30 Mei 2017

REVIEW MUSIM 2016/17 (BAHAGIAN AKHIR): BARISAN TERMUDA MENUTUP TIRAI DAN KEMBALINYA UNITED KE LIGA JUARA-JUARA




Dua keputusan seri di penghujung musim ketika berdepan Manchester City dan Swansea menyebabkan Mourinho terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada perjuangannya untuk meletakkan United di posisi empat teratas. Ketika mendapati pintu merebut posisi empat teratas hampir tertutup rapat, beliau mula memberikan peluang buat pemain-pemain muda melakukan penampilan di Liga Perdana.

Perubahan drastik sudah mula Mourinho lakukan ketika skuadnya bertandang ke Stadium Emirates di mana beliau memberikan penampilan kepada Axel Tuanzebe dan Scott Mc Tominay. United tewas 0-2 kepada Arsenal dalam perlawanan itu tetapi penampilan Tuanzebe yang berjaya merantai pergerakan Alexis Sanchez sangat mencuri tumpuan.

Skuad Termuda Dalam Sejarah Liga Perdana...

Keputusan Mourinho menurunkan Joel Pereira (20 tahun), Axel Tuanzebe (19 tahun), Josh Harrop (21 tahun), Demetri Mitchell (20 tahun), Timothy Fosu-Mensah (19 tahun) dan Scott Mc Tominay (20 tahun) pada aksi terakhir liga menentang Crystal Palace menyaksikan United mencipta rekod sebagai pasukan yang menurunkan barisan termuda dalam sejarah Liga Perdana.

Purata umur barisan pemain yang diturunkan Mourinho ketika melayan kunjungan Crystal Palace di Old Trafford 21 Mei lalu ialah 22 tahun, 284 hari dan tambah menarik apabila Angel Gomes pula muncul pemain kelahiran tahun 2000 pertama yang beraksi di Liga Perdana. Meskipun cuma bermain selama enam minit, Gomes turut mencatat rekod sebagai pemain termuda yang pernah beraksi di Liga Perdana. 

Walau bagaimanapun rekod pemain termuda yang pernah beraksi di pentas tertinggi liga Inggeris kekal di pegang Duncan Edwards yang masih bertahan selama 64 tahun. Saat beliau diturunkan menggantikan Wayne Rooney, Gomes berusia 16 tahun, 8 bulan dan 21 hari, manakala Edwards pula ketika beliau melakukan debut-nya pada 4 April 1953 berusia 16 tahun, 6 bulan dan 3 hari.

Misi Empat Teratas Yang Gagal Disempurnakan....

Mourinho gagal mengotakan janji beliau di awal musim untuk sekurang-kurangnya meletakkan United di posisi empat teratas. Untuk berlaku adil kepada beliau, saya secara peribadi tidak meletakkan sebarang harapan mahu melihat kelab kembali menjulang trofi Liga Perdana pada musim pertama Mourinho di Old Trafford.

Musim pertama ialah musim `pengenalan’ untuk Mourinho, mengkaji kekuatan dan kelemahan skuad yang dimilikinya, serta apa yang perlu beliau perbaiki supaya United muncul barisan lebih kuat pada musim kedua beliau di Old Trafford nanti. Jadi sasaran empat teratas merupakan misi paling realistik untuk Mourinho sempurnakan pada musim pertamanya.

Krisis kecederaan yang melanda beberapa pemain utama dan jadual padat yang terpaksa dihadapi skuadnya antara faktor yang mengagalkan misi Mourinho memburu posisi empat teratas selain terlalu banyak keputusan seri yang dicatatkan United musim lalu. Dengan kualiti yang ada dalam pasukan, secara peribadi saya berpendapat United sepatutnya menamatkan saingan liga di kedudukan lebih baik dan 24 mata di belakang Chelsea selaku juara satu jurang yang sangat besar.

Pemain Terbaik...

Ander Herrera dipilih sebagai pemenang trofi Sir Mat Busby (Pemain Terbaik Tahunan) selepas persembahan cemerlang yang dipamerkan beliau di bahagian tengah United sepanjang musim lalu. Pemilihan Herrera bukanlah sesuatu yang mengejutkan walaupun pada awalnya Zlatan Ibrahimovic diletakkan calon pilihan untuk meraih anugerah ini selepas beliau meledak 28 gol untuk United.

Sejak menyertai United tiga tahun lalu, musim 2016-17 saya anggap musim terbaik beliau bersama kelab. Dianggap antara nadi penting di bahagian tengah, Herrera memainkan peranannya dengan cukup berkesan sama ada ketika beliau ditugaskan untuk menganggu tempo permainan lawan atau ketika dalam situasi ofensif menerusi hantaran-hantaran tepatnya kepada rakan di barisan hadapan.

Selain memiliki mobiliti tinggi dalam permainannya, Herrera juga mampu membentuk gandingan mantap sama ada ketika beliau digandingkan bersama Michael Carrick atau Marouane Fellaini. Musim lalu Herrera melakukan 31 penampilan untuk United dalam saingan liga, menjaringkan satu gol, mencipta enam assist dan melakukan 1,787 hantaran di mana peratus ketepatan hantarannya mencapai 88%.

Fenomena Ibra...

Tidak perlu dipertikaikan bahawa Zlatan Ibrahimovic merupakan pemain United paling sensasi sepanjang musim lalu menerusi 28 gol yang beliau ledak dalam semua peringkat kejohanan. Di peringkat liga pula, Ibra menjaringkan 17 gol untuk United sekaligus muncul penjaring terbanyak kelab sepanjang musim lalu.

Jika tidak kerana faktor kecederaan yang menyebabkan Ibra terlepas baki tujuh aksi liga musim lalu serta saingan Liga Europa, saya yakin beliau mampu melepasi angka 30 gol semusim dengan mudah walaupun di peringkat awal kehadiranya kemampuan Ibra selaku penyerang unggul diragui ramai pihak.

Unggulnya Ibra sebagai penyerang bukan sekadar jumlah jaringan yang beliau hasilkan untuk United tetapi juga kemampuan beliau membuka peluang buat rakan-rakan sepasukan. Dari 28 penampilan liga, Ibra mencipta 46 peluang di mana lima dari jumlah tersebut berakhir dengan assist.

United Sudah Memiliki Pengganti Cristiano Ronaldo?...

Kecederaan serius yang dialami Zlatan Ibrahimovic hingga menyebabkan beliau terpaksa berehat panjang membuka peluang buat Marcus Rashford membuktikan kemampuannya selaku penyerang utama United pada baki saingan musim lalu. Masih muda, memiliki kelajuan serta kawalan bola menarik, Rashford memainkan peranan penting terutamanya di sebalik kejayaan United mara ke final Liga Europa.

Jaringan menerusi sepakan percuma ketika pertemuan pertama peringkat separuh akhir menentang Celta Vigo di Balaidos memberikan kelebihan gol di gelanggang lawan kepada United. Prestasi terpuji Rashford diteruskan beliau pada perlawanan kedua di Old Trafford menerusi sumbangan assist-nya yang membawa kepada gol jaringan Marouane Fellaini.

Michael Owen mengatakan bahawa United bermain lebih baik ketika Mourinho meletakkan Rashford sebagai penggempur utama kerana mereka mula menjaringkan gol menerusi gerakan-gerakan berpasukan. Manakala Thierry Henry pula meramalkan anak muda lulusan akademi United ini akan menjadi igauan ngeri kepada mana-mana pertahanan lawan selepas beliau memperbaiki beberapa aspek dalam permainannya.

Paling menarik tentunya pandangan yang dilontarkan bekas penggempur terbilang England, Gary Lineker. Menurut Lineker, United sebenarnya sudah memiliki `Next Cristiano Ronaldo’ dalam diri Rashford selain tertarik dengan karakter pemain berusia 19 tahun itu. Kemunculan Rashford saya anggap satu fenomena dan sama seperti Ronaldo beliau melakukan penampilan di Liga Perdana pada usia remaja sebelum berkembang menjadi pemain kelas dunia.

Berakhirnya Era Rooney?...

Setakat ini masih belum dapat dipastikan masa depan Wayne Rooney bersama kelab, namun jika diambilkira penampilan beliau di era Mourinho, kita mungkin sudah boleh meneka bahawa musim lalu mungkin menjadi musim terakhir Rooney di Old Trafford. Jarang diturunkan manakala posisi selaku penyerang tengah yang dahulunya didominasi Rooney kini diambil alih pula oleh penyerang yang lebih muda seperti Marcus Rashford atau Anthony Martial.

Dengan desas desus bahawa James Rodriguez bakal menyertai United masih kuat kedengaran, Rooney juga mungkin mendapati peranan selaku pemain nombor 10 yang sering beliau mainkan dalam tempoh dua atau tiga musim terakhir bakal terancam. Rooney perlu mencari haluan baharu bagi menyelamatkan kariernya dan kembali ke tempat di mana beliau bermula (Goodison Park) serta menamatkan kariernya di sana adalah pilihan terbaik yang perlu beliau pertimbangkan.

Posisi Yang Perlu Di Perkuatkan...

Benteng pertahanan, bahagian tengah dan jentera serangan antara posisi yang saya kira bakal menjadi fokus utama Mourinho untuk beliau perkuatkan bagi menghadapi cabaran musim baharu. Dengan prestasi tidak konsisten yang dipamerkan Chris Smalling manakala Phil Jones pula kerap keluar masuk ke bilik rawatan, penting bagi Mourinho mendapatkan seorang centre back baharu untuk memperkuatkan bahagian belakang skuadnya.

Di bahagian tengah pula tugas besar menanti Mourinho untuk mencari pengganti jangka panjang Michael Carrick, `maestro’ yang sudah memainkan peranannya dengan cukup berkesan selama bertahun-tahun sejak ketibaannya di Old Trafford pada 2006. Pada usia 35 tahun, Carrick sudah berada di penghujung kariernya dan sudah tentu juga beliau tidak akan mampu bermain di tahap tertinggi setiap minggu.

Eric Dier, Tiemoue Bakayoko dan Toni Kroos antara nama yang sering disebut-sebut menjadi sasaran United sebagai `successor’ Carrick sebaik jendela perpindahan pemain musim panas dibuka nanti. Di barisan hadapan pula sudah tentu kita menanti dengan penuh teruja siapa yang bakal ditandatangani Mourinho untuk mengisi posisi Zlatan Ibrahimovic selaku penyerang tengah.

Antoine Griezmann sudah berbulan-bulan disebut-sebut sebagai calon paling cocok mengisi posisi Ibra namun jika bintang Perancis itu menolak perpindahan ke Old Trafford, saya percaya Mourinho masih memiliki pilihan lain untuk beliau gandingkan bersama Marcus Rashford dan Anthony Martial di barisan hadapan. Kylian Mbappe, Alvaro Morata, Andrea Belotti dan Karim Benzema antara opsyen yang ada di luar sana.

Adakah Mourinho Berjaya Pada Musim Pertamanya Di Old Trafford?...

Mourinho gagal dalam misinya meletakkan kelab di posisi empat teratas Liga Perdana tetapi kegagalan tersebut ditebus beliau menerusi kejayaan menjulang trofi Liga Europa. Selain itu sebagai bonus tambahan, Mourinho juga berjaya menghadiahkan trofi Perisai Komuniti dan Piala Liga dalam kabinet kejuaraan kelab, lantas menutup musim pertamanya di Old Trafford dengan tiga piala.

Selepas kegagalan melaksanakan misi awalnya di liga domestik, Mourinho akhirnya memilih cara yang boleh dianggap sangat bergaya untuk meletakkan kelab kembali ke pentas Liga Juara-Juara menerusi kejayaan menjulang trofi Liga Europa di Friends Arena. Dan kejayaan menjulang trofi Liga Europa saya harap langkah pertama United di era Mourinho untuk kembali menakluk pentas Liga Juara-Juara.

14 tahun lalu, beliau memenangi Piala UEFA (sekarang Liga Europa) pada musim pertamanya bersama FC Porto dan setahun berikutnya gergasi Portugal itu menakluk pula pentas Liga Juara-Juara menerusi sentuhan magis Mourinho. Musim depan, kita berharap magis yang sama mampu diulangi Mourinho selepas kejayaan beliau mengemudi kelab memenangi Liga Europa buat pertama kali.

Individu berkarisma yang telah memenangi banyak trofi ini dipilih kerana kelab merasakan beliau calon paling sesuai untuk mengembalikan United kepada zaman kegemilangannya. Mourinho memiliki pencapaian menakjubkan di Portugal, England, Itali dan Sepanyol walaupun kepulangan semula beliau ke Stamford Bridge pada 2013 berakhir dengan kekecewaan.

Jika 13 tahun lalu penyokong-penyokong United melabelkan Mourinho sebagai `manusia paling angkuh’, ironinya kini di bahu beliaulah segala harapan disandarkan agar sentuhan magisnya mampu meletakkan kelab kembali ke zaman gemilang. Tiga trofi pada musim pertama beliau bukanlah pencapaian yang buruk, dan semoga di musim hadapan United akan lebih digeruni, kembali angkuh dan kembali istimewa di bawah kendalian si `Special One’ ini...Glory Glory Manchester United!!!

28 Mei 2017

REVIEW MUSIM 2016/17 (BAHAGIAN 1): BERMULANYA ERA MOURINHO



Selepas dua musim berada di Old Trafford, Louis Van Gaal akhirnya dipecat meskipun di musim terakhirnya, beliau berjaya meletakkan semula trofi Piala FA di dalam kabinet kejuaraan United. Berjaya mengemudi kelab memenangi kembali Piala FA selepas 12 tahun tetap gagal menyelamat karier Van Gaal sebagai pengurus United apatah lagi corak permainan The Red Devils di bawah kendalian beliau menjadi sasaran kritikan hebat dari para penyokong.

Pada Mei 2016, kelab akhirnya mengumumkan Jose Mourinho sebagai pengganti Van Gaal sekaligus beliau muncul pengurus ketiga United pasca persaraan Sir Alex Ferguson. Meskipun enam bulan sebelumnya beliau dipecat sebagai pengurus Chelsea, pihak pengurusan United tetap melihat Mourinho sebagai individu paling berpotensi untuk mengembalikan semula era kegemilangan kelab dan menjadikan barisan The Red Devils kembali ditakuti.

Langkah Awal Mourinho...

Sebagai pengurus berprofil tinggi, Mourinho tidak berdepan masalah mendapatkan pemain-pemain ternama yang beliau inginkan. Langkah pertama yang beliau lakukan ialah menandatangani Eric Bailly dari Villarreal bagi mengukuhkan benteng pertahanan United. Pada awal bulan Julai, giliran Zlatan Ibrahimovic pula tiba di Old Trafford menerusi perpindahan percuma selepas penyerang unggul Sweden itu mengambil keputusan meninggalkan kota Paris.

Selepas berpuas hati dengan kekuatan benteng pertahanan dan ketajaman di barisan hadapan menerusi kehadiran Bailly dan Ibra, tiba pula masanya untuk beliau menambahkan kreativiti di bahagian tengah. Untuk itu, beliau mengarahkan radarnya ke Signal Iduna Park pula dengan menjadikan Henrikh Mkhitaryan sebagai sasaran.

Tarikan United sebagai antara kelab besar Eropah serta aura Mourinho sebagai pengendali tidak mampu ditolak Mikhi dan pada 6 Julai 2016, beliau akhirnya menandatangani kontrak bersama kelab, hanya lima hari selepas ketibaan Ibra. Sebulan selepas itu, Mourinho melakukan pembelian paling sensasi sepanjang musim panas lalu apabila beliau berjaya membawa kembali Paul Pogba ke Old Trafford.

Khabar-khabar angin tentang kemungkinan kembalinya Pogba ke pangkuan kelab selepas empat tahun beliau meninggalkan Old Trafford yang dibualkan selama berbulan-bulan oleh penyokong-penyokong akhirnya menjadi kenyataan. United melepaskan Pogba secara percuma pada 2012 tetapi mereka terpaksa memecahkan rekod perpindahan dunia milik Gareth Bale untuk mendapatkan kembali khidmat pemain tengah itu.

Pemain Yang Dilepaskan...

Sepanjang musim lalu, Mourinho melakukan `pembersihan’ dengan melepaskan tujuh pemain dari skuad utama United. Victor Valdes, Memphis Depay, Morgan Schneiderlin dan Bastian Schweinsteiger antara pemain senior yang menjadi mangsa. Manakala sembilan pemain muda pula diberikan peluang untuk bertebaran mencari pengalaman dengan menyertai kelab-kelab liga bawahan domestik mahupun sekitar Eropah.

Trofi Pertama...

Selepas menamatkan kempen pra musim mereka, tiba waktunya buat Mourinho menguji sejauh mana kemampuan barisan yang dimilikinya untuk mengharungi musim kompetitif yang panjang. Leicester City selaku juara bertahan Liga Perdana muncul ujian pertama United sebelum menghadapi musim baharu dan trofi Perisai Komuniti ditawarkan sebagai ganjaran kepada pemenang.

Aksi yang dilangsungkan di Wembley pada 7 Ogos itu menyaksikan United keluar sebagai pemenang menerusi ledakan Jesse Lingard dan Zlatan Ibrahimovic manakala Jamie Vardy pula menjaringkan gol tunggal The Foxes. Kejayaan menjulang trofi Perisai Komuniti juga boleh dianggap langkah kanan buat Mourinho pada musim pertamanya di Old Trafford.

Kejuaraan Piala Liga Kelima...

Selepas kejayaan mengemudi kelab memenangi trofi Perisai Komuniti, Mourinho meneruskan `sentuhan emasnya’ apabila sekali lagi berjaya membawa barisan United mara ke Wembley. Kali ini Piala Liga pula menjadi buruan dan Southampton menjadi lawan mereka di final. Dalam laluan ke final kali ini, United menyingkirkan Northampton Town, Manchester City, West Ham dan Hull City.

Meskipun kelab-kelab seperti Arsenal, Chelsea dan Manchester City mengambil pendekatan dengan menurunkan barisan `kedua’ mereka dalam kejohanan ini, Mourinho pula melihat Piala Liga sebagai kejuaraan penting yang wajib United menangi. Akhirnya menerusi dua gol jaringan Ibra dan satu gol sumbangan Lingard, United menewaskan Southampton (3-2) di final.

Ini merupakan kejuaraan Piala Liga pertama United dalam tempoh tujuh tahun selepas kali terakhir mereka menjulang trofi tersebut pada 2010 dan juga kejuaraan kelima sepanjang sejarah kelab. Bagi Mourinho pula, kejuaraan Piala Liga kali ini merupakan kejuaraan keempat beliau sebagai pengurus (3 kali bersama Chelsea) sekaligus menyamai pencapaian Brian Clough dan Sir Alex Ferguson.

Prestasi United Dalam Saingan Liga...

United bermula dengan baik dalam saingan liga selepas mereka mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut ketika menentang Bournemouth, Southampton dan Hull City. Bagaimanapun keyakinan di awal musim untuk menyaksikan kelab kembali mencabar kejuaraan liga disentap jiran sekota selepas United tewas 1-2 dalam aksi `Manchester Derby’ yang dilangsungkan di Old Trafford pada 10 September 2016.

Selepas aksi `Manchester Derby’, United mengharungi 34 perlawanan liga dengan catatan 15 kemenangan, 15 keputusan seri dan empat kekalahan. Sudah tentu kekalahan 0-4 ketika barisan Mourinho berkunjung ke Stamford Bridge merupakan kekalahan terbesar yang dialami mereka dalam saingan liga musim lalu.

Sepanjang saingan liga musim lalu, United menang 18 perlawanan, seri 15 dan kalah lima kali. 18 kemenangan yang diraih barisan Jose Mourinho itu menyaksikan mereka merakam catatan negatif pada musim pertama beliau di Old Trafford. Catatan ini sebenarnya merupakan catatan kemenangan terendah dalam semusim yang diraih kelab dalam sejarah penyertaan mereka di Liga Perdana.

Untuk rekod pada musim 1990-91, United di bawah kendalian Sir Alex Ferguson cuma mencatatkan 16 kemenangan dalam saingan liga, tetapi catatan kemenangan terendah itu sebenarnya berlaku semusim sebelum Liga Perdana diperkenalkan. Manakala pada musim 2013-14 dan musim 2015-16 pula United mencatatkan 19 kemenangan ketika kelab di bawah kendalian David Moyes dan Louis Van Gaal.

Rekod negatif ini juga sebenarnya turut dibantu oleh banyaknya keputusan seri (16 kali) yang dicatatkan United terutamanya ketika mereka beraksi di gelanggang sendiri. Sepuluh keputusan seri ketika United beraksi di Old Trafford satu kerugian yang sangat besar dan penyebab utama mengapa mereka gagal berada di kedudukan posisi empat teratas.

United Beradaptasi Dengan Taktik Mourinho...

Jika anda mengimpikan United bermain bolasepak menarik di era Mourinho, lupakan sahaja hasrat itu kerana bagi beliau kemenangan mengatasi segalanya. Atas sebab itulah mengapa beliau sering dilabel sebagai seorang pengurus yang `pragmatik’ dalam dunia bolasepak kerana sering mengetepikan permainan menarik demi sebuah kemenangan.

Terpulang kepada mana-mana individu untuk menilai apa itu permainan bolasepak menarik kerana hal ini sebenarnya agak subjektif untuk dibincangkan. Sebagai contoh, ketika ramai yang memuji corak permainan tiki taka Barcelona di era Pep Guardiola sebagai mempesonakan, Massimo Moratti pula beranggapan sebaliknya.

Bagi bekas Pengerusi Inter Milan itu, tiki taka yang meresap dalam permainan Barca sangat membosankan untuk ditonton. Menurut Moratti, beliau lebih gemar menyaksikan permainan bolasepak pantas menerusi tiga atau empat kali umpanan yang kemudiannya disudahkan dengan percubaan ke arah gawang lawan.

Secara peribadi, saya beranggapan corak permainan United musim lalu jauh lebih menarik berbanding era Van Gaal. Cuma masalah terbesar yang dihadapi United ialah kebergantungan mereka kepada sentuhan penyudah Ibra dan kurangnya ketajaman dalam menyudahkan peluang hingga menyaksikan mereka mencatat 15 keputusan seri.

Jika aspek ketajaman penyudah dapat diperbaiki dan United berjaya menandatangani pemain sesuai untuk diletakkan di barisan hadapan, percayalah musim depan Mourinho bakal memiliki skuad yang lebih lengkap dan kuat berbanding apa yang beliau miliki sekarang.

Musim lalu, United secara perlahan-lahan sudah mula beradaptasi dengan falsafah bolasepak Mourinho. Sejak kekalahan besar 0-4 di Stamford Bridge pada bulan Oktober, United kemudiannya mengharungi tempoh enam bulan tanpa sebarang kekalahan dalam saingan liga.

Keputusan seri yang dicatatkan ketika berdepan Swansea City 30 April lalu membolehkan United melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada 25 perlawanan. Angka itu juga menyaksikan mereka berjaya meleburkan rekod 24 perlawanan tanpa kalah yang dilakukan barisan 2010-11 pimpinan Sir Alex Ferguson.

25 perlawanan tanpa kalah merupakan rekod baru kelab, tetapi lebih daripada itu saya melihat United sebenarnya sudah mula menyerap falsafah bolasepak Mourinho hingga menyaksikan mereka muncul pasukan yang sukar dikalahkan. Lihat juga bagaimana aksi mereka di pentas final Piala Liga dan Liga Europa.

United tidak mempamerkan corak permainan menarik ketika mereka menewaskan Southampton di final Piala Liga dan hal yang sama juga berlaku di final Liga Europa, tetapi akhirnya The Red Devils tetap keluar sebagai pemenang selepas mereka memanfaatkan kelemahan lawan menerusi strategi tepat yang digunakan Mourinho.


Bagi penyokong United yang menitik beratkan corak permainan bolasepak menarik, anda mungkin boleh memaafkan Mourinho selepas melihat dua kejuaraan major berjaya dimenangi kelab pada musim pertama beliau sebagai pengurus selain tiket beraksi di Liga Juara-Juara musim depan...Glory Glory Manchester United!!!

25 Mei 2017

REVIEW FINAL LIGA EUROPA: SELAMAT KEMBALI KE LIGA JUARA-JUARA MANCHESTER UNITED



Jose Mourinho menamatkan musim pertamanya di Old Trafford dengan cara yang boleh saya anggap `hampir sempurna’ selepas barisan kendalian beliau menjulang trofi Liga Europa buat pertama kali dalam sejarah kelab. Meskipun kejayaan di Stockholm awal pagi tadi tidak mampu menandingi pencapaian `Treble 99’, musim ini United tetap berjaya menambah tiga trofi dalam kabinet kejuaraan mereka di bawah era Mourinho.

Perisai Komuniti, Piala Liga dan kejuaraan Liga Europa yang berjaya dimenangi musim ini boleh dianggap sebagai `Treble Kecil’ dan sudah tentu kejayaan menjulang trofi Liga Europa merupakan langkah pertama United untuk kembali ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. Selepas sekadar menamatkan saingan liga di tangga keenam, kejuaraan Liga Europa penting buat Mourinho untuk memadam kehampaan dalam saingan liga domestik.

Pengalaman Akhirnya Menjadi Penentu...

Meskipun pada awalnya timbul sedikit keraguan tentang kemampuan kelab menangani cabaran barisan muda Ajax Amsterdam, pengalaman akhirnya menjadi jurang pemisah paling ketara antara pasukan yang menang dan yang kalah di Friends Arena awal pagi tadi. Sepertimana dijangka sejak awal, Ajax menerusi pendekatan `Totaalvoetbal’ mereka mendominasi penguasaan bola walaupun di awal permainan United jelas barisan yang lebih berbahaya.

Ajax kendalian Peter Bosz mempamerkan permainan bolasepak ofensif yang sangat menghiburkan tetapi kekurangan pengalaman menyebabkan mereka seperti hilang idea setiap kali masuk ke dalam petak penalti lawan. Kredit juga wajar diberikan kepada barisan pertahanan United yang berjaya mengunci setiap pergerakan Kasper Dolberg hinggakan `Next Van Basten’ itu `hilang’ sepanjang 62 minit aksinya di atas padang.

Ajax sangat bagus ketika memberikan tekanan dan ketika melakukan gerakan, tetapi secara peribadi saya menganggap United lebih berbahaya ketika mereka memiliki peluang. Sepanjang perlawanan Ajax menguasai 64% penguasaan bola, mencipta 12 peluang jaringan dan melepaskan 17 percubaan berbanding United (36% penguasaan bola, mencipta lima peluang dan melakukan 7 percubaan).

Bagaimanapun United memanfaatkan sepenuhnya peluang terhad yang mereka perolehi walaupun lawan menguasai segenap penjuru padang menerusi sentuhan Paul Pogba dan Henrikh Mkhitaryan di minit ke-18 dan 48. Melihat kegagalan barisan hadapan Ajax memanfaatkan peluang sepanjang permainan, saya menganggap United sebenarnya sudah menjulang trofi Liga Europa sebaik Pogba menjaringkan gol pertama lagi.

Akur Sajalah Klaassen...

Kapten Ajax, Davy Klaassen mengkritik permainan bertahan United dan hantaran-hantaran lambung yang dilakukan mereka sepanjang permainan. Ya, saya akui ini bukanlah permainan terbaik, juga bukan permainan menghiburkan yang dipamerkan barisan kendalian Mourinho terutamanya dalam perlawanan akhir seperti ini.

Bagaimanapun sebelum menunding jari kepada pasukan lawan, Klassen sepatutnya terlebih dahulu menyalahkan rakan sepasukan di barisan hadapan yang gagal menghadirkan ancaman kepada Sergio Romero sebagai penyebab utama mengapa Ajax bungkam di Friends Arena.

Mereka menguasai lebih 60% perlawanan dan mencipta lebih banyak peluang tetapi United jelas pasukan yang lebih efektif ketika berada di hadapan pintu gol lawan. Atau lebih tepatnya barisan kendalian Mourinho tahu bagaimana mahu memenangi perlawanan meskipun lawan menguasai sebahagian besar permainan.

Akhirnya akur sahajalah Klaassen bahawa pemenang dalam permainan bolasepak ditentukan menerusi jumlah gol yang dijaringkan bukannya peratus penguasaan bola atau berapa banyak peluang yang berjaya anda cipta. Mungkin kedengaran sedikit tidak adil tetapi itulah bolasepak, kerana pasukan yang bermain bolasepak menarik tidak semestinya keluar sebagai pemenang.

Sentuhan Mourinho...

Anda mahukan trofi....maka saya akan berikan anda trofi”. Kedengaran agak angkuh tetapi Mourinho sudah membuktikan kejayaan beliau memberikan trofi kepada kelab yang dikendalikannya. Saya tidak mahu menoleh kepada rekod silam Mourinho, kerana beliau memang terbukti antara pengendali paling berjaya didunia menerusi deretan trofi yang berjaya beliau menangi.

FC Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid pernah menjadi saksi keberhasilan Mourinho dan kini beliau melakukannya lagi bersama United. Pada musim pertamanya di Old Trafford, Mourinho berjaya mengemudi kelab memenangi tiga kejuaraan selain mengotakan janjinya untuk membawa United kembali bersaing di Liga Juara-Juara.

Kejayaan di Stockholm awal pagi tadi juga menyaksikan Mourinho muncul pengendali pertama United yang berjaya memenangi dua kejuaraan besar (Piala Liga dan Liga Europa) pada musim pertama. Rekod Mourinho di pentas akhir 14 kejuaraan besar pula ialah 12 kemenangan dan dua kekalahan dengan peratus kemenangan di final mencapai 85.7%.

Trofi Liga Europa yang beliau menangi bersama United awal pagi tadi juga menyaksikan Mourinho sudah memenangi empat kejuaraan Eropah sekaligus meletakkan diri beliau dalam kelompok elit bersama-sama Giovanni Trappatoni, Sir Alex Ferguson, Bob Paisley dan Nereo Rocco selaku pengurus paling banyak memenangi trofi di pentas Eropah.

Sindiran Mourinho Untuk Pasukan Di Tangga Ke-2, Ke-3 Dan Ke-4 Liga...

Mourinho memilih untuk meletakkan United kembali ke pentas Liga Juara-Juara dengan cara yang berisiko. Melepaskan misi merebut posisi empat teratas dengan membiarkan Liverpool, Manchester City dan Arsenal bersaing sesama sendiri pada baki aksi penghujung musim demi memberikan fokus kepada final Liga Europa akhirnya membuahkan hasil lumayan.

Selaku pemenang, United secara automatik bakal beraksi di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara tanpa perlu mengharungi perlawanan `play off’ terlebih dahulu. Mourinho akhirnya berjaya mencapai misinya manakala kejayaan United menjulang trofi Liga Europa meletakkan mereka sebagai kelab Inggeris paling berjaya menerusi koleksi 45 kejuaraan major.

Selepas tamat pertarungan di Friends Arena, Mourinho secara sinis mengatakan bahawa beliau lebih gemar meletakkan United di pentas Liga Juara-Juara musim depan atas tiket selaku juara Liga Europa berbanding menamatkan saingan liga di posisi kedua, ketiga atau keempat liga. Bagi Mourinho memenangi kejuaraan satu hal yang cukup penting dan kini perjudian beraninya berhasil.

Tiada Siapa Peduli United Menamatkan Saingan Liga Di Tangga Keenam...

Kejayaan menjulang trofi Liga Europa akhirnya memadam segala kehampaan di liga domestik selepas kelab sekadar menamatkan saingan di tangga keenam. Dan kejayaan ini juga menandakan bahawa United bakal kembali semula ke pentas Liga Juara-Juara selepas tersisih selama semusim.

Melihat skuad bimbingan Mourinho menjulang trofi Liga Europa di atas podium di Friends Arena, segala rungutan, segala kritikan dan segala keluhan dari penyokong-penyokong selama ini tentang kegagalan United menamatkan saingan liga di posisi empat teratas terhapus sama sekali.

Selepas berakhir pertarungan final di Friends Arena awal pagi tadi, tiada siapapun peduli bahawa United cuma kelab di tangga keenam sebaik Liga Perdana menamatkan saingan Ahad lalu dan jika tanpa trofi ini (Liga Europa), mereka sebenarnya tidak layak beraksi di saingan Liga Juara-Juara.

Apa yang kita tahu sekarang ialah United merupakan juara Liga Europa yang baharu, bakal bermain di Liga Juara-Juara dan kelab Inggeris paling berjaya menerusi koleksi terkumpul trofi `major’ yang mereka menangi. Selain itu jangan lupakan juga prospek pertembungan antara United dan pemenang Liga Juara-Juara bagi merebut trofi UEFA Super Cup, 9 Ogos nanti di Skopje...Glory Glory Manchester United!!!

22 Mei 2017

PREVIEW FINAL LIGA EUROPA: MAMPUKAH BARISAN BERPENGALAMAN UNITED MENANGANI `TOTAALVOETBAL’ AJAX



Bagi penyokong-penyokong Manchester United ini merupakan perlawanan `terbesar’ bagi mereka dalam tempoh enam tahun sejak kali terakhir barisan kendalian Sir Alex Ferguson beraksi di pentas final Liga Juara-Juara pada 2011. Meskipun `kegilaannya’ mungkin tidak setanding ketika kita menyaksikan barisan United beraksi di empat pentas final Liga Juara-Juara sebelum ini, Liga Europa kini menjadi kejuaraan terakhir dan kejuaraan yang wajib dimenangi barisan The Red Devils bagi menyelamat musim `serba tidak kena’ mereka.

Semuanya berpunca dari kegagalan mereka berada di posisi empat teratas Liga Perdana bagi membolehkan kelab beraksi kembali di Liga Juara-Juara musim depan sama ada menerusi slot automatik atau perlu mengharungi perlawanan play off. Jadi misi di Friends Arena nanti boleh juga dianggap `misi hidup dan mati’ United musim ini kerana kegagalan di final bakal menjadi penamat paling tragik pada musim pertama Mourinho di Old Trafford.

Pertembungan Antara Dua Darjat...

Ketika undian peringkat separuh akhir dilakukan bulan lalu, saya secara peribadi memilih Olympique Lyon sebagai lawan United di pentas final. Bagaimanapun Ajax menerusi barisan pemain-pemain muda melakukan kejutan selepas mereka menyingkirkan Lyon untuk mara ke Friends Arena. Ini merupakan kejutan kedua yang dilakukan barisan Peter Bosz selepas kejayaan mereka melepasi halangan Schalke 04 di peringkat suku akhir menerusi cara yang cukup dramatik.

Berbanding United yang dibarisi nama-nama besar, saya yakin tidak ramai di antara kita yang mengenali siapa Kasper Dolberg, Amin Younes, Justin Kluivert atau Mathijs de Ligt dalam skuad Ajax hinggalah selepas kejayaan mereka menyingkirkan skuad lebih berpengalaman seperti Schalke dan Lyon dalam laluan ke final. Berbanding United yang dibentuk hasil dari pelaburan besar, Bosz pula membangunkan Ajax menerusi bakat-bakat muda kelahiran akademi mereka.

Ketika United masih tercari-cari rentak sebenar yang pernah menyaksikan mereka diletakkan antara pasukan digeruni di Eropah suatu ketika dahulu, Ajax pula bertunjangkan barisan muda muncul antara pasukan paling menarik disaksikan aksi mereka dalam saingan Liga Europa musim ini. Lihat bagaimana agresifnya anak-anak muda Ajax ini bermain menerusi falsafah `totaalvoetbal’ sekaligus mengingatkan saya kembali kepada skuad 1995 mereka yang berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara di Vienna.

Reputasi Mourinho Menjadi Pertaruhan...

Langkah Mourinho melepaskan misi posisi empat teratas di penghujung musim agar skuadnya lebih fokus pada final Liga Europa dianggap satu perjudian yang besar oleh para pengkritiknya. Krisis kecederaan pemain, jadual padat selain persaingan sengit empat penjuru membabitkan United, Manchester City, Liverpool dan Arsenal untuk dua lagi slot di posisi empat teratas sebenarnya menganggu rencana Mourinho di liga domestik.

Kini reputasi Mourinho selaku antara pengendali unggul dipertaruhkan sepenuhnya sebaik barisan pemainnya melangkah masuk ke Friends Arena nanti. Jika berjaya menjulang trofi Liga Europa, Mourinho bukan sahaja mencipta sejarah sebagai pengurus United pertama berjaya memenangi kejuaraan tersebut, tetapi kejayaan di Friends Arena juga akan menutup segala `kegagalan’ beliau pada musim pertamanya di Old Trafford.

Antara Pragmatisme Mourinho Dan `Totaalvoetbal’ Ajax...

United di bawah era Mourinho saya anggap pasukan yang sukar diramal. Adakalanya mereka bermain bolasepak menyerang yang menarik, adakalanya mereka juga membosankan. Lihat bagaimana aksi mereka pada perlawanan kedua peringkat separuh akhir di Old Trafford menentang Celta Vigo sebagai contoh terbaik. Di Old Trafford, United memiliki segala kelebihan dalam tangan dan boleh membunuh perjuangan Celta lebih awal tetapi mereka akhirnya memilih untuk bermain secara bertahan hingga membenarkan lawan menguasai permainan.

Mourinho sering dilabel sebagai seorang `pengurus yang pragmatik’ kerana bagi beliau kemenangan adalah jauh lebih penting walaupun barisan kendaliannya tidak mempamerkan corak permainan bolasepak menarik. Falsafah Mourinho sudah menyerap masuk dalam permainan United di mana hasilnya mereka pernah mengharungi tempoh enam bulan tanpa kalah dalam saingan liga sejak kali terakhir tewas di Stamford Bridge Oktober tahun lalu.

Ajax pula kini dianggap bukan lagi tergolong dalam kelompok kelab gergasi Eropah walaupun 22 tahun lalu mereka pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara menerusi barisan `hampir sempurna’ yang dimiliki Louis Van Gaal. Jika dibandingkan skuad juara 1995 Ajax dengan barisan yang ada sekarang tentulah jurangnya umpama langit dan bumi. Meskipun begitu, Bosz berjaya mengangkat prestasi Ajax berbekalkan bakat muda cetek pengalaman tetapi memiliki `energy’ dalam permainan mereka.

Di bawah kendalian Frank de Boer, beliau menerapkan falsafah penguasaan bola dalam permainan Ajax tetapi dalam masa juga mereka kelihatan agak lambat ketika menyerang hingga memberikan lawan waktu yang cukup untuk menutup ruang. Bosz bagaimanapun mengubah pendekatan tersebut sebaik beliau mengambil alih posisi pengendali dari de Boer. Corak permainan Ajax kini lebih pantas, bermula ketika mereka merebut penguasaan bola, aliran bola yang lebih lancar dari sisi ke sisi hinggalah ketika mereka memberikan tekanan kepada pertahanan lawan.

Meskipun tewas kepada Feyenoord dalam perebutan kejuaraan Eredivisie musim ini, Ajax di bawah kendalian Bosz mencipta purata 15.19 peluang dan menjaringkan 2.29 gol per perlawanan, sekaligus melangkaui catatan dua musim terakhir ketika mereka di bawah kendalian de Boer. Sangat menarik untuk kita saksikan bagaimana Mourinho yang dilabel sebagai `pragmatik’ menerusi barisan lebih berpengalaman yang beliau miliki menangani pendekatan ‘totaalvoetbal’ yang diamalkan Bosz di final nanti.

Pertembungan Rashford Dan Dolberg...

Marcus Rashford membuktikan bahawa beliau merupakan prospek penyerang masa hadapan United menerusi penampilan mempesonakan sejak mengambil alih posisi Zlatan Ibrahimovic selepas bintang Sweden itu terkeluar dari baki saingan musim ini akibat kecederaan. Selain boleh bertindak sebagai penyerang tengah, Rashford juga boleh memainkan peranannya di sisi kiri atau kanan bila diperlukan.

Dianugerahkan dengan skill kawalan bola yang sangat bagus sambil dibantu kepantasan ketika melakukan larian, Rashford merupakan tipikal penyerang yang gemar berdepan satu lawan satu dengan pertahanan lawan sebelum beliau menewaskan mereka. Bijak meletakkan dirinya di posisi yang tepat untuk menyudahkan peluang antara aset yang dimiliki Rashford dalam permainannya.

Lenggoknya ketika memecah masuk ke kubu lawan tidak langsung menggambarkan bahawa Rashford hanyalah pemuda yang baru berusia 19 tahun, jadi bayangkan kemusnahan apa yang mampu beliau lakukan terhadap mana-mana pertahanan lawan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi. Di Friends Arena nanti, saya jangkakan Rashford bakal diberikan perhatian khusus oleh Davinson Sanchez.

Jika United memiliki Rashford sebagai sandaran di barisan hadapan, harapan Ajax pula sudah pasti diletakkan di bahu Kasper Dolberg selaku penggempur. Seusia dengan Rashford, Dolberg dilabel sebagai `Marco Van Basten Baharu’ kerana kemampuan beliau menjaringkan gol dari pelbagai situasi. Perpindahan Arkadiusz Milik ke Napoli membuka ruang buat Dolberg merebut tempat dalam kesebelasan utama Ajax pimpinan Bosz.

Label sebagai `Van Basten Baharu’ yang diberikan kepada beliau bukan sebarangan kerana selain memiliki postur tubuh mirip penyerang terbilang Belanda itu, sebagai penyerang Dolberg juga memiliki pergerakan yang sangat bagus sama ada dengan atau tanpa bola. Sama seperti Rashford, Dolberg bukan sahaja boleh bertindak sebagai penyerang tengah tetapi juga boleh bergerak dari sebelah tepi malah kadangkala digunakan Bosz sebagai `playmaker’.

Formasi Dan Kesebelasan United...

Kecuali Eric Bailly yang terlepas perlawanan akhir ini kerana penggantungan, dijangkakan tidak banyak perubahan dilakukan Mourinho terhadap kesebelasan utama yang bakal beliau turunkan nanti. Jika diberikan peluang memilih, saya lebih gemar melihat Phil Jones dan Daley Blind bergandingan di posisi pertahanan tengah, Antonio Valencia serta Matteo Darmian berperanan sebagai bek kanan dan kiri manakala Sergio Romero pula akan dipertaruhkan sebagai penjaga gawang.

Di bahagian tengah pula menerusi formasi 4-3-2-1, trio Marouane Fellaini, Ander Herrera dan Paul Pogba akan membarisi posisi tersebut sambil Henrikh Mkhitaryan serta Jesse Lingard bergerak di sisi kanan dan kiri. Sudah tentu Marcus Rashford yang memiliki kelajuan serta kawalan bola bagus akan menjadi sandaran utama Mourinho selaku penggempur di bahagian hadapan.

Formasi Dan Kesebelasan Ajax...

Jika Mourinho tidak dapat menurunkan Eric Bailly akibat penggantungan, begitu juga dengan Bosz yang kehilangan khidmat Nick Viergever di posisi bek kiri. Viergever terpaksa melupakan hasrat bermain di final Liga Europa kerana layangan kad merah yang diterima beliau ketika berdepan Lyon di Parc Olympique Lyonnais, 12 Mei lalu. Jika dilihat kepada kesebelasan yang diturunkan Bosz pada aksi terakhir Eredivisie menentang Willem II, besar kemungkinan Jairo Riedewald yang baru berusia 20 tahun akan mengisi posisi ditinggalkan Viergerver.

Menerusi formasi 4-3-3 yang sering digunakan Bosz, beliau dijangka bakal meletakkan kuartet Joel Veltman, Davinson Sanchez, Mathijs de Ligt dan Jairo Riedewald di benteng pertahanannya. Jika dilihat kepada kecenderungan Bosz ketika berdepan perlawanan-perlawanan penting musim ini, beliau hampir pasti memilih trio Davy Klaassen, Lasse Schone dan Hakim Ziyech untuk mengisi posisi di bahagian tengah. Sementara Bertrand Traore, Kasper Dolberg dan Amin Younes pula akan melengkapkan formasi Bosz selaku trio di barisan hadapan.

Perhitungan Terakhir...

United menamatkan saingan musim 2016-17 di posisi keenam liga, manakala Ajax pula terpaksa menerima hakikat barisan muda mereka tewas tipis kepada Feyenoord dalam perebutan kejuaraan Eredivisie. Jika diambilkira kedudukan United dalam carta liga, mereka tidak akan beraksi di Liga Juara-Juara musim depan tetapi kejuaraan Liga Europa akan memberikan tiket kepada The Red Devils kembali bersaing bersama gergasi-gergasi Eropah yang lain di pentas tertinggi itu.

Ajax pula sudah tentu mahukan kejuaraan ini (Liga Europa) bagi mengubat luka akibat kegagalan menjulang kejuaraan Eredivisie selepas tewas melalui perbezaan hanya satu mata kepada Feyenoord. Jika diimbas rekod silam, Mourinho tidak pernah tewas kepada Ajax dalam enam pertemuan ketika beliau bertindak selaku pengendali Real Madrid (kesemua enam pertemuan itu berlaku di Liga Juara-Juara). Dan semoga rekod baik itu diteruskan beliau di Friends Arena nanti kerana suasana serta tekanan bermain di final bukanlah terlalu asing buat beliau.

Bagaimana barisan kendalian Mourinho bermain atau strategi yang bakal digunakan beliau ketika berdepan Ajax nanti itu soal kedua, kerana penting untuk United menutup tirai musim ini selaku juara baharu Liga Europa. Perisai Komuniti dan Piala Liga bukanlah ukuran terbaik untuk kelab sebesar United yang dikemudikan oleh pengendali berprofil tinggi seperti Mourinho. Semoga pada detik 25 Mei ini, barisan The Red Devils membuktikan bahawa mereka adalah lawan yang terlalu besar buat barisan muda Ajax dan kejuaraan Liga Europa petanda bahawa gergasi ini sudah bangkit dari tidurnya...Glory Glory Manchester United!!!

17 Mei 2017

DEMI LIGA EUROPA...POSISI EMPAT TERATAS TERPAKSA DIKORBANKAN



Bermacam-macam reaksi yang timbul selepas Manchester United tewas dua kali berturut-turut dalam saingan liga. 7 Mei lalu, rekod 25 perlawanan tanpa kalah mereka berakhir di tangan Arsenal selepas barisan kendalian Jose Mourinho tewas 0-2 di Emirates. Seminggu selepas itu, kunjungan United ke London sekali lagi berakhir dengan kekalahan, kali ini mereka tewas pula di tangan Tottenham Hotspurs yang bermain buat kali terakhir di White Hart Lane.

Sebelum itu, United mencatatkan dua keputusan seri (berturut-turut) ketika mereka berdepan Manchester City dan Swansea City yang menyaksikan misi Mourinho mahu meletakkan kelab di posisi empat teratas kian kabur. Akhirnya dua kekalahan yang dialami United pada dua aksi terakhir mereka menguburkan terus sebarang harapan mahu menyaksikan kelab bersaing di Liga Juara-Juara musim depan menerusi tiket empat pasukan teratas.

Dilema Mourinho...

Jadual padat yang terpaksa dihadapi skuadnya ditambah pula dengan beberapa siri kecederaan yang menimpa pemain-pemain utamanya, menyaksikan Mourinho mula berpaling dari misi beliau untuk meletakkan United di posisi empat teratas. Kecederaan serentak yang dialami Zlatan Ibrahimovic dan Marcos Rojo ketika United berdepan Anderlecht 21 April lalu menjejaskan percaturan beliau dalam saingan liga.

Dengan baki pemain utama yang cergas semakin berkurangan serta jadual padat sepanjang April lalu yang terpaksa dihadapi United, Mourinho sedar sukar untuk barisan pemain-pemainnya mengekalkan fokus bersaing di dua pentas berbeza dalam satu masa. Akhirnya posisi empat teratas terpaksa dilupakan dan Mourinho mula melakukan penggiliran pemain secara drastik pada dua aksi terakhir United di Liga Perdana.

Liga Europa Jalan Terakhir Ke Liga Juara-Juara...

Ketika pintu beraksi ke Liga Juara-Juara menerusi tiket empat teratas Liga Perdana sudah tertutup rapat, Murinho nampaknya perlu memikirkan apa sahaja cara yang perlu untuk membawa United keluar sebagai pemenang dalam aksi final Liga Europa di Friends Arena, 25 Mei ini.

Ganjaran beraksi di Liga Juara-Juara sebagai pemenang peluang terbaik yang tidak harus dilepaskan Mourinho, tambahan pula United sendiri tidak pernah memenangi trofi ini dalam sejarah mereka. Kesempatan ini juga peluang buat beliau mencipta nama sebagai pengurus pertama United yang berjaya memenangi trofi ini.

Paling Sibuk Di Eropah Dalam Tempoh Dua Bulan Terakhir...

Sepanjang April hinggalah ke perlawanan akhir Liga Europa nanti, United terpaksa mengharungi 16 perlawanan sebelum menutup tirai kempen musim ini, sekaligus menyaksikan mereka muncul barisan paling sibuk berbanding mana-mana pasukan di liga utama Eropah yang lain. 16 perlawanan dalam jangka waktu 54 hari atau lebih tepatnya United terpaksa bermain purata satu perlawanan dalam tempoh 3.76 hari.

Juventus dan Real Madrid, dua finalis Liga Juara-Juara musim ini pula berkongsi kedudukan di tangga kedua apabila mereka terpaksa mengharungi 16 perlawanan dalam jangka masa 63 hari (purata satu perlawanan dalam tempoh 3.93 hari). Manakala Ajax pula, lawan United di pentas final Liga Europa nanti memiliki purata satu perlawanan dalam tempoh 4.42 hari.

Melepaskan Posisi Empat Teratas Satu Tindakan Bijak?...

Gagal berada di posisi empat teratas tetap mencalar imej United selaku kelab besar di Liga Perdana, tambahan pula selepas menyaksikan begitu banyak wang yang sudah dilaburkan Mourinho untuk memperkuatkan skuadnya musim ini. Bagaimanapun dalam situasi sekarang, Mourinho selaku pengendali terpaksa memilih misi mana yang harus beliau letakkan di tempat teratas.

Dengan skuad `tempang’ yang dimilikinya berikutan krisis kecederaan beberapa pemain utama, selain jadual padat yang terpaksa diharungi barisan pemainnya, Mourinho melihat Liga Europa jalan paling realistik untuk membawa United kembali beraksi di Liga Juara-Juara. Kedudukan dalam carta liga dan persaingan sengit untuk perebutan posisi tempat teatas menyukarkan lagi misi United menamatkan musim ini selaku empat pasukan terbaik Liga Perdana.

Jadi suka atau tidak, United terpaksa melupakan posisi empat teratas dengan membiarkan Manchester City, Arsenal dan Liverpool bersaing sesama sendiri merebut dua lagi slot yang tinggal. Motivasi United di pentas domestik sudah berkubur dan itulah yang dipamerkan The Red Devils pada dua aksi terakhir mereka ketika menentang Arsenal dan Spurs.

Agak mengecewakan melihat bagaimana hambarnya permainan United dalam dua perlawanan itu, tetapi dalam masa yang sama kita perlu mengakui bahawa peluang menjulang trofi Liga Europa di Friends Arena nanti jauh lebih penting berbanding menamatkan musim di posisi keempat liga. Hanya kejuaraan Liga Europa mampu menjawab pertanyaan sama ada bijakkah tindakan Mourinho melepaskan posisi empat teratas?

Fokus Kini Terarah Di Friends Arena...

Sama ada United menang atau tidak pada baki dua aksi mereka dalam saingan liga selepas ini, hal tersebut bagi saya tidak penting lagi. Ketika Ajax yang menjadi lawan United di final Liga Europa sudah menamatkan saingan Eredivisie lebih awal dan memiliki tempoh sepuluh hari untuk membuat persiapan rapi, Mourinho pula mendapati barisan pemainnya masih lagi terpaksa bersaing di liga domestik.

Jika Mourinho mahu memberikan penampilan penuh kepada beberapa pemain mudanya, dua perlawanan terakhir liga adalah waktu terbaik untuk beliau melakukannya. Bagaimanapun saya berharap misi United yang tamat lebih awal di liga domestik tidak akan menjejaskan momentum mereka menjelang aksi final Liga Europa nanti.

Menamatkan saingan liga di tangga keenam, selain kejuaraan Piala Liga dan Perisai Komuniti yang berjaya dimenangi mungkin pencapaian yang cemerlang untuk kelab seperti Everton atau Southampton, tetapi tidak bagi United. Tangga keenam ialah kegagalan untuk kelab yang punya sejarah gemilang seperti United tetapi mujur jugalah trofi Piala Liga memberikan kita sedikit penawar.

25 Mei ini, Mourinho berpeluang untuk menutup `cerita dukanya’ di liga domestik dengan syarat skuad kendalian beliau wajib menang pertempuran menentang Ajax di Friends Arena dan menjulang trofi Liga Europa di sana. Kejuaraan Liga Europa dengan slot automatik ke Liga Juara-Juara sebagai ganjaran merupakan misi terakhir yang perlu disempurnakan The Red Devils bagi menyelamatkan musim mereka.

Sebelum penilaian dilakukan pada musim pertama Mourinho bersama kelab, biarkan dahulu beliau fokus mempersiapkan barisan terbaiknya dan memikirkan strategi paling berkesan bagi memerangkap skuad muda Ajax di final nanti. Cukuplah cuma semusim gagal beraksi di Liga Juara-Juara kerana kita mahu melihat United kembali beraksi di pentas tertinggi kelab-kelab Eropah itu musim depan kerana di sanalah mereka sepatutnya berada.

Pada 26 Mei 1999, Samuel Kuffour menangis bagaikan anak kecil di Nou Camp selepas kemenangan yang hampir dalam genggaman diragut oleh United secara dramatik. Sembilan tahun selepas itu giliran John Terry pula terpaksa ditenangkan rakan-rakan sepasukannya di Moscow sebaik Edwin Van der Sar menafikan sepakan penalti terakhir Nicholas Anelka. Adakah selepas sembilan tahun giliran barisan muda Ajax pula menangis dan kota Stockholm menjadi saksi tangisan kegagalan mereka di pentas final?...Glory Glory Manchester United!!!