Kejayaan Manchester United memenangi trofi
liga buat kali ke-20 turut memberikan impak positif kepada poket mereka. Sir
Alex Ferguson sendiri sudahpun memberikan isyarat bahawa United akan berbelanja
besar musim panas ini bagi memperkuatkan skuad untuk menghadapi saingan musim depan.
Menurut Sir Alex, beliau sudahpun mengadakan pertemuan dengan pemilik kelab
(keluarga Glazer) untuk berbincang bagi menambahkan kekuatan pasukannya sebaik
sahaja United mengesahkan kejuaraan liga musim ini milik mereka selepas
menewaskan Aston Villa 3-0 minggu lalu. Ketika ditanya apakah pertumbuhan
kewangan yang begitu pesat dengan kehadiran penaja-penaja baru di Old Trafford sejak
kebelakangan ini memberikan peluang untuk beliau berbelanja besar membeli
pemain-pemain baru, Sir Alex menjawab, “Ya memang jelas, saya harap begitu. Tidak
diragukan bahawa nilai komersial kami di seluruh dunia semakin meningkat”, kata
Sir Alex. Sir Alex turut memuji peranan yang dimainkan pihak pengurusan
pemasaran kelab hingga berjaya menarik banyak penaja. “Mereka sudah melakukan
tugas yang bagus dan tentu saja ia akan menjadi platform terbaik buat kami.
Mereka telah memaksimakan profil besar milik kelab untuk menarik penaja baru”,
kata Sir Alex lagi. Sementara itu dikhabarkan pihak pengurusan kelab sudah
bersetuju memberikan peruntukan awal sebanyak 50 juta Pound kepada Sir Alex
bagi membeli pemain-pemain baru. Menurut laporan dari The Mirror, Sir Alex setuju dengan peruntukan tersebut yang bakal
digunakan beliau bukan sahaja untuk mempertahankan mahkota Liga Perdana yang
dimenangi musim ini malah meletakkan sasaran memenangi Liga Juara-Juara musim
depan. Beberapa pemain kelas dunia memang diketahui sudah berada dalam radar
Sir Alex untuk ditandatangani, paling hangat dikaitkan akan menyertai United musim
panas ini ialah Robert Lewandowski dan Radamel Falcao. The Mirror dalam laporannya turut percaya, Nani dan Anderson sudah
hampir pasti akan meninggalkan Old Trafford manakala Paul Scholes akan
mengumumkan persaraannya buat kali kedua. Bagi Wayne Rooney pula, dia dikatakan
masih mempertimbangkan masa depannya di Old Trafford dan mungkin akan
mengumumkan keputusannya sebaik musim ini berakhir. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
29 April 2013
REVIEW: RVP PAKSA GUNNERS KONGSI MATA
Arsenal dan Manchester United sekadar
berkongsi satu mata pada pertemuan liga di Stadium Emirates malam tadi.
Jaringan penalti Robin Van Persie di penghujung babak pertama perlawanan
memadam kelebihan awal tuan rumah menerusi Theo Walcott seawal minit kedua.
Seperti yang sudah dijangkakan Van Persie menerima layanan `istimewa’ dari
penyokong-penyokong The Gunners sepanjang
90 minit permainan berikutan keputusannya meninggalkan Stadium Emirates musim
panas lalu. Tradisi dengan memberikan penghormatan kepada sang juara (guard of honour) dilakukan sebelum
perlawanan manakala penyokong-penyokong tuan rumah pula nampaknya tidak
melakukan Poznan Celebration seperti
yang digembar-gemburkan sebelum ini. Arsenal menguasai permainan terutamanya
sepanjang tempoh 30 minit awal perlawanan ketika United sendiri dikhabarkan
sedang berada dalam mode percutian selepas
kejuaraan liga sah menjadi milik mereka. Ironinya gol yang dihasilkan tuan
rumah menerusi Walcott berpunca dari kesilapan Van Persie yang memberikan bola
kepada Tomas Rosicky selepas dia tergelincir. Meskipun ulang tayang menunjukkan
Walcott berada pada posisi offside
sebelum hantaran dilakukan Rosicky, gol pemain antarabangsa England itu tetap
disahkan pengadil perlawanan, Phil Dowd. Ketika permainan sebenar separuh masa
pertama berbaki seminit untuk ditamatkan, kesilapan Bacary Sagna menjatuhkan
Van Persie dalam kawasan penalti mengundang padah. Phil Dowd tanpa ragu-ragu
menghadiahkan sepakan penalti yang kemudiannya mudah disempurnakan Van Persie untuk
menyamakan kedudukan. Jaringan ini merupakan gol ke-25 Van Persie musim ini dan
tampak sudah pasti dia akan mengekalkan anugerah kasut emas yang dimenanginya
musim lalu selepas pencabar terdekat Luis Suarez tidak akan beraksi kerana
digantung 10 perlawanan oleh FA England.
Meskipun beberapa pertukaran pemain dilakukan
kedua-dua pasukan di babak kedua, namun tiada tambahan jaringan dapat
dihasilkan dengan keputusan selepas 90 minit kekal 1-1. Selepas perlawanan Sir
Alex mendakwa United memiliki peluang lebih besar untuk memenangi perlawanan
ini manakala Arsene Wenger menganggap keputusan seri lebih adil buat kedua-dua
pasukan. Sir Alex turut membidas tindakan Dowd yang melayangkan lima kad kuning
kepada pemain-pemainnya sambil menyifatkan keputusan tersebut kurang wajar dan
merosakkan reputasi United selaku antara pasukan paling bersih dalam saingan
liga musim ini. “Bagi Manchester United, mempunyai lima pemain yang dilayangkan
kad kuning, saya tidak fikir ia sesuatu yang kurang wajar”, kata Sir Alex. Sir
Alex turut mengakui beliau sedikit terkejut dengan corak permainan agresif yang
dipamerkan anak-anak buah Arsene Wenger terutama sepanjang 20 minit awal
permainan. “20 minit awal permainan, kami dikejutkan dengan permainan agresif
lawan terutamanya menerusi terjahan-terjahan keras mereka”, sambung Sir Alex
lagi. Meskipun sekadar mencatat keputusan seri, Wenger pula tetap yakin
pasukannya akan berjaya mendapatkan satu slot ke Liga Juara-Juara musim depan.
Satu mata yang diraih Arsenal semalam menyaksikan mereka tergelincir ke tangga
keempat selepas Chelsea berjaya mencatat kemenangan ke atas Swansea City. Satu
lagi kelab dari London, Tottenham Hotspurs berada di tangga kelima, dua mata di
belakang Arsenal namun kedua-duanya (Chelsea dan Spurs) memiliki kelebihan satu
perlawanan dalam tangan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Statistik Perlawanan Arsenal-United:
Gol: 1 – 1
Sepakan Sudut: 7 – 2
Percubaan Tepat: 13 – 6
Percubaan Tersasar: 6 – 5
Kekasaran: 10 – 11
Offside: 1 – 1
Kad Kuning: 3 – 5
Kad Merah: 0 – 0
Penguasaan Bola: 51% - 49%
28 April 2013
PREVIEW: ARSENAL lwn MANCHESTER UTD
Mala mini, Arsenal akan menyambut kedatangan
juara Liga Perdana musim ini, Manchester United di Stadium Emirates. Semua mata
pastinya tertumpu kepada kelibat Robin Van Persie yang kembali semula ke kubu The Gunners itu buat pertama kali
selepas menyertai United musim panas lalu. Ramai yang menjangkakan Van Persie
akan diberikan sambutan `luar biasa’ dari penyokong-penyokong Arsenal malam ini
selepas pemain berusia 29 tahun itu membuat keputusan mengejut meninggalkan
Stadium Emirates dengan menyertai United. Tambah memilukan apabila
penyokong-penyokong The Gunners terpaksa
menyaksikan pemain-pemain mereka memberikan penghormatan `guard of honour’ kepada Van Persie dan rakan-rakan sepasukannya sebelum
perlawanan. Lupakan dulu layanan yang bakal diberikan penyokong-penyokong
Arsenal kepada bekas wira mereka itu dan mari tumpukan pada perlawanan yang
bakal berlangsung malam nanti. Selasa lalu, Van Persie mempamerkan prestasi
menakjubkan apabila jaringan hatriknya ke atas Aston Villa di Old Trafford
membantu United mengesahkan kejuaraan liga musim ini sekaligus menamatkan
perlumbaan mengejar kejuaraan biarpun saingan masih berbaki 4 perlawanan untuk
ditamatkan. Selepas mengalami kemarau jaringan lebih 700 minit, Van Persie
menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika berdepan Stoke City,
meneruskan momentum jaringan apabila menghasilkan gol penyamaan ketika
menentang West Ham dan meledak hatrik di Old Trafford Selasa lalu. Menyedari
dirinya bakal menjadi perhatian penyokong-penyokong dan benteng pertahanan
Arsenal, Van Persie tetap tenang sambil meletakkan fokus utama membantu United
meraih tiga mata penuh dalam perlawanan ini. Dengan pencabar terdekatnya, Luis
Suarez menjalani penggantungan 10 perlawanan, Van Persie yang sudah
menjaringkan 24 gol setakat ini berpeluang cerah mempertahankan anugerah kasut
emas yang dimenanginya musim lalu. United sudah sah memenangi kejuaraan liga
buat kali ke-20, dan skuad Sir Alex kini mengalihkan tumpuan mereka untuk
memadam rekod pungutan 95 mata yang dilakukan Chelsea pada musim 2004-05.
Berbekalkan 84 mata yang sudah dikumpul
United setakat ini, mereka berpeluang melakar rekod baru pungutan mata Liga
Perdana jika menang kesemua baki empat perlawanan selepas ini. Bagaimanapun
misi United bakal berdepan tentangan sengit Arsenal yang sedang berjuang
memburu slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. Jika diambilkira prestasi
Arsenal sejak kebelakangan ini yang menang 8 dari 10 perlawanan terakhir mereka,
Sir Alex sudah pasti menjangkakan tugas getir bakal menanti pasukannya. Arsene
Wenger bagaimanapun tidak dapat menurunkan penyerang utamanya, Olivier Giroud
yang menjalani penggantungan perlawanan kerana layangan kad merah ketika
berdepan Fulham minggu lalu. Pengendali dari Perancis itu nampaknya terpaksa
memutuskan siapa yang bakal diletakkannya di barisan hadapan sama ada Theo
Walcott, Gervinho ataupun Lukas Podolski. Di bahagian tengah, Wenger boleh
meletakkan harapan di bahu Jack Wilshere selepas pemain itu direhatkan minggu
lalu manakala Per Mertesacker dan Laurent Koscielny akan terus membentuk
kombinasi di bahagian tengah pertahanan berikutan prestasi baik yang dipamerkan
kedua-duanya sejak kebelakangan ini. Bagi Sir Alex pula, beliau kini sudah
bebas dari sebarang tekanan berikutan trofi liga yang sudah sah menjadi milik
pasukannya tetapi itu bukan bermakna beliau akan mengambil mudah perlawanan
ini. Sir Alex dijangka tetap menurunkan skuad terkuatnya malam ini apatah lagi
ketika berdepan bekas seteru lamanya, Arsene Wenger. Terlepas aksi di Old
Trafford Selasa lalu, Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic dijangka kembali memperkuatkan
benteng tengah United, manakala Phil Jones mungkin di tolak ke atas (bahagian
tengah). Michael Carrick yang berdepan masalah kecederaan kecil sebelum
perlawanan menentang Villa dikhabarkan sudah pulih sepenuhnya dan bakal
mengemudi bahagian tengah United. Apapun status United dan Arsenal ketika ini,
pertembungan kedua-dua pasukan itu tetap dinanti dengan penuh minat dan menarik
untuk disaksikan biarpun aksi tidak sepanas sepuluh tahun lalu ketika nama-nama
besar seperti Roy Keane dan Patrick Vieira masih bermain. Glory Glory
Manchester United!!! – A.J
26 April 2013
HARI INI DALAM SEJARAH: 26 APRIL 1902, NEWTON HEATH SECARA RASMI DIKENALI DENGAN NAMA MANCHESTER UNITED
Tepat 111 tahun yang lalu (26 April 1902),
kelab yang beraksi di Divisyen 2 England, Newton Heath FC telah menukar nama
mereka. Bermula dengan nama Newton Heath L&YR FC, kelab tersebut ditubuhkan
pada 1878 oleh para pekerja depot keretapi Lanchashire dan Yorkshire, Newton
Heath. Pangkalan pertama kelab itu terletak di North Road (sekarang Northampton
Road) di Newton Heath dan mereka kekal bermain di sana selama 15 tahun hingga 1893.
Ketika ini kawasan tersebut sudah dibangunkan menjadi pusat perniagaan di
bandaraya Manchester (North Manchester Business Park). Bagaimanapun kedudukan
North Road sendiri kurang ideal kerana pemain-pemain terpaksa berjalan hampir 2
km dari kawasan penempatan mereka di Three Crowns semata-mata untuk menukar pakaian.
Memasuki musim 1893, kelab ini bersaing di peringkat Football League dan
kemudiannya mengugurkan perkataan L&YR dari nama mereka kepada hanya Newton
Heath FC. Pada September 1893, pihak pengurusan kelab akhirnya memutuskan
berpindah ke C Layton, kira-kira 4 km dari pangkalan lama mereka di North Road.
Berpindah ke tempat baharu nampaknya tidak menyelesaikan masalah kelab kerana
kedudukan pangkalan mereka yang betul-betul berada di tengah-tengah kawasan industri
(kini kawasan ini menjadi tempat
meletakkan kenderaan Manchester Velodrome). The
Heathens (gelaran Newton Heath FC) bagaimanapun tetap kekal bertahan di
pangkalan baharu mereka hingga memasuki abad baharu. Selepas 24 tahun
ditubuhkan, kelab akhirnya mengalami masalah kewangan di mana hutang mereka
mencapai lebih 2,500 Pound hingga menyebabkan kelab berdepan ancaman muflis.
Tidak mahu berdiam diri, kapten pasukan ketika itu, Harry Stafford cuba
menyelamatkan kelabnya dengan memujuk seorang usahawan arak tempatan John H
Davies melabur untuk Newton Heath.
Perbincangan mereka bermula ketika Davies
ingin membeli anjing peliharaan Stafford tepi ditolak. Stafford kemudiannya
menceritakan tentang masalah kewangan yang melanda kelabnya dan mencadangkan
agar Davies menyelesaikan tunggakan hutang kelab. Stafford turut menawarkan
jawatan presiden kelab menjadi milik Davies jika beliau bersetuju melabur.
Tawaran itu akhirnya diterima Davies dan ketika mesyuarat awal pengurusan kelab
diadakan, beliau mencadangkan agar perubahan warna jersi dengan memilih warna
merah dan putih menggantikan warna hijau dan kuning. Bukan setakat perubahan
warna jersi, Davies juga mahukan agar nama Newton Heath ditukar. Pada mulanya
nama Manchester Central dan Manchester Celtic berada dalam senarai untuk
dipertimbangkan tetapi akhirnya pihak pengurusan kelab bersetuju menggunakan
Manchester United sebagai nama baharu kelab. Andy Mitten dalam bukunya berjudul
“The Man Utd Full Story” diterbitkan pada 26 April 1902 menjadi titik permulaan
Newton Heath mula dikenali dengan nama baru mereka iaitu Manchester United.
Nama baru memberikan tuah buat kelab apabila mereka menamatkan saingan liga
Divisyen 2 di tangga kedua sekaligus menempah tempat ke Divisyen 1 pada 1906.
Dua tahun selepas itu (1908) Manchester United meraih gelaran liga pertama mereka
dan musim berikutnya mereka menang pula kejuaraan Piala FA buat pertama kali.
Hingga kini The Red Devils sudahpun menang
kejuaraan liga sebanyak 20 kali, 11 kejuaraan Piala FA, 4 kejuaraan Piala Liga,
3 kejuaraan Liga Juara-Juara dan beberapa lagi kejuaraan utama. Glory Glory
Manchester United!!! – A.J
25 April 2013
KEJUARAAN LIGA KE-20...SATU PERJALANAN YANG PANJANG
Manchester United akhir berjaya memastikan
gelaran juara Liga Perdana buat kali ke-20 selepas menewaskan Aston Villa awal
pagi Selasa lalu. Kejayaan epik United itu bagaimanapun bukanlah diraih dengan
jalan mudah, sebaliknya skuad kendalian Sir Alex Ferguson terpaksa menempuh
jalan yang panjang dan mencabar. Kegagalan musim lalu nyata menjadi pengajaran
berguna kepada barisan pemain The Red
Devils hingga mereka tampil begitu perkasa musim ini, jadi tidak hairanlah
mengapa juara musim lalu, Manchester City ketinggalan 16 mata di belakang.
Memenangi perlawanan-perlawanan penting adalah kunci utama kejayaan United
selain konsistensi sepanjang musim membolehkan mereka mengatasi pesaing-pesaing
lain. Tidak dinafikan kejayaan merampas kembali trofi Liga Perdana dari tangan
City dibantu oleh skuad besar dan mantap yang dimiliki Sir Alex, namun itu
tidak bermakna mereka diberi laluan mudah. United berdepan krisis kecederaan
sejak awal musim terutamanya di benteng pertahanan hingga pada satu ketika memaksa
Michael Carrick diletakkan sebagai pemain pertahanan tengah. Ketiadaan Nemanja
Vidic, Chris Smalling, Jonny Evans dan Phil Jones secara serentak menyebabkan
gawang David de Gea mudah dibolosi lawan tetapi mujurlah kekurangan ini di
imbangi dengan ketajaman barisan penggempur United yang diketuai Robin Van
Persie dan Wayne Rooney. Kehadiran Robin Van Persie musim panas lalu
meninggalkan impak yang bukan sedikit kepada barisan serangan United. Memang
benar seorang pemain tidak mewakili kekuatan sesebuah pasukan tetapi kehadiran
penyerang berusia 29 tahun itu memberikan pengaruh besar kepada perjalanan
United dalam saingan liga musim ini. Di awal pendakian United ke puncak liga,
mereka dibantu kesilapan juara bertahan musim lalu, City yang sekadar mencatat
keputusan seri ketika menentang Stoke City di gelanggang lawan. Pada masa yang
sama, United berpesta gol menewaskan Wigan Athletic 4-0 di Old Trafford.
Kemenangan 3-2 ke atas Chelsea di Stamford Bridge pada bulan Oktober menjadi
antara detik penting bagi United musim ini. Kemenangan pertama United dalam
tempoh lapan tahun ke atas The Blues
di Stamford Bridge cukup menguji kekuatan mental anak-anak buah Sir Alex dan
kejayaan itu seolah-olah memberikan petanda awal bahawa trofi liga akan kembali
semula ke Old Trafford.
Van Persie membuktikan mengapa Sir Alex
sanggup mengeluarkan belanja sebesar 24 juta Pound bagi seorang pemain yang
sudah berusia 29 tahun apabila menyumbat gol ke gawang bekas kelabnya, Arsenal
di Old Trafford pada bulan November. Dalam perlawanan itu United berjaya
menewaskan The Gunners 2-1 dan mereka
mula mengukuhkan cengkaman di kelompok teratas liga. Kekuatan mental barisan The Red Devils memang tidak perlu
dipertikaikan dan mereka membuktikannya sepanjang musim ini. Beberapa kali
United ketinggalan dan kemudiannya bangkit untuk memenangi perlawanan.
Pertembungan di Villa Park adalah contoh terbaik. Meskipun pada satu ketika,
ketinggalan dua gol menerusi jaringan Andreas Weimann, United melakukan
kebangkitan menakjubkan dan akhirnya membawa pulang tiga mata penuh dalam
perlawanan itu. Javier Hernandez merapatkan kedudukan menerusi gol di awal babak
kedua sebelum pemain tuan rumah, Ron Vlaar menyumbat bola ke gawang sendiri.
Ketika tempoh permainan sebenar berbaki tiga minit untuk ditamatkan, Hernandez
menamatkan impian Villa untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata apabila
menjaringkan gol kemenangan United. Kejayaan memenangi perlawanan-perlawanan
penting adalah antara kunci utama mengapa United begitu sukses musim ini.
Pertembungan derby Manchester di
Stadium Etihad pada 9 Disember adalah bukti terbaik. Ketika itu persaingan di
tangga teratas antara United dan City begitu sengit dengan jurang mata yang
rapat. Dua gol dari Wayne Rooney seolah-olah memberikan gambaran bahawa United
akan menang mudah perlawanan itu tetapi City bangkit menerusi gol dari Yaya
Toure dan Pablo Zabaleta untuk menyamakan kedudukan. Van Persie sekali lagi
muncul sebagai watak pemisah apabila sepakan percumanya dimasa kecederaan
memberikan United kemenangan berharga di gelanggang keramat City itu. Gol
kemenangan Van Persie itu juga menyaksikan rentetan rekod tanpa kalah City di
gelanggang sendiri sejak Disember 2010 lebur manakala United pula berjaya
melebarkan kedudukan di tangga teratas kepada enam mata. Ketika satu demi satu
pemain United yang mengalami kecederaan kembali ke pangkuan pasukan, City
selaku pencabar terdekat pula mengalami nasib berbeza. Mereka terpaksa menelan
hakikat hilang khidmat kapten pasukan yang juga merupakan tonggak di benteng
pertahanan, Vincent Kompany selama dua bulan akibat kecederaan.
Ketiadaan Kompany menyaksikan pertahanan City
seperti hilang haluan hingga mengakibatkan pada satu ketika mereka ketinggalan
15 mata di belakang United. Perjudian Roberto Mancini menurunkan Kompany yang
baru cergas ketika pertemuan menentang Southampton di gelanggang lawan memakan
diri apabila mereka tewas 1-3 kepada skuad kendalian Mouricio Pochettino.
Kekalahan City di Stadium St Mary pada 10 Februari itu merupakan antara detik
penting yang menyumbang kepada kejayaan United menjulang kejuaraan liga musim
ini. Kemuncak kegagalan City berlaku ketika mereka tewas 0-2 kepada Everton di
Goodison Park pada 16 Mac biarpun The
Toffees pada satu ketika terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Steven
Pienaar di perintah keluar padang. Ketika City semakin goyah, United pula
meluncur laju walaupun perjalanan mereka menuju kejuaraan diganggu dengan
kekalahan 1-2 kepada City di Old Trafford dan keputusan seri yang dicatatkan
mereka ketika berdepan West Ham di Boleyn Ground. Meskipun pada satu ketika
mengalami kemarau jaringan, Van Persie kembali menemui sentuhan gol apabila
meledak ketika berdepan Sunderland namun gol itu akhirnya disahkan sebagai gol
sendiri Titus Bramble. Penalti yang disempurnakan Van Persie ke gawang Stoke
City akhirnya menamatkan kemarau 754 minit tanpa jaringan penyerang berbisa
itu. Van Persie memilih waktu dan tempat yang tepat untuk melengkapkan musim
gemilang buat dirinya apabila meledak hatrik ke gawang Aston Villa, Selasa
lalu. Kemenangan 3-0 yang diraih United di halaman sendiri itu menamatkan perlumbaan merebut kejuaraan musim ini
selepas City tewas 1-3 kepada Tottenham Hotspurs dua hari sebelumnya. Meskipun
belum secara rasmi dikalungkan dengan pingat kejuaraan liga, ini adalah
kejayaan paling manis dalam karier Van Persie sejak berhijrah ke England pada
2004. United sudahpun sah meraih kejuaraan liga buat kali ke-20 manakala Van
Persie pula akhirnya berjaya memenuhi impian menjulang trofi Liga Perdana buat
pertama kali selepas menunggu sekian lama. Kejayaan tidak datang dengan mudah
dan memerlukan kerja keras serta pengorbanan yang bukan sedikit. Musim lalu,
United menamatkan saingan tanpa sebarang trofi utama tetapi mereka bangkit
dengan begitu bergaya musim ini biarpun terlepas dua lagi trofi yang menjadi
sasaran di awal musim (Liga Juara-Juara dan Piala FA). Menamatkan musim 2012-13
dengan hanya satu trofi selaku juara Liga Perdana yang juga merupakan kejuaraan
ke-20 dalam sejarah kelab bukanlah satu kegagalan tetapi kejayaan yang perlu
dibanggakan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
23 April 2013
REVIEW: MALAM GEMILANG BUAT UNITED & RVP
Manchester United akhirnya mengesahkan
kejuaraan liga musim ini milik mereka selepas membenam Aston Villa 3-0 awal
pagi tadi. Berbaki empat perlawanan dan dengan kelebihan 16 mata di tangga
teratas, tiada apa-apa lagi yang mampu dilakukan kelab tangga kedua, Manchester
City untuk menghalang United dari menjulang trofi liga buat kali ke-20. Robin
Van Persie nampaknya memilih detik dan tempat terbaik untuk melakar sejarah
baru dalam kariernya apabila hatrik sumbangannya di hadapan penyokong sendiri
memberikan kejuaraan Liga Perdana pertamanya sejak menyertai Arsenal dari
Feyenoord pada 2004. Mimpi ngeri tewas dengan hanya perbezaan jaringan kepada
City sekaligus terlepas trofi liga kepada jiran setempat mereka itu musim lalu menjadi
panduan kepada Sir Alex dan barisan pemainnya hingga menjadikan The Red Devils begitu kejam musim ini. Di
awal musim, Sir Alex berjanji kesilapan musim lalu tidak akan berulang kembali
dan keyakinan pengendali berpengalaman itu tambah menebal apabila beliau
berjaya membawa keluar Robin Van Persie dari Arsenal. Ketika itu arahan pertama
yang dikeluarkan Sir Alex kepada pemainnya ialah memastikan mereka tidak lagi
tewas dengan perbezaan jaringan. Barisan pemain United akhirnya membuktikan
kepada pencabar-pencabar mereka musim ini terutamanya City bahawa mereka pasukan
yang jauh berbeza berbanding skuad musim lalu. United menjaringkan 78 gol musim
ini jauh meninggalkan City yang menjaringkan 59 gol dengan hampir sepertiga
jaringan United disumbangkan Van Persie. Ramalan ramai pihak bahawa kelibat Van
Persie akan menjadi faktor penentu kepada perlumbaan merebut kejuaraan musim
ini menjadi kenyataan. Awal pagi tadi Van Persie membuktikan mengapa Roberto
Mancini begitu marah terhadap pihak pengurusan City berikutan kegagalan mereka
bersaing dengan United dalam perebutan mendapat tandatangannya musim panas
lalu. Kemenangan 3-0 ke atas Aston Villa di gelanggang sendiri dengan penyerang
antarabangsa Belanda itu menjaringkan hatrik mengesahkan gelaran liga kali ini
adalah milik mutlak United.
Sejak awal permainan, keinginan untuk
menjulang kejuaraan liga ke-20 memberikan motivasi cukup besar buat kesebelasan
utama United. Mereka mengasak sejak minit pertama dan benteng pertahanan
pelawat yang diketuai Ron Vlaar akhirnya roboh seawal minit ke-3 apabila Van
Persie mudah menolak masuk bola hantaran Ryan Giggs dari sebelah kiri. Sepuluh
minit kemudian, Van Persie menambah kelebihan United apabila rembatan voli
menariknya selepas menerima hantaran jauh Wayne Rooney menewaskan Brad Guzan
buat kali kedua. Van Persie melengkapkan malam gemilang buatnya apabila diminit
ke-33, dia menyumbat gol ketiganya di mana Giggs sekali lagi memainkan peranan
selaku pengumpan. Meskipun begitu tajam di separuh masa pertama, barisan
penggempur United terutamanya Van Persie gagal menambah sebarang gol di separuh
masa kedua dan keputusan akhirnya kekal 3-0 selepas pengadil perlawanan Anthony
Taylor meniup wisel penamat. “84 mata dengan baki 4 perlawanan lagi untuk
diharungi adalah sesuatu yang fantastik”, itulah ayat pertama yang keluar dari
mulut Sir Alex sebaik tamat perlawanan awal pagi tadi. Selepas mengalami
kekecewaan yang cukup besar musim lalu kerana gagal memenangi sebarang trofi
utama, United bangkit dengan bergaya musim ini walaupun terlepas dua lagi
kejuaraan utama (Liga Juara-Juara dan Piala FA). Sir Alex sudahpun memenangi
kejuaraan liga ke-13 buat dirinya dan kini fokusnya beralih kepada usaha
memecahkan rekod pungutan mata semusim milik Chelsea pada baki empat perlawanan
selepas ini. Chelsea memenangi kejuaraan liga musim 2004-05 selepas mengumpul
95 mata, tetapi United boleh menutup saingan musim ini dengan bergaya jika menang
kesemua baki empat perlawanan mereka dan mengumpul 96 mata sekaligus memadam
rekod The Blues itu. United sudah pun
mengesahkan bahawa gelaran liga musim ini milik mereka, dan sebelum memikirkan
apakah mereka mampu mengumpul 96 mata sebaik musim berakhir mari kita meraikan
kejayaan menjulang trofi liga buat kali ke-20. Misi 20 akhirnya tercapai…GLORY
GLORY MANCHESTER UNITED!!! – A.J
Statistik Perlawanan United – Villa:
Jaringan: 3 – 0
Sepakan Sudut: 5 – 3
Percubaan Tepat: 5 – 5
Percubaan Tersasar: 5 – 3
Kekasaran: 10 – 6
Kad Kuning: 1 – 0
Kad Merah: 0 – 0
Offside: 3 – 1
22 April 2013
PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn ASTON VILLA
Satu lagi kemenangan bakal menyaksikan
Manchester United dinobatkan sebagai juara liga musim ini dan yang paling
manisnya kejuaraan ke-20 (jika berjaya menewaskan Aston Villa) buat The Red Devils akan disahkan di
gelanggang sendiri. Kekalahan pencabar terdekat, Manchester City kepada
Tottenham Hotspurs semalam membuka ruang buat United menamatkan perlumbaan
merebut kejuaraan musim ini di hadapan penyokong-penyokong mereka sendiri. Motivasi
United yang mahu melengkapkan misi menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20
mereka bakal menjadi mimpi buruk buat Villa yang cuma dipisahkan 3 mata dari
zon penyingkiran. Dalam keghairahan mahu mengesahkan kejuaraan, United sepatutnya
sedar bahawa Villa mampu memberikan ancaman kepada mereka selepas skuad Paul
Lambert itu berjaya mengutip 10 mata dari lima perlawanan terakhir. Villa
berjaya menewaskan Stoke City di gelanggang lawan tetapi terlepas peluang
mengutip mata penuh di gelanggang sendiri apabila sekadar seri ketika berdepan
Fulham minggu lalu. Bagi menghidupkan peluang terus beraksi di saingan Liga
Perdana musim depan, Lambert tidak punya pilihan lain selain dari membariskan
barisan terbaiknya dalam perlawanan ini. Lambert yang sedar skuadnya berdepan
situasi buruk menyeru anak-anak buahnya bermain seperti biasa selain cuba
mengelak dari sebarang tekanan. “Old Trafford akan menjadi tempat yang
fantastis untuk bermain bolasepak apatah lagi bermain menentang juara. Jika
anda tidak menikmati permainan anda di sana, ia adalah sesuatu yang merugikan”,
kata Lambert. Selain usaha mengelak dari terjerumus ke zon penyingkiran, Villa
mendapati rekod mereka ketika beraksi di Old Trafford agak buruk meskipun
berjaya memaksa United bekerja keras pada pertemuan di Villa Park, November
lalu. Dalam perlawanan itu, mereka berjaya mendahului United dengan 2 gol
menerusi jaringan Andreas Weimann tetapi dihampakan oleh kebangkitan hebat pelawat
sebelum Javier Hernandez menjaringkan gol kemenangan di penghujung permainan.
Sementara itu, Ashley Young akan terlepas
aksi menentang bekas kelabnya berikutan masalah kecederaan yang menyebabkan dia
terpaksa diketepikan pada baki saingan musim ini. Lambert pula menerima khabar
gembira dengan kemungkinan Gabriel Agbonlahor boleh disenaraikan meskipun
mengalami kecederaan pangkal paha ketika pertemuan menentang Fulham minggu
lalu. Agbonlahor yang menjadi sandaran Lambert untuk memburu gol sudah kembali
menjalani latihan sejak beberapa hari lalu. Jika ada pemain lawan yang perlu
diberikan perhatian khusus benteng pertahanan United, sudah pasti Agbonlahor
adalah orangnya. Pemain itu menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika Villa
menewaskan United di Old Trafford pada
Disember 2009. Kemenangan yang diraih Villa itu merupakan satu-satunya
kemenangan yang dicapai mereka ke atas United dari 32 perlawanan dalam semua
kejohanan. Perlawanan awal pagi esok juga menjadi pentas terbaik buat
Agbonlahor memburu gol ke-60 untuk Villa sekaligus menyamai pencapaian yang
pernah dilakukan Dwight Yorke. Menjaringkan gol ke-60 ke gawang United adalah
penghormatan besar yang pastinya diburu penyerang berusia 27 tahun itu. Selepas
tewas 1-2 kepada City di gelanggang sendiri 9 April lalu, United perlu mengelak
dari sebarang kejutan jika tidak mahu rekod tewas dua perlawanan berturut-turut
di Old Trafford yang dialami mereka pada tahun 2002 berulang kembali. Dengan
kejuaraan liga yang hampir dalam genggaman, The
Red Devils mungkin mengalih tumpuan mereka untuk memecahkan rekod pungutan
mata Chelsea pula. Berbekalkan 81 mata yang sudah dikumpul mereka, United boleh
memecahkan rekod pungutan 95 mata milik Chelsea yang dilakukan mereka pada
musim 2004-05 jika menang kesemua baki lima perlawanan selepas ini. Wayne
Rooney dijangka melakukan penampilan ke-400 buat United dalam perlawanan ini,
dan berbekalkan rekod 9 gol yang dijaringkannya ketika berdepan Villa, Rooney pasti
menjadi tumpuan barisan pertahanan pelawat. Glory Glory Manchester United!!! –
A.J
19 April 2013
MUSIM MUDAH BUAT UNITED?
Manchester United meraih kejuaraan liga
pertama mereka pada tahun 1907-08 dan dari tempoh tersebut hingga 1986, mereka
hanya berjaya memenangi enam kejuaraan divisyen utama sehinggalah individu
bernama Alexander Chapman Ferguson (Sir Alex) mengambil alih jawatan pengurus
dari Ron Atkinson (pada 1986). Musim 1992-93 Sir Alex berjaya mengemudi United
menjulang trofi liga buat pertama kali dalam tempoh 26 tahun sejak kali
terakhir Sir Matt Busby melakukannya pada 1967. Keputusan seri 2-2 yang diraih
United ketika menentang West Ham awal pagi semalam mungkin merencatkan sedikit
perjalanan mereka menuju puncak kejuaraan liga musim ini. Bagaimanapun The Red Devils masih memiliki kelebihan
selesa di tangga teratas dan hanya perlu mengutip 6 mata dari baki 5 perlawanan
terakhir (itupun jika City menang kesemua baki perlawanan mereka) sekaligus
mengesahkan kejuaraan liga ke-20 mereka. United ketika ini memiliki kelebihan
13 mata di tangga teratas berbanding pencabar terdekat Manchester City tetapi
skuad kendalian Roberto Mancini itu memiliki kelebihan satu perlawanan dalam
tangan. City akan berdepan tugas getir hujung minggu ini di mana mereka
terpaksa berdepan Tottenham Hotspurs di White Hart Lane dan jika anak-anak buah
Mancini tewas dalam perlawanan ini, United boleh menamatkan perlumbaan merebut
kejuaraan liga di Old Trafford 23 April ini. United akan berdepan kelab kelompok
bawahan liga, Aston Villa di Old Trafford awal pagi Selasa dan mereka
sepatutnya tidak berdepan sebarang masalah untuk meraih tiga mata penuh. Jika
City tewas di White Hart Lane Ahad ini manakala United pula mengutip tiga mata
penuh ke atas Aston Villa dua hari kemudian persaingan akan berakhir dan United
akan dinobatkan sebagai juara liga musim ini. Andainya perlumbaan merebut
kejuaraan liga musim ini berakhir selepas tamat perlawanan United-Villa, apakah
saingan musim ini yang paling mudah buat United? Untuk melakukan penilaian,
kita perlu melihat pelbagai sudut, bukan hanya sekadar perbezaan jurang mata
yang besar. Bolasepak mengalami perubahan yang cukup besar terutamanya dalam
tempoh 10 tahun terakhir dan Liga Perdana tidak terkecuali merasai tempiasnya.
Kuasa wang kini memainkan peranan utama dan revolusi ini boleh dikatakan
bermula sejak Roman Abramovich mengambilalih Chelsea pada 2003. Dengan kuasa
wang yang dimiliki Abramovich, beliau membawa masuk pengendali berwibawa, Jose
Mourinho yang juga merupakan pemenang Liga Juara-Juara dari FC Porto
menggantikan Claudio Ranieri pada 2004. Selepas itu bintang-bintang besar masuk
ke Stamford Bridge bagai air yang mengalir. Didier Drogba, Joe Cole, Frank
Lampard, Petr Cech, Ricardo Carvalho, Fernando Torres dan Michael Essien adalah
sebahagian dari nama-nama besar yang pernah dan masih bermain untuk The Blues. Dibarisi bintang-bintang
ternama dunia dalam skuadnya, Mourinho akhirnya berjaya menghadiahkan Chelsea
trofi liga buat pertama kali dalam tempoh 50 tahun (musim 2004-05) dan berjaya
mempertahankan kejuaraan liga musim berikutnya. Limpahan wang juga menyebabkan
Liga Perdana menjadi tarikan dan diwarnai dengan kehadiran pemain-pemain
ternama dunia dari pelbagai benua sekaligus menyebabkan pesaingan semakin
sengit tahun demi tahun. Jadi bagaimana kita mahu mengukur sama ada saingan
musim ini adalah antara yang termudah buat United?
Untuk itu kita perlu melihat baki lima
perlawanan yang harus dimainkan United musim ini. Dari lima baki perlawanan
itu, United masih perlu berdepan dua pasukan handal yang berada di kelompok
atas iaitu Chelsea dan Arsenal. Lupakan dulu Chelsea serta Arsenal dan mari
kita lihat pula lawan yang akan dihadapi United Selasa ini iaitu Aston Villa.
Villa yang bergelut untuk mengelak dari zon penyingkiran mungkin lawan yang
boleh dianggap mudah tetapi kita perlu imbas kembali apa yang berlaku
penghujung musim lalu. Villa ketika ini sebenarnya berada dalam situasi hampir
sama seperti apa yang dialami Wigan Athletic musim lalu. Ketika ramai pihak
meramalkan United tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata penuh ketika
berdepan Wigan di gelanggang lawan, The
Latics sebaliknya melakukan kejutan apabila berjaya menewaskan United
menerusi gol tunggal Shaun Maloney. Kemenangan yang diraih oleh anak-anak buah
Roberto Martinez itu menjadi turning
point kebangkitan mereka dan Wigan akhirnya berjaya keluar dari zon
penyingkiran. Jurang mata kemudiannya semakin mengecil apabila United tewas 2-4
kepada Everton dan di akhir musim, trofi liga yang pada awalnya hampir pasti
menuju ke Old Trafford akhirnya beralih ke Eastlands. Jadi United sepatutnya
tidak memandang rendah lawan yang dihadapi selepas ini tidak kira apa status
mereka jika tidak mahu malapetaka musim lalu berulang kembali. Jika United
berjaya menjulang trofi liga dengan kelebihan 13 mata itu sebenarnya bukanlah
margin terbesar yang pernah mereka raih. Margin terbesar yang diraih United
selaku juara liga berlaku pada musim 1955/56 di bawah kendalian Sir Matt Busby.
United ketika itu berjaya menjulang kejuaraan liga selepas mencipta jurang 16
mata berbanding kelab di tangga kedua Blackpool tetapi musim 1998-99 masih
kekal sebagai musim paling gemilang United apabila mereka mencipta sejarah
dengan menjulang kejuaraan treble.
Jika 10 atau 20 tahun dahulu saingan merebut kejuaraan liga biasanya didominasi
oleh dua pasukan tetapi kini situasi itu tidak lagi berlaku. Di England, sejak
beberapa musim terakhir akan ada
sekurang-kurang lima pasukan yang berpotensi menjulang trofi liga di mana City
muncul kuasa baru yang menghangatkan lagi persaingan selepas kelab tersebut
diambilalih jutawan dari Timur Tengah. Sekali lagi kuasa wang memainkan peranan
utama apabila dengan limpahan barisan bintang yang dimiliki Mancini, beliau
akhirnya berjaya mengemudi City menjulang trofi liga buat pertama kali dalam
tempoh 44 tahun. City menambahkan lagi jumlah kelab yang menjadi pilihan untuk
menjulang trofi liga tetapi persaingan paling sengit mungkin berlaku pada musim
2007-08. Ketika itu tiga kelab di tangga teratas (United, Chelsea dan Arsenal)
menamatkan saingan liga dengan kelebihan hanya 2 mata antara satu sama lain.
Liverpool yang berada di tangga keempat pula, 11 mata di belakang United tetapi
mereka muncul pencabar musim berikutnya apabila berjaya memaksa United bersaing
hingga ke penghujung musim sebelum tewas dengan perbezaan 4 mata. Musim lalu
saingan memang tidak dinafikan begitu dramatik apabila juara terpaksa
ditentukan hingga ke perlawanan terakhir liga tetapi persaingan hanya
melibatkan dua pasukan iaitu City dan United. Arsenal di tangga ketika
ketinggalan 19 mata diikuti Chelsea (ketinggalan 25 mata). Jadi perkara yang paling mengesankan musim
ini ialah United melonjak begitu jauh meninggalkan City manakala kelab-kelab
pencabar lain seperti Chelsea, Arsenal dan Tottenham sekadar bersaing untuk
merebut slot automatik ke Liga Juara-Juara.
Keputusan Sir Alex mendapatkan Robin Van
Persie musim panas lalu adalah antara faktor mengapa United begitu dominan
musim ini. Van Persie menjaringkan gol-gol penting buat United musim ini dan
awal pagi semalam, penyerang antarabangsa Belanda itu sekali lagi memainkan
peranan penting di bahagian hadapan apabila menyumbat gol penyamaan di Boleyn
Ground. Pada pusingan pertama liga, United menewaskan empat kelab besar
(Chelsea, Liverpool, Manchester City dan Arsenal) walaupun rekod mereka sedikit
tercalar selepas tewas 2-3 kepada Tottenham di gelanggang sendiri. Meskipun
sukses membenam empat pencabar yang dianggap terkuat di pusingan pertama namun
United juga mendapati 19 perlawanan yang diharungi mereka adalah tempoh yang
cukup perit terutamanya selepas melihat benteng dibolosi gol demi gol. Situasi
di bahagian belakang akhirnya kembali normal selepas beberapa pemain pertahanan
yang mengalami kecederaan kembali pulih hingga pada satu ketika menyaksikan
gawang David de Gea tidak dibolosi dalam 6 perlawanan berturut-turut. Sir Alex
pada awalnya yakin United mampu mengutip hingga 100 mata musim ini tetapi
kekalahan kepada City dan keputusan seri di Boleyn Ground menyebabkan angka 100
terlepas dari jangkauan. Bagaimanapun statistik jaringan United musim ini
adalah tertinggi berbanding pasukan-pasukan lain di Liga Perdana apabila mereka
sudah menjaringkan 75 gol. Statistik jaringan terbaik yang pernah dirakamkan
United masih kekal milik skuad 1998-99 apabila mereka menjaringkan 97 gol
semusim. Dengan baki 5 perlawanan yang tinggal adalah mustahil buat skuad musim
ini memadam rekod tersebut tetapi barisan The
Red Devils musim 2012-13 akan tetap dikenang dengan melakar sejarah
tersendiri menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20. Sejak menduduki kerusi
pengurus di Old Trafford 27 tahun lalu, pencabar Sir Alex datang silih
berganti. Ketika United tewas dalam saingan merebut kejuaraan liga kepada
Blackburn Rovers pada musim 1994-95, The
Red Devils bangkit bergaya musim berikutnya. Ketika itu Sir Alex melakukan
rombakan besar dalam skuadnya dengan menampilkan beberapa pemain muda seperti
Paul Scholes, David Beckham, Gary Neville, Phil Neville dan Nicky Butt hingga
mengundang kritikan lagenda Liverpool, Alan Hansen. Hansen ketika itu secara
sinis mengatakan bahawa “Anda tidak akan memenangi apa-apa bersama
budak-budak”, tetapi United menang trofi liga dua musim berturut-turut (musim
1995-96 & 1996-97). Pada tahun 1998 selepas Arsenal muncul juara berganda,
Arsene Wenger melaungkan bahawa era baru bolasepak England sudah bermula tetapi
Sir Alex membawa United menang kejuaraan treble
setahun selepas itu. Ketika Mourinho menyertai Chelsea dan membawa mereka
menang dua trofi liga berturut-turut (musim 2004-05 dan 2005-06) serta
mencatatkan rekod baru pungutan mata Liga Perdana, mereka dengan angkuh
mengatakan bahawa mereka akan menguasai dan memenangi trofi liga selama 10
tahun lagi. Bagaimanapun United menang kejuaraan liga tiga musim berturut-turut
selepas itu dan juga Liga Juara-Juara (pada 2008). Pencabar datang silih
berganti dan mereka boleh berkata apa saja yang mereka mahukan. Bagaimanapun
mereka mungkin terlupa bahawa kata-kata mereka akan menjadikan Manchester
United lebih kuat selepas mengharungi tempoh yang sukar. Adakah musim ini
merupakan musim paling mudah buat United? Anda sendiri menilainya…GLORY GLORY
MANCHESTER UNITED!!! – A.J
14 April 2013
PREVIEW: STOKE CITY lwn MANCHESTER UTD
Manchester United akan menuju ke Britannia
Stadium malam ini dengan misi mahu bangkit dari siri dua kekalahan mereka.
Disingkir Chelsea pada saingan Piala FA dan kemudiannya tewas 1-2 kepada
Manchester City, Selasa lalu, barisan The
Red Devils tidak punya banyak pilihan kecuali menang perlawanan ini. United
kini memiliki kelebihan 12 mata selaku pendahulu dengan baki tujuh perlawanan
untuk diharungi, dan selepas berdepan pengalaman pahit musim lalu, Sir Alex
Ferguson akan menuntut barisan pemainnya bangkit mencari kemenangan semula. Meskipun
pencabar terdekat, Manchester City berjaya mengecilkan jurang pendahulu milik
United kepada 12 mata, skuad The Red
Devils masih menjadi pilihan utama untuk menjulang trofi liga buat kali
ke-20. Bagi Stoke City pula, mereka nampaknya kian terdesak dalam perjuangan
mengelak dari zon penyingkiran selepas mencatat hanya satu kemenangan dari 13
perlawanan. Minggu lalu Stoke mensia-siakan peluang ketika beraksi di halaman
sendiri apabila tewas 1-3 kepada Aston Villa sekaligus meletakkan mereka hanya
tiga mata dari zon penyingkiran. Tony Pulis sedar, pemain-pemainnya perlu
menggunakan perlawanan menentang United malam ini untuk mengutip mata bagi
mengelak The Potters dari terus
tercicir. Dalam situasi kian terdesak, Pulis berdepan masalah kecergasan pemain
sayapnya Matthew Etherington yang bergelut dengan masalah kecederaan belakang
tetapi pemain itu dijangka tetap diturunkan malam ini. Masalah kecederaan turut
menimpa pertahanan mereka apabila Marc Wilson berdepan masalah hamstring tetapi
Glen Whelan dijangka kembali dalam kesebelasan utama selepas mula menjalani
latihan minggu ini.
Sir Alex terpaksa mengugurkan nama Ashley
Young dari senarai pemain yang akan dibawanya ke Stadium Britannia berikutan
kecederaan buku lali yang dialaminya ketika menentang City Selasa lalu. Pemain
sayap antarabangsa England itu disahkan akan berehat sekurang-kurangnya selama
dua minggu. Ketua pasukan, Nemanja Vidic kembali menjalani latihan tetapi Sir
Alex tidak akan merisikokan kecergasan pemain pertahanan itu dengan
menurunkannya pada perlawanan ini. Jonny Evans dijangka mengisi kekosongan yang
ditinggalkan Vidic dan akan membentuk gandingan bersama Rio Ferdinand di benteng
tengah United. Meskipun ketandusan jaringan, Sir Alex akan terus meletakkan
kepercayaan terhadap Robin Van Persie di barisan hadapan selaku penggempur
bersama-sama Wayne Rooney. Van Persie sudahpun mengharungi 685 minit permainan
tanpa sebarang gol selepas begitu cemerlang mencetak gol demi gol buat United
di awal musim. United perlu berwaspada terutamanya ketika berdepan pasukan
seperti Stoke yang cuba mengelak dari zon penyingkiran. The Potters pasti akan menggunakan sebaik-baiknya baki tujuh
perlawanan mereka untuk berjuang habis-habisan mengekalkan tempat mereka dalam
saingan elit Liga Perdana musim depan. Pulis perlu segera memperbaiki masalah
barisan hadapan pasukannya selepas mereka hanya menjaringkan dua gol dari enam
perlawanan, kedua-duanya menerusi sepakan penalti. United memiliki rekod
cemerlang setiap kali berdepan Stoke dimana mereka hanya membenarkan skuad
kendalian Pulis meraih satu mata dari sembilan perlawanan. Jadi peluang buat
United menang perlawanan ini adalah tinggi. Glory Glory Manchester United!!! –
A.J
12 April 2013
SPEKULASI PERPINDAHAN: GEMPAR DI ENGLAND...FALCAO KE OLD TRAFFORD?
Jika ditanya pemain mana yang masa depannya
sering dijadikan topik hangat untuk dibincangan dan mendapat tempat di
dada-dada akhbar pada tahun 2013 ini, jawapannya sudah pasti pemain yang
dimaksudkan ialah Radamel Falcao Garcia Zarate, penyerang antarabangsa Colombia
dan Atletico Madrid. Real Madrid, Chelsea dan Manchester City memang sudah
diketahui antara kelab yang sedang berbaris bagi mendapatkan tandatangan Falcao
tetapi berita mengejutkan tiba-tiba meledak di England petang semalam. Media
Sepanyol, Marca dalam laporannya pada Rabu menyebut Falcao hampir pasti
meninggalkan ibu kota Sepanyol dengan menjadikan Old Trafford sebagai destinasi
berikutnya. Laporan tentang perpindahan Falcao ke Old Trafford yang diterbitkan
Marca itu turut disokong media di England apabila Mirror dalam laporannya petang
semalam menyebut nada yang hampir sama. Mirror bolehlah dianggap antara media
yang cukup cekap menghidu sebarang spekulasi dalam dunia bolasepak dan beberapa
laporannya sebelum ini berkaitan perpindahan pemain dan pertukaran jurulatih
akhirnya menjadi kenyataan. Contoh terbaik ialah apabila wartawan mereka John
Cross dalam kolumnya pernah menyebut bahawa Mauricio Pochettino akan
menggantikan tempat Nigel Adkins sebagai pengendali Southampton. Laporan awal
yang dibuat Cross akhirnya menjadi kenyataan apabila pada 18 Januari yang lalu
Adkins akhirnya dipecat dan tempatnya diambilalih Pochettino. Spekulasi
perpindahan Falcao ke Old Trafford turut berjaya dihidu Guillem Balague,
wartawan Sepanyol yang cukup terkenal untuk kerja-kerjanya di England. Balague telah
menyebut dalam akaun Twitter miliknya bahawa United sudahpun membayar wang
pendahuluan kepada Atletico bagi mendapatkan Falcao, cara sama yang digunakan
mereka ketika menandatangani David de Gea dua tahun lalu. Ketika kebanyakkan
kelab-kelab Eropah mengalihkan fokus mereka di bahagian tengah, Sir Alex
Ferguson pula bergerak ke arah berbeza (jika benar beliau memang serius mahu membawa
Falcao beraksi di England). Apa yang menyebabkan Sir Alex sanggup menongkah arus?
Jawapannya sudah pasti rekod jaringan Falcao sejak zamanya bersama Porto
hinggalah saat dia menyarung jersi Atletico Madrid ketika ini.
Mungkin ramai pihak berpendapat United tidak
memerlukan seorang lagi penyerang selepas mereka memiliki Wayne Rooney, Robin
Van Persie, Danny Welbeck dan Javier Hernandez dalam senarai, tetapi penyerang
dengan naluri pembunuh seperti Falcao akan sentiasa dialu-alukan oleh mana-mana
pasukan. Jika spekulasi perpindahan Falcao ke Old Trafford benar-benar menjadi
kenyataan, penyokong-penyokong United akan dapat menyaksikan kombinasi impian di
barisan hadapan The Red Devils musim
depan. Cuba anda bayangkan kemusnahan yang bakal diberikan Falcao dan Van
Persie kepada benteng pertahanan lawan jika kedua-dua penyerang handalan ini
disatukan. Tidak syak lagi Van Persie dan Falcao akan membentuk salah satu
kombinasi penggempur paling dahsyat pernah disaksikan bukan saja di England
malah di pentas Eropah juga. Memiliki penyerang hebat seperti Falcao dalam
pasukan merupakan satu pembelian bijak dari mana-mana pengurus atau jurulatih
di dunia ini. Ramai penganalisis bolasepak meramalkan jika Falcao melangkah ke
Old Trafford, pemain yang akan berangkat keluar ialah Wayne Rooney ataupun
Javier Hernandez. Ada kemungkinan juga United akan meletakkan Hernandez dalam
pakej tawaran sebagai pertukaran dalam usaha mereka mendatangkan Falcao ke Old
Trafford jika diambilkira laporan Daily Mail pada Oktober 2012 yang menyebut
bahawa Atletico adalah antara kelab yang berminat mendapatkan penyerang Mexico
itu. Spekulasi terbaru seolah-olah mengesahkan lagi laporan awal Daily Mail ini
apabila usaha United mendapatkan Falcao dikatakan memasuki fasa baru dan
tawaran yang diberikan dijangka bakal menggiurkan pihak pengurusan Atletico.
Ketika harga Falcao di pasaran ketika ini dianggarkan sekitar 47 juta Pound,
United diberitakan sedia membayar 27 juta Pound dan meletakkan Hernandez dalam pakej
tawaran mereka. Meskipun media-media di Sepanyol menyebut United sudah membayar
wang pendahuluan tetapi perjuangan mendapatkan Falcao masih belum berakhir.
Senario pertukaran pemain mungkin berlaku dalam soal perpindahan Falcao kerana
United seperti yang kita ketahui sudah memiliki barisan penyerang berkualiti
dalam senarai mereka. Jika Falcao pegi, Atletico juga perlukan penyerang baru
sebagai penggantinya. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
11 April 2013
PEMBELIAN YANG PERLU DIBUAT SIR ALEX JIKA MAHU MENJULANG TROFI LIGA JUARA-JUARA
Selepas menjulang trofi Liga Juara-Juara buat
kali ketiga pada 2008, Manchester United gagal menambah koleksi kejuaraan
saingan tertinggi di pentas Eropah itu meskipun selepas itu berjaya melayakkan
diri ke perlawanan akhir pada edisi 2009 dan 2011. Kehadiran Robin Van Persie
musim panas lalu menjadikan United antara calon pilihan menjulang kejuaraan
Liga Juara-Juara musim ini selain potensi mengulangi semula kejayaan mereka
menjulang kejuaraan treble (trofi
liga, Liga Juara-Juara dan Piala FA) musim 1998-99. Bagaimanapun selepas
menyusulnya kekalahan kontroversi United kepada Real Madrid 6 Mac lalu, Sir
Alex Ferguson nampaknya terpaksa menunggu setahun lagi jika berhasrat mahu
membawa pasukannya beraksi di pentas final Liga Juara-Juara. Selepas disajikan
dengan berbagai spekulasi pemain mana yang akan bergerak menuju ke Old Trafford
musim panas nanti, berikut adalah lima pemain yang berkemungkinan besar akan di
pancing Sir Alex untuk memperkuatkan skuadnya. Mustahil untuk mendapatkan
kelima-limanya tetapi tidak mustahil untuk melihat satu atau dua pemain yang
disenaraikan di bawah ini menyarung jersi United musim hadapan.
MATT
HUMMELS
Dalam artikel-artikel sebelum ini, nama
pemain pertahanan antarabangsa Jerman ini sudah disebut-sebut sebagai calon
pilihan utama bagi menguatkan benteng pertahanan United. Selepas mengeluarkan
kenyataan Oktober lalu bahawa dia ingin meninggalkan saingan Bundesliga, nama
Hummels terus dikaitkan dengan perjalanan ke Old Trafford. Baru berusia 24
tahun, tetapi Hummels adalah tonggak dan mesin pertahanan Borussia Dortmund
serta skuad kebangsaan Jerman. Hummels menjadi sandaran Jurgen Klopp di
bahagian belakang dalam tempoh beberapa musim terakhir hingga berjaya membantu
Die Schwarzgelben menjulang trofi Bundesliga dua musim berturut-turut (musim
2010-11 dan 2011-12). Hummels menampilkan permainan yang cukup solid sepanjang
perjalanan Dortmund dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini di mana dia
sudahpun teruji terutamanya ketika berdepan perancang dan penggempur terbaik
dunia seperti Cristiano Ronado, Mesut Ozil, David Silva dan Sergio Kun Aguero.
United memang memerlukan nafas baru di bahagian tengah pertahanan mereka
terutama jika melihat situasi Nemanja Vidic yang kerap dibelenggu kecederaan
jangka panjang dalam tempoh dua musim terakhir ini, manakala Rio Ferdinand pula
tidak mungkin mampu bermain setiap minggu dengan usianya yang bakal menjangkau
35 tahun. Ketika ini United memang memiliki pelapis untuk mengisi posisi pertahanan
tengah dengan adanya Jonny Evans, Phil Jones dan Chris Smalling tetapi Sir Alex
tidak boleh menolak hakikat bahawa beliau tetap perlukan seorang pemain kelas
dunia di posisi tersebut.
LEIGHTON
BAINES
Seiring dengan keperluan memperkuatkan
bahagian pertahanan tengah, posisi bek kiri dijangka menjadi perhatian utama
Sir Alex musim hadapan. Patrice Evra akan menyambut ulang tahun kelahirannya
yang ke-32 Mei ini dan kita perlu menerima hakikat bahawa bintang Perancis itu
tidak setangkas dulu. Meskipun Evra masih dominan menguasai posisinya, tetapi
ramai pihak menganggap penampilan pemain itu semakin goyah dan kurang konsisten
musim ini. Pertemuan menentang Reading Disember lalu boleh dijadikan contoh
terbaik bagaimana rapuhnya Evra apabila sering dibolosi Hal Robson-Kanu.
Meskipun United menang 4-3 dalam perlawanan itu tetapi dibolosi lawan yang
berada di dasar liga dengan tiga gol adalah sesuatu yang agak gila. Apakah Evra
sudah hampir menuju penghujung kariernya? Jika benar sudah tiba masanya untuk
Sir Alex melakukan perubahan pada posisi tersebut musim depan. Alexander
Buttner mempamerkan aksi cemerlang setiap kali diturunkan tetapi dia masih
memerlukan semusim dua lagi untuk betul-betul bersedia mengambil alih
sepenuhnya posisi Evra. Salah seorang pemain yang dikaitkan dengan United bagi
menggantikan tempat Evra ialah Leighton Baines. United dikatakan pernah cuba
mendapatkan Baines Disember lalu dengan tawaran 15 juta Pound tetapi David
Moyes enggan melepaskan tonggak pasukannya itu memandangkan Everton ketika itu berada
dalam posisi baik memburu slot ke Liga Juara-Juara musim depan. Kualiti Baines hampir
sama seperti Evra di mana dia tidak ragu-ragu naik ke bahagian atas ketika
menyerang dan memiliki terjahan-terjahan kemas. Baines adalah antara pemain
England paling cemerlang dalam kempen kelayakan Piala Dunia dan secara
beransur-ansur mula merampas tempat Ashley Cole dalam kesebelasan utama Three Lions.
JAMES
RODRIGUEZ
Pemain sayap Colombia ini dianggap salah satu
bakat paling menyerlah dalam bolasepak Eropah ketika ini. Pemain berusia 21
tahun ini sudah menjaringkan sembilan gol dari 18 penampilan liga untuk Porto
musim ini. Dengan kemungkinan Nani akan meninggalkan Old Trafford musim panas
ini, Sir Alex nampaknya amat memerlukan pemain baru di bahagian sayap. United
dilaporkan akan menawarkan kepada Porto Nani dan Anderson sebagai pertukaran
bagi mendapatkan Rodriguez yang dikatakan bernilai 36 juta Pound itu. Nilai
Rodriguez di pasaran perpindahan naik mendadak dari 24 juta Pound selepas aksi
cemerlang dipamerkannya bersama Porto dalam saingan domestik dan Eropah. Pada
usia baru mencecah 21 tahun, dia sudah mengumpul 10 caps untuk skuad kebangsaan
Colombia dan menjaringkan dua gol di peringkat antarabangsa. Rodriguez memiliki
skil menggelecek, kreatif, kawalan bola mempersonakan dan rembatan padu hingga
ada pihak mula membandingkan dirinya dengan bekas bintang United, Cristiano
Ronaldo, satu pengiktirafan tinggi untuk pemain muda sepertinya.
VICTOR
WANYAMA
Wanyama sudah dikaitkan dengan United sejak
Januari lalu selepas kelibat Sir Alex dikesan menyaksikan perlawanan Celtic
menentang Dundee United. Seolah-olah menyedari tujuan kedatangan Sir Alex
semata-mata mahu menyaksikan kelibatnya, Wanyama beraksi cemerlang dan
menjaringkan satu gol untuk kelabnya dalam perlawanan itu. Wanyama antara
pemain Celtic paling berpengaruh ketika The
Hoops mengejutkan Barcelona dalam saingan peringkat kumpulan Liga
Juara-Juara dan membantu kelab itu layak ke pusingan kalah mati (16 pasukan). Lihat
saja bagaimana Wanyama mematikan pergerakan licik Lionel Messi dalam perlawanan
itu dan tanpa rasa gentar menyaingi kelibat Andres Iniesta dan Xavi Hernandez
di bahagian tengah. Menyedari bintangnya menjadi perhatian kelab-kelab besar
Eropah, Neil Lennon cuba habis-habisan mengikatkan pemain itu dengan kontrak
baru namun sehingga kini masih tiada kesepakatan dicapai. United dikatakan
serius memantau perkembangan pemain itu dan akan berada di barisan hadapan bagi
mendapatkan Wanyama sebaik pasaran perpindahan pemain dibuka musim panas ini. Sir
Alex memang memerlukan pemain yang `kuat’ di bahagian tengah pasukannya sejak
era penguasaan Roy Keane berakhir dan Wanyama adalah calon terbaik mengisi
posisi tersebut.
ROBERT
LEWANDOWSKI
Lewandowski antara nama paling kerap
disebut-sebut akan berhijrah ke Old Trafford sejak kebelakangan ini. Penyerang
Poland itu adalah mesin gol buat Borussia Dortmund musim lalu apabila
menjaringkan 30 gol dari 47 penampilan. Musim ini Lewandowski lebih tajam
apabila sudah menjaringkan 29 gol dari 40 penampilan, jadi tidak hairanlah
mengapa media meniupkan khabar angin betapa Sir Alex begitu mengagumi
penampilannya. Disember lalu Sir Alex dilaporkan mula mengintai kemungkinan
untuk mendapatkan khidmat Lewandowski selepas pemain itu mengatakan dia tidak
akan memperbaharui kontraknya bersama Dortmund. Lewandowski adalah antara
penyerang yang bakal menjadi buruan kelab-kelab ternama sebaik pasaran
perpindahan pemain dibuka dan Jurgen Klopp juga mulai sedar dia tidak berupaya menghalang
pemergian pemain berusia 24 tahun itu yang pernah meluahkan hasratnya bermain
di England. Jika Sir Alex serius mahu membawa Lewandowski ke Old Trafford,
beliau nampaknya terpaksa bersaing dengan Bayern Munich yang turut mengintai
peluang membawa pemain itu ke Allianz Arena. Mungkin ramai pihak mengatakan
United tidak perlu mendapatkan penyerang baru memandangkan mereka sudah memiliki
Robin Van Persie, Wayne Rooney, Javier Hernandez dan Danny Welbeck di barisan
hadapan. Bagaimanapun mereka juga perlu sedar bahawa Welbeck masih perlukan
masa untuk berkembang di mana dia hanya menjaringkan satu gol dari 22 penampilan
liga untuk United musim ini, manakala Van Persie pula akan mencecah usia 30
tahun Ogos ini. Masa depan Rooney juga masih belum dapat dipastikan setakat ini
terutamanya jika diambilkira minat yang begitu mendalam ditunjukkan gergasi
Perancis, Paris St Germain terhadapnya. Kurangnya peluang tampil dalam
perlawanan-perlawanan liga musim ini menyaksikan masa depan Hernandez juga
menjadi persoalan meskipun Sir Alex baru-baru ini menegaskan bintang Mexico itu
tidak akan dijual.
Selepas kegagalan di pentas Eropah disusuli penyingkiran
dari saingan Piala FA oleh Chelsea, kini hanya trofi liga bakal mengubati
kekecewaan United musim ini. Kekalahan terbaru kepada Manchester City dalam
saingan liga Selasa lalu mendedahkan kepincangan barisan The Red Devils terutamanya di bahagian tengah, manakala Sergio
Aguero memberikan tamparan kepada benteng pertahanan apabila dia menjaringkan
gol kemenangan City dalam tempoh hanya lapan minit selepas dimasukkan selaku
pemain gantian. Roberto Mancini sudah melaungkan amaran bahawa mereka akan
merampas semula trofi liga musim depan dan dengan limpahan wang yang banyak,
pengendali itu tentunya akan melakukan beberapa pembelian baru musim panas ini.
Saingan semakin sengit musim demi musim dan jika Sir Alex memasang impian mahu
mengulangi pencapaian gemilang United musim 1998-99, beliau memerlukan skuad
yang besar untuk menghadapi jadual saingan domestik yang ketat dan dalam masa
yang sama memburu kegemilangan di pentas Eropah. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
09 April 2013
REVIEW: MENANG DI OLD TRAFFORD, CITY HIDUPKAN SISA PELUANG
Kekalahan kepada Manchester City awal pagi
tadi menyaksikan rentetan kemenangan Manchester United dalam aksi liga sejak
November tahun lalu berakhir. Sejak tewas kepada Real Madrid dalam saingan Liga
Juara-Juara 6 Mac lalu, United berdepan aksi tidak konsisten ketika perjalanan
liga menuju penghujung musim di mana mereka tewas dua perlawanan, seri dua kali
dan mencatat hanya satu kemenangan. Kekalahan ketiga United dalam aksi liga
musim ini menyaksikan jurang mata yang dimiliki mereka selaku pendahulu
mengecil kepada 12 mata tetapi United masih kekal selaku pilihan utama
merangkul trofi liga ketika saingan berbaki tujuh perlawanan untuk diharungi.
Meskipun ketika ini United masih tampak selesa menerajui takhta liga tetapi
barisan The Red Devils sebenarnya
tetap perlu merenung kembali kegagalan musim lalu di mana mereka kehilangan
lapan mata dari baki enam perlawanan terakhir sehingga menyaksikan City berjaya
memintas di penghujung musim. Nampaknya masih banyak kerja yang perlu dilakukan
Sir Alex Ferguson terhadap skuadnya dan pemain-pemain pula perlu kembali fokus kepada
misi mereka menjulang trofi liga buat kali ke-20. Kekalahan kepada City awal
pagi tadi sebenarnya menimbulkan persoalan di kalangan penganalisis bolasepak
terutamanya tentang taktikal yang digunakan Sir Alex sejak kebelakangan ini. Saya
tidak mahu mempertikaikan sebarang keputusan Sir Alex dalam memilih kesebelasan
utama pasukannya dalam setiap perlawanan kerana siapalah saya untuk
melakukannya. Di sini saya cuma mahu memetik sedikit ulasan oleh Neil Ashton
dari Daily Mail yang mempersoalkan tindakan Sir Alex menggunakan bintang
veteran Ryan Giggs selama 90 minit sedangkan beliau memiliki Shinji Kagawa dan Nani
di bangku simpanan. Ketika Sir Alex masih menyandarkan harapan kepada kudrat
Giggs menjana bahagian tengah pasukannya, Mancini pula bertindak dengan mengeluarkan
Samir Nasri dan memasukkan Aguero untuk meningkatkan tekanan kepada benteng
pertahanan United. Hasilnya selepas lapan minit dimasukkan, Aguero menjaringkan
gol kemenangan City dan di akhir perlawanan Mancini tersenyum puas menuai
hasilnya.
Ketika tempoh permainan sebenar berbaki 10
minit untuk ditamatkan, Sir Alex akhirnya memasukkan Antonio Valencia (minit
ke-80), Javier Hernandez (minit ke-85) dan Shinji Kagawa (minit ke-90) untuk memburu
gol penyamaan tetapi tiada apa yang mampu dilakukan ketiga-tiga pemain ini dalam
tempoh sesingkat itu. United sebenarnya perlukan ketajaman Kagawa dan tenaga
ketika melancarkan serangan milik Tom Cleverley dalam perlawanan ini, namun
agak malang kerana kedua-duanya sekadar menjadi pemerhati dari tepi padang. Mungkin
disebabkan faktor baru pulih dari kecederaan, persembahan Rooney agak berkarat
manakala Giggs pula bukanlah pemain yang sama seperti sepuluh tahun dahulu
menyebabkan United sukar memberikan ancaman menerusi bahagian tengah. Ketika
saingan musim ini semakin hampir menuju garis penamat, persembahan United pula
dilihat semakin pincang tetapi mujurlah mereka memiliki `deposit’ besar dalam
simpanan mereka hingga agak mustahil City mampu memadam kelebihan 12 mata yang
dimiliki anak-anak buah Sir Alex. Yaya Toure begitu bergaya menguasai bahagian
tengah sekaligus mendedahkan bahawa United sebenarnya perlukan seorang pemain
yang boleh memimpin posisi tersebut. Adalah diharapkan agar perlawanan
menentang City awal pagi tadi menjadi perlawanan terakhir Giggs diletakkan selaku
pemain tengah kerana itu bukanlah posisi yang sesuai buatnya. Giggs sudah
digunakan Sir Alex sebagai pemain tengah dalam dua perlawanan besar (menentang
Madrid dan City) dan perlu diakui bahawa aksinya awal pagi tadi antara yang terburuk
dipamerkannya musim ini. Musim panas ini, Sir Alex perlu bergerak pantas
mendapatkan pemain baru di bahagian tengah memandangkan Paul Scholes semakin menghampiri
garis persaraan, Darren Fletcher pula nampaknya tidak akan pulih dari masalah kesihatannya
manakala prestasi Anderson pula seolah-olah sudah statik dan hanya keajaiban
sahaja mampu menjadikan Ando sebagai pemain tengah yang lebih bagus. Memang
pahit untuk menerima kekalahan tetapi lebih pahit lagi untuk menerima
kebenaran. Lupakan segera kekalahan kepada City dan kembali fokus kepada
pertemuan menentang Stoke City hujung minggu ini. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
Statistik Perlawanan United-City:
Gol: 1 - 2
Percubaan: 15 – 10
Percubaan Tepat: 5 – 3
Penguasaan Bola: 45% - 55%
Kekasaran: 13 – 20
Sepakan Sudut: 9 – 4
Offside: 3 – 1
Kad Kuning: 3 – 5
Kad Merah: 0 – 0
08 April 2013
PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn MANCHESTER CITY
Derby
Manchester yang akan berlangsung awal pagi esok tidak akan menobatkan
Manchester United selaku juara Liga Perdana (jika United menang perlawanan ini)
tetapi gelaran penguasa kota Manchester dan maruah bakal menjadi pertaruhan
antara kedua-dua kelab. United sudah memenangi pusingan pertama selepas mereka
menewaskan City 3-2 pada pertemuan di Stadium Etihad 9 Disember lalu apabila
Robin Van Persie menyumbat gol kemenangan dimasa kecederaan. Bagi Roberto Mancini,
dia mungkin sudah boleh melupakan sebarang harapan mengejar United selepas
menyaksikan skuadnya ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu itu, tetapi pengendali
itu boleh menangguhkan pesta musuh setempat mereka sekurang-kurangnya seminggu
lagi jika anak-anak buahnya mampu mengatasi United dalam perlawanan ini. Jurang
mata yang begitu besar bakal menjadi musuh utama United dan Sir Alex Ferguson
pantas mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terlalu leka meskipun peluang
menjulang trofi liga musim ini hampir 99% dalam genggaman. Kecewa tersingkir dari
saingan Piala FA mungkin masih meninggalkan kesan kepada barisan The Red Devils tetapi mereka perlu
menggunakan pertemuan menentang City ini sebagai medan terbaik untuk bangkit
kembali. Jika berjaya menewaskan City, United akan melebarkan penguasaan mereka
di tangga teratas kepada 18 mata dan dengan baki tujuh perlawanan lagi yang
perlu diharungi selepas itu, trofi liga sepatutnya sudah boleh diserahkan
kepada Nemanja Vidic untuk dijulang. Meskipun secara matematiknya jika City tewas
dalam perlawanan ini mereka masih berpeluang mengejar United namun mengharapkan
anak-anak buah Sir Alex kalah kesemua baki tujuh perlawanan mereka adalah
sesuatu yang keterlaluan dan hampir mustahil.
Jadi tiada apa yang mampu diharapkan Mancini
dalam perlawanan ini kecuali kemenangan demi
maruah selepas dia menghabiskan ratusan juta Pound dalam tempoh beberapa
musim terakhir untuk membawa masuk bintang-bintang handalan dunia ke Eastlands.
Okey, lupakan kekalahan 1-6 kepada City musim lalu kerana United sepatutnya
menggunakan perlawanan ini untuk menebus semula aib yang berlaku pada 23
Oktober 2011 itu. Hanya kemenangan ke atas City akan melengkapkan musim bergaya
United dalam saingan liga sekaligus memadamkan kekecewaan musim lalu selepas
mereka terpaksa menyerahkan trofi liga kepada `jiran yang bising’ itu dengan hanya
perbezaan gol. Pemain yang bakal menjadi tumpuan dalam perlawanan ini sudah
pastilah Carlos Tevez. Penyokong-penyokong United tentunya mengharapkan agar
Tevez diturunkan dalam perlawanan ini untuk diberikan `sambutan hangat’ selepas
aksinya menjulang sepanduk bertulis `RIP FERGIE’ ketika meraikan kejayaan City
menjulang trofi liga musim lalu mengundang kecaman ramai pihak di Old Trafford.
Wayne Rooney dan Rafael da Silva yang terlepas aksi di Stamford Bridge akan
kembali semula dalam kesebelasan utama. Di bahagian tengah Michael Carrick akan
terus menguasai posisinya bersama-sama Tom Cleverley atau Ryan Giggs manakala
Antonio Valencia yang dilabelkan Sir Alex sebagai satu-satunya pemain United yang
beraksi cemerlang meskipun disingkir Chelsea dalam aksi Piala FA minggu lalu
akan mengisi posisi sebelah kanan. Shinji Kagawa dijangka bermula di sebelah
kiri dengan Rooney pula seperti biasa akan berada di sebelah Robin Van Persie
selaku penggempur. Sir Alex berharap agar gandingan dua pemain ini akan
memberikan pukulan terakhir kepada sisa-sisa perjuangan City musim ini. Glory
Glory Manchester United!!! – A.J
Fakta Perawanan:
- City pernah menewaskan United sebanyak 16
kali ketika beraksi di Old Trafford tetapi mereka juga mengumpul 36 kekalahan
di gelanggang yang sama.
- Perlawanan awal pagi esok adalah
pertembungan derby ke-165 antara
kedua-dua pasukan. Sepanjang 164 perlawanan yang lalu, United menang 69 perlawanan,
seri 50 dan tewas 45 kali.
- Kemenangan besar City ke atas United musim
lalu (6-1) bukanlah satu-satunya perlawanan yang berkesudahan dengan margin
lima gol kerana United pernah menewaskan City 5-0 pada musim 1994-95.
- Sejak Roberto Mancini mengendalikan City,
mereka menang dua dari enam pertemuan menentang United, kalah tiga kali dan
seri sekali.
- United, City dan Arsenal adalah tiga
pasukan yang tidak pernah tewas dalam saingan liga musim ini jika mereka
berjaya menjaringkan gol terlebih dahulu.
- United muncul pasukan yang menjaringkan gol
terbanyak dalam tempoh 30 minit pertama perlawanan dengan 27 gol.
- Dari 31 gol yang membolosi gawang United,
hanya satu jaringan dihasilkan lawan dari luar petak penalti.
- United mencipta rekod clean sheet terpanjang musim ini iaitu selama 627 minit.
- Kemenangan keatas Sunderland minggu lalu
menjadikan United pasukan pertama meraih 25 kemenangan dari 30 perlawanan liga.
- United masih mampu meraih 27 mata walaupun
mereka ketinggalan terlebih dahulu kepada lawan. Catatan terbaik berbanding
mana-mana pasukan di Liga Perdana musim ini.
- Robin Van Persie gagal menjaringkan
sebarang gol dari 9 perlawanan kompetitif United walaupun bermain selama 549
minit dan melepaskan 24 percubaan.
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic,
Patrice Evra, Rafael da Silva, Michael Carrick, Tom Cleverley, Antonio Valencia, Shinji Kagawa, Wayne Rooney
& Robin Van Persie
Barisan Kemungkinan City:
Joe Hart, Pablo Zabaleta, Vincent Kompany,
Matija Nastasic, Gael Clichy, Gareth Barry, James Milner, Yaya Toure, Carlos
Tevez, David Silva & Sergio Aguero
Langgan:
Catatan (Atom)




















