20 Jun 2009

Harga Untuk Ronaldo Keterlaluan: Sir Bobby Charlton

http://www.drives.co.uk/news/images/Sir%20Bobby%20Charlton.jpg
Lagenda Manchester United, Sir Bobby Charlton menganggap nilai perpindahan sebanyak 80 juta Pound yang dibayar Real Madrid untuk mendapatkan khidmat Cristiano Ronaldo agak keterlaluan. Walau bagaimanapun Charlton yang juga merupakan ahli lembaga pengarah di Old Trafford tidak keberatan melepaskan bintang sensasi Portugal itu melangkah keluar. Ronaldo kini dalam pertengahan jalan menuju ke Madrid dan hanya menunggu proses perpindahan yang dijangka akan selesai akhir bulan ini untuk secara rasmi menjadi pemain Los Galacticos.

Charlton menganggap adalah lumrah bagi pemain muda seperti Ronaldo memasang impian menyarung jersi Real Madrid dan pemergiannya juga telah dipersetujui oleh Sir Alex Ferguson. Baginya jumlah yang ditawarkan oleh Madrid seolah-olah tidak mengambil peduli akan krisis ekonomi yang kini melanda dunia dan United tidak harus dipersalahkan apabila menerima tawaran sebesar itu. Wang hasil penjualan Ronaldo amat berguna untuk perkembangan kelab di masa hadapan.
Charlton juga sempat merakamkan ucapan penghargaan kepada Ronaldo atas khidmat cemerlangnya sepanjang menjadi pemain United selama enam musim.

Mengenai pengganti Ronaldo, Charlton yakin Ferguson mampu mencari pemain sesuai untuk mengisi kekosongan itu. Sesiapun yang akan dibawa masuk nanti, Charlton yakin ia adalah hasil pertimbangan bijak Ferguson dan pemain itu memang layak menyarung jersi United. Baginya Ferguson sering mengambil keputusan tepat dalam urusan perpindahan pemain dan sangat teliti dalam setiap keputusan yang diambil, maka atas sebab itulah dia cukup cemerlang dalam kariernya di Old Trafford sepanjang 22 tahun melatih skuad The Red Devils.

17 Jun 2009

United Hilang Sabar Dengan Tevez

http://images.teamtalk.com/08/08/800x600/Carlos-Tevez-celeb-Community-Shield_1102051.jpg
Pihak pengurusan Manchester United semakin hilang sabar dengan sikap Carlos Tevez yang seolah-olah bermain tarik tali tentang masa depannya di Old Trafford. United dikatakan cuba berbincang bersama pemain antarabangsa Argentina itu untuk mendapatkan khidmatnya secara tetap. Tevez sebelum ini juga sering dikaitkan akan berhijrah ke kelab-kelab Liga Perdana lain seperti Liverpool, Chelsea dan Manchester City serta turut diminati kelab-kelab gergasi dari Itali dan Sepanyol. Manchester Evening News melaporkan, United kurang senang dengan sikap Tevez itu apatah lagi pemain itu diberitakan enggan menjawab panggilan telefon dari Sir Alex Ferguson yang mahu memintanya mempertimbangkan hasrat untuk berhijrah.

Pengurusan United pada mulanya berharap Tevez dapat membuat keputusan dalam tempoh beberapa hari sebaik sahaja selesai perlawanan kelayakan Piala Dunia membabitkan Argentina dan Bolivia, namun pemain itu dan agennya tidak memberi sebarang respon. Perkara ini membuatkan pintu untuk pemain itu keluar dari Old Trafford semakin terbuka walaupun United diberitakan telah menawarkan kontrak sebanyak 25 juga Pound dan gaji lumayan buat mengikat penggempur Argentina itu. Hasrat United itu bagaimanapun mendapat saingan hebat dari jirannya, Manchester City yang telah menawarkan gaji sebanyak 140,000 Pound seminggu iaitu kenaikan sebanyak 75 peratus dari apa yang diterimanya di United ketika ini.

United Tak Berminat Dapatkan Pemain Melebihi 26 Tahun

http://futebolistasroxas.files.wordpress.com/2008/10/4432992.jpg
Douglas Costa

Pihak pengurusan Manchester United semalam menetapkan polisi baru untuk tidak menandatangani pemain melebihi had umur 26 tahun. Jika dilihat polisi baru yang dikeluarkan ini, Franck Ribery nampaknya tidak berada dalam senarai pemain yang akan dibawa masuk ke Old Trafford. Ribery yang telah menyambut ulang tahun ke 26 dua bulan lalu pada awalnya diberitakan telah ditawarkan kontrak sekitar 60 juta Pound oleh United. Sebelum itu Presiden Bayern Munich, Karl Heinz Rummenigge juga mengakui United ada membuat tawaran untuk mendapatkan khidmat Ribery namun perkara itu disangkal oleh pihak United.

Dengan polisi baru ini United juga tidak mungkin akan mendapatkan khidmat penggempur Valencia, David Villa memandangkan pemain antarabangsa Sepanyol itu sudah berusia 27 tahun. Satu-satunya kemungkinan yang ada, Ferguson mungkin akan cuba mendapatkan khidmat penggempur prolifik Olympique Lyon, Karim Benzema yang baru berusia 21 tahun dan Antonio Valencia dari Wigan Athletic yang berusia 23 tahun. Ferguson juga diberitakan sedang cuba mendapatkan khidmat pemain dari skuad bawah 20 tahun Brazil dari kelab Gremio, Douglas Costa.

15 Jun 2009

Rumor: United Mahu Dapatkan Torres?

http://www.football-pictures.net/data/media/222/Fernando_Torres_espanya.JPG
Fernando Torres

Liverpool merupakan saingan utama Manchester United dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris musim lalu dan apakah yang akan berlaku jika pengurusan United berusaha memikat Fernando Torres yang merupakan bintang utama di Anfield? Diberitakan United bakal mengambil langkah mengejutkan ini selepas pemergian Cristiano Ronaldo ke Real Madrid. Dengan dana hasil penjualan Ronaldo sebanyak 80 juta Pound, Sir Alex Ferguson diberitakan sedang bersiap sedia untuk membawa Torres keluar dari Anfield.

http://i.dailymail.co.uk/i/pix/2008/01_02/AntonioValencia_228x342.jpg
Antonio Valencia

Akhbar Sunday Express melaporkan, United sedia menawarkan kepada Liverpool sebanyak 40 juta Pound bagi mendapatkan khidmat penyerang antarabangsa Sepanyol itu atau lebih dikenali sebagai El Nino. Bagaimanapun usaha United sukar untuk direalisasikan jika mengambilkira perang dingin antara Sir Alex Ferguson dan Rafael Benitez sepanjang musim lalu, namun masalah kewangan yang melanda kelab dari Anfield itu memungkinkan pihak pengurusan Liverpool menimbang untuk menjual Torres kepada United.

http://lyon.theoffside.com/files/2007/08/benzema.jpg
Karim Benzema

Sesudah kehilangan Ronaldo dan Carlos Tevez pula bakal melangkah keluar dari Old Trafford, Ferguson tentunya serius mahu membawa masuk pemain-pemain baru dan antara pemain yang sedang hangat dikaitkan menjadi buruan United ialah Karim Benzema (Olympique Lyon) Samuel Eto'o (Barcelona), Franck Ribery (Bayern Munich), Antonio Valencia (Wigan Athletic) dan David Silva (Valencia).

14 Jun 2009

Rooney, Pemain United Sejati

http://njmg.typepad.com/photos/uncategorized/2007/11/09/wayne_rooney_the_associated_press.jpg
Bekas pemain tengah United Ray Wilkins mengatakan, Red Devils tidak seharusnya meratapi pemergian Cristiano Ronaldo sebaliknya perlu terus mempertahankan Wayne Rooney untuk kekal di Old Trafford kerana pada pandangannya Rooney merupakan pemain United sejati. Ramai yang menilai tindakan United melepaskan Ronaldo merupakan satu kesilapan besar namun Wilkins berpendapat andai diberi pilihan beliau akan memilih Rooney daripada Ronaldo memandangkan penyerang antarabangsa England itu lebih mementingkan kerjasama sepasukan berbanding Ronaldo.

Seiring dengan perubahan bola sepak moden, kerjasama sepasukan lebih penting dari skill individu dan Rooney dilihatnya merupakan pemain bola sepak yang hebat baik di peringkat kelab mahupun ketika bersama skuad kebangsaan. Wilkins juga yakin dengan pemergian Ronaldo, United akan menjadi pasukan yang lebih baik dan ketiadaan bintang antarabangsa Portugal itu akan mendorong pemain lain bermain dengan lebih baik dan ini merupakan sesuatu yang positif buat United. Sebelum ini beliau melihat United banyak bergantung kepada Ronaldo dan kini terserah kepada pemain lain untuk mengangkat potensi mereka dalam pasukan.

Baginya United memiliki kualiti yang besar dalam pasukan dan yakin Ferguson mampu meningkatkannya lagi. Walau bagaimanapun Wilkins berpendapat United perlu membeli pemain baru untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Ronaldo dan beliau percaya Ferguson mampu mendapatkan pemain yang baik pada harga lebih murah. Menurutnya, Ferguson cukup arif dalam pasaran perpindahan pemain dan kemungkinan besar pengurus United itu akan membawa masuk sekurang-kurangnya dua pemain baru untuk memperkuatkan pasukan.

Ferguson Bebas Cari Pengganti Ronaldo

http://www.madridgalacticos.com/wp-content/uploads/2008/06/sir_alex_ferguson___339073c.jpg

Pemilik Manchester United, Malcolm Glazer memberi kebebasan sepenuhnya kepada Sir Alex Ferguson untuk mencari pengganti Cristiano Ronaldo. Ronaldo akan berhijrah ke Real Madrid musim depan dengan yuran perpindahan sebanyak 80 juta Pound yang juga merupakan rekod baru dunia. Keluarga Glazer selaku pemilik The Red Devils memberi kebebasan sepenuhnya kepada Ferguson untuk menentukan wajah skuad bagi musim depan. Keluarga Glazer juga menafikan bahawa penjualan Ronaldo kepada Madrid adalah untuk melunaskan hutang semasa pengambilalihan kepentingan kelab oleh keluarga berkenaan.

Perkara ini dinafikan sekeras-kerasnya oleh keluarga Glazer melalui jurucakap mereka bahawa hutang berkenaan tidak akan menganggu rencana Ferguson dalam memperkuatkan skuad bagi menghadapi musim depan. Jurucakap berkenaan menyatakan bahawa idea untuk menjual Ronaldo bagi melunaskan hutang-hutang keluarga Glazer adalah tidak benar sebaliknya Ronaldo sendiri yang memutuskan untuk berhijrah setelah enam musim menabur bakti di Old Trafford. Perkara ini juga telah dipersetujui sendiri oleh Ferguson. Keluarga Glazer turut menyatakan bahawa Sir Alex Ferguson bertanggungjawab penuh ke atas skuad dan berkuasa untuk menentukan apa yang terbaik buat United.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh keluarga Glazer ini juga bermakna bahawa Ferguson diberi kebebasan untuk memancing bintang baru bagi menggantikan Ronaldo dan salah seorang pemain yang menjadi sasaran Ferguson ialah bintang Perancis, Frank Ribery. United diberitakan telah membuat tawaran rasmi kepada Bayern Munich untuk mendapatkan Ribery namun perbincangan dilihat masih buntu memandangkan Bayern meletakkan harga tinggi ke atas bintang mereka itu.

01 Jun 2009

Capello Mahu Rooney Dan Ferdinand Segera Bangkit

http://www.bbc.co.uk/blogs/sporteditors/ferd_rooney_ap438.jpg
Pengurus England, Fabio Capello mahu Wayne Rooney dan Rio Ferdinand mencontohi John Terry dan segera bangkit dari kegagalan final Liga Juara Juara. Menurut Capello, kegagalan adalah perkara biasa dalam bola sepak namun apa yang penting adalah seseorang individu itu mampu bangkit untuk mengatasinya. Terry yang gagal menemui sasaran ketika penentuan sepakan penalti pada final Liga Juara Juara di Moscow tahun lalu segera bangkit dan berjaya menjaringkan gol ketika perlawanan persahabatan England menentang Amerika Syarikat selepas itu. Bagi Capello, kapten England dan Chelsea itu merupakan pejuang tulen serta berharap Rooney dan Ferdinand mencontohi semangat juang yang ditunjukkan oleh Terry. Penghujung bulan ini England akan bertemu Kazakhstan dan Andorra dalam kempen kelayakan Piala Dunia Zon Eropah.