Ketika beliau memulakan
tugasnya sebagai pengendali United Disember tahun lalu, penyokong meletakkan
segunung harapan agar barisan The Red
Devils kembali semula kepada DNA asal permainan mereka, iaitu permainan
menyerang dan menghiburkan. Sebagai bekas pemain yang selama sebelas musim
bermain di bawah arahan Sir Alex Ferguson, memang wajar harapan tinggi itu
diletakkan di bahu beliau terutamanya selepas saban minggu penyokong dihidangkan
taktik `parkir bas’ Jose Mourinho yang membosankan.
Memang ada `sentuhan’ Fergie
dalam corak permainan United, itulah yang dapat anda lihat pada lapan aksi
pertama mereka dalam semua kejohanan di bawah kendalian Solskjaer. Di atas
padang, United kembali kepada corak permainan menyerang yang menghiburkan,
menghukum lawan mereka menerusi taktik serang balas pantas, manakala
pemain-pemain pula seolah-olah sudah terlepas dari belenggu. Bagaimanapun
`bulan madu’ Solskjaer tidak bertahan lama dan kini beliau akhirnya terpaksa
menerima hakikat bahawa kualiti United cuma melayakkan mereka untuk berada di
posisi keenam liga.
Solskjaer yang dahulunya cuba
meniru segala pendekatan Fergie akhirnya secara perlahan-lahan mula pasrah dan
menyerah. Dalam beberapa perlawanan terakhir, Solskjaer cuba beradaptasi dengan
budaya bolasepak semasa yang jauh berbeza berbanding ketika zaman beliau
sebagai pemain. “Zaman sudah berubah, dan kami tidak mungkin dapat `menyalin’
semula Fergie kerana beliau adalah pengurus yang unik. Kami memiliki generasi
pemain berbeza dan kami mesti melakukannya dengan cara kami sendiri”, kata
Solskjaer dalam satu temuramah bersama Fox Sport.
Ole
Bukan Fergie
Sir Alex Ferguson memang
individu yang unik dan pengurus yang istimewa. Fergie tiada duanya dalam dunia
bolasepak dan mana-mana individu yang cuba `menjadi Fergie’ tidak akan mampu
melangkah jauh. Fergie punya gaya dan cara tersendiri dalam melatih para
pemainnya, bukan sekadar terbatas kepada gaya bolasepak menarik atau menggunakan
senjata `hair dryer treatment’ nya
untuk menyerang para pemainnya yang bermain di bawah par.
Fergie adalah seorang
pengurus yang cepat beradaptasi dengan situasi semasa. Contoh paling baik
adalah bagaimana beliau menukar sistem tradisional 4-4-2 yang kaku kepada lebih fleksibel di saat
Jose Mourinho tiba di Stamford Bridge
dan mula menganggu dominasi United. Selain adaptasi, Fergie juga sangat
terkenal kerana memiliki barisan pejuang yang sanggup mati di atas padang demi
dirinya dan aset terpenting inilah yang tidak dimiliki Solskjaer dalam
skuadnya.
Suka atau tidak, kita
terpaksa mengakui bahawa United ketika ini tidak memiliki pejuang hebat seperti
Roy Keane, Nemanja Vidic, Paul Scholes, Ryan Giggs atau Wayne Rooney dalam
struktur kesebelasan mereka. Dan paling parah, Solskjaer juga tidak memiliki
pemain yang betul-betul mampu melaksanakan plan permainannya dengan berkesan
hingga akhirnya mereka berdepan situasi tidak menentu seperti sekarang.
Harus diingat bahawa
kesuksesan Fergie tidak datang sekelip mata. Sepertimana Solskjaer, Fergie juga
berdepan kesukaran pada peringkat awal ketibaan beliau di Old Trafford. Hanya
selepas tujuh tahun barulah Fergie berjaya mengemudi United menjulang trofi
liga yang gagal mereka menangi selama 26 tahun. Ya...waktu juga diperlukan
Solskjaer untuk beliau menjadi sukses sepertimana Fergie dan proses ke arah itu
memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.
Adakah
Kita Mampu Bersabar?
Dua faktor yang sudah hilang
dalam kem United selepas persaraan Fergie, iaitu masa dan kesabaran. Jika tidak
mahu menerima nasib yang sama seperti dialami David Moyes, Louis Van Gaal dan
Jose Mourinho, Solskjaer perlu menyakinkan pihak pengurusan kelab bahawa beliau
perlu diberikan peluang untuk membina semula pasukan mengikut acuannya sendiri.
Atau lebih tepatnya Solskjaer
perlu diberikan peluang membina dinasti dan menerapkan falsafah bolasepaknya
sendiri. Mungkin dalam tempoh selama tiga tahun (hingga kontrak Solskjaer
tamat), United tidak akan memenangi sebarang trofi tetapi kita mungkin boleh
belajar dari apa yang berlaku di Anfield dalam tempoh beberapa tahun terakhir.
Walaupun Jurgen Klopp masih
belum mampu membawa sebarang trofi kejuaraan ke Anfield, namun beliau berjaya menjadikan Liverpool skuad yang meingkat
saban musim. Selain dari beberapa pembelian bijak yang dilakukan Klopp, beliau
juga berjaya membentuk identitinya sendiri menerusi falsafah gegenpressing yang diterapkan dalam permainan
skuad The Reds.
Untuk berlaku adil, saya
menganggap musim ini cumalah musim pengenalan buat Solskjaer kerana beliau
datang ketika kelab sudah mengharungi separuh perjalanan liga. Tidak banyak
yang mampu dilakukan Solskjaer untuk menyelamatkan United dengan pemain yang
ada, tetapi musim hadapan bakal menghadirkan cabaran berbeza buat beliau.
Mampukah penyokong bersabar melihat
United gagal memenangi sebarang trofi selama tiga tahun sementara Solskjaer
dalam proses membina skuad impiannya sendiri? Atau beliau juga bakal menjadi
mangsa ketidaksabaran penyokong dan pihak pengurusan kelab sepertimana yang
berlaku ke atas David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho? Tugas
menggantikan Fergie memang bukan satu tugas yang mudah dan mungkin juga salah
satu kerja paling sukar di dunia. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar