30 Jun 2020

ADAKAH SEPASANG TANGAN MILIK DE GEA MASIH BOLEH DIHARAPKAN?



David De Gea antara `sisa’ pembelian dari era Sir Alex Ferguson yang masih tinggal. Pada 2011, kelab membayar £18.9 juta kepada Atletico Madrid bagi mendapatkan khidmat De Gea sebagai pengganti Edwin Van der Sar yang mengumumkan persaraannya selepas legenda Belanda itu melakukan 266 penampilan selama enam musim di Old Trafford. Selepas sembilan tahun mengawal gawang United, De Gea sudah melakukan 306 penampilan dalam saingan Liga Perdana. Dari jumlah itu, beliau berjaya memastikan gawang United tidak bolos dalam 109 perlawanan, melakukan 851 aksi penyelamatan, meraih 169 kemenangan dan 65 kekalahan.

Meskipun De Gea agak goyah di peringkat awal keberadaan beliau selaku penjaga gol utama United, namun secara perlahan-lahan warga Sepanyol ini mula membuktikan bahawa Fergie sudah memilih sosok yang tepat sebagai pengganti Van der Sar. Selain berjaya membantu United menjulang trofi Liga Perdana pada musim terakhir Fergie sebagai pengendali, De Gea juga berjaya memenangi beberapa anugerah individu menerusi ketangkasan beliau ketika mengawal gawang United. Pada musim 2017/18 beliau berjaya memastikan gawang United tidak dibolosi sebanyak 18 kali dan melakukan 115 aksi penyelamatan lantas menyaksikan beliau memenangi anugerah Golden Gloves.

Mula Goyah

Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, aksi De Gea mula menjadi sorotan ramai pihak. Bukan kerana tindakan refleks beliau dalam menyelamatkan pintu gol United, tetapi kerana beberapa siri kesilapan yang dilakukannya hingga menyaksikan lawan begitu mudah menewaskannya. Terbaru, De Gea menerima kecaman teruk dari Roy Keane selepas kegagalannya menepis rembatan Steven Bergwijn ketika United berdepan Tottenham Hotspurs pada 20 Jun lalu. Menurut Keano, aksi seperti itu tidak sepatutnya dipamerkan oleh seorang penjaga gol bertaraf antarabangsa. Tidak cukup dengan itu, Keano juga melabel De Gea sebagai penjaga gol yang `overrated’.

Sejak dari era beliau sebagai pemain, Keano memang seorang yang cukup vokal. Jadi tidak hairanlah mengapa Fergie pernah mengatakan bahawa Keano boleh `membunuh’ rakan sepasukan hanya dengan kata-katanya. Mungkin kritikan Keano kepada De Gea juga agak keras kerana sepanjang sembilan musim beliau mengambilalih posisi Van der Sar, `Dave Save’ sudah menunjukkan kualiti beliau sebagai penerus legasi kepada penjaga-penjaga gol handalan United sebelumnya seperti Harry Gregg, Alex Stepney, Gary Bailey, Peter Schmeichel, Fabien Barthez dan Van der Sar.

Jika tidak bagus masakan De Gea diberikan pengiktirafan apabila pernah tersenarai sebanyak lima kali dalam PFA Team of the Year, empat kali dinamakan sebagai pemain terbaik kelab dan pernah masuk dalam senarai FIFPro World 11. Namun itu cerita dahulu kerana menurut Keano, De Gea kini bukanlah lagi penjaga gol yang boleh United harapkan. Untuk mengkritik De Gea secara melulu juga bukanlah satu tindakan yang adil terutamanya jika hanya berdasarkan gol yang beliau lepaskan ketika berdepan Spurs tempohari.

Gol itu tidak akan berlaku jika Harry Maguire dan Victor Lindelof dapat menghalang larian yang dilakukan Bergwijn lebih awal sebelum beliau melepaskan rembatan. Perlu juga diperhatikan faktor bahawa rembatan yang dilakukan pemain antarabangsa Belanda itu sangat deras yang memungkinkan mana-mana penjaga gol terbaik Liga Perdana pun boleh tertewas. Dalam beberapa musim terakhir De Gea antara pemain United yang boleh diharapkan, tetapi benarkah sekarang beliau bukan lagi pemain yang sama sepertimana ketika beliau dinamakan sebagai pemenang anugerah Golden Gloves dua tahun lalu?

Tekanan Penyokong Sepanyol

Selepas kejohanan Piala Dunia 2018, prestasi De Gea memang agak menurun setidak-tidak jika anda mengambil kira catatan clean sheet yang dilakukannya dalam tempoh dua musim terakhir. Musim lalu beliau cuma mampu mengelakkan gawang United dari dibolosi sebanyak tujuh kali berbanding 18 pada musim sebelumnya. Musim ini catatan tersebut lebih baik berbanding musim lalu apabila sehingga aksi ke-31 United dalam saingan liga, De Gea sudah melakukan catatan sembilan clean sheet. Meskipun begitu tiga blunder yang beliau lakukan ketika United berdepan Crystal Palace, Everton dan Watford adalah jumlah yang agak membimbangkan jika mengambilkira status De Gea.

Penurunan prestasi De Gea sudah berlanjutan selama setahun, jadi memang wajarlah jika terdapat penyokong-penyokong United yang mula bimbang setiap kali melihat aksi beliau di atas padang. Adakah layanan yang diterimanya dari penyokong-penyokong Sepanyol terutamanya selepas kejohanan Piala Dunia 2018 mempengaruhi prestasi De Gea? Mungkin juga ada kebenarannya kerana jumlah gol yang masuk ke gawang United dalam tempoh dua musim terakhir agak membimbangkan. Pada musim 2017/18, De Gea cuma bolos sebanyak 28 kali, tetapi jumlah tersebut meningkat hampir sekali ganda pada musim 2018/19 apabila beliau dibolosi lawan sebanyak 54 kali.

Musim ini pula, dari 31 aksi liga yang sudah diharungi United, De Gea sudah dibolosi sebanyak 31 kali. Angka ini mungkin boleh meningkat memandangkan United masih perlu mengharungi tujuh lagi aksi sebelum saingan liga berakhir. Selain itu menurut catatan Opta, De Gea sudah melakukan tujuh kesilapan yang mengakibatkan pintu golnya dibolosi lawan sejak awal musim lalu. Statistik ini meletakkan beliau `setaraf’ dengan Martin Dubravka dan Bernd Leno di tangga teratas. Melihat kepada segala catatan tersebut, adakah wajar Solskjaer menamatkan tempoh pinjaman Dean Henderson di Bramall Lane dan memanggil penjaga gol muda itu pulang semula ke Old Trafford?

Tiba Masa Untuk Berubah?

Selepas menimba pengalaman sejak 2018 di Bramall Lane, prestasi Henderson sebagai prospek penjaga gol masa depan United dan skuad kebangsaan mula meningkat naik. Aksinya bersama Sheffield United musim ini menyaksikan penjaga gol berusia 23 tahun itu melakar 11 clean sheet dari 29 penampilan. Meletakkan semula Henderson ke dalam skuad utama antara dilema yang perlu dihadapi Solskjaer jika beliau berhasrat menamatkan tempoh pinjaman penjaga gol muda itu bersama skuad The Blades yang bakal berakhir pada bulan ini (Jun).

Melihat kepada prestasi Henderson di gawang Sheffield United, beliau sebenarnya sudah layak untuk memikul beban sebagai penjaga gol utama United. Bagaimanapun persoalan paling besar ialah sejauh mana Solskjaer memiliki `kekuatan’ untuk meletakkan nama De Gea dalam senarai pemain simpanan dan memberikan peluang buat Henderson mengambilalih peranan sebagai penjaga gol utama United. Bagaimanapun secara peribadi saya berpendapat Henderson wajar dibiarkan bermain semusim lagi di Bramall Lane kerana penting untuk prestasi beliau terus berkembang dan memiliki minit permainan yang lebih banyak.

Di Old Trafford, tiada jaminan untuk Henderson bermain setiap minggu kerana meskipun prestasi De Gea dikatakan sudah merosot namun setidak-tidaknya Solskjaer tetap berkeyakinan bahawa warga Sepanyol itu masih antara penjaga gol terbaik dunia. Menentukan kedudukan Henderson dalam hirarki penjaga gol United memang bukannya mudah kerana Solskjaer turut memiliki `pengawal gawang’ yang berkualiti dalam diri Sergio Romero. Pada usia yang masih muda, Henderson perlukan minit permainan yang lebih banyak sebelum mampu meletakkan dirinya sebagai penjaga gol kelas dunia suatu hari nanti.

Penutup

Pada 22 Februari 2018, United berjaya menewaskan Arsenal (3-1) dalam aksi liga yang dilangsungkan di Stadium Emirates. Usah tertipu dengan keputusan akhir perlawanan di scoreboard kerana kecuali jumlah gol, Arsenal sebenarnya kesebelasan yang jauh lebih dominan sepanjang tempoh 90 minit permainan. Statistik perlawanan menunjukkan Arsenal menguasai 75% penguasaan bola dan melepaskan 33 percubaan (15 on target) ke arah gawang lawan (berbanding 8 percubaan oleh United). Anda mungkin tertanya-tanya, mengapa dari 15 percubaan on target yang dilepaskan Arsenal, mereka cuma mampu menghasilkan satu gol sahaja?

Tiada persoalan yang terlalu besar dalam perlawanan ini kerana jawapan sebenar kejayaan United menakluk Arsenal di Stadium Emirates ialah ada dalam diri David De Gea. “Ia adalah sebuah misteri mengapa Arsenal gagal menjaringkan banyak gol. Tetapi sangat jelas bahawa David De Gea adalah pemain terbaik dalam perlawanan ini”, komen Arsene Wenger selaku pundit dalam perlawanan itu. Sejak statistik perlawanan mula dirakamkan di Liga Perdana, De Gea muncul penjaga gol ketiga yang berjaya melakukan 14 penyelamatan dalam satu perlawanan selepas Tim Krul dan Vito Mannone.

Di Stadium Emirates ketika itu, De Gea muncul penyelamat kepada taktik `parkir bas’ yang diterapkan Jose Mourinho. Sejak dari awal lagi, taktik Mourinho memang mudah dibaca, iaitu beliau mengarahkan agar pemain-pemainnya menghukum lawan menerusi skema permainan serangan balas pantas. Apatah lagi Mourinho juga sedar bahawa Arsenal sering berdepan masalah bila menghadapi lawan yang mengamalkan pendekatan permainan seperti itu. Taktik Mourinho berhasil apabila dua gol pantas di awal permainan berjaya dijaringkan menerusi Antonio Valencia dan Jesse Lingard.

Penyokong-penyokong Arsenal mungkin boleh mengatakan bahawa United cuma bernasib baik menang perlawanan itu, tetapi di pihak De Gea pula, 14 aksi penyelamatan yang dilakukan beliau bukanlah sekadar faktor nasib semata-mata. United bermain sesuai dengan apa yang Mourinho perlukan iaitu bertahan dan melakukan serangan balas pantas. Akhirnya meskipun Arsenal tampil lebih dominan, United pula pulang ke Old Trafford dengan tiga mata penuh sambil dibantu aksi-aksi penyelamatan kelas dunia dari De Gea.

Suatu hari nanti De Gea akan berundur juga bagi membolehkan Dean Henderson atau sesiapa sahaja mengambilalih posisinya, tetapi saya percaya ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat. Selama bertahun-tahun De Gea sudah membuktikan kepada kita mengapa Sir Alex Ferguson memilih dirinya berbanding Manuel Neuer sebagai pengganti Edwin Van der Sar. Cuma apa yang perlu beliau lakukan sekarang ialah berusaha untuk kembali ke prestasi terbaiknya kerana dalam diri De Gea saya masih melihat kualiti seorang penjaga gol kelas dunia. Glory Glory Manchester United!!!

21 Jun 2020

SELAMAT BERAKSI KEMBALI UNITED!!!



Selepas tertangguh selama 97 hari berikutan penularan pandemik virus Covid-19, aksi Liga Perdana kembali bersambung semula dengan aksi pertama berlangsung pada Rabu lalu melibatkan pertemuan antara Aston Villa menentang Sheffield United dan Manchester City menentang Arsenal. Bagi Manchester United pula, bersambungnya aksi Liga Perdana merupakan cabaran besar bagi mereka untuk meneruskan trend positif selepas mengharungi sebelas perlawanan tanpa kalah sebelum graf peningkatan mereka terhenti akibat dari penularan pandemik Covid-19 yang mencetuskan panik di seluruh dunia.

Bagi penyokong United, saya juga sama seperti anda yang tidak sabar untuk menyaksikan kembali aksi barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer di atas padang. Kita tertanya-tanya adakah barisan pemain The Red Devils mampu mengekalkan prestasi mereka selepas `terkurung’ selama lebih tiga bulan, atau adakah virus Covid-19 yang ditakuti seluruh dunia turut memberikan kesan kepada penampilan mereka di atas padang? Akhirnya jawapan kepada persoalan ini telah kita perolehi selepas melihat aksi skuad kendalian Solskjaer ketika mereka menentang Tottenham Hotspurs di gelanggang lawan awal pagi Sabtu lalu.

Tarikan Utama

Selain dapat menyaksikan kembali aksi United selepas lebih tiga bulan saingan liga ditangguhkan, tarikan utama dalam perlawanan ini tentunya kemungkinan untuk kita menyaksikan duet Bruno Fernandes dan Paul Pogba buat pertama kali sebagai penggerak jentera tengah United. Ia tidak berlaku di awal permainan kerana Pogba disenaraikan Solskjaer di bangku simpanan. Dalam kesebelasan utama pula, Solskjaer sebaliknya memilih kombinasi Bruno Fernandes, Fred dan Scott McTominay.

Impian untuk menyaksikan Fernandes dan Pogba bermain bersama buat pertama kali akhirnya tiba juga apabila bintang antarabangsa Perancis itu menggantikan Fred ketika permainan berbaki 27 minit sebelum ditamatkan. Sepertimana yang anda tahu, aksi menentang Spurs ini merupakan penampilan pertama Pogba dalam perlawanan kompetitif sejak beliau diketepikan akibat kecederaan yang dialaminya pada 26 Disember 2019.

Selepas ketinggalan menerusi gol jaringan Steven Bergwijn dan menyedari bahawa United perlukan lebih kreativiti serta visi dalam permainan mereka, Solskjaer akhirnya memberikan penampilan pertama kepada Pogba buat pertama kali dalam tempoh lebih lima bulan. Satu keputusan yang tepat dilakukan Solskjaer kerana selepas kemasukan Pogba, gerakan-gerakan serangan United lebih `hidup’. Menurut catatan Squawka, Pogba melakukan 18 hantaran tepat sepanjang aksinya di atas padang.

Akhirnya impak kemasukan Pogba dapat anda lihat menerusi gerakan yang dilakukannya diminit ke-80 hingga United dihadiahkan sepakan penalti. Fernandes yang ditugaskan untuk mengambil sepakan tersebut mudah menewaskan Hugo Lloris sekaligus melebarkan rekod tanpa kalah United kepada 12 perlawanan dalam semua peringkat kejohanan. Gol itu juga merupakan gol ketiga Fernandes dalam saingan liga selepas beliau menyertai United pada Januari lalu.

Secara keseluruhannya sejak musim 2017-18, Fernandes tidak pernah gagal menyempurnakan 18 sepakan penalti yang beliau ambil dalam saingan domestik mahupun Eropah. Secara keseluruhannya selama 27 minit di atas padang, Pogba pula memainkan peranannya dengan sangat berkesan, manakala Fernandes pula terus membuktikan bahawa keputusan kelab menandatanganinya dari Sporting Lisbon merupakan satu tindakan yang tepat.

Penampilan semula Pogba memang dinantikan tetapi sebagai seorang pemain kelas dunia, penyokong United pastinya mengharapkan agar beliau lebih konsisten. Tiada keraguan bahawa Pogba memang pemain berbakat dan semoga penampilan cemerlang beliau ketika berdepan Spurs akan berterusan dari minggu ke minggu. Bersama Fernandes di bahagian tengah, ini adalah masa yang tepat untuk Pogba menunjukkan karakter sebenar beliau bagi membantu United mencapai misi menamatkan saingan liga di posisi empat teratas.

United Sepatutnya Menang

Meskipun terpaksa bertandang ke gelanggang lawan selepas `terkurung’ selama lebih tiga bulan, saya sebenarnya agak optimis yang United mampu menewaskan Spurs dalam perlawanan ini. Selain catatan rekod 11 perlawanan tanpa kalah, Spurs pula di era Jose Mounrinho masih tercari-cari rentak sebenar mereka. Tiga aksi terakhir mereka sebelum liga ditangguhkan berakhir dengan satu keputusan seri dan dua kekalahan.

Walaupun begitu, tetap ada kegusaran kerana Mourinho adalah Mourinho, pengendali yang kita sangat kenali penuh dengan taktik licik beliau. Meskipun statistik pertemuan antara kedua-dua pasukan tidak memihak Spurs kerana dari 116 pertemuan menentang United, mereka menang 25 kali, seri 24 kali dan tewas 67 kali. Bagaimanapun di sebalik semua itu, Mourinho sebenarnya memiliki catatan yang cukup bagus setiap kali skuad kendaliannya berdepan United.

Untuk rekod, dari 21 pertembungan menentang United ketika beliau bertindak selaku pengendali untuk empat pasukan berbeza, Mourinho hanya tewas empat perlawanan, meraih sembilan kemenangan dan lapan keputusan seri. Apa yang menariknya, tiga dari empat kekalahan yang beliau alami ketika berdepan United berlaku di Old Trafford. Catatan ini juga menunjukkan bahawa Mourinho sebenarnya sangat sukar ditewaskan ketika pasukan kendaliannya bermain di gelanggang sendiri.

Sekali lagi Mourinho berjaya membuktikan biarpun Spurs masih tercari-cari rentak sebenar mereka sejak beliau mengambilalih teraju dari Mauricio Pochettino, rekod cemerlang beliau ketika berdepan United masih berterusan. Selepas Steven Bergwijn menewaskan David De Gea, Mourinho kemudiannya cenderung mengamalkan taktik `parkir bas’ yang sangat sinonim dengan beliau. Menyedari bahawa United agak lemah ketika melakukan `build up’, beliau mengarahkan pemain-pemainnya agar membiarkan lawan menguasai bola.

“Saya sudah menganalisis permain United, tetapi bukan urusan kami juga untuk bercakap tentang mereka. Kami membiarkan mereka menguasai bola dan merancang gerakan. Bagi saya, mereka lebih berbahaya ketika melakukan serang balas berbanding membina gerakan kerana mereka memiliki pemain-pemain yang cukup laju untuk melakukannya. Bagaimanapun kami berjaya mengawal situasi dengan cukup luarbiasa”, komen Mourinho selepas tamat perlawanan.

Ada kebenarannya apa yang dikatakan Mourinho kerana meskipun United berjaya mendominasi permainan terutama di babak kedua, mereka kurang klinikal dalam menyudahkan peluang. Hanya selepas masuknya Pogba barulah setiap gerakan-gerakan yang diatur United tampak lebih berbahaya. Keputusan ini menyaksikan United kekal di tangga kelima carta liga, hanya dua mata di belakang Chelsea tetapi kelab dari London itu memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Blunder De Gea

Apa sudah jadi De Gea? Itulah persoalan yang bermain difikiran sebaik melihat kegagalan beliau menghalang rembatan Steven Bergwijn yang menghasilkan gol pertama perlawanan. Ini bukanlah kali pertama De Gea melakukan blunder yang akhirnya menyaksikan pintu gol beliau dibolosi lawan. Menurut catatan Premier League, sepanjang musim 2019/20, gawang United berjaya dibolosi lawan sebanyak tiga kali akibat dari kesilapan De Gea sebelum pertemuan menentang Spurs.

Tiga blunder yang dilakukan De Gea sebelum aksi menentang Spurs berlaku ketika beliau gagal menahan sepakan Patrick Van Aanholt saat United tewas 1-2 kepada Crystal Palace. Kemudian blunder kedua berlaku bila bola sepakannya yang dihadang Dominik Calvert-Lewin melantun ke gawang sendiri ketika berdepan Everton, dan paling diingati tentunya kegagalan beliau menangkap kemas percubaan lemah Ismaila Sarr dalam aksi menentang Watford.

Penampilan De Gea di Tottenham Hotspurs Stadium mengundang kritikan keras dari bekas pemain United sendiri. Paling vokal tentunya kritikan yang keluar dari mulut Roy Keane. Selain De Gea, dua lagi pemain yang dijadikan sasaran kritikan Keano ialah Harry Maguire dan Luke Shaw. Jika De Gea gagal menampan sepakan Bergwijn, Maguire dan Shaw pula dipersalahkan kerana menjadi punca berlakunya gol tersebut.

“Saya terkejut. Saya sudah menyaksikan banyak perlawanan dari tahun ke tahun. Tetapi untuk melihat bagaimana seorang pemain boleh kehilangan bola seperti itu, saya sangat marah. Saya tidak percaya yang Shaw menanduk bola dan kemudiannya berlari kedepan. Saya juga kecewa dengan Maguire kerana sebagai pemain skuad kebangsaan, beliau berjaya diperdayakan dengan mudah. Untuk De Gea, saya muak dengan pemain ini. Saya boleh bertengkar dengannya di pertengahan babak dan ingin sangat menumbuk muka dia”, kata Keane.

Jika dihitung blunder yang dilakukan De Gea sejak musim lalu, gawang United sudah dibolosi sebanyak lapan kali hasil dari kesilapan yang dilakukannya. Jumlah ini sebenarnya agak membimbangkan apatah lagi selepas memikirkan bahawa De Gea adalah pemenang anugerah Golden Gloves bagi musim 2017/18. Selaku penjaga gol utama United, De Gea perlu segera meningkatkan semula prestasinya atau berdepan kemungkinan Dean Henderson pulang dari tempoh pinjaman di Bramall Lane dan mengambilalih posisinya.

Penutup

Secara keseluruhannya, saya berpuashati melihat penampilan pertama United selepas `berehat’ lebih dari tiga bulan. Melihat pemain-pemain seperti Marcus Rashford serta Paul Pogba keluar dari bilik rawatan dan kembali mempamerkan prestasi terbaik mereka, saya optimis bahawa misi menamatkan saingan liga di posisi empat teratas bukanlah satu misi yang mustahil untuk dicapai. Ketika United berdepan kesulitan menembusi pertahanan Spurs menerusi gerakan-gerakan dari sisi sayap, kemasukkan Pogba dan Mason Greenwood memberikan dimensi berbeza kepada permainan mereka.

Gandingan antara Pogba dan Fernandes yang selama ini dinanti-nantikan akhirnya dapat anda lihat biarpun dalam tempoh selama 23 minit. Kehadiran Pogba membolehkan United secara perlahan-lahan mengatasi pressing yang dilakukan oleh pemain-pemain Spurs. Teknik dan skill permainan yang dimiliki Pogba menyaksikan Eric Dier akhirnya melakukan kesilapan yang membolehkan United menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Fernandes diminit ke-81.

Apa yang berlaku sepanjang aksi menentang Spurs itu sebenarnya mendedahkan `penyakit’ lama United iaitu kesukaran mereka ketika berdepan lawan yang mengamalkan pendekatan permainan defensif. Meskipun mendominasi permainan, tidak banyak peluang jaringan yang berjaya dicipta. Cuma rembatan Marcus Rashford di babak pertama, percubaan Anthony Martial yang berjaya ditepis Hugo Lloris di babak kedua dan peluang di penghujung permainan dari Mason Greenwood antara yang berpotensi untuk menghasilkan gol.

Selain aksi liga, pada baki saingan musim ini United masih akan bertarung di peringkat suku akhir Piala FA dan pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Europa. Dengan kembalinya Pogba dan Rashford dari kecederaan panjang, Solskjaer kini memiliki skuad yang lebih kuat berbanding sebelumnya. Selain masih punya peluang menamatkan saingan liga di posisi empat teratas, United juga turut berkesempatan menamatkan saingan musim ini dengan sekurang-kurang menjulang satu trofi. Jadi bergembiralah untuk menyambut kehadiran semula United dalam hidup anda.. Glory Glory Manchester United!!!

09 Jun 2020

`JELMAAN MESSI' DAN OBSESI SOLSKJAER TERHADAP BAKAT MUDA



Ketika bursa perpindahan pemain musim panas semakin hampir dibuka, kelab-kelab sekitar Eropah juga rancak menyusun strategi untuk cuba memancing pemain-pemain idaman bagi memperkuatkan pasukan masing-masing. Di England, Chelsea antara kelab yang mengorak langkah awal apabila Timo Werner diberitakan semakin hampir beraksi di Stamford Bridge musim depan. Selain Werner, gergasi dari London itu juga sudah menandatangani Hakim Ziyech dalam misi Frank Lampard membentuk skuad idamannya.

Manchester United juga sepertimana tahun-tahun sebelumnya sudah mula dikaitkan dengan perpindahan beberapa pemain ke Old Trafford. Dari bakat-bakat muda yang sedang beraksi di liga domestik seperti James Maddison dan Jack Grealish, kelab juga dikaitkan dengan minat mendapatkan khidmat `bintang masa depan’ yang sedang beraksi di Bundesliga seperti Jadon Sancho serta Kai Havertz. Maddison, Grealish dan Sancho sudah lama dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford, tetapi bagaimana pula dengan anak muda bernama Thiago Almada?

Permata Dalam Lumpur

Siapakah Thiago Almada yang secara tiba-tiba mencetuskan persaingan dua kelab dari bandar Manchester untuk mendapatkan khidmatnya? Almada dilahirkan dan dibesarkan di Fuerte Apache, sebuah daerah yang tidak jauh dari kota Buenos Aires. Meskipun beliau menjadikan Eden Hazard serta bekas maestro skuad kebangsaan Argentina iaitu Juan Roman Riquelme sebagai idolanya, Almada sebenarnya memiliki lebih `persamaan’ dengan Carlos Tevez kerana mereka lahir dari daerah yang sama.

Lahir dan membesar di penempatan miskin seperti Fuerte Apache bukanlah mudah buat mana-mana remaja seperti beliau. Di bawah pemerintahan regim diktator Juan Carlos Ongania, Fuerte Apache dahulunya pernah dijadikan sasaran pembanterasan penempatan haram oleh regim beliau. Sepertimana Tevez, Almada antara warga Fuerte Apache yang sangat beruntung kerana berjaya keluar dari dunia kemiskinan dan pergelutan hidup di daerah kelahirannya. Semuanya kerana bakat bolasepak yang dianugerahkan kepadanya.

Berbanding remaja seusianya, Almada tidak perlu membawa senjata api demi meneruskan kelangsungan hidupnya. Pada usia seawal empat tahun, Almada mengasah bakatnya dengan menyertai Santa Clara, kelab sama yang disertai Tevez sebelum beliau menyinar bersama Boca Juniors. Jika Tevez memilih Boca Juniors, Almada pula sebaliknya menyertai Velez Sarsfield untuk mengembangkan kariernya. Di Argentina, Velez bukanlah setaraf Boca ataupun River Plate yang jauh lebih hebat pencapaian mereka di peringkat domestik ataupun antarabangsa.

Secara keseluruhannya, skuad bergelar El Fortin itu baru mengumpul 10 koleksi trofi Primera Division, berbanding duo Superclasico Argentina iaitu River Plate (36 kejuaraan) dan Boca (34 kejuaraan). Menyertai Velez umpama satu perjudian yang diambil Almada dalam kariernya. Memetik kata-kata legenda tinju dunia, Muhammad Ali, “Orang yang tidak ada keberanian untuk mengambil risiko, nescaya dia tidak akan mendapat apa-apa dalam hidupnya”. Ya…itulah yang dilakukan Almada apabila beliau memilih menyertai Velez berbanding kebanyakkan remaja Argentina yang mengimpikan menyarung jersi Boca atau River Plate.

Jelmaan Messi?

Menyertai Velez juga bermakna satu permulaan baharu dalam hidup Almada. Keluar dari kehidupan yang serba sukar di Fuerte Apache dan berpindah ke Liniers juga bermakna beliau mula menjauhi bayang-bayang Tevez kerana secara asasnya kedua-dua mereka memang memiliki gaya permainan berbeza. Eduardo Hernandez, individu yang pernah melatih Tevez dan Almada menggambarkan bahawa Carlitos merupakan seorang penyerang yang lebih klinikal manakala Almada pula memiliki kekuatan dalam visi permainan serta kawalan bola.

“Almada lebih teknikal, manakala Carlitos sentiasa menonjol dengan semangat dan keinginannya. Tetapi dengan bola, Thiago lebih baik”, kata Hernandez. Kerana itulah Almada lebih bagus ketika berperanan sebagai pemain tengah menyerang meskipun beliau juga adakalanya diletakkan di sisi kiri atau kanan sesuai dengan keperluan taktikal pasukan. Secara tepatnya, Almada adalah pemain serba boleh kerana kemampuan beliau untuk bergerak di tengah atau di sektor sayap kiri dan kanan.

Sejak dipromosikan ke skuad utama Velez pada musim 2018/19, Almada sudah melakukan 46 penampilan, menjaringkan sembilan gol serta mencipta empat bantuan gol. Sepertimana kebanyakkan remaja seusianya, Almada memulakan karier beliau bersama skuad remaja terlebih dahulu sebelum diserap ke skuad utama. Namun untuk beliau agak istimewa sedikit kerana Almada melakukan debut untuk skuad utama Velez pada Ogos 2018, iaitu kira-kira empat bulan selepas menyambut ulang tahunnya yang ke-17.

Almada mengharungi musim pertamanya di Primera Division dengan cemerlang selaku pemain muda. Sepanjang 16 penampilan, beliau menjaringkan tiga gol dan mencipta dua bantuan gol. Pada penampilan pertamanya dalam kesebelasan Velez pula, Almada berjaya menjaringkan dua gol ketika berdepan Defensa. Penampilan cemerlang beliau bersama Velez menarik minat Fernando Batista untuk menyenaraikan namanya dalam skuad beliau ke kejohanan Sudamericano U20 2019 yang berlangsung di Chile.

Skuad junior Argentina tewas di perlawanan akhir kepada Ecuador, tetapi Almada muncul pemain termuda dalam barisan pemain kendalian Batista pada kejohanan tersebut. Musim ini prestasi cemerlang beliau berterusan apabila jumlah jaringan yang dihasilkannya meningkat kepada lima gol, selain berjaya mencipta dua bantuan gol dari 22 penampilan liga. Mengambilkira corak permainan defensif yang diamalkan Gabriel Heinze, lima gol yang dijaringkan beliau selaku pemain tengah menyerang bukanlah satu statistik yang buruk.

Berasal dari negara yang sama, serta bakat yang memungkinkan beliau muncul bintang besar bolasepak dunia suatu hari nanti, suka atau tidak, Almada tidak dapat menolak dari disamakan dengan Lionel Messi. Sudah berderet pemain yang pernah dilabel sebagai `Next Lionel Messi’ tetapi dimana kedudukan mereka sekarang. Pada 2006, Foot Mercato pernah menerbitkan artikel berjudul `Bojan Krkic: le future Messi’. Bojan memang pemain berbakat tetapi akhirnya pada usia beliau mencecah 29 tahun, Bojan kini bermain di liga bolasepak Amerika (MLS).

Pada 2012, nama Alan Dzagoev pula menjadi hit di dada akhbar selepas beliau berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak Euro 2012 bersama Mario Gomez, Cristiano Ronaldo, Mario Balotelli, Mario Mandzukic dan Fernando Torres. Serta merta Dzagoev dilabel sebagai `Messi Russia’ dan dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid dan Chelsea. Hakikatnya tidak semua impian menjelma menjadi kenyataan dan Dzagoev tidak pernah kemana-mana melainkan kekal beraksi di Russia bersama CSKA Moscow sejak 2008 hingga sekarang.

Krkic dan Dzagoev antara contoh, kerana selain daripada mereka ada beberapa pemain yang pernah menikmati label `Next Messi’ atau lebih tepatnya `jelmaan Messi’. Ryo Miyaichi pernah dilabel `Ryodinho’ dan `Japanese Messi’ ketika Arsene Wenger mendaratkan beliau di Stadium Emirates pada 2011. Ryan Gauld juga pernah mencetuskan sedikit sensasi pada 2014 apabila Sporting Lisbon mendapatkan khidmat pemain tengah Dundee United ini menerusi nilai perpindahan sebanyak £3 juta.

Sejak itu juga `Mini Messi’ ini cuma mampu melakukan dua penampilan bersama skuad utama Sporting sebelum menghabiskan tempoh selama lima tahun sebagai pemain pinjaman di beberapa buah kelab. Akhirnya pada 2019, Gauld menyerai SC Farense, kelab yang beraksi di LigaPro iaitu saingan kedua tertinggi dalam hirarki bolasepak Portugal. Akhirnya label sebagai `Next Messi’ umpama sumpahan kerana tiada seorang pun di antara mereka mampu menghampiri status `La Pulga’ sebagai antara bakat terbaik pernah disaksikan dalam dunia bolasepak.

Penutup

Sejak Ole Gunnar Solskjaer menggantikan posisi Jose Mourinho di Old Trafford, pendekatan United dalam urusan pembelian pemain nampaknya juga sudah mula berubah. Saya percaya di tangan Solskjaer, anda tidak akan melihat `superstar’ seperti Angel Di Maria, Alexis Sanchez atau Paul Pogba di bawa masuk. Pendekatan kelab yang cenderung mendapatkan pemain-pemain muda sudah mula dilihat menerusi pelaburan yang dilakukan mereka ke atas Daniel James dan Aaron Wan-Bissaka musim lalu.

Di samping itu juga, Solskjaer semakin galak mengetengahkan bakat-bakat muda dari akademi United sendiri seperti Brandon Williams, Mason Greenwood, James Garner, Tahith Chong dan Angel Gomes. United akan tetap berbelanja dan menghabiskan banyak wang untuk merekrut pemain baharu tetapi tumpuan mereka pastinya akan terarah kepada pemain yang boleh dibentuk menjadi `superstar’ di Old Trafford buat jangkamasa panjang. Untuk itu mereka sudah melakukannya musim lalu ketika menjadikan Harry Maguire sebagai pemain pertahanan termahal dunia.

Kecenderungan Solskjaer untuk `meremajakan’ skuadnya berterusan lagi apabila United ketika ini sudah mula dikaitkan dengan minat untuk mendapatkan khidmat Jadon Sancho, Jack Grealish dan Jude Bellingham. Jika United berjaya mendapatkan salah seorang dari mereka, ianya merupakan kesinambungan kepada usaha Solskjaer membentuk skuad jangka panjang United. Usaha tersebut sudah bermula sejak tahun lalu ketika kelab membayar £9 juta kepada AS Monaco bagi mendapatkan khidmat Hannibal Mejbri, manakala misi mendaratkan Marc Jurado ke Old Trafford masih diteruskan.
  
Secara peribadi, saya merasakan bahawa sukar untuk United mendapatkan tandatangan Thiago Almada ketika seteru sekota mereka turut memiliki impian yang sama. Pep Guardiola diberitakan mahukan Almada sebagai pengganti jangka panjang kepada David Silva. Keberadaan Carlos Tevez ketika beliau menyarung jersi City dari 2009 hingga 2013 juga sebenarnya boleh mempengaruhi pilihan Almada kerana beliau memang diketahui menjadikan penyerang Boca Juniors itu sebagai antara idolanya.

Almada adalah obsesi terbaru Solskjaer terhadap pemain muda. Pada usia 19 tahun, beliau sudah mengharungi tempoh dua musim dalam skuad utama Velez. Ketika Heinze tidak dapat menolak untuk menurunkan seorang pemain muda yang boleh memberikan perbezaan kepada skuadnya di atas padang, Solskjaer pula berharap agar beliau boleh menjadikan Almada pemain Argentina terunggul pernah beraksi di Old Trafford. Hampir mustahil Velez mampu mengekalkan Almada di Liniers, cuma persoalan paling besar sekarang ialah pasukan mana yang bakal dipilih `The Next Messi’ itu. Glory Glory Manchester United!!!

07 Jun 2020

IMPIAN JADI KENYATAAN DAN TUGAS BERAT UNTUK MEMENUHI HARAPAN PENYOKONG UNITED





Selepas tiga tahun meninggalkan Watford, pada 31 Januari 2020 yang lalu, Odion Ighalo kembali semula ke kancah saingan Liga Perdana. Pada hari terakhir bursa perpindahan pemain pertengahan musim dibuka, Manchester United melakukan kejutan besar apabila mereka mendapatkan khidmat penyerang antarabangsa Nigeria ini secara pinjaman. Dari begitu banyak pemain berbakat yang beraksi di liga-liga sekitar Eropah, Ole Gunnar Solskjaer sebaliknya mengarahkan radar buruan beliau jauh ke Timur Asia untuk seorang pemain yang sudahpun mencecah usia 30 tahun.

Ighalo sangat bertuah dipilih Solskjaer meskipun beliau cuma bermain untuk sebuah kelab yang beraksi di Liga Super China, pentas di mana kebanyakkan pemain ternama dunia memperagakan aksi ketika mereka berada di ambang penghujung karier. Selepas mengejutkan ramai pihak, Ighalo kemudiannya diperkenalkan secara rasmi di Old Trafford selaku pemain pinjaman. Senyuman terukir di wajahnya kerana saya pasti Ighalo sendiri seakan-akan tidak percaya bahawa pada usia yang sebegini lewat, kelab besar seperti United masih menagih khidmatnya sebagai pemburu gol.

Bagaimanapun, sebagai anggota The Red Devils Ighalo hanya sempat melakukan lapan penampilan untuk United dalam semua peringkat kejohanan sebelum musim 2019/20 dihentikan buat seketika akibat penularan pandemik Covid-19. Ighalo tidak perlukan masa yang lama untuk membuatkan hati penyokong-penyokong United tertawan kepadanya. Cukup dengan lapan perlawanan, beliau berjaya membuatkan para Stretford Enders terpesona atas penampilannya dengan jersi merah United. Meskipun sekadar pemain pinjaman, dedikasinya, semangat serta kerja kerasnya berjaya menambat hati penyokong-penyokong United.

Makna United Kepada Ighalo

Menyertai United sangat besar maknanya kepada Ighalo. Setiap kali bercakap tentang penyertaan beliau bersama United, jelas terpancar kegembiraan di wajahnya. Apa tidaknya kerana United adalah kelab yang beliau sokong sejak zaman kanak-kanaknya. “United adalah kelab yang saya sokong sejak zaman remaja. Ia mimpi yang menjadi kenyataan kerana sejak kecil saya sering mengimpikan bermain untuk United. Sekarang ia sudah menjadi kenyataan. Ia memang betul-betul gila kerana saya sekarang berada di Manchester”, kata Ighalo ketika temubual di awal ketibaannya di Old Trafford.

Bagi Ighalo bermain untuk United adalah satu kebanggaan, lebih-lebih lagi kesempatan ini hanya datang pada usia beliau mencecah 30 tahun. Selepas berpindah dari Watford, beliau menghabiskan tempoh tiga tahun dengan beraksi di China, tetapi harapan agar suatu hari nanti impiannya untuk menyarung jersi United masih tetap menyala. Bagi penyokong-penyokong United, Ighalo adalah definisi sebenar `bermain demi lencana di dada’. Bagi mereka, mungkin juga sudah agak lama mereka tidak melihat pemain seperti itu, terutamanya selepas era Sir Alex Ferguson berakhir.

Ighalo juga memberikan dimensi yang baharu kepada jentera serangan United. Meskipun beliau bukanlah penyerang ternama seperti yang didambakan para penyokong, kebolehan beliau ketika melakukan sentuhan pertama mampu membuka ruang buat rakan-rakan sepasukan mencipta peluang. Kerana kelemahan ketika melakukan sentuhan pertamalah menjadi penyebab mengapa Romelu Lukaku dahulunya sering dijadikan sasaran kritikan oleh penyokong. Ighalo sedar bahawa beliau bukanlah penyerang utama di Old Trafford, tetapi setiap kesempatan diperolehi digunakan sebaiknya oleh beliau.

Opsyen Jangka Pendek

Setakat ini Ighalo sudah meledak empat gol, dan semua gol beliau berlaku dalam saingan Piala FA dan Liga Europa. Jadi bersabarlah kerana jika liga disambung nanti, masanya akan tiba jua untuk beliau meledak pula dalam saingan Liga Perdana. Sepertimana yang anda tahu, Ighalo datang ke Old Trafford dengan status sebagai pemain pinjaman. Jadi sudah tentu juga lapan penampilan beliau setakat ini belum membuatkan penyokong dan Solskjaer puas melihat aksinya di atas padang.

Untuk seorang penyerang yang mampu beradaptasi dengan gaya permainan pasukan baharu hanya dalam tempoh beberapa minggu tentulah satu perkara yang dipandang serius oleh Solskjaer. Tambahan pula empat gol yang dijaringkan Ighalo dari lapan penampilan merupakan satu isyarat bahawa beliau boleh diharapkan sebagai salah satu opsyen di jentera serangan United. Akhirnya selepas mengambilkira semua faktor tersebut, keputusan berjaya dicapai antara United dan Shanghai Shenhua untuk Ighalo kekal di Old Trafford hingga Januari 2021.

Sesuai dengan polisi yang diamalkan kelab sejak era Fergie, pada usia beliau yang sudah mencecah 30 tahun, tentulah Ighalo hanya opsyen jangka pendek buat United. Malah sebelum ini pun Ighalo mengakui bahawa beliau tidak mengharapkan agar United mengekalkannya secara tetap di Old Trafford. Ketika United sendiri dikaitkan dengan perpindahan beberapa penyerang yang lebih muda seperti Joshua King dan Jadon Sancho musim depan, Ighalo juga tentunya gembira dengan keputusan kelab melanjutkan tempoh pinjamannya selama lapan bulan hingga Januari 2021.

Penutup

Meskipun keputusan United mendapatkan khidmatnya secara pinjaman pada Januari lalu dikritik ramai pihak, hinggakan Gary Neville menyebut bahawa ia adalah `gambaran betapa buruknya United dalam urusan perpindahan pemain’, impak kehadiran Ighalo dalam lapan penampilan beliau setakat ini jelas menggembirakan Solskjaer. Dua gol yang dihasilkannya ke gawang Derby County membantu United mara ke pusingan suku akhir Piala FA.

Hanya dalam tiga perlawanan dimana dua daripadanya beliau diturunkan dalam kesebelasan utama, Ighalo berjaya meledak tiga gol, termasuk ketika berdepan Club Brugge di pentas Liga Europa. Ramai yang mungkin sedikit sinikal dengan dua gol yang beliau hasilkan ketika berdepan Derby County pada 6 Mac lalu, tetapi saya lebih gemar melihat kualiti beliau sebagai seorang penyudah natural terutamanya ketika beliau menjaringkan gol pertamanya.

Ketika Solskjaer terpaksa berdepan isu kecederaan panjang yang dialami Marcus Rashford, beliau berjaya membawa pemain `yang tepat’ ke dalam skuadnya bagi mengisi kekosongan ditinggalkan penyerang antarabangsa England itu. Kualiti sentuhan pertamanya, pengalamannya serta bijak membaca gerakan dan menghidu peluang, kehadiran Ighalo setidak-tidaknya memberikan sedikit perbezaan kepada jentera serangan United. Dalam tempoh lapan bulan selepas ini, saya berharap akan ada banyak lagi perkara baharu yang dapat kita lihat dari Ighalo. Glory Glory Manchester United!!!

01 Jun 2020

DARI BAHAN JENAKA DI OLD TRAFFORD KEPADA WIRA DI KOTA ROME



Bagi peminat bolasepak, hampir mustahil jika mereka tidak mengenali Paolo Maldini. Bagi bekas pemain dan legenda AC Milan itu, beliau sudah memenangi kesemua medal kejuaraan yang ditawarkan baik di pentas domestik mahupun Eropah. Mungkin satu-satunya kekesalan di sebalik karier gemilang Maldini ialah beliau gagal membantu Itali menjulang trofi Piala Dunia meskipun hampir melakukannya pada edisi 1994. Di Old Trafford pula Chris Smalling tidak kurang hebatnya dari segi medal kejuaraan yang berjaya beliau menangi bersama Manchester United.

Di peringkat domestik, sepertimana Maldini, Smalling juga sudah memenangi semua kejuaraan yang ditawarkan. Manakala Liga Europa merupakan satu-satunya medal kejuaraan di peringkat Eropah yang menjadi koleksi peribadi dalam simpanan Smalling untuk beliau banggakan ketika bersara suatu hari nanti. Smalling merupakan antara `cebisan’ pembelian dari era Sir Alex Ferguson yang masih tinggal selain Phil Jones dan David De Gea. Sepuluh tahun lalu, Fergie merekrut Smalling dari Fulham dengan harapan pemain ini mampu menggantikan tempat Rio Ferdinand di jantung pertahanan United.

Setahun selepas Fergie merekrut Smalling, pengendali legenda United itu sekali lagi mengorak langkah dengan mendapatkan tandatangan Phil Jones dari Blackburn Rovers. Ketika itu, harapannya ialah agar Smalling dan Jones mampu menggantikan tempat Nemanja Vidic dan Ferdinand yang sudah berada di penghujung karier. Pada awalnya, tampak seperti mereka adalah prospek jangka panjang selaku duet di benteng tengah United bagi meneruskan legasi Ferdinand dan Vidic. Bagaimanapun kini hakikatnya tidak lagi begitu.

Jones masih kekal di Old Trafford tetapi sepanjang beberapa musim terakhir, beliau lebih banyak bertarung dengan kecederaan yang menjejaskan prestasinya di atas padang. Smalling pula masih lagi pemain United, cuma musim ini beliau sedang menjalani tempoh pinjaman selama semusim di AS Roma. `Smaldini’ adalah nama jolokan yang diberikan penyokong-penyokong United kepada Smalling. Cantuman nama `Smal’ling dan Mal`dini’ ini bukanlah sebagai tanda pengiktirafan penyokong United terhadap kehebatan Smalling, tetapi lebih kepada lelucon.

Smalling dan Jones antara pemain yang teruk dijadikan sasaran kritikan berikutan prestasi buruk dipamerkan benteng pertahanan United sepanjang musim lalu. Majoriti penyokong United lebih mahukan supaya Smalling dan Jones dijual kepada pasukan lain, tetapi Solskjaer nampaknya masih keberatan untuk melepaskan dua pemain pertahanan peninggalan dari era Fergie ini. Keputusan kelab melepaskan Smalling ke Roma secara pinjaman turut menyaksikan putusnya ikatan gandingan antara `Smaldini’ dan `Jonesta’ di benteng pertahanan United musim ini.

Menyertai AS Roma adalah pilihan terbaik buat Smalling demi menyelamatkan kariernya yang kian suram di Old Trafford. Tatkala United menobatkan Harry Maguire sebagai pertahanan termahal dunia, tiada pilihan lain buat Smalling selain daripada memilih haluan baharu. Roma adalah destinasi paling sesuai buat Smalling ketika beliau tercari-cari cabaran baharu dalam kariernya, tambahan pula Paulo Fonseca ketika itu terdesak mencari pengganti ideal buat Kostas Manolas yang memilih untuk berhijrah ke Napoli selepas lima musim berada di kota Rome.

Smalling tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama untuk membuatkan para Romanisti jatuh cinta kepada beliau dan berhenti dari meratapi pemergian Manolas. Aksi menentang Lecce pada 29 September lalu adalah contoh terbaik. Sepanjang perlawanan, Smalling melakukan dua hadangan, dua pintasan, melakukan tiga clearance dengan menggunakan kepala serta 10 recoveries. Selain daripada itu, Smalling juga berkongsi kedudukan selaku pemain yang mencatatkan jumlah percubaan gol tertinggi dalam perlawanan ini.

Namun penampilan paling menyerlah Smalling di Serie A dengan jersi merah Roma ialah ketika beliau membantu I Giallorossi membenam Brescia 3-0, 25 November lalu. Apa yang dilakukan Smalling dalam aksi yang dilangsungkan di Stadio Olimpico itu? Jawapannya, Smalling terlibat dalam ketiga-tiga gol yang dihasilkan Roma ke gawang Brescia. Selain berjaya menjaringkan satu gol, Smalling turut menghasilkan dua bantuan gol menerusi kepala yang berjaya disudahkan Gianluca Mancini serta Edin Dzeko.

Sepanjang 540 minit penampilan pertama Smalling untuk Roma, gawang skuad kendalian Fonseca itu bocor sebanyak empat kali. Statistik ini juga menyamai pencapaian yang pernah dilakukan Manolas, cuma apa yang dilakukan Smalling ini boleh dianggap lebih baik kerana penglibatan beliau dengan satu dari empat gol yang dihasilkan Roma ketika mereka menewaskan Udinese pada 31 Oktober lalu. Berbanding Smalling, Manolas pula hanya mampu menjaringkan gol pertamanya untuk Roma pada musim keduanya di kota Rome.

Evolusi Di Kota Rome

Roma di bawah kendalian Fonseca boleh dianggap skuad yang sedang berevolusi dengan idea-idea baharu yang dibawa beliau selepas menggantikan tempat Claudio Ranieri. Meskipun pada awalnya Fonseca memilih Juan Jesus sebagai rakan gandingan Federico Fazio di benteng tengah skuadnya, bekas pengendali Shakhtar Donetsk akhirnya mendapati Smalling adalah centre back yang lebih sesuai untuk melaksanakan peranannya dalam taktikal garis pertahanan tinggi yang beliau terapkan dalam permainan Roma.

Falsafah bolasepak yang diterapkan Fonseca sangat sesuai dengan gaya permainan Smalling. Sepertimana yang anda tahu, Smalling merupakan seorang bek tengah yang agresif dan gemar mengasak mana-mana penyerang lawan ketika mereka menerima sentuhan pertama. Akhirnya bersama Roma, Smalling muncul antara pertahanan tengah paling berpengaruh di Serie A. Jadi tidak hairanlah mengapa Fonseca mahu mengekalkan beliau di kota Rome secara tetap. Bagaimanapun tawaran €15 juta dari Roma ditolak United pada Januari lalu.

Sepanjang 21 penampilan beliau untuk Roma di Serie A, Smalling berjaya membantu gawang skuad I Giallarossi dari dibolosi dalam lima perlawanan. Dari pemain yang sering dijadikan bahan jenaka, Smalling menjelma kepada tonggak penting di barisan pertahanan Roma. Di Itali, sebuah negara yang sangat terkenal dengan seni bertahan dalam bolasepak, Smalling akhirnya berjaya mempamerkan semula prestasi terbaiknya. Paling penting, di kota Rome, Smalling juga belajar gaya bolasepak baharu berbanding apa yang beliau lalui selama sembilan musim di Old Trafford.

Peluang Kedua

Beberapa musim terakhir di Old Trafford umpama mimpi ngeri buat Smalling. Dari seorang prospek yang diletakkan harapan sebagai pengganti Rio Ferdinand, Smalling bertukar kepada watak yang dibenci oleh penyokong-penyokong United. Keyakinan beliau di atas padang mula merudum, lantas mengundang kritikan demi kritikan terhadap prestasinya. Setelah mengharungi tempoh-tempoh sukar di Old Trafford, kota Rome akhirnya menawarkan kesempatan untuk beliau menyelamatkan kariernya.

Selepas pulih dari kecederaan lutut yang menyaksikan beliau tersisih dari kesebelasan utama dalam dua perlawanan , Smalling kemudiannya memainkan peranan besar di benteng Roma yang menyaksikan beliau melakukan penampilan penuh selama 90 minit dalam sebelas aksi di peringkat liga. Dua gol yang beliau jaringan setakat ini juga meletakkan Smalling pemain Inggeris pertama yang berjaya menjaringkan dua gol di Serie A selepas David Beckham melakukannya untuk AC Milan pada musim 2008/09.

Perkembangan Smalling di kota Rome nampaknya menarik perhatian Gareth Southgate untuk terbang ke Milan bagi menyaksikan sendiri aksi beliau. Di hadapan Southgate, Smalling sekali lagi membuktikan bahawa beliau masih lagi aset berharga untuk skuad The Three Lions. Sepanjang tempoh 90 minit aksi di San Siro yang berlangsung pada 6 Disember itu, Smalling menjalankan tugasnya dengan cukup berkesan, iaitu meneutralkan setiap ancaman dari Romelu Lukaku, peledak berbisa yang sudah menghasilkan 10 gol dari 15 perlawanan untuk Inter.

Untuk rekod, kali terakhir Smalling dipanggil menyertai kem latihan skuad England ialah pada November 2017, manakala Kejohanan Euro 2016 pula merupakan tugasan terakhir beliau di peringkat antarabangsa. Jika Smalling berhasrat dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan, beliau perlu bermain dalam perlawanan kompetitif di peringkat kelab bersama skuad utama. Untuk itu Roma menawarkan apa yang Smalling perlukan terutamanya jika beliau berhasrat beraksi di Kejohanan Euro 2020 (jika dilangsungkan pada tahun ini).

Penutup

Persoalan paling besar sekarang adakah Smalling masih ada tempat dalam kesebelasan utama United? Bagi Paulo Fonseca pula, beliau sedang mengintai sebarang kemungkinan untuk mengekalkan Smalling di Stadio Olimpico secara tetap meskipun tawaran Roma pada Januari lalu ditolak United. Meskipun cuma diberikan kesempatan tampil dalam kesebelasan Roma pada bulan September, prestasi Smalling memang benar-benar mengejutkan ramai pihak, terutamanya apabila memikirkan bahawa beliau sebelum ini tidak pernah meninggalkan England.

Bermain di liga yang menuntut aspek taktikal, Smalling beradaptasi dengan pantas dalam budaya bolasepak Itali. Pada usia mencecah 30 tahun, Smalling masih pantas, bijak membaca permainan dan paling penting beliau masih sukar untuk ditewaskan oleh mana-mana penyerang lawan dalam situasi satu lawan satu. Di kota Rome juga, Smalling lebih dicintai oleh para Romanisti dengan bendera dan chant berterusan yang melaungkan namanya dari belakang gawang, situasi yang beliau tidak nikmati lagi di Old Trafford.

Bagaimanapun harus juga diingat bahawa Smalling baru berada dalam skuad utama selama tiga bulan, dan Roma pula bukanlah United. Meskipun menerima dokongan kuat dari Romanisti, setiap aksi Roma di Stadio Olimpico hanya dibanjiri purata 33 ribu penonton, jumlah yang jauh berbeza jika dibandingkan dengan kehadiran penonton di Old Trafford. Serie A juga kini bukan lagi berada di kemuncak sepertimana ketika era 80an dan 90an, saat kesebelasan seperti AC Milan, Roma, Inter Milan, Juventus dan Napoli menguasai saingan di pentas Eropah.

Jika Smalling berhasrat kembali semula ke Old Trafford musim hadapan, beliau perlu membuktikan bahawa dirinya lebih baik berbanding Victor Lindelof, Eric Bailly atau Harry Maguire. Jika itu tidak berlaku, adalah lebih baik Smalling memilih kekal bersama pasukan yang mampu menawarkan beliau tempat dalam kesebelasan utama mereka. Di kota Rome, Smalling kembali dicintai, tetapi penyokong-penyokong United juga sudah mula terfikir bahawa beliau wajar diberikan kesempatan untuk kembali selepas melihat pengaruh yang dimainkannya di benteng pertahanan Roma. Glory Glory Manchester United!!!