26 Julai 2009

Ferdinand: "Saya Tak Ingin Berpindah ke Manchester City"

http://img.thesun.co.uk/multimedia/archive/00805/rio_682x400_805993a.jpg
Tonggak pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand menegaskan, dia tidak akan bermain untuk pasukan seperti Manchester City biarpun ditawarkan kontrak lumayan. Baginya dia tidak akan pergi ke kelab yang tidak mampu memberikan trofi kejuaraan kepadanya. Selepas melakukan kejutan ketika mendapatkan tandatangan Robinho musim lalu, City yang muncul kelab terkaya di dunia selepas dibeli oleh Abu Dhabi United Group terus berbelanja besar dengan mendapatkan bintang-bintang ternama. Terbaru, kelab Eastlands itu berjaya membawa masuk bekas penggempur Arsenal, Emmanuel Adebayor dan sedang giat berusaha memancing kapten Chelsea dan England, John Terry. City juga sebelum ini telah menandatangani Gareth Barry, Carlos Tevez dan Roque Santa Cruz.

Walaupun ada segelintir pemain ternama ingin menjadi sebahagian dari revolusi ciptaan City, Ferdinand dengan sinis menyatakan City tidak mempunyai tradisi hebat seperti apa yang dimiliki oleh United. "Setiap orang akan membuat keputusan sendiri dalam hidupnya. Jika saya meninggalkan United, saya tidak akan pergi ke pasukan yang saya rasa tidak mampu memberikan saya sebarang trofi kejuaraan", ujar Ferdinand. "Itu hanya apa yang saya rasa, saya tidak akan bermain untuk pasukan yang saya rasa tidak mampu menduduki tiga tempat teratas dalam liga atau memenangi kejuaraan di Eropah. Adakah pasukan itu Manchester City? Itu saya tidak pasti", tambah Ferdinand lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan