28 Jun 2023

MENGAPA MASON MOUNT MENJADI SASARAN NOMBOR SATU TEN HAG?

 


Mason Mount jelas menjadi sasaran paling `hangat’ yang ingin diburu Manchester United pada bursa perpindahan pemain musim panas ini, tetapi polemik perpindahan pemain berusia 24 tahun itu ke Old Trafford tampaknya seperti tiada kesudahan. Tiga tawaran yang dikemukakan United ditolak Chelsea, jadi timbul persoalan adakah Erik Ten Hag masih bernafsu meletakkan Mount sebagai salah seorang trio bersama Bruno Fernandes dan Casemiro sebagai penggerak jentera tengah skuadnya musim hadapan?

 

Sejak musim 2019/20, Mount menjadi antara pemain terpenting di Stamford Bridge. Malah pada 2021, Jose Mourinho menyifat pemain itu sebagai `pemain tengah sempurna untuk mana-mana pasukan yang diwakilinya’. “Mount seorang pemain tengah yang bijak. Dia sangat memahami tentang strategi dan taktikal permainan. Dia bukan sahaja boleh bergerak di sebelah sisi tetapi juga berperanan sebagai pemain nombor 10. Saya percaya dia akan muncul sebagai `superstar’ suatu hari nanti”, kata Mourinho kepada The Times.

 

Serba Boleh

 

Ya, seperti yang dikatakan Mourinho dua tahun lalu, Mount merupakan pemain tengah serba boleh.  Beliau bukan sahaja boleh beroperasi di sisi kanan atau kiri, berperanan sebagai pemain nombor 10 tetapi juga ada kalanya digunakan Chelsea sebagai `false nine’ mereka. Melihat kepada kerja-kerja yang dilakukannya bersama Chelsea, tampak seperti Mount akan digunakan Ten Hag sebagai salah seorang dari tiga pemain yang beroperasi di belakang penyerang tengah (jika United berjaya mendapatkan khidmatnya).

 

Bagaimanapun United sudah ada pemain-pemain seperti Marcus Rashford, Bruno Fernandes, Alejandro Garnacho, Antony dan Jadon Sancho. Jadi apa yang boleh anda bayangkan ialah, Mount akan diletakkan Ten Hag pada posisi yang lebih ke belakang, meskipun beliau sebenarnya seorang pemain tengah yang memiliki lebih naluri menyerang berbanding bertahan. Untuk itu, Mount akan beroperasi bersama Casemiro sebagai dua pemain tengah yang mampu melakukan hantaran-hantaran progresif dari `defensive zone’.

 

Pengganti Eriksen

 

Musim lalu, peranan ini sebenarnya dipikul oleh Christian Eriksen atau Marcel Sabitzer. Bagaimanapun dengan usia Eriksen yang bakal menjangkau 32 tahun, manakala Sabitzer pula kembali menyertai Bayern Munich selepas tempoh pinjaman selama enam bulannya tamat, Ten Hag melihat Mount sebagai pemain yang mampu meningkatkan kualiti jentera tengah United selain faktor umur dan fleksibiliti dalam permainannya. Musim 2022/23 merupakan musim terburuk Chelsea, yang bukan sahaja menjejaskan penampilan Mount tetapi juga keseluruhan skuad.

 

Tetapi sebelum itu cuba anda lihat statistik beliau pada musim sebelumnya (2021/22). Sepanjang kempen musim 2021/22, Mount mencatatkan lebih 2000 minit permainan untuk Chelsea, dan dari jumlah tersebut beliau mencatatkan purata 6.25 hantaran progresif, 2.21 `key passes’, 0.26 `expected assist’ dan 4.53 `shot creating actions’ per perlawanan. Dalam peranan yang lebih ofensif pada formasi 3-4-2-1 yang digunakan Thomas Tuchel, Mount menjaringkan 13 gol dan mencipta 16 bantuan gol dari 53 penampilan keseluruhan beliau pada musim 2021/22.

 

Dalam peranan sebagai pemain nombor 8 yang digalas Eriksen sebelum ini, kehadiran Mount mampu menjadikan jentera tengah United lebih dinamik menerusi kualiti kawalan bola yang beliau miliki, jarak hantaran dan visi beliau dalam mengawal tempo permainan. Jika Eriksen sangat dikenali kerana kepakaran beliau sebagai seorang `playmaker’ dan `set-pieces’nya, Mount pula seorang pemain tengah yang sangat dikenali kerana intensiti tinggi dalam permainannya, `work rate’ dan kualiti kerja-kerja bertahan yang dilakukannya.

 

Peranan Defensif dan Ofensif

 

Jika beliau diberikan peranan yang lebih ofensif pula, Mount bukanlah tipikal pemain nombor 10 Inggeris yang sering anda lihat. Kemahiran beliau ketika mengawal bola sering membingungkan pemain lawan, tambahan pula Mount memiliki kekuatan pada kedua-dua belah kakinya. Di sisi kiri mahupun kanan ketika beliau bergerak, Mount merupakan perancang yang sangat berbahaya di zon `final third’, sama ada menerusi hantaran yang dilakukannya atau ketika beliau memecah pertahanan lawan menerusi pergerakan dengan bola atau tanpa bolanya.  

 

Jika Chelsea akhirnya menyerah dengan melepaskan Mount berpindah ke Old Trafford, apa yang boleh anda bayangkan ialah beliau akan membentuk gandingan bersama Casemiro dengan peranan yang lebih defensif, manakala Bruno Fernandes pula beroperasi sebagai pemain nombor 10. Musim lalu, United bermain dengan gaya dan pendekatan yang berbeza. Adakalanya mereka bermain bolasepak menyerang, dan adakalanya juga mereka bermain dengan pendekatan yang agak pragmatik, imej yang sangat kontras dengan gaya bolasepak Ten Hag.

 

Musim depan Ten Hag mahu melakukan perubahan total kerana bagi beliau, United mesti bermain bolasepak berorientasikan penguasaan bola. Jadi atas sebab itulah mengapa pemain tengah dengan profil seperti Mount perlu ada dalam skuad United musim hadapan. Peranan dan fleksibiliti permainan Mount memberikan Ten Hag pilihan taktikal yang lebih luas, kerana pemain England itu bukan sahaja boleh beroperasi bersama Casemiro, tetapi juga mampu memberikan keseimbangan ketika menyerang bersama Fernandes.

 

Penutup

 

Di Chelsea, Mount merupakan pemain tengah yang mampu melakukan kerja-kerja defensif sama baik dengan kerja-kerja ofensifnya. Anda boleh labelkan beliau sebagai antara `virus’ yang menyebabkan Thomas Tuchel dipecat, tetapi menurut Lampard, Mount memiliki ambisi untuk muncul bintang besar suatu hari nanti. “Ambisinya ialah untuk menjadi pemain terbaik dunia suatu hari nanti. Di atas padang dia pemain penting kami dan ketika sesi latihan, dia akan berlatih seolah-olah ini adalah sesi latihan terakhirnya”, kata Lampard kepada The Athletic.

 

Bagi Lampard, Mount merupakan pemain penting untuk Chelsea, begitu juga dengan Gareth Southgate ketika pemain itu melapor diri untuk tugasan bersama skuad kebangsaan England. Sama ada ketika menyarung jersi biru Chelsea atau ketika bersama skuad `The Three Lions’, Mount adalah definisi tentang kestabilan di bahagian tengah mereka menerusi kemampuan menyerang dan bertahan yang dimilikinya. Atas sebab itu jugalah mengapa beliau menjadi sasaran nombor satu Ten Hag. Glory Glory Manchester United!!!



23 Jun 2023

HOJLUND...PROFIL NOMBOR 9 YANG REALISTIK UNTUK UNITED TANDATANGANI

 


Salah satu posisi yang bakal dijadikan fokus utama Erik Ten Hag untuk beliau perkuatkan bagi menghadapi musim baharu nanti ialah penyerang tengah. Untuk itu nama-nama penyerang tengah tipikal seperti Victor Osimhen, Harry Kane, Rasmus Hojlund, Randal Kolo Muani dan Goncalo Ramos antara yang disebut-sebut berada dalam radar buruan beliau. Selepas pemergian Cristiano Ronaldo, Manchester United bergelut dalam usaha mereka meletakkan seorang pemain yang mampu menggalas tugas sebagai pemain nombor 9 dengan berkesan.

 

Marcus Rashford meledak 23 gol pasca pemergian Ronaldo ke Arab Saudi, tetapi pemain antarabangsa England itu tampak lebih selesa bergerak di sisi kiri berbanding berperanan sebagai penyerang tengah. Untuk meletakkan United selaku pencabar kejuaraan liga, Ten Hag tidak lagi boleh bergantung kepada Anthony Martial selaku pemburu gol, manakala Wout Weghorst yang dibawa masuk pada bulan Januari lalu sebagai pemain pinjaman bukanlah `level’ penyerang tengah bagi kelab seperti United.

 

Kane, Osimhen, Kolo Muani, Ramos?

 

Kane penyerang tengah yang tidak perlu lagi dipertikaikan kredibilitinya. Pada usia yang bakal mencecah angka 30 tahun pada Julai ini, beliau merupakan penyerang yang sangat berpengalaman, baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa. Paling penting, Kane adalah `Premier League proven’. Osimhen pula antara watak penting di sebalik kejayaan Napoli memenangi `Scudetto’ pertama mereka dalam tempoh 33 tahun. Musim lalu, beliau meledak 31 gol dari 39 penampilan dalam semua kejohanan untuk Napoli.

 

Berbanding Kane, pada usia beliau yang baru mencecah angka 24 tahun, Osimhen adalah projek jangka panjang Ten Hag jika kelab berjaya mendapatkan khidmatnya. Sama seperti Osimhen, Kolo Muani juga berusia 24 tahun. Prospek Perancis ini melakukan penampilan pertama di Piala Dunia tahun lalu selain menikmati penampilan musim pertama yang luarbiasa bersama Eintracht Frankfurt di Bundesliga. Musim lalu, beliau melakukan 46 penampilan untuk Frankfurt, menjaringkan 23 gol dan mencipta 17 bantuan gol.

 

Di Portugal pula ada seorang bintang sedang meningkat naik. Baru berusia 22 tahun, Goncalo Ramos dilabel sebagai penggempur masa hadapan skuad kebangsaan Portugal. Pada kempen Piala Dunia 2022 di Qatar, Ramos antara pemain muda yang menyerlah menerusi empat gol yang dihasilkannya selain mencipta satu bantuan gol dari lima penampilan. Bersama Benfica musim lalu, Ramos melakukan 47 penampilan, menjaringkan 27 gol dan mencipta 12 bantuan gol. Satu statistik yang sangat mengagumkan untuk seorang pemain muda seperti beliau.

 

Sasaran Realistik

 

Tanda harga bakal menyukarkan misi United mendapatkan khidmat Kane ataupun Oshimhen. Manakala Bayern Munich pula diberitakan kelab paling berpotensi untuk disertai Kolo Muani musim hadapan. Penampilan luarbiasa bersama Benfica, faktor umur dan harga menjadikan Ramos antara penyerang yang realistik untuk United tandatangani. Selain dari beliau, ada seorang lagi penyerang muda yang disebut-sebut mampu menjelma sebagai pengganti `de facto’ Ronaldo, sekaligus memegang watak utama sebagai pemain nombor 9 United musim hadapan.

 

Beliau yang saya maksudkan ialah Rasmus Hojlund, bintang dalam pembikinan dari Denmark dan penyerang Atalanta yang diletakkan dalam pasaran perpindahan dengan nilai sebanyak €45 juta oleh Transfermarkt. United pula diberitakan sudah menjalankan negosiasi dengan agennya bagi mendapatkan tandatangan pemain berusia 20 tahun itu. Berasal dari negara Scandinavia, postur tubuh dengan ketinggian 1.85m, seorang penyerang yang mampu berlari di bawah masa 11 saat untuk jarak 100m, Hojlund sering dikaitkan dengan penampilan Erling Haaland.   

 

Melihat penampilannya di atas padang, Hojlund merupakan seorang pemain yang bukan sahaja energetik, tetapi memiliki intensiti tinggi dalam permainan dan dianugerahkan dengan teknik yang bagus. Postur tubuhnya tidak setinggi Haaland, jadi beliau memiliki pusat graviti lebih rendah yang banyak membantu stabiliti pergerakan tubuh dan kakinya. Hojlund berpindah ke Atalanta pada musim panas tahun lalu, hanya tujuh bulan selepas beliau menyertai Sturm Graz dari FC Copenhagen. Di Bergamo, Gian Piero Gasperini  berjaya menggilap potensi yang dimiliki Hojlund. 

 

Gaya Permainan

 

Hojlund bukanlah tipikal penyerang tengah yang cuma menunggu peluang di dalam petak penalti lawan, tetapi sebaliknya beliau lebih cenderung turun ke bahagian tengah, mengawal bola sambil membiarkan rakan sepasukan yang lain untuk bergerak ke hadapan. Pendekatan permainan beliau bertujuan memancing pertahanan lawan untuk keluar dari posisi mereka dan mencetuskan `huru hara’ di zon `final third’. Ketika maju lebih jauh ke hadapan pula, Hojlund akan sentiasa bergerak mencari ruang bagi memilih posisi yang tepat untuk menyudahkan peluang.

 

Menurut Gasperini, Hojlund merupakan penyerang yang serba lengkap. Selain peranan utamanya sebagai penyerang tengah, beliau juga boleh beroperasi sebagai penyerang kedua atau di bahagian sayap. Kelajuan, koordinasi dan kekuatan fizikalnya menjadikan beliau antara penyerang dengan ancaman menakutkan di Serie A. Pada musim 2021/22, Hojlund bermain untuk Strum Graz selama 1156 minit, dan beliau berjaya meledak enam gol dan mencipta satu bantuan gol walaupun cuma melakukan 13 penampilan di Austrian Bundesliga.

 

Lima gol yang beliau jaringkan untuk Graz ketika itu dilakukannya menerusi pergerakan di dalam petak penalti dengan purata `expected goals’ (xG) setiap percubaannya mencapai angka 0.2. Statistik ini menunjukkan bahawa beliau seorang penyerang tengah tulen dengan kemampuan menyempurnakan satu peluang dari lima percubaan. Di liga yang lebih sukar seperti Serie A, potensi Hojlund terus menyerlah. Secara keseluruhannya, beliau bermain selama 1,834 minit untuk Atalanta di saingan liga, menjaringkan sembilan gol dan mencipta empat bantuan gol.

 

Purata xG setiap percubaan yang dilakukannya ialah 0.19, hampir menyamai catatan yang dilakukannya ketika bersama Graz pada musim 2021/22. Sepanjang saingan Serie A musim lalu, Hojlund cuma melakukan dua percubaan jarak jauh, dengan kedua-duanya dalam lingkungan dua ela dari petak penalti. Sebagai penyerang, beliau bijak menghidu peluang dalam pelbagai situasi, tahu bagaimana menggunakan kekuatan badannya untuk melindungi bola dan sangat berbahaya dalam situasi gerakan `counter attack’ kerana kelajuan yang dimilikinya.

 

`Next Haaland’?

 

Bukan mudah untuk mana-mana pemain dilabel sebagai `Next Haaland’, kerana hanya pemain yang memiliki potensi besar dan istimewa sahaja boleh dikaitkan dengan bintang Manchester City itu. Meskipun terdapat persamaan antara Haaland terutama dari sudut fizikal dan gaya permainan mereka, masih banyak yang perlu Hojlund tingkatkan dalam aspek permainannya. Haaland sangat prolifik dalam melakukan percubaan di mana beliau melakukan purata 3.2 percubaan dalam setiap perlawanan berbanding 2.2 yang dilakukan Hojlund.

 

Purata xG Haaland dalam setiap perlawanan pula ialah 0.89 berbanding catatan Hojlund (0.50). Dalam situasi `duel’ di udara pula, beliau memiliki kecenderungan lebih tinggi untuk melakukan tandukan (15%) berbanding Haaland (12%). Selain gaya permainan, Hojlund dan Haaland memiliki satu lagi persamaaan iaitu kedua-duanya merupakan penyerang berkaki kidal. Meskipun naluri penyudahnya masih tidak setajam Haaland, Hojlund menunjukkan bahawa beliau memiliki lebih variasi dalam menggunakan kedua-dua kakinya ketika melepaskan percubaan.

 

Musim lalu, statistik menunjukkan bahawa 20% percubaan yang dilakukan Hojlund adalah menggunakan kaki kanan berbanding Haaland (16%), sekaligus menunjukkan bahawa beliau merupakan penjaring gol serba boleh yang sukar diramal. Hojlund dan Haaland memiliki mentaliti sama ketika mereka berada di zon `final third’, kerana kedua-duanya tahu bila waktu yang tepat untuk melepaskan percubaan. Dan sama seperti Haaland, beliau juga gemar memberikan tekanan kepada pertahanan lawan bagi memungkin mereka melakukan kesilapan.

 

Penutup

 

United masih dalam pencarian untuk posisi pemain nombor 9. Jika Hojlund mahu meninggalkan kota Bergamo musim panas ini, beliau antara penyerang tengah yang boleh dipertimbangkan untuk United tandatangani. Jika kelab berjaya mendapatkan khidmatnya, Hojlund merupakan profil pemain yang bersesuaian dengan visi Ten Hag, kerana beliau mahu menjadikan United kesebelasan yang mampu mendominasi penguasaan bola menerusi sirkulasi hantaran-hantaran pantas bagi memecah garis pertahanan lawan.

 

Selepas gemilangnya penampilan Haaland bersama City musim lalu, kelab-kelab sekitar Eropah seolah-olah sedang mengalami kegilaan dalam usaha mereka memburu bakat seperti beliau, dan United juga perlu bertindakbalas dengan segera. Pada usia beliau sekarang, jangan bandingkan Hojlund dengan Haaland, kerana bintang muda Denmark itu sedang `dibina’ untuk menjadi seperti Haaland. Atalanta tidak akan mampu mengekalkan Hojlund di Bergamo, cuma persoalannya sekarang kemanakah destinasi beliau selepas ini? Glory Glory Manchester United!!! 



19 Jun 2023

MOYES...SEBUAH KEGAGALAN, ATAU SATU KESILAPAN?

 


Sepuluh tahun lalu, nama David Moyes tiba-tiba melonjak naik selepas beliau dinamakan sebagai pengganti Sir Alex Ferguson di Old Trafford. Ramai yang terkejut, dan ramai juga yang kehairanan kerana Moyes bukanlah nama berprofil tinggi dalam lingkaran dunia kejurulatihan berbanding Carlo Ancelotti, Jose Mourinho, Jurgen Klopp atau Pep Guardiola. Ketika itu, Moyes dan United umpama cerita fantasi Cinderella dalam realiti dunia bolasepak

 

Menurut Fergie, individu pertama yang mengumumkan Moyes sebagai pengganti beliau, pemilihan lelaki dari Glasgow, Scotland itu dibuat kerana kredibiliti dan keupayaannya mengemudi Everton bersaing secara konsisten di kelompok enam teratas dalam saingan Liga Perdana meskipun diberikan peruntukkan yang terhad. Malah Sir Bobby Charlton juga senang dengan pemilihan Moyes sambil menyifatkan beliau seorang pengurus yang memiliki mentaliti seorang juara.

 

Pada peringkat awal karier Moyes bersama United, segalanya tampak berjalan lancar dan teratur, malah penyokong-penyokong United sendiri menyambut baik kehadiran beliau. Bermula dengan kempen pra musim di Australia dan Asia, `The Choosen One’ kemudiannya berjaya menghadiahkan trofi pertama buat United menerusi kejayaan menewaskan Wigan Athletic dalam perlawanan pembukaan musim merebut Perisai Komuniti.

 

Bermula Era Moyes

 

United juga memulakan kempen liga mereka dengan sangat menyakinkan selepas membelasah Swansea City (4-1) di gelanggang lawan. Pada perlawanan kedua, mereka kemudiannya berjaya mengikat Chelsea (0-0) dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford, tewas (0-1) kepada Liverpool di Anfield pada perlawanan ketiga liga dan kembali mengutip tiga mata ketika berdepan Crystal Palace pada perlawanan keempat yang dilangsungkan di gelanggang sendiri.

 

Tujuh mata dari empat aksi pertama liga bukanlah satu pencapaian yang buruk, apatah lagi ia dilakukan oleh seorang pengurus yang baharu menyertai kelab selama dua bulan seperti Moyes. Bagaimanapun pada aksi `Manchester derby’, segala kelemahan United terdedah. Kekalahan (1-4) di Stadium Etihad itu bukan hanya tentang City sebuah kesebelasan yang lebih baik, tetapi juga tentang betapa naifnya Moyes ketika berdepan strategi licik yang disusun Manuel Pellegrini.

 

Enam bulan selepas itu, lebih 75 ribu penonton di Old Trafford menjadi saksi satu lagi kekalahan besar yang dialami United kepada City. Jaringan dari Edin Dzeko, Yaya Toure dan Samir Nasri menyaksikan City muncul kesebelasan ketujuh yang berjaya menewaskan United di Old Trafford pada musim tersebut. Selepas mengharungi 31 perlawanan, United terperosok di tangga ketujuh, 12 mata di belakang Arsenal yang menghuni tangga keempat liga.

 

Dipecat

 

Pada 24 April 2014, kekalahan (0-2) yang dialami barisan kendalian Moyes di Goodison Park menyaksikan Everton buat pertama kali sepanjang tempoh 44 tahun berjaya menewaskan United dua kali dalam semusim pada saingan liga. Kekalahan kepada Everton merupakan `jalan mati’ kepada karier Moyes di Old Trafford dan dua hari kemudian, kelab mengumumkan pemecatan beliau. Bagi menghadapi baki saingan musim tersebut, Ryan Giggs dilantik selaku pengganti sementara. 

 

Sepanjang tempoh lapan bulan Moyes mengendalikan United, gambaran tentang bencana yang dialami kelab di bawah kepimpinannya masih terasa hingga ke hari ini. United akhirnya menamatkan saingan liga di tangga ketujuh, dan itu juga bermakna mereka gagal beraksi di saingan Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak 1995. Adakah Moyes memang seorang pengendali yang tidak memiliki kredibiliti, atau keputusan kelab menamakan beliau sebagai pengganti Fergie satu keputusan yang teruk?

 

Mudah sebenarnya untuk meletakkan segala kegagalan ketika itu di bahu Moyes. Kutipan mata terendah dalam sejarah penyertaan kelab di Liga Perdana, prestasi di gelanggang sendiri terburuk dalam tempoh sedekad, kalah kepada Swansea City di Old Trafford buat pertama kali dalam sejarah pertemuan antara kedua-dua kelab, dan kalah kepada Stoke City dalam saingan liga buat pertama kali sejak 1984 antara rekod buruk yang ditinggalkan Moyes sepanjang lapan bulan beliau di Old Trafford.

 

Penyokong-penyokong United akan sentiasa mengenang Moyes kerana segala rekod buruknya di Old Trafford, tetapi untuk berlaku adil kepada beliau, cuba lihat pula situasi kelab ketika itu. Tanda-tanda bahawa Moyes bakal berdepan bencana di Old Trafford sudah terlihat pada bursa perpindahan pemain musim panas lagi. Ketika itu hanya Marouane Fellaini satu-satunya `nama besar’ berjaya beliau bawa masuk untuk memperkuatkan skuadnya bagi menghadapi musim baharu.

 

Skuad Usang

 

Kejayaan Moyes menandatangani Juan Mata dari Chelsea pada pertengahan musim mungkin satu-satunya keputusan terbaik yang beliau lakukan di Old Trafford. Bagaimanapun kehadiran maestro Sepanyol itu tetap tidak memadam hakikat bahawa Moyes mewarisi skuad usang peninggalan Fergie. Wayne Rooney, Robin Van Persie, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Ryan Giggs dan Michael Carrick semuanya sudah melepasi zaman kemuncak mereka sebagai pemain.

 

Faktanya ketika itu, terdapat 11 pemain yang Moyes warisi dari skuad peninggalan Fergie sudahpun melepasi angka 27 tahun. Bagaimana pula dengan pemain-pemain muda yang ada ketika itu? Phil Jones, Chris Smalling, Adnan Januzaj, Nick Powell dan Alexander Buttner tidak mencapai `standard’ yang diharapkan untuk menggantikan pemain-pemain senior. Dengan barisan pemain yang ada, United perlu melakukan rombakan besar-besaran, tetapi pada musim panas mereka cuma mampu membawa masuk Fellaini.

 

Pengurusan Yang Teruk

 

David Gill memang sangat dikenali sebagai antara individu di sebalik suksesnya Fergie di Old Trafford. Jika anda bercakap tentang kesuksesan Fergie, anda juga tidak boleh terlepas dari menyebut peranan yang dimainkan Gill di belakang tabir. Bagaimanapun Gill yang sudah bersama United sejak 1997 mengundurkan diri sebagai pengarah eksekutif hanya beberapa bulan sebelum Fergie mengumumkan persaraannya. Apa yang berlaku selepas itu? Ed Woodward menggantikan posisi ditinggalkan Gill.

 

Siapakah Woodward? Seperti yang anda tahu, beliau merupakan naib pengerusi eksekutif United, bekas akauntan bertauliah dan bekas jurubank pelaburan di JP Morgan. Meletakkan Woodward sebagai pengganti Gill bukanlah satu idea yang bijak, dan akhirnya anda lihat apa yang sudah dilakukan beliau. Pada jendela perpindahan musim panas 2013, maneuver United dalam misi menandatangani pemain baharu di bawah teraju Woodward berjalan dengan sangat perlahan.

 

United mensasarkan Cesc Fabregas, Ander Herrera, Leighton Baines dan Fabio Coentrao tetapi yang datang cuma Saidy Janko dan Guillermo Varela, manakala Fellaini menyertai kelab pada detik akhir sebelum jendela perpindahan pemain ditutup. Berbanding ketika era Gill, United di bawah telunjuk Woodward pula gemar berbelanja besar tanpa memikirkan adakah pemain itu sesuai dengan keperluan dan rencana pasukan. Masih ingatkah lagi tentang penilaian beliau bahawa Diego Godin dan Toby Alderweireld tidak cukup bagus untuk United?

 

Penutup

 

Sebelum kedatangan Moyes ke Boleyn Ground, West Ham United sangat terkenal dengan kecenderungan mereka dengan `perpindahan mahal tetapi mengecewakan’. Mereka menandatangani Felipe Anderson, Javier Hernandez selain memecah rekod perpindahan kelab untuk Sebastian Haller, tetapi ketiga-tiganya gagal memberikan impak yang signifikan kepada prestasi kelab. Bagaimanapun selepas kedatangan Moyes, mereka sangat efektif dalam hal merekrut pemain.

 

Pada musim sejuk 2020, Moyes merekrut Jarod Bowen, Thomas Soucek dan kemudiannya menyusul pula Vladimir Coufal. Pada Oktober 2020, Said Benrahma yang juga bintang Liga Kejuaraan tiba dari Brentford. Paling menarik, lihat impak diberikan Jesse Lingard dan Craig Dawson, dua pemain terbuang dari United dan Watford yang beliau bawa masuk sebagai pemain pinjaman. Meskipun menyertai West Ham pada pertengahan musim, Lingard menjaringkan dua gol pada penampilan pertamanya untuk `The Hammers’

 

Musim 2013/14 merupakan titik hitam dalam karier kejurulatihan Moyes kerana kegagalannya meneruskan legasi yang ditinggalkan Fergie. Selepas dipecat, beliau kembali ke dunia kejurulatihan dengan mengendalikan Real Sociedad dan Sunderland dari 2014 hingga 2016. Bagaiamanpun sepertimana ketika bersama United, di Sociedad dan Sunderland, Moyes juga gagal bertahan lama. Tetapi itu semua tidak pernah memadam nama Moyes dari peta bolasepak Inggeris.

 

Pada 8 Jun lalu, Moyes berjaya membantu West Ham menamatkan penantian panjang lebih setengah dekad mereka untuk menjulang trofi di pentas Eropah menerusi kejayaan menewaskan Fiorentina pada perlawanan akhir Liga Conference. Trofi itu merupakan trofi kedua yang pernah dimenangi Moyes sepanjang karier kejurulatihannya sejak kejayaan beliau mengemudi Preston North-End memenangi kejuaraan Divisyen 2, 23 tahun yang lalu.

 

Moyes tidak ditakdirkan untuk menjadi pengendali sehebat Fergie, tetapi kerja-kerja yang dilakukannya untuk Everton dan West Ham wajar anda berikan pujian. Sukar untuk menulis sebuah artikel tentang Moyes kerana beliau bukanlah sosok menarik untuk anda tulis tentang kisah perjalanan kariernya. Dalam bolasepak, kita akan sentiasa ghairah bercerita tentang Manchester United era Fergie, tetapi sebolehnya kita tidak akan mahu mengingati United di era Moyes. Glory Glory Manchester United!!!



16 Jun 2023

LANGIT MANCHESTER KIAN BERWARNA BIRU

 


Dahulu penyokong Manchester United sentiasa bercanda dengan mengatakan bahawa Manchester City tidak cukup besar untuk menyaingi mereka baik dari segi sejarah mahupun jumlah trofi yang berjaya dimenangi. Menurut mereka, Manchester sentiasa berwarna merah, bukan biru. Itu dahulu, kerana sekarang `The Cityzens’ nampaknya sudah jauh meninggalkan `The Red Devils’ dalam semua bentuk dan segi. Pada 10 Jun lalu, City berjaya melengkapkan kejuaraan `treble’ mereka menerusi kejayaan menundukkan Inter Milan di pentas final Liga Juara-Juara.

 

Ini merupakan kejuaraan sulung City dalam saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu, sesuatu yang mungkin tidak pernah difikirkan oleh penyokong-penyokong United sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu. Suatu masa dahulu, Sir Alex Ferguson pernah mengatakan bahawa tiada mana-mana kelab Inggeris selepas ini yang mampu mengulangi pencapaian skuadnya menjulang kejuaraan `treble’, tetapi selepas 24 tahun Fergie akhirnya terpaksa akur bahawa kini sudah ada kelab Inggeris berjaya menyamai pencapaian epik yang dilakar United pada musim 1998/99 itu.

 

Pandangan `streotype’ selama berdekad-dekad penyokong-penyokong United terhadap City akhirnya berubah, dan kini kita terpaksa mengakui serta menerima hakikat bahawa mereka adalah kelab terbesar di kota Manchester, sekurang-kurangnya buat masa ini. Melihat kepada perkembangan City selepas pengambilalihan kelab oleh Abu Dhabi United Group pada 2008, mereka sebenarnya cuma menunggu masa untuk menolak United bukan sahaja dari singgahsana selaku kelab terbesar di kota Manchester tetapi kuasa baharu bolasepak Inggeris.

 

Sejak 2008, City mendapatkan tiga pengurus berprofil tinggi bagi mengendalikan skuad utama mereka, tetapi kehadiran Pep Guardiola pada 2016 benar-benar meninggalkan impak yang sangat besar kepada penampilan `The Cityzens’. Guardiola merupakan pengendali yang berada dalam kelas tersendiri, dan dengan kekuatan kewangan yang dimiliki pemilik kelab, tugas beliau menjadi lebih mudah. Wang akhirnya menunjukkan kuasanya dan dengan kuasa wang jugalah City memperkuatkan skuad mereka dengan pemain-pemain kelas dunia.

 

Dominasi City

 

Kota Manchester tidak lagi didominasi oleh warna merah, kerana City dengan warna biru langitnya tidak lagi gentar setiap kali mereka bertembung dengan United di atas padang. Kehadiran Sheikh Mansour membawa `progress’ yang sangat signifikan kepada perkembangan City, baik dari segi `financial’ mahupun urusan tentang bolasepak itu sendiri. Berbanding keluarga Glazer, beliau datang dengan ambisi mahu membangunkan City untuk muncul selaku kuasa besar bolasepak, bukan sahaja di England tetapi juga Eropah.

 

Selama 26 tahun United di bawah kepimpinan Fergie, beliau berjaya menambah 36 trofi dalam kabinet kejuaraan kelab. 26 tahun adalah tempoh bagaimana suksesnya United yang dibangunkan Fergie sebagai individu paling berkuasa dalam menentukan segala hal di Old Trafford. Pada 2013, era Fergie akhirnya berada di garis penamat, saat beliau mengumumkan persaraannya sebagai pengurus United. Kekuatan serta kekuasaan Fergie akhirnya menjadi `boomerang’ kepada United yang hingga kini masih tercari-cari kejuaraan liga pertama mereka selepas beliau bersara.

 

Ketika penyokong-penyokong United masih dibuai dengan kisah kesuksesan kelab di era Fergie, manakala David Moyes, Louis Van Gaal, Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer pula terpaksa dikorbankan kerana kegagalan mereka mengangkat kembali status United sebagai kuasa bolasepak Inggeris, di timur kota Manchester pula City mula membina kekuatan mereka. Di tangan Ferran Soriano (CEO kelab) dan Txiki Begiristain (pengarah bolasepak), City diuruskan oleh tangan yang betul dan mereka yang pakar dalam hal ehwal bolasepak.

 

Apa yang dilakukan mereka? Soriano dan Begiristain menetapkan mana-mana pengurus atau pemain yang dibawa masuk bukan sahaja boleh menjalinkan kerjasama baik dengan mereka, tetapi juga faham dengan sistem, struktur serta budaya bolasepak yang sedang mereka bina. Lalu datanglah pengurus berprofil tinggi seperti Roberto Mancini, Manuel Pellegrini dan kemudiannya Pep Guardiola. Di bursa perpindahan pemain pula, City hanya menandatangani pemain yang dimahukan pengurus, bukan sekadar nama besar untuk tujuan `marketing’.    

 

Dalam tempoh sepuluh musim terakhir, mereka membawa masuk pemain-pemain berkualiti yang akhirnya menjadi tonggak pasukan. Bandingkan impak diberikan pemain-pemain seperti Fernandinho, Jesus Navas, Raheem Sterling, Kevin de Bryune, Ilkay Gundogan, John Stones, Gabriel Jesus, Bernardo Silva, Ederson, Aymeric Laporte, Riyad Mahrez, Rodri, Jack Grealish dan kini Erling Haaland kepada proses dan `progress’ City berbanding apa yang dilakukan United pasca persaraan Fergie. Akhirnya sejak 2014, mereka menang enam kejuaraan liga.  

 

United Sedang Berubah?

 

Erik Ten Hag sedang membina sesuatu pada musim pertamanya di Old Trafford. Musim lalu United menamatkan saingan liga di luar kelompok empat teratas, atau lebih spesifiknya mereka ketinggalan 13 mata di belakang Tottenham Hotspurs selaku kesebelasan yang menduduki tangga keempat liga. Purata 1.5 gol per perlawanan yang dihasilkan United merupakan angka terendah berbanding lima lagi kelab yang menghuni kelompok enam teratas liga. Jadi hampir pasti Ten Hag akan cuba mendapatkan seorang penyerang tengah baharu pada jendela perpindahan musim panas ini.

 

Musim ini, United di bawah kendalian beliau berjaya menamatkan kemarau enam tahun tanpa trofi menerusi kejayaan mereka menjulang kejuaraan Piala Liga, kembali beraksi di saingan Liga Juara-Juara dan menamatkan saingan liga di tangga ketiga. Kejayaan menjulang Piala Liga bukanlah indikator sebenar untuk kelab seperti Manchester United, tetapi sekurang-kurangnya anda sedang melihat satu perubahan sedang berlaku pada musim pertama Ten Hag di Old Trafford berbanding pencapaian mereka dalam tempoh enam tahun terakhir.

 

Dalam saingan liga pula, United mengutip 75 mata, jumlah mata tertinggi sejak mereka menamatkan saingan liga di tangga kedua pada musim 2016/17. Kejayaan United berada di kelompok tiga teratas banyak disumbangkan faktor impresifnya penampilan benteng pertahanan mereka. Penambahbaikan yang dilakukan Ten Hag ke atas benteng pertahanan United menerusi kehadiran Lisandro Martinez menyaksikan pintu gol mereka dibolosi 43 kali atau purata 1.1 per perlawanan. Angka terendah sejak musim 2019/20.

 

Penutup

 

Pencapaian, penampilan dan prestasi United sepanjang musim ini masih jauh dari tahap sempurna. Tewas kepada Manchester City di pentas akhir Piala FA juga bukanlah penamat musim yang kita mahukan, tetapi dalam diri Ten Hag kita melihat beliau memiliki elemen yang diperlukan untuk mengembalikan semula United ke era gemilang mereka. Untuk mengejar City, usaha keras bukan sahaja perlu dilakukan tetapi juga menuntut pelaburan yang besar dari pemilik kelab. Untuk itu, United tidak akan kemana-mana jika kelab terus dimiliki individu-individu seperti keluarga Glazer.

 

City berada di kedudukan mereka sekarang kerana visi dan ambisi yang dimiliki pemilik mereka. Dari kelab `pertengahan liga’, Sheikh Mansour akhirnya berjaya membina City menjadi kuasa besar bolasepak Eropah, status yang suatu ketika dahulu pernah dimiliki United. Berbanding Sheikh Mansour, keluarga Glazer pula menjadikan United sebagai `angsa bertelur emas’ dengan memerah keuntungan yang dihasilkan kelab. Jika situasi tidak berubah, jika United masih lagi dimiliki keluarga Glazer, percayalah langit Manchester akan terus berwarna biru. Glory Glory Manchester United!!!



06 Jun 2023

DATANG SEPERTI RAJA...PERGI SEBAGAI LEGENDA

 


Zlatan Muslimovic, Zlatan Ljubijankic, Zlatan Azinovic, Zlatan Krizanovic dan Zlatan Bajramovic antara segelintir pemain yang diketahui menggunakan nama `Zlatan’ pada nama pertama mereka. Bagaimanapun jika ditanya kelab atau negara mana mereka bermain, tentu ramai di kalangan kita gagal menjawab soalan ini dengan tepat. Bagaimana pula dengan Zlatan Ibrahimovic? `Ibra’ tidak perlu diperkenalkan, kerana bolasepak moden akan sentiasa mengingati beliau sebagai antara segelintir penyerang terhebat pernah dunia saksikan.

 

Ada ramai penyerang hebat pernah dilahirkan, Kaka, Romario, Alan Shearer, Marco Van Basten, Raul Gonzalez, Gabriel Batistuta, Ronaldo Nazario, Robert Lewandowski dan Karim Benzema adalah diantaranya. Bagaimanapun Ibra berbeza berbanding mereka. Seperti mereka, tugas Ibra sebagai penyerang ialah menjaringkan gol, tetapi beliau gemar melakukannya dengan cara berbeza dan lebih bergaya. Menjaringkan gol dengan teknik `bicycle kick’, `backheel’, tendangan `kungfu’, `flying header’ atau `overhead’ adalah gaya dan sangat sinonim dengan Ibra.

 

Zlatan’s Style

 

Masih ingatkah lagi dengan jaringan beliau menerusi teknik `bicycle kick’ ke gawang England dalam satu aksi persahabatan pada 2012? Gol yang menewaskan Joe Hart dan kemudiannya diiktiraf sebagai gol terbaik pada Anugerah Puskas 2013 itu adalah definisi sebenar apa yang sering Ibra sebut sebagai `Zlatan’s Style’. Ibra seolah-olah memang dilahirkan sebagai juara, kerana sepanjang kariernya, beliau sudah memenangi kejuaraan bersama Ajax Amsterdam, Juventus, Inter Milan, AC Milan, Barcelona, Paris St Germain dan Manchester United.

 

Beliau gagal membantu LA Galaxy menang sebarang trofi sepanjang dua musim beraksi di MLS, tetapi untuk seorang pemain yang sudah berusia 38 tahun dan meninggalkan benua Amerika dengan rekod 53 gol dari 58 penampilan keseluruhan adalah sesuatu yang sangat mengagumkan. Ibra mungkin tidak seagung Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo, dua sosok individu yang masih diperdebatkan penyokong mereka tentang siapa sebenarnya paling layak diiktiraf sebagai yang terbaik sepanjang zaman. Tetapi Ibra umpama `askar upahan’ yang tiada kenal erti menyerah.

 

Zlatan Adalah Zlatan

 

Jika Cristiano Ronaldo sering dibanding dengan legenda Brazil, Ronaldo Luis Nazario de Lima manakala ada kesangsian untuk memilih siapa lebih hebat antara Lionel Messi ataupun Diego Maradona, tetapi untuk Ibra beliau tiada perbandingan kerana Zlatan adalah Zlatan. Selepas usianya melangkaui angka 30 tahun, Ibra berjaya meledak 331 gol, dan pada usia yang hampir mencecah angka 40 tahun, persona beliau masih membius peminat bolasepak seluruh dunia. Ada pemain di luar sana yang lebih hebat berbanding Ibra, tetapi dunia akan selalu mengingati Zlatan Ibrahimovic.

 

Figura Seorang Pemimpin

 

Jika bukan kerana skandal `Calciopoli’ yang menyebabkan Juventus dilucutkan kejuaraan Serie A mereka, Ibra sebenarnya sudah memenangi 14 kejuaraan liga di empat negara berbeza, pencapaian yang tidak pernah dilakukan Messi atau Ronaldo. Di liga atau kelab manapun beliau bermain, Ibra tidak pernah gagal meninggalkan jejaknya sebagai legenda, dan Manchester United juga tidak terkecuali. Kehadiran Ibra pada musim panas 2016 berjaya meniup kembali aroma keangkuhan dalam skuad United, elemen yang hilang sejak persaraan Fergie pada 2013.

 

Sejak kali terakhir Roy Keane menendang bola dengan seragam `The Red Devils’, United dahagakan karisma seorang `lead by example’ ketika di padang latihan mahupun di gelanggang pertarungan sebenar. Sama ada di bilik persalinan atau ketika beraksi di atas padang, hanya Ibra yang mampu menundukkan ego Paul Pogba dan membuatkan warga Perancis itu berpijak di bumi nyata. Samuel Luckhurst yang juga merupakan jurnalis Manchester Evening News pernah menyebut, bagaimana Ibra membuatkan Pogba sedar bahawa kepentingan pasukan perlu diberi keutamaan.

 

“Paul pernah datang ke bilik persalinan Carrington dengan pakaian berjenama mewah. Kehadiran Paul ketika itu turut menarik perhatian pemain lain. Ketika Paul menghampiri lokarnya, ada suara yang agak keras datang dari arah belakang. “Hei!!! kamu fikir ini tempat apa? Ini bukan sarkas, ini adalah Manchester United”. Malangnya ketika Ibra berhijrah ke Amerika, Paul kembali kepada tabiat lamanya. Orang memanggil Paul sebagai `badut’ tetapi dia mengatakan bahawa pakaiannya hanya direka untuk dirinya”, kata Luckhurst.  

 

Selamat Tinggal United

 

Perginya Ibra pada Mac 2018 bukan sahaja menyaksikan United hilang seorang penyerang berkualiti tetapi juga figura yang boleh menjadi contoh kepada pemain-pemain muda mereka. Pada usia yang sudah mencecah 36 tahun ketika itu, Ibra meninggalkan Old Trafford selepas meledak 29 gol dari 53 penampilan dalam semua peringkat kejohanan. Arogansi Ibra bukan tanpa sebab, kerana beliau bukan sahaja sudah membuktikan statistiknya di atas padang tetapi juga medal kejuaraan yang dimenanginya bersama United.

 

Pada Oktober 2019, terdapat berita tentang kepulangan semula Ibra ke Old Trafford. Melihat kepada penampilan barisan hadapan United ketika itu, ada gesaan agar Ole Gunnar Solskjaer melakukan `call up’ bagi membolehkan Ibra kembali menyarung jersi United. Selepas beliau menjaringkan dua gol dalam derbi El Trafico menentang Los Angeles FC, Ibra berkata, “Saya masih lagi cukup bagus untuk mengetuai jentera serangan United. Saya dengan mudah boleh bermain di Liga Perdana, tetapi perkara itu akan hanya berlaku jika United memanggil saya”.

 

Kecederaan lutut yang dialaminya ketika United berdepan Anderlecht pada saingan Liga Europa 2016/17 menyebabkan Ibra terpaksa berehat panjang. Ketika itu ramai pihak berpendapat bahawa karier beliau sudah berakhir. Bagaimanapun di benua Amerika, Ibra kembali mengganas. 30 gol dari 29 penampilan pada musim keduanya untuk LA Galaxy dalam saingan liga menyebabkan Clayton Blackmore mencadangkan agar Solskjaer memanggil Ibra kembali menyertai kelab. Menurut Blackmore, Ibra adalah jawapan kepada krisis di barisan hadapan United ketika itu.

 

Penutup

 

Meskipun cuma semusim berada di Old Trafford, kelibat Ibra begitu dirindui penyokong-penyokong United. Anda bukan sahaja merindui kepimpinan serta aksinya di atas padang, tetapi anda juga merindui keangkuhannya. Tiada mana-mana pemain era moden yang memiliki ego serta keangkuhan sedahsyat Ibra, hatta pemain sehebat Messi atau Ronaldo sekalipun. Ibra datang ke Old Trafford berbekalkan motivasi untuk memenangi trofi, dan beliau pergi dengan dua medal kejuaraan major (Piala Liga dan Liga Europa) tergantung di lehernya.

 

Selepas tamat aksi terakhir Serie A musim ini antara Milan dan Verona, Ibra mengumumkan persaraannya sebagai pemain. Pada usia 41 tahun, tubuh Ibra akhirnya terpaksa mengalah, dan kerana kecederaan beliau cuma mampu melakukan empat penampilan untuk Milan sepanjang musim ini. Sebagai penyokong United, timbul sedikit kekesalan kerana kita cuma dapat menyaksikan persona Ibra selama semusim di Theatre of Dreams. Seperti ungkapan yang pernah beliau sebut, “Saya datang seperti raja, saya pergi sebagai legenda”. Selamat bersara Ibra…Glory Glory Manchester United!!!



04 Jun 2023

MUSIM PENUH PERTAMA TEN HAG

 


Pada April tahun lalu ada tiga nama pengendali berprofil tinggi yang disebut-sebut sebagai calon untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Ralf Rangnick di Old Trafford. Rangnick dibawa ke Old Trafford bukan sebagai pengurus tetap, tetapi lebih kepada usaha kelab untuk mengelakkan bencana lebih besar pasca pemecatan Ole Gunnar Solskjaer dari kerusi pengurus. Mauricio Pochettino, Erik Ten Hag dan Luis Enrique merupakan tiga nama paling hangat yang digembar-gemburkan bakal mengambilalih posisi Rangnick.

 

Persoalan dan pertanyaan selama berminggu-minggu akhirnya terjawab apabila pada bulan Mei, kelab mengumumkan secara rasmi perlantikan Ten Hag selaku pengendali bagi menghadapi musim 2022/23. Setiap kali pengurus baharu muncul, akan ada pertanyaan tentang kelayakkan mereka mengendalikan kelab besar seperti Manchester United. Ten Hag juga tidak terkecuali. Persona Ten Hag paling diingati ialah ketika beliau mengemudi Ajax Amsterdam menyingkirkan Juventus dan Real Madrid dalam laluan ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim 2018/19.

 

Kehadiran Ten Hag di Johan Cryuff Arena menjulang kembali maruah Ajax selaku gergasi bolasepak Belanda dan kejayaan mengejutkan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara menjadikan `CV’ beliau selaku antara pengendali sedang meningkat naik dalam dunia bolasepak moden bertambah menarik. Ten Hag merupakan antara contoh pengurus bolasepak moden yang falsafah permainannya berasaskan penguasaan bola, pentingnya penempatan posisi dan tekanan berintensiti tinggi sepertimana bolasepak Jerman dimainkan.

 

Langkah Pertama

 

Dalam lingkaran bolasepak Belanda, kerja-kerja yang dilakukan Ten Hag untuk Ajax boleh dikategorikan sebagai satu pencapaian yang luarbiasa. Tetapi fakta yang perlu anda akui ialah sebelum ketibaannya di Old Trafford ialah, lelaki berusia 52 tahun ini belum pernah mengendalikan mana-mana kelab besar di mana-mana liga utama Eropah. Beliau dalam kategori pengurus muda, belum pernah mengendalikan ego setinggi langit pemain bertaraf bintang dalam pasukannya atau pengalaman bersaing dalam liga yang sangat kompetitif seperti Liga Perdana.

 

Jika di Eredivisie Ten Hag adalah juara, di Liga Perdana yang serba asing baginya, beliau adalah seorang lelaki yang `naif’. Dua penampilan pertama United di bawah kendalian Ten Hag, beliau dibawa ke realiti sebenar tentang bolasepak Inggeris. Dua kekalahan awal kepada Brighton & Hove Albion dan Brentford dalam saingan liga menyaksikan timbul persoalan besar tentang kemampuan sebenar Ten Hag. Adakah beliau individu yang tepat sebagai mengendalikan United atau satu lagi siri jenaka yang dibawa masuk ke kelab untuk dipertontonkan sepanjang musim 2022/23?

 

Dua kekalahan awal yang berlaku pada bulan Ogos itu meletakkan Ten Hag dalam `kelas tersendiri’, kerana beliau merupakan pengurus baharu pertama United yang tewas dua perlawanan berturut-turut pada perlawanan pembukaan liga dalam tempoh lebih seabad. Langkah pertama Ten Hag di Old Trafford memang sudah dijangka akan menjadi sangat sukar, kerana beliau mewarisi sekelompok pemain yang tewas enam dari 11 perlawanan terakhir liga serta mengumpul mata terendah dalam sejarah kelab di era Liga Perdana.

 

Proses Berjalan

 

Walaupun tewas dua perlawanan awal liga, Ten Hag akhirnya berjaya membentuk United menjadi kesebelasan yang lebih baik dari sebelumnya. Selepas melalui tempoh lima bulan pertamanya di Old Trafford, beliau berjaya meletakkan United di kelompok empat teratas carta liga dan hanya empat mata di belakang Manchester City yang ketika itu berada di tangga kedua. Keputusan Cristiano Ronaldo meninggalkan kelab secara mengejut pada bulan November tidak langsung menganggu perancangan Ten Hag, malah beliau menjadikan United kesebelasan yang lebih baik tanpa bintang Portugal itu.

 

Tanpa Ronaldo, Marcus Rashford berjaya melaksanakan peranannya selaku pemburu gol dengan lebih berkesan, terutama menerusi larian-larian penetratif yang sering dilakukannya di belakang garis pertahanan lawan atau melakukan tekanan ketika lawan menguasai bola. 22 gol yang berjaya diledak Rashford selepas pemergian Ronaldo dan penampilan berbeza yang dipamerkan pemain-pemain seperti Casemiro, Bruno Fernandes dan Christian Eriksen adalah perubahan paling ketara kepada gaya permainan United selepas mega bintang itu meninggalkan kelab.

 

50 penampilan pertama United di bawah kendalian Ten Hag, mereka menang 35 perlawanan, di mana peratus kemenangan yang berjaya diraih mereka mencapai angka 70%. Statistik ini juga meletakkan Ten Hag memiliki nisbah kemenangan lebih baik berbanding Sir Matt Busby dan Sir Alex Ferguson dari 50 penampilan pertama mereka selaku pengendali kelab. Untuk rekod, Sir Matt menang 26 perlawanan dari 50 penampilan pertamanya sebagai pengurus United, manakala Fergie pula menang 22 perlawanan.

 

David De Gea memenangi anugerah `golden glove’ menerusi catatan 17 `clean sheets’ yang dilakukannya dalam saingan liga musim ini. Pencapaian ini tidak mampu dilakukan De Gea jika tidak dibantu dengan kualiti kerja-kerja defensif yang dilakukan empat pemain pertahanan di hadapannya. Pada bursa perpindahan pemain musim panas, Ten Hag menandatangani Lisandro Martinez dan Tyrell Malacia bagi menambah kekuatan di benteng pertahanan skuadnya. Paling menonjol tentunya penampilan `Licha’ menerusi peranan yang dimainkannya bersama Raphael Varane.

 

Mekipun ketinggiannya pernah diperdebatkan, `Licha’ merupakan rekrut baharu United paling menonjol musim ini selain Casemiro. Malacia dan Antony perlukan sedikit masa tetapi untuk melabelkan mereka sebagai `pembelian yang gagal’ adalah sesuatu yang tidak adil. Harga yang dibayar United untuk Antony mungkin agak tinggi, tetapi menerusi 39 penampilan yang dilakukannya dalam semua kejohanan musim ini, beliau antara pemain yang sering diberikan kepercayaan Ten Hag untuk membarisi kesebelasan United kerana peranan, usaha dan kerja kerasnya. 

 

Salah satu masalah yang dihadapi United pasca persaraan Fergie ialah mereka sering merekrut pemain yang tidak sesuai dengan keperluan pasukan. Bagaimanapun pada musim panas lalu, `tabiat buruk’ itu dihentikan dan kita melihat ada perubahan besar kepada `maneuver’ kelab dalam bursa perpindahan pemain. Meskipun gagal mendapatkan Frenkie de Jong, Ten Hag gembira dengan aktiviti kelab sepanjang jendela perpindahan dibuka, apatah lagi beliau berjaya mendapatkan pemain dengan kualiti seperti Christian Eriksen secara percuma.

 

Pada Ogos lalu dalam satu wawancara bersama Skysports, Ten Hag berkata, “Saya tidak kecewa langsung dengan bilangan ketibaan muka baharu, kerana saya sudah memiliki skuad yang kompetitif. Ada perbezaan besar kerana kali ini kami lebih proaktif berbanding sebelumnya. Yang kedua adalah tentang pemain yang kami tandatangani. Kami sangat gembira dengan mereka, kerana saya percaya mereka mampu menyumbang kepada skuad. Perkara terakhir ialah kami tahu apa yang kami mahukan dan kami mengikat pemain yang tepat”, kata Ten Hag.

 

Falsafah

 

Falsafah permainan Ten Hag sebenarnya sederhana, iaitu bolasepak berasaskan penguasaan bola dan mengasak lawan dari hadapan. Gaya seperti inilah yang membuatkan beliau begitu dikenali kerana fleksibiliti taktikal dan pendekatan progresifnya. United bukan Ajax dan Liga Perdana juga bukan seperti Eredivisie, jadi dengan sekelompok pemain yang beliau warisi dari era Solskjaer, sukar sebenarnya untuk Ten Hag menerapkan falsafah bolasepak beliau secara total pada musim pertamanya. Dengan beberapa rekrut baharu yang bakal di bawa masuk, musim depan United akan bermain dengan falsafah bolasepak sebenar Ten Hag.

 

Jika di Eredivisie pemain Ajax sering menyebut Ten Hag menuntut mereka agar sentiasa menyerang, pendekatan beliau bersama United pula agak berbeza. Permainan United di era Ten Hag adakalanya sedikit pragmatik dan mereka jauh lebih efektif ketika bertahan. Ten Hag mengakui kekalahan kepada Brighton dan Brentford adalah disebabkan kenaifannya sendiri. Apa yang berlaku selepas itu sehingga Februari 2023 ialah, United menang 15 dari 22 perlawanan mereka. Akhirnya mereka menamatkan kemarau enam tahun tanpa trofi menerusi kejayaan menjulang Piala Liga.

 

Penutup

 

Dua kekalahan berturut-turut pada saingan pembukaan liga menyebabkan kredibiliti beliau dipersoalkan. Selepas itu ada lonjakan besar apabila United menang empat perlawanan liga mereka berturut-turut. Paling menarik bila melihat bagaimana beliau menangani ragam bintang besar seperti Cristiano Ronaldo. Tidak ramai pengendali yang memiliki kekuatan untuk menyingkirkan bintang besar dalam skuad mereka, tetapi dalam kamus hidup Ten Hag tiada sebarang pengecualian, hatta pemain itu sehebat Ronaldo sekalipun.

 

Ronaldo akhirnya ditunjukkan jalan keluar pada November, tetapi sejak itu United mendapat sisi terbaik dalam permainan Marcus Rashford. Jentera tengah United hidup menerusi keseimbangan yang diberikan trio Bruno Fernandes, Casemiro dan Christian Eriksen sama ada dalam situasi bertahan mahupun menyerang. Kehadiran `Licha’ pula memberikan impak yang sangat signifikan kepada benteng pertahanan United yang menyaksikan David de Gea memenangi anugerah `golden glove’ kedua dalam kariernya di England.

 

Musim ini, United menang 23 perlawanan dalam saingan liga, catatan terbaik yang dilakar mereka dalam tempoh lima musim terakhir. Bermula dengan langkah yang sedikit sumbang, Ten Hag akhirnya berjaya mengemudi United menamatkan kemarau enam tahun tanpa kejuaraan selain mencapai misi beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim depan.  Ten Hag tiba di Old Trafford selepas kelab melalui musim terburuk dalam sejarah moden mereka, tetapi hanya dalam tempoh semusim, beliau berjaya memberikan impak yang sangat positif kepada prestasi pasukan.

 

Ketika Pep Guardiola tiba di Stadium Etihad pada 2016, beliau melakukan rombakan besar kepada skuad City. Meskipun mengalami kekalahan besar kepada Leicester City dan Everton dalam tempoh 36 hari, City menamatkan saingan liga di tangga ketiga. Di Anfield pula, Liverpool pada musim pertama Jurgen Klopp sekadar berada di tangga kelapan liga. Tetapi apa yang berlaku selepas itu ialah, City di era Guardiola sudah memenangi lima kejuaraan liga, manakala Klopp pula berjaya mengemudi Liverpool menang kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 30 tahun.   

 

United akhirnya menamatkan musim 2022/23 secara rasmi selepas berakhirnya aksi final Piala FA di Wembley semalam. Kekalahan kepada City bukanlah penamat yang kita inginkan tetapi tetap tidak memadam hakikat bahawa ini adalah antara musim terbaik United dalam tempoh enam tahun terakhir. Apa yang dilakukan Ten Hag pada musim penuh pertamanya di Old Trafford juga sudah melebihi jangkaan. Proses akan berterusan, kerana pada bursa perpindahan musim panas nanti, Ten Hag akan cuba mendapatkan pemain-pemain baharu yang beliau inginkan.

 

United sudah memiliki asas yang kukuh, tetapi `standard’ tetap perlu dinaikkan setiap musim. City akan bertambah kuat, Arsenal sekali lagi akan cuba menjadi pesaingan kejuaraan yang serius, Liverpool tidak akan berpeluk tubuh, manakala Chelsea pula akan cuba melupakan bencana yang menimpa mereka musim ini. Musim depan sasarannya bukan lagi kelompok empat teratas, tetapi United perlu bertarung secara serius untuk merebut kejuaraan liga. Apa yang kita perlu lakukan? Percaya saja pada proses yang sedang berjalan. Glory Glory Manchester United!!!