Usianya sudah pun menjangkau 30
tahun, malah sebelum beliau meledak dua gol ke gawang Argentina pada penampilan
di Piala Dunia yang lalu, tidak ramai di antara kita yang ambil tahu dengan
pemain bernama Wout Weghorst ini. Bagaimanapun secara tiba-tiba nama Weghorst
menjadi sebutan berikutan minat yang ditunjukkan United terhadap penyerang
antarabangsa Belanda itu yang menjalani tempoh pinjaman bersama kelab Super Lig
Turkiye, Besiktas.
Weghrost bukanlah nama asing di
Liga Perdana kerana pada musim lalu beliau sempat melakukan 20 penampilan untuk
Burnley sebelum skuad `The Clarets’ tersingkir ke Liga Kejuaraan. Sepanjang
setengah musim kehadirannya di England, tidak banyak impak yang mampu diberikan
Weghorst untuk membantu Burnley kekal bersaing di Liga Perdana. Bagi seorang
penyerang yang cuma mampu menjaringkan dua gol untuk Burnley, mengapa United
begitu berminat mendapatkan khidmatnya?
`Ratio’ gol yang dihasilkan
Weghorst di Burnley memang wajar diperdebatkan penyokong United, terutamanya
bila mengingatkan peranan yang dimainkan beliau sebagai `pemain nombor 9’.
Bagaimanapun keputusan Erik Ten Hag membawa Weghorst ke Old Trafford bukan
tentang jumlah gol yang dihasilkannya semata-mata, tetapi lebih kepada tentang
hal teknikal dan taktik permainan. Untuk itu lihat statistik yang dicatatkan
Weghorst dari 20 penampilannya di Liga Perdana musim lalu.
Menurut catatan Opta, Weghorst melakukan
purata 48.7 `pressing’ dalam setiap perlawanan, sekaligus meletakkan beliau
selaku penyerang dengan intensiti `pressing’ paling tinggi di Liga Perdana,
manakala daya jelajahnya pula mencapai angka 10.69 km per perlawanan. Di Super
Lig pula, Weghorst muncul pemain dengan catatan `Expected Goal’ (xG) tertinggi
(9.8), paling banyak melakukan sentuhan di dalam petak penalti lawan (118),
percubaan tepat (23) dan percubaan menggunakan kepala (15).
Gaya Permainan
Wenghorst bukanlah penyerang
yang `menggiurkan’ untuk anda saksikan aksinya. Dengan postur tubuhnya yang tinggi
dan besar, beliau tidak memiliki `sprint’ selaju Jamie Vardy ketika menyerang
pertahanan lawan, atau `skill’ menggelecek seanggun Neymar. Weghorst adalah
tipikal `pemain nombor 9’ seperti Olivier Giroud yang gemar menganggu tumpuan
pertahanan lawan menerusi pergerakan tanpa bolanya, serta bijak meletakkan diri
di posisi yang tepat untuk menyudahkan peluang.
Di VfL Wolfsburg, Weghorst
merupakan pemain penting dalam menjayakan skema permainan yang diterapkan
Oliver Glassner. Tugas beliau bukan sekadar menjaringkan gol, tetapi juga
memberikan tekanan kepada pertahanan lawan. Dalam skuad `Die Wolf’, beliau
muncul pemain paling banyak melakukan `pressing’ (212), di mana 125 daripadanya
dilakukan beliau di zon `final third’, catatan yang hampir tiga kali ganda
lebih banyak berbanding mana-mana penyerang Wolfsburg.
Sebagai penyerang, tentulah
tugas utama beliau ialah menjaringkan gol. Dari 118 penampilan beliau untuk
Wolfsburg di Bundesliga, Weghorst meledak 59 gol, lantas meletakkan beliau dikedudukan
ketiga selaku penjaring terbanyak sepanjang masa kelab. Secara puratanya pula,
beliau menjaringkan 0.5 gol per perlawanan, catatan ketiga terbaik dalam
sejarah kelab selepas Edin Dzeko (0.59) dan Grafite (0.53), duo penggempur yang
berjaya membantu Wolfsburg menjulang kejuaraan Bundesliga pada 2009.
Kenapa United Mahukan Beliau?
Memiliki ketinggian 1.97m serta
postur tubuh yang tegap, anda boleh labelkan beliau sebagai `targetman’ kerana
selepas era Zlatan Ibrahimovic dan Romelu Lukaku berakhir, kita tidak pernah
melihat tipikal `pemain nombor 9’ seperti mereka di Old Trafford. Bagaimanapun
Weghorst juga adalah seorang `pressing forward’ dalam skema bolasepak moden.
Jika dilihat kepada statistik beliau, tugas utama Weghorst bukan sekadar
pemburu gol, tetapi juga melakukan `pressing’ kepada lawan di garis pertahanan
mereka.
Kehadiran seorang penyerang
tengah tulen sebenarnya sangat sinonim dengan gaya permainan United sejak dulu.
Andy Cole, Teddy Sheringham, Ruud Van Nistelrooy, Louis Saha dan Dimitar
Berbatov adalah diantaranya yang pernah menyinar dalam peranan mereka sebagai
`pemain nombor 9’. Melihat kepada isu konsistensi yang dihadapi Anthony
Martial, Weghorst adalah alternatif yang ada di pasaran untuk berperanan
sebagai penyerang tengah United selepas kelab memilih untuk tidak terlibat
perlumbaan mendapatkan khidmat Cody Gakpo.
United cuma mampu menghasilkan
empat gol dari situasi `set piece’ di Liga Perdana selepas 18 perlawanan, angka
kedua terendah selepas Everton. Secara spesifiknya pula, tiga dari empat gol
tersebut dihasilkan mereka menerusi tandukan. Dalam tempoh empat musim
terakhir, tiada seorang pun penyerang tengah yang memiliki ciri seperti
Weghorst dalam kesebelasan United, seorang `target man’ yang bukan sahaja mampu
menjadikan dirinya sebagai `reflector’ tetapi juga dominan dalam perebutan bola
tinggi.
Penutup
Anda mungkin agak skeptikal
dengan kemampuan Weghorst sebagai penyerang jika melihat kepada rekod jaringannya
di Burnley. Tetapi percayalah keputusan mendapatkan khidmat Weghorst merupakan
satu langkah penting yang dilakukan kelab selepas pemergian Cristiano Ronaldo.
Wenghorst adalah contoh penyerang tengah moden, kerana selain tugas hakikinya
memburu jaringan, beliau juga menjadi pemain pertama yang akan melakukan
`pressing’ di garis pertahanan lawan serta mampu melaksanakan kerja-kerja
defensif.
Dan aspek `non-offensive’
inilah sebenarnya menjadi kelemahan ketara Cristiano Ronaldo hinggakan pendekatan
`pressing’ tinggi yang cuba dilakukan United adakalanya menjadi kurang efisien.
Weghorst bukanlah penyerang yang `stylish’ seperti Ronaldo, tetapi ketika ini
Ten Hag mungkin sudah memiliki seorang `pemain nombor 9’ yang tepat dalam `line
up’ beliau. €3 juta yang dibayar kepada Besiktas adalah harga yang sangat
berbaloi, juga satu urusniaga yang boleh dianggap `nothing to lose’ buat
United…Glory Glory Manchester United!!!