Semua orang tahu betapa
sinonimnya Jose Mourinho dengan label taktik `parkir bas’nya, dan semua orang
tahu bahawa beliau merupakan seorang pengendali yang sangat mementingkan soal
pemilihan pemain. Dalam `kepala’ Mourinho tiada istilah pemain bintang, kerana
jika beliau merasakan bahawa seseorang pemain itu tidak sesuai dengan falsafah
bolasepaknya, maka mereka dipersilakan pergi.
Di Real Madrid, beliau pernah
menyingkirkan Pedro Leon dan Iker Casillas, di Manchester United beliau tidak
pernah ragu meletakkan Paul Pogba dan Luke Shaw di bangku simpanan dan ketika
tempoh kariernya di Tottenham Hotspurs, Tanguy Ndombele dan Dele Alli menjadi
korban.
Sepanjang tempoh singkatnya di
Old Trafford pula, Mourinho meneruskan pendekatan `kerasnya’ terhadap pemain
hingga akhirnya mengorbankan karier beliau sendiri. Begitupun, Mourinho akan
sentiasa diingati sebagai pengendali terbaik pasca persaraan Sir Alex Ferguson.
Setidak-tidaknya jika mengambilkira trofi yang berjaya beliau menangi bersama
kelab.
Selain dari kejayaan beliau
mengemudi United menang kejuaraan Liga Europa, Perisai Komuniti dan Piala Liga,
Mourinho juga adalah individu penting yang membuka pintu skuad utama buat Scott
McTominay. McTominay bukanlah graduan akademi United yang memiliki kemampuan
teknikal tinggi, tetapi Mourinho sangat tertarik dengan `attitude’ dan kerja
kerasnya di atas padang.
Dalam tempoh 2013 hingga 2016,
McTominay sebenarnya kurang diberikan minit permainan bersama skuad bawah umur
United. Sepanjang tempoh tiga tahun, beliau hanya bermain sebanyak 12 kali
untuk skuad U18, atau purata hanya empat perlawanan semusim. Bagaimanapun
perkembangan fizikal beliau akhirnya melonjakkan karier McTominay.
Bayangkan dalam tempoh hanya 18
bulan, ketinggian beliau meningkat sebanyak 10 inci. Akhirnya pada musim
2016/17, McTominay diserap ke dalam skuad U21. Pada 2017, Mourinho pernah
mengeluarkan kenyataan bahawa beliau cuma perlukan tempoh 10 minit untuk membuat
keputusan bagi menyerap McTominay ke dalam skuad utama.
Rasa percaya Mourinho terhadap
kemampuan McTominay sebenarnya agak mengejutkan mengingatkan bahawa beliau bukanlah
seorang pengendali yang peduli dengan perkembangan bakat-bakat dari akademi. Selepas
diberikan peluang bermain dalam beberapa perlawanan `kurang penting’, McTominay
akhirnya disenaraikan Mourinho dalam kesebelasan utama ketika United berdepan
Sevilla di pusingan 16 pasukan Liga Juara-Juara pada Februari 2018.
Ketika Mourinho dihujani
pelbagai kritikan pada musim terakhirnya di Old Trafford, warga Portugal itu
sebaliknya memilih karakter McTominay sebagai contoh kualiti `yang semakin
pupus’ dalam skuad United. “Dia memiliki karakter yang istimewa, keperibadian
yang baik dan contoh pemain yang sebenarnya sangat diperlukan oleh mana-mana pasukan
dalam tempoh-tempoh sukar. Adakah pemain saya yang lain memiliki mentaliti
seperti dia? Tidak semua”, kata Mourinho.
Selepas pemecatan Mourinho,
Solskjaer yang menggantikan posisi beliau terus meletakkan McTominay di tempat
`yang istimewa’ dalam skuad utama. Solskjaer melabelkan McTominay sebagai
`gergasi’ dan menjadikan pemain Scotland itu sebagai pilihan paling ideal
bersama Fred dalam sistem `double pivot’nya di bahagian tengah.
Meskipun keberadaan `McFred’
kerap dihujani kritikan, jangan lupakan fakta bahawa kombinasi inilah yang
membantu United menamatkan saingan liga dikelompok tiga teratas selama dua
musim berturut-turut. Pencapaian yang sebenarnya tidak pernah dilakar United
selepas persaraan Fergie. Bagaimanapun selepas ketibaan Ten Hag yang membawa
falsafah bolasepak berbeza, McTominay bukan lagi pilihan utama dalam
kesebelasan United.
Menerusi imaginasi bahawa
United akan bermain dengan pendekatan penguasaan bola, McTominay bukanlah
pemain tengah yang menepati tahap piawaian dikehendaki Ten Hag. Apa yang
berlaku selepas Ten Hag berkuasa di Old Trafford ialah, McTominay cuma disenaraikan
sebanyak 32 kali dalam kesebelasan utama di semua peringkat kejohanan. Meskipun
timbul khabar angin mengatakan bahawa beliau sudah tiada dalam perancangan Ten
Hag musim ini, pemain berusia 26 tahun itu sebaliknya masih kekal bertahan.
Bagi mana-mana kelab yang
berminat mendapatkan khidmat beliau, ada harga yang perlu dibayar. Pada bursa
perpindahan musim panas lalu, West Ham datang dengan tawaran £30 juta, tetapi
di mata Ten Hag nilai McTominay sebenarnya lebih daripada itu. Gaya permainan McTominay
sangat sederhana kerana beliau bukanlah pemain tengah yang penuh bergaya
seperti Paul Scholes atau Michael Carrick. Beliau juga bukanlah `maestro’
seperti Andrea Pirlo yang mampu memanipulasi masa atau mengawal tempo
permainan.
Ringkasnya, McTominay adalah
pemain tengah bertahan klasik yang tugasnya sentiasa terlibat dalam `duel’
dengan mana-mana pemain lawan ketika bola memasuki zon `middle’ atau `defensive
third’. Ketika `fullback’ United mara jauh ke atas, McTominay pula akan menutup
ruang yang ditinggalkan sambil sesekali bertindak sebagai opsyen kedua untuk
melepaskan percubaan-percubaan dari luar petak penalti.
Tujuh gol yang beliau hasilkan
dari 21 penampilan dalam saingan liga setakat ini meletakkan McTominay selaku
penjaring terbanyak kelab. Manakala dua gol yang beliau ledak dalam tempoh
hanya sepuluh minit aksinya di atas padang selaku pemain gantian ketika
berdepan Brentford pada 7 Oktober lalu benar-benar momen yang menakjubkan.
Selepas lebih tiga bulan penampilan `heroic’nya di Old Traffird itu berlalu,
kelmarin McTominay sekali meletakkan dirinya sebagai `game changer’.
Gol kemenangan menerusi
kepalanya di minit ke-86, akhirnya merubah keseluruhan lanskap perlawanan di
Villa Park. Tatkala kita sudah berkira-kira bahawa United akan pulang dengan hanya
satu mata, McTominay pula keluar dari bangku simpanan dan menghasilkan gol
kemenangan tersebut selepas hanya 13 minit beraksi di atas padang. Apa yang
beliau tampilkan tiga bulan lalu dan di Villa Park kelmarin, selain tujuh gol
yang sudah dihasilkannya dalam saingan liga adalah sangat mengagumkan.
McTominay mungkin bukanlah
pemain tengah yang didambakan keberadaannya oleh kebanyakan penyokong United
kerana gaya permainan dan kemampuan teknikalnya. Tetapi `attitude’ dan sosok
penampilannya di atas padang akan sentiasa mengingatkan kita kepada generasi
pemain United terdahulu. Beliau bukanlah pemain tengah yang terlalu `stylish’,
tetapi sentiasa ada pada saat-saat diperlukan.
Scott McTominay adalah gambaran
sebenar Manchester United, pemain yang lahir dari sistem remaja kelab, bermain
demi lencana di dadanya, berjuang dari minit ke minit permainan dan memberikan
segenap yang ada dari kehidupannya ketika diberikan peluang beraksi. Mungkin
inilah contoh yang pernah disebut Mourinho sebagai `kualiti yang semakin pupus’
dalam skuad United pada hari ini. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan