yang cukup ideal untuk peranan tersebut. Siapa lagi yang saya maksudkan jika bukan Olivier Giroud.

Pendekatan permainan yang diamalkan Lampard ini sebenarnya sangat berbahaya untuk United apatah lagi jika dilihat kepada kelemahan benteng pertahanan mereka dalam menangani situasi bola tinggi baik dalam permainan terbuka ataupun set pieces sepanjang musim lalu. Musim lalu, lawan berjaya membolosi gawang United sebanyak 12 kali menerusi situasi set pieces, dan kelemahan inilah yang cuba diperbaiki Solskjaer menerusi pembelian yang dilakukan beliau ke atas Harry Maguire. Selain kehadiran Maguire, Solskjaer juga `menampal’ kebocoran benteng pertahanan United menerusi kehadiran Aaron Wan-Bissaka dari Crystal Palace.

Bukan sekadar tentang kehadiran Maguire, Wan-Bissaka dan James, kerana aksi menentang Chelsea ini juga sangat menarik untuk kita lihat apakah solusi Solskjaer bagi mengatasi ketiadaan Romelu Lukaku selaku target man di barisan hadapan. Pilihan yang ada ialah meletakkan Marcus Rashford selaku penggempur utama kerana beliau saya anggap seorang penyerang yang lengkap, manakala kehadiran Anthony Martial pula berpotensi menghadirkan perbezaan dalam perlawanan ini. Dua gol yang dijaringkan Martial dalam aksi liga di Stamford Bridge pada Oktober tahun lalu diharap mampu menyuntik motivasi tambahan buat beliau menjelang perlawanan ini.

Sepertimana Lampard, saya juga jangkakan bahawa formasi 4-2-3-1 bakal menjadi pilihan utama Solskjaer meskipun beliau juga seringkali dilihat menggunakan sistem 4-3-3 dan 4-4-2 musim lalu. Memandangkan tiada pemain tengah baharu yang dibawa masuk, anda pastinya sudah boleh menjangkakan pasangan pemain mana yang bakal digunakan Solskjaer untuk berperanan sebagai double pivot. Paul Pogba pula sepertimana biasa akan kekal selaku watak utama di bahagian tengah menerusi peranan yang dimainkannya selaku `pemain nombor 10’, meskipun masa depan beliau di Old Trafford masih diperdebatkan.

Solskjaer vs Lampard

Pertembungan United dan Chelsea kali ini sedikit berbeza kerana buat pertama kalinya dua legenda hidup dan bekas pemain kedua-dua kelab bakal beradu taktik di tengah padang. Ketika era mereka sebagai pemain, Solskjaer dan Lampard pernah berdepan sebanyak 11 kali. Dari jumlah tersebut, Solskjaer lebih unggul apabila beliau berjaya membantu United menang lima perlawanan, tewas tiga dan selebihnya berakhir dengan keputusan seri ketika mereka berdepan skuad yang diwakili Lampard.

Secara keseluruhan juga, Solskjaer dan Lampard pernah bertembung selama 367 minit di atas padang sepanjang mereka bergelar pemain. Kini pertembungan Solskjaer/Lampard berlanjutan pula di luar padang. Di bahu mereka tersandar segenap harapan agar barisan kendalian masing-masing mampu mencabar dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga. Mengingatkan bahawa Chelsea sudah enam tahun tidak pernah menang di Old Trafford, satu misi yang sangat sukar terpaksa dipikul Lampard untuk beliau cuba mengubah situasi.

Jika dilihat kepada komposisi skuad yang dimiliki United serta penampilan cemerlang beberapa pemain muda mereka pada aksi pra musim, saya yakin akan ada cerita menggembirakan sebaik berakhirnya pertembungan ke-166 antara United dan Chelsea itu nanti. Pertembungan antara United dan Chelsea kali ini bukan sekadar berkisar tentang Solskjaer vs Lampard, tetapi pertembungan ini bakal memberikan kita sedikit indikasi tentang kemampuan barisan muda United mengibar cabaran pada musim yang penuh mencabar...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

05 Ogos 2019

HARRY MAGUIRE: SOLUSI TERBAIK ATAU SATU LAGI PEMBELIAN MEGA YANG GAGAL?



Selepas berminggu-minggu dihidangkan dengan rumours demi rumours perpindahan Harry Maguire ke Old Trafford, penyokong-penyokong Manchester United akhirnya boleh menarik nafas lega selepas pertahanan antarabangsa England itu diumumkan secara rasmi sebagai anggota terbaharu The Red Devils. Meskipun kelab berdepan proses yang agak rumit dan panjang dalam usaha mereka mendapatkan tandatangan Maguire, kehadiran pemain pertahanan berusia 26 tahun ini diharap bakal memberikan kekuatan tambahan di benteng pertahanan United bagi menghadapi cabaran musim baharu.

£80 juta...itulah nilai yang terpaksa dibayar United demi mendapatkan khidmat Maguire. Musim lalu, Liverpool membelanjakan £75 juta ketika mereka `mendaratkan’ Virgil Van Dijk dari St Mary ke Anfield, tetapi lihatlah impak yang diberikan oleh pertahanan antarabangsa Belanda itu dibenteng The Reds hingga menyaksikan mereka muncul kesebelasan paling kurang dibolosi di Liga Perdana. Jadi sudah tentu penyokong-penyokong United juga mahu melihat adakah Maguire mampu memberikan impak yang sama, setaraf dengan tandaharga £80 juta yang meletakkan beliau selaku pertahanan termahal dunia.

Tidak Masuk Akal?

United membayar harga yang jauh lebih tinggi untuk mendapatkan seorang pemain pertahanan berbanding wang yang dibelanjakan Liverpool ketika mereka mendapatkan Van Dijk, atau ketika Juventus berjaya memujuk Matthijs de Ligt untuk beraksi di Turin. Van Dijk sudahpun membuktikan kemampuan beliau di Anfield manakala de Ligt pula pada usia 19 tahun berjaya mengemudi Ajax Amsterdam mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu.

Sudah tentu selepas ini akan timbul perbandingan dan persoalan adakah berbaloi untuk United membelanjakan sehingga £80 juta demi membawa Maguire beraksi di Old Trafford? Keperluan mendesak untuk Solskjaer segera memperbaiki kelemahan benteng pertahanan skuadnya memaksa beliau mendapatkan khidmat Maguire walaupun Leicester meletakkan harga yang pada pandangan saya `tidak masuk akal’.

Mengapa Solskjaer Mahukan Maguire?

Mengapa Solskjaer lebih serius memburu tandatangan Maguire, dan bukannya Kalidou Koulibaly sedangkan pertahanan Napoli berusia 29 tahun itu sudah dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sejak penghujung musim lalu lagi? Jawapannya mudah, kerana Solskjaer mahukan seorang pemain pertahanan yang sudah terbukti kemampuannya di Liga Perdana dan sebagai bonus tambahan, Maguire juga merupakan pemain regular untuk skuad kebangsaan England.

Dalam saingan UEFA Nations League, Maguire muncul antara tiga pemain yang sering diturunkan Gareth Southgate dalam kesebelasan The Three Lions selain Harry Kane dan Jordan Pickford. Dalam saingan Piala Dunia 2018 juga begitu, kerana Maguire sentiasa menjadi pilihan Southgate untuk mengisi salah satu posisi di benteng pertahanan skuadnya  sejak aksi peringkat kumpulan hinggalah saat England disingkir Croatia di peringkat separuh akhir.

Solskjaer sudahpun memberikan gambaran formasi dan taktik yang bakal beliau gunakan menerusi dua penampilan awal United dalam aksi pra musim mereka. Ketika berdepan Leeds United dan Perth Glory, Solskjaer mengarahkan barisan pertahanannya agar bermain dalam garis pertahanan tinggi (high defensive line). Musim lalu gaya permainan yang sama cuba diterapkan Solskjaer tetapi malangnya cuma Victor Lindelof satu-satunya pertahanan tengah yang mampu melakukan build up dari bawah.

Jika jangkaan saya tepat dan United akan bermain dengan corak garis pertahanan tinggi, anda akan faham mengapa Solskjaer sanggup memaksa pihak pengurusan kelab berbelanja besar bagi mendapatkan khidmat Maguire. Musim lalu Maguire berada di tangga kedua selaku pertahanan tengah yang paling banyak melakukan hantaran jauh dalam setiap perlawanan (6.6 hantaran per perlawanan) selepas Toby Alderweireld (7.4 hantaran per perlawanan).

Melihat kepada statistik di atas, Maguire dan Lindelof bakal menjadi gandingan pertahanan tengah yang solid untuk United, bukan sahaja menerusi kerja-kerja bertahan yang mereka lakukan tetapi juga kerana kemampuan mereka ketika melakukan build up. Kemahiran Maguire dalam menyudahkan peluang di hadapan pintu gol lawan juga patut anda perhatikan. Musim lalu beliau menjaringkan tiga gol untuk Leicester sekaligus muncul pertahanan tengah kedua paling produktif di Liga Perdana selepas Van Dijk (empat gol).

Musim lalu pintu gol United bolos sebanyak 54 kali di Liga Perdana. Kebanyakan gol yang berjaya dijaringkan lawan pula berpunca dari lemahnya pertahanan United dalam menangani situasi bola mati dan juga bola tinggi. Duel di udara merupakan kelemahan paling ketara yang perlu di atasi segera oleh Solskjaer jika beliau tidak mahu episod malang musim lalu berulang lagi. Dan untuk itu, beliau melihat Maguire sebagai penawar kepada kelemahan tersebut.

Berbekalkan ketinggian 194cm dan kekuatan fizikal yang dimilikinya, kehadiran Maguire diharapkan mampu memberikan perlindungan tambahan kepada pintu gol United saat mereka berdepan hantaran-hantaran bola tinggi dari situasi terbuka ataupun dari situasi bola mati. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh WhoScored, Maguire berjaya memenangi purata 5.9 perebutan bola tinggi dalam setiap perlawanan di Liga Perdana musim lalu. Catatan ini mengatasi statistik yang dilakukan Chris Smalling (4.3), Phil Jones (2.6) dan Lindelof (1.8).

Kelemahan

Meskipun kehadirannya diharap mampu menjadikan benteng pertahanan United kembali kukuh, namun Maguire juga bukanlah pemain pertahanan yang sempurna (manusia memang tiada yang sempurna). Beliau hebat dalam perebutan bola di udara, mampu melakukan build up dari bawah dan antara pertahanan tengah paling produktif di Liga Perdana menerusi tiga gol yang dijaringkannya, tetapi secara purata Maguire cuma mampu melakukan satu tackle bersih dalam setiap perlawanan.

Catatan yang dilakukan Maguire ini sebenarnya yang terendah berbanding Lindelof (1.8), Smalling (1.4) dan Jones (1.2). Selepas itu mari kita lihat pula purata catatan intercept yang dilakukan beliau dalam setiap perlawanan. Menurut statistik yang dikeluarkan WhoScored, Maguire melakukan purata 1.2 intercept per perlawanan. Catatan ini lebih unggul berbanding Lindelof dan Smalling tetapi masih berada di belakang Jones yang berjaya melakukan 1.3 intercept per perlawanan.

Di udara beliau memang unggul, tetapi catatan di atas juga menunjukkan bahawa Maguire bukanlah yang terbaik di kalangan pemain-pemain pertahanan United yang lain dalam menangani situasi bola rendah. Bagaimanapun secara peribadi saya berpendapat, Maguire adalah pertahanan tengah yang diperlukan Solskjaer bagi menutup sebarang kekurang di benteng pertahanan skuadnya (selain usianya yang masih muda berbanding Koulibaly) meskipun tanda harga yang diletakkan Leicester `agak melampau’.

Harapan Tinggi

Walaupun pada awalnya penyokong-penyokong United dihidangkan dengan cerita-cerita sensasi tentang `kedatangan’ de Ligt atau Koulibaly ke Old Trafford, kelab akhirnya memilih Maguire sebagai pemain baharu yang bakal memperkuatkan jentera pertahanan mereka musim depan. Meskipun ramai pihak berpendapat bahawa tanda harga yang diletakkan Leicester City tidak setaraf dengan kualiti yang ada dalam diri Maguire, statistik pula berbicara sebaliknya.

Sepanjang musim lalu, Maguire melakukan 1,747 hantaran tepat, 152 clearance, berjaya merebut kembali bola dari penguasaan lawan sebanyak 195 kali (recoveries), 118 kali menang dalam pertarungan bola tinggi (aerial battles won) dan 181 kali menang perebutan bola rendah (duels won). Dan statistik beliau ini sebenarnya mengatasi catatan dilakukan Victor Lindelof selaku pertahanan tengah paling menyerlah yang ada dalam skuad United musim lalu.

Apa yang diharapkan penyokong-penyokong United ialah agar gandingan Maguire/Lindelof mampu tampil konsisten di benteng pertahanan dalam tempoh jangkamasa yang panjang. Di bahu beliau bukan sahaja terbeban dengan label selaku pemain pertahanan termahal dunia, tetapi Maguire juga harus membuktikan bahawa beliau adalah solusi terbaik di benteng pertahanan United yang dilihat begitu rapuh musim lalu.

Ketika tanda harga sebanyak £80 juta yang diletakkan Leicester City ke atasnya masih diperdebatkan, saya pula melihat kehadiran Maguire antara usaha yang cuba dilakukan Solskjaer bagi menaik taraf benteng pertahanan skuadnya. Bolos 54 gol satu statistik yang agak memalukan untuk kelab seperti United. Semoga kehadiran Maguire mampu menjadikan benteng The Red Devils kembali ditakuti penyerang lawan, bukan lagi bahan jenaka yang menjadi santapan mata hujung minggu anda. “Selamat datang Harry Maguire”...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

01 Ogos 2019

PATRICE EVRA: RAJA SISI KIRI PERTAHANAN UNITED SELAMA LAPAN MUSIM



Perancis sangat terkenal sebagai sebuah negara kuasa bolasepak dunia yang berjaya melahirkan bakat-bakat hebat terdiri dari kaum imigran (pendatang). Ketika Les Blues menjulang trofi Eropah buat pertama kali pada 1984, mereka memiliki dua pemain berdarah imigran selaku penggerak jentera tengah skuad pimpinan Michel Hidalgo itu. Dua pemain yang saya maksudkan ialah Jean Tigana (berdarah Mali) dan Luiz Fernandez (berdarah Sepanyol).

14 tahun selepas kejayaan Michel Platini menjulang kejuaraan Euro 84 di Parc des Princes, Perancis sekali lagi menggegar arena bolasepak dunia, dan kali ini menerusi kejayaan mereka membenam Brazil di final Piala Dunia yang turut diadakan di tanah air mereka sendiri. Kejayaan Perancis menjulang trofi Piala Dunia pada 1998 itu turut diwarnai menerusi kehadiran pemain-pemain imigran dalam skuad mereka dan kali ini jumlah tersebut lebih besar berbanding skuad Euro 84.

Lilian Thuram, Zinedine Zidane, Marcel Desailly dan Patrick Vieira antara anak-anak imigran yang menjadi tonggak skuad pimpinan Aime Jacquet ketika itu hingga menyaksikan mereka muncul juara dunia buat pertama kali. Selepas itu lahir pula generasi pemain-pemain imigran dalam skuad kebangsaan seperti Patrice Evra, Samuel Umtiti, Blaise Matuidi, N’Golo Kante, Antoine Greizmann, Presnel Kimpembe, Ousmane Dembele, Paul Pogba, Benjamin Mendy dan ramai lagi.

Di Old Trafford pula, antara pemain Perancis yang pernah menyarung jersi United ialah Eric Cantona, William Prunier, Mikael Silvestre, Fabien Barthez, Laurent Blanc, David Bellion, Louis Saha, Gabriel Obertan, Patrice Evra, Morgan Schneiderlin, Paul Pogba dan Anthony Martial. Bagaimanapun dari deretan nama yang tersenarai, hanya Cantona dan Evra yang layak di senaraikan sebagai lagenda kelab atas pencapaian dan sumbangan yang telah mereka berikan.

Anak Imigran Dan Permulaan Karier

Sepertimana Tigana, Fernandez, Zidane, Vieira atau Desailly, Evra juga merupakan anak imigran di bumi Perancis. Bagaimanapun berbeza dengan Zidane yang mula mengasah bakat dengan menendang bola di lorong-lorong kecil sekitar kejiranan La Castellane, Evra pula datang dari keluarga kelas atasan. Evra dan keluarganya berhijrah ke kota Paris bukan untuk lari dari kemiskinan di negara asal, tetapi kerana mengikuti ayahnya yang bertugas sebagai seorang diplomat.  

Minat Evra terhadap bolasepak sudah terlihat sejak zaman kanak-kanak beliau lagi. Berbanding saudara lelakinya yang lain, Evra gemar mengisi waktu lapang selepas sesi persekolahan dengan bermain bolasepak. Pada usia 11 tahun, Evra menyertai CO Les Ulis yang juga merupakan sebuah kelab bolasepak tempatan berpangkalan di selatan Paris. “Saya bawakan kepada anda Romario baru”, kata Jean-Claude Giodanella (jurulatih CO Les Ulis) ketika menyambut kedatangan Evra.

Meskipun anda mengenali Evra sebagai antara bek kiri terbaik dunia ketika era kemuncaknya sebagai pemain, beliau sebenarnya bermula sebagai penyerang ketika memulakan karier bolasepak di zaman kanak-kanak. Menurut Giordanella, Lille dan Rennes pernah menghantar pencari bakat mereka untuk memantau perkembang Evra, namun mereka akhirnya memutuskan bahawa postur tubuhnya yang kecil tidak sesuai untuk Evra bermain sebagai penyerang.

Selepas menyertai CO Les Ulis selama semusim, Evra kemudiannya memutuskan untuk menyertai CSF Bretigny pula pada 1993. Pada usia 16 tahun, impian Evra untuk beraksi di Ligue 1 hampir menjadi kenyataan apabila Paris St Germain datang menawarkan tempat untuk beliau beraksi bersama skuad remaja mereka. Bagaimanapun mimpi indah Evra tidak berpanjangan selepas kontraknya ditamatkan gergasi Perancis itu, hanya setahun selepas kehadirannya di Parc des Princes.

Berkelana Ke Itali

Keputusan Paris St Germain menamatkan kontraknya tanpa sebarang alasan tetap tidak memadam rasa cinta Evra kepada bolasepak. Peluang untuk beliau bermain dalam kesebelasan kelab profesional akhirnya muncul lagi dan ironinya ia datang dalam satu kejohanan futsal yang disertai Evra. Penampilan Evra dalam kejohanan futsal di Jurvisy-sur-Orge itu menarik perhatian seorang pencari bakat separuh masa dari kelab Torino, yang kemudiannya menawarkan kepada beliau untuk melakukan satu sesi trial bersama kelab Serie A itu.

Evra gagal mendapatkan tempatnya di Torino, tetapi penampilan beliau dalam sesi trial itu menarik minat Marsala, kelab yang beraksi di liga C1 Itali. Marsala bukan sahaja menawarkan kontrak profesional pertama kepada Evra, tetapi mereka juga memberikan beliau peranan sebagai side midfielder dalam kesebelasan bergelar Biancazurri itu. Sepanjang semusim (1998/99) Evra menyarung jersi Marsala, beliau melakukan 27 penampilan dan menjaringkan enam gol menerusi peranan yang dimainkannya di posisi tersebut (side midfielder).

Pulang Ke Perancis

Pada musim 1999/2000, Evra menyertai Monza yang beraksi di Serie B, tetapi kegagalan merebut tempat dalam kesebelasan utama menyebabkan beliau memutuskan untuk kembali ke Perancis. Tawaran kemudiannya datang dari OGC Nice yang ketika itu beraksi di Ligue 2, tetapi Evra memerlukan tempoh semusim sebelum berjaya tampil bersama skuad utama. Kecederaan yang dialami dua bek Nice (Jean Charles-Cirrili dan Jose Cobos) bukan sahaja membuka peluang buat Evra tampil dalam kesebelasan utama Nice, tetapi ia juga menjadi detik transformasi beliau dari seorang side midfielder kepada fullback.

Penampilan cemerlang Evra di posisi baharunya itu turut menyaksikan beliau tersenarai dalam Ligue 2 Team of the Year bagi musim 2001/02. Dua musim bersama Nice, Evra kemudiannya menyertai Monaco pada 2002 di mana peluang beraksi di Ligue 1 bersama skuad bimbingan Didier Deschamps itu mengukuhkan lagi reputasi beliau sebagai antara bakat muda sedang meningkat naik di Perancis. Empat musim menyarung jersi Monaco, Evra melakukan 120 penampilan di Ligue 1, menjaringkan dua gol selain berjaya membantu skuad merah putih itu menjulang trofi Coupe de la Ligue (pada musim 2002/03).

Pelaburan Yang Hampir Gagal

Pada penghujung Disember 2005, terdapat khabar angin tentang minat Inter Milan untuk membawa Evra beraksi di San Siro. Bagaimanapun United akhirnya mengorak langkah lebih ke hadapan dan pada awal tahun baharu 2006, mereka mengumumkan secara rasmi perpindahan Evra dari Monaco ke Old Trafford. Isu konsistensi Gabriel Heinze di posisi bek kiri memaksa Sir Alex Ferguson keluar dari kebiasaan dengan melakukan pembelian pemain baharu di pertengahan musim.

Selepas perpindahan beliau ke Old Trafford bernilai £5.5 juta itu diumumkan secara rasmi, Evra berkata, “Saya tidak berminat mengadakan perbincangan dengan Arsenal, Liverpool atau Real Madrid. Saya sudah tegaskan kepada Monaco bahawa saya hanya ingin mendengar tawaran dari Manchester United”. Bagaimanapun pada peringkat awal kehadirannya di Old Trafford, Evra terpaksa bergelut dalam usahanya menyesuaikan diri dengan tempo bolasepak Inggeris.

Aksi menentang Manchester City pada 14 Januari 2006 di gelanggang lawan yang sepatutnya menjadi detik indah buat Evra sebaliknya bertukar kepada mimpi ngeri. Kegagalan Evra menyaingi Robbie Fowler dan Trevor Sinclair menyaksikan beliau cuma mampu bertahan selama 45 minit pada penampilan pertamanya di Liga Perdana. Selepas aksi itu yang menyaksikan United tewas 1-3, Fergie secara terbuka mengatakan bahawa beliau melakukan perjudian besar dengan menurunkan Evra.

“Fergie mengeluarkan saya selepas 45 minit. Saya tahu dia amat marah. Dia memandang saya dan berkata, “Evra sekarang kamu sudah melihat bolasepak Inggeris yang sebenar. Apa yang perlu kamu lakukan sekarang ialah perhatikan dan belajar”. Sejak itu saya belajar dengan menyaksikan DVD tentang kelab. Sejak saat itu juga saya mula belajar untuk lebih menghormat jersi United”, imbas Evra tentang debutnya untuk United yang berlaku lebih 13 tahun lalu.

Meskipun kemampuan beliau dipertikaikan ramai pihak dan dilabel sebagai `pembelian yang gagal’, Evra secara perlahan-lahan mula memperbaiki teknik permainannya untuk disesuaikan dengan budaya bolasepak Inggeris. Ketika mengharungi musim penuhnya di Old Trafford (2006/07), Evra akhirnya berjaya menyingkirkan Heinze dari kesebelasan utama dan kemudiannya menguasai posisi bek kiri United secara total selama lapan musim.

Trofi Pertama Di Old Trafford

Musim 2006/07 bukan sahaja menyaksikan Evra mengharungi musim penuhnya di Liga Perdana, tetapi lebih daripada itu beliau juga berjaya membantu United menjulang trofi Liga Perdana buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun. Penampilan cemerlang Evra sepanjang musim tersebut turut menyaksikan beliau tersenarai dalam barisan PFA Team of the Year bersama tujuh lagi pemain United (Edwin Van der Sar, Gary Neville, Rio Ferdinand, Namanja Vidic, Ryan Giggs, Cristiano Ronaldo dan Paul Scholes).

Selepas pelbagai kritikan dilemparkan kepadanya, Evra akhirnya berjaya membuktikan bahawa beliau memang layak membarisi skuad yang dilabel sebagai antara kesebelasan terbaik dunia ketika itu. Evra terus tampil konsisten selaku bek kiri yang tiada galang gantinya dalam skuad Fergie meskipun terdapat beberapa pemain muda yang pernah keluar dan masuk ke dalam skuad utama seperti Ritchie de Laet, Fabio da Silva dan Alexander Buttner.

Karisma Seorang Patrice Evra

Evra adalah contoh fullback era moden yang tidak terikat dengan kerja bertahan semata-mata. Dalam situasi offensive beliau akan cuba untuk mara sejauh mungkin ke kawasan lawan dari sisi padang dan melakukan hantaran-hantaran silang untuk disudahkan rakan di barisan serangan. Tidak dinafikan bahawa Evra juga antara pemain yang memainkan peranan besar di sebalik kejayaan United menjulang empat kejuaraan liga dalam tempoh lima musim (dari 2006/07 hingga 2010/11).

Setiap musim sepanjang tujuh tahun terakhir beliau menyarung jersi United, Evra juga muncul pemain paling banyak melakukan penampilan dalam saingan liga berbanding mana-mana pemain United ketika itu. Tidak terbatas dengan peranannya di atas padang, sosok Evra selaku pemain senior turut sama pentingnya di bilik persalinan. Menurut Gary Neville dalam satu wawancara dengan SkySports, Evra umpama gam yang `melekatkan’ pemain-pemain United. Kemampuan Evra bertutur dalam lima bahasa juga banyak membantu beliau di bilik persalinan.

Sementara itu Paul Scholes pula menyebut bahawa kejayaan United menjulang banyak kejuaraan di penghujung era Fergie sebenarnya turut dibantu karisma yang ada dalam diri Evra. “Ketika Patrice datang, kami tertanya-tanya mengapa pengurus menandatangani seorang joki untuk sebuah kelab bolasepak. Tetapi keperibadiannya muncul secara perlahan-lahan. Dia pemain yang kuat, memiliki tekad untuk sentiasa berada dalam skuad dan menghadapi semua cabaran dengan berani”, kata Scholes dalam wawancara dengan Manchester Evening News.

Evra vs Suarez

Tidak lengkap sekiranya anda bercakap tentang Evra tetapi tidak menyentuh tentang perseteruan yang membabitkan beliau dengan Luis Suarez. United dan Liverpool memang sudah diketahui merupakan dua musuh tradisi sejak sekian lama, tetapi api permusuhan dua kelab itu semakin memanas saat United dan Liverpool bertembung pada aksi liga musim 2011/12 yang dilangsungkan di Anfield.

Pertembungan North West Derby pada 15 Oktober 2011 itu berkesudahan dengan keputusan seri (1-1), tetapi momen paling menarik sepanjang perlawanan tentunya membabitkan insiden percakaran antara Evra dan Luiz Suarez. Suarez telah dituduh menghina Evra dengan melemparkan perkataan `negrito’ kepada beliau yang akhirnya mengakibatkan bintang antarabangsa Uruguay itu digantung lapan perlawanan oleh FA England.

Pada 11 Februari 2012, giliran Liverpool pula bertandang ke Old Trafford dan drama membabitkan dua pemain ini terus berlanjutan. Keengganan Suarez untuk bersalaman dengan Evra menyaksikan beliau dijadikan sasaran cemuhan penyokong-penyokong United sepanjang perlawanan. United berjaya menewaskan Liverpool (2-1) dalam perlawanan itu, dan kemenangan tersebut digunakan sepenuhnya oleh Evra untuk melunaskan dendamnya terhadap Suarez.

Selebrasi berlebihan yang dilakukan Evra betul-betul di hadapan Suarez saat bintang Liverpool itu berjalan menuju ke terowong pemain akhirnya mencetuskan sedikit kekecohan di kalangan pemain kedua-dua pasukan. Meskipun kekecohan itu tidak sehebat insiden Battle of the Buffet yang tercetus pada 2004, ia sebenarnya turut menandakan tamatnya perseteruan membabitkan Evra dan Suarez. Dua tahun selepas itu, Evra menyertai Juventus manakala Suarez pula memilih haluan ke Barcelona.

Penutup Era Gemilang Evra

Sejak pemergian beliau pada 2014, mana-mana pengurus di Old Trafford selepas itu terpaksa bergelut dalam usaha mereka mencari pengganti setaraf Evra di sisi kiri pertahanan United. Bukan itu sahaja, bilik persalinan turut kehilangan karisma seorang pemimpin yang ada dalam diri Evra. Luke Shaw, Daley Blind, Matteo Darmian bahkan Ashley Young pernah silih berganti mengisi posisi bek kiri United, tetapi tiada seorang pun di antara mereka yang boleh dilabel sebagai setaraf dengan Evra.

Menurut catatan Squawka, sepanjang karier profesionalnya, Evra tampil dalam 699 perlawanan kompetitif manakala di peringkat kelab pula beliau sudah memenangi pelbagai kejuaraan major ketika bersama Monaco, United dan Juventus. Tempoh sembilan musim di Old Trafford tentunya merupakan tempoh paling gemilang dalam kerjaya Evra sebagai pemain kerana di sinilah beliau berjaya menjulang trofi Liga Perdana sebanyak lima kali, tiga kali menjulang Piala Liga, lima kali memenangi medal Perisai Komuniti, satu kejuaraan Liga Juara-Juara dan satu kejuaraan Kelab Dunia.

Selepas tempoh dua dekad bergelumang dalam kancah bolasepak profesional, Evra akhirnya mengumumkan persaraannya pada 29 Julai lalu menerusi video berdurasi hampir enam minit yang dimuat naik di akaun Instagram beliau. Pada 2014, kita kehilangan seorang fullback paling menarik pernah disaksikan aksinya di Old Trafford saat Evra memutuskan berhijrah ke kota Turin. Dan kini, dunia bolasepak secara rasminya kehilangan seorang lagi legenda dan antara pemain terbaik mereka bila Evra mengucapkan salam perpisahan kepada karier profesionalnya. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Nota: Artikel ini ditulis sempena persaraan Patrice Evra pada 29 Julai lalu.