Selepas bermula perlahan, Manchester United
kini seolah-olah mula mendapat momentum apabila menang tiga perlawanan terakhir
mereka menewaskan Crystal Palace, Arsenal dan Hull City. Sembilan mata maksimum
dari tiga perlawanan dan paling penting United kini berjaya meletakkan diri
mereka di kedudukan empat teratas. Menentang Crystal Palace dan Hull City, tiada
alasan untuk United gagal memungut tiga mata manakala kemenangan ke atas
Arsenal di gelanggang lawan pula saya anggap satu kemenangan yang cukup penting.
Semoga kejayaan meraih tiga mata di Emirates menjadi tonik mujarab buat barisan
Louis Van Gaal melakukan kebangkitan pada baki saingan musim ini.
Selepas dihidangkan dengan ujian getir
berdepan Chelsea, Manchester City dan Arsenal dalam tempoh sebulan, kredibiliti
barisan Van Gaal sekali lagi bakal teruji sepanjang Disember ini. Disember
sentiasa hadir untuk memberikan ujian getir bukan sahaja kepada United malah
semua pasukan di Liga Perdana.
Awal pagi Rabu nanti, Stoke City menjadi
lawan pertama yang perlu dihadapi United Disember ini, dan seminggu selepas itu
ujian getir bakal diberikan Southampton pula di Stadium St Mary. Southampton
mengejutkan kita dengan prestasi bagus yang ditunjukkan mereka di awal musim
hingga membolehkan anak-anak buah Ronald Koeman meletakkan diri mereka di
kedudukan empat teratas.
Walaupun The
Saints tewas 0-3 kepada Manchester City di gelanggang sendiri semalam, saya
yakin mereka akan bangkit dan sebagai pengendali berpengalaman, Koeman sudah
tentu tahu bagaimana mahu menyediakan skuad terbaiknya bagi berdepan United 9
Disember ini.
Akhirnya perlawanan blockbuster yang ditunggu-tunggu tiba jua pada 14 Disember nanti apabila
Old Trafford bakal menerima pula kunjungan Liverpool, pasukan yang sentiasa
dianggap seteru abadi United sampai bila-bila.
Walaupun berjaya meletakkan diri di kedudukan
empat teratas, prestasi United sendiri sebenarnya belum benar-benar menyakinkan
manakala Liverpool pula gagal mengulangi prestasi bagus yang mereka pamerkan
musim lalu apabila sekadar berada ditangga ke-11 (ketika ini). Memang diakui prestasi Liverpool jauh
tersasar berbanding apa yang telah mereka tunjukkan musim lalu, tetapi itu
tidak bermakna mereka boleh diperlekehkan. Sejarah perseteruan yang panjang
menyebabkan Battle of the Reds ini
sentiasa sengit dan penting buat kedua-dua pasukan, kerana bukan hanya tiga
mata yang menjadi rebutan, tetapi maruah juga bakal menjadi pertaruhan.
Pemain-pemain dan penyokong-penyokong
kedua-dua kelab faham benar tentang betapa pentingnya pertembungan ini hinggakan
atmosphere ketika perlawanan baik di
bangku penonton mahupun di tengah padang sentiasa tegang dan mendebarkan. Atas
semua faktor itu, United wajib memenangi perlawanan ini tambahan pula ianya
dilangsungkan di gelanggang sendiri.
Saya berharap ketika tibanya detik kunjungan
Liverpool nanti, Van Gaal akan kembali mendapatkan khidmat beberapa pemain
utama yang ketika ini masih dibelenggu kecederaan. Amat penting untuk
menyaksikan pemain-pemain seperti Phil Jones, Angel di Maria, Daley Blind, Rafael
da Silva dan Luke Shaw segera kembali beraksi di atas padang kerana ketika
saingan liga memasuki fasa kedua nanti, United perlu terus mengorak langkah
memungut sebanyak mata yang boleh bagi memastikan kelab kembali beraksi di Liga
Juara-Juara musim hadapan.
Saya gembira melihat Marcos Rojo kembali
bermain selepas pulih dari kecederaan bahu lebih awal dari yang dijangkakan kerana
pengalaman dan kekuatan beliau di benteng pertahanan amat-amat diperlukan
ketika Luke Shaw, Phil Jones dan Rafael da Silva masih berada di bilik rawatan.
Cukup senang juga apabila melihat kelibat Radamel
Falcao di jentera serangan kerana sentuhan pemusnah El Tigre bakal menjadikan bahagian hadapan United lebih tajam. Lebih
daripada itu, kehadiran semula Falcao juga saya anggap tepat pada waktunya
ketika Robin Van Persie seperti sudah hilang sentuhan jaringan ketika berada di
hadapan gawang lawan walaupun beliau menyumbang satu gol dan satu assist ketika berdepan Hull City Sabtu
lalu.
Selepas
direhatkan lebih sebulan kerana kecederaan betis, saya yakin Falcao sudah cukup
cergas untuk aksi selama 90 minit jika Van Gaal mahu meletakkan beliau dalam
kesebelasan utamanya. Melihat kepada kesungguhan yang dipamerkan Falcao
walaupun hanya diturunkan selama 20 minit Sabtu lalu, beliau sebenarnya hanya
perlukan masa dan sedikit tuah untuk kembali menggegar gawang lawan selepas
kali terakhir melakukannya ketika berdepan Everton 5 Oktober lalu. Tempoh paling getir sepanjang bulan Disember
ialah apabila setiap pasukan perlu beraksi tiga perlawanan dalam tempoh lapan
hari. Bermula pada 20 Disember hinggalah 28 Disember, United dijadualkan berdepan
Aston Villa (gelanggang lawan), Newcastle United (gelanggang sendiri) dan
Tottenham Hotspurs (gelanggang lawan).
Dalam tempoh ini jugalah kita akan melihat
ada pasukan-pasukan pilihan yang mula keciciran mata kerana hilang fokus,
berlakunya perubahan pada kedudukan carta liga terutamanya yang membabitkan
empat kelab di kelompok teratas dan paling menarik ialah calon yang bakal
menjuarai liga musim ini sudah boleh dilihat sebaik Disember melabuhkan
tirainya.
Sepertimana yang saya sebutkan sebelum ini, memenangi
kejuaraan liga bukanlah misi yang perlu dilaksanakan Van Gaal pada musim
pertamanya di Old Trafford. Misi paling penting buat Van Gaal ialah membawa
kelab di kedudukan empat teratas di penghujung musim nanti kerana itu paling
utama berbanding impian mahu melihat trofi Liga Perdana kembali ke Old Trafford.
Selepas mencipta sejarah dengan melakukan
perbelanjaan besar musim panas lalu, tiada alasan untuk Van Gaal gagal membawa
United kembali beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan, apatah lagi
harapan yang diletakkan penyokong-penyokong United ke atas beliau cukup besar
berdasarkan pengalaman, pencapaian, kredibiliti dan wang yang sudah
dibelanjakan warga Belanda itu.
Hanya ada satu cara jika United mahu kembali
beraksi di pentas Liga Juara-Juara, iaitu mereka perlu lebih konsisten menghadapi
baki saingan musim ini. Tiada cara dan jalan lain ke arah itu. Jika segalanya
kembali normal (krisis kecederaan tidak lagi menghantui United) manakala
pemain-pemain pula berjaya menyerap sistem dan gaya taktikal yang digunakan Van
Gaal, percayalah United akan tampil berbeza berbanding apa yang mereka pamerkan
di awal musim dan tanda-tanda itu sudah mula kelihatan sekarang.
Setakat 13 perlawanan ini, nampaknya hanya
Chelsea yang betul-betul konsisten manakala tiga lagi kelab yang berada di
kedudukan empat teratas musim lalu (Manchester City, Arsenal dan Liverpool)
masih terumbang-ambing dalam mencari rentak. Melihat kepada prestasi semasa,
Chelsea agak sukar untuk dihampiri tetapi tiada yang mustahil buat United dan
pasukan-pasukan lain seperti Tottenham Hotspurs, Newcastle United dan kini
Southampton meletakkan diri mereka di kedudukan empat teratas. Walau bagaimanapun, United sendiri tidak
boleh terlalu bergantung kepada prestasi tidak menentu pencabar-pencabar yang
lain untuk terus berada di kedudukan empat teratas kerana seperti yang saya katakan
tadi, untuk kekal di kedudukan tersebut, Van Gaal wajib menjadikan United lebih
konsisten.
Saya yakin United akan kembali bermain di
Liga Juara-Juara musim hadapan, bukan kerana Arsenal, Liverpool, Manchester
City atau Tottenham tidak konsisten tetapi kerana United sendiri pasukan yang
jauh lebih bagus berbanding musim lalu. Paling menarik ialah United di bawah
kendalian Van Gaal sudah menunjukkan kembali kemampuan mereka menewaskan kelab
besar Liga Perdana saat mereka menewaskan Arsenal di Emirates minggu lalu. Kejayaan
menundukkan Arsenal di Emirates tetap satu kejayaan yang besar walaupun saya
akui anak-anak buah Arsene Wenger ketika ini tidak berada pada tahap terbaik
mereka.
Arsenal punya kualiti yang bagus dan saya tetap
menganggap bahawa mereka masih lagi antara kelab besar di England walaupun
kedudukan mereka ketika ini di luar zon empat teratas. Menarik juga apabila
memikirkan dalam situasi kelab berdepan prestasi tidak konsisten disamping krisis
kecederaan yang melanda pemain-pemain utama, The Red Devils masih lagi mampu memaksa sebuah pasukan yang sedang
berada di puncak prestasi seperti Chelsea berkongsi mata.
Kekalahan tipis 0-1 kepada Manchester City di
Stadium Etihad pula sepatutnya tidak perlu disesalkan jika diambilkira faktor bahawa
United bermain dengan sepuluh pemain selama lebih 50 minit. Ini bukan tentang
soal berkongsi mata atau kekalahan tipis, kerana lebih daripada itu saya
melihat semangat melawan sudah kembali menjelma dalam diri pemain-pemain di
mana dua aksi (menentang Chelsea dan City) boleh menjadi rujukan terbaik.
Tidak salah juga rasanya jika saya katakan momentum
baik yang dipamerkan United ketika ini turut dibantu prestasi semasa Wayne
Rooney. Selepas mempamerkan ketajaman dalam aksi antarabangsa menentang Slovenia
dan Scotland, Rooney meneruskan sentuhan pemusnahnya di pentas domestik pula
dengan menjadikan gawang Arsenal dan Hull City sebagai sasaran beliau.
Di Emirates, Rooney adalah ancaman buat
benteng pertahanan Arsenal ketika Van Persie mempamerkan antara aksi
terburuknya saat berdepan kelab yang pernah beliau wakili selama lapan tahun
itu. Sabtu lalu ketika melayan kunjungan Hull City, Rooney menambah koleksi
jaringannya musim ini kepada 5 gol selepas berjaya menembusi gawang Alan
McGregor untuk gol kedua United. Sebelum ini Rooney antara pemain yang teruk dikritik
dan kritikan terhadap beliau semakin tajam mengingatkan kepada armband ketua pasukan yang ada dilengannya.
Rooney berjaya mengharungi tempoh-tempoh sukarnya dengan cukup cemerlang dan
akhirnya kritikan kini bertukar menjadi pujian. Sebagai pemain berpengalaman
dan kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan pula, kelibat dan
sumbangan Rooney di atas padang memang sentiasa menjadi fokus utama.
Selain Rooney, prestasi beberapa pemain lain seperti
Daley Blind, Marouane Fellaini, Michael Carrick dan David de Gea juga menarik untuk
diperkatakan. Paling menonjol ialah kelibat De Gea sebagai pemain terakhir di
barisan belakang. De Gea sentiasa berada pada masa dan tempat yang tepat untuk
menyelamatkan gawang United dari dibolosi dan itulah yang beliau lakukan dalam
enam atau tujuh perlawanan terakhir.
Meskipun prestasinya di awal musim sedikit
longgar, kini posisi De Gea selaku penjaga gol nombor 1 United nampaknya sukar
digugat. Malah bukan itu sahaja, Iker Casillas juga mula merasakan bahawa beliau
kini bukan lagi pilihan automatik untuk mengawal gawang Sepanyol.
Disember datang lagi dan sepertimana
tahun-tahun sebelumnya, Disember sentiasa menghidangkan cabaran sukar, bukan
hanya kepada United tetapi juga kepada mana-mana pasukan. Sepanjang Disember,
konsistensi, ketahanan mental dan fizikal pemain-pemain bakal diuji menerusi
jadual-jadual perlawanan ketat yang perlu mereka harungi.
Disember juga adalah pentas terbaik untuk
kita melihat kemampuan sebenar Van Gaal serta barisan pemain-pemainnya dan jika
mereka masih kekal di kelompok empat teratas sebaik Disember berakhir, pentas
Liga Juara-Juara musim hadapan sedia menanti buat barisan The Red Devils kembali memperagakan aksi mereka.
United sudah berada di kelompok empat
teratas, semoga dipenghujung musim nanti mereka masih kekal di dalam kelompok
ini, kelompok yang sentiasa dihuni oleh kelab-kelab terbaik di England dan
kelompok di mana United biasanya berada. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan