31 Julai 2009

Piala Audi: United Tewas Penentuan Sepakan Penalti

http://www.cosasdeautos.com.ar/wp-content/uploads/2009/03/audi-cup2009.jpg
Bayern Munich menjuarai Kejohanan Piala Audi di Munich selepas menewaskan Manchester United 7-6 melalui penentuan sepakan penalti. Kedua-dua pasukan terikat 0-0 sepanjang 90 minit tempoh permainan. Perlawanan akhir yang dilangsungkan di Stadium Allianz Arena awal pagi tadi berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan bermain secara terbuka. Bermain di halaman sendiri, Bayern yang mendapat sokongan padu kira-kira 80 ribu penyokong tampak menguasai permainan dengan peluang-peluang dicipta melalui Mario Gomez, Bastian Schweinsteiger dan Thomas Muller namun Edwin Van Der Sar bertindak cemerlang menyelamat gawang United dari dibolosi.

Selepas memasukkan Wayne Rooney dan Luis Antonio Valencia di pertengahan separuh masa kedua, United kembali mengancam kubu Munich dengan gerakan-gerakan menarik ke pintu gol lawan. Selepas terikat 0-0 sehingga wisel penamat ditiupkan, pemenang perlawanan terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti. Michael Rensing muncul wira Bayern apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti Patrice Evra dan Jonny Evans untuk membawa Bayern keluar sebagai juara. Penjaga gol antarabangsa Jerman itu juga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.

30 Julai 2009

Fergie Kagumi Penampilan Pertama Valencia

http://www.timesonline.co.uk/multimedia/archive/00595/valencia_goal_epa_5_595313a.jpg
Sir Alex Ferguson tertarik dengan penampilan pertama Luis Antonio Valencia ketika menentang Boca Juniors awal pagi tadi dalam Kejohanan Piala Audi. Walau bagaimanapun Ferguson agak kecewa dengan prestasi keseluruhan United dalam perlawanan itu. United agak longgar sepanjang separuh masa kedua dan hampir mencatat keputusan seri akibat kesilapan pertahanan muda yang menggantikan Nemanja Vidic, Craig Cathcart. Mujur tandukan pemain muda itu ke gawang sendiri sekadar singgah ke palang gol dan tandukan susulan Martin Palermo terus ke dakapan Tomasz Kuszczak. United akhirnya mengatasi Boca 2-1 hasil jaringan pemain tengah Brazil, Anderson dan Valencia sendiri. Anderson membuka tirai jaringan United hasil sepakan bebas di minit ke 23 setelah Valencia dikasari pertahanan lawan. Valencia merakam gol pertamanya untuk United pada minit ke 42 hasil gerakan menarik yang berjaya memerangkap pertahanan Boca. Dengan kemenangan ini, United akan bertemu tuan rumah, Bayern Munich dalam perlawanan akhir yang akan dilangsungkan jam 2.30 pagi nanti. Bayern berjaya mengenepikan cabaran AC Milan untuk menempah tiket ke perlawanan akhir.
http://images.mirror.co.uk/upl/m4/jul2009/7/9/manchester-united-pic-getty-876953681.jpg
"Saya kira kami mempamerkan prestasi buruk dalam perlawanan ini dan Boca kerap memberi tekanan kepada kami sepanjang permainan. Walau bagaimanapun saya cukup berpuashati dengan penampilan pertama Valencia. Dia tidak dapat bersama kami sepanjang kempen kami di Asia akibat masalah permit namun dia menunjukkan prestasi yang cukup baik dan memberi keseimbangan kepada pasukan. Dia merupakan pemain yang bagus", ujar Ferguson kepada laman web rasmi United, manutd.com. Selain memuji Valencia, Ferguson turut tertarik dengan penampilan Cathcart sebagai pertahanan tengah dan Fabio da Silva. "Craig Cathcart tampil dalam skuad utama malam ini dan itu sangat bagus untuknya dan tentu saja Fabio da Silva sentiasa menampilkan persembahan menarik setiap masa", tambah Ferguson lagi. Tidak seperti saudara kembarnya Rafael, Fabio belum pernah diturunkan dalam saingan Liga Perdana. Penampilan pertamanya untuk United ketika menentang Tottenham Hotspurs dalam saingan separuh akhir Piala FA musim lalu.

29 Julai 2009

Ferguson: Madrid Dan Sunderland Tiada Bezanya

http://www.futbolizados.com/wp-content/RealMadrid.jpg
Sir Alex Ferguson menganggap pembelian besar-besaran ke atas pemain-pemain bintang secara membuta tuli oleh Real Madrid tiada jauh bezanya dengan apa yang dilakukan oleh Sunderland sebelum ini. "Terdapat contoh yang bagus tentang pasukan yang membeli pemain terbaik tetapi tidak meraih hasil yang diharapkan. Contoh itu adalah Sunderland semasa era 50'an. Mereka menghabiskan wang yang banyak untuk membeli pemain sehingga digelar Bank of England namun akhirnya mereka tidak menang apa-apa trofi pun. Bahkan mereka akhirnya tersingkir dari liga utama", ujar Ferguson kepada majalah Tribal Football. "Saya tidak mengatakan Madrid akan tersingkir dari La Liga tetapi mereka bakal menghadapi masalah keseimbangan dalam pasukan. Saya telah katakan kepada Ronaldo bahawa dia bakal diletakkan diposisi tidak sepatutnya. Bahkan tidak mustahil di posisi pertahanan", tambah Ferguson lagi.

Sebelum ini Ferguson pernah menyatakan bahawa melayani ego deretan pemain-pemain bintang di Madrid bukan perkara mudah dan bersimpati dengan rakan sejawatnya di sana, Manuel Pellegrini. Menurut Ferguson, Pellegrini pasti menghadapi masalah menentukan kesebelasan utama dalam sesuatu perlawanan akibat limpahan pemain-pemain bintang yang dimilikinya. Kembalinya Florentino Perez ke kerusi Presiden menyaksikan Real Madrid menggoncang pasaran perpindahan pemain dengan berbelanja besar bagi menghadapi saingan musim depan. Perez telah berjaya membawa masuk Kaka, Cristiano Ronaldo, Raul Albiol, Karim Benzema dan kini sedang berusaha mendapatkan perancang Liverpool Xabi Alonso dan Alvaro Arbeloa.

Awal pagi ini, Manchester United akan berhadapan dengan Boca Juniors dalam Kejohanan Piala Audi di Munich, Jerman. Bagi menghadapi perlawanan ini, Ferguson telah meneliti corak permainan gergasi Amerika Selatan itu dan percaya United tidak menghadapi masalah untuk menangani corak permainan latin Boca. "Jika anda seorang yang sukar hendak tidur jam 3 pagi, maka anda pastinya biasa melihat aksi Boca. Saya salah seorang yang sukar hendak tidur dan kerap menonton perlawanan mereka di kaca televisyen. Mereka merupakan sebuah pasukan terbaik di Amerika Selatan dan kami pernah berhadapan dengan mereka tiga tahun lalu", ujar Ferguson mengakhiri perbualan.

Mourinho Sedia Gantikan Ferguson

http://img.thesun.co.uk/multimedia/archive/00255/jose_mourinho_chels_255813a.jpg
Jurulatih Inter Milan, Jose Mourinho sedia menggantikan Sir Alex Ferguson di Old Trafford. Ini bukanlah kali pertama jurulatih berasal dari Portugal itu meluahkan keinginannya untuk menggantikan Ferguson. Musim lalu Mourinho secara terbuka menyatakan sedia mengambil alih tempat Ferguson ketika bos United itu mengumumkan mungkin akan bersara apabila usianya mencapai 70 tahun. Mourinho menegaskan sedia memimpin skuad Red Devils jika mendapat tawaran dari pihak pengurusan United. "Saya sedia berhijrah ke Old Trafford tetapi Manchester United harus menyatakan apakah mereka inginkan saya untuk menggantikan Ferguson. Jika mereka mahukan saya, tentu saja saya tidak mampu menolaknya", tegas Mourinho.

Bekas pengurus Chelsea itu memang diketahui amat mencintai saingan bola sepak Inggeris. Ketika memimpin skuad The Blues, Mourinho meraih kejayaan besar membawa pasukan itu menjuarai Liga Perdana Inggeris dua musim berturut-turut sepanjang tahun 2004 hingga 2006. United juga turut menjadi mangsa kebangkitan Chelsea ketika di bawah era Mourinho. "Saya amat menyukai keghairahan yang ada pada penyokong-penyokong Inggeris. Mereka menjadikan suasana saingan dalam Liga Perdana begitu hebat dan luarbiasa" tambah Mourinho lagi. United setakat ini tidak pernah menyebut siapakah bakal pengganti Ferguson dan tiada tanda-tanda yang pengurus berasal dari Scotland akan bersara dalam tempoh terdekat.

28 Julai 2009

Rooney: Macheda, Bintang Dalam Pembikinan

http://www4.pictures.gi.zimbio.com/Manchester+United+FC+Porto+Training+Press+Q1gc6JXMeaml.jpg
Kepakaran pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson dalam melahirkan pemain bertaraf bintang tidak perlu dipertikaikan. Cristiano Ronaldo yang kini telah berhijrah ke Real Madrid merupakan bukti paling jelas. Bekas pemain Sporting Lisbon itu dibawa oleh Ferguson ke Old Trafford ketika berusia 17 tahun dan 6 tahun kemudian muncul sebagai pemain terbaik dunia. Pemergian Ronaldo tidak bererti Ferguson akan berhenti dari terus mencipta bintang baru. Pemain yang diramalkan akan muncul sebagai bintang besar suatu hari nanti ialah Federico `Kiko' Macheda. Macheda mempamerkan aksi bak bintang dalam pembikinan sepanjang kempen Jelajah Asia 2009 United.

Dia menjaringkan 4 gol dalam 4 penampilan sepanjang kempen jelajah United dan Wayne Rooney turut mengakui akan potensi yang dimiliki oleh Macheda. Penampilan hebatnya sepanjang kempen United di Asia memberi isyarat jelas yang bekas pemain remaja Lazio itu akan muncul sebagai bintang besar suatu hari nanti. "Dia pemain hebat dan penampilannya sangat luarbiasa. Dia memiliki keyakinan yang cukup tinggi ketika di atas padang dan saya percaya dia akan muncul sebagai bintang besar United suatu hari nanti. Apa yang penting dia sentiasa ingin belajar", ujar Rooney selepas tamat perlawanan menentang FC Seoul.

27 Julai 2009

Beckham Ingin Pulang Ke Old Trafford

http://www.gentrystyle.com/wp-content/uploads/beckham.jpg
Bekas kapten England dan bintang Los Angeles Galaxy, David Beckham berharap dia dapat pulang semula ke Old Trafford suatu hari nanti. Bagi Beckham, United merupakan kelab terbaik pernah diwakili sepanjang kariernya. Beckham meninggalkan Old Trafford untuk menyertai Real Madrid pada tahun 2003 sebelum menyertai LA Galaxy dalam Liga Bola Sepak Amerika (MLS). Beckham kini menyedari MLS bukanlah pentas terbaik untuk membolehkannya kembali ke pangkuan skuad England dan perlu bermain di liga-liga utama bola sepak Eropah. Januari lalu, Beckham dipinjamkan ke AC Milan sehingga peningkatan prestasinya menyebabkan dia dipanggil semula oleh Fabio Capello bagi memperkuatkan skuad Three Lions dalam kempen kelayakan Piala Dunia Zon Eropah.

Kontrak Beckham bersama Galaxy akan tamat penghujung tahun ini, namun ikon bola sepak itu menegaskan dia tidak akan bermain dengan mana-mana pasukan dalam Liga Perdana kecuali Manchester United. "Manchester United merupakan kelab terbaik pernah saya wakili. Saya akan gembira jika dapat kembali semula ke sana kerana saya merupakan penyokong setia mereka. Mana-mana pemain pun pasti ingin bermain dengan kelab utama seperti United", jelas Beckham kepada akhbar Daily Star. Beckham merupakan tonggak utama disebalik kejayaan treble United pada tahun 1999. Kariernya di Old Trafford berakhir selepas insiden membaling kasut oleh pengurus Sir Alex Ferguson pada tahun 2003.

26 Julai 2009

Ferguson: Manchester City Terlalu Angkuh Dan Bodoh

http://studsandall.files.wordpress.com/2009/04/alex_ferguson_449060a.jpg
Tanda-tanda perseteruan antara jiran setempat Manchester United dan Manchester City mulai terasa walaupun kempen Liga Perdana Inggeris belum lagi bermula. Sir Alex Ferguson melabelkan jirannya itu sebagai pasukan kecil yang angkuh dan bodoh kerana mempromosikan secara berlebihan perpindahan Carlos Tevez. Penyokong City begitu gembira dan merayakan kejayaan City merebut Tevez dari musuh setempatnya itu. Sebuah poster besar bertulis "Carlos Tevez, Selamat Datang ke Manchester" telah di pasang di Deansfate, pusat membeli belah terbesar di bandaraya Manchester bagi meraikan kedatangan Tevez. Kini kebanyakan penyokong-penyokong The Citizen sudah mula beranggapan hanya City saja kelab utama di bandaraya Manchester. "Mereka kelab kecil dengan mentaliti kecil dan menganggap dengan mengambil Tevez dari kami merupakan kejayaan besar walaupun saya tahu dia memang ingin pergi ke sana sejak sekian lama".

Apa yang membangkitkan kemarahan Ferguson ialah penyebaran melalui e-mel gambar penyerang United, Michael Owen mengenakan tongkat dengan tulisan "Selamat Datang Ke Stretford". Ferguson menganggap ini merupakan satu penghinaan kepada Owen yang sepanjang musim lepas dibelenggu kecederaan. Atas penghinaan itu, Ferguson menyatakan, apa yang dilakukan oleh penyokong-penyokong City sudah ketinggalan zaman. "Itu seperti iklan perang, kebodohan boleh datang dengan berbagai cara dan saya fikir itu gila" tegas Ferguson. Ferguson berkata pemain-pemain yang menuju ke Eastlands adalah disebabkan tarikan wang. "Wang merupakan tarikan utama mengapa pemain seperti Adebayor pergi ke sana", tambah Ferguson lagi. Apa yang pasti perang ini akan terus berlanjutan kerana City diberitakan telah mengeluarkan bermacam-macam cenderamata yang seolah-olah menunjukkan bahawa merekalah kelab utama di Manchester.

Ferdinand: "Saya Tak Ingin Berpindah ke Manchester City"

http://img.thesun.co.uk/multimedia/archive/00805/rio_682x400_805993a.jpg
Tonggak pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand menegaskan, dia tidak akan bermain untuk pasukan seperti Manchester City biarpun ditawarkan kontrak lumayan. Baginya dia tidak akan pergi ke kelab yang tidak mampu memberikan trofi kejuaraan kepadanya. Selepas melakukan kejutan ketika mendapatkan tandatangan Robinho musim lalu, City yang muncul kelab terkaya di dunia selepas dibeli oleh Abu Dhabi United Group terus berbelanja besar dengan mendapatkan bintang-bintang ternama. Terbaru, kelab Eastlands itu berjaya membawa masuk bekas penggempur Arsenal, Emmanuel Adebayor dan sedang giat berusaha memancing kapten Chelsea dan England, John Terry. City juga sebelum ini telah menandatangani Gareth Barry, Carlos Tevez dan Roque Santa Cruz.

Walaupun ada segelintir pemain ternama ingin menjadi sebahagian dari revolusi ciptaan City, Ferdinand dengan sinis menyatakan City tidak mempunyai tradisi hebat seperti apa yang dimiliki oleh United. "Setiap orang akan membuat keputusan sendiri dalam hidupnya. Jika saya meninggalkan United, saya tidak akan pergi ke pasukan yang saya rasa tidak mampu memberikan saya sebarang trofi kejuaraan", ujar Ferdinand. "Itu hanya apa yang saya rasa, saya tidak akan bermain untuk pasukan yang saya rasa tidak mampu menduduki tiga tempat teratas dalam liga atau memenangi kejuaraan di Eropah. Adakah pasukan itu Manchester City? Itu saya tidak pasti", tambah Ferdinand lagi.

24 Julai 2009

Gill: United Tidak Akan Berbelanja Besar

http://static.guim.co.uk/sys-images/Football/Pix/pictures/2009/1/14/1231934059473/Manchester-United-chief-e-001.jpg
Ketua Eksekutif Manchester United, David Gill menegaskan skuad Red Devils tidak akan berbelanja besar untuk mendapatkan pemain bagi menghadapi kempen musim depan. Walaupun memperolehi keuntungan hasil penjualan Cristiano Ronaldo kepada Real Madrid, United tidak akan berbelanja besar seperti apa yang dilakukan oleh jiran mereka Manchester City. "Sangat pasti bahawa kami tidak akan mengikut jejak langkah mereka (Manchester City). Kami sedang membangunkan pasukan kami untuk tempoh jangka panjang. Kami juga bukannya pasukan yang bersedia membayar pemain-pemainnya dengan ganjaran lumayan seperti yang diperolehi oleh Ronaldo di Madrid dan Tevez di City", jelas Gill kepada akhbar The Guardian. Setakat ini United hanya membelanjakan lebih kurang 25 juta Pound untuk mendapatkan Luis Antonio Valencia (Wigan Athletic), Gabriel Obertan (Bordeaux), Mame Biram Diouf (Molde FK) manakala Michael Owen pula diperolehi secara percuma setelah kontraknya dengan Newcastle United tamat.

23 Julai 2009

Ferguson Akan Beri Lebih Banyak Peluang Untuk Macheda

http://images.mirror.co.uk/upl/m4/apr2009/8/2/federico-macheda-getty-622744817.jpg
Penampilan sensasi Federico Macheda terutama ketika menjaringkan gol kemenangan ke atas Aston Villa musim lalu nyata membuka mata Sir Alex Ferguson. Ferguson berjanji akan memberi lebih banyak penampilan kepada Macheda musim depan. Sepanjang musim lalu Macheda terpaksa menanti peluang di belakang barisan penggempur United yang lain seperti Carlos Tevez, Dimitar Berbatov dan Wayne Rooney. Walau kurang diberi peluang bersama kesebelasan utama United, penyerang muda Itali berusia 17 tahun itu jarang menghampakan apabila diturunkan Ferguson. Macheda menjaringkan gol pada dua penampilan awalnya musim lalu buat United dan mengulanginya lagi ketika pertemuan ulangan dengan skuad Malaysia Isnin lalu. Melihat aksi bertenaga Macheda, Ferguson berjanji akan memberi lebih banyak peluang buat bintang mudanya itu beraksi bersama skuad utama United. Tidak banyak perubahan yang dilakukan Ferguson terhadap barisan penggempurnya musim depan dan ini memberi peluang buat Macheda untuk membuktikan keupayaannya.

United hanya membawa masuk Michael Owen bagi menggantikan Carlos Tevez yang berhijrah ke Manchester City. "Kami menaruh harapan tinggi kepada Macheda dan atas sebab itulah kami tidak membeli banyak pemain baru semasa musim perpindahan ini", tegas Ferguson kepada majalah Goal. "Dia baru berumur 17 tahun dan kami cukup yakin dengan bakat yang dimilikinya. Dia kuat, agresif dan bijak menyempurnakan peluang di depan gawang. Dia merupakan aset berharga kami dan dia akan diberi lebih banyak peluang beraksi bersama Berbatov dan Rooney musim depan", tambah Feguson lagi. "Kiko (nama panggilan Macheda) memainkan peranan penting pada kami musim lalu dan menjaringkan dua gol penting buat kami. Dia masih muda dan memerlukan waktu untuk matang dan mengembangkan corak permainannya. Memilikinya bersama Owen seolah-olah seperti saya memperolehi dua pemain baru", ungkap Ferguson mengakhiri perbualan.

21 Julai 2009

Ferguson Ada Rancangan Khusus Buat Owen

http://img.thesun.co.uk/multimedia/archive/00459/michael_owen_280x39_459816a.jpg
Masalah kecederaan masih menghantui Michael Owen namun bagi mengelakkan ia terus berpanjangan, Sir Alex Ferguson ada rancangan khusus buat pemain barunya itu. Walaupun dilihat memberikan persembahan baik dalam dua perlawanan Jelajah Asia 2009 menentang skuad kebangsaan Malaysia, pihak pengurusan United harus berhati-hati agar kecederaan yang menimpa Owen sepanjang musim lalu tidak berulang. Pasukan perubatan United serius menyediakan rawatan terbaik bagi menangani kecederaan Owen manakala Ferguson sendiri akan melaksanakan sistem penggiliran. "Saya tidak akan memintanya terus bermain dalam tempoh empat hari, saya mungkin hanya akan menurunkannya setiap sepuluh hari. Saya akan melakukan sistem penggiliran pemain kerana mempunyai skuad yang besar", ujar Ferguson kepada akhbar The Guardian.

Ferguson mengakui, mendapatkan Owen merupakan satu perjudian yang besar kerana masalah kecederaan yang dialaminya, namun Ferguson juga yakin risiko yang diambilnya sama besar dengan faedah yang bakal diterima oleh United atas kehadiran Owen. "Kadangkala kamu harus berjudi. Saya pernah berusaha membawanya ke Old Trafford ketika dia berusia 12 tahun dan saya terus menunggu peluang untuk mendapatkannya. Akhirnya setelah sekian lama, detik ini tiba juga", tambah Ferguson lagi. Owen membuktikan sentuhan penyudahnya masih berbisa apabila dua kali membolosi benteng Malaysia. Owen menjaringkan gol kemenangan pada penampilan pertamanya bersama United Sabtu lalu dan sekali lagi membolosi pintu gol Malaysia pada perlawanan ulangan semalam.

Ferguson: MU Lebih Mantap Tanpa Ronaldo

http://usoccers.com/wp-content/uploads/2008/07/cristiano-ronaldo1.jpg
Sir Alex Ferguson mengakui Cristiano Ronaldo merupakan pemain terbaik dunia. Namun bos United itu juga menegaskan United akan lebih mantap musim depan tanpa Ronaldo. Menurut Ferguson, corak permainan United dilihat lebih terbuka ketika Ronaldo berada dalam pasukan sekaligus menjadikan bahagian tengah sering terdedah kepada serangan balas lawan. Walaupun merasai kehilangan Ronaldo, Ferguson merasakan inilah masa terbaik untuk membangunkan pasukan agar lebih seimbang disetiap posisi. Bagi Ferguson, tanpa individu yang menonjol dalam pasukan, pemain-pemain lain akan lebih bermotivasi dalam meningkatkan permainan mereka.

"Tanpa keraguan, dia merupakan pemain terbaik pernah kami miliki. Kualitinya, jaringan-jaringan gol, kemahiran individu, kepantasan dan sepakan-sepakan padunya cukup luar biasa", tegas Ferguson kepada akhbar The Sun. "Kami akan lebih mantap musim depan dan akan memiliki corak berbeza di bahagian tengah. Ronaldo bukanlah pemain defensif yang baik apabila kami terpaksa bertahan tetapi dia memberi kami kelebihan-kelebihan lain yang menjadikan kami berbeza dari pesaing-pesaing kami", tambah Ferguson lagi.

19 Julai 2009

Perlawanan Ulangan Malaysia/United

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjjJlqOvgf_9SKaQXGeUB5DN8RdPSYnpAAMSQcamd_D9FLOmQURxdYXI0VloT8WxKab1p-fWjU3nJidZ_xreEcPvH454r3IybIucUe1SXUd0rkn_HwOqOkohVn6abBKpL8j0hVgH-MWHdLO/s400/Manchester+United+Asia+Tour+2009.jpg
Peminat-peminat Manchester United di Malaysia menerima khabar gembira apabila juara Inggeris itu memutuskan untuk mengadakan perlawanan ulangan menentang skuad kebangsaan bimbingan K Rajagobal. Perlawanan ulangan ini akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 21 Julai jam 8.30 malam. United membatalkan lawatan mereka ke Jakarta akibat pengeboman hotel JW Marriot dan Ritz Carlton kelmarin dan bagi memenuhi jadual Jelajah Asia 2009, mereka bersetuju mengadakan perlawanan ulangan di sini. Walaupun menerima undangan dari pasukan kebangsaan Australia untuk mengadakan perlawanan pertunjukan di sana selepas pembatalan lawatan mereka ke Jakarta, pihak pengurusan United memutuskan untuk berhadapan dengan skuad Malaysia sekali lagi. Selepas Malaysia, skuad Red Devils akan bertolak ke Korea Selatan dan China bagi meneruskan kempen Jelajah Asia 2009 mereka.

18 Julai 2009

United Terpaksa Kerja Keras Sebelum Menang


Manchester United memenangi perlawanan pertama Jelajah Asia 2009 apabila menewaskan Malaysia 3-2. Gol kemenangan United dijaringkan oleh penyerang baru mereka, Michael Owen di minit ke 85. Seperti dijanjikan, Sir Alex Ferguson menurunkan kesebelasan utamanya (kecuali Nemanja Vidic yang mengalami kecederaan) di separuh masa pertama bagi menghadapi barisan muda Malaysia yang majoritinya dibarisi pemain bawah 23 tahun. Barisan muda Malaysia berjaya memaksa United bekerja keras sepanjang perlawanan sementara juara Inggeris itu tampak keletihan dan bergelut menangani cuaca panas tropika. Wayne Rooney membuka tirai jaringan United diminit ke 8 sebelum penyerang antarabangsa England itu melakukan tolakan cantik buat Nani melebarkan kedudukan 2-0 diminit ke 28. Selepas mendahului 2-0, United memperlahankan tempo permainan dan diminit ke 40, Amri Yahyah menghukum benteng United melalui sepakan volinya dari jarak 30 meter yang berjaya menewaskan Edwin Van Der Sar.

Bersambung babak kedua Stadium Nasional Bukit Jalil gamat apabila Amri Yahyah menghukum kesilapan Ben Foster di depan gawang bagi menyamakan kedudukan 2-2. Gol penyamaan ini berpunca apabila hantaran ke belakang Darron Gibson gagal ditampan kemas Foster. Amri bijak menghukum kesilapan penjaga gol kedua United itu untuk mudah menolak masuk di gawang terbuka. Alex Ferguson melakukan empat pertukaran dengan membawa masuk Zoran Tosic, Michael Owen, Wes Brown dan Fabio da Silva bagi menangani asakan Malaysia. Walau bagaimanapun selepas itu saingan masih seimbang dan ini memaksa Ferguson menurunkan Federico Macheda dan Ryan Giggs. Ketika permainan berbaki 5 minit, Michael Owen menjaringkan gol pada penampilan pertamanya buat United apabila mudah menolak masuk gol ketiga sekaligus menamatkan harapan Malaysia buat sekurang-kurangnya mengikat juara Inggeris itu dengan keputusan seri.

Diouf Pemain Keempat Dibawa Ke Old Tarfford

Mame Biram Diouf
Manchester United telah menandatangani pemain muda Senegal Mame Biram Diouf dari kelab Norway, Molde FK. Diouf akan menjalani pemeriksaan perubatan minggu depan tetapi akan hanya melakukan penampilan sulungnya di Old Trafford pada bulan Januari nanti. Diouf merupakan pemain keempat yang dibawa oleh Sir Alex Ferguson bagi memperkuatkan skuad musim depan. Diouf yang menjaringkan 38 gol dari 73 penampilan bersama Molde FK telah menarik minat pencari bakat United sejak 2 tahun lalu. Ahad lepas, Diouf membuktikan ketajamannya apabila berjaya mencipta hatrik dalam tempoh 9 minit ketika menentang Brann FK. Menariknya, United juga pernah mendapatkan Ole Gunnar Solskjaer dari kelab yang sama pada tahun 1996. Diouf yang baru berusia 21 tahun menjadi pemain Senegal ketiga beraksi di Liga Perdana selepas El Hadji Diouf dan Papa Bouba Diouf.

Hargreaves Akan Kembali Menjelang September

http://www2.pictures.gi.zimbio.com/Lyon+v+Manchester+United+UEFA+Champions+League+19_DCGxd-KEl.jpg
Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson yakin bintangnya yang dibelenggu kecederaan, Owen Hargreaves akan pulih sepenuhnya menjelang September ini. "Kami sangat gembira dengan perkembangannya. Meskipun tidak tampil dalam kempen Jelajah Asia 2009 dan siri perlawanan pra musim di Munich nanti dia terus gigih menjalani latihan", ujar Ferguson kepada BBC. Bintang antarabangsa England itu direhatkan sepanjang musim lalu akibat kecederaan lutut yang membelenggunya. "Menjelang September nanti kita akan dapat melihat aksinya", tambah Ferguson lagi. Siri kecederaan panjang yang dialami Hargreaves pernah menimbulkan spekulasi bahawa karier bolasepak pemain tengah England itu akan berakhir.

17 Julai 2009

United Batal Lawatan Ke Jakarta

http://static.guim.co.uk/sys-images/Football/Clubs/Club%20Home/2008/12/20/1229810944875/Sir-Alex-Ferguson-001.jpg
Pengeboman hotel JW Marriot dan Ritz Carlton di Jakarta menyebabkan Manchester United membatalkan kunjungan ke Indonesia. Menurut Sir Alex Ferguson, pembatalan kunjungan United ke Indonesia adalah jalan terbaik. United dijadualkan menentang Pilihan Indonesia pada 20 Julai dalam sebahagian dari siri Jelajah Asia 2009 mereka. "Kami menerima berita ini ketika mendarat di Kuala Lumpur dan ia benar-benar mengejutkan kami. Tiada jalan lain selain membatalkan kunjungan kami ke sana kerana kami harus melindungi pemain-pemain kami", ujar Ferguson.

Jelajah Asia 2009 Bermula

http://www.manutdexperience.com/uploads/news/b5a888928341df2bd05f0a69aeb3bc0b.jpg
Manchester United akan memulakan Kempen Jelajah Asia 2009 dengan menentang Skuad Kebangsaan Malaysia malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil. Delegasi Manchester United dijangka tiba di Kuala Lumpur pagi ini. Ini adalah kunjungan kali keempat United ke Malaysia sejak tahun 1981. Kali kedua ialah pada tahun 1995 menentang pilihan Selangor dan pada 2001 menentang skuad Pilihan Malaysia di Bukit Jalil. Walau bagaimanapun kedatangan United kali ini tanpa beberapa pemain utamanya akibat masalah kecederaan. Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Danny Wellbeck dan Owen Hargreaves tercicir dari senarai pemain. Vidic dikatakan mengalami kecederaan pergelangan kaki ketika membantu Serbia dalam kempen kelayakan Piala Dunia menentang Faroe Island bulan lalu. Masalah kecederaan yang sama juga dihadapi oleh Rafael sejak penghujung musim lalu manakala Hargreaves masih dalam proses pemulihan akibat siri kecederaan lutut yang panjang. Selepas Malaysia, skuad Red Devils akan berkunjung ke Jakarta (19 Julai) sebelum meneruskan kempen jelajahnya di Korea (24 Julai) dan China (26 Julai).

16 Julai 2009

Bolt: MU Tetap Hebat Tanpa Ronaldo

http://humankinetics.files.wordpress.com/2008/12/usain-bolt-olympics-200m.jpg
Manusia terpantas dunia Usain Bolt menegaskan, walaupun Cristiano Ronaldo telah meninggalkan Old Trafford, Manchester United tetap sebuah pasukan yang hebat. Pelari pecut Jamaica yang juga merupakan pemegang rekod dunia 100m dan 200m itu adalah penyokong setia skuad Red Devils. Bolt sering mengikuti perkembangan semasa kelab berpangkalan di Old Trafford itu dan antara berita yang menjadi perhatiannya ialah tentang perpindahan Ronaldo ke Real Madrid. Ketika mengetahui berita perpindahan Ronaldo ke Madrid, Bolt mengakui dia agak kecewa. "Saya sangat kecewa apabila mengetahui Ronaldo akan berhijrah ke Real Madrid kerana dia merupakan pemain yang hebat", ujar Bolt mengenai Ronaldo.

Menurut Bolt lagi dia cukup teruja setiap kali melihat Ronaldo beraksi. "Saya cukup gemar apabila melihat Ronaldo beraksi kerana skill hebat yang dimilikinya" tambah Bolt. Meskipun demikian, Bolt yakin kekuatan United tidak akan terjejas walaupun kini tanpa kelibat Ronaldo. Menurut Bolt, United merupakan skuad yang lengkap walaupun kehilangan dua pemain utamanya (Ronaldo dan Tevez). "Selama ini United memiliki kekuatan di bahagian tengah dan saya tidak perlu khuatir. Alex Ferguson juga merupakan pengurus yang berkaliber, jadi saya optimis United akan terus mengecapi prestasi gemilang musim depan. Ayuh Manchester United" jeritnya mengakhiri perbualan.

15 Julai 2009

Robson: Owen Akan Menyinar Di Old Trafford


http://img.thesun.co.uk/multimedia/archive/00404/Michael_Owen_404323a.jpg
Lagenda Manchester United, Bryan Robson yakin bintang Michael Owen akan bersinar kembali di Old Trafford. Robson yang juga merupakan duta United turut menyokong tindakan Sir Alex Ferguson membawa Owen ke Old Trafford. Menurut Robson, Owen akan mengecapi semula prestasi yang pernah menjulangnya sebagai pemain terbaik Eropah pada tahun 2001 di bawah bimbingan Ferguson. "Ini merupakan perpindahan yang cukup luar biasa apabila United berjaya mendapatkan Owen sebagai pemain berstatus bebas. Owen merupakan pemain hebat dan corak permainan United amat sesuai dengan karekter Owen", ujar Robson.

Robson berpendapat langkah Owen menyertai United akan membuka semula peluangnya kembali ke pangkuan skuad England. "Saya yakin Owen kini sedang mempersiapkan dirinya, dia merupakan pemain yang gemar berlegar dalam kotak penalti. Penyokong-penyokong United akan melihat Owen menjaringkan banyak gol musim depan", tambah Robson lagi. Robson yakin akan melihat Owen menyertai semula skuad Three Lions dan dengan pengurus England, Fabio Capello yang gemar melaksanakan sistem penggiliran pemain, peluang Owen pulang semula ke pangkuan skuad England terbuka luas.

14 Julai 2009

Ferguson: United Tetap Hebat Tanpa Ronaldo dan Tevez

http://img.dailymail.co.uk/i/pix/2007/10_01/tevron1AP_468x292.jpg
Walaupun kehilangan khidmat dua tonggak utamanya, Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez, Sir Alex Ferguson tetap yakin United merupakan pasukan yang harus digeruni musim depan. Fergie mengingatkan agar penyokong-penyokong United tidak cemas dengan situasi ini dan terus memberi sokongan padu kepada skuad Red Devils seperti biasa. Sebagai antara pemain muda terbaik dunia, Ronaldo memang sentiasa menjadi sasaran kelab-kelab gergasi lain sementara Tevez pula dikatakan kecewa atas kelewatan pengurusan United mengikatnya dengan kontrak tetap. Ronaldo akhirnya memilih Real Madrid sebagai destinasi barunya manakala Tevez telahpun mengikat kontrak selama enam tahun bersama Manchester City.

Tidak dinafikan sumbangan dua pemain itu kepada United cukup besar dan penyokong-penyokong United tidak harus dipersalahkan jika mula merasa sangsi dengan kekuatan Red Devils musim depan. Namun Ferguson dengan nada yakin menjelaskan, meskipun Ronaldo dan Tevez tidak bersama United lagi, kekuatan pasukan tidak akan terjejas. "Manchester United memang sentiasa bekerja keras dan musim ini kami memiliki pemain-pemain muda yang sangat bagus di setiap posisi" ujar Ferguson. Ferguson meminta penyokong-penyokong United tidak terus meratapi ketiadaan Ronaldo kerana baginya dia telah cuba mempertahankan Ronaldo selama yang boleh. "Dia ingin pergi dan kami mengizinkannya", tambah Ferguson lagi.

Ferguson turut menegaskan bahawa United telah menghentikan usaha memburu pemain-pemain baru. Menurutnya United tidak akan menambah pemain lagi setelah mendapatkan Gabriel Obertan, Luis Antonio Valencia dan Michael Owen. "Pembelian tiga pemain itu sudah memadai dan kami tidak akan menambah pemain lagi. Kami memperolehi keuntungan hasil penjualan Ronaldo dan tidak akan membelanjakannya lagi kerana pasaran perpindahan pemain yang tidak menentu. Saya tidak mahu menjadi bodoh kerananya", jelas Ferguson lagi. Dengan gabungan pemain-pemain yang ada ditambah tiga pembelian baru, Ferguson yakin United tetap pasukan yang harus dicemburui dan dihormati lawan musim depan.

13 Julai 2009

United Terus Buru `Ronaldinho Baru'

http://gremio1903.files.wordpress.com/2009/06/douglas-costa-22-05-09.jpg
Manchester United meneruskan usaha bagi mendapatkan bintang muda Brazil, Douglas Costa. Sir Alex Ferguson sejak beberapa minggu lalu berusaha membawa pemain tengah Gremio itu ke Old Trafford. Ferguson telah meminta pemain yang diberi jolokan `Ronaldinho Baru' itu datang ke Old Trafford untuk satu perlawanan ujian namun tidak mendapat keizinan Gremio. Gremio hanya akan menyerahkan Costa jika United sanggup mengeluarkan belanja sebanyak 21 juta Pound, namun juara Inggeris itu keberatan mengeluarkan belanja yang sebegitu besar hanya untuk seorang pemain muda berusia 18 tahun. Melalui wakilnya di Brazil, John Calvert-Toulmin dan Chris Nathaniel sebagai perunding, Ferguson cuba menyakinkan Gremio agar melepaskan Costa.

Jika berjaya mendapatkan Costa, pemain skuad bawah 20 tahun Brazil itu menjadi pemain keempat yang dibawa masuk ke Old Trafford selepas Luis Antonio Valencia, Gabriel Obertan dan Michael Owen. Berbeza dengan Valencia dan Obertan yang merupakan pemain sayap, peranan Costa lebih kepada pemain tengah menyerang yang akan membantu Owen dan Rooney di bahagian serangan. Costa yang menyertai Gremio sejak berusia 11 tahun memiliki kemahiran menggelecek dan tendangan bebas seperti seniornya dalam skuad Brazil, Ronaldinho. Ronaldinho juga memulakan kariernya bersama Gremio sebelum pada tahun 2001 dipancing gergasi Perancis, Paris St Germain.

12 Julai 2009

Giliran United Pula Buru Eto'o

http://www.soomaalidamaanta.com/sm/images/stories/2009/06/eto.jpg
Setelah Manchester City membatalkan hasrat mendapatkan khidmat Samuel Eto'o kini giliran Manchester United pula cuba mendekati penggempur Barcelona itu. Agen Eto'o, Josep Maria Mesalles optimis, juara Inggeris itu itu akan mengemukakan tawaran secara rasmi bernilai 18 juta Pound kepada Barca Isnin ini. Penarikan diri Manchester City telah membuka jalan kepada United yang masih memburu penyerang terkemuka bagi menggantikan Carlos Tevez. Walaupun mengemukakan tawaran lebih rendah berbanding City, sejarah dan tradisi hebat United pasti menjadi daya penarik buat memikat penyerang antarabangsa Cameroon berusia 28 tahun itu menyarung jersi United musim depan.

Akhbar The Telegraph mendedahkan bahawa United sedang menyediakan tawaran gaji buat Eto'o sebanyak 150 ribu Pound seminggu namun skuad Red Devils dilihat agak keberatan menawarkan kontrak jangka panjang kepada Eto'o. Polisi terbaru United hanya membenarkan Ferguson mengikat pemain melebihi umur 26 tahun dengan kontrak jangka pendek mungkin menjadi penghalang Eto'o dari menerima tawaran United. Ketika ini, Eto'o berdepan situasi tidak menentu tentang masa depannya di Nou Camp. Permintaan gaji sebanyak 130 ribu Pound seminggu yang masih belum dipenuhi menyebabkan Eto'o menolak untuk memperbaharui kontraknya bersama kelab Catalan itu.

11 Julai 2009

United Sedia Buat Pertukaran Berbatov Dengan Aguero

http://manutd24.files.wordpress.com/2009/04/dimitar_berbatov13.jpg
Manchester United menghadapi kesulitan bagi memujuk Athletico Madrid menjual penyerangnya, Sergio `Kun' Aguero. Menurut akhbar Daily Mail, United pada mulanya menawarkan 34 juta Pound dan Nani sebagai pertukaran bagi mendapatkan Aguero namun ditolak oleh Athletico. United diberitakan menyusun strategi kedua, dengan Berbatov pula ditawarkan sebagai pertukaran di samping tambahan 17 juta Pound. Tawaran kedua ini melebihi tawaran pertama memandangkan United terpaksa membelanjakan 30 juta Pound bagi mendapatkan Berbatov dari Tottenham musim lalu.

Peluang United memancing Aguero tetap ada dengan Athletico sendiri tidak menutup peluang untuk menjual penyerangnya itu malah telah meletakkan tanda harga sebanyak 55 juta Pound terhadap Aguero. "Kami memiliki kontrak yang harus dihormati dan kami berharap kelab lain juga menghormatinya. Saya tidak mampu menahan bila seseorang pemain ingin pergi kepada kelab yang ingin memilikinya", ujar Presiden Athletico, Enrique Cerezo. Dalam hal ini, United harus bertindak cepat memandangkan Aguero turut diminati seteru United dalam Liga Perdana, Chelsea.

09 Julai 2009

Huntelaar Atau Ibrahimovic

http://pds11.egloos.com/pds/200906/05/47/f0063347_4a27fdc95e44c.jpg
Zlatan Ibrahimovic

Manchester United harus membuat keputusan segera sama ada mahu mendapatkan khidmat Klaas Jan Huntelaar atau Zlatan Ibrahimovic. Selepas Luis Valencia, Michael Owen dan Gabriel Obertan, Sir Alex Ferguson serius mahu membawa pemain keempat ke Old Trafford. Posisi yang menjadi perhatian Ferguson untuk diperkuatkan ialah bahagian serangan memandangkan jentera pertahanan dan tengah United dilihat sudah cukup ampuh. Sasaran United kini memang terarah kepada penyerang Real Madrid, Klaas Jan Huntelaar dan Zlatan Ibrahimovic, penggempur Inter Milan. "Kami sedang menguruskan satu bisnes besar kali ini", ujar Ferguson kepada akhbar Daily Mirror. Kenyataan Ferguson itu mengesahkan kemungkinan United akan membawa dua penyerang itu sekaligus ke Old Trafford.

United dilihat masih punya limpahan dana mencukupi hasil penjualan Cristiano Ronaldo ke Real Madrid dan setakat ini hanya menggunakan sekitar 20 juta Pound dengan membawa masuk Valencia dan Obertan manakala Owen pula diperolehi secara percuma. Jumlah itu masih jauh dari pendapatan hasil penjualan Ronaldo sebanyak 80 juta Pound.
Untuk membawa Ibrahimovic ke Old Trafford, United dikatakan sedia membelanjakan 30 juta Pound namun Inter dilihat keberatan melepaskan penggempur berusia 27 tahun itu. Setelah gagal mendapatkan Karim Benzema dan Frank Ribery, tidak salah bagi United menggunakan baki dana hasil penjualan Ronaldo untuk membawa masuk Huntelaar dan Ibrahimovic. Sangat fantastik jika kedua-duanya berjaya dipancing Ferguson dan jentera penggempur United pastinya digeruni dan dicemburui lawan musim depan.

United Sendirian Buru Huntelaar

http://img.thesun.co.uk/multimedia/archive/00483/Klaas-Jan_Huntelaar_483687a.jpg
Manchester United bersendirian dalam memburu penyerang Real Madrid, Klaas Jan Huntelaar. AC Milan yang sebelum ini dikaitkan dengan penyerang antarabangsa Belanda itu sudah menyerah kalah. Kelmarin, Madrid menolak tawaran gergasi Itali itu untuk mendapatkan khidmat Huntelaar secara pinjaman. Kehadiran Karim Benzema menyebabkan Huntelaar semakin terpinggir di Bernabeu dan Madrid dilihat cuba menjualnya ke kelab lain. Kini tanpa saingan, United berpeluang besar memikat Huntelaar dan dengan sumber kewangan yang kukuh Red Devils pastinya tidak menghadapi masalah menyediakan sehingga 25 juta Pound bagi mendapat khidmatnya. United sudah lama berhasrat mendapatkan Huntelaar dan melihatnya sebagai pengganti sesuai untuk Carlos Tevez. Sepanjang 20 kali tampil mewakili Madrid di La Liga, Huntelaar telah menjaringkan 8 gol.

07 Julai 2009

Obertan Bakal Sertai United

http://www.oleole.com/media/main/images/member_photos/group1/subgrp120/gabrielobertanespoir_171692.jpg
Pemain sayap Girondins Bordeaux, Gabriel Obertan bakal menjadi pemain terbaru menyertai Manchester United. Menurut akhbar The Sun kedua-dua kelab telah mencapai kata sepakat berhubung perpindahan Obertan ke Old Trafford. United dikatakan akan membayar 8 juta Pound kepada juara Perancis itu bagi mendapatkan khidmat Obertan dengan tawaran kontrak selama 4 tahun. Selain United, Obertan juga dikatakan menarik minat Chelsea, Arsenal, Inter Milan dan AC Milan tetapi Presiden Bordeaux, Jean-Louis Triaud menyatakan United punya peluang lebih besar dan telahpun mengemukakan tawaran rasmi untuk mendapatkan Obertan.

"Kemungkinan Obertan menyertai United sangat besar dan saya amat senang melihat bagaimana dia akan berkembang menjadi pemain hebat dengan kelab seperti Manchester United. Kami akan mengumumkan apabila tiba waktunya", jelas Triaud. Selain Obertan, United juga ghairah memburu khidmat pemain serba boleh Barcelona, Yaya Toure dan penyerang Real Madrid, Klaas Jan Huntelaar. Huntelaar sebenarnya telah lama menarik minat Ferguson namun tewas kepada Real Madrid dalam pemburuan mendapatkan penyerang antarabangsa Belanda itu musim lalu.

Cech: Ronaldo Akan Merindui Man Utd

http://s.bebo.com/app-image/7925698609/5411656627/PROFILE/i.quizzaz.com/img/q/u/08/03/23/PetrCechNew.jpg
Penjaga gawang handalan Chelsea, Petr Cech pantas menegaskan Manchester United tetap pasukan yang kuat meskipun kini tanpa kelibat Cristiano Ronaldo. Baginya Ronaldo akan menyesal kerana meninggalkan United dan merindui kehidupannya di Old Trafford kerana di situlah dia mula mencipta nama dan berkembang menjadi pemain yang hebat. Sebaliknya sebagai kelab besar, United tidak akan terjejas hanya disebabkan perginya seorang pemain. Cech menilai pengurus United, Sir Alex Ferguson sebagai sangat berpengalaman dalam membuat sebarang keputusan. Baginya, Fergie sudah tentu punya alasan kuat ketika mengambil keputusan melepaskan Ronaldo ke Madrid. "Fergie sangat berpengalaman dalam membentuk karier seorang bintang" tambahnya.

Ronaldo cukup cemerlang dalam tiga musim terakhirnya di Old Trafford tetapi United merupakan kelab yang tidak pernah bergantung kepada prestasi hebat seorang pemain sahaja. Cech mengakui Ronaldo banyak menjaringkan gol-gol penting untuk United tetapi baginya, prestasi hebat Ronaldo adalah disebabkan sokongan rakan-rakan sepasukan. "United tetap pasukan yang kuat dan besar walaupun tanpa Ronaldo kerana mereka punya sumber kewangan yang kukuh dan mampu membeli pemain sesuai bagi menggantikan peranan Ronaldo. Musim depan, United tetap pasukan yang kuat dan harus diberi perhatian", ujarnya.

06 Julai 2009

Owen Mampu Jadi Lebih Baik Dari Tevez

http://www.rankopedia.com/CandidatePix/28457.gif
Glenn Hoddle

Lagenda Tottenham Hotspurs dan bekas pengurus England, Glenn Hoddle yakin Michael Owen akan menampil aksi lebih baik bersama Manchester United berbanding Carlos Tevez. Walaupun dilanda kecederaan sepanjang musim lalu, Sir Alex Ferguson tetap berani mengambil risiko dengan membawa masuk Owen ke Old Trafford. Mengambil kira statusnya sebagai pemain bebas dan United tidak perlu mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkannya, ia dilihat satu tindakan bijak oleh Ferguson. Hoddle ketika di wawancara akhbar The Mirror yakin bekas penyerang Liverpool dan Newcastle United itu akan cergas menjelang musim baru nanti.
http://img2.allposters.com/images/GB/SP0415.jpg
Henrik Larsson

Pada pandangannya, Owen mampu mempamerkan aksi lebih baik bersama United berbanding Tevez dan corak permainan United akan menjadikan tugasnya sebagai penggempur menjadi lebih mudah, tidak seperti ketika dia bersama skuad Magpies. Hoddle turut meramalkan Owen akan mampu bersinar semula sama seperti yang pernah dialami oleh Eric Cantona, Teddy Sheringham mahupun Henrik Larsson yang dibawa oleh Ferguson ketika karier ketiga-tiganya berada di penghujung. Apa yang perlu sekarang ialah Owen mesti memastikan dia mampu beraksi lebih kerap dan Hoddle yakin penyokong United akan menyaksikan kemampuan sebenar pemain itu didepan gawang.
http://sportige.com/wp-content/uploads/2009/03/teddycheer.jpg
Teddy Sheringham

Hoddle merupakan individu yang bertanggungjawab memberikan debut antarabangsa buat Owen ketika menjadi pengurus England pada tahun 1998. Menurut pakar fisioterapi yang merawat Owen, John Green optimis pemain itu akan pulih sepenuhnya dari kecederaan. Green yang juga pernah merawat Craig Bellamy yakin Owen mampu bermain bola sepak dalam saingan kompetetif untuk beberapa tahun lagi. Bagi Owen yang pada mulanya tidak menyangka akan ditawarkan kontrak bersama United cukup teruja memulakan saingan musim baru dan beraksi bersama bintang-bintang Red Devils lain.

United Timbang Dapatkan Yaya Toure

http://www.les-transferts.com/wp-content/uploads/2009/02/yayatoure.jpg
Manchester United diberitakan sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat tonggak Barcelona, Yaya Toure. Langkah United ini dilihat sebagai persediaan jika Owen Hargreaves tidak sempat pulih dari kecederaan lutut menjelang permulaan musim baru. Hargreaves hanya beraksi untuk United sebanyak 25 kali sejak tiba dari Bayern Munich pada tahun 2007. Bagaimanapun Barcelona akan hanya melepaskan Toure jika mereka berjaya membawa masuk Javier Mascherano dari Liverpool.

Daily Mail melaporkan United melihat Toure sebagai pengganti sesuai kepada Hargreaves di bahagian tengah. Toure merupakan salah seorang tonggak yang membantu Barca mejulang 3 kejuaraan musim lalu, dan merupakan pemain versatil yang boleh diletakkan di posisi tengah dan pertahanan. Ini dibuktikan apabila Pep Guradiola meletakkan Toure di posisi pertahanan tengah menggantikan Eric Abidal ketika final Liga Juara Juara dan bintang Ivory Coast itu melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang.

05 Julai 2009

Pertahanan Muda Empoli Sertai United

http://image.guardian.co.uk/sys-images/Arts/Arts_/Pictures/2007/12/11/SirAlex460.jpg
Pemain pertahanan muda kelab Empoli, Alberto Massaci kini telah berada di Old Trafford untuk menyertai Manchester United. Massaci yang berusia 16 tahun tidak pernah menyertai skuad utama kelab Serie A, Itali itu namun pencari bakat United berjaya mengesan potensi yang ada pada pemain muda ini. Massaci yang akan menjalani ujian perubatan sebelum menandatangani kontrak bersama United optimis akan masa depannya di Old Trafford. Dalam wawancaranya bersama akhbar Daily Mail, Massaci berkata kesempatan menyertai United merupakan peluang yang hanya datang sekali dan tidak harus dilepaskan.

Bagi Massaci ini bukanlah satu keputusan yang mudah memandangkan dalam usia 16 tahun dia terpaksa meninggalkan keluarga dan tanahairnya namun tidak menyesal dengan keputusan yang diambil. Ini bukan kali pertama Ferguson menandatangani pemain-pemain muda dari Itali kerana sebelum ini bos United itu telah mendapatkan Giuseppe Rossi (kini telah menyertai Villareal), Federico Macheda dan Davide Petrucci.

Owen Rasmi Pemain United

_46009635_owenshirtc466.jpg
Michael Owen melengkapkan perpindahan ke Old Trafford dengan tawaran kontrak selama dua tahun. Owen juga berazam menutup mulut pengkritiknya yang mempertikaikan keputusan Sir Alex Ferguson membawa masuk bekas penyerang Liverpool itu memandangkan dia sering dilanda kecederaan sepanjang musim lalu. Owen berjanji akan memastikan dia memulakan musim depan dengan prestasi terbaik bagi membuktikan Sir Alex Feguson tidak silap memilihnya.

Pemain berusia 29 tahun itu yang sudah beraksi lebih 500 kali di peringkat tertinggi untuk kelab dan juga pasukan kebangsaan England tidak sabar mempamerkan aksi bersama skuad Red Devils. Baginya peluang menyertai United merupakan sesuatu yang hebat dan berterima kasih kepada Ferguson kerana masih mahu memberi kepercayaan kepadanya sambil memberi jaminan akan membayarnya dengan jaringan gol.

Sementara itu Ferguson yang sebelum ini terlepas dari mendapatkan khidmat Karim Benzema percaya Owen masih merupakan pemain hebat. Bagi Ferguson Owen merupakan penyerang berkelas dunia dan telahpun membuktikannya melalui rekod-rekod jaringan di peringkat tertinggi. Apa yang penting United juga tidak perlu mengeluarkan sesen pun untuk mendapatkan Owen kerana kontraknya bersama Newcastle United baru saja tamat tiga hari lepas. Selamat Berjaya Michael Owen!!!

04 Julai 2009

Terlepas Benzema, Owen Bakal Milik United

http://onthebreak.files.wordpress.com/2009/06/michael-owen3-300x4001.jpg
Bekas bintang antarabangsa England, Michael Owen semakin hampir berpindah ke Old Trafford. United diberitakan telah bersetuju mengambil Owen sebagai pemain dengan tawaran gaji sebanyak 50,000 Pound seminggu. Owen yang menjadi pemain tanpa kelab sejak dua hari lalu setelah kontraknya bersama Newcastle United tamat dilihat Ferguson sesuai menggantikan tempat Carlos Tevez.

Owen pada mulanya hampir berhijrah ke Hull City namun tawaran yang dibuat United ini pastinya mengejutkan dunia bola sepak Inggeris memandangkan bekas penyerang Liverpool ini semakin berada di peghujung karier. Walau bagaimanapun Owen yang sering dilanda kecederaan sepanjang musim lalu perlu menjalani pemeriksaan perubatan ketat sebelum rasmi menjadi pemain United.

03 Julai 2009

Ronaldo: Terima Kasih United

http://www.soccermusic.net/wp-content/uploads/2009/02/cristiano-ronaldo.jpg
Cristiano Ronaldo secara rasminya telah menjadi pemain Real Madrid namun bekas bintang Manchester United itu mengakui dia bakal merindui mentornya di Old Traffrod, Sir Alex Ferguson. Real terpaksa membayar harga tinggi untuk mendapatkan Ronaldo dengan nilai 80 juta Pound sekaligus mengangkat bintang sayap Portugal itu sebagai pemain termahal dunia. Perkara itu didedahkannya dalam laman web sport.co.uk. Ronaldo mengakui dia terhutang budi kepada Ferguson dalam banyak hal dan baginya bos United itu merupakan mentor terbaik buatnya. Selepas membawa Ronaldo dari Sporting Lisbon, Ferguson sejak dari awal lagi yakin Ronaldo akan muncul sebagai pemain terbaik dunia satu hari nanti. Keyakinan Ferguson itu akhirnya menjadi kenyataan apabila Ronaldo dinobatkan Pemain Terbaik Dunia 2008.

Ketika pertama kali menjejak kaki di Old Trafford, misi Ronaldo hanyalah ingin menempatkan diri dalam skuad utama namun Ferguson memberikannya keyakinan dengan menganugerahkan jersi keramat nombor 7 United kepadanya. Kepercayaan dan sokongan yang diberikan Ferguson terhadapnya selama enam musim menyarung jersi United tidak ternilai harganya. Ronaldo turut mengakui dia akan merindui seluruh rakan-rakan dalam skuad United terutama Wayne Rooney yang juga merupakan rakan karibnya ketika di Old Trafford. Biarpun kini mewakili Los Galacticos namun United tetap dihatinya dan sempat merakamkan penghargaan buat penyokong-penyokong di Old Trafford sebelum mengakhiri wawancara itu. Terima kasih United!!!

02 Julai 2009

Luis Fabiano Kini Sasaran Terbaru United

http://pitacodogringo.files.wordpress.com/2008/09/luis-fabiano.jpg
Setelah gagal mendapatkan khidmat Karim Benzema, United kini mengalihkan tumpuan kepada penjaring terbanyak Piala Konfederasi, Luis Fabiano. Selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama skuad Brazil dalam kejohanan itu, nama Fabiano menjadi bualan pemerhati-pemerhati bola sepak seluruh dunia. Pada mulanya AC Milan dikaitkan dengan penggempur Sevilla itu, namun kini skuad Rossoneri mendapat saingan dari United. Kegagalan mendapatkan khidmat Benzema tidak sedikit pun menjejaskan nafsu United memburu penggempur terbaik buat menggantikan Carlos Tevez.
http://images.mirror.co.uk/upl/m4/feb2009/6/4/KlaasJan_Huntelaar__387527399.jpg
Dengan David Villa menolak untuk beraksi dalam Liga Perdana dan harga Sergio `Kun' Aguero yang terlalu tinggi, Fabiano dilihat opsyen terbaik buat memperkuatkan jentera serangan United. Peluang United mendapatkan Fabiano cukup tinggi memandangkan Red Devils baru saja memperolehi dana hasil penjualan Cristiano Ronaldo ke Real Madrid. Harga Fabiano yang dianggarkan sekitar 20 juta Pound mampu dijangkau oleh United dan selain Fabiano, Klaas Jan Huntelaar juga dikatakan menarik minat Ferguson.

Benzema Tolak Tawaran United

http://www.telegraph.co.uk/telegraph/multimedia/archive/01412/karim-benzema_1412367c.jpg
Karim Benzema menolak tawaran United sebaliknya memilih Real Madrid sebagai kelab yang akan diwakilinya musim hadapan. Perkembangan terbaru ini pastinya mengecewakan Sir Alex Ferguson yang begitu berminat mendapatkan khimat Benzema sejak musim lalu. Sebelum ini Olympique Lyon telah menerima tawaran United tetapi tertangguh kerana Benzema ingin kekal di Stade De Gerland sehingga selesai Kejohanan Piala Dunia 2010.

Keputusan Benzema untuk memilih Real dibuat selepas perbincangan bersama pihak pengurusan Lyon dan perkara ini disahkan oleh agen pemain itu Karim Djaziri. Beberapa perkara telah dipersetujui berkaitan gaji dan bonus yang akan diterima Benzema hasil dari perpindahannya itu namun Pengurus Umum Real Madrid, Jorge Valdano enggan memberikan sebarang komen. Madrid diberitakan telah membuat tawaran sebanyak 35 juta Euro untuk mendapatkan Benzema dari Lyon.

Dengan terlepasnya Benzema dari sasaran, United kini boleh mengalihkan tumpuan untuk memburu khidmat penyerang Valencia, David Villa dan Sergio `Kun' Aguero dari Athletico Madrid bagi menggantikan Carlos Tevez. Dengan dana yang diperolehi hasil dari penjualan Cristiano Ronaldo, Ferguson boleh menggunakannya untuk memancing salah seorang penyerang idaman bagi menghadapi saingan musim hadapan. Setakat ini United hanya berjaya membawa masuk Luis Antonio Valencia dari Wigan Athletic.