Sebagai penyokong Manchester United, bohong
jika saya katakan bahawa saya tidak teruja ketika mendengar rumour tentang minat kelab terhadap
Sergio Ramos. Secara tiba-tiba bukan Nicolas Otamendi atau Mats Hummels yang
disebut-sebut semakin `hampir’ berpindah ke Old Trafford tetapi sebaliknya
Ramos.
Ini semua berikutan ketidaktentuan masa depan
pemain pertahanan tengah itu di Santiago Bernabeu selepas beliau dikatakan tidak gembira dan kecewa kerana tuntutannya untuk kontrak baharu yang lebih lumayan seolah-olah
tidak diendahkan pihak pengurusan Real.
Mana-mana pengurus/jurulatih sudah tentu
mahukan seorang pemain pertahanan sebagus Ramos membarisi barisan belakang
pasukan mereka dan saya pasti Louis Van Gaal tidak terkecuali. Tidak dapat
dinafikan bahawa Ramos merupakan salah seorang centre back terbaik di dunia ketika ini, tonggak di barisan
belakang Real sejak bertahun-tahun serta lagenda buat Los Blancos dan skuad kebangsaan Sepanyol.
Sejak berakhirnya era Fernando Hierro selaku
tulang belakang pertahanan Real, gergasi Sepanyol itu tidak perlu menunggu
terlalu lama untuk mencari pengganti setaraf apabila mereka berjaya mendapatkan
tandatangan Ramos dari Sevilla pada musim panas 2005.
Meskipun gaya permainan Hierro dan Ramos
berbeza (kerana Hierro lebih tenang ketika mengawal benteng) tetapi ada sebab
mengapa Florentino Perez sanggup meleburkan wang kelab sebanyak €27 juta hanya
semata-mata mahu mendapatkan khidmat Ramos yang ketika itu baru berusia 20
tahun.
Di Santiago Bernabeu, Ramos mewarisi jersi
nombor 4 yang pernah digunakan Hierro dan 5 bulan kemudian beliau menjaringkan
gol pertamanya untuk Real ketika berdepan Olympiacos dalam saingan Liga
Juara-Juara. Ramos pemain pertahanan yang istimewa bukan sahaja kerana tackle agresifnya yang boleh mematikan
serangan lawan tetapi juga kerana kemampuan beliau menjaringkan gol menerusi
situasi bola mati.
Anda tentu masih ingat bukan gol penyamaan
lewat permainan yang dihasilkan Ramos ketika berdepan Atletico Madrid dalam
aksi finale Liga Juara-Juara tahun
lalu (musim 2013/14)? Walaupun kemudiannya Gareth Bale, Marcelo dan Cristiano
Ronaldo mengesahkan kejuaraan kesepuluh Liga Juara-Juara buat Real, namun saya
menganggap gol Ramos lah yang sebenarnya membuka jalan buat mereka menggapai
misi La Decima.
Selepas memenangi berbagai medal kejuaraan
bersama Real, awan cerah rupa-rupanya tidak sentiasa menyelubungi karier Ramos
hingga menyebabkan masa depan beliau bersama Los Blancos terus diperdebatkan. Tambah memburukkan lagi keadaan,
hubungan beliau dengan Perez sejak kebelakangan ini juga dikatakan tidak
harmoni, punca utama mengapa beliau dikatakan ingin meninggalkan Santiago
Bernabeu.
Hubungan Ramos dengan pihak pengurusan Real
dikatakan semakin membarah apabila kini timbul pula kemungkinan beliau sanggup
berpaling tadah menyertai Barcelona yang juga merupakan musuh tradisi mereka.
Jika bukan Nou Camp, destinasi lain
yang dikatakan cukup berpotensi dituju Ramos tidak lain dan tidak bukan ialah
Old Trafford.
Dengan Real sendiri menunjukkan minat yang
tinggi terhadap David De Gea, saya menganggap khabar angin ini (perpindahan Ramos
ke Old Trafford) memang ada asasnya. Mungkinkah Real akan menjadikan Ramos sebagai
opsyen pertukaran jika Perez berhasrat mahu meletakkan De Gea sebagai pengganti
jangka panjang Iker Casillas?
Rumour
setiap kali jendela perpindahan pemain dibuka adalah perkara biasa, dan sebagai
penyokong United, tentunya sangat menarik apabila kita mengetahui salah seorang
pemain pertahanan tengah terbaik di dunia sperti Ramos dikaitkan dengan kelab. Kita
tidak tahu apakah kesudahan `drama’ antara Ramos dan majikannya di Santiago
Bernabeu tetapi rumour ini tetap
menarik untuk diikuti.
Masih ingatkah anda `babak kecewa’ yang
dilakonkan Ronaldo selepas beliau menjaringkan gol ketika berdepan Granada
dalam saingan La Liga pada September 2012? Ketika ditanya wartawan sebaik tamat
perlawanan mengapa beliau tidak meraikan jaringannya, Ronaldo hanya menjawab
ringkas “sedih”. Reaksi Ronaldo itu segera menimbulkan persoalan tentang masa
depannya sehingga ada pihak mengatakan bahawa beliau tidak gembira dan ingin
meninggalkan Real.
Situasi terkini Ramos sama dengan apa yang
dialami Ronaldo tiga tahun lalu. Semuanya disebabkan kontrak dan wang. Ronaldo
tidak gembira kerana pihak pengurusan Real ketika itu membisu dalam soal
kenaikan gaji dan mengharapkan tawaran kontrak lebih lumayan untuk beliau
tandatangani, begitu juga dengan Ramos. Akhirnya `drama’ yang dilakonkan
Ronaldo berjaya hingga memaksa Perez menghulurkan kontrak baharu lebih lumayan
demi mengekalkan pemain terbaiknya itu di kota Madrid.
Kita tidak pasti adakah Ramos ingin
mengulangi helah yang sama seperti apa yang pernah dilakukan Ronaldo atau
beliau memang benar-benar kecewa dan ingin meninggalkan Real demi mencari
cabaran baharu. Di kem Ramos sendiri, mereka menegaskan wang bukanlah masalah
utama kerana apa yang berlaku sekarang ialah seolah-olah pemain ini seperti
tidak dihargai pihak pengurusan Real hingga menyebabkan beliau kecewa.
Melihat kepada sumbangan yang sudah beliau
berikan selama sembilan musim menyarung jersi Real, memang wajar Ramos menuntut
lebih dari apa yang beliau terima sekarang. Walaupun armband ketua pasukan dipegang Iker Casillas, saya menganggap
pemimpin sebenar di atas padang ialah Ramos. Tidak perlu memandang terlalu
jauh. Lihat sahaja apa yang beliau tunjukkan di Estadio da Luz semasa finale Liga Juara-Juara tahun lalu.
Ketika pemain hebat seperti Ronaldo
sendiripun kelihatan buntu dalam usaha menembusi benteng pertahanan Atletico
dan hampir menyerah kalah, Ramos pula
sentiasa lantang dan bersemangat menyuntik motivasi kepada rakan-rakan
sepasukan hinggalah akhirnya beliau sendiri berjaya menyamakan kedudukan
dipenghujung babak permainan. Jika bukan kerana Ramos, Perez pasti akan
tertunduk di Estadio da Luz meratapi misi La
Desima yang tidak kesampaian.
Atas sebab itulah mengapa saya katakan sosok
individu bernama Sergio Ramos ini sebenarnya cukup penting buat Real. Ramos
mungkin bukan pemain paling hebat pernah dimiliki Real tetapi beliau antara
nama wajib yang perlu ada dalam kesebelasan utama sejak era Fabio Capello
hinggalah Carlo Ancelotti.
Sepanjang kariernya di Santiago Bernabeu,
Ramos pernah bermain bersama-sama pemain hebat seperti Zinedine Zidane, Luis
Figo, David Beckham dan terkini Ronaldo yang sedikit sebanyak membentuk
karakternya sebagai pemain kelas dunia.
Saya yakin sekiranya jodoh Ramos bersama Real
tidak berpanjangan, United sebenarnya tiada masalah memancing pemain itu beraksi
di Old Trafford jika faktor wang mahu dijadikan ukuran. United mampu memenuhi
tuntutan Ramos dan tidak rugi melabur untuk pemain pertahanan kelas dunia
seperti beliau.
Walaupun Ramos sudah menjangkau usia 29
tahun, saya percaya beliau mampu memberikan aksi terbaiknya untuk tempoh tiga
atau empat tahun, apatah lagi United sendiri memerlukan seorang pemain
pertahanan berpengaruh sebagai pemimpin di barisan belakang.
Kualiti Ramos memang tidak perlu diragui, cuma
apa yang sedikit membimbngkan kita ialah rekod disiplin beliau di atas padang.
Sepanjang kariernya, Ramos sudah mengumpul koleksi 19 kad merah di mana tiga
daripadanya diterima beliau ketika aksi El
Classico dan dua pada aksi derby
Madrid.
Akhir sekali kita tidak pasti apa sebenarnya
yang berlaku antara Ramos dan kelabnya sekarang (Real). Adakah memang benar
beliau tidak lagi gembira di Santiago Bernabeu atau reaksi kecewa itu sekadar helah
mahukan kontrak lebih lumayan diletakkan pihak pengurusan Real di atas meja
untuk beliau tandatangani.
Seperti yang saya sebutkan di awal tadi, jika
Ramos meletakkan faktor `kebahagiaan’ dan `kegembiraan’ di tempat teratas, pihak
pengurusan Real wajib memastikan pemain ini terus bahagia dan gembira agar beliau
terus kekal bermain untuk mereka. Jika sebaliknya, Ramos ketika ini sudah pasti
ada pilihan dan destinasi mana yang ingin beliau tuju.
Walaupun saya teruja menanti kesudahan rumour perpindahan saga Ramos ke Old
Trafford namun 80% dalam hati saya percaya beliau akan terus kekal menyarung
jersi putih Real musim hadapan. Mungkin ini hanyalah mainan akhbar untuk
melariskan jualan mereka atau mungkin juga memang sudah tiba saatnya Ramos
mengucapkan `Adios’ kepada Madridista. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J