01 Disember 2014

DISEMBER DATANG LAGI....

Selepas bermula perlahan, Manchester United kini seolah-olah mula mendapat momentum apabila menang tiga perlawanan terakhir mereka menewaskan Crystal Palace, Arsenal dan Hull City. Sembilan mata maksimum dari tiga perlawanan dan paling penting United kini berjaya meletakkan diri mereka di kedudukan empat teratas. Menentang Crystal Palace dan Hull City, tiada alasan untuk United gagal memungut tiga mata manakala kemenangan ke atas Arsenal di gelanggang lawan pula saya anggap satu kemenangan yang cukup penting. Semoga kejayaan meraih tiga mata di Emirates menjadi tonik mujarab buat barisan Louis Van Gaal melakukan kebangkitan pada baki saingan musim ini.

Selepas dihidangkan dengan ujian getir berdepan Chelsea, Manchester City dan Arsenal dalam tempoh sebulan, kredibiliti barisan Van Gaal sekali lagi bakal teruji sepanjang Disember ini. Disember sentiasa hadir untuk memberikan ujian getir bukan sahaja kepada United malah semua pasukan di Liga Perdana.

Awal pagi Rabu nanti, Stoke City menjadi lawan pertama yang perlu dihadapi United Disember ini, dan seminggu selepas itu ujian getir bakal diberikan Southampton pula di Stadium St Mary. Southampton mengejutkan kita dengan prestasi bagus yang ditunjukkan mereka di awal musim hingga membolehkan anak-anak buah Ronald Koeman meletakkan diri mereka di kedudukan empat teratas.

Walaupun The Saints tewas 0-3 kepada Manchester City di gelanggang sendiri semalam, saya yakin mereka akan bangkit dan sebagai pengendali berpengalaman, Koeman sudah tentu tahu bagaimana mahu menyediakan skuad terbaiknya bagi berdepan United 9 Disember ini.

Akhirnya perlawanan blockbuster yang ditunggu-tunggu tiba jua pada 14 Disember nanti apabila Old Trafford bakal menerima pula kunjungan Liverpool, pasukan yang sentiasa dianggap seteru abadi United sampai bila-bila.

Walaupun berjaya meletakkan diri di kedudukan empat teratas, prestasi United sendiri sebenarnya belum benar-benar menyakinkan manakala Liverpool pula gagal mengulangi prestasi bagus yang mereka pamerkan musim lalu apabila sekadar berada ditangga ke-11 (ketika ini). Memang diakui prestasi Liverpool jauh tersasar berbanding apa yang telah mereka tunjukkan musim lalu, tetapi itu tidak bermakna mereka boleh diperlekehkan. Sejarah perseteruan yang panjang menyebabkan Battle of the Reds ini sentiasa sengit dan penting buat kedua-dua pasukan, kerana bukan hanya tiga mata yang menjadi rebutan, tetapi maruah juga bakal menjadi pertaruhan.

Pemain-pemain dan penyokong-penyokong kedua-dua kelab faham benar tentang betapa pentingnya pertembungan ini hinggakan atmosphere ketika perlawanan baik di bangku penonton mahupun di tengah padang sentiasa tegang dan mendebarkan. Atas semua faktor itu, United wajib memenangi perlawanan ini tambahan pula ianya dilangsungkan di gelanggang sendiri.

Saya berharap ketika tibanya detik kunjungan Liverpool nanti, Van Gaal akan kembali mendapatkan khidmat beberapa pemain utama yang ketika ini masih dibelenggu kecederaan. Amat penting untuk menyaksikan pemain-pemain seperti Phil Jones, Angel di Maria, Daley Blind, Rafael da Silva dan Luke Shaw segera kembali beraksi di atas padang kerana ketika saingan liga memasuki fasa kedua nanti, United perlu terus mengorak langkah memungut sebanyak mata yang boleh bagi memastikan kelab kembali beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan.

Saya gembira melihat Marcos Rojo kembali bermain selepas pulih dari kecederaan bahu lebih awal dari yang dijangkakan kerana pengalaman dan kekuatan beliau di benteng pertahanan amat-amat diperlukan ketika Luke Shaw, Phil Jones dan Rafael da Silva masih berada di bilik rawatan.

Cukup senang juga apabila melihat kelibat Radamel Falcao di jentera serangan kerana sentuhan pemusnah El Tigre bakal menjadikan bahagian hadapan United lebih tajam. Lebih daripada itu, kehadiran semula Falcao juga saya anggap tepat pada waktunya ketika Robin Van Persie seperti sudah hilang sentuhan jaringan ketika berada di hadapan gawang lawan walaupun beliau menyumbang satu gol dan satu assist ketika berdepan Hull City Sabtu lalu.

Selepas direhatkan lebih sebulan kerana kecederaan betis, saya yakin Falcao sudah cukup cergas untuk aksi selama 90 minit jika Van Gaal mahu meletakkan beliau dalam kesebelasan utamanya. Melihat kepada kesungguhan yang dipamerkan Falcao walaupun hanya diturunkan selama 20 minit Sabtu lalu, beliau sebenarnya hanya perlukan masa dan sedikit tuah untuk kembali menggegar gawang lawan selepas kali terakhir melakukannya ketika berdepan Everton 5 Oktober lalu. Tempoh paling getir sepanjang bulan Disember ialah apabila setiap pasukan perlu beraksi tiga perlawanan dalam tempoh lapan hari. Bermula pada 20 Disember hinggalah 28 Disember, United dijadualkan berdepan Aston Villa (gelanggang lawan), Newcastle United (gelanggang sendiri) dan Tottenham Hotspurs (gelanggang lawan).

Dalam tempoh ini jugalah kita akan melihat ada pasukan-pasukan pilihan yang mula keciciran mata kerana hilang fokus, berlakunya perubahan pada kedudukan carta liga terutamanya yang membabitkan empat kelab di kelompok teratas dan paling menarik ialah calon yang bakal menjuarai liga musim ini sudah boleh dilihat sebaik Disember melabuhkan tirainya.

Sepertimana yang saya sebutkan sebelum ini, memenangi kejuaraan liga bukanlah misi yang perlu dilaksanakan Van Gaal pada musim pertamanya di Old Trafford. Misi paling penting buat Van Gaal ialah membawa kelab di kedudukan empat teratas di penghujung musim nanti kerana itu paling utama berbanding impian mahu melihat trofi Liga Perdana kembali ke Old Trafford.

Selepas mencipta sejarah dengan melakukan perbelanjaan besar musim panas lalu, tiada alasan untuk Van Gaal gagal membawa United kembali beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan, apatah lagi harapan yang diletakkan penyokong-penyokong United ke atas beliau cukup besar berdasarkan pengalaman, pencapaian, kredibiliti dan wang yang sudah dibelanjakan warga Belanda itu.

Hanya ada satu cara jika United mahu kembali beraksi di pentas Liga Juara-Juara, iaitu mereka perlu lebih konsisten menghadapi baki saingan musim ini. Tiada cara dan jalan lain ke arah itu. Jika segalanya kembali normal (krisis kecederaan tidak lagi menghantui United) manakala pemain-pemain pula berjaya menyerap sistem dan gaya taktikal yang digunakan Van Gaal, percayalah United akan tampil berbeza berbanding apa yang mereka pamerkan di awal musim dan tanda-tanda itu sudah mula kelihatan sekarang.

Setakat 13 perlawanan ini, nampaknya hanya Chelsea yang betul-betul konsisten manakala tiga lagi kelab yang berada di kedudukan empat teratas musim lalu (Manchester City, Arsenal dan Liverpool) masih terumbang-ambing dalam mencari rentak. Melihat kepada prestasi semasa, Chelsea agak sukar untuk dihampiri tetapi tiada yang mustahil buat United dan pasukan-pasukan lain seperti Tottenham Hotspurs, Newcastle United dan kini Southampton meletakkan diri mereka di kedudukan empat teratas. Walau bagaimanapun, United sendiri tidak boleh terlalu bergantung kepada prestasi tidak menentu pencabar-pencabar yang lain untuk terus berada di kedudukan empat teratas kerana seperti yang saya katakan tadi, untuk kekal di kedudukan tersebut, Van Gaal wajib menjadikan United lebih konsisten.

Saya yakin United akan kembali bermain di Liga Juara-Juara musim hadapan, bukan kerana Arsenal, Liverpool, Manchester City atau Tottenham tidak konsisten tetapi kerana United sendiri pasukan yang jauh lebih bagus berbanding musim lalu. Paling menarik ialah United di bawah kendalian Van Gaal sudah menunjukkan kembali kemampuan mereka menewaskan kelab besar Liga Perdana saat mereka menewaskan Arsenal di Emirates minggu lalu. Kejayaan menundukkan Arsenal di Emirates tetap satu kejayaan yang besar walaupun saya akui anak-anak buah Arsene Wenger ketika ini tidak berada pada tahap terbaik mereka.

Arsenal punya kualiti yang bagus dan saya tetap menganggap bahawa mereka masih lagi antara kelab besar di England walaupun kedudukan mereka ketika ini di luar zon empat teratas. Menarik juga apabila memikirkan dalam situasi kelab berdepan prestasi tidak konsisten disamping krisis kecederaan yang melanda pemain-pemain utama, The Red Devils masih lagi mampu memaksa sebuah pasukan yang sedang berada di puncak prestasi seperti Chelsea berkongsi mata.

Kekalahan tipis 0-1 kepada Manchester City di Stadium Etihad pula sepatutnya tidak perlu disesalkan jika diambilkira faktor bahawa United bermain dengan sepuluh pemain selama lebih 50 minit. Ini bukan tentang soal berkongsi mata atau kekalahan tipis, kerana lebih daripada itu saya melihat semangat melawan sudah kembali menjelma dalam diri pemain-pemain di mana dua aksi (menentang Chelsea dan City) boleh menjadi rujukan terbaik.

Tidak salah juga rasanya jika saya katakan momentum baik yang dipamerkan United ketika ini turut dibantu prestasi semasa Wayne Rooney. Selepas mempamerkan ketajaman dalam aksi antarabangsa menentang Slovenia dan Scotland, Rooney meneruskan sentuhan pemusnahnya di pentas domestik pula dengan menjadikan gawang Arsenal dan Hull City sebagai sasaran beliau.

Di Emirates, Rooney adalah ancaman buat benteng pertahanan Arsenal ketika Van Persie mempamerkan antara aksi terburuknya saat berdepan kelab yang pernah beliau wakili selama lapan tahun itu. Sabtu lalu ketika melayan kunjungan Hull City, Rooney menambah koleksi jaringannya musim ini kepada 5 gol selepas berjaya menembusi gawang Alan McGregor untuk gol kedua United. Sebelum ini Rooney antara pemain yang teruk dikritik dan kritikan terhadap beliau semakin tajam mengingatkan kepada armband ketua pasukan yang ada dilengannya. Rooney berjaya mengharungi tempoh-tempoh sukarnya dengan cukup cemerlang dan akhirnya kritikan kini bertukar menjadi pujian. Sebagai pemain berpengalaman dan kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan pula, kelibat dan sumbangan Rooney di atas padang memang sentiasa menjadi fokus utama.

Selain Rooney, prestasi beberapa pemain lain seperti Daley Blind, Marouane Fellaini, Michael Carrick dan David de Gea juga menarik untuk diperkatakan. Paling menonjol ialah kelibat De Gea sebagai pemain terakhir di barisan belakang. De Gea sentiasa berada pada masa dan tempat yang tepat untuk menyelamatkan gawang United dari dibolosi dan itulah yang beliau lakukan dalam enam atau tujuh perlawanan terakhir.

Meskipun prestasinya di awal musim sedikit longgar, kini posisi De Gea selaku penjaga gol nombor 1 United nampaknya sukar digugat. Malah bukan itu sahaja, Iker Casillas juga mula merasakan bahawa beliau kini bukan lagi pilihan automatik untuk mengawal gawang Sepanyol.

Disember datang lagi dan sepertimana tahun-tahun sebelumnya, Disember sentiasa menghidangkan cabaran sukar, bukan hanya kepada United tetapi juga kepada mana-mana pasukan. Sepanjang Disember, konsistensi, ketahanan mental dan fizikal pemain-pemain bakal diuji menerusi jadual-jadual perlawanan ketat yang perlu mereka harungi.

Disember juga adalah pentas terbaik untuk kita melihat kemampuan sebenar Van Gaal serta barisan pemain-pemainnya dan jika mereka masih kekal di kelompok empat teratas sebaik Disember berakhir, pentas Liga Juara-Juara musim hadapan sedia menanti buat barisan The Red Devils kembali memperagakan aksi mereka.

United sudah berada di kelompok empat teratas, semoga dipenghujung musim nanti mereka masih kekal di dalam kelompok ini, kelompok yang sentiasa dihuni oleh kelab-kelab terbaik di England dan kelompok di mana United biasanya berada. Glory Glory Manchester United!!! – A.J