Tugas Ralf Rangnick sebagai
pengurus interim Manchester United akan tamat sebaik musim ini berakhir.
Selepas itu beliau akan memainkan peranannya di belakang tabir selaku konsultan
kelab. Meskipun saingan kompetitif musim 2021/22 masih rancak berlangsung,
United sudah dikaitkan dengan beberapa nama bagi mengisi kekosongan yang bakal
ditinggalkan Rangnick.
Paling hangat, terdapat tiga
nama yang sering disebut-sebut selaku calon paling berpotensi untuk memikul
tanggungjawab bagi mengemudi United musim depan. Mereka ialah Erik Ten Hag,
Mauricio Pochettino dan Luis Enrique. Sejak persaraan Sir Alex Ferguson
sembilan tahun lalu, kelab nampaknya terpaksa mengharungi perjalanan yang
panjang dalam usaha mereka mencari pengganti individu paling berjaya sepanjang
27 tahun karier pengurusan Fergie di Old Trafford.
David Moyes, Louis Van Gaal,
Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer, semuanya kecundang serta gagal bertahan
lama, dan kini usaha sedang diteruskan bagi mendapatkan pengendali baharu.
Menurut laporan The Athletic, misi kelab bagi mendapat pengendali baharu sudah
berjalan sejak beberapa bulan lalu dan empat nama sudah diletakkan dalam
senarai pendek bagi menggantikan posisi Rangnick. Mereka ialah tiga nama yang
saya sebutkan di atas serta Julen Loptegui.
Berbanding Loptegui yang sangat
dikenali kerana kecenderungan beliau dengan gaya permainan `possession
football’, gaya dan pendekatan permainan Ten Hag, Pochettino dan Enrique pula
lebih `direct’. Skema `direct football’ bukanlah asing bagi United, kerana gaya
permainan sebegitu sudah diterapkan ketika era Solskjaer dan kini diteruskan
pula oleh Rangnick. Bezanya United kini bermain dengan struktur `pressing’ yang
lebih tersusun berbanding ketika mereka ditangani Solskjaer.
Pilihan Nombor satu
Di antara tiga nama (Ten Hag,
Pochettino dan Enrique) yang sering disebut-sebut sangat berpotensi
menggantikan tempat Rangnick, saya secara peribadi meletakkan Ten Hag sebagai
pilihan nombor satu sebagai pengendali baharu United musim depan. Kenapa? Mudah
saja, kerana saya sangat tertarik melihat penampilan impresif Ajax di bawah
kendalian Ten Hag dalam saingan Liga Juara-Juara meskipun skuadnya tidak
dibarisi bintang ternama.
Ketika Ajax terperosok di
tangan Marcel Keizer, Marc Overmars yang ketika itu bertugas sebagai Pengarah
Bolasepak Ajax, sudah tahu siapa individu paling sesuai untuk beliau bawa masuk
sebagai pengganti Keizer. Ya…Ten Hag adalah orangnya. Siapa Ten Hag, dan kenapa
Overmars berani berjudi dengan membawa beliau ke Johan Cryuff Arena untuk memperbaiki
kerosakkan yang ditinggalkan Keizer?
Ten Hag tidak pernah
mengendalikan kelab ternama, tetapi pada Disember 2017, Overmars menghubungi
beliau untuk menawarkan tugas sebagai pengendali Ajax. Overmars memilih
individu yang tepat, kerana pada musim penuh pertama (2018/19) beliau di Johan
Cryuff Arena, Ten Hag berjaya mengemudi Ajax menjulang trofi Eredivisie buat
pertama kali dalam tempoh empat tahun.
Total Football 2.0
Kisah kecemerlangan Ten Hag
tidak terhenti setakat itu, kerana pada musim yang sama, Ajax mencuri tumpuan
apabila mereka mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara buat pertama
kali sejak musim 2005/06. Paling menarik, mereka menyingkirkan Real Madrid di
pusingan kalah mati 16 pasukan menerusi kelebihan agregat (5-3), hasil dari
kemenangan besar (4-1) yang dilakar mereka ke atas juara bertahan itu di
Santiago Bernabeu.
Di kota Amsterdam, Ten Hag
bukan sahaja berjaya membawa trofi Eredivisie pulang ke Johan Cryuff Arena,
tetapi di bawah kendalian beliau juga, Ajax kembali memperagakan permainan
menarik. Ada yang melabelkan gaya bolasepak yang diterapkan Ten Hag sebagai
`Total Football 2.0’. Malah Edwin van der Sar yang juga merupakan CEO Ajax
pernah menyebut bahawa jika Johan Cryuff masih hidup, beliau akan gembira
melihat gaya permainan Ajax ketika ini.
Sebagaimana Total Football
ciptaan Cryuff, Ten Hag juga mementingkan penguasaan bola sebagai asas
permainan skuad kendaliannya. Bagaimana pun terdapat tiga elemen penting yang
diterapkan Ten Hag dalam `Total Football 2.0’ ini, iaitu pergerakan tanpa bola,
penempatan posisi dan pergerakan orang ketiga (third man run). Kerana
penempatan posisi yang tepat dan larian-larian tanpa bola yang bijaklah, anda
dapat melihat skema penguasaan bola yang dimainkan Ajax begitu `fluid’.
“Lakukan hantaran dan terus ke
hadapan”, itu antara petikan ringkas dari Ten Hag tentang skema permainan Ajax.
Musim ini Ajax terus membuktikan bahawa mereka antara kesebelasan yang menarik
untuk anda saksikan aksinya di Liga Juara-Juara. Sepanjang saingan peringkat
kumpulan, Ajax muncul kesebelasan ketiga paling tinggi mencatatkan purata
penguasaan bola (62.5%) dalam setiap perlawanan selepas Bayern Munich dan
Manchester City. Manakala peratus ketepatan hantaran mereka pula mencapai angka
87.8%.
Bolasepak yang dimainkan Ajax
bukan tentang penguasaan bola semata-mata, tetapi lihat juga bagaimana dominasi
mereka dalam mengawal permainan. Dari enam aksi di peringkat kumpulan, Ajax
mencatatkan `expected goal’ (xG) sebanyak 18.3…dan dari catatan ini mereka
berhasil meledak 20 gol. Catatan ini juga menunjukkan bahawa Ajax sangat
klinikal dalam menyudahkan peluang di hadapan gawang lawan.
Kunci utama mengapa mereka
begitu sukses mencipta peluang ialah `positioning’ (kedudukan) dan
pergerakan-pergerakan bijak tanpa bola yang dilakukan pemain. Untuk
melakukannya, Ten Hag akan mengarahkan para pemainnya menguasai tiga zon utama
di atas padang (sayap, tengah dan `half space’). Tujuannya hanya satu, iaitu
memperbanyakkan opsyen sebelum hantaran-hantaran dilakukan ketika mereka sudah
memasuki zon bahaya lawan.
Jadi tidak hairanlah mengapa
pada musim ini anda melihat terdapat 19 pemain Ajax yang berjaya menyumbangkan
sekurang-kurangnya satu `assist’ dalam saingan Eredivisie. Itu dalam situasi
`offensive’, tetapi bagaimana pula skema Ajax dalam situasi `defensive’? Ketika
bertahan, Ten Hag menerapkan `peraturan tiga saat’, iaitu bola perlu direbut
kembali dalam masa tiga saat selepas mereka hilang penguasaan bola.
Peraturan `three seconds rule’
ini tampak seperti sukar dilaksanakan tetapi menerusi peraturan inilah pintu
gol Ajax begitu sukar ditembusi. Jadi tidak hairanlah mengapa dari 14 aksi awal
mereka di Eredivisie dan Liga Juara-Juara, pintu gol Ajax cuma dibolosi
sebanyak empat kali. Dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, peratus
kejayaan mereka ketika melakukan `pressing’ mencapai angka 30.3%.
Statistik ini jauh di belakang
Liverpool (38.5%), tetapi sekurang-kurangnya catatan ini juga sebenarnya lebih
baik berbanding apa yang dilakukan Manchester City, Bayern Munich dan Manchester
United sendiri. Satu lagi ciri kepada corak permainan Ajax dalam situasi
`defensive’ ialah kedudukan antara pemain yang begitu rapat ketika bertahan,
hinggakan mereka begitu mudah melakukan `overload’ saat lawan menguasai bola.
Di Eredivisie, Ten Hag
menggunakan sistem berbeza dalam skema permainan FC Utrecht ataupun Ajax, kerana
seperti Pep Guardiola yang juga merupakan idolanya, Ten Hag mahukan para
pemainnya tampil lebih fleksibel di atas padang. Itulah yang dilakukan kelab
seperti Manchester City atau Bayern Munich, kerana mereka adakalanya memainkan
tiga atau empat sistem berbeza hanya dalam satu perlawanan.
Penutup
Kehadiran Ten Hag di Johan
Cryuff Arena setidak-tidaknya menghadirkan kembali `bayangan silam’ Ajax selaku
kuasa besar Eropah suatu ketika dahulu. Kejayaan mara ke peringkat separuh
akhir Liga Juara-Juara musim 2018/19 tidaklah sebanding ketika mereka menjulang
trofi tersebut sebanyak tiga kali berturut-turut (1971 hingga 1973) atau ketika
Louis van Gaal mengemudi Ajax membenam Milan pada edisi final 1995.
Tetapi satu hal paling menarik yang
dapat anda saksikan di sebalik kejayaan Ajax mara begitu jauh pada edisi
2018/19 ialah bagaimana impresifnya penampilan pemain-pemain muda mereka
seperti Matthijs de Ligt, Frenkie de Jong, Hakim Ziyech dan Donny Van de Beek.
Di belakang mereka, tentunya ada sosok Erik Ten Hag yang peranannya sangat
penting dalam mencorakkan karakter permainan Ajax hinggakan mereka kelihatan begitu
`fluid’, menyerang dan atraktif. Glory Glory Manchester United!!!