28 September 2022

MANCHESTER DERBY: ANTARA KUASA, KEMASYHURAN DAN MARUAH

 


Pada 12 November 1881, satu perlawanan persahabatan antara Newton Heath dan St. Mark’s berlangsung. Perlawanan yang dimenangi Newton Heath itu merupakan pertembungan `Manchester Derby’ yang pertama dari ratusan siri `Manchester Derby’ yang berlangsung selepas itu. Sejak 1881 Manchester United dan Manchester City sudah bertemu sebanyak 148 kali (dalam saingan liga). Dari jumlah tersebut, United memiliki catatan lebih unggul berbanding jiran mereka itu menerusi 39 kemenangan yang dilakar mereka, 31 seri dan 23 kali tewas.

 

Pada fasa-fasa awal, konflik antara kedua-dua kelab berpangkalan di kota Manchester ini tidaklah sepanas sekarang. Bahkan pada 1906 empat pemain City (Jimmy Bannister, Herbert Burgess, Billy Meredith dan Sandy Turnbull) menyertai United secara serentak. Bagaimanapun seiring dengan berjalannya waktu, suhu `Manchester Derby’ semakin memanas. Pada 1945 Selepas Sir Matt Busby dilantik sebagai pengurus, beliau membina semula United dari sisa runtuhan `Manchester Blitz’ menerusi sekumpulan pemain berbakat yang pernah disaksikan.

 

Bangkit Dari Abu

 

Kota Manchester kembali bergema menerusi kebangkitan semula United dan bolasepak memberikan keceriaan kepada warganya, hinggakan mereka terlupa sejenak bahawa hanya lima tahun sebelum itu kota Manchester dibantai dengan teruk oleh angkatan udara Adolf Hitler. Enam tahun selepas ketibaan Sir Matt, United menjulang trofi kejuaraan liga buat kali ketiga dalam sejarah kelab. Kejuaraan liga dijulang lagi pada musim 1955/56 dan 1956/57 sebelum `Tragedi Munich’ yang mengorbankan lapan pemain United meruntuhkan kembali hegemoni `The Red Devils’.

 

Sir Matt seolah-olah memang dilahirkan untuk mencipta kebangkitan. Selepas terselamat dari `Tragedi Munich’, beliau membina kembali `Busby Babes’ versi kedua. Tujuh tahun selepas `Tragedi Munich’, United kembali merajai bolasepak Inggeris menerusi kejayaan mereka menjulang kejuaraan liga pada musim 1964/65 dan kemudiannya pada musim 1966/67. Kemuncak pencapaian United di era Sir Matt berlaku di Wembley menerusi kejayaan mereka menundukkan Benfica di pentas final Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara) pada 1968.

 

Di sebelah timur kota, City memandang dengan penuh rasa cemburu melihat trofi demi trofi di bawa masuk jiran mereka itu ke Old Trafford. Meskipun City berjaya menjulang kejuaraan liga pada musim 1967/68, ianya tidaklah sebanding dengan apa yang dilakar United di Eropah. Lumrah kehidupan kerana kita tidak selalunya berada di atas. Selepas persaraan Sir Matt, penguasaan United mula pudar, manakala bagi penyokong-penyokong mereka pula dunia tidak lagi seindah sepertimana sebelumnya. Meskipun begitu, ia tidak pernah menyejukkan suhu `Manchester Derby’.   

 

Terhumban Ke Divisyen 2

 

Pada Disember 1970, George Best mematahkan kaki Glyn Pardoe, manakala setahun selepas itu beliau bertekak pula dengan Francis Lee tentang siapa yang lebih banyak melakukan simulasi dalam aksi `Manchester Derby’ musim tersebut.  Pada musim 1973/74, Mike Doyle (City) dan Lou Macari (United) enggan beredar dari padang meskipun kedua-duanya dilayangkan kad merah hingga memaksa pengadil menghentikan perlawanan. Dan paling menarik tentunya aksi `Manchester Derby’ yang berlangsung pada 27 April 1974.

 

Musim 1973/74 adalah musim yang tidak mahu diingati oleh mana-mana penyokong United, kerana pada penghujung musim inilah United tersingkir ke Divisyen 2 Liga Inggeris. Gol menggunakan tumit yang dilakukan Dennis Law pada aksi `Manchester Derby’ membuatkan United terhumban dari liga utama bolasepak Inggeris. Jaringan ini antara jaringan yang sangat terkenal dalam sejarah panjang `Manchester Derby’, kerana ia dilakukan oleh Law, salah seorang dari trio `Holy Trinity’ yang tugunya berdiri megah di Old Trafford.

 

Adakah Law menangisi gol jaringannya hingga membuatkan United tersingkir ke Divisyen 2? Jawapannya tidak, kerana Law tidak pernah meratapi penyingkiran United, tetapi gol itu adalah catatan terakhir Law sebagai pemain professional sebelum beliau akhirnya mengumumkan persaraan sebaik tamat pusingan akhir Piala Dunia `74 di Jerman Barat. Masa-masa kelam United berlangsung dalam tempoh yang agak lama, dari dekad 70an hinggalah 80an, meskipun dalam tempoh tersebut mereka masih mampu menjulang empat kejuaraan Piala FA.

 

Kuasa Besar

 

Sepanjang dua dekad, `Manchester Derby’ cumalah pelengkap jadual, hinggalah Sir Alex Ferguson muncul dan menjadikan kota Manchester sebagai pusat kuasa bolasepak Inggeris semula. Bermula dengan kejayaan menjulang Piala FA pada final edisi 1990, Fergie mula membina empayarnya sendiri. Kebimbangan tentang adakah Fergie akan senasib dengan Wilf McGuiness, Frank O’Farrell, Tommy Docherty, Dave Sexton dan Ron Atkinson lenyap bila beliau berjaya mengemudi kelab menjulang semula trofi kejuaraan liga yang sudah 26 tahun tidak mereka menangi.

 

`Di sebelah sana’, City kembali memendam rasa, kerana mereka sedar bahawa di tangan Fergie, United sudah berada dalam kasta yang berbeza. Bayangkan, hanya dalam tempoh satu dekad (1990-2000), United berjaya menjulang enam kejuaraan liga, tiga Piala FA, satu Piala Liga, empat Perisai Komuniti dan satu Liga Juara-Juara. Jika mahu mencabar United dan mengubah warna kota Manchester dari merah kepada biru, City bukan saja perlukan komposisi skuad yang bagus, sokongan teknikal oleh pakar-pakar di belakang tabir tetapi juga kewangan yang kukuh.

 

Penyokong-penyokong City mula mendambakan agar revolusi yang dilakukan Roman Abramovich di Stamford Bridge merebak ke timur Manchester. Cuma persoalannya `billionaire’ mana yang sanggup melaburkan wang untuk kelab seperti City? Akhirnya impian mereka menjadi kenyataan pada Ogos 2008, apabila konglomerat dari UAE yang diketuai Sheikh Mansour Al Nahyan mengambilalih kelab. Bermulalah revolusi baharu di timur Manchester, dan bermula jugalah ambisi City untuk muncul kuasa baharu di kota Manchester.

 

Manchester Berwarna Biru

 

Sejak 2008 City bukan lagi City yang dulu, kerana menerusi kekuatan kewangan yang dimiliki pemilik mereka, City mula berbelanja besar. Langkah pertama, mereka memecah rekod perpindahan Britain dengan menandatangani Robinho dari Real Madrid. Pada awal dekad millennium, anda mungkin tidak pernah terfikir pemain-pemain seperti Gareth Barry, Roque Santa Cruz, Kolo Touré, Emmanuel Adebayor, Carlos Tevez, Joleon Lescott, Mario Balotelli atau Sergio Aguero akan menyertai City. Tetapi selepas 2008 inilah realiti sebenarnya.

 

Secara perlahan-lahan kompas tumpuan kini beralih dari barat daya ke timur Manchester. Imbuhan dari pelaburan besar yang dilakukan pemilik kelab menyaksikan City akhirnya menjulang kejuaraan liga buat pertama kali dalam tempoh 42 tahun. Musim 2011/12 boleh dianggap musim yang cukup `spectacular’ buat City, bukan sahaja kerana kejayaan mereka menjulang trofi Liga Perdana buat pertama kali dalam tempoh 42 tahun, tetapi juga kerana kejayaan mereka menundukkan United menerusi kemenangan besar (6-1) di Old Trafford.

 

Fergie berjaya meletakkan United kembali ke podium kejuaraan Liga Perdana pada musim terakhirnya bersama kelab, tetapi sedarkah anda bahawa sejak itu United tidak pernah menamatkan saingan liga di kedudukan lebih tinggi di atas City. Dominasi City juga menyaksikan dalam tempoh sembilan musim terakhir, mereka sudah memenangi lima kejuaraan liga. Jadi jangan salahkan `The Cityzens’ jika mereka mula mendabik dada dengan mengatakan bahawa mereka adalah `penguasa’ sebenar di kota Manchester.

 

City bukan sekadar membelanjakan wang mereka untuk mendapatkan pemain terbaik, tetapi juga mendapatkan `tangan-tangan terbaik’ bagi mengendalikan skuad utama mereka. Sepanjang era Roberto Mancini, Manuel Pellegrini dan kini Pep Guardiola sebagai pengurus, City sudah mengumpul koleksi 17 kejuaraan domestik dalam tempoh 12 tahun. Kolaborasi antara Guardiola, Txiki Begiristain dan Ferran Sorriano pula menjadikan City kini bukan sahaja kelab yang semakin dicemburui, tetapi pengurusan mereka juga wajar dicontohi.

 

Penutup

 

Peristiwa terusirnya United dari beraksi di Maine Road, terjahan George Best yang menyebabkan kaki Glyn Pardoe patah, jaringan menerusi tumit Dennis Law yang menghumban United ke Divisyen 2, dendam Roy Keane yang menghantar Alf Inge Haaland ke alam persaraan, jaringan `anti graviti’ Wayne Rooney yang ikonik, komentar Fergie yang melabelkan City sebagai `jiran yang bising’ hinggalah kekalahan besar 1-6 United di Old Trafford, antara momen menarik yang tidak akan pernah luput dari ingatan bila anda bercakap tentang `Manchester Derby’.

 

Jika dahulunya City sentiasa memandang pencapaian United dengan penuh rasa cemburu, tetapi kini adalah sebaliknya. Mereka sudah jauh meninggalkan United, mereka sudah menjadi kelab yang besar, mereka adalah kuasa baharu bolasepak Inggeris dan mengalahkan mereka akan menjadi satu pencapaian yang besar buat mana-mana pasukan termasuk United. `Manchester Derby’ kini bukan lagi sekadar tentang pertarungan antara United dan City, tetapi ia tentang kuasa, kemasyhuran dan maruah. Glory Glory Manchester United!!!



16 September 2022

SI GENIUS DENGAN TANDA HARGA £0

 


Secara keseluruhannya, Manchester United merekrut lima pemain baharu dan seorang pemain pinjaman pada jendela perpindahan musim panas ini. Dari kelima-lima rekrut baharu ini, ada seorang pemain yang dibawa ke Old Trafford secara percuma. Beliau yang saya maksudkan tentu sahaja Christian Eriksen. United memang gagal mendapatkan khidmat Frenkie de Jong, tetapi Eriksen juga bukanlah pemain tengah sembarangan. Meskipun datang secara percuma, Eriksen merupakan perekrutan penting yang dilakukan United musim ini.

 

Pada usia beliau yang sudah mencecah angka 30 tahun, Eriksen juga merupakan pemain yang sangat berpengalaman menerusi 115 penampilannya bersama skuad kebangsaan Denmark di pentas antarabangsa. Di peringkat kelab pula, beliau pernah beraksi untuk Ajax Amsterdam, Tottenham Hotspurs, Inter Milan, Brentford dan kini United. Bagaimanapun tetap ada keraguan bila bercakap tentang kemampuan Eriksen, terutamanya selepas insiden di Stadium Parken pada 12 Jun 2021 yang menyaksikan beliau `mati’ selama lima minit.

 

Keputusan United merekrut Eriksen pernah dikritik keras Danny Murphy, bekas pemain yang pernah beraksi untuk Liverpool, Tottenham Hotspurs serta Fulham dan kini bertugas sebagai pundit. Menurut Murphy, United tidak perlukan seorang lagi pemain kreatif di bahagian tengah mereka. “Saya tidak faham kenapa Ten Hag mahu menggandingkan Bruno dan Eriksen bersama. Percayalah langkah ini akan membuatkan prestasi United lebih teruk berbanding musim lalu. United dah ada banyak pemain kreatif, jadi mereka sebenarnya tak perlukan Eriksen”, kata Murphy.

 

Peranan Penting

 

Bahagian tengah antara sektor yang menjadi fokus utama Ten Hag untuk beliau perkuatkan, jadi atas sebab itulah mengapa seorang `midfielder’ seperti Eriksen dibawa masuk. Selepas bertahun-tahun diterapkan dengan pendekatan permainan serang balas pantas oleh Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solakjaer, Ten Hag pula mahukan sesuatu yang baharu dalam skema permainan United. Bolasepak proaktif menerusi pendekatan penguasaan bola, `pressing’ dan hantaran-hantaran pendek adalah `tanda dagang’ yang sudah sebati dalam diri Ten Hag.

 

Eriksen merupakan tipikal pemain tengah yang gemar bergerak di belakang penyerang. Ironinya untuk peranan sebagai `pemain nombor 10’ tersebut, United sudah pun memiliki Bruno Fernandes. Jadi bagaimana Ten Hag memadankan dua pemain tengah yang memiliki peranan hampir sama dalam kesebelasan United? Setakat ini, Eriksen diturunkan selama 90 minit dalam empat dari enam aksi United di peringkat liga. Paling menonjol tentunya penampilan beliau ketika United berdepan Arsenal di Old Trafford pada 4 September lalu.

 

Menurut catatan statistik yang dikeluarkan Squawka, Eriksen muncul pemain United paling banyak menyentuh bola (56 sentuhan), melakukan hantaran di zon `final third’ lawan (16 hantaran), melakukan hantaran ke dalam kotak penalti (4 hantaran) serta mencipta peluang jaringan gol (3 peluang). Kemuncak aksi Eriksen dalam perlawanan tersebut, lahirlah `assist’ pertama beliau musim ini yang berjaya disempurnakan Marcus Rashford untuk gol ketiga United. Jadi tidak hairanlah mengapa selepas tamat aksi, beliau dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.

 

Dalam kem United pula setakat ini dari enam penampilan liga, Eriksen muncul pemain tengah paling banyak melakukan percubaan (15), percubaan tepat (5), hantaran (323), hantaran tepat (239) serta peratus hantaran tepat tertinggi (74%) berbanding Bruno Fernandes, Fred dan Scott McTominay. Jadi kepada mereka-mereka yang sebelumnya agak skeptikal dengan kemampuan dan peranan yang bakal dimainkan Eriksen selaku penggerak jentera tengah United musim ini, anda patut lihat semula komentar Ten Hag selepas tamat aksi United dan Arsenal.

 

“Kami meletakkan dia sedikit ke bawah. Pada asasnya ia seperti peranan pemain `nombor 6’ atau `8’. Dia diberikan kebebasan dan ruang untuk bergerak di mana dia sepatutnya berada. Dia melakukan banyak kerja, melihat pergerakan rakan sepasukan, melakukan hantaran dan menyerang untuk mencipta peluang atau menjaringkan gol. Adakalanya dia juga akan diarahkan untuk bertahan. Dia pemain yang penting, jadi jika berlaku kesilapan kecil yang dilakukannya, ia akan bertukar menjadi bencana buat seluruh pasukan”, kata Ten Hag. 

 

Menggantikan Peranan Pogba

 

Frenkie de Jong adalah prioriti tetapi Eriksen pula merupakan alternatif yang sangat berbaloi untuk ditandatangani, tambahan pula dengan status beliau sebagai agen bebas ketika itu. Ada keraguan bila melihat aksi pertamanya dalam saingan liga musim ini ketika berdepan Brighton & Hove Albion, tetapi untuk berlaku adil anda juga patut melihat `role’ yang dimainkan beliau dalam perlawanan itu. Eriksen merupakan `type’ pemain yang gemar memegang bola berbanding mengejarnya.

 

Jadi peranan sebagai `false nine’ yang diberikan kepada beliau ketika berdepan Brighton adalah satu eksperimen yang gagal dari Ten Hag. Dua penampilan awal liga adalah bencana buat Eriksen tetapi aksi menentang Arsenal adalah jawapan sebenar mengapa United sepatutnya sudah lama mendapatkan seorang `midfielder’ berpengaruh seperti beliau. Dalam transisi bertahan ke menyerang, Ten Hag menerapkan strategi serang balas pantas yang berjaya `dihadam’ dengan cukup baik oleh Eriksen.

 

Sepanjang perlawanan, Eriksen sering terlibat dalam perebutan atau sentiasa berada berdekatan dengan mana-mana rakan sepasukan yang berjaya merampas bola dari penguasaan pemain lawan. Atas sebab itulah anda dapat melihat United kerap melakukan hantaran-hantaran pantas terus ke arah Jadon Sancho, Marcus Rashford atau Antony. Kemuncaknya seperti yang dapat anda lihat ialah penglibatan Eriksen menerusi gol kedua dan ketiga United yang dihasilkan Marcus Rashford.

 

Penutup

 

Sembilan tahun lalu, Eriksen tiba di White Hart Lane dari kota Amsterdam bersama enam lagi pemain baharu yang ditandatangani Tottenham Hotspurs hasil dari dana yang dibelanjakan mereka menerusi penjualan Gareth Bale ke Real Madrid. Tiada keraguan kerana berbanding Paulinho, Naser Chadli, Etienne Capoue, Roberto Soldado, Vlad Chiriches dan Erik Lamela, Eriksen merupakan pelaburan paling berbaloi yang dilakukan Spurs ketika itu.

 

Selama enam setengah musim bersama Spurs, Eriksen melakukan lebih 300 penampilan untuk skuad `The Lilywhites’ dalam semua peringkat kejohanan, menjaringkan 69 gol, terlibat dalam 158 gol dan mencipta 89 bantuan gol untuk rakan sepasukannya. Tapi malangnya, statistik tersebut tetap tidak mampu membantu Spurs menjulang sebarang kejuaraan. Sepanjang tempoh itu jugalah beliau beberapa kali menolak godaan untuk menyertai kelab lebih besar dan kekal bertahan di utara kota London.

 

Insiden serangan jantung di Stadium Parken rupa-rupanya tidak pernah membuatkan Eriksen terfikir untuk berhenti dari bermain bolasepak. Eriksen kembali ke England semula, bermula di Brentford beliau kemudiannya menyertai United secara percuma. Perpindahannya ke Old Trafford ditenggelami keriuhan kedatangan Tyrell Malacia, Lisandro Martinez, Casemiro dan Antony…tetapi siapa mampu menyangkal bahawa Eriksen adalah pembelian bijak yang dilakukan kelab musim ini.

 

Selepas tamat aksi menentang Arsenal, Paul Merson melabelkan Eriksen sebagai `pembeza’ antara pasukan yang menang dan kalah. Kerana menurut Merson, Arsenal tidak mampu menewaskan United kerana mereka tidak memiliki pemain seperti Eriksen. Eriksen datang ke Old Trafford dengan `tanda harga £0’. Tetapi harga percuma itu tidak pernah mengurangkan sedikitpun `kegeniusan’ seorang lelaki bernama Christian Eriksen ini. Glory Glory Manchester United!!!



02 September 2022

DARI `INFERNINHO’ KE TEATER IMPIAN

 


Ajax Amsterdam bukan sekadar sebuah kelab bolasepak, tetapi juga sangat dikenali sebagai `kilang’ yang berjaya melahirkan bakat-bakat kelas dunia di Eropah. Siapa tidak kenal dengan nama-nama seperti Clarence Seedorf, Dennis Bergkamp, Patrick Kluivert, Zlatan Ibrahimovic, Wesley Sneijder, Daley Blind, Jan Vertonghen serta Luis Suarez, dan kini pemain-pemain mereka terus menjadi buruan kelab-kelab besar sekitar Eropah.  

 

Sentiasa ada bakat baru yang menonjol mampu dilahirkan Ajax, meskipun mereka selalunya terpaksa mengalah dengan melepaskan para pemain terbaik mereka kepada kelab yang lebih besar. Ketika pemain seperti Frenkie de Jong, Matthijs de Ligt, Hakim Ziyech dan Donny Van de Beek pergi, akan ada pemain baharu yang mampu menggantikan tempat mereka di Johan Cryuff Arena.

 

Ajax seperti tidak pernah kehabisan pemain berbakat dalam stok simpanan mereka atau lebih tepatnya potensi di Johan Cryuff Arena tidak pernah `mati’. Lalu muncullah pemain seperti Antony Matheus dos Santos di sana. Baru berusia 22 tahun, tetapi Antony adalah idola baharu di kota Amsterdam. Antony punya `skill’ individu yang memukau manakala daya penyudahnya pula sering tidak terjangka oleh pertahanan lawan.

 

Kemahiran dalam diri Antony adalah DNA yang diwarisi dari kebanyakkan pemain handalan Brazil...Pele, Garrincha, Zico, Socrates, Romario, Ronaldo, Kaka, Ronaldinho dan Neymar adalah di antaranya. Ketika Neymar masih berada di kasta teratas bolasepak dunia, potensi yang dmiliki Antony pula mula menarik perhatian kelab-kelab besar Eropah, dan Ajax sekali lagi berdepan kemungkinan kehilangan pemain terbaik mereka.

 

 Dalam Radar United

 

Potensi Antony mula tersebar luas di sekitar Eropah, malah sebelum itupun beliau sudah meluahkan keinginannya untuk beraksi di Sepanyol atau di England. Wujud potensi besar untuk Antony menyertai United selepas kehadiran Erik Ten Hag selaku pengendali di Old Trafford. Dan sejak bulan Jun bermulalah `rumour’ demi `rumour’ tentang minat United terhadap pemenang pingat emas sukan Olimpik Tokyo ini.

 

Ajax yang sudah pun kehilangan pemain-pemain terbaik mereka musim ini tentu sahaja mahukan Antony terus kekal beraksi bersama mereka. Jadi bukan satu tugas yang mudah untuk memujuk Ajax melepaskan seorang lagi pemain berbakat mereka ke pasukan lain. Bagaimanapun akhirnya Ajax terpaksa akur, bukan sahaja dengan kuasa wang yang dimiliki United tetapi juga keinginan Antony untuk berhijrah.

 

£85 juta, itulah wang yang terpaksa dibayar United bagi membawa keluar Antony dari Johan Cryuff Arena. Jumlah ini bukan sahaja meletakkan beliau sebagai `manusia kedua termahal’ dalam sejarah di Old Trafford, tetapi juga pemain termahal yang pernah dijual Ajax. Kini Erik Ten Hag sudahpun memiliki pemain hadapan yang beliau dambakan, jadi tunggu dan lihat adakah Antony mampu memberikan impak kepada jentera hadapan United.

 

Dari Sao Paolo Ke Amsterdam

 

Brazil memang sangat dikenali bukan sahaja kerana kegilaan bolasepaknya, tetapi kemampuan mereka melahirkan pemain-pemain kelas dunia. Sentiasa ada pemain-pemain muda berbakat besar lahir dari negara samba tersebut yang mencuri tumpuan warga bolasepak dunia. Di bandar Osasco, lahirlah seorang lagi pemain muda berbakat besar bernama Antony Matheus dos Santos hasil dari produk keluaran akademi bolasepak Sao Paolo.

 

Bermula dengan debut untuk skuad senior pada November 2018, Antony melakukan 32 penampilan bersama Sao Paolo dalam saingan liga, menjaringkan empat gol dan mencipta enam bantuan gol. Untuk pemain yang memiliki potensi besar seperti beliau, akan sentiasa ada mata yang memandang dengan penuh minat. Penampilan cemerlang beliau bersama pemenang tiga kali Copa Libertadores itu akhirnya menarik minat Ajax untuk membawa Antony beraksi di Eropah.

 

Pada Februari 2020, bermulalah episod baharu dalam karier beliau dan menerusi dana sebanyak £18.2 juta yang dibelanjakan Ajax, Antony melengkapkan perpindahan beliau ke Johan Cryuff Arena. Pada 13 September 2020, Antony menjaringkan gol pertamanya di sebalik kemenangan (1-0) Ajax ke atas Sparta Rotterdam dalam saingan liga. Di pentas Eropah pula, gol pertama Antony hadir ketika Ajax membenam Midtjylland (2-1) dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada 3 November 2020.

 

Penampilan menentang Borussia Dortmund di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada 3 November 2021 antara penampilan terbaik Antony bersama Ajax musim lalu. Beliau adalah arkitek di sebalik kemenangan (3-1) Ajax di Signal Iduna Park menerusi penglibatan beliau dalam ketiga-tiga gol tersebut. Kemenangan itu turut mengesahkan kemaraan Ajax ke pusingan kalah mati meskipun saingan peringkat kumpulan masih berbaki dua perlawanan.

 

Apa yang Antony Mampu Tawarkan?

 

Dua tahun lalu, Ten Hag menyedari potensi besar Antony untuk muncul sebagai prospek masa depan Ajax. Atas sebab itulah mengapa beliau melakukan perjudian dengan menandatangani Antony dari Sao Paolo pada harga £18.2 juta, keputusan yang dikritik keras legenda Belanda, Marco Van Basten. Perjudian Ten Hag berbaloi, apabila dalam tempoh dua musim di Johan Cryuff Arena, Antony menjaringkan 25 gol dan mencipta 21 bantuan gol dari 85 penampilan dalam semua peringkat kejohanan.

 

Sebagai `winger’, beliau bukanlah seorang pemain sayap yang `ortodoks’ tetapi penjaring gol dan pencipta peluang yang dinamik. Meskipun dianugerahkan dengan `skill’ kawalan bola yang bagus, Antony sebenarnya lebih kerap melakukan hantaran ke atas berbanding melakukan `dribble’. Menurut catatan Smarterscout, Antony diberikan skala 64 dari 99 dalam tugas melakukan hantaran berbanding 34 daripada 99 (dribble).

 

Dalam melakukan kerja-kerja defensif pula, Antony diberikan skala 73 daripada 99, sekaligus menunjukkan beliau juga memiliki intensiti bertahan yang bagus ketika diperlukan. Untuk itu, Smarterscout memberikan beliau volume yang tinggi dalam melakukan `ball recoveries’ dan `intercept’ (83 daripada 99). Sepanjang musim lalu beliau sukses melakukan 22 `tackle’ dari 44 percubaan, manakala dalam melakukan `duel’ pula, Antony diberikan skala 51.2.

 

Di bawah kendalian Ten Hag, Ajax bermain dengan pendekatan ‘possession football’, mengawal permainan dan sentiasa memberikan tekanan kepada lawan, faktor penyumbang mengapa Antony muncul antara pemain penting selama lebih dua musim kariernya di Johan Cryuff Arena. Bagaimanapun tetap ada keraguan tentang kemampuan Antony beradaptasi dengan tempo dan intensiti Liga Perdana, jadi untuk itu lihat statistik beliau di Liga Juara-Juara Eropah.

 

Dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, Antony muncul pemain ketiga paling banyak melakukan `progressive dribble’ selepas Lionel Messi dan Kingsley Coman. Dari tujuh penampilan beliau, Antony melepaskan 26 percubaan di mana sepuluh daripadanya adalah percubaan `on target’, menjaringkan 2 gol (1.79 expected goal), mencipta empat `assist’ dan melepaskan 325 hantaran (di mana peratus ketepatan hantarannya mencapai angka 82%).

 

Penutup

 

Pada usia yang baru mencecah angka 22 tahun, ada keraguan yang bukan sedikit bila bercakap tentang kemampuan beliau beradaptasi dalam liga yang dianggap paling sukar di dunia. Adakah Antony mampu menangani segala tekanan atau adakah beliau akan menjadi seorang lagi pemain Brazil yang gagal di Old Trafford? Tanda harga £85 juta bakal menjadi beban yang berat untuk ditanggung Antony. Ada harapan yang tinggi, ada sasaran yang perlu dicapai dan ada misi yang perlu beliau sempurnakan.

 

Latar belakang ketika masa kecilnya menjadikan Antony individu yang kuat dan tabah. Liga Perdana adalah cabaran baharu dan besar bagi beliau, tetapi perjalanan hidupnya sebelum sampai ke tahap ini juga sangat sukar dan mencabar. Favela, kejiranan setinggan di mana beliau dibesarkan merupakan antara kawasan termiskin dan berbahaya di Brazil. Kematian, kartel dadah dan gangsterisme merupakan pemandangan biasa di sini, hinggakan ia digelar sebagai `Inferninho’ atau neraka kecil.

 

Manchester City, Liverpool atau Chelsea mungkin tidak akan melaburkan wang sebanyak £85 juta untuk seorang pemain seperti Antony. Bagaimanapun dari sudut pandang Ten Hag, Antony ialah type pemain yang sangat diperlukan beliau. Jadi berapa pun harga yang diletakkan Ajax, United perlu membayarnya. Ketika ini United perlukan keseimbangan di kedua-dua sisi sayap mereka. Semoga dengan adanya Antony, mereka mampu terbang lebih tinggi. “Bienvenido Antony”…Glory Glory Manchester United!!!