29 Ogos 2014

SEBELUM PINTU DITUTUP.....SIAPA YANG BAKAL DATANG DAN SIAPA YANG BAKAL DIKORBANKAN?

Masih ada tempoh tidak sampai itga hari sebelum pintu perpindahan pemain ditutup dan itu bermakna Louis Van Gaal juga memiliki tempoh tidak sampai tiga hari untuk melakukan sebarang penambahbaikan dalam skuadnya. Sepanjang pasaran perpindahan pemain kali ini, United sudah membelanjakan hampir 140 juta (Pound) bagi mendapatkan Luke Shaw, Ander Herrera, Marcos Rojo dan paling sensasi tentunya pembelian membabitkan Angel Di Maria dari Real Madrid yang memecahkan rekod British. Kehadiran Di Maria dikatakan mampu menjadi penawar kepada kekurangan kreativiti di bahagian tengah tetapi bagaimana pula dengan kualiti benteng pertahanan yang mana prestasi mereka dalam tiga perlawanan menimbulkan banyak keraguan. Selepas Di Maria menandatangani kontrak secara rasmi, Van Gaal tanpa berselindung mengatakan bahawa kelab sedang berusaha membawa masuk beberapa lagi muka-muka baharu sebelum pintu perpindahan pemain ditutup 1 September ini dan dalam masa yang sama juga beberapa pemain yang tiada dalam perancangan beliau perlu bersedia untuk pergi. Spekulasi tentang Arturo Vidal masih belum padam biarpun Juventus nampaknya berusaha sedaya upaya mengekalkan tonggak mereka itu di Turin manakala Daley Blind terus dikaitkan dengan minat United biarpun Ajax Amsterdam menegaskan tiada sebarang tawaran yang dibuat United bagi mendapatkan pemain pertahanan mereka itu.

Selain daripada spekulasi pemain mana yang bakal ditandatangani selepas Herrera, Shaw, Rojo dan Di Maria, kelab juga diberitakan bakal melepaskan beberapa pemain mereka yang dilihat gagal memberikan sumbangan dan memainkan peranan dengan berkesan di atas padang. Wilfried Zaha sudahpun dihantar pulang semula ke kelab lamanya (Crystal Palace) sebagai pemain pinjaman manakala Anderson, Shinji Kagawa, Danny Welbeck, Tom Cleverley dan Javier Hernandez dijangka bakal menuju pintu keluar, sama ada dengan status pemain pinjaman ataupun perpindahan tetap. Ketika Arsenal dan Tottenham Hotspurs mengintai peluang mendapatkan tandatangan Welbeck, Cleverley diberitakan hanya beberapa langkah sahaja lagi menuju ke Villa Park manakala Jurgen Klopp pula sedia menyambut kepulangan semula Kagawa ke Signal Iduna Park sebagai pemain pinjaman. "Saya bercakap dengan pemain-pemain selepas makan tengahari dan mengatakan bahawa mungkin selepas hujung minggu ini akan ada 'kumpulan lain' menyertai kita. Saya tidak bolah berkata apa-apa mengenai itu (pemain baharu) kerana ia membabitkan perbelanjaan dan harga. Tiba masanya nanti kelab akan keluar dan mengumumkannya. Kita tidak boleh bertindakbalas dengan setiap khabar angin", kata Van Gaal.

Ketika saingan masih di peringkat awal (2 perlawanan), Van Gaal sudahpun melihat sepuluh pemainnya berada di bilik rawatan dengan Kagawa menjadi pemain terbaru menyertai kumpulan tersebut sekaligus menghadkan lagi pilihan pemain sebelum beliau membawa rombongan skuadnya ke Turf Moor bagi berdepan Burnley esok. Dengan begitu banyak pemain yang sedang menjalani rawatan, berita bahawa masalah permit kerja Marcos Rojo berjaya diselesaikan adalah perkhabaran menggembirakan menjelang pertembungan dengan Burnley esok. Meskipun Van Gaal dikritik kerana terus mempertahankan sistem tiga pemain pertahanan yang digunakan beliau, kehadiran Rojo saya harap bakal memberikan kekuatan tambahan kepada benteng pertahanan, tidak kiralah formasi apa yang bakal beliau gunakan di Turf Moor nanti. Misi di Turf Moor adalah sukar memandangkan United hanya meraih satu mata dari dua perlawanan awal mereka dan sudah tentu tekanan yang dipikul barisan The Red Devils cukup tinggi bagi mencari kemenangan pertama apatah lagi selepas penyingkiran dari saingan Piala Liga Rabu lalu. Disingkirkan (dari Piala Liga) oleh kelab Divisyen 3 dengan jaringan besar sudah tentu cukup mengaibkan tetapi saya berharap United tampil dengan wajah berbeza ketika berdepan Burnley nanti bagi mencari kemenangan pertama. Prestasi terkini United sedikit meresahkan kita tetapi Van Gaal masih ada waktu untuk memperbetulkan keadaan kerana jika beliau mahukan pemain baharu untuk menguatkan skuadnya, Van Gaal masih ada tempoh sehingga Isnin ini untuk melakukannya.

Kita tidak pasti tentang kebenaran dan kesudahan di sebalik spekulasi membabitkan Arturo Vidal, Daley Blind, William Carvalho, Kostas Manolas, Ron Vlaar, Lucas Silva atau mana-mana pemain, tetapi jika Van Gaal berjaya mendapatkan seorang atau dua daripada mereka bagi meningkatkan kekuatan skuadnya sebelum pintu perpindahan ditutup, itu adalah berita baik selain dari kemenangan pertama di Turf Moor esok. Selagi pintu masih terbuka, saya masih berharap akan ada 'ahli baharu' The Red Devils yang berjaya di bawa masuk untuk menampung apa yang kurang dalam skuad Van Gaal, tidak kiralah sama ada mereka itu Vidal, Blind, Carvalho, Vlaar, Manolas atau Silva. Sepertimana yang dijanjikan Van Gaal sebelum ini, kita sebenarnya sedang melihat revolusi sedang berlaku ke atas United. Berjaya atau tidak revolusi yang cuba dicetuskan Van Gaal bergantung kepada bagaimana beliau bijak menggunakan segala potensi dan bakat pemain-pemain yang dimilikinya, sambil berharap pembelian baharu seperti Herrera, Shaw, Rojo dan Di Maria membuktikan bahawa pelaburan besar yang dilakukan kelab ke atas mereka berbaloi. Revolusi juga menuntut pengorbanan, jika ada yang datang pastinya juga ada yang bakal dikorbankan dengan ditunjukkan pintu keluar. Siapakah pemain United yang bakal dikorbankan bagi memberikan laluan kepada pemain baharu menyertai The Red Devils? Adakah Cleverley, Kagawa, Hernandez, Welbeck atau Anderson bakal ditunjukkan jalan keluar? Selagi pintu perpindahan masih terbuka, segala kemungkinan yang mengejutkan juga boleh berlaku...Glory Glory Manchester United!!! - A.J

Masuk:
Ander Herrera (dari Athletic Bilbao)
Luke Shaw (dari Southampton)
Marcos Rojo (dari Sporting Lisbon)
Angel Di Maria (dari Real Madrid)

Berpotensi Masuk:
Arturo Vidal (Juventus)
Daley Blind (Ajax Amsterdam)
Kostas Manolas (Olympiakos)
Ron Vlaar (Aston Villa)
William Carvalho (Sporting Lisbon)
Lucas Silva (Cruzeiro)

Keluar:
Nemanja Vidic (Inter Milan)
Rio Ferdinand (QPR)
Patrice Evra (Juventus)
Ryan Giggs (bersara)
Federico Macheda (Cardiff City, percuma)
Bebe (Benfica)
Alexander Buttner (Dynamo Moscow)
Angelo Henriquez (Dinamo Zagreb, percuma)
Nani (Sporting Lisbon, pinjaman)
Wilfried Zaha (Crystal Palace, pinjaman)

Berpotensi Keluar:
Tom Cleverley (Aston Villa/Hull City)
Shinji Kagawa (Borussia Dortmund)
Anderson (Sporting Lisbon)
Danny Welbeck (Arsenal/Tottenham Hotspurs)
Javier Hernandez (Juventus)

26 Ogos 2014

ANGEL DI MARIA...PERPINDAHAN BESAR UNTUK SEBUAH KELAB BESAR

Musim terakhir Sir Alex Ferguson sebagai pengurus di Old Trafford diakhiri beliau dengan menghadiahkan kejuaraan liga buat kali ke-20 kepada kelab. Kita (penyokong-penyokong United) gembira kerana kejayaan tersebut juga menandakan bahawa Manchester United adalah penguasa mutlak bolasepak England selaku kelab paling banyak memenangi kejuaraan liga, meninggalkan pemegang rekod sebelumnya (Liverpool) dua anak tangga di belakang. Kejayaan muncul sebagai kelab paling banyak memenangi kejuaraan liga sudah tentu cukup membanggakan dan sudah tentu juga kejayaan tersebut akan diingati sampai bila-bila terutamanya apabila mengingatkan bahawa itu adalah kejuaraan terakhir yang dibawa Sir Alex ke Old Trafford sebelum beliau mengosongkan kerusi pengurus yang sudah beliau duduki selama 27 tahun. Seperti yang dijangkakan ramai pihak, persaraan Sir Alex menyebabkan The Red Devils yang beliau tinggalkan bergelut, tetapi saya tidak pernah menjangkakan bahawa situasi akan seburuk itu hinggakan kelab sekadar menamatkan saingan musim lalu di tangga ketujuh liga. David Moyes yang dilantik sebagai pengganti Sir Alex mengatakan bahawa skuad 'usang' yang diwarisi beliau dari lagenda tersebut menjadi penyebab utama mengapa United gagal bersaing. Alasan yang diberikan Moyes mungkin ada sedikit kebenarannya kerana dalam kegembiraan meraikan kejayaan menjulang trofi liga buat kali ke-20, kebanyakkan dari kita terlupa bahawa barisan The Red Devils yang ditinggalkan Sir Alex sebenarnya sudah mula hilang kepantasan dan kreativti ketika melakukan serangan dalam tempoh beberapa tahun terakhir.

Faktor kurangnya kreativiti jugalah yang sering dirungutkan Moyes ketika tempoh singkatnya sebagai pengurus United dan masalah tersebut rupa-rupanya masih berlanjutan hingga ke musim ini. Meskipun kelab berjaya menandatangani Juan Mata (Januari lalu) dan Ander Herrera bagi menambah sengat di bahagian tengah, masalah yang dihadapi Moyes sebelum itu nampaknya diwarisi pula oleh Louis Van Gaal. Perlawanan menentang Sunderland tempohari sekali lagi mendedahkan kelemahan sebenar United iaitu kurangnya kreativiti dan kepantasan ketika melakukan gerakan. United memerlukan seorang pemain yang bukan sahaja boleh menggerakan bola dengan pantas ke atas tetapi juga mampu memecah kawalan lawan sekaligus membuka ruang buat rakan-rakan sepasukan ketika melakukan gerakan. Saya pernah menyaksikan pemain-pemain seperti Jesper Olsen, Lee Sharpe, Andrei Kanchelskis, Ryan Giggs dan Cristiano Ronaldo melakukannya tetapi semenjak dua atau tiga musim terakhir, kelab nampaknya terlalu bergantung kepada kepantasan Antonio Valencia bagi melakukan tugas tersebut. Kebergantungan kepada Valencia menyebabkan permainan United mudah dibaca lawan dan meskipun kelab memiliki Ashley Young dan Nani (kini dipinjamkan ke Sporting Lisbon) bagi memberikan lebih variasi, kedua-dua pemain ini sering mengecewakan kita menerusi prestasi turun naik yang dipamerkan mereka. Perkhabaran bahawa misi United bagi mendapatkan Angel Di Maria yang kini memasuki fasa akhir adalah berita yang menggembirakan dan melegakan.

Melihat kepada persembahan United di Stadium of Light tempohari, jelas Van Gaal memang memerlukan seorang pemain yang mampu memberikan tenaga tambahan kepada permainan pasukannya dan dalam masa yang sama membantu meringankan tugas yang dipikul Juan Mata di bahagian tengah sambil memberikan lebih variasi menerusi gerakan-gerakan yang diatur menerusi bahagian sayap. Kehadiran Di Maria yang mampu beraksi di bahagian sayap, tengah dan boleh juga bertindak sebagai pemain tengah menyerang bakal menambah kualiti skuad kendalian Van Gaal. Jika benar nilai sebanyak 60 juta (Pound) terpaksa dilaburkan kelab bagi mendapatkan khidmat Di Maria, jumlah ini bakal memecahkan rekod pembelian Mata (37 juta Pound) yang dilakukan pada Januari lalu. Dalam keadaan Van Gaal begitu terdesak untuk cuba mendapatkan pemain berkualiti bagi meningkatkan kekuatan skuadnya, nilai sebanyak itu terpaksalah dikorbankan jika mahu melihat kelab mampu bersaing dengan pencabar-pencabar gelaran yang lain seperti Manchester City, Chelsea, Arsenal dan Liverpool. Seperti yang saya sebutkan tadi, Di Maria adalah pemain yang versatile, boleh diletakkan di belakang dua penyerang, di bahagian tengah atau berperanan sebagai wing back jika Van Gaal mahu menggunakan tiga pemain pertahanan dalam formasi 3-5-2 yang beliau gemari. Paling penting ialah kemampuan Di Maria mencipta peluang jaringan tidak kira di posisi mana beliau diletakkan dan faktor itulah yang amat diperlukan United sekarang.

Di Maria antara pemain Real Madrid yang begitu menonjol sepanjang musim lalu tetapi pembelian James Rodriguez dari AS Monaco menyebabkan beliau terpaksa bersaing dengan pemain antarabangsa Colombia itu bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama Los Blancos. Minat United terhadap Di Maria sebenarnya bukanlah baru kerana pemain ini pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford pada 2010 namun Real Madrid ketika itu lebih bertuah kerana berjaya mendapatkan tandatangan pemain ini selepas beliau memilih meninggalkan Benfica. Kerana terhadnya pilihan pemain di bahagian sayap, beberapa bulan lalu Van Gaal pernah mengisyaratkan minatnya terhadap pemain Argentina ini dan atas alasan tersebut jugalah (kekurangan pemain sayap) mengapa beliau memilih formasi 3-5-2 dalam satu temubual bersama Sky Sports. Jika diambilkira apa yang dikatakan Van Gaal, kini timbul pula persoalan adakah beliau akan mengubah sistem dan taktikal permainannya selepas Di Maria disahkan secara rasmi menyarung jersi United nanti? Jika Van Gaal mahu mengubah sistem permainan 3-5-2 yang sudah beliau praktikkan pada perlawanan-perlawanan pra musim dan dua perlawanan awal United dalam saingan liga, formasi apakah agaknya yang akan beliau gunakan untuk disesuaikan dengan peranan yang bakal dimainkan Di Maria nanti? Pada perlawanan pertama peringkat kumpulan menentang Bosnia Herzegovina di Piala Dunia 2014, Di Maria diletakkan di sebelah kiri dalam barisan tiga pemain tengah menerusi formasi 5-3-2 yang digunakan Alejandro Sabella di mana beliau perlu bermain sedikit ke dalam.

Pada perlawanan menentang Iran pula, Sabella menggunakan formasi 4-3-3 dan ketika Argentina mendominasi peratusan penguasaan bola, Di Maria berpeluang mara lebih jauh ke hadapan untuk mencipta peluang. Aksi Di Maria di Piala Dunia yang paling diingati sudah tentu ketika Argentina berdepan Switzerland di peringkat kalah mati 16 pasukan. Switzerland jelas memberikan masalah buat Argentina sepanjang perlawanan dan ketika jentera serangan Albiceleste yang diketuai Leonel Messi pula seolah-olah tiada jawapan dalam usaha mereka menembusi gawang Diego Benaglio, Sabella bertindak mengubah posisi Di Maria dengan meletakkan pemain ini di sebelah kanan. Keputusan Sabella berbaloi dan ketika pemenang perlawanan seolah-olah bakal ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti, Di Maria menjaringkan gol kemenangan yang menghantar Argentina ke suku akhir ketika permainan berbaki dua minit untuk ditamatkan. Kesimpulannya, Di Maria boleh berperanan dalam formasi 5-3-2 atau 4-3-3, boleh bergerak bukan sahaja di sebelah kiri malah juga di sebelah kanan jika situasi sesuatu perlawanan memerlukan perubahan taktikal segera dilakukan. Jika Van Gaal bertegas untuk terus menggunakan sistem sekarang (3-5-2), Di Maria boleh digunakan sebagai wing back di mana kepantasan dan skill menggelecek yang dimiliki pemain ini boleh digunakan untuk membuka permainan dari sebelah tepi ataupun ketika melakukan serang balas pantas.

Jika saya diberikan pilihan, saya lebih gemar menyaksikan Di Maria digunakan dalam formasi 4-3-3 menerusi penggunaan dua pemain sayap di mana kepantasan yang dimiliki beliau serta Antonio Valencia atau Adnan Januzaj akan menjadi teras utama kepada sistem tersebut. Atau mungkin juga formasi 5-3-2 boleh digunakan Van Gaal bagi membolehkan Di Maria memainkan peranannya dengan lebih bebas di belakang dua penyerang. Saya tidak nafikan bahawa Cristiano Ronaldo adalah pemain paling penting buat Real Madrid musim lalu tetapi saya juga tidak ragu-ragu untuk meletakkan Di Maria sebagai pemain kedua terpenting di Santiago Bernabeu selepas pemenang Ballon d'Or itu. Ketika melihat pemain-peman kelas dunia seperti Alexis Sanchez, Cecs Fabregas dan Mario Balotelli menyertai Arsenal, Chelsea dan Liverpool, peluang menandatangani Di Maria adalah kesempatan terbaik untuk kelab membuktikan kepada penyokong-penyokong bahawa mereka serius meningkatkan kekuatan bagi mengembalikan semula kelab ke landasan pemburuan trofi selepas kejatuhan mendadak musim lalu. Kebolehan Di Maria sudah pun terbukti dan kemampuan beliau bermain lebih daripada satu posisi menjadikan beliau pemain yang berbaloi untuk ditandatangani. Ini bukan sekadar berita tentang perpindahan pemain kelas dunia bernama Angel Di Maria, tetapi ini juga melibatkan sebuah kelab besar yang sedang cuba membina semula kekuatan dan maruah mereka untuk kembali dihormati. Semoga nilai 60 juta Pound yang dibelanjakan berbaloi dan saya teruja menanti perpindahan ini segera direalisasikan. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

20 Ogos 2014

BIENVENIDO MARCOS ROJO

Misi Manchester United memburu khidmat Marcos Rojo berakhir selepas pemain pertahanan antarabangsa Argentina itu sah menjadi milik kelab membabitkan nilai perpindahanan sebanyak 16 juta (Pound) yang terpaksa dibayar kepada Sporting Lisbon. Selain dari nilai 16 juta yang terpaksa dibayar, kelab juga bersetuju melepaskan Nani pulang semula ke Sporting sebagai pemain pinjaman yang juga merupakan sebahagian dari syarat perjanjian sebelum kelab Portugal itu bersetuju membenarkan Rojo menyertai United. Seperti yang kita ketahui, Rojo adalah pemain ketiga yang ditandatangani kelab setakat ini selepas Luke Shaw dan Ander Herrera dan pembelian Rojo juga menandakan bahawa kelab sudah berbelanja sebanyak 75 juta dalam pasaran perpindahan pemain kali ini. Saya yakin nilai perbelanjaan kelab musim panas ini akan bertambah jika diambilkira dengan perkhabaran bahawa mereka juga sedang berusaha merealisasikan perpindahan Angel di Maria dari Santiago Bernabeu. Melihat kepada persembahan benteng pertahanan pada perlawanan pertama liga menentang Swnsea City Sabtu lalu, kehadiran Rojo tentunya melegakan kita dan sudah tentu jugalah kita berharap kekentalan beliau ketika membarisi back four Argentina di Piala Dunia 2014 lalu bakal memberikan kekuatan tambahan di bahagian belakang The Red Devils. Untuk rekod Rojo adalah pemain Argentina keempat yang menyertai United selepas Juan Sebastian Veron menjadi yang pertama pada 2001, Gabriel Heinze (2004) dan Carlos Tevez (2007). Sebelum kita menyaksikan debut beliau untuk kelab, mari kita berkenalan dulu dengan pemain yang dilahirkan pada 20 Mac 1990 ini.

Rojo dilahirkan di La Plata, 24 tahun yang lalu dan memulakan karier awal bolasepaknya dengan menyertai kelab bandar kelahirannya Estudiantes sebagai perantis sebelum menandatangani kontrak profesionalnya pada 2007. Bersama Estudiantes, Rojo berjaya membantu kelab tersebut memenangi Copa Libertadores pada 2009  serta Liga Apertura pada 2010 dan selepas tiga tahun mewakili Los Pincharratas, bakat Rojo menarik minat Spartak Moscow lantas membuka pintu untuk beliau beraksi di Eropah.  Diusia 20 tahun, Rojo menyertai Spartak Moscow pada Disember 2010 dengan nilai perpindahan 2 juta Euro tetapi cuaca sejuk di Russia seolah-olah mula 'membekukan' bakatnya. Liga Russia nampaknya bukanlah pentas terbaik untuk Rojo mempamerkan bakat sebenarnya dan meskipun bergelut menyesuaikan diri dengan corak permainan di sana, Rojo tetap diberikan peluang oleh Sergio Batista melakukan penampilan pertama bersama skuad kebangsaan pada Februari 2011. Lima bulan selepas itu, tuah bersama skuad kebangsaan terus menyebelahi Rojo apabila beliau disenaraikan dalam skuad Albiceleste ke kejohanan Copa America. Rojo hanya kekal semusim di Moscow dan bagi menyelamatkan kariernya, beliau memilih Portugal sebagai destinasi terbaharunya dengan menyertai Sporting Lisbon pada musim panas 2012. Kehadiran Alejandro Sabella sebagai jurulatih baharu skuad kebangsaan Argentina yang menggantikan tempat Batista berikutan prestasi buruk Albiceleste di kejohanan Copa America 2011 adalah rahmat buat Rojo. Kedua-dua individu ini pernah bekerjasama ketika mereka di Estudiantes pada 2009 dan Sabella juga kenal benar dengan bakat yang dimiliki bekas anak didiknya itu.

Di bawah kendalian Sabella, Rojo antara nama penting dalam skuad kebangsaan Argentina hinggalah prestasi bagus yang dipamerkannya di Piala Dunia 2014 menarik minat United untuk menjadikan beliau sebagai pemain keempat dari Argentina selepas Veron, Heinze dan Tevez yang menyarung jersi The Red Devils. Menyertai United merupakan tahap baharu kepada karier Rojo dan sudah tentu jugalah berpindah ke kelab antara yang terbesar di dunia itu ibarat mimpi menjadi kenyataan.  "Menyertai Manchester United umpama sebuah mimpi dan saya bangga kerana beroleh kesempatan bermain di bawah kendalian (Louis) Van Gaal. Saya pernah bercakap tentang Manchester United dengan Juan Sebastian Veron ketika kami bersama-sama di Estudiantes. Saya menyukai cabaran bolasepak Inggeris dan saya yakin mampu menyesuaikan diri dengan gaya permainan di sana", kata Rojo dalam wawancaranya dengan Continental (stesyen radio Argentina). Rojo dan Heinze memiliki satu persamaan, iaitu kedua-duanya bermain di posisi pertahanan kiri tetapi Rojo lebih versatil berbanding Heinze kerana beliau juga mampu bermain sebagai pertahanan tengah. Meskipun berkemampuan bermain di dua posisi berbeza, Rojo bagaimanapun lebih selesa beraksi di sebelah kiri pertahanan berbanding berada di tengah. "Anda perlu cepat menyesuaikan diri beraksi di mana-mana posisi seperti yang dimahukan jurulatih. Tetapi secara peribadi saya lebih selesa bermain di belakang sebagai bek kiri dan bergerak ke depan", ujar Rojo.

Penilaian prestasi pemain yang dikeluarkan Castrol Index semasa kejohanan Piala Dunia 2014 yang lalu menunjukkan Rojo mencatatkan rating 9.51 dan sudah tentu bukan sebarang pemain yang mampu mencatatkan penilaian piawaian setinggi itu. Di Brazil, Rojo bermain sebanyak 6 perlawanan dan dari jumlah tersebut beliau melakukan 22 clearance, 15 interceptions dan menghalang percubaan lawan sebanyak dua kali, sekaligus menyaksikan gawang Argentina hanya dibolosi empat kali ketika beliau beraksi. Sepanjang aksi di Piala Dunia juga, kita dapat saksikan bagaimana Sabella memberikan sepenuhnya kebebasan kepada Rojo memainkan peranannya sebagai bek kiri baik ketika bertahan mahupun ketika melancarkan serangan. Selepas menanti beberapa hari dan mendengar spekulasi demi spekulasi, Rojo akhirnya sah menyertai United dan bakal bersama-sama rakan-rakan sepasukan baharunya menyertai sesi latihan di Aon Training Complex. Kini tugas pertama Rojo ialah membuktikan bahawa beliau memang layak menyertai United sebelum berkira-kira melakukan penampilan pertamanya untuk The Red Devils. Terus terang saya katakan, kali pertama saya menyaksikan Rojo beraksi di kaca TV ialah ketika Argentina berdepan Bosnia Herzegovina pada perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia 2014. Melihat kepada bakat dan peranan yang dimainkannya sepanjang kejohanan empat tahun sekali itu (terutamanya ketika di final), saya yakin Rojo akan muncul pemain Argentina paling berjaya di Old Trafford berbanding tiga lagi rakan senegaranya sebelum ini. Sabtu lalu, kelemahan benteng pertahanan United berjaya dibongkar Swansea City pada perlawanan pembukaan liga dan semoga kehadiran Rojo mampu menambah kekuatan kepada posisi yang disebut-sebut ramai pihak sebagai titik paling lemah The Red Devils. Bienvenido (Selamat Datang) Marcos Rojo...Glory Glory Manchester United!!! - A.J

17 Ogos 2014

SEMOGA LANGKAH KIRI VAN GAAL AKAN DIAKHIRI DENGAN LANGKAH KANAN

Louis Van Gaal memulakan penampilan pertamanya di Liga Perdana dengan langkah kiri apabila Manchester United di bawah kendalian beliau tewas 1-2 kepada Swansea City pada aksi pembukaan liga semalam. Berbanding musim lalu di mana United begitu bergaya membenam lawan yang sama pada aksi pembukaan, skrip kali ini ternyata berbeza. Selepas tamat perlawanan, Van Gaal mengatakan bahawa barisan pemainnya seolah-olah hilang keyakinan diri manakala individu yang dipersalahkan atas kejatuhan United musim lalu, David Moyes pula bingkas mengeluarkan kenyataan bahawa kekalahan di gelanggang sendiri sudah menjadi penyakit kepada kelab sejak musim lalu lagi. Benteng pertahanan dijadikan sasaran kritikan atas kekalahan semalam berikutan keberanian Van Gaal menurunkan Tyler Blackett dan Jesse Lingard, dua pemain muda yang tiba-tiba diberikan kepercayaan membarisi kesebelasan utama pada aksi pertama liga. Saya yakin, situasi akan berubah jika United memang perlawanan semalam dengan majoriti bakal memuji tindakan berani Van Gaal menurunkan Blackett dan Lingard.

Terus terang saya katakan bahawa saya sendiri agak terkejut dengan tindakan Van Gaal menurunkan dua pemain muda itu memandangkan ini adalah debut rasmi beliau bersama kelab dan juga di Liga Perdana. Jadi sudah tentulah beliau juga tidak mahu merosakkan 'hari istimewanya' ini di hadapan penyokong-penyokong sendiri. Melihat kepada senarai pemain-pemain yang dimiliki beliau ketika ini, Van Gaal sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan selain terpaksa melakukan perjudian besar dengan menurunkan Blackett dan Lingard sebagai starter. Jonny Evans dan Luke Shaw berada dalam senarai pemain yang menerima rawatan, jadi sebutkan kepada saya siapakah pemain pertahanan lain yang layak untuk diturunkan? Cuma mungkin yang menjadi persoalan sekarang ialah kesesuaian formasi 3-5-2 digunakan Van Gaal berdasarkan kepada aset yang beliau ada ketika ini. Saya tidak mahu menyentuh hal ini kerana saya bukanlah pakar taktikal, tetapi kekalahan semalam sekurang-kurangnya menyedarkan Van Gaal bahawa beliau tidak lagi boleh membuang masa untuk mendapatkan pemain pertahanan berpengalaman ketika jendela perpindahan pemain akan ditutup dalam tempoh dua minggu lagi.

Saya akui Blackett, Lingard, (Recce) James dan (Michael) Keane adalah pemain muda berbakat tetapi untuk berdepan saingan sesukar Liga Perdana, kelab memerlukan pemain lebih berwibawa dan berpengalaman bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic. Ringkasnya Blackett, Lingard, James dan Keane adalah pilihan jangka pendek sebelum pemain lebih berpengalaman dibawa masuk nanti. Musim lalu suasana 'panik' melanda kelab pada detik-detik terakhir sebelum jendela perpindahan pemain ditutup di mana hasilnya Moyes berjaya menandatangani Marouane Fellaini dari Everton. Saya berharap perkara sama tidak berulang dan selaku pengendali penuh berpengalaman, Van Gaal sudah tentu tahu pemain mana yang beliau inginkan bagi menguatkan skuadnya serta sesuai dengan gaya permainan yang ingin beliau terapkan. United memang menguasai perlawanan semalam, mencipta lebih banyak peluang berbanding pelawat tetapi tumpulnya naluri pembunuh di hadapan gawang lawan serta kerapuhan benteng pertahanan menyebabkan The Red Devils dihukum.

Swansea City sudahpun 'menelanjangkan' kelemahan United dan mujurlah ia berlaku pada perlawanan pertama liga, bukan pada perlawanan keempat atau kelima ketika jendela perpindahan pemain sudahpun ditutup. Masih ada baki dua minggu lagi untuk Van Gaal menampung segala kekurangan dalam skuadnya dan sudah tentulah jalan penyelesaiannya ialah dengan mendapatkan pemain baharu. Selepas kekalahan semalam, Van Gaal mengakui bahawa beliau perlukan pertahanan baharu dan akan mendapatkan pemain yang beliau inginkan sebelum jendela perpindahan pemain ditutup. Jika Van Gaal mahu menggunakan formasi 3-5-2 kegemarannya, beliau memerlukan sekurang-kurangnya tiga pemain pertahanan berpengalaman di bentengnya, bukan seperti semalam dengan meletakkan Blackett di sebelah Chris Smalling dan Lingard pula sebagai wing back (kanan). Untuk rekod tiada mana-mana pasukan yang tewas perlawanan pertama  mereka mampu memenangi kejuaraan liga sejak format Liga Perdana diperkenalkan pada musim 1992-93.

Jika mahu menyaksikan United kembali beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan, kekurangan di benteng pertahanan perlu segera diperbaiki atau jika tidak zaman gelap era Moyes akan berulang sekali lagi. Ketika spekulasi perpindahan Marcos Rojo dan Arturo Vidal semakin panas, saya ternanti-nanti apakah kesudahan drama tersebut dan semoga kekalahan semalam akan mendorong kelab lebih aktif memburu pemain baharu agar mereka lebih berdaya saing musim ini. Masih terlalu awal untuk menilai peluang United atau mana-mana pasukan hanya berdasarkan persembahan mereka pada perlawanan pertama liga tetapi apa yang ditunjukkan barisan pemain Van Gaal semalam bukanlah sesuatu yang bagus bagi menghadapi baki 37 perlawanan selepas ini. Lagenda England, Alan Shearer berpendapat United memerlukan sekurang-kurangnya tambahan tiga lagi pemain kelas dunia sebelum mereka berkira-kira mahu mencabar kejuaraan liga.

Memang ada kebenarannya apa yang dikatakan Shearer kerana saya berpendapat Van Gaal memerlukan sekurang-kurangnya tambahan dua lagi pemain pertahanan bagi menguatkan bentengnya manakala seorang pemain tengah bagi membolehkan United menguasai lawan di sektor tersebut. Pembelian Luke Shaw dan Ander Herrera membabitkan nilai yang tinggi memberikan gambaran awal bahawa kelab serius mahu meningkatkan kekuatan skuad dan dalam masa yang sama memastikan bencana musim lalu tidak berulang. Bagaimanapun, kita mahukan lebih dari sekadar dua pemain dan sudah tentu jugalah kita menanti pemain manakah yang bakal di bawa masuk nanti. Menyaksikan kepada kerapuhan benteng pertahanan semalam, saya segera merindui kelibat Ferdinand dan Vidic, dua lagenda yang sudah membentuk gandingan kukuh selama bertahun-tahun di benteng kelab. Sejak peninggalan Ferdinand dan Vidic, sudah sederet nama pemain-pemain pertahanan yang dikaitkan berada dalam radar buruan kelab dan yang terbaharu sudah tentunya membabitkan pertahanan antarabangsa Argentina, Marcos Rojo serta bek Belanda, Daley Blind.

Ketika usaha mendapatkan Mats Hummels tampak mustahil, Rojo bagi saya adalah opsyen terbaik kepada pemain Borussia Dortmund itu. Rojo pemain pertahanan serba boleh, mampu berperanan sebagai bek kiri dan juga pertahanan tengah manakala corak permainan kerasnya akan menambah kekuatan di benteng pertahanan yang telah hilang selepas berakhirnya era Vidic. Sepertimana Rojo, Blind juga pemain pertahanan serba boleh yang mampu berfungsi sebagai bek kiri dan juga pemain tengah bertahan, sekaligus memberikan lebih banyak pilihan buat Van Gaal dalam memilih pemain di bahagian tengah. Selain dari kebolehan yang menjadi kriteria utama, paling penting kedua-duanya juga punya pengalaman baik di peringkat kelab mahupun ketika bersama skuad kebangsaan, faktor yang dilihat kurang kepada barisan belakang United ketika ini. Selain dari dua pemain di benteng pertahanan (tidak kiralah sama ada Van Gaal mahu mendapatkan Rojo, Blind, Hummels, (Memphis) Depay atau (Martins) Indi), saya juga masih memasang impian mahu melihat perpindahan Vidal segera direalisasikan meskipun bahagian tengah pada pandangan saya tidak terlalu kritikal berbanding benteng pertahanan yang memerlukan suntikan tambahan pemain baharu.

Ketika kita terus mengharap (akan ada pemain baharu yang ditandatangani), dalam masa yang sama juga kita perlu mengakui bahawa perpindahan pemain satu urusan yang rumit dan bukannya mudah. Dengan tinggal lebih kurang dua minggu sebelum jendela perpindahan pemain ditutup, United berdepan situasi kritikal dalam usaha menambah kekuatan mereka musim ini. Walau bagaimanapun masih belum terlambat untuk melakukan sesuatu dan terima kasih buat The Swans kerana menyedarkan pihak-pihak yang berada di Old Trafford bahawa jika The Red Devils mahu mencabar Manchester City, Chelsea, Arsenal, dan Liverpool dalam perebutan kejuaraan liga, masih banyak lagi kerja yang perlu mereka lakukan. Melihat kepada apa yang dipamerkan benteng pertahanan United semalam, ini sebenarnya bukanlah apa yang kita (penyokong-penyokong) harapan ketika kita mengucapkan salam perpisahan kepada Ferdinand dan Vidic. Semoga langkah kiri yang dimulakan semalam tidak berakhir juga dengan langkah kiri sebaik musim ini berakhir. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

16 Ogos 2014

LANGKAH PERTAMA VAN GAAL


Malam ini akan bermulalah cabaran musim baharu Liga Perdana Inggeris dan bagi pengikut-pengikut liga paling popular di dunia itu, tibalah masanya untuk mereka menyaksikan kembali kelab-kelab kegemaran mereka beraksi. Bagi penyokong-penyokong Manchester United, tumpuan pada malam ini sudah tentu terarah ke Old Trafford di mana barisan The Red Devils buat musim kedua berturut-turut akan berdepan Swansea City pada perlawanan pertama mereka. Musim lalu, United mencatatkan kemenangan besar (4-1) ke atas kelab dari Wales itu, sekaligus menerbitkan keyakinan bahawa kelab akan sekali lagi mendominasi kancah bolasepak England biarpun tanpa kelibat Sir Alex Ferguson yang tiga bulan sebelumnya mengumumkan persaraan selepas 27 tahun bertindak sebagai pengendali. Kejayaan besar di Stadium Millennium itu juga seolah-olah memberikan gambaran awal bahawa tanpa kelibat Sir Alex di tepi padang, United tetap mampu berdiri walaupun ramai pihak yang sangsi dengan kemampuan David Moyes mengendalikan kelab besar seperti United selepas bertahun-tahun berada di Goodison Park. Kemenangan menyakinkan yang dicatatkan ke atas The Swans rupa-rupanya bukanlah petunjuk bahawa United akan sukses mengharungi kempen pertama mereka selepas 27 tahun tanpa sentuhan Sir Alex. Kebimbangan awal bahawa United akan 'sengsara' tanpa Sir Alex akhirnya menjadi kenyataan dan selepas kemenangan menyakinkan di Stadium Millennium itu, sedikit demi sedikit graf prestasi United menurun hingga akhirnya menyaksikan kelab terjerumus di tangga ketujuh liga.

Okey tutup buku lama kerana kini tibalah masanya untuk buku baharu dibuka. Selepas kemusnahan yang berlaku sejak berakhirnya era Sir Alex, kehadiran Louis Van Gaal memberikan kita harapan untuk melihat United bangkit kembali menunjukkan watak sebenar mereka. Van Gaal adalah jurulatih yang cukup berpengalaman dan di belakang beliau sudah banyak kejayaan yang pernah diraihnya, jadi tidak hairanlah jika musim ini penyokong-penyokong mahu melihat United yang kini di bawah kendalian beliau kembali berada di landasan pemburuan trofi. Musim ini United boleh memberikan sepenuhnya tumpuan mereka pada saingan liga domestik berikutan terlepas aksi di pentas Eropah akibat dari kejatuhan drastik musim lalu. Kelebihan ini sudahpun digunakan Liverpool musim lalu apabila tanpa sebarang aksi di pentas Eropah, mereka memberikan sepenuhnya tumpuan kepada pemburuan trofi di pentas domestik. Hasilnya Brendan Rodgers hampir sahaja muncul pengurus pertama yang berjaya mengemudi The Reds menjulang trofi liga selepas kali terakhir Kenny Dalglish melakukannya 24 tahun yang lalu. Kehadiran Van Gaal juga menyebabkan United diletakkan sebagai antara pencabar serius untuk merebut gelaran liga musim ini, apatah lagi selepas melihat prestasi bagus yang dipamerkan anak-anak buahnya sepanjang kempen pra musim mereka. Kegagalan musim lalu menyebabkan ramai pihak bertanya tentang kemampuan barisan kendalian Van Gaal untuk bersaing musim ini tambahan pula kebanyakkan penyokong lawan masih lagi meraikan kejatuhan mendadak United. Bagaimanapun dengan kehadiran Van Gaal selaku teraju baharu, saya berharap mereka (penyokong lawan) bersedia untuk menyaksikan The Red Devils kembali mengeluarkan kukunya.

Malam ini saya tidak sabar untuk menyaksikan keberkesanan sistem 3-5-2 yang menjadi kegemaran Van Gaal di mana sistem tersebut sudah pun dipraktikkan beliau pada perlawanan-perlawanan pra musim kelab. LA Galaxy, AS Roma, Inter Milan, Real Madrid dan Liverpool berdepan kesukaran membendung taktikal permainan yang diamalkan Van Gaal di mana akhirnya trofi International Champions Cup berjaya dibawa pulang. Mungkin ada yang meremehkan kejayaan United itu kerana bagi mereka kejohanan ICC hanyalah medan pemanas badan sebelum bermula musim baharu, maka atas sebab itulah saya teruja menanti aksi kompetitif pertama The Red Devils malam ini. Apa yang dipamerkan United di ICC sebenarnya sudah mula menimbulkan kebimbangan di kalangan pencabar-pencabar Liga Perdana yang lain dan saya percaya skuad yang menjadi bahan tertawa musim lalu itu kini sudah bersedia untuk menggempur lawan-lawan mereka. Dengan segala persiapan yang begitu terperinci dilakukan Van Gaal sejak kehadiran beliau bermula dengan penambahbaikan kemudahan latihan di Carrington hinggalah aksi terakhir pra musim menentang Valencia, Garry Monk (pengurus Swansea) mungkin berpendapat ini bukanlah masa yang sesuai untuk anak-anak buahnya berdepan United. Brendan Rodgers berpendapat sukar buat Van Gaal membawa pulang sebarang trofi ke Old Trafford pada musim pertamanya di Liga Perdana, dan saya sedikit bersetuju dengan pandangan pengurus Liverpool itu.

Memang benar ini adalah musim pertama Van Gaal berdepan cabaran bolasepak England di mana setiap musim terdapat lima atau enam kelab yang berpeluang merebut kejuaraan liga. Bagaimanapun dalam masa yang sama, selepas melihat Van Gaal memberikan tiga trofi kepada Barcelona pada musim pertamanya di La Liga dan dua trofi untuk Bayern Munich pada musim pertamanya di Bundesliga, tidak mustahil pencapaian tersebut mampu diulangi beliau bersama United di Liga Perdana. Mengambilkira ini adalah musim pertama Van Gaal bersama United, saya juga tidak meletakkan harapan terlalu tinggi agar beliau mampu membawa kelab merampas kejuaraan liga dari Manchester City walaupun beliau memiliki segudang pengalaman dan rekod cemerlang di belakangnya. Pencapaian Van Gaal di Sepanyol dan Jerman tidak menjamin bahawa kejayaan serupa juga mampu beliau ulangi di England, tetapi sekiranya di akhir musim nanti almari trofi di Theatre of Dreams dihiasi dengan salah satu dari tiga trofi kejuaraan yang dipertandingkan (Liga Perdana, Piala FA dan Piala Liga), itu pun sudah cukup membuatkan saya lebih dari berpuashati. Saya masih kekal dengan sasaran sebelum ini iaitu mahu melihat kelab menamatkan musim 2014-15 di kelompok empat teratas manakala memenangi trofi adalah bonus tambahan. Ramalan demi ramalan untuk meneka kelab mana yang bakal menjulang kejuaraan liga musim ini semakin rancak menjelang sepak mula tetapi saya tidak ragu-ragu meletakkan jiran United iaitu Manchester City sebagai pilihan utama berikutan skuad besar dan penuh pengalaman yang dimiliki Manuel Pellegrini.

Di Stamford Bridge pula, Jose Mourinho optimis bahawa beliau akan memenangi medal kejuaraan Liga Perdana buat kali ketiga selepas melakukannya pada 2005 dan 2006, terutama dengan kehadiran nama-nama baharu seperti Cecs Fabregas, Diego Costa dan Filipe Luis yang bakal meningkatkan lagi kekuatan The Blues. Keyakinan di Stadium Emirates pula semakin meningkat berikutan kejayaan Arsene Wenger menandatangani Alexis Sanchez manakala kehilangan Thomas Vermaelen pula mungkin tidak perlu ditangisi berikutan potensi besar ditunjukkan Calum Chambers di benteng pertahanan. Melihat nafsu Brendan Rodgers berbelanja musim panas ini agak menggerunkan dengan tujuh pembelian baharu yang dilakukan beliau setakat ini. Aksi di pentas Eropah menyebabkan Rodgers memerlukan skuad yang besar dan kegagalan menamatkan kemarau 24 tahun kejuaran liga biarpun mereka hampir sahaja memenanginya musim lalu menyebabkan saya faham mengapa Rodgers begitu aktif dalam pasaran perpindahan pemain kali ini. Berbanding Rodgers yang ghairah berbelanja, Van Gaal pula nampaknya kekal tenang dengan hanya dua pemain baharu yang beliau tandatangani setakat ini. Buat masa ini sukar untuk meramalkan kemampuan sebenar United walaupun cemerlang dalam kempen pra musim mereka. Jika Ander Herrera dan Luke Shaw kekal sebagai dua pemain baharu yang dibawa masuk bagi menghadapi saingan musim 2014-15, adakah kelab mampu meletakkan diri mereka sebaris bersama City, Chelsea, Liverpool dan Arsenal? Dua lagi pasukan yang seperti biasa mampu memberikan cabaran dalam perebutan kejuaraan liga ialah Tottenham Hotspurs dan Everton. Dua kelab ini tetap dianggap antara pencabar yang perlu diberikan perhatian biarpun mereka tidak berbelanja semewah City, Chelsea dan Liverpool manakala Newcastle United di bawah kendalian Alan Pardew mampu melakukan kejutan.

Di manakah kedudukan United di penghujung musim nanti? Masih terlalu awal untuk jawapan itu diberikan tetapi sepertimana yang saya sebutkan sebelum ini, meletakkan diri mereka di kelompok empat teratas adalah misi yang perlu dilaksanakan oleh anak-anak buah Van Gaal. Sebelum dahi berkerut memikirkan kelab manakah yang bakal merajai bolasepak England, apa kata kita nikmati dulu aksi United menentang Swansea City malam ini. Buat masa ini saya hanya ingin melihat Van Gaal dan barisan The Red Devils kendaliannya menulis babak baharu dalam sejarah kelab. Walaupun saya tidak meletakkan sasaran tinggi tetapi saya tetap melihat bahawa musim ini adalah musim terbaik untuk United memenangi kejuaraan liga berikutan tiadanya aksi di pentas Eropah. Berbanding City, Chelsea, Arsenal dan Liverpool yang terpaksa membahagikan fokus mereka kepada saingan domestik dan Eropah, United pula boleh 'bersantai' dengan memberikan tumpuan utama mereka kepada saingan domestik sahaja. Tiadanya aksi di Liga Juara-Juara mahupun Liga Europa bolehlah dianggap satu rahmat buat United dan kesempatan yang 'jarang' berlaku ini patut digunakan sepenuhnya oleh anak-anak buah Van Gaal untuk melakukan sesuatu. Sebelum impian mahu melihat trofi Liga Perdana kembali semula ke Old Trafford, The Red Devils perlu melepasi halangan The Swans terlebih dahulu sebagai langkah pertama mereka. Kini langkah pertama Van Gaal bersama United bakal dimulakan malam ini. Beliau sudahpun melakukan tugasnya dengan cemerlang ketika bersama Ajax Amsterdam, Barcelona, AZ Alkmaar dan Bayern Munich, semoga beliau juga mampu melakukan perkara yang sama untuk Manchester United. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

14 Ogos 2014

MUSIM 2014-15...MENGHARAPKAN UNITED KEMBALI BERNAFAS

Berakhir sudah kempen pra musim Manchester United tahun ini dengan Valencia menjadi lawan terakhir mereka manakala di Amerika Syarikat pula kelab mengharungi lima perlawanan bermula dengan aksi pertama menentang LA Galaxy hinggalah yang terakhir menentang seteru domestik (Liverpool). Kejayaan anak-anak buah Louis Van Gaal membawa pulang trofi International Champions Cup merupakan satu bonus sebelum bermulanya saingan Liga Perdana Sabtu ini. Jika dibandingkan tahun lalu, kempen pra musim United kali ini melepasi jangkaan awal bukan hanya disebabkan kejayaan anak-anak buah Louis Van Gaal menjulang trofi International Champions Cup tetapi juga kerana prestasi menarik yang dipamerkan beberapa pemain muda seperti Tyler Blackett, Michael Keane dan Reece James. Bagi pemain yang baru menjadi ahli The Red Devils seperti Luke Shaw dan Ander Herrera pula, persembahan mereka tidak mengecewakan jika diambilkira kedua-dua pemain ini masih dalam proses menyesuaikan diri dengan rakan-rakan serta corak permainan pasukan baharu mereka. Cemerlang dalam kempen pra musim tidak menjanjikan bahawa United juga akan cemerlang mengharungi saingan kompetitif musim ini tetapi kejayaan mengetepikan LA Galaxy, AS Roma, Inter Milan, Real Madrid, Liverpool dan Valencia sekurang-kurangnya memberikan kita harapan bahawa musim ini akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik berbanding musim lalu. Kejayaan memenangi trofi International Champions Cup mungkin tidak begitu penting bagi sesetengah pihak tetapi saya menganggap kejayaan ini tetap sesuatu yang boleh dibanggakan terutamanya selepas melihat kegagalan total yang dialami kelab pada saingan musim lalu.

Saya sebenarnya lebih rela menyaksikan United ditewaskan Liverpool dalam perlawanan pra musim seperti ini (mujurlah itu tidak berlaku) berbanding jika mereka tewas kepada gabungan pemain-pemain terbaik Liga Thailand sepertimana yang berlaku tahun lalu. Ditewaskan oleh sebuah pasukan yang hanya dibentuk dalam masa seminggu adalah satu perkara yang memalukan (walaupun itu sekadar perlawanan pemanas badan), sekaligus memberikan gambaran awal bahawa anak-anak buah David Moyes ketika itu turut bakal berdepan masalah mengharungi musim kompetitif mereka. Hampir 110,000 peminat bolasepak memenuhi Stadium Michigan bagi menyaksikan pertembungan United-Real dan jumlah itu bagi saya membuktikan bahawa United tidak pernah hilang daya tarikannya selaku antara kelab bolasepak terbesar di dunia meskipun musim lalu mereka sekadar berada di tangga ketujuh liga sekaligus menyebabkan kelab juga terlepas sebarang aksi di pentas Eropah musim ini. Saya tidak ambil peduli walaupun Carlo Ancelotti tidak menurunkan Toni Kroos, James Rodriguez dan Karim Benzema manakala pemenang Ballon D’or (Cristiano Ronaldo) sekadar beraksi di penghujung permainan, kerana kemenangan ke atas Los Blancos tetap sesuatu yang penting buat moral pasukan. Walaupun sekadar aksi pra musim, perlawanan United-Real tetap ada kepentingannya buat kedua-dua pasukan, jadi tidak hairanlah mengapa Don Carlo sedikit kecewa melihat anak-anak buahnya kecundang biarpun pada awalnya beliau sendiri yakin United mampu ditewaskan.

Di Amerika Syarikat, United menang kesemua lima perlawanan mereka, menjaringkan 16 gol manakala gawang pula hanya dibolosi sebanyak empat kali, sekaligus satu pencapaian yang pada saya cukup memberangsangkan dalam kempen pra musim kali ini. Dua hari sebelum berlangsungnya sepak mula saingan liga, kejayaan yang dicapai dalam International Champions Cup diharapkan mampu memberikan suntikan moral tambahan buat barisan The Red Devils dalam menghadapi cabaran musim baharu. Bagi penyokong-penyokong pula, melihat prestasi bagus yang dipamerkan anak-anak buah Van Gaal dalam kempen pra musim pastinya membuatkan kita optimis kegagalan musim lalu tidak akan berulang manakala kejayaan menundukkan Valencia pada debut tidak rasmi pengendali itu di gelanggang sendiri petanda bahawa The Red Devils nampaknya sudah bersedia berdepan musim baharu saingan Liga Perdana. Kejayaan kempen pra musim kali ini  adalah momentum kecil tetapi penting sebelum melakukan langkahan yang lebih besar. Cuma yang menjadi tandatanya sekarang adakah Van Gaal sudah berpuashati dengan barisan pemain yang dimilikinya dengan hanya dua nama baharu (Ander Herrera dan Luke Shaw) yang berjaya ditandatangani setakat ini. Paling menjadi tumpuan ialah posisi di benteng pertahanan kerana kelab boleh saya katakan sudahpun kehilangan separuh kekuatan mereka di posisi tersebut berikutan penghijrahan Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Patrice Evra dan Alexander Buttner.

Thomas Vermaelen pemain pertahanan yang sebelumnya dikatakan berada dalam radar buruan kelab akhirnya memilih Nou Camp sebagai destinasi pilihannya berbanding Old Trafford, manakala spekulasi yang mengaitkan minat Van Gaal terhadap Stefan de Vrij pula tinggal sebagai gosip mainan media apabila pemain pertahanan antarabangsa Belanda itu sah menjadi milik Lazio. Masalah kekurangan pemain pertahanan juga menyebabkan Van Gaal terpaksa meletakkan Ashley Young dan Antonio Valencia sebagai bek kiri dan kanan pada perlawanan-perlawanan pemanas badan di Amerika Syarikat. Berjaya atau tidaknya eksperimen yang dilakukan beliau terhadap dua pemain ini akan hanya terjawab sebaik musim kompetitif bermula nanti. Meskipun Young dan Valencia sudah membuktikan bahawa mereka berjaya melaksanakan tugas sebagai bek dengan baik pada perlawanan-perlawanan pemanas badan, mengharapkan agar dua winger ini mampu menggalas tugas di posisi tersebut untuk keseluruhan musim tetap satu perjudian besar yang dilakukan Van Gaal. Jika memang benar kelab berminat mendapatkan khidmat Mats Hummels dari Borussia Dortmund, saya berharap misi memancing pemain pertahanan berpengaruh itu berjaya dilaksanakan kerana selepas kita kehilangan Ferdinand dan Vidic secara serentak, Hummels adalah antara calon paling layak memikul peranan sebagai pemimpin barisan belakang The Red Devils. Walaupun tampak sukar, saya masih percaya dan berharap agar Jurgen Klopp 'bermurah hati' melepaskan tonggak pertahanannya itu jika ada tawaran dari United untuk mendapatkan khidmat Hummels.

Selain dari benteng pertahanan, kekuatan bahagian tengah juga masih menjadi tajuk perbahasan di kalangan penyokong-penyokong United walaupun kelab berjaya mendapatkan khidmat Herrera. Dengan jendela perpindahan musim panas bakal ditutup dalam tempoh tidak sampai tiga minggu lagi, aktiviti kelab sepanjang pasaran perpindahan pemain kali ini mungkin sedikit membingungkan kita. Meskipun sebelum ini digembar-gemburkan bahawa kelab akan berbelanja besar bagi mendapatkan pemain baharu, Van Gaal nampaknya seolah-olah 'berpuashati' dengan skuad yang dimilikinya ketika ini. Adakah kehadiran Herrera cukup untuk menampung kekurangan di bahagian tengah ketika kelab seperti Manchester City yang sudahpun memiliki limpahan midfielder berbakat terus memperkuatkan posisi tersebut dengan menandatangani Fernando dan Frank Lampard. Saya berharap bahawa kata-kata Van Gaal sebelum ini bahawa beliau tidak akan berbelanja lagi bagi mendapatkan pemain baharu sekadar mainan psikologi, manakala kenyataan yang dikeluarkan Ed Woodward (di MUTV) bahawa kelab akan menggunakan sepenuhnya kekuatan kewangan yang dimiliki mereka bagi merampas kejuaraan liga dari City satu jaminan bahawa akan ada nama besar yang bakal dibawa masuk nanti. Jika benar apa yang dikatakan oleh Woodward, kelab sepatutnya menggunakan sepenuhnya baki tempoh yang ada sebelum jendela perpindahan pemain ditutup bagi meningkatkan kekuatan di sektor tengah. Hingga setakat ini, kita masih menanti apakah kesudahannya spekulasi perpindahan Arturo Vidal atau jika Van Gaal gagal membawa keluar pemain ini dari Turin adakah beliau memiliki pemain lain dalam senarainya sebagai pengganti kepada bintang Chile ini?

Apapun keputusan yang bakal dilakukan Van Gaal (sama ada mahu terus berbelanja atau tidak), tanda-tanda bahawa United bakal sukses mengharungi musim 2014-15 sudah pun kelihatan sepanjang aksi pra musim mereka. Ada pihak mengatakan bahawa sasaran membawa trofi Liga Perdana pulang semula ke Old Trafford adalah realistik untuk diletakkan ke atas Van Gaal (atas kapasiti pengalaman dan kejayaan yang pernah diraihnya sebelum ini). Bagaimanapun saya tetap beranggapan bahawa meletakkan United kembali di kelompok empat teratas tetap satu kejayaan buat beliau pada musim pertamanya bersama kelab. Walaupun saya masih menanti dan berharap akan ada pemain baharu yang bakal dibawa masuk Van Gaal untuk memperkuatkan skuadnya, saya juga dalam masa yang sama tetap percaya jika perkara itu tidak berlaku, United di bawah kendalian beliau musim ini tetap mampu mencabar pesaing-pesaing domestik lain. Van Gaal sudah membuktikan kemampuannya ketika bersama Ajax Amsterdam, Barcelona, AZ Alkmaar dan Bayern Munich manakala dengan rata-rata pemain muda yang dimilikinya, beliau berjaya mengemudi skuad kebangsaan Belanda hingga ke separuh akhir kejohanan Piala Dunia 2014. Dengan The Red Devils kini di bawah kendalian Van Gaal, ramai pihak optimis bahawa United akan kembali digeruni, malah ada juga yang sudah berani meletakkan kelab sebagai antara calon pilihan menjulang trofi Liga Perdana musim ini. Bagi saya dan anda selaku penyokong United, bermulanya saingan musim baharu kali ini bukan sekadar menandakan bermulanya cabaran baharu, tetapi lebih daripada itu ia turut menandakan bermulanya harapan baharu, era baharu dan paling penting kita mahu menyaksikan United kembali bernafas. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

04 Ogos 2014

ADAKAH YOUNG SUDAH BANGKIT DARI LENA YANG PANJANG?

Menang ke atas Real (Madrid) dalam mana-mana pertandingan tetap sesuatu yang menggembirakan apatah lagi ianya dicapai dengan margin jaringan yang saya kira agak selesa iaitu 3-1. Walaupun perlawanan ini sekadar perlawanan pemanas badan pra musim, kemenangan ke atas juara Eropah itu tetap penting dalam melonjakkan moral pemain-pemain sebelum berlangsungnya sepak mula musim baharu. Memang benar Real tidak menurunkan pemain terbaik mereka dan juga pemenang Ballon d’Or (Cristiano Ronaldo) serta pembelian baharu musim panas, Toni Kroos namun skuad Carlo Ancelotti yang beraksi di Ann Arbor tempohari masih dibarisi bintang-bintang kelas dunia. Iker Casillas, Pepe, Sergio Ramos, Alvaro Arbeloa, Xabi Alonso, Luca Modric dan Gareth Bale bukan nama asing dalam kesebelasan utama mereka, jadi saya kurang setuju dengan pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa Ancelotti hanya menurunkan separuh kekuatan skuadnya dalam perlawanan itu. Apapun keputusan perlawanan akhir International Champions Cup menentang Liverpool nanti, saya tetap berpuashati melihat corak permainan kelab sepanjang kempen pra musim mereka kali ini. Selain gembira melihat prestasi keseluruhan yang ditunjukkan anak-anak buah Louis Van Gaal, saya juga sedikit terkejut melihat prestasi Ashley Young di Amerika Syarikat. Musim lalu prestasi Young langsung tidak menggambarkan bahawa beliau adalah pemain kebangsaan England dan bermain untuk kelab besar seperti United.

Saya antara majoriti penyokong-penyokong United yang begitu kecewa melihat prestasi hambar ditunjukkan bekas pemain Aston Villa itu musim lalu dan kekecewaan itu sebenarnya masih terbawa-bawa sebelum rombongan The Red Devils memulakan kempen pra musim mereka di bumi Amerika Syarikat. Ramai penyokong-penyokong United berharap agar Van Gaal menggugurkan nama Young dari senarai skuad yang bakal di bawanya ke kempen pra musim dan saya mengakui bahawa saya juga tidak terkecuali. Bagaimanapun Young mengejutkan saya dan pengkritik-pengkritiknya apabila beliau antara pemain yang cemerlang ketika United membelasah LA Galaxy selepas menyumbang dua gol dalam perlawanan tersebut. Itu adalah perlawanan pertama kempen pra musim United dan LA Galaxy juga bukanlah lawan yang setaraf untuk mengukur sejauh manakah Young sudah bangkit kembali dari prestasi buruknya. Jika menentang anak-anak buah Bruce Arena bukanlah kayu ukur sebenar untuk menilai kebangkitan Young, bagaimana pula dengan prestasi dan dua gol yang dihasilkannya ke gawang Real? Kemenangan selesa yang dicatatkan ke atas Real agak mengejutkan tetapi persembahan yang dipamerkan Young lebih mengejutkan. Ketika bersama Villa dan selepas itu tiga musim di Old Trafford, Young lebih dikenali kerana peranan yang dimainkannya sebagai pemain sayap yang memerlukan beliau melakukan hantaran-hantaran lintang di hadapan pintu gol lawan untuk disudahkan barisan penggempur. Musim lalu kualiti tersebut (hantaran-hantaran lintangnya) tenggelam bersama-sama prestasi buruknya hinggakan penyokong-penyokong berharap agar nama Young diletakkan dalam senarai pemain yang akan dijual musim panas ini.

Di Amerika Syarikat, Young seolah-olah dibangkitkan kembali dari lena yang panjang menerusi prestasi yang dipamerkannya. Berbeza dengan peranan yang dimainkannya selama bertahun-tahun sebelum ini, Young kini berikan watak berbeza dalam kesebelasan United. Dalam sistem permainan 3-5-2 yang diamalkan Van Gaal, fungsi dimainkan Young ialah sebagai wing back yang menuntut kepantasan beliau ketika pasukan melakukan serangan dan segera turun ke bawah membantu tiga bek tengah ketika bertahan. Biarpun selama bertahun-tahun dikenali sebagai pemain sayap, Young nampaknya tidak kekok menggalas tugas baharunya selaku wing back di bawah sistem 3-5-2 Van Gaal. Selepas pertemuan menentang Real tempohari, Young nampaknya menikmati peranan baharu yang dimainkannya (selaku wing back) dan untuk itu beliau sepatutnya berterima kasih kepada Van Gaal kerana bijak memanipulasi kebolehannya sekaligus memberikan nafas baharu kepada karier beliau bersama kelab. Melihat kepada persembahannya ketika berdepan Inter Milan, sukar untuk kita percaya bahawa perlawanan itu adalah kali kedua Young memikul tugas sebagai wing back di mana beliau pada awalnya bermula di sebelah kiri dan kemudiannya mengakhiri perlawanan di sebelah kanan. Meskipun mampu beraksi di sebelah kiri atau kanan, Young tetap mengakui bahawa posisi kegemarannya ialah di sebelah kiri, di mana beliau sering menggunakan kaki kanannya untuk membawa bola masuk ke dalam sebelum melakukan hantaran kepada rakan di bahagian tengah ataupun penyerang.

Musim lalu adalah musim yang suram buat keseluruhan kempen United dan Young juga tidak terkecuali. Ramai yang berharap perlantikan Van Gaal sebagai pengurus bakal membawa kembali sinar di Old Trafford sekaligus memberikan nafas baharu kepada kelab dan penyokong-penyokong yang terpaksa berdepan antara tempoh paling sukar sejak lebih sedekad. Young antara pemain yang bernasib baik kerana beliau pantas menyesuaikan diri dengan posisi baharu yang diberikan Van Gaal dan nampaknya beliau menikmati sepenuhnya peranan baharu yang dimainkannya itu. Apa yang sudah beliau pamerkan sepanjang kempen pra musim setakat ini juga satu petanda bagus terutamanya selepas kelab kehilangan khidmat Patrice Evra yang memilih berhijrah ke Juventus. Evra sudah mendominasi posisi bek kiri selama bertahun-tahun, jadi sudah tentulah sukar untuk mencari pengganti setaraf beliau di posisi tersebut. Saya akui bahawa Luke Shaw adalah pengganti berpotensi buat Evra tetapi kehadiran Young bakal menyaksikan saingan merebut posisi selaku bek kiri atau wing back lebih menarik. Prestasi keseluruhan Young ketika menentang Real mungkin menyebabkan kita sukar untuk mempercayai bahawa inilah pemain yang musim lalu menyebabkan sebahagian besar penyokong-penyokong United hilang sabar. Sepanjang musim lalu, Young teruk dikritik tetapi beliau akhirnya memilih waktu yang tepat untuk kembali bangkit menawan semula hati penyokong-penyokong United dan lebih penting beliau juga perlu menawan hati pengurus untuk terus diberikan kepercayaan disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Musim lalu adalah cabaran sukar buat Young (mungkin juga yang paling sukar sepanjang kariernya), diejek penyokong-penyokong akibat prestasinya yang jatuh menjunam  hinggalah kemuncaknya apabila nama beliau tercicir dari skuad Piala Dunia England di Brazil. Di bawah kendalian Van Gaal, Young perlu sedar bahawa tiada lagi ruang untuk beliau melakukan kesilapan dan peluang yang diberikan pengendali itu perlu digunakan sebaik-baiknya. Sekarang adalah peluang terbaik buat mana-mana pemain mencuri perhatian Van Gaal dan setakat ini Young bijak memanfaatkan kesempatan yang diberikan oleh pengurus kepada beliau. Apa yang perlu dilakukan Young selepas ini ialah cuba mengekalkan prestasinya bagi memastikan agar nama beliau menjadi pilihan automatik dalam kesebelasan utama Van Gaal. Musim lalu saya cukup kecewa dengan prestasi yang beliau tunjukkan tetapi kini saya lega melihat kebangkitan semula Young serta kagum dengan kemampuan beliau yang pantas menyesuaikan diri di posisi baharu. Aksi-aksi di Amerika Syarikat hanyalah medan pemanas badan buat United sebelum musim kompetitif bermula tetapi buat pemain seperti Young, ini adalah detik permulaan untuk bangkit kembali. Selepas berjaya membantu kelab menjulang trofi liga buat kali ke-20, Young 'terlena' selama semusim, namun saya berharap prestasi yang dipamerkannya dalam perlawanan-perlawanan pra musim setakat ini satu petanda bahawa beliau sudah kembali dari lena yang panjang. Semoga dengan kembalinya Young kepada prestasi terbaiknya serta kemampuan beliau menyesuaikan diri di posisi baharu selaku wing back, kita tidak perlu meratapi pemergian Patrice Evra sebaik sahaja bermulanya saingan liga nanti. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

03 Ogos 2014

PILIHAN YANG ADA SELAIN VIDAL

Spekulasi perpindahan Arturo Vidal ke Manchester United terus hangat diperkatakan walaupun kelab yang diwakili beliau (Juventus) masih bertegas mengatakan bahawa pemain antarabangsa Chile itu akan kekal di Turin. Vidal adalah tonggak di bahagian tengah buat juara Scudetto sebanyak 30 kali itu sejak berpindah dari Bayer Leverkusen pada 2011. Jadi sudah semestinya juga Massimiliano Allegri sedar bahawa tugas utamanya selepas mengambil alih jawatan yang dikosongkan Antonio Conte ialah memastikan agar Vidal tidak ke mana-mana musim panas ini. Saya tidak pasti tentang kebenaran spekulasi ini (berkaitan minat United terhadap Vidal) kerana sehingga setakat ini, tiada sebarang laporan rasmi bahawa kelab sudahpun melakukan tawaran bagi membawa keluar pemain itu dari Turin. Spekulasi terbaharu yang saya baca berkaitan perpindahan Vidal ke Old Trafford ialah menerusi laporan yang diterbitkan Metro (portal berita sukan di England) bahawa kelab sudahpun menyediakan dana sebanyak £48 juta bagi mendapatkan khidmatnya. Lebih menarik lagi, Metro juga mendakwa bahawa United bakal memberikan jersi ikon nombor 7 untuk disarung pemain itu sebaik sahaja urusan perpindahan beliau berjaya dimuktamadkan secara rasmi. Jika diambilkira laporan-laporan terkini yang diterbitkan media (terutamanya di England), perpindahan Vidal ke Old Trafford seolah-olah semakin hampir menjadi kenyataan.

Arturo Vidal
Bagaimanapun sepertimana lazimnya, selagi perpindahan Vidal (ke Old Trafford) tidak diumumkan secara rasmi, spekulasi tetap sekadar spekulasi. Mungkin sahaja perpindahan Vidal boleh menjadi kenyataan, mungkin sahaja tidak dan sehingga pemain itu tidak menurunkan tandatangannya pada dokumen kontrak, kepastian tentang hala tuju sebenar beliau masih lagi samar biarpun Andrea D'Amico (agen Vidal) mendakwa bahawa kliennya itu mahu meninggalkan Turin. Menurut laporan-laporan media, Louis Van Gaal diberitakan begitu berminat mendapatkan khidmat Vidal bagi memperkuatkan bahagian tengah pasukannya dan desas-desus penjualan Marouane Fellaini ke Napoli pada pandangan saya menguatkan lagi andaian bahawa kelab sedang berusaha menandatangani seorang midfielder baharu. Jika benar Fellaini bakal meninggalkan kelab, siapakah pemain yang akan dibawa masuk Van Gaal bagi menggantikan bekas pemain Everton itu? Setakat ini nama yang sering disebut-sebut dan paling hampir sudah tentu Vidal, hinggakan United sanggup berbelanja besar bagi mendapatkan khidmat pemain berusia 27 tahun itu. Sepertimana yang saya sebutkan mula-mula tadi, Juventus nampaknya keberatan melepaskan Vidal pergi dan jika mereka berjaya memujuk pemain itu untuk terus kekal beraksi di Turin, midfielder manakah yang mungkin menjadi alternatif Van Gaal jika usaha beliau mendapatkan Vidal menemui jalan buntu?

William Carvalho
Salah seorang pemain yang sejak beberapa bulan lalu sering disebut-sebut berada dalam radar buruan kelab ialah tonggak Sporting Lisbon, William Carvalho. Pada usia baru mencecah 22 tahun, pemain antarabangsa Portugal itu disebut-sebut bakal muncul bintang besar dunia suatu hari nanti. Carvalho adalah contoh seorang pemain tengah moden menerusi kemampuannya menjana jentera tengah selain berperanan sebagai 'perosak' tempo permainan lawan. Carvalho gemar bermain hantaran-hantaran pendek menerusi sentuhan satu dua menjadikan beliau begitu ideal buat pasukan yang sering mengamalkan taktik serang balas pantas. Bersama Sporting Lisbon, Carvalho diberikan tugas sebagai single holding midfielder dalam formasi 4-3-3 yang sering digunakan Leonardo Jardim musim lalu, sekaligus memberikan beliau lebih kebebasan ketika melakukan serangan mahupun ketika bertahan. Jika United mahukan seorang pemain tengah yang berpengalaman, Carvalho bukanlah pilihan yang tepat meskipun beliau dilabel antara bakat sedang meningkat naik di Eropah ketika ini. Tambahan pula prestasinya ketika berdepan kelab-kelab besar sering dijadikan bahan kritikan. Ketika kebanyakkan penyokong-penyokong United mengarahkan tumpuan mereka kepada spekulasi perpindahan Vidal, di Sepanyol pula Real Madrid sedia mendengar mana-mana tawaran bagi mendapatkan khidmat Sami Khedira. Sekiranya pengalaman menjadi antara kriteria utama, United sepatutnya menyertai Arsenal dan Chelsea dalam perlumbaan mendapatkan tandatangan Khedira yang pertengahan bulan lalu muncul juara dunia di Brazil bersama skuad kebangsaan Jerman.

Sami Khedira
Musim lalu Khedira hanya tampil sebanyak 12 perlawanan untuk Real (Madrid) di pentas La Liga dan kehadiran Toni Kroos yang dibawa masuk dari Bayern Munich menyebabkan sebarang kemungkinan Khedira meninggalkan Santiago Bernabeu semakin besar. Saya berpendapat Khedira adalah calon alternatif paling cocok sekiranya kelab gagal mendapatkan khidmat Vidal, malah tidak keterlaluan juga jika saya katakan bahawa beliau (Khedira) berada di level yang sama dengan pemain Juventus itu. Bukan sedikit pengalaman yang sudah diraih Khedira di peringkat kelab mahupun antarabangsa terutamanya selepas empat musim beraksi untuk Real dan skuad kebangsaan Jerman pula sejak 2009. Jika mahu bercakap tentang harga pula, nilai sekitar £23 juta yang diletakkan Real ke atas Khedira jauh lebih murah berbanding Vidal dan sudah tentu jugalah nilai sebanyak itu untuk pemain yang memiliki kelas seperti Khedira amat berbaloi untuk dibelanjakan. Cuma yang menjadi persoalan utama sekarang adakah Van Gaal berminat menyertai Arsene Wenger dan Jose Mourinho dalam perlumbaan mendapatkan khidmat Khedira jika beliau gagal membawa Vidal beraksi di Old Trafford? Selepas Carvalho dan Khedira, alternatif lain yang ada ialah membawa Paul Pogba pulang semula ke Old Trafford tetapi sebarang kemungkinan menyaksikan Pemain Muda Terbaik Piala Dunia 2014 itu menyarung kembali jersi United cukup tipis.

Paul Pogba
Keputusan Sir Alex Ferguson melepaskan pemain itu ke Juventus pada 2012 antara kesilapan besar yang pernah dilakukan beliau sepanjang kariernya sebagai pengurus di Old Trafford. Mungkin jika Sir Alex berjaya memujuk Pogba agar lebih bersabar menanti peluang beraksi dalam skuad utama, kelab tidak akan mengalami masalah ketandusan bakat di bahagian tengah sepertimana dialami mereka musim lalu. Jika anda memasang impian mahu melihat pemain itu kembali semula ke Old Trafford, anda juga perlu mengakui bahawa Pogba kini adalah pemain yang berbeza berbanding dua atau tiga tahun yang lalu. Dengan label Pemain Muda Terbaik Piala Dunia yang disandangnya, harga Pogba sudah tentu melonjak tinggi, tambahan pula kelibat pemain berusia 21 tahun itu turut menarik perhatian beberapa kelab besar lain seperti Real Madrid, Manchester City dan Chelsea. Melihat kepada sumbangan yang sudah beliau berikan bersama Juventus sejak 2012 dan skuad kebangsaan Perancis di Piala Dunia yang lalu, tidak syak lagi bahawa Pogba adalah antara alternatif terbaik buat Van Gaal jika beliau gagal menandatangani Vidal. Walaupun kita terpaksa mengakui bahawa membawa Pogba kembali ke Old Trafford adalah tugas sukar dan hampir mustahil tetapi saya masih memasang impian mahu melihat “next Patrick Vieira” ini menyarung semula jersi United suatu hari nanti. Selain dari tiga pemain yang saya sebutkan di atas (Carvalho, Khedira dan Pogba) ada beberapa lagi pilihan yang mungkin boleh dipertimbangkan andainya misi membawa Vidal menyertai United menemui jalan buntu.

Javi Martinez
Di Bundesliga umpamanya ada Javi Martinez yang gagal merebut tempat dalam kesebelasan utama Bayern Munich berikutan persaingan hebat di bahagian tengah juara Bundesliga itu. Berbeza dengan Vidal yang merupakan box to box midfielder, peranan yang dimainkan Martinez pula lebih sedikit ke belakang yang menuntut kualitinya ketika bertahan. Jika Van Gaal menggunakan formasi 3-5-2, Martinez adalah pilihan sesuai bagi melengkapkan formasi tersebut. Dalam skuad VfL Wolfsburg pula ada Luiz Gustavo, antara pemain Brazil yang begitu cemerlang di pentas Piala Dunia lalu. Sumbangan Gustavo di bahagian tengah dalam skuad kendalian Luiz Fillipe Scolari di Piala Dunia pada pandangan saya paling menonjol berbanding pemain-pemain tengah Brazil yang lain seperti Oscar, Ramires dan Paulinho. Gustavo sentiasa berada di kawasan lawan ketika Brazil melancarkan serangan dan ketika bertahan beliau pantas turun ke bawah bagi melindungi empat pemain di benteng pertahanan. Paling penting, kelebihan yang dimiliki pemain ini ialah kemampuannya dalam melakukan terjahan-terjahan kemas bagi menganggu tempo permainan lawan. Alternatif terakhir yang mungkin boleh difikirkan Van Gaal sebagai pengganti Vidal ialah Kevin Strootman.

Kevin Strootman
Saya meletakkan Strootman sebagai alternatif terakhir bukan disebabkan kemampuannya tetapi kerana kecederaan panjang yang dialaminya sejak April lalu. Jika tidak kerana kecederaan yang memaksa beliau berehat hingga Disember nanti, saya percaya Strootman pastinya berada di kedudukan teratas pemain yang paling ingin diburu Van Gaal musim panas ini berbanding Vidal. Bukan rahsia lagi bahawa Van Gaal cukup meminati gaya permainan Strootman, malah selain Robin Van Persie dan Arjen Robben, pemain AS Roma itu antara nama yang wajib ada dalam setiap perancangan dan strategi yang ingin dilakar beliau ketika melatih skuad kebangsaan Belanda. Jadi tidak hairan jugalah jika Strootman muncul pemain pertama yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sebaik sahaja nama Van Gaal disahkan secara rasmi sebagai pengendali United musim ini. Saya tidak pasti andainya Van Gaal gagal mendapatkan Vidal, adakah beliau sanggup bersabar menunggu hingga Januari nanti sebelum meneruskan semula usahanya membawa Strootman ke Old Trafford. Akhir sekali saya sebenarnya bukanlah peminat Vidal tetapi tetap mengalu-alukan sekiranya kelab berhasrat mendapatkan khidmat pemain ini. Jika memang benar Van Gaal mahukan Vidal beraksi untuk United, itu bermakna beliau melihat pemain ini mampu memberikan sumbangan berkesan kepada bahagian tengah pasukannya yang musim lalu sering dijadikan sasaran kritikan oleh penganalisa bolasepak dan penyokong-penyokong United sendiri.

Dengan nilai mencecah hingga £48 juta yang bakal dibelanjakan kelab ke atas pemain ini, sudah tentulah perpindahan Vidal ke Old Trafford merupakan perpindahan saga yang akan memecahkan rekod kelab jika ianya menjadi kenyataan. Saya akui Vidal adalah antara pilihan terbaik bagi memperkuatkan jentera tengah United kerana kebolehan yang dimilikinya ketika menyerang mahupun bertahan, memiliki kekuatan dalam melakukan terjahan dan 'enjin' buat Juventus serta skuad kebangsaan Chile menerusi usaha tidak pernah kenal penatnya mengawal setiap inci padang selama 90 minit permainan. Cuba anda bayangkan bagaimanakah agaknya ancaman yang mampu dihadirkan The Red Devils sekiranya nama Vidal, Ander Herrera dan Juan Mata tersenarai di bahagian tengah dalam kesebelasan utama Van Gaal. Mungkin ada sesetengah pihak mengatakan bahawa nilai sebanyak £48 juta terlalu tinggi untuk dibelanjakan ke atas seorang pemain yang sudahpun berusia 27 tahun. Bagaimanapun, saya tetap berpendapat bahawa nilai sebanyak itu adalah harga yang perlu dibayar jika kehadiran Vidal mampu menyelesaikan masalah di bahagian tengah dan menjadikan lawan kembali gerun setiap kali mereka mendengar nama Manchester United. Setiap pembelian pemain yang dilakukan oleh mana-mana kelab tetap merupakan satu perjudian tetapi untuk mendapatkan seorang pemain yang punya kualiti dan kelas seperti Vidal, keluarga Glazer perlu bersedia untuk berjudi dan melihat wang simpanan mereka di bank susut lagi sebanyak £48 juta. Glory Glory Manchester United!!! – A.J