07 Mei 2019

KELUARLAH DARI BAYANG-BAYANG FERGIE



Ketika beliau memulakan tugasnya sebagai pengendali United Disember tahun lalu, penyokong meletakkan segunung harapan agar barisan The Red Devils kembali semula kepada DNA asal permainan mereka, iaitu permainan menyerang dan menghiburkan. Sebagai bekas pemain yang selama sebelas musim bermain di bawah arahan Sir Alex Ferguson, memang wajar harapan tinggi itu diletakkan di bahu beliau terutamanya selepas saban minggu penyokong dihidangkan taktik `parkir bas’ Jose Mourinho yang membosankan.

Memang ada `sentuhan’ Fergie dalam corak permainan United, itulah yang dapat anda lihat pada lapan aksi pertama mereka dalam semua kejohanan di bawah kendalian Solskjaer. Di atas padang, United kembali kepada corak permainan menyerang yang menghiburkan, menghukum lawan mereka menerusi taktik serang balas pantas, manakala pemain-pemain pula seolah-olah sudah terlepas dari belenggu. Bagaimanapun `bulan madu’ Solskjaer tidak bertahan lama dan kini beliau akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa kualiti United cuma melayakkan mereka untuk berada di posisi keenam liga.

Solskjaer yang dahulunya cuba meniru segala pendekatan Fergie akhirnya secara perlahan-lahan mula pasrah dan menyerah. Dalam beberapa perlawanan terakhir, Solskjaer cuba beradaptasi dengan budaya bolasepak semasa yang jauh berbeza berbanding ketika zaman beliau sebagai pemain. “Zaman sudah berubah, dan kami tidak mungkin dapat `menyalin’ semula Fergie kerana beliau adalah pengurus yang unik. Kami memiliki generasi pemain berbeza dan kami mesti melakukannya dengan cara kami sendiri”, kata Solskjaer dalam satu temuramah bersama Fox Sport.

Ole Bukan Fergie

Sir Alex Ferguson memang individu yang unik dan pengurus yang istimewa. Fergie tiada duanya dalam dunia bolasepak dan mana-mana individu yang cuba `menjadi Fergie’ tidak akan mampu melangkah jauh. Fergie punya gaya dan cara tersendiri dalam melatih para pemainnya, bukan sekadar terbatas kepada gaya bolasepak menarik atau menggunakan senjata `hair dryer treatment’ nya untuk menyerang para pemainnya yang bermain di bawah par.

Fergie adalah seorang pengurus yang cepat beradaptasi dengan situasi semasa. Contoh paling baik adalah bagaimana beliau menukar sistem tradisional  4-4-2 yang kaku kepada lebih fleksibel di saat Jose Mourinho  tiba di Stamford Bridge dan mula menganggu dominasi United. Selain adaptasi, Fergie juga sangat terkenal kerana memiliki barisan pejuang yang sanggup mati di atas padang demi dirinya dan aset terpenting inilah yang tidak dimiliki Solskjaer dalam skuadnya.

Suka atau tidak, kita terpaksa mengakui bahawa United ketika ini tidak memiliki pejuang hebat seperti Roy Keane, Nemanja Vidic, Paul Scholes, Ryan Giggs atau Wayne Rooney dalam struktur kesebelasan mereka. Dan paling parah, Solskjaer juga tidak memiliki pemain yang betul-betul mampu melaksanakan plan permainannya dengan berkesan hingga akhirnya mereka berdepan situasi tidak menentu seperti sekarang.

Harus diingat bahawa kesuksesan Fergie tidak datang sekelip mata. Sepertimana Solskjaer, Fergie juga berdepan kesukaran pada peringkat awal ketibaan beliau di Old Trafford. Hanya selepas tujuh tahun barulah Fergie berjaya mengemudi United menjulang trofi liga yang gagal mereka menangi selama 26 tahun. Ya...waktu juga diperlukan Solskjaer untuk beliau menjadi sukses sepertimana Fergie dan proses ke arah itu memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

Adakah Kita Mampu Bersabar?

Dua faktor yang sudah hilang dalam kem United selepas persaraan Fergie, iaitu masa dan kesabaran. Jika tidak mahu menerima nasib yang sama seperti dialami David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho, Solskjaer perlu menyakinkan pihak pengurusan kelab bahawa beliau perlu diberikan peluang untuk membina semula pasukan mengikut acuannya sendiri.

Atau lebih tepatnya Solskjaer perlu diberikan peluang membina dinasti dan menerapkan falsafah bolasepaknya sendiri. Mungkin dalam tempoh selama tiga tahun (hingga kontrak Solskjaer tamat), United tidak akan memenangi sebarang trofi tetapi kita mungkin boleh belajar dari apa yang berlaku di Anfield dalam tempoh beberapa tahun terakhir.

Walaupun Jurgen Klopp masih belum mampu membawa sebarang trofi kejuaraan ke Anfield, namun beliau berjaya menjadikan Liverpool skuad yang meingkat saban musim. Selain dari beberapa pembelian bijak yang dilakukan Klopp, beliau juga berjaya membentuk identitinya sendiri menerusi falsafah gegenpressing yang diterapkan dalam permainan skuad The Reds.

Untuk berlaku adil, saya menganggap musim ini cumalah musim pengenalan buat Solskjaer kerana beliau datang ketika kelab sudah mengharungi separuh perjalanan liga. Tidak banyak yang mampu dilakukan Solskjaer untuk menyelamatkan United dengan pemain yang ada, tetapi musim hadapan bakal menghadirkan cabaran berbeza buat beliau.

Mampukah penyokong bersabar melihat United gagal memenangi sebarang trofi selama tiga tahun sementara Solskjaer dalam proses membina skuad impiannya sendiri? Atau beliau juga bakal menjadi mangsa ketidaksabaran penyokong dan pihak pengurusan kelab sepertimana yang berlaku ke atas David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho? Tugas menggantikan Fergie memang bukan satu tugas yang mudah dan mungkin juga salah satu kerja paling sukar di dunia. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan