26 November 2019

YANG MANA DULU...SOLSKJAER ATAU EMERY?



Ole Gunnar Solskjaer gembira meskipun skuad kendaliannya beraksi hambar  dan pulang dari Bramall Lane dengan satu mata. Ya...memang benar kata Solskjaer, tetap ada sisi positif yang dipamerkan barisan pemain-pemainnya meskipun pada satu ketika mereka ketinggalan dua gol sebelum bangkit dalam tempoh tujuh minit untuk memadam kelebihan lawan menerusi tiga gol yang dihasilkan Brandon Williams, Mason Greenwood dan Marcus Rashford.

Malangnya impian untuk kita melihat United pulang ke Old Trafford dengan tiga mata tidak kesampaian selepas Oliver McBurnie menjaringkan gol penyamaan dramatik di penghujung perlawanan. Satu mata yang dikutip dari aksi menentang Sheffield United itu meletakkan United di tangga ke-9 liga. Jika Solskjaer gembira dengan keputusan seri di Bramall Lane itu, saya percaya tidak ramai penyokong United yang senada dengan beliau.

Sebagai penyokong, posisi ke-10 dalam carta liga bukanlah `panorama’ yang ingin anda lihat terutamanya bila bercakap tentang sebuah kelab besar seperti Manchester United. Bukan hanya United malah penyokong-penyokong Arsenal juga nampaknya senasib dengan kita. Keputusan seri yang dilakar mereka ketika berdepan Southampton di gelanggang sendiri menyaksikan kedudukan mereka dalam carta liga menjunam ke tangga ke-8.

Sangat janggal menyaksikan kedudukan United dan Arsenal ketika ini, apatah lagi suatu ketika dahulu mereka pernah bersaing hebat bagi membuktikan siapa sebenarnya raja bolasepak Inggeris. Kegelisahan penyokong United dan Arsenal ketika melihat prestasi terkini kelab masing-masing memang ada asasnya. United dan Arsenal adalah kelab besar, tetapi identiti itu nampaknya semakin hilang berikutan prestasi ibarat roller coaster yang dipamerkan kesebelasan kedua-dua pasukan dalam beberapa musim terakhir.

Jika ketika era permusuhan Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger sedang memuncak, satu fenomena biasa untuk anda melihat United dan Arsenal silih berganti berada di posisi pertama dan kedua carta liga. Tetapi situasi terkini pula sangat menyedihkan apabila dua kelab yang pernah bermusuhan ini terperosok ditangga ke-8 dan ke-9. Selepas mengharungi 13 perlawanan liga, Arsenal mengumpul 18 mata, hanya satu mata di hadapan United.

Aksi Buruk

Sepertimana aksi United di Bramall Lane, Arsenal juga bermain buruk ketika mereka menerima kunjungan Southampton di Stadium Emirates. Dalam perlawanan itu Arsenal terpaksa bangkit dua kali sebelum berjaya memaksa skuad The Saints berkongsi mata. Sepanjang 90 minit, Arsenal hanya mampu melepaskan 12 percubaan ke arah gawang lawan, tetapi mujurlah ketajaman Alexander Lacazette berjaya menyelamatkan mereka dari menerima aib.

Keputusan seri yang dilakar Arsenal itu turut menyaksikan mereka tidak pernah menang dalam enam aksi terakhir dalam semua kejohanan. 18 mata yang berjaya dikumpul dari 13 perlawanan liga pula merupakan rekod pungutan mata paling rendah pernah dicatatkan Arsenal dalam sejarah penyertaan mereka di Liga Perdana. Di kem United juga situasi nampaknya tidak pernah berubah akibat dari prestasi tidak konsisten yang dipamerkan barisan kendalian Solskjaer.

Ketika harapan penyokong yang mahu melihat United menang di Bramall Lane sekaligus melonjak ke tangga kelima, barisan The Red Devils pula sekali lagi mengecewakan kita apabila sekadar mengutip satu mata di sana. Selepas melakukan kebangkitan hebat dalam tempoh tujuh minit, satu kesilapan kecil ketika bertahan di kotak penalti akhirnya menyaksikan mereka terlepas tiga mata berharga menerusi gol penyamaan lawan di penghujung permainan.

United bermain tanpa kreativiti manakala pemain-pemain pula seperti kebingungan ketika menguasai bola. Hanya satu percubaan ke arah gawang lawan mampu dilakukan di babak pertama, lantas melenyap segala pujian tatkala mereka bermain baik ketika membenam Brighton pada perlawanan sebelumnya. Kegagalan mengutip tiga mata di Bramall Lane ini juga nampaknya meneruskan trend United yang cuma menang sekali setiap bulan dalam saingan liga.

Jika 18 mata yang dikutip Arsenal dari 13 perlawanan liga merupakan jumlah terendah dalam sejarah penyertaan mereka di Liga Perdana, 17 mata yang dikumpul United pula menyaksikan ini merupakan pencapaian terburuk yang dilakar mereka sejak musim 1988/89. Ketika itu skuad kendalian Fergie sekadar menamatkan saingan Liga Divisyen 1 di tangga kesebelas.

Ancaman Pemecatan

Pencapain buruk ini nampaknya semakin mendedahkan Solskjaer dan Unai Emery kepada ancaman pemecatan. Suara-suara dari kedua-dua kem yang meminta agar Solskjaer dan Emery dipecat kian kuat kedengaran. Di Stadium Emirates, Emery dilabel oleh penyokong Arsenal sebagai pengurus yang tidak memiliki visi, manakala perbalahan beliau dengan pemain senior seperti Mesut Ozil sekadar memburukan lagi keadaan.

Begitu juga dengan Solskjaer yang nasibnya masih lagi tidak ketentuan berikutan prestasi turun naik dipamerkan barisan pemainnya. Solskjaer berharap beliau mampu menjadikan United bermain sepertimana ketika era Fergie, iaitu menyerang menerusi gerakan-gerakan serang balas pantas. Malangnya beliau terlalu bergantung kepada kelajuan yang dimiliki Anthony Martial, Marcus Rashford dan Daniel James untuk melaksanakan plan taktikal tersebut hinggakan permainan United sangat mudah dibaca lawan.

Sepertimana yang saya sebutkan dalam artikel sebelum ini, tempoh hingga penghujung Disember bakal menjadi ujian getir buat Solskjaer dalam survival beliau untuk terus kekal selaku pengendali di Old Trafford. Di Stadium Emirates pula, Emery semakin hari semakin tidak disukai oleh para Gooners yang saban waktu berdoa agar warga Sepanyol itu segera ditendang keluar. Bagaimanapun sejauh ini Solskjaer mahupun Emery masih mampu menarik nafas lega kerana mereka masih diberikan sokongan oleh pihak pengurusan kelab.

Penutup

Jika dahulunya kehadiran Fergie dan Wenger menjadikan United serta Arsenal kesebelasan paling dominan di Liga Perdana, kita situasi itu sudah berputar 360ยบ. United masih bergelut selepas persaraan Fergie, manakala Arsenal pula hilang identiti bolasepak menyerang mereka sebaik Wenger memutuskan ikatan selama 22 tahun beliau dengan The Gunners. Apa yang anda lihat sekarang bukan lagi persaingan merebut kejuaraan liga membabitkan United dan Arsenal, tetapi anda bakal melihat kelab mana yang terlebih dahulu memecat pengurus mereka. Glory Glory Manchester United!!!

23 November 2019

PEMECATAN POCHETTINO...SATU MIMPI BURUK BUAT SOLSKJAER



48 hari selepas Niko Kovac dipecat oleh Bayern Munich, kini tiba pula giliran Mauricio Pochettino menjadi penganggur. Pada 20 November lalu, berakhirlah ikatan hampir lima tahun antara Pochettino dan Tottenham Hotspurs selepas kelab dari London itu mengumumkan secara rasmi pemecatan beliau berikutan prestasi buruk yang dipamerkan skuad kendaliannya dalam saingan liga musim ini. Sepanjang mengharungi 12 aksi liga musim ini di bawah kendalian Pochettino, Spurs cuma mampu mengumpul 14 mata dan terperosok di tangga ke-14 carta liga.

Apa yang berlaku kepada warga Argentina itu sebenarnya mirip kepada situasi yang menimpa Jose Mourinho di Old Trafford. Sekali lagi kuasa pemain dikatakan menjadi penyebab Pochettino hilang pekerjaannya. Meskipun lima bulan lalu beliau berjaya mengemudi Spurs mara ke pentas final Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam sejarah kelab, serta muncul watak penting di sebalik kebangkitan Spurs selaku pencabar domestik dan Eropah, prestasi buruk dalam saingan liga musim ini akhirnya menjadi indikator utama kepada Daniel Levy untuk menamatkan kontrak Pochettino lebih awal.

Sepanjang hampir lima musim Spurs di bawah kendalian Pochettino, mereka secara rutin menamatkan saingan liga di posisi empat teratas. Pencapaian terbaik yang diraih Spurs dalam saingan liga sepanjang tempoh lima musim terakhir ialah menduduki tangga kedua pada musim 2016/17. Selain sukses mengangkat martabat Spurs sebagai pesaing merebut kejuaraan liga, Pochettino juga berjaya menggilap bakat Harry Kane hingga muncul antara penggempur ulung untuk Spurs dan skuad kebangsaan. Jangan lupakan juga pembelian bijak yang dilakukan beliau ke atas Dele Alli dan Son Heung Min.

Levy tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mencari pengganti Pochettino atau meletakkan seorang interim, kerana beliau sudahpun menamakan Jose Mourinho selaku pengendali baharu Spurs. Ramai pihak mengatakan sepertimana United dahulu, Spurs juga menjual `jiwa’ mereka dengan melantik Mourinho. Bagaimanapun Levy berpandangan sebaliknya dengan mengatakan, “Bersama Jose, kami memiliki salah seorang jurulatih hebat dalam sejarah bolasepak. Dia memiliki pengalaman luas, mampu memberikan inspirasi kepada pasukan dan punya taktikal permainan yang bagus. Kami percaya dia dapat memberikan energy di bilik persalinan”, kata Levy.

Hati-hati Solskjaer

Walaupun baru bergelar penganggur, kelibat Pochettino nampaknya sudah mula diintai Bayern Munich untuk mereka letakkan selaku pengganti Kovac di Allianz Arena. Saya percaya Pochettino tidak akan menganggur terlalu lama kerana pada bila-bila masa sahaja lelaki berusia 47 tahun ini akan kembali kedunia kejurulatihan berdasarkan kredibiliti yang beliau miliki. Cuma persoalan paling besar ialah kelab mana yang terlebih dahulu melamar beliau untuk ditugaskan sebagai jurutaktik mereka.

Bersama Spurs, Pochettino sudah melakukan kerja-kerja yang sangat luarbiasa meskipun beliau tidak diberikan dana besar untuk berbelanja setiap kali musim perpindahan pemain dibuka. Keberhasilan beliau menjadikan Spurs kesebelasan yang menarik untuk disaksikan aksinya, kemampuan beliau mengubah mentaliti pasukan dan ketajaman nalurinya dalam mengetengahkan bakat-bakat muda menjadikan Pochettino pengurus yang sangat ideal untuk dilantik sebagai pengendali di Old Trafford.

Hal ini pernah disuarakan Gary Neville sejurus Jose Mourinho berjaya mengemudi United menamatkan saingan liga di tangga kedua (musim 2017/18). “Pochettino melakukan tugasnya dengan sangat luarbiasa. Jika diberikan dana yang besar, dia mampu membawa Spurs menang kejuaraan liga. Satu perkara yang ingin saya katakan, jika Mourinho meninggalkan kelab suatu hari nanti, Pochettino adalah orang yang tepat untuk menggantikan tempatnya”, kata Neville.

Di Old Trafford pula, bagi kelompok penyokong United yang tidak betah dengan pendekatan dan taktik yang digunakan Ole Gunnar Solskjaer, mereka mula memasang impian untuk melihat sebarang kemungkinan Pochettino dilantik selaku pengendali ke-24 dalam sejarah kelab. Rumours tentang Pochettino dan United sudah lama bertiup, malah namanya pernah dikaitkan sebagai pengganti Mourinho ketika warga Portugal itu dipecat pada Disember 2018.

Bagaimanapun usaha United untuk mendapatkan khidmat Pochettino selaku pengganti Mourinho ketika itu sukar direalisasikan memandangkan saingan liga sudah berjalan setengah musim. Berita tentang usaha United mendapatkan khidmat Pochettino pada Disember tahun lalu turut disahkan Harry Redknapp dalam satu wawancaranya bersama Manchester Evening News. “Penasihatnya sudah mengadakan perbincangan dengan kelab lain tetapi nampaknya kesepakatan itu tidak berlaku”, kata Redknapp.

Ketika ditanya wartawan adakah Manchester United kelab yang dimaksudkan beliau, Redknapp cuma tersenyum. Status Pochettino selaku penganggur nampaknya kembali membuatkan namanya dikaitkan dengan tugas di Old Trafford. Menganggurnya Pochettino kali ini juga bakal memberikan tekanan kepada Solskjaer kerana prestasi skuad kendaliannya setakat ini tidak menggembirakan kebanyakkan penyokong-penyokong United.

Sekiranya Pochettino tidak menyertai mana-mana kelab hingga penghujung musim nanti, manakala prestasi United terus-terusan tidak konsisten, saya percaya peluang untuk Pochettino dinamakan sebagai pengurus Manchester United seterusnya sangat cerah. Persoalannya sekarang adakah United sanggup memberikan peluang kepada Solskjaer membuktikan kemampuan beliau hingga ke penghujung musim, atau mereka melakukan tindakan drastik dengan memecat beliau di pertengahan musim?

Apakah Tindakan Woodward?

Dalam hal ini saya menanti apakah tindakan yang bakal dilakukan Ed Woodward. Pada 2016, ketika laungan penyokong yang meminta supaya Louis Van Gaal dipecat kuat kedengaran, Woodward secara senyap-senyap melakukan rundingan dengan Jose Mourinho yang ketika itu juga sedang menganggur. Van Gaal kemudiannya berjaya mengemudi United muncul juara Piala FA, tetapi kejayaan tersebut tetap gagal menyelamatkan karier beliau di Old Trafford.

“Tindakan Woodward ini sangat mengecewakan saya. Dia melakukan rundingan dengan Mourinho secara senyap-senyap dan tutup mulut selama enam bulan”, luah Van Gaal selepas mengetahui kontraknya ditamatkan United lebih awal. Sekali lagi situasi yang berlaku sekarang akan menguji sejauh manakah kebenaran kata-kata Woodward bahawa Solskjaer akan diberikan peluang mengemudi United buat jangkamasa yang panjang.

Musim ini Woodward sudah berjanji untuk bekerjasama sebaik mungkin dengan Solskjaer dan menyokong apa sahaja yang diperlukan oleh warga Norway itu. Bagaimanapun selepas melihat nasib yang menimpa David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho, tiada jaminan Woodward akan setia memberikan sokongannya kepada  Solskjaer jika prestasi United terus menjunam, tambahan pula apabila penyokong sudah mula bangkit memberikan tekanan. 

Penutup

Hanya satu perkara yang mampu dilakukan Solskjaer jika beliau bercita-cita mahu terus mengekalkan tempatnya di Old Trafford, iaitu membawa United meraih kemenangan demi kemenangan. Ya...hanya dengan kemenangan sahaja mampu membuatkan tidur malam Solskjaer nyenyak tanpa dihantui bayang-bayang Pochettino.

Bermula aksi menentang Sheffield United, kemampuan Solskjaer selaku pengendali akan teruji sepenuhnya ketika barisan kendalian beliau terpaksa mengharungi 11 perlawanan dalam tempoh 33 hari hingga ke penghujung Disember. Adakah Solskjaer mampu mengharunginya atau pada Disember nanti kita akan mendengar United mengumumkan pengurus baharu mereka sepertimana yang berlaku setahun yang lalu? Glory Glory Manchester United!!!

19 November 2019

MENANTI BILAKAH MASANYA POGBA, FRED DAN McTOMINAY DITURUNKAN SERENTAK



Sudah hampir dua bulan Paul Pogba tidak turun beraksi kerana kecederaan pergelangan kaki yang dialaminya. Kali terakhir kita melihat penampilan Pogba di atas padang ialah ketika aksi menentang Arsenal dalam saingan liga pada 30 September lalu. Beberapa hari lalu Ole Gunnar Solskjaer mengesahkan bahawa Pogba akan kembali bermain pada bulan Disember. Tiada tarikh tepat bilakah Pogba akan kembali membarisi jentera tengah United. Mungkin pada awal, mungkin pertengahan atau juga mungkin pada penghujung Disember nanti.

Tidak dinafikan bahawa United memang memerlukan tipikal seorang pemain seperti Pogba untuk menggerakkan jentera tengah mereka. Tidak terbantahkan juga bahawa Pogba tergolong antara box to box midfielder terbaik dunia ketika ini menerusi kemampuan beliau mencipta peluang dan menguasai bola dari pelbagai sudut padang. Selain itu Pogba juga sering dikerah untuk melakukan kerja-kerja bertahan, jadi tidak hairanlah mengapa beliau sering dilabel sebagai pemain tengah serba lengkap dalam dunia bolasepak moden.

Bagaimanapun selama hampir dua bulan tanpa Pogba, United tidak banyak berubah. Prestasi mereka tetap sama seperti sebelum Pogba mengalami kecederaan. Ada ketika mereka bermain dengan sangat bagus, dan ada kalanya mereka bermain seperti sebuah kesebelasan bawahan liga. Kini sudah timbul perkhabaran bahawa Pogba akan kembali bermain dalam masa terdekat. Berita ini bukan sahaja satu perkhabaran yang menggembirakan, tetapi timbul juga persoalan apakah perubahan yang bakal dilakukan Solskjaer dalam formasi atau taktikal permainannya bila Pogba kembali nanti.

Tepat Pada Masanya

United dijangka tidak akan dapat menurunkan Scott McTominay ketika mereka berdepan Sheffield United, Astana, Aston Villa, Tottenham Hotspurs dan Manchester City. Jadi jika Pogba kembali beraksi dalam tempoh terdekat, ini merupakan satu kepulangan yang tepat pada masanya. Selain Daniel James, McTominay antara pemain United paling menyerlah musim ini menerusi peranan yang dimainkannya di bahagian tengah menggantikan tempat Ander Herrera.

Meskipun begitu Pogba dan McTominay adalah type pemain yang berbeza. Pogba tidak sepantas McTominay, tetapi beliau memiliki visi yang cukup tinggi dalam permainannya, manakala kualiti jangkauan ketepatan hantaran-hantaran yang dilakukannya tidak perlu dipertikaikan lagi. Sudah tentu kita sangat menantikan dan ingin melihat impak yang mampu ditawarkan duet antara Pogba dan Fred jika mereka bermain bersama-sama nanti.   

Andreas Perreira Bakal Terancam

Buat sementara waktu ketika McTominay menjalani sesi rawatan, kita mungkin akan melihat Solskjaer menggunakan Pogba dan Fred sebagai dua pemain tengah bertahan manakala Andreas Perreira pula berperanan sebagai pemain tengah menyerang dalam formasi 4-2-3-1 yang sering digunakannya. Tetapi bagaimana pula situasinya jika McTominay cergas dan kembali bermain nanti?

Meskipun prestasi beliau di atas padang sering dikritik, Perreira nampaknya masih antara pemain kepercayaan Solskjaer untuk membarisi kesebelasan skuadnya. Musim ini Perreira melakukan sebelas penampilan untuk United dalam saingan liga. Satu-satunya aksi yang beliau terlepas ialah ketika United tewas (1-2) kepada Crystal Palace di Old Trafford pada 24 Ogos lalu.

Ketika berdepan Brighton, Perreira muncul antara penyumbang gol untuk United, tetapi hal itu tetap tidak mampu meletakkan beliau dalam kesebelasan terbaik United jika Solskjaer mendapati semua pemainnya fit dan mampu bermain. Bagaimanakah pula nanti jika McTominay keluar dari bilik rawatan, Pogba sudah sedia bermain, manakala Fred kekal dengan prestasi terbaiknya seperti sekarang?

Sebelum ini Soskjaer lebih gemar meletakkan posisi Pogba sedikit ke belakang, tetapi sepertimana yang selalu kita lihat penampilan terbaik pemain tengah Perancis ini selalunya muncul ketika beliau diberikan peranan untuk bermain lebih kehadapan. Ya, saya lebih suka melihat Pogba diberikan kebebasan untuk merancang gerakan dan mencipta peluang di hadapan berbanding melakukan kerja-kerja bertahan di bawah.

Untuk itu, dalam formasi 4-2-3-1 atau 4-3-3, Pogba adalah pilihan yang lebih ideal untuk bertindak selaku pemain tengah menyerang berbanding Perreira, manakala di belakang beliau saya lebih memilih gandingan McTominay dan Fred berdasarkan kepada prestasi semasa mereka. Jadi kembalinya Pogba nanti bukan sahaja bakal menyaksikan perubahan kepada struktur permainan United tetapi Perreira juga mendapati posisinya bakal terancam.

Bagaimanapun satu fakta yang perlu diakui ialah Solskjaer tidak pernah menurunkan Pogba, McTominay dan Fred secara serentak dalam kesebelasan pilihan beliau. Pada kebiasaannya ketika Pogba dan McTominay digandingkan bersama, Solskjaer akan menggunakan Jesse Lingard, Perreira atau Juan Mata untuk memikul peranan sebagai `pemain nombor 10’. Ketika Fred sudah berada pada sisi permainan terbaiknya, satu keinginan yang besar untuk saya melihat Solskjaer menggunakan kombinasi Pogba, Fred dan McTominay pula.

Skema 4-2-3-1 atau 4-3-3

Dalam skema 4-2-3-1, dua pemain tengah bertahan adalah kunci kepada permainan United. Ketika mereka menewaskan Norwich City, FK Partizan dan Brighton & Hove Albion, Solskjaer menggunakan formasi ini dengan meletakkan Fred serta McTominay selaku double pivot. Fred merupakan pemain yang lebih mobile menerusi peranan yang dimainkan beliau untuk merosakkan tempo permainan lawan, manakala McTominay pula lebih kepada ball winning midfielder.

Selama ketiadaan Pogba, peranan (selaku double pivot) ini dikuasai Fred dan McTominay dengan cukup baik. McTominay sangat berdisiplin dalam situasi defensif manakala Fred pula sering menjadi tumpuan saat United melakukan transisi dari bertahan kepada menyerang kerana kualiti kawalan bola yang dimilikinya serta kemampuan beliau ketika melakukan hantaran-hantaran tepat terus kepada rakan di barisan hadapan.

Saya tidak pasti apa yang bakal berlaku jika Pogba kembali beraksi di atas padang nanti. Jika melihat kepada kecenderungan Solskjaer dalam memilih kesebelasan utamanya ketika Pogba cergas, sangat malang untuk kita melihat Fred kembali memanaskan bangku simpanan tatkala beliau sudah mula menemui prestasi terbaiknya. Untuk itu, saya berharap Solskjaer sudah memiliki solusi skema permainan yang tepat untuk beliau menyenaraikan Pogba, McTominay dan Fred secara serentak buat pertama kali musim ini.

Mungkin dalam hal ini Solskjaer boleh memilih formasi 4-3-3 untuk membolehkan beliau menurukan Pogba, McTominay dan Fred secara serentak di bahagian tengah. Sistemnya ialah meletakkan McTominay sebagai pemain tengah bertahan, Fred berperanan sebagai box to box midfielder manakala Pogba pula akan lebih bebas ketika menyerang. Dengan kepantasan yang dimiliki Marcus Rashford, Anthony Martial dan Daniel James di barisan hadapan, 4-3-3 boleh menjadi sistem yang ideal untuk United.

Penutup

Ketika Pogba semakin hampir kembali beraksi di atas padang, kita terpaksa melihat McTominay pula menjalani sesi terapi di bilik rawatan. Tiada sosok defensive midfielder terbaik dalam skuad United ketika ini kecuali McTominay, seorang perampas bola yang bagus, pelindung kepada empat rakan dibenteng pertahanan dan pemain yang penuh kesungguhan ketika beraksi di atas padang.

United masih memiliki opsyen sepanjang ketiadaan McTominay, iaitu kembali menurunkan Nemanja Matic di posisi defensive midfielder meskipun pemain Serbia itu dikhabarkan bakal meninggalkan Old Trafford pada Januari ini. Selain itu Solskjaer juga memiliki James Garner, tetapi `penyakit’ utama yang biasanya dihadapi pemain muda seperti beliau ialah kemampuan untuk berdepan tekanan dan mengekalkan konsistensi setiap minggu.

Kecederaan McTominay nampaknya menangguhkan buat sementara hasrat saya untuk melihat kombinasi Pogba-Fred-McTominay diturunkan secara serentak buat pertama kali oleh Solskjaer. United akan berdepan Sheffield United di gelanggang lawan hujung minggu ini, jadi tanpa McTominay dan Pogba, saya ingin melihat apakah solusi Solskjaer bagi menampung ketiadaan dua pemain tengah ini dan siapakah yang bakal beliau gandingkan bersama Fred? Glory Glory Manchester United!!!

15 November 2019

FRED...YANG MEMBUATKAN KITA TIDAK MERATAPI KETIADAAN POGBA



Paul Pogba dijangka akan hanya kembali beraksi pada bulan Disember nanti akibat dari kecederaan pergelangan kaki yang dialaminya ketika berdepan Arsenal pada 30 September lalu. Ramai pihak meramalkan tanpa Pogba di bahagian tengah, United akan berdepan masalah besar tetapi hal sebaliknya pula berlaku kerana secara peribadi saya berpendapat skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer tampil lebih baik sejak ketiadaan pemain antarabangsa Perancis itu.

Sejak ketiadaan Pogba, United sudah mengharungi sembilan perlawanan dalam semua peringkat kejohanan. Dari jumlah tersebut, mereka menang lima perlawanan, seri dua kali dan kalah dua kali. Di pentas Liga Europa, United mengesahkan status mereka selaku pasukan pilihan dalam Kumpulan L apabila layak ke pusingan kalah mati meskipun masih memiliki baki dua perlawanan peringkat kumpulan.

Dalam saingan domestik pula, United layak ke peringkat suku akhir saingan Piala Liga (Carabao Cup) selepas mereka menewaskan Chelsea di Stamford Bridge selain berada dikedudukan ketujuh dalam carta liga. Kecederaan Pogba umpama satu `rahmat’ buat United, kerana kini mereka berjaya membuktikan tanpa kelibat pemain tengah itu di atas padang, mereka tetap `mampu hidup’. Untuk itu terima kasih atas prestasi cemerlang yang dipamerkan Fred dan Scott McTominay.

Keberadaan Fred

Pemain yang sepatutnya paling bersyukur sepanjang ketiadaan Pogba ialah Fred. Menerusi skema permainan 4-2-3-1 yang digunakan Solskjaer, Fred akhirnya menemui potensi sebenar beliau di sektor tengah United. Potensi inilah sebenarnya yang memaksa United membayar sehingga £52 juta kepada Shakhtar Donetsk demi membawa Fred beraksi di Liga Perdana. Bersama Scott McTominay, Fred berjaya membentuk keserasian selaku dua pemain tengah bertahan yang memberikan kestabilan kepada permainan United terutamanya dalam situasi defensif.

Musim ini Fred melakukan lapan penampilan liga untuk United tetapi titik sebenar kebangkitan Fred ialah ketika beliau diturunkan selama 90 minit dalam aksi North West Derby pada 20 Oktober lalu. Selaku pemain tengah bertahan, tugas utama Fred ialah menghentikan aliran bola dari masuk ke zon bahaya atau sebagai perosak kepada tempo gerakan-gerakan serangan lawan. Jadi tidak hairanlah mengapa beliau mengumpul 27 kad kuning dan satu kad merah ketika menyarung jersi Shakhtar Donetsk.

Suka Duka Di Kharkiv

Shakhtar Donetsk menandatangani Fred pada 2013 bagi menggantikan posisi Fernandinho yang berhijrah ke Manchester City. Nilai €15 juta yang dibayar Shakhtar kepada Internacional untuk seorang pemain yang baru berusia 20 tahun ketika itu sebenarnya satu perjudian yang besar memandangkan kemampuan Fred yang masih belum teruji, terutamanya dalam kancah bolasepak Eropah. Bagaimanapun jika diteliti perjalanan karier Fred di peringkat remaja, memang wajar Shakhtar merekrut beliau selaku successor Fernandinho.

Pada usia 18 tahun, Fred sudahpun melakukan penampilan profesionalnya bersama Internacional. Dua musim di Porto Alegre, Fred berjaya membantu skuad `Colorado’ itu menjulang trofi Campeonato Gaucho dua musim berturut-turut sebelum berhijrah ke Ukraine. Di Donetsk, Fred menjadi pilihan utama Mircea Lucescu untuk membentuk trio bersama Fernando Martins dan Taras Stepanenko di bahagian tengah, manakala Alex Texeira pula berperanan selaku pemain tengah menyerang.

Titik hitam menyelubungi karier Fred apabila beliau digantung selama 16 bulan kerana gagal ujian doping dalam kejohanan Copa America 2015. Kes tersebut merencatkan minat beberapa kelab Eropah untuk mendapatkan khidmatnya manakala Shakhtar yang menyedari potensi besar dimiliki Fred cuba untuk terus mengekalkan pemain itu di Kharkiv. Tidak beraksi di peringkat tinggi dalam tempoh lebih setahun rupa-rupanya tidak langsung melunturkan kualiti beliau sebagai pemain.

Musim 2017/18, Fred kembali ke dalam kesebelasan utama Shakhtar untuk bergandingan semula bersama Stepanenko. Dalam kempen Liga Juara-Juara pula, Fred bermain semua enam perlawanan peringkat kumpulan untuk Shakhtar. Shakhtar layak ke pusingan kalah mati selepas mereka muncul naib juara di peringkat kumpulan, tetapi paling menarik ialah kemampuan gergasi Ukraine itu memaksa Manchester City pulang dengan tangan kosong dalam kunjungan mereka ke Kharkiv pada 13 September 2017.

Selepas perlawanan muncul perkhabaran tentang minat Pep Guardiola untuk membawa Fred beraksi di Stadium Etihad. Hal tersebut turut disahkan oleh Tite yang juga merupakan ketua jurulatih skuad kebangsaan Brazil. Tite mengakui bahawa Guardiola menghubungi beliau untuk bertanyakan kualiti Fred. Desas desus tentang kemungkinan beliau berhijrah ke England mula tersebar luas selepas Gilberto Silva yang juga merupakan bekas pemain Arsenal mengesahkan bahawa ada kelab Inggeris yang berminat mendapatkan khidmat Fred.

“Sangat menyenangkan kerana menjadi mentornya di luar padang. Saya bukan agen, tetapi saya memiliki pengalaman bekerjasama dengan pemain. Jadi saya lebih mirip kepada mentor bukan sebagai agennya. Ia seperti lebih kepada melakukan analisis dan kemudian berkata kepadanya apa yang harus dia lakukan untuk memperbaiki permainannya. Ada beberapa tawaran untuk Fred dari England pada Januari tetapi perpindahan nampaknya tidak berlaku”, kata Gilberto kepada Sky Sports pada Mac 2018.

Terbang Ke England

Apa yang keluar dari mulut Gilberto bukanlah cakap-cakap kosong kerana empat bulan selepas itu ada kelab England yang melakukan tawaran kepada Shakhtar untuk mendapatkan khidmat Fred. Bukan Manchester City sepertimana yang digembar-gemburkan pada awalnya tetapi tawaran terhadap Fred datang dari United yang ketika itu dibawah kendalian Jose Mourinho.

Tanda harga sebanyak £52 juta yang diletakkan Shakhtar menjadi penyebab utama mengapa City menarik diri meskipun mereka pernah berurusan dengan kelab Ukraine itu ketika menandatangani Fernandinho dan Elano. Kini Fred meninggalkan Shakhtar dengan sepuluh medal kejuaraan dimana tiga daripadanya adalah medal kejuaraan Liga Perdana Ukraine.

Catatan itu sebenarnya hampir menyamai pencapaian Fernandinho yang berjaya memenangi 13 medal kejuaraan dalam tempoh lapan musim beliau menyarung jersi Shakhtar. Selaku successor Fernandinho di Kharkiv, sudah tentu Mircea Lucescu ketika itu mahukan seorang pemain yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan pemain Manchester City itu di bahagian tengah skuadnya.

Jadi tidak hairanlah juga mengapa corak permainan Fred seringkali dibandingkan dengan Fernandinho. Bagaimanapun Lucescu sendiri berpendapat bahawa Fred merupakan pemain tengah yang lebih complete berbanding Fernandinho kerana kebolehannya dalam melepasi kekangan lawan atau ketika melakukan key passes terus kepada rakan di bahagian hadapan.

Dari lapan penampilannya di Liga Juara-Juara musim 2017/18, Fred berhasil melakukan purata 2.9 gelecekan per perlawanan berbanding Fernandinho (yang melakukan 0.9 per perlawanan). Catatan ini juga meletakkan Fred di tangga ke-18 dalam senarai pemain yang paling kerap melakukan dribble dalam saingan Liga Juara-Juara musim tersebut.

Penutup

Kehadiran Fred musim lalu pada mulanya diharap mampu menjadikan sektor tengah United lebik kompak. Fred adalah tipikal pemain tengah yang diperlukan United tetapi malangnya beliau bergelut dalam usahanya menyesuaikan diri dengan pasukan baharu dan corak permainan bolasepak di England. Gambaran awal bagaimanapun tidak menjadi kenyataan kerana potensi sebenar Fred terus tenggelam di sebalik kemelut yang melanda Mourinho di penghujung era beliau selaku pengendali di Old Trafford.

Kedatangan Solskjaer selepas itu turut tidak banyak membantu perkembangan karier Fred bersama United hinggalah malang menimpa Pogba yang menyaksikan beliau tersisih selama dua bulan akibat kecederaan pergelangan kaki. Kehilangan Pogba pada mulanya sangat dibimbangi tetapi mujurlah Fred mula menemui sisi terbaik dalam permainannya. Apa yang anda lihat sekarang ialah Fred yang sangat berbeza berbanding fasa awal kehadirannya di Old Trafford.

Tatkala tahap keyakinan dalam diri Fred mula meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan, penyokong-penyokong United pula akhirnya dapat melihat prestasi seorang pemain tengah yang selayaknya United tandatangani. Sangat menyenangkan bila melihat seorang pemain yang pada awalnya berdepan kesukaran kini sibuk menikmati minit permainan di atas padang. Semoga Fred akan terus menemui sisi terbaik dalam permainannya dan semoga peningkatan prestasi beliau akan membuatkan kita terlupa bahawa United kini bermain tanpa Paul Pogba. Glory Glory Manchester United!!!

12 November 2019

HARAPAN TINGGI TERHADAP BRANDON WILLIAMS



Selepas tewas kepada Bournemouth minggu lalu, Manchester United kembali meraih kemenangan sekaligus memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga. Kemenangan (3-1) yang dilakar mereka ke atas Brighton & Hove Albion ini sangat penting dalam memastikan United tidak terus ketinggalan terlalu jauh dari kelompok empat teratas liga. Selepas mengesahkan kemaraan mereka di pusingan kalah mati Liga Europa ketika membenam Partizan Belgrade dua hari sebelumnya, kemenangan ke atas Brighton pula melonjakkan kembali kedudukan United di tangga ketujuh carta liga.

Apa yang menariknya ialah, aksi menentang Brighton juga menjadi pentas buat beberapa pemain muda memperagakan aksi mereka dan paling mencuri tumpuan ialah kelibat Brandon Williams di posisi bek kiri. Ketiadaan Ashley Young yang menjalani penggantungan kerana memungut mata mandatori akibat  layangan kad kuning membolehkan Williams melakukan penampilan ketiganya untuk United dalam saingan liga musim ini selepas kali pertama diturunkan Solskjaer ketika berdepan Liverpool dan kedua ketika berdepan Bournemouth.   

Penampilan Pertama

Williams melakukan penampilan pertama untuk kesebelasan United ketika berdepan Rochdale dalam kempen Piala Liga (Carabao Cup) dan sejak itu beliau kekal dalam skuad senior meskipun rakan seangkatannya seperti Tahith Chong dan Angel Gomes dihantar kembali ke skuad remaja. Peningkatan prestasi yang ditunjukkan Williams ini sebenarnya sangat drastik memandangkan beliau sebenarnya tidak tersenarai dalam skuad yang dibawa Solskjaer ketika kempen pra musim United.

Williams tidak perlu menunggu lama untuk mencuri perhatian Solskjaer dan peluang beraksi menentang Rochdale digunakan beliau untuk memperagakan bakatnya. Dalam perlawanan itu, beliau diturunkan di separuh masa kedua menggantikan Phil Jones, satu perubahan taktikal yang cuba dilakukan Solskjaer dalam perlawanan itu bagi membolehkan Andreas Perreira bergerak ketengah dan jauh ke atas dalam misi menekan benteng pertahanan lawan.

Aksi menentang Rochdale merupakan penampilan pertama Williams untuk skuad senior tetapi kesan sebenar yang beliau berikan menerusi penampilannya di atas padang ialah ketika United berdepan AZ Alkmaar dalam saingan Liga Europa. Secara keseluruhannya, United memang tidak beraksi dengan baik ketika berdepan Alkmaar, malah penampilan mereka di padang sintetik Cars Jeans Stadium boleh dilabel sebagai antara penampilan terburuk mereka musim ini meskipun United pulang ke England dengan satu mata.

Namun begitu tatkala rakan-rakan sepasukan yang lain beraksi di bawah par, Williams pula `mungkin’ satu-satunya pemain United paling cemerlang di Cars Jeans Stadium. Sepanjang perlawanan, beliau tampil dengan begitu tenang mengawal sektor kiri pertahanan United meskipun itu merupakan aksi pertamanya di pentas Eropah. Menurut catatan WhoScored, sepanjang perlawanan beliau melakukan tiga tackle bersih, satu intercept, menang dua perebutan bola tinggi dan melakukan dua clearance, manakala peratusan ketepatan hantaran yang dilakukannya pula mencapai angka 82%.

Ketenangan beliau di benteng pertahanan khususnya dalam mengawal sektor kiri pertahanan United ketika berdepan AZ Alkmaar menyaksikan Williams terus diberikan kepercayaan oleh Solskjaer untuk diturunkan selama 90 minit ketika United berdepan FK Partizan di Belgrade. Kepercayaan terhadap potensi beliau sekali lagi diterjemahkan Solskjaer apabila pengendali itu menurunkan Williams selama 90 minit ketika United menyingkirkan Chelsea dari saingan Piala Liga di Stamford Bridge pada 31 Oktober lalu.

Kelebihan

Faktor utama yang menjadi nilai tambah kepada corak permainan Williams ialah kemampuan beliau ketika melakukan gerakan-gerakan ke kubu lawan dalam situasi offensive. Ketika Luke Shaw sering dikritik kerana kemampuan offensive beliau yang dikatakan agak kurang bagus, Williams pula lebih berani untuk tampil menyerang dan melakukan gerakan-gerakan overlap. Atas sebab itulah mengapa Samuel Luckhurst (yang juga merupakan jurnalis dari Manchester Evening News) melabelkan Williams sebagai bek kiri yang lebih complete berbanding Shaw ataupun Young.

Selain itu kelebihan yang dimiliki Williams ialah kemampuan beliau bermain di dua posisi berbeza, iaitu sebagai bek kiri dan juga kanan. Apa yang menariknya, bek kanan merupakan posisi asal Williams, dan di Stamford Bridge beliau menghabiskan baki 10 minit aksi Piala Liga menentang Chelsea di posisi bek kanan selepas Young di bawa masuk menggantikan Marcus Rashford. Fleksibiliti Williams yang boleh bermain lebih dari satu posisi merupakan bonus tambahan untuk Solskjaer, terutamanya ketika beliau mahu melakukan pertukaran taktikal dalam satu-satu perlawanan. 

Harapan

Menoleh ke belakang dan melihat deretan pemain-pemain hebat yang pernah menguasai sektor kiri pertahanan United seperti Roger Byrne, Tony Dunne, Arthur Albiston, Denis Irwin dan Patrice Evra, harapan sememangnya cukup tinggi untuk kita melihat seorang lagi sensasi baharu dilahirkan bagi mengisi posisi tersebut. Kecederaan demi kecederaan yang dialami Luke Shaw nampaknya menganggu penampilan beliau di Old Trafford meskipun pada mulanya bekas pemain Southampton ini digembar-gemburkan sebagai penerusi legasi Evra.

Sejak persaraan Evra, Marcos Rojo, Daley Blind, Ashley Young dan Luke Shaw antara pemain yang silih berganti mengisi posisi selaku bek kiri.  Selain itu Tyler Blackett, Cameron Bothwick-Jackson dan Joe Riley pula antara bakat dari akademi yang pernah dicuba untuk mengisi posisi tersebut namun semuanya gagal memenuhi jangkaan. Kini di bawah regim Solskjaer, muncul pula nama Brandon Williams ditengah-tengah keobsesan beliau dalam mengetengahkan bakat-bakat muda dalam skuad kendaliannya.

Segunung harapan untuk kita melihat Williams mampu mengikut jejak Scott McTominay selaku antara pemain sandaran utama United ketika ini. Sejak melakukan debut untuk United dalam saingan liga pada 7 Mei 2017, McTominay tidak lagi menoleh kebelakang dan kini antara tulang belakang di sektor tengah barisan The Red Devils. Pada 25 Oktober lalu, Williams diberikan pujian melambung oleh Solskjaer menerusi `keberanian’ yang ditunjukkan beliau di Beograd selepas United meraih tiga mata ketika berdepan FK Partizan dalam kempen Liga Europa.

Di sebalik kritikan Solskjaer terhadap penampilan keseluruhan skuadnya di Beograd, tetap ada pengecualian untuk anak muda bernama Brandon Williams ini. “Sikapnya fantastis. Dia hebat ketika bertahan dan kuat ketika di udara. Dia membolehkan kami mendapatkan penalti menerusi keberaniannya membawa bola kedepan. Budak ini tiada rasa takut dan membuatkan kami memenangi perlawanan ini. Dia adalah man of the match dan saya fikir dia sungguh hebat”, kata Solskjaer selepas tamat perlawanan.

Penutup

Kemunculan beberapa pemain muda seperti Mason Greenwood, James Garner dan Brandon Williams antara sisi positif yang diberikan Solskjaer meskipun prestasi United setakat ini tidak menggembirakan majoriti penyokong-penyokong mereka. Dengan penampilan kian menyakinkan Scott McTominay serta pembelian bijak yang dilakukan Solskjaer ke atas pemain-pemain muda seperti Aaron Wan-Bissaka dan Daniel James, beliau nampaknya memberikan isyarat jelas bahawa United sedang dibina berteraskan potensi bakat-bakat muda.

Kecenderungan Solskjaer terhadap bakat-bakat muda sekali lagi dipamerkan beliau ketika berdepan Brighton kelmarin. Purata umur skuad yang diturunkan Solskjaer ketika berdepan Brighton ialah 23 tahun dan 350 hari, sekaligus membolehkan mereka muncul skuad termuda di Liga Perdana musim ini. Melihat kepada pendekatan yang dilakukan Solskjaer, saya percaya pemain-pemain muda seperti Williams, McTominay, Wan-Bissaka, James, Greenwood dan Rashford bakal memainkan peranan yang sangat penting untuk United buat tempoh yang panjang. Glory Glory Manchester United!!!

08 November 2019

WAJARKAH UNITED MENIRU PENDEKATAN BAYERN MUNICH?



Kesabaran pihak pengurusan Bayern Munich terhadap Niko Kovac akhirnya sampai kekemuncak. Sehari selepas diaibkan Eintracht Frankfurt, Kovac akhirnya ditunjukkan pintu keluar meskipun musim lalu beliau berjaya mengemudi Bayern menjulang kejuaraan Bundesliga, DFB Pokal dan DFL Supercup. Kekalahan (1-5) di tangan Frankfurt itu juga merupakan kekalahan terbesar yang dialami Bayern di Bundesliga dalam tempoh sedekad lantas memaksa satu keputusan drastik diambil.

Bayern muncul kelab besar Eropah pertama yang memecat pengurus mereka musim ini berikutan prestasi hambar meskipun musim 2019/20 belum lagi memasuki fasa pertengahan. Prestasi hambar yang dipamerkan Bayern selain hubungan buruknya dengan beberapa pemain senior menjadi penyebab utama mengapa Kovac dipecat, dan saya yakin beliau tidak akan bersendirian kerana akan ada beberapa lagi rakan sejawat beliau di sekitar Eropah yang bakal menerima nasib sama.

Kedudukan Ernesto Valverde di Nou Camp juga diberitakan sedang goyah kerana ramai pihak yang kurang senang dengan taktikal permainan diterapkan beliau meskipun Barca adalah peneraju carta La Liga. Suasana di kota Paris juga nampaknya kurang harmoni kerana Thomas Tuchel sudah merasakan bahangnya selepas PSG tewas mengejut (1-2) kepada Dijon. Kini sudah terdengar cerita-cerita kurang senang tentang penampilan gergasi Perancis itu sejak kehadiran Tuchel di Parc des Princes musim lalu.

Di Sepanyol, Real Madrid masih memberikan tekanan kepada Barcelona selaku pendahulu liga tetapi saya tidak pasti adakah Florentino Perez mampu bersabar jika Real di bawah kendalian Zinedine Zidane tersingkir awal dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini? Nasib Unai Emery dan Mauricio Pochettino di England juga sedang hangat dibahaskan berikutan prestasi hambar yang dipamerkan barisan Arsenal dan Spurs dalam saingan liga.

Senasib Dengan Mourinho

Berbanding situasi Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford, prestasi Kovac di Allianz Arena sebenarnya tidaklah begitu buruk.  Musim lalu tiga kejuaraan domestik berjaya beliau berikan untuk Bayern manakala kedudukan mereka dalam carta liga musim ini masih dalam kelompok empat teratas. Di Bundesliga, Bayern berada dikedudukan keempat selepas mereka memungut 18 mata dari 10 perlawanan, hanya empat mata di belakang Borussia Monchengladbach selaku pendahulu liga.

Tiga kejuaraan domestik yang berjaya dimenangi Bayern musim lalu nampaknya tetap gagal menyelamatkan kerjaya Kovac di Allianz Arena, kerana Ulli Hoeness (presiden), Karl Heinz Rummenigge (pengerusi) dan Hassan Salihamidzic (pengarah sukan) lebih melihat konsistensi dan gaya permainan Bayern yang dianggap tidak sesuai dengan falsafah bolasepak kelab sebagai penyebab utama mengapa mereka menamatkan kontrak pengendali warga Croatia itu lebih awal.

Apa yang berlaku kepada Kovac ini sebenarnya hampir sama dengan situasi dialami Jose Mourinho sebelum beliau dipecat pada Disember tahun lalu. Isu pemecatan Kovac bukan sahaja berkisar tentang konsistensi dan falsafah bolsepak, tetapi pemecatan beliau turut disumbang faktor hubungan buruknya dengan beberapa pemain senior Bayern. Musim lalu Franck Ribery, Arjen Robben dan Matt Hummels antara pemain senior yang diberitakan sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan Kovac `ditendang keluar’.

Mentaliti Kelab Besar

Siapalah Ed Woodward jika mahu dibandingkan dengan Ulli Hoeness dan Karl Heinz-Rummenigge. Berbanding Woodward yang dilabel sebagai `tidak tahu apa-apa tentang bolasepak’, Bayern pula dipimpin oleh dua sosok legenda bolasepak Jerman. Hoeness dan Rummenigge ketika era mereka sebagai pemain adalah pemenang medal kejuaraan Piala Dunia dan juga Piala Eropah untuk Jerman Barat. Di peringkat kelab, mereka juga sudah memenangi kesemua kejohanan utama domestik dan juga Eropah bersama Bayern.

Selaku bekas pemain yang sudah memenangi segala-galanya untuk negara dan juga kelab, maka tidak hairanlah mengapa Hoeness serta Rummenigge sangat taksub dengan kesuksesan. Tanpa kompromi, mereka akan mengambil tindakan drastik dengan memecat pengurus jika mereka mendapati penampilan pasukan berada di bawah standard yang ditetapkan. Louis Van Gaal, Jurgen Klinsmann, Carlo Ancelotti dan Kovac antara yang menjadi mangsa kerana mereka gagal memuaskan hati dua legenda bolasepak Jerman ini.

Mungkin ada di kalangan anda berpendapat bahawa tindakan Bayern memecat Kovac dilakukan secara terburu-buru memandangkan musim saingan kompetitif 2019/20 masih lagi panjang. Bagaimanapun tindakan ini sebenarnya lebih cenderung kepada usaha mereka memelihara kestabilan kelab serta mengekalkan identiti Bayern selaku antara kuasa besar di Eropah. Selaku kelab besar, Bayern perlu mengekalkan sejarah gemilang mereka dan itu antara tugas Hoeness serta Rummenigge memastikan agar The Hollywood tidak merosot terlalu jauh.

Tiru Cara Bayern?

Pendekatan yang sering digunakan oleh kelab-kelab besar Eropah seperti Bayern, Real Madrid, Paris St Germain atau Barcelona ketika kesebelasan mereka berdepan prestasi buruk ialah dengan melakukan penggantian pengurus. Cara ini merupakan cara paling cepat dan praktikal dalam usaha mereka mengembalikan semula prestasi pasukan ke tahap lebih baik, atau menyuntik idea lebih segar dalam corak permainan kesebelasan mereka menerusi kehadiran pengganti yang difikirkan lebih kredibel dari pengendali sebelumnya.

Melihat kepada prestasi semasa di Old Trafford pula, saya percaya ramai penyokong-penyokong Manchester United mahukan kelab melakukan perubahan segera bagi menyelamatkan The Red Devils dari terus terjerumus ke posisi lebih bawah dalam carta liga. Melihat United berada dalam zon penyingkiran adalah situasai paling teruk yang tidak pernah dibayangkan, jadi cara paling tepat dan mudah dari pandangan penyokong adalah menggantikan Solskjaer dengan pengurus baharu sepertimana dilakukan Bayern keatas Kovac.

Meskipun United menang tiga perlawanan berturut-turut di gelanggang lawan ketika mereka berdepan FK Partizan, Norwich City dan Chelsea, tetapi kekalahan kepada Bournemouth di Dean Court akhirnya meletakkan kembali barisan kendalian Solskjaer kepada realiti sebenar. Barisan Solskjaer `miskin’ kreativiti dalam usaha mereka memecah blok pertahanan rendah lawan, isu terbesar yang masih belum mampu diselesaikan Solskjaer di sebalik tindakan beliau melepaskan Romelu Lukaku ke Inter Milan.

Musim lalu, ketika fasa awal kedatangan Solskjaer di Old Trafford, beliau berjaya menjadikan permainan United menarik untuk ditonton menerusi pendekatan penguasaan bola dan build up play dari bahagian tengah tanpa terlalu bergantung kepada serang balas pantas. Kemenangan demi kemenangan yang diraih United ketika itu selain kecenderungan beliau mengetengahkan bakat-bakat muda dari akademi menyebabkan nama Solskjaer mula didendangkan sebagai `Jelmaan Fergie’.

Musim ini Solskjaer bermula dengan baik selepas United menang besar pada perlawanan pertama liga ketika berdepan Chelsea, tetapi selepas itu segalanya tampak seperti tidak lagi menyebelahi warga Norway itu. 13 mata dari 11 perlawanan adalah satu permulaan terburuk yang dilakukan United dalam tempoh 33 tahun. Bagi golongan penyokong yang mahu melihat perubahan segera, pemecatan Solskjaer adalah berita yang sememangnya mereka nanti-nantikan.

Bagaimanapun hasrat mereka yang mahu agar Solskjaer dipecat mungkin tidak akan kesampaian, sekurang-kurangnya dalam waktu terdekat. Berbanding David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho, Solskjaer nampaknya masih lagi menerima sokongan dari pihak pengurusan United meskipun prestasi kesebelasan kendalian beliau di atas padang mengundang kritikan dari pelbagai sudut. Malah beliau juga sudah dijanjikan dengan dana tambahan untuk mendapatkan pemain-pemain baharu pada bursa perpindahan musim sejuk nanti.

Penutup

Selepas persaraan Fergie, Old Trafford sudah menyaksikan era empat pengendali berbeza dan itu bermakna, anda juga sudah melihat empat falsafah bolasepak berbeza diperagakan di Theatre of Dreams. Bukan itu sahaja dalam tempoh enam tahun sejak persaraan Fergie, kelab juga sudah membelanjakan lebih £600 juta untuk membeli pemain-pemain baharu tetapi sehingga kini tetap gagal mengubah United kepada kesebelasan yang digeruni baik di peringkat domestik mahupun Eropah sepertimana ketika era Fergie.

Kita tidak pasti apa yang akan berlaku jika United tewas lagi dalam dua atau tiga perlawanan liga mereka selepas ini. Buat masa ini nasib Solskjaer akan ditentukan oleh masa dan keadaan kerana kesabaran pihak pengurusan mungkin akan tiba kekemuncaknya jika prestasi kesebelasan kendalian beliau masih sama sepertimana ketika mereka tewas kepada Bournemouth, Newcastle United, West Ham dan Crystal Palace. Atau adakah Woodward akan menunggu hingga United terjerumus ke zon penyingkiran sebelum satu langkah lebih drastik diambil? Glory Glory Manchester United!!!