31 Disember 2010

AMARAN FERGUSON




Sir Alex Ferguson melakukan yang terbaik untuk menafikan sebarang keraguan mengenai kemampuan Manchester United memenangi Liga Perdana Inggeris dengan menegaskan pasukannya berada di landasan terbaik untuk kejayaan walaupun mencicirkan mata semasa seri 1-1 di Birmingham. Ferguson terdesak untuk merampas kembali kejuaraan liga dari Chelsea dan beliau akan memasuki Tahun Baru dengan United berada di kedudukan yang beliau fikir, menghantar amaran kepada pesaing-pesaing liga yang berada di belakang The Red Devils. "Saya fikir kami ada peluang memenangi liga. Ketika ini ada lima atau enam pasukan yang sedang bersaing" laung amaran pengurus United, Ferguson. "Saya sentiasa kata jika anda memasuki Tahun Baru di tempat pertama, maka Manchester United memang ada peluang besar." - (sumber dari wiselonline.com)

29 Disember 2010

FERGIE PUAS WALAUPUN SEKADAR SERI


Dimitar Berbatov scores the first goal for Manchester United

Sir Alex Ferguson mengakui dirinya puas biarpun pasukannya sekadar mencatat keputusan seri ketika kunjungan mereka ke St Andrews awal pagi tadi. United dan Birmingham City terikat 1-1 hasil jaringan lewat Lee Bowyer namun masih mengekalkan kedudukan mereka di puncak liga biarpun berkongsi mata dengan Manchester City kerana memiliki kelebihan jaringan serta baki dua perlawanan dalam tangan. Dalam perlawanan awal pagi tadi, skuad The Red Devils mendahului tuan rumah melalui jaringan Dimitar Berbatov di minit ke 58 sebelum Lee Bowyer menjaringkan gol penyamaan di penghujung permainan. Keputusan ini juga menyaksikan United mengumpul 38 mata dari 18 perlawanan, selain masih mengekalkan rekod tanpa kalah mereka musim ini. Ferguson turut optimis mengenai peluang United merampas semula kejuaraan Liga Perdana Inggeris dari Chelsea musim ini. "Kami memiliki peluang besar untuk muncul sebagai juara. Ketika ini ada lima atau enam pasukan yang memiliki potensi untuk bersaing. Saya selalu mengatakan, jika kami mengekalkan kedudukan di puncak liga pada tahun baru maka peluang untuk menjuarainya adalah besar", ujar Ferguson.

28 Disember 2010

NANI DAN ANDERSON SANDARAN UNITED


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

BIRMINGHAM CITY lwn MANCHESTER UNITED
(St Andrews Ground, 29 Disember 2010 jam 04.00 pagi)



Sir Alex Ferguson berharap pemain sayapnya, Nani dapat diturunkan ketika United berkunjung ke St Andrews Ground bagi menghadapi Birmingham City dalam satu lagi jadual ketat musim Krismas Liga Perdana Inggeris awal pagi esok. Nani tidak diturunkan ketika United menang 2-0 ke atas Sunderland Ahad lalu akibat kerana kecederaan belakang namun pemain antarabangsa Portugal itu diberitakan semakin pulih dan sedia diturunkan di St Andrews nanti. "Situasi Nani semakin baik jika dibandingkan dengan beberapa hari lalu, jadi saya rasa dia seharusnya boleh diturunkan ketika menentang Birmingham nanti", kata Ferguson kepada MUTV. Ferguson mengakui jadual perlawanan musim perayaan Krismas memang meletihkan tambahan pula mereka juga kehilangan khidmat Park Ji-Sung yang menyertai Korea Selatan dalam kempen Piala Asia Januari ini dan Paul Scholes yang masih belum pulih dari kecederaan paha. United kini berada ditakhta liga dengan kelebihan dua mata dari pesaing terdekat, Arsenal yang menewaskan Chelsea 3-1 di Emirates pagi tadi.

Sementara itu penampilan terkini pemain tengah Brazil, Anderson jelas memberi harapan baru kepada misi United merampas kejuaraan Liga Perdana Inggeris dari Chelsea. Ferguson menggunakan Anderson di bahagian tengah sejak minit awal ketika United menang ke atas Sunderland Ahad lalu. Prestasi mantap yang dipamerkan Anderson turut menerima pujian dari Patrice Evra yang mengharapkan agar pemain berusia 22 tahun mampu mengekalkan prestasi baiknya. "Ando melakukan tugas dengan baik dan adalah penting dia tidak hanya bermain dengan baik untuk tiga atau empat perlawanan sahaja. Dia seharusnya bermain seperti ini setiap tahun kerana dia sememangnya berbakat", kata Evra. Menurut Evra, keyakinan kelab yang melanjutkan kontraknya selama empat tahun mungkin menjadi penyebab kebangkitan Anderson ketika ini. "Saya tidak terkejut dengan prestasi Ando kerana saya selalu percaya dengan kemampuan yang dimilikinya. Saya akan terus menyokongnya agar dia selalu mempamerkan aksi terbaiknya dalam setiap perlawanan", tambah Evra lagi.

23 Disember 2010

UNITED AKAN DIJUAL?


Masa depan Manchester United menjadi tidak menentu setelah seorang orang atasan kelab berkata Glazers akan menjual kelab itu. Pengarah bukan eksekutif Old Trafford, Mike Edelson mendedahkan: "Ia bukan rahsia lagi, sampai satu masa, keluarga itu akan menjual."
Dan ini membuka pintu buat keluarga diraja Qatar, diketuai oleh Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani yang mensasarkan untuk membeli United dengan £1.5 billion. Komen Edelson merupakan tanda jelas pertama Glazers akan mendengar tawaran untuk United, yang kini dibebani dengan hutang besar. Setelah membeli gergasi Liga Perdana itu sebanyak £790 juta, 5½ tahun lalu, mereka dilihat akan menggandakan wang mereka. Sumber laporan dari bandar itu yakin Glazers bersedia untuk menjual selepas mereka melangsaikan £252 juta dari £752 juta hutang yang mereka bebankan kepada kelab itu.

Sementara itu, seorang pakar bola sepak Timur Tengah berkata Qatar Holdings, sebuah saluran perniagaan keluarga diraja negara itu telah meninjau peluang untuk mengambil alih United. Sumber itu berkata: "Mereka telah mencuba sebelum ini namun kurang berjaya tetapi kali ini dilihat seperti mereka mungkin akan cuba habis-habisan. "Kini setelah mereka berjaya mendapatkan hak Piala Dunia 2022, negara itu mahu mengembangkan pengaruhnya dalam bola sepak ke seluruh dunia." Keluarga diraja Qatar mempunyai aset lebih kurang £40 billion dan minggu lalu menjadi penaja pertama jersi Barcelona dalam perjanjian berjumlah £125 juta. (sumber dari Wiselonline.com)

20 Disember 2010

FERGUSON MAHU ANDERSON JARINGKAN GOL


http://img.dailymail.co.uk/i/pix/2008/03_04/Anderson_468x637.jpg

Sir Alex Ferguson mahukan agar pemain tengah dari Brazil, Anderson yang baru menandatangani lanjutan kontrak empat tahun di Old Trafford menjaringkan lebih banyak gol buat United. Khabar angin sebelum ini yang menyebut Anderson bakal meninggalkan United kerana mahu kembali semula ke Porto akhirnya bersetuju untuk terus berada di Old Trafford sehingga 2014. Selepas pulih dari kecederaan ligamen, Anderson meraikan kepulangannya ke pangkuan pasukan dengan menjaringkan gol penyamaan ketika United seri dengan Valencia 1-1 dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah 8 Disember lalu. Penampilan terkini pemain berusia 22 tahun itu yang mendominasi bahagian tengah United nyata melegakan Ferguson.

Anderson membuktikan dia masih pemain berharga buat Red Devils apabila memainkan peranan penting menjana bahagian tengah ketika United menumpaskan Arsenal minggu lalu. Walau bagaimanapun Anderson dilihat masih kurang keyakinan untuk menjaringkan gol, dan jaringannya ketika bertemu Valencia adalah gol keduanya sejak berhijrah dari Porto. Menurut Ferguson, Anderson boleh menjadi pemain yang hebat namun pemain muda Brazil itu harus memperbaiki kelemahannya dalam menghasilkan gol. "Anderson baru berusia 22 tahun dan dia merupakan pemain kami yang sedang meningkat. Saya percaya dia berkemampuan untuk melakukannya", ujar Ferguson.

19 Disember 2010

PERLAWANAN CHELSEA-UNITED DITUNDA

Manchester United Vs Chelsea:  ... Chelsea vs Manchester United

Perlawanan membabitkan Manchester United sekali lagi ditunda akibat cuaca buruk di London. Dua minggu lalu perlawanan Blackpool-United juga ditunda kerana salji tebal hingga menyebabkan padang beku. Jurucakap Chelsea mengesahkan bahawa perlawanan tidak dapat dilangsungkan kerana salji tebal dan beberapa perlawanan Liga Perdana Inggeris lain membabitkan beberapa pasukan juga terpaksa dibatalkan kerana cuaca buruk. Walaupun petugas-petugas bertungkus lumus memastikan keadaan padang boleh digunakan untuk perlawanan ini namun mereka akhirnya akur dengan cuaca buruk yang melanda London ketika ini mengagalkan usaha mereka. Selepas pemeriksaan dibuat, pengadil Mike Jones telah meminta agar perlawanan tersebut ditunda.

18 Disember 2010

FERGUSON: SIR MATT BUSBY TIADA PENGGANTI


Sir Matt Busby

Sir Alex Ferguson yang bakal melepasi rekod Sir Matt Busby sebagai pengurus paling lama di Old Trafford menjelang pertembungan dengan Chelsea di Stamford Bridge esok menegaskan bahawa tiada sesiapun termasuk dirinya boleh menggantikan lagenda Old Trafford itu. Saat pertembungan dengan Chelsea esok, Ferguson bakal mencatat 8,811 hari sebagai pengurus United. Perlawanan ini juga bakal menyaksikan Ferguson menguruskan United lebih satu perlawanan berbanding Busby. "Catatan sudah tersimpan rapi di bank memori. Saya fikir Sir Matt Busby akan terus berada di situ untuk selamanya. Dia memulakannya ketika perang berakhir dan cemerlang menjuarai Piala Eropah (ketika ini Liga Juara-Juara) pada tahun 1968", ujar Ferguson.

"Tentu sahaja ini sangat emosional. Beliau membina semula pasukan selepas tragedi Munich, tetapi saya tidak mempunyai semua itu. Ini adalah alasan mengapa dia akan selalu diingati selamanya", tambah Ferguson lagi. Selain dari pencapaian, Ferguson juga tidak mahu disamakan dengan Busby yang mempunyai karekter lebih tenang berbanding dirinya. "Dia lebih tenang jika dibandingkan dengan saya. Saya inginkan semua pemain hebat kami tetap berada di kelab dengan fungsi tugas yang berbeza. Kami mempunyai Sir Bobby Charlton sebagai pengarah dan begitu juga dengan Sir Matt. Hanya orang-orang seperti mereka yang memahami dimensi Manchester United".

11 Disember 2010

FERGIE GEMBIRA SEMUA PEMAIN UTAMANYA CERGAS


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

MANCHESTER UNITED lwn ARSENAL
(Old Trafford, 14 Disember 2010 jam 04.00 pagi)

MANCHESTER, ENGLAND - DECEMBER 07:  Rio Ferdinand of Manchester United competes with Aritz Aduriz of Valencia during the UEFA Champions League Group C match between Manchester United and Valencia at Old Trafford on December 7, 2010 in Manchester, England.

Sir Alex Ferguson menerima khabar gembira dari pasukan perubatannya menjelang pertembungan dengan Arsenal di Old Trafford 14 Disember ini apabila Rio Ferdinand, Patrice Evra dan Paul Scholes disahkan cergas untuk diturunkan. Ferdinand yang gagal menamatkan permainan ketika pertemuan dengan Valencia Rabu lalu akibat ketengangan hamstring bakal digandingkan semula dengan Nemanja Vidic di benteng tengah United. Pertahanan England itu yang kecergasannya diragui untuk menghadapi perlawanan ini diberitakan telah pulih dari masalah hamstring. Paul Scholes juga memberikan khabar gembira apabila dia yang tidak bermain selepas pertemuan dengan Glasgow Rangers hujung bulan lalu disahkan cergas dan sudah mula menjalani latihan penuh bersama pasukan. Sementara itu pertahanan kiri United, Patrice Evra yang tidak diturunkan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara juga bakal memperkuatkan kembali pasukan. Selain dari ketiga-tiga pemain ini yang sudah kembali bersama pasukan, situasi Wes Brown dan Jonny Evans yang sebelumnya diserang virus juga kini beransur pulih.

Dengan kembalinya pemain-pemain utamanya ke dalam pasukan, Ferguson kini mempunyai lebih banyak pilihan dalam menentukan kesebelasan utamanya dalan perlawanan dengan Arsenal nanti. Ferguson bakal menggunakan perlawanan ini untuk memintas kembali kedudukan Arsenal di tangga teratas selepas United tidak bermain akibat masalah cuaca buruk di Blackpool minggu lalu. Kemenangan ke atas anak-anak buah Arsene Wenger ini juga bakal menyaksikan mereka menjarakkan kedudukan di tangga teratas liga menjelang Krismas nanti di samping memiliki kelebihan satu perlawanan. "Kami cukup yakin semua pemain cergas sepenuhnya dan sudah bersedia menghadapi perlawanan ini", ujar Ferguson. "Paul Scholes sudah kembali berlatih manakala Jonny Evans dan Wes Brown yang diserang virus semakin pulih. Mereka berdua juga sudah kembali berlatih. Ini merupakan berita bagus buat pasukan dan saya gembira semua pemain utama kami cergas menjelang perlawanan penting nanti", tambah Ferguson lagi. Untuk rekod, United sudah memenangi tujuh perlawanan di tempat sendiri dengan West Bromwich Albion menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya mengikat United di Old Trafford.

08 Disember 2010

KAMI SEHARUS MENJARINGKAN LEBIH BANYAK GOL




Sir Alex Ferguson menyaksikan pasukannya membazirkan sejumlah besar peluang ketika menentang Valencia di Old Trafford dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi. United mengesahkan kedudukan mereka sebagai juara Kumpulan C selepas berjaya mengikat kelab dari Sepanyol itu dengan keputusan 1-1. Kedudukan sebagai juara kumpulan penting dan menjadi rebutan kedua-dua pasukan bagi mengelakkan mereka dari bertembung dengan pasukan-pasukan pilihan di peringkat kalah mati nanti. Bagaimanapun Ferguson tetap berpuashati dengan persembahan pemain-pemainnya terutama di babak kedua perlawanan. United ketinggalan hasil jaringan Pablo Hernandez di babak pertama akibat kesilapan Michael Carrick dalam cubaannya menghantar bola kebelakang.

Di babak kedua, pemain tengah Brazil, Anderson berjaya mengikat kedudukan diminit ke-62 selepas berjaya memanfaatkan bola lantunan dari rembatan Park Ji Sung. Dimitar Berbatov sebenarnya memiliki beberapa peluang untuk menjaringkan gol tapi gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh penyerang Bulgaria itu. "Kami telah mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol dan pada keseluruhannya kami bermain dengan baik. Lima minit selepas kami berjaya menjaringkan gol penyamaan, ada beberapa peluang yang kami perolehi. Kami seharusnya menjaringkan dua atau tiga gol lagi selepas itu terutamanya dari Berbatov", ujar Ferguson. Gol dari Hernandez itu juga memusnahkan harapan United untuk mencipta rekod sebagai satu-satunya pasukan yang tidak dibolosi dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

07 Disember 2010

OWEN TAK DITURUNKAN KETIKA HADAPI VALENCIA


LIGA JUARA-JUARA EROPAH 2010/11

MANCHESTER UNITED lwn VALENCIA CF
(Old Trafford, 8 Disember 2010 jam 03.40 pagi)

Manchester United's Michael Owen walks off injured

Penyerang veteran Manchester United, Michael Owen tidak akan diturunkan ketika skuad Red Devils menanti kunjungan Valencia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok. Meskipun sudah mula menjalani latihan bersama pasukan, Ferguson tidak mahu mengambil risiko menurunkan bekas penyerang antarabangsa England itu dalam perlawanan ini. Owen yang baru pulih dari kecederaan hamstring dilihat masih belum bersedia sepenuhnya untuk bermain dalam perlawanan kompetetif. Atas faktor itulah, Ferguson mengenepikan Owen dari senarai pasukan. "Tidak ada peluang bagi Michael untuk masuk ke dalam skuad. Dia sudah kembali berlatih sejak pertengahan minggu lalu, namun kami harus memastikan dia sudah bersedia sepenuhnya. Dia perlu berlatih sekurang-kurangnya dua minggu atau lebih", ujar Ferguson. "Kami tidak mahu mengambil risiko kerana kali terakhir dia cedera adalah disebabkan kesilapan kami", tambah Ferguson lagi. Meskipun kedua-dua pasukan sudah layak ke pusingan seterusnya, perlawanan ini dilihat begitu penting bagi menentukan pasukan mana yang akan muncul juara kumpulan sekaligus boleh mengelakkan mereka dari bertembung dengan Barcelona atau Real Madrid di pusingan 16 pasukan nanti.
United hanya memerlukan keputusan seri dari perlawanan ini untuk mengekalkan kedudukan mereka sebagai juara Kumpulan C.

04 Disember 2010

PERLAWANAN BLACKPOOL - UNITED DITUNDA



Perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Blackpool dan Manchester United di Bloomfield Road yang dijadualkan akan diadakan pada jam 1.30 pagi esok ditunda akibat cuaca buruk. Ribut salji yang melanda Blackpool, Khamis lalu masih belum reda dan sebelumnya telah wujud kebimbangan cuaca buruk akan menganggu kelancaran perlawanan tersebut. Semalam, pengadil Peter Walton telah mengeluarkan kenyataan bahawa gelanggang perlawanan yang diliputi salji tidak bersedia untuk digunakan bagi perlawanan Blackpool-United. Laman sesawang Blackpool juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa pengawas perlawanan dari kedua-dua pasukan telah bersetuju agar perlawanan ini ditunda akibat padang yang membeku. Blackpool pada awalnya telah menyediakan petugas bagi memastikan keadaan padang sedia digunakan selain menggunakan peralatan pemanas untuk mencairkan salji namun usaha tersebut tetap gagal akibat cuaca yang begitu buruk.

01 Disember 2010

PIALA CARLING: UNITED TERSINGIR DI SUKU AKHIR



Manchester United selaku juara bertahan Piala Carling tersingkir di pusingan suku akhir selepas skuad The Red Devils tewas 0-4 kepada West Ham di Upton Park. Walaupun skuadnya gagal mempertahankan trofi yang mereka menangi dua musim berturut-turut itu, Sir Alex Ferguson tidak mahu terlalu kecewa dengan situasi itu. Menurut Ferguson, pemain muda yang diturukannya masih kurang berpengalaman dan dia juga percaya, kekalahan itu akan menjadikan mereka bertambah kuat. "Kami sering memperolehi sesuatu yang baik selepas setiap kegagalan. Pemain-pemain muda kami harus menghadapi ujian. Beberapa tahun lalu kami tewas kepada Coventry dan selepas itu mereka belajar dari kegagalan tersebut", ujar Ferguson. Ferguson tidak menurunkan sepuluh pemain dari skuad yang menang besar ke atas Blackburn Rovers minggu lalu dengan Anderson menjadi satu-satunya pemain yang kekal. Jonathan Spector dan Carlton Cole masing-masing menyumbangkan dua gol untuk membawa skuad kendalian Avram Grant itu ke peringkat separuh akhir. "West Ham bermain dengan baik dan mereka mampu mengatasi tekanan disamping menerima sokongan padu peminat manakala pemain muda kami pula banyak melakukan kesilapan" tambah Ferguson lagi.

28 November 2010

UNITED BERPESTA GOL


Dimitar Berbatov scores the third goal for Manchester United

Manchester United merampas kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris dari Chelsea untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam selepas membelasah Blackburn Rovers 7-1 di Old Trafford. Dimitar Berbatov muncul wira skuad The Red Devils selepas berjaya menjaringkan lima gol manakala Park Ji-Sung dan Nani masing-masing menyumbangkan satu gol. Pencapaian Berbatov ini juga menjadikan dia pemain keempat dalam sejarah Liga Perdana Inggeris yang berjaya menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan selepas Andy Cole melakukannya pada tahun 1995, Alan Shearer (1999) dan Jermain Defoe (2009). Pesta gol United bermula diminit ke-2 apabila Berbatov yang menerima hantaran Nani mudah menewaskan penjaga gol pelawat, Paul Robinson. Park Ji-Sung yang saling bertukar hantaran dengan Wayne Rooney meletakkan United selesa dihadapan apabila mudah menewaskan Robinson diminit ke-23. Selang empat minit kemudian Berbatov sekali lagi menemui sentuhan gol apabila mudah menghukum kesilapan Pascal Chimbonda yang melakukan hantaran ke belakang untuk gol kedua peribadinya.

Bersambung di babak kedua permainan, Berbatov merakamkan hatriknya apabila menyudahkan hantaran Nani diminit ke-47 dan seminit selepas itu, giliran Nani pula meletakkan dirinya dalam senarai penjaring gol apabila rembatannya dari sebelah kanan gagal diselamatkan Robinson. Anak-anak buah Sam Allardyce terus dirundung malang dan Berbatov kembali mengganas apabila berjaya menjaringkan gol keenam United diminit ke-62. Gol keempat peribadinya dalam perlawanan ini hadir selepas dia menyempurnakan gerakan dari Ji-Sung dan Rafael da Silva. Berbatov memastikan dirinya sebaris dengan Andy Cole, Alan Shearer dan Jermain Defoe apabila berjaya merakamkan gol kelimanya dalam perlawanan ini selepas memanfaatkan bola tampanan Ryan Nelsen untuk memaksa Robinson mengutip bola dari dalam gawangnya buat kali ketujuh diminit ke-70. Pelawat bagaimanapun memperolehi gol saguhati mereka melalui tandukan Christopher Samba, enam minit sebelum tamat permainan. Kemenangan ini meletakkan United mendahului kedudukan liga dengan kelebihan tiga mata ke atas Chelsea yang akan turun menentang Newcastle United di St James Park esok.

27 November 2010

PENTAS TERBAIK ROONEY TAWAN SEMULA HATI PEMINAT


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

MANCHESTER UNITED lwn BLACKBURN ROVERS
(Old Trafford, 27 November 2010 jam 11.00 malam)


Pertembungan dengan Blackburn Rovers dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford malam ini bakal menjadi pentas kepada Wayne Rooney menawan semula hati penyokong-penyokong United. Bagi penyokong-penyokong pula, mereka tentunya berharap Rooney menemui semula sentuhan golnya dalam perlawanan ini selepas menyaksikan penggempur utama United itu menyempurnakan sepakan penalti ketika bertemu Glasgow Rangers, Khamis lalu. Rooney yang beberapa minggu lalu mencetuskan keadaan tidak menentu mengenai masa depannya di Old Trafford segera memohon maaf kepada penyokong-penyokong United. "Saya telah meminta maaf kepada penyokong-penyokong United, namun masih ada yang berfikir bahawa saya masih belum melakukannya. Jika itu masalahnya, saya akan meminta maaf sekali lagi atas apa yang berlaku sebelum ini", ujar Rooney. United akhirnya berjaya mengekalkan Rooney di Old Trafford untuk tempoh lima tahun lagi sehingga 2015.

Selain dari mahu melihat semula kemampuan Rooney bersama United, Sir Alex Ferguson pastinya berharap para pemainnya menggunakan kesempatan ini untuk meraih tiga mata penuh, sekaligus merampas takhta liga dari pendahulu ketika ini Chelsea. United dan Chelsea berkongsi 28 mata namun hanya dibezakan jumlah jaringan. Minggu ini dilihat kesempatan terbaik buat United memintas Chelsea, apabila skuad The Blues itu yang akan menentang Newcastle United bakal berdepan tugas sukar di St James Park. Walau bagaimanapun United perlu berwaspada dan tidak harus memandang mudah cabaran Rovers yang berjaya menewaskan Aston Villa minggu lalu. Skuad Red Devils juga bakal kehilangan sentuhan Darren Fletcher di bahagian tengah selepas pemain kelahiran Scotland itu cedera di pergelangan kaki, manakala Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand yang tidak diturunkan ketika berdepan Rangers bakal memperkuatkan semula pasukan.

25 November 2010

UNITED LAYAK KE PUSINGAN KALAH MATI



Gol tunggal Wayne Rooney berjaya memastikan Manchester United layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah selepas mereka menewaskan Glasgow Rangers di Ibrox, awal pagi tadi. Meskipun tidak menurunkan beberapa tonggak utama seperti Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Darren Fletcher dan Patrice Evra, United tampil agresif sejak permulaan permainan dengan mempertaruhkan gandingan Rooney dan Dimitar Berbatov di barisan hadapan. Tuan rumah hanya memperolehi kesempatan terbaik mereka diminit ke-16 tetapi percubaan Kenny Miller tidak menepati sasaran. Gandingan Nani dan Ryan Giggs di bahagian sayap kerap mencemaskan benteng Rangers yang diterajui kapten mereka David Weir namun Rooney dan Berbatov kerap mensia-siakan hantaran-hantaran yang ditujukan kepada mereka. Peluang terbaik United hadir diminit ke-40 namun tandukan Rooney yang menerima hantaran lintang Fabio da Silva sekadar singgah di palang gol. Kedudukan kekal terikat 0-0 sehingga tamat babak pertama permainan.

Memasuki babak kedua, United terus melancarkan serangan ke kubu Rangers namun tetap gagal menemui sasaran. Gol yang dicari akhirnya tiba selepas Fabio dikasari Steven Naismith di dalam kawasan penalti. Pengadil perlawanan, Massimo Bussaca pantas menghadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Rooney diminit ke-87. Sementara itu, Rooney jelas begitu gembira selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti itu sekaligus menghadiahkan tiga mata penuh buat United. "Saya tahu apa yang harus saya lakukan dan di mana saya patut melakukannya. Saya bertuah kerana penjaga gol gagal menyelamatkan tendangan penalti itu", ujar Rooney. "Saya lega kerana berjaya menjaringkan gol dan semoga selepas ini saya mampu melakukannya lagi", tambah Rooney. Dengan kemenangan itu, United berjaya mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas Kumpulan C dan hanya memerlukan keputusan seri ketika menanti kunjungan Valencia di Old Trafford, 8 Disember ini untuk keluar sebagai juara kumpulan.

24 November 2010

FLETCHER: SATU MATA SUDAH MEMADAI


LIGA JUARA-JUARA EROPAH 2010/11

GLASGOW RANGERS lwn MANCHESTER UNITED
(Ibrox Stadium, 26 November 2010 jam 04.40 pagi)

http://cdn.talentspotter.fourfourtwo.com/contentimages/player/Darren%20Fletcher.jpg

Manchester United yang akan bertandang ke Ibrox bagi pertemuan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah dengan misi memburu satu mata bagi membolehkan mereka mengesahkan kedudukan ke pusingan kalah mati. United ketika ini menerajui Kumpulan C dengan mengumpul sepuluh mata selepas berlangsung empat perlawanan. Tonggak tengah United, Darren Fletcher mengakui bahawa dia tidak sabar beraksi di Ibrox namun pemain antarabangsa Scotland itu tetap waspada dengan ancaman yang bakal dihadirkan Rangers. "Saya tidak sabar menghadapi perlawanan ini. Rangers adalah pasukan yang besar dan mempunyai penyokong fanatik di Scotland", ujar Fletcher. "Ini akan menjadi malam yang istimewa. Saya mempunyai pengalaman ketika kami bermain di sini beberapa tahun lalu dan ini akan menjadi perlawanan yang menarik", tambah Fletcher lagi.

Fletcher tetap menghormati pasukan bergelar The Gers itu selepas mereka berjaya mengikat United dalam perlawanan pusingan pertama di Old Trafford, September lalu. Rangers yang dibelasah 0-3 oleh Valencia dua minggu lalu perlu menang perlawanan ini jika mahu menghidupkan peluang mereka ke pusingan kalah mati nanti. Jika berjaya mendapatkan satu mata di Ibrox, United akan mengesahkan tempat mereka di pusingan seterusnya dan kembali menumpukan tugas mereka dalam saingan liga domestik. Wayne Rooney yang diletakkan sebagai pemain gantian ketika United menewaskan Wigan hujung minggu lalu dijangka kembali memikul tugas sebagai penggempur utama United. Ferguson turut dijangka merehatkan beberapa tonggak utamanya dalam perlawanan ini dan memberi peluang buat Darron Gibson, Federico Macheda, Chris Smalling, Javier Hernandez & Jonny Evans tampil membuktikan keupayaan.

14 November 2010

FERGUSON AKUI UNITED BERNASIB BAIK


Aston Villa defender Richard Dunne moves in on Javier Hernandez of Manchester United

Sir Alex Ferguson mengakui pasukannya bernasib baik berjaya mengikat Aston Villa selepas menyaksikan mereka ketinggalan dua gol dengan permainan berbaki 14 minit untuk ditamatkan. United ketinggalan dua melalui hasil jaringan penalti Ashley Young diminit ke-72 dan selang empat minit kemudian giliran Marc Albrighton pula menembusi gawang United untuk memberi kelebihan selesa buat pasukan tuan rumah. Tuan rumah yang seakan-akan bakal meraih mata penuh sekaligus menamatkan rekod tanpa kalah pelawat musim ini dikejutkan dengan kebangkitan lewat United. Federico Macheda menghidupkan peluang United apabila rembatan kencangnya diminit ke-81 gagal diselamatkan Brad Friedl manakala Nemanja Vidic pula menyamakan kedudukan selang empat minit kemudian hasil tandukan jarak dekat. Ini adalah keputusan seri yang ketujuh dicatatkan oleh United dari 12 perlawanan mereka musim ini.

"Kami boleh dibolosi enam gol di babak kedua. Mereka sering melakukan percubaan dengan Albrighton memiliki dua peluang keemasan. Secara jujurnya, kami memang bernasib baik", ujar Ferguson sambil memuji penampilan anak-anak buah Gerard Houllier. "Kami menunggu terlalu lama untuk menunjukkan tahap permainan sebenar kami, sehinggalah kami ketinggalan dua gol. Macheda dan Obertan mengubah arus perlawanan selepas mereka dimasukkan", tambah Ferguson lagi. Sementara itu Houllier memuji semangat juang yang ditunjukkan oleh barisan Red Devils selepas menyaksikan mereka dinafikan dari meraih tiga mata di gelanggang sendiri. Houllier yang sudah berkira-kira akan memungut tiga mata penuh terpaksa akur dengan kebangkitan lewat United. "United?, Mereka memiliki semangat tidak kenal menyerah. Mereka memang kelab yang berkualiti sehingga masih belum tewas setakat ini. Mereka bangkit dan menyamakan kedudukan di saat kami semakin keletihan dan hilang tumpuan", ujar Houllier.

13 November 2010

CARRICK YAKIN UNITED MAMPU RAIH MATA PENUH

LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11
ASTON VILLA lwn MANCHESTER UNITED
(Villa Park, 13 November 2010 jam 08.40 malam)



Krisis kecederaan yang menimpa sebilangan besar pemain tonggak Manchester United tidak sedikitpun menggusarkan Michael Carrick menjelang kunjungan skuad The Red Devils ke Villa Park malam ini. Walaupun dijangka bakal menghadapi halangan sukar dari Aston Villa, Carrick yakin United bakal mempertahankan rekod tanpa kalah mereka setakat ini. "Kami semakin bermotivasi untuk meraih kemenangan. Keyakinan diri setiap pemain juga meningkat selepas perlawanan kami dengan Manchester City kelmarin. Kami tahu betapa bagusnya permainan kami. Kami juga mempunyai barisan pertahanan yang unggul", ujar Carrick. Walaupun masih belum tewas setakat ini, United masih mengekori Chelsea yang berkelebihan empat mata di tangga teratas selepas mencatat 6 keputusan seri. Khamis lalu, United sekali lagi diikat dengan keputusan seri oleh jiran mereka yang berbelanja besar, Manchester City.

United bakal kehilangan khidmat Paul Scholes akibat penggantungan kerana sudah mengumpul lima kad kuning. Nasib Rafael da Silva dan Patrice Evra masih belum diketahui selepas masing-masing dikeluarkan di separuh masa kedua semasa pertemuan dengan City akibat masalah kecederaan pangkal paha dan pergelangan kaki. Kecederaan kedua-duanya menyaksikan senarai kecederaan pemain yang menerima rawatan semakin panjang selepas Ryan Giggs, Owen Hargreaves, Michael Owen dan Wayne Rooney belum pulih sepenuhnya. Walau bagaimanapun Sir Alex Ferguson masih menaruh harapan kecederaan Patrice Evra tidak seteruk yang disangka dan mampu diturunkan malam ini. United mesti mengelak dari terus mencatat keputusan seri jika mahu memberi tekanan kepada Chelsea yang selesa mendahului carta liga selain memastikan Arsenal yang berada di tangga ketiga tidak memintas mereka.

11 November 2010

FERGUSON AKUI CITY SUKAR DIKALAHKAN


Manchester City's Carlos Tevez (R) shoots at goal past Manchester United's Rio Ferdinand (2nd L) during their English Premier League soccer match at the City of Manchester Stadium in Manchester, northern England November 10, 2010.

Sir Alex Ferguson mengakui pasukannya menghadapi kesulitan menewaskan jiran mereka Manchester City dalam pertemuan dua jira setempat itu pagi tadi. United dan City terikat tanpa jaringan dalam perlawanan yang dilangsungkan di gelanggang City, City of Manchester Stadium. Walaupun pada awalnya ramai yang meramalkan perlawanan ini akan berlangsung tegang namun hakikatnya baik United atau City gagal menunjukkan ketajaman penggempur masing-masing di depan gawang. Menurut Ferguson, City memang sukar dikalahkan di gelanggang mereka malah Chelsea yang kini mendahului carta liga pernah tersungkur di Eastlands. "City memang sukar dikalahkan di gelanggang mereka. Ramai yang meramalkan perlawanan ini akan berlangsung dengan tegang namun saya puas hati dengan persembahan kami. Kami menguasai permainan dan menampilkan permainan yang bagus", kata Ferguson.

Sementara itu, Edwin Van der Sar menilai bahawa jiran mereka itu bermain dengan corak permainan negatif dan sekadar berminat mencatat keputusan seri. "Mereka bermain untuk mendapatkan satu mata, bukan memenangi perlawanan ini", ujar Van der Sar. Bekas penjaga gol antarabangsa Belanda itu hairan bagaimana City yang diperkuatkan sebilangan besar pemain bertaraf dunia memilih untuk bermain secara bertahan. Menurut Van der Sar dia tidak langsung merasa terancam sepanjang perlawanan ini kecuali sepakan percuma dari Carlos Tevez. "Jika perlawanan dilanjutkan beberapa belas minit lagi, kami akan mengalahkan City" tambah Van der Sar. Keputusan seri yang dicatatkan United membuka ruang buat Chelsea melebarkan kedudukan mereka di tangga teratas dengan kelebihan empat mata selepas berjaya menewaskan Fulham 1-0 di Stamford Bridge.

09 November 2010

SCHOLES: MENGALAHKAN UNITED BUKAN TUGAS MUDAH


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

MANCHESTER CITY lwn MANCHESTER UNITED
(City Of Manchester Stadium, 11 November 2010 jam 04.00 pagi

Manchester United's Paul Scholes celebrates his goal against Fulham during their English Premier League soccer match at Craven Cottage, London, Sunday, Aug. 22, 2010. 20 7864 9121 or EMAIL infofootball-dataco.com FOR DETAILS.
Manchester City berpeluang mengugat penguasaan jiran mereka Manchester United di tangga kedua Liga Perdana Inggeris tetapi dengan syarat skuad The Citizens itu harus mengakhiri episod kekalahan kepada United. United menguasai pertemuan antara jiran setempat itu musim lalu apabila memenangi kedua-dua pertemuan mereka disamping menyingkirkan City di peringkat separuh akhir Piala Carling. City memperolehi suntikan semangat selepas berjaya menundukkan West Bromwich Albion hujung minggu lalu di samping kembalinya Carlos Tevez ke dalam pasukan. Walau bagaimanapun lagenda United, Paul Scholes menegaskan usaha City itu bukanlah satu tugas yang mudah kerana barisan bintang City bakal berdepan ujian sebenar mereka musim ini. "Kami ingin sentiasa berada di atas City, bahkan pemain-pemain muda yang baru menyertai pasukan juga mahukan perkara yang sama. Saya sentiasa ingin melihat kabinet piala City terus kosong", ujar Scholes.

Sementara itu bagi bintang pertahanan United, Patrice Evra pula menganggap kemenangan ke atas City bukanlah sasaran utama United kerana pasukannya mempunyai misi yang lebih besar iaitu merampas semula trofi Liga Perdana daripada Chelsea. Bagi Evra, tugas utama United musim ini ialah memenangi kejuaraan yang lebih besar berbanding kemenangan ke atas jiran mereka itu. "Jika kami menang perlawanan ini ia adalah keputusan yang bagus untuk United, kemenangan yang biasa dan tiada yang istimewanya", ujar Evra. Evra juga menegaskan dia tidak gentar dengan suasana yang bakal dihadapinya nanti di Eastlands. "Mereka selalu mengatakan mereka akan mengalahkan kami, tetapi hakikatnya tidak berlaku sedemikian. Kami tidak ambil peduli dengan apa yang mereka katakan", tambah Evra lagi. Musim lalu, United menang 1-0 di Eastlands hasil jaringan minit akhir Paul Scholes.

07 November 2010

JI SUNG MUNCUL WIRA UNITED


Park brace rescues United as Hargreaves is injured again
Park Ji Sung muncul wira Manchester United apabila dua gol jaringannya berjaya memastikan skuad The Red Devils meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri. Pertembungan United dan Wolverhampton Wanderers ini adalah yang kedua dalam tempoh sepuluh hari di Old Trafford selepas United berjaya menyingkirkan anak-anak buah Mick McCarthy 3-2 dalam kempen Piala Liga 27 Oktober lalu. Perlawanan ini juga menyaksikan Owen Hargreaves tampil buat pertama kali dalam tempoh hampir dua tahun akibat kecederaan namun kelibat bekas pemain Bayern Munich itu hanya bertahan selama enam minit akibat masalah hamstring. Hargreaves kemudiannya digantikan pemain muda Portugal Bebe. Wolves yang mengejutkan Manchester City minggu lalu berjaya memberikan masalah kepada barisan United dan mereka hampir mendahului namun rembatan Kevin Doyle yang ditampan Nemanja Vidic sedikit tersasar ke sebelah kanan pintu gol. Di penghujung separuh masa pertama, Ji Sung akhirnya berjaya meletakkan United di depan selepas berjaya menyempurnakan lorongan cantik Darren Fletcher untuk menewaskan Marcus Hahnemann.

Di separuh masa kedua, Sir Alex Ferguson mengubah formasi permainan dari 4-4-2 kepada 4-5-1 untuk memastikan United menguasai bahagian tengah. Perubahan itu ternyata memberikan United kelebihan apabila mereka mula menguasai permainan. Walau bagaimanapun United gagal menambah jaringan dan kesempatan itu diambil lawan untuk menyamakan kedudukan melalui pemain gantian Sylvan Ebanks Blake di minit ke-67. Menyedari pasukannya memerlukan jaringan, Ferguson memasukkan Paul Scholes dan Federico Macheda dengan menarik keluar John O'Shea dan Bebe bagi menambah variasi serangan United. Kehadiran Scholes ternyata membawa perubahan kepada United apabila mereka mula melakukan serangan bertali arus ke kawasan lawan untuk mencari gol kemenangan. Diminit ke-82, Javier Hernandez dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan Phil Dowd kerana sengaja merebahkan badan di kawasan petak penalti lawan. Ketika Mick McCarthy sudah berkira-kira akan membawa pulang satu mata dari Old Trafford, Ji Sung akhirnya menjaringkan gol kemenangan ketika masa kecederaan berbaki satu minit untuk ditamatkan sekaligus memberikan tiga mata penuh buat United.

06 November 2010

UNITED TANPA NANI DAN FLETCHER


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

MANCHESTER UNITED lwn WOLVERHAMPTON
(Old Trafford, 6 November 2010 jam 10.00 malam)

Manchester United's Darren Fletcher celebrates after he scored a goal against Bursaspor during their Group C Champions League soccer match at Ataturk Stadium in Bursa, Turkey, Tuesday, Nov. 2, 2010.
Wolverhampton Wanderers menghadapi misi berat untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata apabila mereka berkunjung ke Old Trafford malam ini. Skuad bimbingan Mick McCarthy itu yang disingkir United dari saingan Piala Liga 27 Oktober lalu dilihat bakal menempuh kesukaran selepas melihat barisan muda United mempamerkan aksi kemas ketika mereka menang ke atas Bursaspor dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah kelmarin. United yang bakal kehilangan Nani dan Darren Fletcher selepas kedua-duanya mengalami kecederaan di Turki pastinya tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan pengganti kedua-dua tonggak tengah itu. Ferguson juga dijangka menurunkan semula Rio Ferdinand di benteng selepas merehatkan kapten England itu ketika kunjungan mereka ke Turki.

Park Ji Sung mungkin digunakan Ferguson untuk menggantikan Nani di bahagian sayap manakala pemain berpengalaman John O'Shea akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Fletcher. Skuad Alex Ferguson kini pastinya berada dalam situasi terbaik untuk memburu kemenangan ketiga berturut-turut mereka dalam liga selepas menundukkan Stoke City dan Tottenham Hotspurs ditambah kejayaan memberangsangkan mereka dalam kempen Liga Juara-Juara Rabu lalu. Selain dari faktor prestasi terkini United, Wolves dijangka menghadapi kesukaran menembusi benteng The Red Devils jika mengambil kira statistik perlawanan mereka musim lalu di mana mereka gagal menjaringkan sebarang gol dalam dua pertemuan mereka dengan United.

03 November 2010

FERGUSON GEMBIRA SKUADNYA RAIH TIGA MATA


Manchester United's players celebrate a goal against Bursaspor during their Champions League soccer match at Ataturk stadium in Bursa, western Turkey, November 2, 2010.
Sir Alex Ferguson melahirkan kegembiraan atas kejayaan pasukannya meraih tiga mata penuh ke atas juara Turki, Bursaspor awal pagi tadi. Meskipun terikat 0-0 di separuh masa pertama, skuad The Red Devils meledak tiga gol di babak kedua untuk meletakkan United sebagai peneraju Kumpulan C. Sebelum perlawanan, United dijangka berhadapan tugas sukar selepas Bursaspor berjaya memberikan tentangan sengit ketika mereka tewas 0-1 di Old Trafford, 22 Oktober lalu. United hanya memerlukan tiga minit sebaik babak kedua bersambung melalui gol Darren Fletcher. Gol itu ternyata menyentap semangat tuan rumah yang gagal meraih kemenangan setakat ini dan menduduki tangga terbawah Kumpulan C. Gabriel Obertan terus mengukuhkan cengkaman United selepas menjaringkan gol kedua diminit ke-73 dan empat minit kemudian Ali Tandogan menjaringkan gol sendiri untuk meletakkan United selesa di hadapan.

"Kami telah berhasil mendapatkan gol awal di babak kedua. Gol itu ternyata merubah suasana perlawanan", kata Ferguson. "Dari situasi tersebut kami akhirnya berjaya mengawal permainan walaupun lawan memiliki beberapa peluang baik. Gol kedua pula telah menambahkan lagi kesukaran buat mereka", tambah Ferguson lagi. Walaupun mencatat kemenangan, United terpaksa membayar harga mahal berikutan kecederaan yang dialami Nani di separuh masa pertama. Nani yang dianggap sebagai pemain terbaik United ketika ini mengalami kecederaan pangkal paha dan masih belum dapat dipastikan setakat mana seriusnya kecederaan pemain antarabangsa Portugal itu. "Sukar untuk memastikan berapa lama kami bakal kehilangan Nani. Kami hanya akan memeriksa kecederaannya esok", kata Ferguson. Selain Nani, Darren Fletcher turut mengalami kecederaan dalam perlawanan itu dan Ferguson mengesahkan bahawa Fletcher mengalami masalah di pergelangan kaki.

02 November 2010

CARRICK: BURSASPOR BUKAN LAWAN MUDAH


LIGA JUARA-JUARA EROPAH 2010/11

BURSASPOR lwn MANCHESTER UNITED
(Bursa Ataturk Stadium, 3 November 2010 jam 03.40 pagi)

http://www.betshoot.com/wp-content/uploads/Michael-Carrick.jpg
Tonggak tengah Manchester United, Michael Carrick mengakui bahawa Bursaspor bukanlah lawan yang mudah sepertimana yang telah mereka buktikan ketika bertandang ke Old Trafford bulan lalu. United sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas juara Turki itu di Old Trafford hasil jaringan Nani pada 21 Oktober lalu. Awal pagi nanti, United akan berdepan dengan Busaspor di Stadium Bursa Ataturk, Turki dalam perlawanan peringkat Kumpulan C, Liga Juara-Juara Eropah. Menurut Carrick selain terpaksa bertandang ke gelanggang lawan, suasana bolasepak di Turki juga jauh berbeza dengan Eropah, dan ini pastinya menyukarkan lagi tugas United mencari tiga mata penuh di sana. "Ramai yang mengatakan bahawa rekod kami di gelanggang lawan sangat baik tetapi semua perlawanan Liga Juara-Juara memang sukar", kata Carrick. United ketika ini memimpin carta Kumpulan C selepas meraih tujuh mata, dua mata di hadapan Glasgow Rangers di tangga kedua, manakala Bursaspor pula masih gagal meraih sebarang mata dan berada di tangga terbawah kumpulan.

31 Oktober 2010

UNITED KEKAL REKOD TANPA KALAH

Manchester United's Rio Ferdinand holds off Tottenham Hotspur's Gareth Bale
Manchester United mengekalkan rekod tanpa kalah mereka musim ini selepas berjaya menewaskan Tottenham Hotspurs 2-0 awal pagi tadi. Kemenangan ini juga menyaksikan United menduduki tangga ketiga liga, berkongsi 20 mata dengan Arsenal tetapi dibezakan dengan perbezaan gol dari skuad The Gunners di tangga kedua. Kemenangan itu bagaimanapun diwarnai dengan gol kontroversi Nani diminit ke-84. Pemain-pemain Spurs membantah keputusan pengadil, Mark Clattenburg yang mengesahkan gol itu sambil mendakwa tendangan bebas patut diberikan kerana bola sudah terkena tangan Nani. Clattenburg kemudiannya dilihat berbincang dengan penjaga garisan, Simon Beck namun keputusan akhirnya tetap memihak kepada United sehingga mengundang bantahan dari pemain-pemain Spurs. Dalam perlawanan awal pagi tadi, Ferguson meletakkan Javier Hernandez dalam kesebelasan permulaan sementara Michael Carrick menerajui bahagian tengah berhadapan dengan bekas kelabnya itu. United yang memerlukan kemenangan untuk terus memberi tekanan kepada Chelsea menguji benteng pelawat melalui Park Ji Sung namun rembatan pemain Korea itu sekadar mengenai tiang gol. Selang beberapa minit kemudian giliran Rafael Van der Vaart pula menguji Edwin Van der Sar namun rembatan cantiknya juga mengenai tiang gol.

United dilihat lebih banyak menguasai perlawanan dan akhirnya berjaya mendahului pelawat melalui tandukan Nemanja Vidic hasil sepakan percuma Nani diminit ke-31. Vidic bijak meledakkan tandukan ke sebelah kanan pintu gol lawan yang gagal diselamatkan Huerelho Gomes. Biarpun ketinggalan, barisan bimbingan Harry Redknapp tetap memberi ancaman kepada benteng tuan rumah melalui gerakan-gerakan Luca Modric dan Van der Vaart. Sebelum berakhirnya separuh masa pertama, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun kedudukan kekal dengan United mendahului 1-0 sehingga kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan. Nani memperolehi peluang terbaiknya diminit ke-64 namun gerakannya berjaya dihalang Gomes. Ketika perlawanan semakin menuju ke penghujung masa sebenar, Nani telah dijatuhkan Sebastian Bassong di hadapan gawang namun pengadil tidak memberikan sepakan penalti kepada United. Gomes yang menyangka pengadil memberikan sepakan percuma kepada pasukannya selepas bola terkena tangan Nani bersedia untuk mengambil sepakan dan membiarkan bola di kawasan bahaya. Kesempatan itu diambil Nani untuk mudah menyepak masuk bagi meletakkan United selesa mendahului 2-0. Gol untuk mengundang bantahan pasukan pelawat namun Clattenburg tetap dengan keputusannya mengesahkan golt tersebut.

30 Oktober 2010

UNITED TEKAD PERTAHANKAN REKOD


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

MANCHESTER UNITED lwn TOTTENHAM HOTSPURS
(Old Trafford, 31 Oktober 2010 jam 12.30 mlm)

Manchester United's Javier Hernandez, right, celebrates after scoring the winning goal in his team's 3-2 win against Wolverhampton Wonderers during their English League Cup soccer match at Old Trafford Stadium, Manchester, England, Tuesday Oct. 26, 2010. EMAIL infofootball-dataco.com FOR DETAILS.
Manchester United merupakan satu-sataunya pasukan yang masih belum tewas dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim ini tetapi mereka masih ketinggalan lima mata di belakang Chelsea selaku pendahulu. Perbezaan mungkin menjadi lebih besar memandangkan lawan United hari ini ialah pasukan yang dianggap sebagai pencabar kejuaraan, Tottenham Hotspurs. Walaupun Spurs seperti yang diketahui tidak memiliki rekod yang baik ketika bertandang di Old Trafford di mana mereka tidak pernah menang sejak tahun 1989 namun kelibat anak-anak buah Harry Redknapp harus dihormati. Dalam 25 pertemuan terakhir mereka di Old Trafford, Spurs tidak pernah menang apabila kali terakhir Gary Lineker meledak gol kemenangan untuk Spurs pada bulan Disember 1989.

Dengan United juga tidak menampilkan kualiti sebenar mereka setakat ini, Spurs mungkin berharap mereka mampu melakukan sesuatu ke atas skuad bimbingan Sir Alex Ferguson nanti. Perlawanan terakhir United di Old Trafford ialah ketika mereka diikat 2-2 oleh West Bromwich Albion dan pastinya Harry Redknapp mengharapkan pemain-pemainnya mampu melakukan lebih dari apa yang dilakukan Albion. Apapun Redknapp tidak harus meletakkan harapan terlalu tinggi memandangkan kunjungan mereka ke Old Trafford kali ini tanpa Tom Huddlestone, Jermain Defoe, Michael Dawson, Vedran Corluka, Ledley King, Jonathan Woodgate dan Jamie O'Hara yang dibelenggu kecederaan. Dipihak United mereka masih kehilangan khidmat Wayne Rooney tetapi boleh mengharapkan sentuhan pemusnah Javier Hernandez.

28 Oktober 2010

CHICHARITO BUKTI FERGUSON BIJAK MENILAI BAKAT MUDA

25 Oktober 2010

FERGUSON PUAS UNITED CATAT KEMENANGAN DI GELANGGANG LAWAN


Manchester United's Javier Hernandez (R) celebrates his second goal against Stoke City with Darren Fletcher during their English Premier League soccer match at the Britannia Stadium in Stoke-on-Trent, central England, October 24, 2010.
Manchester United akhirnya mencatat kemenangan pertama mereka di gelanggang lawan selepas berjaya menundukkan Stoke City 2-1 di Stadium Britannia semalam. United mendahului melalui tandukan Javier Hernandez di minit ke 26 tetapi tuan rumah mengikat kedudukan melalui gol sepakan cantik Tuncay Sanli diminit ke 81. Gol penyamaan itu seolah-olah bakal menyaksikan United berkongsi mata buat kali keenam musim ini tetapi empat minit kemudian Hernandez muncul wira United selepas memanfaatkan hantaran Patrice Evra untuk menjaringkan gol kemenangan skuad The Red Devils. Sir Alex Ferguson jelas begitu berpuashati dengan kemenangan tersebut sambil memuji pemain-pemainnya yang mampu bangkit mencatat kemenangan pertama mereka di gelanggang lawan.

"Kami menguasai permainan tetapi apa yang penting ialah pemain mampu bangkit selepas gol penyamaan itu. Mereka memang pasukan yang tidak mudah menyerah kalah, itu yang menyebabkan kami berkualiti", kata Ferguson. Ferguson turut memuji penyokong-penyokong United yang disifatkannya cukup fantastik. "Sikap penyokong cukup fantastik dan reaksi pemain juga cukup luar biasa. Gol minit akhir seperti itu memang sering dilakukan United sejak bertahun-tahun dan pastinya membangkitkan reaksi luar biasa penyokong", tambah Ferguson lagi. Menurut Ferguson, pasukannya bakal memasuki fasa penting menjelang Krismas dan tahun baru sambil berharap anak-anak buahnya akan memaksimakan setiap peluang yang ada bagi mengejar pendahulu ketika ini, Chelsea.

24 Oktober 2010

FERGUSON AKUI MENYESAL JUAL SHAWCROSS

LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11
STOKE CITY lwn MANCHESTER UNITED
(Stadium Britannia, 24 Oktober 2010 jam 09.00 mlm)

http://images.teamtalk.com/09/03/800x600/Ryan-Shawcross-Stoke-City-Middlesbrough-Premi_2039951.jpg
Pengurus Manchester United, Sir Akex Ferguon meluahkan rasa kesal kerana menjual bekas pertahanannya, Ryan Shawcross kepada Stoke City. Kekesalan Ferguson diluahkan menjelang kunjungan pasukannya ke Stadium Britannia malam ini bagi menghadapi Stoke. "Saya sering bertanya di dalam hati mengapa saya menjual Shawcross", kata Ferguson. "Dia pemain hebat, berbakat dan berada di Old Trafford ketika Craig Cathcart, Jonny Evans dan Gerard Pique berlumba merebut tempat dalam pasukan utama", ujar Ferguson lagi. Menurut Ferguson, ketika itu dia tidak mampu menjanjikan tempat untuk Shawcross tampil dalam skuad utama kerana adanya Evans dan Pique yang turut bersaing. Namun ketika Evans dan Cathcart cedera manakala Pique pula berhijrah ke Barcelona barulah Ferguson benar-benar merasai kehilangan Shawcross. Shawcross ketika ini merupakan pemain utama Stoke City dibenteng pertahanan dan dia bakal ditugaskan merantai pergerakan rangkaian penggempur United malam ini.

"Saya juga menyesal menjual Cathcart kepada Blackpool tetapi ketika ini saya lebih menyesali penjualan Shawcross", tambah Ferguson. Ferguson telah menjual Shawcross pada bulan Januari 2008 dan ketika itu tiada reaksi dari peminat dan pihak pengurusan atas penjualan tersebut. Ketika itu Shawcross memang jarang tampil dalam skuad utama kerana tenggelam di bawah nama-nama besar yang lain seperti Ferdinand, Vidic, Evans dan Pique. Berbeza ketika ini, Ferguson melihat Shawcross adalah pemain paling diperlukan United di benteng pertahanan. Sementara itu, Wayne Rooney yang baru mengikat kontrak selama lima tahun tidak akan diturunkan Ferguson ketika berhadapan dengan Stoke nanti. Rooney diberitakan masih mengalami kecederaan buku lali dan Ferguson pastinya tidak mahu mengalbil risiko menurunkan penyerang antarabangsa England itu. Ferguson mungkin menggunakan Javier Hernandez bersama Dimitar Berbatov dalam perlawanan ini.

23 Oktober 2010

FERGUSON: KINI MASANYA UNTUK BANGKIT


Sir Alex Ferguson mengakui bahawa dia sedikit kecewa dengan tingkah laku Wayne Rooney namun kini lega setelah kemelut yang melanda sejak beberapa hari lalu telah selesai. Rooney yang berkali-kali menegaskan bahawa dia ingin keluar dari Old Trafford akhirnya membuat pusingan U dengan menandatangani lanjutan kontrak selama lima tahun yang menyaksikannya kekal bersama skuad Red Devils sehingga tahun 2015. Kontrak baru itu juga menyaksikan Rooney bakal dibayar gaji sebanyak 150,000 Pound seminggu sekaligus menjadikannya pemain yang menerima gaji paling tinggi dalam sejarah kelab. Serentak dengan itu Ferguson menyatakan bahawa kini tibalah masanya untuk pasukannya bangkit semula dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Rooney juga secara terbuka telah meminta maaf kepada Ferguson dan rakan-rakan sepasukan atas apa yang telah berlaku sejak kebelakangan ini. "Seperti gegaran besar dalam beberapa hari ini dan kami rasa disakiti dengan peristiwa ini tetapi Wayne telah meminta maaf kepada saya dan pemain-pemain lain. Dia juga akan melakukan perlara yang sama kepada peminat", kata Ferguson.

"Saya selalu dapat merasakan kualiti yang ada pada diri seseorang ketika mereka menyatakan mereka menyesal dan meminta maaf. Tugas kami seterusnya ialah melupakan perkara ini dan mengembalikan semula Wayne Rooney di padang", tambah Ferguson lagi. Walaupun masih terdapat spekulasi tentang hubungan Ferguson-Rooney oleh media-media di England sedangkan mereka berdua kini telah berdamai, Ferguson segera menyanggah perkara itu. "Tidak terdapat masalah antara saya dan pemain. Kami sedang melakukan apa yang terbaik untuk Manchester United", ujar Ferguson lagi. "Kami memiliki masalah yang lebih penting selepas ini bermula dengan menentang Stoke City. Kami ketinggalan di belakang Chelsea dan kami harus mengejar mereka dengan pantas. Perkara ini hanya boleh dilakukan bila semua orang bersatu. Selepas itulah baru kami dapat menunjukkan siapa sebenarnya Manchester United", tegas Ferguson. Sementara itu Rio Ferdinand juga cukup lega dengan berita yang Rooney akan terus kekal bersama United. "Saya memang tak pernah ragu bahawa Wazza adalah pemain United untuk sekarang dan akan datang. Tidak boleh dibayangkan dia bermain untuk kelab lain, apatah lagi di Liga Perdana", kata Ferdinand.

21 Oktober 2010

FERGIE: 1-0 SUDAH MEMADAI


Manchester United's Portugese midfielder Nani (L) competes with Bursaspor's Brazilian defender Gokcek Vederson during their UEFA Champions League football match at Old Trafford in Manchester, north-west England, on October 20, 2010.
Sir Alex Ferguson tetap berpuashati walaupun Manchester United sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Bursaspor dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi. Menurut Ferguson, United bermain dengan baik dan berjaya mengekalkan rentak serangan mereka sepanjang 90 minit permainan. Gol tunggal perlawanan dijaringkan Nani seawal minit ke-7 melalui rembatan cantik kaki kiri dari luar petak penalti lawan. "Nani semakin bagus dan ini sangat baik untuk kami. Dia terus menambah koleksi golnya dan ini sangat penting", kata Ferguson. Ferguson turut mengakui bahawa musim ini adalah antara musim paling sukar buat pasukannya ditambah pula dengan spekulasi bahawa Wayne Rooney akan berhijrah Januari nanti. "Kemenangan ini sangat penting buat peminat. Mereka menyokong kami dengan baik malam ini dan sentiasa berada di belakang pasukan. Suasana dalam pasukan juga baik terutamanya ketika di bilik persalinan", tambah Ferguson lagi. Ketika ditanya wartawan tentang Rooney yang menyatakan hasrat untuk berhijrah, Ferguson menyatakan, "Saya belum membacanya. Saya telah menyaksikan sedikit di televisyen tapi saya akan hanya membaca kenyataannya esok. Seperti yang selalu saya katakan, pintu untuk Rooney kekal sentiasa terbuka. Kami adalah kelab yang baik dan kami juga ingin menjaga pemain terutamanya pemain muda seperti Rooney". Kemenangan ini juga meletakkan United di tangga teratas kumpulan C dengan tujuh mata diikuti Rangers, Valencia dan Bursaspor.

20 Oktober 2010

LIGA JUARA-JUARA: UNITED TURUN TANPA ROONEY


LIGA JUARA-JUARA EROPAH 2010/11

MANCHESTER UNITED lwn BURSASPOR
(Old Trafford, 21 Oktober 2010 jam 02.40 pagi)


Sir Alex Ferguson sekali lagi mengenepikan Wayne Rooney dari kesebelasan utamanya ketika United bakal menerima kunjungan juara Turki, Bursaspor di Old Trafford awal pagi nanti. Langkah Ferguson itu dilihat sebagai petanda jelas bahawa Rooney bakal menuju pintu keluar menjelang tirai perpindahan yang akan dibuka Januari nanti. Dengan ketiadaan Rooney, Ferguson bakal menyandarkan harapannya kepada penyerang muda Mexico, Javier Hernandez yang menjaringkan gol ketika United diikat West Bromwich Albion hujung minggu lalu selaku penggempur bersama Dimitar Berbatov. Ferguson secara terbuka menyatakan bahawa penyerang antarabangsa England itu telah meminta agar dia dilepaskan untuk berhijrah dan berita itu segera menarik minat Chelsea, Manchester City dan Real Madrid untuk mendapatkan tandatangan Rooney. Ferguson seolah-olah telah memberikan isyarat bahawa dia bakal melepaskan Rooney dengan meminta agar penyokong-penyokong United percaya dengan keputusan yang bakal diambil kelab.

Ferguson sempat mengingatkan penyokong United bahawa kelab mampu mencipta dan tidak terlalu bergantung kepada pemain bertaraf bintang seperti Rooney. "Saya ingin mengingatkan penyokong agar terus mempercayai kami. Jika anda melihat sejarah kelab ini dalam tempoh 50 tahun terakhir, jumlah trofi yang dimenangi, penghargaan dan penghormatan yang diterima dari seluruh dunia telah membuktikan segalanya", kata Ferguson. "Kami melahirkan pemain hebat, lebih banyak dari mana-mana kelab Inggeris. Ini merupakan sesuatu yang fantastik dan harus diingati. Adakalanya kami juga mengalami detik-detik sukar seperti musim lalu dimana kami hampir-hampir mencatat sejarah sebagai kelab pertama memenangi trofi Liga Perdana sebanyak empat kali berturut-turut. Namun kami hanya tewas satu mata kepada Chelsea dan ini membuktikan bahawa kami masih lagi sebuah pasukan yang bagus", tambah Ferguson lagi merujuk kepada pemergian Cristiano Ronaldo musim lalu. Menurut Ferguson apa yang penting ketika ini ialah mengambil langkah seterusnya dan dengan struktur yang dimiliki pasukan Ferguson percaya United akan kembali ke landasan sebenar.

18 Oktober 2010

ROONEY SEMAKIN HAMPIRI PINTU KELUAR


Perkara paling hangat yang berlaku di Old Trafford ketika ini ialah spekulasi masa depan Wayne Rooney bersama Manchester United. Media-media Inggeris ketika ini hangat meramalkan Rooney bakal melangkah keluar dari Old Trafford menjelang Januari nanti. Media mula berjaya menghidu konflik yang terjadi antara Rooney dan Sir Alex Ferguson berikutan skandal seks bekas penyerang Everton itu dengan seorang pelacur ditambah prestasi tidak menentu dipamerkan Rooney sejak kebelakangan ini. Perbalahan dengan Ferguson dilihat media sebagai titik nokhtah kerjaya Rooney di Old Trafford sama seperti apa yang dialami Jaap Stam, David Beckham, Ruud Van Nistelrooy dan Carlos Tevez. Konflik bermula selepas skandal seks Rooney dengan seorang pelacur terbongkar dan selepas itu Ferguson meminta agar Rooney segera menyelesaikan masalah peribadinya. Ferguson merehatkan Rooney ketika United berkunjung ke Valencia untuk kempen Liga Juara-Juara mereka dan turut tidak membawanya bersama ketika mereka berkunjung ke Stadium of Light sewaktu berhadapan dengan Sunderland. Ferguson memberikan alasan bahawa kecederaan pergelangan kaki menyebabkan nama Rooney digugurkan dari senarai pemain. Bagaimanapun selepas itu Rooney menyangkal kata-kata Ferguson hingga menyebabkan kredibiliti bos United itu dimata media terjejas.

Konflik antara Ferguson dan Rooney terus memuncak apabila dia sekadar diletakkan Ferguson di bangku simpanan ketika United menerima kunjungan West Bromwich Albion Sabtu lalu. Jika situasi ini terus berlaku ketika United berhadapan dengan Bursaspor dalam perlawanan Liga Juara-Juara Rabu nanti, kesimpulan boleh dibuat bahawa konflik antara keduanya memang sedang meruncing. Ketika ini pun sudah ada suara-suara yang mahukan agar Rooney meninggalkan United, tambahan pula selepas mengambilkira Rooney sudah memenangi semua gelaran utama bersama United. Kini adalah masa yang cukup sesuai buat penyerang antarabangsa England itu menikmati angin baru bersama kelab lain. Setiap pemain memang memerlukan sokongan dari individu di sekelilingnya untuk bersinar namun situasi ketika ini memang tidak berpihak kepada Rooney. Walaupun sebelumnya Rooney begitu tegas menyatakan bahawa dia mahu menamatkan karier bersama United tetapi situasi kini berubah dengan begitu drastik. Ketika ini Real Madrid dilihat kelab yang begitu ideal jika Rooney mahu berpindah. Walaupun minat yang tinggi telah ditunjukkan Manchester City yang juga merupakan musuh setempat United, pemerhati yakin Rooney tidak akan dijual kepada City. Apapun kini keputusan sama ada mahu kekal atau tidak terletak sepenuhnya di tangan Rooney.

17 Oktober 2010

FERGIE KECEWA SELEPAS DIIKAT ALBION

Chris Brunt of West Bromwich Albion battles for the ball with Paul Scholes of Manchester United
Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson ternyata begitu kecewa selepas melihat barisan bimbingannya melepaskan peluang keemasan meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri selepas diikat 2-2 oleh West Bromwich Albion malam tadi. Keputusan seri itu juga menyaksikan United gagal merapatkan jurang dengan pendahulu, Chelsea selepas skuad The Blues juga sekadar meraih satu mata di Villa Park. "Kami bermain dengan baik di babak pertama tetapi terlalu banyak membazirkan peluang. Seharusnya sebelum babak pertama berakhir, kami sudah menjaringkan lima gol" kata Ferguson. "Kami memperolehi kesempatan tapi gagal menggunakannya. Saya sangat kecewa kami gagal memenangi perlawanan ini. Ia sesuatu yang tidak boleh diterima oleh penyokong dan saya sendiri", tambah Ferguson lagi. United membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 melalui Javier Hernandez selepas Scott Carson gagal menangkap kemas bola sepakan percuma Nani. United seolah-olah akan menang mudah perlawanan ini selepas Nani menjaringkan gol kedua diminit ke-25 apabila mudah meyudahkan hantaran Dimitar Berbatov.

Pelawat bagaimanapun hanya memerlukan 4 minit selepas babak kedua bersambung untuk merapatkan kedudukan apabila Patrice Evra tertampan bola ke gawang sendiri hasil sepakan percuma Chirs Brunt. Lima minit kemudian Edwin Van Der Sar melakukan kesilapan mudah apabila gagal menangkap kemas bola sepakan lambung Chris Brunt dari sebelah kiri. Bola yang muntah dari dakapan Van Der Sar mudah ditolak masuk Somen Tchoyi di gawang terbuka untuk mengikat kedudukan hingga keakhir perlawanan.
Ferguson bagaimanapun enggan meletakkan kesalahan di bahu Van Der Sar hingga membolehkan pelawat menyamakan kedudukan sekaligus meyaksikan United mencatat keputusan seri kelima mereka musim ini. "Saya tidak tahu mengapa perkara itu boleh berlaku. Kesilapan itu mungkin terjadi sekali dalam hidupnya. Mungkin kali terakhir dia melakukan kesilapan itu ketika masih di sekolah rendah" kata Ferguson lagi. Keputusan ini juga menyaksikan United gagal meneruskan rekod seratus peratus kemenangan mereka di gelanggang sendiri selepas membenam Newcastle United, West Ham dan Liverpool. Bagaimanapun mereka mencatat empat keputusan seri di Fulham, Everton, Bolton Wanderers dan Sunderland untuk meletakkan mereka di tangga ketiga ketika ini.

16 Oktober 2010

MISI PENTING UNITED DI OLD TRAFFORD


LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11

MANCHESTER UNITED lwn WEST BROMWICH ALBION
(Old Trafford, 16 Oktober 2010 jam 10.00 mlm)

Manchester United's English forward Wayne Rooney (C) walks towards manager Sir Alex Ferguson (L) after being substituted against Bolton Wanderers during their English Premier League football match at The Reebok Stadium in Bolton, north-west England, on September 26, 2010. AFP PHOTO/PAUL ELLIS -  FOR EDITORIAL USE ONLY Additional licence required for any commercial/promotional use or use on TV or internet (except identical online version of newspaper) of Premier League/Football League photos. Tel DataCo +44 207 2981656. Do not alter/modify photo.
Barisan Manchester United menggalas misi penting ketika mereka menanti kunjungan pasukan sedang meningkat naik West Bromwich Albion di Old Trafford malam ini. Kunjungan skuad bimbingan Roberto de Matteo itu turut diiringi betapa mereka memburu kemenangan pertama ke atas United dalam tempoh 32 tahun. Kali terakhir Albion menang ke atas United ialah pada tahun 1978 yang menyaksikan pengurus mereka, Ron Atkinson dan pemain terbaik mereka Bryan Robson berhijrah ke Old Trafford tiga tahun kemudian. Ron Atkinson kini tidak lagi melatih Albion sebaliknya misi meraih kemenangan menjadi milik de Matteo, warga Itali dan bekas tonggak di Stamford Bridge. Walau dilihat sukar mengulangi keajaiban 32 tahun lalu itu, kemampuan barisan bimbingan de Matteo tidak harus dipandang remeh. Keupayaan mereka menewaskan Arsenal di Emirates sudah cukup membuatkan Sir Alex Ferguson resah menanti perlawanan ini. Bagaimanapun satu-satunya faktor yang memberikan kelegaan buat Ferguson ialah rekod kemenangan seratus peratus United di Old Trafford setakat ini.

Disamping itu Albion juga berkemungkinan besar turun tanpa penggempur harapan mereka, Peter Odemwingie serta Jerome Thomas yang masih diragui tahap kecergasannya. United akan kehilangan sentuhan Ryan Giggs akibat masalah hamstring dan Luis Antonio Valencia yang berehat lama akibat patah pergelangan kaki. Disamping itu Owen Hargreaves yang diberitakan telah mendapat lampu hijau dari pasukan perubatan United untuk bermain masih belum pasti diturunkan. Tumpuan pastinya terarah kepada Wayne Rooney yang agak hambar ketika England berkongsi mata dengan Montenegro di Wembley, Rabu lalu. Bukan saja sentuhannya yang masih tumpul, khabar angin pergeseran antaranya dengan Ferguson yang tersebar sejak beberapa hari lalu pastinya menjadikan Rooney pemain yang bakal meraih tumpuan malam ini. Jika diturunkan Ferguson, Rooney harus membuktikan kepada peminat bahawa dia masih penggempur terbaik di England ketika ini sekaligus mengembalikan semula kepercayaan semua pihak kepadanya.

05 Oktober 2010

CARRICK MAHU TERUS KEKAL DI OLD TRAFFORD

http://www.blogunited.co.uk/wp-content/gallery/michael-carrick/Michael_Carrick_13.jpg
Pemain tengah Manchester United, Michael Carrick menepis spekulasi yang mengatakan bahawa dia akan keluar dari Old Trafford menjelang musim perpindahan Januari nanti. Bekas perancang Tottenham Hotspurs itu menegaskan bahawa dia mahu kekal menyarung jersi United sehingga penghujung kariernya. Sejak akhir-akhir ini, Carrick muncul pemain United paling hangat dikaitkan akan berpindah ke pasukan lain dan terbaru, Aston Villa dikatakan menaruh minat yang tinggi untuk mendapatkan khidmatnya. Pemain berusia 29 tahun itu yang masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun menegaskan bahawa dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan United. "Saya telah mendengar beberapa spekulasi yang mengatakan bahawa saya akan berpindah musim panas lalu. Saya tidak mempedulikannya kerana itu adalah sebahagian dari permainan media", kata Carrick. Carrick menegaskan bahawa hasrat untuk berpindah tidak pernah terlintas dalam mindanya dan berazam untuk bekerja lebih keras bagi memastikan dia berpeluang tampil dengan lebih kerapbersama skuad utama United.

03 Oktober 2010

FERGUSON AKUI KEHEBATAN SUNDERLAND

Manchester United's Michael Owen in action with Sunderland's Steed Malbranque
Misi Manchester United untuk berkongsi mata di tangga teratas bersama Chelsea gagal selepas diikat seri tanpa jaringan oleh Sunderland di Stadium of Light semalam. Keputusan itu menyaksikan United mengumpul 13 mata di tangga kedua, dua mata di belakang Chelsea yang akan berhadapan dengan Arsenal di Stamford Bridge malam ini. Ferguson menurunkan gandingan Michael Owen dan Federico Macheda dibabak pertama namun kedua-dua penyerang itu gagal menghadirkan sebarang ancaman serius kepada benteng skuad bergelar Black Cats itu. Sunderland hampir memperolehi gol pendahuluan namun Steed Malbranque yang menerima hantaran Lee Cattermole gagal menewaskan Edwin Van Der Sar biarpun dia hanya berhadapan dengan bekas penjaga gol antarabangsa Belanda itu. Tuan rumah sekali lagi mencemaskan benteng United apabila rembatan Boudewijn Zenden dari luar kotak penalti sekadar singgah di tiang gol. United mengeluarkan Owen dan memasukkan Dimitar Berbatov di babak kedua namun usaha mereka tetap buntu dalam mencari gol kemenangan. Kedudukan kekal 0-0 hingga wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan Chris Foy.

Sementara itu, Sir Alex Ferguson mengatakan bahawa Sunderland layak diberikan pujian atas kejayaan mereka menyekat United sepanjang 90 minit permainan. "Saya fikir, anda seharusnya memberikan pujian kepada mereka. Rekod mereka di gelanggang sendiri cukup cemerlang dan kami terpaksa bertahan dengan baik", kata Ferguson. Walaupun statistik perlawanan menunjukkan United menguasai 51% penguasaan bola namun mereka hanya melepaskan satu percubaan tepat ke gawang lawan manakala tuan rumah pula memperolehi tiga peluang keemasan untuk menjaringkan gol. Sunderland sehingga ini dilihat begitu kebal di gelanggang mereka apabila dari empat perlawanan mereka mencatat keputusan seri sebanyak tiga kali dan menang sekali. Pujian juga seharusnya diberikan kepada benteng United yang diterajui Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand yang bermain dengan baik dalam menyekat hantaran-hantaran tinggi tuan rumah. Kedudukan United di tangga kedua bakal tergugat sekiranya Manchester City yang akan bertemu Newcastle dan Arsenal pula yang akan berhadapan dengan Chelsea menang ke atas lawan masing-masing.

02 Oktober 2010

NASIB ROONEY MASIH MENJADI TANDATANYA

LIGA PERDANA INGGERIS 2010/11
SUNDERLAND lwn MANCHESTER UNITED
(Stadium of Light, 2 Oktober 2010 jam 10.00 mlm)

Manchester United's Wayne Rooney wipes his head during their English Premier League soccer match against Bolton Wanderers at the Reebok Stadium in Bolton, northern England, September 26, 2010.

Ryan Giggs percaya prestasi malap yang dipamerkan Wayne Rooney ketika ini hanyalah bersifat sementara. Giggs percaya Rooney yang menjadi sandaran United mengegar gawang lawan musim lalu bakal kembali semula keprestasi terbaiknya dalam masa terdekat. Rooney yang menjadi perhatian ramai selepas skandal seksnya bersama seorang pelacur terbongkar agak tenggelam diawal musim Liga Perdana Inggeris selepas hanya meledak satu gol dalam enam perlawanan buat United. Walaupun pada mulanya mengatakan bahawa dia tidak terjejas dengan skandal itu, prestasi penyerang antarabangsa England itu berada di bawah tahap sebenar dan kecederaan pergelangan kaki ketika menentang Bolton minggu lalu memburukan lagi keadaannya. Menurut Giggs hanya satu cara saja untuk Rooney mengatasi masalahnya, iaitu turun kepadang dan berlatih.

Kecergasan Rooney masih menjadi tandatanya walaupun sebelumnya diberitakan akan diketepikan selama tiga minggu akibat kecederaan itu. United yang akan bertemu Sunderland malam ini mungkin tidak membawa Rooney bersama pasukan tetapi pengurus Sunderland yang juga bekas pemain United, Steve Bruce optimis bahawa Rooney akan diturunkan Ferguson. Bruce dipetik sebagai berkata, “Apakah Wayne Rooney akan diketepikan selama tiga minggu? Saya tidak tahu, mungkin ini hanyalah taktik Sir Alex. Tiada pemain lain yang lebih baik berbanding Rooney dan saya yakin Sir Alex akan menurunkannya dalam perlawanan dengan kami nanti", tegas Bruce. Sunderland yang berjaya mengikat Liverpool minggu lalu bakal menghadirkan ujian getir buat United namun kehadiran semula Rio Ferdinand di benteng bakal menguatkan semula pertahanan mereka yang agak goyak sejak kebelakangan ini.