Menjelang pertembungan Arsenal dan Manchester United esok, ada khabar gembira buat skuad kendalian Sir Alex Ferguson apabila penyerang, Dimitar Berbatov dan pemain tengah, Darren Fletcher disahkan cergas untuk disenaraikan dalam perlawanan ini. Dengan perkhabaran bahawa bintang veteran, Ryan Giggs bakal direhatkan oleh Ferguson, kehadiran semula Fletcher memang tepat pada waktunya. Fletcher yang diketepikan sejak dua bulan lalu kerana serangan virus kini kembali cergas dan dijangka akan diturunkan dalam saingan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Schalke 04 nanti. Bagi Berbatov pula yang terpaksa diketepikan dalam tiga perlawanan terakhir United kerana kecederaan pangkal paha, kini sudah sedia tampil di The Emirates nanti. Ferguson dijangka melakukan rombakan ke atas skuad yang menang di Gelsenkirchen kelmarin memandangkan jadual padat yang terpaksa diharungi mereka minggu hadapan. United akan menanti kunjungan Schalke 04 dalam perlawanan peringkat kedua, separuh akhir Liga Juara-Juara 5 Mei ini dan pencabar kejuaraan Chelsea di Old Trafford tiga hari kemudian. "Berbatov berlatih dengan baik sepanjang minggu ini. Kami memiliki skuad yang kuat dan saya boleh melakukan beberapa perubahan untuk hari minggu. Saya juga boleh melakukan beberapa perubahan pada hari Rabu nanti", kata Ferguson.
30 April 2011
29 April 2011
EVRA: ARSENAL IBARAT HARIMAU TERLUKA
Selepas berjaya mengatasi cabaran Schalke 04, dalam perlawanan peringkat pertama, separuh akhir Liga Juara-Juara kelmarin, Manchester United kini kembali memberikan tumpuan mereka pada saingan domestik pula. Hujung minggu ini, skuad kendalian Sir Alex Ferguson akan berhadapan cabaran getir dalam usaha mereka memenangi trofi ke-19 Liga Perdana Inggeris apabila dijadualkan bertemu Arsenal di gelanggang lawan. Pemain pertahanan United, Patrice Evra berpendapat walaupun Arsenal tampak sudah terkeluar dari saingan merebut kejuaraan, namun kemampuan skuad The Gunners itu tidak boleh dipandang ringan. Evra menggesa rakan-rakan sepasukannya agar berwaspada menghadapi ancaman lawan yang diibaratkan seperti harimau terluka. "Mereka semua pasti ingin menunjukkan bahawa mereka masih berpeluang mencabar kejuaraa liga", kata Evra. Rekod United di Stadium Emirates begitu cemerlang apabila mereka hanya tewas dua dari lapan pertemuan, namun perkara menurut Evra bukanlah satu kelebihan buat pasukannya. "Secara statistik, rekod kami menentang Arsenal cukup baik, namun perkara itu boleh berubah dengan sekelip mata". Pertemuan ini menjadi detik penentu buat anak-anak buah Arsene Wenger dalam usaha menghidupkan peluang mereka bersaing dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana musim ini. Sebarang keputusan selain dari kemenangan akan menutup terus peluang Arsenal mengakhiri kemarau enam musim mereka tanpa kejuaraan Bagi United pula mereka perlu sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dalam pertemua minggu ini dan menentang Chelsea minggu hadapan untuk merealisasikan impian kejuaraan ke-19 mereka.
25 April 2011
FERGUSON INGAINKAN MADRID DI FINAL
Perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara antara Manchester United dan Schalke 04 belum berlangsung tetapi Sir Alex Ferguson telah memasang impian melihat pasukannya bertemu Real Madrid di perlawanan akhir. Ferguson nampaknya sudah tidak sabar menanti perlawanan akhir yang akan diadakan di Stadium Wembley dan calon lawan yang diinginkannya ialah Real Madrid. Menurut Ferguson, Barcelona adalah pasukan pilihan menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara musim ini tetapi Madrid tetap memiliki potensi mengakhiri rekod buruk empat tahun mereka dalam saingan tertinggi kelab-kelab Eropah ini. "Sejak peringkat undian lagi saya yakin Madrid mempunyai peluang yang besar. Kekalahan 0-5 kepada Barcelona memang sangat melukakan Mourinho dan saya percaya beliau tidak mahu menderita kekalahan lagi di tangan Barcelona", kata Ferguson. Selepas merehatkan beberapa pemain utamanya dalam saingan liga minggu lalu, Ferguson pastinya akan menurunkan barisan terkuatnya di Veltins Arena awal pagi Rabu nanti. Patrice Evra, Nemanja Vidic, Michael Carrick dan Park Ji Sung akan kembali semula kedalam skuad yang akan di bawa Ferguson ke Jerman. Sementara itu jurulatih Schalke 02, Ralf Rangnick akan menurunkan skuad berbeza ketika melayan kunjungan United nanti. Selepas agak kecewa dengan prestasi pasukannya ketika mereka tewas kepada Kaiserslautern di gelanggang sendiri, Rangnick tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkan skuad yang sama ketika menentang United nanti.
FERGUSON GEMBIRA PRESTASI HERNANDEZ
Sir Alex Ferguson telah melakukan pelaburan paling menguntungkan apabila membawa masuk penyerang muda Mexico, Javier Hernandez ke Old Trafford musim panas lalu. Hernandez membuktikan kualiti yang ada padanya pada musim pertama bersama United selepas mengumpul 12 gol dalam saingan liga setakat ini. Hujung minggu lalu, Hernandez sekali lagi membuktikan betapa pelaburan ke atasnya adalah satu tindakan bijak apabila jaringan tunggalnya ke atas Everton memberikan kemenangan berharga buat United di gelanggang sendiri. Ketika barisan serangan United tampak buntu cuba memecah benteng kental Everton, Hernandez bijak menanduk masuk bola hantaran Antonio Valencia sekaligus memberikan tiga mata berharga buat skuad Red Devils. Gol jaringan Hernandez di minit ke-83 itu membuka peluang yang cukup luas buat United mencipta rekod memenangi kejuaran liga ke-19 mereka. Dengan saingan liga musim ini berbaki empat perlawanan, United mempunyai kelebihan enam mata berbanding Chelsea yang menduduki tempat kedua dan sembilan mata mengatasi Arsenal di tangga ketiga liga.
"Javier telah melepasi jangkaan awal kami", puji Ferguson. Menurut Ferguson, penyerang mudanya itu akan terus berkembang menjadi pemain yang lebih baik selepas mula memahami corak permainan di Liga Perdana Inggeris. "Kami fikir disebabkan ini adalah musim pertamanya, dia akan mula menyesuaikan diri dengan saingan Liga Perdana Inggeris dan akan terus berkembang menjadi pemain yang lebih baik", tambah Ferguson. Disiplin yang ditunjukkan Hernandez dikatakan menjadi penyebab mengapa penyerang itu cepat menyesuaikan diri dengan pasukan barunya itu selepas berhijrah dari kelab Guadalajara. "Dia telah melalui semua ujian. Dia menjadi pemain pertama yang datang dan pemain yang terakhir pulang pada setiap sesi latihan. Dia adalah pemain yang cukup berdedikasi". Sementara itu, Hernandez gembira dengan gol tunggal jaringannya itu sekaligus memastikan kedudukan United di tangga teratas semakin kukuh. "United memang mempunyai sejarah menjaringkan gol seperti itu. Kami boleh menghasilkan gol di minit awal permainan dah boleh juga menghasilkan gol di penghujung permainan", kata Hernandez.
23 April 2011
FERGUSON: ARSENAL BUKAN ANCAMAN
Menjelang pertembungan Liga Perdana Inggeris malam ini, Sir Alex Ferguson sempat melontar cabaran buat pesaing mereka, Arsenal. Meskipun pasukannya bakal berhadapan Everton di gelanggang sendiri malam nanti, Ferguson sebaliknya memilih melancarkan serangan terbaru ke atas skuad Arsene Wenger biarpun mereka hanya akan bertembung pada minggu hadapan. Ferguson memberitahu media bahawa beliau tidak begitu gusar dengan cabaran Arsenal dalam perlumbaan perebutan kejuaraan liga sebaliknya mula mengalihkan fokus kepada pasukan yang berada di belakang mereka iaitu Chelsea. Arsenal dan Chelsea kini terikat 74 mata, enam mata di belakang United namun kebangkitan semula skuad kendalian Carlo Ancelotti itu kini mula membimbangkan Ferguson. "Beberapa minggu lalu saya sudah mengatakan tetapi samada anda menyedarinya atau tidak bahawa ancaman utama kami adalah Chelsea". "Sekarang mereka sudah mengatasi Arsenal, Chelsea pasukan yang berpengalaman berbanding Arsenal. Mereka merupakan pasukan yang lebih kuat". "Chelsea mempunyai jadual perlawanan yang lebih mudah namun mereka perlu bermain di Old Trafford, jadi itu bukanlah tugas yang mudah buat mereka". Skuad kendalian Ferguson membawa misi mengutip tiga mata penuh ketika menanti kunjungan Everton di Old Trafford malam ini bagi mencerahkan peluang mereka menjulang kejuaraan ke-19 Liga Perdana Inggeris. Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan ialah pada 11 September tahun lalu di mana kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam perlawanan liga yang diadakan di Goodison Park. Tumpuan perlawanan pada malam ini juga pastinya terarah kepada bintang muda Everton, Jack Rodwell yang dikatakan menarik minat Ferguson untuk di bawa ke Old Trafford musim panas nanti. "Jika kami menang, kami akan mempunyai baki empat perlawanan dan mempunyai kelebihan enam mata, itulah yang kami mahukan".
20 April 2011
FERGUSON: KAMI SEPATUTNYA DIHADIAHKAN PENALTI
Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson mengakui kurang berpuashati dengan keputusan seri 0-0 yang dicapai pasukannya di St James Park awal pagi tadi. United akhirnya hanya mampu meraih satu mata selepas dipaksa bekerja keras oleh Newcastle United yang memberi tentangan sengit sepanjang permainan. Walaupun menguasai perlawanan, jentera serangan United yang diketuai Wayne Rooney dan Javier Hernandez gagal menembusi gawang tuan rumah. United bagaimanapun dinafikan sepakan penalti selepas Hernandez dikasari Danny Simpson di dalam kotak penalti namun pengadil Lee Probert sebaliknya melayangkan kad kuning kepada penyerang muda Mexico itu kerana dikatakan sengaja menjatuhkan badan. Menyentuh hal tersebut, Ferguson mengulas, "Sangat jelas itu adalah penalti. Pengadil mengadili perlawanan dengan baik tapi dia melakukan kesilapan dengan melayangkan kad kuning kepada Hernandez". Keputusan seri ini menyaksikan persaingan merebut kejuaraan liga kembali terbuka dengan Arsenal di tangga kedua dan Chelsea yang berada di tangga ketiga masih berpeluang memintas United. Anak-anak buah Arsene Wenger akan berhadapan dengan Tottenham Hotspurs di White Hart Lane dan Chelsea pula menanti kunjungan Birmingham di Stamford Bridge awal pagi esok. Jika kedua-dua pasukan menang, Arsenal akan merapatkan kedudukan kepada empat mata manakala Chelsea pula enam mata di belakang United. "Pada situasi sekarang, anda harus berfikiran positif kerana kami berada pada kedudukan yang bagus berbanding musim lalu pada peringkat ini", kata Ferguson.
19 April 2011
VIDIC: LUPAKAN KEKECEWAAN SAINGAN PIALA FA
Misi Manchester United memenangi kejuaraan treble sudah berakhir selepas mereka disingkir oleh Manchester City di peringkat separuh akhir Piala FA hujung minggu lalu. Kekecewaan itu bagaimanapun tidak mempengaruhi kapten pasukan, Nemanja Vidic yang mahukan agar rakan sepasukan segera menumpukan perhatian mereka kepada saingan liga. United akan menentang Newcastle United di St James Park awal pagi esok dalam misi mereka merampas kejuaraan Liga Perdana dari Chelsea sekaligus memenangi kejuaran buat kali ke-19. Vidic mengakui sedikit kecewa dengan kekalahan di peringkat separuh akhir itu namun beliau menegaskan bahawa pasukannya masih mempunyai dua lagi kejuaraan untuk dimenangi. Selain berpeluang cerah memenangi trofi Liga Perdana, United juga sudah berada di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara dan bakal berdepan dengan kelab Jerman, Schalke 04 pada 27 April ini. "Ketika ini kami memang masih memikirkan kekalahan kelmarin. Tapi kami juga masih mempunyai dua peluang untuk memenangi sesuatu musim ini dan kami harus berusaha untuk meraihnya", kata Vidic. "Kami hanya perlu memikirkan perlawanan berikutnya menentang Newcastle United, terutamanya selepas disingkirkan City di separuh akhir". United ketika ini berada di tangga teratas, enam mata di hadapan kelab di tangga kedua Arsenal. Vidic menegaskan kunjungan United ke St James Park merupakan perlawanan yang cukup penting dari baki enam perlawanan mereka. "Ini akan menjadi perlawanan yang penting bagi kami. Kami masih mempunyai banyak perlawanan yang harus diharungi dan perlu bermain dengan baik untuk memenangi baki perlawanan seterusnya".
17 April 2011
FERGUSON: KAMI KURANG KONSENTRASI
Harapan Manchester United untuk mengulangi pencapaian treble 1999 mereka akhirnya musnah selepas tewas kepada jiran setempat, Manchester City dalam perlawanan separuh akhir Piala FA awal pagi tadi. Tewas 0-1 kepada City bermakna, United kini harus fokus kepada dua lagi kejuaraan iaitu Liga Juara-Juara dan trofi Liga Perdana yang perlu mereka menangi selepas ini. Menurut Ferguson kesilapan 15 minit pertama di babak kedua permainan akhirnya menghukum pasukannya dalam aksi derby kali ini. "Saya kira 15 minit pertama di babak kedua yang menghukum kami, kami kurang konsentrasi", kata Ferguson. "Van der Sar melakukan kesilapan ketika mengeluarkan bola yang gagal dikuasai Carrick. Kesilapan itu akhirnya dihukum". Selepas gol oleh Yaya Toure itu, perlawanan tiba-tiba dikuasai City yang kerap melakukan serangan balas tapi Ferguson nampaknya cukup menyesali dua peluang gol yang gagal disempurnakan Dimitar Berbatov di babak pertama. "Peluang pertama Berbatov dinafikan oleh aksi hebat penjaga gol mereka, namun peluang kedua seharusnya menghasilkan gol", kata Ferguson lagi. Misi United untuk mencari gol penyamaan bertambah sukar selepas Paul Scholes diperintah keluar padang kerana terjahan kerasnya ke atas Pablo Zabaleta di pertengahan babak kedua. "Kad merah yang diterima Scholes tidak menamatkan impian kami kerana kami masih bermain dengan baik selepas itu". Walaupun tewas, pada keseluruhannya Ferguson ternyata berpuashati dengan apa yang ditampilkan pasukannya dalam perlawanan itu. "Pada keseluruhannya saya kira kami agak gopoh ketika menangani serangan balas mereka".
16 April 2011
SEPARUH AKHIR PIALA FA: CITY BUKAN PENCABAR KAMI
Bintang veteran Manchester United, Paul Scholes menghangatkan pertembungan dua musuh setempat di peringkat separuh akhir Piala FA apabila melabelkan jiran mereka, Manchester City bukanlah pasukan yang layak digelar sebagai pencabar utama The Red Devils. Pertembungan derby United-City ini mungkin menjadi perlawanan terakhir Manchester buat bintang tengah itu. United dan City dijadualkan bertembung awal pagi esok di Stadium Wembley untuk satu tiket ke perlawanan akhir kejohanan kalah mati tertua di dunia itu. Meskipun sedar bahawa United tidak boleh selama-lamanya mengekang cabaran jiran mereka itu, Scholes berjanji akan bermati-matian menafikan hajat besar City menamatkan kemarau kejuaraan mereka dengan cara menyingkirkan United dalam perlawanan ini. Menurut Scholes, selagi City kemarau trofi kejuaraan, skuad bimbingan Roberto Mancini yang berbelanja besar itu bukanlah ancaman serius buat pasukannya.
"Apabila mereka menduduki tempat keempat atau kelima saya fikir mereka tidak boleh diletakkan sebagai ancaman utama. Buat masa ini, hanya Chelsea dan Arsenal saja ancaman utama kami", kata Scholes. "Adakah mereka ancaman, mungkin?. Dengan kuasa wang yang mereka miliki, mereka telah menghabiskan banyak wang dengan membeli pemain dan sedikit meningkat. Kami mungkin perlu berhati-hati di masa hadapan". Sementara itu City akan turun dalam perlawanan ini tanpa khidmat kapten mereka, Carlos Tevez yang mengalami kecederaan manakala United pula kehilangan khidmat Wayne Rooney yang digantung perlawanan. Mario Balotelli bakal memikul tugas Tevez dalam usaha mencari gol buat pasukannya manakala Javier Hernandez dan Dimitar Berbatov mungkin digunakan Ferguson sebagai penyerang kembar dalam perlawanan ini. Bos City, Roberto Mancini pula melihat pemenang perlawanan ini bakal berpeluang cerah memenangi kejuaraan Piala FA musim ini.
14 April 2011
JARINGAN HERNANDEZ & PARK BAWA UNITED KE SEPARUH AKHIR
Manchester United melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali keempat dalam tempoh lima tahun selepas mengenepikan cabaran Chelsea di Old Trafford semalam. Kejayaan menundukkan anak-anak buah Carlo Ancelotti dengan jaringan 2-1 di gelanggang sendiri mengulangi pencapaian kemenangan mereka di Stamford Bridge minggu lalu apabila anak-anak buah Sir Alex Ferguson merakamkan kemenangan 1-0. Kemenangan dengan agregat 3-1 itu mengesahkan tempat ke separuh akhir buat United yang bakal berdepan kelab dari Jerman, Schalke 04. Javier Hernandez dan Park Ji-Sung muncul wira apabila masing-masing menyumbangkan satu gol walaupun pemain gantian Chelsea, Didier Drogba menjaringkan gol penyamaan selepas skuad The Blues itu bermain dengan 10 pemain. Hernandez membuka tirai jaringan buat United apabila berjaya menyempurnakan hantaran silang Ryan Giggs diminit ke 24. Gol itu melebarkan agregat kepada 2-0 dan usaha Chelsea untuk menghalang United mara ke separuh akhir tampak menuju titik noktah. Tugas Chelsea bertambah sukar di separuh masa kedua selepas menyaksikan mereka kehilangan khidmat pemain tengah Brazil, Ramires yang diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua.
Pemain gantian, Didier Drogba menghidupkan semula harapan Chelsea melalui gol penyamaan diminit ke 77 namun kegembiraan itu tidak kekal lama apabila Park Ji-Sung meletakkan United kembali di depan tidak sampai seminit kemudian. Kekalahan ini menyaksikan Chelsea hampir pasti menamatkan musim ini tanpa sebarang piala dan nasib pengendali Itali itu tampak berada dalam situasi bahaya. Walaupun dikritik kerana menurunkan penyerang berharga 50 juta Pound Fernando Torres yang gagal menjaringkan sebarang gol sejak berhijrah dari Liverpool, Ancelotti tetap mempertahankan keputusannya itu. Menurut Ancelotti keputusannya menurunkan Torres diambil selepas dia berfikir panjang dan mengambilkira strategi yang digunakan dalam perlawanan itu. Sementara itu Ferguson melahirkan pujian ke atas bintang veterannya yang mencipta kedua-dua gol itu. "Beliau memang luar biasa, pemain dan individu yang unik. Sumbangannya penting kerana gol yang diciptanya di perlawanan pertama dan peranannya dalam jaringan gol malam ini. Untuk bermain pada usia 37 tahun memerlukan pengorbanan yang sungguh besar". Pada usia 37 tahun, Giggs ternyata masih lagi menjadi sandaran utama United dan dianggap pemain terbaik skuad The Red Devils dalam perlawanan ini.
12 April 2011
FERGUSON: ROONEY LEBIH SEGAR DAN CERGAS
Hukuman gantung dua perlawanan yang dikenakan oleh FA ke atas penyerang Manchester United, Wayne Rooney ternyata menguntungkan pasukannya. Selepas tidak beraksi ketika United mencatat kemenangan ke atas Fulham dalam perlawanan liga hujung minggu lalu, Rooney pastinya pemain paling segar tatkala United dan Chelsea bakal membuat perhitungan di perlawanan kedua peringkat suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi nanti. United yang menang ke atas skuad kendalian Carlo Ancelotti itu di Stamford Bridge pada perlawanan pertama memiliki kelebihan jika diambil kira rekod mereka di Old Trafford musim ini. "Sudah pasti dengan adanya Rooney akan meningkatkan lagi kekuatan kami. Semua pemain seolah-olah memperolehi suntikan motivasi yang begitu besar dengan kehadirannya", ujar Ferguson. "Ini ibarat bonus buat kami kerana dia begitu cergas dan segar untuk menghadapi perlawanan ini. Inilah saatnya United bersatu dan menunjukkan siapa kami sebenarnya". United hanya memerlukan keputusan seri dalam perlawanan ini untuk melangkah ke peringkat separuh akhir bertemu samada pemenang antara Schalke 04 ataupun Inter Milan.
10 April 2011
UNITED KUKUHKAN CENGKAMAN DI PERSADA LIGA
Manchester United mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas liga selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Fulham dalam pertemuan di Old Trafford malam tadi. Gol-gol hasil jaringan penjaring terbanyak liga ketika ini Dimitar Berbatov dan pemain sayap Ecuador Luis Antonio Valencia di separuh masa pertama sudah cukup buat United mengukuhkan cengkaman mereka di persada liga. Meskipun kehilangan khidmat Wayne Rooney akibat digantung dua perlawanan dan merehatkan Javier Hernandez, United jelas bukan tandingan skuad bimbingan Mark Hughes itu. United kini sepuluh mata di hadapan pencabar terdekat Arsenal namun skuad Arsene Wenger masih memiliki dua perlawanan dalam tangan. Dalam perlawanan lain yang berlangsung serentak malam tadi, Chelsea terpaksa berhempas pulas menundukkan Wigan Athletic 1-0 di Stamford Bridge melalui gol tunggal perlawanan dari Florent Malouda. Pertemuan di White Hart Lane pula menyaksikan Tottenham Hotspurs menewaskan Stoke City 3-2, Blackburn terikat 1-1 dengan Birmingham di Ewood Park, Bolton menewaskan West Ham 3-0, West Bromwich menang ke atas Sunderland 3-2 dan Everton menumpaskan Wolverhampton 3-0.
09 April 2011
MANCHESTER UNITED lwn FULHAM: UJIAN TANPA ROONEY
Loading...
100%
Perlawanan Liga Perdana menentang Fulham malam ini akan menguji sejauh mana kesannya akibat ketiadaan Wayne Rooney dalam kesebelasan utama United. Rooney digantung dua perlawanan oleh FA England selepas tindakannya mengeluarkan kata-kata kesat di hadapan kamera saat meraikan jaringan hatriknya ketika menentang West Ham minggu lalu. Ketiadaan Rooney dilihat bakal mendatangkan kesan ke atas pemburuan gelaran ke 19 Liga Perdana Inggeris United, namun Sir Alex Ferguson boleh menyandarkan harapan ke atas bahu penyerang muda mereka, Javier Hernandez dan juga penjaring terbanyak liga setakat ini, Dimitar Berbatov untuk memburu gol. Statistik menunjukkan United menang 14 dari 20 perlawanan (70 %) dengan kehadiran Rooney tetapi skuad The Red Devils hanya memenangi 5 dari 11 perlawanan (45 %) semasa ketiadaan penyerang England itu.
Hukuman penggantungan ke atas Rooney memanjangkan lagi senarai pemain yang tidak boleh diturunkan United pada perlawanan ini. Selain Rooney, Jonny Evans juga digantung kerana layangan kad merah yang diterimanya ketika menentang Bolton Wanderers manakala Darren Fletcher dan Rafael da Silva akibat kecederaan dan jangkitan virus. Ketiadaan beberapa tonggak United ternyata menggembirakan pengurus Fulham, Mark Hughes yang berazam menyukarkan laluan bekas pasukannya itu untuk emraih gelaran ke 19 musim ini. Fulham berjaya memaksa United berkongsi mata pada perlawanan pusingan pertama di Craven Cottage hasil jaringan lewat pertahanan mereka Brede Hangeland. Biarpun tanpa kehadiran Rooney, Ferguson tidak terlalu khuatir kerana masih mempunyai Hernandez dan Berbatov untuk dijadikan sandaran dalam memburu gol di mana masing-masing telah mengumpul 11 dan 20 gol setakat ini.
08 April 2011
FERGIE PUJI SEMANGAT JUANG ROONEY

Sir Alex Ferguson ternyata gembira dengan kemenangan yang diraih pasukannya ke atas Chelsea dalam perlawanan pertama peringkat suku akhir Liga Juara-Juara kelmarin. Gol jaringan tunggal perlawanan oleh Wayne Rooney diminit ke-24 sudah cukup memberikan kelebihan buat United menjelang perlawanan peringkat kedua di Old Trafford 13 April ini. Ini juga adalah kemenangan pertama United ke atas Chelsea di Stamford Bridge dalam tempoh sembilan tahun. Ferguson pantas merakam penghargaan kepada Rooney sebaik tamat perlawanan yang menyaksikan jaringan tunggal penyerang England itu membuka peluang besar buat United mara ke peringkat separuh akhir berdasarkan rekod baik mereka di gelanggang sendiri musim ini. "Rooney tampil hebat malam ini. Dia banyak menerima tekanan dari pemain-pemain Chelsea tetapi tetap mampu bangkit dan bermain dengan penuh semangat", ujar Ferguson. Rooney yang menjadi tumpuan asakan pemain-pemain Chelsea sepanjang perlawanan mudah menyempurnakan hantaran Ryan Giggs untuk gol tunggal perlawanan.
Ketika mengulas tentang kontroversi kekasaran yang dilakukan Patrice Evra ke atas Ramires, Ferguson jelas bersetuju dengan keputusan pengadil perlawanan Alberto Undiano dari Sepanyol yang tidak memberikan sepakan penalti kepada lawan. "Ramires kelihatan sengaja membuatkan agar kekasaran tampak berlaku dalam kotak penalti. Dia sengaja mahu Evra menjatuhkannya", kata Ferguson. Sementara itu tonggak pertahanan United, Rio Ferdinand dilihat agak neutral berhubung kontroversi itu. "Apakah itu penalti? Mungkin ia dan mungkin juga tidak", kata Ferdinand. Kemenangan di Stamford Bridge ini menyaksikan United mempunyai sedikit kelebihan ke atas skuad kendalian Carlo Ancelotti itu menjelang kunjungan mereka ke Old Trafford minggu depan. United masih mengekalkan rekod bersih mereka di gelanggang sendiri yang menyaksikan anak-anak buah Ferguson masih belum tewas di Old Trafford sepanjang musim ini. Walau bagaimanapun United tetap perlu berhati-hati memandangkan Chelsea pernah menewaskan mereka dalam perlawanan liga di Old Trafford musim lalu.
Ketika mengulas tentang kontroversi kekasaran yang dilakukan Patrice Evra ke atas Ramires, Ferguson jelas bersetuju dengan keputusan pengadil perlawanan Alberto Undiano dari Sepanyol yang tidak memberikan sepakan penalti kepada lawan. "Ramires kelihatan sengaja membuatkan agar kekasaran tampak berlaku dalam kotak penalti. Dia sengaja mahu Evra menjatuhkannya", kata Ferguson. Sementara itu tonggak pertahanan United, Rio Ferdinand dilihat agak neutral berhubung kontroversi itu. "Apakah itu penalti? Mungkin ia dan mungkin juga tidak", kata Ferdinand. Kemenangan di Stamford Bridge ini menyaksikan United mempunyai sedikit kelebihan ke atas skuad kendalian Carlo Ancelotti itu menjelang kunjungan mereka ke Old Trafford minggu depan. United masih mengekalkan rekod bersih mereka di gelanggang sendiri yang menyaksikan anak-anak buah Ferguson masih belum tewas di Old Trafford sepanjang musim ini. Walau bagaimanapun United tetap perlu berhati-hati memandangkan Chelsea pernah menewaskan mereka dalam perlawanan liga di Old Trafford musim lalu.
06 April 2011
LIGA JUARA-JUARA: FERGUSON SASARKAN GOL DI TEMPAT LAWAN
Sir Alex Ferguson sudah mula memasang strategi menjelang pertembungan dua kelab gergasi Inggeris di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi esok. Manchester United akan berkunjung ke Stamford Bridge untuk perlawanan peringkat pertama menentang Chelsea dengan misi mencri kelebihan gol ditempat lawan. Pertembungan suku akhir ini juga mengembalikan semula nostalgia kejayaan dramatik United ke atas Chelsea di final 2008 untuk gelaran Eropah ketiga mereka. Misi mencari gol di gelanggang lawan pastinya bakal dipikul Wayne Rooney selepas aksi memberangsangkan penyerang England itu di peringkat liga yang menyaksikan dia menjaringkan hatrik disebalik kemenangan 4-2 United ke atas West Ham hujung minggu lalu. Hatrik itu pastinya akan menyuntik semangat Rooney untuk terus beraksi cemerlang sambil membuktikan bahawa dia masih penyerang terbaik England ketika ini. "Kami berharap apabila kembali ke Old Trafford nanti kami mempunyai bekalan satu atau dua gol", ujar Ferguson.
"Kami ingin kembali semula ke Old Trafford dengan peluang melayakkan diri ke peringkat seterusnya. Jika kami mempunyai sedikit kelebihan selepas perlawanan, maka kami akan sukar dikalahkan di gelanggang sendiri nanti". Demi merealisasikan misi untuk melangkah ke peringkat separuh akhir nanti, Ferguson berharap agar pasukannya mampu menjaringkan gol di Stamford Bridge. Tugas itu walau bagaimanapun bukanlah mudah memandangkan rekod pertemuan yang tidak menyebelahi anak-anak buah Ferguson ketika beraksi di gelanggang keramat The Blues itu. Ferguson dijangka akan menggunakan formasi 4-5-1 dengan meletakkan Rooney sebagai penyerang tunggal sambil dibantu Ryan Giggs, Nani dan Luis Antonio Valencia di bahagian tengah. Nasib Rio Ferdinand masih belum diketahui walaupun tonggak pertahanan itu sudah mula menjalani latihan sejak seminggu lalu. Ferdinand yang sebelumnya diramalkan akan menghabiskan baki musim ini di bangku penonton menghadirkan khabar positif apabila pulih selepas menjalani rawatan di Jerman.
03 April 2011
FERGUSON: KAMI BERMAIN SEPERTI JUARA
Sir Alex Ferguson yang sekadar menyaksikan kemenangan anak-anak buahnya dari bangku penonton di Upton Park memuji penampilan Wayne Rooney disebalik satu lagi kemenangan dramatik United musim ini. Selepas ketinggalan dua gol hasil jaringan penalti Mark Noble, di separuh masa pertama, Ferguson menyaksikan skuad The Red Devils bangkit dengan empat gol di separuh masa kedua hasil jaringan hatrik Rooney dan satu gol sumbangan Javier Hernandez. Hatrik ini menjadikan Rooney menambah koleksi jaringannya kepada 101 gol sepanjang kariernya di Old Trafford. Menurut Ferguson, pemain-pemainnya telah menunjukkan mereka memang memiliki mental pasukan juara untuk meraih kemenangan yang begitu penting selepas terpaksa berhempas pulas bangkit memadamkan defisit dua gol yang dimiliki lawan. "Hari ini kami bermain seperti juara. Kami tetap positif dan tidak hilang keyakinan dengan kemampuan yang kami miliki", tegas Ferguson.
"Bermain di Upton Park bukanlah mudah kerana mereka juga sedang berjuang untuk mengelak dari zon penyingkiran. Kami menguasai babak kedua dan ini sesungguhnya adalah penampilan pasukan juara". Ferguson mengakui pemain-pemainnya agak leka di babak pertama sehingga ketinggalan dua gol tetapi mental juara Red Devils mengubah permainan mereka di babak kedua. "Tertinggal dua gol menyebabkan kami mesti menguasai semula permainan dan mencipta peluang. Kami agak leka tetapi mampu memberikan tindakbalas yang baik di babak kedua". Kemenangan ke atas West Ham melebarkan kelebihan United di tangga teratas liga selepas dua lagi pasukan pencabar, Arsenal dan Chelsea sekadar seri ketika menetang lawan masing-masing. Arsenal yang diikat 0-0 oleh Blackburn Rovers di Emirates ketinggalan tujuh mata di belakang United tetapi memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan manakala Chelsea di tangga ketiga ketinggalan dengan sebelas mata.
"Bermain di Upton Park bukanlah mudah kerana mereka juga sedang berjuang untuk mengelak dari zon penyingkiran. Kami menguasai babak kedua dan ini sesungguhnya adalah penampilan pasukan juara". Ferguson mengakui pemain-pemainnya agak leka di babak pertama sehingga ketinggalan dua gol tetapi mental juara Red Devils mengubah permainan mereka di babak kedua. "Tertinggal dua gol menyebabkan kami mesti menguasai semula permainan dan mencipta peluang. Kami agak leka tetapi mampu memberikan tindakbalas yang baik di babak kedua". Kemenangan ke atas West Ham melebarkan kelebihan United di tangga teratas liga selepas dua lagi pasukan pencabar, Arsenal dan Chelsea sekadar seri ketika menetang lawan masing-masing. Arsenal yang diikat 0-0 oleh Blackburn Rovers di Emirates ketinggalan tujuh mata di belakang United tetapi memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan manakala Chelsea di tangga ketiga ketinggalan dengan sebelas mata.
01 April 2011
NEVILLE: HERNANDEZ MAMPU BAWA UNITED RAIH TREBLE
Bintang muda Manchester United, Javier Hernandez dilihat mampu memainkan peranan besar untuk membawa pasukannya meraih tiga kejuaraan utama musim ini. United ketika ini masih berpeluang mengulangi kejayaan tahun 1999 di mana ketika itu skuad bimbingan Sir Alex Ferguson meraih dua kejuaraan domestik (Liga Perdana dan Piala FA) serta menakluk pentas Eropah dengan kemenangan dramatik ke atas Bayern Munich difinal Liga Juara-Juara. United bakal berhadapan dengan Chelsea di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara dan bertemu musuh setempat Manchester City dalam perlawanan separuh akhir Piala FA. Selain itu, United juga merupakan pendahulu carta Liga Perdana Inggeris dan berpeluang mencipta sejarah muncul kelab paling banyak menang kejuaraan liga. Bekas kapten United, Gary Neville berpendapat, Hernandez mampu memikul tanggungjawab besar dalam usaha United mengulangi pencapaian tahun 1999 itu. "Dia akan memainkan peranan besar. Dia sentiasa berusaha keras untuk menjaringkan gol dan pergerakannya juga sangat bagus. Apa yang penting dia sentiasa berusaha keras dan tidak mementingkan diri", kata Neville. Neville merupakan antara pemain yang ada dalam skuad treble 1999 United mengingatkan agar pemain-pemain tidak terlalu memikirkan kejuaraan treble sebaliknya terus fokus terhadap setiap perlawanan yang dihadapi. "Jangan fikirkan mengenai tiga kejuaraan kerana ia akan memberikan tekanan. Anda akan bermain pada hari Sabtu, Rabu dan Sabtu, begitulah seterusnya. Lebih baik fokus pada perlawanan", tegas Neville yang mengambil keputusan bersara pada Februari lalu.
Langgan:
Catatan (Atom)