31 Mac 2010

GOL LEWAT OLIC BENAMKAN UNITED

http://d.yimg.com/a/p/ap/20100331/capt.fefa3fedad3d4a7584f3383f218dc04c-fefa3fedad3d4a7584f3383f218dc04c-0.jpg
Bayern Munich bangkit dari ketinggalan di babak pertama untuk menewaskan Manchester United menerusi dua gol lewat dari Franck Ribery dan Ivica Olic dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Allianz Arena awal pagi tadi. Kemenangan ini bagaimanapun bukanlah bekalan selesa buat gergasi Jerman itu yang akan bertandang ke Old Trafford 8 April nanti. United bagaimanapun mengejutkan tuan rumah menerusi gol Wayne Rooney yang memanfaatkan sepakan percuma Nani dari sebelah kanan untuk menewaskan Hans Jorg Butt. Rooney yang berjaya melepasi kawalan Martin Demichelis mudah menolak masuk bagi meletakkan United di depan diminit ke 2. Gol awal itu nyata mengejutkan tuan rumah yang kemudiannya menguasai perlawanan dengan melancarkan gerakan-gerakan ke kawasan United. Mereka memperolehi peluang terbaik menyamakan kedudukan menerusi tandukan Demichelis diminit ke 12 tetapi sedikit tersasar dari pintu gol. Selepas itu, bola lebih banyak berlegar-legar di kawasan tengah padang dengan tuan rumah kerap melancarkan serangan menerusi hantaran-hantaran lintang dan percubaan jarak jauh. Walaupun menguasai permainan Bayern masih gagal menembusi benteng United yang diterajui Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic selain dihampakan ketangkasan Edwin Van der Sar.
http://d.yimg.com/a/p/rids/20100330/i/r1959155792.jpg
Diminit ke 72, tuan rumah sekali lagi menguji kekebalan gawang United menerusi percubaan Ivica Olic tetapi berjaya ditepis keluar Van der Sar. Kesabaran tuan rumah akhirnya berhasil selepas memanfaatkan kesilapan Gary Neville yang memegang bola di luar kotak penalti. Sepakan percuma Franck Ribery yang terkena benteng mengelirukan Van der Sar untuk Bayern mengikat kedudukan diminit ke 76. Enam minit kemudian, Nemanja Vidic hampir meletakkan United kembali di depan tetapi tandukannya dari sepakan sudut Ryan Giggs sekadar singgah di palang gol. Olic akhirnya muncul wira Bayern melalui gerakan menariknya yang menewaskan tiga pemain United sebelum mudah menolak masuk menewaskan Van der Sar dimasa kecederaan. Sementara itu, Sir Alex Ferguson mengakui pasukannya bermain di bawah keupayaan sebenar dalam perlawanan ini namun pengendali dari Scotland itu berjanji United akan bangkit dalam perlawanan kedua di Old Trafford nanti. "Kami tidak bermain dengan baik dan kerap kehilangan bola. Mereka kerap menekan kami dan saya sedikit kecewa dengan gol kemenangan lawan diminit-minit akhir", ujar Ferguson. "Namun perlawanan kedua di Old Trafford nanti akan berbeza dan kami akan tampil lebih baik. Tiada keraguan tentang perkara itu. Kami memiliki gol di tempat lawan dan itu adalah sesuatu yang bagus", tambahnya lagi.

29 Mac 2010

BAYERN CEMAS HADAPI UNITED

LIGA JUARA-JUARA EROPAH
(SUKU AKHIR, PUSINGAN PERTAMA)
Allianz Arena, Munich - 31 Mac 2010

BAYERN MUNICH lwn MANCHESTER UNITED

http://www.kicknrush.com/Kicknrush/IMG/manutd1999.jpg
Pertembungan klasik Manchester United dan Bayern Munich dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah edisi 1999 masih lagi diperkatakan hingga ke hari ini. Dalam perlawanan akhir penuh dramatik di Nou Camp, sebelas tahun lalu, United yang ketinggalan hampir keseluruhan tempoh permainan bangkit disaat-saat akhir untuk merangkul kejuaraan tertinggi kelab Eropah buat kali kedua menerusi jaringan Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer. Selepas kekalahan itu, Bayern bangkit mengimbangi penguasaan United di pentas Eropah dan sepanjang era 2000 kedua-dua kelab telah bertemu sebanyak lima kali. Gergasi Jerman itu mencatat dua kemenangan ke atas United dalam kempen peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim 2000/2001. Musim berikutnya keputusan lebih seimbang selepas kedua-dua kelab terikat dengan keputusan seri pada perlawanan timbal balik peringkat kumpulan. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada kejohanan pemanas badan pra musim merebut Piala Audi di Allianz Arena Julai tahun lalu yang juga berakhir dengan keputusan seri. Menjelang pertembungan peringkat suku akhir pusingan pertama Liga Juara-Juara di Allianz Arena, Rabu ini, kelebihan tampak berpihak kepada skuad Red Devils yang berada dalam prestasi terbaik mereka. United hanya tewas sekali dalam 14 perlawanan terakhir mereka di peringkat domestik manakala Bayern pula seolah-olah hilang cengkaman selepas tewas tiga daripada lima perlawanan terakhir mereka di Bundesliga. Minggu lalu anak-anak buah Louis Van Gaal tewas ditangan Vfb Stuttgart, sesuatu yang pastinya meresahkan mereka menjelang kunjungan United Rabu ini, apatah lagi jika diambil kira rekod baik United ketika berkunjung ke gelanggang lawan di peringkat Eropah.
http://manutd.diyanazman.com/wp-content/uploads/2009/07/audicupfinal04.jpg
Sir Alex Feruson turut mengatakan bahawa pasukannya tidak akan bermain secara bertahan walaupun beraksi di gelanggang lawan sebaliknya United akan mengamalkan taktik yang sama ketika mereka menyingkirkan AC Milan. "Sejarah Bayern dan perlawanan kami menentang mereka di pentas Eropah menyedarkan kami bahawa perlawanan ini pastinya sukar. Mereka adalah pasukan yang berpengalaman. Kami akan bermain sepertimana ketika kami menyingkirkan AC Milan. Jika kami memperolehi keputusan yang sama seperti di San Siro, kami akan memperolehi kelebihan ketika pusingan kedua di Old Trafford nanti", ujar Ferguson. Sementara itu, Ferguson mengesahkan bahawa Wayne Rooney dan Rio Ferdinand akan kembali ke dalam kesebelasan utama selepas direhatkan ketika United menentang Bolton Wanderers Sabtu lalu. Rooney mengalami kecederaan lutut manakala Ferdinand mengalami masalah pada pangkal peha tetapi kini kedua-duanya telah disahkan cergas. Kelibat Rooney pastinya menjadi igauan buat barisan pertahanan lawan dan kapten Bayern, Mark Van Bommel mengakui hakikat itu. "Adalah sesuatu yang begitu sukar untuk menghentikan Rooney kerana dia sangat bagus. Kami mungkin akan meletakkan seorang pemain untuk mengawal pergerakannya tetapi kami tidak yakin apakah itu akan membuahkan hasil", kata Van Bommel. Van Bommel buntu bagaimana caranya untuk mematikan pergerakan Rooney kerana baginya penyerang England itu pemain serba lengkap dan berada dalam prestasi terbaiknya. Walaupun cemas dengan ancaman Rooney, Bayern menerima khabar gembira selepas Franck Ribery disahkan cergas dan akan diturunkan dalam perlawanan ini.

Barisan Kemungkinan United:

Edwin Van der Sar, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Gary Neville, Luis Antonio Valencia, Nani, Park Ji-Sung, Darren Fletcher, Michael Carrick, Wayne Rooney

28 Mac 2010

UNITED KEKAL DI KEDUDUKAN TERATAS

Jlloyd Samuel of Bolton Wanderers scores an own goal
Manchester United kembali merampas kedudukan teratas liga dari Chelsea selepas membenam cabaran sengit Bolton Wanderers di Stadium Reebok awal pagi tadi. United mengumpul 72 mata, satu mata mengatasi pesaing terdekat mereka itu yang turut mencipta kemenangan ke atas Aston Villa di Stamford Bridge. Seperti yang dijangka, Ferguson merehatkan Wayne Rooney dalam perlawanan ini bagi memberi ruang buat ayam tambatannya itu cergas sepenuhnya menjelang pertembungan suku akhir Liga Juara-Juara dengan Bayern Munich Rabu ini. Tanpa kelibat Rooney, Dimitar Berbatov diletakkan sebagai penggempur tunggal sambil dibantu Ryan Giggs, Darren Fletcher dan Nani di belakang. United menghadapi sedikit kesulitan menembusi benteng lawan di awal permainan akibat corak permainan fizikal yang diterap skuad The Trotters itu. Walau bagaimanapun gawang tuan rumah yang dikawal Jussi Jaaskelainen akhirnya berjaya ditembusi diminit ke 38 hasil gerakan dari sebelah kiri Ryan Giggs. Hantaran lintang Giggs di hadapan pintu gol yang cuba dikeluarkan Jlloyd Samuel akhirnya menyaksikan pemain pertahanan itu tertolak ke gawang sendiri.

Nani of Manchester United battles for the ball with Sam Ricketts  of Bolton Wanderers
Memulakan aksi di babak kedua, tuan rumah menggandakan asakan ke kubu United bagi mencari gol penyamaan. Walaupun ditekan hebat, benteng United yang diketuai Nemanja Vidic kental menangani ancaman penggempur lawan terutamanya melalui penyerang antarabangsa Sweden, Johan Elmander. Barisan United akhirnya berjaya mengendurkan asakan tuan rumah apabila mereka berjaya menambah gol kedua menerusi jaringan Berbatov diminit ke 69. Gol itu berpunca apabila rembatan Fletcher dari jarak 20 meter yang gagal ditangkap kemas Jaaskelainen dan bola yang muntah berjaya dimanfaatkan Berbatov untuk meletakkan United selesa di hadapan. Gol kedua itu ternyata menyentap semangat tuan rumah dan sepuluh minit kemudian, Berbatov sekali lagi menemui sasaran apabila menyempurnakan gerakan menarik Nani dari sebelah kiri. Nani sekali lagi menjadi ilham kepada gol keempat United apabila melakukan gerakan yang hampir sama dari sebelah kiri. Sayap antarabangsa Portugal itu berjaya memperdayakan Samuel Rickett sebelum melakukan hantaran yang disempurnakan pemain gantian Darron Gibson diminit ke 82.

Lain-lain Keputusan Perlawanan:

Chelsea (7) - Aston Villa (1)
Birmingham City (1) - Arsenal (1)
Hull City (2) - Fulham (0)
Tottenham (2) - Portsmouth (0)
West Ham (0) - Stoke City (1)
Wolverhampton (0) - Everton (0)

27 Mac 2010

KEHADIRAN GIGGS MANTAPKAN UNITED

http://www.blogunited.co.uk/wp-content/gallery/ryan-giggs/ryan_giggs_67.jpg
Kembalinya Ryan Giggs ke dalam skuad utama Manchester United akan menambahkan lagi sengat di barisan hadapan sekaligus mampu merealisasikan impian United mempertahankan trofi Liga Perdana Inggeris buat musim keempat berturut-turut. Keyakinan ini turut dikongsi bersama tonggak tengah United, Darren Fletcher. "Pengalaman Ryan dalam menangani tekanan amat penting buat kami. Anda boleh melihat sendiri ketika pertemuan dengan Manchester City musim ini. Ketika perlawanan memasuki minit-minit akhir, dia tidak panik. Ryan punya banyak pengalaman untuk situasi seperti ini dan kami gembira dia pulang kedalam skuad", kata Fletcher. Giggs terpaksa berehat selama sebulan selepas patah lengan ketika menghadapi AC Milan dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah, Februari lalu namun sudah diturunkan sebagai pemain gantian ketika perlawanan menentang Liverpool minggu lalu. Awal pagi esok, Giggs sudah bersedia diturunkan dalam kesebelasan utama United untuk menghadapi Bolton Wanderers tetapi Sir Alex Ferguson tampak lebih memilih menurunkannya di Allianz Arena bagi menghadapi perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich.

Sementara itu, Wayne Rooney yang mengalami masalah lutut turut disahkan cergas dan akan dibawa Ferguson ke dalam skuad yang akan bertandang ke Stadium Reebok awal pagi nanti. Rooney yang lihat terhincut-hincut selepas perlawanan menentang Liverpool Ahad lalu kemungkinan tidak akan bermula dalam kesebelasan utama ketika menentang Bolton nanti. Ferguson pastinya tidak akan memperjudikan tahap kecergasan Rooney memandangkan tiga hari selepas itu, United akan berhadapan pula dengan Bayern Munich untuk perlawanan suku akhir pusingan pertama Liga Juara-Juara. Jika Rooney tidak diturunkan, Ferguson mungkin menggunakan formasi sama ketika menentang Liverpool dengan meletakkan Dimitar Berbatov berseorangan di hadapan sambil dibantu Nani. Bahagian tengah pastinya tidak banyak berubah dan Ferguson mungkin meletakkan kepercayaan kepada Luis Antonio Valencia, Darren Fletcher, Paul Scholes atau Michael Carrick dan Park Ji-Sung. Benteng United pastinya akan terus diterajui gandingan Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic sambil diapit Patrice Evra dan Rafael da Silva.

24 Mac 2010

BIMBANG CEDERA, ROONEY DIREHATKAN

Manchester United's Wayne Rooney (right) and Liverpool's Leiva  Lucas (left) battle for the ball
Penggempur Manchester United, Wayne Rooney kemungkinan besar akan direhatkan dari aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini. United akan menentang Bolton Wanderers di Stadium Reebok dan pastinya akan berusaha mempertahankan kelebihan mereka di tangga teratas biarpun tanpa kelibat Rooney. Langkah merehatkan Rooney terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kecederaan lebih serius selepas penyerang England itu dilihat berjalan terhencut-hencut sebaik tamat perlawanan menentang Liverpool di Old Trafford, Ahad lalu. Pasukan perubatan United pada mulanya menjangka kecederaan lutut yang dialami Rooney ketika mewakili England bulan lalu kembali menghantui penyerang itu. Walau bagaimanapun pemeriksaan susulan mendapati tiada masalah serius pada lutut Rooney tetapi Sir Alex Ferguson dijangka merehatkan ayam tambatannya itu hujung minggu ini bagi memberikan tumpuan kepada aksi Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich pada 31 Mac dan aksi penting Liga Perdana menentang Chelsea pada 3 April nanti.

23 Mac 2010

KEANE: ARSENAL PENCABAR UTAMA UNITED, BUKAN CHELSEA

http://i280.photobucket.com/albums/kk189/larriva32/RoyKeane_2204984.jpg
Bekas kapten dan lagenda Manchester United, Roy Keane menganggap ketika ini hanya Arsenal yang mampu menggugat peluang bekas pasukannya untuk muncul pasukan pertama menjuarai Liga Perdana empat musim berturut-turut dan bukannya Chelsea. Menurut Keane, Chelsea tidak memiliki semangat kental seperti yang dimiliki pemain-pemain United dan Arsenal. "Mereka (Chelsea dan Arsenal) mengatakan mereka miliki semangat untuk berjuang hingga keakhir musim tetapi apabila melihat Chelsea bermain ketika menentang Blackburn, saya tidak yakin tentang perkara itu. Saya fikir ancaman terbesar untuk United ialah Arsenal", kata Keane. Menurut Keane, Arsenal mampu menghalang misi United menjuarai Liga Perdana musim ini tetapi semua bergantung kepada perlawanan mereka menentang Barcelona dalam peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

"Saya fikir semuanya bergantung kepada bagaimana persiapan Arsenal dari segi mental dan fizikal ketika menentang Barcelona nanti. Liga Juara-Juara akan menganggu tumpuan mereka dan ini merupakan ujian terbesar bagi mereka. Jika mereka hanya bersaing untuk Liga Perdana, saya pasti akan mempertaruhkan semua wang saya untuk mereka tetapi dengan adanya Liga Juara-Juara, kita lihat saja bagaimana reaksi mereka ", tambah Keane lagi. Keane percaya United akan menang kesemua baki tujuh perlawanan mereka selepas ini. Bekas kapten United itu berkata, "Tak perlu diragukan lagi Manchester United mampu menang kesemua baki perlawanan mereka hingga akhir musim. Mereka kelihatan segar, memiliki keseimbangan, pengalaman dan pemain-pemain yang hebat". Keane ketika ini melatih Ipswich Town yang beraksi di Liga Kejuaraan.

22 Mac 2010

UNITED BERJAYA ATASI SAINGAN LIVERPOOL

Ji-Sung Park of Manchester United celebrates scoring to make it  2-1with Nani
Manchester United berjaya mengatasi saingan sengit Liverpool untuk kembali menerajui takhta liga selepas mencatat kemenangan 2-1 di Old Trafford sebentar tadi. Gol kemenangan United dijaringkan pemain antarabangsa Korea Selatan, Park Ji Sung berjaya membawa United meraih mata berharga ke atas musuh tradisi mereka itu. Ini juga merupakan kemenangan pertama United ke atas Liverpool dalam empat pertemuan terakhir mereka sekaligus menebus kehampaan musim lalu selepas mereka tewas kepada The Reds 1-4 digelanggang yang sama. Diawal perlawanan, skuad bimbingan Rafael Benitez tampak akan mengulangi rentetan kemenangan mereka ke atas United selepas Fernando Torres menanduk masuk gol pendahuluan diminit ke 6. Bagaimanapun United tidak perlu menunggu lama untuk menyamakan kedudukan selepas dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Wayne Rooney diminit ke 11. Pengadil, Howard Webb tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti itu selepas Luis Antonio Valencia dikasari Javier Mascherano di dalam kawasan penalti. Mascherano turut bernasib baik apabila Webb sekadar melayangkan kad kuning kerana kekasaran itu biarpun pada awalnya tampak dia akan diperintah keluar padang. Kedudukan kekal terikat 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Ji-Sung Park of Manchester United heads in his team's second goal
Di separuh masa kedua, United menguasai permainan dengan lawan tampak tertekan dan dipaksa bertahan di kawasan sendiri. Walau bagaimanapun United gagal mencipta sebarang peluang terbaik untuk menambah gol dengan kedua-dua pasukan bermain secara berhati-hati. Selepas lebih banyak menguasai permainan, United akhirnya memperolehi gol yang dicari-cari diminit ke 60 apabila Ji-Sung berjaya menanduk masuk hantaran Darren Fletcher dari sebelah kanan. Selepas gol itu, tempo permainan menjadi agak keras dan lawan membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Alberto Aquilani dan Ryan Babel bagi memberi suntikan baru kepada barisan tengah dan serangan mereka. Untuk seketika, kehadiran Aquilani dan Babel berjaya mengubah tempo permainan lawan tetapi benteng United yang diterajui Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic ternyata terlalu ampuh untuk ditembusi. Liverpool memperolehi peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan diminit ke 89 melalui pemain gantian mereka, Yossi Benayoun tetapi tandukan lemah pemain antarabangsa Israel itu terus kedakapan Edwin Van der Sar. Tambahan masa selama 5 minit yang diberikan pegawai perlawanan tidak cukup bagi Liverpool untuk mencari gol penyamaan dan kekalahan ini mengancam peluang mereka untuk mencuri slot terakhir ke Liga Juara-Juara musim depan.

21 Mac 2010

AKSI TUMPUAN DI OLD TRAFFORD

http://aledebarracas.com.ar/blog/wp-content/uploads/2009/06/manchester-liverpool.jpg
Pertembungan Manchester United dan Liverpool sentiasa menjadi perbualan peminat-peminat bolasepak seluruh dunia dan malam ini aksi kedua-dua pasukan itu sekali lagi menjadi tumpuan. Liverpool yang prestasi mereka musim ini agak terumbang ambing tetap merupakan pasukan yang berbahaya kerana mereka sering memberikan prestasi terbaik apabila menentang United. Skuad Rafael Benitez itu dilihat mula menemui sentuhan pemusnah selepas mereka membelasah Portsmouth dalam kempen liga dan Lille dalam kejohanan Liga Europa minggu lalu. Rekod lima perlawanan terakhir antara kedua-dua pasukan juga memihak kepada skuad The Reds selepas mereka mencatat empat kemenangan ke atas United sejak Disember 2007. Kekalahan 1-4 United kepada Liverpool musim lalu di Old Trafford tentunya masih segar diingatan Sir Alex Ferguson dan kunjungan Liverpool malam ini menjadi medan terbaik buat anak-anak buahnya menebus kembali kekalahan mengaibkan itu.

Sementara itu, kem United menerima berita gembira selepas Ryan Giggs, Rafael da Silva dan Jonny Evans disahkan cergas menjelang perlawanan penting ini. Sentuhahan pemusnah Giggs amat ditagih dalam perlawanan ini selepas mengalami kecederaan ketika menentang AC Milan dalam perlawanan Liga Juara-Juara di San Siro bulan lalu. Kehadiran semula Evans dan da Silva juga dianggap tepat pada waktunya kerana Sir Alex Ferguson pastinya tidak mahu melihat krisis kecederaan melanda kembali benteng pertahanannya selepas kehilangan khidmat Wes Brown untuk baki saingan musim ini akibat kecederaan. Dengan prestasi hebat yang dipamerkan Wayne Rooney ketika ini, United pastinya menjadi pilihan dalam perlawanan ini tetapi mereka perlu lebih berhati-hati dengan sentuhan pemusnah milik peledak lawan, Fernando Torres. Kemenangan penting buat kedua-dua pasukan, kerana United memerlukan tiga mata penuh untuk terus kekal sebagai peneraju liga manakala Liverpool masih berjuang memburu slot ke Liga Juara-Juara musim depan.

Barisan Kemungkinan United:

Edwin Van Der Sar, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Luis Antonio Valencia, Ryan Giggs, Michael Carrick, Darren Fletcher, Dimitar Berbatov & Wayne Rooney

19 Mac 2010

LIGA JUARA-JUARA: UNITED DIUNDI BERDEPAN BAYERN MUNICH

http://manutd.diyanazman.com/wp-content/uploads/2009/07/audicupfinal06.jpg
Undian perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah yang dilangsungkan di Nyon, Switzerland awal pagi tadi menemukan Manchester United dan Bayern Munich. United akan berkunjung ke Allianz Arena, Munich 31 Mac ini untuk perlawanan pusingan pertama manakala pusingan kedua akan diadakan pada 8 Apr di Old Trafford. Ini merupakan kali pertama kedua-dua pasukan bertemu di peringkat Eropah sejak tahun 2002. Pertembungan paling diingati antara kedua-dua pasukan ialah pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara edisi tahun 1999 di mana United berjaya menewaskan Bayern 2-1 hasil jaringan lewat Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer. United masih mempunyai dua orang pemain dari skuad 1999 iaitu Ryan Giggs dan Paul Scholes tetapi Scholes tidak diturunkan dalam perlawanan akhir itu kerana menjalani penggantungan. United juga pernah bertemu Bayern dalam perlawanan pra musim merebut Piala Audi di Munich pertengahan tahun lalu dan keputusan perlawanan terikat 0-0. Undian turut menyaksikan dua kelab dari Perancis iaitu Girondins Bordeaux dan Olympique Lyon bertemu sesama sendiri. Juara bertahan, Barcelona diundi bertemu Arsenal manakala juara Itali, Inter Milan akan bertemu CSKA Moscow.

18 Mac 2010

FLETCHER: USAH PERKECILKAN LIVERPOOL

Fletch scored 2 in a row!!!!!!!! by tashaNR7.
Tonggak tengah Manchester United, Darren Fletcher mengingatkan rakan-rakan sepasukannya agar tidak memperkecilkan kebolehan Liverpool menjelang pertembungan dua musuh tradisi itu di Old Trafford, Ahad ini. Jika dilihat kedudukan dua pasukan itu dalam carta liga, Liverpool ketika ini bukanlah pencabar utama United dalam perebutan kejuaraan liga tetapi kekalahan kepada skuad The Reds itu dalam dua perlawanan terdahulu membuatkan Fletcher lebih berhati-hati dalam pertembungan kali ini. Kekalahan terakhir United ditangan Liverpool ialah pada Oktober lalu di Anfield dan tujuh bulan sebelumnya skuad Red Devils diaibkan oleh anak-anak buah Rafael Benitez yang mencatat kemenangan besar 4-1 di Old Trafford. Justeru tidak hairanlah Fletcher mahu pasukannya lebih berwaspada kali ini kerana lawan mampu menjadi penghalang utama terhadap misi United mempertahankan kejuaraan Liga Perdana empat musim berturut-turut. Liverpool dilihat mula menemui sentuhan mereka selepas membelasah Portsmouth 4-1 di Anfield, Khamis lalu.

"Anda melakukan kesilapan besar jika menganggap Liverpool bukanlah penghalang utama anda. Prestasi mereka mungkin tidak sebaik musim lalu tetapi mereka tetap pasukan yang berbahaya", kata Fletcher. "Mereka masih punya banyak sebab untuk terus berjuang dengan menjadikan slot ke Liga Juara-Juara musim depan sebagai sasaran. Jika anda tidak fokus seratus peratus ketika berhadapan dengan mereka, anda akan dihukum", tambah Fletcher lagi. Fletcher mengakui dia hairan dengan prestasi Liverpool musim ini sedangkan di awal musim skuad diketuai Steven Gerrard itu menjadi antara pasukan pilihan merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini. Musim lalu Liverpool muncul antara pencabar terhebat United dalam perlumbaan merebut kejuaraan Liga Perdana. Mengakui agak terkejut dengan situasi ini, Fletcher berkata, "Prestasi Liverpool musim ini benar-benar mengejutkan kerana mereka tidak berada ditangga teratas bersama kami tetapi mereka tetap bersemangat untuk menang di Old Trafford".

17 Mac 2010

COLE: UNITED AKAN BALAS DENDAM KEKALAHAN MUSIM LALU

http://www.sporting-heroes.net/files_football/COLE_Andy_20000301_NF_R.jpg
Menjelang pertembungan Manchester United dan Liverpool hujung minggu ini, bekas penggempur terbilang Manchester United, Andy Cole yakin anak-anak buah Sir Alex Ferguson akan bermain habis-habisan bagi membalas dendam kekalahan mereka kepada Liverpool musim lalu di Old Trafford. Walaupun menang gelaran liga musim lalu, United diaibkan selepas tewas 1-4 digelanggang sendiri kepada skuad The Reds itu. Musim ini United turut tewas kepada Liverpool di Anfield pada Oktober lalu melalui jaringan Fernando Torres dan David Ngog. Menurut Cole, walaupun United memenangi gelaran liga musim lalu tetapi pemain-pemain tentunya masih mengingati bagaimana mereka diaibkan di gelanggang sendiri oleh anak-anak buah Rafael Benitez dan kekalahan 1-4 di Old Trafford kepada musuh tradisi mereka itu sungguh menyakitkan. Pertembungan hujung minggu ini pastinya sengit selepas United dan Liverpool mencatat kemenangan besar dalam kempen liga mereka minggu ini. United menewaskan Fulham 3-0 Ahad lalu manakala Liverpool pula menewaskan Portsmouth 4-1.

"Pemain-pemain menganggap kunjungan Liverpool nanti sangat penting. Mereka (Liverpool) datang ke Old Trafford dengan misi mencari kemenangan apatah lagi musim lalu mereka meraih keputusan yang baik di sini", kata Cole. "Kalah kepada Liverpool memang menyakitkan. Pemain mengatakan membalas dendam bukan agenda mereka, tetapi saya yakin mereka memang mempunyai matlamat ke arah itu terutama apabila perlawanan diadakan di gelanggang sendiri", tambah Cole lagi. Perlawanan hujung minggu ini memang penting buat kedua-dua pasukan dengan United memerlukan kemenangan untuk mengekalkan kedudukan mereka di tangga teratas liga manakala Liverpool pula bertungkus lumus mengejar slot ke Liga Juara-Juara musim depan. Biarpun lawan berdepan krisis musim ini, United tidak harus memandang mudah kemampuan mereka dan kemenangan 4-1 ke atas Portsmouth semalam membuktikan bahawa Liverpool mampu menjelmakan ancaman serius kepada anak-anak buah Ferguson nanti.

15 Mac 2010

DENDAM BERBALAS, UNITED KEMBALI KE PUNCAK

Wayne Rooney of Manchester United celebrates scoring
Penyerang prolifik Manchester United, Wayne Rooney menjaringkan dua gol ketika membantu pasukannya menang 3-0 ke atas Fulham dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris semalam. Satu lagi gol Red Devils disumbangkan oleh Dimitar Berbatov di penghujung permainan. United yang tewas kepada Fulham di Craven Cottage tahun lalu berjaya membalas semula kekalahan mereka dan menambah luka kepada anak-anak buah Roy Hodgson yang sebekumnya tewas 1-3 kepada Juventus dalam kempen Liga Europa. Kemenangan ini juga berjaya melonjakkan United kembali di kedudukan teratas liga dengan kelebihan dua mata dari saingan terdekat mereka, Chelsea dan Arsenal. Sir Alex Ferguson menurunkan hampir keseluruhan skuad yang sama ketika membelasah AC Milan tempohari dan menguasai permainan sejak wisel permulaan ditiupkan. Walau bagaimanapun corak permainan berdisiplin pelawat menyukarkan United menembusi gawang lawan yang dikawal Mark Schwarzer. Corak permainan bertahan lawan yang sesekali cuba melakukan serang balas pantas memaksa anak-anak buah Ferguson bersabar ketika melakukan setiap gerakan. United memperolehi peluang terbaik melalui Dimitar Berbatov diminit ke 24, tetapi tandukan penyerang Bulgaria itu melambung tinggi biarpun hanya berdepan dengan Schwarzer di hadapan gawang. Enam minit kemudian giliran Rooney pula mencemaskan benteng pelawat tetapi rembatannya dari luar kotak penalti tersasar sedikit ke sebelah kanan gawang. Fulham yang banyak bergantung kepada Bobby Zamora dilihat begitu sukar menembusi benteng United dan lebih banyak menumpukan perhatian di kawasan mereka sendiri untuk memaksa tuan rumah berkongsi kedudukan 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Dimitar Berbatov of Manchester United holds off Chris Baird of  Fulham
Memasuki babak kedua permainan, United tidak perlu menunggu lama apabila Rooney mudah memanfaatkan hantaran Nani dari sebelah kiri untuk meletakkan United mendahului diminit ke 46. Gol pendahuluan itu akhirnya membuatkan Fulham kembali membuka permainan dengan melakukan hantaran-hantaran jauh yang ditujukan kepada Zamora. Perubahan taktikal pelawat membuat United mengendurkan sedikit tekanan dan memberikan tumpuan kepada benteng mereka yang diterajui Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand. Diminit ke 54, United memperolehi peluang terbaik untuk menambah gol dalam situasi kelam kabut dihadapan gawang tetapi rembatan Rooney berjaya ditampan pertahanan lawan. Ketika United leka menekan pelawat, gawang mereka nyaris bocor hasil serang balas pantas lawan diminit ke 75 melalui Zamora. Walau bagaimanapun rembatannya berjaya dihalang oleh tindakbalas hebat Nemanja Vidic. Berbatov sekali lagi terlepas peluang menjaringkan gol diminit ke 76 apabila dia yang menerima hantaran lambung Park Ji-Sung sekadar melihat tandukannya tersasar lagi. Selang enam minit kemudian, United kembali mencemaskan benteng pelawat menerusi gerakan Darren Fletcher tetapi percubaan pemain tengah Scotland itu berjaya ditampan keluar Schwarzer. United akhirnya memperolehi gol kedua mereka diminit ke 84 sekaligus menutup terus cabaran pelawat. Gol berpunca dari gerakan menarik Berbatov dari sebelah kanan yang kemudiannya berjaya disudahkan Rooney untuk meletakkan United selesa di hadapan. Ketika semangat melawan pelawat semakin luntur, Berbatov akhirnya menemui sasaran diminit ke 89 selepas berjaya memanfaatkan hantaran Ji-Sung untuk mudah menanduk masuk gol ketiga United.

14 Mac 2010

ROONEY: UNITED AKAN ATASI REKOD LIVERPOOL

http://d.yimg.com/a/p/ap/20100310/capt.1e0822d446684a3098bb9a42d2cbe1ad.britain_soccer_champions_league_lts111.jpg
Penyerang Manchester United, Wayne Rooney yakin Red Devils mampu mengatasi rekod yang dipegang pasukannya bersama Liverpool dengan menjuarai trofi Liga Perdana Inggeris buat kali ke 19. Manchester United dan Liverpool kini terikat selepas masing-masing berjaya menjuarai kejuaraan liga sebanyak 18 kali, tetapi dengan kelab dari Anfield itu sudah terkeluar dari saingan kejuaraan musim ini, United mampu meleburkan rekod The Kops. Untuk rekod, Liverpool masih belum memenangi sebarang kejuaraan selepas liga bertukar format kepada Liga Perdana Inggeris buat pertama kali pada musim 1992/93, sementara United pula mendominasi kejuaraan dengan memenanginya sebanyak 11 kali. Jika United berjaya mempertahankan kejuaraan mereka musim ini, skuad Red Devils juga akan mencatat sejarah baru bolasepak Inggeris dengan muncul kelab pertama memenanginya kejuaraan liga sebanyak empat musim berturut-turut. Peluang menjuarai liga masih terbuka buat United, Chelsea dan Arsenal ketika ini dan Rooney yakin pasukannya mampu keluar sebagai juara diakhir musim berdasarkan penampilan mereka ketika membenam cabaran AC Milan dalam Liga Juara-Juara Eropah kelmarin. "Memenangi kejuaraan liga merupakan sesuatu yang sangat istimewa. Jika kami memenanginya musim ini ia akan bertambah istimewa kerana kami akan melepasi catatan Liverpool", ujar Rooney.

Malam ini United akan menanti kunjungan Fulham dalam satu lagi aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris. Perlawanan ini juga menjadi peluang buat United menebus kembali kekalahan mereka kepada skuad Roy Hodgson itu selepas mereka diaibkan lawan di Craven Cottage hujung tahun lalu. Fulham yang tewas perlawanan pertama Liga Europa kepada Juventus Khamis lalu perlu mengerah segala kemampuan mereka jika berhasrat mengulangi pencapaian mereka ke atas United. Menyaksikan United mudah membelasah AC Milan di Old Trafford minggu lalu, peluang skuad The Cottagers itu untuk melakar kejutan dilihat agak tipis. Walau bagaimanapun United harus berwaspada dengan kelibat Bobby Zamora, Damian Duff dan Danny Murphy yang mampu memberi ancaman kepada benteng mereka. Zamora cukup berbahaya dalam situasi bola tinggi manakala Duff dan Murphy merupakan nadi lawan di bahagian tengah. United memerlukan tiga mata penuh dalam perlawanan ini untuk memintas kembali Chelsea di kedudukan teratas liga selepas skuad The Blues menewaskan West Ham 4-1 di Stamford Bridge semalam. Arsenal yang menewaskan Hull City turut berkongsi mata di tangga teratas dengan memungut 64 mata tetapi skuad Arsene Wenger bermain lebih satu perlawanan. Ferguson dijangka menurunkan 90 peratus dari barisan yang beraksi dalam liga Juara-Juara Khamis lalu dengan sedikit rombakan dibeberapa bahagian.

Barisan Kemungkinan United:

Edwin Van Der Sar, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Namanja Vidic, Rafael da Silva, Michael Carrick, Darren Fletcher, Park Ji-Sung, Luis Antonio Valencia, Wayne Rooney dan Bimitar berbatov

12 Mac 2010

JI SUNG, KUNCI KEJAYAAN UNITED

http://fr.fifa.com/mm/photo/worldfootball/clubfootball/01/08/86/96/1088696_full-prt.jpg
Sir Alex Ferguson menilai Park Ji-Sung merupakan pemain yang menjadi kunci utama di sebalik kejayaan United menewaskan AC Milan dengan jaringan 4-0 di Old Trafford semalam. United berjaya menyingkirkan Milan buat pertama kali dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dan mara ke peringkat suku akhir dengan kemenangan agregat 7-2. Biarpun hanya menyumbangkan satu gol dalam perlawanan itu, Ji-Sung dilihat pemain yang berjaya `mematikan' permainan Milan. Menurut Ferguson, keupayaan Wayne Rooney sebagai mesin gol United ketika ini memang tidak boleh dinafikan tetapi Ji-Sung berjaya memainkan peranannya dengan berkesan hingga berjaya melumpuhkan pergerakan Ronaldinho dan Andrea Pirlo. Ronaldinho dan Pirlo memang diketahui merupakan pemain yang menjadi kunci utama dalam setiap gerakan-gerakan Milan, tetapi Ji-Sung berjaya membunuh karekter kedua-dua perancang utama lawan. "Park adalah kunci utama kejayaan kami. Kita selalu bercakap tentang Rooney dan dia memang pemain yang hebat. Namun sikap, disiplin dan pengorbanan Park membolehkan kami memenangi perlawanan ini secara taktikal. Pirlo adalah pemain yang penting bagi Milan", kata Ferguson.

Kapten United, Gary Neville turut berkongsi pendapat dengan Ferguson dan memuji Ji-Sung kerana berjaya memainkan peranan dalam mematikan pergerakan Ronaldinho. Milan jelas hilang kreativiti dan daya saing selepas kedua-dua tonggak utama mereka itu gagal memainkan peranan dengan berkesan. "Saya tidak pasti bila dan di mana ada pemain yang mampu mematikan pergerakan Ronaldinho dengan mudah. Namun anda harus melihat apa yang telah Park lakukan iaitu memastikan Ronaldinho tidak mendapat bola", kata Neville. Kemenangan 4-0 itu membolehkan United membalas dendam kekalahan mereka kepada Milan dalam edisi 2007. Biarpun ketika itu United menang 3-2 di Old Trafford, Milan berjaya menyingkirkan Red Devils dengan agregat 5-3 selepas menang 3-0 di San Siro dan kemudiannya muncul juara pada tahun itu. Sementara itu, David Beckham tetap gembira walaupun Milan tewas kepada United dalam perlawanan itu. Melihat bekas pasukannya terus mengalami peningkatan, Beckham yakin United mampu mengakhiri musim ini dengan muncul sebagai juara Eropah.

11 Mac 2010

LIGA JUARA-JUARA: UNITED MELANGKAH KE SUKU AKHIR

http://d.yimg.com/a/p/ap/20100310/capt.ad9c7bafa0f047af9973ef972072f092.britain_soccer_champions_league_lts123.jpg
Dua gol jaringan Wayne Rooney membantu Manchester United melangkah ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara selepas skuad Red Devils membelasah AC Milan 4-0 di Old Trafford awal pagi tadi. Selepas berjaya menewaskan Milan 3-2 di San Siro dalam perlawanan peringkat pertama, United mara ke suku akhir dengan kelebihan agregat 7-2. Kemenangan bergaya itu juga menyaksikan United berjaya menebus kembali kekalahan mereka kepada Milan dalam pertembungan edisi 2007. Milan ketika itu berjaya mara keseparuh akhir selepas menyingkirkan United dengan agregat 5-3. Milan yang tertekan dan mahu mencari gol awal lebih menguasai bola pada permulaan permainan tetapi umpanan-umpanan dari bahagian tengah gagal dimanfaatkan barisan penyerang mereka yang beraksi tanpa Alexandre Pato. Gerakan-gerakan Milan hasil ilham Ronaldinho dan Andrea Pirlo berjaya dipatahkan benteng United yang dikemudi Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic. Rooney mula menguji gawang Milan yang dikawal Christian Abbiati seawal minit keempat tetapi percubaannya dari luar petak penalti sedikit tersasar. Milan pula hampir mendahului diminit ke 8 melalui Ronaldinho tetapi tandukan perancang Milan itu hanya sedikit tersasar ke sebelah kiri. Diminit ke 11, giliran Nani pula mencemaskan gawang Milan tetapi rembatan sayap Portugal itu berjaya ditepis keluar Abbiati. Dua minit selepas itu, gawang Milan akhirnya bocor apabila Rooney berjaya menanduk masuk hantaran silang Gary Neville dari sebelah kanan. United kekal mendahlui 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
http://d.yimg.com/a/p/rids/20100310/i/r95164213.jpg
Baru seminit bermula babak kedua, Rooney melebarkan penguasaan United melalui gol keduanya untuk meletakkan tuan rumah selesa mendahului dengan agregat 5-2. Gol kedua Rooney itu menyentap semangat juang Milan dan anak-anak buah Leonardo sudah mula menyedari bahawa hanya keajaiban mampu membantu mereka menyekat United dari mara ke suku akhir. Meskipun mencipta jurang yang cukup luas, United terus mengatur gerakan-gerakan bahaya ke kubu lawan dan hasilnya diminit 59, melalui gerakan Paul Scholes, Park Ji Sung mudah menewaskan Abbiati buat kali ketiga. Leonardo akhirnya memberi peluang buat David Beckham membuat penampilan pertama di Old Trafford dalam tempoh enam tahun selepas berhijrah ke Real Madrid. Kehadiran bekas bintang United itu merubah sedikit tempo permainan Milan melalui hantaran-hantaran berkesan dari sebelah kanan. Beckham sendiri hampir menjaringkan gol diminit ke 75 melalui voli kencang dari jarak 25 meter tetapi berjaya ditepis keluar Edwin Van Der Sar. Darren Fletcher akhirnya melengkapkan kemenangan bergaya United apabila pemain tengah itu menanduk masuk hantaran jauh Rafael da Silva diminit ke 88. Dalam satu lagi perlawanan, Olympique Lyon melakar kejutan besar apabila berjaya menyingkirkan pasukan yang berbelanja mewah musim ini, Real Madrid dengan agregat 2-1. Miralem Pjanic berjaya menjaringkan gol penyamaan yang menyingkirkan Madrid selepas Cristiano Ronaldo meletakkan tuan tumah di hadapan diminit ke 6.

10 Mac 2010

MILAN TIDAK LAGI GERUNKAN UNITED

LIGA JUARA-JUARA EROPAH
(PUSINGAN KALAH MATI)


MANCHESTER UNITED lwn AC MILAN
(Old Trafford, 11 Mac 2010)
http://d.yimg.com/a/p/ap/20100309/capt.c4d29be93f6f457d956b1779cea80a68.britain_soccer_champions_league_lon816.jpg
Menjelang pertemuan kedua menentang AC Milan dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara , awal pagi esok, Sir Alex Ferguson mengatakan bahawa United kini sudah keluar dari bayang-bayang gergasi Itali itu yang sering menghantui mereka selama ini. United akan menanti kunjungan Milan dengan memiliki kelebihan satu gol hasil kemenangan 3-2 di San Siro dalam perlawanan pertama tiga minggu lalu. Rekod pertemuan menentang Milan sebelum ini jelas tidak memihak kepada anak-anak buahnya selepas kali terakhir mereka disingkirkan skuad Rossoneri itu pada tahun 2007 di peringkat separuh akhir. Ferguson mengakui begitu resah selepas diundi menentang Milan tetapi kini kehebatan lawan tampak seakan sudah menjadi sejarah selepas United berhasil menjinakkan anak-anak buah Leonardo di gelanggang lawan. Kemenangan itu jelas memberi suntikan keyakinan kepada Ferguson bahawa pasukannya mampu mengatasi halangan Milan kali ini untuk menempah tempat ke pusingan suku akhir. "Bagi kami, kemenangan di San Siro merupakan sesuatu yang cukup besar. Ini adalah kemenangan pertama selepas tewas empat kali kepada lawan. Saya gembira kerana lawan memiliki sejarah hebat dan kami mencipta kemenangan ke atas salah satu pasukan terbaik Eropah. Kemenangan di San Siro lebih kepada kemenangan psikologi buat kami", kata Ferguson.

Sementara itu, Wayne Rooney disahkan cergas dan boleh diturunkan dalam perlawanan ini selepas direhatkan ketika United menang ke atas Wolverhampton Wanderers dalam aksi liga hujung minggu lalu. Rooney yang meledak dua gol dalam perlawanan pertama di San Siro cedera ketika turun mewakili England dalam perlawanan antarabangsa menentang Mesir Khamis lalu. Rooney telah mula menjalani latihan dan dijangka bakal diturunkan Ferguson selepas kecederaan lututnya kembali pulih. Walaupun kembali memperolehi sentuhan Rooney, United kehilangan Wes Brown dan Ryan Giggs yang mengalami kecederaan manakala Michael Carrick pula digantung perlawanan selepas menerima layang kad merah dalam perlawanan pertama. Perlawanan United-Milan awal pagi esok juga turut diwarnai dengan kembalinya David Beckham ke Old Trafford buat pertama kali dalam tempoh enam tahun. Beckham dijangka diberikan sambutan meriah oleh penyokong-penyokong United bagi menghargai sumbangan hebatnya selama 10 musim di Old Trafford sebelum dijual kepada Real Madrid pada tahun 2004. Beckham dijangka memulakan perlawanan di bangku simpanan selepas Leonardo membayangkan akan menurunkan Klaas Jan Huntelaar dalam kesebelasan permulaan Milan.

Barisan Kemungkinan United:

Edwin Van Der Sar, Rafael da Silva, Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Park Ji Sung, Luis Antonio Valencia, Paul Scholes, Darren Fletcher, Dimitar Berbatov & Wayne Rooney

07 Mac 2010

JARINGAN SCHOLES BAWA UNITED KE TANGGA TERATAS

http://a9.vietbao.vn/images/vn975/the-thao/75227861-Paul-Scholes-Beskitas.jpg
Jaringan tunggal Paul Scholes, 18 minit sebelum tamat permainan berjaya membantu Manchester United menewaskan pasukan yang berada di zon penyingkiran, Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux awal pagi tadi. Kemenangan itu juga menyaksikan skuad Red Devils berjaya memintas kedudukan Chelsea di tangga teratas Liga Perdana Inggeris. United kini memiliki kelebihan 2 mata ke atas Chelsea, tetapi skuad kendalian Carlo Ancelotti itu masih memiliki kelebihan satu perlawanan kerana terlibat dengan saingan suku akhir Piala FA menentang Stoke City malam ini. Beraksi tanpa penjaring terbanyak, Wayne Rooney yang mengalami kecederaan lutut, United terpaksa bergelut menangani tentangan bersemangat tuan rumah dan dilihat sukar menembusi benteng skuad bergelar Wolves itu sepanjang tempoh permainan. Luis Antonio Valencia mencipta peluang pertama buat United di minit ke 7 tetapi rembatannya sedikit tersasar ke sebelah kiri gawang lawan. Peluang terbaik Wolves hadir diminit ke 36 melalui tandukan Matt Jarvis tetapi dia yang berada di posisi terbaik sekadar melihat tandukannya berjaya ditangkap kemas Edwin Van Der Sar. Kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Luis Antonio Valencia of Manchester United sees a way past Karl Henry and David Jones of Wolverhampton Wanderers
United membuat pertukaran dengan memasukkan Gary Neville menggantikan Wes Brown yang mengalami kecederaan di permulaan babak kedua. Menyedari hanya kemenangan yang mampu melonjakkan mereka ke kedudukan teratas liga, United terus mendominasi permainan dengan melancarkan gerakan-gerakan ke kubu tuan rumah tetapi tetap dihampakan dengan persembahan tersusun lawan. Bagi menambah sengat di barisan serangan, Ferguson memasukkan penyerang dari Senegal, Mame Biram Diouf untuk menggantikan Darron Gibson di pertengahan babak kedua. United akhirnya berjaya melerai kebuntuan diminit ke 72 apabila Paul Scholes berjaya memanfaatkan kesilapan Jody Craddock yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya untuk menjaringkan gol kemenangan. Enam minit selepas itu, Diouf hampir melebarkan penguasaan United tetapi tandukannya hasil hantaran silang Gary Neville di hadapan pintu gol melambung tinggi. Di masa kecederaan Wolves hampir meranapkan impian United untuk meraih kemenangan tetapi kegopohan Sam Vokes yang merembat tinggi biarpun hanya berhadapan dengan Van der Sar di gawang menyaksikan United meraih mata ke 63 mereka.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Arsenal (3) lwn Burnley (1)
West Ham (1) lwn Bolton Wanderers (2)

06 Mac 2010

PELUANG UNITED PINTAS CHELSEA

http://img.skysports.com/09/08/800x600/Wayne-Rooney-Manchester-United-Arsenal-Premie_2354018.jpg
Manchester United berpeluang memintas kedudukan Chelsea di tangga teratas Liga Perdana Inggeris jika menang ke atas pasukan di zon penyingkiran, Wolverhampton Wanderers awal pagi nanti. United akan berkunjung ke Stadium Molineux dengan misi meraih mata penuh dan dengan saingan kini berbaki sepuluh perlawanan lagi, anak-anak buah Sir Alex Ferguson tidak harus melakukan kesilapan jika mahu mencipta sejarah sebagai pasukan pertama mempertahankan trofi Liga Perdana empat musim berturut-turut. Walau bagaimanapun misi United meraih mata penuh di gelanggang lawan sedikit terencat dengan berita kecederaan lutut yang dialami penjaring terbanyak liga ketika ini, Wayne Rooney. Rabu lalu, Rooney diturunkan hampir keseluruhan perlawanan ketika England menentang Mesir dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley. Situasi ini mengundang kemarahan Ferguson yang mendakwa pihak pengurusan England tidak berlaku adil terhadap ayam tambatannya itu. Tiga hari sebelum itu, Rooney juga beraksi di stadium yang sama ketika membantu United menewaskan Aston Villa dalam perlawanan akhir Piala Carling.

Dengan Chelsea yang tidak beraksi minggu ini kerana terlibat dalam perlawanan suku akhir Piala FA, United boleh memintas kedudukan skuad The Blues itu dengan kelebihan dua mata sekiranya berjaya meraih mata maksimum di Molineux. Ferguson dijangka melakukan perubahan kecil dalam skuadnya andai Rooney tidak dapat diturunkan dengan kemungkinan besar memberi peluang kepada Mame Biram Diouf beraksi bersama Dimitar Berbatov di bahagian serangan. Paul Scholes, Darren Fletcher, Nani dan Park Ji Sung akan memperkuatkan bahagian tengah manakala Rio Ferdinand pula dijangka kembali memperkuatkan benteng pertahanan United selepas hanya beraksi sekali sejak Oktober tahun lalu akibat kecederaan belakang. Ferdinand, Nemanja Vidic, Gary Neville dan Patrice Evra pastinya menjadi pilihan Ferguson di benteng manakala Edwin Van Der Sar akan kembali mengawal gawang United selepas direhatkan Ferguson dalam dua perlawanan sebelum ini. Sementara itu Ferguson juga optimis dengan pengalaman yang dimiliki skuadnya, United mampu mencipta sejarah mempertahankan kejuaraan mereka untuk kali keempat berturut-turut.

04 Mac 2010

BEBAN KEWANGAN UNITED SEMAKIN PULIH

http://vtc.vn/media/vtcnews/2009/09/21/man9.jpg
Daily Mail melaporkan bahawa beban hutang yang dialami Manchester United akibat dari pengambilalihan kelab itu oleh taikun sukan Amerika Syarikat, Malcolm Glazer semakin pulih. Perkara ini diharapkan akan memulihkan kembali keyakinan dan kepercayaan penyokong-penyokong United terhadap keluarga Glazer yang teruk dikritik sejak akhir-akhir ini. Penyokong-penyokong fanatik United sebelum ini kecewa kerana kelab terikat dengan beban kewangan selepas Glazer berjaya memiliki kelab. Mereka khuatir akibat hutang yang terpaksa ditanggung, Glazer akan menjual aset milik kelab seperti padang latihan dan pemain-pemain utama mereka. Apa yang lebih membimbangkan penyokong ialah, aset paling berharga mereka iaitu Stadium Old Trafford turut akan menjadi mangsa dan sebelum semua itu berlaku mereka mendesak agar keluarga Glazer menjual sahamnya kepada pemilik baru yang lebih berkemampuan.

Untuk meredakan konflik antara keluarganya dengan para penyokong Red Devils, Glazer dijangka akan menggunakan laporan kewangan penggal kedua tahun lalu yang menunjukkan peningkatan kepada pendapatan kelab dan kemampuan mereka melunaskan hutang. Laporan kewangan itu menunjukkan peningkatan pendapatan kelab sebanyak 19 peratus, dari 121.7 juta Pound kepada 144.7 juta Pound. Pendapatan dari hak penyiaran juga meningkat sebanyak 33 peratus dari 40.3 juta Pound kepada 54.4 juta Pound manakala pendapatan komersial meningkat 16 peratus dari 33.5 juta Pound kepada 38.7 juta Pound. Hutang yang ditanggung juga menurun dari 538.1 juta Pound kepada 507.5 juta Pound. Situasi ini jelas lebih baik berbanding sebelum ini di mana United menanggung beban hutang sebanyak 716.5 juta Pound. Minggu lalu, penyokong-penyokong United mendesak agar Glazer segera menjual pegangan saham milik keluarga itu hingga memaksa pemilik United itu tidak hadir menyaksikan skuad Red Devils beraksi di perlawanan akhir Piala Carling.

01 Mac 2010

UNITED PANJANGKAN KEMARAU KEJUARAAN VILLA

http://d.yimg.com/a/p/rids/20100228/i/r3771961837.jpg
Kemenangan Manchester United ke atas Aston Villa dalam perlawanan akhir Piala Carling semalam menyaksikan skuad Red Devils menyamai rekod Nottingham Forest yang memenangi trofi itu dua kali berturut-turut. Forest pernah memenangi kejuaraan itu pada tahun 1989 dan mempertahankannya pada tahun 1990 manakala United pula memenangi piala itu musim lalu dan berjaya mempertahankannya sekali lagi tahun ini. Kekalahan kepada United menyaksikan Villa terus kempunan memenangi kejuaraan selepas kali terakhir menjulang Piala Eropah 25 tahun lalu. Perlawanan akhir malam tadi menyaksikan Villa berjaya mendahului melalui sepakan penalti James Milner diminit ke 5 selepas Gabriel Agbonlahor dikasari Nemanja Vidic. Gol itu nyata menggembirakan penyokong-penyokong lawan dan seolah-olah membayangkan Villa bakal menamatkan kemarau 25 tahun tanpa kejuaraan. Kegembiraan penyokong-penyokong Villa bagaimanapun tidak kekal lama apabila tujuh minit selepas itu Michael Owen berjaya menyamakan kedudukan buat United. Gol berpunca dari kesilapan pertahanan Villa, Richard Dunne yang membiarkan Dimitar Berbatov merampas bola dari kawalannya dan umpanan Berbatov berjaya disudahkan Owen bagi menyamakan kedudukan. Owen bagaimanapun terpaksa dikeluarkan di penghujung babak pertama selepas mengalami kecederaan dan digantikan dengan Wayne Rooney.
http://d.yimg.com/a/p/ap/20100228/capt.4eb73874c597411eb931e011ff1f869b.britain_soccer_league_cup_final_lst143.jpg
Bersambung di babak kedua, gandingan Rooney dan Berbatov sering menghadirkan ancaman kepada Brad Friedel di gawang Villa. Kerja keras Rooney akhirnya berhasil diminit ke 74 apabila penyerang antarabangsa England itu menanduk masuk gol kemenangan hasil hantaran Luis Antonio Valencia dari sebelah kanan. Meskipun cuba memberi tekanan untuk mencari gol penyamaan, anak-anak buah Martin O'Niell gagal menembusi gawang United yang dikawal Tomasz Kuszczak. Sementara itu, Ferguson menganggap tindakan pengadil Phil Dowd yang tidak melayangkan kad merah kepada Vidic kerana mengkasari Agbonlahor sebagai tindakan yang tepat. Walau bagaimanapun tindakan Dowd yang hanya menghadiahkan sepakan penalti mengundang kritikan daripada pengendali Villa, Martin O'Niell. "Saya rasa keputusan pengadil adalah tepat dan kami akhirnya mampu bangkit selepas ketinggalan", kata Ferguson. "Kami tidak beraksi dengan baik diawal permainan dan sedikit leka. Michael Owen menjaringkan gol penting dan penampilannya cukup memukau tetapi sayangnya dia terpaksa dikeluarkan kerana masalah hamstring. Pada awalnya kami tidak berhasrat menurunkan Rooney kerana banyak perlawanan penting yang harus kami lalui selepas ini tetapi kehadirannya memberi semangat buat seluruh pasukan", tambah Ferguson lagi.