12 Julai 2009

Giliran United Pula Buru Eto'o

http://www.soomaalidamaanta.com/sm/images/stories/2009/06/eto.jpg
Setelah Manchester City membatalkan hasrat mendapatkan khidmat Samuel Eto'o kini giliran Manchester United pula cuba mendekati penggempur Barcelona itu. Agen Eto'o, Josep Maria Mesalles optimis, juara Inggeris itu itu akan mengemukakan tawaran secara rasmi bernilai 18 juta Pound kepada Barca Isnin ini. Penarikan diri Manchester City telah membuka jalan kepada United yang masih memburu penyerang terkemuka bagi menggantikan Carlos Tevez. Walaupun mengemukakan tawaran lebih rendah berbanding City, sejarah dan tradisi hebat United pasti menjadi daya penarik buat memikat penyerang antarabangsa Cameroon berusia 28 tahun itu menyarung jersi United musim depan.

Akhbar The Telegraph mendedahkan bahawa United sedang menyediakan tawaran gaji buat Eto'o sebanyak 150 ribu Pound seminggu namun skuad Red Devils dilihat agak keberatan menawarkan kontrak jangka panjang kepada Eto'o. Polisi terbaru United hanya membenarkan Ferguson mengikat pemain melebihi umur 26 tahun dengan kontrak jangka pendek mungkin menjadi penghalang Eto'o dari menerima tawaran United. Ketika ini, Eto'o berdepan situasi tidak menentu tentang masa depannya di Nou Camp. Permintaan gaji sebanyak 130 ribu Pound seminggu yang masih belum dipenuhi menyebabkan Eto'o menolak untuk memperbaharui kontraknya bersama kelab Catalan itu.

11 Julai 2009

United Sedia Buat Pertukaran Berbatov Dengan Aguero

http://manutd24.files.wordpress.com/2009/04/dimitar_berbatov13.jpg
Manchester United menghadapi kesulitan bagi memujuk Athletico Madrid menjual penyerangnya, Sergio `Kun' Aguero. Menurut akhbar Daily Mail, United pada mulanya menawarkan 34 juta Pound dan Nani sebagai pertukaran bagi mendapatkan Aguero namun ditolak oleh Athletico. United diberitakan menyusun strategi kedua, dengan Berbatov pula ditawarkan sebagai pertukaran di samping tambahan 17 juta Pound. Tawaran kedua ini melebihi tawaran pertama memandangkan United terpaksa membelanjakan 30 juta Pound bagi mendapatkan Berbatov dari Tottenham musim lalu.

Peluang United memancing Aguero tetap ada dengan Athletico sendiri tidak menutup peluang untuk menjual penyerangnya itu malah telah meletakkan tanda harga sebanyak 55 juta Pound terhadap Aguero. "Kami memiliki kontrak yang harus dihormati dan kami berharap kelab lain juga menghormatinya. Saya tidak mampu menahan bila seseorang pemain ingin pergi kepada kelab yang ingin memilikinya", ujar Presiden Athletico, Enrique Cerezo. Dalam hal ini, United harus bertindak cepat memandangkan Aguero turut diminati seteru United dalam Liga Perdana, Chelsea.

09 Julai 2009

Huntelaar Atau Ibrahimovic

http://pds11.egloos.com/pds/200906/05/47/f0063347_4a27fdc95e44c.jpg
Zlatan Ibrahimovic

Manchester United harus membuat keputusan segera sama ada mahu mendapatkan khidmat Klaas Jan Huntelaar atau Zlatan Ibrahimovic. Selepas Luis Valencia, Michael Owen dan Gabriel Obertan, Sir Alex Ferguson serius mahu membawa pemain keempat ke Old Trafford. Posisi yang menjadi perhatian Ferguson untuk diperkuatkan ialah bahagian serangan memandangkan jentera pertahanan dan tengah United dilihat sudah cukup ampuh. Sasaran United kini memang terarah kepada penyerang Real Madrid, Klaas Jan Huntelaar dan Zlatan Ibrahimovic, penggempur Inter Milan. "Kami sedang menguruskan satu bisnes besar kali ini", ujar Ferguson kepada akhbar Daily Mirror. Kenyataan Ferguson itu mengesahkan kemungkinan United akan membawa dua penyerang itu sekaligus ke Old Trafford.

United dilihat masih punya limpahan dana mencukupi hasil penjualan Cristiano Ronaldo ke Real Madrid dan setakat ini hanya menggunakan sekitar 20 juta Pound dengan membawa masuk Valencia dan Obertan manakala Owen pula diperolehi secara percuma. Jumlah itu masih jauh dari pendapatan hasil penjualan Ronaldo sebanyak 80 juta Pound.
Untuk membawa Ibrahimovic ke Old Trafford, United dikatakan sedia membelanjakan 30 juta Pound namun Inter dilihat keberatan melepaskan penggempur berusia 27 tahun itu. Setelah gagal mendapatkan Karim Benzema dan Frank Ribery, tidak salah bagi United menggunakan baki dana hasil penjualan Ronaldo untuk membawa masuk Huntelaar dan Ibrahimovic. Sangat fantastik jika kedua-duanya berjaya dipancing Ferguson dan jentera penggempur United pastinya digeruni dan dicemburui lawan musim depan.

United Sendirian Buru Huntelaar

http://img.thesun.co.uk/multimedia/archive/00483/Klaas-Jan_Huntelaar_483687a.jpg
Manchester United bersendirian dalam memburu penyerang Real Madrid, Klaas Jan Huntelaar. AC Milan yang sebelum ini dikaitkan dengan penyerang antarabangsa Belanda itu sudah menyerah kalah. Kelmarin, Madrid menolak tawaran gergasi Itali itu untuk mendapatkan khidmat Huntelaar secara pinjaman. Kehadiran Karim Benzema menyebabkan Huntelaar semakin terpinggir di Bernabeu dan Madrid dilihat cuba menjualnya ke kelab lain. Kini tanpa saingan, United berpeluang besar memikat Huntelaar dan dengan sumber kewangan yang kukuh Red Devils pastinya tidak menghadapi masalah menyediakan sehingga 25 juta Pound bagi mendapat khidmatnya. United sudah lama berhasrat mendapatkan Huntelaar dan melihatnya sebagai pengganti sesuai untuk Carlos Tevez. Sepanjang 20 kali tampil mewakili Madrid di La Liga, Huntelaar telah menjaringkan 8 gol.

07 Julai 2009

Obertan Bakal Sertai United

http://www.oleole.com/media/main/images/member_photos/group1/subgrp120/gabrielobertanespoir_171692.jpg
Pemain sayap Girondins Bordeaux, Gabriel Obertan bakal menjadi pemain terbaru menyertai Manchester United. Menurut akhbar The Sun kedua-dua kelab telah mencapai kata sepakat berhubung perpindahan Obertan ke Old Trafford. United dikatakan akan membayar 8 juta Pound kepada juara Perancis itu bagi mendapatkan khidmat Obertan dengan tawaran kontrak selama 4 tahun. Selain United, Obertan juga dikatakan menarik minat Chelsea, Arsenal, Inter Milan dan AC Milan tetapi Presiden Bordeaux, Jean-Louis Triaud menyatakan United punya peluang lebih besar dan telahpun mengemukakan tawaran rasmi untuk mendapatkan Obertan.

"Kemungkinan Obertan menyertai United sangat besar dan saya amat senang melihat bagaimana dia akan berkembang menjadi pemain hebat dengan kelab seperti Manchester United. Kami akan mengumumkan apabila tiba waktunya", jelas Triaud. Selain Obertan, United juga ghairah memburu khidmat pemain serba boleh Barcelona, Yaya Toure dan penyerang Real Madrid, Klaas Jan Huntelaar. Huntelaar sebenarnya telah lama menarik minat Ferguson namun tewas kepada Real Madrid dalam pemburuan mendapatkan penyerang antarabangsa Belanda itu musim lalu.

Cech: Ronaldo Akan Merindui Man Utd

http://s.bebo.com/app-image/7925698609/5411656627/PROFILE/i.quizzaz.com/img/q/u/08/03/23/PetrCechNew.jpg
Penjaga gawang handalan Chelsea, Petr Cech pantas menegaskan Manchester United tetap pasukan yang kuat meskipun kini tanpa kelibat Cristiano Ronaldo. Baginya Ronaldo akan menyesal kerana meninggalkan United dan merindui kehidupannya di Old Trafford kerana di situlah dia mula mencipta nama dan berkembang menjadi pemain yang hebat. Sebaliknya sebagai kelab besar, United tidak akan terjejas hanya disebabkan perginya seorang pemain. Cech menilai pengurus United, Sir Alex Ferguson sebagai sangat berpengalaman dalam membuat sebarang keputusan. Baginya, Fergie sudah tentu punya alasan kuat ketika mengambil keputusan melepaskan Ronaldo ke Madrid. "Fergie sangat berpengalaman dalam membentuk karier seorang bintang" tambahnya.

Ronaldo cukup cemerlang dalam tiga musim terakhirnya di Old Trafford tetapi United merupakan kelab yang tidak pernah bergantung kepada prestasi hebat seorang pemain sahaja. Cech mengakui Ronaldo banyak menjaringkan gol-gol penting untuk United tetapi baginya, prestasi hebat Ronaldo adalah disebabkan sokongan rakan-rakan sepasukan. "United tetap pasukan yang kuat dan besar walaupun tanpa Ronaldo kerana mereka punya sumber kewangan yang kukuh dan mampu membeli pemain sesuai bagi menggantikan peranan Ronaldo. Musim depan, United tetap pasukan yang kuat dan harus diberi perhatian", ujarnya.

06 Julai 2009

Owen Mampu Jadi Lebih Baik Dari Tevez

http://www.rankopedia.com/CandidatePix/28457.gif
Glenn Hoddle

Lagenda Tottenham Hotspurs dan bekas pengurus England, Glenn Hoddle yakin Michael Owen akan menampil aksi lebih baik bersama Manchester United berbanding Carlos Tevez. Walaupun dilanda kecederaan sepanjang musim lalu, Sir Alex Ferguson tetap berani mengambil risiko dengan membawa masuk Owen ke Old Trafford. Mengambil kira statusnya sebagai pemain bebas dan United tidak perlu mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkannya, ia dilihat satu tindakan bijak oleh Ferguson. Hoddle ketika di wawancara akhbar The Mirror yakin bekas penyerang Liverpool dan Newcastle United itu akan cergas menjelang musim baru nanti.
http://img2.allposters.com/images/GB/SP0415.jpg
Henrik Larsson

Pada pandangannya, Owen mampu mempamerkan aksi lebih baik bersama United berbanding Tevez dan corak permainan United akan menjadikan tugasnya sebagai penggempur menjadi lebih mudah, tidak seperti ketika dia bersama skuad Magpies. Hoddle turut meramalkan Owen akan mampu bersinar semula sama seperti yang pernah dialami oleh Eric Cantona, Teddy Sheringham mahupun Henrik Larsson yang dibawa oleh Ferguson ketika karier ketiga-tiganya berada di penghujung. Apa yang perlu sekarang ialah Owen mesti memastikan dia mampu beraksi lebih kerap dan Hoddle yakin penyokong United akan menyaksikan kemampuan sebenar pemain itu didepan gawang.
http://sportige.com/wp-content/uploads/2009/03/teddycheer.jpg
Teddy Sheringham

Hoddle merupakan individu yang bertanggungjawab memberikan debut antarabangsa buat Owen ketika menjadi pengurus England pada tahun 1998. Menurut pakar fisioterapi yang merawat Owen, John Green optimis pemain itu akan pulih sepenuhnya dari kecederaan. Green yang juga pernah merawat Craig Bellamy yakin Owen mampu bermain bola sepak dalam saingan kompetetif untuk beberapa tahun lagi. Bagi Owen yang pada mulanya tidak menyangka akan ditawarkan kontrak bersama United cukup teruja memulakan saingan musim baru dan beraksi bersama bintang-bintang Red Devils lain.