16 Jun 2021

PERBEZAAN KARAKTER YANG MELENGKAPKAN PERMAINAN RIO DAN VIDIC

 


Mengimbas kembali pencapaian Manchester United pada musim 2019/20 boleh dikategorikan sebagai musim yang cukup bagus. Berada di tangga ketiga liga dan seterusnya layak secara automatik beraksi di Liga Juara-Juara adalah satu pencapaian yang manis, apatah lagi sepanjang fasa pertama liga berlangsung, tidak banyak harapan yang diletakkan ke atas skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer berikutan isu konsistensi yang dihadapi mereka.

 

Selain dari pencapaian layak ke saingan Liga Juara-Juara, terdapat satu sisi yang sebenarnya menarik untuk anda perhatikan dalam skuad United musim itu. Iaitu jumlah gol yang bolos ke gawang mereka. Untuk rekod, pada musim sebelumnya (2018/19), pintu gol United bolos sebanyak 54 kali, tetapi pada musim 2019/20 angka ini menurun kepada 36 sahaja. Pencapaian ini menyaksikan mereka muncul pasukan ketiga paling kurang dibolosi selepas Liverpool dan Manchester City.

 

Faktor ini sebenarnya dibantu oleh kehadiran Harry Maguire dan Aaron Wan-Bissaka, dua pemain pertahanan yang direkrut Solskjaer bagi meningkatkan kualiti barisan belakang skuadnya. Perpindahan Maguire ke Old Trafford menyaksikan beliau memecah rekod selaku pemain pertahanan termahal dunia yang sebelumnya disandang Virgil Van Dijk. Manakala kualiti Wan-Bissaka dalam situasi satu lawan satu banyak menutup kelompongan di sisi kanan pertahanan United.

 

Maguire dan Victor Lindelof akhirnya menjadi pilihan utama Solskjaer untuk membentuk gandingan selaku duo pertahanan tengah United, manakala Eric Bailly yang pada musim-musim sebelumnya sering menemani Lindelof berperanan selaku pengganti. Tampak seperti Maguire dan Lindelof melengkapi antara satu sama lain meskipun prestasi mereka adakalanya tidak terlepas dari sasaran kritikan oleh penganalisa mahupun para penyokong United sendiri.

 

Jika diukur prestasi Maguire dan Lindelof dalam tempoh dua musim terakhir, kita nampaknya terpaksa menunggu (entah berapa lama) sebelum dapat melihat kembali duo mematikan seperti Rio Ferdinand/Nemanja Vidic `dibangkitkan semula’ bagi mengawal benteng pertahanan United. Dalam hal ini, saya agak tertarik dengan kritikan pedas yang dilemparkan Gabino Rodriguez, individu yang pernah bekerjasama dengan David De Gea dalam skuad U-21 Sepanyol.

 

Menurut Rodriguez, buruknya prestasi benteng pertahanan United antara faktor utama yang mempengaruhi prestasi De Gea musim ini. “Saya percaya, karakter sesebuah pasukan adalah cermin kepada jurulatih mereka. Lihat sahaja United ketika era Sir Alex Ferguson. Mereka langsung tiada belas kasihan. Skuad Ole pula lembik seperti muffin dan David menderita kerana lemahnya pertahanan United”, kata Rodriguez kepada The Sun.

 

Ketibaan Vidic

 

Sebelum Vidic direkrut Sir Alex Ferguson dari Spartak Moscow pada Januari 2006, Rio terlebih dahulu sudah mencipta nama selaku antara tonggak penting United. Ditandatangani Fergie dari Leeds United pada Julai 2002, Rio berjaya membantu United menjulang kejuaraan Liga Perdana pada musim pertamanya di Old Trafford. Sepanjang tempoh empat tahun (dari 2002 hingga 2006), Rio juga berjaya membantu United memenangi Perisai Komuniti (2003) dan Piala Liga (2006).

 

Keputusan Fergie merekrut Vidic memang betul-betul mengejutkan penyokong-penyokong United. Malah saya juga percaya, Rio sendiri mungkin tidak pernah mendengar nama Vidic sebelum rumour yang mengaitkan perpindahan warga Serbia itu ke Old Trafford bertiup kencang. Ada juga laporan yang mengatakan bahawa Rio begitu skeptikal ketika menyaksikan Vidic dalam sesi latihan. Tetapi suka atau tidak, Rio akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa inilah pemain yang bakal digandingkan bersamanya di jantung pertahanan United.

 

“Saya bercakap dengan Rooney tentang dua rekrut baharu yang di bawa masuk (Vidic dan Evra). Secara jujur saya dan Rooney agak hairan mengapa kelab  menandatangani kedua-dua mereka. Dalam sesi latihan, Rooney sering memberikan masalah kepada Vidic. Dia tidak kuat dan kurang agresif. Atau lebih tepatnya, boleh saya katakan bahawa dia memang tidak layak bermain untuk United. Ketika itu saya yakin dia tidak akan kekal lama bersama kelab”, kata Rio kepada Utd Unscripted.

 

Bukan hanya Rio, kerana Vidic sendiripun memang kurang percaya dengan kemampuan beliau untuk bersaing dengan pertahanan tengah United yang lain seperti Wes Brown dan Mikael Silvestre. Di peringkat awal, memang Vidic berdepan masalah untuk beradaptasi dengan gaya permainan United khasnya dan Liga Perdana amnya. Enam bulan pertama adalah tempoh yang sukar buat Vidic tetapi secara perlahan-lahan beliau akhirnya berjaya menyesuaikan diri dengan budaya bolasepak Inggeris.

 

Cabaran sengit dalam sesi latihan ketika berdepan Rooney, Cristiano Ronaldo dan Louis Saha selain kerja kerasnya banyak membantu peningkatan Vidic. “Kami melayan dia dengan agak keras dalam sesi latihan, tetapi dia juga sebenarnya seorang lelaki yang keras. Selepas tamat sesi latihan, dia akan berlatih pula di gimnasium bagi meningkatkan tahap fizikalnya. Dia mempersiapkan dirinya dari segi fizikal dan mental bagi memastikan agar dirinya mampu bersaing dengan kami”, kata Rio.

 

Vidic mengakui bahawa selain memiliki `lawan’ yang bagus dalam sesi latihan, kehadiran Rio yang lebih berpengalaman juga sebenarnya banyak membantu peningkatan beliau. Dan meskipun pada mulanya Rio agak skeptikal dengan kemampuan Vidic, mereka akhirnya menjadi rakan yang akrab. “Karakter kami sangat berbeza, tetapi kami cepat akrab. Perbezaan kami akhirnya membuatkan kami saling melengkapi ketika beraksi di atas padang”, kata Vidic.

 

Karakter Berbeza

 

Musim 2006/07 merupakan musim penuh pertama gandingan Vidic dan Rio selaku duo pertahanan tengah utama United. Meskipun Vidic bergelut pada penampilan setengah musimnya sebelum itu, keampuhan gandingan Rio dan Vidic diakui Sir Alex Ferguson antara faktor penting di sebalik kejayaan United menjulang trofi Liga Perdana mereka buat kali pertama dalam tempoh empat tahun. Tanpa mengetepikan sumbangan pemain lain, Fergie mengakui bahawa benteng pertahanan United musim tersebut jauh lebih solid menerusi kombinasi Rio dan Vidic.

 

Rio dan Vidic memang memiliki karakter permainan berbeza. Rio seorang ball playing defender, pertahanan tengah yang `bergaya’, sangat yakin ketika bola berada di kakinya dan mampu `bermain-main’ dengan mana-mana penyerang lawan. Manakala Vidic seorang pertahanan yang agresif, keras corak permainannya, dominan di udara serta tiada kompromi ketika melakukan terjahan. Jadi tidak hairanlah mengapa mereka berdua diletakkan Didier Drogba selaku tiga pertahanan paling sukar yang pernah beliau hadapi selain Carles Puyol.

 

“Saya selalu mengatakan bahawa Ferdinand dan Vidic sebagai bek yang paling sukar pernah saya hadapi. Saya tidak banyak menjaringkan gol ketika bertemu United, jadi jika saya berjaya melakukannya itu sangat membahagiakan saya. Jika saya berjaya menjaringkan gol ke gawang mereka, itu tandanya yang berada dalam prestasi terbaik. Selain Ferdinand dan Vidic, Carles Puyol juga bek yang paling sukar pernah saya hadapi”, kata Drogba dalam wawancara dengan BT Sport.

 

Kemuncak Pencapaian

 

Musim 2007/08 boleh dianggap antara musim terbaik United dan untuk Rio serta Vidic mereka juga tidak terkecuali selepas bejaya membantu kelab menjulang kejuaraan double (Liga Perdana dan Liga Juara-Juara). Bagaimanapun puncak pencapaian duo pertahanan tengah United ini sebenarnya berlaku pada musim 2008/09. Apakah yang berlaku sepanjang musim 2008/09 selain kejayaan United mempertahankan trofi Liga Perdana buat musim ketiga berturut-turut serta memenangi Perisai Komuniti?

 

Pada musim 2008/09, gawang United tidak dibolosi sepanjang 14 perlawanan berturut-turut atau lebih tepatnya mereka mengharungi 1,311 minit perlawanan tanpa bolos. Catatan ini bukan sahaja merupakan rekod kelab tetapi juga rekod Liga Perdana yang kekal hingga ke hari ini. Sepanjang kempen liga musim tersebut juga, pintu gol United yang dikawal Edwin Van der Sar cuma dibolosi lawan sebanyak 24 kali. Pastinya Van der Sar tidak akan mampu melakukan catatan ini tanpa sosok dua tembok kukuh di hadapan beliau.

 

Penutup

 

Setiap permulaan pasti ada pengakhirannya, begitu jugalah nasib dua tonggak pertahanan tengah penuh karisma ini. Selepas mengharungi tempoh lapan musim selaku duo pertahanan tengah terbaik pernah disaksikan di Old Trafford dan Liga Perdana, gandingan Rio dan Vidic akhirnya berpecah pada 2014. Rio menyertai Queens Park Rangers manakala Vidic pula berhijrah ke Itali dengan menjadikan Inter Milan sebagai cabaran baharu dalam kariernya.

 

Trofi Liga Perdana yang berjaya dimenangi pada musim 2012/13 bukan sahaja tanda perpisahan abadi dari Sir Alex Ferguson sebagai pengurus, tetapi juga sebagai tanda bahawa tugas Rio serta Vidic di benteng pertahanan United turut `selesai’. Prestasi yang semakin menurun disebabkan peningkatan usia serta faktor kecederaan menyaksikan Rio dan Vidic bukan lagi pemain yang sama sepertimana tempoh kemuncak kegemilangan mereka.

 

Pada musim terakhir mereka di Old Trafford, Vidic masih mampu melakukan 25 penampilan untuk United dalam saingan liga, manakala Rio yang tiga tahun lebih tua cuma melakukan 14 penampilan kerana dibatasi masalah kecederaan. Tugas mereka di jantung pertahanan United akhirnya mula diambilalih Chris Smalling, Phil Jones atau Jonny Evans yang jauh lebih muda dan bertenaga. Akhirnya cara terbaik yang boleh dilakukan Rio serta Vidic ialah pergi dan ucapkan selamat tinggal kepada penyokong.

 

Rio dan Vidic adalah antara cebisan yang melengkapkan cerita kegemilangan United. Jika anda menyebut nama Rio, tidak lengkap sekiranya anda tidak menyebut nama Vidic. Akan sentiasa ada perkaitan nama Vidic di dalam diri Rio, dan begitu jugalah sebaliknya. Saat mereka meninggalkan kelab, nama mereka diiktraf sebagai gandingan pertahanan terbaik sepanjang masa United dan juga Liga Perdana. Rio dan Vidic meninggalkan seribu kenangan kepada penyokong United, dan hingga sekarang kita masih menanti bilakah watak sehebat duo pertahanan tengah ini mampu `dijelmakan’ kembali. Glory Glory Manchester United!!!



07 Jun 2021

PERKUATKAN TIGA POSISI INI JIKA UNITED MAHUKAN KEJUARAAN MUSIM DEPAN

 


Sepertimana yang anda tahu, musim ini Manchester United menamatkan saingan liga ditangga kedua. Satu anak tangga lebih baik berbanding pencapaian yang dilakar mereka musim lalu. Jika diukur dari kedudukan dalam carta liga, ini merupakan satu lagi kemajuan yang ditunjukkan barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer selepas dua musim setengah legenda hidup United itu berada di Old Trafford. Mara ke peringkat suku akhir Piala FA, separuh akhir Piala Liga dan final Liga Europa juga bukanlah satu pencapaian yang terlalu buruk.

 

Bagaimanapun United tidak boleh sekadar berpuashati dengan pencapaian silam kerana musim depan penyokong-penyokong tentunya meletakkan sasaran lebih tinggi yang harus dicapai oleh skuad The Red Devils. Trofi pertama, itulah sasaran yang perlu dicapai Solskjaer dalam usaha beliau menamatkan kemarau kejuaraan yang sudah berpanjangan selama empat musim di Old Trafford. Untuk melakukannya Solskjaer perlu melakukan penambahbaikan dalam skuadnya dengan membawa masuk pemain-pemain baharu.

 

Pertahanan Tengah

 

Bagi merealisasikan impian menjulang sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim depan, United perlu memperbaiki kelemahan mereka di beberapa posisi. Paling ketara membabitkan benteng pertahanan, tengah dan hadapan. Musim panas ini, penyokong mahu melihat Solskjaer membawa masuk seorang pertahanan tengah baharu untuk digandingkan bersama Harry Maguire. Untuk posisi ini (pertahanan tengah), sudah ada beberapa nama yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford.

 

Jules Kounde, Pau Torres dan Raphael Varane antara pertahanan tengah yang hangat di gosipkan dengan minat United terhadap mereka. Kecederaan yang dialami Maguire penghujung musim ini memperlihatkan kepada kita betapa pentingnya untuk United mendapatkan seorang pertahanan tengah pada jendela perpindahan musim panas nanti. Percayalah, Solskjaer tidak akan mampu merealisasikan impian beliau untuk menjulang trofi pertamanya sebagai pengurus United dengan set pertahanan tengah yang beliau miliki sekarang.

 

Pemain Tengah Bertahan

 

Selama beberapa musim terakhir, United memiliki beberapa opsyen untuk mereka gunakan dalam posisi ini (pemain tengah bertahan). Fred, Scott McTominay dan Nemanja Matic adalah diantaranya. Ketiga-tiga mereka secara bergilir-gilir kerap digunakan Solskjaer sepanjang musim ini untuk beroperasi di posisi tersebut. Secara peribadi saya berpendapat Fred merupakan seorang interceptor terbaik dalam skuad United, tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa beliau bukanlah seorang passer yang bagus.

 

Tiada pertikaian tentang potensi McTominay kerana pada usia 24 tahun, beliau antara pemain regular dalam kesebelasan United menerusi 31 penampilan yang dilakukannya musim ini. Bagaimanapun United sebenarnya perlukan seorang pemain tengah bertahan yang mampu berperanan sebagai `water carriers’ dalam dalam skuad mereka. United pernah memiliki type pertahanan tengah seperti ini dalam diri Michael Carrick. Pemain yang bukan sahaja mampu melindungi empat rakan di barisan belakang tetapi juga memiliki kualiti hantaran yang sangat bagus.

 

Di luar sana ada beberapa `water carriers’ yang boleh dipertimbangkan bagi menguatkan jentera tengah United. Eduardo Camavinga begitu menyerlah bersama Rennes, Denis Zakaria merupakan tonggak Borussia Monchengladbach, Boubakary Soumare berjaya memecah dominasi Paris St Germain apabila berjaya membantu Lille menjuarai Ligue 1 musim ini pada usia beliau yang baharu mencecah 22 tahun, manakala Franck Kessie pula yang sudah melakukan 174 penampilan bersama AC Milan akan tamat kontraknya pada musim panas tahun hadapan.

 

Bagaimanapun untuk mengisi posisi ini, saya lebih tertarik dengan potensi kelab untuk `mendaratkan’ Declan Rice ke Old Trafford. Faktor paling utama ialah kemampuan pemain berusia 22 tahun ini yang sudah terbukti di Liga Perdana berbanding jika United cuba mendapatkan pemain baharu di luar England. Bagaimanapun halangan paling besar perlu dihadapi United ialah tanda harga yang diletakkan West Ham ke atas pemain ini. £80 juta adalah jumlah yang agak `tidak masuk akal’ dan perlu dipertimbangkan jika Solskjaer mahukan khidmat Rice dalam skuadnya musim depan.

 

Penyerang Sayap

 

Mengandaikan bahawa United tidak akan menandatangani sebarang penyerang tengah baharu musim depan selepas mereka melanjutkan kontrak Edinson Cavani selama semusim lagi, anda mungkin boleh mengharapkan agar saga perpindahan Jadon Sancho ke Old Trafford mampu direalisasikan. United memang memerlukan tambahan kekuatan di sisi kanan barisan hadapan mereka, jadi Sancho adalah pilihan yang sangat crucial.

 

Tiga musim terakhir di Signal Iduna Park, Sancho muncul antara tonggak penting di barisan hadapan Borussia Dortmund. Musim ini pula, lapan gol yang dijaringkannya dalam saingan liga meletakkan Sancho bersama Marco Reus muncul penjaring gol kedua terbanyak Dortmund di belakang Erling Haaland. Jika Haaland muncul penjaring terbanyak Dortmund, Sancho pula merupakan penyumbang bantuan gol utama menerusi 11 assist  yang diciptanya.

 

Musim panas kali ini adalah detik yang tepat buat United jika mereka mahukan Sancho selepas berdepan kegagalan mendapatkan khidmat pemain antarabangsa England itu tahun lalu. Berbanding musim lalu, Dortmund juga kelihatan seperti tidak lagi meletakkan Sancho sebagai prioriti utama yang mereka akan pertahankan di Signal Iduna Park. Situasinya sekarang sudah berbeza kerana Dortmund kini lebih lunak dan sedia mendengar tawaran dari mana-mana kelab untuk mendapatkan khidmat bintang mereka itu.

 

Penutup

 

Secara peribadi, perkara pertama yang ingin saya lihat ialah ada pertahanan tengah baharu yang dibawa masuk untuk digandingkan bersama Harry Maguire. Kerana masalah utama yang dihadapi United musim ini ialah kualiti benteng pertahanan mereka terutamanya membabitkan posisi pertahanan tengah. Dapatkan Raphael Varane, Pau Torres, Jules Kounde, Kalidou Koulibaly atau sesiapa sahaja kerana Maguire perlukan rakan gandingan setaraf yang mampu menjadikan benteng pertahanan United lebih ampuh.

 

Prioriti kedua pula ialah cuba dapatkan seorang pemain yang boleh memainkan peranan sebagai `water carriers’ di bahagian tengah, manakala kehadiran Jadon Sancho mampu menawarkan lebih variasi kepada bentuk serangan United. Apa yang saya bayangkan musim depan ialah barisan pertahanan United akan diterajui Harry Maguire serta rakan gandingan baharu beliau di posisi pertahanan tengah. Manakala Luke Shaw dan Aaron Wan-Bissaka di sisi kanan dan kiri.

 

Di bahagian tengah pula jika Paul Pogba masih kekal bersama kelab, beliau akan bergandingan bersama Declan Rice manakala Bruno Fernandes kekal dengan peranannya selaku pemain nombor 10. Sisi kanan dan kiri barisan hadapan akan diisi Jadon Sancho serta Marcus Rashford dengan Edinson Cavani bertindak selaku penyerang tengah. Semoga bursa perpindahan musim panas tahun ini tidak berlaku `kekacauan’, dan Solskjaer mampu mendapatkan pemain-pemain yang beliau inginkan menerusi sokongan John Murtough dan Darren Fletcher selaku DoF dan Pengarah Teknikal. Glory Glory Manchester United!!!


03 Jun 2021

EMPAT PERKARA MENARIK YANG BERLAKU DALAM KEMPEN UNITED SEPANJANG MUSIM 2020/21

 



23 Mei lalu, saingan musim 2020/21 secara rasmi melabuhkan tirainya. Ini juga bermakna Manchester United sudah mengharungi empat musim terakhir mereka tanpa sebarang kejuaraan sejak kejayaan barisan  kendalian Jose Mourinho menjulang kejuaraan Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa pada musim 2016/17. Kesempatan terbaik untuk United menjulang trofi pertama di era Ole Gunnar Solskjaer bagaimanapun gagal selepas mereka tewas kepada Villareal di pentas final Liga Europa menerusi penentuan sepakan penalti.

 

Antara indikator utama bagi seorang pengurus ialah kejuaraan. Dan meskipun musim ini Solskjaer gagal mengemudi United memenangi sebarang kejuaraan pada musim penuh kedua beliau di Old Trafford, kita juga sebenarnya perlu mengakui ada beberapa catatan positif yang diraih kelab di bawah kendalian beliau. Melihat kepada situasi kelab, percayalah bahawa The Red Devils sedang berada di landasan yang betul dalam proses untuk mereka kembali menjadi pencabar digeruni di bawah regim Solskjaer.

 

Pencapaian Domestik Dan Eropah

 

Musim ini United menamatkan saingan liga di tangga kedua. Jika mahu dibandingkan dengan kedudukan yang diraih mereka musim lalu, ini merupakan satu pencapaian yang boleh dianggap positif. Hanya juara yang akan dikenang sampai bila-bila, tetapi bagi United, posisi mereka di belakang Manchester City musim ini tetap satu indikasi bahawa ada kemajuan yang ditunjukkan oleh barisan kendalian Solskjaer berbanding pencapaian mereka musim lalu (di tangga ketiga).

 

Perjalanan United dalam saingan liga musim ini juga sebenarnya sangat menarik untuk anda perhatikan. Musim lalu United mengharungi sebahagian besar saingan liga mereka dengan berada di kelompok pertengahan, sebelum secara perlahan-lahan mula mendaki ke posisi empat teratas. Bagaimana pula dengan musim ini? Musim ini, United sudah mula menunjukkan bahawa mereka antara pencabar serius kejuaraan liga menerusi keupayaan mereka bersaing di kelompok empat teratas, malah mereka juga sempat memimpin carta liga selama dua minggu.

 

Dalam kejohanan kalah mati piala domestik pula, United mengulangi pencapaian musim lalu dengan mara ke peringkat separuh akhir Piala Liga sebelum disingkirkan Manchester City. Manakala perjalanan mereka dalam kejohanan Piala FA pula dihentikan Leicester City di peringkat suku akhir. Jangan lupakan fakta bahawa dua pasukan (City dan Leicester) yang menyingkirkan United di kejohanan piala domestik musim ini merupakan juara Piala Liga dan Piala FA.

 

Di pentas Eropah pula, United gagal mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selepas mereka menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga. Akhirnya saingan Liga Europa menawarkan peluang untuk mereka mara sekali lagi ke pentas final buat kali kedua dalam tempoh empat tahun. Bagaimanapun bumi Gdansk, Poland rupa-rupanya tidak cukup bertuah buat The Red Devils dan menjadi saksi kegagalan mereka menjulang trofi pertama di era Solskjaer selepas tewas kepada Villareal menerusi penentuan sepakan penalti.

 

Statistik Di Liga Perdana

 

Seperti yang anda tahu, United menamatkan saingan liga musim ini di posisi kedua. Atau lebih tepatnya, satu anak tangga lebih baik dari pencapaian yang dilakar mereka musim lalu. Sudah tentu kejayaan ini sebenarnya turut dibantu menerusi jumlah kemenangan yang diperolehi dan gol yang berjaya mereka jaringkan ke gawang lawan. Musim ini, United meraih 21 kemenangan dalam saingan liga, catatan yang lebih baik berbanding dua musim sebelumnya.

 

Jika diambil kira jumlah kemenangan yang diraih United dalam saingan liga musim ini, catatan skuad United pada musim 2017/18 yang ketika itu di bawah kendalian Jose Mourinho sebenarnya lebih unggul. United ketika itu menamatkan saingan liga di tangga kedua, menerusi 25 kemenangan, enam keputusan seri dan tujuh kekalahan. Meskipun begitu, tetap ada aspek yang menyaksikan catatan dilakukan skuad Solskjaer musim ini lebih unggul berbanding skuad 2017/18 kendalian Mourinho.

 

Aspek yang saya maksudkan ialah produktiviti barisan serangan United dalam menyudahkan peluang ketika berada di hadapan gawang lawan. Untuk rekod, sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013, United tidak pernah menjaringkan lebih 70 gol semusim dalam saingan liga. Sebelum ini, catatan terbaik mereka ialah 68 gol yang dilakukan pada musim 2017/18. Dalam saingan liga musim ini, United menjaringkan 73 gol, manakala secara keseluruhannya pula mereka menjaringkan 120 gol dalam semua peringkat kejohanan.

 

Penampilan Di Gelanggang Lawan

 

Aspek paling menarik yang dapat anda lihat dalam sisi United musim ini ialah rekod tanpa kalah mereka ketika beraksi di gelanggang lawan dalam saingan liga. Dari 19 penampilan mereka di gelanggang lawan, United menang 12 perlawanan dan seri tujuh kali. Apa yang agak menariknya, United juga menamatkan saingan liga musim ini menerusi kemenangan yang dilakar mereka ke atas Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux menerusi barisan pemain muda yang diturunkan Solskjaer.

 

Catatan ini menyaksikan United muncul pasukan ketiga yang berjaya mengharungi saingan liga tanpa kalah ketika beraksi di gelanggang lawan. Untuk rekod, Preston North End muncul pasukan pertama melakukannya pada musim 1888/1889, manakala Arsenal pula pada musim 2001/02 dan 2003/04. Agak malang, catatan positif ini tidak diimbangi mereka ketika beraksi di gelanggang sendiri yang menyaksikan United tewas enam kali dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford.

 

Faktor Cavani

 

Bruno Fernandes masih terus memukau menerusi peranan penting yang dimainkan beliau dalam menggerakan jentera tengah United. Bagaimanapun pemain yang paling mencuri tumpuan saya musim ini ialah Edinson Cavani. Pada awalnya kedatangan Cavani dilabel sebagai `pembelian panik’, berdasarkan faktor umur dan rekod kecederaan yang dialami beliau. Atas sebab itu jugalah mengapa Paris St Germain tidak berminat mengekalkan penggempur antarabangsa Uruguay ini di Parc des Princes.

 

Tanda-tanda bahawa Cavani bakal bergelut dalam usaha beliau menyesuaikan diri dengan budaya bolasepak Inggeris sudah terlihat sejak awal lagi. Tatkala Anthony Martial masih menjadi sandaran Solskjaer sebagai pemburu gol, kesempatan untuk Cavani beraksi hanya hadir pada perlawanan liga kelima United. Aksi menentang Chelsea di Stamford Bridge pada 24 Oktober 2020, merupakan penampilan pertama Cavani untuk United. Ketika itu beliau masuk menggantikan Daniel James di minit ke-58.

 

United tewas pada penampilan kedua Cavani dalam aksi menentang Arsenal di Old Trafford, tetapi El Matador tidak menunggu lama untuk melaungkan amaran bahawa beliau masih penggempur berbisa menerusi gol yang diledaknya ke gawang Everton. Gol itu merupakan gol pertama Cavani untuk United, dan gol itu juga saya anggap sangat penting bagi meningkatkan keyakinan serta motivasi beliau. Apatah lagi Cavani sendiri memikul beban selaku penerus legasi penyarung jersi nombor 7 United yang sangat ikonik itu.

 

Gol ke gawang Everton itu bukanlah pertama dan terakhir yang dihasilkan Cavani kerana sepanjang musim ini, beliau menjaringkan 10 gol dari 26 penampilan beliau untuk United dalam saingan liga. Secara keseluruhannya pula, beliau menjaringkan 17 gol dari 39 penampilan untuk United dalam semua peringkat kejohanan. Apa yang menariknya, lima dari sepuluh gol dihasilkan Cavani di Liga Perdana dilakukan beliau ketika masuk sebagai pemain gantian.

 

Keseluruhan 17 gol yang dijaringkan Cavani musim ini meletakkan beliau selaku penjaring gol ketiga terbanyak United di belakang Bruno Fernandes dan Marcus Rashford. Ketika kelibatnya mula didambakan penyokong menerusi menerusi naluri pembunuh dan ketajamannya dalam menyudahkan peluang, United akhirnya berjaya memujuk bekas penyerang Palermo itu untuk kekal semusim lagi di Old Trafford. Sama ada United berjaya mendapatkan seorang penyerang baharu musim panas nanti, saya percaya Cavani bakal memainkan peranan penting di barisan hadapan United musim depan.

 

Penutup

 

Ramai penyokong United yang kecewa selepas kelab gagal memenangi sebarang kejuaraan musim ini. Empat musim tanpa sebarang kejuaraan bukanlah situasi yang baik untuk kelab besar seperti United, tetapi saya percaya mereka sedang dalam proses yang betul untuk muncul pasukan yang lebih kuat dan mampu mencabar mana-mana kejuaraan musim depan.

 

Sangat menarik untuk melihat adakah kegagalan menjulang kejuaraan musim ini bakal menjadikan United sebuah kesebelasan yang lebih laparkan kejuaraan musim depan? Dengan perubahan kepada tampuk pengurusan kelab menerusi perlantikan John Murtough selaku Director of Football dan Darren Fletcher selaku Pengarah Teknikal, Solskjaer bakal menerima sokongan lebih padu pada jendela perpindahan pemain musim panas nanti.

 

Tugas Solskjaer selepas ini ialah meminta pihak pengurusan kelab mendapatkan tiga atau empat pemain yang beliau mahukan bagi memperkuatkan skuadnya. Solskjaer perlukan pemain yang ideal dengan taktikal dan strategi permainan beliau, jadi sangat menarik untuk melihat siapakah pemain baharu yang bakal beliau bawa masuk nanti. Musim depan ialah musim `wajib menang trofi’, dan dengan peningkatan berterusan yang sudah ditunjukkan kelab, musim depan adalah musim terbaik buat Solskjaer memenangi kejuaraan pertamanya selaku pengurus United. “Trust the process”…Glory Glory Manchester United!!!