31 Ogos 2009

Fletcher Nadi United Di Bahagian Tengah

Wayne Rooney of Manchester United celebrates scoring his team's first goal
Sir Alex Ferguson memuji prestasi pemain tengahnya, Darren Fletcher ketika pertembungan dengan musuh tradisi mereka Arsenal awal pagi Ahad lalu. Bagi Ferguson selain Rooney, Fletcher juga layak dianugerahkan sebagai pemain terbaik perlawanan. Fletcher menunaikan tugasnya dengan cukup cemerlang mengemudi jentera tengah United samada ketika bertahan mahupun menyerang. Ketika United melancarkan serangan, Fletcher dan Rooney dilihat bekerjasama dengan cukup baik dan salah satu rembatan Fletcher di hadapan gawang hasil umpanan Rooney nyaris menghasilkan gol buat United.
Arsenal's Alexandre Song Billong goes down under pressure from Manchester United's Darren Fletcher
"Saya fikir dia bermain cukup bagus dan penampilannya amat menakjubkan. Rooney fantastik di babak kedua permainan dan layak dianugerahkan pemain terbaik perlawanan. Tetapi pada pendapat saya, Fletcher sebenarnya lebih layak menerima anugerah itu", ujar Ferguson. Pendapat Ferguson itu turut diakui oleh Wayne Rooney yang menjaringkan gol penyamaan melalui sepakan penalti di minit ke 58. "Saya sudah menyatakan sebelum ini bahawa jika seseorang penyerang berjaya menjaringkan gol maka dia akan cenderung dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan. Namun Fletcher merupakan nadi pasukan dalam perlawanan itu" ujar Rooney.
Wayne Rooney of Manchester United competes for the ball with William Gallas of Arsenal
Ferguson turut menolak andaian kemenangan pasukannya dibantu oleh pengadil perlawanan terutama ketika Fletcher menjatuhkan Andrei Arshavin dalam petak penalti. Bagi Ferguson, pengadil membuat keputusan tepat dengan meneruskan permainan kerana ia bukanlah satu kekasaran dan Fletcher hanya ingin mengeluarkan bola dari kawasan bahaya. "Saya fikir itu bukanlah penalti. Fletcher hanya ingin mengeluarkan bola dari kawasan kami", tambah Ferguson lagi. Dalam perlawanan sengit kelmarin, Arsenal berjaya mendahului melalui Andrei Arshavin diminit ke 40 melalui rembatan kencang dari luar petak penalti yang menewaskan Ben Foster.
Ben Foster of Manchester United stretches to make a save
Selepas mendahului, Arsenal dilihat mendominasi permainan tetapi United berjaya bangkit selepas rehat dan berjaya menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti Wayne Rooney selepas penyerang antarabangsa England itu dijatuhkan Manuel Almunia dalam petak penalti. Lima minit kemudian Abou Diaby melakukan kesilapan apabila tandukannya hasil sepakan percuma Ryan Giggs menerjah ke gawang sendiri sekaligus menghadiahkan kemenangan ketiga United dalam empat perlawanan. Perlawanan sengit itu berakhir dengan suasana tegang apabila Arsene Wenger diarah meninggalkan bangku simpanan Arsenal oleh pengadil Mike Dean.

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Chelsea (3) - Burnley (0)
Blackburn (0) - West Ham (0)
Bolton (2) - Liverpool (3)
Stoke City (1) - Sunderland (0)
Tottenham (2) - Birmingham (1)
Wolverhampton (1) - Hull City (1)
Portsmouth (0) - Manchester City (1)
Everton (2) - Wigan Athletic (1)
Aston Villa (2) - Fulham (0)

28 Ogos 2009

Ferguson: Undian Kali Ini Lebih Sukar


Manchester United telah diletakkan dalam kumpulan B dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara Eropah pada undian yang dilakukan awal pagi tadi. Turut diletakkan dalam kumpulan yang sama ialah VfL Wolfsburg, CSKA Moscow dan Besiktas. Sir Alex Ferguson menganggap undian kali ini lebih sukar dibandingkan dengan musim lalu. "Kami dalam kumpulan yang sukar terutamanya apabila terpaksa ke Russia dan Turki", ujar Ferguson kepada laman web rasmi United, manutd.com. "CSKA dalam beberapa tahun ini telah membangunkan pasukan mereka dan Besiktas juga bukan lawan yang mudah kerana mereka sentiasa memberi tentangan sengit apabila bermain di sana. Kualiti Wolfsburg juga tidak harus dipertikaikan kerana mereka telah membuktikan dengan meraih gelaran Bundesliga musim lalu", tambah Ferguson lagi. United akan memulakan saingan dengan berkunjung ke Turki menentang Besiktas pada 15 September ini. Dalam masa yang sama Edwin Van Der Sar telah dianugerahkan sebagai penjaga gol terbaik UEFA dalam majlis itu dan bagi Ferguson, penjaga golnya itu memang layak menerima anugerah itu atas prestasi hebatnya membantu kempen United di peringkat domestik dan Eropah sepanjang musim lalu.

Keputusan Undian Peringkat Kumpulan Liga Juara 2009/2010:

Kumpulan A
- Bayern Munich, Juventus, Bordeaux, Maccabi Haifa
Kumpulan B - Man Utd, CSKA Moscow, Besiktas, Wolfsburg
Kumpulan C
- AC Milan, Real Madrid, Marseille, FC Zurich
Kumpulan D - Chelsea, FC Porto, Atletico Madrid, APOEL Nicosia
Kumpulan E - Liverpool, Lyon, Fiorentina, Debreceni
Kumpulan F - Barcelona, Inter Milan, Dinamo Kiev, Rubin Kazan
Kumpulan G - Sevilla, Rangers, Stuttgart, Unirea Urziceni
Kumpulan H - Arsenal, AZ Alkmaar, Olympiakos, Standard Liege

27 Ogos 2009

Berbatov: United Pasukan Paling Ditakuti Dalam Liga Juara

Manchester United's Dimitar Berbatov celebrates scoring with his teammates
Pemerhati bolasepak dunia pasti mengakui bahawa Manchester United merupakan salah satu kelab terkuat dunia ketika ini dan menjadi igauan buat pasukan-pasukan lain. Situasi ini pastinya dirasai apabila bermulanya saingan peringkat kumpulan Liga Juara musim 2009/2010 tidak lama lagi. Penyerang antarabangsa Bulgaria, Dimitar Berbatov mengatakan, United menanti undian peringkat kumpulan tanpa rasa gentar. "Apabila anda menyebut nama Manchester United, ianya secara langsung akan menerbitkan rasa hormat terhadap kami dan tiada pasukan yang suka apabila terpaksa bermain menentang kami", ujar Berbatov kepada laman web rasmi United, manutd.com. Bagi Berbatov, kekalahan ketika final Liga Juara Mei lalu telah mendorong keinginan para pemain untuk lebih berjaya musim ini. "Setelah apa yang berlaku di Rome, saya kira kami kini lebih matang dan semakin bersedia bertarung di pentas Eropah", tambahnya.

Kekalahan United kepada Barcelona di Rome jelas satu kekecewaan besar buat Berbatov memandangkan inilah kali pertama dalam kariernya, kapten Bulgaria itu beraksi di pentas final peringkat Eropah. Ketika United menjulang gelaran Liga Juara musim 2007/2008, Berbatov masih berada di Tottenham. "Kekalahan itu benar-benar mengecewakan saya kerana ketika United menang di Moscow saya belum menyertai mereka. Saya belum pernah memenangi Liga Juara dan kekalahan kepada Barca cukup mengecewakan. Musim ini matlamat kami ialah ingin menguju ke Madrid. Santiago Bernabeu (gelanggang final Liga Juara 2009/2010) merupakan salah satu stadium terbaik dunia dan saya tahu kami cukup bagus untuk menuju ke sana dan memenangi Liga Juara", jelas Berbatov lagi.

25 Ogos 2009

Pelajaran Berguna Dari Turf Moor

Manchester United's manager Sir Alex Ferguson during match against Bayern Munich
Sir Alex Ferguson mengakui bahawa beliau mendapat pelajaran berguna ketika skuad bimbingannya tewas kepada Burnley pertengahan minggu lalu. Kekalahan 0-1 itu menyedarkan Ferguson bahawa banyak lagi kerja yang harus dilakukannya. Menurut Ferguson, Burnley punya semangat tinggi ketika menangani ancaman dari juara Inggeris itu walaupun mereka baru saja dinaikkan ke Liga Perdana. Inilah yang menjadi pengajaran kepada pengendali berasal dari Scotland itu. Bangkit dari kekalahan itu, United membelasah Wigan Athletic 5-0 di Stadium DW hujung minggu lalu. "Saya tidak khuatir soal itu (mengimbas kekalahan United kepada Burnley) dan kami tidak akan membunuh diri hanya disebabkan kekalahan itu. Kami mengambilnya sebagai pengalaman dan pengajaran", ujar Ferguson kepada akhbar Independent. Hujung minggu ini skuad Red Devils akan menanti kunjungan anak didik Arsene Wenger dalam satu lagi pertembungan hebat Liga Perdana. Arsenal dalam prestasi terbaik mereka, menang dalam ketiga-tiga perlawanan awal termasuk ketika membelasan Everton 6-1 dan Portsmouth 4-1.

24 Ogos 2009

United Berminat Dapatkan Robben

Arjen Robben, Holland
Pihak pengurusan Manchester United yang sebelum ini bertegas tidak akan membawa masuk pemain baru sebelum pasaran perpindahan pemain ditutup kini telah berubah fikiran. United dikhabarkan sedang berusaha mendapatkan khidmat sayap kiri Real Madrid, Arjen Robben. Tindakan ini dibuat berikutan prestasi kurang memuaskan United di awal musim terutamanya di posisi sayap kiri sehingga Ferguson sebelum ini telah meminta agar Patrice Evra sering naik membantu serangan.

Menurut akhbar Sepanyol Marca, pihak pengurusan United percaya kehadiran Robben akan menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka disebelah kiri memandangkan pengalaman yang dimiliki oleh Robben ketika mewakili Chelsea selama dua musim. Madrid sendiri ingin menjual beberapa pemainnya sebelum tirai perpindahan pemain ditutup dan Robben termasuk dalam senarai pemain yang akan dijual. United diberitakan sudahpun menawarkan kepada Madrid sebanyak 20 juta pound untuk mendapatkan Robben.

23 Ogos 2009

Amukan United Di DW Stadium

Michael Owen shows his delight at getting off the mark for Manchester United
Manchester United segera melupakan kekalahan mengejut kepada Burnley Khamis lalu apabila menjadikan Wigan Athletic mangsa amukan mereka di DW Stadium sebentar tadi. Wigan yang berharap dapat mengulangi pencapaian Burnley ke atas United berjaya menyaingi skuad Red Devils sepanjang babak pertama. United hampir membuka tirai jaringan apabila kuisan Darren Fletcher hasil hantaran Nani dari penjuru kanan gawang lawan berjaya dihalang Titus Bramble. United sekali lagi menguji gawang tuan rumah apabila tendangan Paul Scholes yang menerima umpanan hasil gerakan Nani dan Dimitar Berbatov sekadar melewati palang gol. Wigan turut memperolehi peluang terbaik mereka apabila sepakan lencong Jason Koumas dari luar petak penalti berjaya ditepis Ben Foster. Kedudukan sehingga tamat separuh masa pertama terikat 0-0.

Bersambung di babak kedua, kebuntuan United akhirnya terlerai diminit ke 56 apabila tandukan Wayne Rooney yang menerima hantaran Luis Antonio Valencia gagal diselamatkan Chris Kirkland. Tidak lama selepas itu Wigan hampir menyamakan kedudukan namun tandukan lambung Hugo Rodallega berjaya ditepis Ben Foster. Dimitar Berbatov merakamkan gol pertamanya musim ini apabila menyempurnakan hantaran Paul Scholes diminit ke 58 untuk meletakkan United 2-0 di depan. Segala-galanya tampak mudah buat United selepas itu dan berselang 7 minit kemudian Rooney menjaringkan gol keduanya apabila rembatannya dari dalam petak penalti terkena Mario Melchiot dan terbias ke sebelah kanan gawang lawan.

Ferguson membawa masuk Michael Owen diminit ke 71 bagi menggantikan Wayne Rooney dan bekas penyerang Liverpool itu membuktikan dia masih berbisa apabila bijak menyempurnakan hantaran Nani untuk meletakkan United selesa mendahului 4-0 diminit ke 85. Ini merupakan gol pertamanya untuk United musim ini dan apa yang menariknya cara gol itu dihasilkan mirip ketika era gemilangnya di Liverpool, nyata Owen masih belum hilang naluri pembunuhnya. Nani kemudiannya melengkapkan malam hebat United apabila sepakan percuma dari jarak 25 meter diminit ke 92 terus menerjah jaring. Pemain antarabangsa Portugal itu mengambilalih peranan Cristiano Ronaldo dalam mengambil sepakan percuma dan melakukan tugasnya dengan cemerlang malam ini. Glory Glory Manchester United!!!

Lain-Lain Keputusan Perlawanan:

Arsenal (4) - Portsmouth (1)
Birmingham City (0) - Stoke City (0)
Hull City (1) - Bolton Wanderers (0)
Manchester City (1) - Wolverhampton Wanderers (0)
Sunderland (2) - Blackburn Rovers (1)

22 Ogos 2009

United Sedia Gasak Wigan

Manchester United fans behind Alex Ferrguson's youth policy, says Darren Ferguson
Sir Alex Ferguson tidak risau dengan kekalahan United kepada Burnley Khamis lalu dan yakin pasukannya mampu bangkit kembali apabila berhadapan dengan Wigan Athletic hari ini. United memulakan kempen musim ini dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Birmingham City di Old Trafford minggu lalu tetapi tewas kepada pendatang baru Liga Perdana, Burnley di Turf Moor. Ramai beranggapan persembahan longgar United kesan dari ketiadaan Cristiano Ronaldo tetapi Ferguson yakin skuad Red Devils akan kembali bangkit selepas ini. Secara tradisinya United akan bermula perlahan di awal kempen liga tetapi mula mempamerkan aksi sebenar ketika saingan memasuki bulan Oktober.

Disebalik pemergian Ronaldo dan Tevez, Ferguson juga kehilangan khidmat Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Edwin Van Der Sar, Owen Hargreaves dan Rafael da Silva akibat kecederaan. Kini Wigan pula berharap mereka akan dapat mengikuti jejak Burnley dengan menewaskan United di Stadium JJB. Bagi tonggak tengah United, Darren Fletcher pula berpendapat United sebenarnya punya ramai pemain muda yang mampu menyinar musim ini. Rafael da Silva, Danny Wellbeck, Jonny Evans, Darron Gibson dan Federico Macheda telah memberikan sumbangan yang cukup berkesan musim lalu dan kini muncul pula Fabio yang merupakan kembar Rafael dalam pasukan.

"Kelab ini tidak pernah ketandusan pemain pelapis dan inilah apa yang kami ada sekarang. Kami mempunyai kelompok pemain muda yang cukup bagus dan sedia beraksi pada bila-bila masa", ujar Fletcher. Peminat-peminat ingin melihat pemain-pemain muda ini beraksi dalam skuad utama. Kehadiran mereka dalam pasukan merupakan kebanggaan buat kami dan adalah lebih baik daripada pasukan mengeluarkan belanja besar mendapatkan pemain luar", tambah Fletcher lagi. Ferguson menghadapi masalah serius dibenteng tengah apabila Ferdinand dan Vidic masih belum pulih dari kecederaan. Pilihan yang ada ialah meletakkan Wes Brown, John O'Shea atau Jonny Evans di posisi tersebut.

21 Ogos 2009

Ferguson Tak Risau Serangan Tumpul

Photo 1 - Manchester United manager Alex Ferguson leaves the pitch after h... AFP/Getty Images
Tiada kerisauan dalam diri pengendali Manchester United, Sir Alex Ferguson terhadap barisan penggempurnya yang gagal membolosi gawang Burnley biarpun dihidangkan dengan deretan peluang. Ketumpulan barisan penyerang United yang diketuai Wayne Rooney menyaksikan Burnley mencatatkan kemenangan pertama mereka ke atas United dalam tempoh 41 tahun. "Jika anda lihat peluang yang dicipta, saya tidak perlu khuatir dengan hal tersebut. Beberapa pemain memiliki peluang, Owen gagal menepati sasaran di babak pertama dan Giggs pula di babak kedua", ujar Ferguson kepada akhbar Daily Mail. United juga terlepas peluang menyamakan kedudukan apabila sepakan penalti Michael Carrick gagal menemui sasaran. "Jika kami berjaya menyamakan kedudukan melalui penalti itu, saya yakin kami akan memenangi perlawanan itu. Ini adalah takdir Burnley dalam Liga Perdana dan anda tidak boleh menafikan kemenangan mereka", tambah Ferguson lagi. Walaupun kecewa dengan kekalahan itu, Ferguson tetap mengakui kehebatan Burnley. "Mereka tampil dan mengejutkan kami dengan sokongan padu dari para penyokong di belakang mereka".

20 Ogos 2009

United Tersungkur Di Turf Moor

Michael Carrick of Manchester United takes and misses a penalty
Manchester United mencatat kekalahan sulungnya dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim ini apabila dijinakkan oleh kelab yang baru dinaikkan pangkat Burnley awal pagi tadi. Walaupun menguasai segenap penjuru padang namun United gagal menembusi benteng pertahanan lawan yang bermain secara defensif sepanjang perlawanan sambil mengamalkan taktik serangan balas pantas. Pada permulaan perlawanan United menampilkan aksi menyakinkan dan melancarkan serangan bertali arus ke kubu Burnley namun tuan rumah kebal bertahan. Deretan peluang disia-siakan oleh barisan penggempur United yang diketuai oleh Wayne Rooney dan akhirnya tuan rumah mengambil kesempatan diminit ke 19 melalui tendangan volli Robbie Blake yang terus menewaskan Ben Foster di gawang.

United kemudiannya melancarkan serangan bertali arus dari berbagai sudut namun benteng tuan rumah tetap kebal bertahan dan sukar ditembusi. Diminit ke 45, United berpeluang menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti namun Michael Carrick gagal menyempurnakannya. Bersambung di babak kedua, United terus melancarkan serangan bertubi-tubi namun nasib tetap tidak menyebelahi barisan penggempur mereka dan penampilan cemerlang penjaga gol lawan, Brian Jensen berjaya menyelamatkan pintu gol Burnley dari dibolosi. Kekalahan ini merupakan tamparan hebat buat skuad Red Devils dan mereka harus bangkit apabila menentang Wigan Athletic di JJB Stadium Sabtu ini.

Lain-lain Keputusan Perlawanan:

Birmingham City (1) - Portsmouth (0)
Liverpool (4) - Stoke City (0)
Hull City (1) - Tottenham Hotspurs (5)

19 Ogos 2009

Rooney Sedia Pikul Tugas Penyerang Utama

Photo 1 - Manchester United's English forward Wayne Rooney (L) is tack... AFP/Getty Images
Wayne Rooney kini sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai penyerang utama United musim ini. Rooney berjaya meledakkan gol pertamanya untuk United musim ini ketika menentang Birmingham City Ahad lalu dan bersedia meneruskan penampilan `garangnya' apabila United bertandang ke Turf Moor menentang pasukan yang baru dinaikkan pangkat, Burnley. Pengurus Birmingham City, Alex McLeish melabelkan Rooney sebagai setaraf dengan bekas bintang antarabangsa Perancis, Michel Platini dan Zinedine Zidane. Rooney kini tidak lagi mendapat sokongan dari Cristiano Ronaldo sepertimana musim lalu namun bersedia untuk merobek gawang Burnley apabila kedua-dua pasukan berentap awal pagi esok.

Skuad Red Devils perlu bekerja keras musim ini bagi membuktikan pemergian Ronaldo dan Tevez tidak langsung melemahkan kekuatan mereka dan mereka tetap pasukan yang digeruni biarpun tanpa kelibat Pemain Terbaik Dunia 2008 itu. Biarpun mengakui kehilangan Ronaldo satu kehilangan besar kepada pasukan namun Rooney mahukan pasukannya memandang kehadapan dan bekerja keras bagi mempertahankan reputasi sebagai Juara Liga Perdana Inggeris tiga musim berturut-turut. Awal pagi nanti Rooney turut mempunyai sasaran peribadi bagi memburu gol ke 100nya untuk United dan ini merupakan detik terbaik buat penyerang antarabangsa England itu merealisasikan impiannya.

18 Ogos 2009

Fergie Harap Vidic Cepat Sembuh

Manchester United's Nemanja Vidic after the final whistle
Sir Alex Ferguson kembali menghadapi masalah kecederaan di benteng pertahanan apabila Rio Ferdinand disahkan tidak akan beraksi selama dua minggu akibat kecederaan betis. Walau bagaimanapun satu-satunya berita gembira buat Ferguson ialah prospek kembalinya Nemanja Vidic dalam waktu terdekat. Vidic diketepikan sepanjang kempen Jelajah Asia 2009 dan perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Birmingham City kelmarin akibat kecederaan pergelangan kaki. Vidic mengalami kecederaan tersebut ketika membantu Serbia dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2010 zon Eropah dan tidak menyertai United dalam perlawanan-perlawanan pra musim mereka.

"Ferdinand harus menjalani pemeriksaan intensif untuk memastikan status cedera betis yang dialaminya. Dia akan direhatkan selama dua minggu atau setidak-tidaknya dua perlawanan", ujar Fergie. Fergie kini berharap Vidic segera sembuh dan pemain antarabangsa Serbia itu sudah mula turun menjalani latihan. "Saya berharap Vidic dapat diturunkan ketika kami menentang Wigan Sabtu ini", tambah Fergie lagi. Tambah memburukan keadaan, Jonny Evans turut menyertai senarai kecederaan United dan terpaksa dikeluarkan pada pertengahan babak kedua ketika menentang Birmingham namun Ferguson punya pengganti sesuai untuk mengisi kekosongan dibenteng pertahanan United.

17 Ogos 2009

Langkah Kanan United

Wayne Rooney celebrates his 99th goal for Manchester United
Wayne Rooney muncul wira Manchester United apabila jaringan tunggalnya membawa skuad Red Devils memungut tiga mata penuh di Old Trafford. Rooney turut menilai tahap permainan United tetap kompetitif biarpun kini tanpa Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez. Mengenai kemenangan tipis United itu, Rooney menganggap corak permainan tertutup yang diamalkan Birmingham menyukarkan pasukannya menjaringkan lebih banyak gol. Menurut Rooney permainan United tetap lancar dan perancangan taktikal yang diatur Ferguson berjaya dilaksanakan oleh setiap pemain. Buktinya United menguasai 63 peratus permainan dengan pemain Birmingham kerap dipaksa berkumpul di hadapan gawang sendiri. "Kami bermain dengan baik namun Birmingham lebih banyak bertahan di babak pertama dan itu menyulitkan usaha kami mencari gol. Walau bagaimanapun kami tetap berupaya membuka peluang menghasilkan gol dan syukur kami berjaya meraih tiga mata penuh", ujar Rooney.

Faktor lain kegagalan United mencipta jaringan besar adalah ketangkasan Joe Hart selaku penjaga gawang Birmingham. Hart berjaya menyelamatkan sepuluh percubaan tepat United dan satu-satunya kegagalan bekas penjaga gol Manchester City itu ialah menyelamatkan jaringan Rooney di minit ke 34. United membuka tirai kempen liga mereka musim ini tanpa khidmat Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Anderson, Michael Carrick, Rafael da Silva, Owen Hargreaves dan Edwin Van Der Sar yang dilanda kecederaan. Walau bagaimanapun John O'Shea dan Jonny Evans yang diletakkan selaku benteng pertahanan tengah United mempamerkan aksi terbaik mereka. Fabio da Silva yang diberi penampilan pertama oleh Ferguson dalam kancah Liga Perdana juga sering memukau selaku pertahanan kanan melalui larian-larian pantasnya ke kawasan lawan.

16 Ogos 2009

Keputusan Perlawanan Liga Perdana Inggeris 2009/2010

SABTU-15 OGOS 2009

Chelsea (2) - Hull City (1)
Portsmouth (0) - Fulham (1)
Wolverhamton Wanderers (0) - West Ham (2)
Blackburn Rovers (0) - Manchester City (2)
Bolton Wanderers (0) - Sunderland (1)
Aston Villa (0) - Wigan Athletic (2)
Stoke City (2) - Burnley (0)

AHAD-16 OGOS 2009

Manchester United (1) - Birmingham City (0)
Tottenham Hotspurs (2) - Liverpool (1)

Misi Buru Gelaran Keempat Berturut-turut Bermula

Manchester United manager Alex Ferguson
Manchester United akan memulakan misi memburu gelaran juara Liga Perdana Inggeris kali keempat berturut-turut dengan melayani kunjungan Birmingham City. Walaupun ramai pihak meramalkan Manchester City yang membelanjakan lebih 100 juta Pound merupakan pencabar utama gelaran musim ini, tetapi Fergie tampak langsung tidak peduli menjelang aksi pembukaan United di Old Trafford malam ini. Ferguson bagaimanapun tetap bertegas kelab seperti City akan menghadapi laluan sukar untuk memecah dominasi Big Four musim ini. Ferguson dijangka memberi penampilan pertama buat Luis Antonio Valencia yang dibawa bagi menggantikan Cristiano Ronaldo dan berkata, "Di sinilah tumpuan ketika ini dan City telah mengambil alih tempat kami di muka belakang akhbar-akhbar utama. Saya gembira dengan siutasi ini kerana sudah bosan membaca berita tentang pasukan sendiri sejak sekian lama. Apa yang penting adalah keputusan di tengah padang dan saya fikir tidak ada ancaman kepada empat kelab utama. Ini adalah pasukan yang perlu ditumbangkan. Empat pasukan utama ini memiliki kriteria tepat dari segi pengalaman, kualiti, gelanggang dan barisan pemain yang bagus. Jadi bagi saya empat pasukan utama masih sukar diatasi walaupun Aston Villa hampir melakukannya tahun lalu".

11 Ogos 2009

Rooney: United Tidak Perlu Perubahan Besar

Photo 1 - LONDON, ENGLAND - AUGUST 09: Wayne Rooney of Manchester United ... Getty Images
Penyerang Manchester United, Wayne Rooney menyatakan skuad Red Devils tidak memerlukan perubahan besar dalam pasukan. Kenyataan Rooney itu nyata berlawanan dengan apa yang telah dilakukan oleh jiran mereka, Manchester City yang berbelanja besar bagi memperkuatkan skuad mereka musim ini. Bagi Rooney, kehilangan Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez bukanlah satu masalah besar buat United dan yakin Sir Alex Ferguson punya cara tersendiri mengatasi kekurangan yang ditinggalkan oleh kedua-dua pemain itu. "Saya yakin kami tidak perlu melakukan perubahan besar dalam pasukan. Kami telah memenangi Liga Perdana tiga musim berturut-turut dan mara keperlawanan akhir Liga Juara-Juara selama dua musim. Kami tidak perlu cemburu dengan apa yang telah dilakukan oleh Manchester City dan Real Madrid. Pengurus tahu apa yang perlu dilakukan dan akan mendapatkan pemain baru jika dia rasa pasukan memerlukannya", ujar Rooney kepada BBC Sport. Rooney mengakui ketiadaan Ronaldo meninggalkan kesan buat pasukan tetapi United kini memiliki Michael Owen dan Luis Antonio Valencia. "Kami telah memiliki Owen dan Valencia dalam pasukan dan mereka berjaya menyesuaikan diri dengan pantas. Apa yang kami perlukan sekarang hanyalah mengubah sedikit corak permainan dan saya yakin kami mampu melakukannya", tambah Rooney lagi.

10 Ogos 2009

Ferguson: Gol Kedua Chelsea Tidak Sah

Manchester United's Wayne Rooney (right), Patrice Evra (second left) and Rio Ferdinand (second right) argue with referee Chris Foy after Chelsea's sec
Chelsea menjulang trofi Perisai Komuniti selepas menewaskan Manchester United 4-1 melalui penentuan sepakan penalti. Kedua-dua pasukan terikat 2-2 sepanjang tempoh 90 minit masa permainan. Walau bagaimanapun Sir Alex Ferguson menganggap gol kedua yang dijaringkan Frank Lampard sepatutnya dibatalkan oleh pengadil selepas kekasaran yang dilakukan oleh Michael Ballack ke atas Patrice Evra. United mendahului diminit ke 10 melalui tendangan kencang Nani dari luar petak penalti yang gagal diselamatkan Petr Cech namun Ricardo Carvalho berjaya menyamakan kedudukan selepas 7 minit permainan bersambung di babak kedua. Diminit ke 71, Frank Lampard berjaya meletakkan Chelsea mendahului di depan apabila menyudahkan hantaran Dedier Drogba biarpun tendangannya berjaya ditepis Ben Foster namun bola terus bergolek ke gawang United.

Gol itu nyata mencetuskan bantahan dari pemain-pemain United yang menganggap pengadil seharusnya menghentikan permainan apabila Ballack jelas melakukan kekasaran ke atas Evra. "Saya kira pengadil melihat insiden itu dan dia sepatutnya melayangkan kad merah kepada Ballack yang menyiku Evra di bahagian muka. Saya sangat kecewa kerana sebelum ini dia telah menghentikan permainan sebanyak dua kali kerana berlaku kekasaran. Insiden itu benar-benar merugikan kami dan seperti yang anda lihat, gol kedua Chelsea itu tidak seharusnya disahkan", jelas Ferguson. Ryan Giggs dan Patrice Evra gagal menyudahkan tendangan penentuan penalti manakala Frank Lampard, Dedier Drogba, Michael Ballack dan Solomon Kalou berjaya menyempurnakan tendangan masing-masing untuk Chelsea menjulang trofi Perisai Komuniti 2009.

09 Ogos 2009

Fergie Akan Guna Formasi 3 Penyerang

Michael Owen
Sir Alex Ferguson mungkin akan menggunakan formasi 3 penyerang dalam perlawanan pembuka tirai Liga Perdana Inggeris merebut Perisai Komuniti menentang Chelsea malam ini. Fergie memberi isyarat akan menurunkan Wayne Rooney, Dimitar Berbatov dan Michael Owen serentak dan berharap kombinasi ketiga-tiga penggempur itu akan memberi pukulan maut kepada anak-anak buah Carlo Ancelotti. Fergie juga turut meminta agar penyokong-penyokong Red Devils memberi sokongan kepada Berbatov dan beliau percaya kapten Bulgaria itu sudah mula mendapat keyakinan diri. Musim lalu, Berbatov sering mendapat tekanan dari para penyokong United kerana dikatakan gagal menepati reputasi sebagai penggempur berbisa sepertimana yang dipamerkannya ketika di White Hart Lane.
Photo 1 - Manchester United's Dimitar Berbatov shoots a ball against H... AFP/Getty Images
"Saya belum pernah bertemu dengan pemain yang tidak terpengaruh dengan tekanan dari penyokong untuk jangkamasa lama. Malah pemain sehebat Eric Cantona sendiri tidak mampu menanganinya", ujar Ferguson kepada akhbar Daily Mail. "Kita sering tidak berlaku adil kepada Berbatov terutama musim lalu. Kami memintanya bermain lebih ke dalam kerana kami fikir ia sesuai dengan gaya permainannya terutama ketika di Tottenham. Ternyata kami silap", akui Ferguson. "Kini kami sedar dia dalam prestasi terbaiknya. Saya yakin dia merupakan mimpi buruk kepada barisan pertahanan lawan musim ini. Kini kami tahu bagaimana mahu menggunakan kelebihan yang ada pada dirinya dalam kempen musim ini", tambah Ferguson lagi. Feguson yakin dengan barisan penggempur yang dimilikinya kini gabungan Berbatov, Rooney dan Owen akan lebih produktif dalam menghasilkan gol buat United musim ini.

08 Ogos 2009

Perisai Komuniti Sasaran Pertama Ferdinand

http://rtklive.com/img/cnt/news/rio%20ferdinand.jpg
Tonggak pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand mensasarkan Perisai Komuniti sebagai gelaran pertama United musim ini. Esok perlawanan pembuka tirai bagi musim baru Liga Perdana Inggeris itu akan menemukan United sebagai Juara Liga Perdana dan Chelsea selaku Juara Piala FA. "Mana-mana trofi yang kami lihat berpotensi untuk kami memenanginya maka kami harus menghadapi perlawanan itu dengan serius dan keluar sebagai juara", ujar Ferdinand ketika diwawancara oleh majalah Goal. "Kemenangan dalam perlawanan ini amat penting tetapi ia tidak boleh dijadikan kayu ukur prestasi kami sepanjang musim ini. Anda tidak boleh terlalu banyak berharap dalam hal ini", tambah Fedinand lagi. Ferdinand dijangka mengetuai skuad Red Devils di Stadium Wembley esok dan ramai pemerhati bolasepak menanti perlawanan ini untuk menilai samada pemergian Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez akan menjejaskan kekuatan United. Mampukah Wayne Rooney, Dimitar Berbatov, Federico Macheda dan pemain baru yang dibawa masuk, Michael Owen mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Ronaldo dan Tevez bagi menembusi gawang Chelsea yang dikawal Petr Cech?

07 Ogos 2009

Gill: Cukup Dengan Pemain Yang Ada

http://static.guim.co.uk/sys-images/Football/Pix/pictures/2009/1/5/1231179640331/David-Silva-and-David-Vil-001.jpg
David Villa & David Silva

Manchester United kembali menegaskan mereka tidak berminat mendapatkan David Villa atau pemain berpengalaman lain sebaliknya hanya akan mendapatkan pemain-pemain muda. Sejak kebelakangan ini nama Villa sering dikaitkan dengan kelab-kelab gergasi Eropah seperti Real Madrid, Chelsea, Liverpool dan Barcelona namun tanda harga tinggi yang diletakkan oleh Valencia memaksa kelab-kelab ini melupakan hasrat mereka. United juga tidak bersedia mendapatkan khidmat pemain berusia 27 tahun ini memandangkan pihak pengurusan United hanya bersedia mengeluarkan belanja tinggi untuk pemain muda dengan tawaran kontrak jangka panjang.

"Kami tidak ingin mengeluarkan perbelanjaan tinggi untuk pemain berusia 27, 28 atau 29 tahun. Kami kira itu bukanlah sesuatu yang cukup bagus. Kami hanya akan mengeluarkan sejumlah wang yang besar untuk pemain di bawah usia 25 tahun", tegas Pegawai Eksekutif United, David Gill. Keputusan United ini dipengaruhi oleh munculnya bakat-bakat baru dari kelab-kelab lain dan dari akademi United sendiri. Setakat ini United telah mendapatkan 3 pemain di bawah usia 25 tahun iaitu, Luis Antonio Valencia (23 tahun), Gabriel Obertan dan Mame Biram Diouf (21 tahun).

"Saya yakin bahawa kami tidak akan berbelanja lagi pada musim panas ini. Ketika ini kami senang dengan pemain yang kami ada dan beberapa pemain muda mula membuat kemunculan ke dalam skuad utama. Kami meletakkan harapan tinggi kepada Federico Macheda dan Danny Welbeck. Disebabkan kami mempunyai wang yang banyak di bank tidak bererti kami harus membelanjakan kesemuanya", tambah Gill lagi. Walau bagaimanapun hingga saat ini United masih dikaitkan dengan seorang lagi bintang Valencia, David Silva, dan penggempur Atletico Madrid, Sergio `Kun' Aguero. Kedua-duanya masih muda dan terdapat kemungkinan United akan mendapatkan mereka.

06 Ogos 2009

Beckham Akan Akhiri Karier Di Old Trafford?

http://azizrock.unblog.fr/files/2006/05/real%20madrid%20david%20beckham.jpg
Spekulasi sedang bertiup kencang mengatakan bahawa David Beckham akan kembali mewakili Manchester United dan mengakhiri kariernya di Old Trafford. Akhbar The Sun melaporkan United berminat mendapatkan semula bekas bintangnya itu dan ia juga merupakan satu strategi pemasaran oleh United. Beckham sebelum ini mengakui secara terbuka impiannya untuk kembali ke Old Trafford dan menyarung jersi Red Devils sebelum bersara. United diakui merupakan kelab paling terkenal didunia dan keluarga Glazer yang juga merupakan pemilik kelab ingin mengukuhkan lagi kedudukan itu. Selepas kehilangan Cristiano Ronaldo, keluarga Glazer bimbang populariti United di serata dunia akan menurun dan salah satu cara terbaik untuk mengatasinya ialah dengan mendapatkan pemain paling terkenal di planet ini, David Beckham. Kehadiran semula Beckham dilihat mampu mengisi ruang yang ditinggalkan oleh Ronaldo. United amat memahami dan mengakui bahawa populariti Beckham masih berada pada tahap tertinggi di mata peminat bola sepak seluruh dunia.

04 Ogos 2009

Ji Sung: United Lebih Utama Dari Korea

http://www.ji-sungpark.com/images/park_p1.jpg
Bagi tonggak utama pasukan Korea Selatan, Park Ji Sung, Manchester United merupakan perkara utama dalam kariernya. Atas sebab itu, jurulatih Korea Selatan, Huh Jung-Moo sedia memberi pelepasan kepada Ji Sung bagi menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama United. Semenjak menyertai United dari PSV Eindhoven pada tahun 2005, Ji Sung menjadi idola di Asia dan negaranya. Prestasi Ji Sung juga menjadi kayu ukur kepada mana-mana pemain Asia yang ingin berhijrah ke Eropah. Jung-Moo yang sebelum ini ingin mendapatkan khidmat Ji Sung bagi perlawanan persahabatan menentang Paraguay 15 Ogos depan terpaksa melepaskan bintangnya itu kerana Ji Sung dikatakan lebih fokus kepada kempen awal United dalam Liga Perdana. "Kami terpaksa menempuh jadual yang padat pertengahan Ogos dan Manchester United pula telah membawa masuk pemain-pemain baru. Sangat penting bagi Park menyertai United ketika awal musim", ujar Jung-Moo.

03 Ogos 2009

United Memerhati Silva Dengan Penuh Minat

http://images.football.co.uk/Dynamic/News/400x400/DavidSilvaNew.jpg
Manchester United cuba menutup tirai perpindahan pemain musim panas ini dengan mendapatkan pemain tengah Valencia dan Sepanyol, David Silva. Meskipun sebelum ini, Pengawai Eksekutif United, David Gill mengaskan mereka tidak akan membeli pemain baru selepas berjaya mendapatkan Luis Antonio Valencia, Gabriel Obertan dan Michael Owen namun kelincahan Silva jelas menarik perhatian pihak pengurusan United. Menurut akhbar News of The World, United menunjukkan minat mendalam bagi membawa Silva ke Old Trafford. Masa depan Silva dan David Villa menjadi tandatanya sepanjang musim panas ini akibat masalah kewangan meruncing yang dihadapi oleh kelab mereka, Valencia. Penjualan Silva dan Villa dilihat merupakan satu-satunya jalan keluar buat Valencia mengatasi masalah kewangan mereka. United akan berhadapan dengan Valencia dalam satu perlawanan pra musim Rabu ini dan United diberitakan akan menggunakan kesempatan itu untuk menyelesaikan proses perpindahan Silva. Akhbar Inggeris itu melaporkan, United sedia membayar sebanyak 26 juta Euro untuk khidmat Silva yang juga turut diminati oleh Pengurus Liverpool, Rafael Benitez.
Align Center