06 Februari 2016

`SPECIAL JUAN'....ADAKAH MATA PEMAIN YANG BENAR-BENAR ISTIMEWA?

25 Januari lalu, genaplah dua tahun Juan Mata bergelar pemain Manchester United selepas perpindahan beliau dari Stamford Bridge ke Old Trafford yang menelan belanja sebanyak £37 juta berjaya direalisasikan. Mata merupakan pembelian pertengahan musim yang dilakukan David Moyes bagi menyelamatkan musim terumbang-ambing United sebaik sahaja ditinggalkan Sir Alex Ferguson yang mengumumkan persaraan selepas menghadiahkan kejuaraan liga ke-20 buat kelab. Ketika kali pertama menjejakkan kakinya di Old Trafford sebagai pemain United, Mata juga menerima layanan yang agak istimewa dari pihak pengurusan dan jika anda masih ingat ketika itu bagaimana beliau dibawa ke Carrington dengan menggunakan helikopter.

Selepas secara rasmi beliau diumumkan sebagai anggota The Red Devils, Mata diberikan gelaran The Special Juan oleh penyokong-penyokong United dan sehingga kini beliau masih dianggap sebagai pemain `istimewa’ dalam skuad Louis Van Gaal. Istimewanya Mata di mata para penyokong menyebabkan beliau sering terlepas dari kritikan-kritikan pedas meskipun adakalanya bekas pemain Valencia itu bermain di bawah prestasi sebenar. Berbanding Wayne Rooney dan `bintang baharu’ seperti Memphis Depay yang sering dihujani kritikan demi kritikan, Mata nampaknya boleh menarik nafas lega terlepas dari `perhatian’ penyokong walaupun statistik menunjukkan sumbangan beliau di atas padang ketika ini sedikit menurun berbanding di awal musim.

Selepas tampil dengan prestasi bagus di awal musim menerusi tiga gol dan empat assist dari tujuh perlawanan (dalam semua kejohanan), Mata hanya mampu menjaringkan satu gol dalam tempoh hampir empat bulan sejak United tewas 0-3 kepada Arsenal pada 4 Oktober tahun lalu. Mata akhirnya menemui semula sentuhan jaringannya selepas meledak satu dari tiga gol saat United menyingkirkan Derby Couty dalam aksi pusingan keempat Piala FA minggu lalu. Jika dihitung sumbangan Mata dalam saingan liga selepas 23 perlawanan musim ini, beliau hanya menyumbang empat gol dan tiga assist berbanding musim lalu di mana beliau berjaya menjaringkan lima gol dan mencipta tiga assist.

Walaupun hanya kurang satu gol berbanding catatan yang beliau lakukan dari 23 perlawanan musim lalu, itu tetap sesuatu yang perlu diberikan perhatian ketika sentuhan, kreativiti dan visi permainannya ditagih bagi membantu United bangkit mencabar kejuaraan liga atau sekurang-kurangnya meletakkan mereka dalam kedudukan empat teratas untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Mata masih mempunyai waktu hingga akhir musim untuk membuktikan bahawa beliau memang `istimewa’ di mata penyokong-penyokong United dengan membantu rakan-rakannya menghambat pasukan-pasukan yang berada di kedudukan empat teratas ketika ini.

Mata juga masih memiliki waktu untuk mengatasi catatan sembilan gol dan empat assist dari 33 perlawanan yang beliau lakukan musim lalu dan Special Juan nampaknya seperti sudah memberikan isyarat bahawa beliau sudah bersedia meletakkan semula dirinya dalam kesebelasan utama United selepas menampilkan aksi bagus ketika membenam Stoke City, Rabu lalu. Saya berharap gol Mata ke gawang Derby County pada aksi pusingan keempat Piala FA yang menamatkan kemarau jaringan dalam 14 perlawanan (pada semua kejohanan), mampu meletakkan kembali beliau sebagai antara pemegang peranan penting dalam kesebelasan utama United musim ini.

Aksi menentang Stoke City Rabu lalu menampilkan semula karakter sebenar Special Juan di atas padang, karakter yang agak lama saya tidak saksikan ditampilkan beliau terutamanya bila mengingatkan bahawa Mata merupakan pemain yang cukup saya kagumi sejak beliau tiba di Stamford Bridge pada 2011. Bagaimanapun karakter sebenar Mata bakal teruji sepenuhnya ketika beliau kembali semula ke Stamford Bridge esok bagi berdepan semula kelab lamanya, Chelsea. Kesebelasan utama Guus Hiddink adalah ujian sebenar buat Mata, kerana selepas tiga kali bertemu The Blues dipentas liga sejak berpindah ke Old Trafford, Mata masih belum mampu membantu United mengatasi bekas kelabnya itu.

Bukan itu sahaja, dari tiga aksi liga menentang Chelsea, Mata juga gagal menyumbang sebarang gol atau assist. Saya berharap fakta ini tidak diambilkira Van Gaal dalam menentukan barisan kesebelasan terbaiknya saat berkunjung ke Stamford Bridge nanti kerana bagi saya, kelibat pemain seperti Mata perlu ada bagi menambahkan lagi kreativiti The Red Devils ketika menyusun gerakan ke kubu lawan. Melihat kepada trend Van Gaal sejak kebelakangan ini yang lebih gemar meletakkan Mata di bangku simpanan, peluang buat beliau beraksi dalam kesebelasan utama esok sedikit terjejas. Semuanya mudah difahami kerana Van Gaal kini lebih gemar meletakkan Jesse Lingard di sebelah kanan, posisi yang sering dihuni Mata di awal musim hingga menyebabkan beliau mula tersisih.

Melihat kepada prestasi bagus Lingard sejak kebelakangan ini di posisi sayap kanan, sukar buat Mata untuk kembali merampas posisi tersebut dari pemain kelahiran Akademi United ini. Bagaimanapun selepas menyaksikan prestasi Mata dalam dua perlawanan terakhir United (menentang Derby County dan Stoke City), Van Gaal sepatutnya sudah mendapat ilham untuk memilih kesebelasan terbaiknya saat berdepan Chelsea nanti. Peranan selaku pemain nombor 10 adalah peranan yang harus dimainkan Mata di Stamford Bridge esok kerana posisi di belakang penyerang adalah posisi paling ideal buat Mata berbanding meletakkan beliau sebagai pemain sayap.

Bagaimanapun jika Mata mahu mengintai peluang beraksi di belakang Rooney buat kali ketiga berturut-turut selepas memainkan peranannya di posisi tersebut dengan cemerlang pada dua aksi terakhir United, beliau perlu terlebih dahulu mengetepikan pesaing dan juga rakan Sepanyolnya iaitu Ander Herrera. Selepas menyaksikan sumbangan Mata dalam dua aksi terakhir dan jika diberikan pilihan, saya lebih memilih beliau untuk membarisi kesebelasan utama United di Stamford Bridge esok berbanding Herrera. Bercakap tentang Juan Mata bukan sekadar menyentuh tentang kebolehan beliau dalam menjaringkan gol dan menyumbang assist. Daley Blind pernah mengatakan bahawa “Permainan Juan Mata sedap dipandang mata”, dan untuk itu saya juga mengakui bahawa Special Juan antara pemain yang menarik untuk disaksikan kelibatnya di atas padang. Semoga di Stamford Bridge esok, Special Juan mampu membuktikan mengapa beliau dianggap `istimewa' di mata para penyokong United...Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan