Beberapa hari lalu, Cristiano Ronaldo sudah
menjelaskan bahawa beliau akan berada di Santiago Bernabeu hingga kontraknya
tamat pada 2018 nanti. Penjelasan Ronaldo pastinya menamatkan terus spekulasi
tentang masa depan mega bintang itu yang sebelumnya digembar-gemburkan bakal
menyertai Paris St Germain dan prospek kepulangan semula lagenda ini ke Old
Trafford. Kenyataan yang dikeluarkan Ronaldo juga sekaligus menamatkan
angan-angan tinggi penyokong-penyokong United untuk melihat beliau kembali menyarung
jersi The Red Devils selepas
meninggalkan kelab pada 2009. Tanyalah kepada mana-mana penyokong United, sudah
tentu mereka berharap agar suatu hari nanti Ronaldo kembali menyertai kelab dan
saya juga tidak terkecuali.
Memang saya akui, sejak Ronaldo meninggalkan Old
Trafford hampir tujuh tahun yang lalu, kebanyakkan dari kita sebenarnya
mengharapkan agar beliau pulang semula bermain untuk United sebelum menamatkan
kariernya yang penuh gemilang itu. Selama enam musim menabur bakti untuk
United, Ronaldo memang menjadi pujaan penyokong-penyokong The Red Devils menerusi sumbangan besarnya di atas padang hasil
dari skill individu memukau yang beliau miliki dan jaringan demi jaringan yang
beliau hasilkan ke gawang lawan. Jadi tidak hairanlah mengapa hingga sekarang
masih ada di kalangan penyokong-penyokong United meratapi pemergian Ronaldo ke
Santiago Bernabeu yang memecahkan rekod perpindahan dunia ketika itu.
Mskipun sudah hampir tujuh tahun Ronaldo
meninggalkan Old Trafford, saya juga perlu mengakui bahawa beliau antara bekas
pemain United yang masih disayangi dan dicintai oleh para penyokong The Red Devils. Perkataan bahawa United
merupakan kelab yang cukup istimewa buat dirinya juga sering keluar dari mulut
bintang Portugal ini meskipun beliau sudah mengecapi pelbagai kejayaan gemilang
sejak bersama Real. Ronaldo juga tidak pernah berselindung untuk
mempertimbangkan sebarang kemungkinan pulang semula ke Old Trafford suatu hari
nanti selepas kariernya di Santiago Bernabeu berakhir. Ini semua antara
penyebab mengapa Ronaldo masih menjadi idola, pujaan dan namanya sering
disebut-sebut oleh penyokong-penyokong United hingga kini.
Tetapi persoalan besar sekarang adakah
Ronaldo masih lagi relevan untuk United dalam tempoh dua tahun lagi di mana
ketika itu beliau sudahpun berusia 33 tahun? Satu hakikat yang perlu kita akui
ialah dalam tempoh dua tahun lagi, Ronaldo sudah tentu bukan sepertimana
sekarang ketika usia semakin mencemburui kariernya. Dua tahun lagi Ronaldo akan
hilang kepantasannya dan sedar atau tidak, hari ini pun prestasi beliau sudah
semakin menurun berbanding musim-musim sebelumnya. Setakat ini, dari 23
perlawanan La Liga, Ronaldo sudah menjaringkan 19 gol dan menyumbang 7 assists, berbanding catatan musim 2014/15 dimana beliau
berjaya menjaringkan 28 gol dan mencipta 8 assists
untuk Los Blancos dari 23 aksi liga mereka.
Dalam dunia bolasepak, bukan rahsia lagi
bahawa prestasi seseorang pemain akan mula menurun ketika usia mereka memasuki
30an dan jika diambilkira faktor ini, pemain sehebat Ronaldo pun sudah tentu
tidak akan terkecuali. Adakah statistik di atas menunjukkan bahawa Ronaldo kini
sudah memasuki gerbang penurunan prestasi sepertimana pemain-pemain lain yang
seangkatan dengan beliau. Jika ini berlaku, graf penurunan prestasi Ronaldo
tidak akan terhenti setakat musim ini sahaja dan bakal terus berlanjutan hingga
2018 nanti. Sekiranya Ronaldo mahu kembali menabur bakti di Old Trafford dan
mana-mana pengurus United ketika itu mahu menerima beliau, mampukah Ronaldo
memberikan sumbangan bermakna kepada kelab?
Pada 2018 nanti, saya fikir sukar buat
Ronaldo merebut tempatnya di posisi sayap kiri kerana ketika itu pemain seperti
Anthony Martial sudah tentu jauh lebih bagus berbanding sekarang. Selain
Martial, United memiliki seorang lain pemain berpotensi untuk meledak di posisi
tersebut dalam tempoh setahun atau dua dari sekarang dan pemain yang saya
maksudkan ialah Memphis Depay. Walaupun ketika ini Depay teruk dikritik kerana
prestasi merudumnya sejak berpindah ke Old Trafford hanya semusim selepas dinobatkan
selaku penjaring terbanyak Eredivisie, beliau masih seorang pemain muda
berbakat yang jika diberikan peluang mampu meletakkan dirinya selaku pemain
kelas dunia suatu hari nanti.
Pada pandangan saya, apa yang diperlukan
Memphis hanyalah masa untuk menyesuaikan dirinya dengan gaya permainan United
dan jika beliau dilatih oleh `tangan yang betul’, saya percaya Memphis mampu
meletakkan dirinya sebagai tunjang kekuatan kelab di masa hadapan. Dalam tempoh
dua tahun lagi, Martial atau Memphis sudah tentu bukan seperti sekarang. Jika
kedua-duanya mampu memenuhi potensi diri menerusi bakat yang mereka miliki,
sudah pasti sukar buat Ronaldo merebut tempat dalam kesebelasan utama United
jika beliau kembali menyarung jersi kelab pada 2018 nanti. Berdasarkan prestasi
semasa, Martial adalah sandaran utama untuk meneruskan legasi pemain-pemain
sayap hebat yang pernah beraksi untuk United seperti George Best, Steve
Coppell, Lee Sharpe, Andrei Kanchelskis, Ryan Giggs, David Beckham dan Ronaldo
sendiri.
Jadi kesimpulannya sekarang, adakah Ronaldo
masih relevan untuk beraksi dalam kesebelasan utama United jika beliau kembali
ke pangkuan kelab pada 2018 nanti? Henrik Larsson pernah mencetuskan impak pada
usia 36 tahun ketika beliau menyertai United sebagai pemain pinjaman pada 2007.
Impak yang diberikan lagenda Sweden ini menyebabkan Sir Alex Ferguson mahu
melanjutkan tempoh pinjaman pemain ini namun beliau akhirnya terpaksa akur
melepas Larsson pulang semula ke Helsingborg selepas hanya beraksi dalam tujuh
perlawanan liga. Selain Ryan Giggs, Larsson adalah contoh terbaik pemain yang
sudah berusia tapi masih mampu memberikan sumbangan besar di atas padang
biarpun mereka tidak lagi sepantas ketika usia muda mereka.
Dua tahun dari sekarang dan pada usia 33
tahun, Ronaldo masih belum terlalu tua untuk terus bermain di peringkat
tertinggi, tetapi pengurus perlu bijak menggunakan kebolehan serta pengalaman beliau
pada masa dan tempat yang tepat. Sir Alex Ferguson pernah melakukannya kepada
Giggs dan Larsson, jadi terpulang kepada mana-mana pengurus United selepas ini untuk
melakukan perkara yang sama kepada Ronaldo jika beliau kembali menyertai The Red Devils dua tahun dari sekarang. Dua
tahun lagi tiada apa yang lebih manis selain menyaksikan kepulangan semula
lagenda ini ke Old Trafford dan bukankah lebih bagus jika beliau menamatkan
kariernya di Theatre of Dreams? Gelanggang
yang pernah menjadi pentas buat seorang remaja kurus kering dari bandar kecil
Madeira memperagakan bakat luarbiasanya sebelum muncul antara pemain paling
menarik pernah disaksikan aksinya dalam era bolasepak moden…Glory Glory
Manchester United!!! - AJ