09 April 2023

LENYAP AKIBAT KEBODOHAN SENDIRI

 


Musim 2019/20, Mason Greenwood mencuri tumpuan apabila sepanjang musim tersebut beliau berjaya meledak 19 gol untuk Manchester United dalam semua peringkat kejohanan. Dengan `skill’ bolasepak luarbiasa bagi seorang remaja yang baru berusia 19 tahun ketika itu, naluri pembunuhnya setiap kali berada di dalam petak penalti lawan serta kemampuan beliau menjaringkan gol dari pelbagai sudut meletakkan nama Mason selaku antara bakat muda paling mempesonakan di sekitar Eropah. Ringkasnya, beliau adalah bintang dalam pembikinan.

 

Mason adalah prospek masa depan bukan sahaja untuk United tetapi juga skuad kebangsaan England. `Di kakinya’, kita mendambakan agar suatu hari nanti beliau akan menjadi penggempur berbisa, tonggak utama dan legenda kelab. Pada Julai 2020, Mason muncul pemain berusia 18 tahun kedua selepas Wayne Rooney yang berjaya menjaringkan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut untuk United. Meskipun Mason mengakui bahawa Rooney merupakan idolanya tetapi gaya permainan beliau lebih mirip kepada penampilan Robin Van Persie.

 

Sepertimana Robin, Mason juga memiliki kekuatan pada kedua-dua kakinya selain kombinasi `skill’ yang hebat, fizikal yang kuat dan visi permainan yang bagus. Menurut Gary Neville, Mason adalah contoh penyerang yang `complete’. “Di Manchester United, anda melihat Anthony Martial, Marcus Rashford dan Mason Greenwood. Kemudian anda terfikir siapakah di antara mereka yang mampu menjaringkan gol dari pelbagai sudut. Di dalam atau di luar petak penalti, menerusi kaki kanan atau kiri. Pemain itu pastilah Mason dan dia baru berusia 18 tahun”, kata Neville.

 

Potensi Besar

 

Pada Mac 2019, potensi besar milik Mason menarik minat Ole Gunnar Solskjaer. Sebagai bekas penggempur berbisa, mudah bagi Solskjaer untuk mengesan potensi yang ada dalam diri Mason untuk muncul penggempur menggerunkan suatu hari nanti. Pada aksi kedua pusingan kalah mati Liga Juara-Juara menentang Paris St Germain, Mason akhirnya diberikan penampilan pertamanya. United berjaya menyingkirkan PSG menerusi jaringan penalti Marcus Rashford, tetapi lebih daripada itu Mason pula sedang memulakan langkah pertama dalam karier profesionalnya.

 

Bagi seorang pemain muda seperti Mason, melakukan `debut’ untuk United di pentas tertinggi seperti Liga Juara-Juara merupakan satu langkah besar yang dilakukan beliau dalam kariernya. Pada usia 18 tahun, Mason menjaringkan 10 gol di Liga Perdana, dan dalam hal ini cuma ada seorang pemain yang menjaringkan lebih banyak gol pada usia yang sama iaitu Michael Owen. Pada musim 1997/98, Owen menjaringkan 18 gol untuk Liverpool, satu catatan yang sangat fenomenal untuk seorang pemain remaja seperti beliau.

 

Jika pada aksi menentang PSG, Mason agak gugup, tetapi penampilan beliau dalam saingan Liga Europa pula (musim 2019/20) menerusi lima gol yang diledaknya benar-benar memukau. Ketika Solskjaer membina United menerusi generasi pemain-pemain muda dari akademi kelab, Mason merupakan pemain muda United paling menonjol berbanding Tahith Chong, Angel Gomes, James Garner atau Teden Mengi. Mason memang pemain muda berbakat besar, bintangnya sedang bergemerlapan, tetapi beliau akhirnya terlupa bagaimana mahu mengawal gaya hidup luar padangnya. 

 

Masalah Disiplin

 

Pada Februari tahun lalu, kita dikejutkan dengan berita bahawa Mason didakwa dengan tuduhan cubaan merogol dan memukul kekasihnya yang berusia 18 tahun. 24 jam selepas itu, United kemudiannya mengeluarkan kenyataan mengecam sebarang bentuk keganasan dan menggantung Mason dari berlatih serta bermain untuk kelab. Ini bukanlah isu disiplin pertama yang melingkari karier Mason kerana setahun sebelum itu, beliau juga pernah dihantar pulang dari kem latihan skuad kebangsaan di Iceland kerana menyeludup masuk wanita ke bilik hotel.

 

Ketika dunia dilanda pandemik Covid-19 yang sedang memuncak, ada beberapa pemain di Liga Perdana yang cenderung melanggar peraturan pencegahan wabak tersebut, tetapi Mason paling menonjol. Mason pernah tertangkap kerana memandu di sekitar Altrincham ketika larangan keluar dari kediaman sedang dikuatkuasakan selain mengadakan parti di Salford. Di sebalik segala kontroversi yang menyelubungi kariernya, Mason selepas insiden di Iceland berjaya menjaringkan 35 gol untuk United menerusi 125 penampilan dan dilakukan beliau pada usia yang sangat muda.

 

Sebaik kempen bolasepak Eropah disambung pada Jun 2020, Mason menjaringkan lima gol dari 13 aksi terakhir Liga Perdana untuk United. Perlu diakui bahawa beliau antara pemain yang berperanan besar dalam membantu United menamatkan kempen liga di tangga ketiga. Ini juga bermakna United bakal beraksi semula di saingan Liga Juara-Juara pada musim 2020/21. Penampilan cemerlang Mason menyaksikan beliau disenaraikan Gareth Southgate dalam skuad kebangsaan pada aksi menentang Iceland dan Denmark di saingan UEFA Nations League.

 

Tidak cukup dengan itu, Mason juga diletakkan dalam senarai lima pemain remaja paling bernilai di dunia oleh CIES Football Observatory dengan tafsiran nilai sebanyak £133.9 juta. Bagaimanapun gaya hidup Mason memusnahkan kariernya dalam sekelip mata. Kali terakhir anda melihat penampilan Mason ialah pada 19 Januari 2022 dalam aksi liga menentang Brentford sebelum beliau ditahan pihak berkuasa. Meskipun pada Februari lalu mahkamah membebaskan Mason dari empat dakwaan keganasan dan serangan seksual, namun itu tidak bererti beliau boleh kembali bermain.

 

Penutup

 

Ketika masa depan Mason masih menjadi tanda tanya dan pihak berkuasa pula terus menjalankan siasatan, United pula berdepan dilema. Mason merupakan pemain muda berbakat besar, mungkin bakat kelahiran akademi paling bernilai dalam tempoh  sedekad pernah disaksikan. Mason masih muda, pemain benilai tinggi, punya bakat hebat dan sangat berpotensi untuk muncul bintang besar suatu hari nanti. Bagaimanapun Mason juga boleh menjadi pemain yang tiada nilai langsung dalam sekelip mata akibat dari masalah disiplin yang beliau hadapi.

 

Suatu masa dahulu, United diketuai oleh seorang pemimpin yang penuh ketegasan dan karisma seperti Roy Keane. Jika `Keano’ masih bermain, beliau adalah pemimpin paling sempurna yang mampu mendisiplinkan pemain muda seperti Mason. Jika `Keano’ masih bermain, mungkin juga nasib Mason tidak seperti ini. Adakah suatu hari nanti kita masih dapat melihat Mason kembali memperagakan bakat dan potensi besarnya di atas padang? Atau adakah bakat hebat ini akan tenggelam dan lenyap akibat dari kebodohan sendiri? Glory Glory Manchester United!!!  



05 April 2023

FERGIE vs WENGER DAN HALL OF FAME



Pada 1993, Manchester United memenangi kejuaraan liga buat pertama kali dalam tempoh 26 tahun. Sejak itu Sir Alex Ferguson berjaya meletakkan kembali United selaku kuasa dominan dalam kancah bolasepak Inggeris sehinggalah Arsene Wenger tiba di Highbury pada Ogos 1996. Berbanding Fergie, Wenger pula ketika itu bukanlah antara pengurus berprofil tinggi dalam dunia bolasepak, juga tidak pernah mengendalikan mana-mana kelab besar di mana-mana liga besar sekitar Eropah. Jadi cabaran di England bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi Wenger.

 

Jadi tidak hairanlah mengapa keputusan Arsenal merekrut Wenger dari Nagoya Grampus Eight bukan sahaja mengejutkan penyokong mereka, tetapi juga para pemerhati bolasepak. Kedatangan `The Professor’ ke Highbury membuatkan ramai pihak kehairanan dan skeptikal tentang kemampuan beliau mengangkat kembali martabat Arsenal yang sudah tiga tahun tidak menjulang apa-apa kejuaraan. Sepertimana gelaran `The Professor’ yang diberikan kepadanya, Wenger memang seorang pengendali yang genius.

 

Musim pertama Wenger di Highbury, beliau mengejutkan ramai pihak menerusi kejayaannya mengemudi Arsenal menamatkan saingan liga di tangga ketiga. Satu pencapaian menakjubkan untuk `rookie’ seperti beliau. Musim berikutnya (1997/98), ketenangan Fergie akhirnya terusik kerana kini beliau sedar bahawa sudah ada pencabar baharu yang mampu merosakkan dominasi United di England. Hanya pada musim keduanya di Highbury, Wenger berjaya mengemudi Arsenal menjulang kejuaraan `double’ menerusi kejayaan muncul juara Liga Perdana dan Piala FA.

 

Motivasi Fergie

 

Fergie kini sedar bahawa Wenger bukanlah calang-calang pengurus, dan jika hal ini tidak ditangani dengan baik, warga Perancis itu mampu mencabar kedudukan beliau selaku pengendali paling sukses di Liga Perdana. Kehadiran Wenger bukan hanya membuatkan jiwa Fergie bergelora tetapi turut menjadikan beliau lebih kompetitif. Azamnya ketika musim 1998/99 bermula bukan sahaja merampas semula trofi Liga Perdana dari tangan Wenger, tetapi juga menyediakan skuad yang cukup kompetitif untuk bersaing di pentas Eropah.

 

Musim 1998/99 merupakan musim yang akan dikenang sampai bila-bila oleh para penyokong United. Kerana pada musim itulah United meletakkan tanda aras baharu kepada mana-mana pencabar domestik mereka menerusi kejayaan menjulang kejuaraan `treble’ (Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara). Pencapaian yang hingga sekarang masih belum mampu digapai atau diatasi oleh mana-mana kelab Inggeris. Bagaimanapun untuk melakukannya, United terpaksa berdepan laluan sukar kerana cabaran hebat yang diberikan Arsenal sepanjang musim.

 

United dipaksa untuk bertarung hingga ke perlawanan terakhir liga sebelum mereka berjaya merampas semula trofi Liga Perdana dari genggaman Arsenal menerusi kelebihan hanya satu mata. Dalam kempen Piala FA pula, tiada jalan mudah untuk United. Dalam misi mereka mara ke Wembley, United terpaksa menyingkirkan terlebih dahulu pencabar-pencabar mereka dari Liga Perdana seperti Middlesbrough, Liverpool, Chelsea dan Arsenal. Sudah tentu pertarungan paling diingati tentunya membabitkan United dan Arsenal di peringkat separuh akhir.

 

United perlukan segala keajaiban yang ada pada pertarungan ulangan yang dilangsungkan di Villa Park sebelum mereka berjaya menyingkirkan Arsenal menerusi jaringan emas dari gerakan solo Ryan Giggs. Pertarungan pada 14 April 1999 di Villa Park itu adalah definisi sebenar tentang `tuah’ dan `nasib’ yang sentiasa melingkari dunia bolasepak. United mara ke Wembley dan pada 22 Mei 1999, mereka menjulang kejuaraan Piala FA buat kali ke-10 menerusi kejayaan menewaskan Newcastle United (2-0) di pentas final.

 

Di pentas domestik, dendam Fergie terhadap Wenger pada musim sebelumnya tuntas menerusi kejuaraan `double’ yang berjaya dimenangi United. Misi dalam saingan domestik sudah pun selesai, tetapi Fergie masih punya ambisi besar sebelum United menamatkan kempen 1998/99 secara rasmi. Sasaran United selepas ini ialah cuba memenangi trofi Liga Juara-Juara buat kali kedua dalam sejarah kelab. Tetapi Bayern Munich yang bakal mereka hadapi di pentas final bukanlah calang-calang pasukan. Di atas kertas, gergasi Jerman itu adalah lawan yang lebih unggul.

 

Pada tanggal 26 Mei 1999 di Camp Nou, United sekali lagi membuktikan bahawa keajaiban, tuah dan nasib adalah elemen yang tidak dapat dipisahkan dari bolasepak. Selepas ketinggalan menerusi gol jaringan Mario Basler, United melakukan antara kebangkitan terhebat dalam dunia bolasepak menerusi dua gol yang dihasilkan mereka di masa kecederaan. Jaringan Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer bukan sahaja meranapkan impian Bayern, tetapi juga meletakkan United dalam dimensi berlainan berbanding mana-mana pencabar mereka di England.

 

Cabaran Buat Wenger

 

Menamatkan musim 1998/99 dengan kejuaraan `treble’ adalah satu pencapaian bersejarah yang dilakar Fergie, juga pencapaian yang hingga kini cuma mampu dicemburui oleh mana-mana pengurus di Liga Perdana. Kejuaraan `treble’ bukan cuma satu catatan sejarah baharu, tetapi juga satu isyarat dari Fergie bahawa United masih lagi kesebelasan yang lebih baik berbanding Arsenal. Ketika pesta di Old Trafford masih berterusan, jauh di Highbury pula Wenger bukan sekadar memerhati, tetapi otaknya ligat mencari solusi bagaimana caranya mahu menghentikan United.

 

Kejayaan United pada musim 1998/99 menguatkan lagi azam Wenger untuk memperkuatkan kesebelasan Arsenal bagi menghadapi musim baharu. Jauh di kota Turin, beliau melihat ada seorang bintang muda meningkat naik yang sangat berpotensi untuk beliau bentuk menjadi penggempur paling `mematikan’ di Liga Perdana. Pemain yang saya maksudkan tentunya Thierry Henry. Henry berdepan kesukaran mendapatkan minit permainan bersama Juventus, tetapi Wenger yakin inilah pemain yang mampu menjadikan barisan hadapan Arsenal lebih menggerunkan.

 

Akhirnya pada musim panas 1999, Henry tiba di Highbury dengan nilai perpindahan cuma €11 juta. Pada awalnya kehadiran beliau gagal memberikan impak yang signifikan kepada barisan hadapan Arsenal, apatah lagi dari 17 penampilan pertamanya, Henry cuma mampu meledak dua gol. Ketika Henry masih bergelut dalam usahanya beradaptasi dengan tempo bolasepak di England, United pula terus mendominasi saingan Liga Perdana menerusi kejayaan mereka menjulang kejuaraan liga pada musim 1999/2000 dan 2000/01.

 

Dua musim di Liga Perdana, Henry akhirnya berjaya dibentuk Wenger sebagai penggempur yang menggerunkan. Kelajuan, stamina serta kawalan bola memukau yang dimiliki Henry memudahkan Wenger untuk meletakkan beliau sebagai penyerang sayap, penyerang kedua atau sebagai `target man’ dalam perancangan taktikalnya. Pada musim 2001/02, dominasi selama tiga musim United di Liga Perdana akhirnya berjaya ditamatkan Arsenal menerusi kejayaan mereka menjulang kejuaraan `double’ buat kali kedua dalam tempoh empat musim.

 

Melengkapkan lagi musim gemilang Arsenal, Henry turut dinobatkan selaku penjaring terbanyak menerusi 24 gol yang beliau ledak dalam saingan liga. Kejayaan Wenger meletakkan Arsenal kembali di takhta kejuaraan Liga Perdana menyebabkan Fergie membatalkan hasratnya untuk bersara. Bagi Fergie, satu keaiban jika beliau bersara ketika mahkota kejuaraan United dirampas Arsenal, dan ini bukanlah waktu yang tepat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bolasepak. Sepertimana pada musim 1997/98, kejayaan Arsenal melonjakkan kembali motivasi Fergie.

 

`Invincible’

 

Pada musim 2002/03, United gagal mengulangi pencapaian `treble’ sepertimana dilakukan mereka pada musim 1998/99. Tetapi kejayaan merampas semula trofi Liga Perdana dari tangan Arsenal tetap satu pencapaian yang mampu membuatkan Fergie kembali tersenyum. Di sebalik kegagalan mempertahankan mahkota kejuaraan liga, Wenger berjaya membentuk Arsenal menjadi kesebelasan yang lebih kuat pada musim berikutnya. Mereka bukan sahaja muncul kesebelasan yang lebih solid tetapi juga tidak disentuh dengan sebarang kekalahan.

 

Menamatkan saingan musim 2003/04 selaku juara liga dengan status `invincible’ adalah gambaran sebenar betapa menakutkan skuad `The Gunners’ yang dibentuk Wenger ketika itu.  Tatkala memenangi kejuaraan Liga Perdana adalah satu usaha yang sukar dilakukan, dan memenanginya tanpa disentuh sebarang kekalahan adalah satu tugas yang hampir mustahil dilakukan. Tetapi pada musim tersebut, misi hampir mustahil itu berjaya dilakukan Wenger. Apa yang paling menariknya, kejayaan itu dilakukan Wenger tanpa sebarang rombakan besar-besaran.

 

Pada musim panas 2003, Arsenal dilihat tidak begitu agresif dalam bursa perpindahan pemain. Jose Antonio Reyes muncul satu-satunya nama besar yang dibawa masuk Wenger bagi memperkuatkan pasukannya. Selebihnya adalah bakat-bakat sedang meningkat naik seperti Cesc Fabregas, Gael Clichy dan Robin Van Persie. Berbanding Chelsea yang sedang membina dinasti baharu mereka, Wenger pula masih percaya bahawa beliau sudah memiliki skuad yang cukup kuat. Apa yang perlu dilakukan beliau ialah beberapa penambahbaikan di beberapa posisi.

 

Akhirnya Arsenal pada musim tersebut memang memukau. Jens Lehmann yang menggantikan posisi David Seaman mengawal pintu gol mereka dengan cukup baik. Gandingan Kolo Toure dan Sol Campbell sukar ditembusi. Lauren dan Ashley Cole adalah dua `fullback’ dalam dimensi berbeza. Patrick Vieira dan Gilberto memberikan keseimbangan. Robert Pires dan Frederik Ljungberg adalah mimpi ngeri kepada mana-mana `fullback’ lawan. Manakala Henry pula penyerang yang sangat menggerunkan menerusi 30 gol yang diledaknya dalam saingan liga.

 

`Battle of Old Trafford’ dan `Battle of the Buffet’

 

Sepanjang persaingan sengit membabitkan Fergie dan Wenger, antara United dan Arsenal, terdapat beberapa momen panas yang menghiasi `permusuhan’ ini. Paling diingati tentunya `Battle of Old Trafford’ yang menyebabkan Vieira dilayangkan kad merah. Provokasi yang dilakukan pemain-pemain Arsenal ke atas Ruud Van Nistelrooy selepas kegagalan beliau menyempurnakan sepakan penalti menyebabkan `perang kecil’ berlaku antara pemain kedua-dua pasukan. Jika penalti itu berjaya disempurnakan Nistelrooy, `invincible’ Arsenal tidak akan ujud.

 

Setahun selepas itu, satu lagi kekecohan berlaku, dan Old Trafford sekali lagi menjadi saksi bisu. Pada tanggal 24 Oktober 2004, rententan rekod 49 perlawanan tanpa kalah Arsenal di Liga Perdana akhirnya lebur. Tiada mana-mana pasukan yang berjaya menewaskan Arsenal sejak 16 Ogos 2003 dalam saingan liga,  tetapi jaringan menerusi Van Nistelrooy (sepakan penalti) dan Wayne Rooney akhirnya menyaksikan `The Gunners’ tewas buat pertama kali dalam tempoh lebih setahun. Tentunya kekalahan ini sukar diterima, apatah lagi ia berlaku ditangan seteru seperti United.

 

Selepas tamat perlawanan, berlaku perang mulut membabitkan pemain kedua-dua pasukan ketika mereka menuju ke bilik persalinan. Kemuncak insiden ini berlaku apabila sepotong pizza yang dilemparkan pemain Arsenal tepat mengenai muka Fergie. Insiden pada tanggal 24 Oktober 2004 ini lebih dikenali sebagai `Battle of the Buffet’ atau sering juga disebut `Pizzagate’. 13 tahun selepas insiden itu berlaku, Fabregas akhirnya mengaku bahawa beliaulah `lelaki misteri’ bertanggungjawab yang melempar sepotong pizza tepat ke muka Fergie.

 

Penutup   

 

Insiden `Battle of the Buffet’ adalah kemuncak kepada perseteruan United dan Arsenal atau lebih tepatnya antara Fergie dan Wenger. Tatkala Roman Abramovich membina Chelsea sebagai kekuatan baharu bolasepak Inggeris di barat London, permusuhan antara Fergie dan Wenger pula mula meredup. Selepas kemunculan Chelsea di bawah regim Abramovich, Fergie tidak lagi melihat Arsenal sebagai pencabar United dalam perebutan kejuaraan liga.  

 

Tiada lagi perang psikologi yang berlaku sebelum perlawanan, tiada lagi perang mulut selepas tamat perlawanan dan tiada lagi percakaran membabitkan pemain kedua-dua pasukan di atas padang. Ketika musim 2003/04 kekal sebagai musim terakhir Arsenal menjulang mahkota kejuaraan liga, Fergie pula selepas itu berjaya meletakkan United lima kali di kemuncak takhta saingan tertinggi bolasepak Inggeris itu sebelum beliau mengumumkan persaraan pada 2013.

 

Pada 2009, Wenger mengundang Fergie ke bilik persalinan selepas United menyingkirkan Arsenal di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara. Fergie pula akhirnya mengakui bahawa `invincible’ Arsenal lebih menonjol berbanding 13 medal kejuaraan liga yang berjaya beliau menangi bersama United. Pada 30 Mac lalu, Fergie dan Wenger muncul pengurus pertama menerima anugerah berprestij `Hall of Fame’ Liga Perdana sejak mula diperkenalkan pada 2021.

 

Bagi penyokong United dan Arsenal dari generasi 90an hingga awal millennium, perseteruan antara kedua-dua pasukan dan pertelingkahan antara Fergie dan Wenger akan sentiasa dikenang sebagai momen terindah membabitkan persaingan dua kelab berseteru. Kini segala keterujaan itu, adrenalin yang memuncak, kemarahan, rasa kecewa dan gembira cumalah momen silam yang tinggal untuk dikenang. Hakikatnya United dan Arsenal kini tidak lagi seperti dulu. Glory Glory Manchester United!