29 Mac 2012

PREVIEW: BLACKBURN lwn MANCHESTER UTD



Blackburn Rovers tentunya berharap mereka mampu mengulangi pencapaian ke atas Manchester United pada pertembungan malam tahun baru yang menyaksikan mereka melakar kejutan apabila mencatat kemenangan 3-2 di Old Trafford.  Awal pagi Selasa nanti, United akan berkunjung ke Ewood Park dalam usaha mereka mengekalkan kedudukan selaku pendahulu liga sambil cuba memadam igauan kekalahan mengejut kepada skuad bimbingan Steve Kean itu Disember lalu.  Rovers yang tewas kepada Bolton Wanderers pada perlawanan terakhir mereka menduduki tangga ke-16 liga dan hanya memiliki kelebihan tiga mata dari pasukan yang berada di zon penyingkiran.  United memenangi kesemua enam perlawanan terakhir mereka dan kini mendahului perlumbaan mengejar kejuaraan liga dengan kelebihan tiga mata dari pencabar terdekat Manchester City.  Kini hanya tinggal trofi Liga Perdana sahaja yang menjadi fokus buat kedua-dua pasukan (United dan City) selepas masing-masing tersingkir dari saingan peringkat Eropah dan semua kejohanan kalah mati di peringkat domestik musim ini.  United berpeluang mengekalkan pendahuluan mereka ketika ini namun perlu berhati-hati dengan ancaman dari skuad tuan rumah yang pastinya akan bermati-matian mencari tiga mata maksimum bagi menghidupkan harapan kekal beraksi di saingan elit Liga Perdana musim depan.  Ancaman dari David Hoilett dan Ayegbeni Yakubu di barisan hadapan mereka perlu diawasi benteng United, apatah lagi Rovers hanya tewas sekali dari lima perlawanan terakhir mereka di gelanggang sendiri.  Ewood Park bukanlah gelanggang yang `mesra' buat skuad The Red Devils apabila kali terakhir mereka menang di sini ialah pada Oktober 2008.  Bagaimanapun United hanya tewas sekali dari dari 16 perlawanan mereka di gelanggang lawan musim ini sambil berharap Wayne Rooney terus menemui sentuhan jaringannya yang menyaksikan dia berjaya menjaringkan 17 gol dari 17 perlawanan terakhir di semua kejohanan.  Rooney juga menjaringkan empat gol dari lima perlawanan terakhir menentang Rovers sementara Yakubu pula yang menjaringkan dua gol di Old Trafford Disember lalu sudah menjaringkan 14 gol musim ini.  Rovers memperolehi kembali khidmat pertahanan mereka dari Perancis, Gael Givet yang pulih dari masalah hamstring manakala Nani pula dijangka menyertai skuad ke Ewood Park selepas disahkan pulih dari kecederaan pergelangan kaki.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Jonny Evans, Rio Ferdinand, Rafael da Silva Ashley Young, Paul Scholes, Michael Carrick, Luis Antonio Valencia, Wayne Rooney & Danny Welbeck

28 Mac 2012

AMARAN RIO BUAT CITY


Tonggak pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand melontarkan amaran kepada seteru setempat yang juga pencabar kejuaraan liga musim ini, Manchester City bahawa pasukannya mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk menafikan hajat City merangkul kejuaraan liga buat pertama kali dalam tempoh 44 tahun.  United kembali menguasai kedudukan tangga teratas liga selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Fulham di Old Trafford pada pagi Selasa sekaligus memiliki kelebihan tiga mata ke atas City yang berada di tangga kedua.  Dua hari sebelumnya, City sekadar berkongsi mata apabila diikat Stoke City di Stadium Britannia. Persembahan United ketika berdepan Fulham bukanlah prestasi terbaik mereka meskipun skuad The Red Devils menguasai permainan, tetapi Ferdinand menegaskan pengalaman berdepan tekanan dalam perlumbaan mengejar kejuaraan liga  saban musim memberi kelebihan besar buat United berbanding City.  "Ia (perlumbaan kejuaraan liga) berlaku setiap tahun dan pada peringkat ini kami tahu apa yang perlu kami lakukan.  Kami tahu kami boleh mencipta peluang dan bertenang.  Jika kedudukan terikat 0-0 dan permainan memasuki minit ke-88, kami tetap kekal optimis yang kami akan mencipta peluang dan memenangi perlawanan", kata Ferdinand. Keputusan seri yang dicatatkan City hujung minggu lalu meninggalkan tandatanya tentang kemampuan skuad jutawan itu menangani tekanan berdepan situasi getir seperti ini, sesuatu yang tidak pernah  mereka hadapi berbanding United.  Walaupun kedua-dua kelab mengatakan mereka tidak terganggu dengan keputusan perlawanan masing-masing, Ferdinand percaya tindakan pengadil perlawanan, Michael Oliver menolak rayuan penalti Fulham selepas Danny Murphy dikasari Michael Carrick pastinya mendatangkan kesan psikologi kepada pencabar mereka itu (City).  Tonggak pertahanan United itu percaya kesan psikologi boleh menjejaskan sesuatu pasukan namun dia menegaskan tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku keatas City.  "Ini adalah mengenai kami.  Jika kami kekal tenang dan memenangi semua baki perlawanan, kami tentu akan berjaya".  Glory Glory Manchester United!!!

Berita-Berita Lain:

GIGGS: ZANETTI  LAWAN PALING SUKAR

Veteran Manchester United, Ryan Giggs mendedahkan bahawa kapten Inter Milan, Javier Zanetti adalah lawan yang paling sukar pernah dihadapi sepanjang kariernya.  Giggs yang berharap mampu bermain sehingga 1,000 perlawanan buat United tampil pada perlawanan ke 900nya ketika berdepan Norwich City 26 Februari lalu dan menjaringkan gol kemenangan di penghujung permainan.  "Pertama kali saya berdepan Zanetti ialah ketika peringkat suku akhir Liga Juara-Juara 1999.  Dia bermain sebagai bek kanan dan saya pula sebagai sayap kiri.  Dia begitu mengagumkan dengan kualiti yang dimilikinya, kepantasan dan kepintarannya.  Saya berdepan dengannya lebih dari dua kali dan dia merupakan lawan yang sukar dan pemain yang sempurna", kata Giggs.  Giggs juga memberikan pujian terhadap ikon Juventus, Allesandro Del Piero yang menurutnya pemain terbaik Itali dan mengakui dia sentiasa mengikuti perkembangan Del Piero sepanjang kariernya.

MACHEDA YAKIN BERBA DAN POGBA AKAN SUKSES DI ITALI

Pemain Manchester United yang kini dipinjamkan ke Queens Park Rangers, Federico Macheda yakin Dimitar Berbatov dan Paul Pogba tidak akan berdepan sebarang masalah jika mereka mengambil keputusan berhijrah ke Serie A musim depan.  Spekulasi bertiup kencang mengatakan Berbatov dan Pogba antara pemain yang akan meninggalkan United musim depan dan dikaitkan dengan Juventus.  Menurut Macheda, kedua-dua rakan sepasukannya itu tidak akan berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan gaya permainan Itali jika mereka mahu berhijrah ke Serie A.  "Berbatov adalah pemain yang hebat dan dia mampu mempamerkan aksi baik jika menyertai Juventus.  Penyerang hebat sepertinya akan sempurna jika bemain untuk Juve.  Pogba juga pemain hebat dan sangat kuat.  Dia mampu bermain dengan baik di Itali", kata Macheda.  

27 Mac 2012

UNITED KEMBALI KUASAI TANGGA TERATAS


Manchester United kembali merampas penguasaan tangga teratas liga selepas menundukkan Fulham 1-0 awal pagi tadi. Meskipun menguasai perlawanan, United terpaksa berpuas hati dengan jaringan tunggal Wayne Rooney diminit ke-42 tetapi itu sudah cukup untuk meletakkan mereka kembali ke puncak liga dengan kelebihan tiga mata ke atas pencabar terdekat Manchester City. Gol tunggal United terhasil melalui umpanan Ashley Young yang gagal dikeluarkan John Arne Riise dari kawasan bahaya. Jonny Evans memanfaatkan kesilapan tersebut dengan menolak bola kepada Rooney yang kemudiannya mudah merembat masuk dari jarak dekat. Jaringan ini juga merupakan gol keenam Rooney dari lima perlawanan terakhirnya menentang Fulham.  Di babak kedua perlawanan, United terus mendominasi permainan hingga memaksa pelawat bertahan di kawasan sendiri sambil sekali sekala melakukan serangan balas.  United melakukan tiga pertukaran di babak kedua dengan mengeluarkan Danny Welbeck (minit ke-63), Rio Ferdinand (minit ke-74) dan Wayne Rooney (minit ke-79)  dan memasukkan Javier Hernandez, Chris Smalling dan Paul Scholes.

Di penghujung permainan, Fulham agak kurang bernasib baik apabila pengadil, Mike Oliver tidak mengendahkan rayuan sepakan penalti mereka selepas Danny Murphy dijatuhkan Michael Carrick di dalam petak penalti.  Kekalahan ini menyaksikan rekod buruk Fulham yang gagal menjaringkan sebarang gol di Old Trafford sejak 2006 berterusan. Sementara itu, Sir Alex Ferguson menganggap pasukannya bernasib baik apabila pengadil perlawanan tidak menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan selepas berlaku kekasaran ke atas Danny Murphy di penghujung permainan.  "Selama sejam kami bermain dengan baik dan mencipta peluang tetapi Fulham patut diberikan pujian kerana persembahan baik mereka pada 15 minit terakhir permainan", kata Ferguson. Menyentuh tentang rayuan penalti lawan di penghujung permainan, Ferguson berkata, "Tidak diragukan bila mereka mahu sepakan penalti.  Kami juga sepatutnya diberikan penalti selepas bola terkena tangan Stephen Kelly di separuh masa pertama.  Mungkin pengadil berfikir, Carrick merebut bola secara bersih dari kaki Murphy".  Glory Glory Manchester United!!!

26 Mac 2012

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn FULHAM




Manchester United tidak seharusnya melepaskan peluang menjarakkan kedudukan mereka di tangga teratas liga ketika menerima kunjungan Fulham awal pagi esok, apatah lagi United mempunyai rekod baik ketika berdepan skuad kendalian Martin Jol itu.  Selepas menyaksikan saingan terdekat mereka, Manchester City diikat dengan keputusan seri oleh Stoke City, peluang untuk melebarkan kedudukan kepada tiga mata di tangga teratas tidak harus dilepaskan begitu saja. Kali terakhir The Cottagers berjaya membolosi pintu gol United ialah pada 20 Ogos 2006, itu pun hasil jaringan sendiri Rio Ferdinand.  Fulham gagal menjaringkan sebarang gol pada empat penampilan terakhir mereka di Old Trafford, tetapi mereka kini perlu diawasi sejak kehadiran Pavel Pogrebnyak di bahagian hadapan. Pogrebnyak membuktikan ketajamannya apabila sudah menjaringkan lima gol dari tiga penampilannya bersama Fulham sejak tiba dari Vfb Stuttgart.  Phil Jones bakal memperkuatkan kembali pasukan selepas diketepikan ketika United membelasah Wolves 5-0 di Molineux minggu lalu, manakala nasib Nani masih belum dapat dipastikan biarpun sudah mula menjalani latihan.  "Jones sebenarnya sudah boleh diturunkan minggu lalu tetapi kami tidak mahu terlalu memaksanya.  Dia akan bermain Isnin (Selasa) ini.  kami mempunyai pasukan yang lengkap kecuali beberapa pemain yang mengalami kecederaan panjang seperti Anderson, Michael Owen, Nemanja Vidic dan Darren Fletcher", kata Ferguson. Tugas Fulham di Old Trafford tampak sukar jika diambilkira prestasi mereka ketika bermain di gelanggang lawan setakat ini.  Mereka hanya menang dua perlawanan ketika beraksi di gelanggang lawan  iaitu ketika bertemu Queens Park Rangers dan Wigan Athletic, dua kelab yang beada di zon penyingkiran.  Jika benteng pertahanan mereka yang diketuai Brede Hangeland berjaya menghalang asakan United sepanjang 3/4 tempoh perlawanan nanti, kemampuan mereka untuk bertahan lebih lama tetap diragui.  16 dari 26 gol yang mereka lepaskan berlaku pada minit ke-76 hingga 90 dan berdepan pasukan seperti United yang sentiasa menekan lawan sehingga ke saat akhir, benteng Fulham harus bekerja lebih keras.  Prestasi baik Javier Hernandez, Wayne Rooney dan Danny Welbeck tentunya memeningkan kepala Ferguson untuk memilih siapa dua di antara mereka yang paturu diturunkan selaku penggempur, manakala Jol pula bakal memilih sama ada Andy Johnson atau Pogrebnyak sebagai penyerang tunggal.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Phil Jones, Ashley Young, Michael Carrick, Ryan Giggs, Luis Antonio Valencia, Wayne Rooney & Danny Welbeck

24 Mac 2012

FERGIE `BEDIL' KEMBALI CITY


Permusuhan antara dua kelab berjiran, Manchester United dan Manchester City memasuki fasa terbaru selepas Patrick Vieira mempersendakan kepulangan semula Paul Scholes dari persaraan.  Semalam, Vieira mendakwa kekuatan United semakin merosot dan berada dalam keadaan terdesak hingga memaksa Ferguson memanggil semula Scholes keluar dari persaraan.  Vieira yang ketika ini menjawat jawatan sebagai Pengarah Pembangunan Manchester City juga mendakwa kegagalan United menurunkan pemain muda seperti Paul Pogba dan penjualan Ravel Morrison sebagai tanda-tanda kelemahan United.  Ferguson seperti biasa tidak memerlukan masa yang panjang untuk membalas semula `peluru' yang dilepaskan para pesaingnya.  Ferguson ternyata berang dengan kenyataan yang dikeluarkan Vieira sambil mendakwa dia memiliki banyak `peluru' untuk dilepaskan jika City berhajat melancarkan perang psikologi ke atas pasukannya.  "Terdesak? Paul Scholes adalah pemain tengah terbaik dalam tempoh 20 tahun terakhir, dan jika anda mengambil langkah untuk mendapatkan semula pemain sepertinya, perkara itu boleh diterima.  Roberto Mancini memberikan kritikan kepada kami selama beberapa minggu kebelakangan ini tetapi kami akan bermain dengan cara kami.  Rabu lalu mereka menurunkan seorang pemain yang pernah  menolak dari diturunkan dan pengurus mereka pernah mengatakan tidak akan menurunkannya lagi", kata Ferguson. Ferguson mengejek keputusan City membawa kembali Carlos Tevez sebagai langkah terdesak dan mengatakan dia tidak akan sekali-kali menurunkan mana-mana pemain yang tidak menghormati kelab dan juga peminat.  Untuk rekod, United memenangi lapan dari sembilan perlawanan liga mereka sejak Scholes, 37, kembali dari persaraan Januari lalu sehingga berjaya menyingkirkan City dari kedudukan tangga teratas liga dengan kelebihan satu mata.  "Dia (Vieira) memang telah diprogramkan untuk perkara seperti ini.  Jika diimbas beberapa minggu lalu, Mancini pernah mengatakan dia tidak akan menonton perlawanan kami di Spurs kerana menurutnya dia sudah tahu keputusannya.  Kenyataan mereka tidak akan menganggu saya.  Mereka boleh mencuba tetapi jangan risau saya mempunyai banyak peluru untuknya". Glory Glory Manchester United!!!

Berita-Berita Lain:

JUAL MORRISON TAPI TIDAK POGBA

Ravel Morrison
Sir Alex Ferguson menegaskan keputusan kelab menjual Ravel Morrison kepada West Ham bukan disebabkan kegagalan United menghalang bintang muda mereka dari berhijrah seperti yang didakwa Patrick Vieira.  "Perkara utama yang dibangkitkan Vieira ialah tentang Morrison dan kami kehilangan pemain muda kami.  Kami sebenarnya memang ingin menjualnya (Morrison) dan ia cukup jelas", kata Ferguson.  Berbeza dengan situasi seorang lagi bintang muda United, Paul Pogba, Ferguson lantang menegaskan dia mahukan pemain itu kekal di Old Trafford.  Ferguson yakin suatu hari nanti Pogba bakal muncul pemain terbaik United. Sejak beberapa minggu lalu Pogba sudah beberapa kali diturunkan dalam saingan liga sebagai pemain gantian dan bintang muda Perancis itu dijangka terus diberi peluang membuktikan keupayaannya pada perlawanan menentang Fulham di Old Trafford, Selasa ini.  Ferguson sudahpun memberikan bayangan bahawa dia akan menyenaraikan Pogba dalam skuad yang akan berdepan Fulham minggu ini apabila bertindak menarik keluar pemain tengah itu ketika United menentang Aston Villa dalam perlawanan Liga Simpanan.  "Phil Jones dan Chris Smalling sering keluar masuk kerana kecederaan.  Tom Cleverley, Paul Pogba dan Fabio akan tampil.  Kami menarik keluar Pogba kerana dia akan diturunkan Isnin (Selasa) nanti", jelas Ferguson tentang keputusannya menurunkan lima pemain itu dalam skuad simpanan ketika menentang Aston Villa.

SCHOLES INGIN BERMAIN SETAHUN LAGI

Meskipun sudah berusia 37 tahun dan kembali semula dari persaraan Januari lalu, Paul Scholes masih menjadi pilihan utama Sir Alex Ferguson di bahagian tengah. Scholes juga dikatakan antara watak penting di sebalik kejayaan United memintas Manchester City di tangga teratas liga.  Pertama kali diturunkan ketika perlawanan Piala FA menentang City sebagai pemain gantian, Scholes kemudiannya muncul sebanyak lapan kali dalam kesebelasan utama United dan berjaya menjaringkan dua gol.  Prestasi cemerlangnya mengundang banyak pujian dan Scholes sudahpun memberikan isyarat bahawa dia akan terus bermain musim depan.  Khabar terbaru mengatakan bahawa United akan menawarkan kontrak selama setahun kepada Scholes dan pemain veteran itu turut disebut-sebut akan kembali mewakili England pada Euro 2012.  Februari lalu, Harry Redknapp menyebut bahawa Scholes adalah pemain yang akan dipanggil jika dia memegang jawatan sebagai pengurus England.

23 Mac 2012

JI SUNG LUPAKAN OLIMPIK DEMI UNITED


Park Ji-Sung mengesahkan bahawa dia menolak tawaran menyertai skuad kebangsaan Korea Selatan ke temasya Sukan Olimpik 2012.  Ji-Sung yang mengumumkan persaraan dari skuad kebangsaan sebaik berakhirnya pusingan akhir Piala Asia 2011 mengatakan fokus utamanya kini adalah bersama kelab dan ingin mempamerkan prestasi terbaiknya untuk United. Semalam, Ji-Sung mengesahkan bahawa dia telah dipanggil mewakili skuad kebangsaan ke sukan Olimpik. "Saya dipanggil tapi saya terpaksa menolak.  Saya tahu bagaimana rasanya bermain di Olimpik kerana saya pernah bermain di Olimpik Sidney 2000", kata Ji-Sung.  Selain Olimpik, Ji-Sung juga sudah bermain dalam tiga pusingan akhir Piala Dunia dan pencapaian terbaiknya bersama skuad kebangsaan ialah pada pusingan akhir Piala Dunia 2002, di mana ketika itu Korea Selatan melakukan kejutan besar dengan kejayaan mereka melangkah ke peringkat separuh akhir.  Ji-Sung yang memiliki 100 caps sepanjang kerjayanya bersama skuad kebangsaan menjelaskan bahawa dia sudah melupakan aksi antarabangsa dan ingin memberikan tumpuan kepada kariernya di peringkat kelab bersama United.  "Musim ini menjadi musim ketujuh saya di Old Trafford.  Saya memenangi empat kejuaraan liga dan saya ingin memenangi trofi Liga Perdana tahun ini".

Berita-Berita Lain:

NANI DAN JONES KEMBALI SERTAI PASUKAN

Dua tonggak Manchester United, Nani dan Phil Jones dijangka kembali memperkuatkan pasukan ketika The Red Devils melayani kunjungan Fulham, Selasa ini.  Nani dikhabarkan sudah sembuh dari kecederaan pergelangan kaki dan sudahpun mula menjalani sesi latihan, manakala Jones yang mengalami jangkitan virus tiada masalah untuk disenaraikan Selasa nanti.  "Tiada masalah dengan kecederaan dan kini semuanya dalam keadaan baik", kata Sir Alex Ferguson.  Ditambah dengan kehadiran semula Chris Smalling dan Antonio Valencia yang diturunkan ketika pertemuan dengan Wolverhampton Wanderers minggu lalu, Ferguson kini hampir memperolehi semula kesebelasan terbaiknya dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana England musim ini.  Hanya Nemanja Vidic, Anderson, Darren Fletcher dan Michael Owen sahaja yang dipastikan akan terlepas baki aksi musim ini.

VIDIC: UNITED CALON UTAMA JUARA MUSIM INI

Persaingan merebut kejuaraan Liga Perdana England antara dua pasukan berjiran, Manchester United dan Manchester City semakin sengit.  Semalam, City berjaya merapatkan kembali kedudukan mereka di belakang United selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Chelsea di gelanggang sendiri.  Dengan baki 9 perlawanan lagi yang harus diharungi, kedua-dua pasukan perlu mengelakkan sebarang kesilapan saat akhir jika tidak mahu kempunan menjulang sebarang trofi musim ini.  Kapten United, Nemanja Vidic yakin pasukannya adalah calon utama merangkul kejuaraan liga berbanding seteru setempat mereka itu sekaligus mempertahankan trofi yang mereka menangi musim lalu.  "Saya percaya sejak awal dan jika anda lihat pada baki jadual perlawanan yang akan kami harungi, saya berani mengatakan bahawa kami adalah pilihan utama memenangi kejuaraan liga.  Kini segalanya ditangan kami", kata Vidic.

21 Mac 2012

SIAPA YANG BAKAL PERGI DAN SIAPA YANG BAKAL MASUK MUSIM PANAS INI?


Tiada keraguan buat Manchester United untuk memperkuatkan pasukan musim panas ini dan posisi yang bakal menjadi perhatian utama Sir Alex Ferguson ialah bahagian tengah.  Michael Carrick dan Paul Scholes melaksanakan tugas mereka dengan berkesan musim ini, tetapi United masih kurang aspek pemain yang mampu mengawal permainan di bahagian tengah dan mencipta peluang buat penyerang. Jika Paul Pogba memutuskan untuk kekal di Old Trafford, United masih mempunyai seorang lagi pemain tengah berpotensi namun Ferguson dilihat tetap akan membawa masuk satu atau dua muka baru di posisi tersebut.  Ada pemain baru yang datang dan tentunya ada juga pemain yang bakal meninggalkan pasukan.  Tiga nama yang disebut-sebut bakal dilepaskan Ferguson musim panas ini ialah tiga pemain di posisi hadapan iaitu Dimitar Berbatov, Michael Owen dan Federico Macheda. Nasib Berbatov paling jelas apabila ejen pemain itu, Emil Danchev mengesahkan baru-baru ini bahawa kliennya itu tiada dalam perancangan Ferguson. Di bahagian serangan, Ferguson dijangka mendapatkan seorang pemain baru bagi menggantikan mereka biarpun ketika ini masih memiliki tiga penyerang (Rooney, Welbeck dan Hernandez) yang berjaya menjalankan tugas mereka dengan baik.

Lamine Gassama
Untuk kelab seperti Manchester United, Ferguson tentulah mahukan pemain-pemain yang baik bagi mengisi kekosongan yang ada, dan pemain yang baik tentulah memerlukan dana yang lebih untuk dibelanjakan. Dengan beban kewangan yang agak meruncing disebabkan tanggungan hutang keluarga Glazer, Ferguson mungkin terpaksa mengakui hakikat bahawa United tidak semewah pesaing-pesaing mereka yang lain ketika berbelanja pada musim panas ini.  Namun pemain-pemain yang bagus juga boleh diperolehi dengan harga murah dan Ferguson sudah membuktikannya apabila dia mendapatkan Javier Hernandez dua tahun lalu dengan harga hanya 7 juta Pound. Ada beberapa pemain bagus yang mungkin boleh diperolehi dengan harga berpatutan seperti Lamine Gassama di Lorient. Gassama baru berusia 22 tahun dan bermain di sebelah kanan  pertahanan. Gassama mungkin juga jawapan kepada usaha Ferguson mencari pengganti Gary Neville yang mengumumkan persaraannya musim lalu. Sejak ketiadaan Neville, Ferguson terpaksa menggunakan tiga pemain untuk mengisi posisi tersebut. Masalah utama yang melanda Ferguson ialah apabila Rafael da Silva sering dilanda kecederaan hingga memaksa beliau menggunakan Chris Smalling dan Phil Jones (Smalling dan Jones adalah pemain pertahanan tengah) sebagai pengganti.

Ederson
Selain itu, perancang Lille, Ludovic Obraniak dan Ederson dari Olympique Lyon juga dikatakan menarik minat banyak kelab-kelab utama Eropah yang lain.  Kedua-dua pemain ini adalah perancang yang baik ketika melakukan serangan dan mampu membuka pertahanan lawan menerusi gaya permainan mereka.  Ederson mungkin calon yang lebih sesuai tetapi jika Ferguson mahu mendapatkan pemain tengah menyerang, nama-nama seperti Wesley Sneijder, Mario Goetze dan Eden Hazard adalah pilihan yang perlu diberi keutamaan biarpun harga yang mungkin terpaksa dibayar untuk khidmat mereka lebih mahal.  Etienne Didot dari Toulouse juga pemain tengah yang menarik dengan gaya mirip kepada bintang antarabangsa Argentina, Ever Banega.  Didot lebih kepada pemain tengah bertahan yang melindungi empat benteng di belakangnya. Didot baru berusia 23 tahun dan prestasinya dikatakan menarik minat banyak kelab utama termasuk United.  Trabquillo Barnetta (Leverkusen) dan Tim Borowski (Weder Bremen) adalah pemain yang lebih berpengalaman namun jika aspek umur menjadi pilihan, Danijel Pranjic dari Bayern Munich boleh dipertimbangkan.  Pranjic boleh bermain di sebelah kiri ataupun sebagai perancang tengah.  Pranjic pemain yang berbakat dan turut dikaitkan dengan beberapa kelab Liga Perdana England.  Jika Bayern Munich tidak melanjutkan kontraknya, Pranjic adalah pemain berkebolehan yang boleh diperolehi dengan harga murah.

Junior Hoilett
Di England sendiri ada pemain yang patut diberikan perhatian seperti Junior Hoilett dari Blackburn Rovers.  Beberapa pengurus di Liga Perdana  dikatakan serius memantau perkembangan pemain muda berusia 22 tahun ini dan Ferguson sepatutnya salah seorang dari mereka.  Hoilett muncul pemain yang cukup menyinar dimusim suram Blackburn Rovers.  Rovers mungkin boleh keluar dari zon penyingkiran tetapi mereka pastinya tidak mampu  mengelak dari kehilangan beberpa pemain terbaik mereka musim depan.  Hoilett merupakan pemain versatile yang boleh beraksi sebagai penyerang ataupun di sebelah kiri atau kanan sayap. Kehadiran Hoilett bakal memberikan daya tambahan kepada gaya serangan United dan meringankan tugas Nani, Ashley Young atau Luis Antonio Valencia ketika menyerang.  Akhir sekali ada pilihan yang bakal memberikan kejutan besar jika ianya berlaku, sama seperti situasi Michael Owen ketika dia menyertai United pada 2009.  Pemain yang dimaksudkan ialah Didier Drogba, di mana dia dikatakan masih belum bersetuju menyambung sebarang kontrak bersama Chelsea.  Walaupun prestasi Drogba ketika ini tidak sama seperti tiga tahun lalu, Drogba tetap pilihan yang menarik.  Mungkin United boleh melakukan hal yang sama kepada Drogba sepertimana ketika mereka menandatangani Henrik Larsson dan Michael Owen.  Tentunya tawaran United bakal memberikan motivasi besar buat Drogba berbanding jika dia mengikut jejak bekas rakan sepasukannya, Nicholas Anelka yang bermain di Liga Super China.  Glory Glory Manchester United!!!

20 Mac 2012

PERTAHANAN PERANCIS SASARAN BARU FERGUSON?


Tonggak pertahanan LOSC Lille dan juga pemain antarabangsa Perancis, Mathieu Debuchy diberitakan menjadi sasaran terbaru Sir Alex Ferguson. Meskipun media sebelumnya mengaitkan kehadiran Ferguson menyaksikan perlawanan antara Lille dan Lyon pada 10 Mac lalu kerana minatnya terhadap Eden Hazard yang juga rakan sepasukan Debuchy, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Perkhabaran terbaru mengatakan misi sebenar Ferguson di Stadium Metropole ialah memantau aksi Debuchy. Ferguson yang bergelut mengisi posisi pertahanan kanan sejak persaraan Gary Neville melihat Debuchy sebagai pengganti terbaik buat bekas kapten United itu. Dengan Rafael da Silva yang sering keluar masuk bilik rawatan, Ferguson tiada pilihan lain selain meletakkan Phil Jones atau Chris Smalling mengisi posisi tersebut biarpun kedua-duanya lebih merupakan pemain pertahanan tengah. Debuchy dianggap tonggak utama Lille sejak beberapa musim lalu dan prestasi baiknya ketika membantu Perancis menewaskan Jerman dikatakan menarik minat Ferguson mendapatkan tandatangannya.  Bagaimanapun United terpaksa berhadapan dengan persaingan sengit bagi mendapatkan bintang berusia 26 tahun itu kerana dua lagi kelab iaitu Bayern Munich dan Valencia turut dikatakan menunjukkan minat mendalam terhadapnya.  Glory Glory Manchester United!!!

19 Mac 2012

FERGUSON: VALENCIA PEMAIN SERBA LENGKAP


Selepas menyaksikan pasukannya merakamkan kemenangan besar ke atas Wolverhampton Wanderers semalam, Sir Alex Ferguson merakamkan pujian atas kepulangan semula pemain sayap yang baru pulih dari kecederaan, Luis Antonio Valencia.  Kemenangan ke atas Wolves di Molineux, gelanggang yang menyaksikan United tewas 1-2 musim lalu meletakkan United mendahului dengan kelebihan empat mata  ke atas pencabar terdekat, Manchester City.  "Mereka (City) akan berdepan perlawanan getir menentang Chelsea pertengahan minggu.  Apa yang penting kami meneruskan rentak kemenangan, masih ada baki sembilan perlawanan dan kami mesti fokus menghadapinya", kata Ferguson.  Ferguson turut memuji penampilan semula Valencia selepas direhatkan selama empat minggu kerana masalah hamstring. Sambil menyifatkan Valencia sebagai salah seorang pemain terbaik United pada perlawanan semalam, Ferguson menganggap kehadiran semula pemain sayap lincah itu sangat penting dalam usaha United mengharungi baki perlawanan liga mereka selepas ini.  "Antonio akan menjadi pemain yang sangat penting buat kami.  Dia sentiasa bekerja keras, mampu melakukan bentesan dan pantas melepasi pemain lawan.  Dia memiliki semua yang diperlukan oleh seorang pemain bolasepak".  Biarpun tidak bermain selama empat minggu, Valencia pantas menyesuaikan diri dengan suasana perlawanan dan statistik perlawanan semalam menunjukkan dia berjaya melepaskan tiga percubaan tepat, mencipta dua assist dan menjaringkan satu gol.  

Berita-Berita Lain:

BERBATOV PASTI TINGGALKAN UNITED

Agen Dimitar Berbatov, Emil Danchev mengesahkan bahawa penyerang itu akan meninggalkan Old Trafford musim panas ini.  Danchev mengakui telah mengadakan rundingan dengan Sir Alex Ferguson berhubung masa depan Berbatov bersama United.  Menurut Danchev, tiga pertemuan telah dibuat dengan Sir Alex Ferguson dan bos United itu  tidak keberatan membenarkan Berbatov mencari pasukan lain musim hadapan.  Berbatov yang muncul penjaring terbanyak United musim lalu, tetapi lebih kerap memanaskan bangku simpanan dan gagal bersaing dengan Wayne Rooney, Javier Hernandez dan Danny Welbeck untuk tempat selaku penggempur utama musim ini.  Sambil mengakui bahawa Berbatov memang tiada dalam rancangan pembangunan untuk tempoh tiga hingga empat tahun United, Danchev mengatakan kliennya itu akan meninggalkan England untuk beraksi di liga-liga utama Eropah yang lain.  "Saya telah melakukan tiga pertemuan dengan Alex Ferguson.  Kami mesti menerima hakikat bahawa beliau sedang membangunkan pasukan untuk tempoh tiga hingga empat tahun ke depan dan Berbatov memang tiada dalam perancangannya.  Ferguson ingin mengubah gaya permainan pasukan dengan mementingkan aspek kepantasan", kata Danchev.  Menurut Danchev, Berbatov tidak akan mengikut jejak langkah beberapa pemain bintang yang berada di penghujung karier dengan bermain di liga-liga Amerika Syarikat, Jepun atau Timur Tengah jika meninggalkan England.

INGIN TAMPIL DI OLIMPIK, DE GEA KECEWAKAN FERGUSON

Keinginan tinggi yang ditunjukkan David De Gea untuk mewakili Sepanyol di Sukan Olimpik 2012 nyata kurang disenangi Sir Alex Ferguson.  Ferguson dikhabarkan mendesak De Gea supaya melupakan hasratnya untuk tampil di temasya sukan terbesar dunia itu.  Ferguson ternyata kurang senang apabila melihat pemainnya tampil dalam dua kejohanan besar berturut-turut kerana nama De Gea mungkin turut disenaraikan Vincente del Bosque dalam skuad kebangsaan Sepanyol ke pusingan akhir Euro 2012 pada Jun ini.  De Gea melihat peluang mewakili Sepanyol dalam sukan Olimpik lebih realistik berbanding di Euro 2012 dimana dia terpaksa bersaing dengan tiga lagi penjaga gol berpengalaman (Iker Casillas, Victor Valdes dan Pepe Reina).  Persekutuan Bolasepak Sepanyol mahu menghantar skuad yang memenangi kejuaraan U21 Eropah 2011 ke kejohanan Sukan Olimpik.

JUVENTUS TERUSKAN USAHA DAPATKAN POGBA

Masa depan bintang muda Manchester United, Paul Pogba masih menjadi tanda tanya selepas Juventus diberitakan masih belum mahu mengalahkan mendapatkan pemain tengah itu.  Pengarah kelab gergasi Itali itu, Beppe Marotta mengeluarkan kenyataan bahawa kelabnya masih belum berputus asa dalam usaha mereka membawa Pogba beraksi ke Serie A musim depan.  Ketika ini kontrak Pogba bersama United masih dalam perbincangan namun Marotta optimis terhadap usaha kelabnya mendapatkan tandatangan bintang muda itu. "Saya tahu, Manchester United akan berusaha sedaya upaya mempertahankan pemain itu, tetapi saya ingin menyakinkan Pogba bahawa dia memiliki masa depan yang cerah jika menyertai kami", kata Marotta.

UNITED KUKUHKAN KEDUDUKAN


Manchester United mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas Liga Perdana England selepas mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas Wolverhampton Wanderers sebentar tadi.  Kekalahan ini juga menyaksikan harapan tuan rumah untuk terus mengekalkan tempat mereka dalam saingan elit Liga Perdana England musim depan semakin kabur. United mendahului tuan rumah diminit ke-21 melalui jaringan jarak dekat Jonny Evans hasil hantaran Michael Carrick.  Ini juga merupakan jaringan pertama Evans buat United sepanjang kariernya.  Tuan rumah yang berada di zon penyingkiran tambah terdesak selepas pertahanan mereka Ronald Zubar diperintah keluar padang kerana mengutip  kad kuning kedua diminit ke-39.  Lima minit selepas itu, Luis Antonio Valencia melebar kedudukan kepada 2-0 dan United bertambah selesa apabila Danny Welbeck menjaringkan gol ketiga di penghujung separuh masa pertama.

Biarpun mendahului dengan tiga gol, United tidak mengendurkan asakan mereka di separuh masa kedua hingga memaksa Wolves meletakkan hampir keseluruhan pemain mereka di benteng.  Javier Hernandez menjaringkan gol keempat United diminit ke-56 selepas dia menanduk masuk bola hantaran Rafael da Silva.  Lima minit selepas itu, Hernandez menjaringkan gol kedua peribadinya apabila sekali lagi memanfaatkan hantaran Rafael da Silva sekaligus menutup pesta gol United di Molineux.  United memperolehi beberapa peluang untuk menambah gol selepas itu, namun kecekapan Wayne Hennessey menyelamatkan gawang tuan rumah dari terus dibolosi. Kemenangan ini juga menyaksikan United mengumpul 70 mata, empat mata di depan pencabar terdekat, Manchester City.  City yang bermain kurang satu perlawanan berpeluang merapatkan kedudukan jika berjaya menewaskan Chelsea Khamis ini. 

17 Mac 2012

PREVIEW: WOLVES lwn MANCHESTER UNITED


Selepas tersingkir dari saingan Liga Europa, Manchester United mengalihkan semula fokus  kepada baki 10 perlawanan mereka di liga domestik.  Sir Alex Ferguson memberi jaminan pasukannya sudah bersedia melupakan kekecewaan di pentas Eropah dan akan berusaha sedaya upaya meraih tiga mata penuh esok.  United akan berkunjung ke Stadium Molineux bagi menghadapi pasukan yang berada di zon penyingkiran, Wolverhampton Wanderers.  Di atas kertas, United kelihatan unggul berbanding lawan yang menduduki tangga ke-18 carta liga, tetapi kemampuan anak-anak buah Terry Connor ketika beraksi di gelanggang sendiri tidak harus dipandang mudah, apatah lagi mereka sedang berusaha keras keluar dari kedudukan dasar liga.  Musim lalu, Wolves muncul pasukan pertama menamatkan rekod tanpa kalah 18 perlawanan United apabila mereka berjaya merakamkan kemenangan 2-1 di Molineux hasil jaringan George Elokobi dan Kevin Doyle.  Tidak mahu nasib sama berulang, Ferguson mengambil sikap berhati-hati menjelang perlawanan esok dan tidak mahu meremehkan keupayaan lawan melakukan kejutan.  

"Kebiasaannya kami sentiasa serius bila berhadapan dengan mana-mana pasukan.  Kami berada di kedudukan teratas liga sedangkan mereka (Wolves) berada di zon penyingkiran.  Jadi kami harus menunjukkan kualiti yang ada pada kami", kata Ferguson.  United ketika ini mendahului tangga teratas liga dengan 67 mata, satu mata di depan pencabar terdekat, Manchester City di tangga kedua.  Dengan City yang akan hanya beraksi pada pertengahan minggu ini, kemenangan di Molineux esok akan menyaksikan United melebarkan kedudukan mereka kepada empat mata.  Sementara itu, penjaga gol United, David De Gea mahu segera melupakan kegagalan di pentas Eropah.  De Gea berharap United mampu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini sekaligus mengubati kekecewaan mereka dalam saingan Eropah.  "Sangat penting untuk kami memenangi gelaran liga musim ini.  Ketika ini kami di posisi teratas dan akan berusaha mengekalkan kedudukan itu hingga akhir musim.  Kami akan berdepan ujian besar menentang Wolves dan akan memberikan tumpuan kepada perlawanan ini", kata De Gea.  Glory Glory Manchester United!!!

Berita-Berita Lain:

UNITED DEKATI JULIO CESAR?

Manchester United diberitakan sedang menyiapkan tawaran musim panas untuk penjaga gol Inter Milan, Julio Cesar.  Media-media di Itali mengatakan United belum cukup berpuashati dengan prestasi David De Gea yang ditandatangani dari Atletico Madrid musim ini.  Prestasi tidak menentu Inter musim ini juga dikatakan menjadi penyebab utama Cesar ingin berhijrah dari Giuseppe Meazza dan Sir Alex Ferguson melihat penjaga gol antarabangsa Brazil itu antara nama yang boleh diharapkan  mengawal gawang United biarpun sudah mencecah usia 32 tahun.  Cesar memiliki pengalaman luas dari aspek menangani tekanan, sesuatu yang dilihat Ferguson tidak dimiliki oleh De Gea.

FERGUSON KECEWA PRESTASI UNITED DI EROPAH

Sir Alex Ferguson jelas agak kecewa dengan prestasi pasukannya di pentas Eropah musim ini.  Selepas tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara di peringkat kumpulan, United sekali lagi dikecewakan apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Athletic Bilbao di Liga Europa.  Kegagalan melayakkan diri ke peringkat suku akhir apabila tewas dengan aggregat 3-5 kepada wakil Sepanyol itu memberikan tamparan hebat terhadap kempen Eropah United musim ini.  Ferguson turut mengakui hakikat tentang prestasi hambar United dan berharap anak-anak buahnya bangkit pada saingan domestik.  "Ini adalah tahun yang mengecewakan bagi United.  Saya memang kecewa dengan prestasi kami di Eropah namun kami harus kembali fokus pada saingan domestik.  Kami akan memberikan tumpuan kepada baki perlawanan liga", kata Ferguson.

16 Mac 2012

FERGUSON: BILBAO MEMANG LAYAK MENANG


Tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara dan kemudiannya beraksi di Liga Europa mungkin mengaibkan buat kelab seperti Manchester United.  Peluang menebus kehampaan kempen Liga Juara-Juara gagal dimanfaatkan skuad The Red Devils apabila mereka tersingkir di pusingan 16 pasukan selepas tewas kepada Athletic Bilbao dengan aggregat 3-5.  Awal pagi tadi, United gagal bangkit dari kekalahan pada perlawanan pertama di gelanggang sendiri apabila mereka tewas 1-2 kepada Bilbao di San Memes.  Gol jaringan Fernando Llorente diminit ke-23 dan Oscar de Marcos diminit ke-65 menutup terus peluang United untuk melakukan kebangkitan di gelanggang lawan.  Jaringan Wayne Rooney ketika permainan sebenar berbaki 10 minit sudah terlewat buat United untuk melakukan sesuatu.  Ferguson bagaimanapun agak berlembut dan enggan menyalah pemain-pemainnya atas satu lagi prestasi buruk United di pentas Eropah.  Ferguson sebaliknya melihat Bilbao memang layak melangkah keperingkat suku akhir berdasarkan persembahan cemerlang mereka dalam kedua-dua perlawanan. 

"Mereka unggul apabila berjaya mendapatkan gol di babak pertama.  Sukar untuk mempercayai apabila kami dibolosi dan mereka juga bermain dengan baik di awal babak kedua.  Mereka juga sepatutnya menjaringkan dua atau tiga gol lagi di babak kedua tetapi gol Rooney memberikan kami sedikit harapan", kata Ferguson.  Ferguson jelas agak kecewa dengan kegagalan United di pentas Eropah musim ini namun berharap pasukannya memperolehi pelajaran berguna dari kegagalan ini.  Sementara itu,  penjaga gol United, David de Gea meramalkan skuad kendalian Marcelo Bielsa itu mampu melangkah ke perlawanan akhir yang akan diadakan di Bucharest pada 9 Mei nanti.  De Gea mengakui Bilbao mempamerkan prestasi lebih baik berbanding United dan dia percaya kelab Basque itu adalah calon utama melangkah ke perlawanan akhir.  "Kami berdepan pasukan hebat pada peringkat ini dan saya mengucapkan selamat berjaya kepada Athletic Bilbao.  Mereka bermain lebih baik dan berhak menang.  Mereka mengalahkan kami, jadi mereka juga boleh mengalahkan mana-mana pasukan dan melangkah hingga ke perlawanan akhir", kata De Gea.  Glory Glory Manchester United!!!

Berita-Berita Lain:

PELUANG SAHIN BERPINDAH KE OLD TRAFFORD

Manchester United memang diketahui sedang mencari pemain tengah kreatif bagi memperkuatkan barisan tengahnya musim depan dan nama Nuri Sahin dilihat pemain paling sesuai mengisi posisi tersebut.  Sahin yang berpindah dari Borussia Dortmund, gagal bersaing dengan Xabi Alonso, Sami Khedira dan Lassana Diarra untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama Real Madrid pada musim pertamanya di Bernabeu.  Pemain terbaik Bundesliga musim lalu itu, muncul pemain yang disebut-sebut berada dalam senarai pemain yang akan dijual musim panas ini.  Dengan  harga lebih rendah yang mungkin ditawarkan Real, Sahin dilihat pemain paling sesuai untuk dibawa masuk oleh Sir Alex Ferguson sebagai pengganti jangka panjang Paul Scholes.  Bagaimanapun usaha United turut disaingi Borussia Monchengladbach yang berhasrat membawa kembali pemain itu ke Bundesliga.

PELUANG UNITED JARAKKAN KEDUDUKAN

Perlawanan Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini hanya membabitkan empat perlawanan kerana penglibatan beberapa kelab dalam saingan Piala FA.  United yang akan beraksi pada hari Ahad, berpeluang menjarakkan kedudukan di tangga teratas liga apabila pencabar di tangga kedua, Manchester City akan hanya beraksi pada hari Khamis.  United akan bertandang ke kubu Wolverhampton Wanderers di Molineux manakala City pula berdepan saingan getir menentang Chelsea di gelanggang sendiri.  Kemenangan United ke atas Wolves bakal menyaksikan mereka melebarkan kedudukan di tangga teratas kepada empat mata, sekaligus menghadirkan tekanan lebih besar buat skuad kendalian Roberto Mancini itu.  City  terpaksa melepaskan kedudukan selaku peneraju takhta liga kepada United berikutan kekalahan mengejut mereka kepada Swansea City Ahad lalu, dan bakal berdepan halangan besar Chelsea pada perlawanan pertengahan minggu.  Skuad kendalian Roberto de Matteo itu memiliki motivasi tambahan berikutan kejayaan mereka layak ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

15 Mac 2012

PREVIEW: ATHLETIC BILBAO lwn MANCHESTER UTD


Selepas dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada Athletic Bilbao pada perlawanan pertama minggu lalu, Sir Alex Ferguson berharap pasukannya mampu memadamkan defisit satu gol yang diperolehi lawan pada perlawanan kedua saingan Liga Europa awal pagi esok.  Biarpun berdepan misi sukar memandangkan lawan memiliki rekod cemerlang di gelanggang sendiri di peringkat Eropah, Ferguson tetap yakin United mampu melepasi halangan Bilbao sekaligus menempah tempat di peringkat suku akhir.  Untuk rekod, kali terakhir Bilbao tewas di San Memes pada saingan peringkat Eropah ialah pada 17 Disember 2009 kepada Werder Bremen.  Ferguson berharap kejayaan merampas kedudukan pendahulu takhta liga daripada Manchester City Ahad lalu akan menyuntik motivasi tambahan buat pemain-pemainnya dalam perlawanan ini.  "Ini merupakan perlawanan yang sukar bagi kami.  Bilbao memiliki kelebihan besar sekarang kerana mereka menang 3-2 di Old Trafford.  Saya percaya rekod kami di gelanggang lawan di peringkat Eropah akan membantu kami", kata Ferguson.  Penalti Wayne Rooney di penghujung permainan pada perlawanan pertama minggu lalu menghidupkan harapan skuad The Red Devils bangkit pada perlawanan ini dan tugas mencari dua gol tampak tidak mustahil untuk dilaksanakan.  Bilbao sudah boleh melupakan perlumbaan merebut tempat pada saingan Liga Juara-Juara musim depan selepas mereka tewas kepada Osasuna, Ahad lalu, tetapi Fernando Llorente dan Javi Martinez tetap pemain yang perlu diberikan perhatian pada perlawanan ini.  Selepas kehilangan khidmat Nemanja Vidic sejak Disember lalu, Ferguson juga tidak membawa bersama Nani, Anderson, Chris Smalling dan Phil Jones pada kunjungan ke Sepanyol kali ini kerana masalah kecederaan.  Bagaimanapun ada berita baik buat Ferguson apabila Luis Antonio Valencia yang mengalami kecederaan hamstring bulan lalu kini diberitakan cergas dan akan diturunkan di San Memes nanti.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Jonny Evans, Rio Ferdinand, Rafael da Silva, Michael Carrick, Paul Scholes, Luis Antonio Valencia, Ashley Young, Wayne Rooney & Danny Welbeck

Berita-Berita Lain:

ISYARAT UNTUK BERBATOV PERGI

Isyarat untuk membiarkan Dimitar Berbatov pergi dari Old Trafford telah diberikan oleh Sir Alex Ferguson. Ferguson nampaknya memahami kehendak bekas pemain yang dibawa dari Tottenham Hotspurs dengan nilai 30 juta Pound untuk mendapatkan kelab yang boleh memberikan tempat untuknya dalam kesebelasan utama.  "Pada usia 31 tahun, dia mahukan jaminan diberikan tempat dalam pasukan utama.  Sukar bagi saya memberikan jaminan itu untuknya", kata Ferguson.  Musim ini, Berbatov kerap memanaskan bangku simpanan di mana Ferguson nampaknya lebih gemar menggunakan gandingan Wayne Rooney, Javier Hernandez atau Danny Welbeck sebagai penggempur.  Kali terakhir Berbatov beraksi ialah pada  23 Februari lalu ketika pertemuan dengan Ajax Amsterdam dalam saingan Liga Europa. 

HAZARD GEMBIRA FERGUSON TONTON AKSINYA

Bintang Lille, Eden Hazard yang dikatakan menarik minat beberapa kelab gergasi Liga Perdana Inggeris mengakui bahawa beliau gembira apabila mengetahui Sir Alex Ferguson terbang ke Paris untuk menyaksikan aksinya.  Ferguson dikatakan antara pengurus Liga Perdana Inggeris paling serius cuba mendapatkan tandatangan Hazard dan sanggup ke Paris menyaksikan pertemuan antara Lille dan Olympique Lyon hujung minggu lalu.  Usaha itu dilakukan Ferguson sebelum tawaran secara rasmi diberikan untuk membawa bintang tengah itu ke Old Trafford musim panas nanti.  "Saya sungguh gembira apabila mengetahui aksi saya dipantau oleh salah seorang jurulatih terbaik di dunia", kata Hazard.


10 Mac 2012

KENALI LAGENDA: DUNCAN EDWARDS


Sir Matt Busby menyifatkan Duncan Edwards sebagai `pemain bolasepak paling lengkap di Britain, mungkin juga di dunia'.  Satu kerugian besar buat penyokong-penyokong Manchester United  era itu kerana mereka tidak dapat menyaksikan potensi Edwards untuk tempoh yang lebih panjang. Pada usia 21 tahun, Edwards bersama tujuh lagi pemain United terkorban dalam nahas udara Munich 1958.  Dilahirkan pada 1 Oktober 1936, Edwards memiliki stamina tidak terbatas sebagai atlet dan juga rembatan padu sebagai aset utamanya.  Bakat luar biasa Edwards mula dikesan ketika dia mewakili sekolahnya pada usia 11 tahun, sekaligus menarik perhatian Wolverhampton Wanderers, Aston Villa, West Bromwich Albion dan Birmingham City.  Guru sekolahnya ketika itu meramalkan Edwards bakal mewakili England suatu hari nanti.  Walaupun menjadi rebutan kelab-kelab di Midlands ketika itu, Edwards akhirnya menyertai United sebagai perantis selepas Sir Matt Busby melakukan kunjungan peribadi ke kediaman keluarganya pada 31 Mei 1952.  Susuk tubuh Edwards yang besar berbanding usianya memberikan kelebihan kepada beliau dan  penampilan pertamanya bersama United ialah ketika menentang Cardiff City pada 4 April 1953.  Ketika itu, Edwards hanya berusia 16 tahun, 185 hari, sekaligus muncul pemain paling muda bermain untuk skuad utama United. Edwards juga berjaya membantu United memenangi Piala FA Remaja untuk musim 1952/53 sekaligus trofi pertamanya bersama United.  Pada sambutan ulang tahun ke 17, Edwards menikmati musim penuhnya apabila beliau disenaraikan dalam skuad utama United untuk musim 1953/54.   

Menyedari skuadnya dibarisi pemain-pemain yang agak berusia, Busby memberi peluang kepada berapa pemain muda seperti Dennis Viollet, Jackie Blanchflower dan Edwards sendiri menyertai skuad utama bagi menghadapi musim 1953/54.  Akhbar The Guardian memuji penampilan Edwards dalam musim pertamanya dan beliau sendiri berjaya membalas kepercayaan yang diberikan oleh Busby hingga berjaya disenaraikan dalam kesebelasan utama.  Prestasi Edwards mula menarik perhatian ramai ketika dia diturunkan menentang Kilmarnock dalam satu perlawanan persahabatan, lantas menjadi calon pengganti kepada Henry Cockburn yang mengalami kecederaan ketika berdepan Huddersfield Town pada 31 Oktober 1953.  Selepas itu, Edwards adalah anggota tetap kesebelasan utama United di mana dia bermain sebanyak 24 perlawanan liga tetapi gagal membantu United dalam kempen Piala FA apabila mereka disingkir Burnley 3-5 pada pusingan ketiga. Selain menganggotai skuad utama, Edwards juga bermain untuk skuad remaja United musim tersebut, dan berjaya memenangi Piala FA Remaja buat kali kedua berturut-turut.  Edwards kemudiannya dipanggil menyertai skuad bawah 23 tahun England pada 20 Januari 1954 tetapi prestasi menurun yang dipamerkannya ketika menentang Arsenal pada 27 Mac menyebabkan   dia gagal menyertai skuad senior.

Edwards bermain sebanyak 36 perlawanan dan menjaringkan 6 gol sepanjang musim 1954/55.  Beliau bagaimanapun tetap gagal menyertai skuad kebangsaan England meskipun mempamerkan prestasi cemerlang bersama United selain berjaya disenaraikan dalam kesebelasan terbaik liga pada perlawanan persahabatan menentang skuad terbaik Liga Scotland.  Karier Edwards bersama skuad kebangsaan kembali bersinar apabila dia dipanggil menyertai skuad England B pada perlawanan menentang Jerman, dan seminggu kemudian berjaya menyertai skuad kebangsaan.  Penampilan sulungnya bersama England ialah ketika menentang Scotland pada 2 April 1955.  Edwards memegang rekod sebagai pemain termuda bermain untuk England ketika itu pada usia 18 tahun dan 183 hari. Rekod itu bagaimanapun dipecahkan Michael Owen pada kejohanan Piala Dunia 1998.  Tiga minggu kemudian, Busby menyenaraikan Edwards dalam barisan skuad remaja United bagi menghadapi perlawanan akhir Piala FA Remaja.  Tindakan Busby menyenaraikan Edwards yang berstatus pemain kebangsaan dalam kejohanan peringkat remaja mengundang kritikan keras, tetapi itu tidak menghalang beliau (Edwards) dari membantu United menang trofi tersebut buat musim ketiga berturut-turut.  Bulan Mei 1955, Edwards dipilih menyertai skuad kebangsaan pada jelajah Eropah menentang Perancis, Portugal dan Sepanyol.  Walaupun diserang selsema teruk hingga diketepikan selama dua bulan, Edwards tampil sebanyak 33 perlawanan dan berjaya membantu United menjulang kejuaraan liga musim 1955/56.

Musim berikutnya (1956/57) Edwards bermain sebanyak 34 perlawanan dan berjaya melepasi angka 100 penampilan buat United, selain berjaya membantu kelab mempertahankan kejuaraan liga dua musim berturut-turut.  Edwards bagaimanapun terlepas medal kejuaraan Piala FA apabila United tewas 1-2 kepada Aston Villa di perlawanan akhir.  Di pentas Eropah, Edwards membuat tujuh penampilan dan beliau antara pemain dalam skuad yang berjaya membelasah Anderlecht 10-0 (kekal sebagai rekod jaringan United di peringkat Eropah hingga kini).  Karier Edwards bersama skuad kebangsaan semakin bersinar dan dia adalah calon bagi menggantikan pemain veteran, Billy Wright sebagai kapten England pada pusingan akhir Piala Dunia 1958.  Perlawanan terakhir beliau di England ialah pada 1 Februari 1958 di mana beliau berjaya menjaringkan gol pembukaan ketika  United menewaskan Arsenal 5-4.  Lima hari kemudian Edwards bermain perlawanan terakhirnya buat United, kali ini dalam saingan Piala Eropah di Belgrade.  Dalam perlawanan itu, United mencatat keputusan seri 3-3 ketika menentang Red Star Belgrade sekaligus mara ke peringkat separuh akhir dengan aggregat 5-4.  Dalam perjalanan pulang dari Belgrade, berlaku nahas udara di Munich (6 Februari 1958) yang mengorbankan lapan pemain United termasuk Edwards.  Biarpun bertarung untuk hidup selama dua minggu, Edwards akhirnya meninggal dunia pada 21 Februari 1958.  Sepanjang kariernya Edwards bermain sebanyak 177 perlawanan dan menjaringkan 21 gol untuk United.

09 Mac 2012

FERGIE YAKIN UNITED AKAN BANGKIT SEMULA


Biarpun tewas 2-3 di gelanggang sendiri kepada Athletic Bilbao dalam perlawanan pertama pusingan 16 pasukan Liga Europa, Sir Alex Ferguson tetap yakin anak-anak buahnya mampu bangkit pada perlawanan kedua di gelanggang lawan nanti.  Ini juga adalah kekalahan kedua berturut-turut United  di gelanggang sendiri dalam saingan Liga Europa.  Pada 24 Februari lalu, United tewas 1-2 kepada Ajax Amsterdam di Old Trafford tetapi tetap layak ke pusingan 16 pasukan melalui kemenangan aggregat 3-2.  Awal pagi tadi, Wayne Rooney meletakkan United di depan diminit ke-22 tetapi pelawat berjaya menyamakan kedudukan melalui tandukan Fernando Llorente diminit ke-44.  Bilbao terus memberi tekanan kepada barisan The Red Devils apabila Oscar de Marcos menjaringkan gol kedua pelawat diminit ke-71 sebelum Iker Muniain melebarkan kedudukan kepada 3-1 dipenghujung perlawanan.  Tugas United untuk memadamkan defisit dua gol menjelang pertembungan kedua di Sepanyol minggu hadapan tampak berat, sehinggalah mereka dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Rooney dimasa kecederaan.  

Ferguson mengakui Bilbao adalah pasukan yang lebih baik dalam perlawanan ini dan berharap pemain-pemainnya akan bangkit pada perlawanan kedua nanti.  "Kami tewas dan saya harus mengakui bahawa lawan adalah pasukan yang lebih baik malam ini.  Ini adalah perlawanan yang cukup terbuka dan menghiburkan", kata Ferguson.  Meskipun Bilbao memperolehi bekalan gol yang selesa di gelanggang lawan, Ferguson tetap yakin pasukannya masih berpeluang memenangi perlawanan kedua nanti.  Bos United itu juga berharap barisan pertahanannya akan menampilkan aksi lebih kemas minggu hadapan dan tidak menolak kemungkinan akan menggunakan Rio Rerdinand ketika aksi di San Memes nanti.  "Saya yakin kami masih berpeluang memadam kelebihan lawan tetapi kami juga harus memperbaiki kelonggaran di bahagian pertahanan.  Saya juga sedang melihat kemungkinan membawa Rio Ferdinand tanpa menganggu tumpuan kami dalam saingan liga". Ferguson mengkritik keputusan pengadil perlawanan Florian Meyer yang memberikan sepakan percuma kepada lawan sehingga menghasilkan gol ketiga mereka.  "Saya tidak faham mengapa pengadil menghentikan perlawanan dan memberikan sepakan percuma kepada lawan hanya disebabkan but Patrice Evra tertanggal".

08 Mac 2012

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn ATHLETIC BILBAO


Manchester United mengalu-alukan kepulangan semula Chris Smalling ke dalam pasukan selepas pemain pertahanan itu pulih dari kecederaan yang dialami ketika mewakili England menentang Belanda minggu lalu.  Pemain tengah, Anderson juga dikatakan hanya menunggu masa melakukan kemunculan semula selepas berehat selama dua bulan akibat masalah kecederaan lutut. Ini merupakan berita baik buat Sir Alex Ferguson menjelang pertembungan Liga Europa menentang Athletic Bilbao di Old Trafford awal pagi nanti.  Bagaimanapun khidmat dua lagi pemain iaitu Tom Cleverley dan Antonio Valencia yang masih dibelenggu kecederaan tidak dapat digunakan dalam perlawanan ini dengan Valencia hanya dijangka sedia diturunkan pada perlawanan kedua di San Memes nanti.  Sementara itu, kunjungan Bilbao ke Old Trafford kali ini dalam tempoh 55 tahun tanpa kelibat Aitor Ocio, kapten pasukan, Carlos Gurpegui dan Xabi Castello yang mengalami kecederaan.  Pemain tengah mereka Ander Iturraspe yang terlepas derby Basque menentang Real Sociedad hujung minggu lalu dijangka kembali ke dalam skuad.

Jika berhajat menempah tempat ke suku akhir Liga Europa musim ini, United perlu segera memperbaiki prestasi mereka di gelanggang sendiri ketika bersaing di peringkat Eropah.  Rekod kempen Eropah United di gelanggang sendiri musim ini kurang menyakinkan apabila mereka hanya mencatat kemenangan sekali iaitu ketika menewaskan Otelul Galati di Old Trafford dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.  Perlawanan terakhir United di gelanggang sendiri menyaksikan mereka tewas 1-2 kepada Ajax Amsterdam dan mereka perlu mengelak dari melakukan kesilapan yang sama jika berhajat melangkah lebih jauh dalam saingan ini.  Cabaran dari skuad kendalian Marcelo Bielsa yang menduduki tangga kelima La Liga ini tidak harus dipandang ringan dan pemain lawan yang harus diberikan perhatian ialah Fernando Llorente.  Llorente menjaringkan 19 gol dalam saingan La Liga dan juga merupakan penjaring terbanyak kelab, namun gagal meneruskan kecemerlangan dalam kempen Liga Europa mereka apabila dia hanya menjaringkan dua gol setakat ini.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Jonny Evans, Chris Smalling, Patrice Evra, Rafael da Silva, Ashley Young, Michael Carrick, Ryan Giggs, Nani, Wayne Rooney & Javier Hernandez

06 Mac 2012

FERDINAND: UNITED DI LANDASAN TEPAT


Kemenangan ke atas Tottenham Hotspurs di gelanggang lawan kelmarin adalah kemenangan kesepuluh United musim ini, sekali ganda melebihi dari apa yang mereka capai musim lalu.  Musim lalu United hanya mencatat lima kemenangan dari 19 perlawanan mereka di gelanggang lawan tetapi rekod menggerunkan di gelanggang sendiri membantu The Red Devils menang trofi ke-19 Liga Perdana Inggeris.  Musim ini juga menyaksikan United mencatat rekod yang membanggakan apabila gawang mereka tidak dibolosi dalam enam perlawanan di gelanggang lawan.  Benteng berpengaruh United, Rio Ferdinand mengakui kemenangan di White Hart Lane memberikan isyarat bahawa mereka kini berada di landasan tepat dalam misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.  "Musim lalu kami tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.  Mungkin juga kami cepat berpuas hati, tetapi musim ini kami bersikap lebih profesional.  Kini kami adalah pasukan yang sukar untuk dikalahkan dan mempunyai pemain yang boleh mengalahkan sesiapa saja", kata Ferdinand.  Menilai persembahan United kelmarin, Ferdinand menyifatkan White Hart Lane adalah gelanggang yang sukar buat mana-mana pasukan pelawat tetapi berbekalkan kerja keras rakan-rakan sepasukan dan disiplin ketika bertahan, United akhirnya berjaya meraih tiga mata penting di gelanggang lawan itu.  

Selain itu, Ferdinand turut memuji penampilan David De Gea pada musim pertamanya dalam saingan Liga Perdana.  De Gea yang dibawa ke Old Trafford bagi menggantikan tempat Edwin Van der Sar yang bersara penghujung musim lalu membuktikan pelaburan yang dibuat ke atasnya berbaloi.  Penjaga gol berusia 21 tahun itu cukup cemerlang sejak akhir-akhir ini terutama aksinya ketika United menewaskan Norwich City di Carrow Road dan sekali lagi mengulangi aksi hebatnya dengan menyelamatkan beberapa percubaan bahaya lawan di White Hart Lane. "David telah melakukan beberapa langkah untuk meningkatkan prestasinya.  Dia banyak belajar dan ingin menjadi penjaga gol yang lebih baik.  Perkara itu amat penting buat pemain muda sepertinya".  Spurs mendominasi permainan di separuh masa pertama pada pertemuan hujung minggu lalu tetapi jaringan Wayne Rooney dan Ashley Young memadamkan terus harapan tuan rumah yang cuba memadamkan rekod buruk sepuluh tahun mereka ketika berdepan United.  Selepas mengharungi dua perlawanan sukar di gelanggang lawan (bertemu Norwich dan Spurs), Ferguson kini sudah boleh berkira-kira untuk terus memberikan tekanan lebih hebat kepada Manchester City selaku pendahulu liga.  Minggu ini United akan melayan kunjungan West Bromwich Albion manakala City pula akan menentang Swansea City di Stadium Liberty.  Glory Glory Manchester United!!!

Berita-Berita Lain:

DE GEA: MENYERTAI UNITED SATU KEBANGGAN BUAT SAYA

David De Gea mengakui dia amat berbangga menyertai Manchester United musim ini.  Penjaga gol muda Sepanyol yang dibawa dari Atletico Madrid itu kagum ketika pertama kali menjejakkan kakinya ke Old Trafford dan bertemu dengan nama-nama besar yang lain seperti Ryan Giggs, Paul Scholes dan Wayne Rooney.  "Setiap pagi ketika saya masuk ke bilik persalinan dan melihat pemain-pemain seperti Ryan Giggs dan Paul Scholes membuat saya seolah-olah sedang bermimpi.  Perkara itu membuatkan saya merasa sangat bangga.  Saya juga mengatakan kepada Giggs bahawa saya adalah lagenda United yang berikutnya", kata De Gea.  De Gea turut mengakui dia memiliki hubungan yang cukup akrab dengan pemain-pemain United yang boleh berbahasa Sepanyol seperti Javier Hernandez dan Antonio Valencia.

FERGUSON TAK TERPERANJAT VILLAS BOAS DIPECAT

Sir Alex Ferguson mengakui dia tidak terkejut ketika mendengar berita pemecatan Andre Villas-Boas sebagai pengurus Chelsea.  Villas-Boas dipecat pemilik kelab, Roman Abramovich selepas mereka tewas 0-1 kepada West Bromwich Albion, Sabtu lalu.  Pemecatan itu juga mengakhiri kerjaya singkat bekas jurulatih Porto itu di Stamford Bridge.  Ferguson yang mengharungi tempoh karier panjang selama 25 tahun di Old Trafford mengakui kelab-kelab besar kini lebih menginginkan kejayaan segera dan tidak langsung memiliki kesabaran dalam mencipta kecemerlangan.  "Berita pemecatan Villas-Boas langsung tidak mengejutkan saya", kata Ferguson.  "Media turut memainkan peranan dalam isu pemecatannya.  Agak mengecewakan kerana dia adalah seorang pengurus muda.  Dia perlukan waktu tetapi sayangnya bidang ini tidak memberikannya banyak waktu, jadi ia sungguh menyedihkan".  Ferguson jelas mengagumi pencapaian yang diraih Villas-Boas ketika bersama Porto dan berharap suatu hari nanti jurulatih muda itu kembali semula dalam saingan bolasepak.

05 Mac 2012

FERGIE FOKUS PADA PERTEMBUNGAN DERBY



Sir Alex Ferguson mengakui kemenangan 3-1 ke atas Tottenham Hotspurs di White Hart Lane awal pagi tadi amat penting dalam usaha pasukannya mempertahankan kejuaraa liga musim ini.  Sebelum perlawanan berlangsung, United ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Manchester City dan berdepan kemungkinan gagal merapatkan kedudukan berikutan reputasi Spurs sebagai antara pencabar utama merebut kejuaraan liga musim ini.  Walau bagaimanapun barisan The Red Devils akhirnya lulus dengan cemerlang, selain berjaya memanjangkan rentetan rekod buruk lawan sepanjang sepuluh tahun pertemuan antara kedua-dua pasukan.  Gol menerusi tandukan Wayne Rooney di penghujung separuh masa pertama dan dua jaringan Ashley Young diminit ke-60 dan 69 memberikan tiga mata berharga sekaligus meletakkan United kembali berada dua mata di belakang City. Spurs memperolehi gol tunggal menerusi penyerang gantian, Jermain Defoe di penghujung permainan.  Kemenangan ini menyaksikan United berjaya melebarkan jurang mata dengan Spurs yang berada di tangga ketiga kepada 11 mata, dan mungkin menamatkan terus usaha anak-anak buah Harry Redknapp mencabar kejuaraan liga musim ini.  

Meskipun berjaya meraih tiga mata penuh, Ferguson mengakui ini bukanlah prestasi terbaik United selain dibantu sedikit tuah terutamanya selepas melihat jaringan Adebayor dibatalkan pengadil.  "Tottenham bermain dengan baik dan kami pula mungkin melakukan taktik yang salah di babak pertama.  Kami berubah di babak kedua dan saya memberitahu pemain agar terus memberi tekanan kepada pertahanan lawan.  Selepas memperolehi gol kedua, permainan kami semakin lancar", kata Ferguson. Ferguson menyifatkan gol sulung United menerusi Rooney hadir tepat pada masanya yang juga merupakan percubaan pertama mereka ke arah pintu gol Spurs.  "Kami menunjukkan keinginan tinggi untuk menang.  Tottenham adalah pasukan yang sangat kuat dan mereka hanya kalah dua kali di gelanggang sendiri musim ini.  Kemenangan ini sungguh luar biasa".  Selepas kejayaan ini, Ferguson segera mengalihkan fokusnya pada pertemuan derby menentang Manchester City, 30 April ini.  Perlawanan derby kali ini dianggap penting kerana ada kemungkinan ianya bakal menentukan siapa bergelar juara liga musim ini.  Melihat kepada persembahan United di White Hart Lane, Ferguson yakin mereka sudah bersedia berdepan pertembungan yang dianggap paling besar musim ini.  Glory Glory Manchester United!!!