26 Ogos 2022

CASEMIRO: PENAWAR KEPADA `BARAH’ UNITED?

 


Pada usia beliau yang sudah mencecah angka 30 tahun, mengapa Manchester United masih sanggup mengeluarkan dana sebanyak £60 juta demi mendapatkan khidmat pemain bernama Casemiro ini? Kisah perpindahan Casemiro dari kota Madrid ke Manchester boleh dianggap antara kisah perpindahan yang `mengejutkan’, khususnya buat penyokong-penyokong United. Apa tidaknya kerana sebelum ini kita sering disogokkan dengan saga perpindahan Frenkie De Jong yang tiada kesudahannya.

 

Sejak Mei hingga sekarang, sudah lebih 100 hari `rumour’ perpindahan De Jong ke Old Trafford masih belum menjadi kenyataan, tetapi secara tiba-tiba United mengejutkan para penyokong mereka dengan pengumuman kejayaan kelab menandatangani Casemiro. Tiada `drama’ yang terlalu panjang, kerana United dan Real Madrid cuma perlukan tempoh selama empat jam sahaja untuk mencapai kesepakatan sebelum perpindahan Casemiro ke Old Trafford akhirnya dimuktamadkan.

 

Sepertimana yang anda tahu, di Santiago Bernabeu Casemiro adalah legenda. Bersama Real, beliau sudah memenangi kesemua kejuaraan yang ditawarkan, baik di peringkat domestik mahupun Eropah. Dengan deretan kejuaraan yang sudah dimenanginya, pemenang lima kejuaraan Liga Juara-Juara itu tahu bahawa tugasnya bersama Real sudah selesai. Apa yang dimahukan Casemiro ialah cabaran baharu dan Liga Perdana adalah pentas selanjutnya untuk beliau pamerkan aksinya.

 

Saga Bermula

 

Posisi pemain tengah bertahan, antara posisi yang sering disebut-sebut sebagai titik lemah dalam skuad United. Dalam tempoh beberapa musim terakhir, Fred dan Scott McTominay sering digunakan sebagai `double pivot’, sama ada sebagai perancang gerakan dari belakang atau tugas melindungi benteng pertahanan. Bagaimanapun penampilan gandingan `McFred’ ini sering sahaja menjadi sasaran kritikan, bukan sahaja oleh penyokong United sendiri tetapi juga `pundit’ bolasepak.

 

Ketika ini, Erik Ten Hag sedang berusaha meningkatkan kualiti skuad kendaliannya, dan antara sektor yang perlu ditingkatkan kualitinya ialah di posisi pemain tengah bertahan. Dalam proses tersebut, nama Frenkie De Jong dikatakan muncul sebagai prioriti utama, kemudian ada Adrien Rabiot yang permintaan gajinya tidak mampu dipenuhi United. Pada minggu ketiga bulan ini, nama Casemiro tiba-tiba muncul, dan bermulalah saga perpindahan beliau ke Old Trafford.

 

Pada mulanya ramai penyokong United yang agak skeptikal bila membaca `rumour’ tersebut, tambahan pula selepas menyaksikan betapa bergelutnya kelab mendapatkan khidmat De Jong dan alternatif lain seperti Rabiot. Casemiro adalah tonggak utama Real, juga antara pemain penting di sebalik suksesnya `Los Blancos’ menjulang kejuaraan `double’ pada musim lalu. Jadi adakah Carlo Ancelotti sudah cukup gila melepaskan antara tonggak utama pasukannya berpindah ke kelab lain?

 

Bagaimanapun situasi sebenar tidak sepertimana yang kita jangkakan, kerana Real sebaliknya dengan mudah melepaskan Casemiro pergi. Semuanya kerana Real kini dalam proses melakukan regenerasi dalam skuad mereka. Jika Casemiro pergi sekalipun, Real sudah memiliki Aurelien Tchouameni sebagai pengganti. “Saya sudah bercakap dengan Casemiro. Dia mahukan cabaran baharu, dan saya akur dengan kemahuannya”, kata Carlo Ancelotti.

 

Simen Antara Batu Bata

 

Dari sudut teknikal, kehadiran Casemiro bakal meningkatkan lagi kualiti United terutamanya untuk peranan sebagai `defensive midfielder’. Perlu juga diakui bahawa meskipun usianya sudah mencecah angka 30 tahun, Casemiro masih tergolong dalam kelompok pemain tengah bertahan terbaik dunia. Isu konsistensi gandingan `McFred’ antara penyebab utama mengapa United sangat perlukan seorang `defensive midfielder’ kelas dunia seperti Casemiro.

 

Menurut Massimiliano Allegri, Casemiro bukanlah antara pemain paling berbakat dari segi teknikalnya. Tetapi faktor yang membuatkan beliau antara pemain yang begitu istimewa ialah disiplin taktikal dan visi permainan yang dimilikinya memberikan keseimbangan kepada pasukan. Sebagai contoh terbaik, lihat sahaja apa yang dilakukan Casemiro pada aksi final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu. Liverpool lebih dominan, tetapi Real sebenarnya yang mengawal tempo permainan.

 

Ketenangan Real mengawal tempo permainan menjadi kunci kepada kemenangan mereka. Meskipun digempur dengan serangan bertubi-tubi, Real tetap stabil dalam menyerap asakan lawan serta mengawal benteng pertahanan mereka dengan baik. Dalam soal ini, peranan Casemiro sangat penting dalam melindungi empat lagi rakan sepasukan yang berada di belakangnya. Jadi tidak hairanlah mengapa terdapat analogi yang menyebut bahawa Casemiro seperti `simen di antara batu bata’.

 

Perbandingan

 

Di peringkat awal kariernya, Casemiro mengakui bahawa beliau bermula sebagai penyerang tetapi akhirnya peranan sebagai `pemain nombor 6’ sudah tidak lagi dapat dipisahkan darinya. Dalam saingan La Liga musim lalu, Casemiro muncul pemain paling banyak memenangi semula penguasaan bola di zon `final third’. Dari catatan statistik yang dikeluarkan WhoScored, beliau melakukan purata 2.8 `tackle’ per perlawanan berbanding dua lagi `defensive midfielder’ United iaitu Fred (2.7) dan McTominay (2.4).

 

Bagaimana pula purata hantaran yang dilakukan beliau dalam setiap perlawanan? Secara purata, Casemiro melakukan 68.7 hantaran per perlawanan, catatan yang jauh lebih tinggi berbanding Fred (59.9) dan McTominay (46.2). Secara keseluruhan, peratus ketepatan hantaran yang dilakukan Casemiro di La Liga musim lalu mencapai angka 86% berbanding Fred (84%) dan McTominay (85.6%). Catatan ini turut meletakkan Casemiro di tempat teratas berbanding mana-mana pemain tengah United.

 

Dalam aspek `offensive’ pula terutamanya jumlah gol dan bantuan gol, Fred lebih unggul menerusi empat gol dan empat bantuan gol yang dihasilkannya berbanding Casemiro (satu gol dan tiga bantuan gol). Catatan ini sebenarnya lebih dipengaruhi oleh peranan dimainkan Casemiro bersama Real yang lebih bertahan. Zon aktif Casemiro lebih tertumpu di bahagian tengah atau lebih tepatnya, zon yang sangat penting untuk United memiliki seorang pemain tengah bertahan kelas dunia.

 

Penutup

 

Pada April 2018, atau dua bulan sebelum kedatangan Fred ke Old Trafford, Jose Mourinho mendambakan seorang pemain Brazil berada dalam skuadnya. Menurut Mourinho beliau inginkan seorang pemain Brazil bagi memberikan elemen `Brazil’ dalam skuadnya. “Sesebuah pasukan bolasepak tanpa pemain Brazil bukanlah pasukan bolasepak. Mereka memiliki bakat yang fantastik dan kreativiti pemain Brazil tidak mampu diukur”, kata Mourinho kepada ESPN.

 

Akhirnya selepas empat tahun tamatnya era Mourinho, United kini memiliki dua pemain Brazil dalam skuad utama mereka, iaitu Fred dan Casemiro. Casemiro mungkin bukan pemain Brazil paling mempersonakan pernah anda lihat, juga bukan `flamboyant’ seperti Neymar atau Ronaldinho. Tetapi tugas Casemiro ialah bertarung merebut bola, mengawal tempo permainan, melindungi rakan-rakan di benteng pertahanan serta sesekali melakukan sedikit kerja-kerja kotor.

 

Kehadiran Casemiro memang mengujakan, terutamanya di tengah-tengah kemelut isu konsistensi membabitkan gandingan `McFred’. Bagaimanapun adalah tidak adil untuk anda mengharapkan impak segera diberikan beliau. Kehadiran Casemiro bakal menambah kualiti jentera tengah United, terutamanya untuk peranan sebagai `pemain nombor 6’, posisi yang sebenarnya sudah begitu lama menjadi barah dan mendera permainan United. “Bienvenido Casemiro”…Glory Glory Manchester United!!!



24 Ogos 2022

UNITED YANG BERBEZA

 


Kali terakhir Manchester United berjaya menewaskan Liverpool dalam saingan liga ialah pada 10 Mac 2018. Sejak itu, lapan pertembungan `North West Derby’ sudah berlangsung dalam saingan liga, dan United gagal menewaskan Liverpool dalam kelapan-lapan pertemuan itu. Apa yang berlaku sejak 10 Mac 2018 ialah Liverpool unggul mendominasi pentas `North West Derby’ menerusi lima kemenangan yang dilakar mereka ke atas United, manakala tiga lagi pertemuan berakhir dengan keputusan seri.

 

Musim lalu United tewas kedua-dua pertemuan mereka menentang Liverpool di Liga Perdana. Dua kekalahan besar yang berlaku di Old Trafford (0-5) dan di Anfield (0-4), sekadar mengesahkan lagi status Liverpool selaku kesebelasan yang jauh lebih unggul berbanding United, baik dari segi taktikal mahupun komposisi skuad yang dimiliki barisan `The Reds’ itu. Lebih empat tahun diperlukan United untuk mereka kembali menewaskan Liverpool dalam saingan liga, dan momen itu berlaku lagi di Old Trafford kelmarin.

 

Pada awal pagi 23 Ogos 2022, United akhirnya kembali mengungguli pentas `North West Derby’ menerusi dua gol yang diledak Jadon Sancho (minit ke-16) dan Marcus Rashford (minit ke-53). Usaha Liverpool untuk cuba bangkit menerusi gol Mohamed Salah di minit ke-81 tetap gagal menghalang United dari meraih tiga mata penuh dalam perlawanan ini. Ini merupakan kemenangan pertama United di bawah era regim Erik Ten Hag dalam saingan liga, dan juga kemenangan pertama mereka ke atas Liverpool dari sembilan perlawanan (liga).

 

Perubahan Yang Dilakukan Ten Hag

 

Dua kekalahan berturut-turut dalam dua penampilan awal mereka dalam saingan liga musim ini tentunya sukar untuk diterima penyokong. Untuk itu, Ten Hag sedar bahawa United tidak boleh tewas dalam aksi `North West Derby’ ini. Jika kekalahan berlaku lagi, moral dan krisis keyakinan dalam pasukan akan bertambah buruk. Jadi apa yang perlu beliau lakukan ialah melakukan perubahan drastik dalam kesebelasan utamanya, terutama sekali membabitkan benteng pertahanan.

 

Untuk itu tiada nama Harry Maguire dan Luke Shaw, juga Anthony Martial yang pada awalnya diramal bakal tersenarai dalam `line up’ permulaan turut tercicir. Raphael Varane dipasangkan dengan Lisandro Martinez sebagai duo `centre back’, manakala Tyrell Malacia pula menggantikan posisi Luke Shaw di sisi kiri pertahanan United. Meskipun prestasi Anthony Elanga dalam dua perlawanan awal dikritik penyokong, tetapi Ten Hag ada alasan kuat untuk terus meletakkan pemain muda itu dalam kesebelasan utamanya.

 

Sebelum perlawanan berlangsung, Ten Hag sudah menjelaskan bahawa skuad yang dipilihnya kali ini merupakan kesebelasan yang memiliki kekuatan fizikal untuk berdepan aksi berintensiti tinggi. Atau lebih tepatnya, sebelas pemain yang beliau pilih ialah pemain yang `tidak takut’ untuk melakukan duel. Pemilihan pemain yang dilakukan Ten Hag dalam perlawanan ini membuahkan hasil kerana dari catatan Sky Sports, pemain-pemain United melakukan 106 kali `sprint’ berbanding Liverpool (62).

 

Pressing…Pressing dan Pressing

 

Apa yang dapat anda lihat hampir sepanjang perlawanan ialah United sangat berbeza berbanding dua penampilan mereka sebelum ini. Mereka sangat agresif terutamanya menerusi pendekatan `high pressing’ yang diterapkan Ten Hag dalam corak permainan United. Sepanjang 90 minit, United melakukan 24 `tackle’ berbanding (13) yang dicatatkan Liverpool, manakala Tyrell Malacia pula muncul pemain paling banyak melakukan `tackle’ di atas padang menerusi catatan lima `tackle’ yang dilakukannya.

 

Paling menarik ialah melihat bagaimana pemain yang memiliki `attacking minded’ seperti Bruno Fernandes berupaya melakukan tiga `tackle’, satu petunjuk bahawa beliau juga aktif melakukan `pressing’ dan sedia melakukan duel dengan mana-mana pemain lawan. Sejak awal perlawanan, sasaran Ten Hag ialah melakukan tekanan ke sisi kanan pertahanan Liverpool kerana beliau sedar bahawa Trent Alexander-Arnold tidak memiliki kemampuan duel yang cukup baik.

 

United mengeksploitasi titik lemah Liverpool yang menyaksikan gerakan mereka dari sebelah kanan pertahanan lawan menghasilkan gol pertama. Gol kedua pula adalah tipikal gol-gol yang pernah dihasilkan United sebelum ini. Iaitu mereka menggunakan kelajuan pemain-pemain di barisan hadapan untuk mengeksploitasi garis pertahanan tinggi yang digunakan lawan. Hasilnya, gol kedua United yang dijaringkan Marcus Rashford adalah menerusi satu gerakan pantas.

 

Suka atau tidak, anda terpaksa mengakui bahawa United bermain dengan lebih baik tanpa Cristiano Ronaldo, setidak-tidaknya dalam perlawanan ini. Tanpa Ronaldo, United lebih `mobile’, gerakan-gerakan mereka lebih lancar dan pantas serta beberapa kali mencipta peluang menerusi transisi gerakan dari bertahan ke menyerang. Tidak menyenaraikan pemain seperti Ronaldo dalam kesebelasan utama adalah satu tindakan berani dari Ten Hag, dan hasilnya United berjaya meraih tiga mata penuh.

 

Penutup

 

Selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada kelab yang biasanya menamatkan saingan liga di kelompok pertengahan dan bawahan, United akhirnya memilih waktu, tempat dan lawan yang tepat untuk bangkit kembali. Gol dari Jadon Sancho dan Marcus Rashford memberikan United tiga mata berharga, tetapi kredit sebenarnya wajar diberikan kepada benteng pertahanan United. Dua pemain paling menyinar di barisan belakang United tentunya Lisandro Martinez dan Tyrell Malacia.

 

Martinez menepati reputasi beliau sebagai `El Carnicero’, pemain pertahanan tengah bertubuh kecil tetapi tidak pernah gentar untuk melakukan duel dengan mana-mana pemain lawan. Untuk seorang pemain muda seperti Malacia pula, melakukan `debut’ dalam kesebelasan utama United dan ditugaskan untuk mengunci pergerakan pemain yang memiliki reputasi besar seperti Mohamed Salah, anda patut memberikan `lima bintang’ atas prestasi yang dipamerkan beliau.

 

Liverpool tetap Liverpool, seteru abadi yang sejak beberapa musim terakhir begitu kita cemburui pencapaian mereka. Jadi menyaksikan mereka tewas dalam aksi kompetitif seperti ini adalah satu perasaan yang luar biasa. Kita melihat sisi United yang berbeza, ada keghairahan, ada keazaman yang kuat, ada keberanian untuk melawan dan ada `rasa lapar’ untuk menang. Apa yang United pamerkan kelmarin setidak-tidaknya memberikan kita harapan bahawa United musim ini adalah lebih baik berbanding United musim lalu. Glory Glory Manchester United!!!